Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 17 kelab kereta sumbang RM311,000 untuk Tabung Harapan Malaysia menerusi program konvoi amal

    17 kelab kereta sumbang RM311,000 untuk Tabung Harapan Malaysia menerusi program konvoi amal

    Sebanyak 17 buah kelab kereta dari seluruh negara telah menyumbang sebanyak RM311,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.

    Menerusi penganjuran konvoi amal ‘Drive To A Greater Malaysia’ anjuran Weekend Drive Group (WDG) itu, yang melibatkan penyertaan seramai 320 pemandu dari pelbagai jenis kenderaan, diserahkan Pengerusinya Datuk Nordin Ahmad di Dataran Masjid Putra semalam, lapor Bernama.

    Nordin berkata inisiatif itu untuk membantu kerajaan meringankan bebanan hutang negara, yang dimulakan sejak 1 Jun lepas, berjaya mengumpul RM300,000 melalui sumbangan individu dan beberapa syarikat.

    “Baki RM11,000 dikumpul melalui penjualan topi, baju dan cenderahati kelab di destinasi penjelajahan berlangsung,” katanya. Antara kelab yang mengambil bahagian dalam konvoi amal itu ialah Kelab Audi Malaysia, Kelab Ranger Truckers, Lotus Official Club Malaysia, BMW Club Malaysia, RX8 Society dan Hilux Club Malaysia.

    Exco Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Selangor Amirudin Shari menerima sumbangan itu bagi pihak kerajaan.

     
     
  • Kedah bakal usul pemasangan kerusi khas kanak-kanak dalam kenderaan kepada kerajaan Persekutuan

    Kedah bakal usul pemasangan kerusi khas kanak-kanak dalam kenderaan kepada kerajaan Persekutuan

    Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, kerajaan negeri Kedah bakal mengemukakan usul mengenai pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan kepada kerajaan Persekutuan.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin, beliau melihat tahap kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pemasangan ‘child seat’ masih rendah dan ia boleh mengundang risiko kecederaan atau kematian apabila berlaku kemalangan, lapor Bernama.

    “Kita akan cuba usulkan cadangan yang boleh dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, antaranya perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan pengeluar kerusi kanak-kanak ini agar harganya dijual pada tahap mampu milik tanpa mengabaikan aspek kualiti.

    Kedah bakal usul pemasangan kerusi khas kanak-kanak dalam kenderaan kepada kerajaan Persekutuan

    “Keduanya, aspek kempen kesedaran perlu diperbanyak dan dipelbagaikan agar masyarakat mendapat informasi mengenai cara pemasangan “child seat” yang betul,” katanya pada kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Negeri Kedah 2018 semalam.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Chan Pei Hong pula berpendapat, masih ramai ibu bapa yang tidak mengetahui cara pemasangan kerusi khas kanak-kanak itu dengan betul, sehingga mengundang kecederaan atau kematian terhadap bayi atau kanak-kanak.

    “Pemasangan kerusi kanak-kanak ini digalakkan untuk bayi atau kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, dan pemasangan “child booster seat” bagi kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun. Namun pemasangan yang salah boleh menyebabkan mereka tersepit dengan beg udara atau tercampak, seterusnya mengakibatkan anggota badan patah atau cedera.

    “Sedikit hentakan khususnya membabitkan bahagian kepala, boleh membawa maut apabila pemandu menekan brek kecemasan, walaupun kenderaan dipandu pada kelajuan 20 atau 30 km/j,” katanya lagi.

     
     
  • Taycan nama kereta sports elektrik penuh Porsche

    Taycan nama kereta sports elektrik penuh Porsche

    Porsche Taycan adalah nama yang akan digunakan untuk kereta sports elektrik penuh jenama itu, dan ia ditunjuk pertama kali sebelum ini melalui model konsep Mission E. Menurut pengeluar Jerman tersebut, nama Tycan (disebut tai-kon) boleh diterjemahkan sebagai “kuda muda bersemangat,” dan merujuk kepada logo kuda yang sudah ada pada lencana Porsche sejak tahun 1952.

    Selain nama itu, perincian lain berkenaan Taycan masih tidak berubah daripada laporan yang pernah disiarkan sebelum ini. Ia akan dikuasakan oleh dua permanently synchronous motors (PSM) yang mampu memberikan jumlah kuasa keseluruhan lebih 600 PS (590 hp/440 kW). Pecutan 0-100 km/j dikata dapat dilakukan dalam masa 3.5 saat manakala laju 200 km/j pula dapat dicapai dalam masa bawah 12 saat.

