Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rapid KL lanjutkan percubaan bas perantara MRT bagi Puchong, Seri Kembangan, Cheras hingga 24 Mac

    Klik untuk besarkan

    Berita baik untuk penduduk di sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Cheras. Rapid KL telah mengumumkan laluan percubaan bagi bas perantara MRT yang diperkenalkan pada September 2023 – T545 dan T569 – dilanjutkan hingga 24 Mac 2024.

    Bas T545 menghubungkan stesen Putra Permai iaitu bagi MRT Laluan Putrajaya dengan stesen LRT Puchong Perdana, dan ia juga akan berhenti di Terminal Puchong Utama. Laluan itu juga melibatkan Taman Puchong Utama 12, Taman Puchong Utama 10, SK Puchong Utama 1, Puchong Utama Court 2, Lakeview Homes, Lakehaven Homes, Tasik Prima 3, Vista Millennium, Masjid Puchong Perdana mosque dan kawasan flat Puchong Indah.

    Sementara itu, bas T569 yang mengubungkan stesen Batu 11 Cheras bagi MRT Laluan Kajang dengan stesen Serdang untuk MRT Laluan Putrajaya. Ia juga melibatkan banyak perhentian termasuk Cheras Selatan, Balakong, Mines, South City Plaza, Seri Kembangan dan Taming Jaya – senarai penuh perhentian ada pada jadual di atas.

    Kedua-dua laluan tersebut adalah dari jam 6 pagi hingga 11.30 pagi, dengan kekerapan 15 minit serta kadar tambangnya hanyalah RM1 untuk sehala.

     
     
  • Honda Winner X pasaran Vietnam terima peningkatan – kini dengan anti-slip clutch, RS-X seterusnya?

    Honda Winner X pasaran Vietnam terima peningkatan – kini dengan anti-slip clutch, RS-X seterusnya?

    Honda Winner X, yang juga dikenali sebagai RS-X di negara kita diberikan peningkatan untuk pasaran Vietnam. Ia ditawarkan dalam tiga versi iaitu Special ABS, Sport ABS dan Standard (tiada ABS), dengan harga di antara 46.16 juta dong (RM8,795) ke 50.06 juta dong (RM9,538).

    Peningkatan pertama sudah tentu adalah penampilan, dengan versi Standard yang di bawah sekali menggunakan grafik dua tona warna, Sport gabungan tiga warna seakan berkonsepkan HRC manakala Special yang paling tinggi menggunakan penampilan lebih eksklusif bersama kelongsong fork berwarna emas.

    Bagi panel badan, ia masih lagi kekal seperti pembaharuan yang dibuat bagi model pasaran Vietnam pada tahun 2021, dengan termasuk panel dada, lampu penunjuk arah hadapan, panel tepi belakang serta ekzos yang berbeza dengan RS-X pasaran Malaysia.

    Peningkatan bagi model tahun 2024 ini tidak berakhir di situ kerana Honda juga mengumumkan bahawa transmisi enam kelajuan Winner X sekarang dilengkapi dengan klac anti gelinciran (anti-slip clutch), manakala ignition coil telah ditambah baik.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit satu silinder PGM-Fi (suntikan bahan api) 149.1 cc DOHC, dan kuasanya masih 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Kelengkapan lain juga tidak berubah, termasuk pengecas USB, kunci pintar, meter digital, brek cakera hadapan dan belakang serta rim 17 ini dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

     
     
  • Volvo Car Malaysia jual 2,694 unit kereta pada 2023 – 18% adalah EV, lebih tinggi dari purata jualan global

    Volvo Car Malaysia jual 2,694 unit kereta pada 2023 – 18% adalah EV, lebih tinggi dari purata jualan global

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 2,694 unit kenderaan sepanjang tahun 2023. Dari jumlah keseluruhan itu, 71% adalah dari model-model Recharge (yang menerima teknologi elektrifikasi termasuk hibrid) dan 18% daripadanya adalah model elektrik penuh (EV).

    Ini menunjukkan bahawa VCM telah mencapai jualan EV yang lebih tinggi dari purata jualan EV global Volvo Cars bagi 2023 iaitu 16% dari jumlah jualan keseluruhan. Walau bagaimanapun pencapaian ini masih lagi jauh dari sasaran syarikat itu yang ditetapkan pada 2022 iaitu untuk mencapai jualan EV 75% dari jumlah keseluruhan menjelang 2025.

    Malah angka jualan keseluruhan tahunan yang dicatatkan pada tahun lalu ini adalah 16% lebih rendah dari rekod jualan 3,194 unit yang dicatatkan pada 2022. Namun dengan berjaya menjual sebanyak 71% model Recharge, ia menjadi satu lagi pencapaian buat VCM kerana untuk pasaran global Volvo Cars 2023, angka purata jualan model-model Recharge hanyalah 38% dari jumlah keseluruhan.

    Volvo EX30 (kiri) dan EX90 (kanan) yang bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini.

    Ini membolehkan Malaysia tersenarai dalam 15 pasaran Volvo di seluruh dunia mencatatkan peratusan jualan model-model Recharge yang tinggi, membuktikan penerimaan yang baik terhadap teknologi plug-in hybrid (PHEV) dan EV di sini.

    “2023 adalah tahun yang transformatif bagi kami kerana kami beralih ke arah masa depan elektrik sepenuhnya. Semua model elektrik sepenuhnya kami kini dijual terus pada platform jualan dalam talian kami untuk perjalanan pemilikan yang selamat, telus dan tanpa kerumitan. Walaupun menunjukkan penurunan jualan yang sedikit, kami amat berbangga kerana telah mempertahankan bahagian segmen kami memandangkan kami berada di antara kitaran produk tanpa pelancaran baharu tahun lepas,” kata Charles Frump, pengarah urusan VCM.

