Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic Type R 2023 akan buat kemunculan sulung penuh untuk peringkat global bulan depan!

    Honda Civic Type R 2023 akan buat kemunculan sulung penuh untuk peringkat global bulan depan!

    Honda Civic Type R generasi baharu yang diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback telah beberapa kali ditampilkan dalam versi prototaip dengan pelekat penyamaran penuh – ia ditunjukkan pertama kali pada Oktober tahun lalu, kemudian membuat ujian di litar Suzuka pada bulan berikutnya, serta dipamerkan kepada awam ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2022 pada bulan Januari lalu. Jadi bila sebenarnya model ini akan didedahkan sepenuhnya?

    Menurut laporan portal Australia carsales.au dengan memetik kenyataan pengarah Honda Australia Stephen Collins, Honda Civic Type R 2023 ini bakal membuat kemunculan rasmi peringkat globalnya pada bulan hadapan! “Ia [Civic Type R baharu] akan didedahkan sepenuhnya – ada banyak perincian yang disembunyikan sebelum ini – pada Jun nanti ketika musim panas di Eropah,” kata Collins.

    Bos Honda Australia berkenaan turut menyatakan bahawa pengumuman ketibaan model Civic berprestasi tinggi itu ke pasaran negara tersebut akan dibuat selepas pendedahannya. Collins tidak mengumumkan sebarang petunjuk bila Type R generasi baharu ini akan mula dijual di Australia, tetapi carsales difahamkan ia akan tiba pada penghujung tahun ini.

    Honda Civic Type R 2023 akan buat kemunculan sulung penuh untuk peringkat global bulan depan!

    Walaupun rupa sebenar Civic Type R 2023 ini masih berselindung disebalik pelekat penyamaran, boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk dari Civic Hatchback standard bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

    Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah. Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang.

    Seperti generasi Civic Type R FK8 sedia ada, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya, bersama tempat duduk bucket berwarna merah pada bahagian kabin.

    Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.

    Bulan lalu Honda telah mendedahkan video ujian unit prototaip Civic Type R 2023 ini di Suzuka – selain dapat disahkan pemandu ujian berkenaan menukar gear sendiri dengan kotak gear manual, unit prototaip itu juga berjaya mencatatkan masa lap 1 saat lebih pantas berbanding model produksi FK8 paling hardcore dan paling ringan iaitu Civic Type R Limited Edition di litar berkenaan!

    Bagi model terdahulu, Civic Type R merupakan model global yang bukan sahaja dijual di Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun, malah ia turut di bawa secara rasmi ke pasaran Asia Tenggara. Ia dilancarkan oleh Honda Malaysia di pasaran tempatan pada November 2017, dijual pada harga RM320,000.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype

     
     
  • 245 aduan diterima menerusi e-Aduan@JPJ, tindakan diambil dalam tempoh 48-72 jam untuk sebahagian kes

    245 aduan diterima menerusi e-Aduan@JPJ, tindakan diambil dalam tempoh 48-72 jam untuk sebahagian kes

    Selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengundang orang awam untuk menjadi mata-mata sepanjang tempoh Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Op Bersepadu sempena Aidilfitri, sebanyak 245 laporan diterima menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ sejak 29 April lalu.

    Menurut Timbalan Ketua pengarah (perancangan dan operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, kesalahan tertinggi yang dilaporkan ialah memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan.

    “Aplikasi ini baru dilancarkan seminggu sebelum Aidilfitri dan kami menerima kerjasama yang amat baik daripada pengguna jalan raya di seluruh negara,” ujarnya, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut berkata tindakan dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam diambil bagi sebahagian kes yang diadukan.

    “JPJ mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantu kami untuk menguatkuasakan undang-undang jalan raya dengan cara melaporkan kejadian melalui video dan gambar yang sah melalui aplikasi e-Aduan@JPJ,” tambahnya.

    Aplikasi e-Aduan@JPJ boleh dimuat turun menerusi Google Play Stire untuk telefon pintar Android, dan pengguna perlu mengaktifkan sistem Kedudukan Global (GPS) untuk memudahkan pengesanan lokasi. Buat masa ini, tidak dimaklumkan adalah ia turut boleh dimuat turun menerusi App Store bagi peranti iOS.

    Dalam pada itu, Aedy Fadly turut berkata, JPJ telah memeriksa sebanyak 89,490 kenderaan dalam kempen keselamatan jalan raya Op Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri. Daripada jumlah itu, sejumlah 18,690 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan, dan kesalahan tertinggi yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memperbaharui cukai jalan.

