Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TINJAUAN AWAL: Volvo XC60 T8 di M’sia, dari RM299k

    Volvo kini merupakan jenama yang sangat menarik untuk diperhatikan. Model-model baru yang diperkenalkan akhir-akhir ini juga menampilkan pakej keseluruhan yang sangat kompetetif. Untuk pasaran Malaysia, SUV XC60 T8 Twin Engine menjadi taruhan paling baru.

    Dengan versi CBU dari Sweden yang dijual pada harga RM373,888, ia tidak berhenti sekadar di situ. April nanti, versi pemasangan tempatan pula akan diperkenalkan, terdiri daripada tiga varian – T5 Momentum, T8 Inscription dan T8 Inscription Plus. Harganya masing-masing bermula dari RM298,888, RM333,888 dan RM343,888.

    Untuk pasaran tempatan, model ini menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E, dengan supercas dan turbocas, T8 plug-in hybrid – menghasilkan sebanyak 320 hp dan 400 Nm kuasa dan tork. Ia digandingkan pula dengan motor elektrik dengan bekalan kuasa 87 hp dan 240 Nm tork. Gabungan kedua-dua sistem ini memberikan janaan kuasa sebanyak 407 hp dan 640 Nm. Kuasanya cukup besar untuk anda?

    Ini memberikannya prestasi yang juga mengkagumkan. 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat dan kelajuan maksimum pula 230 km/j. Ia memiliki sistem pacuan semua roda dan dilengkapi sistem transmisi automatik lapan-kalajuan.

    Versi CKD nanti pula tak jauh berbeza. Spesifikasi hampir sama, kecuali tiada suspensi udara, dan kurang pilihan kemasan bagi ruang kabin. Untuk itu, di dalam video ini, kami cuba dekati versi CBU model berkenaan, dan melihat penawaran yang ada padanya berbanding model-model pesaing yang lain, seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Audi Q5.

    Sekiranya kewangan bukan kekangan bagi anda, adakah anda akan berminat untuk memilikinya? Untuk maklumat lanjut tentang SUV ini, layari juga laman CarBase.my.

    Volvo XC60 T8 Twin Engine 2018 CBU

     
     
  • Data jualan kenderaan M’sia bagi Jan 2018 ikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru saja mengeluarkan data jualan kenderaan di Malaysia bagi Januari 2018. Ternyata bulan pertama bagi 2018 bergerak agak perlahan dengan hanya 44,575 unit, sekaligus mencatatkan penurunan sebanyak 19% (10,154 unit) berbanding Disember 2017. Malahan rekod bagi Januari 2018 juga dikatakan lebih rendah sebanyak 2% (92 unit) berbanding bulan yang sama tahun lalu.

    Rekod di bawah ini menunjukkan pecahan data bagi setiap jenama untuk bulan lalu. Selepas promosi hujung tahun tamat, kebanyakan jenama yang mendahului pasaran turut menunjukkan penurunan – Perodua -12.3%, Honda -27.5%, Toyota -50.8% dan Nissan -11.3%, ini termasuklah Proton yang mengalami penurunan minimal sebanyak -0.4%. Selain itu, BMW (-16.8%), VW (-42.4%), Subaru (-40.5%), Volvo (-56.1%) dan Audi (-34.8%) juga mengalami penurunan jualan.

    Walau bagaimana pun, terdapat beberapa jenama menunjukkan peningkatan iaitu Mazda (+82.8%), Peugeot (+37.5%) dan Mitsubishi (+21.5%), ini termasuklah pendahulu segmen premium Mercedes-Benz (+6.0%).

    Dan buat pertama kalinya dalam data bulanan dari MAA bagi tahun ini, tidak menyenaraikan Lamborghini, Chery dan Yutong, jenama yang telah terkeluar daripada industri tempatan. Namun terdapat beberapa jenama baharu yang disenaraikan termasuklah dari China King Long (mungkin anda pernah melihat jenama ini pada bas), JAC and CAM. Klik carta di bawah untuk melihat senarai penuh dan rekod yang dicatatkan bagi bulan lalu.

    Data jualan kenderaan M’sia bagi Jan 2018 ikut jenama

     
     
  • McLaren MCL33 didedahkan – Jentera F1 musim 2018, enjin Honda kini diganti dengan janakuasa Renault

    McLaren MCL33 didedahkan – Jentera F1 musim 2018, enjin Honda kini diganti dengan janakuasa Renault

    Pasukan Formula 1 McLaren telah mendedahkan jentera mereka untuk musim 2018, digelar MCL33. Musim ini juga, pasukan dari British berkenaan meraikan ulangtahun ke-52 mereka dalam perlumbaan ‘single seater’ paling berprestij tersebut.

    Jentera ini bakal dikemudi dua pemandu McLaren dari musim lalu iaitu Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne serta tentunya ia diharapkan dapat mengubah nasib yang tidak berapa baik pasukan tersebut sepanjang 2017.

    MCL33 menampilkan ciri-ciri yang direka berdasarkan undang-undang F1 yang dikemaskini termasuk pelindung pemandu yang diletakkan pada kokpit digelar Halo, serta kit aero tanpa T-wings dan penutup enjin seperti sirip yu, yang kini tidak lagi dibenarkan.

