Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Portofino adalah nama sebuah pekan tepi laut di Itali, dengan bentangan suasana penuh indah, damai dan menguja. Melihat akan keunikan pekan tersebut, maka pengeluar jentera prestasi tinggi terkemuka dunia, Ferrari, mengabadikan nama tersebut buat model terbaharu mereka, Ferrari Portofino.

    Pertama kali ditampilkan di khalayak dunia di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu, hari ini Naza Italia Sdn Bhd telah memperkenalkannya di Malaysia pula. Pengganti bagi California T, Portofino meneruskan kesinambungan sebagai model V8 bumbung boleh buka (convertible) untuk terus menawan pasaran dunia. Malah Ferrari menyakini dunia automotif bahawa Portofino merupakan model convertible yang paling berprestasi di bawah segmennya.

    Ferrari Portofino dijanakan oleh enjin V8 3.9 liter twin-turbo yang telah dipertingkatkan dengan piston dan conrod baharu, serta sistem ekzos dan pemasukan udara yang direka semula. Bagi sistem ekzos, bahagian header kini diacu sebagai satu unit, dan ia dapat membantu mengurangkan kelambatan pada tekanan turbo.

    Ferrari Portofino diperkenalkan di M’sia – dari RM950k

    Dengan peningkatan ini, Portofino dapat memberi pecutan lebih pantas dalam semua gear, bersama sistem Variable Boost Management yang dapat melaras penyampaian tork bergantung kepada gear yang dipilih. Malah kuasa keseluruhannya juga telah dipertingkatkan sebanyak 40 hp, kini menjadi 600 hp pada 7,500 rpm dan 760 Nm tork antara 3,000 hingga 5,250 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac F1 tujuh-kelajuan.

    Ferrari juga mendakwa penggunaan bahan api menjadi lebih baik iaitu 10.5 l/100 km. Jentera ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat dan kelajuan maksimum yang dicapai sehingga 320 km/j.

    Ferrari Portofino juga dimantapkan dengan electronic differential generasi ketiga (E-Diff3), yang sebelum ini pertama kali digunakan pada model 458 Italia, di mana ia disepadukan di dalam sistem F1-Trac untuk meningkatkan cengkaman mekanikal dan kawalan.

    Turut diperkenalkan buat pertama kali pada Ferrari GT adalah sistem stereng kuasa elektrik, yang bekerja dengan E-Diff3 untuk mengekalkan stabiliti, meskipun mempunyai nisbah stereng 7% lebih laju. Penyerap SCM-E magnetorheological juga telah dinaik taraf dengan perkadaran lebih tinggi dan penggunaan sistem dual-coil untuk mengurangkan olengan serta memperbaiki penyerapan hentakan.

    Menurut Ferrari, walau pun dengan penambahan ini, Portofino masih lebih ringan berbanding California T hasil penggunaan teknologi pengeluaran yang moden. Semua bahagian casis dan komponen badan telah direka semula dengan fokus untuk mengurangkan berat namun tetap tegar.

    Pada bahagian dalam, kabin Portofino seakan imbasan terhadap model GTC4Lusso, ia dilengkapi dengan skrin sesentuh 10.2-inci untuk sistem hiburan dan informasi, dan satu lagi skrin berhadapan penumpang hadapan. Rekaan roda stereng pelbagai fungsinya juga adalah baharu, bersama dengan penyandar belakang tempat duduknya yang dapat memberi lebih ruang di bahagian belakang.

    Keselesaan turut diperbaiki dengan adanya sistem pendingin hawa baharu lebih berprestasi, tidak kira sama bumbung ditutup atau dibuka. Penambahan penepis angin baru juga berjaya mengurangkan bunyi udara dan menurunkan kadar kitaran udara dalam kabin sebanyak 30% apabila bumbung dibuka. Malah bumbungnya boleh dibuka dan ditutup lebih pantas, sekitar 14 saat, ketika jentera sedang dipandu perlahan, menjadikan ia layak dijadikan sebagai pengangkutan harian bagi mereka yang berkemampuan.

    Bagi pasaran Malaysia, Ferrari Portofino ini ditawarkan dengan harga asas RM948,000, tidak termasuk cukai dan pilihan kustom.

