Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Peugeot Landtrek tiba di Malaysia – satu varian 1.9D Allure enjin diesel 150 hp 350 Nm, harga RM120,072

    Peugeot Landtrek tiba di Malaysia – satu varian 1.9D Allure enjin diesel 150 hp 350 Nm, harga RM120,072

    Selepas tiba untuk pra tonton Januari lalu, Peugeot Landtrek kini dilancarkan secara rasmi oleh Bermaz Auto untuk pasaran Malaysia, dan ditawarkan dalam satu varian 1.9D Allure, pada harga RM120,072 atas jalan tidak termasuk insurans.

    Trak pikap ini sebenarnya berkongsi asas dengan model Changan Kaicene F70 dari China, dan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dalam versi double-cab yang digerakkan oleh enjin empat silinder diesel turbo 1.9 liter bersama transmisi automatik enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 150 hp (152 PS) pada 4,000 rpm dan tork 350 Nm antara 1,800 rpm ke 2,800 rpm.

    Sistem pacuan Landtrek boleh dipilih melalui tombol yang berada di konsol tengah, menawarkan 2WD High, 4WD High dan 4WD Low. Gandar belakang menggunakan differential jenis kunci secara mekanikal. Antara kemampuan offroad Landtrek adalah seperti meredah air sehingga kedalaman 600 mm, sudut approach, breakover dan departure masing-masing 29, 25 dan 27 darjah, sudut side slope 42 darjah dan jarak dari tanah 235 mm.

    Peugeot Landtrek tiba di Malaysia – satu varian 1.9D Allure enjin diesel 150 hp 350 Nm, harga RM120,072

    Sistem brek terdiri daripada jenis cakera di hadapan dan dram di belakang, sementara suspensi menggunakan tetapan double-wishbone di hadapan dan spring dedaun di belakang. Dalam keadaan standard rim datang dalam unit 18 inci, dibalut tayar 265/50, bersama tayar simpanan bersaiz sama.

    Landtrek datang dengan lampu utama LED automatik dan lampu DRL LED, sementara lampu kabus, lampu belakang dan lampu kabus adalah menggunakan mentol biasa. Pengelap cermin automatik diberikan secara standard, bersama cermin sisi boleh lipat dan mempunyai lampu penunjuk arah, sistem masuk tanpa kunci, rel bumbung dan pemijak tepi.

    Masuk ke dalam, Landtrek cuma datang dalam satu versi balutan tempat duduk, menggunakan leatherette, dengan tempat duduk itu sendiri boleh dilaras secara elektrik enam arah untuk bahagian hadapan, sementara tempat duduk belakang boleh dilipat 40:60. Stereng dibalut kulit dan mempunyai butang kawalan, manakala stereng boleh dilaras ke atas dan bawah, serta ke hadapan dan belakang.

    Peugeot Landtrek tiba di Malaysia – satu varian 1.9D Allure enjin diesel 150 hp 350 Nm, harga RM120,072

    Panel instrumen trak pikap ini terdiri daripada skrin 4.2 inci, sementara di bahagian tengah terdapat skrin sesentuh 10 inci untuk infotainmen, lengkap dengan kawalan suara serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Ada tiga soket USB di dalam Landtrek dan pandangan kamera undur juga boleh dipaparkan pada skrin itu.

    Sistem keselamatan yang terdapat pada Landtrek ini terdiri daripada Land Departure Warning, Hill Descent Control, Hill Start Assist, ABS, EBD, Stability Control dan Anti-Skit Regulation. Untuk sistem pasif pula terdapat beg udara hadapan, sisi dan bidai, serta cagak Isofix.

    Dengan harga yang dinyatakan, Peugeot Landtrek datang bersama jaminan lima tahun atau 100,000 km, dan disediakan dalam pilihan warna Ceramic White, Silver Grey, Magnetic Blue, Red Rubi, Rockstone Grey, dan warna eksklusif untuk Landtrek, Olea Green.

     
     
  • Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Sayap perlumbaan dan juga prestasi sesuatu jenama automotif seperti Mitsubishi Ralliart, Toyota Gazoo Racing dan Nissan Motorsport International (NISMO) bukan sahaja berfungsi sebagai platform penyelidikan dan pembangunan (R&D) semata-mata. Falsafah dan keghairahan badan-badan penala rasmi ini juga biasanya akan menjadi alat pemasaran yang baik dengan mewujudkan sekumpulan peminat/fanboy yang fanatik terhadap jenama berkenaan persis peminat-peminat pasukan bola sepak atau artis-artis Kpop.

    Formula yang sama dilihat berkesan untuk pasukan lumba dan divisi prestasi tinggi Proton iaitu Race Rally Research (R3). Ia ditubuhkan pada 2003, dan kemudian berjaya menjuarai pelbagai perlumbaan bukan sahaja di peringkat tempatan, malah turut menempa nama di peringkat antarabangsa.

    Sebagai balasan kepada peminat yang memberikan sokongan, satu ketika dahulu R3 bukan hanya menjual cenderamata, malah ia turut hadir dengan katalog peralatan prestasi untuk kereta-kereta Proton, serta menghasilkan pelbagai model-model talaan penuh yang boleh dibeli di bilik pameran.

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Pada 2005, pasukan Proton R3 telah berjaya menjadi juara keseluruhan perlumbaan ketahanan terulung di Malaysia ketika itu iaitu Merdeka Millennium Endurance (MME). Perlumbaan yang diadakan setiap tahun berkenaan (kini dikenali sebagai Sepang 12 Hours) memerlukan kereta yang bertanding berlumba mengelilingi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama 12 jam.

    Jentera pilihan pasukan R3 untuk berhadapan dengan jentera perlumbaan seperti Porsche 996, Nissan Skyline GT-R R34, Mitsubishi Lancer Evo dan sebagainya adalah Lotus Exige 300RR – jangan lupa, ketika ini Lotus merupakan hak milik penuh Proton dan pembangunan kereta-kereta jalan raya Proton dijalankan bersama Lotus.

    Lotus Exige 300RR pasukan R3 berkenaan dipandu oleh Tengku Djan Ley, bersama Tony Ricciardello dan Genji Hashimoto, berjaya menamatkan perlumbaan selama setengah hari berkenaan dengan 279 lap. Pasukan R3 bukan sahaja menjadi juara untuk kelas O, malah dinobatkan sebagai juara keseluruhan MME 2005.

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Bagi meraikan kejayaan tersebut, Proton telah melancarkan dua buah model edisi terhad iaitu Proton Waja MME Edition dan juga Gen2 MME Edition, dilancarkan pada Ogos 2006. Kedua-duanya dihasilkan hanya 200-unit setiap model, dan penuh dengan kit pengayaan serta peralatan prestasi dari R3 dan hanya ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Namun pelancaran dua model berkenaan membuatkan seorang peminat Proton R3, Cikgu Amin Yahaya dari Pulau Pinang kecewa – ini kerana dua bulan sebelum Waja MME diperkenalkan, dia baru sahaja membeli sebuah Proton Waja 1.6 Campro baharu! Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat Cikgu Amin untuk menjadikan Waja miliknya sama seperti Waja MME.

    Cikgu Amin bukan sekadar peminat biasa-biasa, dia boleh dikategorikan sebagai peminat fanatik Proton dan R3 – selain dari Waja berkenaan yang masih disimpan, Cikgu Amin terus setia dengan Proton dan sehingga kini memiliki model-model baharu Proton.

    Dia mempunyai hubungan akrab dengan ahli pasukan R3, khususnya Daryl Lam bagi mendapatkan aksesori-aksesori asli R3 yang sama seperti apa yang ada Waja MME. Sedikit demi sedikit, barangan-barangan tersebut dikumpul, dibeli terus dari ibu pejabat R3 di Shah Alam dengan bantuan Daryl.

    Namun belum sempat Waja berkenaan disiapkan sebagai sebuah Waja R3 MME sebenar, Daryl Lam meninggal dunia pada 2019, ketika itu dia masih bertugas sebagai pengurus pasukan lumba Proton R3 yang masih berjuang di perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K).