     
     
  • Kadar bayar-ikut-guna rangkaian pengecas pantas DC BMW didedah – harga antara RM24 ke RM216 sejam

    Kadar bayar-ikut-guna rangkaian pengecas pantas DC BMW didedah – harga antara RM24 ke RM216 sejam

    Minggu lalu, kami telah mengeluarkan laporan bahawa pengecas pantas DC BMW yang dipasang di pusat pengedar BMW Malaysia kini sudah mula beroperasi dengan cara bayar-ikut-guna, yang mempunyai beberapa kadar berbeza mengikut lokasi.

    BMW Malaysia juga telah memberitahu bahawa meskipun bukan semua pengedar sudah mula melaksanakan polisi ini, akhirnya nanti keseluruhan rangkaian akan mengenakan bayaran dengan kadar yang sama bagi semua wakil pengedar.

    Kadar tersebut kini sudah diketahui melalui satu dokumen yang kami saksikan. Di atasnya tertulis bahawa harga yang dikenakan adalah mengikut kemampuan kuasa yang dikeluarkan (output) oleh pengecas DC tersebut.

    Kadar bayar-ikut-guna rangkaian pengecas pantas DC BMW didedah – harga antara RM24 ke RM216 sejam

    Ada enam segmen harga yang ditetapkan, terdiri daripada output antara 30 kW ke 180 kW, dan kadarnya berbeza bagi pengguna kenderaan EV BMW dan jenama lain, memandangkan rangkaian pengecas DCFC ini boleh digunakan untuk semua.

    Bagi pengguna EV bukan BMW, harganya adalah:

    • Pengecas DC 30 kW – RM0.60 sen/min
    • Pengecas DC 50 kW – RM1.00/min
    • Pengecas DC 60 kW – RM1.40/min
    • Pengecas DC 90 kW – RM1.80/min
    • Pengecas DC 120 kW – RM2.40/min
    • Pengecas DC 180 kW – RM3.60/min

    Bagi pengguna EV BMW pula, harganya adalah:

    • Pengecas DC 30 kW – RM0.40 sen/minit
    • Pengecas DC 50 kW – RM0.80 sen/min
    • Pengecas DC 60 kW – RM1.00/min
    • Pengecas DC 90 kW – RM1.40/min
    • Pengecas DC 120 kW – RM2.00/min
    • Pengecas DC 180 kW – RM2.80/min

    Melihat kepada kos, penggunaan pengecas 30 kW seperti unit di Seong Hoe Premium Motors, Melaka akan melibatkan bayaran RM36 sejam bagi pemilik EV bukan BMW, sementara bagi pemilik BMW, dalam tempoh sama, ia akan berjumlah RM24. Bayaran ini akan meningkat lagi apabila menggunakan pengecas yang menghasilkan kuasa lebih tinggi seperti 120 kW dan 180 kW, di mana ia akan berjumlah RM144 dan RM216 sejam bagi pemilik EV bukan BMW, sementara pemilik BMW akan membayar masing-masing RM120 dan RM168 bagi tempoh penggunaan yang sama.

    Kadar mengikut jam ini tidak menunjukkan harga sebenar yang akan dibayar pengguna, kerana jika diikutkan, ia akan mengambil masa lebih lama jika anda menggunakan pengecas berkuasa lebih rendah. Sebagai contoh, bagi BMW iX yang memerlukan masa 60 minit untuk mengecas bateri dari 20-80% menggunakan pengecas 50 kW, ia akan melibatkan kos RM48 sementara apabila menggunakan pengecas 180 kW bagi mendapatkan kenaikan bateri yang sama, ia cuma memerlukan masa 20 minit dan bayaran RM56.

    Kadar bayar-ikut-guna rangkaian pengecas pantas DC BMW didedah – harga antara RM24 ke RM216 sejam

    Kadar bagi pengecas 120 kW sudah pun dilaksanakan di Tian Siang Premium Auto Ipoh, di mana seorang pengguna kenderaan bukan BMW telah mendedahkan bahawa kadar RM2.40 seminit ditetapkan bagi pemilik EV bukan BMW. Beliau mengecas selama 45 minit untuk memenuhkan bateri dari 56%, dan dikenakan bayaran RM108.

    Apapun, kadar yang ditetapkan oleh BMW ini sebenarnya adalah sedikit rendah berbanding rangkaian pengecas Shell Recharge HPC, yang menetapkan kadar bayar-ikut-guna RM20 bagi setiap lima minit untuk 25 minit pertama, RM20 bagi setiap lima minit seterusnya serta bayaran pengesahan RM4. Apabila dikira sekali, ia akan berjumlah RM240 sejam, ataupun RM244 apabila dimasukkan sekali dengan bayaran pengesahan.