     
     
  • Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dipertingkatkan tahap keselamatannya – MRCBGK

    Laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan dipertingkatkan tahap keselamatannya – MRCBGK

    MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK), yang turut mengendalikan projek pembinaan Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3), menerusi kenyataan medianya berkata, tahap keselamatan di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan, telah dipertingkatkan. Katanya, penambahan lampu jalan dan papan tanda isyarat keselamatan juga telah diletakkan di laluan motosikal berkenaan, iaitu di KM9 arah Kuala Lumpur

    “Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang digunakan masa ini telah diluluskan oleh JKR dan kami akan terus meneliti dan mempertingkatkan tahap keselamatan bagi penunggang motosikal dari semasa ke semasa sepanjang kerja-kerja pembinaan LRT3 berlangsung,” ujar kenyataan terbabit.

    Selain itu, laluan terbabit juga diletakkan penghadang konkrit sepanjang 2 km bagi keselamatan para penunggang motosikal lebih terjamin.

    Pada 7 Mei lalu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at mengesahkan, semakin ramai penunggang motosikal terpaksa menggunakan laluan utama berpunca daripada kerja-kerja pembinaan LRT3 dan beberapa kerja lain berhampiran laluan motosikal di lebuhraya terbabit. Katanya lagi, terdapat kawasan di laluan motosikal di sepanjang lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan. Oleh itu pengguna motosikal terpaksa keluar dan masuk kembali ke laluan motosikal, dan ini merbahayakan mereka.

     
     
  • Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Semalam, seperti yang kita sedia maklum, Tun Dr. Mahathir dengan secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh. Dan, ini juga merupakan lembaran baru dalam naratif perjalanan sejarah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berperlembagaan – Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya selepas 61 tahun.

    Untuk itu, menarik juga untuk kita tinjau semula apa yang pernah dinyatakan oleh PH di dalam Buku Harapan, sebuah manifesto pilihanraya gabungan itu – tentunya di sini kita akan memberi tumpuan kepada hal-hal yang berkaitan automotif.

    Yang pertama, seperti yang tersenarai di dalam 10 janji PH yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memerintah ialah berkaitan pengenalan subsidi bahan api bersasar untuk menstabilkan harga minyak. Ketika ini, harga minyak di Malaysia di tentukan mengikut sistem apungan secara mingguan.

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    PH menyatakan mereka akan menyediakan subsidi bahan api pada kadar yang difikirkan sesuai setiap bulan kepada kelompok yang layak (motosikal 125 cc dan kereta 1.3 liter ke bawah). Mereka menjelaskan, kuota yang sesuai akan ditentukan, dengan kaedah subsidi yang dihubungkan pada kad pengenalan individu, untuk mengelakkan salah guna. Dengan cara ini, subsidi yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

    Yang kedua – juga terkandung dalam 10 perkara utama yang digariskan oleh manifesto berkenaan – ialah pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah untuk mengurangkan kos sara hidup. Ini secara langsung akan memberikan kesan kepada harga kenderaan. Bagaimanapun, penghapusan GST 6% (yang ada pada harga kenderaan ketika ini) bakal menyaksikan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang pernah digunakan sebelum ini sebagai ganti.

    Bagi kenderaan, ini akan dikuti dengan cukai jualan, yang turut dikenakan sebelum pengenalan GST. Ia akan dikenakan terhadap harga kenderaan yang telah diluluskan oleh kerajaan, terutamanya nilai pasaran terbuka kenderaan itu (jika CKD) atau terhadap harga kos, insurans dan pengangkutan (jika CBU) – bersekali dengan duti eksais dan duti import. Perubahan harga akan berlaku, disebabkan oleh kaedah pengiraan yang berbeza ini.

    Pakatan Harapan – janji manifesto berkaitan automotif

    Bagi insurans kenderaan pula, yang turut dikenakan dengan cukai tambahan 6%, kadar akhir bagi pelindungan insurans bagi kenderaan akan menjadi lebih rendah disebabkan pemansuhan ini, sekiranya tiada tambahan nilai pada insurans yang diambil itu (perbandingan pada kadar insurans yang setara ketika ini). Sebelum pengenalan GST, hanya duti stem dikenakan ke atas nilai berkenaan.

    Bagi aspek lain, pemansuhan GST tidak akan memberi kesan terhadap servis, penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan atau pun harga aksesori dan alat ganti, kerana SST – yang sebelum ini juga dikenakan pada kadar 6% – akan mengambil alih semula.

