Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Pagi tadi secara rasminya Perodua menyerahkan lima buah Perodua Myvi yang akan digunakan sebagai kereta peronda polis kepada PDRM Selangor, dengan majlis yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Perodua yang terletak di Rawang, Selangor. Majlis tersebut dihadiri oleh pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan juga ketua polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed.

    Bagi yang tertanya-tanya, ya, ini merupakan lima buah Myvi yang tular di media-media sosial sebelum ini. Kesemua Myvi berkenaan adalah dari varian tertinggi AV, namun ia bukan model facelift terkini yang dilancarkan pada November tahun lalu, sebaliknya adalah dari versi pre-facelift. Unit-unit tersebut diserahkan kepada PDRM adalah atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perodua, dan syarikat itu turut menawarkan servis dan penyelengaraan percuma selama dua tahun untuk kesemua Myvi berkenaan.

    Kesemua Myvi ini akan bertugas di sekitar Hulu Selangor, iaitu daerah terletaknya Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, dan balai-balai Polis yang menerimanya adalah Serendah, Rasa dan Ulu Yam Bharu. Manakala unit selebihnya akan digunakan oleh ibu pejabat polis daerah.

    Kereta polis Perodua Myvi diserahkan secara rasmi – PDRM gunakan di Ulu Yam Bharu, Rasa dan Serendah

    Menurut Arjunaidi, kehadiran kesemua Myvi ini dapat membantu barisan kereta-kereta peronda PDRM sedia ada yang terdiri dari jenama Proton dan Honda. Beliau turut menyatakan bahawa kereta peronda Polis Myvi ini adalah selari dengan hasrat PDRM untuk terus mendekati rakyat dengan menggunakan kereta yang setaraf; Myvi merupakan kereta paling laris di Malaysia dan ia benar-benar kereta untuk rakyat.

    Berbeza dengan kereta-kereta peronda polis lain yang diberikan warna badan putih, peronda Myvi ini menampilkan warna badan perak, atau secara lebih spesifik warna Glittering Silver. Namun grafik badan yang diberikan adalah seiras dengan kereta-kereta peronda polis terkini.

    Turut kelihatan adalah pelekat logo Perodua yang ditampal pada bonet hadapan, but belakang dan juga kedua-dua pintu belakang. Manakala Myvi yeng bertugas di balai polis Serendah, Rasa dan Ulu Yam Bharu, masing-masing diberikan pelekat kawasan pada bahagian bawah pintu.

    Selain dari perincian-perincian standard sebuah Myvi AV, kabin peronda polis ini menerima butang untuk mengaktifkan lampu strob polis yang berada di atas bumbung. Ia juga menampilkan mikrofon bagi membolehkan anggota polis bercakap menggunakan pembesar suara, serta sistem siren bersama unit kawalan tangan tanpa wayar, memberikan bunyi seperti yang tertera pada butangnya termasuk “wail”, “yelp”, “co co” dan “wa wa”.

    Tiada ubahsuai dibuat pada sistem mekanikal, dan kesemua Myvi AV pre-facelift ini masih dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter berkuasa 102 hp dan tork maksima 136 Nm, digandingkan dengan kotak gear 4AT dan bukan D-CVT seperti model terkini.

     
     
  • Harga Subaru BRZ 2022 di Malaysia naik RM20k – RM250k bagi 6MT, RM260k untuk 6AT dengan EyeSight

    Harga Subaru BRZ 2022 di Malaysia naik RM20k – RM250k bagi 6MT, RM260k untuk 6AT dengan EyeSight

    Harga Subaru BRZ 2022 untuk pasaran Malaysia telah disemak semula, dengan model generasi kedua tersebut kini ditawarkan pada harga RM20,000 lebih tinggi berbanding dengan yang kami laporkan pada Mac lalu. Varian manual kini berharga RM249,245, manakala harga bagi varian automatik pula mencecah RM259,245. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk cukai jualan.

    Walaupun pengambilan tempahan untuk BRZ telah berjalan secara senyap-senyap sejak sekian lama, Motor Image masih belum melancarkan model tersebut secara rasmi di Malaysia. Namun begitu, model tersebut telah mula tiba dan dihantar kepada pelanggan, seperti yang dipaparkan menerusi catatan Facebook terbaru oleh Subaru Glenmarie.

    Namun, unit yang dibawa masuk ke pasaran sini adalah terhad memandangkan isu masalah rantaian bekalan memberikan kesan terhadap produksi Subaru di Jepun. Model BRZ untuk Malaysia adalah import sepenuhnya (CBU) dan ia dikeluarkan di kilangnya di Gunma, bersama kembarnya, Toyota GR86, serta model terkini WRX.

    Dalam tahun ini, beberapa kali pengeluar kereta ini telah menggantung seketika pengeluarannya di beberapa kilangnya di Jepun, termasuk kilang Gunma, yang turut menjejaskan pengeluaran BRZ. Situasinya sangat teruk sehingga Subaru dari Amerika secara senyap-senyap berhenti menerima tempahan model itu pada 13 Januari seperti mana yang dinyatakan dalam memo peniaga yang dilihat oleh ahli forum FT86Club. Untuk pasaran Indonesia pula, hanya 10 unit BRZ 2022 sahaja yang dibawa masuk dan ia habis terjual dalam tempoh sejam selepas dilancarkan dalam acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang berlangsung baru-baru ini.

    Untuk unit BRZ yang sampai ke pasaran Malaysia ini, kedua-dua varian menampilkan transmisi enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang dan dijanakan oleh enjin 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder flat (boxer) dengan hamburan kuasa 237 PS (234 hp) pada 7,000 rpm dan tork 250 Nm pada 3,700 rpm.

    Bagi prestasinya, varian automatik mengambil masa 6.8 saat untuk mendapatkan pecutan dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimumnya mampu cecah 216 km/j. Manakala untuk varian manual, untuk pecutan 0-100 km/,ia mengambil masa 6.3 saat untuk mencapainya dan kelajuan maksimum pula dicatatkan pada 226 km/j.

    Risalah spesifikasi Subaru BRZ 6AT (kiri), 6MT (kanan); klik untuk besarkan

    Untuk kelengkapan, ia memiliki ciri yang seiras, dengan diberikan roda aluminium 18-inci bersama kemasan kelabu gelap, sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, kluster instrumen digital tujuh-inci, pedal sport aluminium, beberapa mod pemanduan, tempat duduk upholstery dengan kombinasi kulit dan Ultrasuede serta stereng yang responsif dan lampu utama LED automatik.

    Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi tujuh beg udara, VSC, ABS, EBD, bantuan mula mendaki dan Subaru Rear Vehicle Detection (pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang). Walau bagaimana pun, varian automatik menerima ciri tambahan termasuk pedal penukar gear dan sistem keselamatan aktif EyeSight yang merangkumi kawalan kelajuan aktif, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, brek kecemasan sendiri (hadapan dan belakang) dan false start suppression control.

