Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Kebiasaannya, proses membeli kenderaan sangat mudah. Akan ada pembantu atau penasihat jualan (SA) yang membantu segala urusan berkaitan pembelian berkenaan, dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat senang untuk pelanggan. Tetapi, bagaimana jika peranan SA itu tiada lagi? Bagaimana keadaan tersebut merubah proses pembelian kenderaan selepas ini? Ternyata, hal tersebut adalah sebahagian daripada pengalaman yang perlu anda lalui sekiranya ingin membeli kereta dari Tesla.

    Untuk mencari tahu tentang keputusan dan bagaimana seorang pelanggan melalui proses pembelian kereta elektrik berkenaan, kami menyoroti pengalaman seorang pelanggannya, Barry Lim, yang baru sahaja membeli dan menerima serahan Tesla Model 3 Highland baru-baru ini. Jadi, bagaimana sebenarnya proses membeli sebuah Tesla dari saluran rasminya di Malaysia?

    Kenapa beli sebuah Tesla

    Profil Barry adalah seperti berikut — seorang lelaki separuh usia dan berkahwin, dan mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Dia tinggal di rumah bawah (landed house) di kawasan kelas menengah di Lembah Klang. Sebelum ini, dia pernah memiliki beberapa kenderaan (sebahagian besarnya bukan dari jenama Jepun) dan ini kenderaan BEV pertamanya.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Barry berminat dengan kereta dan teknologi. Dan EV mempertemukan kedua-duanya, dengan Tesla sejak awal menjadi jenama yang membawa semangat itu, dan menerima jolokan “gajet teknologi dalam bentuk kereta”.

    Barry mempertimbangkan EV sejak beberapa tahun lalu, atas faktor dan kesedaran mesra alam. Namun, kekurangan infrastruktur dan situasi industri kereta di Malaysia yang masih kurang kondusif ketika itu telah menjadi sebab dia menangguh keputusan tersebut. Begitu juga dengan insentif kerajaan yang diberikan terhadap EV, yang hanya datang selepas itu. Teknologi EV yang ketika itu masih baru dan belum matang menjadikan pilihan berkenaan kurang praktikal dan belum kompetitif.

    Setelah insentif EV kerajaan diperkenalkan, pengeluar utama pula masih ingin mengekalkan margin yang besar walaupun boleh memberikan tawaran yang lebih menarik sepanjang tempoh bebas cukai EV bagi model CBU yang dibawa. Pengalaman peribadi Barry yang boleh dikongsikan untuk dijadikan contoh ialah MINI Cooper SE yang menarik minatnya. Ia sebuah model peringkat kemasukan dengan harga “pra-bebas cukai” ialah RM225k. Harga bebas cukai yang diumumkan selepas itu pula ialah RM184k, sebelum kemudiannya naik mencecah RM200k.

    Ini menjadikan pelanggan sepertinya berfikir dua kali kerana seolah-olah dipermainkan, walaupun dengan kehadiran insentif daripada kerajaan. Tidak banyak manfaat yang boleh diraih sebagai kelompok pendahulu yang menggunakan EV jika begitu. Tambahan pula, ada kesedaran lain bahawa kereta yang berusia dua atau tiga tahun juga tidak begitu berisiko dan tidak terlalu sukar untuk diperoleh, maka dia tangguhkan dulu hasrat itu dan menunggu model-model seperti Mercedes-Benz EQE/Audi Q8 e-tron/Porsche Taycan masuk ke pasaran kereta terpakai.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Namun, semua ini berubah dengan pengumuman kemasukan jenama Tesla ke Malaysia. Jangkaan awalnya, model popular seperti Model Y dan Model 3 akan dijual dengan harga yang mampu bersaing dengan Mercedes-Benz EQB/BMW iX3 dan Mercedes-Benz EQA/Hyundai Ioniq 5. Apalagi EV dari pengeluar China juga memawarkan kereta mereka pada harga menghampiri RM200k berbanding yang berada di sekitar RM100k.

    Ketika Tesla Malaysia mengumumkan harga Model Y bermula RM199k (yang terus ditempah oleh Barry), dan kemudian mengumumkan Model 3 Highland facelift pada harga RM189k, dia tidak perlu berfikir panjang untuk meletakkan wang pendahuluan RM1k (tidak boleh dipulangkan dan bukan sebahagian daripada harga kereta). Ini dia lakukan pada hari pertama Model 3 Highland diumumkan di Malaysia, iaitu pada 1 September 2023.

    Model 3 Highland yang Barry tempah ialah versi Long Range (RM218k), dalam warna biru (dan warna dalaman hitam standard) dengan tambahan RM5k untuk itu. Sebagai tambahan, Barry memilih Enhanced Auto Pilot (EAP), yang melibatkan tambahan RM16k, menjadikan jumlah pembeliannya RM239k.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Tempoh menunggu

    Pengalaman pembelian Tesla memang diketahui tidak sama dengan jenama lain. Apa yang dimaksudkan, pembeli langsung tidak akan berurusan dengan penasihat atau agen jualan (SA), terutama ketika anda membuat tempahan secara dalam talian. Jika hadir ke bilik pameran Tesla, peranan penasihat jualan berkenaan berakhir selepas mengambil tempahan.