    Melalui catatan prestasi ini, anda mungkin berfikir jarak pergerakannya akan berkurang, tapi Porsche berkata sebaliknya. Taycan mampu memberikan jarak gerak 500 km melalui satu cas penuh (kitaran NEDC), dan dengan penggunaan pengecas pantas pada sistem 800-volt padanya selama empat minit, pengguna sudah boleh mendapat jarak gerak 100 km.

    Taycan nama kereta sports elektrik penuh Porsche

    Mobiliti elektrik adalah antara sasaran utama Porsche untuk masa hadapan, dan syarikat itu bercadang untuk melaburkan lebih daripada enam bilion euro menjelang tahun 2022 untuk perkara ini. Daripada jumlah itu, 500 juta euro akan disalurkan untuk pembangunan varian Taycan, satu bilion euro untuk kemasukan tenaga elektrik pada model sedia ada, beberapa ratus juta untuk pengembangan tempat pengeluaran dan 700 juta euro untuk teknologi baru dan insfrastruktur mengecas.

    Seperti yang dijangka, peningkatan ini juga akan melibatkan ibu pejabat Porsche di Zuffenhausen, di mana ia akan menerima tempat mengecat kenderaan baru, tempat pemasangan khas untuk Taycan dan pengembangan kilang enjin sedia ada untuk mengeluarkan pula penjana elektrik. Menurut Porsche, pengeluaran Tycan akan membantu mewujudkan 1,200 pekerjaan baru di ibu pejabat mereka dan pelaburan selanjutnya juga telah dirancang untuk pusat pembangunan di Weissach.

    GALERI: Porsche Mission E Concept

     
     
  • PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Aidilfitri

    PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti Aidilfitri

    Seperti kebiasaan untuk cuti menjelang musim perayaan, PLUS Berhad (PLUS) turut mengeluarkan jadual cadangan perjalanan (TTA) bagi semua pengguna Lebuhraya Utara-Selatan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka bakal disambut pada 15 Jun ini.

    Dari 9 hingga 14 Jun, untuk pengguna yang datang dari Lembah Klang dan mahu menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara) dan Johor, disarankan mula memasuki lebuhraya terbabit sebelum jam 10 pagi.

    Manakala bagi yang mahu kembali ke Lembah Klang, dari tarikh 17 hingga 24 Jun, PLUS menyarankan agar pengguna dari semua negeri memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10 pagi.

    TTA bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan. Dengan mematuhi TTA yang dikeluarkan PLUS, pergerakan trafik di lebuh raya akan menjadi lebih lancar kerana kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh tidak akan bertembung dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat.

     
     
  • Selepas rekaan digital Proton Perdana Executive, kini ada pula Proton Perdana FL 2018 yang lebih garang

    Selepas rekaan digital Proton Perdana Executive, kini ada pula Proton Perdana FL 2018 yang lebih garang

    Awal Mei lalu, Saharuddin Busri, yang kerja-kerjanya kerap kami paparkan di laman ini telah menunjukkan hasil rekaan digital bagi model Proton Perdana Executive. Mengambil asas sama dari model Perdana yang ada dijual ketika ini, penampilan pada rekaan konsep itu diberikan serba sedikit sentuhan baru.

    Sebagai bekas pereka yang terlibat dengan proses-proses awal rekaan beberapa model Proton dahulu, beliau dengan jelas menjadikan jenama itu sebagai tumpuan utama untuk melahirkan karya-karya baru, walaupun sekadar imej bayangan dalam melayani kreativiti dan membayangkan penambah baikan yang boleh dilakukan terhadap model-model sedia ada Proton.

    Terbaru, kini ada pula rekaan konsep Proton Perdana FL, yang menampilkan rekaan bahagian depan yang lebih agresif, sebaga sebuah teaser kepada rekaan penuh yang sedang diusahakan. Apa yang dapat dilihat, Perdana FL 2018 ini diberikan imej yang lebih garang.

    Rekaan bampar depan sama sekali berlainan daripada versi eksekutifnya, dengan saiz yang lebih besar dan elemen bukaan atau terusan udara yang lebih luas. Rekaan gril pula walaupun masih menggunakan ruangan yang berbentuk serupa, palang krom yang ada kini terdiri daripada dua jalur atas dan bawah, menjadikannnya lebih menonjol. Lengkung pada hud juga lebuh maskulin, dan menjadikan wajah depan rekaan ini lebih “berotot”.