    Selepas keluar artikel kami memaparkan Proton Satria GTi hasil restorasi pertama Dream Street Restoration (DSR) kira-kira tiga tahun lalu, Cikgu Amin tahu di mana dia perlu menyudahkan Waja miliknya itu. Ini kerana pengasas bersama DSR iaitu Suriya Sankaran bukan sahaja salah seorang bekas ahli pasukan R3 yang pernah bertugas sebagai ketua projek Proton Satria Neo R3 Lotus Racing, malah merupakan salah seorang sahabat baik kepada Daryl Lam.

    Waja ini diserahkan kepada DSR tahun lalu, dan projek ini didekasikan sepenuhya untuk mendiang Daryl Lam. Menurut Suriya, ketika Cikgu Amin menyerahkan Waja ini kepadanya, ia masih dalam keadaan yang sangat baik dan terjaga, serta sudah pun dilengkapkan dengan beberapa aksesori asli R3 seperti kit badan dan juga set rim. Namun untuk proses restorasi dan mengubah Waja ini untuk tampil seperti Waja MME sebenar, kesemua aksesori yang digunakan adalah baharu dalam kotak siap termasuk satu lagi set kit badan dan juga rim!

    Tidak seperti projek-projek DSR sebelum ini, enjin Waja Cikgu Amin ini tidak dilakukan proses rombak rawat mahupun blueprinting. Ini kerana walaupun meter perbatuan sudah melebihi 350,000 km, enjin berkenaan masih dalam keadaan yang sangat baik.

    Menurut Suriya, ketika rocker cover enjin Campro berkenaan dibuka untuk menukar gasket, mekanisma dalam kepala silinder tersebut seperti aci sesondol, rocker arm dan sebagainya masih dalam keadaan yang sangat bersih dan seperti baharu. Oleh itu selain dari gasket untuk rocker cover, DSR hanya menukar timing belt enjin tersebut.

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Kami sendiri menyaksikan enjin Campro Waja Cikgu Amin ini beroperasi tanpa sebarang gegaran, masih senyap dan tiada langsung bunyi ‘berdetar’ seperti lazimnya enjin-enjin Campro lain dengan bacaan odometer yang tinggi. Rahsianya? Enjin berkenaan dijaga dengan penuh kasih sayang di mana ia diservis dengan sela masa hanya sekitar 2,000 hingga 3,000 km!

    Kemudian komponen-komponen R3 yang dibekalkan oleh Cikgu Amin dipasang pada ruang enjin Waja ini. Ia termasuk strut bar aluminum, cam valley cover dan penutup minyak enjin aluminium, ‘stokin’ dan juga penutup aluminium untuk reservoir minyak brek.

    Enjin Campro berkenaan menggunakan extractor ekzos dari Powerzone, dan digandingkan dengan sistem ekzos R3 yang turut menampilkan muffler bersama tip berbentuk oval dan diukir dengan logo R3. Ketika Waja MME dilancarkan dahulu, R3 mendakwa sistem ekzos berkenaan mampu memberikan kuasa tambahan sebanyak 8 hp.

    Bagi model Waja MME sebenar juga perubahan pada sebelah dalam adalah sangat sedikit berbanding Waja biasa – ia hanya diberikan tombol gear aluminium R3. Namun untuk Waja Cikgu Amin ini, DSR membuat rombakan penuh yang memberikan rupa lebih unik dan tersendiri serta lebih banyak perincian R3.

    Pertama sekali, semua komponen-komponen dalam kabin telah dicabut keluar. Papan pemuka yang sudah berusia lebih 15 tahun berkenaan diperkuatkan dan direstorasi semula agar nampak seperti baharu. Panel-panel penutup tiang dibalut semula dengan fabrik berwarna hitam, bersama pelapik bumbung dan pelindung matahari yang turut dibalut semula dengan fabrik berwarna hitam.

    Ia masih menggunakan tempat duduk asal Waja, tetapi ia telah dibalut semula dengan fabrik yang sama pada tempat duduk keluaran Recaro, dengan fabrik merah yang sama seperti Recaro Tomcat serta diberikan sulaman ‘MME Edition’ pada perehat kepala. Fabrik berkenaan turut membaluti sebahagian dari panel pintu.

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    DSR turut memberikan sentuhan semula pada panel meter. Rekaan grafik pada meter berkenaan diubah dengan nombor yang nampak lebih besar, latar belakang dan juga lampu kini berwarna biru, logo DSR diletak pada takometer, dan logo ‘MME Edition’ ditambah pada meter kelajuan.

    Waja MME sebenar juga masih menggunakan roda stereng asal dengan beg udara dan butang kawalan radio, manakala Waja MME Cikgu Amin ini nampak lebih hardcore dengan menerima roda stereng Momo Tuner (seperti Satria R3) yang dipasang menggunakan bosskit asli R3.

    Selain dari itu, Waja MME Cikgu Amin ini juga menampilkan tombol gear asli R3 (ia dari versi automatik dengan kotak gear 4AT berbanding Waja MME asli yang datang hanya dengan kotak gear manual), set pedal aluminium asli R3, set tali pinggang berwarna merah serta set karpet kaki DSR yang nampak sama seperti karpet kaki R3.

    Ketika dilancarkan, kesemua 200 unit Waja MME hanya dihasilkan dengan warna badan Deep Burgundy, iaitu warna perang gelap kemerah-merahan yang nampak seperti hitam. Untuk Waja MME Cikgu Amin ini pula DSR memberikan warna badan istimewa ungu gelap yang nampak seperti hitam.

    Kalau anda perasan, Waja MME sebenar diberikan pelekat ‘laurel wreath’ bernombor 15 dengan satu bintang di atasnya pada kedua-dua fender hadapan, sempena Lotus Exige 300RR pasukan R3 yang berlumba dengan nombor 15. Namun tak sampai sebulan Waja MME ini dilancarkan, pasukan R3 sebenarnya sekali lagi bergelar juara MME untuk edisi 2006, dengan Exige 300RR yang sama, kali ini menggunakan nombor 12, dipandu oleh Tengku Djan Ley, Faidzil Alang dan Damien French.

    Oleh itu, DSR memberikan ‘laurel wreath’ bernombor 12 dengan dua bintang di atasnya pada Waja MME Cikgu Amin ini sempena kemenangan dua tahun berturut-turut pasukan R3 dalam Merdeka Millenium Endurance. Dan apa yang istimewa, ‘laurel wreath’ berkenaan bukan dibuat menggunakan pelekat, sebaliknya diabadikan terus pada badan Waja berkenaan dengan airbrush.

    Bukan itu sahaja, logo DSR dan juga MME Edition pada penutup bonet belakang juga dihasilkan menggunakan airbrush. Malah jika anda perhatikan dengan teliti, turut terdapat grafik holografik MME pada bahagian bawah sisi Waja ini yang juga dibuat menggunakan airbrush.

    Seperti yang disebut tadi, Waja turut dipadankan dengan kit badan baharu yang masih tersimpan di dalam kotak, iaitu kit badan “Zerokit” R3 yang sama seperti Waja MME sebenar. Kit tersebut menampilkan bampar hadapan yang direka bersama gril berbentuk ‘Wau’, spoiler bawah serta liang yang seakan mengalirkan udara dari hadapan ke ruang roda, skirt sisi, lips bampar belakang dan juga lid spoiler pada but belakang.

    Lampu hadapan Dark Titanium HID R3 Waja yang sama seperti Waja MME asli turut dipadankan, dan sebagai tambahan Waja MME Cikgu Amin ini juga diberikan logo R3 pada gril hadapan. Waja ini dilengkapkan dengan beberapa lagi perincian yang sama seperti Waja MME sebenar iaitu set rim 16-inci dengan lebar 6.5 j JRD ‘Comel’ rekaan R3, cakera brek hadapan yang ditebuk bersama pad brek Mintex R3, serta badan yang direndahkan sekitar 25 mm berbanding Waja standard menggunakan set spring asli R3.