    BRZ ditawarkan dengan tujuh pilihan warna iaitu Ignition Red, Magnetite Grey Metallic, Sapphire Blue Pearl, World Rally Blue Pearl, Crystal Black Silica, Crystal White Pearl dan Ice Silver Metallic. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

    GALERI: Subaru BRZ 2021 (pasaran Jepun)

     
     
  • Harga minyak 25-31 Ogos – RON97 turun 5 sen seliter

    Harga minyak  25-31 Ogos – RON97 turun 5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu terakhir Ogos 2022 iaitu 25 hingga 31 Ogos, harga runcit bagi petrol RON97 sekali lagi dilaporkan turun iaitu sebanyak 5 sen seliter, menjadikannya RM4.30 seliter berbanding RM4.35 seliter pada minggu sebelumnya.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 31 Ogos 2022. Ini merupakan minggu ketujuh berturut-turut harga runcit RON97 dilapokan turun.

    Namun begitu, harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan sedang dibangunkan di Australia, dibuat untuk pasaran RHD

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan sedang dibangunkan di Australia, dibuat untuk pasaran RHD

    Jika kita sebut tentang trak pikap Toyota, pastinya terus terbayang Toyota Hilux bukan? Malah di secara umum di Malaysia, apa sahaja yang berbentuk trak pikap, semuanya di cop sebagai ‘Hailak’. Namun sebenarnya Toyota bukan hanya ada Hilux untuk segmen trak pikap, tetapi ia ada model yang jauh lebih besar dari Hilux iaitu Tacoma dan Tundra.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua trak pikap ini dihasilkan hanya dalam versi pemanduan sebelah kiri, dengan pasaran utamanya adalah untuk Amerika Syarikat. Tetapi dalam pengumuman yang baru dibuat, Toyota mengesahkan bahawa pembangunan untuk Tundra versi pemanduan sebelah kanan (RHD) kini sedang dijalankan secara ekstensif dan ia bakal didedahkan tidak lama lagi.

    Tundra dalam versi RHD ini disasarkan untuk dijual dipasaran-pasaran yang menggunakan konfigurasi pemanduan tersebut terutamanya di Australia, dan pembangunannya turut dibuat di negara berkenaan dengan kerjasama firma kejuruteraan tempatan, Walkinshaw Automotive Group.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan sedang dibangunkan di Australia, dibuat untuk pasaran RHD

    Sekitar 300 unit prototaip Tundra versi RHD ini akan muncul di Australia bulan hadapan; bukan untuk dijual, sebaliknya kesemua unit tersebut digunakan sebagai ujian terakhir pembangunannya, dan ia akan dipantau untuk kegunaan sebenar di Australia.

    Proses kejuruteraan semula untuk mengubah kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke kanan ini akan melibatkan penggunaan komponen seperti kolum dan rak stereng, pedal pendikit dan brek serta tuil penukar gear yang diambil dari SUV Land Cruiser 300. Toyota juga menyatakan bahawa kesemua unit prototaip Tundra RHD ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid menampilkan enjin petrol V6 3.5 liter turbo.

    Di Amerika Syarikat unit rangkaian kuasa tersebut dikenali sebagai unit iForce Max, menampilkan enjin V6 V35A-FTS 3.5 liter turbo berkembar, digandingkan dengan unit motor generator pada bell housing kotak gear bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 437 hp dan tork maksima 790 Nm serta transmisi automatik 10-kelajuan.

    Toyota Tundra versi pemanduan sebelah kanan sedang dibangunkan di Australia, dibuat untuk pasaran RHD

    “Ini merupakan program kejuruteraan semula khas, diterajui oleh Toyota Australia dan rakan-rakan kerjasama global kami dan ia disokong rapat oleh syarikat induk kami dan Toyota North America. Ia akan menggunakan rekaan, pembangunan, ujian dan komponen berasaskan OE (kelengkapan asli) dalam komitmen Toyota terhadap kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan,” kata naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchais Toyota Australia, Sean Hanley.

    Dengan adanya versi pemanduan sebelah kanan ini, tidak mustahil Tundra akan dibawa ke pasaran RHD lain termasuk ke Asia Tenggara. Sebelum ini, Hamawangsa Kredit ada membawa trak pikap bersaiz besar seperti Tundra ini ke Malaysia, iaitu Ford F-150 generasi ke-13 dan juga versi prestasi F-150 Raptor.

    Kedua-dua model berkenaan menerima kerja-kerja kejuruteraan semula dari versi LHD ke RHD oleh Clive Sutton (tidak dijual dengan logo Ford sebenar, dan bukan diedarkan secara rasmi oleh Ford Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion), dan ia dipasang secara tempatan di Gurun, Kedah. Agak-agak ada peluang atau tidak untuk Tundra ini dijual sebagai model istimewa oleh UMW Toyota di Malaysia?

    GALERI: Toyota Tundra 2022 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Dua motosikal kustom Pa’Din Musa bawa beliau keluar dari zon selesa, menang banyak anugerah di AOS 2022

    Dua motosikal kustom Pa’Din Musa bawa beliau keluar dari zon selesa, menang banyak anugerah di AOS 2022

    Acara Art of Speed (AOS) yang berlangsung bulan lalu di MAEPS, Serdang adalah antara acara terbesar di Malaysia yang mengumpulkan pelbagai kereta dan motosikal unik termasuklah ubah suai khas ataupun kustom. Jika anda betul-betul kaki kereta atau motosikal, pastinya tempoh dua hari ia berlangsung dirasakan seperti tidak cukup untuk meneliti jentera yang dipamerkan.

    Tidak dinafikan, setiap jentera yang dipamerkan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri, dalam kategori masing-masing, tetapi untuk motosikal, yang sangat menarik perhatian kami adalah yang dibawa oleh Pa’Din Musa di atas nama bengkel Abah & Sons beliau, iaitu Harley-Davidson Shovelhead tahun 1975 dan Triumph Bonneville T120R tahun 1971.

    Untuk pengetahuan anda, Pa’Din pulang dari AOS 2022 membawa enam anugerah termasuklah motosikal terbaik, chopper atas 400 cc terbaik, pilihan juri dan wakil jemputan, serta fabrikasi terbaik. Bukan setakat itu, cara beliau menghias tapak pameran dengan menghasilkan suasana ala kampung dengan anak ayam hidup juga membawa kepada kemenangan kategori pameran terbaik.

    Semasa di tapak acara, kami hanya berpeluang untuk melihat sahaja dua motosikal ini, dan tidak berkesempatan berjumpa dengan Pa’Din. Disebabkan itu, baru-baru ini kami pergi sendiri ke Kepala Batas, Pulau Pinang untuk berjumpa dengan beliau dan mendapatkan perincian Shovelhead dan Bonneville ini.

    Walaupun diperkenalkan sebagai Shovelhead tahun 1975 dan Bonneville tahun 1971, itu sebenarnya cuma asas yang digunakan oleh Pa’Din untuk menghasilkan dua jentera ini kerana kebanyakan bahagian lain adalah diubah suai dengan barangan yang dibuat sendiri ataupun diambil daripada model-model lain.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Toyota Sienta 2022 diperkenal di Jepun – bermula RM64k, platform TNGA, enjin 1.5L Dynamic Force

    Toyota Sienta 2022 diperkenal di Jepun – bermula RM64k, platform TNGA, enjin 1.5L Dynamic Force

    Toyota secara rasminya telah mendedahkan model generasi baharu MPV Sienta di Jepun. Sienta 2022 ini dihasilkan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam versi GA-B, dan ia akan menggantikan model generasi kedua yang telahpun dijual sejak 2015.

