Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 27 Jun-2 Julai di Lebuhraya PLUS sempena Hari Raya Aidiladha

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 27 Jun-2 Julai di Lebuhraya PLUS sempena Hari Raya Aidiladha

    Seperti amalan yang dilaksanakan pada musim perayaan yang lain, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut mengumumkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan yang bertujuan untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha bagi tempoh bermula 27 Jun hingga 2 Julai 2023.

    Menurut PLUS, TTA ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kesesakan daripada memasuki lebuh raya secara serentak di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat, sekaligus mengurangkan kesesakan.

    “Kami menjangkakan kira-kira 2 juta kenderaan akan berada di lebuh raya kendalian PLUS terutamanya pada hari puncak iaitu 28 Jun (Rabu) dan 1 Julai (Sabtu) iaitu peningkatan sebanyak 12% berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa sempena Aidiladha Khamis ini,” kata Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 27 Jun-2 Julai di Lebuhraya PLUS sempena Hari Raya Aidiladha

    Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang mulai hari ini hingga 29 Jun, jika anda menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, disaran memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.

    Manakala bagi yang menuju ke Negeri Sembilan, Melaka dan Perak (Tanjung Malim-Ipoh), anda disarankan memulakan perjalanan menggunakan Lebuhraya PLUS antara jam 12 tengahari hingga 3 petang.

    Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada tempoh 30 Jun hingga 2 Julai, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi dari mana-mana destinasi.

    Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi 27 Jun-2 Julai di Lebuhraya PLUS sempena Hari Raya Aidiladha

    Pengguna lebuh raya sentiasa dinasihatkan agar menggunakan mod pembayaran yang sama ketika masuk dan keluar dari lebuh raya. Sebagai contoh, sekiranya pengguna lebuh raya menggunakan mod pembayaran RFID ketika masuk ke lebuh raya, mereka juga mestilah keluar dari lebuh raya melalui lorong RFID.

    Ini dapat mengelakkan mereka terkandas di lorong tol dan memberi kesan kepada perjalanan orang lain. PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya memastikan baki e-Wallet (bagi transaksi RFID) dan baki kad Touch ‘n Go sentiasa mencukupi untuk perjalanan mereka.

    Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

    Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara.

     
     
  • MoT masih kaji penguatkuasaan bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    MoT masih kaji penguatkuasaan bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan masih mengkaji penguatkuasan bagi penggunaan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) di dalam kenderaan biarpun usul mengenainya telah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini,

    “Walaupun usul penggunaan kerusi khas kanak-kanak itu sudah diluluskan, kita masih mengambil pendekatan advokasi bagi mendidik orang ramai. Kita kaji dari pelbagai aspek… kalau keluarga itu anak ramai, saiz kereta besar dan sebagainya. Jadi buat masa ini kita lebih fokus kepada advokasi berbanding penguatkuasaan,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Gombak, semalam.

    Menerusi kempen keselamatan tersebut, ia juga memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak. Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

    “Ini kerana statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 1,252 kes kemalangan maut membabitkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dilaporkan dari 2012 hingga 2021,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    MoT masih kaji penguatkuasaan bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan

    Tambah beliau, pihaknya memandang serius isu itu dan mengakui ia perlu ditangani segera menerusi penguatkuasaan berterusan dan advokasi kepada pemandu yang tidak menggunakan CRS.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya membeli kerusi CRS yang melepasi standard piawaian ISO. Ini kerana aksesori itu membantu kanak-kanak semasa berlakunya pelanggaran dengan mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.

    “Kerajaan berharap kempen kali ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentang betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak,”katanya.

    Pada Disember 2019, kerajaan telah mengumumkan untuk menguatkuasakan tindakan saman selepas tamat tempoh enam bulan pendidikan kesedaran penggunaan kerusi berkenaan mulai Januari 2020. Menurut Menteri MoT ketika itu, Anthony Loke, tindakan saman perlu dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan menggunakan CRS untuk keselamatan. Namun sehingga kini, ternyata penguatkuasaan mengenai perkara ini masih samar-samar.

     
     
  • Sistem parkir 2-Jam akan dilaksanakan oleh MBSA bermula 1 Julai ini; 8 pg-5 ptg, Isnin hingga Jumaat

    Sistem parkir 2-Jam akan dilaksanakan oleh MBSA bermula 1 Julai ini; 8 pg-5 ptg, Isnin hingga Jumaat

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan bahawa tempat parkir di 67 lokasi di bawah bidang kuasanya akan dioperasikan dengan sistem parkir 2-Jam bermula 1 Julai 2023. Sistem itu dibuat di bawah Pewartaan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Bandaraya Shah Alam) Pindaan 2023.

    Laporan awal bulan ini menyebut bahawa MBSA telah mengenalpasti 67 tempat parkir di Seksyen 9, Setia Alam dan Seksyen 25 akan ditukar untuk menggunakan sistem parkir dua-jam ini dan ia hanya menunggu kelulusan dari kerajaan negeri untuk menggezetkan kawasan tersebut. Nampaknya kelulusan itu sudahpun diperolehi menerusi pengumuman baru dari MBSA ini.

    Petak-petak parkir 2-jam ini akan ditandakan dengan warna oren dan ia berkuatkuasa dari 8 pagi hingga 5 petang, dari hari Isnin hingga Jumaat. Petak-petak yang dipilih ini adalah petak di kawasan sangat sibuk pada waktu pejabat bagi mengelakkan masalah individu yang memonopoli kawasan parkir tersebut. Ia akan dikenakan bayaran lebih tinggi iaitu RM1.20 sejam dan pengguna hanya boleh meletakkan kereta di kawasan tersebut maksimum hanya 2-jam.

    Sistem parkir 2-Jam akan dilaksanakan oleh MBSA bermula 1 Julai ini; 8 pg-5 ptg, Isnin hingga Jumaat

    Pengguna boleh menggunakan enam aplikasi telefon pintar untuk membuat bayaran petak-petak parkir ini iaitu Smart Selangor Parking, Flexi Parking, GoPayy, Jom Parking, Touch n Go eWallet dan Setel. Pas bulanan tidak sah digunakan untuk petak parkir 2-jam ini.

