Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Siri video #SafetyStartsWithYou BMW gunakan kanak-kanak beri peringatan tentang pemanduan selamat

    Sebagai sebahagian daripada program tahunan BMW Safety 360º, BMW Group Malaysia telah menyiarkan satu siri video #SafetyStartsWithYou, yang dihasilkan oleh pengarah filem pendek yang terpilih sebagai finalis BMW Shorties iaitu Mallory Lee.

    Siri video ini menampilkan kanak-kanak berusia antara empat hingga sembilan tahun, dan memberikan peringatan kepada orang dewasa tentang keselamatan atas jalan raya, dengan memberi tumpuan kepada topik termasuk tali pinggang keledar, tempat duduk kanak-kanak, lampu penunjuk arah, mematuhi lampu isyarat dan had kelajuan, serta jangan menggunakan telefon waktu memandu.

    “Keselamatan jalan raya dan tanggungjawab atas jalan sepatutnya didekati secara menyeluruh, melalui teknologi, tingkah laku dan tindakan. Sementara kami sebagai pengeluar kendeaan premium sentiasa mereka dan memperkenalkan teknologi keselamatan baru untuk semua pengguna jalan raya, kami juga perlu mengingatkan bahawa keselamatan bermula dari anda sendiri,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

    “Melalui siri video ini, kami berharap ibu bapa dan orang dewasa secara amnya dapat melihat, jika anak-anak kita boleh faham peraturan asas jalan raya, tanda jalan serta tingkah laku pemanduan selamat, kita sebagai orang dewasa juga sepatutnya menunjukkan tauladan melalui tindakan yang sepatutnya,” tambah beliau.

    Menurut statistik, pada tahun 2016, 7,152 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Malaysia, dan 80.6% daripadanya disebabkan oleh kesilapan manusia. Menurut menteri pengangkutan, Anthony Loke, pada tahun 2017, 6,740 kematian jalan raya dicatat. Walaupun jumlah kematian menurun sedikit, jumlah kemalangan masih lagi meningkat, iaitu sebanyak 2.4% menjadi 533,875.

    Harald turut menambah bahawa satu laporan daripada WHO pada 2013 telah meletakkan Malaysia di tempat ketiga sebagai negara yang paling banyak mencatat kematian berkaitan dengan jalan raya di serata dunia.

     
     
  • Proton jangka harga kereta naik bila SST dikembalikan

    Proton jangka harga kereta naik bila SST dikembalikan

    Pembeli kereta buat masa ini menikmati kadar 0% bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST), sekaligus membuatkan harga kereta menjadi lebih rendah berbanding sebelum ini. Walau bagaimana pun, ramai yang tertanya-tanya apa akan jadi pada harga kereta apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali dilaksanakan mulai 1 September ini, dan jika perlu mereka membuat pembelian sekarang.

    Menurut Proton, kini merupakan masa yang terbaik untuk pengguna membeli kereta baharu, sebelum SST kembali diimplementasikan. Seperti yang disebut oleh presiden Persatuan Automotif Malaysia Datuk Aishah Ahmad (dan beberapa sumber lain), Proton percaya harga kereta akan meningkat selepas SST kembali dilaksanakan.

    Pada Mei tahun ini, menteri kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kadar SST sepatutnya ditetapkan pada 10%, iaitu kadar yang sama sebelum ia digantikan dengan GST pada April 2015. Kemudian, MMA berkata dijangkakan kerajaan akan menetapkan SST lebih rendah berbanding GST (6%) untuk menurunkan harga kereta bagi promosi pembelian.

    Bagi pasaran kereta terpakai, Proton berpendapat, oleh kerana persaingan yang sengit, penjual secara umumnya menyerap nilai GST. Oleh itu, harga ditawarkan tidak akan terjejas dengan GST yang berkadar sifar. Bagi pengguna yang ingin berjimat, mereka mungkin akan lebih tertarik dengan pasaran kereta terpakai kerana perbandingan kos disangka lebih murah dan praktikal.

