Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VIDEO: Lumba Drag bawa anak di sebelah tanpa kelengkapan keselamatan; tak sayang anak ke?

    VIDEO: Lumba Drag bawa anak di sebelah tanpa kelengkapan keselamatan; tak sayang anak ke?

    Sukan drag, walaupun ia hanya melibatkan perlumbaan garis lurus dalam jarak dekat, ia tetap sukan yang merbahaya. Kita boleh lihat bagaimana seorang dragster tempatan yang meninggal dunia dalam perlumbaan drag di Terengganu tahun lalu selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan.

    Namun dalam laman twitter baru-baru ini, tular video memaparkan dua orang kanak-kanak dibawa menaiki kereta drag yang berlumba tanpa sebarang kelengkapan keselamatan!

    Jangankan helmet atau kelengkapan lain, kedua-dua kanak-kanak tersebut hanya diletakkan di tempat duduk hadapan tanpa tali pinggang keledar. Bayangkan jika sesuatu terjadi ketika perlumbaan itu berlangsung, entah apa nasib kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

    Tiada perincian lanjut berkenaan video tersebut – di mana perlumbaan itu dilangsungkan, ia dijalankan secara sah atau tidak, serta apa hubungan pemandu drag dengan kanak-kanak berkenaan tidak diketahui. Tetapi mungkin pemandu berkenaan merupakan ayah kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut.

    Memang betul kalau nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Nak menyemai minat kanak-kanak terhadap sukan permotoran juga memang patut dari usia masih kecil.

    Tapi mendidik biar betul – tunjukkan betapa bahayanya sukan ini dan betapa pentingnya kita menjaga keselamatan diri dengan mengikut SOP keselamatan sebenar. Jangan dah terjadi apa-apa yang melibatkan nyawa masa tu baru nak menyesal!

     
     
  • Perodua Axia 2023 dapat empat bintang dalam ujian ASEAN NCAP – kutip markah keseluruhan 73.55

    Perodua Axia 2023 dapat empat bintang dalam ujian ASEAN NCAP – kutip markah keseluruhan 73.55

    Perodua Axia 2023, yang akan dilancarkan secara rasmi 14 Februari nanti telah mendapat penarafan empat bintang dalam Program Penilaian Kenderaan Baru untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Ini adalah kali kedua Axia menyertai ujian tersebut, dengan sebelum ini pada tahun 2014 ia juga telah mendapat jumlah bintang sama dalam kategori perlindungan dewasa (AOP) dan perlindungan penumpang kanak-kanak (COP).

    Bagi Axia 2023 yang melalui ujian ini, ia menggunakan varian 1.0L SE, iaitu varian kedua tertinggi selepas AV yang dikeluarkan di Malaysia untuk pasaran Malaysia. Varian SE ini datang dengan dua beg udara, sementara varian AV pula mendapat enam beg udara.

    Berkenaan sistem bantuan keselamatan, laporan ASEAN NCAP berkenaan Axia 2023 menyatakan bahawa Lane Departure Warning, Forward Collision Warning dan Rear Cross Traffic Alert ditawarkan melalui pilihan tambahan, sementara Lane Keeping Assist pula tiada. Sistem brek ABS, Stability Control serta amaran tali pinggang keledar untuk pemandu, penumpang hadapan dan penumpang belakang datang secara standard bagi semua varian.

    Dalam ujian ini, Axia 2023 mencatat 25.65 daripada 32 mata penuh untuk perlindungan penumpang dewasa (AOP), 43.43 daripada 51 mata penuh untuk perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), 16.50 daripada 21 mata penuh untuk bantuan keselamatan dan 7.00 daripada 16 mata penuh untuk keselamatan penunggang motosikal.

    Bagi AOP, jumlah mata yang dikutip adalah terdiri daripada 14.96 untuk ujian perlanggaran hadapan, 6.69 untuk ujian perlanggaran tepi dan 4.00 untuk perlindungan kepala. Untuk COP pula, 24.00 mata diperoleh untuk ujian dinamik, 9,00 untuk ujian berasaskan kenderaan, 10.43 untuk ujian pemasangan dan kosong untuk pengesan kanak-kanak.

    Dalam kategori bantuan keselamatan, semua mata yang dikumpul itu terdiri daripada 6.00 untuk kecekapan brek dan mengelak, 4.50 untuk amaran tali pinggang, 3.00 untuk AEB dan 3.00 untuk Advanced SAT. Bagi keselamatan penunggang motosikal pula, 4.00 diperoleh untuk pengesan titik buta, kosong untuk pandangan belakang, 1.00 untuk lampu hadapan, 2.00 untuk pejalan kaki dan kosong untuk ujian Advanced MST.

    Setelah dikira secara keseluruhan, termasuk dengan kira-kira Normalized Score dan Weighted Score, Axia 2023 mencatat markah keseluruhan 73.55 dan mendapat taraf lima bintang dalam AOP, COP dan bantuan keselamatan, sementara untuk untuk keselamatan penunggang motosikal pula empat bintang. Ini kemudiannya membawa kepada jumlah bintang keseluruhan sebanyak empat bintang.