    Proton Waja Merdeka Millennium Endurance Edition oleh DSR – dedikasi fanatik R3 untuk Daryl Lam

    Cikgu Amin adalah salah satu contoh bagaimana sesebuah badan penala itu menjadi organisasi penting dalam jenama automotif bagi mewujudkan kesetiaan pelanggan. Harap-harapnya Proton akan meneruskan legasi R3 ini yang telah diasaskan dari pengurusan terdahulu bagi membolehkan semangat patriotik terus disalurkan dalam industri automotif dan sukan permotoran.

    Tahun lalu Proton dilihat sudah seakan memberikan ‘suntikan’ baharu kepada R3 dengan meletakkan jenama berkenaan di bawah Proton Global Servis (PGS) dan memperkenalkan pelbagai barangan gaya hidup, serta pilihan minyak enjin asli dan penapis minyak enjin R3 yang dijual menerusi outlet R3 yang diwujudkan di pusat-pusat 3S/4S terpilih.

    R3 juga dirancang bakal tampil dengan lebih banyak lagi komponen prestasi untuk kereta Proton serta bakal menghasilkan semula model talaan penuh seperti dahulu, dan ini semua dijangka akan berlaku tahun ini. Tetapi dalam masa yang sama, R3 nampaknya telah direhatkan beberapa tahun dan tidak lagi berlumba di Sepang. Namun bagi penulis sendiri masih berharap apa yang dirancang untuk R3 oleh pengurusan baharu Proton ini akan berjalan lancar!

    GALERI: Proton Waja MME Edition ketika dilancarkan pada Ogos 2006

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    MRT Laluan Putrajaya telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Turut diumumkan, hingga 31 Mac nanti, pengguna tidak akan dikenakan sebarang caj untuk perkhidmatan jajaran tersebut: ia telah mula beroperasi kepada umum pada jam 3 petang semalam.

    Jadi, bagaimana boleh anda manfaatkan perkhidmatan percuma ini? Rapid KL ada mengeluarkan senarai soalah lazim FAQ yang dikenali sebagai PFR15. Pengguna boleh menikmati PFR15 dengan membeli token dari mana-mana kaunter di stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT (semuanya dikendalikan oleh Rapid KL) dan token berkenaan boleh digunakan di mana-mana stesen (masuk atau keluar) yang melibatkan MRT jajaran Putrajaya untuk perjalanan sehala.

    Pengguna kad Touch n Go dan kad konsesi lain pula boleh menyentuh kad mereka untuk masuk dan keluar pintu seperti biasa. Pengguna juga boleh menikmati kadar tetap untuk semua kemudahan Park & Ride LRT/MRT sepanjang tempoh PFR15 ini. Bagaimanapun, pastikan anda menyentuh kad di Park & Ride berkenaan dengan kad yang sama anda gunakan untuk tren. Bas perantara MRT Laluan Putrajaya (PYL) juga percuma hingga 31 Mac nanti, dan terbuka untuk semua sama ada warga negara atau warga asing.

    Namun, memandangkan PYL merupakan sebahagian daripada rangakain Rapid KL dan bukan jajaran berasingan, pasti ada banyak pertanyaan yang bermain difikiran. Misalnya, bagaimana jika anda sentuh kad di jajaran lain dan keluar di stesen PYL, atau sebaliknya?

    MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    Menurut Rapid KL, asalkan perjalanan tren anda melibatkan stesen PYL atau stesen pertukaran, ia akan jadi percuma. Stesen perantara yang terlibat ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh, Titiwangsa, Tun Razak Exchange (TRX), Chan Sow Lin dan Sungai Besi.

    Sebagai contoh, sekiranya anda sentuh kad di MRT Pusat Bandar Damansara (MRT jajaran Kajang) dan menuju TRX untuk bertukar ke tren PYL, anda boleh sentuh keluar di mana-mana stesen PYL dan itu percuma. Begitu juga bagi pengguna LRT, Monorail dan BRT.

    Bagaimanapun, anda perlu sentuh keluar di stesen PYL sebelum kembali ke tempat anda datang. Katakan destinasinya Putrajaya Sentral. Sebaik sahaja anda tiba di sana, sentuh keluar dan sentuh masuk sekali lagi — jika anda hanya duduk di dalam tren dan tunggu ia bergerak semula, atau sekadar meninjau platformnya, anda tidak akan diberikan perjalanan percuma itu.

    Untuk rekod, MRT Laluan Putrajaya adalah sepanjang 57.7 km dengan 36 stesen. Ia bermula dari Kwasa Damansara (bandar baru bersebelahan Kota Damansara dan Sungai Buloh), yang mana telah mula beroperasi sejak Disember 2016 sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dan berakhir di Putrajaya Sentral.

    MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    Pelancaran semalam pula melibatkan jajaran sepenuhnya dengan pembukaan seksyen Fasa 2 sepanjang 38.7 km. Fasa 1 adalah dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah pun beroperasi sejak Jun 2022, tetapi ia terhad untuk kawasan sekitar Kepong/Jinjang dan Bandar Sri Damansara yang tidak boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar KL dengan laluan berkenaan.

    Dengan jajaran sepanjang 57.7 km ini, 44.2 km melibatkan laluan beraras tinggi, dengan 13.5 km pula laluan bawah tanah. Ada sebanyak sembilan stesen bawah tanah, dan ia adalah dari Sentul Barat (sepanjang Jalan Ipoh) ke Chan Sow Lin. Dua stesen ini di antaranya melibatkan laluan Titiwangsa (hab rel/bas besar, Rapid KL menyatakan ia adalah KL Sentral Kedua), Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda (antara Jalan Tun Razak-Kg Baru), Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dan Tun Razak Exchange (TRX).

    Terdapat sebanyak 10 stesen pertukaran/sambungan di antara laluan Putrajaya ini dengan setiap satunya melibatkan laluan tren sedia ada di Lembah Klang, dari Monorel hingga ke ERL. Sebagai permulaan, MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang bertemu di Kwasa Damansara dan TRX di ibu kota.

    Ini bermakna, mereka yang berada di bahagian selatan boleh ke PJ/Damansara boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya ke TRX dan bertukar ke MRT Laluan Kajang. Dari situ, ia tidak mengambil masa yang lama untuk ke 1 Utama, sebagai contoh.

    MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    Contoh berikutnya: bagi yang tinggal berhampiran Pusat Bandar Damansara (Laluan Kajang) pula boleh menggunakan Laluan Putrajaya di TRX dan menuju ke Putrajaya. Ini hanya sekadar contoh untuk memberikan gambaran yang lebih jelas berkaitan sambungan laluan sedia ada bagi MRT.

    Lain-lain stesen pertukaran adalah di Titiwangsa (KL Monorail, LRT Ampang/Sri Petaling), Chan Sow Lin (LRT Ampang/Sri Petaling) dan Sungai Besi (LRT Sri Petaling). Ampang Park (LRT Kelana Jaya Line) pula merupakan stesen sambungan dan bukan stesen pertukaran. Perbezaan ini membolehkan anda menukar laluan di stesen sambungan, tetapi perlu sentuh keluar dan masuk sekali lagi. Tetapi anda tidak perlu untuk sentuh keluar sekiranya anda menukar tren di stesen pertukaran.

    Satu lagi stesen sambungan yang berada dalam laluan tetapi tidak dikendalikan oleh Rapid KL, melibatkan perkhidmatan KTM Komuter. Ia melibatkan stesen KTM Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dalam jajaran yang sama (KTM Komuter Laluan Tg Malim-Port Klang), Kampung Batu (KTM Komuter Laluan Batu Caves – Pulau Sebang) dan Putrajaya Sentral (KLIA Transit).

    MRT Laluan Putrajaya percuma hingga 31 Mac — apa yang perlu anda tahu; soalan lazim, terma & syarat

    Untuk ke stesen MRT juga perjalanan yang penting, dan ada 31 bas perantara disediakan, meliputi jarak perjalanan 350 km. Tambang sekitar RM1 hingga RM2.40 (tanpa tunai sahaja) dan pemegang kad konsesi akan dib berikan potongan 50%.