    Untuk bulan pertama (Oktober 2023), tiada apa sangat yang perlu dilakukan oleh Barry atau menerima sebarang kemaskini. Masuk bulan kedua, Barry dihubungi oleh agen serahan Tesla: peranannya hanya untuk membantu pembeli untuk menerangkan langkah dan proses sehingga kereta mereka diterima.

    Jadi, langkah pertama adalah untuk mendapatkan kelulusan bank. Jika anda pegawai bank sendiri, Tesla Malaysia akan memberikan nombor untuk dihubungi. Bank panelnya ialah Maybank dan Ambank, mungkin. Barry memilih Maybank melalui cadangan teman lain.

    Selepas pinjaman lulus pada awal November tahun lalu (bulan ketiga), sekali lagi tiada apa-apa kemaskini. Barry sempat berkunjung ke HQ Tesla di Cyberjaya untuk melihat kereta berkenaan depan mata buat kali pertama. Bagaimanapun, tiada pandu uji disediakan.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Kemudian, dalam bulan berikutnya, Barry dihubungi oleh agen serahan dan memaklumkan yang keretanya telah diperuntukkan dan ada dalam sistem. Ini juga terus ditunjuk dalam aplikasi mudah alih Tesla, dengan nombor VIN sekali. (Akaun akan diberikan sebaik tempahan dibuat). Dengan VIN, Barry boleh teruskan dengan langkah seterusnya.

    Dalam kes Barry, dia mahu mengekalkan nombor pendaftaran dari kereta lama untuk dipindahkan kepada kereta Tesla baru ini. Proses penukaran melibatkan JPJ ini menambah kerumitan lain dan tidak perlu dilalui sekiranya anda menggunakan nombor pendaftaran baru.

    Proses berkenaan memerlukan nombor pendaftaran lama pada kereta sedia ada terus dipindahkan ke kereta baru dan tidak boleh dibiarkan “terapung” walaupun dalam masa sesingkat apa pun. Kereta Tesla berkenaan bagaimanapun masih belum tiba (dan hanya diwakili oleh borang K1 oleh Kastam sebaik ia tiba ke negara ini), maka pindahan tersebut tidak boleh dilakukan.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Perlu juga diingat, kereta lama tersebut juga memerlukan “nombor pendaftaran baru” untuknya sepanjang proses pemindahan ini — mana-mana kereta lama yang pernah didaftarkan dengan JPJ sebelum itu tidak boleh mempunyai “nombor lama” berkenaan; sama ada kereta ata nombor yang terlibat perlu baru atau belum pernah didaftarkan dengan JPJ. Ini, ada yang berpendapat, bertujuan untuk melindungi model perniagaan AP kereta terpakai di sini.

    Jadi, walaupun pinjaman dan insurans (yang dikeluarkan tanpa nombor pendaftaran tersedia) sudah ada (walaupun ada dramanya sendiri kerana bank juga tidak pasti dengan proses melibatkan Tesla Malaysia), langkah utama adalah (1) penukaran, dan (2) pendaftaran kereta sebenar tidak boleh diteruskan sehinggalah tiba pada hari serahan kereta terbabit, iaitu pada 1 Disember 2023.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    JPJ dan urusannya

    Ringkasnya, kami perlu membawa dua borang ke JPJ: (1) Borang B2 yang dikeluarkan oleh Puspakom selepas pemeriksaan kereta lama untuk tujuan penukaran nombornya, dan (2) borang K1 yang dikeluarkan Kastam sebaik tibanya kereta itu di Malaysia. Tesla Malaysia tidak dapat memberikan Barry borang K1 berkenaan sehinggalah pada pagi Jumaat, 1 Disember 2023 — hari yang sama Barry sepatutnya menerima keretanya pada jam 2.45 pm.

    Oleh kerana ada urusan lain pagi itu, Barry hanya sempat ke JPJ sebelum sesi pagi ditutup untuk sembahyang Jumaat. Barry pelanggan terakhir untuk sesi tersebut. Dengan pendaftaran baru dari JPJ untuk kereta Tesla-nya, Barry kemudiannya menuju ke Tesla Cyberjaya untuk slot penyerahan keretanya itu.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Serahan, dan penerimaan kereta

    Proses serahan dan penerimaan kereta Tesla juga merupakan pengalaman yang baru. Pelanggan ditetapkan mengikut kelompok, dan hadir mengambil kereta mereka bersama. Sekurang-kurangnya, ini la pengalaman serahan pada peringkat awal oleh Tesla Malaysia.

    Pelanggan tiba dan dibawa ke meja pendaftaran. Daripada senarai panjang yang ada, pelanggan maklumkan nama mereka sebelum diminta untuk menunggu. Seterusnya, pelanggan di bawa ke bilik taklimat, sebelum seorang wakil dari Tesla memberikan penerangan tentang pemilikan dan operasi kereta Tesla — misalnya memilih pandu atau undur kereta menerusi skrin di tengah, serta kendalian butang stereng berbanding tuil lampu isyarat. Akhirnya, secara berkumpulan, pelanggan dibawa ke ruang serahan.