    Dari bahagian sisi juga ada kelainan. Garis badan yang lebih lurus, dengan elemen liang udara di bawah A-pillar serta cermin sisi yang lebih sporty menyuntik kelainan berbanding rekaan versi eksekutif yang dihasilkannya sebelum ini.

    Satu lagi yang menarik perhatian ialah rekaan rim yang digunakan; lebih besar dengan berselang seli antara jejari berkembar dan jejari tunggal. Anda suka dengan pendekatan rekaan ini? Kongsi pandangan anda diruang komen.

     
     
  • Proton bukan lagi kereta nasional negara, cadang wujudkan jenama baharu sebagai pengganti – Tun M

    Proton bukan lagi kereta nasional negara, cadang wujudkan jenama baharu sebagai pengganti – Tun M

    Dalam ucaptama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dipersidangan antarabangsa NIKKEI ke-24 di Tokyo, Jepun yang berlangsung pagi ini, beliau memberi penakanan bahawa Proton kini bukan lagi jenama kereta nasional Malaysia.

    Katanya ketika mengulas perkara itu, Proton bukan lagi jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing iaitu Geely. Syarikat China itu ketika ini memiliki kepentingan 49.9% dalam Proton, sementara DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan sebanyak 50.1%.

    “Saya yang memulakan jenama kereta nasional itu dan berpendapat ia mesti dimiliki oleh rakyat Malaysia sendiri. Pada awal pertubuhan Proton, kami ada menerima pelaburan kecil dari Jepun, misalnya dari Mitsubishi Motor Corporation. Namun kini, selepas Proton telah dijual kepada syarikat China, ia bukan lagi jenama kereta nasional Malaysia,” ujarnya.

    Proton bukan lagi kereta nasional negara, cadang wujudkan jenama baharu sebagai pengganti – Tun M

    Oleh yang demikian, Tun Mahathir menyuarakan hasratnya agar Malaysia memulakan projek kereta nasional yang baharu. “Kita juga akan bekerjasama dengan negara lain Asia Tenggara seperti Thailand, Jepun atau Korea, kerana mereka mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kereta berkualiti yang boleh dijual di pasaran dunia. Malah kami juga mahu capaian (untuk menjual kenderaan) ke pasaran dunia,” sambungnya lagi.

    Pada Mei 2017, Tun Mahathir pernah meluahkan rasa kesalnya selepas Proton membuat keputusan untuk memilih rakan kongsi strategik asing supaya mampu terus bertahan dalam industri ini. Proton telah menandatangani perjanjian dengan Zhejiang Geely Holding Group Co. yang dilantik sebagai rakan strategik asingnya pada bulan yang sama tahun lalu.

     
     
  • VIDEO: Replika Proton Saga Megavalve dari kertas!

    Jika anda seorang pengumpul model atau replika kereta, anda mungkin perasan agak sukar untuk mendapatkan model skala untuk kereta-kereta keluaran Proton. Yang boleh di beli pasaran setakat ini hanyalah Proton Waja dan juga Inspira, manakala Proton Wira pernah dikeluarkan dalam bentuk tabung duit ketika era 90’an dahulu.

    Nah, tengok video diatas – lelaki pemilik akaun Youtube bernama RyuZakiL BoyZz ini memuat naik video menunjukkan dia menghasilkan replika Proton Saga generasi pertama hanya dengan menggunakan kertas!

    Berdasarkan video tersebut, dia melakar dahulu bahagian kedua-dua sisi Saga berkenaan di atas kertas, kemudian memotongnya. Setelah itu, bahagian lain seperti muka depan, bonet serta cermin hadapan dan belakang juga bumbung dicantum dengan kedua-dua sisi tersebut hanya menggunakan gam. Kemudiannya, perincian-perincian lain turut ditambah seperti muka lengkap hadapan dan belakang, cermin tingkap dan juga kesemua jalur badan.

    A post shared by Paper Replika (@replika_car) on

    Berdasarkan gril hadapan kereta ini, pemilik dilihat ‘menyatakan’ bahawa replika ini adalah dari versi Saga Megavalve, atau model terakhir sebelum model Saga diganti dengan facelift Iswara. Replika tersebut juga ‘disolek’ dengan gaya stance & fitment (SNF) menampilkan ruang roda belakang telah ‘dibulatkan’ (bentuk asal adalah lebih rata di atas), overfender pada setiap sudut, serta set rim lima jejari dengan bibir yang agak lebar lengkap bersama cakera brek yang ditebuk disebalik setiap roda.