    GALERI: Gambar awal Perodua Axia 2023

     
     
  • Harga minyak 9-15 Feb – semuanya dikekalkan

    Harga minyak 9-15 Feb – semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Februari 2023, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel. Ini merupakan minggu ketujuh tiada perubahan bagi harga runcit petrol dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 dikekalkan pada harga runcit RM3.35 seliter, selepas ia mengalami penurunan harga selama tiga minggu berturut-turut sepanjang Disember 2022. Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling pula, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Perodua Axia 2023 – gambar rasmi hadapan dan belakang didedahkan tanpa pelekat penyamaran

    Perodua Axia 2023 – gambar rasmi hadapan dan belakang didedahkan tanpa pelekat penyamaran

    Pagi tadi kami telah pun mendedahkan rupa Perodua Axia 2023 ketika sesi prebiu untuk media, namun kesemua unit Axia yang dibawa keluar berkenaan masih sebahagian besarnya diliputi pelekat penyamaran. Ini dia dua gambar rasmi tanpa pelekat penyamaran sudah pun disiarkan oleh Perodua – ia sebenarnya adalah imej teaser, jadi hanya bahagian muka dan belakangnya sahaja didedahkan kali ini.

    Pendedahan penuh Perodua Axia 2023 ini akan dibuat ketika ia dilancarkan minggu depan, iaitu pada 14 Februari 2023. Harga tentatif untuk Axia 2023 ini juga telah diumumkan sebelum ini iaitu bermula dari RM38,600 untuk Axia G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 untuk Axia AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran. Tempahan untuk model ini sudahpun dibuka bermula 1 Februari lalu.

    Axia generasi kedua ini merupakan model ketiga dari Perodua yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas Ativa dan juga Alza 2022. Ia masih kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, tetapi kali ini Axia yang terlebih dahulu membuat kemunculan sulung global menunjukkan penglibatan besar Perodua dalam proses R&D hatchback segmen-A berkenaan.

    Perodua Axia 2023 – gambar rasmi hadapan dan belakang didedahkan tanpa pelekat penyamaran

    Walau bagaimanapun, model ini masih dibekalkan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i dari model generasi sebelumnya, menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm. Namun enjin tersebut kini tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi facelift dan juga Alza 2022.

    Kotak gear yang jauh lebih canggih ini menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik. Ia akan berfungsi seperti kotak gear CVT dengan torque converter biasa, memberikan nisbah gear menerusi tali sawat yang berubah kedudukan pada pulley yang memacu dan dipacu. Namun untuk kelajuan lebih tinggi, kuasa akan disalurkan kepada set gear helix bagi menyalurkan kuasa dengan efisien tanpa banyak kehilangan kuasa.

    Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelum ini. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.

    Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.

    Ketika dilancarkan nanti kesemua empat varian Axia 2023 iaitu G, X, SE dan AV akan hadir dengan kombinasi unit rangkaian kuasa yang sama. Axia baharu ini masih akan menampilkan versi yang diberikan kotak gear manual, namun ia hanya akan muncul selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

    Sistem Eco Idle hanya diberi untuk Axia SE dan AV. Dua varian tertinggi ini juga diberikan mod Power, iaitu mod yang memberikan penghantaran kuasa lebih agresif menerusi butang yang diletakkan pada jejari kanan roda stereng sama seperti Ativa.

    Perodua Axia 2023 – gambar rasmi hadapan dan belakang didedahkan tanpa pelekat penyamaran

    Lampu hadapan LED diberikan standard untuk varian X dan ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Kesemua varian Axia 2023 ini diberikan kawalan elektrik, tetapi hanya varian SE dan AV menerima fungsi auto-lipat.

    Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X dan ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pembuka pintu seperti pada Ativa, lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.

    Model varian tertinggi Axia AV kali ini turut diberikan paparan instrumen digital penuh dengan skrin TFT 7.0-inci. Meter digital berkenaan bukan sahaja menampilkan saiz yang sama seperti pada Ativa dan Alza, malah ia turut memberikan grafik visual yang sama menampilkan meter rpm berbentuk “gegelang 3D”.

    Model AV ini juga menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz 9.0-inci, juga nampaknya unit yang sama seperti Ativa berdasarkan paparan grafiknya. Perincian-perincian ini menjadikan Axia AV ini lebih mewah dari Myvi yang masih diberikan meter analog. Namun untuk varian SE dan ke bawah, Axia 2023 masih hadir dengan meter analog dan juga radio biasa tanpa skrin.

    Bagi model G dan X, ia diberikan tempat duduk biasa dengan perehat kepala berbentuk bantal di belakang. Manakala bagi model SE dan AV, ia hadir dengan tempat duduk “semi-bucket” di hadapan dan perehat kepala boleh laras di belakang. Namun hanya varian AV yang diberikan upholsteri separa kulit dua tona. Penapis filem keselamatan untuk cermin tingkap pula hanya diberikan pada SE dan AV.