    Kemudian mereka diberikan kad kunci masing-masing secara rawak — mengikut nombor pendaftaran masing-masing. Dua pilihan diberikan selepas itu: untuk pergi sendiri ke ruang parkir dan terus pandu pulang, atau (B) lakukan A kemudian tunggu giliran untuk memandu masuk ke ruang serahan, letakkan ribon besar dan ambil gambar kenangan. Barry memilih urutan B. Jadi, selepas tiga bulan dari tarikh tempahan, Barry menerima kereta Tesla Model 3 Highland-nya dalam kelompok antara yang terawal.

    Pengalaman beli kereta Tesla di M’sia — tiada SA, urusan bank dan JPJ sendiri; sebuah sorotan

    Pandangan selepas menggunakan kereta Tesla

    Adakah Barry gembira dengan Model 3 Highland sebagai sebuah produk? Jawapannnya ya! Berbanding Model 3 sebelum ini, ada banyak peningkatan yang memberikan manfaat kepada pemilik. Dan, sekiranya ingin beralih ke EV, adakah Tesla mempunyai kelebihan lain berbanding jenama lain? Menurut Barry, ya hanya untuk satu sebab — rangkaian Supercharger-nya. Perkara inilah yang memberi nilai tambah kepada Tesla.

    Adakah berbaloi dan ada banyak kelebihan untuk beralih kepada EV? Ketika ini, Barry mempunyai satu jawapan yang menarik: mengapa perlu isi minyak di stesen minyak untuk kereta ICE jika anda boleh ada “stesen tenaga” di rumah dengan hampir separuh kos berbanding seliter RON 95?

    Dan, selagi anda memenuhi kriteria seperti ada rumah bawah untuk kemudahan pengecasan serta ada kereta ICE lain di rumah untuk digunakan untuk balik kampung, anda mungkin bersedia untuk menjadi pengguna EV. Ditambah pula dengan kos pemilikan yang tidak memerlukan servis berjadual, tidak banyak komponen boleh haus (misalnya hanya tayar dan pengilap cermin) dan faktor penggunaan tenaga yang cekap melalui motor elektriknya, EV sentiasa menjadi alternatif yang baik.

    Secara ringkasnya, Barry melihat EV sebegai sebuah alternatif yang cukup menarik dan perlu ketika ini, walaupun EV mungkin belum mampu menggantikan kenderaan ICE biasa dalam masa terdekat. Baginya, EV adalah sebuah alternatif untuk masa hadapan.

     
     
  • Sime Darby Motors buka gedung ‘pop-up’ di 1 Utama – BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Hyundai dan Ford

    Sime Darby Motors buka gedung ‘pop-up’ di 1 Utama – BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Hyundai dan Ford

    Sime Darby Motors (SDM) telah membuka gedung pop-up yang pertama, dan ia terletak di Lot G102A tingkat bawah pusat beli-belah 1 Utama. Bersebelahan dengan Uniqlo, senang nak cari. Model kenderaan yang dipamerkan adalah jenama di bawah SDM iaitu BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Hyundai dan Ford. Gedung pop-up ini akan berada di lokasi berkenaan selama tiga bulan, sehingga 31 Mac ini.

    Auto Bavaria pula mempamerkan barisan kenderaan elektrik (EV), ini termasuklah BMW iX xDrive40, iX xDrive50 Sport, iX1 dan i7. Manakala BMW Motorrad mempamerkan skuter elektrik canggih CE04, skuter saiz sederhana premium C400 GT dan R nineT. Bagi MINI pula, pengunjung boleh menyaksikan barisan MINI ElectricOver.

    Model-model kenderaan lain yang turut dipamerkan termasuklah BYD Atto 3 (termasuk Anniversary Edition), BYD Dolphin, Ford Ranger Raptor, Ford Ranger Platinum, SUV Ford Everest, Hyundai Ioniq 5 dan Hyundai Ioniq 6.

    Selain itu, wakil jualan dan pakar produk juga bersedia membantu memberikan penerangan mengenai kenderaan serta teknologi dan ciri yang ditampilkan. Bukan itu sahaja, promosi eksklusif dan tawaran istimewa turut diberikan hanya di gedung pop-up tersebut.

    Untuk yang mempunyai masa terluang, pada bila-bila masa sahaja, sehingga 31 Mac ini, jangan lupa untuk berkunjung ke gedung pop-up ini untuk menyaksikan dan menikmati pengalaman penuh bermakna dengan barisan model kenderaan di bawah jenama yang dibawakan khas oleh SDM.

     
     
  • KTM 890 SMT dilancar di Malaysia – harga RM101,800

    KTM 890 SMT dilancar di Malaysia – harga RM101,800

    Diperkenalkan kepada dunia April tahun lalu, KTM 890 SMT (Supermoto Tourer) kini tiba di Malaysia pada harga RM101,800 tidak termasuk insurans. Harga ini sedikit tinggi berbanding 890 Adventure (RM96,800) yang menggunakan asas sama kerana ia datang terus dengan beberapa aksesori yang di negara luar, disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Ini adalah termasuk quickshifter, cruise control serta mod Track yang menjadi tambahan kepada tiga mod standard iaitu Rain, Street dan Sport. Selain daripada itu, 890 SMT juga datang dengan Cornering ABS dengan mod Supermoto serta sistem kawalan cengkaman Motorcycle Traction Control (MTC) yang boleh ditutup.

