Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW M8 Competition 2022 diperbaharui – dapat skrin sesentuh 12.3 inci, enjin V8 twin turbo 4.4L 625 PS

    BMW M8 Competition 2022 diperbaharui – dapat skrin sesentuh 12.3 inci, enjin V8 twin turbo 4.4L 625 PS

    Selain barisan model 8 Series biasa, BMW juga telah membuat pembaharuan kepada model prestasi tinggi M8 untuk keluaran tahun 2022. Paling utama adalah varian asas M8 telah dikeluarkan daripada senarai untuk semua bentuk badan – Coupe (F92), Convertible (F91), Gran Coupe (F93) – dan sekarang ia hanya dijual dalam versi M8 Competition sahaja.

    Varian ini menggunakan enjin V8 4.4 liter twin turbo S63 yang mampu menghasilkan kuasa 625 PS pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,860 rpm, dipadankan bersama transmisi M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic serta sistem pacuan semua roda M xDrive.

    Melihat kepada prestasi, model empat pintu dan coupe mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat sementara model convertible pula sedikit perlahan dengan mencatat 3.3 saat. Laju maksimum bagi semua tiga model ini adalah 250 km/j tetapi dengan M Driver’s Package, ia boleh pergi sehingga 305 km/j.

    BMW M8 Competition 2022 diperbaharui – dapat skrin sesentuh 12.3 inci, enjin V8 twin turbo 4.4L 625 PS

    Bahagian mekanikal lain tidak berubah, bermakna ia masih lagi menggunakan suspensi adaptif M dengan kinematik serta elastokinematik khas M, brek M serta differential M.

    Tidak seperti model 8 Series biasa yang diberi beberapa perubahan pada bahagian luar, M8 Competition ini pula cuma diperbaharui dengan pilihan warnanya sahaja, yang kini termasuk Skyscraper Grey, Brooklyn Grey, Isle of Man Green, BMW Individual Lacquer Tanzanite Blue, Frozen Pure Grey, Frozen Deep Grey, Frozen Deep Green dan Frozen Tanzanite Blue.

    Melengkapi pembaharuan di bahagian luar adalah rekaan rim 20 inci M yang baru, serta lampu utama LaserLight standard yang boleh didapati dengan pakej Shadow Line untuk menjadikan bahagian dalamnya lebih gelap, bersama kemasan krom. Gril tidak diubah – tiada ciri Iconic Glow – dan ia dicat warna hitam berkilat.

    Pada bahagian dalam, M8 Competition 2022 menerima skrin sesentuh lebih besar, iaitu 12.3 inci, yang menjadi sebahagian daripada sistem Live Cockpit Professional dan dipadankan bersama ciri lain seperti Driving Assistant, Parking Assistant, pengecas tanpa wayar serta sistem bunyi Harman Kardon.

    Tempat duduk M Sport diberikan secara standard, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada tempat duduk bucket M Carbon yang mempunyai permukaan balutan gentian karbon terdedah di bahagian belakang, penyandar kepala bersambung, bahagian tepi yang boleh dipadankan bersama tali pinggang lumba, larasan elektrik dengan fungsi memori serta lencana M8 yang menyala. Turut ditawarkan adalah pelbagai pilihan balutan serta kemasan.

    GALERI: BMW M8 Competition Coupe 2022

    GALERI: BMW M8 Competition Convertible 2022

    GALERI: BMW M8 Competition Gran Coupe 2022

     
     
  • Had laju diturunkan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2022; Jalan Persekutuan 80 km/j, Jalan Negeri 70 km/j

    Had laju diturunkan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2022; Jalan Persekutuan 80 km/j, Jalan Negeri 70 km/j

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengumumkan, sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Tahun Baharu Cina 2022 yang telah pun bermula sehingga 8 Februari ini, had laju bagi Jalan-Jalan Persekutuan dan Jalan-Jalan Negeri telah diturunkan. Perkara ini turut diwartakan oleh Kementerian Kerja Raya, iaitu penurunan had laju sebanyak 10 km/j untuk kedua-dua jalan berkenaan.

    Di mana sepanjang tempoh itu, had laju bagi Jalan Persekutuan ialah 80 km/j dan Jalan Negeri pula 70 km/j. “Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko nahas jalan raya serta menjamin tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” ujar Dr. Wee dalam majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina, di Putrajaya pagi tadi.

