Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tol percuma pada 11-12 Nov sempena Deepavali – semua plaza tol kecuali di BSI dan Tg Kupang di Johor

    Tol percuma pada 11-12 Nov sempena Deepavali – semua plaza tol kecuali di BSI dan Tg Kupang di Johor

    Sempena dengan sambutan perayaan Deepavali pada Ahad ini, Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya selama dua hari iaitu pada mulai 12.01 tengahmalam pada 11 November hingga jam 11.59 tengahmalam pada 12 November 2023.

    Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

    “Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

    “Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.

    Tol percuma pada 11-12 Nov sempena Deepavali – semua plaza tol kecuali di BSI dan Tg Kupang di Johor

    Menurutnya lagi, pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

    Selain itu, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

    Kerajaan turut menjangkakan anggaran jumlah trafik dalam tempoh dua hari tersebut adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan untuk semua lebuhraya terlibat. Justeru, anda diminta untuk merancang waktu perjalanan anda sewajarnya bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan trafik di lebuhraya.

     
     
  • Razlan nasihat pelumba muda jangan kahwin awal

    Razlan nasihat pelumba muda jangan kahwin awal

    Prinsipal pasukan MotoGP CryptoData RNF, Razlan Razali memberikan nasihat kepada pelumba tempatan supaya tidak berkahwin awal jika mahu cemerlang dalam sukan permotoran. Perkara ini dilaporkan oleh Harian Metro, yang berjumpa dengan bekas ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu semasa Sesi Permotoran Remaja di Putrajaya.

    Beliau juga turut menyatakan bahawa sukan permotoran adalah satu sukan yang merbahaya dan pelumba harus memberi fokus dan komitmen yang penuh kepada kerjaya mereka. Jika berkahwin awal, mereka akan mempunyai tanggungjawab kepada anak dan isteri.

    “Jika pada usia muda (sudah berkahwin) susah untuk memberi perhatian kepada sukan yang diceburi mereka. Sebagai contoh Zulfahmi Khairuddin sebelum ini, ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin, sepatutnya jawapan pertama daripada saya ialah ‘tahniah’.”

    “Bagaimanapun, jawapan pertama yang saya berikan kepadanya … kenapa?. Sepatutnya mereka memberi fokus kepada karier dahulu 200 peratus. Kalau ada tanggungjawab susah hendak beri komitmen 100 peratus,” kata Razlan.

     
     
  • Aprilia RS 660 Extrema dilancar di Malaysia – RM80k

    Aprilia RS 660 Extrema dilancar di Malaysia – RM80k

    Selain SR GT 200 Replica, satu lagi model yang dilancarkan oleh Didi Group untuk pasaran Malaysia bersempena hujung minggu MotoGP di Litar Sepang adalah Aprilia RS 660 Extrema. Model RS 660 yang lebih sporty ini dijual pada harga RM79,900 tidak termasuk insurans.

    Aprilia RS 660 Extrema didedahkan kepada dunia hujung tahun lalu, dengan ia menawarkan lebih prestasi berbanding model biasa, bermula dengan beratnya telah dikurangkan sebanyak tiga kilogram, menjadi 166 kg (kering) hasil daripada penggunaan penghadang lumpur hadapan dan pelindung bawah enjin gentian karbon, serta ekzos SC Project yang terletak di tepi motosikal (RS660 biasa mempunyai ekzos pendek di tengah motosikal).

    Satu lagi naik taraf yang dibuat adalah pada bahagian elektronik. Sistem standard termasuk Traction Control, Cornering ABS, Engine Brake Control, Wheelie Control serta mod tunggangan kini ditambah dengan perisian quickshifter yang membolehkan pengguna mengubah jenis tukaran gear daripada jenis biasa kepada GP dengan lebih mudah.

    Bahagian lain masih lagi sama seperti RS660 standard, termasuk enjin, iaitu unit dua silinder selari DOHC 660 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan, menghasilkan kuasa 100 hp pada 10,500 rpm dan 67 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Kelengkapan lain RS660 adalah termasuk fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya, monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan, cakera berkembar 320 mm berserta angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 220 mm dengan angkup Brembo dua piston di belakang, rim 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55, tangki bahan api 15 liter dan tinggi tempat duduk 820 mm.

     
     
  • Aprilia SR GT 200 Replica tiba di Malaysia – RM20,900

    Aprilia SR GT 200 Replica tiba di Malaysia – RM20,900

    Pengedar motosikal Aprilia di Malaysia, Didi Group telah melancarkan Aprilia SR GT 200 Replica, yang merupakan satu versi istimewa bagi skuter yang diperkenalkan di pasaran kita sejak Mei tahun lepas. Ia dijual pada harga RM20,900, sama seperti seperti SR GT 200 Sport sewaktu ia dilancarkan.

    Keistimewaan SR GT 200 Replica adalah pada penampilannya, yang menggunakan konsep seperti jentera RS-GP yang digunakan oleh Aleix Espargaro dan Maverick Vinales dalam perlumbaan MotoGP.

    Warna utamanya adalah hitam matte, dan kemudiannya diserlahkan dengan merah dan ungu, serta tulisan Aprilia besar di bahagian tengah. Tempat duduk menggunakan balutan berwarna hitam penuh, dengan kemasan jahitan yang berwarna putih.

    Selain daripada itu, spesifikasinya adalah sama dengan SR GT 200 biasa, bermula dengan enjin, iaitu unit satu silinder SOHC 174 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, digabungkan bersama transmisi jenis CVT untuk menghasilkan 17.4 hp pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Di bahagian hadapan, skuter ini menggunakan fork teleskopik 33 mm (tanpa pelarasan), cakera brek 220 mm dan rim 14 inci yang dibalut tayar 110/80 sementara di belakang terdapat dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban, cakera brek 220 mm serta rim 13 inci dengan tayar 130/70. Sistem ABS hanya disediakan untuk roda hadapan (one-channel).