    Enjin model ini adalah sama dengan barisan model 890 lain oleh KTM, iaitu unit dua silinder selari 899 cc LC8c bersama transmisi enam kelajuan, tetapi kuasanya direndahkan sedikit berbanding 890 Duke R, menjadi 105 hp pada 8,000 rpm dan tork 100 Nm pada 6,500 rpm.

    Suspensi pula lebih tinggi berbanding model naked tersebut, dengan jarak gerak 180 mm (hadapan dan belakang), dan ia terdiri daripada fork WP 43 mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan di hadapan, serta monoshock WP dengan pelarasan lantunan dan prabeban spring di belakang.

    Tetapan suspensi ini, apabila digabungkan bersama rim 17 inci hadapan dan belakang menghasilkan tinggi tempat duduk 860 mm, sementara jarak dari tanah pula adalah 227 mm. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 15.8 liter.

     
     
  • Jualan Toyota GR Supra di Amerika Syarikat jatuh 46% tahun lalu berbanding 2022; GR86 turut turun 7.7%

    Jualan Toyota GR Supra di Amerika Syarikat jatuh 46% tahun lalu berbanding 2022; GR86 turut turun 7.7%

    Jualan bagi kereta sport flagship Toyota iaitu GR Supra A91 dilaporkan menurun hampir separuh tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

    Menurut laporan Motor Authority, berdasarkan pengumuman jualan tahun 2023 yang disiarkan oleh Toyota Amerika Syarikat Rabu minggu lalu, GR Supra hanya berjaya dijual sebanyak 2,652 unit sepanjang tahun lalu. Angka berkenaan adalah 46% lebih rendah dari jumlah jualan yang direkodkan pada 2022 di mana Toyota berjaya menjual sebanyak 8,937 unit GR Supra pada tahun berkenaan.

    Bukan hanya GR Supra, satu lagi kereta sport coupe Toyota tetapi dijual pada harga lebih mampu milik iaitu GR86 turut mencatatkan penurunan jualan sebanyak 7.7% dengan jumlah keseluruhan 11,078 unit. Motor Authority menyatakan ini bukan bermakna permintaan terhadap kereta sport menurun di AS kerana jualan Mazda Miata MX-5 meningkat sebanyak 45.4% kepada 8,937 unit untuk 2023.

    Toyota Supra generasi baharu ini telah membuat kemunculan sulung global di Amerika Syarikat pada 2019, dijual sebagai model 2020. Ia merupakan kereta sport yang dihasilkan oleh Toyota menggunakan asas yang sama dengan BMW Z4 G29, dan turut diproduksi di kilang yang sama iaitu di fasiliti Magna Steyr di Graz, Austria.

    Versi tingkat taraf pada 2021 menyaksikan enjin petrol 3.0 liter enam silinder sebaris pada varian paling berkuasa Supra ini menerima kuasa tambahan sehingga 382 hp dan tork maksima 499 Nm, atau 47 hp lebih berkuasa dari versi asal.

    Manakala pada 2022, GR Supra A91 ini turut menerima pilihan kotak gear enam-kelajuan manual berbanding hanya datang dengan transmisi automatik lapan-kelajuan pada versi sebelumnya. Laporan pada Ogos tahun lalu menyebut hampir separuh pembeli Supra terbaharu ini memilih kotak gear 6MT berbanding 8AT.

    Dikhabarkan Toyota bakal memperkenalkan Supra dalam versi lebih berkuasa selepas ini yang menerima lencana Gazoo Racing Meister of Nürburgring (GRMN) seperti yang diberikan pada Yaris GRMN sebelum ini. Mungkin ini akan menaikkan semula jualan Supra generasi kelima tersebut?

     
     
  • Johor dilanda banjir besar – Kota Tinggi paling terjejas, beberapa jalan ditutup kepada lalu lintas

    Johor dilanda banjir besar – Kota Tinggi paling terjejas, beberapa jalan ditutup kepada lalu lintas

    Selepas Kelantan dan Pahang, banjir besar kini melanda Johor pula. Beberapa daerah di selatan tanahair itu kini dilaporkan terjejas iaitu Johor Bahru, Pontian, Kluang, Kulai, Segamat dan yang paling teruk dilanda banjir ialah Kota Tinggi.

    Menurut maklumat yang dikemaskini oleh JKR Kota Tinggi jam 6 pagi tadi, terdapat beberapa laluan di daerah berkenaan yang ditutup kepada lalu lintas. Laluan terbabit ialah Jalan Kota Tinggi-Kluang (Arked Mara) yang ditenggelami air banjir sedalam 0.60 meter. Manakala laluan lain yang turut ditutup untuk semua kenderaan ialah Jalan Sg Telur (Warung Warisan), Jalan Tun Sri Lanang (Pusat Bandar), Jalan Semangar Dalam (Loji Semangar), Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) dan Jalan Kg Kelantan (Masjid Kg Kelantan).

    Semalam, tular video di laman media sosial yang memaparkan kejadian sebuah kereta yang terbabas dan dihanyut arus deras di longkang di KM 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing. Kejadian berkenaan hampir menyebabkan seorang wanita hampir lemas ketika berpaut di bahagian belakang kereta berkenaan. Walau bagaimana pun, seorang lelaki bertindak nekad terjun ke longkang berkenaan untuk menyelamatkan wanita berkenaan.