    Turut dinyatakan di dalam manifesto berkenaan ialah penghapusan tol, walaupun ia akan dinilai semula dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PH juga akan menyatakan akan mengurangkan duti eksais pada kenderaan import dengan sesaran enjin 1,600 cc ke bawah untuk membolehkan pembelian kenderaan pertama pada harga yang lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang akan dibolehkan untuk tujuan ini bagi satu isi rumah dengan pendapatan bulanan RM8,000 ke bawah.

     
     
  • Harga bahan api 10-16 Mei – semua masih tak berubah

    Harga bahan api 10-16 Mei – semua masih tak berubah

    Sementara seluruh rakyat Malaysia masih lagi menantikan keputusan penuh PRU14, pengumuman harga bahan api juga perlu dilihat. Jangkaan sebelum ini menyatakan harganya mungkin tidak berubah, dan itulah yang berlaku bagi tempoh 10 hingga 16 Mei 2018.

    Bermakna, semua bahan api masih lagi akan dijual pada harga sama untuk satu minggu ke hadapan, iaitu RM2.20 seliter untuk RON 95, RM2.47 untuk RON 97 dan RM2.18 seliter untuk diesel Euro 2M. Seperti biasa, diesel Euro 5 dijual 10 sen lebih tinggi berbanding Euro 2M iaitu pada RM2.28 seliter.

    Walaupun harga pasaran minyak dunia menunjukkan trend menaik, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penangguhan perubahan pada harga pasaran semua bahan api di Malaysia dan kita akan melihat bagaimana perubahan yang akan berlaku apabila keputusan PRU 14 keluar nanti.

     
     
  • Rolls-Royce Cullinan – teaser disiar, muncul 10 Mei

    Rolls-Royce Cullinan – teaser disiar, muncul 10 Mei

    Rolls-Royce kini sudah bersedia untuk memperkenalkan secara rasmi SUV pertama mereka yang dipanggil sebagai Cullinan. Tapi sebelum itu, mereka menyiarkan satu teaser yang cuma menampakkan bahagian lampu belakang kenderaan tersebut, dan ia hanya akan diperkenalkan secara rasmi 10 Mei nanti.

    Daripada gambar ini, kita dapat melihat rekaan lampu yang mempunyai pencahayaan LED berpetak, sekaligus menunjukkan bahawa unit yang dilihat membuat ujian di Litar Nurburgring cuma menggunakan lampu prototaip lain kerana ia mempunyai LED berbentuk bulat.

    Rolls-Royce Cullinan – teaser disiar, muncul 10 Mei

    Nama Cullinan itu sendiri membawa maksud “tempat duduk paling bagus”, dan bakal disempurnakan oleh ciri Viewing Suite yang akan dilengkapkan pada kenderaan ini. Melalui ciri ini, tempat duduk belakang Cullinan boleh dipusing dengan hanya menggunakan butang, supaya penumpang dapat menikmati pemandangan apabila pintu but dibuka, sambil berehat.

    Untuk bahagian enjin, SUV ini boleh dijangka bakal menggunakan enjin V12 6.75 liter NA atau V12 turbo berkembar 6.6 liter yang diperbaharui. Ia juga berkemungkinan berkongsi beberapa komponen dengan BMW X7, dan akan bersaing terus dengan Bentley Bentayga. Disebabkan Rolls-Royce memanggil Cullinan sebagai sebuah kenderaan yang mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan, sistem pacuan semua roda juga mungkin datang secara standard.

     
     
  • Volvo bakal perkenalkan sistem infotaimen berasaskan Android dengan Google Assistant, Maps, Play Store

    Volvo telah mengumumkan bahawa mereka kini sedang berkerjasama dengan Google bagi membangunkan sistem infotainmen Sensus generasi seterusnya yang berkebolehan untuk menyokong Google Assistant, Google Play Store, Google Maps serta pelbagai servis Google lain yang boleh dikawal dengan suara dan diasaskan dari sistem Android Google.

    Menurut Volvo, dengan sistem Android ini, aplikasi baharu dan kemaskini perisian akan ditawarkan pada masa sebenar dan akan diterapkan secara automatik, bagi membolehkan pemandu menerima informasi terkini dan servis-servis lain yang memerlukan ramalan.