    Setelah berhempas pulas selama tiga tahun menggunakan enjin Honda yang menghadapai pelbagai masalah, tahun ini MCL33 dijana enjin yang dibekalkan dari pengeluar Perancis iaitu Renault. Jentera ini juga mengenakan livery baharu dengan elemen warna ikonik biru dan papaya orange yang pernah digunakan oleh Mclaren dalam F1 50 tahun lalu.

    “Melihat kepada kereta baharu kami, saya rasa sangat teruja – tetapi dalam masa yang sama masih lagi bimbang. Saya tahu betapa pentingnya kereta terhadap pasukan, dan saya hanya berharap ia akan beraksi seperti apa yang kami mahu. Jika kami mampu untuk membina kekuatan utama dari casis tahun lalu dan menggabungkannya dengan enjin Renault, jadi saya rasa kami mampu untuk mengambil langkah yang lebih kehadapan,” kata Alonso.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan di Malaysia menyusut sebanyak 19% pada Jan 2018 berbanding Dis 2017

    MAA: Jualan kenderaan di Malaysia menyusut sebanyak 19% pada Jan 2018 berbanding Dis 2017

    Untuk bulan pertama rekod jualan kenderaan bagi tahun ini, menyaksikan industri automotif bergerak sedikit perlahan. Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sejumlah 44,575 kenderaan didaftarkan pada Januari 2018, iaitu 19% atau 10,154 unit lebih rendah berbanding 54,729 unit yang dicatatkan pada Disember 2017.

    Malah jumlah jualan pada Januari juga dilihat lebih rendah berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, berbeza lebih kurang 0.2% atau 92 unit. Faktor ini mungkin terdorong oleh pelbagai promosi jualan dan tawaran yang menarik yang dilaksanakan pada bulan Disember, walau pun berlanjutan sehingga Januari bagi musim perayaan Tahun Baharu Cina. Malahan jualan bagi bulan ini juga dijangka rendah, memandangkan tempoh waktu bekerja yang pendek disebabkan cuti perayaan tersebut.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada tahun lalu juga menyusut berbanding tahun sebelumnya, dengan 576,635 kenderaan terjual pada 2017, manakala 580,085 unit pada 2016. Ini adalah kerana prestasi industri pada tahun lalu telah mendahului 2016 dengan margin yang kecil, sehingga lewat November.

     
     
  • Roboh pondok tol perlu dilakukan secara tertutup, ikut spesifikasi ditetapkan JKKP – DUN Kota Anggerik

    Roboh pondok tol perlu dilakukan secara tertutup, ikut spesifikasi ditetapkan JKKP – DUN Kota Anggerik

    Seperti yang diketahui umum, proses merobohkan struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau sedang dijalankan, dijangka ia bakal selesai hujung Mac ini.

    walau bagaimana pun, Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Datuk Nor Hisham Ses, berkata, proses tersebut perlu dilakukan serentak bagi mengurangkan risiko, termasuk kemalangan maut, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, pihak bertanggungjawab perlu merobohkannya secara teratur dan mengikut prosedur.

    “Proses itu perlu dijalankan mengikuti spesifikasi ditetapkan menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Sepanjang proses itu, aliran trafik perlu dikawal selia oleh pihak terbabit supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, proses merobohkan struktur itu sepatutnya tidak dijalankan secara terbuka, sebaliknya perlu ditutup dengan penghadang bagi mengelak pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang dilakukan. Jika tidak, ia boleh menyebabkan lalu lintas perlahan di kawasan berkenaan.

     
     
  • Pasukan Tech 3 bakal mengakhiri kerjasama dengan Yamaha dalam perlumbaan MotoGP selepas 20 tahun

    Pasukan Tech 3 bakal mengakhiri kerjasama dengan Yamaha dalam perlumbaan MotoGP selepas 20 tahun

    Selepas 20 tahun menjalin kerjasama dengan Yamaha di dalam MotoGP, pasukan lumba dari Perancis, Tech 3 mengumumkan, perlumbaan tahun 2018 akan menjadi musim terakhir mereka akan bersama dengan pengeluar motosikal Jepun itu. Yamaha juga telah menerima keputusan berkenaan, dan akan memberikan sokongan seperti biasa sehingga tamat baki perlumbaan dalam kejuaraan musim ini.

    Bagaimanapun, pasukan Tech 3 akan terus berlumba di dalam MotoGP dan juga Moto 2, dan akan mengumumkan rancangan masa depan mereka bagi tahun 2019 kemudian. “Kami telah dimaklumkan oleh Hervé Poncharal bahawa beliau sudah pun membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak bersama Yamaha untuk menggunakan jentera YZR-M1,” jelas Pengurus Besar, Bahagian Pembangunan Sukan Permotoran Yamaha, Kouichi Tsuji.

    Pasukan Tech 3 bakal mengakhiri kerjasama dengan Yamaha dalam perlumbaan MotoGP selepas 20 tahun

    “Untuk merangkumkan usahasama selama 20 tahun antara Tech 3 dan Yamaha secara ringkas adalah sesuatu yang amat sukar,” jelas Poncharal. “Kami menerima tawaran, termasuk perkara-perkara yang sudah saya nantikan sejak sekian lama ketika memulakan Tech 3 lagi dan tidak boleh saya tolak,” tambah beliau.