    Walaupun menggunakan platform baharu, saiz Sienta generasi ketiga ini adalah hampir sama dengan model generasi kedua, menampilkan dimensi panjang 4,260 mm, lebar 1,695 dan jarak roda 2,750 mm. Perbezaan yang paling ketara hanyalah ketinggiannya di mana model baharu ini menampilkan tinggi 1,715 mm atau 20 mm lebih tinggi dari model sebelumnya, memberikan ruang kabin lebih luas.

    Di Jepun, Sienta ditawarkan dalam konfigurasi sama ada lima tempat duduk dalam dua baris, atau tujuh tempat duduk yang di bahagikan kepada tiga baris dengan susunan 2-3-2. Jarak antara tempat duduk hadapan dan belakang kini boleh ditolak ke belakang sehingga 1,000 mm (+80 mm) bagi memberikan ruang lebih selesa untuk penumpang di baris kedua.

    Akses keluar dan masuk ke kabin belakang juga kini lebih baik di mana pintu gelangsar yang di berikan memberikan bukaan dengan ketinggian 1,200 mm (+60 mm). Manakala lantai masih lagi rendah dan rata seperti sebelum ini dengan ketinggian hanya 330 mm (350 mm untuk model pacuan semua roda).

    Toyota Sienta 2022 diperkenal di Jepun – bermula RM64k, platform TNGA, enjin 1.5L Dynamic Force

    Model generasi ketiga ini menampilkan rupa yang lebih kepada sebuah kenderaan pelbagai guna, berbanding gaya lebih funky pada model generasi kedua. Ia diberikan lampu hadapan yang nampak lebih petak berbanding lampu lebih tirus pada model sebelumnya. Tiada gril sebelah atas diberikan, sebaliknya ia menerima jalur kemasan yang menghubungkan kedua-dua lampu utama dengan logo Toyota diletakkan di tengah.

    Gril utama pada bampar juga kini lebih bersegi dari sebelum ini, dan turut menampilkan bar yang agak tebal di tengah, bersama kemasan sekeliling berwarna perak untuk bahagian tengah dan ke bawah. Unik untuk Sienta generasi baharu ini, ia diberikan kemasan hitam seakan pelindung badan bermula pada kedua-dua sisi bampar hadapan, bahagian bawah pintu sehingga ke sisi bampar belakang.

    Toyota turut menyatakan bahawa ke semua cermin tingkap pada Sienta 2022 ini dihasilkan lebih besar dari sebelum ini dengan merendahkan bahagian asasnya, memberikan pandangan luar yang lebih luas kepada penumpang di dalam kabin. Rekaan cermin lebih besar ini turut melibatkan tingkap paling belakang, memberikan pandangan yang lebih luas untuk penumpang di baris ketiga.

    Berbanding model sebelumnya yang menampilkan rekaan lampu belakang melintang, Sienta generasi baharu ini tampil dengan lampu belakang menegak diletakkan pada tiang-D. Pintu tailgate belakang model baharu ini didakwa mempunyai bukaan 15 mm lebih tinggi – menurut Toyota, basikal 27-inci boleh dimasukkan tanpa hendal hadapan tersangkut pada bukaan pintu, dan menawarkan ruang simpanan 50 mm lebih tinggi dengan mengubah struktur lipatan tempat duduk baris kedua.

    Toyota Sienta 2022 diperkenal di Jepun – bermula RM64k, platform TNGA, enjin 1.5L Dynamic Force

    Juga seperti bahagian luar, bahagian dalaman ini Sienta kini menampilkan rekaan-rekaan lebih berkotak dan tersusun, berbanding rekaan funky pada model sebelumnya. Bahagian storan terbuka di hadapan penumpang hadapan kini lebih besar manakala skrin infotainmen pula tidak lagi tenggelam sebaliknya berdiri sendiri pada konsol tengah.

    Tiada konsol terowong pada bahagian tengah di mana tombol gear dianjak lebih ke hadapan melekat dengan konsol tengah papan pemuka, membolehkan pergerakan antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan di buat lebih mudah. Pemegang-pemegang cawan diberikan pada setiap sisi papan pemuka tersebut dan satu lagi diletakkan bersebelahan tombol gear.

    Untuk varian lebih tinggi, pemandu menerima paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci, serta skrin infotaimen Display Audio Plus bersaiz 10.5-inci yang turut menyokong servis terhubung T-Connect. Manakala bagi varian-varian lebih rendah, ia menerima paparan instrumen analog bersama skrin pelbagai info 4.2-inci da juga skrin Display Audio hanya 8-inci.

    Pelanggan di Jepun ditawarkan dengan opsyen Comfort Package menampilkan cermin tingkap yang memberi tapisan terhadap sinaran UV dan IR. Ia juga diberikan peindung matahari manual pada tempat duduk baris kedua, pengedar udara siling dan tempat duduk balutan fabrik dengan rawatan penyahbauan dan kalis air/minyak.

    Toyota Sienta 2022 diperkenal di Jepun – bermula RM64k, platform TNGA, enjin 1.5L Dynamic Force

    Bagi sistem keselamatan, Sienta 2022 ini diberikan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense standard untuk semua varian. Pakej tersebut menghimpunkan fungsi seperti Sistem Keselamatan Pra-Pelanggaran (brek kecemasan automatik), Bantuan Pemanduan Proaktif dan sistem bantuan parkir Advanced Park.

    Sienta generasi baharu ini masih menampilkan konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Namun dengan kerangka badan dari paltform TNGA yang lebih tegar bersama penggunaan perekat struktur yang tinggi kadar serapan, ia memberikan pemanduan, keselesaan dan pengendalian lebih baik.

    Seperti Yaris pasaran Jepun dan Eropah yang turut dibangunkan menerusi platform TNGA-B, Sienta 2022 ini turut menerima enjin Dynamic Force M15A-FKS 1.5 liter tiga-silinder NA. Ia menghasilkan kuasa 120 PS (118 hp) pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm bermula 4,800 hingga 5,200 rpm, disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Direct Shift CVT. Menurut Toyota, padanan ini membolehkan Sienta mencapai kadar penggunaan bahan api 18.4 km/l dalam standard WTLC.

    Sienta turut ditawarkan dalam versi hibrid menampilkan enjin petrol kitaran-Atkinson M15A-FXE 1.5 liter tiga-silinder berkuasa 91 PS (90 hp) dan tork 120 Nm, digandingkan dengan kotak gear eCVT dan motor elektrik menghasilkan 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm, serta diberikan bateri 6.5-Ah yang diletakkan pada lantai. Versi ini mampu mencapai kadar penggunaan bahan api lebih rendah sehingga 28.8 km/l.

    Model hibrid ini juga ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four. Tiada sistem penghantaran dari kotak gear untuk memacu roda belakang bagi sistem ini, sebaliknya gandar belakang diberikan motor elektrik berkuasa 3 PS (2.95 hp atau 2.2 kW) dan tork 44 Nm bagi memberikan lebih cengkaman pada permukaan jalan lebih licin. Sebab itulah mengapa lantai bagi model AWD ini adalah 20 mm lebih tinggi dari versi pacuan hadapan.

    Ketiga-tiga pilihan unit rangkaian kuasa ini boleh dipilih dalam tiga gred berbeza iaitu gred asas X, gred pertengahan G dan juga gred tertinggi Z. Bagi model petrol sepenuhnya ia dijual pada harga bermula 1.95 juta hingga 2.56 juta yen (RM63,682 hingga RM83,608), manakala model hibrid pacuan hadapan dijual pada harga bermula 2.38 juta hingga 2.91 juta yen (RM77,729 hingga RM95,039).