    “Membawa servis Google ke kereta-kereta Volvo akan mempercepatkan inovasi dalam perhubungan dan mempercepatkan pembangunan kami dalam aplikasi serta servis terhubung. Tidak lama lagi, pemandu Volvo akan mempunyai akses terus kepada ratusan aplikasi dalam kenderaan yang akan membuatkan kehidupan seharian lebih mudah serta pengalaman di dalam kereta yang terhubung lebih menyeronokkan,” kata Henrik Green, Naib Presiden senior R&D di Volvo Cars.

    Google Assistant akan memberikan interface suara berpusat untuk kereta tersebut yang akan membolehkan pemandu mengawal fungsi-fungsi di dalam kabin seperti penghawa dingin serta menggunakan aplikasi untuk memainkan muzik dan menghantar mesej. Ini akan mengurangkan gangguan terhadap pemandu. Google Maps juga akan membekalkan peta bersama data trafik pada masa sebenar, membolehkan pemandu sentiasa mengetahui keadaan trafik semasa dan akan memberikan laluan alternatif secara proaktif.

    Volvo turut mengatakan bahawa mereka akan terus membangunkan aplikasi, perisian dan servis terhubung mereka sendiri. Sensus sistem pertama yang berasaskan Android ini akan muncul dalam pasaran “berberapa tahun akan datang dari sekarang”.

     
     
  • Toyota, Nissan dan Honda ganding bahu bersama pengeluar bateri, pemerintah hasilkan bateri solid state

    Toyota, Nissan dan Honda ganding bahu bersama pengeluar bateri, pemerintah hasilkan bateri <em>solid state</em>

    Pengeluar kenderaan utama di Jepun, Toyota, Nissan dan Honda telah berganding bahu bersama dengan pemerintah negara itu serta pengeluar-pengeluar bateri di sana di dalam satu program khas untuk membangunkan teknologi bateri solid state untuk kegunaan kenderaan elektrik di masa hadapan.

    Program berkenaan bertujuan untuk meletakkan semula Jepun sebagai pelopor teknologi bateri kenderaan, memandangkan banyak negara dan pihak lain kini berada lebih ke hadapan dari aspek pembangunan teknologi berkenaan.

    Bermula bulan ini, program berkenaan turut mempertemukan Konsortium Bateri Lithium Ion dan Pusat Penilaian (Libtec) – sebuah badan penyelidikan dengan ahli-ahli terdiri daripada Asahi Kasei, Toray Industries dan Kuraray – dengan pemain-pemain industri automotif dan pembuat bateri seperti Panasonic dan GS Yuasa. Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Indsutri Jepun pula akan menyalurkan 1.6 bilion yen dana kepada Libtec, seperti dilaporkan Nikkei Asian Review.

    Bateri solid state menggunakan cecair elektrolit (seperti yang terdapat pada bateri lithium ion) dalam bentuk yang pejal, menjadikannya lebih mudah untuk dikilangkan serta selamat, kerana tiada kemungkinan untuk bocor. Berbanding dengan bateri lihtium ion ketika ini, bateri generasi seterusnya nanti akan memiliki kurang komponen, kos lebih rendah serta membekalkan lebih banyak tenaga.

    Matlamat utama program ini termasuk untuk meningkatkan prestasi bateri dengan penggunaan elektrolit pejal. Libtec berharap untuk membangunkan bateri yang dapat menggandakan jarak perjalanan kenderaan EV sehingga 800 km menjelang tahun 2030 daripada jarak 400 km yang boleh dicapai sekarang. Sasaran pertengahannya ialah mencapai jarak 550 km menjelang 2025 nanti.

     
     
  • ASEAN NCAP kemuka label keselamatan kemalangan standard bagi panduan para pengeluar kenderaan

    ASEAN NCAP kemuka label keselamatan kemalangan standard bagi panduan para pengeluar kenderaan

    Selain mengumumkan keputusan ujian pelanggaran terkini semalam, ASEAN NCAP turut memperkenalkan panduan label terkini bagi para pengeluar kenderaan. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kekeliruan pengguna mengenai maklumat keselamatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat ini.

    Ia mendakwa bahawa sesetengah pengeluar telah mengubah rekaan bagi rekabentuk plat penilaian yang disediakan oleh ASEAN NCAP, termasuk publisiti penarafan dari Program Penilaian Kenderaan Baharu (NCAP) termasuk Euro NCAP dan ANCAP, yang mana agensi terbabit tidak menampilkan spesifikasi keselamatan untuk kenderaan yang ditawarkan di rantau ASEAN ini.

