Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aston Martin DBX SUV bakal dilancar pada Q4 2019

    Aston Martin DBX SUV bakal dilancar pada Q4 2019

    Aston Martin telah mengesahkan bakal memperkenalkan SUV oertamanya pada suku keempat (Q4) 2019, dengan DBX yang akan diproduksi di fasiliti baharu St Athan. SUV yang sebelum ini kononnya bakal diberi nama Varekai, telah dipertontonkan buat kali pertamanya di Geneva Motor Show 2015.

    Sementara perincian mengenai DBX masih tersimpul rapi, Aston Martin memilih untuk mendedahkan perkembangan mengenai fasiliti produksi keduanya.

    Buat masa ini, fasiliti tersebut menampilkan ruang mengecat dan mempunyai 100 kakitangan, dengan barisan produksi yang masih dalam pembinaan. Model prototaip pertama akan dibina di sana, dijangka pada suku pertama 2019, yang menyaksikan peningkatan kakitangan seramai 200 orang.

    Aston Martin DBX SUV bakal dilancar pada Q4 2019

    Malah, Aston martin juga mensasarkan bakal memiliki lebih 700 kakitangan menjelang suku pertama 2019 apabila produksi DBX bermula. Selain memproduksikan DBX, fasiliti At Athan yang merupakan ‘Home of Electrification’ apabila modl BEV memasuki produksi kelak.

    “Fasiliti St Athan yang hampir lengkap, merupakan permulaan era baharu bagi Aston Martin Lagonda. Fasiliti produksi kedua ini merupakan langkah kritikal untuk menunaikan Second Century Plan kami,” ujar Andy Palmer, presiden dan CEO kumpulan bagi
    Aston Martin Lagonda.

    Tambahnya lagi, “Fasiliti St Athan akan memulakan produksi bagi SUV pertama kami tetapi juga akan menjadi pusat kecemerlangan global untuk pengeluaran EV yang berkualiti tinggi mewah, termasuk Lagonda: jenama automotif elektrik mewah pertama di dunia.”

    GALERI: Aston Martin DBX concept

    GALERI: Fasiliti Aston Martin St Athan

     
     
  • Royal Enfield KX Concept guna rekaan inspirasi daripada model tahun 30-an, tetapan suspensi unik

    Royal Enfield KX Concept guna rekaan inspirasi daripada model tahun 30-an, tetapan suspensi unik

    Royal Enfield membuat kejutan di pameran EICMA 2018 apabila membawa sebuah model konsep dipanggil KX Concept yang dibangunkan dengan inspirasi daripada model klasik KX tahun 30-an. Menurut syarikat itu, motosikal konsep ini dibuat untuk menunjukkan kemampuan pasukan pereka mereka dan disiapkan dalam masa enam bulan.

    Walaupun merupakan satu interpretasi moden kepada model klasik tersebut, anda boleh melihat ia membawa kesinambungan rekaan dengan pemegang yang lebar, enjin jenis V, satu tempat duduk kulit berwarna coklat yang seakan terapung, ekzos leper dan tangki berwarna hijau.

    Kapasiti sebenar enjin pada model konsep ini tidak diberitahu tetapi terdapat tulisan 838 pada enjin tersebut yang mungkin menunjukkan kapasitinya. Kemudiannya, udara keluar daripada enjin tersebut dilalukan pada dua ekzos pada bahagian kanan motosikal.

    Suspensi motosikal ini agak unik, di mana bahagian hadapannya menggunakan tetapan yang dipanggil sebagai girder fork yang kelihatan seperti dibuat daripada aluminium dan bersepadu dengan perumah lampu. Di belakang pula terdapat lengan ayun tunggal berbentuk segitiga, yang pada bahagian kiri boleh dilihat naik sehingga ke bawah tempat duduk untuk disambungkan dengan spring penyerap hentak.

    Kelengkapan moden lain yang dipasang pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera depan dan belakang, angkup brek Brembo, rim 19 inci yang dibalut tayar Maxxis DTR-1, lampu jenis LED dan meter digital berbentuk bulat. Kuasa disampaikan ke roda belakang melalui sistem rantai.

     
     
  • Geely Binyue – SUV segmen-B dengan pilihan enjin turbo 1.5L & 1.0L, dilengkapi sistem autonomi tahap 2

    Geely Binyue – SUV segmen-B dengan pilihan enjin turbo 1.5L & 1.0L, dilengkapi sistem autonomi tahap 2

    Setelah sebahagian perinciannya didedahkan sebelum ini, akhirnya SUV segmen-B iaitu Geely Binyue (dikenali dengan kod nama SX11) kini secara rasmi dilancarkan pada pasaran China. Crossover ini dibina berasaskan platform modular yang dibina bersama Volvo, dan ia menampilkan ciri seakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo yang fleksibel dari segi skala dan juga pemadanan unit janakuasa.