    Walau bagaimanapun, proses membeli kereta terpakai adalah sedikit lebih rumit berbanding dengan pengalaman membeli kereta baharu kerana kelulusan pinjaman mungkin lebih mudah untuk diperoleh dan kadar faedahnya lebih rendah disebabkan risiko yang lebih rendah berbanding dengan kereta terpakai. Dengan ini, jumlah pinjaman yang diluluskan menjadi lebih tinggi amaunnya.

     
     
  • Ops Selamat 13/2018: Kemalangan jalan raya di Selangor meningkat – 3,787 kes dalam sembilan hari

    Ops Selamat 13/2018: Kemalangan jalan raya di Selangor meningkat – 3,787 kes dalam sembilan hari

    Sepanjang sembilan hari Ops Selamat 13/2018 dilaksanakan di Selangor, sebanyak 3,787 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di negeri itu (rekod sehingga semalam), iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 185 kes berbanding sehari sebelumnya.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, daripada jumlah itu, 29 kes adalah membabitkan kemalangan maut dengan 30 kematian, laporan Sinar Harian.

    Katanya, daripada jumlah itu, seramai 16 orang penunggang motosikal maut, kereta (8 orang), lori (2 orang) dan teksi serta pembonceng motosikal masing-masing dengan seorang dan tiga orang sekaligus menjadikan jumlah seramai 30 orang yang maut.

    “Berdasarkan pecahan mengikut daerah, Klang Utara menyaksikan tiga kematian, Sabak Bernam (3 kematian), Ampang Jaya (5 kematian), Gombak (4 kematian), Kuala Selangor (4 kematian), Kuala Langat (3 kematian) dan Kajang dua kematian. Manakala Hulu Selangor pula satu kematian, Klang Selatan (2 kematian), Shah Alam (2 kematian) dan Sepang (1 kematian),” katanya.

    Beliau turut berkata, JSPT Selangor juga turut mengeluarkan 30,815 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas sejak Ops Selamat 13/2018 ini dilaksanakan pada 8 Jun lalu.

     
     
  • Toyota akui ‘kereta super sport’ dibangunkan dengan teknologi Le Mans, tunjuk GR Super Sport Concept

    Toyota akui ‘kereta super sport’ dibangunkan dengan teknologi Le Mans, tunjuk GR Super Sport Concept

    Pemenang 24 Hours of Le Mans 2018, Toyota telah mempamerkan GR Super Concept di Circuit de la Sarthe sebelum perlumbaan bermula, termasuk mengesahkan bahawa “pembangunan bagi generasi akan datang kereta super sport Toyota telah bermula.” Ya, ia bukan setakat Supra baharu, tetapi kereta super sport yang diposisikan di atas kereta sport.

    Toyota berkata hypercar yang akan datang ini akan menggunakan teknologi elektrik hibrid dan “teknologi penjimatan bahan api” menerusi penglibatan ke-enam tahun mereka dalam FIA World Endurance Championship (WEC).

    Pertama kali didedahkan di Tokyo Auto Salon 2018 pada Januari lalu, GR Super Sport Concept dijanakan oleh enjin 2.4 liter turbo-berkembar V6 dan Toyota Hybrid System-Racing (THS-R), yang mampu menghamburkan gabungan kuasa sehingga 1,000 hp, berkongsi dengan jentera lumba TS050 Hybrid LMP1.

    “Bertanding di WEC, salah satu siri permotoran yang cukup menguja dan berlumba di Le Mans – salah satu perlumbaan yang paling ikonik – membantu kami untuk membangunkan teknologi elektrik hibrid bertaraf dunia dan membolehkan kami memindahkan pengetahuan kami ke model produksi,” ujar Shigeki Tomoyama, presiden bagi Gazoo Racing.

    Sambungnya lagi, “Industri automotif yang mengalami banyak perubahan ini, kami akan teruskan minat kami untuk mengeluarkan kereta yang benar-benar menarik. Tidak kiralah bagaimana teknologi elektronik dan digital akan terus transformasikan kenderaan, kami akan pastikan yang kereta buatan kami tidak akan menjadi satu lagi komoditi”.