    Sejajar dengan hasrat utama Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu, kempen pada tahun ini masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat”. Di mana tema ini dipersetujui untuk dikekalkan supaya ia mudah diingati dan dihayati oleh semua lapisan pengguna jalan raya.

    Had laju diturunkan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2022; Jalan Persekutuan 80 km/j, Jalan Negeri 70 km/j

    Menurut Dr. Wee lagi, Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan raya Tahun Baru Cina pada tahun ini juga turut melibatkan beberapa program penguatkuasaan, yang merangkumi aktiviti-aktiviti penguatkuasaan seperti OPS Tahun Baru Cina (OPS TBC) oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ops Selamat Ke-17/2022 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan, yang akan berkuatkuasa pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan iaitu pada 30-31 Januari serta 3-4 Februari 2022. Larangan ini melibatkan tiga kategori dengan kategori pertama adalah larangan sepanjang masa yang melibatkan car carrier, dumper & tipping yang berat muatannya melebih 7,500 kg, low loader, pole trailer, bulk cement tanker, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda, dan traktor.

    Manakala Kategori Kedua pula adalah larangan dari 12 tengahmalam hingga 8 pagi melibatkan kontena mengangkut barang (selain kontena yang mengangkut barang dari pelabuhan/lapangan terbang ke kawasan industri yang sama negeri dan sebaliknya), lori mengangkut barang elektronik/industri, lori mengangkut kelapa sawit/getah, dan lori kargo tanpa muatan dalam perjalanan pulang. Untuk kategori ketiga pula adalah larangan dari 6 petang ke 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan iaitu untuk lori pembancuh simen dan kren bergerak.

    Had laju diturunkan sepanjang Ops Tahun Baharu Cina 2022; Jalan Persekutuan 80 km/j, Jalan Negeri 70 km/j

    “Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya sebarang nahas jalan raya akibat percampuran dan pertambahan trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya/lebuh raya, selain daripada mengelakkan kesesakan lalu lintas, di sepanjang tempoh perayaan,” ujar beliau.

    Selain itu, katanya, sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2022, sebagai inisiatif mengurangkan nahas dan kematian di jalan raya, JPJ turut melaksanakan beberapa penguatkuasaan termasuk kaedah ‘penyamaran’ sebagai penumpang bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya dan pelaksanaan Perception of Being Caught (POBC) secara rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan. Malah OPS Khas Motosikal serentak di seluruh negara yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan termasuk PDRM.

     
     
  • Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model facelift untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

    Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model <em>facelift</em> untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

    Ketika sidang media selepas pengumuman perancangan Perodua untuk 2022 semalam, jenama pengeluar tempatan dari Rawang berkenaan turut berkongsi berkenaan model-model yang bakal mereka lancarkan tahun ini. Walaupun tidak menyebutnya secara spesifik, Perodua mendedahkan bahawa mereka bakal melancarkan satu model serba baharu dan dua model tingkat taraf dari model sedia ada untuk tahun ini.

    “Kemampuan sebenar kami adalah untuk [melancarkan] dua model kemaskini kecil (facelift) dan satu model serba baharu setiap tahun, jadi kami akan teruskan dengan rancangan yang sama, dan jika anda perasan, dalam [pelan] pelaburan, salah satu bahagian yang paling besar dalam pelaburan sebenarnya adalah untuk pembangunan model baharu,” kata Presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad apabila ditanya berkenaan rancangan syarikatnya tahun ini.

    Merujuk kepada pelan pelaburan Perodua untuk 2022, syarikat tersebut dilihat telah memperuntukkan sejumlah RM529.1 juta dari jumlah RM1.3266 bilion secara keseluruhan hanya untuk pembangunan model baharu. Jumlah berkenaan sememangnya sangat besar kerana tahun lalu Perodua hanya memperuntukkan sejumlah RM696.3 juta untuk jumlah keseluruhan pelaburannya, yang juga dilihat lebih sekali ganda berbanding pelaburan pada 2018 dan 2019.