    Geely Binyue dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Menurut Geely, platform BMA ini direka bagi membolehkan ruang dalaman dioptimakan dan membantu Binyue mencapai kadar penggunaan jarak roda 68.7% untuk kabin.

    Dua pilihan enjin ditawarkan untuk Binyue buat masa sekarang iaitu enjin empat-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Manakala pilihan kedua adalah enjin 1.0 liter turbo dipadankan bersama transmisi manual enam-kelajuan.

    Geely Binyue – SUV segmen-B dengan pilihan enjin turbo 1.5L & 1.0L, dilengkapi sistem autonomi tahap 2

    Enjin 1.5 liter berkenaan adalah enjin yang dibangunkan bersama Volvo, mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan tork maksima 255 Nm. Untuk enjin 1.0 liter pula, ia berkebolehan untuk menjana 135 hp dan tork maksima 205 Nm.

    SUV ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan yang membolehkan ia diiktiraf dilengkapkan dengan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

    Ia turut dilengkapi dengan Bantuan Parkir Automatik, kawalan kestabilan elektronik, brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, pengesan titik buta, sistem pemantau tekanan dan suhu tayar, sistem pemantau 360-darjah HD, dashcam HD, dan banyak lagi.

    Geely Binyue – SUV segmen-B dengan pilihan enjin turbo 1.5L & 1.0L, dilengkapi sistem autonomi tahap 2

    Bagi sistem infotainmen pula, Binyue menerima sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mudah alih menerusi kereta berkenaan. Menurut Geely, pengguna boleh “terus bercakap kepada kereta mereka” menggunakan arahan suara, dan mereka boleh terus berhubung dengan kereta mereka menerusi telefon pintar walaupun berada jauh dari kereta tersebut.

    Binyue turut menerima sokongan servis 4G tanpa had serta Wi-Fi bagi memastikan penumpang sentiasa berhubung dengan data, manakala kemaskini masa-sebenar dan over-the-air akan memastikan pengalaman pengguna sentiasa dikemaskini.

    Geely menyatakan bahawa rekaan dalaman Binyue ini “diinspirasikan dari kokpit pesawat udara”, manakala komponen lain pada kabin diinspirasikan dari elemen sains fiksyen seperti Star Wars, termasuk liang penghawa dingin yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet.

    Paparan instrumen digital untuk pemandu dihasilkan dari skrin LCD bersiaz tujuh-inci, dan turut memberikan informasi seperti telefon, multimedia, navigasi dan bantuan pemanduan. Bahagian tengah pula diletakkan skrin ‘terapung’ definasi tinggi (1920 x 720) bersaiz 10.25-inci, dengan nisbah aspek skrin lebar 8:3 yang unik. Tiga warna tema dalaman diberikan untuk Binyue iaitu hitam, perang dan gabungan merah/hitam.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan adalah tempat duduk hadapan kawalan elektrik, penghawa dingin dua-zon dengan sistem pengurusan kualiti udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco and Sport), brek parkir elektronik dengan fungsi penahan, upholsteri kulit, pedal penukar gear dan enam-pembesar suara.

    Pelanggan untuk pasaran China turut ditawarkan dengan kit badan lebih garang yang terdiri dari bampar hadapan dan belakang baharu, skirt sisi, dan spoiler bumbung. Model ini dijual pada harga bermula 78,800 yuan (RM47,194) hingga 118,800 yuan (RM71,150).

    Menurut Geely, Binyue turut akan dipasarkan diluar China, dan pertandingan untuk menamakan SUV kompak ini untuk pasaran global telah diumumkan sebelum ini.

    Kita di Malaysia juga perlu memberikan perhatian kepada Binyue kerana ini merupakan salah satu model yang telah disahkan akan dibina oleh Proton menerusi pemberian lesen sebelum ini. Lesen berkenaan memberikan hak kepada Proton terhadap rekaan, pembangunan, pembuatan, jualan, pemasaran dan pengedaran untuk tiga model iaitu Boyue (Proton X70), Binyue dan juga MPV VF11; dan ia menyatakan bahawa Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand sebagai negara yang dibenarkan untuk Proton memasarkan model-model yang telah diberikan lesen. Lesen tersebut sah selama 10 tahun.