    Ketika ‘menyiasat’ lagi akaun Youtube ini, nampaknya pemilik berkenaan bukan sahaja menghasilkan Saga ini, malah turut sudah menyiapkan pelbagai model lain seperti Perodua Alza, Toyota Corolla KE70, Mazda RX-7 FD3S, Nissan Fairlady 350Z Veilside dan juga Nissan GT-R R35 Liberty Walk.

    Anda juga boleh lihat hasil kerja pemuda ini menerusi akaun Instagram dengan nama replika_car – di sini ada lagi yang mengejutkan, dia sedang menghasilkan Lamborghini Huracan dengan saiz seakan yang sebenar!

    GALERI: Proton Saga Megavalve

     
     
  • VIDEO: Tun M, Anthony Loke pesan agar pengguna berhati-hati di jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri

    Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini muncul dalam satu video khas sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, antaranya berseloroh tentang banyak perkara serta mempromosi pemanduan selamat dalam kalangan pengguna jalan raya, yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

    Tun Mahathir, yang antara lain mengakui gemar memandu kereta sendiri turut menasihatkan pengguna yang berusia lanjut tak perlu memandu. “Biasanya orang yang lebih 90 tahun tak payah bawalah…” jelas Tun M dalam nada bersenda, dan memaklumkan sekiranya beliau memandu sendiri, ada orang lain yang duduk disebelah untuk memerhati.

    Tentang saman, Tun M menjelaskan ia bertujuan untuk mendidik pengguna supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menjadikan jalan raya lebih selamat dan mendorong kepada perubahan sikap ketika memandu. “Kalau saman boleh diskaun, saya ingat ia tak jadi peringatan kepada kita,” tambah Tun M.

    VIDEO: Tun M, Anthony Loke pesan agar pengguna berhati-hati di jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri

    Anthony pula dalam mengulas perkara yang sama menjelaskan; “Tujuan kerajaan bukan untuk menyusahkan orang (dengan saman). Sebagai contoh tentang perintah untuk pemilik yang kenderaan mereka yang terlibat dengan recall untuk tukar beg udara segera, mereka perlu patuh. Kalau masih buat tak tahu, baru kita akan saman. Semua ini untuk kebaikan mereka juga,” jelas beliau.

    Selain itu Anthony juga menjelaskan pihaknya sedang memberi perhatian terhadap bagaimana untuk menurunkan kadar kemalangan yang terlalu tinggi di Malaysia, yang menjadi masalah kepada kita sejak sekian lama. “Kami berharap kita boleh turunkan kadar berkenaan dan menjadikan jalan raya kita sangat selamat untuk semua,” tambah beliau. Tonton video ini dan beringatlah ketika pulang ke kampung untuk Hari Raya nanti. Semoga semua kita selamat!

     
     
  • KTM Duke 790 dilancar di Malaysia – harga RM64,900

    KTM Duke 790 dilancar di Malaysia – harga RM64,900

    Model yang ditunggu ramai dari KTM, iaitu Duke 790 akhirnya kini sudah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Harga rasmi yang dikeluarkan untuk motosikal naked ini adalah RM64,900 dan ini tidak termasuk insurans serta kos pendaftaran lain.

    KTM Duke 790 membawa pengeluar motosikal dari Austria itu ke dunia baru kerana ia adalah model pertama bawah 1,000 cc (keluaran syarikat itu) yang menggunakan tetapan dua silinder selari. Enjin tersebut mempunyai kapasiti 799 cc, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan bersama klac slipper PASC dan mampu menghasilkan sehingga 105 hp dan 86 Nm tork.

    Head enjin ini menggunakan sistem DOHC lapan injap, satu palam pencucuh untuk setiap silinder, dan rantai cam ditegangkan secara automatik melalui sistem hidraulik. Untuk mengurangkan gegaran, terdapat dua batang pengimbang (counter balance shaft); satu di depan crankshaft dan satu lagi di antara dua camshaft.

    Pada bahagian elektronik, dengan penggunaan sistem ride-by-wire, Duke 790 ini dapat didatangkan dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Street, Rain dan Track. Selain itu, ia juga datang terus dengan Motorcycle Traction Control (MTC) yang sensitif kepada kecondongan motosikal, brek ABS two channel yang boleh ditutup dan mod Supermoto, Motor Slip Regulation (MSR) dan Quickshifter+.

    Antara kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah fork WP 43 mm di hadapan (tiada peralarasan), monoshock belakang WP dengan pelarasan pra beban, brek cakera 300 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, cakera 240 mm dengan angkup satu piston di belakang, tangki bahan api 14 liter dan berat keseluruhan 169 kg.


