Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ottimo jenama baru, bakal perkenalkan kapcai 110 cc?

    Ottimo jenama baru, bakal perkenalkan kapcai 110 cc?

    Ketika ini, kami difahamkan ada sebuah jenama motosikal baru yang sedang bersiap sedia untuk memasuki pasaran tempatan. Syarikat berkenaan yang beroperasi di Kedah sedang dalam peringkat akhir untuk memperkenalkan model sulung bagi pengguna di Malaysia.

    Menggunakan Ottimo sebagai jenamanya, khabarnya ia merupakan syarikat dan rekaan tempatan sepenuhnya, dan bukan sebuah model rebadge dari mana-mana syarikat lain. Model pertama yang akan dilancarkan pula menggunakan kapasiti enjin 110 cc, dan jenis jenteranya sudah tentu dari kelompok motosikal yang paling popular di Malaysia, apa lagi kalau bukan kapcai.

    Melihat kepada beberapa gambar awal yang ada, motosikal ini nampaknya hadir dengan rekaan yang baru dan segar, dan kebarangkalian akan dijual dengan harga yang rendah berbanding pesaing-pesaing sedia ada dalam pasaran. Paultan.org difahamkan lagi, ini semua direka oleh bakat-bakat tempatan sendiri.

    Ottimo jenama baru, bakal perkenalkan kapcai 110 cc?

    Kelihatan juga pelekat Euro 3 tertera pada sisi badan motosikal ini. Adakah ini merujuk kepada piawaian enjin (biasanya tidak dipamerkan melainkan dinyatakan dalam brosur)? Atau adakah itu nama model yang akan diperkenalkan nanti? Setakat ini, silakan membuat andaian anda sendiri kerana kami belum lagi dapat mengesahkannya.

    Jika direnung kembali, di Malaysia kita pernah ada beberapa model atau jenama yang betul-betul ada pengalaman pembuatan dan menawarkan harga motosikal murah; pertama Modenas melalui model MR1/MR2, dan satu lagi Demak – malangnya, lepas umumkan lapan model baru pada pertengahan 2017, syarikat dan jenama ini terus ‘bungkus’ dan tiada operasi lagi di Malaysia.

    Jadi adakan jenama baru ini ada kena-mengena dengan dengan kedua-dua jenama yang disebutkan itu? Masih tiada kepastian. Namun, jika diamati, berapa banyak kilang pemasangan motosikal yang kita tahu beroperasi di Kedah? Mana ada yang lain kecuali Modenas.

    Ottimo jenama baru, bakal perkenalkan kapcai 110 cc?

    Tetapi untuk pemasangan kereta, ada lagi tambahannya. Di Kulim kita tahu ada beberapa jenama yang memasangkan kenderaan mereka di sana – termasuk jenama seperti BMW dan Mazda – dan ada satu lagi jika anda masih ingat, kilang pemasangan Naza/Haval juga terletak di negeri itu.

    Adakan kapcai Ottimo ini dipasang disalah satu kilang yang disebutkan? Ini adalah perkara-perkara yang kami sendiri ingin tahu ketika ini. Namun, semua itu hanya akan terungkai sebaik sahaja pengumuman atau pelancaran rasmi jenama dan model kapcai terbabit dilakukan nanti, dijangka paling awal pada bulan depan, Disember 2018.

    Sementara itu, boleh kongsikan apa yang ada pernah dengan tentang jenama Ottimo ini, jika ada. Harapnya ia betul-betul sebuah jenama dan motosikal oleh bakat-bakat tempatan, dan bukannya bawa masuk motosikal dari China untuk dijual lambak di sini.

     
     
  • Mazda dapat insentif bikin kereta hibrid di Thailand

    Mazda dapat insentif bikin kereta hibrid di Thailand

    Mazda telah merancang untuk memproduksikan kereta hibrid di Thailand selepas Lembaga Pelaburan (BoI) negara berkenaan memberikan lampu hijau untuk memberikan aplikasi pelaburan sebanyak 11.49 bilion baht (RM1.46 bilion), laporan Bangkok Post.

    Aplikasi ini digunakan untuk pemasangan kenderaan hibrid dan lima bahagian teras – bateri, motor daya tarikan, AC/DC converter dan inverter.

    “Mazda telah bersedia untuk mengimplemenkan perancangan menjadi blok bangunan bagi semua kenderaan mesra-alam. Thailand telah mula menghasilkan versi hibrid sebelum menambah baik industri tempatan dan pemasaran bagi plug-in hybrid dan bateri bagi EV pada masa hadapan,” ujar Chanchai Trakarnudomsuk, presiden Mazda Sales Thailand.