    Jika tidak mahu menaiki bas, pilihan lain adalah terdapatnya 17 stesen dengan kemudahan Park & Ride, dengan keseluruhannya ada 6,416 ruang parkir. Caj yang dikenakan ialah RM4.30 sekali masuk, sehari. Untuk menikmati kadar ini, anda perlu menggunakan kad Touch n Go yang sama untuk sentuh masuk-keluar di MRT, dan untuk membezakan anda dengan mereka yang bukan pengguna MRT (yang tidak berikan kelebihan berkenaan). Motosikal pula dikenakan caj RM1.10 sehari.

    Ikuti juga pengalaman penuh kami menggunakan perkhidmatan MRT Putrajaya ini untuk pengetahuan lanjut.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

    Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

    Bersama dengan GLA baru, Mercedes-Benz juga telah mendedahkan kepada dunia GLB 2023, yang diberikan peningkatan pada pelbagai aspek termasuk penggayaan, kelengkapan dan juga pilihan varian untuk pasaran Eropah. Model generasi X247 ini sekarang disediakan dalam pilihan empat enjin petrol dan empat enjin diesel.

    Bagi enjin petrol, kesemuanya diletakkan dengan sistem hibrid ringkas, di mana starter generator pacuan tali sawat dipadankan bersama sistem elektrik 48 volt untuk memberikan tambahan kuasa 10 kW (13.6 PS) sewaktu memecut dan memulakan perjalanan.

    Menurut Mercedes-Benz, sistem elektrikal ini juga dapat menambah ciri keselesaan, di mana ia membenarkan kenderaan meluncur dengan enjin ditutup, sambil menghasilkan bunyi yang lebih senyap serta kurang gegaran sewaktu dihidupkan.

    Varian berenjin petrol bermula dengan GLB 180 dan GLB 200, di mana kedua-duanya dipacu oleh unit 1,332 cc. Bagi GLB 180, ia mampu menghasilkan 136 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm, sementara pada GLB 200, enjin sama menghasilkan 163 PS pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm. Pilihan transmisi adalah sama ada automatik klac berkembar tujuh kelajuan atau lapan kelajuan.

    Mercedes-Benz GLB X247 facelift diperkenal – enjin hibrid ringkas petrol dan diesel 2.0L, sehingga 224 PS

    Sementara itu, model petrol yang lebih berkuasa pula datang dengan enjin 1,991 cc turbo dan pacuan semua roda, digunakan pada varian GLB 220 4Matic untuk menghasilkan 190 PS pada 5,500 rpm dan tork 300 Nm, dan 224 PS pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm pada GLB 250 4Matic.

    Pergi kepada penggerak diesel, kesemuanya menggunakan unit 1,950 cc turbo, dengan pada GLB 180d menghasilkan 116 PS dan 280 Nm, sementara pada GLB 200d menghasilkan 150 PS dan 320 Nm. Dua varian diesel tertinggi juga datang dengan sistem pacuan semua roda, iaitu GLB 200d 4Matic, dengan kemampuan sama seperti GLB 200d, dan GLB 220d 4Matic menghasilkan 190 PS dan tork 400 Nm.

    Bagi rim, unit yang dipasang pada GLB X247 facelift ini bermula dengan 17 inci pada varian permulaan, dan pergi kepada 18 hingga 20 inci untuk varian yang lebih tinggi. Peningkatan lain pada bahagian luar adalah termasuk lampu utama dan lampu belakang LED penuh yang baru.

    Berkenaan infotainmen, unit paling asas adalah padanan panel instrumen tujuh inci bersama skrin multimedia 10.25 inci, manakala varian lebih tinggi mendapat skrin lebar yang terdiri daripada dua unit 10.25 inci yang bersambung. Dalam keadaan standard, stereng dibalut dengan kulit, sementara kulit Artico disediakan sebagai pilihan tambahan. Melalui pilihan kemasan AMG Line pula, pemilik boleh menambah ciri pemanas pada stereng.

    Sistem MBUX pada GLB baru ini telah dikemas kini untuk memaparkan tema baru iaitu Classic, Sporty dan Discreet. Untuk lampu suasana pula keseluruhannya terdapat 10 warna yang boleh ditukar. Pada bahagian sambungan, GLB facelift kini mendapat tambahan soket USB-C yang lebih berkuasa manakala telefon pintar boleh disambungkan dengan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa menggunakan wayar.

    Turut dipertingkat adalah Intelligent Voice Assistant, untuk menjadi lebih berkemampuan, dan sekarang boleh mengetahui tetapan serta laluan kegemaran pemandu. Sistem infotainmen, kemudahan serta fungsi kenderaan semuanya boleh diubah suai oleh pemandu mengikut kemahuan.

    Sistem keselamatan yang ada pada GLB X247 facelift ini adalah termasuk Driving Assistance Package yang dipertingkat untuk memberikan kawalan Lane Keeping Assist lebih selesa, sementara Parking Package generasi baru dapat memberikan bantuan untuk meletakkan kenderaan secara melintang bersama pandangan 360 darjah. Turut disediakan buat kali pertama pada GLB adalah Trailer Manoeuvring Assist.

     
     
  • Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan kerajaan sentiasa mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

    Menurut Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri Isham Ishak, dasar itu bersifat ‘futuristik’ dan tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini, laporan Bernama.

    “NAP 2020 masih dikemas kini dan dipakai dengan baik buat masa sekarang. Ia sentiasa terus disemak di bawah MITI serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kami melihat (setiap) perubahan, (sebagai contoh) geopolitik, supaya kami boleh mengubahnya dengan segera dan industri akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini melalui sokongan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Pameran Perdagangan Automotif-Automechanika Kuala Lumpur 2023 pagi tadi.

    Tambah beliau, selain NAP 2020, terdapat juga dasar oleh agensi lain yang menyediakan sokongan mikro terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar, penyedia bahan mentah, syarikat perantaraan yang menghasilkan barangan perantaraan serta pemasang akhir.

    “Contohnya, adalah Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Nasional yang turut dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta Dasar Pengangkutan Negara untuk memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus di peringkat global.

    Penubuhan Pasukan Petugas EV Kebangsaan bertujuan merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan,” jelasnya lagi.

    Beliau turut berkata, pasukan petugas khas ini akan menilai dasar semasa, menggubal dasar baharu dan memantau pelaksanaan agenda EV.

    “Sebagai contoh, stesen pengecasan, yang mana kami menerima aduan bahawa Malaysia mempunyai jumlah stesen EV yang amat sedikit tetapi angka ini telah bertambah kepada 900 stesen pengecasan dan banyak lagi akan dibina.

    “Pada masa sama, pemilik stesen minyak perlu menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap perubahan ini kerana mereka perlu memenuhi keperluan pengguna pengecasan, yang menggunakan lebih banyak masa berbanding semasa mengisi minyak,” kataya.

    Beliau berkata, penyedia telekomunikasi juga mesti dapat menampung kemajuan teknologi yang melengkapkan sesebuah EV.

    Dasar Automotif Nasional 2020 sentiasa dikaji semula, tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini – MITI

    Sambungnya, “Permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan cekap tenaga bukan saja akan memacu sektor itu tetapi juga segmen nilai tambah yang lain. Sesetengah pemain bergerak ke arah hibrid terlebih dulu sebelum bersedia ke arah EV. Ada yang mencebur terus ke dalam EV seperti pengumuman Tesla baru-baru ini di Malaysia,” katanya.

    Isham juga menjangkakan trend baharu membabitkan minat orang ramai terhadap segmen hiburan serta gaya hidup dalam kereta.

    “Kami lihat permintaan semakin meningkat untuk hiburan. Permintaan pasaran bagi meningkatkan kenderaan mereka juga bertambah. Jadi, kenderaan bukan sekadar pergerakan tetapi juga ke arah penyesuaian, hiburan dan trend ini juga berubah,” katanya.