    Setakat ini masih belum diketahui bila harga ini akan diselaraskan pada semua pengedar, tetapi dalam dokumen yang kami lihat itu, ia turut tertulis bahawa kadar yang disyorkan bagi pelanggan BMW (kurang sekitar 20%) adalah tertakluk kepada keputusan pengedar dan pengedar disarankan untuk mengikut kadar ini bagi menjamin konsistensi.

     
     
  • Myvi lawan arus di Lebuhraya Persekutuan – polis minta pemandu serah diri, saksi tampil bantu siasatan

    Myvi lawan arus di Lebuhraya Persekutuan – polis minta pemandu serah diri, saksi tampil bantu siasatan

    Insiden memandu melawan arus kini dilihat seperti fenomena biasa berlaku dalam negara. Terbaharu, satu lagi kejadian sama terjadi membabitkan sebuah Perodua Myvi di lebuhraya antara yang paling sibuk di Lembah Klang iaitu Lebuhraya Persekutuan.

    Kejadian berkenaan dirakam oleh dashcam salah sebuah kereta yang lalu di kawasan tersebut sewaktu kejadian dan video tersebut dimuat naik serta tular di media sosial. Ia berlaku pada hari Ahad (8 Mei 2022) pada pukul 1:52 pagi, berhampiran susur keluar ke Icon City. Kenderaan yang dipasang dashcam berkenaan terpaksa mengelak Perodua Myvi tersebut kerana berada di lorong tengah yang sama.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendent Ku Mashariman Ku Mahmood, tiada sebarang kemalangan mahupun kecederaan dilaporkan susulan kejadian itu.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata bahawa kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan beliau menyeru agar pemandu Perodua Myvi tersebut agar menyerah diri. Mashriman turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan agar tampil kehadapan bagi membantu siasatan polis.

     
     
  • Polis siasat video tular anggota iring kereta anak MP

    Polis siasat video tular anggota iring kereta anak MP

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan sambil diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang pada Sabtu lalu, 7 Mei 2022.

    “Rakaman video yang tular, berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’. Rakaman terbabit memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.

    “Satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci akan dilakukan ke atas kedua-dua anggota yang terlibat. Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Menerusi video yang tular tersebut, pemandu kereta terbabit yang telah dirakam videonya ketika memandu di Jalan Bukit Gambir dan kelihatan diiringi oleh dua anggota polis bagi memastikan jalan di hadapannya lancar termasuk ketika melalui persimpangan lampu isyarat. Lelaki yang memandu kenderaan model Land Rover ini dipercayai merupakan anak kepada Ahli Parlimen (MP), menurut The Star.

    Malah menerusi paparan video tersebut, turut terlihat sebuah kenderaan yang terpaksa berhenti secara mengejut walau pun lampu isyarat laluan terbabit hijau. Ini pastinya memberikan risiko pelanggaran sekiranya kenderaan di belakangnya tidak dapat berhenti secara serta-merta.

    Dalam masa yang sama, paparan video berkenaan turut mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu terbabit yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang

     
     
  • Toyota GR Corolla Sedan – badan lebar, tiga ekzos

    Toyota GR Corolla Sedan – badan lebar, tiga ekzos

    Adakah anda antara orang yang tertarik dengan Toyota GR Corolla yang didedahkan di Amerika Syarikat (AS) bulan lalu, tetapi berharap ada versi sedan untuk lebih ruang simpanan? Malangnya Toyota tidak mengeluarkan model seperti itu, tetapi dengan adanya kepakaran Theophilus Chin, kami tunjukkan bagaimana bentuknya dalam versi digital.

    Menariknya pada lukisan digital kali ini, Theo tidak menggunakan Corolla pasaran AS sebagai asas, dan sebaliknya mengambil Corolla yang dipasarkan di negara kita (juga dikenali sebagai Corolla Altis di Thailand). Dari situ, beliau memasukkan pelbagai elemen daripada GR Corolla.

    Perkara pertama yang menonjol adalah muka hadapan lebih agresif, dengan bukaan yang besar di tengah, lampu kabus bulat kecil di bawah serta satu lagi bukaan berbentuk menegak di bucu bampar. Panel membonjol di bahagian gril pada Corolla asal juga telah dibuang demi menjadikan bampar tersebut nampak lebih kemas dan bersih.