    “Kami mulakan projek ini kerana kami percaya dengan mencipta kereta super sport, daya tarikan seperti TSo50 Hybrid akan menambah penglibatan Toyota dalam WEC. Dalam masa yang sama, pada masa hadapan, pelanggan akan lebih berpeluang untuk merasai pengalaman menggunakan jentera ini, selain menikmati prestasi pemanduan yang lebih jitu,” terang Tomoyama lagi.

    Bos GR juga berkata pada Januari lalu, jika e-Palette concept dari CES 2018 menjadi platform akan datang, maka GR Super Sport Concept mungkin menjadi jentera lumpa akan datang.

    “Ini fakta yang tidak boleh diubah kerana ramai yang inginkan kenderaan yang menarik. Perasaan untuk memiliki jentera sebegini memang cukup mengujakan,” ujar Tomoyama lagi.

    Tidak seperti hypercar lain, jentera ini memang patut diketengahkan dalam perlumbaan Le Mans. Apa komen anda mengenainya?

     
     
  • BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Model baru BMW 8 Series sudah mula dibangunkan agak lama, dan berita berkenaannya mula diketahui pada tahun 2016. Setahun lepas itu, BMW mengesahkan kewujudannya dengan menunjukkan model 8 Series Concept. Ia kemudiannya diikuti kereta lumba M8 GTE dan M8 Gran Coupe Concept yang lebih agresif.

    Kini model produksi sebenar sudah pun siap, dan ia akan menggantikan barisan 6 Series Coupe, seterusnya melengkapi model 7 Series. Sudah tentu, rekaan agresifnya dikurangkan sedikit untuk model produksi, tetapi masih ada ciri menarik daripada model konsep yang diguna seperti lampu utamanya – lampu paling nipis pernah diguna untuk kenderaan BMW, dan boleh didapati dalam jenis LED biasa atau Laserlight adaptif dengan Selective Beam (pilihan tambahan).

    Bonet yang panjang dan bumbung gelembung yang rendah memberikan penampilan seperti kereta sports klasik, dan di tepi pintu terdapat lengkungan yang masuk ke dalam. Di belakang, anda boleh melihat lampu LED penuh, spoiler serta muncung ekzos bentuk trapezoid. Pemilik juga boleh memilih pakej M Sport yang menambah spoiler hadapan dengan bukaan udara lebih besar, side skirt serta diffuser yang lebih agresif.

    Buat pertama kali juga, anda boleh memilih pakej M Technic yang kemasan Shadow Line dan tambahan spoiler atas but. Pakej Carbon pula menyediakan bumbung gentian karbon (pertama kali bagi model bukan M), dan beberapa bahagian lain yang juga dibuat daripada gentian karbon seperti diffuser dan spoiler.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Bahagian dalam pula melihatkan rekaan yang berbeza berbanding model terkini BMW yang lain. Konsol tengahnya direka memanjang ke bawah dan lebih condong ke arah pemandu. Corong pendingin hawa pula mempunyai kemasan krom yang mana garisannya bersambung dengan pembesar suara serta pemegang di tepi pintu. Ia datang dalam keadaan standard dengan balutan kulit serta Vernasca untuk tempat duduk.

    Tempat duduk sports juga datang secara standard dan ia menampilkan penyandar kepala yang dibina sekali dengan penyandar badan, pelaras kuasa elektronik serta fungsi memori untuk pemandu dan juga penumpang hadapan. Jika itu tidak mencukupi, pelanggan boleh menambah tempat duduk pelbagai fungsi, bersama balutan kulit Merino atau BMW Individual.

    Di antara tempat duduk tersebut terdapat sekumpulan butang pengawal yang termasuk butang pemula enjin, iDrive, suis Driving Experience Control dan tombol gear. Butang pengawal ini boleh didapati dengan jenis yang dibuat daripada kaca, dengan tombol gear yang mempunyai simbol ‘8’ bercahaya.