    “Oleh itu, industri automotif secara keseluruhannya menawarkan nilai menarik untuk pelaburan mereka di Malaysia. Kami melihat banyak pengeluar baharu memasuki Vietnam tetapi kami mesti melihat perspektif keseluruhan.

    “Mereka mempunyai lebih 90 juta orang, jadi pasaran mereka adalah jauh lebih besar daripada Malaysia tetapi orang (pelabur) yang datang ke negara ini adalah berbeza kerana daripada segi pembelian kenderaan premium, Malaysia antara yang tertinggi berbanding negara ASEAN yang lain. Jadi, inilah trend yang sedang datang ke dalam industri automotif dan ini merupakan masa yang sangat mengujakan,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor VKQ sedang dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor VKQ sedang dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan satu lagi siri plat nombor pendaftaran baharu iaitu VKQ telah pun boleh dibida secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari WP Kuala Lumpur, VKQ ini dibuka bidaan mulai hari ini, 17 Mac 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 21 Mac. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 22 Mac 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    BYD antara pengeluar kereta dari China yang membawa masuk kenderaan elektrik (EV) ke pasaran Malaysia, menerusi pengedar rasminya di sini, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM), sebahagian daripada Sime Darby Motors. Mempertaruhkan model Atto 3 sebagai permulaan pengenalan jenama ini di sini yang dilancarkan pada 8 Disember lalu, sambutan terhadap SUV crossover elektrik segmen-B ini boleh dikatakan begitu memberangsangkan. Malah dalam tempoh 10 hari ia dilancarkan, sebanyak lebih 1,000 unit tempahan Atto 3 telah diterima.

    Untuk pasaran tempatan, dua varian Atto 3 ditawarkan iaitu Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans.

    PANDU UJI: BYD Atto 3 – crossover elektrik yang praktikal & sedap dipandu; setanding kualiti & harga

    Bulan lalu, team Paultan.org diberi kesempatan untuk memandu uji Atto 3 dan diberikan varian ER untuk dilenjan seharian secara bergilir-gilir dengan Danny Tan dan Jason Chung hingga ke Tanjung Malim, Perak.

    Pemanduan kami merentasi Lebuhraya Utara-Selatan hingga merentasi laluan kampung di beberapa kawasan Felda di daerah berkenaan yang mempunyai corak jalan yang mengujakan. Memang benar-benar menguji ketangkasan Atto 3.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    BMW Malaysia mengumumkan bahawa X7 facelift G07 kini sudah tiba di Malaysia. Kali terakhir diberikan peningkatan pada tahun lepas, model Sports Activity Vehicle (SAV) terbesar jenama itu sekarang ditawarkan dalam versi xDrive40i Pure Excellence enam tempat duduk.

    Perubahan pada bahagian luar antaranya termasuk pada bahagian gril, lampu utama LED, bampar hadapan serta lampu belakang. Kemudiannya di bahagian dalam, ia menerima BMW Curved Display yang termasuk skrin instrumen 12.3 inci serta skrin sesentuh infotainmen 14.9 inci secara standard. Bentuk corong pendingin hawa juga diubah.

    Kemasan kayu yang digunakan untuk model pasaran Malaysia dipanggil sebagai ‘Lindenwood Fineline’ sementara lapik bumbung pula menggunakan M Headliner ‘Alcantara’. Turut disediakan adalah jalur lampu suasana di sekeliling kabin.

    BMW X7 facelift G07 tiba di M’sia dalam versi xDrive40i Pure Excellence hibrid ringkas, harga RM654,800

    Datang dalam konfigurasi enam tempat duduk, barisan kedua menggunakan unit kapten yang berasingan dan semua tempat duduk ini dibalut kain Sensafin. Bumbung panoramik besar memberikan suasana lebih cerah dalam kereta, manakala ruang simpanan barang pula boleh mencecah sehingga 750 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat.

    X7 xDrive40i facelift ini terus dipacu oleh enjin enam silinder 3.0 liter turbo B58, tetapi kuasanya telah ditingkatkan sedikit menjadi 380 PS (375 hp atau 280 kW) dan tork 520 Nm (boleh dinaikkan sekejap sehingga 540 Nm dengan fungsi boost) – naik 47 PS (47 hp atau 35 kW) dan 70 Nm berbanding sebelum ini.

    Model ini juga sekarang dimasukkan dengan sistem hibrid ringkas 48 volt melalui penggunaan motor elektrik 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 200 Nm yang terletak di dalam perumah transmisi automatik lapan kelajuan Steptronic Sport. Dengan pakej ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Sistem bantuan pemandu yang disediakan pada SAV ini adalah termasuk Parking Assistant Professional and Driving Assistant, yang memberikan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collision Warning, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention serta Reversing Assistant Professional.

    Lima warna badan ditawarkan untuk X7 facelift ini, iaitu Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic dan Black Sapphire Metallic. Untuk kemasan dalam pula, dua skema warna disediakan – Sensafin Black dan Sensafin Cognac.

    Akhir sekali untuk harga, BMW X7 facelift xDrive40i Pure Excellence dijual pada harga RM654,800 tidak termasuk insurans, bersama dengan jaminan lima tahun serta pakej program servis berkala percuma. Turut diberikan adalah bantuan tepi jalan BMW Roadside Assistance serta kad kesetiaan BMW Group Loyalty+ Mobile.

     
     
  • VIDEO: Perodua Axia 2023 — AV atau X lagi berbaloi?

    VIDEO: Perodua Axia 2023 — AV atau X lagi berbaloi?

    Sudah sebulan Perodua Axia 2023 dilancarkan secara rasmi. Seperti yang sudah ramai sedia maklum, ada empat varian ditawarkan: G, X, SE dan AV, dengan harga masing-masing bermula RM38,600, RM40,000, RM44,000 dan RM49,500. Untuk tahu perincian perbezaan antara semua varian berkenaan, boleh rujuk di sini.

    Dalam video ini pula, kami tampilkan dua daripada varian berkenaan, iaitu X sebagai mewakili varian yang lebih asas, serta AV yang mewakili varian dengan penawaran paling lengkap dan paling mahal. Ada banyak perbezaan antara kedua-dua model berkenaan. Sebagai contoh, kerusi AV lebih sedap dan memberi sokongan yang lebih baik berbanding X. Kluster meter untuk pemandu juga berbeza: AV dengan paparan digital berwarna, sementara X dengan versi lebih ringkas — sekadar menyebut beberapa contoh.

    Dari segi mekanikal, kedua-duanya berkongsi penawaran yang sama. Axia 2023 masih mengekalkan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan DVVT yang sama. Ura-ura enjin turbo yang bertiup sebelum ini tidak betul. Namun, gandingan transmisi enjin berkenaan telah diubah, tiada lagi kotak gear automatik empat-kelajuan yang lama, sebaliknya digantikan dengan transmisi D-CVT yang baru, mengantikan transmisi 4AT lama.

    Menurut Perodua, perubahan gabungan ini — jika mengikut kitaran ujian penggunaan minyak NEDC — memberikan bacaan yang lebih baik bagi Axia 2023, iaitu 23.3 km/l berbanding 21.6 km/l bagi model sebelumnya. Namun, jika mengikut kitaran ujian MDC (Malaysia Driving Cycle) pula, ia mampu memberikan sebanyak 27.4 km/l. Ini kurang lebih bersamaan dengan RM28 duit minyak RON 95 sahaja untuk perjalanan 365 km ke Pulau Pinang (bagi varian SE dan AV, dengan ciri Eco Idle).

    Ikuti juga perkongsian pandangan dari sudut pandu uji bagi Axia X dan AV ini, dan bagaimana aspek itu menyaingi Perodua Myvi dalam banyak hal. Selamat menonton.