    Toyota GR Corolla Sedan – badan lebar, tiga ekzos

    Menjadikan kedudukan kereta ini nampak lebih tegap, kedua-dua bahagian lengkuk roda hadapan dan belakang ditambah menjadi lebih lebar dan pada fender terdapat sirip udara bersama lencana logo GR. Mengikuti konsep GR Corolla yang sama, skirting tepi turut mempunyai tulisan “GR-Four” yang merujuk kepada sistem pacuan semua roda serta enjin 1.6L turbo 304 PS/370 Nm GR Corolla.

    Spoiler belakang pada lukisan digital GR Corolla Sedan ini tidak begitu besar seperti GR Corolla AS dan ia diletakkan di atas penutup but. Bahagian bampar direka lebih agresif, dan mempunyai tiga muncung ekzos di bawahnya.

    Jadi, apa pendapat anda dengan rekaan lebih agresif untuk Corolla Sedan ini? Adakah ia padan dengan bentuknya atau ada bahagian yang perlu ditukar lagi? Setakat ini rekaan seperti ini memang tidak boleh didapati di mana-mana tetapi Theo memberitahu, mungkin nanti ada pihak yang berminat untuk menghasilkan kit badan sebenar mengikut rekaan ini.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor MDP, QAB_E untuk dibida

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran MDP dan QAB_E yang dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor terkini Melaka iaitu ‘MDP’ akan mula dibuka bidaan pada 12 Mei, Khamis ini. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, berakhir pada 16 Mei, jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya iaitu 17 Mei 2022. Keseluruhan proses kini adalah menerusi dalam talian, dan pembida bakal menerima sama ada berita baik (atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Satu lagi siri nombor pendaftaran di JPJ eBid adalah ‘QAB_E’ dari Sarawak, yang mula dibuka bidaaan pada 7 Mei lalu dan berakhir pada 11 Mei ini, jam 10 malam. Keputusan bidaan akan dikeluarkan pada 12 Mei. Sebelum ini, ‘QAB_E’ telah pun diumumkan bidaannya pada 1-5 Mei, namun kami tidak pasti mengapa ia dibuka bidaan sekali lagi.

    Jika sebelum ini, mungkin anda mengharapkan bantuan (dengan kos upah tertentu) dari pihak ketiga termasuk runner untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan, kini menerusi JPJ eBid, ia cukup mudah untuk diuruskan sendiri. Dah jimat kos upah. Kalau anda ingin melakukan bidaan sendiri, anda bolehlah rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang dihajati.

     
     
  • Yamaha Tricity 125 2022 diperkenal – casis baru, enjin 125 cc Euro 5 12 hp, 11.2 Nm tork, brek cakera UBS

    Yamaha Tricity 125 2022 diperkenal – casis baru, enjin 125 cc Euro 5 12 hp, 11.2 Nm tork, brek cakera UBS

    Di Eropah, Yamaha telah melancarkan Tricity 125 baru, iaitu sebuah skuter tiga roda (dua di hadapan) yang lebih mesra kepada penunggang baru termasuklah pemegang lesen kelas A1. Bukan setakat perubahan warna dan gaya, Tricity 125 2022 turut melibatkan pelbagai peningkatan lain.

    Keseluruhan casis skuter ini telah diubah untuk menjadikannya lebih tegap dan selesa bagi pengguna. Melaluinya, Yamaha dapat menghasilkan rekaan yang mempunyai peletak kaki lebih luas serta tetapan dua penyerap hentak di belakang yang ditala semula.

    Enjin satu silinder 125 cc Blue Core SOHC dengan sistem suntikan bahan api pada Tricity 125 2022 kini melepas tahap emisi Euro 5 dan bersama padanan transmisi automatik CVT, ia dapat menghasilkan kuasa 12 hp pada 8,000 rpm dan 11.2 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Yamaha Tricity 125 2022 diperkenal – casis baru, enjin 125 cc Euro 5 12 hp, 11.2 Nm tork, brek cakera UBS

    Demi menjadikan operasi enjin ini lebih jimat bahan api, ia turut dipasang dengan sistem start/stop yang terdiri daripada Starter Generator Control Unit (SGCU) baru bersama Smart Motor Generator, yang kini dapat beroperasi lebih lancar.

    Tetapan dua roda di hadapan skuter ini menggunakan sistem stereng LMW Ackerman yang memberikan rasa lebih normal dan meyakinkan dan ia terdiri daripada rim yang berlainan saiz berbanding di belakang. Rim hadapan adalah bersaiz 14 inci dengan dibalut tayar 90/80 sementara di belakang pula terdapat rim 13 inci dengan tayar 130/70.