    Pilihan lain termasuk liang udara pada tempat duduk yang direka semula, BMW Display Key dengan skrin sesentuh, pengecas telefon Qi tanpa wayar dan lampu dalam kenderaan dinamik yang melengkapi lampu biasa. Terdapat juga pilihan sama ada sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara atau Bowers & Wilkins Diamond Surround 1,375-watt untuk menggantikan sistem 11 pembesar suara asal.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Untuk sistem infotainmen, 8 Series datang secara terus dengan sistem navigasi Professional, menampilkan skrin sesentuh 10.25 inci di tengah, pengawal sesentuh dan BMW Operating System 7.0. Paparan instrumen BMW Live Cockpit Professional 12.3 inci juga datang secara standard bersama paparan baru yang termasuk peta navigasi.

    Di sebalik badannya, terdapat kerangka modular Cluster Architecture (CLAR) BMW yang dibina daripada gabungan besi, aluminium, magnesium dan gentian karbon, seperti 7 Series. Untuk suspensi, terdapat double wishbone di hadapan dan five-link di belakang, dengan kinematik dan elastokinematik unik yang memberikan tambahan ketangkasan, ketepatan dan prestasi. Suspensi Adaptive M serta Integral Active Steering dipasang secara standard.

    Semasa pelancaran, terdapat dua varian yang ditawarkan, bermula dengan 840d xDrive diesel pacuan semua roda yang dikuasakan oleh enjin enam silinder twin-turbo 3.0 liter berkemampuan 320 hp pada 4,400 rpm dan 680 Nm pada antara 1,780 hingga 2,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan mampu memberikan catatan prestasi seperti 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan penggunaan bahan api antara 5.9 hingga 6.2 liter bagi setiap 100 km.

    Satu lagi pilihan adalah M850i xDrive. Varian ini dikuasakan oleh enjin M550i 4.4 liter V8 petrol biturbo yang dinaik taraf untuk memberi kuasa 530 hp antara 5,500 hingga 6,00 rpm dan 750 Nm tork pada antara 1,800 hingga 4,600 rpm. Enjin ini mampu menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan menggunakan bahan api antara 10.0 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km.

    BMW 8 Series – coupe sports terbaharu diperkenalkan

    Perbezaan lain antara dua varian ini adalah M850i xDrive turut dilengkapi pakej M Sport, bersama tambahan splitter hadapan, spoiler atas but serta kemasan Cerium Grey. Varian atas ini juga mendapat tempat duduk pelbagai fungsi, stereng M Sports, sistem pacuan semua roda yang lebih kepada roda belakang, differential belakang kawalan elektronik, brek M Sport lebih besar serta anti-roll bar sebagai pilihan tambahan.

    Model 8 Series ini juga ditawarkan dengan kelengkapan bantuan pemandu penuh, di mana dengan pakej tambahan Driving Assistant Professional, ia akan mendapat Adaptive Cruise Control dengan sistem Stop and Go, sistem pemanduan semi-autonomous dengan adanya steering and lane control assist dan Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi.

    Ciri lain yang terdapat dalam pakej Driving Assistant Professional ini adalah termasuk pengesan termasuk untuk pejalan kaki, amaran perlanggaran belakang, amaran laluan bertentangan dan amaran trafik melintas yang termasuk pengaktifan brek.

    Ciri biasa BMW Connected ditawarkan bersama Open Mobility Cloud, yang membolehkan pengguna mengakses ciri daripada peranti elektronik seperti iPhone dan Apple Watch, telefon pintar serta jam Android, Amazon Alexa serta Google Home.

     
     
  • Tiada dana awam untuk kereta nasional baharu – Lim

    Tiada dana awam untuk kereta nasional baharu – Lim

    Selepas mendedahkan rancangan Kerajaan Malaysia pimpinan Tun Mahathir Mohamad mengenai projek kereta nasional baharu, pelbagai reaksi di sekeliling timbul.

    Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia tidak mempunyai dana awam yang diperlukan untuk memulakan projek tersebut, laporan MalaysiaKini.