    Sekiranya anda dikesan memarkir kenderaan lebih dari 2-jam dipetak-petak parkir yang bertanda oren ini, anda akan dikenakan saman. MBSA menegaskan tiada diskaun bayaran saman RM10 sekiranya ia dibayar dalam masa 24 jam seperti parkir biasa, dan tiada rayuan akan dilayan.

    Sistem parkir 2-jam ini bukan hanya dioperasikan oleh MBSA. Ia telah pun dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di enam pusat komersil sejak September 2022 termasuk SS15, Taipan dan Bandar Puteri Puchong. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut memperkenalkan sistem yang sama pada kawasan tertentu.

     
     
  • Pra-tempahan untuk model produksi Mitsubishi XFC sudah dibuka di Indonesia, muncul 10 Ogos ini

    Pra-tempahan untuk model produksi Mitsubishi XFC sudah dibuka di Indonesia, muncul 10 Ogos ini

    Sebelum ini Mitsubishi sudahpun mengesahkan bahawa SUV kompak baharu syarikat berkenaan, iaitu versi produksi dari model konsep XFC bakal didedahkan sepenuhnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 yang akan berlangsung bermula 10 Ogos ini.

    Manakala dalam laporan Autonetmagz baru-baru ini menyebut bahawa pra-tempahan untuk SUV tersebut sebenarnya sudahpun bermula di Indonesia beberapa minggu lalu. Ini bermaksud pendedahan di GIIAS nanti bukan sekadar kemunculan global sulung bagi SUV ini, malah ia juga akan terus rasmi dijual di pasaran Indonesia.

    Ketika mengumumkan tarikh kemunculannya rasminya, Mitsubishi turut telah mendedahkan beberapa imej teaser untuk model baharu ini, dan ia disahkan akan dilengkapi sistem bunyi yang dihasilkan oleh Yamaha. Ini merupakan kerjasama pertama antara Mitsubishi dan juga pengeluar alat muzik serta kelengkapan audio dari Jepun tersebut.

    Setakat ini Mitsubishi belum mengumumkan sebarang spesifikasi teknikal berkenaan SUV serba baharu ini. Namun sebelum ini jenama tersebut ada menyatakan bahawa model ini akan diperkenalkan dalam versi petrol sepenuhnya terlebih dahulu, dan kemudian akan diikuti versi hibrid elektrik selepas itu.

    Unit prototaip versi produksi XFC Concept ini juga sebelum ini sudah dijumpai sedang diuji di atas jalan raya awam di Indonesia. Ia dilihat menerapkan banyak perincian dari XFC Concept, seperti yang dibuat pada model XM Concept dan versi produksi Xpander sebelum ini.

    Pada bahagian muka, versi produksi XFC ini masih menerima gril hadapan berbentuk trapezoid dengan elemen sarang lebah, serta lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk-L. Jalur LED sebelah bawah DRL pada XFC mungkin akan dijadikan lampu utama pada versi produksi ini seperti pada Xpander.

    Rekaan skid plate pada sebelah bawah bampar XFC juga diberikan pada versi produksi, cuma ia bersaiz lebih kecil dan tiada jalur LED disekeliing sepasang liang berbentuk segi enam berkenaan.

    Segala perincian sebelah sisi XFC juga dilihat dijelmakan hampir sepenuhnya pada prototaip produksi sebenar ini. Ia termasuk rekaan ruang roda dibentuk seakan flare, garis badan yang direka membentuk seakan ‘otot-otot’ pada bahagian pintu belakang bersama garis cermin tingkap belakang ternaik ke atas, cermin tingkap suku belakang yang direka tajam, dan juga rekaan tiang-D yang memberikan rupa bumbung seakan terapung.

    Di belakang, lampu kombinasi berbentuk-T yang mencerminkan rekaan pada sebelah muka juga dijelmakan pada versi produksi ini. Rekaan pada cermin belakang dan juga spoiler juga nampak sama, namun lampu brek menegak pada versi konsep diubah menjadi mendatar seperti biasa.

    Walaupun ditutup dengan pelekat penyamaran, bahagian skid plate pada bahagian bawah bampar belakang ini nampak kelihatan hampir sama antara XFC Concept dan unit prototaip produksi ini. Cuma rekaan sepasang lubang berbentuk heksagon tidak lagi kelihatan, dan ia diberikan sepasang reflektor berwarna merah mendatar pada sebelah bawah.

    Ada khabar yang bertiup, model ini merupakan Xpander dalam versi yang dipendekkan, menggunakan banyak komponen mekanikal yang juga diambil dari Xpander – Jadi ada kemungkinan ia akan berkongsi enjin 1.5L MIVEC dan hanya memacu roda hadapan.

    Oleh itu, SUV baharu dari Mitsubishi ini mungkin akan dihasilkan dengan badan yang berada dalam kelas segmen-B. Dan dengan enjin 1.5L tanpa turbo yang ditawarkan, ia mungkin akan berhadapan dengan model seperti Honda WR-V, Hyundai Creta dan juga kembar Toyota Raize/Daihatsu Rocky/Perodua Ativa.

    Mitsubishi juga masih belum mengumumkan nama sebenar untuk versi produksi XFC ini nanti. Namun tidak mustahil ia akan menggunakan kembali nama SUV segmen-B yang popularnya sebelum ini iaitu Mitsubishi ASX. Sebelum ini nama berkenaan telah digunakan semula untuk SUV baharu yang direbadge dari Renault Clio, tetapi ia hanya dijual untuk pasaran Eropah.

    Memandangkan ini merupakan model yang dihasilkan khas untuk pasaran Asia Tenggara seperti Xpander, mungkin ia juga akan di bawa masuk ke pasaran tempatan oleh Mitsubishi Motors Malaysia?