    Setiap roda pada skuter ini dipasang dengan brek cakera tetapi Yamaha tidak melengkapkannya dengan sistem ABS. Sebaliknya, mereka menggunakan sistem Unified Braking System (UBS) yang sama seperti Combined Brake System (CBS) oleh Honda, di mana ia akan mengagihkan sedikit kuasa brek ke roda hadapan apabila brek belakang ditarik dengan kuat.

    Apabila duduk di atas skuter ini, di hadapan pemandu terdapat panel instrumen LCD baru yang selain dapat memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui Bluetooth untuk menunjukkan notifikasi panggilan, mesej, emel serta media sosial.

    Kemudahan lain yang disediakan oleh Tricity 125 2022 adalah seperti sistem tanpa kunci, ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh memuatkan satu helmet, tangki bahan api 7.2 liter, tinggi tempat duduk 785 mm serta lampu jenis LED.

     
     
  • Proton Saga MC2 2022 dalam teaser sebelum dilancar 12 Mei — rim aloi baru, lencana bulat ditunjuk

    Proton Saga MC2 2022 dalam teaser sebelum dilancar 12 Mei — rim aloi baru, lencana bulat ditunjuk

    Diumumkan secara rasmi minggu lalu, Proton Saga 2022 (MC2, atau Minor Change 2), teaser kini telah ditunjuk pula di saluran media sosial, merancakkan lagi situasi menuju pelancaran rasminya 12 Mei ini, 9.45am.

    Imej terbaru ini menunjukkan rim 15-inci baru pada varian Premium dan Premium S terkini, yang datang dalam penyudah dua-tona dengan empat daripada jejarinya dalam warna perak. Turut kelihatan agak jelas adalah bodykit untuk varian paling tinggi — dalam warna badan untuk versi akhir ini, berbanding warna hitam pada unit prototaip yang dilihat sebelumnya.

    Disertakan dalam hantaran terbaru itu adalah pautan untuk pendaftaran minat, yang juga menunjukkan gambar lain — bahagian depannya. Walaupun jelas wajah Saga seperti yang kita kenal, gril Infinite Weave yang ada bagaimanapun mengenakan lencana bulat Proton yang baru, yang pertama kali ditampilkan tahun lalu pada Iriz dan Persona facelift.

    Jalur Ethereal Bow pada gril juga diberi penyudah merah berbanding krom, sama seperti pada X50. Bagaimanapun, tiada lampu utama LED kerana Saga akan kekal menggunakan lampu halogen seperti yang terlihat dalam gambar. Cermin sisi serta ruang nombor plat hitam juga dijangka akan ada pada model ini.

    Proton Saga MC2 2022 dalam teaser sebelum dilancar 12 Mei — rim aloi baru, lencana bulat ditunjuk

    Spyshot terbaru Saga ini juga menunjukkan rekaan konsol tengahnya yang baru dengan perincian merah pada MC2 lebih meluas digunakan, misalnya di bahagian tengah corong pendingin hawa juga. Jalur krom kecil yang memisahkan butang stereng juga dalam warna merah. Corong pendingin di sisi tidak kelihatan, tetapi kemungkinan besar ia juga dalam warna merah untuk nampak sekata.

    Stereng tiga jejari dalam gaya yang sama dengan Exora juga diberi rekaan baru bagi lencana beg udaranya, sama seperti Iriz dan Persona. Gelung pada kluster instrumen pula kini dalam warna merah berbanding perak sebelum ini.

    Selain itu, seperti ada OS baru untuk sistem infotainmen Saga ini, jika dilihat pada paparan utama skrinnya, yang ada banyak ikon dan warna. Kelihatannya juga tanda amaran “periksa barangan anda” ketika enjin dimatikan, sama seperti yang Perodua perkenalkan pada keretanya — untuk memastikan anda tidak tertinggal barangan atau bayi di belakang. Tiada perubahan dijangkakan untuk aspek mekanikal.

     
     
  • Subsidi bahan api penting, perlu diteruskan – Mustapa

    Subsidi bahan api penting, perlu diteruskan – Mustapa

    Walaupun kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa beban kewangan negara kini meningkat kerana perlu menanggung subsidi bahan api berikutan harganya pada peringkat global semakin meningkat, namun subsidi berkenaan diakui mampu untuk mengawal kadar inflasi dalam negara.

    Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, subsidi bahan api adalah penting dan ia akan terus disalurkan kepada rakyat, serta termasuk dalam empat barang kawalan bagi mengurangkan kadar inflasi dalam negara. Empat barangan tersebut adalah minyak masak, petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

    “Negara kita kini sedang beralih ke fasa endemik dan walaupun menerima sedikit tekanan berikutan kadar inflasi yang tidak menentu, kerajaan masih mampu mengawal kadar berkenaan. Ini adalah kerana usaha kerajaan dan dibantu oleh agensi-agensi berkait,” katanya dalam laporan NST.

    “Untuk mengekalkan keadaan ini, kerajaan akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa,” katanya. Beliau turut memberitahu bahawa kadar inflasi dalam negara adalah 2.2% pada Mac lalu, dilihat lebih rendah berbanding Amerika Syarikat yang mencatatkan kadar 8.5% dan Eropah pada kadar 7.5%.

    Subsidi bahan api penting, perlu diteruskan – Mustapa

    Namun, kadar inflasi sememangnya dijangka akan naik. “Kadar inflasi negara dijangka akan meningkat berikutan kenaikan Indeks Harga Pengeluar (PPI) 11.6% dan kerana tekanan dari kadar inflasi pada peringkat global. Pada Februari, PPI adalah pada 9.7%. Jika kadar ini naik, di mana ia selalunya akan naik, ia akan menyebabkan inflasi…oleh itu, kerajaan akan memantau perkara ini dengan teliti,” kata Mustapa lagi.

    Walaupun kerajaan telah memberikan jaminan bahawa subsidi bahan api ini tidak akan dimansuhkan, tetapi strukturnya dijangka akan diubah selepas ini bagi membolehkan ia diberikan hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.
    Buat masa sekarang, subsidi yang diberikan oleh kerajaan membolehkan petrol RON 95 dijual pada harga siling RM2.05 seliter.

    Walau bagaimanapun dengan kaedah pemberian subsidi sedia ada, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar kerana setiap kenaikan US$ 1 pada harga minyak mentah dunia akan menyebabkan negara kehilangan RM410 juta. Oleh itu, kerajaan dijangka akan merubah kaedah pemberian subsidi bahan api sedia, dan bakal memberikannya hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.

    Subsidi bahan api penting, perlu diteruskan – Mustapa

    Perkara ini telah disebut oleh Mustapa pada bulan lalu dan menurutnya, kerajaan kini masih sedang merangka struktur subsidi bahan api yang baru dan ia dijangka bakal lengkap tak lama lagi.

    “Mereka yang berkemampuan perlu membayar lebih dan orang yang tidak layak menerima (subsidi) tidak boleh diberikan subsidi sama sekali. Subsidi adalah untuk golongan miskin, terutamanya B40 (kumpulan pendapatan 40% terbawah). Isunya ialah masa bila ia akan dilaksanakan,” kata Mustapa.

    Beliau berkata, subsidi bahan api memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan inflasi di Malaysia, dan kerajaan mampu mengekalkan kenaikan harga antara 2% dan 3% sejak 10 hingga 20 tahun lepas. “Bagaimanapun, ia akan menjadi beban besar pada bajet. Ketika kita mengumumkan bajet kita tahun lepas, anggaran subsidi adalah kira-kira RM5 bilion. Kini anggarannya sekitar RM30 bilion, mewakili peningkatan enam kali ganda dalam jumlah subsidi,” katanya lagi

     
     
  • Op Selamat 18: Polis rekod 154 kematian dalam 148 kemalangan maut, 296,814 saman di seluruh negara

    Op Selamat 18: Polis rekod 154 kematian dalam 148 kemalangan maut,  296,814 saman di seluruh negara

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sebanyak 148 kemalangan maut yang membabitkan 154 kematian akibat kemalangan jalan raya di seluruh negara dalam tempoh sembilan hari Op Selamat 18 yang dilancarkan pada 29 April lalu sehingga 8 Mei 2022.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain, angka itu adalah daripada 14,536 kemalangan membabitkan 18,897 kenderaan, laporan Harian Metro.

    Jelas beliau, bagi tempoh sama semua angka meningkat berbanding Op Selamat 15 pada 2019 yang mencatatkan 14,250 jumlah kemalangan, 142 kemalangan maut dan 151 kematian membabitkan 18,140 kenderaan.