    Mazda bukanlah terkenal dengan hibrid, tetapi terdapat versi hibrid bagi Mazda 3 generasi semasa untuk pasaran Jepun. JDM Axela Hybrid memberikan lesen kepada sistem Hybrid Synergy Drive dari Toyota, yang dipadankan untuk enjin petrol 2.0 liter Mazda. Ia mencapai 30.8 km/l mengikut kitaran ujian JC08 Jepun. Mazda 3 serba baharu juga akan diperkenalkan di LA Auto Show bulan ini.

    Pengeluar kereta yang berpusat di Hirsoshima – di mana pelan untuk mengelektrifikasikan semua kenderaan menjelang 2030 di bawah ‘Susrainable Zoom-Zoom 2030’ dalam visi jangka masa panjang – telah mengesahkan untuk mengembalikan enjin rotary sebagai barisan lanjutan.

    Dengan aplikasi pelaburan yang telah diluluskan, Mazda menyertai Toyota sebagai penerima insentif BoI dalam kategori hibrid. Toyota telah memproduksi C-HR hibrid di negara berkenaan. Manakala penerima insentif dalam kategori plug-in hybrid telah diberikan kepada Mercedes-Benz, BMW dan SAIC Motor (MG), dengan kemungkinan Mitsubishi turut bakal menerimanya.

    Dengan aplikasi pelaburan yang telah diluluskan ini, Mazda menyertai Toyota sebagai penerima insentif BoI dalam kategori hibrid. Toyota telah memproduksi C-HR hibrid di negara berkenaan. Manakala insentif kategori plug-in hybrid telah diberikan kepada Mercedes-Benz, BMW dan SAIC Motor (MG), dengan kemungkinan Mitsubishi juga bakal menerimanya.

     
     
  • Australia haramkan iklan pamer aksi ‘pemanduan semberono’ – Ford Ranger Raptor, VW Amarok terjejas

    Australia haramkan iklan pamer aksi ‘pemanduan semberono’ – Ford Ranger Raptor, VW Amarok terjejas

    Kita di Malaysia mungkin banyak merungut dengan undang-undang tempatan yang kadang-kala kita sifatkan seperti tidak masuk akal, misalnya disaman hanya kerana menukar ekzos. Tapi adakah benda-benda yang kita rasa tidak logik ini hanya berlaku di negara kita? Ok, hari ini kita cerita sedikit apa yang berlaku di Australia.

    Menurut undang-undang baharu yang ditetapkan oleh Biro Standard Pengiklanan Australia, iklan-iklan baharu yang ditayangkan di televisyen negara berkenaan kini tidak dibenarkan untuk memaparkan aksi-aksi seperti drift, melompat, atau apa-apa sahaja aksi yang boleh ditafsirkan sebagai ‘pemanduan secara melulu’. Dan setakat ini peraturan berkenaan telah pun menjejaskan iklan untuk dua buah model trak pikap iaitu Ford Ranger Raptor dan Volkswagen Amarok V6.

    Laporan CarAdvice menyebut, iklan Ranger Raptor disifatkan biro berkenaan sebagai “menggambarkan pemanduan yang tidak selamat” dan mempunyai amalan yang “semberono”. Mereka juga menerima aduan bahawa iklan tersebut “pastinya bukan contoh yang boleh dibuat untuk menggambarkan pecutan yang sangat laju di dalam gudang”, dengan hujah “pemanduan jenis ini adalah sangat bahaya dan tak sepatutnya ditayangkan di iklan tv.”

    Ford pula membidas semula kritikan berkenaan dengan mengatakan bahawa penggambaran iklan tersebut dilakukan di kawasan persendirian tanpa adanya kehadiran pejalan kaki mahupun pengguna jalan yang lain. Iklan itu turut jelas memaparkan bahawa pemandu tersebut memakai helmet, dan penafian sudah ditayangkan pada skrin sebaik sahaja iklan tersebut bermula.

    Walau apa pun alasan, iklan Ford berkenaan sudahpun diharamkan dari ditayangkan di televisyen Australia, dan mereka terpaksa memotong ‘adegan yang tidak sepatutnya’ itu bagi memenuhi kriteria yag ditetapkan biro tersebut.

    Kes yang hampir sama juga telah melibatkan iklan Volkswagen Amarok V6, malah ia telah diharamkan lebih awal dari Ranger Raptor. Apa yang menarik, VW telah mengolah semula iklan berkenaan, bukan sahaja bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan, malah turut sempat untuk ‘menyindir’ undang-undang tersebut dengan video iklan yang diberi nama “Terlalu berkuasa untuk TV.”