    Menerusi perbualan dengan Channel NewsAsia, Liom berkata perkara tersebut telah pun dijelaskan kepada Perdana Menteri bahawa projek tersebut disokong oleh sektor swasta (jika ingin merealisasikannya).

    “Jika ada pihak swasta yang mahu melakukannya di Malaysia dengan menggunakan wang mereka sendiri, saya fikir ia adalah sesuatu yang patut kita kaji, tetapi bukan menggunakan dana awam,” kata Lim.

    Dalam kenyataan Tun Mahathir mengenai hasratnya itu, Perdana Menteri turut berkata, “Kita juga akan bekerjasama dengan negara lain Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea, kerana mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta berkualiti yang boleh dijual di pasaran dunia. Malah kami juga mahu capaian (untuk menjual kenderaan) ke pasaran dunia.”

     
     
  • MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh highside di Barcelona

    MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh <em>highside</em> di Barcelona

    Ketika keadaan nampak seperti meyakinkan Hafizh Syahrin akan mengutip lebih banyak mata dalam perlumbaan MotoGP pusingan di Barcelona, Sepanyol, beliau telah terjatuh highside apabila hanya tinggal lagi beberapa pusingan saja lagi. Semasa itu, beliau sudah berada di tempat kesembilan.

    Sejak dari awal pusinngan latihan lagi, Hafizh menunjukkan prestasi yang baik di Barcelona dan beliau hampir memasuki pusingan kelayakan Q2, tetapi akhirnya sekadar berpuas hati dengan petak permulaan ke-14. Waktu perlumbaan berlangsung, beberapa penunggang di hadapan beliau ada yang terjatuh, namun Hafizh juga ada memotong sendiri beberapa pelumba sehinggalah berada di tempat kesembilan.

    Walaubagaimanapun, apabila perlumbaan hanya tinggal lagi empat pusingan, Hafizh telah terjatuh secara highside, dan menurut satu kenyataan di laman Monster Yamaha Tech3 Racing, beliau menyatakan, “saya rasa bagus semasa perlumbaan, tetapi telah melakukan satu kesilapan dan terkeluar dari garis lumba. Apabila mahu membawa semula motosikal ke laluan yang betul, saya telah terkena highside.”

    MotoGP: Hafizh Syahrin jatuh <em>highside</em> di Barcelona

    Walaupun kelihatan jatuh terpelanting, Hafizh cuba bangun semula untuk meneruskan perlumbaan, tetapi motosikal beliau didapati tidak selamat untuk digunakan semula. Beliau akhirnya tidak dapat menamatkan perlumbaan bersama 11 lagi pelumba lain.

    Selesai perlumbaan di Barcelona, Hafizh mencatat kedudukan keseluruhan tempat ke-17, dengan jumlah mata yang dikumpul juga 17 mata. Kejuaraan MotoGP masih lagi berbaki 12 pusingan, dan perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Litar TT Assen, Belanda 1 Julai nanti.

     
     
  • PLUS umum lanjutan diskaun 50% sehingga 4 pagi pada 15 Jun di lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2

    PLUS umum lanjutan diskaun 50% sehingga 4 pagi pada 15 Jun di lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bagi memastikan para pengguna rangkaian lebuhraya kendaliannya termasuk LPT2 dapat pulang berhari raya Aidilfitri dengan selamat, tempoh penawaran diskaun tol 50% dilanjutkan sehingga jam 4 pagi pada 15 Jun (Jumaat).

    Lanjutan tempoh penawaran diskaun tol 50% tersebut merangkumi semua transaksi tol (kecuali kenderaan Kelas 2 dan 3) di semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Namun begitu, ia tidak melibatkan transaksi tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor.