    “Penunggang dan pembonceng motosikal yang maut menyumbang jumlah tertinggi kematian iaitu 97 (Op Selamat 18) berbanding 106 (Op Selamat 15). Ini diikuti kematian membabitkan kereta iaitu 40 (Op Selamat 18) berbanding 36 (Op Selamat 15)

    “Pejalan kaki merupakan penyumbang ketiga tertinggi kematian iaitu 10 maut (Op Selamat 18) berbanding lapan maut (Op Selamat 15),” katanya.

    Op Selamat 18: Polis rekod 154 kematian dalam 148 kemalangan maut,  296,814 saman di seluruh negara

    Beliau berkata, untuk hari kesembilan Op Selamat, semalam, 1,551 kemalangan dicatatkan dengan Selangor teratas membabitkan 284 kemalangan diikuti Johor (273) dan Perak (152), manakala Perlis mencatatkan kemalangan terendah iaitu empat kemalangan jalan raya.

    “Di mana daripada 1,551 kemalangan itu, 13 nyawa terkorban termasuk membabitkan empat kematian di Selangor, tiga di Kedah dan masing-masing dua kematian di Negeri Sembilan serta Sarawak.

    “Manakala sebanyak 296,814 saman dikeluarkan PDRM kepada pengguna jalan raya sepanjang sembilan hari Op Selamat 18,”ujarnya.

    Beliau berkata, enam kesalahan utama penyebab saman dikeluarkan setakat hari kesembilan Op Selamat 18 ialah melebihi had laju (212,469 saman), kesalahan melanggar lampu isyarat (3,613 saman), memotong barisan (2,903 saman), menggunakan alat komunikasi (1,712 saman), memotong di garisan berkembar (1,080 saman) dan memandu di lorong kecemasan (735 saman).

    “Kemalangan jalan raya mengikut jenis jalan sehingga hari kesembilan Op Selamat 18 pula, lebuh raya (1,551 kemalangan), jalan persekutuan (3,141 kemalangan), jalan negeri (2,928 kemalangan), jalan bandaran (5,625 kemalangan) dan lain-lain jalan sebanyak 1,291 kemalangan.

     
     
  • Tambang ECRL tidak akan bebankan pengguna – Wee

    Tambang ECRL tidak akan bebankan pengguna – Wee

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir. Wee Ka Siong telah menyangkal dakwaan Pengerusi PKR Terengganu berkenaan tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dikatakan sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding tiket pesawat.

    Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasminya, Dr. Wee berkata, dakwaan berkenaan adalah bersifat spekulatif dan langsung tidak berasas.

    “Perbincangan yang masih berjalan di peringkat kerajaan adalah bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan ETS KTMB di Pantai Barat Semenanjung.

    “Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat,” katanya.

    Tambah beliau lagi, secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan.

    Tambang ECRL tidak akan bebankan pengguna – Wee

    “Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna. Kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ini adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

    “Malah, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70% daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak,”ujarnya lagi.

    Jelasnya, sama seperti laluan kereta api lain yang beroperasi di Malaysia, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan sebelum ia beroperasi. Ini adalah selaras dengan keperluan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai pengawal selia.

    Sebelum ini, kerajaan telah mengesahkan ECRL dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027. Ia akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.

    Di mana jarak landasan ECRL 2.0 sejauh 640 km itu telah dipendekkan berbanding laluan asal 688 km dengan jumlah stesen kereta api dikurangkan kepada 20 berbanding 26 sebelum ini. Malahan pengurangan jarak 48 kilometer itu juga dijangka dapat membantu mengurangkan kos sebanyak RM21.5 billion kepada RM44 bilion berbanding kos asal yang mencecah RM65.5 bilion.

     
     
  • Ibu bapa benarkan anak bawah umur tanpa lesen pandu MPV rempuh pemotong rumput akan dihukum

    Ibu bapa benarkan anak bawah umur tanpa lesen pandu MPV rempuh pemotong rumput akan dihukum

    Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa tindakan akan dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan individu tanpa lesen memandu kenderaan mereka. Kenyataan ini dibuat berikutan kemalangan maut yang berlaku di Kedah pada hujung minggu lalu, di mana dua orang pemotong rumput telah dirempuh sebuah MPV yang dipandu oleh seorang remaja lelaki 16-tahun tanpa lesen.

    Kejadian yang berlaku di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani telah menyebabkan seorang daripada pemotong rumput berkenaan meninggal dunia, manakala seorang lagi cedera parah, lapor Bernama. Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, tindakan akan dikenakan terhadap ibu bapa remaja berkenaan.

    “Di bawah Akta Pengangkutan Jalan, sesiapa yang membenarkan anak mereka atau mana-mana individu bawah umur memandu kenderaan mereka boleh dipertanggungjawabkan. Tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap pemandu, malah pemilik kenderaan, yang akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan mendatangkan kecederaan kepada mana-mana pihak,” katanya.

