Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Uber, Grab diluluskan atas kehendak rakyat – Menteri

    uber-x-car_BM

    Keputusan Kabinet untuk meluluskan operasi perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab adalah kerana kepentingan rakyat, lapor The Sun Daily.

    Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberitahu akhbar berkenaan, keputusan Kabinet berkenaan adalah dipengaruhi kehendak rakyat.

    “Kami tiada masalah untuk mengawal selia Uber dan Grab kerana ini adalah apa yang rakyat mahukan,” kata beliau. “Kami bersikap objektif dan kami berpandukan kepentingan rakyat.”

    “Pengguna adalah aspek yang jauh lebih penting dari pemandu teksi. Apa yang rakyat mahukan dan suka gunakan adalah faktor utama kami membuat keputusan untuk mengawal selia Uber dan Grab,” tambah beliau.

    Beliau juga memberikan mesej mengejutkan, “Uber tidak akan diharamkan (di Malaysia).”

    Menurut Nazri lagi, Grab dan Uber adalah organisasi nasional, merujuk kepada pelaburan tidak langsung Khazanah Nasional Berhad dalam permulaan teknologi dan DNA tempatan Grab.

    “Sebagai Menteri Pelancongan, saya pastinya menyokong inisiatif teknologi untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien. Mereka (Uber dan Grab) adalah lebih kompetitif dan kadang-kala menawarkan tambang yang lebih murah dari teksi konvensional yang mana ia baik untuk rakyat dan pelancong.”

    Beliau turut mengingatkan pemandu agar melihat kelulusan operasi Uber dan Grab ini sebagai peringatan supaya mereka memperbaiki perkhidmatan mereka.

    “Kami tidak melupakan mereka. Ada berberapa insentif yang kami (Kabinet) telah luluskan minggu ini yang mana ia akan dilaksanakan oleh SPAD dalam Program Transformasi Industri Teksi tidak lama lagi,” kata Nazri dan menambah kerajaan tidak akan tunduk pada ugutan mereka untuk tidak memberikan mengundi kepada parti memerintah.

    “Mereka melakukan kesalahan besar jika pemandu-pemandu teksi ini terus mengugut kami,” tegas beliau.

     
     
  • Proton tayang teaser kedua bagi Persona 2016 menerusi FB – bakal dilancarkan sebelum Merdeka ini

    Persona_teaser

    Menjelang pelancarannya yang dijadualkan berlangsung sebelum Merdeka ini, Proton telah menayangkan teaser kedua bagi Proton Persona 2016 menerusi laman Facebook Proton Cars. Dengan foto sebahagian hadapannya, turut tertera perkataan ‘Coming Soon’ atau ‘Akan Datang’, menambahkan lagi debaran menjelang pelancarannya.

    Bahagian hadapannya ternyata memang mempersona dengan kehadiran lampu utama reflektor yang sedikit nipis bersama grafik yang agak sarat. Malah ia turut menampilkan bar krom yang kelihatan ‘terapung’ serta rekaan bampar bawah yang dipertingkatkan. Begitu juga dengan gril radiatornya yang diapit sepasang lampu kabus.

    Awal minggu ini juga, Proton telah menyebarkan teaser pertama Persona menerusi video Safety 360, yang menunjukkan model ini dalam beberapa siri ujian di litar ujian, termasuk bagi ABS dan sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC).

    Persona ini dijangka dipadankan dengan enjin yang sama dengan Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT, bersama transmisi manual lima-kelajuan atau CVT.

    Ia merupakan antara tiga model Proton yang bakal dilancarkan, termasuk Saga yang dijangka pada bulan hadapan, diikuti dengan MPV yang dibangunkan berdasarkan Suzuki Ertiga pada Oktober ini.

     
     
  • GIIAS 2016: Daihatsu Sigra, kembar Toyota Calya turut dilancarkan – enjin 1.0L dan 1.2L, harga dari RM33k

    Daihatsu_Sigra_Deluxe-2

    Semasa berlangsungnya GIIAS 2016, kembar kepada Toyota Calya iaitu Daihatsu Sigra turut diperkenalkan. Seperti Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia atau Toyota Passo dan Daihatsu Boon, kedua-dua model ini diasaskan dari platform yang sama tetapi dibezakan dengan rekaan pada muka yang tersendiri dan lencana jenama yang berbeza. Ia juga diletakkan dibawah sedikit dari Toyota dengan menampilkan pilihan enjin 1.0 liter.

    Sigra varian 1.0 liter menggunakan enjin 1KR-VE, enjin yang sama pada versi sedan platform yang sama iaitu Perodua Bezza. Enjin tiga-silinder DOHC berkenaan merupakan versi tingkat taraf enjin 1KR-DE pada Perodua Axia.

