Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Ranger Storm Concept diperkenalkan di Brazil

    Ford Ranger Storm Concept diperkenalkan di Brazil

    Ford telah memperkenalkan Ranger Storm, model konsep bagi pikap, di Sao Paolo International Motor Show di Brazil, dan ini adalah satu kajian bagi meneroka pilihan penyesuaian untuk pikap dalam pelbagai cara.

    Storm berasaskan varian bagi T6, yang dilengkapi dengan enjin 3.2 liter lima-silinder Duratorq TDCi yang menawarkan 197 hp dan 470 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan 6R80, dan diberikan suntikan gaya yang ranggi. Tidak seperti Ranger Raptor, Storm lebih sesuai untuk perniagaan.

    Ciri tambahan termasuk snorkel, pemijak tepi, rel bumbung perak dan perubahan gaya seperti gril hadapan hitam dengan tulisan Storm yang besar dan dua garisan luaran berbentuk-C perak. Pada hudnya pula menampilkan garisan luaran grafik, dua lampu kabus dengan bingkai ‘honeycomb’ pada gril.

    Kajian turut menampilkan dua tona luaran – bahagian badan dicat dengan lapisan dipanggil Tuscany Red, dikontraskan dengan hitam pada gril hadapan, lapisan dan gerbang roda. Kemasan hitam juga didapati pada pemegang pintu, perumah cermin sisi, snorkel dan juga aloi pelbagai-jejari 17-inci yang dibaluti tayar Pirelli MTR Scorpion 285/70.

    Tailgate belakang juga hadir dengan kemasan hitam, dilengkapi logo Storm dan tulisan 4×4 Off Road perak, serta lencana Storm di bahagian bawah pintu hadapan. Rekaan palang belakang hitam/perak juga disambungkan dengan rel bumbung.

     
     
  • Nissan Almera Black Series – terima kit aero dari Tomei dan pelbagai ciri tambahan, harga kekal sama

    Nissan Almera Black Series – terima kit aero dari Tomei dan pelbagai ciri tambahan, harga kekal sama

    Pengedar rasmi kenderaan jenama Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini memperkenalkan model kedua dalam barisan Black Series mereka iaitu Nissan Almera Black Series, selepas Navara Black Series diperkenalkan hujung tahun lalu.

    Jika anda peminat jenama penala Jepun, Tomei Powered Inc yang sering dikaitkan dengan Nissan atau Datsun, ini ada satu kejutan untuk anda – Almera Black Series ini dilengkapkan dengan kit aero dari Tomei yang terdiri dari bampar hadapan, skirt sisi, bampar dengan kemasan diffuser belakang dan juga lips spoiler pada bonet belakang.

    Bampar hadapan dan belakang berkenaan direka dengan agak agresif manakala kesemua komponen berkenaan diberikan serlahan Titanium Gelap. Bukan itu sahaja, malah gril hadapan, penutup cermin sisi dan juga rim aloi 15-inci berjejari-Y turut diberikan kemasan berwarna hitam. Model ini juga dilengkapkan bersama dashcam dengan sudut rakaman 150 darjah dan juga filem penapis haba cermin Solar Gard.

    Untuk bahagian dalaman pula, Almera Black Series ini dipertingkat dengan skrin sesentuh 6.75 inci dari Clarion (bersama kamera undur) yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Manakala tempat duduk pula diberikan balutan kulit berwarna hitam dengan rekaan baharu.

    Warna badan baharu Titanium Olive yang anda lihat pada gambar ini adalah eksklusif hanya untuk Almera Black Series. Namun model istimewa ini turut ditawarkan dengan empat warna lain iaitu Diamond Black, Brilliant White, Tungsten Silver dan Bronze Gold. Tiada perubahan pada sistem mekanikal di mana ia masih dijana enjin 1.5 liter empat silinder HR15DE berkuasa 101 hp dan tork maksima 139 Nm.

    Kemasan Black Series ini ditawarkan pada kedua-dua varian automatik empat-kelajuan Almera, iaitu 1.5L E Auto dan juga 1.5L VL Auto. Harga untuk kesemua peralatan tambahan Black Series ini dinilaikan pada RM8,500, namun model ini dijual pada harga yang sama dengan versi standard iaitu RM 69,800 untuk Black Series 1.5L E Auto hingga RM 79,800 untuk varian tertinggi Black Series 1.5L VL Auto. Harga yang dinyatakan adalah termasuk 10% Cukai Jualan (SST) tanpa insurans dan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti untuk semua aksesori selama tiga tahun/150,000 km.