    Label baharu ini menggabungkan ciri keselamatan terperinci bagi model dan varian yang disenaraikan, termasuk penarafan ASEAN NCAP dan badan-badan NCAP yang lain. Ia turut dicadangkan agar perincian keselamatan tersebut ditampalkan pada cermin hadapan bagi setiap varian untuk model kenderaan yang dipamerkan di bilik pameran.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah berunding mengenai penggunaan label ini di Malaysia, walaupun ASEAN NCAP mengesahkan ia juga boleh digunapakai oleh negara lain di rantau ini.

     
     
  • Sembang PT #1: SYM VF3i – perlu kapcai 183 cc? Modenas Dominar 400 murah? Berteduh masa hujan?

    Di antara motosikal yang baru dilancarkan di Malaysia, SYM VF3i mendapat paling banyak perhatian daripada pembaca dan juga orang ramai. Salah satu sebabnya mungkin kerana kapasiti enjin yang digunakan, iaitu 183 cc? Tapi, dalam banyak-banyak pilihan kapcai sedia ada, perlu ke diperkenalkan satu lagi kapcai dengan enjin yang lagi besar?

    Sebuah lagi motosikal yang turut menerima perhatian ramai ialah Modenas Dominar 400. Motosikal ini pula, walaupun lebih ramai yang suka motosikal bawah 250 cc (sebab tak payah upgrade lesen B penuh), harga yang diumumkan untuk Dominar ini buat ramai orang tak senang duduk. Untuk jenis dan kelas motosikal yang setara, harga RM14,615 untuk Dominar sebenarnya sangat murah, kan?

    Satu hal lagi, beberapa waktu kebelakangan ini, kita dengan balik kejadian-kejadian penunggang motosikal yang berteduh daripada hujan di bawah jambatan di lebuhraya dilanggar oleh kenderaan lain. Ini sangat menyedihkan. Apa yang perlu kita buat sekiranya terpaksa berteduh dalam cuaca hujan?

    Tiga topik inilah yang kami bincangkan dalam satu format video “Sembang PT” yang lebih santai ini. Kalau anda pun ada pandangan nak dikongsi, silakan. Dan, kalau suka format borak-borak macam ini, tolong bagitau sama ada ia patut diteruskan di masa hadapan.

     
     
  • Mazda MX-5 RF Sport Black – 300 unit istimewa di UK

    Mazda MX-5 RF Sport Black – 300 unit istimewa di UK

    Mazda telah memperkenalkan Mazda MX-5 RF Sport Black di UK dengan sejumlah 300 unit edisi terhad. Ia bakal dijual mulai 28 Mei ini, sangat mudah untuk mengenalpasti Sport Black iaitu dengan cat berwarna Eternal Blue Mica dengan spoiler dan perumah cermin sisi berwarna hitam sebagai kontras.

    Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda aloi gunmetal, alas lantai yang unik, scuff plate dan lencana. Unit edisi terhad ini adalah berdasarkan varian 2.0 liter 160 PS SE-L Nav, dan ia turut didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit, lampu utama/bilah pengelap cermin auto/ dan pengesan parkir belakang, bagi tambahan kepada limited slip differential standard.

    Bumbung logam yang boleh dilipat atau retractable hardtop bagi MX-5 RF terdiri daripada seksyen hadapan, tengah dan belakang, serta skrin belakang. Apabila bahagian atas diturunkan, bahagian tengah dan hadapan akan bercantum, sementara cermin belakang pula terletak di belakang kerusi belakang, menjadikan seksyen bumbung belakang kelihatan terbuka.

    RF Sport Black mengikut jejak MX-5 Z-Sport edisi terhad, yang menambah bumbung lembut berwarna deep cherry red, roda BBS hitam 17-inci, dan cat Machine Grey Metallic. Berdasarkan perkembangan sebelum ini, dijangka lebih banyak model edisi istimewa bagi ND MX-5, di mana ia menjadi salah satu jentera terbaik dalam kategorinya hari ini.

    MX-5 RF telah pun dilancarkan di Malaysia tahun lalu, menyertai model Miata convertible yang telah berada di pasaran sejak 2015.