    Jadi apa pendapat anda, adakah Proton boleh mencabar Honda H-RV setelah Binyue ini dijelmakan untuk pasaran Malaysia kelak?

     
     
  • Husqvarna Svartpilen 701, Vitpilen 701 Aero Concept dipamer – bawa gaya ringkas tracker dan cafe racer

    Husqvarna Svartpilen 701, Vitpilen 701 Aero Concept dipamer – bawa gaya ringkas tracker dan cafe racer

    Sebelum ini cuma fokus kepada motosikal jenis offroad dan supermoto, Husqvarna telah menyertai pula segmen motosikal street beberapa tahun lepas melalui pengenalan model Svartpilen dan Vitpilen. Pada model 401, Svartpilen lebih kepada bentuk sebuah scrambler manakala Vitpilen lebih kepada cafe racer.

    Walaubagaimanapun pada pameran EICMA 2018, syarikat dari Sweden itu telah menampilkan pula Svartpilen 701 yang lebih mendapat inspirasi daripada bentuk motosikal flat track (boleh dilihat dengan pemegang yang lebih tinggi dan panel nombor di tepi), digabungkan dengan konsep minimalis yang diterapkan pada barisan model tersebut.

    Enjin yang digunakan pada Svartpilen 701 sebenarnya adalah unit sama yang menggerakkan 701 Supermoto, iaitu satu silinder berkapasiti 692.7 cc bersama padanan kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 73.8 hp.

    Tetapi penampilannya dijadikan lebih ringkas dan gelap dengan hampir kesemua bahagian berwarna hitam dan kelabu termasuk rangka, rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, ekzos, tangki, perumah lampu lED, tempat duduk serta pelindung bawah enjin.

    Kelengkapan lain yang ada pada motosikal ini adalah fork WP Suspension 43 mm di hadapan, monoshock WP di belakang, brek cakera 320 mm dan angkup Brembo empat piston di hadapan, cakera 240 mm dan angkup Brembo satu piston di belakang, sistem ABS two-channel, tangki bahan api 12 liter, quickshifter dan berat keseluruhan 158.5 kg.

    Tidak cukup dengan itu, Husqvarna turut menunjukkan sebuah model konsep Vitpilen 701 Aero Concept, yang sebenarnya menggunakan asas sama tetapi mempunyai pemegang lebih rendah, panel instrumen TFT, fairing hadapan cafe racer dan juga panel lain yang lebih aerodinamik (seperti pelindung tayar hadapan).

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 701 2019


    GALERI: Husqvarna Vitpilen 701 Aero Concept

     
     
  • Honda CB125M, CB125X ditunjuk, hasil pereka Rome

    Honda CB125M, CB125X ditunjuk, hasil pereka Rome

    Semasa pameran EICMA 2018, Honda bukan setakat menunjukkan model yang diperbaharui untuk pasaran, malah turut membawa dua buah model konsep yang direka oleh pekerja di pusat penyelidikan dan pembangunan syarikat itu di Rome, Itali iaitu CB125X dan CB125M.

    Kedua-duanya menggunakan asas daripada CB125R yang ada dijual di pasaran Eropah, tetapi menggunakan gaya yang lebih futuristik dan konsep tersendiri. Model CB125M lebih kepada bentuk sebuah supermotard manakala CB125X jelas adalah lebih kepada adventure.

    Seperti yang kita ketahui, pasaran Eropah mempunyai kelas lesen tertentu yang membolehkan pemegangnya membawa motosikal sehingga yang berkapasiti 125 cc. Sebab itulah motosikal ini menggunakan kapasiti enjin 125 cc dan bukannya 150 cc. Di Thailand, motosikal yang sama dengan CB125R dijual dengan kapasiti enjin 150 cc dan dinamakan sebagai CB150R.

    Honda CB125M, CB125X ditunjuk, hasil pereka Rome

    Menurut Honda, motosikal yang berada dalam segmen ini sedang menunjukkan kebangkitan, dan di Eropah ia mencatat peningkatan sebanyak 25% pada tahun ini. Melalui model konsep ini, ia diharap dapat merangsang pengunjung muda di EICMA dan mereka boleh membayangkan banyak kemungkinan hidup bermotosikal.

    Seperti yang anda boleh lihat, rekaan dua motosikal konsep ini lebih tajam dan mempunyai perbezaan pada bahagian brek, rim, suspensi dan panel-panel badan lain. Jika pada CB125R yang sudah dipasarkan sekarang, enjin satu silindernya mampu menghasilkan 13.14 hp pada 10,000 rpm dan 10 Nm tork pada 8,000 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan.