    Jalan cerita untuk video terbaharu itu masih lagi sama dengan sebelumnya, namun babak-babak seperti melompat, memanjat bukit dengan laju sambil mengelak batu-batu besar, dan memotong dua buah lori besar dengan menggunakan jalan yang tidak berturap dilakukan dengan hanya menggunakan model skala dan juga gambar illustrasi seperti story board.

     
     
  • Sistem Brek Kecemasan Automatik terbukti kurangkan pelanggaran belakang hampir separuh dari sebelum ini

    Sistem Brek Kecemasan Automatik terbukti kurangkan pelanggaran belakang hampir separuh dari sebelum ini

    Sistem brek kecemasan automatik (AEB) secara teorinya memang mampu mencegah perlanggaran belakang. Namun setelah sistem berkenaan semakin banyak ditawarkan pada model-model lebih rendah, khususnya di pasaran negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, adakah ia benar-benar menurunkan statistik kemalangan?

    Oleh itu, Institut Insuran untuk Keselamatan Lebuhraya (IIHS) di Amerika Syarikat telah mengeluarkan hasil kajian mereka terhadap keberkesanan sistem tersebut dalam dunia sebenar, dan keputusannya amat positif.

    Bagi memudahkan pemerhatian dijalankan, IIHS mengambil statistik kadar kemalangan yang melibat kereta-kereta keluaran General Motors yang ditawarkan dengan pilihan sama ada dilengkapi sistem AEB bersama sistem amaran pelanggaran hadapan atau tidak. Keputusan menunjukkan bahawa kereta yang dilengkapkan dengan dua sistem berkenaan dapat mengurangkan 43% pelanggaran hadapan-belakang dari jumlah keseluruhan.

    Manakala sekiranya dilihat dari jumlah keseluruhan kemalangan yang terlibat dengan kecederaan, angka berkenaan adalah lebih tinggi iaitu 64%. Kesemua input untuk statistik berkenaan diambil terus dari laporan polis. Badan berkenaan turut menemui fakta bahawa kereta yang hanya dilengkapi sistem amaran pelanggaran tanpa fungsi brek automatik juga dapat mengurangkan kemalangan yang sama sebanyak 17%, manakala yang terlibat dengan kecederaan dapat dikurangkan sebanyak 30%.

    Sebenarnya ini bukan satu-satunya kajian yang dibuat berhubung perkara yang sama. Sebelum ini, Acura, Fiat Chrysler, Honda, Mercedes-Benz, Subaru dan Volvo turut telah melakukan penyelidikan serupa, dan menyaksikan keputusan yang hampir sama iaitu 50% kemalangan (56% untuk kemalangan yang melibatkan kecederaan) dapat dikurangkan dengan kereta yang dilengkapi sistem AEB. Manakala kereta yang hanya diberikan sistem amaran pula mampu untuk mengurangkan 27% dan 20% jumlah kemalangan yang sama.

    “Bukti ini menegaskan bahawa sistem pengelak kemalangan hadapan memang berfungsi, dan ia berfungsi lebih baik sekiranya ia tidak hanya bergantung pada pemandu,” kata naib presiden penyelidikan IIHS, Jessica Cicchino yang menjalankan sendiri kedua-dua kajian tersebut.

    Kajian ini melibatkan model Buick, Cadillac, Chevrolet dan GMC tahun 2013 hingga 2015, dengan GM memberikan nombor casis kenderaan (VIN) untuk kenderaan yang dilengkapi dan tidak dilengkapi dengan AEB serta amaran pelanggaran hadapan. Maklumat ini turut dirujuk bersama laporan polis terhadap kemalangan yang berlaku dari 23 negeri, dengan tumpuan diberikan pada pelanggaran hadapan-belakang.

    Walaupun sistem AEB ini belum diwartakan wajib untuk semua pengeluar kenderaan, namun 20 jenama – mewakili 99% pengeluar automotif di sana – telah bersetuju untuk menjadikan sistem ini sebagai wajib untuk semua kereta baharu menjelang September 2022 nanti.

     
     
  • Subaru WRX STi Diamond Edition untuk Afrika Selatan – 348 hp, 464 Nm, 0-100 km/j dalam 5.03 saat, 30 unit

    Subaru WRX STi Diamond Edition untuk Afrika Selatan – 348 hp, 464 Nm, 0-100 km/j dalam 5.03 saat, 30 unit

    Tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 bagi Subaru Tecnica International, dan untuk meraikannya, Subaru Afrika Selatan telah melancarkan edisi terhad bagi WRX STi Diamond Edition. Hanya 30 unit sahaja yang ditawarkan, dengan penghantaran pertama dijangka bermula Januari hadapan.

    Dibangunkan oleh pasukan teknikal syarikat, WRX STi Diamond Edition ini merupakan model STi paling berkuasa yang dilancarkan di rantau itu. Di bawah hudnya, ia didatangkan dengan enjin petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan ekzos prestasi dan pemetaan semula yang lengkap.