    GALERI: Mitsubishi XFC Concept 2022

     
     
  • Bengkel tawar khidmat modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang dikesan – Polis KL

    Bengkel tawar khidmat modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang dikesan – Polis KL

    Awas bagi pemilik bengkel yang menawarkan perkhidmatan modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang di sekitar ibu negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menjejaki anda!

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bakal melakukan pemeriksaan dan risikan bagi mengenal pasti bengkel yang menawarkan perkhidmatan sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang terbabit.

    “Selain dari elemen kesalahan trafik, pasukan JSJ akan digunakan untuk membuat risikan dan maklumat bertujuan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah. Siasatan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 akan diambil sekiranya gagal untuk memberi keterangan di atas pemilikan kenderaan terlibat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Bengkel tawar khidmat modifikasi kenderaan yang menyalahi undang-undang dikesan – Polis KL

    Tambahnya, pemeriksaan akan dilakukan ke atas bengkel yang melakukan pengubahsuaian kenderaan sehingga menyalahi undang-undang termasuk mengesan kenderaan curi.

    Selama ini, polis memang kerap mengadakan pelbagai operasi khas bagi mengesan kenderaan yang dimodifikasi tanpa mengikut undang-undang yang dibenarkan. Jika ia dikesan di sekatan jalan raya, tindakan tegas juga akan diambil termasuk menyita kenderaan tersebut dan saman trafik akan dikeluarkan terhadap pemiliknya.

    Malahan pihak penguatkuasa juga akan mengarahkan agar kenderaan terbabit diubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik masing-masing. Jadi, adalah lebih adil sekiranya bengkel yang menjalankan modifikasi berkenaan turut diambil tindakan.

     
     
  • BYD lebar sayap ke Penang, JB — bilik pameran di pusat beli-belah Gurney Plaza, Mid Valley Southkey

    BYD lebar sayap ke Penang, JB — bilik pameran di pusat beli-belah Gurney Plaza, Mid Valley Southkey

    BYD kini telah memperluas kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor Bahru melalui pembukaan dua Pusat BYD terbaru. Cawangan di P. Pinang terletak di Gurney Plaza, sementara yang di JB pula di Mid Valley Southkey. Jarang-jarang dilakukan, kedua-dua bilik pameran ini terletak di dalam pusat membeli-belah.

    Dibangunkan oleh Sime Darby Beyond Auto, pusat terbaru ini direka untuk memberikan tahap pengalaman yang lebih tinggi kepada pelanggan. “Sambutan terhadap BYD di Malaysia sangat positif dan mengagumkan, sekaligus mencerminkan penerimaan EV di negara ini. Kami berbesar hati untuk bergerak dan meneruskan momentum berkenaan dengan memperluas kehadiram kami untuk memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat di seluruh negara dengan kenderaan inovatif BYD,” ujar Pengarah Urusan, runcit dan pengedaran Sime Darby Motors — Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan.

    “Pengembangan rangkaian BYD di Malaysia ini adalah cerminan kepada pertumbuhan positif potensi EV di sini, dengan lebih ramai warga di sini menyedari kehadiran jenama BYD dan manfaat EV. Ini juga cerminan kepada keyakinan terhadap jenama BYD dan usahasama kukuh dengan Sime Darby Motors, dan kami ingin mengembangkannya lagi,” ujar Pengarah Urusan, BYD Malaysia dan Indonesia, Eagle Zhao.

    BYD lebar sayap ke Penang, JB — bilik pameran di pusat beli-belah Gurney Plaza, Mid Valley Southkey

    Bilik pameran di pusat beli-belah ini merupakan cawangan 1S, dan pelanggan BYD di utara dan selatan tanah air boleh mendapatkan servis lepas jualan di Jalan Sungai Penang di Pulau Pinang dan Jalan Skudai Kiri di JB. Ini adalah tambahan kepada pusat 3D flagship BYD di Sime Darby Motors City, Ara Damansara, dan bilik pameran utama di TREC KL, Jalan Tun Razak.

    Sime Darby Beyond Auto memaklumkan semua pusat servis lepas jualannya dilengkapi dengan sokongan kelengkapan diagnostik bagi penyelenggaraan terperinci yang diperlukan. Pengurusan bersepadu alat ganti BYD di seluruh negara juga memastikan bekalan alat ganti sentiasa mencukupi bagi kenderaannya, dan semua di dukung oleh juruteknik terlatih yang mahir untuk memastikan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

    BYD memasuki pasaran Malaysia secara rasmi pada Disember 2022 dengan pengenalan Atto 3, yang bermula dari RM150k. BYD SD Motors Malaysia juga telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan model yang lebih kecil dan mampu milik seperti Dolphin, serta sedan elektrik Seal. Kedua-duanya mempunyai senarai spesifikasi yang cukup menarik.

     
     
  • chargEV, Gentari, JomCharge kini boleh saling akses — lebih 600 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia

    chargEV, Gentari, JomCharge kini boleh saling akses — lebih 600 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia

    Pada Mac lalu, Gentari, EV Connection dan Yinson GreenTech umumkan yang mereka telah menandatangani persetujuan untuk membolehkan saling jejak dan saling akses kenderaan elektrik di dalam rangkaian pengecas Gentari, JomCharge dan chargEV menjelang Jun.

    Seperti dijadualkan, saling akses untuk pengecasan bagi ketiga-tiga platform itu kini sudah berlangsung dalam Fasa 1. Ini membolehkan pengguna mana-mana aplikasi Setel, JomCharge dan chargEV untuk menggunakan pengecas di ketiga-tiga rangkaian itu di seluruh negara.

    Selain menjadikan maklumat lokasi dan akses pengecas lebih mudah di semua platform tersebut, bayaran untuk pengecasan juga lebih mudah, dengan hanya satu sistem bayaran yang akan mengendalikan semuanya.