     
     
  • Tan Chong bina hab automotif di Bagan Datuk – suntik pelaburan jangka panjang bernilai RM500 juta

    Tan Chong bina hab automotif di Bagan Datuk – suntik pelaburan jangka panjang bernilai RM500 juta

    Tan Chong Motor Holdings Bhd telah mengumumkan untuk membina hab automotif bernilai RM500 juta di atas tanah berkeluasan 338 ekar di Bagan Datuk, Perak. Kawasan yang bakal di gelar “Hab Automotif dan Kenderaan Komersial Tan Chong” tersebut akan membantu pertumbuhan pada Wilayah Ekonomi Koridor Utara .

    “Bukan sekadar hab automotif, ini merupakan perancangan perniagaan yang strategik yang membuktikan komitmen Kumpulan Tan Chong Motor kearah pertumbuhan industrialisasi dan ekonomi Malaysia,” menurut syarikat berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan. Turut dinyatakan, pelaburan jangka panjang ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, kemasukan pelbagai pelaburan baharu serta mengembangkan lagi pertumbuhan ekonomi di Bagan Datuk.

    Pelaburan awal sebanyak RM100 juta akan digunakan untuk mengambil alih tanah serta pembinaan kilang bas dan trak bagi fasa pertama pembangunan hab ini. Kenderaan komersial yang dihasilkan di kilang yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2021 tersebut akan membekalkan permintaan untuk pasaran tempatan dan juga eksport.

    Menurut Tan Chong, buat masa ini bas yang mereka hasilkan sudah pun dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Myanmar; dan mereka kini sedang meneroka potensi untuk mengeksport ke pasaran lain seperti Thailand, Sri Lanka, Vietnam, Indonesia, dan lain-lain negara.

    Tan Chong bukan sahaja pengedar rasmi untuk jenama Nissan di Malaysia, malah kumpulan berkenaan turut memasarkan jenama lain seperti Renault, Infiniti, dan jenama trak dan bas UD Trucks. Syarikat tersebut turut mempunyai kilang automotif mereka yang terletak di Segambut (KL) dan Serendah (Selangor), serta mengambil kontrak bagi memasang kenderaan jenama lain seperti Mitsubishi dan Subaru.

     
     
  • Rossi sudah lumba sama jarak dengan pusing dunia

    Rossi sudah lumba sama jarak dengan pusing dunia

    Berakhirnya perlumbaan MotoGP di Jerez, Sepanyol minggu lepas menyaksikan Valentino Rossi mencatat satu lagi rekod baru yang unik iaitu jarak yang beliau pernah berlumba dalam perlumbaan ini sama dengan jarak mengelilingi satu pusingan dunia.

    Jarak ini dikira daripada kali pertama Rossi berlumba dalam kejohanan MotoGP iaitu pada tahun 1996 di Litar Batu Tiga, Shah Alam dalam kategori 125. Dari situ, ia ditambah dengan jarak perlumbaan yang dilengkapkan oleh Rossi dalam kategori lain termasuk 250, 500 dan MotoGP sekarang.

    Semasa bermula di Jerez, jarak yang dicatat oleh Rossi sudah mencapai 40,011.43 km, dan apabila tiba di pusingan ke 15, lengkaplah catatan beliau sama dengan pusingan satu dunia iaitu 40,075 km. Catatan lain yang dipegang oleh Rossi adalah sembilan kejuaraan dunia, 115 tempat pertama, 369 Grand Prix dan 23 musim dalam MotoGP.

    Rossi sudah lumba sama jarak dengan pusing dunia

    Rossi juga memegang gelaran sebagai pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan di Jerez, tapi untuk musim kali ini, beliau sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Walaupun bernasib baik kerana tiga pelumba di hadapan jatuh, Rossi berpuas hati kerana telah berlumba secara maksimum.

    Pusingan perlumbaan yang seterusnya akan berlangsung pada 20 Mei di litar Le Mans, Perancis dan kini Rossi berada di tangga keenam dalam kedudukan keseluruhan pelumba. Di tempat pertama adalah Marc Marquez dengan catatan 70 mata, diikuti Johann Zarco 58 mata dan Maverick Vinales 50 mata.