    Perodua Axia 2023 AV vs X

    Perodua Axia 2023 AV

    Perodua Axia 2023 X dengan kit Gear Up

     
     
  • Lori rempuh Perodua Aruz di Lebuhraya PLUS dekat Rawang – Polis Gombak cari saksi kemalangan

    Lori rempuh Perodua Aruz di Lebuhraya PLUS dekat Rawang – Polis Gombak cari saksi kemalangan

    Baru-baru ini tular video berdurasi satu minit hasil rakaman dashcam dari Perodua Aruz yang dirempuh oleh sebuah lori dari arah belakang. Kejadian berlaku di KM 439.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Rawang pada 14 Mac lalu, kira-kira jam 1 tengahari.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata seorang wanita berusia 29 tahun yang memandu Aruz bersama dua kanak-kanak, adik perempuan dan ibunya masing-masing berusia tiga hingga 58 tahun, tiba-tiba dirempuh oleh sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

    “Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh sebagai pesakit luar. Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil atau menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rohaizam Yusop di talian 0125260952 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

    Menerusi paparan video berkenaan yang dikongsi menerusi laman Facebook Perodua Aruz Owner Club, sebelum kejadian, kedengaran pemandu Aruz tersebut, berbual dengan penumpangnya dan sempat memberikan tip pemanduan di lebuh raya bagi mengelakkan kemalangan. Menurut laporan MStar, pemandu Aruz itu, Nur Asyiqin Abdul Manaf sempat memberikan tip pemanduan berhemah kepada adiknya yang belum pernah memandu jarak jauh.

    Walau bagaimana pun, belum sempat topik itu dihabiskan, tiba-tiba lori di belakangnya merempuh kenderaan yang dipandu dan kedengaran Asyiqin melaungkan kalimah Allahuakhbar beberapa kali. Dalam kemalangan terbabit, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami kecederaan parah.

     
     
  • Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berharap agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan untuk membaiki jalan yang rosak teruk dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing, laporan Harian Metro.

    “Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya. Habis rim kereta saya pun bengkok,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Bangunan Sultan Ismail hari ini.

    Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng-Senai kepada enam lorong.

    Harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan baiki jalan rosak dan berlubang di Johor – Sultan Ibrahim

    “Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong.

    “Kalau boleh, buatlah dari Gemas, buat apa separuh jalan. Kerajaan Pusat juga akan sediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar, satu-satunya lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol,” titah baginda.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek naik taraf jalan raya Persekutuan dan lebuh raya.

    Antaranya projek naik taraf jaringan lebuh raya ke Pengerang, dengan membina lorong memotong di Senai-Desaru Expressway, serta projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan laluan Yong Peng Utara-Senai Utara Fasa 1 kepada enam lorong, membabitkan kos RM525 juta secara berfasa.

     
     
  • Nissan Sylphy facelift muncul di China – pilihan enjin petrol 1.6L 135 PS atau e-Power hibrid 136 PS

    Nissan Sylphy facelift muncul di China – pilihan enjin petrol 1.6L 135 PS atau e-Power hibrid 136 PS

    Nissan Sylphy yang diperkenalkan kali pertama di China pada tahun 2019 kini diberikan facelift, sebelum ia masuk ke pasaran Amerika Syarikat (AS) sebagai Sentra. Perubahan utama boleh dilihat pada bahagian hadapan, dengan gril V-Motion seakan model Altima/Teana facelift pasaran AS. Gril seperti dalam gambar adalah untuk model hibrid Sylphy e-Power, sementara model ICE biasa menggunakan gril dengan kemasan jalur melintang.

    Dua pakej kuasa disediakan untuk Sylphy facelift pasaran China ini, bermula dengan enjin petrol 1.6 liter berkuasa 135 PS pada 6,300 rpm dan tork 159 Nm pada 4,000 rpm, digabungkan bersama transmisi CVT untuk memacu dua roda hadapan. Laju maksimum model yang menggunakan enjin ini adalah 186 km/j, manakala penggunaan bahan api pula berada pada tahap 5.57 l/100 km.

    Pilihan kedua adalah enjin hibrid e-Power, yang menggunakan enjin 1.2 liter sebagai generator untuk penggerak elektrik yang mampu menghasilkan 136 PS dan tork 300 Nm melalui motor permanent magnet synchronous yang memacu roda hadapan. Laju maksimum varian ini adalah 165 km/j, sementara penggunaan bahan apinya berada pada 3.96 l/100 km.

    Kebanyakan bahagian badan model ini masih sama seperti sebelum facelift, manakala rim pula mendapat rekaan baru yang ditawarkan dalam saiz 16 dan 17 inci, dengan tayar masing-masing 205/60R16 dan 205/50R17.

    Pada bahagian dalam, sistem infotainmen ditambah baik dengan skrin sesentuh 12.3 inci resolusi 1920×720, sementara bahagian kabin mendapat lampu suasana termasuk di tepi pintu, tepi konsol tengah serta keliling corong pendingin hawa tengah. Kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk pengecas telefon tanpa wayar sehingga 15W, lapan pembesar suara Bose, brek parkir elektronik serta sistem kunci pintu automatik.

    Turut disediakan adlaah sistem ProPilot termasuk Intelligent Cruise Control, Forward Collision Warning, Accelerator Pedal Misoperation Mitigation (dengan tindak balas brek), Autonomous Emergency Braking, Rear Cross-Traffic Alert, Driver Fatigue Detection, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning dan Intelligent Trace Control.

     
     
  • BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    Meskipun baru sahaja dilancarkan Januari lalu, BMW 330i kini diberikan penambah baikan apabila suspensinya ditukar kepada jenis adaptif M untuk menggantikan unit M Sport biasa sebelum ini. Harganya sekarang naik RM2,000, menjadi RM319,800 bersama jaminan dan pakej servis lanjutan, atau RM299,600 bersama tempoh jaminan biasa.

    Model 330i ini digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 258 PS pada 5,000 rpm dan tork 400 Nm antara 1,550 hingga 4,400 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda belakang. Dengan pakej ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Antara kelengkapan yang diberi pada bahagian luar adalah termasuk rim 18 inci Style 848 M dua tona yang berukuran lebar 7.5J di hadapan dan 8.5J di belakang, masing-masing dibalut tayar 225/45 dan 255/40.

    BMW 330i facelift pasaran Malaysia dipertingkat – suspensi ditukar kepada jenis adaptif M Sport, RM320k

    Pada bahagian dalam, 330i M Sport ini terus menggunakan Curved Display yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci dengan head-up display di hadapan pemandu, serta panel kawalan 14.9 inci. Turut disertakan adalah Connected Package Professional yang memberikan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, bersama Remote Services dan ConnectedDrive dengan Intelligent Emergency Call dan Teleservices.

    Kelengkapan lain yang ada di bahagian dalam termasuk kawalan pendingin hawa tiga zon, Confort Access, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana, pakej tempat barangan serta tempat mengecas telefon tanpa wayar.

    Pada bahagian keselamatan ia mendapat pakej Driving Assistant yang termasuk Lane Departure and Lane Change Warning, Front Collision Warning, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan informasi had laju. Dalam pakej Parking Assistant yang diberi pula terdapat Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Lateral Parking Aid dan kamera undur.

    BMW 330i M Sport 2023

     
     
  • BMW 330Li M Sport facelift tiba di Malaysia – versi jarak roda panjang yang dipertingkat, harga RM305,600

    BMW 330Li M Sport facelift tiba di Malaysia – versi jarak roda panjang yang dipertingkat, harga RM305,600

    Seperti yang dijanjikan, BMW Malaysia telah melancarkan 330Li M Sport facelift (G28 LCI) untuk pasaran Malaysia, bersama dengan M340i untuk melengkapkan pilihan 3 Series facelift di Malaysia. Harganya adalah RM305,600 bersama dengan jaminan biasa dua tahun, atau RM325,800 bersama dengan jaminan dan pakej servis lima tahun.