    Untuk keselamatan, varian AV hadir dengan enam-beg udara, berbanding hanya dua pada model generasi sebelumnya. Sistem bantuan pemanduan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) turut ditawarkan. Sebelum ini, Axia facelift 2019 sudah pun ditawarkan dengan sistem Advanced Safety Assist (ASA, termasuk brek kecemasan automatik) pada varian terpilih.

    Perodua Axia 2023 – gambar rasmi hadapan dan belakang didedahkan tanpa pelekat penyamaran

    Untuk model baharu ini masih belum didedahkan varian mana yang akan menerima sistem bantuan pemanduan berkenaan, dan adakah ia turut akan menerima fungsi pemanduan separa autonomi (cruise control adaptif dan bantuan kekal lorong) seperti Ativa, Myvi dan Alza, tetapi sistem kestabilan elektronik VSC adalah standard untuk semua varian. Namun dengan platform DNGA, model baharu ini dijangka menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perodua Axia 2023 datang dengan lima pilihan warna badan iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baru yang juga warna hero untuk Axia D74A iaitu Coral Blue.

     
     
  • Terminal Titiwangsa bakal dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam – bas, Monorel, LRT, MRT

    Terminal Titiwangsa bakal dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam – bas, Monorel, LRT, MRT

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengesahkan Terminal Titiwangsa di Jalan Perkeliling, Kuala Lumpur bakal dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam yang menghubungkan lima mod
    perkhidmatan.

    Menurut beliau, terminal itu akan dibangun berpandukan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) bakal menghubungkan perkhidmatan bas, KL Monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang dan Seri Petaling serta Transit Aliran Massa (MRT) Dua dan Tiga, laporan Berita Harian.

    “Faktor keterhubungan dan keluasan kawasan adalah antara faktor utama pemilihan stesen Titiwangsa sebagai hab pengangkutan awam. Kedudukannya berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut mendorong idea berkenaan, selain hab pengangkutan awam itu akan dibangunkan secara berfasa yang mana ketika ini ia masih di peringkat perbincangan,” jelasnya.

    Tambahnya lagi, pembangunan di tapak itu milik Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) antara lain bakal mengetengahkan elemen ketersambungan batuan pertama dan akhir yang tidak hanya bergantung kepada bas pengantara.

    “Buat masa ini, kementerian sedang melihat pendekatan lain termasuk kerjasama dengan teksi dan syarikat e-hailing bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir.

    “Antara cadangannya ialah projek rintis bagi memperkenalkan konsep ride sharing kepada syarikat e-hailing bagi memastikan perjalanan dari rumah ke stesen dapat dioptimumkan dengan kadar tambang lebih murah,” katanya ketikalawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan penggunaan lebih banyak kenderaan mikromobiliti bagi menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan akhir dalam kalangan pengguna perkhidmatan awam.

    Bagaimanapun beliau menjelaskan beberapa infrastruktur khusus perlu dibangunkan bagi memudahkan penggunaan kenderaan mikromobiliti bagi tujuan berkenaan.

    “Kita juga perlu membenarkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromibiliti kerana ketetapan terdahulu melarang penggunaannya di atas jalan raya,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VKL dan SU-K bakal dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bidaan bagi siri nombor pendaftaran terkini Wilayah
    Persekutuan Kuala Lumpur, VKL, bakal dibuka bidaan mulai 10 Februari 2023. Tempoh bidaannya
    berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 14 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 15 Februari 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah pula, SU-K, bidaannya bakal dibuka bermula 12 Februari 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 Februari 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton Wira Aeroback dipandu laju lawan arus di Lebuh Raya Persekutuan – lampu juga tidak dipasang

    Proton Wira Aeroback dipandu laju lawan arus di Lebuh Raya Persekutuan – lampu juga tidak dipasang

    Satu lagi video kenderaan melawan arus tular di Twitter, dan kali ini menampakkan sebuah Proton Wira Aeroback dan dikatakan berlaku sekitar jam 3.50 pagi, 7 Februari 2023 di Lebuh Raya Persekutuan antara Bandar Sunway ke Jalan Kelang Lama.

    Seperti tidak tahu beliau berada di laluan yang salah, pemandu Wira Aeroback tersebut dilihat menekan minyak agak laju di laluan bertentangan dan menjadikan lebih merbahaya, beliau juga seperti tidak memasang lampu kerana lampu belakang hanya menyala apabila membrek.

    Seperti yang pernah kita lihat sebelum ini, tindakan melawan arus trafik ini sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya dan boleh membawa maut, seperti yang berlaku Julai tahun lalu – juga di Lebuh Raya Persekutan dan melibatkan Proton Wira.

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga sudah beberapa kali memuat naik amaran kesalahan memandu lawan arus, di mana penunggang atau pemandu yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000. Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan.