     
     
  • Tiada jalan ditutup di Lebuhraya PLUS pada 5-13 Mei

    Tiada jalan ditutup di Lebuhraya PLUS pada 5-13 Mei

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan, tiada penutupan jalan dilaksanakan di kesemua lebuhrayanya mulai 5 hingga 13 Mei ini. Ia adalah bagi membantu perjalanan trafik yang lancar sepanjang musim Pilihanraya ke-14 ini.

    Malah semua kerja penyelenggaraan jalan yang melibatkan penutupan jalan di lebuhraya terbabit juga dihentikan sementara pada tarikh yang dinyatakan. Pemberhentian sementara tersebut merangkumi semua kerja-kerja yang melibatkan penutupan jalan kecuali kerja-kerja kecemasan atau kemalangan.

    Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps dan talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000.

    Malahan seperti yang kami maklumkan pagi tadi, PLUS turut rebat tol sebanyak 20% pada 8 hingga 9 Mei kepada semua pengguna lebuh raya Kelas 1 yang mendaftarkan kad elektronik mereka menerusi portal PLUSMiles. Ia juga adalah sempena dengan PRU-14.

    Bukan itu sahaja, PLUS turut akan mengagihkan minuman kopi ‘o’ percuma untuk pengguna lebuh raya yang berhenti rehat di R&R serta hentian sebelah terpilih pada 8 Mei ini bermula jam 10 malam.

     
     
  • LRT3 punca penunggang motosikal guna laluan utama di Lebuhraya Persekutuan – Polis Trafik Selangor

    LRT3 punca penunggang motosikal guna laluan utama di Lebuhraya Persekutuan – Polis Trafik Selangor

    Tidak dinafikan, sejak kebelakangan ini semakin ramai penunggang motosikal sanggup menaggung risiko dengan menggunakan laluan utama di Lebuhraya Persekutuan yang sentiasa padat dengan trafik. Walau pun menjadi suatu kesalahan lalu lintas, namun mereka dilihat terpaksa untuk menggunakan laluan tersebut memandangkan laluan motosikal di sana sering kali berhadapan dengan masalah termasuk jalan yang tidak elok, banjir, gelap, laluan berbahaya dan sebagainya.

    Hal ini turut diperakui oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shari’at yang berkata, senario sekarang lebih berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dan beberapa kerja lain berhampiran laluan motosikal di lebuhraya terbabit.

    Katanya lagi, berikutan kerja-kerja pembinaan berkenaan, terdapat kawasan di laluan motosikal di sepanjang lebuh raya berkenaan terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan.

    LRT3 punca penunggang motosikal guna laluan utama di Lebuhraya Persekutuan – Polis Trafik Selangor

    “Ada kawasan yang ditutup. Oleh itu pengguna motosikal terpaksa keluar dan masuk kembali ke laluan motosikal, dan ini merbahayakan mereka. Pihak polis bukan tidak mahu menjalankan penguatkuasaan, tetapi kami bersimpati terhadap nasib penunggang motosikal. Melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berbahaya kepada pengguna dan anggota polis terutama pada waktu puncak ketika penungang motosikal banyak menggunakan laluan utama,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Walau pun menerima rungutan pengguna lebuh raya itu terhadap motosikal yang menggunakan laluan utama di lebuh raya berkenaan, namun setakat ini masalah tersebut sukar diselesaikan. Justeru, Azman turut menasihati pemandu kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu agar lebih berhati-hati dengan penunggang motosikal yang terpaksa membahayakan nyawa mereka dengan menggunakan laluan utama berikutan laluan khas motosikal ditutup.

    Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pemilik projek LRT3 dalam kenyataannya berkata syarikat berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia bagi tujuan penutupan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan selama dua tahun.

    LRT3 punca penunggang motosikal guna laluan utama di Lebuhraya Persekutuan – Polis Trafik Selangor

    Menurut kenyataan berkenaan, sepanjang dua kilometer laluan motosikal di lebuh raya itu ditutup untuk kerja-kerja awalan dan pembinaan LRT3 bermula pada 19 Mac lepas sehingga 19 Mac 2020.

    Sebelum ini, kami turut mendedahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh penunggang motosikal yang menggunakan laluan terbabit. Paparan menerusi rakaman VIDEO INI ternyata mendedahkan kesulitan yang sering dihadapi oleh para penunggang motosikal, dan ternyata mereka tiada pilihan lain dengan terpaksa menggunakan laluan utama di Lebuhraya Persekutuan walau pun ia mengancam keselamatan mereka sendiri.