    Kerjasama ini menawarkan kepada pengguna EV akses kepada keseluruhannya lebih daripada 600 pengecas EV di seluruh Malaysia, atau hampir dua per tiga daripada jumlah keseluruhan penegcas EV yang ada di negara ini. Ia merupakan peningkatan daripada jumlah keseluruhan 550 unit yang ada Mac lalu, dengan Gentari mempunyai lebih daripada 150 pengecas, chargEV dengan 300 unit dan JomCharge dengan 100 unit.

    Dalam satu hantara di Facebook, chargEV memaklumkan dalam fasa pertama, pengguna akan dapat mengakses stesen pengecas Gentari dan JomCharge di sekitar KLCC serta XPark Sunway melalui aplikasi chargeEV. Akses ini akan diperluas dari semasa ke semasa sehingga mencapai keseluruhan 600 stesen pengecas di seluruh negara.

     
     
  • Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Kebelakangan ini ada beberapa Subaru Impreza 22B STI terjual dalam laman lelongan, dan boleh dikatakan kesemua unit berkenaan berjaya pada harga melebihi RM1 juta ringgit. Maklumlah, dalam barisan model Subaru Impreza, 22B merupakan model yang mempunyai nilai paling tinggi, bukan hanya kerana ia dibina dalam jumlah terhad, malah turut mengambil kira kebolehan, nilai sejarah dan rupanya yang begitu garang.

    Dan antara kesemua unit 22B tersebut, unit yang bakal dilelong di laman Silverstone Auction ini merupakan yang paling rare – ia adalah unit pra-produksi, dan dimiliki oleh lagenda rali Subaru yang menaikkan sendiri nama Impreza iaitu mendiang Colin McRae!

    Impreza 22B ini hanya dihasilkan sebanyak 424-unit di mana tiga unit merupakan prototaip pra-produksi, 400 unit model untuk pasaran domestik Jepun (kesemuanya habis dijual tidak sampai sejam selepas diumumkan!), 16-unit dibawa ke United Kingdom (diberi nama Type UK, menerima sentuhan Prodrive bagi disesuaikan dengan keadaan pemanduan di negara tersebut) dan lima unit dibawa ke Australia.

    Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Walaupun 22B milik Colin McRae ini berada di UK, ia bukanlah 22B Type UK tetapi merupakan salah satu dari tiga unit pra-produksi, dengan plat nombor produksi #000/400. Memang paling rare antara 22B yang lain!

    Meter perbatuan pada 22B ini mencatatkan perjalanan sejauh hampir 12,000 km. Jadi kereta ini memang pernah dipandu, dan bukan hanya dijadikan bahan pameran. Malah dalam satu temu bual yang dibuat oleh rancangan TV tempatan di UK, McRae menyatakan 22B ini antara kereta kegemarannya dalam banyak koleksi yang beliau ada untuk dipandu di atas jalan raya.

    Dalam temu bual itu juga Colin McRae turut menyatakan bahawa 22B ini bukan diberikan percuma oleh Subaru, sebaliknya beliau membelinya sendiri walaupun bergelar juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) untuk musim 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX. Kereta ini diterima oleh Colin McRae pada bulan November 1998.

    Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Subaru Impreza 22B STI ini diperkenalkan pada tahun 1998, dan ia dihasilkan sempena ulangtahun ke-40 Subaru, serta bagi meraikan gelaran Juara Dunia kategori pengeluar mereka dalam WRC untuk tiga tahun berturut-turut – 1995, 1996 dan 1997. Bagi Colin McRae sendiri, beliau sememangnya memberikan sumbangan yang besar dalam kejayaan tersebut kerana telah memandu untuk Prodrive dan Subaru sejak 1991 ketika baru berumur 23 tahun.

    Model isitimewa ini dihasilkan dengan kit badan lebar bersama bampar dengan rupa yang sama dengan jentera lumba sebenar Subaru Impreza WRCar 1997 (juga dipandu oleh Colin McRae dalam WRC), direka oleh pereka tersohor British yang turut menghasilkan rekaan supercar McLaren F1 iaitu Peter Steven.

    Manakala rekaan spoiler belakang dengan sudut attack yang boleh dilaras pada 22B ini pula dihasilkan dengan kerjasama Fuji Aerospace (salah satu syarikat di bawah Fuji Heavy Industri iaitu pemilik jenama Subaru, kini dikenali sebagai Subaru Corporation), yang turut bertanggungjawab menghasilkan berberapa komponen untuk pesawat seperti Boeing 777 dan Airbus 380.

    Namun anda jangan keliru, jentera WRC sebenar Subaru dihasilkan dari kerangka Impreza coupe dua pintu biasa seperti yang disyaratkan dalam regulasi WRCar yang menggantikan regulasi Group A pada tahun 1997. Manakala Subaru 22B ini pula dihasilkan dari kerangka Subaru Impreza WRX STI version IV Type R (coupe dua pintu, manakala model empat-pintu dikenali sebagai Type RA) dengan inspirasi rekaan dari jentera rali Impreza WRCar berkenaan.

    Selain itu, model istmewa ini turut menerima warna badan yang sama dengan jentera WRC sebenar iaitu Sonic Blue (ada juga yang menggelarnya sebagai Mica Blue), bersama rim BBS Electra 17-inci dalam kemasan emas.

    Pada bahagian dalaman, 22B STI ini masih mengekalkan rupa yang hampir sama dengan WRX STI Version IV Type R. Namun ia diberikan pelbagai perincian istimewa antaranya upholsteri dengan fabrik biru-hitam, paparan instrumen meter STI dengan latar belakang putih, tombol gear dan roda stereng Nardi balutan kulit dengan serlahan benang merah dan juga plat istimewa yang dicetak dengan nombor siri unik.

    Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Subaru Impreza 22B tidak dijana oleh enjin boxer empat silinder EJ20 2.0 liter turbo seperti WRX STI version biasa, sebaliknya ia diberikan enjin EJ22 lebih besar berkapasiti 2.2 liter bersama pengecas turbo IHI RHF 5HB. Atas kertas, enjin tersebut menghasilkan 280 hp dan tork maksima 363 Nm, atau jumlah kuasa kuda yang sama tetapi tork yang sedikit lebih besar dari WRX STI Version biasa.