     
     
  • Indian FTR Sebastien Loeb – hanya dua unit, satu akan diberi kepada pemenang bertuah kempen tunggang uji

    Indian FTR Sebastien Loeb – hanya dua unit, satu akan diberi kepada pemenang bertuah kempen tunggang uji

    Indian Motorcycles telah mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan sebuah model FTR istimewa yang mendapat suntikan rekaan daripada juara rali WRC sembilan kali, Sebastien Loeb, dan dijadikan realiti oleh pembina motosikal daripada Perancis, Tank Machine.

    Dinamakan sebagai FTR Loeb, hanya dua buah model ini akan dihasilkan, dengan satu daripadanya diberi kepada Loeb sendiri, sementara satu lagi akan diberi kepada pemenang bertuah yang menyertai kempen pandu tunggang uji Indian dari 8 Februari hingga 15 Mei ini.

    Kempen ini hanya melibatkan beberapa negara di sekitar Eropah termasuk Sepanyol, Belanda, Portugal, Poland, Jerman, Perancis, United Kingdom, Switzerland, Luxembourg, Cyprus, Belgium, Austria dan juga Afrika Selatan.

    Meskipun lebih dikenali sebagai pemandu kereta profesional, Loeb juga sebenarnya gemar menunggang motosikal dan pada Februari tahun lepas beliau telah diambil sebagai duta jenama Indian Motorcycles. Menurut Loeb, menunggang motosikal memberikan sensasi yang berbeza berbanding memandu kereta.

    Melalui gambar yang disiarkan, model istimewa FTR Loeb ini dijadikan lebih menonjol dengan kemasan berwarna biru muda serta beberapa panel gentian karbon forged. Di bahagian hadapan, panel yang memegang lampunya mempunyai nombor sembilan, iaitu jumlah gelaran juara WRC yang berjaya dibolot oleh Loeb sementara di atas penapis udara yang terletak di atas tangkinya terdapat tanda tangan Loeb.

     
     
  • Shell FuelSave 95 baharu dilancarkan – memberikan sehingga 15 km lebih jauh untuk setiap tangki penuh

    Shell FuelSave 95 baharu dilancarkan – memberikan sehingga 15 km lebih jauh untuk setiap tangki penuh

    Hari ini Shell Malaysia telah melancarkan bahan api Shell FuelSave 95 baharu yang didakwa mampu memberikan sehingga 15 km lebih jauh untuk setiap tangki penuh. Dengan pelancaran Shell FuelSave 95 baharu ini, sekaligus menggambarkan komitmen syarikat dalam inovasi dan pembangunan produk mobiliti yang lebih baik khas untuk pelanggan setianya.

    Hasil usaha penyelidikan dan pengujian selama lebih lima tahun oleh 150 saintis bahan api, Shell FuelSave 95 baharu ini diformulasikan dengan teknologi sasaran deposit yang bertindak untuk pembersihan secara lebih mendalam dan melindungi enjin serta komponen lain termasuk injap masuk atau penyuntik bahan api daripada pengumpulan mendapan yang mengganggu prestasi enjin.

    Selain itu, ia juga melindungi semua jenis enjin daripada hakisan dan pembentukan deposit baharu serta melindungi bahagian kritikal enjin sama ada berteknologi lama, baharu atau hibrid.

    “Shell sentiasa berinovasi dan menambah baik tawaran kami agar pelanggan kami mendapatkan perjalanan yang terbaik seiring dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. ‘Better By Far’ atau ‘Ternyata Lebih Jauh’ merupakan komitmen kami untuk tidak berhenti dan terus berinovasi dalam menawarkan penyelesaian mobiliti baharu.

    “Shell FuelSave 95 baharu kini memberikan sehingga 15 km lebih jauh untuk setiap tangki agar pelanggan kami dapat menikmati perjalanan yang lebih jauh tanpa gangguan,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobiliti, Malaysia.

    Dalam majlis pelancaran, Shell turut melancarkan ‘Shell FuelSave 95 Challenge 2023’ yang merupakan misi pencarian seorang rakyat Malaysia yang dapat merekodkan penjimatan bahan api yang terbaik menggunakan Shell FuelSave 95 baharu. Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.

    Lebih menarik lagi, mulai 1 Mac sehingga 30 April 2023, bersama rakan kerjasama Shell iaitu VISA dan BonusLink, 150 rakyat Malaysia berpeluang memenangi minyak percuma selama 15 bulan apabila mereka mengisi Shell FuelSave 95 baharu dengan nilai RM50.

    “Pelancaran ‘Shell FuelSave 95 baharu kini sehingga 15 km lebih jauh dengan setiap tangki, merupakan permulaan yang signifikan kepada tawaran penyelesaian mobiliti ternyata lebih jauh daripada Shell untuk para pelanggan kami pada tahun 2023. Harapan kami agar anda dapat menikmati pemanduan yang lebih baik dengan bahan api baru kami walau ke mana jua destinasi anda,” tambah Seow Lee Ming lagi.