    Harga ini menjadikan model jarak roda panjang (LWB) ini RM6k lebih mahal berbanding 330i biasa, RM27k lebih tinggi berbanding 330e dan RM42k lebih berbanding 320i. Walaupun begitu, ia masih kurang RM66k berbanding model prestasi M340i xDrive. Jika dibandingkan pula dengan 330Li sebelum facelift, versi LCI ini menyaksikan peningkatan harga sehingga RM20k.

    Sebagai model LWB, 330Li mendapat spesifikasi yang lebih premium dan bertumpukan kepada penumpang, dengan antaranya termasuk sistem suspensi lebih kepada keselesaan, bumbung panoramik serta papan pemuka dibalut kulit Sensatec. Sama seperti sebelum ini, 330Li juga mendapat muncung ekzos bentuk trapezoid, dan bukannya bulat seperti 320i, 330e dan 330i.

    Apabila dibandingkan dengan versi sebelum facelift, model baru ini mendapat kemasan M Sport LCI penuh termasuk lampu yang lebih nipis, gril kidney dengan kemasan dua jalur dan berwarna hitam (ShadowLine), bahagian dalam dipertingkat dengan Curved Display dari i4, tombol pemilih gear dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto yang diberikan terus (sebelum ini ia adalah pilihan tambahan).

    Rim pula adalah unit 18 inci Style 848 sama seperti 330Li sebelum facelift dan 320i/330e/330i baru, sementara di belakangnya terdapat sistem brek biasa seperti 320i dan bukannya angkup M Sport warna biru seperti 330e dan 330i. Pilihan warna badan terhad kepada Carbon Black, Mineral White, M Portimao Blue dan Skyscraper Grey, dipadankan bersama kemasan dalam Brown Mocha.

    Model 330 Li ini mendapat sistem suspensi khas yang lebih tinggi dan lembut (tidak boleh dilaras), manakala stereng pula menggunakan sistem biasa dan bukannya sistem sport variable seperti varian lain.

    Di bahagian dalam, G28 LCI ini mendapat butang kawalan galvanic (satu peningkatan berbanding varian lain), tetapi kemasannya masih menggunakan jenis piano black/aluminium biasa dan tempat duduk bukan jenis M Sport. Walaupun begitu, roda stereng masih menggunakan unit M Sport dan lapik bumbung masih menggunakan warna hitam. Pembesar suara ada 10, dan lebih sedikit berbanding 320i yang cuma ada enam.

    Melihat kepada dimensi, 330 Li mencatat jarak roda 110 mm lebih panjang berbanding barisan G20 yang lain, dan lebihan ini pergi ke bahagian pintu/tempat duduk belakang. Sama seperti model LWB sebelum ini, tempat duduk belakangnya tidak boleh dilipat.

    Penggerak masih tidak berubah, sama seperti 330i, iaitu unit 2.0 liter turbo B40 berkemampuan 258 PS dan tork 400 Nm, disambungkan kepada transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghantar kuasa ke roda belakang. Disebabkan badannya lebih berat berbanding 330i, pecutan 330Li menjadi sedikit lambat iaitu 0-100 km/j dalam 6.2 saat, tetapi laju maksimum masih kekal 250 km/j.

    Pada bahagian keselamatan ia mendapat Driving Assistant secara standard, yang termasuk Lane Departure Warning dengan maklum balas stereng aktif, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan maklum balas brek (AEB), Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Warning, Speed Limit Info dan manual Speed Limit Assist. ACC dan pemanduan autonomous Level 2 masih tiada.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya dibuka 3 petang ini – kami telah mencubanya; ini panduan untuk laluan rel baharu KV

    MRT Laluan Putrajaya dibuka 3 petang ini – kami telah mencubanya; ini panduan untuk laluan rel baharu KV

    Selepas ditangguhkan beberapa kali, akhirnya Lembah Klang (KV) telah pun memiliki laluan MRT yang kedua. MRT Laluan Putrajaya dilancarkan secara rasminya sebentar tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di depoh MRT Serdang, dan tren akan mula dibuka untuk kegunaan umum jam 3 petang ini.

    Semalam wakil kami, Danny Tan telah diundang untuk menyertai sesi taklimat khas untuk media, di mana kami telah diberikan penerangan lebih lanjut mengenai laluan baharu ini, malahan berpeluang untuk menaikinya.

    MRT Laluan Putrajaya memiliki jajaran sepanjang 57.7 km dengan 36 stesen. Ia bermula dari Kwasa Damansara (bandar baharu bersebelahan dengan Kota Damansara dan Sungai Buloh), di mana ia telah mula beroperasi sejak Disember 2016 sebagai sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, dan berakhir di Putrajaya Sentral, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

    Hari ini, pelancaran melibatkan jajaran sepenuhnya dengan pembukaan seksyen Fasa 2 sepanjang 38.7 km. Fasa 1 adalah dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah pun beroperasi sejak Jun 2022, tetapi ia terhad untuk kawasan sekitar Kepong/Jinjang dan Bandar Sri Famansara yang tidak boleh teruskan perjalanan ke pusat bandar KL dengan laluan berkenaan.

    Dengan jajaran sepanjang 57.7 km ini, 44.2 km adalah melibatkan laluan beraras tinggi, dengan 13.5 km pula jajaran bawah tanah. Sebanyak sembilan stesen berada di bawah tanah, dan ia adalah dari Sentul Barat (sepanjang Jalan Ipoh) ke Chan Sow Lin. Dua stesen inidi antaranya melibatkan laluan Titiwangsa (hab rel/bas besar, Rapid KL menyatakan ia adalah KL Sentral Kedua), Hospital Kuala Lumpur, Raja Uda (antara Jalan Tun Razak-Kg Baru), Ampang Park, Persiaran KLCC, Conlay dan Tun Razak Exchange (TRX).

    Laluan MRT baharu ini turut menghubungkan banyak rangkaian rel Lembah Klang. Sebanyak 10 stesen pertukaran/sambungan di antara laluan Putrajaya ini dengan setiap satunya melibatkan laluan tren sedia ada di Lembah Klang, dari Monorel hingga ke ERL.

    Peta jajaran dan senarai stesen pertukaran – klik untuk besarkan

    Sebagai permulaan, MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang bertemu di Kwasa Damansara dan TRX di ibu kota. Ini bermakna, mereka yang berada di bahagian selatan boleh ke PJ/Damansara dengan menaiki MRT – sebagai contoh, jurufoto kami, Patrick, yang tinggal berhamporan dengan stesen Taman Equine, boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya ke TRX dan dari situ bertukar ke Laluan Kajang. Dari situ, tidak mengambil masa yang lama untuk ke 1 Utama, salah satu lokasi popular untuk ke acara siri jelajah dan pelancaran kereta. Lebih menjimatkan masa dan kos.

    Manakala, Danny yang tinggal berhampiran dengan Pusat Bandar Damansara (Laluan Kajang) boleh menggunakan Laluan Putrajaya di TRX dan menuju ke Putrajaya bagi menghadiri acara larian di sana. katanya, dia ingin mencubanya suatu hari nanti. Jadi tidak perlulah dia memandu dalam kepenatan selepas menghabiskan acara lariannya pada awal pagi. Itu hanya sekadar contoh untuk memberikan gambaran yang lebih jelas berkaitan sambungan laluan sedia ada.

    Lain-lain stesen pertukaran adalah di Titiwangsa (KL Monorail, LRT Ampang/Sri Petaling), Chan Sow Lin (LRT Ampang/Sri Petaling) dan Sungai Besi (LRT Sri Petaling). Ampang Park (LRT Kelana Jaya Line) pula merupakan stesen sambungan dan bukan stesen pertukaran. Perbezaan ini ialah anda boleh menukar laluan di stesen sambungan, tetapi perlu ‘tap’/sentuh keluar dan masuk sekali lagi. Tetapi anda tidak perlu untuk ‘tap’ keluar sekiranya anda menukar tren di stesen pertukaran.