    PLUS menghargai sokongan berterusan para pengguna terhadap perkhidmatan rangkaian lebuh rayanya dan ingin menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri mereka. Dalam masa yang sama, PLUS juga menasihatkan supaya orang ramai memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi had laju serta arahan pihak berkuasa

     
     
  • McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    Untuk Goodwood Festival of Speed tahun ini, McLaren bakal mendedahkan edisi baharu bagi barisan modelnya, yang telah ditunjukkan menerusi imej teaser ini. Menurut pengeluar kereta Britain ini, jentera yang tidak didedahkan namanya bakal menjadi model baharu ke-lima yang diumumkan di bawah pelan perniagaan Track22.

    Berdasarkan imej ini, model tersebut muncul sebagai versi hardcore bagi 570S dengan banyak elemen gentian karbon termasuk ekzosnya. Ia akan mengeluarkan gas yang dihasilkan oleh enjin kereta ini, di mana satu lagi misteri bakal dirungkaikan.

    McLaren tunjuk model baharu menjelang Goodwood

    McLaren berkata model baharu ini “menerima kelebihan daripada peningkatan kuasa, berat yang diminima, aerodinamik lebih optimum dan pengendalian pemanduan yang dipertingkatkan.” Tambahnya lagi, ia hanya dikeluarkan dalam unit terhad, seperti Senna.

    Berdasarkan informasi, model baharu ini tidak menggunakan nama 570, seperti 570S, 570S Spider dan 570GT. Ini kerana anggaran bagi kuasa yang dihasilkan oleh enjinnya adalah lebih banyak, menurut McLaren. Semuanya akan didedahkan pada hujung Jun ini kerana ia akan diperkenalkan dalam acara Goodwood Festival of Speed.

     
     
  • Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan untuk pertimbang memperkenalkan semula program pelupusan kenderaan bagi mengurangkan jumlah kenderaan lama dari atas jalan di negara, lapor The Edge.

    Ini bukanlah kali pertama program seperti ini dicadangkan; di mana mereka yang ingin melupuskan kereta lama diberikan pampasan atau rebat bagi membolehkan mereka membeli kereta baru. “Masih belum ada keputusan diambil berkaitan perkara ini, tetapi saya telah diberi taklimat oleh pegawai bahawa memang ada beberapa cadangan ke arah ini,” jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pernah mengusulkan cadangan dasar hujung hayat kenderaan, sebuah skim pelupusan kenderaan dengan pampasan/rebat. Di bawah cadangan ini, pemilik yang kenderaan mereka sudah berusia lebih 10 tahun akan diberi rebat sehingga RM5,000 untuk mereka “trade-in” kenderaan terbabit dengan yang baru dari jenama pengeluar tempatan.

    Kementerian Pengangkutan tidak tolak kemungkinan untuk perhalus cadangan skim lupus kenderaan lama

    April tahun ini, Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) menggesa kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar berkenaan. Ia sepatutnya dicadang untuk dilaksanakan awalnya pada tahun 2014, tetapi tidak menjadi kenyataan disebabkan maklum balas kurang memberangsangkan dari orang awam.

    Dalam cadangan awalnya ketika itu, dasar berkenaan memerlukan pemilik yang kenderaan mereka telah berusia 15 tahun ke atas untuk dibawa untuk pemeriksaan wajib sebagai satu keperluan untuk memperbaharui cukai jalan. Gagal lulus dalam pemeriksaan ini, kenderaan terlibat perlu dibaik pulih sehingga lulus.

    Adakah anda menyokong pelaksanaan skim atau dasar seumpama ini? Apakan pilihan yang lebih baik menurut anda? Kongsikan pendapat anda dengan kami.

     
     
  • Suzuki Jimny generasi baharu terdedah sepenuhnya

    Suzuki Jimny generasi baharu terdedah sepenuhnya

    Suzuki Jimny generasi baru hanya akan didedahkan 5 Julai nanti, tapi di internet, gambarnya sudah mula tersebar, dimuat naik oleh Creative311. Daripada gambar ini juga, ia boleh dilihat menggunakan gaya retro seperti model generasi awal terdahulu.

    Walaupun mempunyai bentuk kotak, Jimny baru ini masih membawa beberapa tanda rekaan daripada model generasi ketiga (JB). Sebagai contoh, lampu hadapannya yang berbentuk bulat terletak sekali di dalam gril dengan lima jalur, dan lampu kabusnya diletakkan hujung, di bucu bampar.