    Menurut Poncharal lagi, Tech 3 akan terus bersama pasukan Monster Yamaha sehingga penghujung musim ini, pada perlumbaan terakhir di Valencia, Sepanyol nanti. “Johann Zarco dan Hafizh Syahrin akan merebut tempat utama dan tanpa sangsi, Yamaha boleh menyandarkan harapan kepada kami sebagai rakan usahama dengan prestasi terbaik. Terima kasih tak terhingga kepada Yamaha di atas sokongan yang diberikan selama ini,” tambah beliau.

    Pasukan Tech 3 bakal mengakhiri kerjasama dengan Yamaha dalam perlumbaan MotoGP selepas 20 tahun

    Tech 3 telah menjadi pasukan satelit bagi Yamaha di dalam perlumbaan MotoGP sejak dua dekad lalu, menggunakan jentera dari satu atau dua musim perlumbaan sebelum itu. Pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin bersama juara dua kali Moto 2, Johann Zarco akan berlumba untuk pasukan Tech 3 musim ini.

     
     
  • JICA kaji keadaan lalu lintas di Malaysia – kesesakan campuran trafik dikesan faktor penyebab kemalangan

    JICA kaji keadaan lalu lintas di Malaysia – kesesakan campuran trafik dikesan faktor penyebab kemalangan

    Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) yang menjalankan kajian berkaitan keadaan lalu lintas di Malaysia mendapati kesesakan teruk yang acapkali berlaku adalah disebabkan oleh campuran lalu lintas di persimpangan dan lintasan. Malah ia berkemungkinan menjadi antara faktor penyebab kemalangan jalan raya di negara ini.

    Menurut hasil kajian awal yang dijalankan terutamanya di Kuala Lumpur, agensi terbabit berkata walaupun jumlah lorong telah ditambah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, didapati masalah itu masih belum dapat diselesaikan kerana hala laluan itu tidak mengambil kira pertembungan persimpangan dan trafik, laporan Bernama.

    Tambahnya lagi, pada 2014, kadar kematian kemalangan jalan raya di Malaysia adalah yang kedua tertinggi selepas Thailand dalam kalangan negara-negara ASEAN.

    “Bagi menangani masalah ini, JICA, dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia, akan melaksanakan projek kerjasama teknikal baru dalam Program Keselamatan Jalan Raya bermula tahun ini. Di bawah program ini, pengalaman Jepun mengenai keselamatan jalan raya akan dikongsi dengan Malaysia melalui penghantaran pakar Jepun, latihan teknikal di Jepun dan seminar,” katanya.

    JICA kaji keadaan lalu lintas di Malaysia – kesesakan campuran trafik dikesan faktor penyebab kemalangan

    JICA berkata ia telah menghantar misi untuk melakukan tinjauan awal untuk menentukan bidang kerjasama yang diperlukan dalam isu keselamatan jalan raya di negara ini.

    Kajian berkenaan bertujuan untuk mengumpulkan maklumat penting dan menganalisis isu-isu dalam mengkaji cara keselamatan jalan raya, melalui projek JICA, serta perumusan projek-projek yang mungkin.

    Katanya lagi, kajian itu menyumbang kepada pemahaman selanjutnya tentang keadaan semasa, termasuk peranan dan koordinasi di antara agensi yang berkaitan, dengan mengumpul bahan-bahan yang diperlukan untuk mendapatkan masalah konkrit mengenai keselamatan jalan raya.

    Agensi itu berkata ia berharap dapat memberikan pemindahan pengetahuan dan pelajaran yang baik sepanjang projek itu.

    JICA kaji keadaan lalu lintas di Malaysia – kesesakan campuran trafik dikesan faktor penyebab kemalangan

    “Jepun telah berkembang dalam pemodenan dan urbanisasi di kawasan bandar berkepadatan tinggi sedia ada dan telah mengatasi masalah serius hasil perkembangan dalam penggunaan kenderaan. Pengalaman ini akan memberikan tip berguna untuk Malaysia yang kini mengalami peningkatan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh perkembangan pesat kenderaan dan perubahan dalam gaya hidup,” kata JICA.

    Ia juga menyatakan bahawa JKJR telah memulakan hubungan antara agensi berkaitan keselamatan jalan raya di negara ini.

    Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (Trafik), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

    “Penglibatan aktif agensi-agensi ini dalam projek itu juga boleh menjadi titik permulaan untuk memperkukuhkan kerjasama dan penyelarasan di antara agensi berkaitan di Malaysia pada masa akan datang,” kata JICA.

     
     
  • BMW 8 Series Concept buat penampilan di M’sia – dipamerkan di BMW Luxury Excellence Pavilion KL

    BMW 8 Series Concept buat penampilan di M’sia – dipamerkan di BMW Luxury Excellence Pavilion KL

    Serentak dengan pelancaran BMW Luxury Excellence Pavilion hari ini, jenama dari Jerman berkenaan turut membawa sekali model konsep BMW 8 Series. Kemunculannya kali ini juga merupakan penampilan pertamanya di rantau Asia Tenggara.

    Jika anda peminat BMW, nama 8 Series E31 yang muncul pada era 90’an dengan muncung tajam dan menampilkan lampu hadapan jenis ‘pop-up’ pasti masih segar diingatan. Model yang dipamerkan hari ini merupakan model konsep generasi terbaru 8 Series yang dijangka akan mula diproduksi pada tahun ini, bersama dua lagi model baharu – SUV X7 dan Z4 Roadster.