    Kelengkapan lain yang disediakan pada SR GT 200 adalah termasuk panel meter jenis digital, lampu LED, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, sistem start/stop serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA (pilihan tambahan).

     
     
  • TNB, Chargeplus sedia kemudahan rentas sempadan

    TNB, Chargeplus sedia kemudahan rentas sempadan

    Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerja sama dengan Chargeplus Sdn Bhd untuk sebuah usaha sama dalam meneroka platform pengecasan kenderaan elektrik rentas sempadan, lapor Business Times. Chargeplus Sdn Bhd merupakan sebuah anak syarikat kepada penyedia penyelesaian pengecasan EV dari Singapura, Charge+ yang berberpangkalan di Singapura, dan beroperasi di rantau Asia Tenggara.

    “Usaha sama ini direka untuk memperkayakan lagi pengalakan pelanggan TNB dan Charge+ yang merentas sempadan. Dengan capaian mudah untuk kemudahan pengecasan, pemandu EV akan menikmati lebih kesenangan dan kelegaan fikiran,” jelas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din dalam satu kenyataan.

    Memorandum persefahaman berkenaan ditukar antara Pengarah Program TNB bagi pejabat pengurusan projek kenderaan elektrik, Wan Ahmad Zam Zam Wan Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Charge+, Goh Chee Kiong dan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    TNB, Chargeplus sedia kemudahan rentas sempadan

    Usahasama ini akan menyepadukan rangkaian yang terdiri 30,000 kemudahan pengecasan menjelang 2030, yang akan ditempatkan di sepanjang 5,000 km jarak antara Singapura, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam, jelas Bahari. TNB juga mengambil langkah penting untuk menambah kebolehcapaian pengecasan EV di Malaysia dan selanjutnya.

    Menerusi usahasama ini, pengguna aplikasi Go-To-U bagi rangkaian pengecasan TNB Electron dan Charge+ akan boleh mengakses aset EV kedua-dua syarikat, membolehkannya menyediakan kemudahan pengecasan EV yang lebih cekap yang merentas sempadan negara bagi semua pelanggan mereka.

    “Pelanggan tidak lagi perlu risau tentang jarak perjalanan EV dengan kemudahan yang dipertingkat ini, dan menjadi pemangkin kepada perluasan penggunaan EV di Malaysia. Usahasama TNB dan Charge+ akan turut menyumbang kepada pengurangan emisi karbon di Malaysia,” tambah Baharin.

     
     
  • Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

    Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

    Selain dari pelancaran model-model nasional seperti Proton dan Perodua, agak sukar untuk kita melihat kelibat Perdana Menteri untuk datang bagi menyempurnakan perasmian mana-mana model baharu ke pasaran tempatan.

    Namun agak menghairankan ketika pelancaran MPV EV pertama dalam pasaran tempatan, Maxus MIFA 9 di Hotel Shangri La Kuala Lumpur malam semalam – ia bukan hanya dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah beliau turut diiringi oleh beberapa menteri kabinet lain seperti menteri pertahanan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bn Haji Hasan dan menteri komunikasi dan digital YB Ahmad Fahmi Fadzil.

    Maxus MIFA 9 merupakan model yang diimport sepenuhnya dari China (CBU), dan pengedarnya di sini iaitu Weststar Maxus tidak mengumumkan sebarang perancangan pelaburan bagi memasang MPV tersebut secara pemasangan tempatan (CKD). Jadi mengapa pelancaran model ini seakan sangat penting sehingga ia dihadiri begitu ramai menteri kabinet?

    Ini mungkin ada kaitan dengan pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 bulan lalu, di mana beliau ada menyatakan bahawa kerajaan akan menggunakan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) sebagai pengangkutan rasmi tahun hadapan.

    Maxus MIFA 9 mungkin MPV EV untuk jemaah menteri Malaysia, ganti Toyota Vellfire tahun hadapan?

    Ia membayangkan barisan menteri kabinet turut akan menerima EV sebagai pengangkutan rasmi masing-masing. Buat masa sekarang jemaah menteri dibekalkan dengan MPV Toyota Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi, dan Maxus MIFA 9 ini dilihat calon EV sesuai bagi menggantikan MPV dengan enjin petrol dari Jepun tersebut.

    MPV tujuh-tempat duduk Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV Toyota itu.

    Weststar Maxus menawarkan dua varian MIFA 9 ini di Malaysia bermula dengan varian asas Luxury yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,888, manakala varian tertinggi Premium berharga RM289,888.

    Kedua-dua varian menerima unit rangkaian kuasa dan bateri yang sama. Ia digerakkan motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j.

    Kuasa dibekalkan dari bateri berkapasiti 90 kWj, namun jarak gerak bagi kedua-dua varian adalah berbeza – Luxury boleh dipandu sejauh 435 km (kitaran gabungan WLTP), manakala Premium pula boleh bergerak sejauh 430 km dengan satu cas penuh. Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

    MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk untuk kedua-dua varian, dan menampilkan kabin berwarna hitam, bumbung suria di hadapan dan belakang, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit gentian mikro. Untuk varian Premium, ia diberikan perincian seperti pemanas pada roda stereng, upholsteri kulit sebenar dan kulit PVC, fungsi liang udara, pemanas dan pengurut untuk tempat duduk hadapan dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Pada baris kedua, kedua-dua varian diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala. Khas untuk varian Premium, tempat duduk baris kedua ini hadir dengan rekaan lebih mewah.

    Kedua-dua varian menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.

    Kabin bagi varian Luxury dan Premium turut diberikan lampu suasana 64-warna, serta lampu pada bendul pintu hadapan dan belakang. Bagi membezakan varian, model Luxury diberikan lapan-pembesar suara manakala Premium pula diberikan 12-pembesar suara untuk sistem audio.