    Model hibrid dengan sistem AWD E-Four pula dijual pada harga bermula 2.578 juta yen (RM84,196) sehingga 3.108 juta yen (RM101,505). Sienta 2022 JDM ini juga hadir dalam versi Welcab, iaitu model yang direka khas untuk kegunaan orang kurang upaya, memudahkan mereka masuk ke kabin dengan kerusi roda.

    Model Welcab ini ditawarkan dalam versi empat atau lima tempat duduk, di mana ruang pada baris ketiga dihasilkan khas untuk memuatkan kerusi roda bersama ramp opsyenal untuk naik ke atas. Model Welcab ini juga ada ditawarkan dalam versi Friendmatic yang mampu mengurangkan tenaga operasi stereng lebih separuh berbanding model biasa, memudahkan orang kurang upaya memandunya.

    Pelbagai lagi peranti-peranti bantuan pemanduan boleh dipadankan pada Sienta Welcab ini bergantung kepada keperluan pelanggan. Sienta Welcab ini dijual pada harga bermula 2.13 juta sehingga 2.87 juta yen (RM69,556 hingga RM93,721).

    Sebelum ini UMW Toyota telah pun membawa Sienta generasi kedua ke pasaran Malaysia – dilancarkan pada Ogos 2016, ketika itu dijual pada harga RM92,900 hingga RM99,900. Ia kemudiannya perkenalkan dalam versi kemaskini pada 2018, namun ia kemudiannya tidak lagi ditawarkan pada pasaran Malaysia untuk versi facelift yang diperkenalkan pada November 2018.

    UMW Toyota kini tidak lagi menawarkan MPV Avanza dalam pilihan model MPV mereka, dan bakal digantikan dengan Toyota Veloz yang lebih premium. Harga untuk Veloz ini berkemungkinan akan berada pada julat harga Sienta sebelum ini, jadi berkemungkinan besar Sienta generasi ketiga ini tidak akan di bawa semula ke pasaran tempatan.

     
     
  • Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Perodua Alza generasi kedua merupakan model model terkini keluaran syarikat itu yang menggunakan enjin 2NR-VE, yang turut digunakan untuk Myvi dan Aruz sebelum ini. Unit 1.5 liter DOHC NA empat-silinder dengan Dual VVT-i. Walaupun enjin yang sama, antara ketiga-tiganya memberikan janaan kuasa yang berbeza.

    Enjin berkenaan yang digunakan oleh Alza menjana output paling tinggi, dengan 106 PS (105 hp atau 78 kW) pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,200 rpm. Ini diikuti oleh Myvi yang menghasilkan 103 PS (102 hp atau 76 kW) dan 137 Nm sementara Aruz pula dengan 102 PS (101 hp atau 75 kW) dan 133 Nm. Transmisi pula, Alza dan Myvi menggunakan D-CVT yang memacu roda depan, manakala Aruz pula menggunakan 4AT yang memacu roda belakang.

    Dalam artikel ini, kami akan melihat perbezaan kos penyelenggaraan Alza dalam tempoh lima tahun atau 100,000 km berbanding Myvi dan Aruz. Juga sebagai perbandingan, turut akan disertakan Ativa dengan enjin 1KR-VET 1.0 liter turbocas tiga-silinder dan D-CVT, yang harganya tidak jauh beza daripada Alza dan Aruz, serta model lama Alza dengan enjin 3SZ-VE 1.5 liter dengan 4AT.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Semua model yang dinyatakan ini dibangunkan untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza. Jadi, tujuan artikel ini adalah untuk menunjukkan perbezaan kos selenggara antara semuanya, bersesuaian dengan segmen model-model ini dipasarkan dan kelompok penggunanya. Untuk melihat perbezaan kos selenggara Alza dengan pesaingnya, kami pernah membuat perbandingannya dengan Mitsubishi Xpander dan Honda BR-V.

    Perlu juga dinyatakan, semua angka yang dipaparkan dalam jadual ini diperoleh dari laman web rasmi Perodua sendiri, berkaitan jadual selenggara rasmi yang diterbitkan. Seperti yang dapat anda lihat, dalam tempoh lima tahun/100,000 km, kos selenggara Alza sebenarnya tidak banyak berbeza dengan model lain ini. Berbanding Aruz, Alza hanya lebih mahal RM81.55, manakala berbanding Myvi angkanya lebih banyak berbezaa — kos selenggara Alza RM216.86 lebih mahal.

    Ativa jadi model paling mahal untuk diselenggara antara semuanya, walaupun hanya melibatkan beza RM17.04 berbanding Alza. Jika dibahagikan dengan lima tahun, perbezaan ini jadi terlalu kecil. Dalam kes Alza lama, ia menjadi model paling murah untuk diselenggara jika mengikut jadual yang dicadangkan itu, walaupun jumlahnya akan naik kepada RM3,481.06 jika barangan Pro Care dimasukkan sekali semuanya (RM660.70).

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Mengikut barangan untuk servis berjadual yang tertera, kos minyak enjin sintetik penuh, penapis minyak dan bendalir brek yang digunakan oleh Alza, Myvi dan Aruz adalah sama. Berbeza dengan Alza lama yang menggunakan minyak enjin semi-sintetik, dan ia tidak memerlukan penambahan coolant dalam tempoh lima-tahun pertama itu seperti model lain ini.

    Untuk barangan yang lebih mahal, Alza, Myvi dan Aruz semuanya memerlukan palam pencucuh Iridium selepas 60 bulan/100,000 km dengan kos RM220.40, yang mana itu lebih murah berbanding palam pencucuh Ativa yang menelan kos RM471.90. Palam pencucuh Aruz sebelum ini pula perlu ditukar setiap 12 bulan/20,000 km dengan kos RM302 keseluruhannya bagi tempoh 60 bulan/100,000 km.

    Semua model dengan D-CVT juga perlu ditukar pelincir kotak gearnya pada waktu tertentu, dengan kos RM101.30 termasuk saliran gasket palam pencucuh. Sementara itu, model dengan 4AT pula memerlukan dua kali penukaran minyak kotak gear setiap 40,000 km/24 bulan.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Aruz pacuan roda belakang pula memerlukan dua penukaran pelincir untuk 4AT dan differential belakang dalam tempoh lima-tahun itu, dalam senggang dua-tahun/40,000 km, dengan setiap kali itu menelan kos RM151.50. Aruz bagaimanapun memerlukan kurang penukaran penapis udara kabin (setiap 18 bulan/30,000 km) yang mengurangkan lagi kos selenggaranya.

    Servis berjadual rasmi Aruz juga menyenaraikan barangan dalam servis Pro Care sebagai pilihan. Ini melibatkan penapis udara (enjin) dan bendalir brek untuk ditukar pada 12 bulan/20,000 km; 36 bulan/60,000 km; dan 60 bulan/100,000 km, serta dengan jajaran, imbangan dan pusingan tayar setiap 12 bulan/20,000 km. Turut dicadangkan ialah penukaran palam pencucuh pada 30 bulan/50,000 km. Mengambil kira semua pilihan Pro Care ini bagi tempoh lima tahun akan melibatkan penambahan RM738.10 kepada kos selenggara Aruz.