    BMW 8 Series ini direka lebih ekspresif berbanding model-model BMW yang berada dalam pasaran buat masa sekarang. Garisan badannya dilakar bercampur, antara yang beralun dan bersegi. Bonet hadapan menjunam ke bawah, menuju ke gril ‘kidney‘ yang besar, dan salur udara di bawah juga nampak besar kerana lampu utamanya nipis.

    Beralih ke sisi, terdapat tempat untuk udara keluar berhampiran lengkuk tayar hadapan, manakala lengkuk tayar belakang pula direka lebar, untuk kedudukan yang lebih tegap. Tidak seperti kebanyakan kenderaan konsep sekarang, BMW 8 Series ini masih mempunyai cermin sisi, membuatkan ia nampak sudah bersedia untuk diproduksi.

    Bahagian belakang, cermin coupe ini direka menjunam menghala ke penutup but belakang, tetapi kemudiannya naik balik pada bahagian yang kelihatan sperti spoiler bersepadu. Lampu LED yang menggunakan pencahayaan unik berbentuk L ditempatkan pada setiap penjuru. Liang kemasukan udara yang agresif pada bampar belakang turut direka sama pada bahagian belakang, yang turut menempatkan tip ekzos berkembar. Rim 21 inci dan warna Barcelona Grey Liquid melengkapkan penampilan model konsep ini.

    Biasa bagi BMW, bahagian kokpit dijadikan fokus kepada pemandu dan dibalut dengan kulit berwarna coklat gelap dan putih, bersama konsol tengah yang tinggi. Dengan adanya juga panel tengah yang membahagikan tempat duduk kiri dan kanan, pemandu akan tenggelam dalam kokpit ini. Tempat duduknya menggunakan gentian karbon manakala stereng yang direka dengan elemen deep dish pula diberikan kemasan aluminium berkilat.

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, tetapi versi produksi 8 Series ini dijangka dibangunkan menggunakan platform modular Cluster Architecture (CLAR), yang menggunakan bahan serba ringan seperti aluminium, magnesium dan gentian karbon untuk mengurangkan berat.

    Barisan 8 Series dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin seperti 7 Series, termasuk enam silinder sebaris, V8 dan V12 disuap pengecas turbo. Versi berprestasi tinggi sebenar M8 juga bakal diperkenalkan, dijana oleh enjin sama seperti M5 F90 akan datang – V8 4.4 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan lebih 600 hp, dan kuasa disampaikan kepada semua roda melalui sistem xDrive BMW terkini. Enjin ini dijangka bakal digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dan bukan kotak gear klac berkembar M DCT.

    Model konsep berkenaan dipamerkan pada ruang pameran BMW Luxury Excellence Pavilion yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur yang 22 Februari hingga 7 Mac 2018. Namun, hanya yang telah mendaftarkan minat mereka sebelum ini dibenarkan untuk masuk ke ruang pameran untuk melihat sendiri model konsep tersebut.

    Turut menyertai BMW dalam Pavillion serba mewah berkenaan termasuk jenama premium seperti Dior, Hugo Boss, Moet Hennessy Diageo, Jaeger-LeCoultre, Wei-Ling Gallery, Leica, illy Coffee dan SPACE.

     
     
  • Peugeot 508 terbaru kini didedahkan secara rasmi

    Peugeot 508 terbaru kini didedahkan secara rasmi

    Sebelum ini, gambarnya pernah terbocor diinternet. Tetapi, pasaran global tak perlu tunggu lama untuk diperkenalkan kepada model Peugeot 508 terbaru – ia sudah didedahkan secara rasmi. Dan, ini bukan sebarangan model; Peugeot menggelarnya “salon radikal” dan meletakkan harapan yang tinggi untuk model berkenaan.

    Walaupun sedan segmen D tidak lagi menjadi tumpuan utama pasaran, ia tidak menjadi penghalang bagi Peugeot untuk menghasilkan sebuah rekaan yang lebih berani – lari dari rekaan sedan biasa dan lebih cenderung kepada bentuk “fastback coupe-saloon”. Pendekatan rekaannya diambil daripada model konsep yang pernah dihasilkan sebelum ini, seperti model Exalt (lihat rekaan papan pemuka i-Cockpit) dan Instinct.

    Sedikit tentang perbezaan 508 baru ini dengan yang lama. Ia kini lebih pendek (4.75 m vs 4.83 m) dan rendah ( 1.4 m vs 1.46 m). Jarak antara roda pula ialah 2.79 m; lebih pendek 2.4 cm, pengurangan dibahagian overhang. Rim pula dari 16 inci kepada 19 inci.

    Peugeot 508 terbaru kini didedahkan secara rasmi

    Secara keseluruhannya, rekaan yang ditampilkan sangat agresif dan menarik sekaligus. Bahagian depan menggunakan lampu DRL LED melintang yang memberi karektor pada wajahnya, ditambah dengan gril krom rekaan terkini dengan motif petak. Antara elemen baru yang dikenakan ialah lencana 508 pada bonet, di atas logo singa – sama seperti yang pernah dilihat pada model 504 ditahun 1970an dulu. Bonetnya juga menurut Peugeot telah direndahkan sehabis boleh.