    Selain dari penambahan sistem VVT-i tunggal, enjin 1KR-VE ini turut menerima nisbah mampatan yang lebih tinggi (11.0:1 kepada 11.5:1), liang kemasukan udara yang lebih tinggi, liang kemasukan lebih panjang serta pemancit bahan api yang memberikan semburan lebih halus. Akhir sekali penggerak injap (valve lifter) menerima kemasan akhir sehingga 90% lebih halus. Seperti juga enjin Bezza, enjin Sigra ini bernafas lebih lega dengan menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm.

    Enjin 1.0 liter ini hanya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual untuk varian D dan M. Varian X dan R yang lebih tinggi dikuasakan dengan enjin 1.2 liter Dual VVT-i sama seperti Calya. Enjin 3NR-VE empat silinder DOHC ini merupakan versi lebih kecil enjin 1NR-VE yang dipadankan pada Bezza 1.3 liter – khas untuk memenuhi syarat 1.2 liter undang-undang Low Cost Green Car Indonesia – berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 108 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin 1.2 liter ini boleh dipilih sama ada mahu dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat kelajuan automatik.

    Bahagian lain, Sigra adalah sama dengan Calya termasuk suspensi topang McPherson dan cakera brek berliang pada bahagian hadapan, gandar torsion beam dengan brek dram di belakang, stereng berkuasa elektrik dan juga roda bersaiz 14-inci dibaluti tayar 175/65R14. Varian M dan X dilengkapi roda besi, manakala untuk varian tertinggi R diberikan roda aloi. Walau bagaimanapun, varian terendah D hanya dipadankan dengan roda besi bersaiz 13-inci dengan tayar 155/80R13. Toyota Calya dilengkapi roda aloi kemasan dua ton 14-inci untuk semua varian.

    Bahagian dalaman Sigra dan Calya juga serupa, dibezakan dengan tema warna hitam dan perak untuk Sigra dan hitam dan perang pada Calya. Sigra boleh dipilih dalam enam warna badan berbeza, dengan warna Nebula Blue Metallic sebagai warna utamanya. Warna biru berkenaan tiada dalam senarai pilihan warna untuk Calya, tetapi ia diberikan warna Orange Metallic sebagai warna eksklusif. Daihatsu Sigra dijual pada harga bermula 106.6 juta rupiah (RM32,550) hingga 147.35 juta rupiah (RM44,993).

     
     
  • MINI MALAYSIA umum kempen ‘Ignite the MINI in You’ – siri jelajah, pandu uji di seluruh negara

    MINI-Malaysia-to-Ignite-the-MINI-in-You-e1470908694736

    MINI MALAYSIA akan menganjurkan satu siri jelajah ke seluruh negara mulai 12 Ogos hingga 2 Oktober ini. Ia menawarkan pelbagai aktiviti termasuk tawaran hebat dengan rebat tinggi dan kadar faedah pinjaman yang rendah. Malahan para pengunjung juga boleh memandu uji model-model baharu MINI sepanjang siri jelajah tersebut.

    Siri jelajah MINI itu juga menawarkan pakej pemilikan mudah. Ia merangkumi Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama empat tahun, selain Program Servis Berjadual Percuma dan Program Perlindungan Insurans Terbaik.

    MINI-Malaysia-to-Ignite-the-MINI-in-You-map

    Klik untuk besarkan

    Bukan itu sahaja, pengalaman pemilikan MINI anda akan ditingkatkan lagi menerusi Keahlian MINI Black Card. Ia menawarkan gaya hidup mengujakan, menikmati hidangan di luar, di samping manfaat dan pengalaman premium bersama rakan-rakan MINI Malaysia di seluruh negara.

    Siri Jelajah ‘Ignite the MINI in You’ ini akan dilancarkan pada 22 Ogos ini di Desa Park City sehingga 14 Ogos. Kemudian, siri jelajah ini akan singgah ke Paradigm Mall pada 19-21 Ogos sebelum meneruskan penjelajahannya ke lokasi lain. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Ignite the MINI in You, sila daftarkan diri anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih eksklusif.

     
     
  • GIIAS 2016: Honda CBR250RR, jentera 250 cc yang ditunggu-tunggu, tinjauan pertama dari Indonesia

    2016 Honda CBR250RR -1

    Ini merupakan tinjauan secara langsung pertama terhadap jentera dua roda Honda CBR250RR 2016 dari pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang mula dibuka kepada media hari ini. Seperti yang sudah sedia maklum, ini merupakan model gantian kepada CBR250R silinder tunggal yang sangat ditunggu-tunggu.

    Diperkenalkan buat pertama kali bagi peringkat global di Indonesia Julai lalu, Honda CBR250RR 2016 merupakan jentera sport yang hadir dengan imej dan prestasi yang menawan. Banyak pembaharuan yang tambah menyerlahkan penampilannya, sebagai contoh rekaan keseluruhan, termasuk bahagian fairing yang lebih tajam serta lampu hadapan LED dengan reka bentuk yang kelihatan garang.