    Jadi model apa agaknya yang akan Perodua lancarkan tahun ini? Untuk model serba baharu, sebelum ini Perodua telah pun mengesahkan mereka akan lancarkan model generasi baharu untuk MPV kompak Alza pada 2022. Malah dalam sidang media yang sama semalam juga, Dato’ Zainal sendiri menyatakan model gantian Alza yang akan menggunakan platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA) berkenaan akan mula diproduksi sebaik sahaja produksi Alza sedia ada ditamatkan pada April nanti.

    Perodua akan lancar 1 model baharu, 2 model <em>facelift</em> untuk 2022 – Aruz dan Axia akan dapat versi facelift?

    Buat masa sekarang projek pembangunan MPV baharu tersebut hanya dikenali dengan kod D27A. Dengan disahkan bahawa ia akan diasaskan dari platform DNGA, boleh dijangkakan bahawa Alza generasi baharu ini merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza yang baharu sahaja dilancarkan di Indonesia lewat tahun lalu, sama seperti kembar Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize yang turut menggunakan asas DNGA.

    Untuk pasaran Indonesia, Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.

    Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.

    Manakala untuk dua lagi model facelift yang bakal dilancarkan tahun ini, jangkaan kami adalah dua model “paling lama” dalam barisan model Perodua sedia ada iaitu Aruz dan juga Axia, juga dengan mengambil kira Myvi facelift baru sahaja dilancarkan tahun lalu, manakala sedan Bezza pula sudahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Januari 2020.

    Perodua Aruz telah diperkenalkan pertama kali pada Januari 2019, yang juga merupakan kembar kepada Toyota Rush (malah diproduksi bersama oleh Perodua di Rawang). Jadi masuk tahun ini, Aruz telahpun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran dan hanya menerima tingkat taraf kecil pada Mei tahun lalu dengan penambahan perincian seperti pemijak sisi, fungsi kunci automatik dan juga pilihan warna baharu – memang waktu terbaik untuk melancarkan model facelift untuk Aruz tahun ini.

    Bagi Perodua Axia pula, ia sudah muncul dalam pasaran sejak September 2014, dan kemudian muncul dalam versi facelift pada Januari 2017. Axia sekali lagi menerima facelift pada September 2019 yang menyaksikan kesemua varian kini menerima muka yang sama, diberikan peningkatan kit serta diberikan varian psedo-SUV baharu digelar Axia Style.

    Walaupun sudah berada lebih tujuh tahun dalam pasaran, Axia dilihat masih relavan dengan jumlah jualan sebanyak 43,080 unit dicatatkan sepanjang tahun lalu. Malah kembarnya di Indonesia iaitu Daihatsu Ayla dan Toyota Agya juga masih dijual disana.

    Jadi boleh dijangka, Axia facelift 2022 mungkin akan menerima tingkat taraf yang sama seperti Ayla dan Agya facelift yang diperkenalkan di Indonesia pada Mac 2020, yang menampilkan suis-suis kawalan pendingin hawa digital, penyegaran rupa dan pelbagai lagi.

    Namun sekali lagi kami ingin nyatakan bahawa apa yang kami tulis ini adalah jangkaan kami berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ada buat masa sekarang. Untuk perincian yang lebih rasmi, sudah tentu kita kena sama-sama tunggu ia dikeluarkan sendiri oleh Perodua kelak. Anda pula bagaimana? Apa jangkaan anda tentang model-model yang akan dilancarkan oleh Perodua tahun ini? Kongsikannya bersama di ruang komen!

     
     
  • Toyota Avanza 2022 tidak akan dijual di M’sia, tiada model kembar Perodua Alza D27A dari Toyota tahun ini

    Toyota Avanza 2022 tidak akan dijual di M’sia, tiada model kembar Perodua Alza D27A dari Toyota tahun ini

    Perodua Alza generasi baharu disahkan bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, selepas produksi model generasi sedia ada tamat pada April nanti. Tiada sebarang perincian rasmi diumumkan berkenaan MPV generasi baharu tersebut setakat ini, tetapi Perodua telah mengasahkan bahawa ia turut akan diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), menjadikan ia model kedua keluarannya yang menggunakan asas tersebut selepas Perodua Ativa.