    Khas sempena akhir tahun, ETCM turut menawarkan rebat sebanyak RM4,000 untuk model 1.5L E Auto dan RM7,000 untuk model 1.5L VL Auto. Bagi pemilik Almera sedia yang mahu memadankan kit Tomei ini, mereka boleh melakukannya dengan menghubungi talian 03-4047 8786 atau hantar emel ke [email protected].

     
     
  • Yamaha Tenere XTZ700 tembusi pasaran tahun depan

    Yamaha Tenere XTZ700 tembusi pasaran tahun depan

    Setelah sekian lama tidak ada model kembara kelas pertengahan, Yamaha kembali memasuki segmen tersebut melalui model baru Tenere XTZ700. Model produksi ini adalah hasil daripada model konsep T7 yang ditunjukkan beberapa tahun lalu, diikuti Tenere 700 World Raid Prototype yang dibawa pusing ke beberapa benua awal tahun ini.

    Tenere 700 baru ini menggunakan enjin crossplane dua silinder selari 689 cc CP2 dengan sistem penyejukan cecair sama seperti MT-07, mampu menghasilkan kuasa 72.4 hp pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa disampaikan ke atas jalan melalui kotak gear enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Sebagai sebuah model kembara, Tenere 700 ini menggunakan kelengkapan yang boleh bertahan dengan tunggangan jalan kasar termasuk fork USD 43 mm dengan jarak gerak 210 mm di hadapan dan monoshock belakang dengan jarak gerak 200 mm. Brek adalah menggunakan set cakera berkembar 282 mm di hadapan, cakera tunggal 245 mm di belakang, dan ia mempunyai sistem ABS yang boleh ditutup menggunakan suis.

    Kemudiannya, rim pula adalah unit 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70. Tinggi tempat duduk Tenere 700 adalah 880 mm dan ia disediakan dengan tangki bahan api 16 liter yang dikatakan boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 350 km.

    Secara keseluruhannya motosikal ini mencatat berat 205 kg, dan dilengkapi dengan peralatan lain seperti panel paparan LCD, lampu hadapan LED yang terletak dalam kokpit seperti motosikal rali dan pelindung tangan. Ia akan mula memasuki pasaran pada separuh kedua tahun 2019 dengan pilihan tiga warna iaitu Ceramic Ice, Competition White dan Power Black.

     
     
  • KTM 790 Adventure versi produksi akhirnya didedah

    KTM 790 Adventure versi produksi akhirnya didedah

    Tahun lepas, pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM telah menunjukkan satu model konsep adventure dipanggil 790 Adventure, yang menggunakan asas sama dengan Duke 790. Kini ia sudah bersedia untuk dikeluarkan sebagai model pasaran awam dan dipertontonkan sewaktu pameran EICMA yang sedang berlangsung sekarang.

    Ada dua model diperkenalkan iaitu 790 Adventure biasa dan 790 Adventure R. Kedua-duanya menggunakan enjin dua silinder selari berkapasiti 799 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 95 hp.

    Kelebihan lain enjin berkenaan ialah selang servis yang lebih panjang iaitu 15,000 km dan ia dilengkapi dengan batang pengimbang yang dapat mengurangkan gegaran. Bahagian head enjin ini mempunyai lapan injap manakala penapis udaranya pula diletakkan di bawah tempat duduk dan lebih mudah ditanggalkan untuk servis.

    Kelengkapan lain yang ada pada 790 Adventure adalah termasuk brek cakera hadapan berkembar 320 mm dengan angkup empat piston, brek cakera 260 mm dengan angkup dua piston di belakang, tangki bahan api 20 liter, tempat duduk yang boleh dilaras, ABS, Motorcycle Traction Control, pilihan mod tunggangan serta panel instrumen TFT warna penuh berukuran lima inci.

    Suspensi dan saiz rim untuk kedua-dua model adalah sama iaitu daripada WP dengan hanya pelarasan pra beban di belakang serta padanan rim jejari 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi model R mempunyai jarak gerak suspensi yang lebih panjang (+40 mm) menjadi 240 mm di depan dan belakang. Penghadang angin hadapan model R juga lebih rendah dan didatangkan dengan tayar Metzeler Karoo 3 berbunga lebih kasar (versi standard menggunakan tayar Avon Trailrider).

     
     
  • Harley-Davidson Livewire akan dibuka untuk tempahan bermula Januari 2019, spesifikasi awal telah didedah

    Harley-Davidson Livewire akan dibuka untuk tempahan bermula Januari 2019, spesifikasi awal telah didedah

    Harley-Davidson telah beralih arah daripada enjin V-twin yang biasa digunakan kepada motor elektrik pada model Livewire. Ia telah ditunjukkan kepada umum sejak beberapa tahun yang lepas tetapi kini akhirnya keputusan telah dibuat untuk memasarkannya kepada orang awam, bermula Januari tahun hadapan.