    Malah Jun tahun lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengesahkan projek pembinaan dua jejantas khas untuk penunggang motosikal serta kerja menaik taraf lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dijangka siap sepenuhnya pada April 2018 selepas peruntukan RM29 juta telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2017.

     
     
  • ASEAN NCAP Q2 2018 – Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush terima penarafan 5-bintang

    ASEAN NCAP Q2 2018 – Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush terima penarafan 5-bintang

    Hari ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengumumkan keputusan untuk suku kedua (Q2) 2018 bagi Ujian Penilaian Kereta Baharu Asian Tenggara (ASEAN NCAP). Tiga model yang diuji adalah Toyota C-HR, Hyundai IONIQ Hybrid dan Toyota Rush 2018, di mana kesemuanya menerima penarafan lima-bintang.

    Malahan ketiga-tiga model terbabit juga telah diuji di bawah sistem penarafan untuk protokol baharu 2017-2020 yang mula dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu. Ini termasuklah ujian bagi sistem informasi titik buta sebagai kriteria penting bagi mendapatkan markah tinggi dalam ujian bagi kategori Teknologi Bantuan Keselamatan (SATs).

    Hyundai IONIQ Hybrid telah menerima markah keseluruhan sebanyak 91.98 mata. Di mana bagi kategori Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), model ini menerima 46.34 mata daripada markah keseluruhan 50.00. Manakala untuk kategori Perlindungan Penumpang Kanak-kanak pula, ia menerima 21.48 mata daripada markah keseluruhan 25.00 dan 24.17 mata dari markah penuh 25.00 bagi SATs.

    IONIQ yang dijual di pasaran Malaysia, dilengkapi dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Peringatan Pemakaian Tali Pinggang Keledar (SBR), serta teknologi keselamatan termaju termasuk Brek Kecemasan Sendiri (AEB), Amaran Penukaran Lorong (LDW), sistem Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Bantuan Kekal Lorong (LKA).

    Toyota Rush (kiri) & Toyota C-HR (kanan)

    Bagi suku kedua ini juga, ASEAN NCAP turut menguji Toyota Rush 2018 iaitu model spesifikasi Indonesia, yang menerima markah keseluruhan sebanyak 84.03 mata. SUV tujuh-tempat duduk ini menerima 43.25 mata bagi AOP, 21.33 mata untuk COP manakala kategori SATs pula sebanyak 19.44 mata.

    Rush dilengkapi dengan kit keselamatan termasuk enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan dan pengingatan tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh tempat duduknya sebagai standard untuk semua varian. Buat setakat ini, UMW Toyota Motor masih tidak mendedahkan adakah Rush ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan mahu pun tidak.

    Model ketiga bagi suku kedua ini pula ialah juga keluaran Toyota iaitu C-HR yang telah pun mula berada di jalan raya kita. C-HR menerima markah keseluruhan sebanyak 91.31 mata. Bagi AOP, ia menerima 49.72 mata, manakala 20.86 mata untuk COP dan kategori SATs dengan 20.73 mata. Bagi aspek keselamatan, C-HR dilengkapi dengan tujuh beg udara (termasuk satu pada bahagian lutut pemandu), brek ABS dengan EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), cagak Isofix,Paparan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA). Walau bagaimana pun, model bagi pasaran Singapura dan Thailand menerima teknologi keselamatan termaju yang terdiri daripada AEB, LDW, FCW dan LKA.

    Dalam majlis yang sama, Galeri MIROS juga telah dilancarkan dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Hj.Saripuddin Hj.Kasim. Galeri ini dibina dengan objektif utama bagi mempamerkan pencapaian MIROS dalam membentuk ekosistem automotif yang lebih selamat di Malaysia. Ia terletak di bangunan MIROS di Taman Kajang Sentral, Kajang. Menurut Ketua Setiausaha ASEAN NCAP, Ir. Dr. Khairil Anwar Abg Kassim, galeri ini dijangka akan lengkap sepenuhnya pada penghujung tahun ini dan turut menempatkan model keratan rentas Proton Iriz.

    GALERI: Toyota C-HR

    GALERI: Hyundai Ioniq HEV Plus

    GALERI: Toyota Rush 2018 spesifikasi Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025