    Namun sebenarnya itu cuma jumlah kuasa yang dihadkan kerana Subaru perlu mematuhi undang-undang ‘gentlemen agreement’ antara pengeluar-pengeluar di Jepun pada era 90’an dahulu bagi mengelakkan ‘perang kuasa kuda’ yang akan terjadi, seterusnya menyebabkan jentera-jentera berbahaya di jual dalam pasaran. Ada laporan menyatakan, enjin EJ22 tersebut boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 350 hp hanya dengan talaan semula dibuat pada kotak komputer.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear yang turut diambil berasaskan kotak gear WRX STI Version, iaitu kotak gear lima kelajuan nisbah rapat yang boleh digunakan terus dalam perlumbaan rali Group N pada era berkenaan. Kuasa dihantar ke kesemua roda dengan sistem AWD yang dilengkapi tiga LSD (depan, tengah dan belakang), dibantu sistem Driver Controlled Center Differential (DCCD) membolehkan pemandu membuat larasan penghantaran tork gandar belakang dan hadapan dari 50:50 hingga 70:30.

    Subaru Impreza 22B STI milik mendiang Colin McRae kini dilelong – harga dijangka cecah RM3 juta!

    Selain itu, 22B turut menerima perincian prestasi unik lain seperti sistem suspensi dari pembekal suspensi jentera WRCar mereka iaitu Bilstein dan juga sistem klac dua-lapis dengan plat dari bahan seramik.

    Ramai yang berpendapat nama ’22B’ itu hadir dari enjin 2.2 liter dan juga suspensi Bilstein yang dipadankan pada kereta ini. Namun fakta sebenarnya 22B ini adalah kod berasaskan hexadecimal (nombor berasaskan 16 yang digunakan dalam coding program komputer di mana huruf A dan F digunakan untuk nombor 10 hingga 15). Ia boleh boleh dirungkai dengan kiraan seperti berikut:

    2x16x16 = 512
    2×16 = 32
    B = 11

    Setelah semua jawapan dari hexadecimal tersebut diperolehi, sekarang campurkan jumlahnya; 512+32+11, jawapan akhirnya ialah 555. Ya, 555 iaitu jenama rokok yang begitu sinonim dengan Subaru. Syarikat tembakau tersebut telah menaja Prodrive dan Subaru World Rally Team dari era 90’an hingga pasukan tersebut menarik diri dari WRC pada tahun 2008, membuatkan imej Subaru melekat dengan warna biru-kuning yang berasal dari kotak rokok 555 berkenaan.

    Seperti yang disebut tadi, lelongan untuk Subaru Impreza 22B milik Colin McRae ini akan bermula pada 26 Ogos nanti. Dan menurut Silverstone Auction, kereta ini dijangka akan terjual pada harga £400,000 (RM2.4 juta) sehingga £500,000 (RM3 juta)!

     
     
  • Proton, Affin Bank lancar Kad Kredit/-i Afiliasi – 3x mata ganjaran di cawangan Proton, kadar faedah 0%

    Proton, Affin Bank lancar Kad Kredit/-i Afiliasi – 3x mata ganjaran di cawangan Proton, kadar faedah 0%

    Proton dan Affin Bank telah melancarkan kad kredit sekutu yang disasarkan untuk pemilik Proton. Dipanggil sebagai Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton, ia memberikan manfaat tambahan kepada pelanggan Proton yang menggunakannya untuk membuat bayaran di cawangan Proton.

    Antara keistimewaan yang boleh dinikmati oleh pengguna kad ini adalah pengecualian yuran tahun seumur hidup serta tiga kali mata ganjaran Affin untuk menjamu selera, pembelian dalam talian/e-dagang dan transaksi di cawangan Proton. Bagi transaksi runcit lain, hanya satu mata ganjaran Affin yang diberi.

    Selain daripada itu, kad ini juga menawarkan permohonan overdraf atau tunai tanpa kerumitan, pelan ansuran mudah 0% sehingga 24 bulan serta kadar faedah atau keuntungan 0% untuk pembelian di cawangan Proton, termasuk servis.

    “Kad Kredit/-i Afiliasi Affin Avance Proton dicipta khusus untuk pelanggan Proton. Dengan menawarkan pelbagai faedah dan keistimewaan, kami percaya kad ahli gabungan ini akan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan sambil memberi ganjaran kepada mereka apabila mereka servis kereta mereka atau membeli produk kami,” kata timbalan ketuga pegawai eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

    “Affin Bank berbangga menjadi rakan kongsi dengan Proton, syarikat automotif Malaysia, pada tahun ia meraikan ulang tahunnya yang ke-40. Kami percaya kerjasama ini menunjukkan semangat inovasi yang wujud dalam kedua-dua Affin Bank dan Proton sambil membantu memberi ganjaran dan mengembangkan asas pelanggan untuk kedua-dua jenama,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah.

     
     
  • JPJ laksana Ops Khas Hari Raya Aidiladha pada 27-28 Jun dan 1-2 Julai – 9 kesalahan utama jadi tumpuan

    JPJ laksana Ops Khas Hari Raya Aidiladha pada 27-28 Jun dan 1-2 Julai – 9 kesalahan utama jadi tumpuan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2023 mulai 27 hingga 28 Jun dan 1 hingga 2 Julai 2023 sempena perayaan Hari Raya Aidiladha 2023.

    Operasi khas ini dijalankan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang ingkar undang-undang trafik. Ia akan memfokuskan sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, gagal patuh lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu kenderaan berat di lorong laju.

    Selain itu, ia turut melibatkan memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak pakai topi atau tali pinggang keledar, lebih muatan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

    Perkara ini telah diumumkan sendiri oleh JPJ semasa pelancaran kempen keselamatan jalan raya serta operasi khas berkenaan yang diadakan di Plaza Tol Gombak semalam. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Haji Hasbi Habibollah diiringi Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Rospiagos Taha.

    Menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya HRAA pada kali ini pula, ia memfokuskan kepada kepentingan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak atau Child Restrain System (CRS) . Di mana kerusi tersebut dapat membantu kanak-kanak dengan cara mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.

     
     
  • ANIH keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    ANIH keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Khamis ini, 29 Jun 2023, ANIH Berhad menjangkakan lebih satu juta kenderaan dari Lembah Klang bakal keluar menerusi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula hari ini, 27 Jun, untuk pulang ke kampung masing-masing.

    Menurut CEO ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah, pihaknya menjangkakan peningkatan peningkatan trafik sehingga 70% membabitkan KLK. Manakala lebih kurang 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran peningkatan sebanyak 60%.

    “ANIH telah mengeluarkan cadangan jadual perjalanan (TTA) untuk tempoh bermula 27-28 Jun ini dan 1-2 Julai 2023. TTA ini bertujuan memberi maklumat penting kepada pengguna lebuhraya ini mengenai corak aliran trafik serta membantu mereka merancang perjalanan semasa musim perayaan Aidiladha,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan,

    ANIH keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    Bagi pengguna yang datang dari arah Selangor dan Kuala Lumpur yang menuju ke Pahang, anda disarankan melalui kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 12 tengahari atau 9 malam. Bagi yang menuju ke Terengganu dan Kelantan pula, disarankan memulakan perjalanan selepas jam 6 pagi atau 7 malam. Cadangan waktu berkenaan untuk mereka yang bakal memulakan perjalanan pada 28 Jun.

    Manakala untuk mereka yang bakal menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tempoh 1 higga 2 Julai pula, jika bergerak dari Pahang, anda disarankan memulakan perjalanan sebelum 6 pagi atau 7 malam. Untuk yang dari Terengganu pula, disarankan untuk memulakan perjalanan sebelum 10 pagi atau 8 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan menggunakan kedua-dua lebuhraya berkenaan selepas jam 5 petang.

    Bagi bas ekspres pula, waktu perjalanan yang dicadangkan untuk ke Pantai Timur dari Tol Gombak adalah 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahmalam.

    ANIH keluarkan Jadual Cadangan Perjalanan untuk LPT1 dan Lebuhraya KLK sempena cuti Aidiladha

    Menurut Imran lagi, ANIH juga akan membuka laluan kontra di lokasi tumpuan yang mengalami kesesakan dan lorong tol tambahan bagi transaksi bayaran secara manual. Selain itu, pihaknya juga akan menambah bilangan kakitangan sokongannya sehingga 20%, yang terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC). Selain menempatkan 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik.

    “Sebelum memulakan perjalanan, pengguna lebuhraya ini dinasihati memastikan baki yang mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol yang boleh menyebabkan kelewatan perjalanan.

    “Selain itu, sila patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada pegawai lebuhraya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan yang terjamin,”katanya.

     
     
  • JPJ eBid: JWJ dan CEU bakal dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Johor, JWJ, bakal dibuka bidaan mulai 29 Jun lalu dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 3 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 4 Julai 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Pahang pula, CEU, bidaannya akan dibuka pada 6 Julai. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 10 Julai. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 11 Julai 2023 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Toyota Hilux bakal terima sistem hibrid 48V pada 2024 – jimat bahan api 10% guna enjin 2.8L turbodiesel

    Toyota Hilux bakal terima sistem hibrid 48V pada 2024 – jimat bahan api 10% guna enjin 2.8L turbodiesel

    Trak pikap Toyota Hilux diumumkan bakal menerima sistem hibrid ringkas 48V (MHEV) bagi model 2024. Perkara ini diumumkan secara rasmi oleh Toyota Australia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Teknologi tersebut akan dipadankan dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang sama pada Hilux sedia ada. Buat masa sekarang enjin berkenaan sudahpun mampu menjana 204 PS dan tork maksima 500, dan dengan penambahan sistem hibrid ringkas yang menampilkan bantuan kuasa menerusi unit motor elektrik jenis stater-generator tersebut mungkin akan memberikan sedikit kuasa tambahan.

    Namun apa yang pasti Toyota telah mengesahkan pemadanan sistem hibrid ringkas 48V ini akan memberikan penjimatan bahan api sehingga 10%. Ia juga akan diberikan sistem kelajuan pepura pintar yang akan mematikan/menghidupkan enjin secara automatik, didakwa akan memberikan pemanduan dan juga tahap NVH yang lebih baik.

    Toyota turut mengesahkan bahawa walaupun Hilux bakal menerima sistem elektrik dan elektronik lebih kompleks ini, ia tidak akan menjejaskan kebolehannya dalam pemanduan atas jalan atau meredah laluan off-road. Malah Toyota turut memberikan jaminan bahawa kapasiti menunda sehingga 3,500 kg pada Hilux MHEV tersebut juga akan kekal.

    Menurut naib presiden jualan, pemasaran dan operasi franchise Toyota Australia Sean Hanley, pengenalan teknologi hibrid 48V pada Hilux ini menunjukkan komitmen Toyota bagi mengurang penggunaan bahan api kenderaan-kenderaan keluarannya tanpa mengorbankan prestasi dan kebolehan yang dimahukan oleh pelanggan.

    Untuk pasaran Australia, sistem hibrid ringkas ini kelak akan dibekalkan secara standard pada model Hilux 4×4 SR5 dan Rogue Double Cab (dengan badan yang lebih lebar dan suspensi dipertingkat) pada separa pertama 2024.

    Belum ada pengumuman rasmi lagi dari Toyota sama ada sistem yang sama turut akan ditawarkan pada pasaran lain. Namun adakah anda rasa sistem yang sama perlu ditawarkan di Malaysia? Kongsikan pandangan anda dalam ruang komen di bawah atau pada hantaran media-media sosial kami.

    GALERI: Toyota Hilux Rouge Double Cab pasaran Australia

     
     
  • Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan off-road sebenar!

    Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan <em>off-road</em> sebenar!