    Dengan enjin selari berkembar 249.7 cc sejukan cecair dengan lapan injap, ia seperti menjanjikan prestasi tunggangan yang mengkagumkan. Ia dilengkapi juga dengan teknologi ride-by-wire, serta sistem suntikan minyak PGM-FI dan juga tiga pilihan mod tunggangan. Saluran kuasa ini dilengkapkan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Didatangkan dalam varian dengan ABS dan tanpa ABS, sistem suspensi CBR250RR ini menggunakan fork jenis terbalik di bahagian hadapan daripada Showa. Di belakang, penyerap hentak tunggal dengan lima pilihan kadar tampungan boleh laras melengkapi sistem suspensi keseluruhannya. Brek depan menggunakan kaliper dua piston sementara brek belakang hanya disertakan kaliper brek piston tunggal.

    Antara maklumat lain yang menarik tentang jentera terbaharu Honda ini ialah jarak antra rodanya ialah 1,389 mm, yang dijangka akan memberikan tunggangan yang jitu jika dipadankan dengan maklumat prestasinya awal tadi. Ketinggian tempat duduknya pula ialah 790 mm, memudahkan penyesuai tunggangan tidak kira saiz penunggang yang bagaimana.

    Penggayaan tempat duduknya juga menerapkan sentuhan perlumbaan, dengan mengambil kira faktor aerodinamiknya. Ia lebih tirus di depan untuk memudahkan penunggang beralih kedudukan sedikit ketika ingin mengambil selekoh. Lampu LED di bahagian depan dan belakang juga memberi perubahan positif. Lampu nyalaan siangnya (DRL) turut berfungsi bersekali sebagai lampu isyarat.

    Dengan rupa bentuk badan yang diberi sentuhan baharu sepenuhnya, CBR250RR turut diberi penampilan yang lebih minimal dengan penggunaan warna hitam matte, dengan pelekat grafik yang sangat minimum. Hanya ada grafik RR pada fairing, dan logo CBR kecil di belakang.

    Pengedarnya di Indonesia, PT Astra Honda membawa masuk dua versi akan ditawarkan; model tanpa ABS pada harga 63-68 juta Rupiah (RM19.5K – 21K) dan model dengan ABS pada harga sekitar 69-74 juta Rupiah (anggaran RM21,500 hingga RM22,000). Model sama turut akan diperkenalkan untuk pasaran Jepun dalam tahun ini.

    Adakah Honda CBR250RR 2016 ini akan turut menjengah pasaran Malaysia? Jika ya, ia akan memberi tentangan sengit kepada model-model sedia ada di dalam pasaran tempatan seperti Yamaha YZF-R25 (RM20,630), KTM RC250 (RM21,081), dan Kawasaki Ninja 250 (sekitar RM22,000). Dan, jika ini benar-benar berlaku, pasaran tempatan bagi jentera 250 cc akan bertambah rancak dengan pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.

     
     
  • BMW 330e iPerformance akan didedahkan di BMW Innovation Days dari 26 hingga 28 Ogos ini – imej ‘teaser’ kini disiarkan dalam laman web rasmi

    Screen-Shot-2016-08-11-at-3.38.43-PM-850x323_BM

    Teaser untuk BMW 330e telah pun dikeluarkan oleh BMW Malaysia di laman web mereka, sebagai salah satu langkah promosi untuk acara BMW Innovation Days yang bakal berlangsung di Desa ParkCity bermula 26 hingga 28 Ogos ini. Sedan plug-in hybrid ini bakal didedahkan pada acara berkenaan, seminggu selepas BMW Malaysia mengesahkan model ini bakal masuk ke pasaran Malaysia.

    Harga untuk model ini masih lagi belum didedahkan, tetapi ia dijangka akan menawarkan harga yang sangat menarik dan pengedar telah membayangkan 330e akan dijual pada harga sekitar RM240k hingga RM260k. Ini akan meletakkan 330e berada di antara 320i Sport Line (RM231,800) dan 330i M Sport (RM297,800), menggantikan model-model 320d dan 320i M Sport (yang dijual pada harga RM269k dan RM259k) yang tidak lagi dijual sejak awal tahun ini.

    Imej teaser yang dipaparkan ini merupkan model yang dilengkapi denga pakej Sport Line, dan ia tidak mewakili model yang akan dijual untuk pasaran tempatan, dan ia disokong oleh laporan sebelum ini yang menyatakan 330e mungkin akan ditawarkan sama ada dalam varian Sport Line atau M Sport.

    BMW 330e ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter empat silinder, motor elektrik dan kotak gear lapan-kelajuan yang sama dengan yang ada pada BMW X5 xDrive40e dan 740e. Bagaimana pun, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 180 hp dan tork maksima 290 Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87 hp dan tork 250 Nm. Secara keseluruhan, model ini memberikan kuasa 248 hp dan tork 420 Nm; berbeza dengan model 330i petrol yang menawarkan kuasa 252 hp dan tork 350 Nm.