    Untuk 2024, VCM dijangka bakal melancarkan dua model EV generasi Volvo di sini iaitu SUV kompak EX30 dan juga SUV mewah EX90.

     
     
  • Salah guna laluan bas – penguatkuasaan bakal lebih ketat; galak rakyat guna bas, elak eksploitasi laluan

    Salah guna laluan bas – penguatkuasaan bakal lebih ketat; galak rakyat guna bas, elak eksploitasi laluan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa kementeriannya bakal melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengguna jalan raya yang menyalahgunakan laluan khas bas. Ia bagi memastikan laluan khas tersebut tidak dieksploitasi oleh pengguna jalan raya yang lain.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas, menjadi antara pilihan utama dalam kalangan rakyat.

    “Pendekatan saya ialah carrot and stick (ganjaran dan hukuman). Jika carrot (manfaat) tidak menarik mereka, kita akan gunakan stick (penguatkuasaan). Orang ramai tidak berminat menaiki bas kerana terdapat kemungkinan mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana kekerapan bas sukar dijangka. Itulah sebabnya kita berusaha keras memperkenalkan laluan bas.

    “Kita ada dua laluan pada masa ini iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang. Jika dua koridor ini berjaya, kita bercadang untuk menambah laluan bas ini,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Laporan Prestasi 2023 dan Pelan 2024 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Menara UOA hari ini.

    Dalam pembentangan tersebut Anthony memberitahu pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan pada ketika ini dalam melaksanakan proses bukti konsep bagi pelaksanaan perluasan dua laluan khas bas iaitu di daerah Lembah Klang melibatkan Jalan Ampang dan Jalan Klang Lama ke Jalan Puchong termasuk di Jalan Burma, Pulau Pinang.

    Beliau turut memaklumkan purata penumpang yang disasarkan pada tahun ini berjumlah 285,000 penumpang iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding 241,000 penumpang pada 2023. Selain itu, Prasarana turut menyasarkan untuk menaik taraf sebanyak 117 tapak perhentian bas, 11 laluan pejalan kaki dan 15 hab bas untuk tahun ini.

     
     
  • Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Volvo Cars telah mencatat satu lagi rekod jualan tahunan global tahun lalu dengan berjaya menjual sebanyak 708,718 unit kenderaan sepanjang 2023. Angka berkenaan jelas naik 15% berbanding 615,121 unit yang dijual pada tahun 2022.

    Bagi pecahan pasaran, Eropah masih lagi pasaran terbesar Volvo dengan jualan sebanyak 294,794 unit pada 2023 (+19% berbanding 2022), diikuti China sebanyak 170,091 unit (+5%). Manakala pasaran Amerika Syarikat pula mencatatkan kenaikan paling mendadak dengan jualan sebanyak 128,701 unit, naik 26% berbanding tahun sebelumnya. Sejumlah 115,130 unit selebihnya pula dijual di lain-lain pasaran, dan ia turut naik sebanyak 11%.

    Dari keseluruhan kenderaan yang dijual oleh Volvo tahun lalu, 113,419 unit atau 16% daripadanya adalah kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), meningkat sebanyak 70% berbanding 2022. Kebanyakkan EV tersebut dijual pada pasaran Eropah dengan jumlah 75,476 unit (26% dari jumlah jualan keseluruhan jenama itu).

    Volvo catat rekod jualan global baru pada 2023 – 708,718 unit, naik 15%; EV hanya 16% keseluruhan

    Namun di negara yang sedang menyaksikan perkembangan pesat terhadap EV iaitu China, Volvo hanya berjaya menjual sebanyak 3,281 unit EV di pasaran tersebut, atau hanya 2% dari jumlah jualan keseluruhannya. Volvo mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030 dan mahu 50% jualannya adalah EV pada 2025.

    Jadi untuk 2024, Volvo dijangka bakal memperhebatkan lagi barisan model-model EV generasi baharunya. Baru-baru ini ia sudahpun mendedahkan model EV generasi baharu tanpa varian enjin pembakaran dalaman seperti EX30, EX90 dan EM90, dan tak lama lagi ia akan memperkenalkan pula sedan ES90.

    Beralih ke model-model plug-in hybrid (PHEV), sebanyak 152,561 unit model dengan teknologi ini dijual oleh Volvo sepanjang 2023, naik sekitar 10% berbanding 2022. Jika digandingkan dengan jualan EV, jumlah jualan Volvo dengan lencana Recharge (yang menerima sistem elektrifikasi) adalah mewakili 38% jualannya sepanjang 2023.

    Antara kesemua model yang dijual, SUV XC60 masih lagi menjadi model paling laris Volvo pada 2023, dengan terjual sebanyak 228,646 unit di seluruh dunia, atau naik sebanyak 17%. SUV kompak XC40 pula berada di tempat kedua (200,670 unit, naik 19%), manakala XC90 yang sudah lama berada dalam pasaran masih mampu berada di tempat ketiga (107,549 unit, naik 11%).

    Jualan sedan-sedan Volvo juga naik tahun lalu di mana sedan paling besarnya iaitu S90 berjaya dijual sebanyak 49,283 unit (naik 15%), mengatasi sedan yang lebih sporty dan kompak Volvo S60 yang dijual sebanyak 40,153 unit (naik 2%).

    Model ‘coupe lima-pintu’, EV C40 pula bejaya dijual sebanyak 37,114 unit, naik sebanyak 53% berbanding 2022. Namun jualan model-model wagon mengalami sedikit kemerosotan, dengan V60 dijual sebanyak 30,438 unit (turun 5%) dan V90 sebanyak 14,224 unit (turun 4%).

    Model EV kompak baharu Volvo EX30 yang baru sahaja masuk ke pasaran global pada akhir tahun lalu pula mencatatkan jualan sebanyak 639 unit.