    Pada bahagian lain, kereta ini boleh dikatakan agak berbeza, dengan adanya lengkuk roda yang lebih tegap, rangka tingkap yang lebih tajam dan bonet yang lebih tinggi. Pintu ruang simpanan belakang juga nampak lebih praktikal kerana boleh dibuka lebih luas, manakala lampu belakang pula diletakkan rendah.

    Bahagian dalam juga diubah untuk model baru ini, melihatkan penggunaan skrin infotainmen yang diletakkan di tengah papan pemuka. Ini memerlukan corong pendingin hawa diletakkan lebih rendah, diikuti tombol pengawal suhu. Roda stereng dan panel instrumen nampak seperti diambil daripada Swift, tetapi mempunyai sedikit kelainan.

    Dalam satu gambar risalah yang lain, Jimny juga nampak seperti akan ditawarkan dalam varian Sierra, yang dijangka akan menampilkan penggayaan lebih kepada offroad. Melihat kepada gambar kualiti rendah itu, antara peningkatan yang diberi pada varian ini adalah termasuk kit badan dan kemasan tambahan di dalam.

    Risalah yang bocor ini juga mengesahkan Jimny baru akan dibina atas kerangka ladder-on-frame dan mempunyai sistem pacuan empat roda. Pilihan enjin pula berkemungkinan termasuk tiga silinder Boosterjet turbo 1.0 liter dan Dualjet empat silinder 1.2 liter.

     
     
  • Pemantauan ketat bagi kesan pemandu guna lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan – Anthony Loke

    Pemantauan ketat bagi kesan pemandu guna lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan pemantauan lebih rapi termasuk melalui kamera litar tertutup (CCTV) akan dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang musim perayaan ini bagi mengenal pasti pengguna lebuh raya yang melanggar peraturan terutama menyalahgunakan laluan kecemasan, laporan Bernama.

    Katanya, sebanyak 150 buah CCTV pada jarak setiap 10 kilometer telah dipasang di sepanjang lebuh raya oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi tujuan itu.

    “Pihak PLUS akan memantau semua CCTV melalui pusat kawalan dan sekiranya ada pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan mereka akan ‘zoom in’ untuk dapatkan maklumat kenderaan dan seterusnya melaporkannya kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan mengeluarkan saman,” katanya dalam sidang media Tinjauan Trafik Lebuhraya Utara-Selatan Sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS semalam.

    Loke berkata sejak Ops Bersepadu sempena Hari Raya bermula 7 Jun lepas, sebanyak 83 saman membabitkan penyalahgunaan lorong kecemasan telah dikeluarkan.

    Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan termasuk melalui rakaman kamera kereta ataupun telefon bimbit supaya melaporkannya kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya.

     
     
  • Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    The Mercedes-Benz SLC telah menambah beberapa peningkatan untuk model 2019, sebelum ia memulakan jualannya di Amerika Syarikat. Peningkatan ini turut melibatkan model AMG, termasuk SLC 300 dan SLC 43.

    Untuk SLC 300, semakan melibatkan pilihan baharu – pencahayaan ambien, Bantuan Titik Buta, sistem bunyi Harman Kardon Logic 7, jam analog pada papan pemuka dan Parktronic. Di bawah bonetnya, terletak enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 241 hp dan tork 370 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik sembilan-kelajuan. Dengan kuasa disalurkan ke roda belakang, ia mampu mencapai 5.8 saat bagi pacuan 0-96 km/j.

    Mercedes-AMG SLC43 2019 kini tampil dengan 385 hp

    Perubahan pada Mercedes-AMG SLC 43 pula lebih besar, dengan enjin 3.0 liter turbo-berkembar V6 yang kini tampil dengan hamburan kuasa 385 hp. Ia adalah lebih 23 hp berbanding model tahun 2018, walau bagaimana pun syarikat ini tidak memaklumkan tentang tork atau spesifikasi prestasinya. Memandangkan kuasa kudanya lebih kurang sama dengan model facelift C 43, dijangkakan V6 ini mampu menghasilkan tork sebanyak 520 Nm.