    Jadi boleh dijangka, Perodua Alza generasi baharu ini adalah kembar kepada model generasi baharu Toyota Avanza dan juga Daihatsu Xenia yang telah dilancarkan di Indonesia akhir tahun lalu, sama seperti Perodua Ativa yang merupakan kembar kepada Toyota Raize dan Daihatsu Rocky di pasaran negara tersebut.

    Persoalannya, adakah Toyota akan melancarkan juga Avanza generasi baharu berkenaan di Malaysia sama seperti Toyota Rush yang merupakan kembar kepada Perodua Aruz sebelum ini? Untuk yang masih belum mengetahui, Toyota Rush juga sebenarnya dipasang oleh Perodua di kilang mereka di Rawang bersama-sama dengan Aruz, cuma aksesori-aksesori akhir yang membezakan Rush dan Aruz di pasang di kilang Toyota di Bukit Raja, Shah Alam.

    Toyota Avanza 2022 tidak akan dijual di M’sia, tiada model kembar Perodua Alza D27A dari Toyota tahun ini

    Sekiranya Toyota mahu melancarkan Avanza generasi baharu ini, sudah tentu kaedah produksi yang sama turut perlu digunakan kerana UMW Toyota tidak mempunyai fasiliti untuk memasang model-model DNGA, berbanding Perodua yang telah pun bersedia dan sudahpun memasang Ativa menggunakan platform berkenaan.

    Namun dalam sidang media hari ini, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad menyatakan bahawa Perodua hanya mensasarkan produksi untuk model pemasangan kontrak mereka untuk tahun 2022 adalah tidak sampai 2,000 unit setahun. Berdasarkan angka ini, boleh dijangka bahawa kesemua unit yang dipasang secara kontrak di kilang Perodua berkenaan adalah Toyota Rush, tanpa ada sebarang perancangan untuk memasang Toyota Avanza baharu sepanjang tahun 2022 ini.

    Dalam sidang media yang sama, Dato’ Zainal turut menyatakan bahawa sebaik sahaja produksi Alza generasi pertama ini tamat, ia akan digantikan terus dengan produksi model gantian untuk MPV tersebut. “Harap-harap transisi antara Alza lama dan Alza baharu akan berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sebelum ini Perodua telah pun mengesahkan bahawa model gantian untuk Alza bakal dilancarkan tahun ini, namun garis masa untuk pelancaran model tersebut masih belum disebut dengan jelas. Juga masih belum dapat dipastikan sama ada Perodua akan terus menggunakan nama Alza untuk MPV generasi baharu berkenaan atau akan digantikan dengan nama lain.

    Toyota Avanza (atas kiri) dan Daihatsu Xenia (atas kanan) generasi baharu pasaran Indonesia serta imej bayangan Perodua Alza generasi baharu (bawah)

    Buat masa sekarang projek pembangunan MPV baharu tersebut hanya dikenali dengan kod D27A. Manakala di Indonesia, Xenia dan Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.

    Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.

     
     
  • Tiada kenaikan harga kenderaan Perodua pada tahun 2022 meskipun kos bahan mentah terus meningkat

    Tiada kenaikan harga kenderaan Perodua pada tahun 2022 meskipun kos bahan mentah terus meningkat

    Inflasi kini sedang melanda banyak tempat di serata dunia, atas pelbagai sebab, dan Malaysia juga tidak terlepas meskipun kadarnya tidak terlalu teruk. Bagaimanapun, tahun lepas telah muncul khabar bahawa harga alat ganti melonjak naik, sehingga 60%.

    Dalam satu pembentangan dengan media hari ini, presiden serta CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad telah mengesahkan kos bahan mentah memang meningkat banyak tahun lepas dan keadaannya masih belum reda.

    “Cabaran tahun ini adalah peningkatan harga bahan mentah. Harga besi diunjur akan meningkat sehingga lebih 20%. Dalam suku ketiga dan keempat tahun lepas, kita telah menyaksikan peningkatan sehingga lebih 20% dan pada suku pertama tahun ini, kita juga menjangka tambahan peningkatan lagi 10% ke atas harga yang meningkat tahun lepas,” kata Zainal.