     
     
  • Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah tutup pada malam 16 November ini untuk acara berbasikal

    Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah tutup pada malam 16 November ini untuk acara berbasikal

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang DSP Wan Sharuddin Wan Omar telah mengumumkan penutupan Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah pada malam 16 November ini (Jumaat hadapan) bagi memberi laluan kepada 2nd Bridge Fun Ride Solidarity Polis Diraja Malaysia 2018. Di mana jambatan kedua Pulau Pinang itu akan ditutup bermula 10 malam berkenaan hingga 5 pagi keesokannya.

    “Beberapa jalan lain juga akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat mulai 10 malam dan bagi daerah Timur Laut melibatkan susur dari Jambatan Pulau Pinang ke Bayan Lepas meliputi lencongan kenderaan ke arah persimpangan Sungai Dua/Batu Uban dan Gelugor. Selain itu, susur dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bayan Lepas, lencongan kenderaan ke arah persimpangan Sungai Dua/Batu Uban dan Gelugor serta persimpangan Persiaran Bayan Indah,” katanya.

    Tambahnya lagi, bagi daerah Barat Daya, antara lencongan dan jalan terlibat ialah lencongan kenderaan dari arah Bulatan Bayan Baru ke parkir bertingkat Quensbay, penutupan kekal sepanjang program di bulatan tengah Quensbay manakala bagi pesiaran Bayan Indah kawalan lalu lintas semasa pelepasan sehingga pengayuh terakhir melepasi dan kemudian barulah ia dibuka pada lalu lintas.

    Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah tutup pada malam 16 November ini untuk acara berbasikal

    “Bagi daerah Seberang Perai Selatan penutupan jalan akan dibuat di susur masuk di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan ke jambatan kedua, penutupan jalan di susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara menuju jambatan kedua. Selain itu, terdapat penutupan jalan di susur masuk dari arah Batu Kawan/Bandar Cassia ke arah lebuh raya utara selatan dan penutupan jalan di susur masuk dari arah Batu Kawan Industrial Park ke jambatan kedua,” katanya.

    Dalam masa yang sama, kesesakan lalu lintas dijangka akan berlalu. Justeru, pengguna laluan terbabit diminta mendapatkan nasihat daripada petugas trafik yang ditempatkan di lokasi point duty untuk laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

     
     
  • Hyundai Elantra Avante Sport 2019 – kuasa 1.6 T-GDI kekal 204 PS/265 Nm, tampil rupa lebih garang

    Hyundai Elantra Avante Sport 2019 – kuasa 1.6 T-GDI  kekal 204 PS/265 Nm, tampil rupa lebih garang

    Selepas versi asas Elantra/Avante facelift 2019 didedahkan Ogos lalu, kini tiba masa versi paling berkuasanya iaitu Sport membuat penampilan. Model Avante Sport 2019 ini sudahpun diperkenalkan di Korea, dan selepas ini ia akan membuat kemunculan pada pasaran Amerika pula.

    Muka Avante Sport ini diberikan lampu hadapan baharu yang lebih bersegi dan tirus, sama dengan versi asas. Namun kereta ini tampil dengan dengan bampar dan gril yang direka lebih garang, bersama kemasan hitam di bawah dan perak pada bahagian logo.

    Skirt sisi turut direka lebih labuh, manakala pada bahagian belakang, tip ekzos untuk model Sport ini diserlahkan dengan kemasan krom. Hyundai memadankan rim 18-inci pada model kemaskini ini, bersama angkup brek yang lebih besar disebaliknya.

    Bahagian dalaman kini lebih matang dengan kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon, dan ia turut menerima tempat duduk sporty yang lebih memeluk badan balutan kulit merah gelap atau hitam, kemasan unik pada bendul pintu, serta roda stereng balutan kulit berliang dengan rekaan rata di bawah.

    Hyundai Elantra Avante Sport ini masih mengekalkan enjin Gamma 1.6 liter empat silinder dengan suntikan petrol terus dan pengecas turbo (T-GDI) yang mampu menghasilkan 204 PS dan tork maksima 265 Nm. Untuk pasaran Korea, model ini diberikan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau DCT automatik tujuh-kelajuan untuk memacu roda hadapan.