    Perincian lain seperti kedua-dua pintu gelangsar belakang berkuasa elektrik, pintu tailgate bantuan kuasa, pemegang pintu bersaiz penuh pada tiang-B, cermin keselamatan berwarna kelabu, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik untuk kabin hadapan dan belakang bersama pembersih adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Dengan ruang dan juga perincian premium yang diberikan pada MIFA 9 ini, nampaknya ia lebih berpotensi untuk dijadikan kenderaan menteri berbanding Tesla Model Y. Apa pendapat anda? Mungkin ada model EV lain yang lebih sesuai untuk digunakan para menteri sebagai pengangkutan rasmi?

    GALERI: Maxus MIFA 9 Luxury 2023

    GALERI: Maxus MIFA 9 Premium 2023

    GALERI: Gambar rasmi Maxus MIFA 9 2023

     
     
  • Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023 – RM166,059

    Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023 – RM166,059

    Dengan pelancaran pada awal Oktober lalu, barisan Mazda 3 2023 segmen-C yang dipertingkatkan di Malaysia masih menawarkan versi sedan dan hatchback, walau bagaimana pun ada varian yang digugurkan iaitu Mid. Ini bermakna kini tiada lagi Mazda 3 dengan enjin 1.5L kerana ia merupakan satu-satunya varian yang diberikan penjana kuasa tersebut. Kesemua varian yang masih ditawarkan untuk pasaran Malaysia merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

    Untuk galeri foto ini, ia memaparkan varian tertinggi, Mazda 3 2.0L High Plus Sedan 2023, dijanakan oleh enjin Skyactiv-G 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 162 hp pada 6,000 rpm dan tork 213 Nm pada 4,000 rpm. Buat masa kini, hanya itu sahaja pilihan enjin untuk kesemua varian Mazda 3 di Malaysia. Seperti sebelum ini, pacuan kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan Skyactiv-Drive.

    Bahagian luaran varian High Plus ini hadir dengan lampu utama, lampu belakang dan lampu nyalaan siang dengan unit LED, roda aloi 18-inci dengan kemasan perak untuk versi sedan dibaluti tayar 215/45 dan empat penderia parkir hadapan.

    Di dalamnya, varian 2.0L High Plus bagi sedan ini menerima ciri yang dikemaskini iaitu upholstery kulit hitam, pad pengecas tanpa wayar Qi, sokongan Apple Carplay tanpa wayar, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi stop-and-go,serta Cruising & Traffic Support. Ciri baharu lain yang turut diberikan untuk Mazda 3 2023 termasuklah port USB-C yang menggantikan USB-A, dan paparan infotainmen 10.25-inci.

    Varian ini juga diberikan ciri Mazda i-Activsense, merangkumi Adaptive Front-lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS), Driver Attention Alert (DAA), dan Smart Brake Support (SBS – depan dan belakang).

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM166,059 tanpa insurans, ia juga diberikan waranti pengeluar lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelengaran percuma. Tujuh warna luaran turut ditawarkan iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Polymetal Grey, Platinum Quartz, Deep Crystal Blue, Jet Black dan Snowflake White Pearl.

     
     
  • Maxus eDeliver 7 dipertonton di Malaysia – van elektrik dengan kuasa 204 PS, jarak gerak sehingga 370 km

    Maxus eDeliver 7 dipertonton di Malaysia – van elektrik dengan kuasa 204 PS, jarak gerak sehingga 370 km

    Semasa pelancaran MPV MIFA 9 semalam, selain T90 EV, Maxus turut membuat pra tonton untuk satu lagi model elektrik baru iaitu eDeliver 7. Perincian untuk van ini masih belum didedahkan, tetapi kami diberitahu, pengenalan untuk pasaran tempatan akan dibuat sewal suku pertama tahun hadapan.

    Melihat kepada spesifikasi pasaran United Kingdom, eDeliver 7 menggunakan bateri berkapasiti 77 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 318 km (WLTP). Satu lagi pilihan yang disediakan adalah bateri 88 kWh, yang boleh memberi 370 km, tetapi jarak gerak itu bergantung kepada jenis badan, jarak roda dan tinggi bumbung. Model yang dipertonton di Malaysia ini adalah versi jarak roda dan bumbung biasa.

    Kedua-dua versi bateri ini memberikan tenaga kepada motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 330 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 11.4/11.5 saat, untuk versi jarak roda dan bumbung biasa. Dalam mod Normal dan Power, laju maksimum adalah 120 km/j, sementara dalam mod Eco, ia cuma boleh mencatat laju maksimum 90 km/j.

    Untuk pengecasan, eDeliver7 boleh menerima input AC maksimum sehingga 11 kW, dan mencatat masa lapan jam (77 kWh) atau 9.3 jam (88 kWh) untuk menaikkan tahap bateri dari 5% ke penuh. Apabila menggunakan sumber DC 90 kW, bateri ini boleh naik dari 20-80% dalam masa cuma 43 minit.

    Sebagai sebuah van komersial, EDeliver 7 menyediakan ruang barangan 5.9 meter persegi di belakang, dengan ukuran bahagian kargo 2,547 mm tinggi, 1,800 mm lebar (1,390 mm antara lengkuk roda) dan tinggi 1,328 mm. Pintu gelungsurnya menyediakan bukaan 1,200 mm tinggi dan 990 mm lebar.

    Untuk dimensi keseluruhan kenderaan, eDeliver 7 mencatat tinggi 4,998 mm, lebar 2,030 mm, tinggi 1,990 mm dan jarak roda 3,000 mm. Ukuran penting lain adalah seperti jarak kelegaan tanah 150 mm, radius pusingan 6.05 meter, kapasiti membawa barang 1,200 kg, dan berat 2,300 kg.