    Meskipun begitu, H-D masih tidak mahu menunjukkan kuasa sebenar motor elektrik yang digunakan pada Livewire dan sekadar memberitahu ia dapat memberikan pengendalian yang baik pada semua kelajuan, dengan prestasi dan jarak penggunaan yang disasarkan kepada penggunaan di bandar. Motor itu pula mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion yang disimpan dalam perumah aluminium.

    Satu lagi bateri lithium-ion 12V diletakkan pada motosikal ini untuk memberi kuasa kepada kelengkapan elektrik lain seperti lampu, butang kawalan, hon dan panel instrumen. Pengecasan bateri penggerak Livewire ini boleh dilakukan menggunakan pengecas Level 1 yang diletakkan di bawah tempat duduk, pengecas Level 2 ataupun pengecas pantas Level 3 DCFC.

    Penggayaan Livewire ini lebih kepada motosikal biasa dan bukannya seperti cruiser H-D yang lain, dengan bentuk badan yang hampir seperti Sportster. Suspensi hadapannya menggunakan fork Showa SFF-BP, belakang menggunakan monoshock Showa BFRC manakala brek pula adalah daripada Brembo dengan unit cakera berkembar 300 mm serta angkup Brembo.

    Turut diberikan standard pada Livewire 2019 adalah skrin sesentuh TFT-LCD berwarna penuh untuk paparan instrumen dan informasi lain, dan ia boleh dilaraskan pada sudut tertentu untuk mengikut kesesuaian pandangan penunggang. Pada aspek keselamatan, motosikal elektrik ini dilengkapi dengan ABS dan Traction Control secara standard, dan mempunyai tujuh mod tunggangan.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia umum enam model terlibat dengan panggilan semula – 23,133 unit yang terjejas

    Mitsubishi Motors Malaysia umum enam model terlibat dengan panggilan semula – 23,133 unit yang terjejas

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan sebanyak enam model telah terlibat dengan panggilan semula, yang secara keseluruhannya berjumlah 21,133 unit yang terjejas di seluruh negara. Model yang terjejas termasuklah Outlander, ASX, Lancer, Lancer Sportback dan Lancer Evolution.

    Yang pertama adalah untuk pemeriksaan dan pembaikian brek parkir belakang, melibatkan Outlander (2016) dan ASX (2013, 2015, 2017). Pemeteraian yang tidak sempurna bagi brek parkir tersebut mungkin boleh menyebabkan air memasukinya dan mengakibatkan aci menjadi karat yang boleh mengikis kaliper dalaman dan mengurangkan daya brek parkir tersebut.

    Penyebab kedua pula ialah penggantian wiper link ball joint hadapan bagi ASX (2011-2013). Pemasangan kalis air bahagian hadapan boleh menyebabkan ia dimasuki air menerusi bahagian belakang dek hadapan. Ia boleh menyebabkan komponen terbabit mengalami kelembapan berterusan dan terhakis.

    Mitsubishi Motors Malaysia umum enam model terlibat dengan panggilan semula – 23,133 unit yang terjejas

    Manakala penyebab ketiga adalah pemeriksaan bagi engine auto tensioner yang melibatkan ASX (2011-2012), Lancer (2008 – 2012) dan Lancer Sportback (2011-2012). Ia disebabkan auto tensioner, daya rintangan gelongsor akan meningkat dari masa ke masa. Ini boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian flange pada auto tensioner terbabit jika enjin digunakan dalam pemanduan kelajuan yang tinggi.

    Penyebab keempat pula, pemprogramman semula perisian ASC ECU untuk Outlander (2017). Disebabkan perisian yang kurang sempurna bagi ESC ECU, bunyi bising elektrik akan dijana apabila pam motor diaktifkan. Ia juga boleh menyebabkan operasi IC terjejas, sekaligus mengakibatkan ECU harus ditetapkan semula. Unit hidraulik juga akan terganggu dan boleh menjejaskan kestabiliti pemanduan kenderaan.

    Bagi penyebab kelima pula, penggantian kaca bumbung matahari pada Lancer Evo (2009). Bergantung pada suhu dan kelembapan, kekuatan pada bingkai luaran bagi kaca bumbung matahari itu boleh menjadi lemah disebabkan material yang digunakan. Jika tidak diganti, kaca bumbung matahari itu boleh terkeluar dari bingkai luarannya.