    Dengan padanan tersebut, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.3 saat dan kelajuan maksimum 252 km/j. Ini hampir dengan bacaan yang dihasilkan oleh model 330i; 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100 km, berbanding 6.1 liter per 100 km bagi model 330i. Ia juga boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 22.5 km, pada kelajuan sehingga 120 km/j.

    Anda juga boleh mendaftar di sini sekiranya berminat untuk menyertai acara BMW Innovation Days ini.

     
     
  • GIIAS 2016: Toyota Calya baharu – 1.2L Dual VVT-i, MPV 7-tempat duduk, harga bermula RM40k

    Toyota Calya GIIAS 3

    Toyota Calya baharu telah pun dilancarkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung ketika ini. Calya dibangunkan oleh PT Astra Daihatsu di kilang Karawang, yang mampu menghasilkan kapasiti sebanyak 200,000 unit. MPV ini menggunakan 94% komponen tempatan.

    MPV bajet yang menerima penarafan Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia ini ditawarkan dalam dua pilihan iaitu varian asas E dan varian tertinggi G A/T dengan harga bermula 129.65 juta rupiah (RM39,662) hingga 150 juta rupiah (RM45,887).

    Ia didatangkan dengan pilihan enjin petrol tunggal 3NR-VE 1.2 liter Dual VVT-i empat-silinder berkuasa 88 PS pada takat 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,200 rpm. Enjin 3NR-VE MPV yang dibina berasaskan platform Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya ini juga merupakan salah satu enjin dari siri NR. Ia turut dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan, yang dipacu roda-hadapan.

    Toyota_Calya-8

    Sama seperti Avanza yang mampu memuatkan kapasiti tujuh-tempat duduk, namun Cayla ternyata memiliki saiz yang lebih kecil iaitu 4,070 mm panjang (-120 mm), 1,655 mm lebar (+5 mm) dan 1,600 mm tinggi (-95 mm), dan jarak roda 2,525 mm (-130 mm).

    Manakala sistem suspensi dan brek pula sama seperti yang digunakan pada Perodua Axia/Bezza iaitu menampilkan suspensi topang Macpherson dan brek cakera pada bahagian hadapan, dan gandar torsion beam serta brek dram pada bahagian belakang. Kesemua varian juga didatangkan secara standard dengan roda aloi 14-inci dua-ton dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersaiz 175/65R14.

    Bagi rekaannya pula , untuk bahagian luaran, Calya agak mirip dengan Toyota Yaris facelift yang dijual di pasaran Eropah. Ia menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu.

    Selain itu, kedua-dua varian juga ditampilkan dengan lampu hadapan reflektor halogen, immobilser penderia undur dan penggera kawalan jauh, penghawa dingin manual (dengan corong pada tempat duduk barisan kedua), tingkap berkuasa untuk semua pintu, penunjuk ECO, paparan pelbagai info, tempat duduk barisan kedua boleh lipat nisbah 60:40 dengan satu sentuhan tuil dan tempat duduk barisan ketiga one-piece.

    Toyota_Calya-33

    Walau bagaimana pun, bagi membezakan model asas dan spesifikasi tertinggi, varian G dilengkapi dengan lampu kabus hadapan, cermin sisi berkuasa dilengkapi lampu isyarat membelok, kemasan perak pada pintu dan papan pemuka serta kemasan krom pada corong penghawa dingin dan tombol gear.

    Kedua-dua varian juga turut dilengkapi dengan pemain audio utama 2-DIN dengan fungsi CD, USB dan AUX. Walau bagaimanapun hanya varian G mempunyai hubungan Bluetooth dan empat-pembesar suara (varian E hanya dua-pembesar suara).

    Malah bagi aspek keselamatannya, Calya dilengkapi dengan dua beg udara dan cagak ISOFIX secara standard serta ABS bagi varian G sahaja. Ia turut ditawarkan dengan enam pilihan warna, termasuk merah dan jingga metalik.

     
     
  • Pengumpul supercar dakwa Lamborghini sebagai penipu kerana menjual sebuah lagi model edisi terhad Aventador SV selain miliknya di Afrika Selatan

    Minggu lalu, Ferrari berhadapan dengan saman yang dikemukan seorang pengumpul supercar yang tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan membeli LaFerrari Spider sekaligus merosakkan reputasinya. Kini, Lamborghini pula berhadapan dengan tuduhan seorang pengumpul supercar bahawa mereka “menjual penipuan”.

    Kereta yang terlibat dalam isu ini adalah Lamborghini Aventador LP 750-4 Superveloce, yang dibina hanya 600 unit untuk seluruh dunia. Model eksklusif ini dijual kepada pembeli dengan kos yang sangat tinggi, oleh itu, sebahagian pelanggan mahukan pembelian mereka itu turut hadir dengan pelbagai keistimewaan.