    Hasilnya, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 348 hp dan tork 464 Nm, di mana ia lebih 52 hp dan 57 Nm berbanding model biasa WRX STi. Dengan pecutan 0-100 km/j, Diamond Edition mampu dicapai dalam 5.03 saat, sementara model standard mengambil masa sekitar 5.76 saat. Ia juga lebih pantas dari 0-160 km/j, dengan hanya 13.7 saat berbanding 14.76 saat – kelajuan maksimum masih kekal sama pada 255 km/j.

    Antara elemen yang telah dimantapkan termasuklah casis yang kini didatangkan dengan penjana enjin STi, serta brek Brembo dengan enam kaliper di bahagian hadapan dan dua di belakang.

    Kedua-dua bahagian kaliper itu ditampilkan dengan kemasan High Viz Yellow bagi memastikan ia menyerlah, dan kit badan turut dipadankan pada Diamond Edition ini. Ia juga menerima roda aloi Dark Gunmetalic 18-inci yang dibaluti tayar 245/35 yang dipasang di atas spacer 20 mm untuk memberikan serlahan yang lebih menarik.

    Di dalamnya, ia ditampilkan papan pemuka spesifik-model, panel eksklusif, roda stereng kulit jahitan merah, tuil gear dan brek parkir, sistem audio Harmon Kardon 440w dengan tujuh-pembesar suara dan sistem infotainmen tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

     
     
  • Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Banyak pula pengeluar yang bersungguh-sungguh untuk perkenalkan model trak pikap sekarang ini. Jenama macam Jeep pun tidak ketinggalan; memang telah diketahui mereka akan bangunkan trak sendiri dan kini, imej awal Jeep Gladiator mula bocor di laman JeepGladiatorForum.com.

    Diasaskan daripada model Jeep Wrangler, tambahan ruang belakangnya sahaja yang menjadi perbezaan ketara bagi model SUV dan versi trak pikapnya. Lain-lain ciri masih dikekalkan seperti yang ada pada Wrangler – termasuklah bumbung boleh buka, pilihan soft top atau hard top serta cermin depan boleh dilipat.

    Memandangkan ia keluaran Jeep, maka keupayaan off-road juga wajib ada. Untuk itu, Gladiator ditawarkan dengan dua sistem pacuan empat roda – Command-Trac and Rock-Trac. Trak ini juga akan menggunakan gandar Dana 44 generasi ketiga, axle lock elektronik Tru-Lock (depan dan belakang), LSD Tru-Lock, tayar off-road 33-inci dan juga ciri nyah-sambung sway-bar secara elektronik yang pertama bagi segmen ini.

    Jeep Gladiator 2020 – imej bocor sebelum pengenalan

    Jeep maklumkan, nisbah gear rendahnya tiada tandingan, begitu juga dengan keupayaan meredah air berkedalaman 30-inci. Kebolehan menunda pula sehingga 3,470 kg, dan kapasiti beban yang boleh dibawah di belakang ialah 726 kg.

    Pilihan enjin antaranya Penstastar 3.6 liter V6 dengan transmisi automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Untuk model Wrangler, janaan yang dihasilkan ialah 285 hp dan 352 Nm tork. Angka-angka ini kemungkinan kekal sama bagi versi trak pikap Gladiator.

    Satu lagi pilihan enjin ialah EcoDiesel 3.0 liter V6 yang akan diperkenal pada 2020, turut akan digunakan pada model Wrangler dengan janaan 260 hp dan 600 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi lapan-kelajuan. Peminat Jeep macam mana, boleh layan tak trak pikap Jeep pula nanti?

     
     
  • Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Seperti yang diketahui, Mitsubishi kini merupakan jenama yang menumpukan terhadap model-model SUV dan juga trak pikap dengan model baharu mereka dalam pasaran terdiri dari SUV segmen-C Outlander, crossover segmen-B Eclipse Cross, SUV/MPV Xpander, SUV ladder frame Pajero Sport dan versi trak pikapnya Triton 2019. Walaupun pasaran untuk kenderaan-kenderaan sebegini sedang meningkat naik, permintaan terhadap kereta masih lagi banyak dan ini mendorong Mitsubishi untuk menghasilkan kembali hatchback dan sedan, menurut laporan GoAuto.com.au.

    “Saya tahu anda semua menulis berkenaan pertumbuhan dan kepentingan SUV dan ia benar, ia 35-37 peratus dari keseluruhan pasaran hari ini dan ia masih lagi berkembang. Tetapi ini tidak boleh menafikan hakikat bahawa masih ada 40-50 juta kereta adalah kereta penumpang tradisional,” kata naib presiden strategi produk Mitsubishi, Vincent Cobee kepada portal Australia berkenaan.