    Mitsubishi Motors Malaysia umum enam model terlibat dengan panggilan semula – 23,133 unit yang terjejas

    Dan yang terakhir tapi tetap sama pentingnya, penggantian bagi inflator beg udara penumpang bagi Lancer (2004-2007). Sekiranya kenderaan terdedah dengan kelembapan yang tinggi bagi tempoh waktu yang lama, PSAN (phased-stabilised ammonium nitrate) boleh merosot dan menyebabkan tekanan dalaman berlaku. Malah inflator tersebut boleh terkeluar sekiranya beg udara terbabit meletus, sekaligus mempu menyebabkan kecederaan mahu pun kematian.

    Bagi semua panggilan semula di atas, MMM akan mengeluarkan surat maklumat untuk semua pemilik kenderaan yang terlibat, dan semua kos penggantian akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut. Semua pelanggan yang terlibat diminta untuk membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis Mitsubishi yang bertauliah.

     
     
  • Subaru WRX STI TC 380 – teaser disiar; edisi khas dengan pelbagai komponen HKS, hanya 50-unit

    Subaru WRX STI TC 380 – <em>teaser</em> disiar; edisi khas dengan pelbagai komponen HKS, hanya 50-unit

    Subaru WRX dan edisi istimewa untuk JDM memang tak dapat dipisahkan. Terbaharu, jenama tersebut telahpun menyiarkan teaser untuk edisi khas terkini digelar WRX STI TC 380, yang akan dibina hanya 50-unit dan dijual pada harga bermula 4,965,840 yen (RM182,232).

    Apa yang menarik, model ini di bina di bawah seliaan lagenda rali Jepun yang memandu dan membangunkan kereta rali Subaru di Kejohanan Rali Dunia (WRC) serta Kejohanan Rali Jepun (JRC) Toshihiro Arai. Jumlah kuasa kuda yang akan dihasilkan enjin 2.0 liter boxer turbo berkenaan pula berkemungkinan 380 hp, sama seperti angka pada namanya.

    Enjin tersebut akan menerima pelbagai peralatan prestasi dari penala terkenal Jepun, HKS, termasuk kit turbo GT III RS Sport, resonator Super Turbo dan juga catalyser logam. Kerangka kereta ini akan diperkuatkan sendiri oleh Arai Motorsport menerusi pemadanan pendakap pada casis hadapan dan juga membekalkannya dengan penuras udara RQA.

    Subaru WRX STI TC 380 ini turut akan dilengkapi dengan lip spoiler gentian karbon serta tempat duduk bucket Recaro yang diberikan nombor siri – kedua-dua ciri ini hanya ada pada model istimewa baharu tersebut. Gambar penuh akan disiarkan Subaru apabila jenama berkenaan mendedahkan kereta ini pada laman web yang direka khas untuknya.

     
     
  • Volkswagen Tarok – konsep pikap diperkenal di Brazil

    Volkswagen Tarok – konsep pikap diperkenal di Brazil

    Volkswagen telah memperkenalkan model konsep bagi trak pikap Tarok di Sao Paulo International Motor Show, yang dipertontonkan sebagai model baharu yang bakal ditawarkan di Brazil. Malah Volkswagen juga telah mengesahkan, rekaan bagi model konsep ini tidak akan banyak berubah untuk penghasilan versi produksi.

    Ukuran lebih kurang lima meter panjang, Tarok menampilkan bentuk pikap seperti yang lain, namun ditampilkan dengan gaya yang lebih ranggi. Walau bagaimana pun, tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan, memberikan ruang ekstra di belakang. Lain-lain elemen penggayaan luaran termasuk bahagian sudut hadapan yang diinspirasikan dari Atlas Tanoak, bumbung matahari, pencahayaan LED, palang bumbung dan sculpted sisi.

    Sementara itu, bahagian kabinnya diterjemahkan secara lebih moden termasuk dengan papan pemuka dan paparan kluster instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapisan kaca, pendingin hawa kawalan digital dan kemasan papan pemuka Cypress Metallic. Malahan Tarok juga bukan sekadar pikap yang berorientasikan gaya hidup, malah boleh membawa muatan maksimum satu tan di belakangnya.

    Tarok ini dijanakan oleh enjin 1.4 liter empat-silinder TSI yang mampu memberikan kuasa 150 PS, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Motion. Penjana kuasa ini direka dengan TotalFlex Fuel Unit khas untuk pasaran Brazil, bagi menggunakan bahan api etanol asli (E100) atau campuran E22. Apabila memasuki produksi kelak, enjin 2.0 liter TDI akan ditambah, juga dengan kuasa 150 PS.