    Dalam kes ini, seorang pengumpul supercar yang dikenali ramai dijanjikan bahawa beliau adalah satu-satunya individu yang memiliki Aventador SV di negara Afrika oleh pengedar Lamborghini di Johannesburg. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berang apabila mengetahui ada sebuah lagi model edisi terhad yang sama dipandu sekitar Afrika Selatan.

    Untuk menunjukkan kemarahannya kerana didakwa “ditipu” oleh Lamborghini, beliau menampal pelekat pada keretanya dengan dengan ayat berbunyi “Lamborghini JHB Menjual Penipuan.” Tidak cukup dengan itu, sebuah laman web khas turut dibuat yang mengandungi mesej sama pada pelekat dikeretanya, bersama mesej yang berbunyi – “kebenaran akan muncul.”

     
     
  • VIDEO: Toyota Sienta 2016 di dalam dua iklan ringkas

    Dua video terbaharu sudah didedahkan di laman Facebook rasmi Toyota Malaysia berkenaan model terkini yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, Toyota Sienta. Akan dilancarkan secara rasmi pada minggu hadapan untuk pasaran Malaysia, dua bahagian video berkenaan mempertontonkan bahagian luaran Sienta, manakala yang kedua berkaitan bahagian kabin dalaman MPV kompak itu.

    Sebelum ini, harga untuk Sienta telah juga diumumkan oleh UMW Toyota, iaitu bermula dari RM92,900 untuk varian asas 1.5G dan RM99,900 untuk varian tertinggi 1.5V. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran, beserta perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Ia dilengkapi dengan lampu hadapan bi-LED dengan LED positioning light, rim aloi 16-inci serta lampu penunjuk (light guides) pada bahagian lampu belakang. Model 1.5G pula hanya dilengkapi dengan lampu hadapan halogen, roda aloi 15-inci dan lampu belakang LED kosong. Kedua-dua model didatangkan dengan lampu nyalaan siang sebagai ciri standard.

    Bahagian dalaman Sienta turut menampilkan rekaan funky seperti bahagian luarannya. Papan pemuka dua tahap dengan panel instrumen yang diletakkan pada kedudukan yang agak tinggi bagi memudahkan capaian. Bahagian konsol tengah untuk Sienta pasaran Malaysia juga agak berbeza dari model JDM, di mana ia menempatkan suis kawalan penghawa dingin yang unik, tuil penukar gear dan ruang storan tambahan.

    Untuk model yang dijual di Malaysia, ia turut akan dilengkapi corong penghawa dingin tambahan di bahagian belakang. Selain itu, fungsi tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat dan disorokkan pada tempat duduk barisan kedua boleh dikawal hanya dengan dengan hanya satu tuil untuk memudahkan pengguna.

    Varian 1.5V turut akan dilengkapi cermin hadapan acoustic, sistem kunci pintar berserta butang penghidup enjin, meter Optitron, paparan pelbagai informasi seperti Camry, penghawa dingin automatik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 6.8-inci berserta dengan kawalan suara serta kamera undur.

    Ia juga menerima kemasan upholstery fabrik berwarna perang, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, pintu kuasa gelungsur bahagian belakang untuk kedua-dua belah, filem penapis haba dan keselamatan premium serta kamera rakaman video digital seperti yang terdapat pada Hilux dan Fortuner baharu.

    Kepada mereka yang berminat untuk mendekati model ini lebih awal dari tarikh pelancaran rasminya, anda boleh mengunjungi siri jelajah Toyota Sienta ‘Fun On The Go’ di Sunway Giza pada 13 Ogos 2016, dari 11 pagi hingga 10 malam. Toyota Sienta merupakan MPV kompak tujuh tempat duduk dan akan menjadi model terbaharu jenama berkenaan bagi pasaran tempatan.

    Screen Shot 2016-08-11 at 4.28.39 PM

    Selain lokasi ini, Sienta Mobile Truck turut akan berada dibeberapa kawasan lain bermula dari 13 Ogos hingga 25 Ogos nanti (sila rujuk jadual yang dilampirkan). Pelbagai aktiviti menanti pengunjung, antaranya agihan kupon pandu uji sebaik sahaja model berkenaan dilancarkan serta peraduan Catch The Sienta Photo Contest melalui Facebook.

    Pada hujung minggu, Sienta Mobile Truck berkenaan akan bersama Kid’s Fun Truck dilokasi terpilih yang turut mempunyai Fun Zone bagi kanak-kanak. Ini bagi memudahkan ibu bapa yang ingin mendekati Sienta, sementara anak-anak mereka akan dihiburkan dengan permainan dan lain-lain.