    Kita di Malaysia belum lagi menerima versi facelift untuk Elantra generasi AD berkenaan, namun untuk model sedia ada, model paling berkuasa Sport ini turut ditawarkan oleh Hyundai Malaysia pada pasaran tempatan. Bagaimana prestasinya? Ketahuinya pada artikel pandu uji kami di PAUTAN INI.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport 2017

     
     
  • BHPetrol memperkenalkan petrol Infiniti baharu dengan aditif terkini – RON 95 dan 97, harga tidak naik

    BHPetrol memperkenalkan petrol Infiniti baharu dengan aditif terkini – RON 95 dan 97, harga tidak naik

    BHPetrol telah mengumumkan versi baharu bagi petrol Infiniti yang dirumus dengan aditif terkini. Malahan ia tidak mengalami kenaikan harga runcit (harga berdasarkan yang diumumkan oleh kerajaan), boleh didapati bagi RON 95 dan RON 97.

    Petrol Infiniti baharu ini dirumuskan dengan formulasi termaju dengan menggunakan generasi terkini bagi aditif. Elemen utama bagi pakej aditif ini termasuklah Friction Modifier baharu, Corrosion Inhibitor yang dipertingkatkan dan Deposit Cleaning Agent yang lebih unggul. Dos bagi aditif ini ialah 800 ppm, di mana ia adalah dua kali ganda bagi kadar minimum yang disarankan oleh syarikat aditif. Walau bagaimana pun, tiada penambahan kos untuk pengguna, bahkan ia menjanjikan pemanduan yang lebih lancar.

    Dengan Friction Modifier baharu, geseran dalaman dapat dikurangkan dan ini bermakna tenaga boleh digunakan lebih banyak unruk memberikan kuasa kepada kenderaan, sekaligus meningkatkan prestasi. Malah tahap geseren yang rendah juga membantu enjin untuk meningkatkan penjimatan bahan api. Manakala Deposit Cleaning Agent terunggul yang digunakan mampu mengurangkan deposit dan enjin kekal bersih untuk prestasi yang lehih optimum. Bagi membuatkan enjin kekal lebih lama, Corrosion Inhibitor dipertingkatkan bagi lapisan pelindungan pada permukaan logam bagi mengurangkan risiko cepat berkarat.

    Pengarah Urusan Bousted Petroleum Marketing Sdn Bhd, K.T.Tan, berkata, Sejak dilancarkan pada tahun 2005, kami sangat konsisten mensasarkan produk petroleum yang berkualiti dan terbaik untuk para pelanggan. Malah penghasilan formulasi termaju untuk petrol Infiniti yang dilakukan ini mmberikan prestasi yang lebih baik, meningkatkan penjimatan bahan api dan pembersihan emisi ekzos.

    “Hari ini, kami dengan bangganya mengumumkan petrol Infiniti yang lebih baik dengan formulasi yang dipertingkatkan di mana hasilnya ia mampu menambah kuasa dan perbatuan, di samping mengekalkan kebersihan pada enjin.”

    Petrol Infiniti dengan revolusi baharu ini boleh didapati di seluruh stesen BHPetrol, buat masa ini berjumlah 380 buah, di mana 275 daripadanya turut menampilkan BHPetromart. Sempena dengan pelancaran petrol ini, BHPetrol turut menganjurkan program jelajah dari Kuala Lumpur ke Hatyai, Thailand, sejauh lebih 1,000 km yang membabitkan pihak media dan kelab pemotoran dari 8 hingga 10 November 2018.

     
     
  • Subaru bangunkan hot-hatch lebih kecil dari WRX untuk cabar Yaris GRMN dalam pasaran dan WRC?

    Subaru bangunkan <em>hot-hatch</em> lebih kecil dari WRX untuk cabar Yaris GRMN dalam pasaran dan WRC?

    Pasukan Rali Dunia Subaru (SWRT) telah menamatkan saingan mereka dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada tahun 2008 kerana keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan. Dan sekiranya mereka mahu masuk semula ke kancah perlumbaan berkenaan, tentunya perkara pertama yang perlu dirisaukan adalah mereka tiada lagi model yang sesuai untuk digunakan.

    Ini kerana kesemua pengeluar telah beralih menggunakan asas model-model hatchback segmen-B yang lebih sesuai dengan dimensi yang ditetapkan FIA, sedangkan model produksi World Rally Experimental (WRX) kini berada dalam segmen-C dan terlalu besar berbanding jentera WRC terkini. Toyota yang kembali semula ke WRC pada 2017 juga telah beralih dari Corolla ke Yaris WRC bagi bersaing secara kompetitif dengan pasukan lain.

    Menurut laman Jepun Spyder7, Subaru memang benar-benar berminat untuk kembali semula ke WRC, dan mereka kini sedang membina hatchback segmen-B untuk tujuan tersebut. Sebab utama mengapa jenama tersebut ingin kembali semula untuk berlumba di rali dunia adalah mereka mahu memperkuatkan jenamanya di Eropah seperti apa yang telah dikecapi mereka di Amerika Utara.