     
     
  • Jualan EV di Thailand pada 2023 naik 684% – kini bersamaan 12% daripada jumlah jualan kereta baru

    Jualan EV di Thailand pada 2023 naik 684% – kini bersamaan 12% daripada jumlah jualan kereta baru

    Jualan kenderaan elektrik di Thailand semakin melonjak naik apabila pada tahun 2023, 76,314 unit dicatatkan, bersamaan peningkatan 684% berbanding tahun sebelumnya – lapor Autolife Thailand.

    Berada paling atas mengikut jenama adalah BYD, dengan catatan jualan 30,650 unit EV, diikuti Neta di tempat kedua dengan catatan 12,777 EV dan seterusnya MG dengan catatan 12,764 EV. Tesla kemudiannya berada di tempat keempat dengan catatan 8,206 unit EV dan di tempat kelima adalah Ora daripa Great Wall Motor dengan jualan 6,746 unit.

    Melihat pula kepada 10 model EV terlaris di Thailand tahun lepas, berada paling atas adalah BYD Atto 3 dengan catatan 19,214 unit, diikuti Neta V 12,777 unit, BYD Dolphin 9,410 unit, Ora Good Cat 6,712 unit dan Tesla Model Y 5,881 unit.

    MG 4 Electric pula berada di tempat keenam dengan catatan jualan 4,833 unit, diikuti MG EP 4,475 unit, Tesla Model 3 2,324 unit, BYD Seal 1,810 unit dan MG ZS EV 1,753 unit.

    Jumlah 76,314 unit yang diberitahu awal tadi menjadikan jualan kenderaan EV di Thailand 12.02% daripada jualan keseluruhan kenderaan pada tahun 2023 di negara itu, yang berjumlah 634,948 unit. Pada tahun sebelumnya, Thailand mencatat penjualan EV sebanyak 9,729 unit, sementara pada tahun 2021 ia berjumlah 1,935 unit.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – teaser disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – <em>teaser</em> disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Selepas teaser untuk versi facelift Volkswagen Golf generasi ke lapan disiar sebelum ini, kini giliran teaser untuk versi prestasinya pula muncul – ini dia Golf GTI facelift 2025 yang bakal didedahkan sepenuhnya tak lama lagi.

    Berbeza dengan teaser versi biasa yang hanya menunjukkan bayangan bahagian hadapan, versi GTI ini nampaknya hampir didedahkan seluruhnya dan tampil dengan gambar penuh, tetapi masih disorokkan dengan pelekat penyamaran pada badan. Malah sedikit foto bahagian kabin turut disiarkan dengan pengumuman rasmi beberapa perinciannya.

    Model facelift ini nampaknya menerima sepasang lampu hadapan baharu dengan rekaan lebih bersegi dan juga lampu belakang dengan grafik jalur LED yang berubah. Selain itu ia juga rekaan bampar hadapan dan belakang baharu serta skrin infotainmen lebih besar bersaiz 15-inci seperti model fastback EV ID.7.

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – <em>teaser</em> disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Menerusi imej yang disiarkan ini juga mengesahkan bahawa fungsi kawalan sesentuh pada roda stereng seperti pada model sedia ada digantikan menggunakan butang konvensional biasa selepas perincian tersebut dikritik oleh pengguna. Volkswagen juga mengesahkan bahawa model facelift ini akan menerima integrasi ChatGPT, iaitu chatbot berasaskan AI yang digandingkan bersama pembantu arahan suara IDA.

    Sistem itu boleh digunakan pengguna bagi mengoperasikan fungsi seperti sistem infotaimen, navigasi dan juga sistem penghawa dingin yang menggunakan arahan suara. Bukan itu sahaja, ia juga mampu untuk menjawab pelbagai soalan pengetahuan am, dan untuk masa hadapan ia turut boleh berinteraksi dalam bahasa intuitif, menerima maklumat khusus kenderaan dan banyak lagi.

    Pengguna tidak perlu membuat akaun baharu serta tidak perlu menambah atau mengaktifkan aplikasi ChatGPT baharu secara berasingan. Arahan boleh dimulakan dengan prompt suara “hello IDA”, dan sekiranya permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan oleh sistem IDA, ia akan dibawa ke ke AI kemudian IDA akan memberikan respon.

    Volkswagen Golf GTI facelift 2025 – <em>teaser</em> disiar; suis butang biasa ganti kawalan sesentuh, ada ChatGPT

    Volkswagen Golf GTI

    Volkswagen mengesahkan bahawa data dari kereta tidak boleh diakses oleh ChatGPT, dan sebarang pertanyaan yang diterima serta jawapan yang diberikan akan dipadam serta merta bagi menjamin perlindungan data pelanggannya.

    “Terima kasih kepada penyepaduan ChatGPT yang lancar dan kerjasama kukuh dengan rakan kongsi kami, Cerence, kami menawarkan nilai tambah pemacu kami dan akses terus kepada alat penyelidikan berasaskan AI. Ini juga menggariskan kekuatan inovatif produk baharu kami,” kata ketua pembangunan teknikal Volkswagen Kai Grünitz.

    VW masih belum memberikan sebarang informasi berkenaan unit rangkaian kuasa pada model kemaskini ini, namun kami jangkakan ia masih menggunakan unit yang sama seperti model sedia ada. Ia menggandingkan enjin petrol EA888 empat silinder turbo berkuasa 245 PS/370 Nm dan juga kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan bagi memacu hanya roda hadapan.

     
     
  • Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Jika anda sedang mencari kereta baru sempena Tahun Baru ini, atau untuk Tahun Baru Cina nanti, berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival anjuran myTukar pada hujung minggu ini, 12-14 Januari 2024. Akan berlangsung di Puchong South Retail Experience Centre, terdapat pelbagai pilihan dan tawaran menarik menanti anda di sana.