    Tiada kenaikan harga kenderaan Perodua pada tahun 2022 meskipun kos bahan mentah terus meningkat

    “Walaubagaimanapun, bagi Perodua, kami tidak mahu menyerahkan peningkatan harga ini kepada pelanggan. Buat masa ini, berdasarkan perancangan semasa, tanda aras serta kajian daya saing, kami patutnya dapat menyerap sebarang peningkatan (harga bahan mentah), buat masa ini,” jelas Zainal.

    Jika itu masih tidak cukup bagus, Perodua menyediakan lagi kejutan – harga alat ganti yang lebih murah. Zainal turut mendedahkan bahawa Perodua kini sedang bekerja keras untuk mengekalkan atau mengurangkan harga alat ganti.

    “Orang lain bercerita tentang peningkatan harga alat ganti. Untuk tahun ini, bagus juga kalau kami berjaya mengekalkan atau mengurangkan harga alat ganti. Inilah waktunya di mana kami memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk servis kenderaan mereka selepas dua tahun berada dalam PKP. Kami harap pelanggan di Malaysia akan kembali menghantar kenderaan mereka ke pusat servis berdaftar.

    Tiada kenaikan harga kenderaan Perodua pada tahun 2022 meskipun kos bahan mentah terus meningkat

    “Sekarang kami sedang mengadakan kajian sama ada boleh – ia satu cabaran yang sukar dan payah – tetapi kami akan umumkan nanti jika kami dapat memberikan harga alat ganti yang lebih kompetitif kepada pelanggan,” kata Zainal.

    Untuk harga kenderaan itu sendiri, rakyat Malaysia masih lagi boleh menikmati pengecualian cukai, yang diberikan sehingga 30 Jun 2022. Dengan pengecualian SST 100% untuk kenderaan pemasangan tempatan, kenderaan Perodua kini dijual pada harga 3% hingga 6% lebih murah.

    Apabila ditanya tentang kemungkinan satu lagi sambungan tempoh oleh kerajaan berkenaan pengecualian cukai ini, Zainal hanya meletakkannya pada 50-50. Jika disambung lagi, ia boleh memberikan manfaat kepada Perodua dan juga pelanggan kerana syarikat masih mempunyai jumlah tempahan yang tinggi.

     
     
  • Harga minyak 27 Jan-2 Feb – RON97 naik 5 sen seliter

    Harga minyak 27 Jan-2 Feb – RON97 naik 5 sen seliter

    Untuk minggu bertarikh 27 Januari hingga 2 Februari 2022, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan kenaikan harga bahan api petrol RON 97 sebanyak 5 sen seliter. Ini menjadikan harga baharu bagi RON 97 kini RM3.12 seliter, berbanding RM3.07 seliter dalam tempoh dua minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi petrol RON 95 masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari 2021 dan telah pun mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 2 Februari 2022.

     
     
  • Suzuki GSX-S1000 tiba di Malaysia – harga RM76,900

    Suzuki GSX-S1000 tiba di Malaysia – harga RM76,900

    Satu lagi motosikal yang dilancarkan oleh Suzuki Malaysia adalah GSX-S1000. Model naked ini dijual pada harga RM76,900 tidak termasuk insurans, dan menjadikannya lebih murah berbanding model sports GSXR-1000R (RM110,280) dan GSX-R1000 (RM99,289).

    Enjin sama seperti GSX-R, iaitu unit empat silinder 999 cc digunakan pada GSX-S1000 ini, tetapi kuasanya dikurangkan menjadi 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, dengan klac jenis slipper.

    Brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup Brembo empat piston Monobloc dipasang pada roda hadapan, sementara roda belakang pula boleh dihentikan dengan angkup brek dua piston. Suspensi datang daripada Kayaba, yang terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan dan monoshock di belakang – kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya.

    Model ini diperkenalkan kali pertama kepada dunia awal tahun lepas dan ia melibatkan perubahan panel badan yang menyeluruh dan paling ketara adalah rekaan lampu hadapannya. Tangki bahan api juga bertambah besar menjadi 19 liter.

    Bahagian elektronik juga dipertingkat, di mana GSX-S1000 kini dilengkapi dengan S.I.R.S. (Suzuki Intelligent Ride System), yang terdiri daripada tiga mod tunggangan, lima mod kawalan cengkaman, quickshifter turun dan naik gear, ride-by-wire serta sistem bantuan rpm rendah TI-ISC (Throttle-body Integrated Idle Speed Control).