    Pintu tanpa kerangka memberikan imej unik kereta ini. Bahagian belakang juga nampak begitu matang dan cantik – lampu LED 3D dalam motif “cakaran” yang sinonim dengan jenama ini, dan terletak dalam garis menegak hitam berkilat; semuanya merupakan sentuhan kecil yang menjadikannya menakjubkan.

    Walaupun dengan rekaan seperti ini, bukaan ruang barangannya juga disimpan kemas dan memudahkan capaian – dengan keluasan yang tersedia ialah 487 liter (maksimum 1,537 liter). Ia sebuah sedan lima-pintu; dengan rekaan menyerupai Audi A5 Sportback.

    Bahagian dalaman menempatkan rekaan Peugeot i-Cockpit terbaru, yang merangkumi stereng saiz kompak, skrin sentuh 10-inci dalam format 8:3, dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia memiliki enam mod paparan berbeza dan sistem Night Vision. Ciri ini menggunakan kamera infra-red dan mengesan mahkluk hidup di depan kenderaan pada waktu malam atau dalam keadaan penglihatan terhad. Ia mampu mengesan pada jarak 200-250 m, melangkau kawasan yang boleh dicapai oleh pancaran lampu utama.

    Peugeot 508 terbaru kini didedahkan secara rasmi

    508 baru ini juga menawarkan ciri i-Cockpit Amplify. Dengan pilihan suasana yang berbeza – Boost dan Relax – ia melibatkan pengalaman penglihatan (kepekatan lampu suasana dan warna skrin), pengelaman pendengaran (talaan muzikal) serta sentuhan (melalui ciri urutan kerusi). Sistem ini juga mengawal prestasi pemanduan kenderaan (mod pemanduan terdiri daripada ECO, Sport, Comfort, Normal) dan suspensi, sekiranya versi penyerap hentak aktif ditawarkan.

    Di ruang dalam, antara ciri yang melengkapi model ini ialah tempat duduk dengan AGR (Aktion für Gesunder Rücken), bumbung panoramik luas dan sistem bunyi Focal. Perincian kemasan lain yang turut digunakan antaranya ialah kulit Nappa, Alcantara dan kayu sebenar.

    Dari segi ruang, sekali lagi Audi A5 Sportback dijadikan penanda aras. Ruang kepala penumpang depan dan belakang hampir sama dengan yang ada pada A5, tetapi ruang lengan di depan lebih besar 5 cm manakala ruang kaki di belakang ditambah 3 cm.

    Peugeot 508 terbaru kini didedahkan secara rasmi

    Peugeot 508 menggunakan platform EMP2 yang dibina oleh PSA Group – ini memberikan pengurangan berat sebanyak 70 kg dan sekaligus memperbaiki kecekapan penggunaan minyak, keselamatan dan prestasi. Turut diperkenalkan ialah teknik baru bagi kimpalan badan (pelekat struktur bagi meningkatkan kekukuhan), gandar belakang multi-link yang dihubungkan kepada penyerap hentak aktif (standard bagi GT dan semua varian petrol), stereng elektrik yang dikemaskini serta transmisi automatik torque converter lapan-kelajuan.

    Bagi pilihan enjin pula, 508 akan menggunakan enjin PureTech Euro 6.c generasi baru dan enjin Blue HDi (dengan teknologi SCR lanjutan) bagi kadar C02 terbaik. Dua enjin 1.6L Puretech akan menggantikan unit Prince/THP lama – PureTech 180 dan PureTech 225 bagi versi paling tinggi GT. Empat pilihan enjin diesel pula adalah berdasarkan enjin-enjin 1.5L dan 2.0L BlueHDi – terdiri daripada BlueHDi 130 manual enam-kelajuan, BlueHDi 130, BlueHDi 160 dan BlueHDi 180.

    Semua enjin datang dengan butang Start/Stop dan digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan EAT8, kecuali model asas diesel MT. Peugeot memaklumkan, versi PHEV bagi 508 juga akan diperkenalkan pada penghujung 2019. Peugeot 508 terbaru ini akan membuat penampilan sulung pada Geneva Motor Show 2018 bulan Mac nanti, dan akan dijual bermula September tahun ini.

     
     
  • Toyota Yaris facelift kini di Indonesia, mula dari RM67k

    Toyota Yaris facelift kini di Indonesia, mula dari RM67k

    Toyota telah pun melancarkan Yaris facelift untuk pasaran Indonesia. Hatchback segmen-B ini adalah lebih kurang sama dengan Yaris spesifikasi Thailand, yang dilancarkan di sana pada September 2017.

    Di Thailand, Yaris dan Yaris Ativ sedan merupakan kereta eko Thai yang ditawarkan dengan enjin 1.2 liter dan harga yang rendah. Walau bagaimana pun tiada pematuhan sebegitu di Indonesia, maka Yaris akan diposisikan lebih tinggi berbanding Daihatsu Ayla dan Toyota Agya, dengan enjin 1.0L dan 1.2L.

    Di Indonesia, Yaris turut akan ditawarkan dengan pilihan premium bersama enjin 1.5 liter. Iaitu sama dengan unit 2NR seperti pada Perodua Myvi dan Toyota Vios, dengan DOHC dan Dual VVT-i. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 107 PS dan tork 140 Nm, serta dipadankan sama ada dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik CVT. Tiga gred ditawarkan – E, G dan TRD Sportivo – menjadikan jumlah keseluruhannya enam varian.