    Seperti biasa, bukan ini saja kos yang ada untuk pemilikan kenderan. Jangan lupa ada kos lain seperti cukai jalan yang berbeza antara SUV dan bukan SUV. Alza dan Myvi hanya dikenakan RM90 setahun, tetapi Aruz perlukan RM120 dan Ativa pula yang paling murah dengan hanya RM20 setahun.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Tidak lupa juga, tayar yang harganya berbeza mengikut saiz. Tayar Alza berada antara saiz 15 dan 16 inci, sementara Myvi antara 14 hingga 15 inci. Ativa pula dengan 16 hingga 17 inci, sementara Aruz dengan 17 inci.

    Barangan seperti brek juga perlu diambil kira, dengan Ativa, Myvi dan Aruz menggunakan brek cakera di depan dan brek dram di belakang. Ini juga sama untuk Alza, kecuali varian paling tinggi yang dilengkapi brek cakera seluruhnya sebagai gandingan dengan ciri brek parkir elektronik yang ada padanya.

    Tidak lupa juga tahap penggunaan bahan api yang berbeza. Menurut angka atas kertas oleh Perodua, Myvi jadi yang paling jimat dengan 21.1 km/l mengikut piawai ECE. Ini diikuti oleh Ativa (18.9 km/l) dan Aruz (15.6 km/l). Alza jika mengikut piawai NEDC akan memberikan 18.9 km/l, atau 22 km/l mengikut piawai Kitaran Pemanduan Malaysia.

    Kos selenggara Perodua Alza 2022 — mahal dari yang lama, hampir sama Myvi, Aruz, Ativa dalam 5-tahun

    Perbezaan harga antara semua model ini juga perlu dipertimbangkan. Alza dijual antara RM62,500-RM75,500, Aruz pula antara RM72,900-RM77,900, Ativa antara RM62,500-RM72,600, dan Myvi antara RM50,900-RM59,900. Alza lama sebelum ini dijual dengan harga antara RM52,661 hingga RM60,525, jika tidak mengambil kira versi yang dijual di bawah RM50k.

    Jadi inilah perbezaan yang perlu dilihat untuk kos selenggara semua model yang dinyatakan ini. Pandangan anda, mana satu yang lebih berbaloi, dan untuk kegunaan yang bagaimana?

     
     
  • MITI tetapkan hak eksklusif import Lamborghini hanya untuk syarikat AP francias yang dilantik sahaja

    MITI tetapkan hak eksklusif import Lamborghini hanya untuk syarikat AP francias yang dilantik sahaja

    Berkuatkuasa 17 Ogos lalu, dikhabarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mula melaksanakan sekatan import bagi kenderaan kenderaan import sepenuhnya (CBU) untuk model Lamborghini.

    Menurut laporan Berita Harian, perkara ini dinyatakan menerusi surat kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA). Di mana MITI memaklumkan bermula dari tarikh berkenaan, syarikat yang memiliki permit import (AP) Terbuka tidak lagi dibenarkan mengimport kenderaan model baharu Lamborghini.

    Menerusi surat bertarikh 18 Ogos kepada Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, MITI turut menyebut hak eksklusif bagi mengimport model baharu Lamborghini hanya diberikan kepada syarikat AP Francais yang telah dilantik oleh MITI.

    MITI tetapkan hak eksklusif import Lamborghini hanya untuk syarikat AP francias yang dilantik sahaja

    Malah difahamkan, sekatan ini sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh kerajaan, namun tiada
    kawalan ketat dan pemeriksaan terperinci dibuat ke atas pemegang AP terbuka yang mengimport model baharu Lamborghini.

    Selain itu, sekatan berkenaan hanya tertakluk terhadap model baharu sahaja dan pemegang AP Terbuka boleh mengimport kenderaan terbabit selepas 12 bulan daripada tempoh pengeluaran dari kilang di Itali.

    Buat masa ini, SunAgata Supercars Sdn Bhd merupakan pemegang AP Francais tunggal bagi mengimport jenama berkenaan daripada prinsipal, Automobili Lamborghini S.p.A untuk pasaran Malaysia. Pelantikan rasmi syarikat berkenaan bermula pada Januari 2021 dan turut bertanggungjawab sebagai penyedia khidmat selepas jualan Lamborghini di Malaysia. Syarikat ini juga telah melancarkan bilik pameran dan pusat servis serba baharunya di Glenmarie, Shah Alam pada Mac lalu.

     
     
  • M’sia harap projek HSR dengan S’pura dapat diteruskan, rancang untuk sambungkan ke Bangkok

    M’sia harap projek HSR dengan S’pura dapat diteruskan, rancang untuk sambungkan ke Bangkok

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan berharap usaha untuk meneruskan semula projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) bersama Singapura dapat diteruskan semula seawal mungkin. Katanya, ketika ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan rakan sejawatannya di Singapura, S Iswaran, giat meneruskan perbincangan.

    Dalam temubual bersama Bernama baru-baru ini, beliau berkata usaha meneruskan semula projek itu akan membabitkan beberapa perubahan pada syarat dan terma asal.

    “Perbincangan masih berjalan. Kalau boleh (nak) lebih cepat sebab dalam masa yang sama Malaysia juga ada perancangan untuk wujudkan HSR antara Kuala Lumpur dan Bangkok. Kalau boleh, kita nak link (hubungkan) Bangkok-KL dan KL-Singapura,” katanya.

    M’sia harap projek HSR dengan S’pura dapat diteruskan, rancang untuk sambungkan ke Bangkok

    Dalam masa yang sama, beliau turut membayangkan jaringan itu boleh disambung hingga ke China memandangkan China dan Thailand juga dalam proses membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi.

    Ditanya sama ada usaha meneruskan semula projek ini adalah keutamaan pentadbiran beliau, Ismail Sabri berkata, “Bukan nak kata ia satu keutamaan, ia lebih kerana perancangan. Dah ada dari mula, dari zaman BN (Barisan Nasional) planning (perancangan) dah lengkap, cuma terbatal sekejap”.

    Walau bagaimana pun, disebabkan kos bahan mentah yang semakin meningkat, Malaysia mungkin mengkaji untuk mengurangkan saiz stesen bagi mengimbangi kos pembinaan keseluruhan projek itu.

    Pada akhir November tahun lalu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dilaporkan berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini bersetuju menamatkan projek itu.

    Mengikut perancangan awal selepas memeterai perjanjian dua hala untuk melaksanakan projek ini pada 13 Disember 2016, HSR dijangka beroperasi pada tahun 2026. Dengan jarak sepanjang 350 kilometer, projek ini dicadangkan empat perjalanan bagi setiap jam untuk untuk tempoh kekerapan jadual trennya. Di mana dua perjalanan adalah bagi laluan antarabangsa Kuala Lumpur-Singapura dan Singapura-Kuala Lumpur tanpa henti. Manakala dua lagi membabitkan perjalanan domestik Kuala Lumpur-Iskandar Puteri, Johor serta sebaliknya

    Namun projek ini ditangguhkan beberapa kali sejak September 2018 dan pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan pembayaran sejumlah SG$102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.

     
     
  • Purata 2 remaja bawah umur memandu, menunggang tanpa lesen maut setiap hari di Malaysia – data PDRM

    Purata 2 remaja bawah umur memandu, menunggang tanpa lesen maut setiap hari di Malaysia – data PDRM

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan data yang menunjukkan bahawa antara Januari dan Mac 2022, sekurang-kurangnya dua remaja bawah umur yang memandu atau menunggang tanpa lesen terbunuh atau mengalami kecederaan serius setiap hari akibat kemalangan jalan raya, laporan The Star.