    Maxus eDeliver 7 dipertonton di Malaysia – van elektrik dengan kuasa 204 PS, jarak gerak sehingga 370 km

    Kelengkapan lain yang disediakan pada eDeliver7 adalah termasuk sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci dengan sistem sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem masuk dan mula tanpa kunci, pendingin hawa kawalan manual, lampu utama LED automatik dengan DRL, lampu kabus depan dan belakang, rim 16 inci, enam beg udara, pengesan jarak depan dan belakang, kamera 360 darjah, ESP, Brake Assist, Hill Start Assist dan pemerhati tekanan angin tayar.

    Di UK juga, eDeliver 7 datang secara standard dengan Blind Spot Monitoring, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Autonomous Emergency Braking, Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, lampu tinggi automatik, info had laju, pemerhati pemandu serta Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop and go.

     
     
  • Suzuki Gixxer 250 dan 250SF dilancar di Malaysia – enjin 249 cc 26.5 PS, harga bermula RM14,500

    Suzuki Gixxer 250 dan 250SF dilancar di Malaysia – enjin 249 cc 26.5 PS, harga bermula RM14,500

    Selepas dipamerkan semasa Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 Ogos lalu, Suzuki Gixxer 250 dan 250SF kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Harga yang ditetapkan untuk Gixxer 250 adalah RM14,500, sementara Gixxer 250SF disediakan dalam dua versi, iaitu Metallic Matte pada harga RM15,200 dan GP Edition pada harga RM15,500.

    Gixxer 250 dan Gixxer SF250 dipacu oleh enjin satu silinder SOHC satu silinder 249 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama dengan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.

    Beza antara keduanya cuma pada bentuk badan di mana Gixxer 250 menggunakan rekaan sebuah motosikal naked sementara Gixxer SF250 mendapat bentuk yang lebih sporty dengan panel penuh. Selain tapak pemegang, bahagian lain dua motosikal ini kebanyakannya adalah sama.

    Suzuki Gixxer 250 dan 250SF dilancar di Malaysia – enjin 249 cc 26.5 PS, harga bermula RM14,500

    Brek cakera hadapan dan belakang motosikal ini datang secara standard dengan ABS, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti fork teleskopik dan monoshock di belakang, lampu hadapan dan belakang LED, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, tangki bahan api 12 liter serta berat keseluruhan 161 kg.

    Selain Gixxer 250SF yang datang dalam dua versi, Gixxer 250 juga disediakan dalam dua pilihan warna, iaitu biru metalik, sebagai tambahan kepada pilihan warna hitam matte. Jaminan yang diberikan adalah dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Nak buat lampu hadapan ‘pop-up’ yang lulus ujian keselamatan kemalangan tidak susah – Mazda

    Nak buat lampu hadapan ‘pop-up’ yang lulus ujian keselamatan kemalangan tidak susah – Mazda

    Rekaan lampu hadapan jenis pop-up, iaitu lampu hadapan yang boleh disorok agak popular pada kereta-kereta sport sejak era 60’an sehingga 90’an. Dengan rekaan sedemikan, bahagian muncung hadapan kereta tersebut dapat direka lebih tirus, yang bukan sahaja memberikan rupa yang lebih sporty, malah ia memberikan kesan aerodinamik lebih baik.

    Namun rekaan ini mula pupus pada pertengahan era 90’an. Ini kerana ketika itu kenderaan-kenderaan yang dijual dalam pasaran sudah mula serius dinilai dalam ujian keselamatan, dan antara faktor yang turut diambil berat adalah keselamatan pejalan kaki – lampu jenis pop-up ini didakwa boleh menyebabkan kecederaan lebih serius sekiranya kemalangan melibatkan pejalan kaki.

    Walau bagaimanapun pada acara Japan Mobility Show 2023 yang berlangsung hujung bulan lalu, Mazda mendedahkan kereta konsep sport terbaharunya yang digelar Iconic SP, yang menampilkan semula rekaan lampu hadapan jenis pop-up!

    Nak buat lampu hadapan ‘pop-up’ yang lulus ujian keselamatan kemalangan tidak susah – Mazda

    Mazda antara pengeluar yang terkenal dengan rekaan ini, mula digunakan pada kereta sport Mazda RX-7 Savanna generasi pertama (SA22C) paa tahun 1978, dan kemudian terus digunakan pada RX-7 FC3S 1985 dan RX-7 FD3S 1992. Malah rekaan ini turut pernah diguna pada Mazda Astina dan juga satu lagi kereta sport ikoniknya iaitu model generasi pertama roadster Mazda MX-5 (NA).

    Jadi masih adakah peluang untuk kita melihat rekaan lampu hadapan pop-up ini untuk model-model sport Mazda pada masa hadapan setelah ia dikembalikan pada model konsep Iconic SP ini? Menurut pengurus besar Mazda Motor Corporation Masashi Nakayama dalam laporan AutonetMagz, peluang untuk menggunakan lampu jenis pop-up ini sebenarnya terbuka luas untuk model-model Mazda untuk masa akan datang.

    Menurutnya faktor undang-undang keselamatan kemalangan tersebut sebenarnya tidak menjadi masalah besar kerana ia boleh diatasi dengan pelbagai teknologi moden yang ada buat masa sekarang. Beliau menegaskan apa yang penting sekarang sama ada pengguna masih mahukan rekaan lampu hadapan sedemikian atau tidak untuk ia kembali diperkenalkan pada model-model produksi.

    Mazda masih belum mengesahkan sama ada Iconic SP Concept ini akan dihasilkan dalam versi produksi atau tidak. Selain dari menampilkan pelbagai rekaan yang diinspirasikan dari model-model RX-7 sebelum ini, Iconic SP juga turut menampilkan enjin wankel rotary dua rotor yang digandingkan dengan sistem EV.