     
     
  • Polis Johor sahkan saman trafik tertunggak melibatkan warga Singapura kini mencecah RM6.5 juta

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Polis Johor menggesa warga Singapura yang memiliki saman trafik supaya menyelesaikan bayaran tersebut secepat mungkin. Hingga kini, maklum balas yang diterima amatlah tidak memuaskan kerana kebanyakan warga Singapura yang memiliki saman trafik di negara ini tidak mengendahkan gesaan pihak polis Johor.

    Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Johor Suprintendan Baharudin Mat Taib, sehingga kini sejumlah RM6.5 juta saman trafik yang masih belum dijelaskan oleh warga republik berkenaan. Malah beliau turut menzahirkan rasa kecewa kerana sejak Januari lalu, pelbagai ingatan dan amaran telah dikeluarkan oleh pihaknya. Namu pesalah-pesalah trafik republik berkenaan enggan bekerjasama, laporan News Strait Times.

    Katanya, dilaporkan lebih 40,000 pesalah trafik warga Singapura dikesan sejak dua tahun kebelakangan ini. “Pihak kami tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus menggesa mereka supaya segera menyelesaikan saman tertunggak ini,” ujarnya kepada pihak media.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, saman tertunggak yang melibatkan warga Malaysia pula kini berjumlah RM9.3 juta dengan 31,110 pesalh trafik telah direkodkan.

    “Kita akan terus melaksanakan kempen yang agresif, termasuk kempen untuk memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kesalahan trafik ini, di mana ia menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya. Malah kita juga akan memulakan kempen keselamatan jalan raya di peringkat sekolah,” sambungnya lagi.

     
     
  • GIIAS 2016: Prototaip Honda Civic Hatchback dipamerkan – ia akan menembusi pasaran ASEAN?

    Honda_CivicHatch_Concept-2

    Untuk Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung ketika ini, Honda telah mempamerkan model prototaip Honda Civic Hatchback, yang membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show awal tahun ini.

    Bukanlah menjadi sesuatu yang ganjil jika sesebuah model produksi itu dipamerkan pada acara di rantau dimana ia tidak akan dipasarkan. Contohnya, Honda EV-STER yang diperbiu sebagai S600 kei roadster, sebelum ini telah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2013.

    Sebelum ini, Honda Australia mengesahkan mereka akan menerima Civic hatchback generasi kesepuluh pada separuh pertama tahun hadapan. Ia bukanlah berita yang mengejutkan kerana Australia sememangnya antara negara yang memasarkan Civic versi hatchback lima pintu untuk generasi sebelum ini. Satu fakta yang penting adalah, Civic hatch generasi berikutnya untuk pasaran Australia ini akan dipasang di negara jiran kita iaitu Thailand.

    Honda_CivicHatch_Concept-7

    Ini bermaksud, Civic Hatch generasi kesepuluh berkemungkinan besar turut akan menembusi pasaran ASEAN, kerana tidak mungkin kilang Honda Thailand akan membina Civic berkenaan hanya untuk Australia. Persoalannya, adakah Malaysia turut akan menerima versi Hatchback ini? Civic sedan sedia ada dalam pasaran tempatan setakat ini dibina secara CKD di kilang Honda Pegoh, Melaka. Kemungkinan ini tidak akan timbul sekiranya versi Hatchback ini hanya dipasang di Swindon, UK.

    Untuk pasaran Australia nanti, Civic hatch akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin iaitu 1.5 liter VTEC Turbo empat silinder (170 hp/220 Nm), dan juga enjin 1.8 liter NA SOHC i-VTEC (139 hp/174 Nm), dipadankan dengan kotak gear CVT, sama seperti model sedan sedia ada.


    Prototaip Civic Hatchback concept (kiri) vs versi produksi (kanan)

    Model prototaip berwarna kelabu matte yang dipamerkan ini masih mengekal muka yang hampir seiras dengan model sedan, tetapi bermula dari tiang-B dan kebelakang, ia telah direka semula dengan garis bumbung sedikit berbeza, pintu belakang yang disesuaikan dengan garis bumbung serta tidak mempunyai but belakang. Walaupun mempunyai bahagian belakang yang berbeza, lampu belakang berbentuk-C hatchback ini masih kelihatan seiras dengan lampu pada model sedan empat pintu.

    Kit badan pada model prototaip ini mungkin akan diterapkan terus pada model produksi sebenar – seperti yang dapat dilihat pada imej spyshot dan lukisan paten sebelum ini – tetapi serlahan berwarna hijau, roda bersaiz besar serta tip ekzos berkembar pada bahagian tengah bampar belakang tidak akan ditampilkan.

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback

    GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback

     
     
  • Volkswagen Jetta 2016 dipamerkan di laman web M’sia

    Volkswagen-Jetta-FL-Malaysia

    Volkswagen Malaysia telah mempamerkan foto sedikit sudut bagi model facelift Jetta, yang buat pertama kali diperkenalkan di New York Auto Show 2014. Model semasa Jetta 1.4 TSI pemasangan tempatan (CKD) berharga sekitar RM131,000, namun telah pun tidak dipamerkan lagi menerusi laman web syarikat berkenaan.