    Tidak kira berapa bajet anda atau jenis kereta yang dicari, barisan kenderaan myTukar Certified akan memenuhi keperluan serta gaya hidup anda di sepanjang Tukar-Je CARnival ini. Untuk tahu apa yang boleh dijangkakan nanti, berikut antara pilihan kenderaan yang bakal tersedia, bermula dengan Proton.

    Antara model Proton yang ada termasuklah Iriz, yang ditawarkan dengan ansuran serendah RM383 sebulan, serta X50 dengan ansuran RM989 sebulan. Bagi anda yang inginkan sedan segmen B dari pengeluar Jepun, kedua-dua Honda City dan Toyota Vios boleh dimiliki, masing-masing dari serendah RM635 sebulan dan RM536.

    Kalau perlukan kereta yang lebih besar, ada Honda Accord dengan ansuran bulanan serendah RM985, serta Toyota Corolla Cross dari RM1,271 sebulan. Tidak ketinggalan Mitsubishi Xpander dengan tujuh-tempat duduk dengan harga serendah RM975 sebulan.

    Jenama premium juga berada dalam katalog myTukar, misalnya seperti BMW 2 Series Gran Coupe dan juga Mercedes-Benz C-Class tersedia dengan ansuran RM1,790 sebulan. Ada banyak lagi jenama dan model, yang boleh anda rujuk di laman web myTukar.

    Selain harga yang menarik, membeli kereta dari myTukar juga akan memberikan kelegaan fikiran kepada anda kerana semua kereta myTukar Certified datang dengan jaminan 12-bulan untuk enjin dan kotak gear, serta jaminan pulangan wang dalam tempoh lima-hari. Setiap kereta di bawah program myTukar Certified perlu melalui pemeriksaan 160-poin bagi memastikannya menepati standard yang dikehendaki.

    Pemeriksaan itu termasuklah untuk memastikan odometer perbatuan kenderaan terbabit tidak pernah diusik, serta memastikannya tidak pernah terlibat dalam kemalangan teruk atau ada kerosakan akibat kebakaran atau banjir. Hanya sekiranya kereta itu lulus pemeriksaan berkenaan, dan semua kecacatan kecil telah diperbaiki atau diperkemas, barulah ia diiklankan.

    Barisan kenderaan yang pelbagai akan menanti pengunjung di Tukar-Je CARnival hujung minggu ini. Anda boleh juga mengetahui lebih lanjut tentang pakej badan dan cat oleh Carro Care serta tawaran Insurans myTukar. Tidak ketinggalan, akan ada aktiviti menarik serta promosi daripada myTukar bernilai lebih RM1 juta!

    Beli kereta daripada myTukar dan nikmati:

    • Diskaun sehingga RM8,888 untuk kereta terpilih.
    • Hadiah termasuk baucar diskaun 30% untuk Pakej Badan dan Cat oleh Carro Care, diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care, diskaun 10% untuk memperbaharui insurans serta kad Touch n Go kustom bernilai RM50.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika membeli kenderaan myTukar Certified yang akan diserahkan dalam masa 14 hari.

    Kunjungi mana-mana pusat pemeriksaan myTukar di seluruh negara (tidak tersedia di myTukar Puchong South Retail Experience Centre semasa acara tiga hari ini) jika anda ingin trade-in kereta anda. myTukar akan melanjutkan sebahagian tawaran istimewa jika anda menjual kereta anda sepanjang Tukar-Je CARnival.

    Apa yang perlu anda lakukan ialah serahkan kereta anda yang akan dinilai segera. Jika anda menjual kereta anda dalam masa 24 jam selepas diberikan sebut harga, anda akan nikmati tawaran tambahan.

    Jual kereta kepada myTukar dan nikmati:

    • Baucar diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan Carro Care.
    • Diskaun 10% untuk memperbaharui insurans.
    • Peluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah seperti Sony Playstation 5, Nintendo Switch, Apple Watch, Apple Airpod, dash-cam dalaman kenderaan dan banyak lagi ketika anda menyerahkan kenderaan untuk diperiksan dan menjualnya dalam masa 24 jam selepas diberi sebut harga.

    Anda juga akan menikmati lebih banyak tawaran ketika servis dan memperbaharui insurans kereta anda melalui jenama ini.

    Carro Care:

    • Diskaun 30% untuk pakej Badan dan Cat berserta baucar kredit RM100.
    • Diskaun 10% untuk pakej Penyelenggaraan Kenderaan, serta minyak enjin dan penapis minyak percuma.

    Insurans:

    Nikmati diskaun 10% tambahan ketika anda memperbaharui insurans kenderaan dengan myTukar Insurans. Dapatkan sebut harga segera melalui servis insurans baru myTukar, yang membolehkan anda untuk mencari dan membandingkan sebut harga oleh pelbagai penyedia insurans seperti Takaful Ikhlas, Takaful Malaysia, MSIG, Allianz, Zurich dan AIA.

    Servis berkenaan termasuklah pembaharuan cukai jalan segera serta pengiraan NCB (No Claim Bonus). Dengan platform insurans myTukar, anda boleh merancang pelan insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda.

    Jangkakan lebih banyak keseronokan!

    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024
    Pelbagai pilihan kereta termasuk jenama premium di Tukar-Je CARnival oleh myTukar — 12-14 Januari 2024

    Bukan karnival namanya kalau tiada aktiviti menyeronokkan untuk anda dan keluarga. Bawa keluarga anda dan berhibur dengan konsert mini yang menampilkan beberapa artis tempatan. Anak-anak juga boleh mengalami sendiri bagaimana menjadi pemandu yang bertanggungjawab di Sekolah Memandu Kanak-kanak myTukar, dan mereka boleh memandu kenderaan elektrifikasi dalam litar khas dan akan diberikan lesen memandu eksklusif!

    Dan, jangan lupa untuk segarkan tenaga! Makan dan minum dengan hidangan jalanan yang disediakan, penuh dengan hidangan tempatan daripada pelbagai penyedia trak makanan yang terlibat.