    Walau bagaimanapun enjin berkenaan mungkin hanya akan bertugas sebagai enjin penambah jarak bagi mengecas bateri, manakala roda akan dipacu oleh motor elektrik seperti pada SUV Mazda MX-30 R-EV. Kereta sport konsep ini disahkan mempunyai kuasa keseluruhan 370 PS.

    GALERI: Mazda Iconic SP Concept 2023

     
     
  • Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kini laksana petak parkir dua-jam – Gombak, Batu Caves, Rawang

    Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kini laksana petak parkir dua-jam – Gombak, Batu Caves, Rawang

    Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah mengumumkan pelaksanaan sistem petak parkir dua-jam di lokasi di bawah pentadbirannya. Ia dilaksanakan sejak 16 Oktober lalu.

    Petak parkir dua-jam itu ditandakan dengan warna jingga dan ditetapkan pada kadar bayaran sebanyak 50 sen untuk setiap 30 minit dan waktu maksimum adalah dua jam. Pembayaran boleh dibuat menerusi enam aplikasi iaitu Smart Selangor Parking, Flexi Parking, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel.

    Kawasan pentadbiran MPS yang mempunyai petak parkir dua-jam ini ialah Bandar Baru Selayang, Selayang 18, Desa Jaya, Sri Gombak, Prima Sri Gombak, Taman Samudra, Taman Sri Batu Caves, Bandar Baru Rawang dan Taman Jati Rawang. Kesemuanya melibatkan lokasi komersil yang sibuk dan sukar untuk mencari ruang parkir.

    Pelaksanaan petak parkir dua-jam oleh MPS ini adalah yang lebih kurang dilaksanakan oleh beberapa majlis tempatan lain termasuk di Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya. Cetusan idea ini adalah untuk mengelakkan orang ramai memonopoli petak parkir di kawasan yang sibuk.

     
     
  • Laluan Smartlane diaktifkan antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 9-13 Nov sempena Deepavali

    Laluan Smartlane diaktifkan antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 9-13 Nov sempena Deepavali

    Sempena dengan cuti perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 12 November (Ahad ini), PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan Smartlane di laluan antara Persimpangan Senai Utara ke Persimpangan Kulai (Arah Utara) KM19.0 hingga KM27.0.

    Pengaktifan Smartlane ini telah pun bermula hari ini (9 November) hingga 13 November 2023, melibatkan jarak sepanjang 8 km dan waktu operasinya adalah dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

    Mmenurut PLUS, pengaktifan ‘Smartlane’ juga akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan trafik semasa dengan kerjasama dan pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta petugas Lebuhraya PLUS di lokasi. Ia bagi menambah kapasiti lorong sedia ada dan menyuraikan trafik ketika musim percutian.

    Laluan Smartlane diaktifkan antara Persimpangan Senai Utara ke Kulai pada 9-13 Nov sempena Deepavali

    Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka. Walau bagaimanapun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan SmartLane diaktifkan

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan agar pemandu kenderaan dan penunggang motosikal saling menghormati pengguna lebuh raya yang lain, mengamal kelajuan yang sesuai dan sentiasa berhati-hati.

     
     
  • Proton X50 facelift dilihat sedang diuji – masih versi pemanduan sebelah kiri, perubahan luar dan dalam

    Proton X50 facelift dilihat sedang diuji – masih versi pemanduan sebelah kiri, perubahan luar dan dalam

    Baru-baru ini Proton telah dilihat sudah mula menguji versi facelift untuk SUV paling larisnya iaitu X50. Dan ini – kami baru sahaja menerima imej lebih jelas unit prototaip berkenaan, dikirim oleh pembaca paultan.org, Noor Syazwan Sajali.

    Nampaknya unit prototaip ujian ini masih dalam bentuk peringkat paling awal iaitu dalam versi pemanduan sebelah kiri yang dibawa dari China. Dan asas model facelift ini jelas diambil dari Geely Binyue facelift (juga dikenali sebagai Binyue Cool) yang sudah pun diperkenalkan di sana pada tahun lalu.

    Binyue Cool di China menerima rekaan yang lebih agresif serta perubahan agak besar pada bahagian hadapan dan belakang. Untuk muka, ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

    Unit prototaip awalan ini nampaknya masih mengenakan gril asal Binyue Cool bersama logo Geely yang disorok di sebalik pelekat penyamaran. Kemungkinan besar (seperti biasa) bahagian ini akan diberikan sentuhan Proton dengan signatur rekaan studionya di Shah Alam.

    Manakala di belakang, lampu SUV kompak ini menampilkan rekaan yang lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

    Bampar juga direka semula dengan lebih garang, menampilkan reflektor yang kini diposisikan menegak dan lebih tinggi pada perumah berbentuk seperti liang ambilan udara. Empat tip ekzos pada bampar masih lagi dikekalkan, dengan diffuser yang direka semula untuk disesuaikan dengan imej baharu ini.

    Geely Binyue Cool 2022

    Apa yang menarik, set foto kali ini turut memperlihatkan sedikit bahagian dalaman unit ujian X50 facelift berkenaan. Dapat dilihat jelas ia menerima perubahan besar pada papan pemuka di mana skrin instrumen digitalnya memberikan gaya paparan yang sama seperti pada Proton X90 serta ia bersambung dengan skrin infotainmen di tengah.

    Liang penghembus udara pada bahagian tengah juga nampak berbeza dari model sedia ada, manakala suis-suis kawalan gaya kekunci piano di bawahnya juga menerima rombakan rekaan yang besar.

    Geely Binyue Cool 2022 di China kini sudahpun menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 181 hp. Namun untuk Proton X50 facelift 2024 kelak boleh dijangka ia akan masih dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo berkuasa 177 PS/255 Nm.