     
     
  • Suzuki Burgman 400 tiba di Malaysia – harga RM46k

    Suzuki Burgman 400 tiba di Malaysia – harga RM46k

    Suzuki Burgman 400 2022 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM45,999. Skuter ini akan bersaing secara terus dengan BMW C400X dan C400 GT yang dijual pada harga masing-masing RM44,500 dan RM48,500, serta SYM Maxisym TL500, berharga RM35,888.

    Menggerakkan skuter ini adalah enjin satu silinder DOHC 400 cc yang dipadankan bersama transmisi jenis CVT untuk menghasilkan kuasa 29 PS pada 6,300 rpm dan 35.2 Nm tork pada 4,900 rpm, dan ia menepati tahap emisi Euro 5. Menurut Suzuki, Burgman 400 mampu mencatat penggunaan bahan api 3.3 l/100 km.

    Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik 41 mm sementara di belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban. Kedua-dua rim hadapan dan belakang menggunakan unit 15 inci dan ia boleh dihentikan dengan brek cakera berkembar 260 mm di hadapan dan cakera 210 mm di belakang. ABS two-channel datang secara standard, bersama sistem kawalan cengkaman.

    Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan 42 liter yang boleh menempatkan dua helmet, sementara di bahagian bawah pemegang terdapat satu lagi ruang 3.5 liter di sebelah kanan dan 2.8 liter di sebelah kiri, untuk meletakkan barangan kecil, serta soket pengecas USB. Mencatat berat 218 kg, Burgman 400 datang dengan tangki bahan api 13.5 liter.

    Kesemua lampu pada Burgman 400 ini menggunakan unit LED, dan di hadapan penunggang terdapat dua meter analog serta panel LCD di tengahnya untuk memaparkan segala informasi penting. Tinggi tempat duduk adalah 755 mm.

    Hanya satu warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Metallic Matte Sword Silver, dan ia ditawarkan bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Program Bantuan Banjir Perodua — 2,103 kenderaan rosak diterima, 366 siap dibaik pulih setakat ini

    Program Bantuan Banjir Perodua — 2,103 kenderaan rosak diterima, 366 siap dibaik pulih setakat ini

    Selepas mengumumkan Program Bantuan Banjir pada 19 Disember tahun lalu, Perodua memaklumkan setakat ini keseluruhannya terdapat 2,103 kenderaan Perodua telah dihantar untuk baik pulih akibat kerosakan berkaitan banjir. Daripada jumlah itu, 366 unit telah siap dibaik pulih dan diserahkan kepada pemilik.

    Jumlah keseluruhan itu kini lebih tinggi berbanding makluman yang dibuat pada 10 Januari lalu, dengan 1,987 kenderaan Perodua sedang berada di pusat servis seluruh negara untuk penilaian, dengan 323 unit selesai dibaik pulih sepenuhnya. Seminggu lalu, angka berkenaan naik kepada 1,675 unit.

    Program Bantuan Banjir Perodua menawarkan diskaun 50% bagi alat ganti standard dan caj buruh percuma bagi semua penggantian alat dan baik pulih bagi kenderaan yang rosak akibat banjir, serta servis tundaan 24-jam percuma. Syarikat telah melaksanakan hab khusus untuk baik pulih berkaitan banjir di Shah Alam untuk menguruskan kenderaan yang terkesan.

    Perodua menekankan syarikat itu menerima baucar diskain RM1,000 oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia sebagai salah satu kaedah pembayaran. Baucar berkenaan boleh diguna hingga 31 Mac untuk kenderaan yang rosak akibat banjir atau untuk menukar kenderaan yang telah diisytiharkan “total loss“.

     
     
  • Produksi Perodua Alza dianjak sehingga April 2022, model generasi baharu akan menyusul selepas itu

    Produksi Perodua Alza dianjak sehingga April 2022, model generasi baharu akan menyusul selepas itu

    Sebelum ini kami ada laporkan bahawa produksi Perodua Alza generasi sedia ada bakal ditamatkan pada bulan ini selepas berada 12 tahun dalam pasaran. Namun hari ini, Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengumumkan bahawa mereka telah mendapat keiizinan untuk meneruskan produksi MPV mampu milik berkenaan sehingga April 2022.