     
     
  • VIDEO: Iklan Toyota Raya – penuh model nostalgik

    Jika di Amerika Syarikat, musim bermulanya kejuaraan Super Bowl atau liga American Football akan menyaksikan pelbagai syarikat mengeluarkan iklan mereka. Namun berbeza di Malaysia, kerana ‘pesta’ iklan akan bermula ketika musim perayaan, terutamanya tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan juga Deepavali.

    Seperti biasa, bermula ramadan tahun ini, pelbagai syarikat telah mengeluarkan iklan raya mereka sama ada yang disiarkan di TV mahupun menerusi saluran maya. Bagi peminat kereta, iklan raya dari UMW Toyota Motors tahun pastinya akan mendapat perhatian anda kerana ia penuh dengan pelbagai model nostalgik dari Toyota.

    Iklan dengan tajuk ‘Jalan Cerita Raya’ ini bermula dengan kisah seorang budak bernama Afiq bersama Ayahnya yang mempunyai rutin berjalan-jalan menaiki van Toyota LiteAce, setiap petang setelah Ayah Afiq pulang dari kerja. Rutin ini dilakukan sehingga Afiq bosan, dan walaupun telah meningkat dewasa Afiq masih tidak memahami apa ‘keseronokkan’ sebenar Ayahnya dengan membawanya hanya berjalan-jalan sekitar taman perumahan.

    Sehinggalah Afiq berkahwin dan mempunyai anak, giliran anaknya meminta Afiq untuk membawanya bersiar-siar dengan kereta setelah pulang dari kerja. Saat itu, baru Afiq sedar apa sebenarnya tujuan Ayahnya dahulu membawanya berjalan-jalan sekitar taman, setelah ditegur oleh isterinya selepas menolak permintaan anaknya itu.

    Agak menyentuh perasaan bukan? Okeh, sebagai seorang yang minat kereta, apa yang anda nampak? Ya, selain dari LiteAce sebagai bintang utama, video dari Toyota ini turut menampilkan Corolla generasi kedua KE20 dengan muka Levin KE25/TE27, Starlet KP60 dengan muka versi “Bugeye” (lampu bulat, keluaran versi pertama), Corolla wagon generasi keempat tiga-pintu KE72 dan juga Toyota Celica generasi ketiga RA60.

    Malah watak Afiq ketika remaja sendiri dilihat menggunakan kereta sport lagenda Toyota – Corolla Sprinter Trueno AE86 “zenki” dengan warna Panda hitam-putih lengkap bersama rim ‘pisang’ RS Watanabe. Walau bagaimanapun, watak Afiq yang lebih matang nampaknya diberikan Toyota Vios generasi kedua, dan kemudian SUV funky Toyota C-HR.

     
     
  • Proton bakal lancar SUV pada Oktober – diimport dari China dahulu, CKD pada 2019, pra-tonton pada Julai

    Proton bakal lancar SUV pada Oktober – diimport dari China dahulu, CKD pada 2019, pra-tonton pada Julai

    SUV Proton pertama, yang diasaskan dari model Geely Boyue, dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada hujung September atau awal Oktober ini, menurut CEO Proton Li Chunrong.

    “Kami akan melancarkannya pada September atau Oktober. Kami akan memulakan kempen pelancarannya mulai Ogos ini,” dedahnya dalam sidang media selepas pelancaran pusat 4S pertama Proton yang dinaiktaraf di Shah Alam pagi tadi.

    Beliau berkata SUV berkenaan menggunakan dua fasa. Iaitu fasa pertama melibatkan SUV yang diimport sepenuhnya dari China, sementara fasa kedua pula akan dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim pada tahun hadalan.

    Li berkata alasan menggunakan dua peringkat ini adalah untuk mempercepatkan pengenalan kenderaan ini di pasaran. “Ia juga berdasarkan permintaan dari kerajaan yang mahukan produk baharu ini segera diperkenalkan di Malaysia. Dengan langkah ini, kami kini berada di landasannya,” katanya.

    Proton bakal lancar SUV pada Oktober – diimport dari China dahulu, CKD pada 2019, pra-tonton pada Julai

    Walau bagaimana pun beliau enggan mendedahkan berapakah jumlah unit yang bakal dibawa masuk menerusi peringkat pertama, namun katanya Proton cuba untuk mendapatkan seberapa banyak unit yang mungkin. Contoh bagi pemanduan sebelah kanan akan dipertontonkan pada Julai ini, tambah Li.