    Walau bagaimana pun Volkswagen belum mengesahkan bilakah Tarok bakal memulakan jualan di Brazil, atau pasaran lain yang bakal menerima pikap ini. Namun demikian, ia berkata “akan ditawarkan versi siri untuk Tarok konsep ini di pasaran Brazil” dan “pikap ini juga berpotensi untuk dijual di pasaran global lain.”

     
     
  • BMW S1000RR 2019 muncul di EICMA – pembaharuan menyeluruh, bakal ditawarkan siap dengan pakej M

    BMW S1000RR 2019 muncul di EICMA – pembaharuan menyeluruh, bakal ditawarkan siap dengan pakej M

    Satu lagi pameran motosikal paling besar di dunia iaitu EICMA sedang berlangsung di Cologne, Jerman, dan antara pengeluar yang mengejutkan orang ramai dengan pengenalan banyak model baru adalah BMW. Ini termasuklah model S1000RR generasi baru yang dipersiapkan untuk jualan tahun 2019.

    Bukan sikit perubahan yang dibuat pada model ini, malah hampir keseluruhan bahagian direka semula termasuklah penampilan, kerangka, enjin, suspensi dan geometri. Semua ini dianggap perlu memandangkan pesaing mereka sudah semakin berkemampuan seperti Ducati Panigale V4.

    Seperti yang boleh anda lihat, tiada lagi rekaan lampu berbeza bentuk di hadapan S1000RR ini, sebaliknya BMW menggunakan rekaan yang sama untuk kedua-dua belah kiri dan kanan, dengan di tengahnya terdapat bukaan udara sementara panel yang digunakan juga kelihatan lebih tajam.

    Bentuk kerangka utama juga diubah, dengan kini melibatkan rekaan yang dipanggil sebagai Flex Frame dan membenarkan bahagian tangki, pemegang, tempat duduk serta kedudukan kaki diubah untuk memberikan ergonomik yang lebih baik untuk tunggangan sporty.

    Melalui model baru ini juga, penunggang dapat menikmati tunggangan yang lebih dinamik dan tepat kerana bahagian suspensi diubah sepenuhnya termasuk geometri. Sudah tentu, ia boleh dilaras sepenuhnya, dan disokong lagi dengan barangan seperti lengan ayun aluminium rekaan seperti motosikal WSBK, kinematik Full Floater Pro, Dynamic Damping Control (pilihan tambahan) dan untuk bahagian belakang sahaja, ia lebih ringan 300 gram.

    Tidak cukup dengan kuasa 199 hp yang didapati daripada enjin empat silinder selari 999 cc pada model sebelum ini, BMW telah meningkatkan kuasa S1000RR 2019 menjadi 207 hp pada 13,500 rpm dan tork 113 Nm pada 11,000 rpm (masih sama) hasil daripada penggunaan teknologi ShiftCam baru, serta laluan udara dan sistem ekzos (1.3 kg lebih ringan) yang diubah.

    BMW S1000RR 2019 muncul di EICMA – pembaharuan menyeluruh, bakal ditawarkan siap dengan pakej M

    Pada bahagian elektronik, S1000RR 2019 ini sekarang mempunyai pengesan 6-axis, seterusnya membolehkan ia dilengkapi dengan fungsi seperti Dynamic Traction Control, DTC Wheelie Function, BMW Motorrad Race ABS serta Engine Brake Function yang boleh dilaras sepenuhnya.

    Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan Launch Control, Pit Lane Limiter, Shift Assistant Pro (boleh ditukar dengan mudah kepada GP-Style), Electronic Cruise Control serta empat mod tunggangan secara standard iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race (boleh ditambah dengan pilihan Pro Mode). Untuk bahagian panel instrumen, model ini menggunakan skrin TFT 6.5 inci baru dengan paparan yang boleh diubah.

    Melalui model biasa sahaja, S1000RR 2019 ini sudah boleh mencatat berat yang lebih ringan antara 11 hingga 14.5 kg berbanding model sebelum ini (sekarang mempunyai berat 197 kg), dan jika itu tidak mencukupi, pengguna boleh memilih buat pertama kalinya pakej M pada S1000RR yang mengurangkan lagi beratnya kepada 193.5 kg. Dalam pakej ini pembeli akan diberi rim gentian karbon, bateri serba ringan, kit casis M, tempat duduk sport, Pro Mode serta warna cat Motorsport.

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport buat penampilan di Brazil

    Toyota Hilux GR Sport buat penampilan di Brazil

    Jika di Amerika Utara masih lagi yakin dengan nama Toyota Racing Development (TRD) sebagai versi lebih sporty untuk model produksi Toyota, di Brazil nampaknya gergasi automotif Asia tersebut kini bakal memperkuatkan jenama Gazoo Racing (GR) seperti di Jepun dan Eropah. Di Malaysia dan Thailand sudah biasa dengan Hilux lebih garang dengan nama TRD Sportivo, manakala di Brazil, Hilux kini diperkenalkan dalam versi GR menampilkan rupa yang lebih agresif.