     
     
  • Perodua Axia 2023 – hampir semua pelanggan yang tempah model lama bertukar ke model baharu

    Perodua Axia 2023 – hampir semua pelanggan yang tempah model lama bertukar ke model baharu

    Seperti yang kami laporkan tempoh hari, produksi untuk Perodua Axia generasi pertama telah ditamatkan pada penghujung Januari, dan pemasangan model generasi kedua hatchback segmen-A tersebut telah pun bermula awal bulan ini sebelum pelancaran rasminya minggu hadapan.

    Namun apa jadi dengan pelanggan yang menempah model generasi pertama kerana harga untuk model generasi kedua ini adalah lebih tinggi? Dalam kenyataan yang dikeluarkan ketika sesi prebiu Axia D74A kepada media pagi ini, Perodua mendakwa bahawa hampir kesemua pelanggan yang menempah Axia lama berkenaan berjaya ‘dipujuk’ untuk menukar tempahan mereka kepada model generasi baharu.

    “Penasihat-penasihat jualan kami telah menghubungi pelanggan kami untuk mengubah tempahan kepada Perodua Axia serba baharu, dan hampir semua pelanggan kami bersetuju untuk bertukar,” kata presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan tersebut.

    Perodua Axia D74A ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menampilkan saiz yang lebih besar serta diberikan perincian-perincian yang jauh lebih canggih termasuk kotak gear D-CVT, menyebabkan ia perlu dijual lebih mahal iaitu bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 bagi Axia AV.

    Ia jauh dengan julat harga Axia generasi pertama di mana model facelift 2019 Axia GXtra dengan VSC dijual pada harga RM34,990, manakala varian tertinggi Axia AV dijual pada harga RM43,190.

    Tempahan untuk Perodua Axia 2023 ini sudahpun dibuka bermula 1 Februari lalu, dan pelancaran rasminya akan dibuat pada 14 Februari nanti. Axia generasi baharu ini masih lagi kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, namun kali ini Axia yang akan membuat pendedahan global terlebih dahulu, menunjukkan sumbangan besar Perodua dalam proses pembangunannya.

    Kami telahpun melihat depan mata model genarasi baharu ini, dan perincian penuh berkenaan spesifikasinya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Pandangan Awal: Perodua Axia 2023 – dari RM38.6k, 1.0L D-CVT, varian AV kini lebih canggih dari Myvi!

    Pandangan Awal: Perodua Axia 2023 – dari RM38.6k, 1.0L D-CVT, varian AV kini lebih canggih dari Myvi!

    Tak sabar nak tengok bagaimana rupa Perodua Axia 2023? Ini dia gambar pertama yang sempat kami rakam ketika sesi prebiu untuk media yang berlangsung pagi ini. Ya, ia masih berselindung disebalik pelekat penyamaran kerana Axia D74A ini hanya akan dilancarkan pada 14 Februari nanti.

    Axia generasi kedua ini merupakan model ketiga dari Perodua yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) selepas Ativa dan juga Alza 2022. Ia masih kembar kepada Daihatsu Ayla dan Toyota Agya di Indonesia, tetapi kali ini Axia yang terlebih dahulu membuat kemunculan sulung global menunjukkan penglibatan besar Perodua dalam proses R&D hatchback segmen-A berkenaan.

    Walau bagaimanapun, model ini masih dibekalkan enjin 1KR-VE 1.0 liter tiga-silinder VVT-i dari model generasi sebelumnya, menghasilkan kuasa 67 hp dan tork maksima 91 Nm. Turbo? Nampaknya laporan yang tersebar sebelum ini sah hanya khabar angin semata-mata.

    Pandangan Awal: Perodua Axia 2023 – dari RM38.6k, 1.0L D-CVT, varian AV kini lebih canggih dari Myvi!

    Namun enjin tersebut kini tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional 4AT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear Dual Mode CVT (D-CVT) yang sama seperti pada Ativa, Myvi facelift dan juga Alza 2022. Kotak gear yang jauh lebih canggih ini menggabungkan sistem CVT yang menggunakan tali sawat bersama gear sebenar bagi memberikan penggunaan bahan api, pecutan dan juga tahap kesenyapan yang lebih baik.

    Kotak gear D-CVT ini akan berfungsi seperti kotak gear CVT dengan torque converter biasa, memberikan nisbah gear menerusi tali sawat yang berubah kedudukan pada pulley yang memacu dan dipacu. Namun untuk kelajuan lebih tinggi, kuasa akan disalurkan kepada set gear helix bagi menyalurkan kuasa dengan efisien tanpa banyak kehilangan kuasa.

    Dengan kotak gear D-CVT dan juga sistem Eco Idle, Axia 2023 kini mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada model generasi sebelum ini. Bacaan berkenaan adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.

    Pada Myvi facelift, kotak gear D-CVT ini bukan sahaja memberikan penjimatan bahan api 5% lebih baik berbanding model yang meggunakan kotak gear 4AT, malah pecutan 0-100 km/j adalah 20% lebih pantas. Jadi boleh dijangka Axia 2023 ini juga bakal memberikan prestasi pecutan lebih baik.