    Menurut Yang Jun, Timbalan Presiden Kumpulan Kejuruteraan di Geely, kerja membangunkan untuk model pemanduan sebelah kanan ini telah selesai. “Semua kerja pembangunannya telah selesai, jadi kami hanya melakukan beberapa ujian di Malaysia,” ujarnya.

    Beliau menambah banya kerja yang dilakukan sewaktu dalam pembangunannya. “Kami banyak melakukan klinik di Malaysia, jadi kami banyak menerima pelbagai input daripada pasaran Malaysia. Kemudian kami memulakan pasukan kerjasama melibatkan pasukan pereka Geely dan Proton, dan banyak menghasilkan input baharu bersama. Jadi, kami telah bersedia untuk memulakan pembangunan rekaan secara kerjasama dari peringkat awal lagi,” jelasnya.

    SUV ini dijangka akan menampilkan lebih banyak ciri rekaan tempatan apabila program pemasangan tempatan CKD bermula pada tahun 2019, menurut ketua rekaan Proton, Azlan Othman. Beliau berkata terdapat sedikit perubahan dilakukan untuk SUV ini bagi mempercepatkan pengenalannya di pasaran, tetapi “perubahan tersebut hanya ditampilkan pada versi CKD tahun hadapan.”

    Li menambah Azlan bukan sekadar bertanggungjawab terhadap perubahan rekaan luaran tetapi juga mengendalikan semakan bagi dalaman.

    SUV ini juga tidak akan ketinggalan daripada menggunakan teknologi dan elemen sedia ada, menurut Yang. “Dalam tempoh lebih 18 bulan, Boyue telah tejual lebih 20,000 unit di China setiap bulan. Ia sangan kompetitif, dan menampilkan banyak teknologi baharu di dalamnya. Kami akan menggunakan semua teknologi baharu yang telah ada di China dan membawanya ke sini,” ujarnya.

    “Kami bukan seperti beberapa persaing yang lain, (dalam itu) kami akan membuang beberapa ciri. Sebenarnya, berdasarkan pemahaman kami mengenai pasaran Malaysia, kami akan menambah beberapa ciri yang pelanggan tempatan inginkannya,” tambah Yang.

    GALERI: Geely Boyue 1.8L TGDi 2018 facelift

     
     
  • Proton bakal lancar model baharu setiap tahun selepas SUV pada 2018, dengan teknologi terkini (PHEV) – CEO

    Proton bakal lancar model baharu setiap tahun selepas SUV pada 2018, dengan teknologi terkini (PHEV) – CEO

    Sewaktu pelancaran pusat 4S pertama yang dinaiktaraf di Shah Alam pagi tadi, CEO Proton Li Chungrong mendedahkan pengeluar kereta nasional ini akan melancarkan produk baharu setiap tahun selepas pengenalan SUV pertama mereka tahun ini.

    Walau bagaimana pun, Li tidak mendedahkan perincian yang lebih spesifik mengenai model apakah yang bakal diperkenalkan itu, namun mengesahkan kesemua produk terbabit akan dipasang di kilang Proton di Tanjung Malim.

    Ketika ditanya adakah produk baharu ini akan dibangunkan sendiri oleh Proton atau pun diadaptasikan dari model sedia ada Geely, Li berkata, “anda tahu, China ialah pemanduan sebelah kiri (pasaran); di sini pula pemanduan sebelah kanan. Ia bukan sekadar meletakkan roda stereng dari kiri ke kanan, ia perlu perubahan yang banyak. Ini sebablah SUV baharu pertama ini, kami mengambil masa selama 18 bulan (untuk membangunkannya), dan ia sangat rumit.”

    Proton bakal lancar model baharu setiap tahun selepas SUV pada 2018, dengan teknologi terkini (PHEV) – CEO

    Katanya lagi mengenai SUV Proton, jurutera dari kedua-dua pihak bekerja rapat dalam membangunkan model tersebut. “Kami memerlukan lebih daripada 1,000 jurutera Proton bekerjasama dengan jurutera Geely. Setiap bulan, lebih daripada 100 jurutera yang bekerja di Hangzhou, jadi ia (SUV) dapat dibangunkan secara bersama.”

    Li turut ditanya mengenai model terkini Geely plug-in hybrid (PHEV) adakah ia bakal dilancarkan di Malaysia, katanya, “kami akan membawa kereta terkini dari China, kami mahukan teknologi terkini dan bukannya kereta lama (dijual) di China. Kami akan dapatkannya dalam masa yang sama. Malah beberapa PHEV yang baharu dilancarkan (di China), dan orang China sendiri masih belum mendapatkannya.”