    Subaru bangunkan <em>hot-hatch</em> lebih kecil dari WRX untuk cabar Yaris GRMN dalam pasaran dan WRC?

    Sumber dari laporan tersebut menyatakan lagi, Subaru bukan sahaja mensasarkan hatchback segmen-B mereka tersebut untuk bersaing dengan Yaris dalam WRC, malah turut akan mencabar jentera kompak Toyota berkenaan dalam pasaran. Oleh itu, mereka merancang untuk menghasilkan hot-hatch produksi dengan enjin boxer 1.8 liter turbo (dari Subaru Levorg) yang bukan sahaja boleh bersaing dengan Toyota Yaris GRMN, malah turut boleh berhadapan dengan Ford Fiesta ST dan Volkswagen Polo GTI.

    Laporan berkenaan menyatakan model tersebut akan muncul pada tahun 2019 – ini mungkin sedikit meragukan kerana sehingga sekarang masih tiada sebarang model konsep yang didedahkan Subaru, dan tiada lagi prototaip dilihat sedang diuji.

     
     
  • Aprilia Concept RS 660 guna enjin dua silinder 660 cc, aerodinamik boleh laras dan kelengkapan premium

    Aprilia Concept RS 660 guna enjin dua silinder 660 cc, aerodinamik boleh laras dan kelengkapan premium

    Aprilia mahu mengembangkan lagi penawaran produk jenis sport dan prestasi tapi kali ini bukan melalui model berkapasiti tinggi, malah adalah lebih kompak dan seronok ditunggang, iaitu melalui Concept RS 660. Ia dibangunkan dengan penyelidikan rapi aerodinamik, barangan teknikal premium, elektronik maju serta enjin baru.

    Melihat kepada bentuknya, Aprilia memberitahu ia adalah hasil daripada penyelidikan aerodinamik yang termasuk dalam dunia perlumbaan dan ia boleh dilaras untuk memberi aliran udara serta daya tolakan ke bawah yang berbeza mengikut kemahuan pengguna.

    Untuk casis, penghasilan unit yang baik oleh Aprilia diteruskan pada model ini dan ia dibuat daripada gabungan kerangka serta lengan ayun aluminium. Bentuk unik digunakan bagi memastikan ia ringan manakala tapak untuk suspensi belakang pula dipilih khas supaya dapat memberikan kesan baik tanpa menggunakan sambungan lain.

    Kuasa penggerak model konsep ini datang daripada enjin dua silinder baru, berkapasiti 660 cc yang dibangunkan oleh Aprilia dengan mengambil asas daripada enjin 1,100 cc V4 yang digunakan pada Tuono V4 dan RSV4 1100 Factory. Ia dipilih kerana kompak, cekap, tidak banyak haba kepada penunggang dan dapat memberikan kebebasan kepada pereka untuk menghasilkan rangka yang ringan. Walaubagaimanapun, perincian kuasa enjin ini masih belum didedahkan.

    Melalui penghasilan model ini juga Aprilia memberitahu ia akan menjadi asas pembangunan kepada barisan model yang lebih luas lagi untuk membawa Aprilia sebagai pemain utama dalam bukan sahaja pasaran motosikal di Eropah, tetapi juga Asia dan Amerika.

     
     
  • Vietnam anjur Grand Prix F1 bermula musim 2020

    Vietnam anjur Grand Prix F1 bermula musim 2020

    Vietnam akan mula menganjurkan perlumbaan Formula 1 bermula musim 2020 nanti. Kerajaan Vietnam dan penganjur baharu F1 iaitu Liberty Media telah mengumumkan bahawa Grand Prix Vietnam pertama akan dilangsungkan pada April 2020.

    Konglomerat terbesar Vietnam, Vingroup akan bertindak sebagai promoter perlumbaan, dan telah menandatangani perjanjian berberapa tahun untuk menjadi hos Grand Prix berkenaan. Perlumbaan tersebut akan dilangsungkan di litar jalan raya – seperti Singapura, Monaco dan Azerbaijan – yang terletak di Bandaraya Hanoi.

    Namun litar sepanjang 5.565 km tersebut sebenarnya menampilkan konsep separa tetap dan akan menyediakan 22-selekoh, menggunakan jalan sedia ada dan juga jalan yang dibina khas untuk perlumbaan di bahagian barat bandar berkenaan – disekitar Stadium Nasional My Dinh. Ia telah direka dengan kerjasama antara pasukan perlumbaan F1, syarikat rekaan litar Tilke dan juga input dari pihak berkuasa Hanoi dan Vingroup serta pihak FIA sendiri.