    Berdasarkan statistik PDRM, daripada 157 kemalangan motosikal dan 623 kemalangan kereta yang direkodkan dalam tempoh tiga bulan membabitkan golongan bawah umur, seramai 30 penunggang bawah umur 16 tahun dan sembilan pemandu bawah 18 tahun meninggal dunia. Selain itu, 46 penunggang dan 59 pemandu bawah umur telah cedera parah.

    Sebelum ini, PDRM pernah merekodkan sebanyak 8,484 kemalangan membabitkan pemandu dan penunggang bawah umur dari tahun 2018 hingga Mac 2022 – 2,617 daripadanya mengakibatkan kecederaan serius atau kemalangan maut.

    Purata 2 remaja bawah umur memandu, menunggang tanpa lesen maut setiap hari di Malaysia – data PDRM

    Dalam tiga bulan pertama tahun 2022, sebanyak 15,424 saman telah dikeluarkan kepada penunggang tanpa lesen di bawah umur 16 tahun dan pemilik kepada motosikal berkenaan. Manakala sebanyak 8,601 saman pula dikeluarkan terhadap pemandu berusia bawah 18 tahun, seperti yang didedahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan dari Januari hingga Mei 2022, seramai 55,000 pemilik kenderaan telah ditahan kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka.

    Ditambah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Profesor Dr Wong Shaw Woon, selaku pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mengesa ibu bapa untuk memainkan peranan paling penting dalam mendidik anak-anak mereka yang masih di bawah umur supaya tidak memandu kereta atau menunggang motosikal. Wong menegaskan bahawa seseorang itu bukan sahaja perlu bersedia secara fizikal untuk menunggang atau memandu, tetapi juga cergas dari segi mental untuk membuat pertimbangan yang betul dan bertindak balas dengan pantas semasa mengendalikan kenderaan.

    Sehubungan itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan menegaskan bahawa ibu bapa yang cuai dan gagal berbuat demikian harus bersedia berhadapan dengan beberapa bentuk hukuman yang bakal dikenakan.

     
     
  • Mercedes-Benz C-Class CKD 2022 kini di Malaysia – sehingga RM17k lebih murah; bermula RM288k

    Mercedes-Benz C-Class CKD 2022 kini di Malaysia – sehingga RM17k lebih murah; bermula RM288k

    Mercedes-Benz C200 Avantgarde W206 versi CBU

    Selepas pendedahan dibuat oleh salah sebuah pengedar semalam, hari ini secara rasminya Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan bahawa sedan C-Class W206 telah pun diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan. Model yang dipasang di Pekan, Pahang ini diperkenalkan hanya sekitar enam bulan W206 dilancarkan di Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) pada Februari lalu.

    Model CKD ini masih ditawarkan dalam dua varian, bermula varian asas C200 Avantgarde yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM287,888, diikuti varian tertinggi C300 AMG Line berharga RM327,888. Pembelian model-model CKD ini masih disertakan dengan waranti pengeluar selama empat tahun tanpa had perbatuan.

    Oleh itu berbanding model CBU sebelum ini, Mercedes-Benz C200 Avantgarde dan C300 AMG Line dalam versi CKD ini adalah masing-masing RM12,000 dan RM17,000 lebih murah. Malah harga untuk model CBU sebelum ini turut telah pun menerima pengecualian cukai SST sebanyak 50%, berbanding model CKD ini yang dikenakan sepenuhnya cukai berkenaan.

    “C-Class merupakan model paling laris kami sehingga kini. Sejak ia diperkenalkan sebagai 190, lebih 10.5 juta Mercedes-Benz C-Class telah terjual secara global dan kami yakin dengan C-Class baharu yang telah dilokalisasi ini akan diterima baik oleh pelanggan,” kata CEO dan presiden MBM, Sagree Sardien.

    Spesifikasi untuk Mercedes-Benz C200 Avantgarde W206 versi CKD, klik untuk besarkan

    “Sebagai sebahagian komitmen berterusan kami terhadap pasaran tempatan dalam sektor automotif mewah, C-Class yang membuat kemunculan pada awal tahun ini, sekarang dengan bangganya telah dipasang di fasiliti produksi kami di Pekan dan akan terus memenuhi kehendak individu pelanggan kami yang dihargai. Kami teruja dan yakin untuk menyambung kisah kejayaan model paling laris kami di Malaysia ini,” tambahnya lagi.

    Walaupun menampilkan harga yang jauh lebih rendah, model-model CKD ini masih menerima perincian yang sama seperti model CBU, malah diberikan sedikit peningkatan.

    Bagi model C200, ia masih dijana oleh enjin petrol M254 1.5 liter turbo 204 PS (201 hp) bermula 5,800 hingga 6,100 rpm serta tork maksima 300 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Model C300 juga masih menerima enjin petrol M254 2.0 liter turbo berkuasa 258 PS (255 hp) pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,000 hingga 3,200 rpm.

    Spesifikasi untuk Mercedes-Benz C300 AMG Line versi CKD, klik untuk besarkan

    Kedua-dua model ini turut menerima unit integrated starter generator (ISG) bagi memberikan tujahan boost sementara 20 PS (20 hp atau 15 kW) dan tork 200 Nm. Kedua-duanya juga menerima kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan bagi memacu roda belakang.

    Dua kelengkapan yang tiada pada model CBU sebelumnya telah ditambah pada model CKD ini. Ia termasuk sistem akses tanpa sentuhan tangan untuk but belakang, serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Pre Safe.

    Model C200 CKD ini terus menerima pakej penggayaan Avantgarde, rim aloi 18-inci lima jejari, suspensi Agility Control dengan kadar serap hentakan yang boleh dipilih, Dynamic Select, lampu hadapan LED High Performance, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon pintar tanpa wayar, Keyless-Go, kulit buatan Artico, sistem pendingin hawa Thermatic dan juga sistem lampu suasana kabin.

    Mercedes-Benz C-Class CKD 2022 kini di Malaysia – sehingga RM17k lebih murah; bermula RM288k

    Mercedes-Benz C300 AMG Line W206 versi CBU

    Pemandu diberikan kluster instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, manakala untuk infotainmen ia diberikan skrin sesentuh bersaiz 11.9-inci. Kedua-dua skrin ini dioperasikan oleh sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang turut berintegrasi dengan modul LTE untuk servis terhubung Mercedes Me, serta fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Bagi sistem keselamatan pula, C200 diberikan Bantuan Titik Buta Aktif, pakej Lane Tracking, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Brek Aktif, pakej Parking dengan kamera undur dan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic. Ia juga diberikan sistem cruise control namun hanya dari jenis pasif.

    Mercedes-Benz C300 pula menerima perincian yang sama seperti C200, tetapi menerima tingkat taraf seperti kit penggayaan AMG, rim aloi AMG 19-inci, tempat duduk sport (C200 hanya diberikan tempat duduk comfort), karpet kaki AMG, roda stereng balutan Nappa (hanya kulit biasa untuk C200) dan juga kamera 360-darjah.

    GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde W206 CBU

    GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line W206 CBU

     
     
  • Koenigsegg CC850 diperkenalkan — imaginasi semula CC8S, jana 1,385 PS dengan Engage Shift System

    Koenigsegg CC850 diperkenalkan — imaginasi semula CC8S, jana 1,385 PS dengan Engage Shift System

    20 tahun lalu, Koenigsegg menghasilkan model CC8S yang pertama. Menggunakan prototaip CC, CC8S membuka jalan kepada model lain seperti CCX, Agera, One:1, Jesko dan Gemera yang mencerminkan tahap kejuruteraan pengeluar kenderaan dari Sweden itu.

    Tahun ini, sebagai memperingati ulangtahun ke-20 pengeluaran CC8S yang pertama itu, mereka memperkenalkan CC850 dalam edisi terhad. Nama berkenaan merujuk kepada model CC8S dan juga bilangan 50 unit yang akan dibuat, dan juga ulang tahun usia ke-50 pengasasnya, Christian von Koenigsegg.

    Rekaan CC850 adalah sebagai tanda hormat kepada model asalnya. Dari luar hingga ke bahagian dalam ada menerapkan rekaan dari model asal berkenaan. Perbezaan yang ada seperti lampu utama moden yang lebih tirus, dengan bukaan udara di setiap kluster di bucu bampar depan.

    Koenigsegg CC850 diperkenalkan — imaginasi semula CC8S, jana 1,385 PS dengan Engage Shift System

    Sama seperti yang lama, CC850 juga sebuah kereta convertible dengan bumbung keras yang boleh dialih secara manual. Rim depan bersaiz 20-inci (dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S saiz 265/35) dan 21-inci (325/30) di belakang.

    Lagi ilham rekaan dari model CC8S adalah lampu belakang bertiga, walaupun kini lebih bersegi yang tampil lebih moden. Gelembung bumbung belakang juga dari rekaan asal, walaupun telah diberi sentuhan lain untuk diserasikan dengan sayap belakangnya. Rekaan khas Koenigsegg untuk pintu synchrohelix dan sisten elektro-hidraulik Autoskin juga disertakan.

    Walaupun rekaan serupa, namun tiada langsung bahagian yang dikongsi antara keduanya, kerana model baru ini menggunakan asas dari model Jesko. Ia sebuah kenderaan yang lebih besar, dengan ukuran dimensi 4,364 mm panjang, 2,024 mm lebar, 1,127 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,700 mm. CC8S terdahulu pula berukuran 4,191 mm panjang, 1,989 mm lebar, 1,069 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,659 mm.

    Koenigsegg CC850 diperkenalkan — imaginasi semula CC8S, jana 1,385 PS dengan Engage Shift System

    Sebagai sebuah ciptaan moden, CC850 datang dengan kejuruteraan maju masa kini, dengan yang paling utama adalah Engage Shift System (ESS), yang khabarnya merupakan pertama di dunia. Menggunakan asas daripada Light Speed Transmission (LST) dari Jesko, ESS merupakan automatik sembilan-kelajuan dengan tujuh klac untuk penukaran yang sangat pantas (dua milisaat). Berbeza dari Jesko, ESS terbaru ini datang dengan pedal klac dan gated shifter, membolehkan pemandu menggunakan ESS seperti transmisi manual enam-kelajuan biasa.

    ESS ini digandingan bersama enjin 5.0 liter turbo berkembar V8 yang mempunyai lonjakan tekanan 1.5 bar menggunakan bahan api biasa, dengan menghasilkan 1,185 PS (1,169 hp) pada 7,800 rpm (garis merah adalah pada takat 8,500 rpm). Dengan bahan api E85, lonjakan tekanan adalah sehingga 1.7 bar dan enjin akan menghasilkan 1,385 PS (1,366 hp) dan 1,385 Nm dari 4,800 rpm.

    Dengan berat kereta ini hanya 1,385 kg, nisbah kuasa kepada beratnya adalah sama dengan model One:1 bagi kiraan 1 PS bagi setiap 1 kg. Enjin sama dalam Jesko pula menghasilkan lebih banyak kuasa — hingga 1,625 PS (1,603 hp) dan 1,500 Nm dengan E85 — tetapi direndahkan tetapan untuk CC850 untuk digandingkan dengan ESS.

     
     
  • Beberapa laluan utama di sekitar KL akan ditutup mulai 26-31 Ogos sempena perarakan Hari kebangsaan

    Beberapa laluan utama di sekitar KL akan ditutup mulai 26-31 Ogos sempena perarakan Hari kebangsaan

    Selepas dua tahun kita tidak mengadakan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka disebabkan pandemik Covid-19, namun untuk tahun ini, acara gemilang tersebut akan diraikan kembali sempena Hari Kebangsaan Ke-65 di lokasi yang sama.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Azmi Abu Kassim berkata, bagi menjayakan perarakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini, 18 jalan utama di sekitar pusat bandaraya akan ditutup dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari pada 26 hingga 29 Ogos dan 31 Ogos 2022.

    “Dua jalan akan ditutup sepenuhnya pada 26 Ogos ini bagi memberikan laluan raptai skeleton dilakukan, membabitkan Jalan Sultan Hishamuddin ke Dataran Merdeka dan Jalan Raja (Dataran Merdeka).

    “Seterusnya, lebih banyak jalan akan ditutup pada 27 hingga 29 Ogos bagi menjayakan raptai penuh perarakan Hari Kebangsaan 2022. Namun tiada penutupan jalan dilaksanakan pada 30 Ogos. Walau bagaimana pun, penutupan jalan akan disambung pada 31 Ogos dan lebih banyak laluan utama di sekitar Dataran Merdeka yang akan terlibat,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

    Beberapa laluan utama di sekitar KL akan ditutup mulai 26-31 Ogos sempena perarakan Hari kebangsaan

    Penutupan jalan yang terlibat ialah seperti berikut:

    27 hingga 29 Ogos 2022

    • Jalan Raja (Dataran Merdeka).
    • Jalan Travers ke Dataran Merdeka dan semua kenderaan dari arah Jalan Bangsar akan dilencongkan ke Jalan Damansara menghala arah Parlimen.
    • Susur ke Jalan Travers dari Jalan Damansara (dari arah Lebuhraya Seremban, belakang Muzium Negara). Semua kenderan akan dilencongkan ke Jalan Parlimen.
    • Jalan Damansara iaitu susur Jalan Travers (ke arah Dataran Merdeka).
    • Susur Jalan Damansara (ke arah Parlimen) di mana kenderaan dari arah Parlimen akan dilencongkan ke arah Bangsar.
    • Jalan Lembah (Masjid Negara) dan Jalan Tugu (Klinik Tangling) menghala ke Bulatan Hishamuddin dan kenderaan dari Jalan Parlimen menghala ke Jalan Tangling akan dilencongkan ke Jalan Cenderawasih (Masjid Bukit Aman) dan menghala semula ke Jalan Parlimen.
    • Susur ke Bulatan Hishamuddin di Jalan Kinabalu dari arah Selayang menghala ke Cheras dan kenderaan akan dihalakan terus ke Jalan Loke Yew (arah Cheras).
    • Susur ke Jalan Sultan Hishamuddin (menghala ke Dataran Merdeka) di Jalan Kinabalu dari arah Cheras menghala ke Selayang dan semua kenderaan dihalakan ke arah Selayang.