    Varian TRD menerima kit eksklusif termasuk lampu utama projektor (dengan kekemasan lingkaran merah), kit badan dengan spoiler belakang, lampu nyalaan siang LED, aloi dwi-tona 16-inci, dan lampu belakang LED. Elemen kedua terakhir turut ditampilkan pada varian G. Di dalamnya, TRD turut didatangkan dengan roda stereng balutan kulit dengan butang audio, pedal penukar gear, mod Sport/Eco (untuk CVT sahaja), meter Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT berwarna, push start dan pendingin hawa automatik.

    Untuk ICE, varian tertinggi menerima unit utama DVD-AVX dengan Miracast, Weblink dan enam pembesar suara. Bagi aspek keselamatan, semua varian menerima ABS/EBD/BA, VSC, HSA, dan tujuh beg udara. Harga yang ditawarkan dari Rp 235.4 juta (RM67,397) untuk E MT hingga Rp 275.9 juta (RM78,981) untuk TRD Sportivo CVT.

    Daihatsu Sirion baharu – model CBU rebadged Myvi dari Malaysia – telah dilancarkan di Indonesia baru-baru ini dengan enjin 1.3L dan gandingan antara kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Sirion baharu ditawarkan dari Rp 182.5 juta (RM52,655) hingga Rp 193.5 juta (RM55,819). Model ini dikatakan mampu menjadi persaing paling rapat bagi Yaris facelift. Jika diberikan pilihan, model manakah yang menjadi dambaan anda?

    GALERI: Toyota Yaris facelift spesifikasi Thailand

     
     
  • Volkswagen Golf Mk7.5 mula ditunjuk di web Malaysia

    Volkswagen Golf Mk7.5 mula ditunjuk di web Malaysia

    Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) akan memperkenalkan rangkaian model facelift Volkswagen Golf Mk7.5 di sini tidak lama lagi. Terbaru, syarikat itu telah mula memaparkan iklan teaser di laman web rasmi mereka, dengan tiga model yang sah akan dilancarkan nanti – Golf standard, Golf GTI dan versi prestasi Golf R.

    Iklan berkenaan juga mula membuka pendaftaran kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut model ini nanti. Masih belum ada pengesahan tentang senarai spesifikasinya, tetapi iklan berkenaan memberikan beberapa gambaran berkaitan itu.

    Bagi Golf standard, ia akan menggunakan enjin 1.4 liter empat-silinder TSI (150 PS dan 250 Nm) dan dipadankan dengan transmisi automatic DSG tujuh-kelajuan. Antara ciri lain yang akan melengkapinya ialah lampu utama LED (menggantikan lampu bi-Xenon), sistem pendingin Air Care Climatic dwi-zon, Drive Profile Selection, tujuh beg udara dan kamera belakang.

    Bagi Golf GTI pula, ia menggunakan enjin 2.0 liter TSI, yang membekalkan sebanyak 230 PS, atau 245 PS bagi varian Performance. Itu dipadanan dengan transmisi automatik DSG enam-kelajuan, Adaptive Chassis Control, sistem masukan tanpa kunci serta kerusi larasan kuasa elektrik. Kemasan krom pada hujung ekzos dan kulit Vienna digunakan untuk ruang dalaman.

    Volkswagen Golf Mk7.5 mula ditunjuk di web Malaysia

    Yang terakhir, Golf R pula akan menggunakan enjin 2.0 liter TSI yang dijangka akan dinaik taraf, menghasilkan 310 PS dan dipadankan dengan DSG tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion. Dengan imej berkenaan memaparkan bacaan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, semakan ringkas pada laman web Volkswagen German mendedahkan itu adalah angka bagi model yang dilengkapi dengan transmisi manual enam-kelajuan – Golf R dengan DSG mampu memecut dalam masa 4.6 saat.

    Dari segi penampilan, Golf R kelihatan menggunakan rim 19-inci, serta datang dengan paddle shifters, hujung ekzos krom, sistem infotainmen Discover Pro, Park Distance Control, material kulit Vienna, Driver Profile Selection dan lampu utama LED adaptif.

    Apa pun, senarai spesifikasi yang dinyatakan ini masih belum rasmi dan tertakluk kepada perubahan. Perincian lanjut hanya akan didedahkan sebaik sahaja model ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.

     
     
  • Beberapa jalan sekitar KL ditutup pada pagi 24 Feb ini

    Beberapa jalan sekitar KL ditutup pada pagi 24 Feb ini

    Sempena dengan konvoi Berbasikal 1WP 2018 yang berlangsung pada pagi Sabtu ini, 24 Feb, beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat mulai jam 6 pagi hingga 11 pagi. Program kayuhan sejauh 30 kilometer itu akan bermula di Dataran Merdeka, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Ahmad Adnan Basri, jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Raja Laut, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Bulatan Sg Besi, Jalan Yew, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Damansara, Jalan Travers dan Bulatan Hishamuddin.

    Justeru, beliau menasihati para pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dengan memilih jalan-jalan alternatif dan elakkan melalui jalan yang terlibat dengan penutupan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, serta mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.

     
     
  • Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

    Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

    Setelah imej teaser disiar bulan lalu dan imej awalannya didedahkan awal bulan ini, SUV segmen-D Hyundai Santa Fe generasi baharu akhirnya muncul buat pertama kali di bandar Goyang, Seoul, Korea. Menurut Hyundai, model generasi keempat ini diberikan pelbagai ciri teknologi tinggi terbaharu dan bakal mula diproduksi bermula suku kedua 2018, serta akan terus mula dijual selepas itu.