    “Kami sedang dalam proses membangunkan apa yang kami panggil sebagai pelan produk jangka masa panjang kami, apa yang kami buat adalah hanya mengkaji pasaran dan cuba untuk membuat keputusan arah mana yang patut kami tuju,” kata CEO Mitsubishi, Trevor Mann.

    Mitsubishi Mirage sah bakal kembali, model Lancer pula berkemungkinan besar akan dilahirkan sekali lagi

    Jika sebelum ini Mann hanya mengatakan mereka serius untuk membina hatchback kompak Mitsubishi Colt/Mirage generasi baharu, kini beliau sendiri sudah mengesahkan projek itu sudah pun bermula untuk peringkat awal.

    “Jadi Pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi) mempunyai platform yang digelar CMF-B, jadi berkemungkinan besar Mirage generasi baharu akan dibina berasaskan platform CMF-B, tetapi keputusannya masih belum muktamad,” kata Mann. Platform CMF-B yang dinyatakan tersebut merupakan asas kepada Renault Clio generasi kelima. Ia juga dijangka akan digunakan untuk pembangunan Nissan Juke dan Renault Captur pada masa hadapan.

    Selain Mirage, Mann turut mengatakan Lancer yang telah pun dihentikan pengeluarannya akan kembali semula dengan model generasi baharu menggunakan platform dari Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

    “Lancer seterusnya tidak semestinya akan dibina menggunakan platform (Renault) Megane, jika kita berbicara tentang kenderaan penumpang, bergantung pada saiz, ia perlu di bina berdasarkan platform CMF-C,” jelas Mann.

     
     
  • LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    Sabah juga tidak terlepas daripada masalah kesesakan lalu lintas, justeru kerajaan pentadbiran negeri tersebut mahu mencari alternatif dalam mengatasinya. Antara langkah alternatif yang dilihat wajar untuk dilaksanakan ialah memperbanyakkan pilihan memperkasakan lagi sistem pengangkutan awam berkapasiti tinggi, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT).

    Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, LRT merupakan antara pilihan terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu untuk jangka masa panjang meskipun melibatkan kos pelaburan tinggi, laporan Bernama.

    Menurut beliau, kajian yang dibuat Bank Dunia dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi dan Pejabat Perdana Menteri mendapati bandaraya Kota Kinabalu lebih sesuai diperkenalkan dengan sistem pengangkutan berkapasiti tinggi berbanding bandaraya Kuala Lumpur.

    LRT pilihan terbaik untuk Sabah, mampu atasi masalah kesesakan trafik jangka masa panjang – Shafie Apdal

    “Sistem pengangkutan berkapasiti tinggi ini juga bakal memacu perubahan landskap bandaraya Kota Kinabalu dengan kapasiti penumpang tinggi, moden, sistematik, tepat masa dan mesra alam,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

    Mohd Shafie berkata pengangkutan awam moden seperti LRT juga dilihat mampu menarik sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah pengguna kenderaan untuk menggunakan perkhidmatan itu sekali gus meningkatkan lagi kualiti kehidupan penduduk di bandaraya Kota Kinabalu.

    Dalam pada itu katanya kajian kebolehlaksanaan Bas Rapid Transit (BRT) di bandaraya Kota Kinabalu mendapati sistem perkhidmatan pengangkutan awam itu tidak begitu sesuai dilaksanakan berikutan ia hanya penyelesaian jangka pendek dalam mengatasi kesesakan lalu lintas.

    “Selain itu, ia juga akan melibatkan perbelanjaan modal tinggi kerana BRT memerlukan jaringan jalan raya khas untuk bas jika ia dilaksanakan di bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

     
     
  • Ford Mustang facelift bakal muncul di KLIMS 2018

    Ford Mustang <em>facelift</em> bakal muncul di KLIMS 2018

    Selain Toyota Camry 2.5V 2019, Ford Mustang facelift 2018 juga akan membuat penampilan sulung di KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan. Gambar unit warna Orange Fury 5.0L GT inilah yang akan dipamerkan nanti, dan dibawa khas untuk pameran berkenaan.

    Pengedar jenama ini, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) belum mengesahkan bila model ini akan dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan. Tetapi, berdasarkan perkembangan sebelum ini, kedua-dua versi 5.0L GT dan 2.3L EcoBoost versi facelift akan dijual di sini.

    Menurut SDAC, pengambilan tempahannya akan dilakukan di KLIMS. Walaupun harga belum diumumkan, ia dijangka tidak lari jauh berbanding sebelumnya. Diumumkan Januari tahun lalu, penampilan Mustang terbaru ini mengalami beberapa perubahan – rekaan gril, bampar dan fender depan serta bonet depan diberikan sentuhan baru.