    Jika jalan yang ingin anda lalui terjejas akibat banjir, sila tangguh perjalanan anda sekiranya boleh dan elak daripada meredah air banjir kerana ia mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda.

    Seperti peringatan kami sebelum ini, anda sangat digalakkan untuk mengambil insurans perlindungan kerosakan kenderaan akibat banjir (special perils). Kerana sekiranya kenderaan anda rosak akibat banjir yang teruk, sudah tentu ia melibatkan kos baik pulih yang sangat tinggi. Jika insuran anda tidak disertakan dengan perlindungan special perils ini, sudah tentu kos pembaikkan tersebut perlu keluar dari poket anda sendiri.

     
     
  • Pemilik sahkan Perodua akhirnya setuju beli semula “Bezza gula” yang tular dengan harga penuh

    Susulan kes sebuah Perodua Bezza yang mengalami masalah enjin pada hari pertama ianya dibeli Oktober lalu, pemiliknya baru sahaja membuat hantaran facebook menyatakan bahawa syarikat tersebut bersetuju bagi membeli kereta itu dengan harga penuh.

    “Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama, dan semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang.

    “Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain,” kata pemilik Bezza berkenaan, Nagakanni Subramaniam dalam hantaran yang dibuat.

    Dalam hantaran yang sama Nagakanni turut berterima kasih kepada Perodua dan semua yang terlibat bagi membantunya menyelesaikan masalah ini.

    Beberapa hari lalu Nagakanni membuat satu hantaran yang menyatakan Perodua Bezza yang baru dibeli Oktober lalu kini tersadai di pusat servis Perodua kerana masalah enjin, hanya selepas 46 km digunakan. Hantaran itu juga menyebut siasatan awal dari pihak Perodua mendapati terdapat bendasing di dalam enjin berkenaan seperti gula yang menyebabkan kerosakan tersebut.

    Rundingan antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara ini masih belum dimuktamadkan setelah sekian lama mendorong Nagakanni membuat hantaran yang tular di media sosial itu. Walau bagaimanapun pihak Perodua masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi dari berhubung penyelesaian ini.

     
     
  • Laluan Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya – kerja baikpulih masuk fasa akhir, dijangka dibuka 29 Feb

    Laluan Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya – kerja baikpulih masuk fasa akhir, dijangka dibuka 29 Feb

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengemaskini makluman berhubung laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya yang ditutup setahun sebelum ini. Menurut Rapid Rail, kerja-kerja pembaikian struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya kini memasuki fasa terakhir.

    “Bergantung pada hasil ujian dan kelulusan oleh pihak berkuasa, pembukaan semula laluan antara Masjid Jamek-Bandaraya dijangka pada 29 Februari 2024,” kata Rapid Rail menerusi laman Facebook Rapid KL.

    Laluan Stesen LRT Masjid Jamek-Bandaraya – kerja baikpulih masuk fasa akhir, dijangka dibuka 29 Feb

    Sebelum ini Rapid Rail berkata, perancangan asal bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan Oktober 2023. Namun, penambahan masa tersebut terpaksa dilakukan kerana selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165, yang memerlukan pembaikan yang menyeluruh.

    Pada hujung Januari tahun lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak. Hasil siasatan mendapati ada sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

     
     
  • UMW Toyota Motor berjaya jual 108,107 unit kenderaan pada 2023, naik 7% berbanding tahun sebelumnya

    UMW Toyota Motor berjaya jual 108,107 unit kenderaan pada 2023, naik 7% berbanding tahun sebelumnya

    UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 10,402 unit kenderaan pada Disember lalu, yang terdiri dari 10,079 unit dari jenama Toyota manakala 323 unit selebihnya adalah dari Lexus. Ini membolehkan syarikat itu memuktamadkan jualan keseluruhan 2023 dengan jumlah 108,107 unit kenderaan yang telah berjaya didaftarkan.

    Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 7% berbanding jumlah 101,035 unit kenderaan yang dijual pada 2022. Bukan itu sahaja, bahagian servis selepas jualan syarikat itu juga mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan merekodkan sebanyak 1,342,130 kenderaan kembali ke pusat-pusat servis bertauliahnya.

    “Dengan rasa terima kasih yang tulus kepada semua pelanggan kami atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi, akhir tahun ini, UMWT memperbaharui komitmen kami untuk ‘Move Your World’,” kata Datuk Ravindran Kurusamy, presiden UMWT dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

    “Kami akan terus berusaha untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang diperkaya menerusi kereta-kereta Toyota kami dan meluaskan akses kepada pemilikan untuk bakal pelanggan. Komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan dan memupuk inovasi dalam industri automotif kekal tidak berbelah bahagi, memastikan tawaran terbaik untuk pemandu dan pemegang kepentingan kami,” tambahnya.

    Untuk 2024, UMWT merancang untuk terus menunjukkan komitmennya bagi menyokong matlamat tinggi Malaysia untuk mencapai sifar-pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050 dengan memperkenalkan lebih banyak model, terutamanya yang mempunyai teknologi elektrik (xEV).