    Vietnam anjur Grand Prix F1 bermula musim 2020

    Litar berkenaan juga akan menampilkan pelbagai selekoh pin rambut berkelajuan rendah, selekoh kombinasi perlahan- ke laju, selekoh S berkelajuan tinggi, selekoh berkelajuan tinggi dan juga pelbagai laluan lurus dengan laluan terpanjang adalah 1.5 km membolehkan kelajuan sekitar 335 km/j dijangka dapat di capai.

    Selekoh-selekoh dilitar ini juga banyak diinspirasikan dari litar-litar ternama dunia termasuk selekoh pertama dan kedua seperti selekoh pembukaan di Nürburgring, selekoh 12 hingga 15 seperti selekoh pertama hingga laluan mendaki Massenet di Monaco, aliran selekoh S dari selekoh 16 hingga 19 seperti di Suzuka serta tiga selekoh terakhir sama seperti di Litar Antarabangsa Sepang.

    Dengan berlangsungnya perlumbaan di Hanoi ini kelak, Vietnam akan menjadi negara keempat dalam kalendar F1 2020, menyertai China, Jepun dan Singapura.

     
     
  • Kymco SuperNEX – motosikal elektrik dengan fokus kepada kepuasan penunggang, 0-100 km/j 2.9 saat

    Kymco SuperNEX – motosikal elektrik dengan fokus kepada kepuasan penunggang, 0-100 km/j 2.9 saat

    Pengeluar motosikal dari Korea iaitu Kymco juga percaya bahawa elektrik bakal menjadi sumber penggerak utama bagi motosikal pada masa hadapan. Walaupun lebih terkenal dengan penghasilan motosikal jenis skuter, syarikat itu telah menunjukkan sebuah model supersport konsep elektrik bernama SuperNEX yang cuba memberikan fokus kepada kepuasan penunggang dan mempunyai enam gear seperti motosikal biasa.

    Ini adalah berbeza dengan kebanyakan motosikal elektrik lain yang hanya mempunyai satu gear dan dilakukan oleh Kymco kerana mengganggap gear adalah antara aspek penting yang menjamin kepuasan seseorang penunggang. Penggunaan gear untuk menikmati tahap kuasa yang berbeza menjadi simbol kepada kehebatan seseorang dan menjadikan tunggangan lebih memuaskan.

    Kemudiannya, satu lagi masalah biasa yang menjadikan motosikal elektrik kurang menyeronokkan adalah ketiadaan bunyi. Melalui SuperNEX, Kymco juga cuba mengubah perkara itu dengan meletakkan Active Acoustic Motor yang boleh menghasilkan bunyi dalam pelbagai frekuensi dan dapat terus menyampaikan operasi motor elektrik kepada telinga penunggang. Melalui bunyi ini juga penunggang boleh tahu kadar rpm dan waktu menukar gear seperti motosikal biasa.

    Kymco SuperNEX – motosikal elektrik dengan fokus kepada kepuasan penunggang, 0-100 km/j 2.9 saat

    Spesifikasi penuh motosikal sports elektrik ini tidak didedah tetapi Kymco memberitahu ia akan mempunyai lengkung kuasa yang terus meningkat dari kadar rpm rendah hinggalah tinggi, dan tidak akan mendatar di pertengahan seperti kebanyakan motosikal elektrik lain. Catatan prestasinya juga cukup membuka mata dengan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.9 saat, 0-200 km/j 7.5 saat dan 0-250 km/j 10.9 saat.

    Seperti motosikal moden lain, Kymco SuperNEX juga dilengkapi dengan kelengkapan elektronik lain untuk membantu penunggang dan memastikan kuasa dapat disampaikan ke atas jalan secara optimum. Ia dipanggil sebagai Full Engagement Performance FEP) dan mempunyai sistem yang termasuk Launch Control, Traction Control, Anti-Wheelie Control dan Anti-Wheel Lift tayar belakang).

     
     
  • PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

    PANDU UJI: Ford Ranger 2.0L XLT+ 4×4 – adakah enjin, transmisi baru beri banyak kelainan dan kelebihan?

    Perkembangan penawaran segmen trak pikap di Malaysia bagi tempoh kira-kira 10 tahun kebelakangan ini merupakan sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Tidak pernah sebelum itu trak pikap dilihat dalam jumlah yang begitu banyak di atas jalan raya di sini, beralih dari sebuah kenderaan untuk tugas-tugas lasak dan berat kepada kegunaan seharian untuk segala macam urusan.