    Untuk bahagian luarannya, model facelift ini hanya mengalami sedikit perubahan gaya iaitu gril hadapan yang disemak semula, bampar hadapan dan belakang yang diberi sedikit gaya berbeza, lampu utama dan lampu belakang yang dipertingkatkan, serta rim baharu.

    Begitu juga dengan bahagian dalamannya yang turut diberi sedikit suntikan yang lebih segar dengan menampilkan roda stereng, kluster instrumen dan butang kawalan penghawa dingin auto yang dipertingkatkan, dan kesemua elemen itu sama seperti model Gold Mk7.

    Ia ditampilkan dengan enjin 1.4 liter TSI TwinCharged, seperti Golf terkini, dengan kuasa 160 PS pada 5,800 rpm dan tork 240 Nm pada 1,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan unit DQ200 DSG tujuh-kelajuan. Dengan gabungan kuasa ini, Jetta sepatutnya layak dianggap sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di Malaysia.

    Jika anda ingin menerima perkembangan secara lebih eksklusif mengenai Volkswagen Jetta facelift ini, sila berdaftar di laman web VM Malaysia.

    GALERI: Volkswagen Jetta facelift (di lain-lain pasaran)

     
     
  • GIIAS 2016: Mitsubishi XM membuat penampilan sulung global, MPV saingan kepada Avanza, Mobilio

    Mitsubishi_XMConcept-2

    Hari ini bermulanya pembukaan bagi pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016, yang belangsung di pusat persidangan ICE di BSD City, 35 km dari pusat kota Jakarta. Pameran berkenaan, yang disokong oleh persatuan pengeluar kenderaan Gaikindo (sama seperti MAA di Malaysia) telah dilancarkan oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan akan dibuka kepada umum bermula esok.

    Model pertama yang ingin diketengahkan dari pameran ini, Mitsubishi XM, merupakan sebuah kenderaan konsep yang pernah kami paparkan minggu lalu. Hari ini, ia membuat penampilan sulung peringkat globalnya sempena pameran berkenaan. Gabungan X dan M pada namanya diambil daripada perkataan ‘crossover’ (bagi huruf X) dan M pula dari perkataan MPV. Daripada pemilihan nama ini, agak jelas jenis kenderaan yang ingin dibangunkan oleh Mitsubishi.

    Ia ingin menemukan ketangkasan sebuah SUV dengan kepelbagaian penggunaan sebuah MPV. Ia berkemungkinan besar menjadi cerminan kepada penawaran MPV peringkat rendah yang sangat popular di Indonesia, antaranya melalui model-model seperti Toyota Avanza (dan juga Daihatsu Xenia), Suzuki Ertiga dan Honda Mobilio. Ia dijangka akan mengikut jejak langkah yang sama ketika Honda memberkenalkan model BR-V sebelum ini; sebuah MPV tujuh tempat duduk, dalam konfigurasi tiga baris.

    Model konsep Mitsubishi XM menampilkan reka bentuk bahagian depan Dynamic Shield baharu, dengan lampu utama tirus yang dipadankan dengan rekaan gril hitam yang besar. Bahagian lengkungan tayarnya yang timbul, serta garis sisi badan yang ketara menampakan mirip sebuah SUV. Namun, reka bentuk di bahagian atas, dengan D-pillar yang tidak ketara, memberikannya imej sebuah MPV.

    Walaupun belum berpeluang meninjau bahagian kabin dalamannya secara terperinci, Mitsubishi menyatakan tempat duduk tiga barisnya diletakkan pada kedudukan yang optimal untuk memberikan keselesaan. Selebihnya, papan pemuka horizontal dengan tona warna hitam dan putih, dengan konsol tengah yang sedikit tinggi, memberi sentuhan tersendiri pada Mitsubishi XM ini.

    Tiada maklumat teknikal diberikan setakat ini, namun jika merujuk laporan tempatan, ada menyebut Mitsubishi akan menggunakan platform baharu bagi versi produksinya kelak. Ia diramal akan menggunakan sistem pacuan hadapan dan dikuasakan oleh enji 1.5 liter petrol (tiada pilihan bagi diesel atau 4WD).

    “Kenderaan ini direka untuk perjalanan jauh, dengan keupayaan untuk melalui permukaan jalan yang teruk dan juga banjir, dengan adanya jarak kelegaan tanah yang luas,” memetik kata Pengurus Besar Bahagian Rekabentuk MMC, Tsuneihiro Kunimoto kepada akhbar Kompas.