    Bulan lalu juga menyaksikan program Toyota Eco Youth (TEY) 2023-2024 mendapat momentum, dengan presiden UMWT melawat sebuah sekolah yang mengambil bahagian dalam projek alam sekitarnya iaitu SMK Dato’ Mohd Said di Nilai, Negeri Sembilan.

    Program TEY ialah inisiatif tahunan yang dianjurkan oleh UMWT dengan kerjasama kementerian pendidikan dan melibatkan pasukan empat pelajar sekolah menengah dan seorang guru penasihat yang menjalankan projek untuk menangani masalah alam sekitar khusus dalam komuniti mereka.

    Edisi terbaharu program itu disertai oleh 15 sekolah di seluruh negara dan akan menyaksikan geran RM3,000 disediakan untuk membantu pasukan memulakan inisiatif mereka, sambil menggalakkan penyelesaian masalah secara kreatif.

     
     
  • WMoto RT2 dilancar di Malaysia – enjin 250 cc, harga RM17k, siap skrin TFT, kamera depan belakang

    WMoto RT2 dilancar di Malaysia – enjin 250 cc, harga RM17k, siap skrin TFT, kamera depan belakang

    Wmoto Malaysia hari ini mengumumkan ketibaan RT2 ke dalam pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Gold, Pure White dan Majestic Black, dijual pada harga RM16,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

    Skuter ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 246.9 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 22.8 hp pada 7,500 rpm dan tork 22.5 Nm pada 6,000 rpm. Transmisi adalah unit automatik CVT.

    Dengan harga yang disebutkan tadi, pengguna disediakan dengan pelbagai kelengkapan canggih melalui RT2 ini, bermula dengan kunci pintar serta lampu LED depan dan belakang. Tambah menarik, ia juga dilengkapi skrin TFT dengan sistem pemerhati tekanan angin tayar serta kamera perakam video di hadapan dan belakang motosikal.

    Pelbagai kemudahan juga disediakan pada skuter ini seperti penghadang angin hadapan boleh laras secara elektrik, lampu kecemasan, suis berlampu, poket simpanan bawah pemegang berserta pengecas USB, ruang simpanan besar bawah tempat duduk dengan satu lagi pengecas USB serta tangki bahan api berkapasiti 12.6 liter.

    RT2 datang dengan rim bersaiz 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang dengan tayar masing-masing bersaiz 110/80 dan 140/60, dan dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek pada kedua-dua roda adalah unit cakera dan ia datang secara standard dengan sistem ABS dual-channel.

     
     
  • Honda WR-V Field Explorer Concept, Accord Sports Line, Civic Type R Mugen akan dibawa ke TAS 2024

    Honda WR-V Field Explorer Concept, Accord Sports Line, Civic Type R Mugen akan dibawa ke TAS 2024

    Tahun ini Tokyo Auto Salon 2024 akan berlangsung pada 12 hingga 14 Januari dan Honda sudah mula membuat pengumuman awal kenderaan yang akan dibawa ke acara tersebut.

    Pertamanya adalah Field Explorer Concept, iaitu WR-V versi lebih ranggi, yang pernah diperkenalkan untuk pasaran negara tersebut November lalu – jualan bermula pada bulan Mac. WR-V pasaran Jepun juga sebenarnya adalah berbeza dengan model pasaran negara kita kerana ia menggunakan asas daripada Elevate (ada dijual di India) dan rupanya memang betul-betul berlainan.

    Menjadikan Field Explorer Concept ini lebih istimewa adalah ia dipasang dengan pelbagai aksesori asli Honda, dan membawa penampilan lebih gagah. Antara perubahan jelasnya adalah lampu kabus warna kuning serta gril baru warna hitam dan menggunakan logo Honda klasik. Model ini juga mendapat rak bumbung serta roda yang lebih besar.

    Seterusnya adalah barisan Sports Line untuk Accord, yang menambah pelbagai aksesori luaran dan menjadikan sedan segmen D itu lebih sporty. Ini termasuk rim 19 inci, kit badan (lip depan, skirting tepi dan diffuser belakang), kemasan pada cermin sisi warna hitam, kemasan tepi fender dan spoiler kecil atas but – semua ini nanti akan dijual kepada pelanggan.

    Pada model prestasi Civic Type R, Honda membawa dua pakej Mugen yang dipanggil sebagai Group A dan Group B. Melalui gambar yang dikeluarkan, model yang menggunakan aksesori Mugen ini kelihatan terletak lebih rendah dan mempunyai aksesori seperti bonet dengan lubang udara, lip hadapan, sirip atas fender tepi, skirting tepi serta spoiler belakang.

    Turut akan dibawa oleh Honda ke TAS 2024 adalah beberapa kereta lumba sebenar, termasuk dari model S800 dan N-One, serta Civic Type R-GT Concept dan Civic Type R CNF-R.

     
     
  • Gangguan bekalan air 4-hari di Pulau Pinang akan libatkan R&R dan plaza-plaza tol Lebuhraya PLUS

    Gangguan bekalan air 4-hari di Pulau Pinang akan libatkan R&R dan plaza-plaza tol Lebuhraya PLUS

    Kerajaan Pulau Pinang telah pun mengumumkan bahawa gangguan bekalan air akan berlangsung di negeri tersebut bermula 10 Januari nanti. Ia adalah disebabkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang terpaksa menutup loji rawatan air Sungai Dua bagi mengganti dua unit injap kawalan yang telah bocor.