    Ini kerana Proton baru sahaja melabur sejumlah RM1.8 bilion untuk kilang enjinnya di Tanjung Malim, Perak bagi memproduksi enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder tersebut bermula tahun lalu, dan menyatakan bahawa ia akan menjadi enjin utama bagi model-model baharunya selepas ini.

     
     
  • Mulakan perjalanan EV anda sebagai pengedar sah BYD — rakan niaga diperlukan di tujuh lokasi baharu

    Mulakan perjalanan EV anda sebagai pengedar sah BYD — rakan niaga diperlukan di tujuh lokasi baharu

    Perkembangan penggunaan EV ketika ini semakin pesat walaupun kita masih berada dalam fasa awal penerapan pasaran yang lebih meluas bagi teknologi kenderaan tersebut.

    Jika anda ingin ikut serta dalam gelombang peringkat awal ini, ada peluang yang sedang menanti daripada jenama terbaik yang sedang aktif dalam dunia berkenaan — Sime Darby Motors dan BYD sedang mencari rakan niaga baharu. Gergasi EV ini berserta rakan niaga tempatannya, Sime Darby Motors sedang mencari pengedar BYD untuk tujuh lokasi baharu — di utara Kuala Lumpur, Perlis, Kelantan, Terengganu, Klang (Selangor), Skudai (Johor) serta di sebuah pusat beli-belah atau pusat gaya hidup yang menjadi tumpuan ramai.

    Sime Darby Motors sedang mencari rakan niaga yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan automotif, dan mereka akan bertanggungjawab untuk membuka pusat selepas jualan bagi BYD. Semua lokasi terbaharu ini akan menyumbang kepada pengukuhan dan pertumbuhan rangkaian pengedarnya di seluruh negara, dengan keyakinan BYD bahawa sokongan kuat adalah sangat penting bagi pemilikan kenderaan baharu EV.

    Pakar EV berkenaan juga percaya yang teknologi dan kualiti produk akan menjadi penentu penerimaan pasaran, tetapi pengalaman pelanggan juga merupakan satu komponen penting dalam perjalanan pemilikan kenderaan, bahkan untuk era EV seperti sekarang ini. BYD ketika ini menawarkan model crossover elektrik popular BYD ATTO 3 dan juga BYD DOLPHIN yang lebih mampu milik untuk pasaran tempatan, dengan banyak lagi model menarik dijangka diperkenalkan kelak.

    Jadi, jika anda sedang mencari peluang untuk memperluas perniagaan bersama dengan jenama NEV paling pesat berkembang, inilah peluangnya untuk anda menyertai rangkaian BYD di Malaysia. Imbas kod QR di atas atau klik di sini untuk ke borang pendaftaran. Bagi pertanyaan lanjut, email kepada [email protected]. Permohonan terbuka bermula sekarang hingga 31 Disember 2023. Ayuh!

     
     
  • Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km

    Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km

    Sehingga kini sudah pelbagai model EV masuk ke Malaysia, dari kereta sport, SUV hingga ke hatchback kompak. Dan hari ini buat pertama kali pasaran tempatan diperkenalkan dengan MPV EV – ini dia Maxus MIFA 9 dilancarkan di Malaysia secara rasmi.

    Weststar Maxus menawarkan dua varian MIFA 9 ini di Malaysia bermula dengan varian asas Luxury yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM269,888, manakala varian tertinggi Premium berharga RM289,888. Weststar turut mengumumkan bagi 100 pelanggan pertama yang membeli MPV EV ini akan menerima pengecas AC 22 kWj secara percuma.

    Setiap pembelian MPV ini akan diberikan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 100,000 km. Manakala untuk bateri, ia diberikan perlindungan waranti lebih lama iaitu selama lapan-tahun atau 200,000 km.

    Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km

    Maxus MIFA 9 ini menampilkan dimensi panjang 5,270 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,840 mm dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Dengan saiz ini membolehkan MIFA bertanding terus dengan Toyota Alphard dan Vellfire, malah jarak rodanya juga adalah 200 mm lebih jauh dari kedua-dua MPV mewah Jepun itu.

    Kedua-dua varian menerima unit rangkaian kuasa dan bateri yang sama. Ia digerakkan motor berkuasa 180 kW (245 PS) dan tork maksima 350 Nm bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 180 km/j.

    Kuasa dibekalkan dari bateri berkapasiti 90 kWj, namun jarak gerak bagi kedua-dua varian adalah berbeza – Luxury boleh dipandu sejauh 435 km (kitaran gabungan WLTP), manakala Premium pula boleh bergerak sejauh 430 km dengan satu cas penuh.

    Ia boleh menerima sistem pengecas DC dengan kadar maksimum 120 kW, membolehkan cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Dengan pengecas AC 11 kW pula, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 5% ke 100% dalam masa 8.5 jam.

    Walaupun ia tidak dijana oleh enjin konvensional, MIFA 9 ini direka dengan muncung hadapan yang agak panjang. Kedua-dua varian ini menerima perincian luaran seperti lampu hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang dan lampu belakang semua dengan teknologi LED, cermin sisi dengan pemanas dan memori serta set rim berdiameter 19-inci (berlainan rekaan bergantung varian) dengan tayar 235/55R19. Namun varian Premium diberikan tayar jenis run-flat.

    Secara keseluruhan, MIFA 9 ini menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk untuk kedua-dua varian, dan menampilkan kabin berwarna hitam, bumbung suria di hadapan dan belakang, serta roda stereng yang dibalut dengan kulit gentian mikro. Bagi varian Luxury, MIFA 9 ini diberikan upholsteri kulit polyurethane dan PVC serta tempat duduk hadapan larasan kuasa (8 hala pemandu, 4 hala penumpang).