    Berkunjunglah ke Tukar-Je CARnival myTukar di myTukar Puchong South Retail Experience Centre 12-14 Januari ini, dari 10 pagi hingga 7 malam setiap hari. Untuk maklumat lanjut, layari laman web myTukar.

    myTukar Puchong South Retail Experience Centre
    Lot 14225, KM 3.8
    Lebuhraya Damansara–Puchong
    47100 Puchong, Selangor.

    Google Maps
    Waze

    *Semua promosi tertakluk kepada terma dan syarat.

    Proton Iriz R3

    Proton X50

    Honda City

    Toyota Vios

    Mitsubishi Xpander

    Honda Accord

    Toyota Corolla Cross

    BMW 218i

    Mercedes-Benz C200 AMG

    Mercedes-Benz C200

     
     
  • Polis beri amaran jangan pergi ke pusat bandar Kota Tinggi kerana paras air banjir masih tinggi

    Polis beri amaran jangan pergi ke pusat bandar Kota Tinggi kerana paras air banjir masih tinggi

    Susulan keadaan paras air banjir yang masih tinggi di pusat bandar Kota Tinggi Johor, polis meminta agar orang ramai agar menangguhkan sementara perjalanan mereka ke kawasan tersebut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora dalam laporan Bernama, beberapa jalan di pusat bandar seperti Jalan Tun Seri Lanang hingga ke kawasan jambatan, selain Jalan Abdullah dan Jalan Niaga Utama masih dinaiki air menyebabkan tidak dapat dilalui kenderaan kecuali bot penyelamat.

    “Saya menyeru kepada penduduk yang terjejas dan orang ramai yang ingin memasuki bandar Kota Tinggi agar menangguhkan sementara pergerakan mereka ini hingga air surut atau keadaan kembali seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita ketika operasi menyelamat di kawasan pusat bandar itu hari ini.

    Hussin juga memberitahu bahawa 112 orang awam yang terperangkap dalam banjir di kawasan pusat bandar berjaya diselamatkan sejak air naik mendadak bermula 9 malam hingga 4 pagi tadi. Beliau turut menambah operasi menyelamat kebanyakkan melibatkan mangsa banjir yang terperangkap di kawasan rumah dan premis perniagaan, namun masih ada antara mereka yang enggan berpindah.

    “Ada segelintir daripada mereka fikir situasi banjir ini sekejap dan tidak berbahaya. Apabila air semakin naik, (barulah) mereka mohon pertolongan dan dengan sikap profesionalisme anggota agensi penyelamat kita, semua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berhampiran,” katanya.

    Walau bagaimanapun beliau megesahkan tiada laporan atau aduan mengenai kehilangan harta benda atau kecurian susulan banjir. Manakala berkenaan jalan yang ditutup pula, beliau berkata, meskipun ada jalan utama ditutup untuk laluan, terdapat beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui untuk ke Mersing dan ke Kota Tinggi.

    “Ada jalan seperti di Johor Bahru-Kota Tinggi dan Kota Tinggi-Mersing melalui pintasan dan jalan Simpang Pasak ke lampu isyarat Bandar Penawar untuk ke Johor Bahru, tetapi ia mengambil masa yang agak panjang kerana pengalihan jalan,” tambahnya.

     
     
  • Volkswagen Golf Mk8.5 2024 – teaser disiar

    Volkswagen Golf Mk8.5 2024 – <em>teaser</em> disiar

    Sedar tak sedar, model generasi ke lapan Volkswagen Golf sudahpun hampir empat tahun dalam pasaran selepas ia membuat kemunculan pertama pada Februari 2020. Maka tak lama lagi versi facelift Golf Mk8 tersebut bakal diperkenal, dan ini dia imej teaser pertamanya sudahpun disiarkan.

    Imej berkenaan ditunjuk dalam bahagian akhir video sorotan 2023 pembuat kereta Jerman itu menerusi saluran YouTube Volkswagen News, dan menandakan Golf Mk8.5 2024 ini bakal membuat kemunculan sulungnya tidak lama lagi. Ia membayangkan bahagian muka hatchback berkenaan yang akan menampilkan lampu nyalaan siang dalam lampu hadapan yang berbentuk sepasang mata panah berlainan arah pada setiap bahagian.

    Bayangan itu turut menunjukkan Golf facelift ini nanti akan terus menerima bar lampu yang bersambung dari bahagian lampu utama sehingga merentangi sepenuhnya gril hadapan, bersama logo VW yang menyala di tengah. Juga boleh dilihat ia dilengkapi dengan rel bumbung, menandakan ia adalah Golf Variant, iaitu dari versi wagon.

    Volkswagen Golf Mk8.5 2024 – <em>teaser</em> disiar

    Menerusi satu laporan yang ditulis oleh Car Magazine, VW Golf Mk8.5 ini bakal menampilkan rekaan butang-butang kawalan yang kembali menggunakan suis-suis konvensional termasuk pada roda stereng berbanding kawalan menggunakan paparan skrin sesentuh dan kawalan sesentuh pada model sedia ada, setelah menerima kritikan dari pengguna.

    Di Malaysia model generasi ke lapan ini dilancarkan secara rasmi pada Februari 2022 dengan varian paling rendah R-Line 1.4 TSI, diikuti model GTI dan paling berkuasa Golf R. Ketiga-tiganya ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang di Pekan Pahang (model CKD Golf R diperkenalkan kemudian iaitu pada Ogos tahun lalu), namun jualan bagi model paling murah iaitu R-Line telah dihentikan sejak Mac 2023.