    Trak pikap Toyota Hilux GR Sport yang diasaskan dari varian tertinggi SRX ini didedahkan di Sao Paulo International Motor Show 2018, dan ia dihasilkan di Zárate, Argentina. Model ini diberikan penyerap hentak jenis monotube dan juga spring yang lebih keras di hadapan, didakwa Toyota dapat menala semula suspensi tersebut bagi meningkatkan kawalan kenderaan dan meningkatkan keyakinan pemandu tanpa berkompromi dengan keselesaan dan juga kapasiti beban.

    Manakala untuk rupa, bahagian luaran Hilux GR ini menerima gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama tulisan “Toyota”. Serlahan merah diberikan pada kemasan lampu kabus hadapan, manakala bonet hadapan, bumbung, fender flare dan pemijak sisi diwarnakan hitam. Lencana GR ditelakkan pada pintu hadapan dan tailgate, dan bagi melengkapkan rupanya, livery merah-hitam Gazoo Racing diberikan pada badan bersama rim dua-tona 17-inci dibaluti tayar jenis all-terrain.

    Masuk ke kabin pula, trak pikap ini turut menerima pelbagai aksesori dengan logo GR termasuk suis penghidup enjin, karpet kaki dan juga sulaman pada perehat kepala. Panel instrumen diberikan pencahayaan berwarna putih, manakala untuk mengingkatkan nilai eksklusifnya, plak GR dengan nombor siri unik diletakkan dibelakang tuil penukar gear.

    Walau bagaimanapun, tiada perubahan kuasa ditampilkan pada Hilux Gazoo Racing ini. Ia masih dijana enjin asal 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel berkuasa 177 PS dan tork maksima 450 Nm. Kuasa dialirkan ke kotak gear enam-kelajuan automatik, dan ia masih dibekalkan dengan sistem pacuan empat roda yang sama.

     
     
  • Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    Jenama automotif dari China, Geely telah membeli sebuah litar di Amerika Syarikat iaitu Utah Motorsport Campus, atau dikenali sebagai Miller Motorsport Park sebelum ini, lapor Road & Track.

    Litar berkenaan telah dibangunkan usahawan tempatan, mendiang Larry Miller pada tahun 2006 dan terletak di pinggir Bandar Salt Lake. Namun, keluarga Miller enggan menyambung kontrak 10-tahun dengan daerah Toole yang telah tamat pada tahun 2015. Mitime, sebuah anak syarikat Geely berusaha untuk membeli hartanah berkenaan bagi menggunakan litar berkenaan sebagai litar ujian dan terus menjalankan acara-acara sukan permotoran.

    Selepas kontrak dari keluarga Miller tamat, daerah Toole hanya menawarkan sewaan jangka pendek kepada Mitime dan di bawah pengurusan baharu litar tersebut dinamakan semula sebagai Utah Motorsport Campus (UMC). Namun, setelah menunjukkan kebolehan mereka untuk mengendalikan operasi litar berkenaan, daerah Toole menawarkan penjualan sepenuhnya UMC kepada syarikat induk Metime iaitu Geely.

    Geely beli litar lumba Utah Motorsport Campus

    “Kami teruja kerana akhirnya menyempurnakan perjanjian ini untuk membeli Utah Motorsport Campus,” kata naib presiden Mitime William Lee. “Fasiliti ini adalah sempurna untuk kami dan syarikat-syarikat lain kami, dan kami memandang kehadapan bagi membuatkan ia lebih besar dan lebih baik pada masa akan datang. Kami menghargai usaha daerah Toole bagi membolehkan ia berhasil, dan kami merendah diri dengan sokongan yang kami terima dari masyarakat Utah sejak kami mula beroperasi di fasiliti ini,” tambah Lee lagi.

    Dengan kawalan penuh terhadap hartanah seluas 511-ekar tersebut, Geely menyatakan bahawa mereka akan menghormati kontrak sedia ada, perjanjian yang telah dipersetujui, dan pajakan penyewa, namun turut menyebut perubahan mungkin akan dibuat pada 2019.

    Sehingga kini, UMC telah mengadakan pelbagai acara berprestij termasuk salah satu pusingan untuk siri Pirelli World Challenge 2019 dan juga Nitro Rallycross Travis Pastrana. Namun litar berkenaan masih lagi tidak mempunyai pengaruh sehebat pesaingnya yang lain sejak kematian Larry Miller pada 2009. CEO UMC, Willem Geyer berharap agar pengaruh Geely akan mengangkat semula status litar berkenaan selepas ini.