    Info laluan bas perantara Park & Ride – klik untuk besarkan

    Satu lagi stesen sambungan yang berada dalam laluan tetapi tidak dikendalikan oleh Rapid KL, melibatkan perkhidmatan KTM Komuter. Ia melibatkan stesen KTM Sungai Buloh dan Sri Damansara Timur dalam jajaran yang sama (KTM Komuter Laluan Tg Malim-Port Klang), Kampung Batu (KTM Komuter Laluan Batu Caves – Pulau Sebang) dan Putrajaya Sentral (KLIA Transit).

    Sebelum kami berkongsi pengalaman menaiki tren dan berada di stesen berkaitan, kita bercerita pula pasal bas perantara dan Park & Ride, bagaimana hendak ke stesen MRT juga adalah penting bagi penumpang. Menurut Rapid KL, terdapat 31 laluan bas perantara yang meliputi 350 km. kadar tambangnya dari RM1 hingga RM2.40 (tanpa tunai sahaja) dan pemegang kad konsesi menerima diskaun 50%. Anda boleh mencubanya sekiranya bas berkenaan melalui kawasan kediaman anda.

    Jika bas perantara tidak melalui kawasan kediaman anda, apa yang boleh anda lakukan hanya pandu sahaja ke stesen. Untuk MRT Laluan Putrajaya terdapat 17 stesen ditampilkan dengan fasiliti Park & Ride, dengan sejumlah 6,416 petak parkir. Dan jumlah parkir juga bakal bertambah, termasuk bangunan parkir bertingkat di stesen Putrajaya Sentral yang sedang dalam pembinaan.

    Pembayaran menggunakan kad kini diterima menerusi mesin tiket baharu – klik untuk besarkan

    Kadar parkir pula ialah RM4.30 untuk setiap entri sehari (maksimum RM16.10 jika anda meletakkan kenderaan anda sepanjang malam), tetapi untuk menikmati kadar yang lebih berbaloi, gunakan saja kad Touch ‘n Go yang sama yang anda guna untuk ‘tap’/sentuh masuk dan keluar tren MRT. Jika anda dikesan sebagai bukan penggunaan MRT, anda perlu membayar parkir pada kadar RM3.30 untuk sejam pertama dan RM1.10 untuk setiap jam yang berikutnya. Jika anda sentuh masuk dan keluar di stesen yang sama tanpa menggunakan tren, anda perlu membayar mengikut kadar perjam yang ditentukan.

    Hendak makan atau membeli barangan di kawasan sekitar sebelum mengambil kenderaan anda? Anda mempunyai sekitar masa dua jam untuk pandu keluar dari tempat parkir selepas ‘tap’ keluar dari stesen. Untuk motosikal pula, kadar parkir yang dikenakan adalah RM1.10 sehari.

    Dalam sesi taklimat bersama pihak media semalam di stesen Putrajaya Sentral, di mana ia bersambung dengan perkhidmatan ERL menerusi stesen KLIA Transit – tidak perlu berjalan jauh, semuanya di bawah satu bumbung. Mesin tiket pula telah dipertingkatkan berbanding yang ada di MRT Laluan Kajang. Ia memiliki skrin yang lebih besar, tiga bahasa (BM, Mandarin dan Tamil), dan paling menarik, ia menerima pembayaran menggunakan kad debit/kredit! Ya, anda boleh membuat pembayaran untuk membeli tiket dengan menggunakan kad debit/kredit, atau pun tambah nilai kad TnG anda menggunakan mesin tersebut.

    Ciri mesra-OKU di dalam stesen dan tren

    Anda juga boleh melihat logo Visa dan Mastercard di kaunter perkhidmatan pelanggan. Di stesen ini juga bersifat mesra OKU termasuk menyediakan tandas khas OKU, permukaan laluan yang bersesuaian untuk golongan cacat penglihatan dan permukaan peralihan bercahaya dari tren ke platform untuk yang menggunakan kerusi roda.

    Selain peta laluan dan keseluruhan peta rangkaian rel, stesen ini juga mempunyai peta lokasi untuk menunjukkan kawasan sekitar stesen. Kami menaiki tren ke Chan Sow Lin (termasuk melalui trek bawah tanah berhampiran Taman Desa), dan stesen bawah tanah memiliki papan tanda yang akan membantu anda untuk keluar ke laluan yang betul, dengan gambar kecil bangunan atau mercu tanda pada peta berkenaan.

    Chan Sow Lin merupakan stesen pertukaran dengan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, di mana ia turut menampilkan jejantas pejalan kaki yang menghubungkan kedua-dua stesen MRT-LRT.

    Papan tanda yang mudah difahami

    Berkenana dengan tren pula, MRT Laluan Putrajaya memiliki 49 unit tren elektrik dan setiap satunya mempunyai empat gerabak dengan kapasiti 1,200 penumpang. Ia merupakan tren dengan sistem tanpa pemandu automatik sepenuhnya, tetapi ia juga boleh dipandu secara manual sekiranya diperlukan.

    Sewaktu sesi taklimat ini, kami turut diberikan peluang untuk melihat ruang kawalan di dalam tren. Malah, kami juga ditunjukkan ‘panel rahsia’ di tepi tren yang tersembunyi ruang penyimpanan kerusi roda untuk kegunaan kecemasan. Selain itu, terdapat juga CCTV di dalam tren untuk tujuan pengawasan dan keselamatan.

    Jika melihat wajah tren MRT Laluan Putrajaya ini, bahagian hadapannya seperti ‘muncung itik’.
    Ia kelihatan berbeza dengan tren MRT Laluan Kajang yang lebih futuristik dan dengan imej yang lebih ‘kayangan’.

    Bila berada di dalam tren, memang ralit memerhatikan segenap sudut (bagi yang tidak leka menghadap telefon pintar). Kami dapati tren MRT Laluan Kajang memiliki tingkap yang lebih besar berbanding tren Laluan Putrajaya. Jadi pandangan ke luar sedikit terhad, terhalang oleh bingkai tingkap tersebut.

    Trek ‘muncung-itik’ MRT Laluan Putrajaya dan ciri yang tersembunyi

    Untuk kebanyakan pekerja di sekitar pusat bandar, MRT Laluan Putrajaya dilihat sebagai ‘game changer’ untuk menjimatkan lebih banyak masa dan duit (RM50 sebulan untuk pengguna pas perjalanan My50 bagi rangkaian pengangkutan di bawah kendalian Rapid KL), dan stesen Hospital Kuala Lumpur pula dilihat banyak memberikan manfaat buat warga emas dan sesiapa sahaja yang mendapatkan rawatan di sana termasuk juga Hospital KPJ Tawakal yang berhampiran. Stesen HKL ini juga dilengkapi dengan laluan pejalan kaki automatik seperti di lapangan terbang.

    Waktu operasi MRT Laluan Putrajaya adalah dari jam 6 pagi hingga ke tengahmalam. Kekerapan tren ketika waktu puncak hari biasa adalah setiap empat hingga enam minit, sementara untuk waktu bukan puncak pula antara tujuh hingga 10 minit. Untuk waktu hujung minggu dan cuti umum pula, kekerapan tren adalah setiap tujuh hingga 15 minit.

    Berkenaan dengan waktu perjalanan, Rapid Kl berkata, perjalanan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentrak mengambil masa selama 84 minit.

    Pemandangan dan mercu tanda yang boleh dilihat, Putrajaya-KL

    Dalam pelancarannya sebentar tadi, Perdana Menteri turut mengumumkan kadar tambang percuma diberikan untuk semua pengguna MRT Laluan Putrajaya sehingga 31 Mac 2023. Jadi, inilah masa yang paling sesuai untuk anda mencuba menggunakan perkhidmatan tren ini. Boleh bawak anak-anak menaikinya sementara cuti sekolah masih berlangsung.

    Sebelum itu, anda boleh melihat galeri foto di bawah yang memaparkan stesen, fasiliti, tren dan pemandangan di sepanjang perjalanan yang sempat kami rakamkan semalam. Bolehlah meningkatkan keterujaan anda untuk mencuba perkhidmatan tren baharu ini. Jom naik MRT!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025