    Santa Fe 2019 ini nampaknya diberikan rekaan yang berlainan dari model sebelumnya. Ia tampil dengan rupa seakan adiknya, SUV segmen-B Hyundai Kona – diberikan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas sementara lampu utamanya pula (menggunakan teknologi LED projektor) ditempatkan pada bahagian bampar, bersama gril “cascading” signatur Hyundai.

    Kelainan pada model generasi keempat ini diserlahankan pada garis bahu yang begitu menonjol, bermula dari lampu hadapan hingga lampu belakang. Namun garis bumbung SUV ini masih lagi hampir rata sama seperti model generasi ketiga, bersama rekaan pada tingkap sisi. Bahagian belakang pula Santa Fe kini diberikan sepasang lampu ‘two-piece‘ LED tirus dengan grafik berbentuk-C.

    Model generasi baharu ini berukuran 4,770 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak rodanya pula 2,765 mm. Berbanding model sebelumnya, ia jelas 80 mm lebih panjang (4,690 mm), 10 mm lebih lebar (1,880 mm) serta jarak roda 75 mm lebih jauh (2,700 mm).

    Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

    Kabin Santa Fe ini turut direka dengan elemen seperti Kona, menampilkan papan pemuka dengan konsep tiga-tingkat, bersama skrin tujuh-inci berdiri sendiri pada bahagian tengah, liang hawa dingin tirus, kawalan pendingin hawa dua-zon, serta tray untuk sistem pengecas tanpa wayar Qi pada tingkat paling bawah.

    Balutan upholsteri tempat duduk ini juga diberikan lubang-lubang pada sebahagiannya dan elemen quilted pada sebahagian lagi – bergantung pada varian – bagi memberikan rasa yang lebih premium. Tempat duduk berkenaan juga diberikan fungsi pemanas dan liang pengudaraan serta boleh dilaras dengan kuasa elektrik dalam 10-hala.

    Menurut Hyundai, dengan penggunaan cermin belakang yang 41% lebih besar membolehkan pandangan belakang SUV ini diperbaiki. Jarak roda yang lebih panjang pula memberikan ruang kaki yang lebih besar untuk penumpang baris kedua dan ketiga. Pada baris kedua, ruang lutut kini 28 mm lebih besar manakala tempat duduk pula 18 mm lebih tinggi. Fungsi satu sentuhan juga satu ciri baharu yang diberikan untuk memudahkan penumpang masuk ke tempat duduk baris ketiga yang kini 22 mm lebih ruang kepala.

    Bagi sistem hiburan pula, Santa Fe dibekalkan dengan sistem bunyi dari Inifinity berkuasa 630-watt, dihubungkan kepada amplifier 11-saluran bersama teknologi bunyi Surround QuantumLogic dan Clari-Fi serta 12-unit pembesar suara.

    Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

    Sistem Clari-Fi berfungsi setiap masa untuk menghasilkan bunyi audio terperinci yang hilang pada muzik yang dimampatkan secara digital, manakala QuantumLogic pula mengekstrak isyarat dari rakaman asal dan diagihkan semula kepada pemain muzik dengan peringkat bunyi pelbagai dimensi yang menghasilkan bunyi yang “jelas, diperhalusi serta penuh dengan perincian.”

    Hyundai menawarkan enam enjin untuk Santa Fe generasi baharu ini – empat petrol dan dua diesel. Untuk pasaran Korea, ia menerima enjin petrol 2.0 liter T-GDI serta enjin turbodiesel CRDi 2.0 liter dan 2.2 liter.

    Kesemua pilihan enjin digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan automatik yang dibina sendiri oleh Hyundai. Walaupun transmisi baharu ini mempunyai dua nisbah gear lebih banyak dari kotak gear enam-kelajuan sebelum ini, ia sebenarnya lebih ringan serta berfungsi tiga peratus ekonomikal.

    Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda HTRAC Hyundai. Sistem AWD dengan pelbagai mod tersebut membolehkan tork dibahagikan kepada gandar hadapan dan belakang secara elektronik menggunakan klac pembahagi tork serta sistem kawalan tork aktif.

    Empat mod disediakan untuk sistem ini iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart. Dalam mod Sport, sehingga 50% tork akan dihantar ke roda belakang, manakala untuk mod Comfort pula 35% tork akan dihantar ke belakang. Jika mod Eco dipilih, kuasa akan dihantar sepenuhnya ke roda hadapan bagi mengoptimakan ekonomi penggunaan bahan api.

    Untuk pengendalian pula, Santa Fe kini menerima stereng yang ditala untuk lebih responsif. Suspensi juga telah diubah dengan talaan lebih keras serta penyerap hentak diletakkan pada posisi lebih tegak bagi mendapatkan strok lebih panjang yang menurut Hyundai menjadikan SUV ini lebih stabil serta lebih selesa dan NVH bersama kesenyapan keseluruhan dapat ditingkatkan.

    Bunyi dari jalan juga dapat dikurangkan dengan penggunaan material yang lebih menyerap bunyi. Pelanggan juga diberikan opsyen suspensi dengan sistem larasan ketinggian automatik berdasarkan beban yang dibawa.