    Mungkin tahun 2012 lebih tepat menjadi titik tolak kepada perubahan ini. Ia tahun di mana Ford Ranger dalam generasinya yang terbaru ketika itu lari daripada penampilan rekaan berkotak model sama yang ada sebelumnya. Ford Ranger itulah yang kita saksikan lanjutannya – selepas sempat diberikan sentuhan facelift beberapa kali – dan masih kekal hingga ke hari ini.

    Ada satu faktor barangkali yang menjadikan Ford Ranger begitu diminati sejak itu; ia merupakan sebuah trak pikap yang tidak lagi ingin berbangga dengan kapasiti enjin yang besar. Ranger sejak itu hadir dengan enjin dengan kapasiti lebih kecil, “Puma” 2.2 liter serta padanan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid C27 – tempahan cecah 5,500 unit, produksi tumpu untuk percepat penghantaran

    Nissan Serena S-Hybrid C27 – tempahan cecah 5,500 unit, produksi tumpu untuk percepat penghantaran

    Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM), sehingga 1 November 2018, mereka telah menerima sejumlah 5,500 tempahan untuk MPV Nissan Serena C27 S-Hybrid. Dari jumlah berkenaan, 4,000 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan atau 73% tempahan tersebut telah pun dipenuhi.

    “Kilang pemasangan kami (TCMA) telah memfokuskan untuk menaikkan produksi dalam masa yang sama memastikan kualiti produk ditahap tertinggi, dan terus-menerus mempercepatkan penghantaran. Kami sangat berterima kasih kepada pelanggan yang dihargai untuk sokongan yang berterusan, memahami dan sabar,” kata pengarah jualan dan pemarasan syarikat tersebut.

    Nissan Serena generasi kelima ini masih dijana enjin petrol MR20DD 2.0 liter empat-silinder dengan sistem suntikan terus dari generasi sebelumnya. Namun ia kini dilengkapi dengan tensioner dua-lengan pada tali sawat bagi mengurangkan beban dan memperbaiki penggunaan bahan api. Kuasa kuda 150 PS dan tork maksima 200 Nm dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Xtronic CVT.

    MPV tujuh tempat duduk ini juga menerima motor elektrik ECO 2.6 PS/48 Nm yang menggantikan motor penghidup tradisional. Menurut Nissan, dengan sistem berkenaan, Serena ini mampu mencapai penggunaan bahan api 14.2 km untuk setiap satu liter petrol dalam kitaran NEDC Eropah.

    Ciri lain yang turut dibekalkan termasuk tempat duduk Zero Gravity pada baris pertama dan kedua, tujuh port USB diseluruh kabin, fungsi buka tanpa sentuhan untuk kedua-dua belah pintu gelangsar belakang, pintu tailgate belakang boleh dibuka dengan dua bahagian, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, lampu LED dan skrin sesentuh 6.75 inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

     
     
  • Hyundai-Sime Darby Motors mengumumkan Low Yuang Lung sebagai Pengarah Urusan baharu

    Hyundai-Sime Darby Motors mengumumkan Low Yuang Lung sebagai Pengarah Urusan baharu

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan Low Yuan Lung sebagai pengarah urusan baharu, dan pelantikan tersebut berkuatkuasa serta-merta.

    Low memulakan kariernya dalam industri automotif lebih dua dekad lalu sejak 1996, dan kemudian menjadi pengurus operasi cawangan bagi Proton Edar pada 2004. Beliau menyertai Sime Darby Motors pada 2013 sebagai ketua jualan untuk Auto Bavaria Retail, dan setahun kemudian dilantik sebagai pengedar utama bagi Auto Bavaria Glenmarie dan Auto Bavaria Retail.

    Pada 2016, Low mengembangkan lagi portfolionya dengan Sime Darby Auto Selection dan kemudian dilantik mengetuai operasi runcit.

    Dalam kenyataan rasmi menyebut, “dengan pengalaman yang luas dalam industri automotif, pelantikan Low dilihat mampu membawa HSDM ke kedudukan yang lebih tinggi. Low bersedia untuk membentuk syarikat selaras dengan strategi yang ditetapkan oleh Hyundai Motor Company dengan memacu inovasi lebih jauh. Dengan pengalaman yang dimilikinya, kedudukan Hyundai sebagai jenama kereta penumpang Premium Moden dapat dipertingkatkan lagi di masa hadapan.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025