    Ford Mustang <em>facelift</em> bakal muncul di KLIMS 2018

    Model facelift ini menggunakan lampu depan LED sepenuhnya, lengkap dengan lampu siangnya sekali. Di belakang, rekaan lampu LED juga baru, diikuti bahagian bampar, diffuser hitam baru dan susunan hujung ekzos yang dikemaskini – versi EcoBoost menerima hujung ekzos berkembar, sementara GT hadir dengan empat corong.

    Ruang dalaman pula diberikan sentuhan lebih premium. Konsol tengah misalnya datang dengan balutan tangan dengan benang kontras, sementara penyudah bahagian pemegang pintu serta kemasan perincian lainnya daripada aluminium.

    Selain daripada paparan 8.0-inci dengan sistem infotainmen Sync 3, Mustang kini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital 12-inci dengan tema boleh ubah berdasarkan mod pemanduan – Normal, Sport dan Track serta MyMode (pemandu tentukan sendiri kombinasi talaan yang diinginkan).

    Enjin pula masih sama, dengan unit 2.3 liter EcoBoost dan 5.0L Coyote V8 terdahulu – tetapi dengan angka janaan kuasa yang dipertingkat. Antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan sistem suntikan terus tekanan tinggi berkembar serta port suntikan minyak tekanan rendah yang baru bagi V8.

    Di pasaran Amerika, janaan kuasa yang dihasilkan ialah 460 hp dan 569 Nm; naik sedikit berbanding model sedia ada (435 hp/542 Nm). Namun, pasaran Malaysia mungkin akan menerima versi output 453 hp dan 556 Nm seperti di Australia.

    Bagi enjin 2.3L EcoBoost, kuasanya sama seperti sebelum ini (310 hp), tetapi tork naik sedikit kepada 475 Nm berbanding 434 Nm dahulu. Unit di Australia pula menerima unit yang menjana 441 Nm. Perubahan paling utama ialah penggunaan sistem transmisi 10R80 10-kelajuan dari Ford yang menggantikan unit 6R80 SelectShift enam-kelajuan dari ZF.

    Lagi ciri baru termasuk mod Drag Strip, yang bertindak mengelakkan kehilangan masa ketika penukaran gear, serta menggabungkan mod Normal, Sport+, Track dan Snow/Wet yang ada. Peningkatan mekanikal lainnya termasuk penggunaan penyerap hentak baru yang memberikan kendalian lebih padu, serta penggunaan sambungan pasak bersilang pada suspensi belakang untuk meningkatkan keteguhan lateral.

    Turut diperkenalkan ialah sistem ekzos dengan injap aktif, standard pada versi GT, yang membolehkan nada ekzos diubah. Unit yang akan dipamerkan seperti yang anda lihat ini hadir sekali dengan pakej GT Performance. Ini antaranya termasuk di dalamnya ialah rim 19-inci Ebony Black dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/40 di depan dan 275/40 di belakang.

    Kalau nak tengok

    model ini dari dekat, jangan lupa untuk ke KLIMS 2018 yang akan bermula minggu depan di MITEC.

     
     
  • Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Selepas lapan tahun, Naza Quest Sdn Bhd akhirnya membuat pengumuman menghentikan pengedaran kenderaan jenama Chevrolet baru di negara ini. Walaupun begitu, melalui perjanjian yang ada dengan General Motors (GM), syarikat itu masih perlu meneruskan segala servis selepas jualan serta waranti untuk pelanggan sedia ada, sehinggalah pengedar baru dilantik.

    Menurut ketua pegawai eksekutif kumpulan automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, keputusan ini dibuat hasil daripada perancangan rasionalisasi jenama di bawah strategi korporat Kumpulan Naza, untuk mewujudkan daya tahan serta keuntungan dalam jangka masa panjang.

    Sementara itu, GM dan Chevrolet masih lagi komited dengan pasaran Malaysia dan pengarah kanan GM Asia Tenggara, Vanchana Unakul memberitahu bahawa syarikat akan mengumumkan rakan kongsi pengedar baru secepat yang mungkin.

    Naza Quest tamatkan kerjasama dengan General Motors untuk pengedaran kenderaan baru Chevrolet

    Buat masa ini, penjualan kenderaan baru Chevrolet dihentikan untuk sementara waktu, tetapi kemudahan wakil pengedar masih akan dibuka untuk memenuhi keperluan servis selepas jualan pelanggan sekarang. Naza Quest juga mengesahkan masih akan meneruskan servis di beberapa wakil pengedar, untuk menawarkan pelanggan servis kenderaan, alat ganti, jaminan serta servis selepas jualan yang lain.