    Dulu ada pepatah berbahasa inggeris dalam dunia automotif yang menyebut “Win on Sunday, sell on Monday”. Pepatah ini popular sejak era 60’an hingga penghujung 90’an di mana pengeluar gemar menjadikan perlumbaan sebagai medan pengiklanan untuk menjual kereta – jika kereta berkenaan menang perlumbaan pada hari Ahad, ia akan mudah terjual pada hari Isnin berikutnya.

    Walau bagaimanapun, konsep pemasaran seperti ini semakin dilupakan kerana kereta-kereta lumba generasi baharu menampilkan spesifikasi yang tidak sama dengan model yang dijual di bilik pameran. Situasi ini berbeza berbanding era FIA mensyaratkan pengeluar menghasilkan model produksi homologasi istimewa untuk dijual dalam pasaran, menggunakan asas enjin dan kerangka yang sama seperti kereta lumba sebenar.

    Namun bagi Mitsubishi, selepas sayap prestasi dan perlumbaannya iaitu Ralliart dihidupkan semula pada 2021 dan mula berlumba semula pada tahun lalu, konsep “Win on Sunday, sell on Monday” kini telah relevan semula – dan ia perlu bagi menyemarakkan kembali semangat peminat jenama tiga berlian berkenaan yang terkenal dengan DNA perlumbaan dalam disiplin rali.

    Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan <em>off-road</em> sebenar!

    Oleh itu, hujung minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun mengadakan acara The Champion Xperience, iaitu acara yang membuka peluang kepada orang ramai bagi merasai kemampuan juara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2022, trak pikap Mitsubishi Triton di habitat semula jadinya iaitu laluan off-road!

    Acara ini dilangsungkan di Tanamera, Shah Alam pada hujung minggu lalu iaitu bermula 24 hingga 25 Jun 2023. Dua highlight utama yang disediakan untuk pengunjung acara ini iaitu pandu uji sendiri Triton Athelete di laluan off-road yang disediakan, dan kedua peluang merasai sendiri duduk di tempat duduk penumpang hadapan Triton Athelete yang dipandu oleh pemandu rali profesional sebenar di atas laluan Super Stage (SS) rali sebenar.

    Penulis berkesempatan menghadiri The Champion Experience ini dan menyertai dua aktiviti utama ini. Bagi pandu uji penganjur telah menyediakan litar off-road pada laluan yang sempit, menurun dan mendaki bukit pada sudut yang curam, dan juga beberapa selekoh yang sangat tajam.

    Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan <em>off-road</em> sebenar!

    Memandu dalam laluan ini benar-benar menyerlahkan kebolehan Triton yang tidak akan anda rasa ketika memandunya di atas jalan raya. Pertama sekali anda dapat rasakan betapa senyapnya kabin Triton dan suspensi yang dipadankan dapat menyerap hentakan dengan baik ketika dipandu pada permukaan yang lasak dan tidak rata.

    Anda juga berpeluang menggunakan sistem bantuan menurun cerun yang dipadankan pada Triton Athlete ini, membolehkan anda menurun bukit yang curam pada laluan yang tidak ditar dengan selamat walaupun tidak mempunyai pengalaman untuk melalui laluan sedemikian.

    Manakala pada laluan mendaki, anda dapat merasakan kelebihan enjin 2.4 liter empat silinder DOHC MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS/430 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II.

    Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan <em>off-road</em> sebenar!

    Anda boleh rasakan betapa mudahnya Triton Athlete ini mendaki bukit curam di atas permukaan tanah merah dengan hanya menggunakan mod 4H pada sistem 4WD, tanpa perlu menggunakan gear 4L. Malah tayar yang digunakan juga masih lagi tayar A/T yang sesuai digunakan setiap hari dan bukan menggunakan tayar M/T yang lebih fokus pada permukaan laluan off-road.

    Malah dengan radius pusingan minima 5.9 meter pada Triton Athlete ini membolehkan anda mengambil selekoh yang bukan sahaja tajam, malah sempit yang disediakan dalam laluan off-road yang disediakan.

    Selesai dengan aktiviti pandu uji ini, peserta akan dihantar pula ke SS rali yang disediakan. Untuk pengetahuan anda, Tanamera sememangnya antara venue yang dituju oleh pasukan-pasukan rali tempatan untuk membuat persediaan, talaan dan latihan seperti sesi shakedown dan sebagainya.

    Mitsubishi The Champion Xperience – buka peluang rasai Triton di SS Rali dan laluan <em>off-road</em> sebenar!

    Jadi SS di Tanamera ini menyajikan SS klasik untuk rali di Malaysia iaitu laluan permukaan batu kerikil berwarna merah serta ‘dihiasi’ pokok-pokok kelapa sawit di sepanjang laluan.

    Dua orang pemandu rali disediakan penganjur untuk memberikan pengalaman yang mungkin tidak akan dilupakan untuk peserta – Juara Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2017 dan 2018 Roduwan Rashid, serta pelumba muda yang baru berumur 21 tahun Ibrahim Saladin iaitu anak kepada pemandu rali lagenda negara, Saladin Mazlan.

    SS yang disediakan tidaklah panjang, tetapi cukup padat untuk peserta merasa pelbagai aksi rali sebenar termasuk merasai kelajuan yang tidak masuk akal pada laluan sempit, scandinavian flick dan hand brake turn pada selekoh hairpin, dan juga merasa beberapa lompatan.

    Untuk pengetahuan anda, Mitsubishi Triton dalam spesifikasi FIA Group T1 yang menang dalam AXCR tahun lalu adalah hampir sama dengan Triton Athlete yang dijual dalam pasaran ini. Jentera rali berkenaan masih menggunakan enjin standard yang sama tanpa sebarang peningkatan kuasa, cuma diberikan kelengkapan keselamatan seperti roll cage dan sebagainya serta suspensi yang lebih sesuai untuk rali rentas negara.

    Saya sendiri pernah merasai ‘taxi ride‘ di dalam jentera rali Triton T1 berkenaan di Kanchanaburi, Thailand ketika sesi shakedown pasukan tersebut tahun lalu. Dan secara jujur, pengalaman duduk di tempat duduk penumpang hadapan antara Triton T1 berkenaan dan juga Triton Athlete produksi di atas laluan SS rali memang tidak banyak beza.