    “Kami sangat teruja dengan masa depan UMC, dan kami mempunyai rancangan yang signifikant untuk fasiliti ini. Kami sedang mengkaji daya maju bagi menambah pelbagai litar lumba, tempat-tempat hiburan dan infrastruktur sokongan yang bukan sahaja akan mengukuhkan kami sebagai salah satu fasiliti hiburan di Utah, malah turut memastikan UMC akan menjadi usaha yang menguntungkan untuk kali pertama dalam sejarah,” kata Geyer.

    Di bawah Geely bukan hanya ada Volvo dan usahasama bersama jenama automotif Malaysia, Proton. Malah Geely turut mempunyai entiti yang serius terhadap prestasi tinggi seperti Lotus, Polestar dan jenama mewahnya Lynk & Co bersama Cyan Racing juga akan berlumba dalam FIA World Touring Car Cup 2019 dengan sedan 03 TCR.

     
     
  • Mitsubishi Motors Malaysia umum rebat tunai akhir tahun untuk Triton, Outlander dan ASX, hingga RM8k

    Mitsubishi Motors Malaysia umum rebat tunai akhir tahun untuk Triton, Outlander dan ASX, hingga RM8k

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan tawaran rebat tunai akhir tahun untuk barisan model Mitsubishi di negara ini, dengan rebat antara RM5,000 hingga RM8,000.

    Sehingga akhir Disember ini, sesiapa yang menempah dan mendaftar sama ada Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD (harga pada RM137,888) atau 2.4L 4WD (RM152,888) berpeluang menikmati rebat sehingga potongan RM8,000 dari harga runcit. Stok bagi Outlander 2.4L AWD adalah terhad, jadi anda kena pantas untuk mendapatkannya, jika mahu.

    Bagi barisan Triton, ia ditawarkan rebat sebanyak RM5,000 untuk Triton Quest (RM78,890) dan varian MT (RM95,610), sementara bagi VGT MT (RM109,600), VGT AT GL (RM105,990), VGT AT Premium (RM118,560), VGT Adventure X (RM129,270) dan Athlete (RM129,650) pula bakal menikmati rebat RM8,000.

    Akhir sekali, Mitsubishi ASX 2WD (RM118,866) dan ASX 4WD (RM133,336) juga ditawarkan dengan rebat tunai sehingga RM8,000. Sebagai tambahan, MMM turut mengumumkan pelanggan yang menghantar kereta Mitsubishi mereka untuk diselenggara dari 1 hingga 30 November akan menerima diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti terpilih, aditif pada harga yang menarik dan pemegang telefon percuma bagi setiap penyelenggaraan.

     
     
  • Hanya rakyat Malaysia yang layak dapat langganan pas perjalanan tanpa had 30 hari – Anthony Loke

    Hanya rakyat Malaysia yang layak dapat langganan pas perjalanan tanpa had 30 hari – Anthony Loke

    Salah satu isu yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu ialah pemberian pas bulanan RM100 dengan penggunaan tanpa had akan diperkenalkan kepada orang ramai yang menggunakan perkhdmatan tren dan bas selenggaraan RapidKL bermula 1 Januari 2019 ini. Selain itu, pas bulanan RM50 turut akan ditawarkan bagi penggunaan perkhidmatan bas RapidKL, juga tanpa had.

    Walau bagaimana pun, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia boleh dibuat menerusi kad MyKad, MyTentera dan MyKid, dalam erti kata lain, hanya rakyat Malaysia sahaja yang layak menerima faedah ini. Katanya, pas perjalanan dijangka boleh mula dilanggan pada 1 Disember ini dan digunakan bermula 1 Januari 2019, laporan Bernama.

    “Langganan pas ini boleh dibuat di semua kaunter di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dan empat hab bas iaitu Hab Bandar Shah Alam, Greenwood (Gombak), Sri Nilam (Ampang) dan Terminal Kajang. Pas perjalanan ada untuk tempoh 30 hari dan ia bukan pas bulanan. Tempoh 30 hari adalah bermula daripada tarikh penggunaan pertama,” katanya.

    Loke berkata, penggunaan pas perjalanan itu membabitkan enam mod pengangkutan iaitu MRT, LRT, monorel, bas Rapid KL, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas pengantara MRT.