    Baru-baru ini, Geely Bo Rui GE telah diperkenalkan di China dengan menawarkan penjana kuasa plug-in hybrid (PHEV) dan mild hybrid (MHEV) yang dibangunkan secara kerjasama dengan Volvo. Lain-lain model Geely yang bakal diperkenalkan termasuklah SUV segmen-B dan juga MPV baharu. Adakah anda rasakan model ini bakal diperkenalkan di Malaysia?

    GALERI: Geely Bo Rui GE

     
     
  • Kia Cerato 2018 di Australia – harga dari RM60k

    Kia Cerato 2018 di Australia – harga dari RM60k

    Kia telah mendedahkan Cerato sedan baharu bagi pasaran Australia, dengan menampilkan gaya dan elemen baharu yang pertama kalinya diperkenalkan di Amerika Syarikat awal tahun ini.

    Apa yang ditiadakan berbanding model di Amerika ialah enjin 2.0 liter Nu naturally-aspirated yang disemak semula dan Intelligent Variable Transmision (IVT) baharu. Selain itu, enjinnya adalah sama dengan sebelum ini, mampu menghasilkan 150 hp pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

    Ia dipadankan dengan kotak gear torque converter dan manual enam-kelajuan yang diolah. Penggunaan bahan apinya sekitar 7.4 liter per 100 km bagi versi auto dan 7.6 liter per 100 km bagi manual, dengan pelepasan karbon dioksida masing-masing sebanyak 170 dan 172 gram.

    Harga di pasaran Australia bermula AU$19,990 (RM60,600) bagi varian asas S dengan transmisi manual, meningkat sehingga AU$21,490 (RM65,150) untuk versi automatik dan AU$23,690 (RM71,820) bagi Sport auto serta mencecah AU$26,190 (RM79,400) untuk Sport+ auto.

    Kia Cerato 2018 di Australia – harga dari RM60k

    Kit standard termasuklah lampu utama projektor halogen, lampu kabus, roda keluli 16-inci dengan hubcaps, skrin sesentuh tengah lapan-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, DAB+, radio digital, kawalan kelajuan, pengesan hadapan dan belakang serta kamera undur. Kit keselamatan pula termasuk enam beg udara, kawalan kestabilan, brek kecemasan sendiri (AEB), bantuan kekal lorong dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Bagi varian Sport, ciri elemen tambahan termasuk roda aloi 17-inci, navigasi, roda stereng dan tuil gear balutan kulit serta tempat duduk sport. Untuk Sport+ pula ditambah dengan lampu nyalaan siang empat-poin gaya Porsche, kemasukan tanpa kunci, butang push-start, upholstery kulit, cermin sisi boleh laras berkuasa, kawalan suhu automatik dwi-zon dengan corong udara belakang dan kawalan kelajuan adaptif.

    Dengan kos tambahan AU$1,000 (RM3,030), Safety Pack 1 bagi model S dan Sport ditambahkan dengan kawalan kelajuan (hanya auto), pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, cermin sisi larasan berkuasa dan roda stereng kulit. Pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang juga boleh didapati untuk model Sport+ dengan Safety Pack 2 bernilai AU$500 (RM1,520).

    Kia Cerato 2018 di Australia – harga dari RM60k

    Bagi rekaannya, ia nbanyak diinspirasikan dari model perdana Stinger, termasuk lampu utama melunjur ke belakang, gril “hidung harimau” yang lebih nipis, bonet yang lebih panjang, perumah kaca yang lebih melunjur dan sudut belakang yang lebih pendek. Bagi dalamanya pula, ditampilkan dengan bentangan papan pemuka mendatar dengan skrin infotainmen terapung dan corong udara berbentuk bulat pada sudutnya.

    Berukuran 4,640 mm panjang, selebar 1,800 mm lebar dan 1,440 mm tinggi, Cerato baharu ini 80 mm lebih panjang, 20 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi, dengan jarak roda yang kekal 2,700 mm. Kia berkata peningkatan dimensinya telah mempertingkatkan ruang kepala dan ruang kaki dan kapasiti but juga ditambah dari 482 ke 502 liter.

    Ciri strukturnya ditambah dengan komponen hot-stamped dan kandungan besi keluli 54% berketahanan lebih tinggi dan menggunakan 105 meter pelekat struktur – lima kali ganda berbanding sebelum ini. Suspensinya dikendalikan oleh topang MacPherson di hadapan dan torsion beam untuk larasan belakang, dan Kia Australia mendakwa casisnya juga telah ditala khas untuk Australia dalam parameter yang disalurkan oleh kilangnya.