    Penghentian operasi perniagaan kereta baru Chevrolet oleh Naza Quest akan bermula 15 November ini, dan Kumpulan Naza akan terus memberikan fokus kepada jenama automotif kereta atau motosikal lain yang sedia ada di bawah naungannya sekarang.

     
     
  • Range Rover Evoque baharu – teaser disiar, bakal didedahkan sepenuhnya di London minggu hadapan

    Range Rover Evoque baharu – <em>teaser</em> disiar, bakal didedahkan sepenuhnya di London minggu hadapan

    Percaya atau tidak, Range Rover Evoque sedia ada sudah pun berada lapan tahun dalam pasaran, itupun jika dikira sebagai model produksi – model konsep crossover ini yang digelar LRX Concept menampilkan rupa hampir sama dengan versi produksi sebenarnya telah pun membuat kemunculan pada tahun 2008.

    Walaupun hadir sebagai model premium, Evoque telah berjaya dijual lebih dari 750,000 unit di seluruh dunia, dan sekarang masa yang sesuai untuk Land Rover memperkenalkan model generasi baharu SUV kompak tersebut.

    Model generasi kedua Evoque sebenarnya bakal membuat kemunculan sulung global pada 22 November ini di kota London. Serentak dengan pengumuman tersebut, jenama British berkenaan turut menyiarkan imej teaser yang unik – memaparkan arca berbentuk garis-garis badan model baharu tersebut yang diperbuat dari jalur logam, dalam skala sebenar.

    Apa yang menarik lagi, arca ini dibuat dalam tiga warna iaitu tembaga, merah dan biru, serta telah diletakkan di tempat-tempat berkelas tinggi Britain sekitar London seperti di Kensington dan Chelsea. Kesemua arca tersebut dihasilkan sendiri oleh pasukan sebenar yang membuat rekaan Evoque baharu berkenaan. Ia direka dengan falsafah “reductive design”, menghasilkan bentuk badan SUV yang begitu elegan.

    “Jalur logam ini telah dihasilkan sebagai prebiu kepada Evoque baharu – yang melambangkan pendekatan rekaan modenis Range Rover. Di mana tempat yang lebih baik untuk mempamerkan arca unik ini selain dari di pusat bandar London – salah satu bandar yang terbaik di dunia,” kata ketua pegawai rekaan Land Rover Gerry McGovern.

    Menurut jenama tersebut, Evoque generasi baharu ini menjanjikan impak yang sama dengan model asal terdahulu, memperkenalkan standard baharu untuk rekaan, kebolehan dan kemampanan.

    Menurut laporan Autocar, model ini diasaskan dari platform yang ditingkat taraf secara signifikant digelar Premium Transverse Architecture, menawarkan keselesaan yang dan lebih diperhalusi yang dapat dicapai menerusi kerangka yang lebih tegar. Aerodinamik yang lebih baik dan juga teknologi bonet ‘see-through‘ pada kereta ini membolehkan geseran dan bunyi angin dapat dikurangkan sebanyak 10%.

    GALERI: Spyshot Range Rover Evoque generasi kedua

     
     
  • Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Aston Martin telah memulakan sesi ujian prototaip DBX, iaitu sebuah model yang akan dilancarkan menjelang suku keempat tahun 2019, dan bakal menjadi SUV pertama bagi jenama tersebut. Apabila masuk dalam pasaran nanti, ia akan bersaing dengan SUV mewah lain seperti dari Porsche, Maserati dan sebagainya.

    Menurut pengeluar yang berpusat di England ini, prototaip pembangunan pertama yang dapat dilihat ini dibawa ke laluan Rali Welsh yang mencabar, dan dipandu oleh ketua jurutera syarikat, Matt Becker. Ujian pertama ini cuma adalah satu permulaan kepada program yang lebih menyeluruh, dan dilakukan di Wales sebagai satu tanda penghargaan untuk kemudahan pengilangan Aston Martin yang baru dibuka di Vale of Glamorgan.

    Banyak lagi unit ujian DBX akan dibawa ke kawasan tertentu di seluruh dunia untuk dibelasah dalam keadaan yang mencabar, termasuklah kawasan beku Kutub Utara, padang pasir Timur Tengah, gunung-ganang Alpine, serta jalan untuk kelajuan tinggi seperti autobahn di Jerman dan litar Nürburgring.

    Aston Martin DBX – unit ujian pertama mula dibelasah

    Bayangan awal DBX ditunjukkan melalui satu model konsep yang dipersembahkan lebih tiga tahun lalu dengan nama hampir sama, tetapi sudah tentu, sekarang bentuknya mempunyai perbezaan. Antara yang paling jelas adalah model konsep dulu mempunyai dua pintu, tapi unit ujian ini mempunyai empat pintu – demi praktikaliti. Bonet, lampu utama yang nipis serta gril unik Aston Martin masih sama seperti kereta konsep dulu.