    Trak pikap tersebut mempamerkan kelincahan dan dinamik pemanduan yang begitu baik walaupun pada permukaan batu kerikil yang tidak mempunyai cengkaman yang kuat seperti di atas tar. Jadi menerusi pengalaman ini, Mitsubishi seolah-olah mahu memberitahu bahawa Triton standard ini sememang cukup bagus untuk perlumbaan rali, dan ia adalah antara faktor untuk mereka memenangi AXCR tahun lalu.

    Selain dari dua pengalaman ini, Mitsubishi turut membawa peserta untuk kembali mengenang kejayaan mereka dalam dua rali terulung di dunia iaitu Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan juga Rali Dakar. Di luar khemah utama, dua buah jentera dipamerkan untuk tatapan orang ramai iaitu sebuah Mitsubishi Lancer Evolution VI Tommi Makkinen Edition (turut dikenali sebagai Evo 6.5) dan juga sebuah Mitsubishi Pajero Jr. yang disolek seolah-olah bersedia untuk Rali Dakar.

    Sementara dalam khemah berpendingin hawa pula disediakan papan maklumat yang memberikan informasi sejarah dan kejayaan Mitsubishi Ralliart dalam WRC serta Rali Dakar. Beberapa kenderaan juga dipamerkan di dalam khemah tersebut antaranya replika Triton T1 Juara AXCR 2022 dan Mitsubishi Xpander yang diubahsuai seperti jentera rali Xpander AP4.

    Pelbagai permainan dan aktiviti untuk seisi keluarga juga disediakan dalam khemah tersebut, bersama ruang bersantai untuk pengunjung menikmati juadah yang disediakan. Malah untuk peserta yang menyertai pandu uji turut diberikan hadiah berupa kemeja-T eksklusif Champion Xperience dan juga pin isian semula Touch ‘n Go eWallet bernilai RM20.

    Manakala peserta-peserta pandu uji yang bertuah telah memenangi bag North Face Explore Bardu II menerusi cabutan bertuah yang akan dijalankan.

    Acara ini menerima sambutan yang menggalakkan di mana slot-slot yang dibuka untuk orang ramai menyertainya penuh untuk dua hari, malah ada juga yang mencuba nasib datang secara walk-in untuk menyertainya. Mungkin dengan sambutan yang begitu baik dari orang ramai akan mendorong Mitsubishi Motors Malaysia untuk melangsungkan acara yang sama sekali lagi nanti?

     
     
  • Syarikat konsesi lebuhraya diminta sediakan kemudahan untuk motosikal berkuasa tinggi – LLM

    Syarikat konsesi lebuhraya diminta sediakan kemudahan untuk motosikal berkuasa tinggi – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meminta syarikat konsesi lebuhraya agar menyediakan dan menaiktaraf kemudahan bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada golongan berkenaan. Pada masa ini terdapat beberapa laluan motosikal dilihat tidak selamat digunakan penunggang motosikal berkuasa tinggi, menurut Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

    “Contohnya, ada lorong motosikal di Pulau Pinang dan Ipoh yang laluan masuknya dilihat tidak sesuai untuk digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan kemungkinan berlaku kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal yang mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Selain itu, katanya, syarikat konsesi perlu mengenal pasti lokasi hot spot bagi laluan motosikal yang perlu ditambah baik terutama membabitkan motosikal berkuasa tinggi. Bukan itu sahaja, pihaknya juga mahu semua laluan lebuhraya diteliti daripada aspek tahap kebersihan, pencahayaan dan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) dalam usaha menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

    Syarikat konsesi lebuhraya diminta sediakan kemudahan untuk motosikal berkuasa tinggi – LLM

    “Kebanyakan kemalangan yang dilaporkan berlaku ketika cuaca buruk selepas penunggang motosikal mengambil keputusan untuk berhenti di bawah jejambat dan berteduh daripada terkena hujan. Insiden terbaharu yang dilaporkan mengorbankan tiga nyawa penunggang motosikal yang dirempuh kenderaan lain ketika berteduh daripada hujan di jejambat pada 4 Jun lalu,” katanya.

    Beliau turut berkata, setakat ini, sebanyak 200 kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di lebuh raya direkodkan, manakala sebanyak 1,906 kes cedera parah dan 1,064 kes cedera ringan.

    Sebenarnya ini bukanlah permintaan baharu daripada pihak berwajib mengenai kemudahan untuk penunggang motosikal. Pada tahun 2017, Jabatan Kerja Raya (JKR) meminta syarikat konsesi membina lorong khas motosikal, selain daripada membina tempat penunggang berteduh memandangkan perangkaan kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal. Syarikat konsesi juga perlu menyediakan dua garis panduan untuk motosikal termasuk reka bentuk kemudahan motosikal dan reka bentuk geometri laluan motosikal.

    Pada tahun 2018, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula menggesa agar pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya perlu mengkaji semula rekabentuk serta lokasi kemudahan berteduh untuk penunggang dan pembonceng motosikal bagi menjamin keselamatan mereka.

    Pada 14 Jun 2023 pula, seorang penunggang Ducati Panigale maut akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar penghadang sebelah kiri jalan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang. Ia berpunca selepas penunggang Ducati berkenaan mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, menyebabnya mangsa terhumban dan jatuh ke bawah jejambat lebuhraya berkenaan pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan.

    Ekoran kejadian berkenaan, ramai netizen berpendapat bahawa syarikat konsesi perlu meningkatkan aspek keselamatan di lebuhraya khususnya bagi penunggang motosikal. Malah ada yang berkata, laluan bertingkat di lebuhraya agak berbahaya untuk penunggang motosikal. Walau bagaimana pun, CEO Kumpulan Prolintas selaku pengendali SUKE, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata reka bentuk lebuhraya berkenaan sudah memenuhi piawaian dan kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025