    Pandangan Awal: Perodua Axia 2023 – dari RM38.6k, 1.0L D-CVT, varian AV kini lebih canggih dari Myvi!

    Ketika dilancarkan nanti kesemua empat varian Axia 2023 iaitu G, X, SE dan AV akan hadir dengan kombinasi unit rangkaian kuasa yang sama. Axia baharu ini masih akan menampilkan versi yang diberikan kotak gear manual, namun ia hanya akan muncul selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

    Sistem Eco Idle hanya diberi untuk Axia SE dan AV. Dua varian tertinggi ini juga diberikan mod Power, iaitu mod yang memberikan penghantaran kuasa lebih agresif menerusi butang yang diletakkan pada jejari kanan roda stereng sama seperti Ativa.

    Lampu hadapan LED diberikan standard untuk varian X dan ke atas. Manakala varian SE dan AV dapat dibezakan menerusi pemadanan lampu nyalaan siang LED. Kesemua varian Axia 2023 ini diberikan kawalan elektrik, tetapi hanya varian SE dan AV menerima fungsi auto-lipat.

    Sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin juga adalah standard untuk varian X dan ke atas. Apa yang menarik, kunci boleh dibuka menerusi penderia elektrostatik pada pembuka pintu seperti pada Ativa, lebih canggih dari Myvi yang masih menggunakan butang hitam.

    Model varian tertinggi Axia AV kali ini turut diberikan paparan instrumen digital penuh dengan skrin TFT 7.0-inci. Meter digital berkenaan bukan sahaja menampilkan saiz yang sama seperti pada Ativa dan Alza, malah ia turut memberikan grafik visual yang sama menampilkan meter rpm berbentuk “gegelang 3D”.

    Model AV ini juga menampilkan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz 9.0-inci, juga nampaknya unit yang sama seperti Ativa berdasarkan paparan grafiknya. Perincian-perincian ini menjadikan Axia AV ini lebih mewah dari Myvi yang masih diberikan meter analog. Namun untuk varian SE dan ke bawah, Axia 2023 masih hadir dengan meter analog dan juga radio biasa tanpa skrin.

    Bagi model G dan X, ia diberikan tempat duduk biasa dengan perehat kepala berbentuk bantal di belakang. Manakala bagi model SE dan AV, ia hadir dengan tempat duduk “semi-bucket” di hadapan dan perehat kepala boleh laras di belakang. Namun hanya varian AV yang diberikan upholsteri separa kulit dua tona. Penapis filem keselamatan untuk cermin tingkap pula hanya diberikan pada SE dan AV.

    Untuk keselamatan, varian AV hadir dengan enam-beg udara, berbanding hanya dua pada model generasi sebelumnya. Sistem bantuan pemanduan Perodua Smart Drive Assist (PSDA) turut ditawarkan. Sebelum ini, Axia facelift 2019 sudah pun ditawarkan dengan sistem Advanced Safety Assist (ASA, termasuk brek kecemasan automatik) pada varian terpilih.

    Untuk model baharu ini masih belum didedahkan varian mana yang akan menerima sistem bantuan pemanduan berkenaan, dan adakah ia turut akan menerima fungsi pemanduan separa autonomi (cruise control adaptif dan bantuan kekal lorong) seperti Ativa, Myvi dan Alza, tetapi sistem kestabilan elektronik VSC adalah standard untuk semua varian. Namun dengan platform DNGA, model baharu ini dijangka menerima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Perodua Axia 2023 datang dengan lima pilihan warna badan iaitu Granite Grey, Lava Red, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan warna baru yang juga warna hero untuk Axia D74A iaitu Coral Blue.

    Harga tentatif untuk Axia 2023 ini juga telah diumumkan sebelum ini iaitu bermula dari RM38,600 untuk Axia G, RM40,000 untuk Axia X, RM44,000 untuk Axia SE dan RM49,500 untuk Axia AV; semuanya harga atas jalan tidak termasuk insuran.

    Dengan perincian yang lebih canggih, harga untuk Axia baharu ini sememangnya lebih tinggi berbanding sebelumnya. Sebagai rujukan, harga pelancaran bagi Axia facelift 2019 adalah RM34,990 bagi GXtra dengan VSC dan RM43,190 bagi AV. Jadi bagaimana? Boleh terima harga dengan spesifikasi yang ditawarkan untuk Perodua Axia 2023 ini?

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua: Tarikh pelancaran didedahkan selepas ujian operasi selesai – Menteri

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua: Tarikh pelancaran didedahkan selepas ujian operasi selesai – Menteri

    Tarikh pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 atau MRT2 akan didedahkan selepas ujian operasi selesai, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan The Star.

    Buat setakat ini, keseluruhan Laluan Putrajaya telah siap pada 99.9% (pada Januari 2023). Ujian operasi masih dijalankan oleh pihak MRT Corp dan Rapid Rail bagi memastikan segala sistem stabil dan selamat apabila operasi penuh bermula.