     
     
  • Hyundai Grandmaster Concept petunjuk SUV baharu

    Hyundai Grandmaster Concept petunjuk SUV baharu

    Hyundai telah menunjukkan satu kenderaan konsep baru di Busan Motor Show 2018, dinamakan sebagai Grandmaster (HDC-2). Ia memberikan petunjuk kepada SUV saiz penuh akan datang Hyundai, dan merupakan model kedua yang menggunakan tema ‘Sensuous Sportiness’ selepas Le Fil Rouge (HDC-1).

    Badan HDC-2 jelas menunjukkan ia mempunyai saiz yang besar dan berkongsi beberapa ciri rekaan dengan HDC-1. Sebagai contoh, gril hadapannya menggunakan bentuk poligon yang disusun secara simetri tapi visual yang terhasil masih mempunyai sedikit perbezaan.

    Lagi ciri yang menarik, anda boleh melihat kemasan perak pada bahagian atas tingkap tidak bertemu di pintu belakang seperti kereta biasa, dan ia ditarik lebih ke belakang. Kemasan yang dibawah pula berakhir sebagai satu garisan di cermin pintu belakang. Kemudiannya, bahagian paling bawah yang boleh dilihat dari tepi, semuanya menggunakan kemasan krom dari depan sampai ke belakang.

    Bahagian belakang pula lebih ringkas dan licin. Bahagian yang menonjol cuma garisan LED di atas spoiler, dan lampu yang berbentuk menegak. Selain pencahayaan berbentuk C yang besar, ia juga mempunyai garis-garis kecil dan lubangnya terbiar tanpa penutup.

    Daripada gambar spyshot yang diperolehi sebelum ini, kita sudah tahu Hyundai sedang membangunkan SUV saiz penuh dan ia ini sedang diuji. Berdasarkan elemen rekaan yang boleh dilihat, ia seperti sama, dan ada yang memberitahu ia mungkin akan dinamakan sebagai “Palisade”.

     
     
  • Volvo Car Leasing ditawarkan dari RM2,762 sebulan

    <em>Volvo Car Leasing</em> ditawarkan dari RM2,762 sebulan

    Volvo Car Malaysia (VCM) kini memperkenalkan sebuah program pajakan yang dikenali sebagai Volvo Car Leasing untuk memudahkan pelanggannya menikmati pemilikan kenderaan Volvo tanpa kekangan kewangan serta perjanjin jual-beli yang biasa. Program pajakan ini meurpakan yang pertama bagi Volvo di Asia Tenggara.

    Di bawah perjanjian pajakan ini, perlindungan insurans, cukai jalan, kos penyelenggaraan dan jaminan semuanya termasuk sekali. Dihujung tempoh pajakan berkenaan, pelanggan boleh memilih sama ada untuk bertukar kepada kenderaan baru atau membeli kenderaan yang dipajak itu pada kadar semasa pasaran atau nilai masa depan yang dijamin (Future Guaranteed Value). Pelanggan juga boleh untuk memulangkan sahaja kenderaan itu kepada pengedar terlibat.

    Program ini ditawarkan untuk semua model Volvo yang dijual di Malaysia melalui rangkaian pengedarnya yang mengambil bahagian. Pelanggan boleh memandu pulang sebuah kenderaan Volvo baru pada harga serendah RM2,762 sebulan – angka yang sudah termasuk sekali dengan perlindungan insurans komprehensif, cukai jalan dan kos penyelenggaraan.

    “Setiap kenderaan Volvo yang dipajak di bawah program ini datang lengkap dengan Volvo Service Agreement Plus (VSA+), yang meliputi pelbagai perlindungan termasuk alatan ganti, memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang pemilikan mereka,” ujar pengarah urusan VCM, Lennart Stegland.

    Program ini juga menawarkan pembiayaan yang lebih fleksibel kepada pelanggan berbanding perjanjian jual-beli biasa, dan pajakan seperti ini juga tidak perlu mengganggu kredit bernilai pada pengguna yang boleh digunakan untuk membeli aset lain serta tidak perlu mememikirkan tentang perbelanjaan-perbelanjaan lain berkaitan pemilikan kenderaan.

    Sempena pelancaran program ini, semua mdoel ditawarkan dengan promosi kadar istimewa bagi tempoh bermula hari ini hingga 31 Ogos nanti. Dalam tempoh berkenaan, setiap kenderaan yang dipajak juga akan menerima baucar petrol bernilai RM300. Untuk maklumat lanjut tentang model-model Volvo di Malaysia, layari juga CarBase.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025