    Menurut exco infrastruktur, pengangkutan dan digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari, sekitar 590,000 pengguna di kawasan pulau dan Seberang Perai akan terjejas. Antara lokasi yang tidak akan menerima bekalan air tersebut termasuk 14 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan juga plaza-plaza tol di negeri berkenaan.

    Secara spesfiknya kawasan-kawasan tersebut adalah R&R Juru (kedua-dua arah), Sg Bakap (kedua-dua arah), Sg Muda (arah utara) dan Restoran Jejantas Penanti. Manakala tol plaza yang terlibat pula adalah Bertam, Sg Dua, Juru, Bukit Tambun Selatan, Bukit Tambun Utara, Jambatan Pulau Pinang, Kubang Semang dan Jawi.

    Walau bagaimanapun, konsesi Lebuhraya Utara Selatan dan Jambatan Pulau Pinang menyatakan bahawa ia akan menyediakan simpanan bekalan air untuk keselesaan pelanggan. Walau bagaimanapun, pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sekiranya berhenti di R&R yang terlibat dengan gangguan bekalan air ini.

     
     
  • Jaecoo J8 dipertonton di M’sia — 2.0T jana 249 PS, 7DCT; jangka lancar pada Q4, harga anggaran RM200k

    Jaecoo J8 dipertonton di M’sia — 2.0T jana 249 PS, 7DCT; jangka lancar pada Q4, harga anggaran RM200k

    Selain Jaecoo J7 yang dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali di Malaysia, ada sebuah lagi SUV daripada jenama yang sama ditunjukkan. Model yang dimaksdukan ialah Jaecoo J8. Di pasaran lain, model ini turut dirujuk sebagai Chery Tiggo 9, dan ia dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di sini pada suku keempat tahun ini kelak, dengan anggaran harga sekitar RM200k.

    Datang dengan dua konfigurasi tempat duduk — dua baris atau tiga baris — dan tergantung di pasaran mana ia dijual, J8 mula diperkenalkan untuk pasaran global di Doha, Qatar pada Oktober tahun lalu. Ia sebuah SUV yang besar dengan ukuran dimensi 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara road 2,820 mm.

    Jaecoo J8 dipertonton di M’sia — 2.0T jana 249 PS, 7DCT; jangka lancar pada Q4, harga anggaran RM200k

    Unit yang ditunjuk hari ini bagaimanapun merupakan versi pemanduan sebelah kiri dari pasaran luar. Namun, ciri lain yang ada padanya mungkin mencerminkan apa yang bakal ditawarkan di sini nanti. Antaranya ialah rim aloi 20-inci, lampu utama LED, paparan 12.3-inci digital di dalam, sistem pendingin dua zon dengan corong belakang serta paparan head-up display.

    Lain-lain kelengkapan yang kelihatan ialah balutan kulit, kerusi depan larasan kuasa, sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara, pengecas tanpa wayar dengan ciri penyejuk, bumbung panoramik yang luas, lampu suasana dan pintu ruang barangan berkuasa. J8 yang ada ini adalah versi lima-tempat duduk — selain itu, versi enam dan tujuh-tempat duduk juga ada ditawarkan untuk SUV berkenaan.

    Untuk enjin, ia menggunakan unit 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana 249 PS (245 hp atau 183 kW) dan 385 Nm. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, dengan pacuan dihantar ke roda depan atau ada juga pilihan ke semua roda.

    Sekilas pandang, rasanya Jaecoo J8 ini ada imej mewah yang ingin dibawa dan mampu memberi saingan kepada SUV premium lain yang sudah bertapak di sini?

     
     
  • Nissan Almera Kuro Edition – rim, kemasan hitam berkilat, warna Glasier Grey, kit badan Tomei hitam

    Nissan Almera Kuro Edition – rim, kemasan hitam berkilat, warna Glasier Grey, kit badan Tomei hitam

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengumumkan keberadaan Nissan Almera Kuro Edition di pasaran tempatan. Kura adalah bahasa Jepun yang membawa maksud hitam, dan sedan segmen-B ini dibentangi dengan kemasan rona baharu 2024, Glacier Grey, untuk warna badan luarannya.

    Almera Kuro Edition turut didatangkan dengan gril harapan hitam berkilat dan roda aloi hitam (15-inci untuk varian VL dan 16-inci bagi VLP/VLT). Pelanggan juga boleh menambah Pakej Kuro atau Pakej Kuro GT.

    Berdasarkan aerokit yang dibangunkan secara eksklusif oleh TOMEI Japan untuk Almera Turbo, Pakej KURO didatangkan dengan spoiler bampar depan/belakang hitam berkilat, skirt sisi hitam berkilat dan spoiler penutup but hitam berkilat, serta dilengkapi dengan aksesori seperti filem tinting ICE Cool, pedal sport, plat pemijak kaki, pelindung pemegang pintu dan visor pintu.