    “Dengan sempurnanya fasa kedua projek ini menyaksikan 24 stesen tambahan dibuka. Sekaligus membawakannya sejumlah 36 stesen dari Putrajaya (ke Kwasa Damansara),” kata Loke selepas memantau ketersediaan operasi perkhidmatan tersebut. Lawatan itu bermula dari Stesen Putrajaya Sentral hingga ke Stesen Kwasa Damansara.

    Terdapat 10 stesen pertukaran di sepanjang laluan berkenaan, dengan stesen Titiwangsa dibangunkan sebagai hab pengangkutan awam. “Stesen Hospital Kuala Lumpur juga dipertimbangkan untuk menjadi salah satu stesen utama bagi laluan berkenaan, yang memudahkan lagi perjalanan pesakit dan pelawat untuk ke hospital tersebut,” kata Loke, sambil menambah stesen berkenaan juga akan mempunyai travelator sepanjang 400 meter.

    MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua: Tarikh pelancaran didedahkan selepas ujian operasi selesai – Menteri

    Selain itu, terdapat 107 buah bas perantara akan berkhidmat untuk stesen MRT Putrajaya Fasa Dua ini, dengan sejumlah 47 set tren yang akan beroperasi. Laluan ini dijangka akan menerima sejumlah 200,000 penumpang setiap hari dalam tempoh setahun atau dua tahun selepas ia dilancarkan, tambah Loke lagi.

    Sebelum ini, Prasarana Malaysia menjangkakan seramai 1.2 juta penumpang akan menggunakan perkhidmatan bas dan rel apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya, meningkat berbanding 722,000 penumpang pada tahun lalu.

    Pada asalnya, MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua ini mula beroperasi pada Januari 2023, namun MRT Corp mengumumkan pada Disember lalu, namun ia ditangguhkan dan dijangka akan selesai pada Mac tahun ini. Seksyen sepanjang 38.7 km bagi jajaran ini, melibatkan 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah.

    Berkenaan dengan projek rel MRT Fasa Ketiga atau MRT3 pula, Loke berkata Menteri Kewangan dijangka akan meluluskan projek tersebut tidak lama lagi. Turut dikenali sebagai Laluan Lingkaran, MRT3 telah pun diluluskan oleh Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada suku pertama tahun lalu. Ia susulan pembatalan oleh kerajaan sebelum itu yang dipimpin oleh
    Tun Dr Mahathir Mohamad.

     
     
  • Proton X50 bakal terima kemaskini untuk model 2023?

    Proton X50 bakal terima kemaskini untuk model 2023?

    Sekejap sahaja masa berlalu, Proton X50 kini sudahpun hampir tiga tahun dalam pasaran. Kalau diikutkan, penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan SUV segmen-B berkenaan mungkin akan diberikan versi facelift. Namun dalam satu video yang baru dimuat naik oleh Proton di laman sosial mereka, X50 mungkin akan diperkenalkan dalam versi kemaskini 2023 tidak lama lagi.

    Dalam video berkenaan, ketua eksekutif program pembangunan Proton X50, Mohd Haizam Ghazali berkongsi pelbagai informasi seperti penerimaan pelanggan dan juga perincian-perincian yang telah diberikan pada SUV yang telah pun terjual lebih 70,000 unit sejak ia dilancarkan pada Oktober 2020 tersebut.

    Beliau turut mendedahkan bahawa Proton memang ada perancangan untuk meningkatkan kebolehan X50 dan versi kemaskini berkenaan bakal diumumkan tidak lama lagi.

    “Proses pembaikkan dan penambahan kepada barisan model di Proton akan sentiasa dan terus dilakukan. Kami peka tentang saingan yang dihadapi pada hari ini tetapi kami juga yakin dengan kebolehan Proton X50 untuk menarik perhatian pelanggan,” kata Haizam.

    “Ya memang ada rancangan untuk meningkatkan lagi kebolehan Proton X50, tapi tunggulah untuk pengumuman itu,” tambahnya lagi.

    Kami jangkakan kemaskini yang dimaksudkan oleh Haizam ini bukanlah model facelift menyeluruh, tetapi versi kemaskini ringan seperti yang dibuat pada Saga MC2 2022 dan Exora 2023. X50 2023 mungkin akan mengekalkan rupa sedia ada dengan sedikit penyegaran pada rupa luaran dan dalaman, penambahan beberapa ciri baharu dan mungkin juga menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang diproduksi secara tempatan di Tanjong Malim.

    Apa pun seperti yang disebut oleh En.Haizam, “tunggulah untuk pengumuman itu”.

    GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

     
     
  • Volvo EX90 akan tiba di Malaysia Q4 2024 – EV tujuh tempat duduk dengan kuasa sehingga 510 hp, 910 Nm

    Volvo EX90 akan tiba di Malaysia Q4 2024 – EV tujuh tempat duduk dengan kuasa sehingga 510 hp, 910 Nm

    Selepas Volvo EX90 diperkenalkan buat pertama kali kepada dunia November tahun lepas, kini kami bawakan kepada anda gambar langsung model yang dipertontonkan kepada wakil media di ibu pejabat Volvo di Gothenburg, Sweden.