    ?Gaikindo Indonesia International Auto Show 2016?
    ?MITSUBISHI XM Concept?
    This small crossover MPV concept car offers safe, comfortable and enjoyable ride to everyone.
    Check out the concept video debut to the world at the Gaikindo Indonesia International Auto Show 2016 (Public days:Aug.12-21, 2016).
    ?Learn more
    http://www.mitsubishi-motors.com/en/events/motorshow/2016/ims2016/

    #GIIAS2016

    Posted by Mitsubishi Motors on Thursday, 11 August 2016

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Hatchback tanpa sebarang penyamaran ditemui di Pelabuhan Southampton, UK

    2017-civic-hatchback_BM

    Honda Civic hatchback lima-pintu 2017 telah ditemui tanpa sebarang penyamaran, dibawa ke Amerika Syarikat menerusi pelabuhan Southampton di UK, disiarkan di laman forum CivicX.com. Hatchback ini dibina secara eksklusif di kilang Honda Swindon, UK untuk pasaran seluruh dunia. Ia turut berkongsi paltform dengan Civic generasi kesepuluh sedan dan coupe, yang telah pun dijual di pasaran Amerika Syarikat.

    Model hatchback lima-pintu ini dijangka akan dikuasakan oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 174 hp, dan dipadankan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Model pasaran Amerika Syarikat ini juga dijangka akan menerima varian 2.0 liter VTEC Turbo yang lebih berkuasa dan juga varian lebih rendah i-VTEC NA selepas itu.

    Tiada lagi imej bahagian dalaman model hatchback ini didedahkan, namun berdasarkan spyshot sebelum ini, papan pemukanya kelihatan agak seiras dengan model Civic sedan. Bahagian muka Civic ini juga menerapkan rekaan dari model sedan, di mana bahagian yang berbeza adalah bermula pada tiang-B dan pintu belakang – direka semula untuk disesuaikan dengan rekaan garisan bumbung baharu.

    Untuk pasaran Eropah pula, Civic hatchback dijangka akan dikuasakan oleh tiga pilihan enjin iaitu tiga-silinder 1.0 liter VTEC Turbo (127 hp/200 Nm), 1.5 liter empat silinder pancitan bahan api terus VTEC Turbo (210 hp/260 Nm) dan 1.6 liter diesel i-DTEC versi dikemaskini.

    Apa yang lebih menarik, Civic Hatchback generasi terbaharu ini juga sah akan dikilangkan di Thailand, di mana ia berkemungkinan akan turut di pasarkan di Malaysia. Kali terakhir Malaysia menerima varian hatchback lima pintu adalah menerusi Civic generasi kedua (SA0), sementara untuk model generasi ke tujuh (ES) dan seterusnya, pasaran Malaysia hanya menerima Civic sedan empat pintu.

    GALERI: Prototaip Honda Civic Hatchback

    GALERI: Imej paten Honda Civic Hatchback

     
     
  • Hyundai i30 – teaser baharu sebelum ke Paris

    Selepas empat tahun pengenalan model semasa Hyundai i30, Hyundai telah mula menyebarkan teaser bagi model generasi akan datang yang bakal ditampilkan di Paris Motor Show 2016.

    Lari sedikit dari imej model sedia ada yang berbentuk one-box, model generasi akan datang ini seakan kembali ke konsep tradionalnya iaitu dengan profil two-box hatchback, di mana bonetnya lebih panjang, mirip dengan Peugeot 308. Malah melihat akan trend model hatchback di Eropah termasuk Renault Megane baharu, ia seakan mempengaruhi i30 generasi akan datang ini juga.

    Bahagian hadapannya diilhamkan dari model hibrid Hyundai Ioniq, dengan lampu utama seakan terbelah, gril enam-poin (dengan rekaan yang dibangunkan semula melunjur ke belakang, Hyundai menggelarkannya sebagai cascading grille) dan lampu nyalaan siang LED pada bahagian sudut bampar hadapan.

    Tiada gambaran untuk bahagian sisinya, namun menerusi video ini, ternampak garisan melintang dari lampu utama melunjur ke lampu belakang. Pada bahagian belakangnya pula, ia ditampilkan dengan lampu LED dengan lampu kabus yang selari dengan pemegang pintu but di bahagian tengah.

    i30 baharu ini dijangkakan akan dipadankan dengan enjin pengecas turbo yang lebih bersaiz kecil dan suntikan-terus, termasuk 1.0 liter Kappa T-GDI tiga-silinder sama seperti i20, 1.6 liter Gamma T-GDI empat-silinder seperti model semasa i30 Turbo dan 1.7 liter CRDi turbodiesel.

    Selain itu, ia juga akan menampilkan i30 N hot hatch dengan enjin 2.0 liter turbo yang mempu memberikan kuasa sehingga 260 hp, seperti Volkswagen Golf GTI, Peugeot 308 GTi dan Ford Focus ST, sementara versi hibrid mula menggunakan enjin Ioniq iaitu 1.6 liter GDI, motor elektrik dan transmisi klac-berkembar enam-kelajuan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025