    31 Ogos 2022

    • Jalan Travers ke arah Dataran Merdeka dan semua kenderaan dari arah Bangsar akan dilencongkan ke arah Jalan Damansara menghala ke Parlimen.
    • Susur ke Jalan Travers di Jalan Damansara dari arah Lebuhraya Seremban (belakang Muzium Negara) dan semua kenderaan dari arah Lebuhraya Seremban dilencongkan terus ke arah Parlimen.
    • Susur Jalan Damansara (ke arah Parlimen) di mana kenderaan dari arah Parlimen akan dilencongkan ke arah Bangsar.
    • Jalan Lembah (Masjid Negara) dan Jalan Tugu (Klinik Tangling) menghala ke Bulatan Hishamuddin dan kenderaan dari Jalan Parlimen menghala ke Jalan Tangling akan dilencongkan ke Jalan Cenderawasih (Masjid Bukit Aman) dan menghala semula ke Jalan Parlimen.
    • Susur ke Bulatan Dato Onn menghala ke Bank Rakyat di Jalan kinabalu dari arah Cheras hala ke Selayang. Semua kenderaan akan dihalakan ke arah Selayang
    • Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi (Sogo) sehingga ke Dataran Merdeka.
    • Persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Laut ke arah Dataran Merdeka. Kenderaan akan dilencongkan ke arah Jalan Dang Wangi.
    • Jalan Murshi Abdullah (Jakel) ke arah Jalan Dang Wangi, dan kenderaan dilencongkan ke Jalan Ampang (Air Terjun Bukit Nanas)
    • Jalan Dang Wangi (hadapan stesen minyak Petron) dan kenderaan dari arah Jalan Bunus 6 akan dilencongkan ke Jalan Ampang (Air Terjun Bukit Nanas).
    • Jalan Bonus 6 ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (Semua House).

    Beberapa laluan utama di sekitar KL akan ditutup mulai 26-31 Ogos sempena perarakan Hari kebangsaan

    “Warga kota yang ingin menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka disaran menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan anda dan datang seawal yang boleh bagi mengelakkan kesesakan.

    “Bagi yang ingin membawa kenderaan sendiri, tempat letak kereta adalah terhad. Kenderaan persendirian boleh diletakkan di sekitar Masjid India dan kawasan parkir awam di Jalan Murshi Abdullah, hadapan IPD Dang Wangi, sekitar Jalan Sultan Salahuddin dan parkir bertingkat di hadapan Bukit Aman. Untuk kenderaan e-hailing pula, dinasihatkan menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid India dan Jalan Parlimen,” kata Ketua Polis KL lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar memastikan kenderaan tidak diparkir di kawasan larangan dan kawasan yang boleh mengganggu lalu lintas, selain mematuhi arahan polis trafik yang bertugas.

    Sebelum ini, Rapid KL telah mengumumkan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel bakal memulakan operasinya jam 4.30 pagi pada 31 Ogos ini, bagi memberikan peluang kepada warga kota menyaksikan perarakan di Dataran Merdeka.

     
     
  • K’jaan negeri di Australia tawar subsidi RM15k kepada pemandu muda untuk tukar kereta lama ke kereta baru

    K’jaan negeri di Australia tawar subsidi RM15k kepada pemandu muda untuk tukar kereta lama ke kereta baru

    Kerajaan negeri Victoria di Australia kini menawarkan subsidi bernilai AU$5,000 (RM15k) kepada pemandu muda yang memiliki kereta lama untuk bertukar kepada kereta yang lebih baharu dan selamat, lapor CarExpert. Walau bagaimanapun, program yang diberi nama ‘unsafe2safe’ tersebut hanya menawarkan subsidi berkenaan terhad hanya kepada 150 orang sahaja.

    Program ini dibuka untuk mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang memiliki kenderaan berusia 16 tahun dan ke atas (keluaran tahun 2006 atau lebih lama), manakala tarikh tutup permohonan adalah pada 4 September ini.

    Bagi mereka yang berjaya terpilih kelak, subsidi AU$5,000 yang diberikan tersebut perlu digunakan untuk membeli kereta baharu atau terpakai yang berumur kurang dari 10 tahun berharga AUD 30,000 dan ke bawah, serta diakui menerima sekurang-kurangnya empat bintang dalam ujian pelanggaran Program penilaian kereta Baharu Australia (ANCAP).

    Dan bagi memastikan kereta-kereta lama yang telah ditukar itu tidak lagi digunakan oleh orang lain, ia diwajibkan untuk dilupuskan setelah pemandu-pemandu muda terpilih berkenaan menerima kereta baharu masing-masing. “Dengan melupuskan kereta-kereta tersebut dari flit bermaksud kami tidak akan memindahkan risiko kepada orang lain,” kata video rasmi program tersebut yang disiarkan.

    K’jaan negeri di Australia tawar subsidi RM15k kepada pemandu muda untuk tukar kereta lama ke kereta baru

    Menteri jalan raya Victoria, Ben Caroll menyatakan bahawa program ini merupakan lanjutan dari program yang dibiayai dana pembayar cukai bermula pada tahun lalu di daerah Ballarat dan Bendigo. Ia juga sebahagian dari program bernilai AU$6.9 juta yang mensasarkan untuk menukar sejumlah 1,000 unit kereta berusia lebih 16 tahun yang mempunyai penarafan keselamatan yang rendah.

    Pemandu-pemandu muda dipilih untuk program ini adalah kerana berdasarkan statistik golongan tersebut adalah yang paling berisiko untuk terlibat dalam kemalangan untuk beberapa tahun pertama mereka memandu secara bersendirian. Malah statistik di Victoria turut menunjukkan bahawa dengan memandu kenderaan lama, potensi untuk kehilangan nyawa dalam kemalangan adalah 15 kali ganda lebih tinggi.

    “Kami tahu bahawa kos adalah masalah utama ramai orang muda di Victoria untuk memiliki kereta yang lebih selamat dan moden – sebab itu program ini sangat kritikal bagi memastikan mereka memilih kereta dengan perincian yang dapat menyelamatkan nyawa mereka,” kata Caroll.

    “Sekitar 70 peratus orang yang kehilangan nyawa di atas jalan raya kita adalah mereka yang menaiki kenderaan lebih dari sepuluh tahun dan untuk berada dalam kenderaan yang lebih selamat dapat memberikan perbezaan antara berakhir di hospital atau mengelak kemalangan sama sekali,” tambah menteri berkenaan lagi.

     
     
  • Perkhidmatan tren LRT, MRT, Monorel dan bas Rapid KL mulakan operasi jam 4.30 pagi pada 31 Ogos ini

    Rapid KL telah mengumumkan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel bakal memulakan operasinya jam 4.30 pagi pada 31 Ogos ini, bagi memberikan peluang kepada warga kota menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka.

    Selain tren, perkhidmatan bas kendalian Rapid KL juga akan memulakan operasi pada waktu yang sama pada tarikh tersebut.

    “Kekerapan tren juga akan ditambah mengikut keperluan semasa operasi. Operasi tren yang diawalkan melibatkan laluan LRT Ampang/Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, Monorel KL, MRT Kajang dan MRT Putrajaya. Justeru, warga kota yang ingin ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 digalakkan menaiki pengangkutan awam,” kata Rapid KL menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Memandangkan beberapa jalan utama di sekitar Dataran Merdeka bakal ditutup pada hari berkenaan, seeloknya orang ramai menggunakan pengangkutan awam yang ada sekiranya ingin menyaksikan perarakan tersebut atau pun mahu ke kawasan berhampiran. Tak perlu bersusah payah nak cari parkir atau pun bersesak di jalan raya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025