    Teaser untuk SUV elektrik tujuh tempat duduk ini pernah disiarkan oleh Volvo Malaysia, dan sekarang syarikat itu mendedahkan ia bakal tiba di negara kita pada suku keempat tahun 2024, dengan harga yang akan diberitahu kelak.

    EX90 akan ditawarkan dengan dua konfigurasi rangkaian kuasa; kedua-duanya dilengkapi dengan dua motor elektrik, dengan masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda.

    Volvo EX90 akan tiba di Malaysia Q4 2024 – EV tujuh tempat duduk dengan kuasa sehingga 510 hp, 910 Nm

    Versi pertama merupakan varian yang digelar Twin Motor, dilengkapi modul Electric Front Axle Drive (EFAD) yang menghasilkan 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork maksima 350 Nm bersama Electric Rear Axle Drive (ERAD) menghasilkan 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan 420 Nm. Secara keseluruhan, ia menghasilkan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

    Versi kedua pula adalah varian Twin Motor Performance yang menawarkan EFAD berkuasa 272 PS (288 hp atau 200 kW) dan tork maksima 490 Nm, serta ERAD berkuasa 245 PS (241 hp atau 180 kW) dan tork maksima 420 Nm. Ini menjadikan kuasa keseluruhan EX90 Twin Motor Performance ini mencapai 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan tork maksima 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    Hanya satu bateri ditawarkan untuk kedua-dua model iaitu bateri lithium-ion dari CATL berkapasiti 107 kWh (111 kWh kasar). Ini membolehkan model Twin Motor bergerak sejauh 600 km dan Twin Motor Performance bergerak sejauh 590 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP.

    Untuk mengecas pula, EX90 boleh menampung input DC (sambungan CCS2) pada kadar maksimum 250 kW, dengan tahap cas 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit; 180 km boleh ditambah dengan pengecasan hanya 10 minit. Ada juga pengecasan biasa AC (sambungan Type 2) pada 11 kW, dengan cas penuh mengambil masa 11 jam. SUV ini juga boleh digunakan sebagai pembekal kuasa elektrik vehicle-to-grid (V2G).

    Berkenaan saiz, EX90 menampilkan dimensi 5,037 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1,747 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,985 mm. Oleh itu, EX90 ini adalah lebih panjang dan lebar berbanding XC90 yang menampilkan dimensi 4,950 mm panjang, 1,923 mm lebar. Namun EX90 adalah 29 mm lebih rendah dengan jarak roda hanya 1 mm lebih jauh berbanding XC90.

    Pada bahagian keselamatan, EX90 hadir dengan kit canggih meliputi sensor Iris LiDAR dari Luminar di atas bumbung, lima radar, lapan kamera, dua kamera dalaman dan 16 sensor ultrasonic. Volvo juga menyifatkan SUV ini bersedia dari segi peranti untuk pemanduan autonomous di masa hadapan, tetapi buat masa sekarang, pemandu akan ada pelbagai akses bagi ciri semi-autonomous Tahap 2 seperti kawalan melayar adaptif, bantuan ke tengah lorong dan beberapa lagi sistem lain.

     
     
  • Ducati DesertX dapat sistem navigasi Turn by Turn

    Ducati DesertX dapat sistem navigasi Turn by Turn

    Ducati menambah lagi kemampuan motosikal dual-purpose mereka, iaitu DesertX dengan memberikan pilihan sistem navigasi Turn by Turn kepada pemilik. Fungsi ini bagaimanapun disediakan sebagai pilihan tambahan, dan boleh dipasang terus kepada motosikal baru ataupun ditambah kepada motosikal yang sudah keluar daripada pusat pameran.

    Menurut Ducati, DesertX menjadi model Ducati pertama yang menerima sistem navigasi ini, dan ia tidak memerlukan sebarang alat tambahan luaran. Ia cuma menggunakan Ducati Multimedia System (aksesori tambahan Ducati) pada skrin TFT motosikal, serta sambungan kepada Ducati Link App di telefon pintar.

    Apabila sambungan bluetooth antara telefon dan motosikal telah dibuat, dan navigasi dibuka, telefon boleh kembali disimpan dan skrin TFT akan menunjukkan arah jalan, simpang serta jarak. Sistem navigasi ini hanya mengambil sebahagian daripada paparan sementara selebihnya masih memaparkan informasi penting motosikal.

    Pemilik juga boleh memilih sekiranya mereka mahu petunjuk visual sahaja atau visual dan audio, apabila set fon telinga turut disambung kepada Ducati Multimedia System. Selain daripada itu, sistem ini juga boleh memaparkan had laju jalan, serta merekod data jalan yang dilalui, kelajuan dan sudut condong motosikal.

    Menurut Ducati lagi, fungsi sistem ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan juga bakal dipasang kepada Diavel V4 tidak lama lagi. Liputan peta juga agak meluas dengan tambahan terbaru yang akan dibuat adalah termasuk China, Korea Selatan dan Jepun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025