    Dengan penambahan pintu itu, garis bumbung kenderaan juga telah direka semula dan tidak lagi curam seperti model konsep. Malahan, ia cuma turun sedikit sebelum bersambung dengan spoiler belakang yang terletak di atas bumbung serta penutup but yang menggelembung. Lampu belakang pula kini disusun secara menegak dan bukannya mendatar seperti model konsep awal.

     
     
  • 4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    Mungkin ini boleh dianggap berita gembira bagi anda yang memiliki saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang masih belum menjelaskannya, dan berita duka untuk anda yang telah membayarnya. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan semua 4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2013 hingga 31 Ogos 2018 telah dibatalkan, lapor Bernama.

    Beliau berkata berdasarkan Pusat Data Bahagian Teknologi Digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bayaran saman AES bagi kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat yang dikeluarkan sebelum 1 September lalu adalah berjumlah RM605 juta.

    “Saya telah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini bahawa semua saman telah diputihkan daripada sistem. Ini bermaksud apa-apa saman AES sebelum 1 September lalu sudah tiada lagi dalam data,” katanya kepada pemberita hari ini.

    4.03 juta saman AES yang belum dibayar sejak 2012 hingga 31 Ogos 2018 bernilai RM605 juta dibatalkan

    Katanya, sebanyak 60,444 saman AES atas kesalahan melanggar had laju telah dikeluarkan sejak 1 Sept lepas sehingga 8 November lalu namun hanya 1,711 saman yang dijelaskan. Bagi tempoh yang sama untuk kesalahan melanggar lampu isyarat pula, beliau berkata sebanyak 4,575 saman AES telah dikeluarkan namun hanya 167 saman telah dibayar.

    Menurutnya, sebanyak 1,190 kes saman AES telah dibawa ke mahkamah di Kedah, Perak dan Pulau Pinangsejak 1 September lalu namun tiga individu sahaja hadir ke mahkamah. Di mana waran tangkap akan dikeluarkan terhadap individu yang gagal hadir di mahkamah dan akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga saman AES dijelaskan.

    Loke berkata JPJ akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang ingkar untuk membayar saman AES dalam tempoh 60 hari termasuk dihadapkan ke mahkamah.

     
     
  • Tiga stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang bakal ditutup sepenuhnya hujung minggu ini – Prasarana

    Tiga stesen MRT laluan Sungai Buloh-Kajang bakal ditutup sepenuhnya hujung minggu ini – Prasarana

    Prasarana telah mengumumkan penutupan sepenuhnya tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) bagi Laluan Sungai Buloh – Kajang (SBK) pada 17 dan 18 November ini. Ia melibatkan stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.

    Penutupan ini bertujuan bagi bagi memberi laluan kerja penyambungan rel bagi projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Menurut Ketua Pegawai Operasi MRT SBK, Azmi Mohd. Zain, sepanjang penutupan tersebut, perkhidmatan bas perantara akan disediakan antara Stesen Kwasa Sentral dan Stesen Sungai Buloh dengan kekerapan waktu operasinya antara tujuh hingga 15 minit.

    “Perkhidmatan tren MRT SBK dari Kajang akan tamat di Kwasa Sentral dan seterusnya kembali semula ke Kajang sepanjang tempoh penutupan stesen-stesen yang terjejas,” katanya.

     
     
  • Jalan alternatif untuk atasi kesesakan di Cameron Highlands sedang dikaji – Kem. Pengangkutan

    Jalan alternatif untuk atasi kesesakan di Cameron Highlands sedang dikaji – Kem. Pengangkutan

    Selain Pulau Pinang, masalah kesesakan lalu lintas turut terjadi di Cameron Highlands khususnya ketika musim cuti termasuk hujung minggu.

    Justeru, bagi mengurangkan masalah ini, Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji untuk membangunkan jalan pintasan Cameron Highlands sebagai laluan alternatif, laporan Bernama.

    Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, cadangan jalan pintasan Cameron Highlands bagaimanapun perlu diteliti terlebih dahulu melalui kajian kebolehupayaan (feasibility study).

    “Kajian ‘feasibility’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan mengenal pasti beberapa daya maju projek dan setelah kajian ini selesai kerajaan perlu memperuntukkan sumber kewangan untuk menampung kos projek ini. Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan projek naik taraf dan melebarkan jalan persekutuan FT 59 Jalan Ringlet ke Blue Valley.

    “Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengenal pasti peruntukan kewangan diperlukan supaya projek ini dijalankan sebelum 2020,” katanya menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025