    Nissan Almera Kuro Edition – rim, kemasan hitam berkilat, warna Glasier Grey, kit badan Tomei hitam

    Manakala Pakej Kuro GT pula ditambahkan dengan Tomei GT wing dalam kemasan hitam dan roda Impul Racing dua-tona 16-inci. Walau bagaimana pun, Pakej Kuro GT terhad dalam 300 unit sahaja, dan ia tersedia secara eksklusif sebagai tambahan kepada Pakej Kuro VLP dan VLT.

    “Nissan Almera Turbo adalah manifestasi produk berteknologi tinggi dan product berkualiti tinggi yang Edaran Tan Chong Motor berazam untuk tawarkan. Ia bukan sahaja mampu dimiliki, tetapi juga seronok dipandu dan ekonomi. Dengan adanya penambahbaikan Kuro Edition, Almera Turbo kini menjadi lebih menarik berbanding sebelumnya dan kami yakin ia akan menjadi sedan yang paling lengkap dalam segmen-B,” kata Christopher Tan, Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd.

    Selain penambahan gaya pada sedan-B ini, Almera N18 turut menawarkan daya tarikan yang lebih padu di bawah hudnya iaitu enjin turbo. Ia dipadankan dengan enjin turbo 1.0 liter tiga-silinder dengan 100 PS/152 Nm dan digabungkan bersama kotak gear automatik CVT.

    AEB turut diberikan secara standard untuk semua varian sejak ia dilancarkan, sementara varian tertinggi menerima pek penuh Nissan Safety Shield dan kamera 360-darjah. Ia juga diberikan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster meter digital.

    Nissan Almera Kuro Edition baharu dijual dengan harga bermula dari RM83,888, dengan tawaran promosi pelancaran RM1,000 untuk Pakej Kuro atau RM1,500 untuk edisi terhad Pakej Kuro GT (terhad pada 300 set kenderaan) dengan ansuran bulanan serendah bermula dari RM658.

    ETCM juga kini sedang dalam promosi dengan menawarkan Pakej Kuro pada hanya RM1,000 (senarai harga RM8,000), atau Pakej Kuro GT lebih RM500 dari Pakej Kuro biasa (senarai harga RM3,200). Dan pakej ini terhad untuk 300 set sahaja. Anda boleh membawa ulasan pandu uji Nissan Almera Turbo DI SINI.

    GALERI: Nissan Almera Kuro Edition dengan pakej Kuro GT

    GALERI: Nissan Almera Turbo 2023

     
     
  • Bayar saman parkir Sepang dan Cyberjaya hanya RM10 – tawaran hanya untuk sepanjang Jan sahaja

    Majlis Perbandaran Sepang (MPS), sedang menawarkan ‘diskaun saman’ untuk orang ramai yang memiliki saman parkir tertunggak. Kadar kompan tersebut ditawarkan adalah RM10 dan hanya untuk pembayaran sepanjang Januari 2024 sahaja.

    Difahamkan, MPS juga akan menyediakan kaunter bergerak di beberapa pusat komersil di sekitar kawasan jajahannya. Di mana setiap hari ia akan berada di lokasi yang berbeza. Untuk mengetahui lokasi dan tarikh kaunter bergerak itu bakal berada, anda boleh semak senarai di atas. Antara lokasi yang terpilih ialah Medan 88, Kip Sentral, Glomac, Crystalville,dan Kosmopleks.

    Jadi, jika anda masih ada saman parkir tertunggak di daerah berkenaan, inilah masanya untuk melangsaikannya. Ambil peluang dengan tawaran RM10 ini. Kalau boleh, kasi ‘clear’ saman-saman anda untuk tahun 2024 ini.

     
     
  • EPMB dapat kontrak 8-tahun untuk pasang kenderaan Great Wall di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka

    EPMB dapat kontrak 8-tahun untuk pasang kenderaan Great Wall di Hicom Pegoh Industrial Park, Melaka

    EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah mengumumkan bahawa anak syarikatnya, PEPS-JV Melaka (PJVM), telah dilantik sebagai pemasang kenderaan kontrak untuk Great Wall Motor di Malaysia untuk jangka masa lapan tahun, laporan The Edge.

    Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani awal minggu ini oleh kedua-dua pihak, EPMB pada mulanya akan memasang dan mengeluarkan Haval H6 dan Haval Jolion.

    “Keputusan untuk menceburi pemasangan kereta mencerminkan komitmen teguh EPMB untuk menyepadukan operasi kami. Langkah strategik ini memberikan peluang utama untuk mengembangkan aliran pendapatan dan meluaskan portfolio perniagaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan EPMB Ahmad Razlan Mohamed dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut laporan The Edge lagi, aktiviti pemasangan dan pengeluaran syarikat itu akan berpusat di fasiliti pembuatan automotif kumpulan di Taman Perindustrian Hicom Pegoh di Melaka, dan EPMB menyasarkan pengeluaran tahunan sebanyak 20,000 unit menjelang 2028.

    Sebagai tambahan kepada kenderaan daripada Great Wall Motor, kilang EPMB juga akan memasang kenderaan oleh BAIC, iaitu BJ40 Plus dan SUV X5II. Dengan ini, BAIC juga berhasrat untuk mewujudkan rangkaian perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk kenderaan pemanduan kanannya di Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025