     
     
  • Geely Galaxy E8 dilancar di China – EV dengan jarak gerak sehingga 665 km, kuasa 646 PS dan 710 Nm

    Geely Galaxy E8 dilancar di China – EV dengan jarak gerak sehingga 665 km, kuasa 646 PS dan 710 Nm

    Geely telah melancarkan Galaxy E8 di China, di mana ia ditawarkan dalam lima varian dengan harga antara 175,800 ke 228,800 yuan (RM114,225 ke RM148,661). E8 adalah model ketiga dalam siri Galaxy, iaitu satu jenama berasingan yang diperkenalkan oleh Geely pada tahun lepas.

    Mula ditunjukkan awal melalui model konsep Galaxy Light, E8 menampilkan lampu utama yang nipis dengan DRL unik di hadapan, garis bumbung rendah, pembuka pintu sama rata dengan badan, pintu tanpa bingkai serta kecekapan rintangan angin 0.199 Cd.

    Dibina atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang juga digunakan untuk Zeekr, smart, Volvo, Lotus dan beberapa lagi model lain Geely, E8 ini mencatat jarak roda 2,925 mm. Catatan dimensi lain adalah termasuk panjang 5,010 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,465 mm, ruang but 465 liter, ruang simpanan hadapan 53 liter, radius putaran 5.62 meter, serta kelegaan dari tanah 136 atau 143 mm.

    Varian yang disediakan untuk E8 ini adalah termasuk 550km Pro dan 550km Max, dengan kedua-duanya dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) yang memberikan jarak gerak sehingga 550 km mengikut standard CLTC. Untuk jarak gerak yang lebih jauh, pelanggan boleh mendapatkan varian 665km Long Range atau 665km Smart Driving yang datang dengan bateri LFP 76-kWh, memberikan jarak gerak sehingga 665 km.

    Geely Galaxy E8 dilancar di China – EV dengan jarak gerak sehingga 665 km, kuasa 646 PS dan 710 Nm

    Keempat-empat varian ini menggunakan tetapan elektrikal 400 volt dan datang dengan motor elektrik terletak di belakang yang berkuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan tork 343 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.95 saat dan mencatat kelajuan maksimum 190 km/j.

    Menurut Geely, dengan pengecasan pantas DC pada kadar maksimum 150 kW, bateri pada empat varian ini boleh naik dari 10 ke 80% dalam masa 28 minit. Turut diberitahu adalah varian 665 km mempunyai teknologi silicon carbide dan datang dengan sistem vehicle-to-load (V2L) secara standard.

    Varian paling tinggi iaitu 620km Performance adalah berbeza kerana ia datang dengan sistem elektrikal 800 volt, yang membenarkan kapasiti pengecasan pantas DC sehingga 360 kW – 10-80% SoC dalam masa 18 minit. Kapasiti bateri LFP pada model ini bagaimanapun adalah sedikit rendah, iaitu 75.6 kWh dan jarak geraknya pula adalah 620 km.

    Jarak gerak yang lebih rendah ini adalah disebabkan tetapan dua motor dan pacuan semua roda, yang terdiri daripada motor elektrik belakang 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan motor elektrik hadapan 224 PS (221 hp atau 165 kW). Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan tork 710 Nm, dan membantu menghasilkan pecutan 0-100 km/j lebih pantas, iaitu 3.49 saat dan laju maksimum 210 km/j.

    Geely Galaxy E8 dilancar di China – EV dengan jarak gerak sehingga 665 km, kuasa 646 PS dan 710 Nm

    Untuk bahagian dalam, E8 mendapat skrin panjang 45 inci di papan pemuka, dengan resolusi 8K. Walaupun skrin itu bersambung terus, ia dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan yang di hadapan pemandu sebagai panel instrumen, tengah untuk infotainmen dan kanan sekali untuk penumpang hadapan.

    Skrin ini, bersama dengan head-up display 25.6 inci pada E8 dikendalikan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295 dan perisian Geely Galaxy N-OS. Perincian lain adalah seperti lampu suasana 256 warna, pad mengecas 50 W, sistem bunyi dengan lapan atau 12 pembesar suara serta tempat duduk yang boleh didapati dengan fungsi pengudaraan serta mengurut.

    Berkenaan sistem keselamatan dan bantuan pemandu, E8 mempunyai sehingga lima sensor gelombang radar, 12 sensor ultrasonik, 10 kamera dan satu sensor LiDAR. Ini membenarkan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan Intelligent Cruise Assist, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Change Assist, Blind Spot Monitoring, Front and Rear Cross Traffic Alert, Automated Parking dan pemanduan semi-autonomous Navigate Autopilot 2.0.

     
     
  • Jln Kuantan-Segamat FT12 tutup hingga 28 Jan kerana jalan mendap – trafik dilencong ke laluan alternatif

    Jln Kuantan-Segamat FT12 tutup hingga 28 Jan kerana jalan mendap – trafik dilencong ke laluan alternatif

    JKR Pekan telah mengumumkan jalan Kuantan-Segamat FT12 ditutup kepada semua lalu lintas sehingga 28 Januari 2024. Ia berikutan kejadian jalan mendap di Seksyen 102 berhampiran kawasan projek burung unta dan penutupan jalan berkenaan untuk kerja-kerja pembaikan.

    Susulan itu, trafik dilencongkan ke laluan alternatif sepanjang tempoh yang dinyatakan. Pengguna dari arah Kuantan ke Muadzam Shah akan dilencongkan ke Laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau melalui bandar Pekan) dan Laluan FT63 (Leban Condong-Muadzam Shah). Manakala mereka yang dari arah Gambang ke Muadzam Shah pula melalui laluan FT82 (Pekan Batu Balek) ke laluan Persekutuan FT03 (Kuantan-Endau).

    Untuk perkembangan lain di Kota Tinggi, Johor pula, laluan ke Mersing yang diumumkan tutup sebelum ini telah dibuka kembali untuk semua kenderaan. Walau bagaimana pun, semua pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa berhati-hati terutamanya ketika melalui laluan yang terlibat dengan bencana banjir.