     
     
  • Diskaun 50% saman trafik pada 7-9 Nov di JSPT KL

    Diskaun 50% saman trafik pada 7-9 Nov di JSPT KL

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan pemberian diskaun sehingga 50% bagi saman trafik pada 7 hingga 9 November ini di Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Ia adalah sempenah Hari Bersama Pelanggan JSPT KL yang berlokasi di Balai Polis Trafik, Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur.

    Walau bagaimana pun, diskaun berkenaan tidak dikira untuk jenis Saman Kemalangan Tahun Semasa, Saman Berstatus NC, Saman Berstatus Waran Tahun Semasa, Saman Dalam Perbicaraan dan Saman Berkaitan Lori.

    Selain itu, pemberian diskaun saman ini juga bakal dilaksanakan di TMpoint Bukit Raja, Jalan Meru, Klang pada tarikh dan masa yang sama.

    JSPT turut menyarankan agar orang ramai membuat semakan terlebih dahulu di mana-mana Balai Polis Trafik atau menerusi dalam talian dan sebagainya tentang butiran saman yang boleh mendapat diskaun seperti yang termaktub.

    Jadi, bagi anda yang mempunyai saman tertunggak, inilah masanya untuk menyelesaikannya. Jangan sampai kena waran tangkap ya!

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    Minggu lalu, dalam perjalanan ke acara paultan.org Premium Auto Car Expo (PACE) di Pusat Konvensyen Setia City, jurugambar kami Sherman Sim terserempak dengan sebuah lori yang membawa sebuah hatchback bertutup sepenuhnya. Nak dijadikan cerita, kain penutup pada kereta tersebut terselak oleh angin dan apa yang menarik, ia adalah hatchback segmen-B Toyota Yaris yang tidak dijual pada pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang, Yaris dijual pada pasaran Thailand dan Indonesia, manakala model diatas lori tersebut adalah dari versi facelift yang dilancarkan di Thailand pada September 2017. Di Thailand, Yaris bersama model sedannya iaitu Yaris Ativ merupakan model yang dijual di bawah undang-undang kereta Eko Thailand yang memerlukan ia dijana enjin dengan kapasiti maksima 1.2 liter.

    Manakala untuk pasaran Indonesia, Yaris dilancarkan pada Februari lalu dengan enjin 1.5 liter 2NR sama dengan Perodua Myvi. Yaris diletakkan lebih tinggi dari Daihatsu Ayla dan Toyota Agya yang menerima enjin 1.2 liter yang bersaing dalam pasaran Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia.

    Berbalik dengan unit yang ditemui oleh Sherman tadi, ia diberikan kit badan yang berwarna merah, sedangkan warna keseluruhan badannya adalah Citrus Mica Metallic. Ini mungkin kit badan Yaris TRD Sportivo, namun ia kelihatan tidak sama dengan versi pasaran Indonesia (Thailand tidak menerima versi berkenaan). Tetapi, rim yang dilengkapkan pada Yaris tersebut adalah rim 16-inci yang sama dengan Yaris TRD Sportivo Indonesia.

    Untuk rekod, UMW Toyota pernah memasarkan Yaris di Malaysia iaitu model pre-facelift generasi sebelum ini pada tahun 2014. Namun dengan harga jualan melebihi RM100k untuk sebuah hatchback segmen-B, agak sukar untuk kita melihat Yaris tersebut merayap di atas jalan raya Malaysia.

    Yaris yang ditemui ini berkemungkinan besar menuju ke kilang baharu Toyota yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang. Sekiranya model ini dapat dipasang di kilang berkenaan, sudah tentu hatchback lima pintu ini dapat dijual dengan harga lebih kompetitif seperti apa yang Honda lakukan terhadap hatchback segmen-B mereka, Jazz.

    SPYSHOT: Toyota Yaris CKD bakal ke pasaran M’sia?

    Pada Mei 2016, UWW Toyota mengesahkan mereka sedang membina kilang di Bukit Raja dengan keluasan 670,000 meter persegi berkenaan yang berupaya untuk memproduksi 50,000 unit kenderaan setahun untuk peringkat permulaan. Fasiliti terbaharu itu akan menghasilkan kereta-kereta penumpang termasuk model-model EEV, manakala kilang Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) sedia ada di Shah Alam ditugaskan untuk memproduksi kenderaan komersial.

    Menurut Toyota, mereka menjangkakan produksi di Bukit Raja akan bermula pada awal 2019, ketika itu tiada lagi kereta penumpang akan dihasilkan di ASSB. Jadi adakah ini satu lagi petanda bahawa Yaris akan dihasilkan secara CKD di sini? Sekiranya model ini benar-benar ditawarkan sebagai model CKD Malaysia kelak, adakah ia bakal memberikan saingan sengit terhadap Honda Jazz?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025