    “Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya dan menambah kerana faktor ini, sebarang kecederaan dan kerosakan tidak akan dilindungi oleh insuran.

    Wee turut menyatakan bahawa ada perkara seperti ini perlu dielakkan dari terjadi lagi. “Kita perlu melindungi keselamatan pejalan kaki,” tegasnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan menyatakan bahawa remaja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan, dan dia kini sedang ditahan untuk siasatan lanjut.

     
     
  • Op HRA 2022: JPJ keluarkan 16,377 saman setakat 8 Mei; 58,182 kesalahan lebih had laju dikesan AWAS

    Op HRA 2022: JPJ keluarkan 16,377 saman setakat 8 Mei; 58,182 kesalahan lebih had laju dikesan AWAS

    Setakat 8 Mei 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 16,377 saman kesalahan jalan raya sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 di seluruh negara.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim , kesemua saman berkenaan dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 89,490 kenderaan sejak aktiviti penguatkuasaan penuh bermula 29 April lalu, laporan Bernama.

    “JPJ juga telah mengeluarkan sejumlah 776 saman Notis P22 iaitu notis arah periksa melibatkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong garisan berkembar dan memandu melebihi had laju.

    Op HRA 2022: JPJ keluarkan 16,377 saman setakat 8 Mei; 58,182 kesalahan lebih had laju dikesan AWAS

    “Lima kesalahan utama dalam tempoh Op HRA 2022 itu akan dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun,” katanya pada sidang media selepas memantau pelaksanaan Op HRA 2022 di Jalan Kota Bharu-Pasir Pekan, malam tadi.

    Tambah beliau, JPJ turut mengesan sebanyak 58,182 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dalam Op HRA 2022 setakat semalam.

    Beliau berkata kesalahan tersebut dikesan menerusi 45 kamera Awas membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

     
     
  • Bekalan minyak habis, ratusan kenderaan terkandas — permintaan tinggi luar jangka, sesak teruk jadi punca

    Bekalan minyak habis, ratusan kenderaan terkandas — permintaan tinggi luar jangka, sesak teruk jadi punca

    Jarang berlaku, tetapi terdapat situasi di Pantai Timur menyaksikan kenderaan terkandas di stesen minyak akibat terputus belakan di musim perayaan kali ini. Astro Awani melaporkan, kira-kira 200 kenderaan terkesan disebabkan masalah itu di sebuah stesen minyak di Setiu, yang telah kehabisan minyak sejak semalam.

    Kata seorang pengguna kepada agensi berita itu, Azuddin Yusoff, beliau memulakan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke Pahang sebelum terkandas di stesen minyak berkenaan sejak jam 6 petang Jumaat. Sehingga 11 malam, beliau bersama kira-kira 200 pengguna lain masih terkandas di situ.

    Seorang penyelia stesen minyak terbabit, Hafikir Zaki, memohon maaf di atas kesulitan yang dialami para pengguna dan menyatakan perkara itu berlaku akibat bekalan minyak yang terputus. “Lori yang menghantar minyak sepatutnya tiba lebih awal mengikut jadual, tetapi disebabkan kesesakan dan terlalu banyak kereta, perjalanannya tergendala,” ujar beliau. Difahamkan sekitar jam 12 malam tadi barulah lori yang membawa bekalan minyak berkenaan tiba di stesen minyak tersebut.

    Sementara itu, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) hari ini menjelaskan punca masalah tersebut. Presidennya, Datuk Khairul Anwar Abdul Aziz memaklumkan kepada The Malaysian Insight bahawa kekurangan bekalan itu berpunca daripada permintaan terlampau tinggi di luar jangkaan, dan juga kesesakan teruk di lebuhraya yang menyebabkan perjalanan lori tangki tergendala.

    Menurut beliau lagi, ini tidak hanya melibatkan stesen di lebuhraya, tetapi turut memberi kesan kepada stesen di laluan lain juga, termasuk di Pantai Timur. “Raya kali ini keadaannya sangat berbeza daripada sebelumnya, dan itu mengejutkan. Jualan melambung tinggi. Biasanya peningkatan hanya 20% berbanding hari biasa, tetapi kali ini naik hingga 40%,” tambah beliau.

    Beliau memaklumkan, gangguan bekalan ini dijangka berterusan hingga esok dan akan kembali seperti biasa sebaik saja penguna tiba ke destinasi mereka seperti sediakala.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025