     
     
  • Sisma Auto Hub Sungai Besi – pusat 3S berbilang-jenama untuk jualan, selenggara dan baik pulih

    Sisma Auto Hub Sungai Besi – pusat 3S berbilang-jenama untuk jualan, selenggara dan baik pulih

    Sisma Auto telah membuka pusat 3S (jualan, selenggara dan alat ganti) berbilang-jenama keduanya, Sisma Auto Hub yang bertempat di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Kuala Lumpu. Ia merupakan Auto Hub kedua milik syarikat berkenaan, selepas pembukaannya yang pertama di Glenmarie, Shah Alam pada Februari 2022.

    Menurut Pengarah Urusan Sisma Auto Group Syed Khalil Syed Ibrahim, pembukaan Auto Hub ini adalah bagi memperluaskan penawaran 3S berbilang jenamanya untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin meningkat. Pembukaan Sisma Auto Sungai Besi Auto Hub ini juga adalah hasil kejayaan cawangan Glenmarie yang dibuka, kata syarikat tersebut, selain bersedia untuk terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan selama lebih 25 tahun sebagai pengedar francais bagi Jaguar, Land Rover, Volvo dan BYD di Malaysia.

    “Di Sisma Auto Hub, kami menawarkan pengalaman 3S premium yang sama bagi segala keperluan kereta mewah anda tanpa mengira dari mana asalnya. Sama ada anda ingin membeli, menjual atau mendapatkan servis untuk kereta mewah, anda boleh mendapatkan segala perkhidmatan tersebut di Sisma Auto Hub. Kejayaan operasi cawangan Glenmarie kami menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan unik yang kami tawarkan.

    “Pusat baharu yang canggih ini dibina khas dengan saiz yang lebih besar dan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang kian bertambah. Dengan lokasi yang strategik di Lebuhraya Sungai Besi yang memberikan akses mudah melalui beberapa lebuhraya, Sisma Auto Hub Sungai Besi berupaya menyediakan perkhidmatan kepada kumpulan pelanggan yang besar di Lembah Klang. Masukkan saja lokasinya di Waze dan saksikan sendiri betapa mudahnya untuk ke sana,” katanya lagi.

    Pemilik kenderaan juga boleh menjual kenderaan mewah mereka di Sisma Auto Hub, yang dipilih berdasarkan perbatuan dan keadaannya. Setiap buah kereta perlu menjalani pemeriksaan yang teliti dan dibaik pulih supaya ia berada dalam keadaan yang terbaik.

    Bagi pusat servisnya pula, ia mempunyai kelengkapan dan peralatan diagnostik terkini untuk menyenggarakan semua jenama kereta buatan Eropah. Ia menyediakan perkhidmatan untuk semua jenama kereta mewah tanpa mengira sumber, sama ada kenderaan yang dibeli menerusi import selari atau yang telah tamat waranti daripada pengeluar.

    Pasukan Sisma Auto Hub yang terdiri daripada mekanik terlatih mampu menjalankan kerja-kerja servis, penyenggaraan dan pembaikan, termasuklah kerja pembaikan besar. Perkhidmatan lain yang turut disediakan adalah servis tayar, penjajaran dan pengimbangan roda, servis penyaman udara dan penukaran cermin depan.

    Di samping itu, kakitangan pusat ini juga boleh membantu dalam proses tuntutan insurans bagi kes-kes kemalangan. Sisma Auto Hub juga merupakan pembaik panel bagi Warranty Smart, yang merupakan penyedia waranti kenderaan terkemuka.

    Sisma Auto Hub Sungai Besi baharu ini terletak di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Waktu operasi adalah dari 9 pagi hingga 7 malam dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 10 pagi hingga 5 petang bagi Sabtu dan Ahad.

     
     
  • Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

    Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

    Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) mengumumkan bahawa jentera rali GR Yaris Rally2 kini sudahpun menerima sijil penuh homologasi dari Persekutuan Automobil Dunia (FIA) pada 1 Januari lalu. Jadi secara rasmi, jentera ini sudahpun boleh mula dibeli dan diedarkan ke seluruh dunia menerusi program perlumbaan pelanggan, dan bakal berlumba pada pusingan pertama Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2024 yang akan bermula di Rally Monte Carlo 25 Januari ini.

    Berbeza dengan jentera GR Yaris Rally1 yang digunakan dalam kategori tertinggi WRC diasaskan dari kerangka space frame, GR Yaris Rally2 yang berlumba dalam kategori lebih rendah iaitu WRC2 ini masih menggunakan kerangka GR Yaris produksi yang dijual di bilik-bilik pameran Toyota.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Toyota tidak menyebut jenis enjin yang digunakan pada jentera rali sebenar ini. Namun menerusi spesifikasi yang tertulis bahawa enjin tersebut merupakan enjin tiga-silinder turbo berkapasiti 1,618.2 cc dengan omboh berdiameter 87.5 mm dan lejang 89.7 mm, dapat disimpulkan ia masih menggunakan enjin G16E-GTS yang sama seperti versi produksi.

    Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

    Untuk pengetahuan anda, jentera WRC GR Yaris Rally1 bukan sahaja menggunakan kerangka badan berbeza, malah ia turut masih menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang diambil dari jentera Yaris WRC terdahulu, dan dibantu oleh modul hibrid elektrik pada gandar belakang.

    Berbalik pada enjin GR Yaris Rally2 ini, ia dipadankan dengan unit resrictor 32 mm pada pengecas turbo seperti yang disyaratkan oleh FIA, menghasilkan kuasa yang lebih kurang sama dengan jentera-jentera Rally2 dari pengeluar lain iaitu sekitar 290 hp.