    Manakala untuk varian Premium, ia diberikan perincian seperti pemanas pada roda stereng, upholsteri kulit sebenar dan kulit PVC, fungsi liang udara, pemanas dan pengurut untuk tempat duduk hadapan dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Pada baris kedua, kedua-dua varian diberikan tempat duduk pilot larasan berkuasa dengan fungsi pemanas, liang penyejuk dan pengurut, serta perehat kaki dan perehat tangan larasan kuasa enam-hala. Khas untuk varian Premium, tempat duduk baris kedua ini hadir dengan rekaan lebih mewah.

    Kedua-dua varian menerima paparan instrumen digital penuh dengan skrin tujuh-inci, manakala di tengah papan pemuka diberikan skrin utama 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem pengecas tanpa wayar dibekalkan untuk penumpang hadapan, manakala di kabin belakang setiap baris tempat duduk diberikan port pengecas USB. Port kuasa 220 Volt turut di tempatkan di baris ketiga bagi membolehkan peralatan elektrik lebih berkuasa digunakan.

    Maxus MIFA 9 dilancar di Malaysia – RM270k-RM290k, MPV EV premium 7-tempat duduk, jarak gerak 435km

    Kabin bagi varian Luxury dan Premium turut diberikan lampu suasana 64-warna, serta lampu pada bendul pintu hadapan dan belakang. Bagi membezakan varian, model Luxury diberikan lapan-pembesar suara manakala Premium pula diberikan 12-pembesar suara untuk sistem audio.

    Perincian lain seperti kedua-dua pintu gelangsar belakang berkuasa elektrik, pintu tailgate bantuan kuasa, pemegang pintu bersaiz penuh pada tiang-B, cermin keselamatan berwarna kelabu, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem penghawa dingin automatik untuk kabin hadapan dan belakang bersama pembersih adalah standard untuk kedua-dua varian.

    Untuk keselamatan pula MPV ini menerima enam-beg udara, tiga cagak tempat duduk Isofix, kamera panaromik 360 darjah, pemantau titik buta 360 darjah, cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kekal lorong. Varian Luxury menerima cermin pandang belakang anti-silau, manakala varian Premium diberikan cermin pandang belakang jenis digital.

    Enam warna badan ditawarkan untuk Maxus MIFA 9 pasaran Malaysia ini iaitu Mica Blue, Concrete Grey, Snow Cyan, Pearl Luster White, Dynasty Red dan Hitam.

    GALERI: Maxus MIFA 9 Luxury 2023

    GALERI: Maxus MIFA 9 Premium 2023

    GALERI: Gambar rasmi Maxus MIFA 9 2023

     
     
  • Harga minyak 9-15 Nov – Tiada perubahan

    Harga minyak 9-15 Nov – Tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 November 2023, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada 20 September lalu.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 4 November lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata mekanisme bagi pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol dan diesel akan dikemukakan untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada bulan ini atau selewat-lewatnya Disember, dan dijangka dilaksanakan selepas Mac 2024.

     
     
  • Belgee X50 – SUV kerjasama Geely dan Belarus, Coolray guna nama Proton untuk dijual di Rusia

    Belgee X50 – SUV kerjasama Geely dan Belarus, Coolray guna nama Proton untuk dijual di Rusia

    Ini bukan Geely Binyue, Geely Coolray mahupun Proton X50, tapi ia adalah SUV segmen-B yang dijual untuk pasaran Rusia dikenali sebagai Belgee X50. Menurut laporan portal automotif Rusia Kolesa.ru, Belgee merupakan syarikat usahasama antara Geely dan juga kerajaan negara Belarus.

    Belgee X50 ini merupakan model yang diasaskan dari Geely Coolray (atau Binyue di China) yang sebelum ini sudah pun dipasarkan di Rusia, manakala nama dan emblem ‘X50’ yang digunakan pula adalah sama seperti Proton X50 di Malaysia. Berbanding Coolray yang diimport dari China sebelum ini, Belgee X50 dipasang dikilang yang terletak di Barysaw, Belarus.

    Namun ini bukan bermaksud Geely akan keluar dari pasaran Rusia – Kolesa turut menyatakan bahawa Geely akan terus berada di Rusia, namun model Coolray sedia ada akan digantikan dengan Geely Binyue facelift yang sudahpun diperkenalkan di China tahun lalu.

    Belgee X50 – SUV kerjasama Geely dan Belarus, Coolray guna nama Proton untuk dijual di Rusia

    Rupa, spesifikasi dan varian untuk Belgee X50 ini adalah sama seperti Geely Coolray sebelum ini. Cuma logo Geely pada gril hadapan dan roda stereng ditukar kepada logo ‘BG’ Belgee, manakala lencana Coolray di pintu tailgate belakang diganti dengan lencana X50 yang kelihatan sama dengan Proton X50.

    Tiga varian ditawarkan untuk Belgee X50 ini iaitu Standard, Comfort dan Flagship, dijual pada harga bermula 2,235,990 Ruble (RM113k) sehingga 2,445,990 Ruble (RM124k). Ketiga-tiga varian ini datang dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Model paling asas diberikan perincian seperti lampu hadapan halogen, upholsteri fabrik, roda stereng balutan kulit, dan rim aloi berdiameter 17-inci. Manakala varian paling tinggi pula dilengkapi dengan perincian seperti lampu hadapan LED, angku brek berwarna merah, rim aloi 18-inci, upholsteri balutan kulit, tempat duduk sport, pelapik bumbung hitam, dan pelbagai lagi.

     
     
  • Tiada acara KL Car Free Morning pada 12 Nov ini

    Tiada acara KL Car Free Morning pada 12 Nov ini

    Penganjur KL Car Free Morning (KLCFM) mengumumkan tiada KLCFM pada Ahad ini, 12 November 2023. Pembatalan acara berkenaan disebabkan sambutan perayaan Deepavali yang jatuh pada tarikh yang sama.