    Ini adalah disebabkan pelbagai masalah yang menyebabkan produksi dikilang terpaksa dihentikan seperti sekatan pergerakan penuh, banjir kilat dan sebagainya yang berlaku tahun lalu, membolehkan Perodua mendapat keizinan untuk melanjutkan produksi Alza generasi sedia ada berkenaan selama tiga bulan lagi.

    Dalam laporan sebelum ini, Perodua menyatakan bahawa produksi Alza terpaksa dihentikan kerana ia tidak lagi menepati undang-undang emisi ekzos setelah kerajaan beralih dari penarafan Euro 2 kepada Euro 4 menjelang 1 Januari 2022 (ia pada asalnya dijadualkan akan beralih pada 1 Oktober 2021).

    Sebelum ini juga Perodua mengatakan bahawa mereka berjaya memohon untuk meneruskan produksi Alza sehingga ke hujung Januari 2022. Walaupun undang-undang baharu ini sudah dikuatkuasakan kelak, hanya produksi kenderaan yang tidak lagi melepasi had emisi berkenaan perlu dihentikan serta merta, manakala stok-stok akhir masih boleh dijual sehingga habis.

    Produksi Perodua Alza dianjak sehingga April 2022, model generasi baharu akan menyusul selepas itu

    Bos besar Perodua berkenaan turut memberitahu bahawa sebaik sahaja produksi Alza generasi pertama ini tamat, ia akan digantikan terus dengan produksi model gantian untuk MPV tersebut, yang diasaskan dari platform baharu Daihatsu New Global Architecture (DNGA). “Harap-harap transisi antara Alza lama dan Alza baharu akan berjalan dengan lancar,” kata Dato’ Zainal.

    “Kami masih mempunyai tempahan tertunggak sebanyak 3,200 unit untuk Alza. Kami percaya, dengan [masa pendulu] produksi yang kami ada, kami dapat menghantar tempahan-tempahan ini kepada pelanggan,” tambahnya lagi.

    Walaupun sudah berada dipenghujung usia produksi, jualan untuk Perodua Alza generasi sedia ada masih lagi kuat. Dalam pengumuman prestasi jualan 2021 Perodua awal bulan ini, Alza dilapor mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 14,828 unit sepanjang tahun lalu. Apa yang mengejutkan lagi, angka tersebut hanya kurang sekitar 500 unit berbanding satu lagi model tujuh-tempat duduk dari Perodua yang jauh lebih moden iaitu SUV segmen-B, iaitu Aruz.

    Sebelum ini Perodua telah pun mengesahkan bahawa model gantian untuk Alza bakal dilancarkan tahun ini, namun garis masa untuk pelancaran model tersebut masih belum disebut dengan jelas. Juga masih belum dapat dipastikan sama ada Perodua akan terus menggunakan nama Alza untuk MPV generasi baharu berkenaan atau akan digantikan dengan nama lain.

    Toyota Avanza (atas kiri) dan Daihatsu Xenia (atas kanan) generasi baharu pasaran Indonesia serta imej bayangan Perodua Alza generasi baharu (bawah)

    Buat masa sekarang projek pembangunan MPV baharu tersebut hanya dikenali dengan kod D27A dan ia merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu yang telah pun dilancarkan di Indonesia lewat tahun lalu.

    Kedua-dua MPV segmen-B generasi baharu tersebut diasaskan dari platform baharu DNGA, iaitu asas yang sama seperti kembar Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa. Di Indonesia, Xenia dan Avanza menerima unit janakuasa yang sama seperti Perodua Myvi facelift 2022 iaitu pilihan enjin 1.3L 1NR-VE dan 1.5L 2NR-FE bersama kotak gear D-CVT.

    Boleh dijangkakan, Alza generasi baharu pasaran Malaysia ini nanti mungkin hanya ditawarkan dengan enjin 2NR-FE. Unit 1.5 liter empat-silinder DOHC Dual VVT-i berkenaan mampu untuk menjana 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm tork pada 4,200 rpm.

    Seperti model-model terkini Perodua yang lain, model gantian Alza ini turut dijangka bakal menerima enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Perodua Smart Drive Assist (PSDA). Sistem berkenaan menampilkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dan juga bantuan kekal tengah lorong.