    Selain enjin, SLC 43 kini didatangkan dengan kawalan suhu dwi-zon dan lampu utama LED aktif dengan Bantuan Lampu Tinggi Adaptif secara standard. Kereta ini juga boleh ditempah dengan kekemasan warna luaran Graphite Grey.

     
     
  • Harga minyak RON 97 turun enam sen menjadi RM2.60

    Harga minyak RON 97 turun enam sen menjadi RM2.60

    Minggu ini sudah masuk minggu kedua harga petrol RON 97 ditetapkan secara apungan dan bermula hari ini, harganya turun menjadi RM2.60 seliter (daripada RM2.66 minggu lepas) dan akan dikekalkan sehingga 20 Jun. Harga bahan api lain iaitu petrol RON 95 dan diesel masih lagi kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter (RM2.28 untuk diesel Euro 5).

    Harga yang dikekalkan oleh kerajaan baru ini membawa makna penggunaan subsidi, kerana harga minyak dunia sedang meningkat sejak baru-baru ini. Menteri kewangan, Lim Guan Eng memberitahu minggu lalu bahawa kerajaan menggunakan subsidi 33 sen bagi setiap liter RON 95 dan diesel pada harga sekarang. Tanpa subsidi, harganya akan menjadi RM2.53 seliter untuk RON 95 dan RM2.51 untuk diesel.

    Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan RM3 bilion sehingga hujung tahun 2018 untuk membiayai subsidi minyak ini, dan mengekalkan harga petrol RON 95 serta diesel seperti sekarang untuk sepanjang tahun.

    Dalam satu laporan lain, Salah seorang dari ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin ada menyatakan, cadangan untuk pembaharuan subsidi bahan api akan dibentangkan kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam minggu ini.

     
     
  • MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS guna klac automatik elektronik Rekluse, kuasa 110 hp, 80 Nm

    MV Agusta Turismo Veloce 800 Lusso SCS guna klac automatik elektronik Rekluse, kuasa 110 hp, 80 Nm

    Model jelajah sport keluaran MV Agusta kini ditambah dengan satu lagi varian istimewa yang dipanggil sebagai Turismo Veloce 800 Lusso SCS. Huruf di hujung nama model tersebut membawa maksud Smart Clutch System, dan ini adalah kelengkapan istimewa pada model baru tersebut.

    MV Agusta mendakwa, SCS ini adalah eksklusif untuk motosikal mereka, dan pertama kali digunakan pada motosikal produksi, tetapi sebenarnya ia dibangunkan bersama Rekluse, yang sememangnya sudah terkenal dengan pengeluaran klac anti-mati terutamanya untuk motosikal offroad.

    Dengan adanya klac SCS ini, pengguna boleh memilih sama ada mahu menggunakan klac di tangan ataupun terus saja memasukkan gear tanpa menarik apa-apa tuil. Selain itu, klac ini juga dapat mengelakkan enjin mati apabila transmisi masih dalam gear, dan motosikal terhenti sambil penunggang tidak menarik klac.

    Menambahkan lagi keistimewaannya, MV Agusta telah memasang penutup klac lutsinar, membolehkan orang melihat ke bahagian dalam klac, dan ia juga disertakan dengan sistem quickshift elektronik naik dan turun MV EAS 2.0.

    Bahagian lain motosikal ini masih sama seperti Turismo Veloce 800 Lusso yang lain, iaitu menggunakan enjin tiga silinder 798 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 110 hp dan 80 Nm tork. Berat keseluruhan model ini adalah 192 kg dan ia mampu mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

    Pada bahagian elektronik, model ini juga dilengkapi dengan antaranya empat mod kuasa, lapan tahap kawalan cengkaman, brek ABS two-channel dan paparan meter digital sepenuhnya. Suspensi pula menggunakan unit daripada Sachs di depan dan belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025