    Ia juga menerima kelengkapan standard untuk jentera Rally2 seperti kotak gear lima-kelajuan sequential (tanpa pedal penukar pada setereng, hanya tuil tangan biasa), dan dihubungkan kepada sistem pacuan semua roda – diberikan LSD pada setiap gandar hadapan dan belakang, tanpa differential tengah dan tanpa sebarang sistem agihan tork aktif (kekal 50:50 setiap masa).

    Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

    Jentera rali sebenar ini juga menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih agresif dari model produksi, tetapi masih tidak ekstrim seperti jentera Rally1. Ia menampilkan fender sisi lebih lebar dengan panel yang turut menyumbangkan downforce, liang-liang udara bersama spoiler dan splitter lebih besar pada bampar hadapan, dan juga spoiler gergasi di belakang.

    Ini menjadikan GR Yaris Rally1 ini 15 mm lebih lebar kepada 1,820 mm berbanding 1,805 mm pada model produksi. Manakala beratnya pula berada pada kadar paling minima yang dibenarkan oleh FIA iaitu 1,230 kg termasuk satu tayar gantian.

    Toyota GR Yaris Rally2 ini telahpun membuat penampilan sulungnya dikhalayak ramai ketika berlangsungnya Rally Japan 2022, iaitu pusingan terakhir WRC musim berkenaan. Sebelum menerima sijil homologasi ini jentera berkenaan telah dipandu secara kompetitif sejauh 15,000 km menerusi penyertaannya dalam Kejohanan Rali Jepun (JRC) dan diuji oleh pelbagai pemandu profesional termasuk pengerusi Toyota ‘Morizo’ Akio Toyoda di pelbagai negara keadaan seluruh dunia.

    Toyota GR Yaris Rally2 – jentera rali sebenar sudah boleh dibeli, mula berlumba dalam WRC2 tahun ini

    “Morizo turut berharap agar GR Yaris Rally2 ini akan menjadi langkah pertama bagi menghubungkan antara kereta lumba dan model produksi menerusi perlumbaan rali – langkah yang mungkin boleh menyumbang bagi menambahbaik pasaran rali di seluruh dunia,” kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pelumba pertama yang mengesahkan akan memandu GR Yaris Rally2 ini adalah bekas juara Junior WRC dari Finland, Sami Pajari – tidak mengejutkan kerana Pajari merupakan antara pelumba yang menguji GR Yaris Rally2 sebelum ini. Pelumba yang baru berumur 22 tahun itu memandu Skoda Fabia RS Rally2 tahun lalu bersama pasukan Toksport, berhijrah ke pasukan dan jentera baharu ini bersama juruarahnya, Enni Mälkönen.

    Dikhabarkan sebanyak empat GR Yaris Rally2 ini akan memulakan perlumbaan di Monte Carlo hujung bulan ini. Pemandu-pemandu pembangunan Toyota dari Jepun selepas ini turut dijangka akan menggunakan jentera tersebut – sebelum ini pemandu pertama program itu, Takamoto Katsuta berlumba dengan jentera Ford Fiesta R5 dalam kategori WRC2, sebelum dapat beralih ke kategori utama dengan memandu Yaris WRC dan GR Yaris Rally untuk pasukan TGR-WRT bermula 2019 hingga sekarang.

     
     
  • myTukar AutoFair kini dikenali sebagai ‘Tukar-Je CARnival’ – berlangsung 12-14 Jan di Puchong South

    myTukar AutoFair kini dikenali sebagai ‘Tukar-Je CARnival’ – berlangsung 12-14 Jan di Puchong South

    Acara AutoFair anjuran myTukar yang diadakan setiap tahun kini telah dijenamakan semula sebagai ‘Tukar-Je CARnival’ dan akan berlangsung hujung minggu ini, 12-14 Januari di myTukar Retail Experience Centre, Puchong South.

    Bukan setakat pilihan kereta yang banyak, pengunjung juga boleh mengetahui lebih terperinci tentang pembiayaan, servis selepas jualan serta pilihan insurans sewaktu acara itu, dengan pelbagai tawaran eksklusif disediakan. Anda juga boleh menikmati pertunjukan secara langsung, jualan makanan, pandu uji kenderaan serta laluan memandu kanak-kanak yang boleh memberikan mereka ‘lesen khas myTukar’.

    “Kami berbesar hati untuk mempersembahkan kenderaan myTukar Certified dan lebih teruja untuk menunjukkan ekosistem yang kuat di Tukar-Je CARnival. Dengan pelbagai lagi tawaran seperti pembiayaan, servis selepas jualan dan insurans, pelanggan kini boleh menyelesaikan semua keperluan automotif mereka tanpa pergi atau menghantar dokumen kepada beberapa pihak,” kata CEO myTukar, Derrick Eng.

    myTukar AutoFair kini dikenali sebagai ‘Tukar-Je CARnival’ – berlangsung 12-14 Jan di Puchong South

    “Mencari kereta keluarga yang tepat adalah satu perjalanan peribadi yang memakan masa, dan kami mahukan pelanggan kami mengambil masa serta ruang yang sesuai untuk memikirkan tentang pembelian mereka, sambil masih boleh meluangkan masa bersama keluarga di karnival ini,” tambah Derrick.

    myTukar juga berjanji setiap kenderaan yang mereka jualan adalah ‘Sama Bagus Seperti Baru’. Tanda myTukar Certified membawa makna kenderaan tersebut telah melalui pemeriksaan 160 bahagian untuk memastikan ia memenuhi standard yang ditetapkan. Kenderaan itu juga dijamin tidak pernah berhadapan kemalangan teruk, kebakaran, banjir atau catatan batuan yang telah diubah. Setiap kenderaan myTukar Certified datang dengan jaminan 12 tahun untuk enjin dan kotak gear, serta jaminan pulangan semula wang dalam masa lima hari.

    Tukar-Je CARnival akan berlangsung 12-14 Januari ini di myTukar Retail Experience Centre, Puchong South bermula jam 10 pagi hingga 7 malam. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web myTukar.com.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025