    Buat kali pertama juga, Santa Fe diberikan sistem paparan head-up (HUD) yang memancarkan informasi pada cermin hadapan bagi memudahkan pemandu. Hyundai memberi jaminan bahawa sistem ini akan memberikan paparan terbaik dalam keadaan pencahayaan berbeza. Sistem HUD ini memberikan maklumat utama seperti arahan sistem navigasi, jumlah bahan api, serta pelbagai amaran dari sistem keselamatan aktif serta sistem bantuan pemanduan.

    Bagi sistem keselamatan pula, SUV ini dilengkapkan dengan pakej keselamatan aktif dan bantuan pemanduan Hyundai SmartSense. Ia terdiri daripada sistem seperti Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki, Bantuan Mengelak Kemalangan Lintasan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Penumpang Belakang, Bantuan Keluar Keselamatan serta Fungsi Informasi Had kelajuan.

    Sistem Amaran Penumpang Belakang diberikan bagi mengingatkan pemandu bahawa masih ada penumpang di kabin belakang (contohnya kanak-kanak) ketika mereka keluar dari kereta. Sistem ini menggunakan penderia ultra untuk mengesan pergerakan di kabin belakang, dan ia turut berfungsi ketika kanak-kanak secara tidak sengaja mengunci kereta tersebut dari dalam.

    Berbanding model-model Hyundai lain, Santa Fe dibina dengan 57% lebih keluli berketegaran tinggi atau 15% lebih dari model sebelumnya. Ia juga dilengkapi dengan enam beg udara bagi melengkapkan sistem keselamatannya.

     
     
  • VIDEO: Saya juga tak suka tol – Najib Tun Razak

    Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru sahaja bercakap menerusi siaran media sosial, mengenai fokus terhadap ekonomi dan polisi kerajaan di bawah Bajet 2018. Sepanjang sesi selama hampir sejam itu, Najib yang juga menteri kewangan, turut menyentuh topik yang selalu mencetuskan kontroversi iaitu tol.

    Dalam durasi 23 minit 24 saat, Najib menyatakan bahawa beliau bukanlah peminat tol, namun untuk menghapuskannya bukanlah mudah. “Sebagai contoh, menghapuskan tol, oh nampak sangat mudah. Namun sebenarnya ia tidak, tetapi saya tidak percaya, jika anda dikenakan tol setiap hari, ia adalah baik untuk rakyat,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, “jika ia Lebuhraya Utara-Selatan, jika ia Lebuhraya Karak, oleh itu ya, anda hanya menggunakannya sesekali sahaja. Tetapi jika anda membayar tol setiap hari, dua, empat kali, semuanya akan kecewa.”

    “Jadi, saya tidak mempercayainya. Individu yang terdahulu dari saya sangat mempercayai tol. Saya tidak menyukai tol. Itu sebablah tiada tol di Lebuhraya Pan Borneo untuk masyarakat di Sabah dan Sarawak. Malah kita juga telah menghapuskan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam, EDL (Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur).

    “Apa yang boleh saya lakukan, saya akan hapuskan tol kerana saya tidak rasa ia adalah bagus. Ia mengecewakan dan menyebabkan kesesakan, tetapi apa yang boleh kita lakukan kerana harus mendedahkan beberapa keputusan, masalah legasi. Saya akan menghuraikan apa yang saya fikir ia bukan demi kepentingan rakyat Malaysia, yang saya patut lakukan,” akhiri beliau dalam kenyataan mengenai tol.

     
     
  • Nissan Leaf terima penarafan lima-bintang dari JNCAP

    Nissan Leaf baharu telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP), dengan memperoleh sebanyak 94.9 daripada 100 mata untuk ujian perlindungan penumpang, dan 67.82 mata bagi keselamatan pejalan kaki.

    Elemen keselamatan yang disertakan banyak menyumbang kepada pencapaian Leaf, ini termasuklah enam beg udara, tempat duduk dengan perehat kepala dan back frame, tali pinggang keledar dengan pra-tekanan dan keupayaan pengehad beban untuk posisi tempat duduk hadapan dan belakang.

    Leaf juga lulus ujian perlindungan kejutan elektrik JNCAP, di mana yang mengukur bagaimana kenderaan ini melindungi penumpang daripada kejutan elektrik akibat pelanggaran. Bekas bateri yang dilindungi dan peranti potongan voltan tinggi yang ada pada Leaf, akan diaktifkan apabila berlaku pelanggaran. Bentangan dan struktur badan Leaf juga mampu melindungi penumpang daripada bahagian bervoltan tinggi.

    Leaf akan dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 18) tidak lama lagi, dan majlis pra-jualannya akan berlangsung selepas itu. Walau bagaimana pun, harganya masih belum dinyatakan, malah tidak dipastikan sama ada ia melibatkan model CKD atau pun CBU.

    Leaf baharu ini hadir dengan motor elektrik yang telah diberi penambahbaikan berbanding model generasi pertama, kini mampu menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork, pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ia juga menggunakan bateri lithium-ion 40 kWh berkapasiti tinggi bagi menambahkan lagi kuasa pacuan elektrik sehingga 378 km (mengikut kitaran NEDC). Sebagai perbandingan, Leaf terdahulu menggunakan bateri 30 kWH yang mampu dipacu sehingga jarak 250 km.

    GALERI: Nissan Leaf di simposium Nissan Futures, Singapura

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025