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Jalan Harapan di Seksyen 17, PJ ke Lebuhraya Sprint ditutup hari ini hingga 11 November 2023 – MBPJ

    Jalan Harapan di Seksyen 17, PJ ke Lebuhraya Sprint ditutup hari ini hingga 11 November 2023 – MBPJ

    Makluman buat penduduk Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengumumkan laluan susur dari Jalan Harapan di Seksyen 17 ke Lebuhraya Sprint (selepas sekolah dan sebelum Damansara Intan) akan dilaksanakan separa penutupan mulai hari ini (8 November) hingga 11 November 2023. Penutupan tersebut bermula dari jam 8 pagi hingga kerja yang dilaksana selesai.

    Penutupan jalan terbabit adalah sebahagian daripada projek pelebaran jalan di sekitar Jalan Harapan. Sila semak peta di atas untuk gambaran yang lebih jelas.

    Walau pun Jalan Harapan boleh dikatakan sebagai ‘laluan pintas’ yang popular di kalangan penduduk yang ingin keluar dari PJ, tetapi MBPJ menasihati pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif buat sementara waktu ini.

     
     
  • Melangkah ke era elektrifikasi dengan tawaran model Volvo Recharge Pure Electric dan PHEV, hingga 31 Dis

    Melangkah ke era elektrifikasi dengan tawaran model Volvo Recharge Pure Electric dan PHEV, hingga 31 Dis

    Hujung tahun ini adalah masa terbaik untuk menyertai gelombang kenderaan elektrifikasi, dengan pelbagai tawaran akhir tahun yang menarik daripada Volvo Car Malaysia untuk membolehkan anda memiliki kereta baru jenama tersebut.

    Barisan kenderaan plug-in hybrid Volvo telah dikemaskini tahun ini, terutamanya melalui kehadiran model tahun 2024 bagi Volvo XC90, XC60, S90, S60 dan V60 yang membawakan kemaskini dan naik taraf pengecas dalaman (OBC) yang lebih berkuasa, menyediakan kemampuan sehingga 6.4 kWh melalui pengecasan dua atau tiga-fasa, atau 3.6 kW dengan pengecasan fasa tunggal.

    Semua model yang dikemaskini itu menjadikan peluang pemilikan yang lebih menarik untuk pelanggan. Pengeluar dari Sweden ini ingin menjadi sebuah syarikat pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030, dan untuk itu, ia kini telah mempunyai kenderaan bateri-elektrik (BEV) seperti Volvo XC40 Recharge Pure Electric, serta Volvo C40 Recharge Pure Electric.

    Turut disertakan sebagai sebahagian daripada promosi akhir tahun Volvo Car Malaysia ialah model Volvo XC40 Recharge Pure Electric 2023 yang ditawarkan dengan rebat tunai segera sebanyak RM25,000. Selain itu, model Volvo C40 Recharge Pure Electric juga diberikan rebat tunai segera sebanyak RM16,000, menjadikan dua model BEV ini sangat berbaloi untuk dimiliki.

    Volvo XC40 Recharge Pure Electric dilengkapi dengan bateri 78 kWh yang memberikan jarak 438 km dengan satu cas penuh, dan boleh dicas semula dari 0-80% dalam masa singkat melalui pengecasan pantas DC sehingga 150 kW. Untuk mengecas di rumah, ia boleh menggunakan pengecas AC dengan kapasiti 11 kW, membolehkan pengecasan penuh dalam 7.5 jam. Untuk lebih kerahan tenaga, sistem dual-motor dengan 408 PS/660 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    Volvo C40 Recharge Pure Electric juga dilengkapi bateri 78 kWh, dan dengan bentuk yang lebih kecil, ia memberikan jarak 450 km. Tempoh mengecas melalui pengecasan AC dan DC adalah sama seperti yang diberikan model Volvo XC40 Recharge Pure Electric. Namun, pecutan 0-100 km/j model ini sedikit lebih pantas dengan 4.7 saat.

    Di dalam, kedua-dua Volvo XC40 dan C40 Recharge Pure Electric lengkap dengan sistem infotainmen yang dikuasakan oleh Android Automotive dengan servis Google dan ciri keselamatan aktif City Safety dan juga sistem bantuan pemandu.

    Bagi mereka yang memerlukan peralihan berperingkat ke arah kenderaan elektrik, tawaran juga ada untuk semua model Volvo Recharge dan Volvo Mild Hybrid. Model berkaitan telah dinaiktaraf dan datang dengan bumbung panoramik sebagai ciri standard, serta warna badan terkini, Vapour Grey.

    Di dalam, semua model PHEV ini akan diberikan akses lima-tahun kepada servis digital seperti Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi jarak jauh aplikasi Volvo Cars. Turut tersedia ialah aplikasi Youtube yang menjadi sebahagian daripada ciri binaan dalaman Google.

    Semua ini menyertai spesifikasi janaan kuasa PHEV lebih besar, dengan bateri lithium-ion 18.8 kWh yang memberikan jarak EV 90 km, sementara motor elektrik dengan janaan 145 PS menyumbang kepada janaan gabungan sebanyak 462 PS dan 709 Nm tork.

    Untuk model ini, Volvo Car Malaysia turut menawarkan pakej Volvo Service Agreement 5+ (VSA5+) percuma yang bernilai RM12,000, juga Polestar Optimisation Software percuma bernilai RM3,888 dan rebat tunai segera sebanyak RM7,000.

    Inilah peluang terbaik anda untuk menamatkan tahun ini dengan tawaran menarik yang diberikan oleh Volvo Car Malaysia bagi kenderaan plug-in hybrid yang ada, serta model Recharge Pure Electric 2023. Ketahui lebih lanjut dan tempah sesi pandu uji di pengedar Volvo terdekat anda, di sini.