     
     
  • BMW iX 2022 dapat Parking Assistant Professional – parkir auto berasas GPS standard untuk semua varian

    BMW iX 2022 dapat Parking Assistant Professional – parkir auto berasas GPS standard untuk semua varian

    Barisan BMW iX bagi tahun buatan 2022 secara rasminya menerima Parking Assistant Professional untuk pertama kalinya. Sistem parkir automatik ini juga ditawarkan secara standard untuk semua varian bermula Mac tahun ini.

    Sistem ini menggunakan GPS dan data ditentukan menerusi pergerakan stereng, dan juga ia menyimpan pelbagai pergerakan dengan jarak laluan sehingga 200 meter bagi setiap data yang direkodkan. Sebagai contoh, kereta ini akan mengesan laluan yang sering anda gunakan dan akan menetapkan sendiri mod parkir apabila ia sudah terbiasa dengan kawasan tersebut.

    Apabila Parking Assistant Professional mengesan kereta berada pada “titik permulaan”, sistem ini akan mengambil alih kawalan sepenuhnya, termasuk memecut, membrek, stereng dan menukar gear antara hadapan dan undur. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah memantau keadaan sekeliling dan mengambil alih semula kawalan sekiranya diperlukan.

    BMW iX 2022 dapat Parking Assistant Professional – parkir auto berasas GPS standard untuk semua varian

    Selain itu, semua varian iX kini diberikan kemasan warna BMW Individual baharu yang dipanggil Oxid Grey metallic, serta pilihan roda aero dinamik M 22-inci dalam rona Bicolour Titanium Bronze dengan kemasan 3D berkilat.

    Bukan itu sahaja, peningkatan kecil turut dibuat untuk My BMW App. Bermula Mac, fungsi aplikasi ini akan diperkembangkan termasuk servis digital untuk BMW Charging, seperti peta dengan perincian untuk pengecas awam di kawasan sekitar. Ia memudahkan lagi pemilik PHEV atau EV untuk mengetahui lokasi stesen pengecasan. Pemilik iX atau i4 juga boleh memulakan pengecasan kereta mereka dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi berkenaan.

     
     
  • Perodua Myvi 2022 — 7,055 unit telah diserahkan

    Perodua Myvi 2022 — 7,055 unit telah diserahkan

    Dalam menetapkan sasaran syarikat, Perodua menjangkakan permintaan pasaran sepanjang tahun ini akan terus kukuh. “Sepanjang 2021, permintaan ke atas semua model Perodua kekal kukuh, menyaksikan Myvi mendahului dengan jualan sebanyak 47,525 unit, diikuti oleh Axia dengan 43,080 unit, Bezza dengan 42,698 unit, Ativa dengan 26,847 unit, Aruz dengan 15,313 unit dan Alza 14,828 unit,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Bagi Perodua Myvi pula, sejak dilancarkan pada 18 November 2021, syarikat telah menyerahkan sejumlah 7,055 buah Myvi baru sementara tempahan pula mencecah 31,154 unit sejak 9 November 2021. Beliau turut menambah, lanjutan tempoh pengecualian SST yang diberikan oleh kerajaan menjadi pemangkin yang berkesan untuk meningkatkan lagi jualan kenderaan baru.

    “Jumlah tempahan Perodua ketika ini berada dalam keadaan sangat baik. Dan, dengan jaminan tiada lagi gangguan operasi (akibat PKP), ini bermaksud kami mampu memenuhi permintaan yang masih tertangguh dalam kadar segera,” tambah beliau.

    Berkaitan prestasi keseluruhan Perodua pada 2021, beliau memaklumkan tahun lalu sangat mencabar bagi negara dan juga industri berdepan dengan cabaran besar. Perodua menjual sebanyak 190,291 kenderaan pada 2021, kurang 13.6% berbanding 2020 dengan 220,163 unit.

    “Walaupun begitu, kami banyak belajar daripada pengalaman dan situasi itu dan telah melaksanakan langkah berkesan untuk memastikan kami mampu menghadapinya dengan lebih baik sekiranya ia berulang,” tambah beliau.

     
     
  • Perodua sasar jual 247,800 unit pada 2022, naik 30.2%

    Perodua sasar jual 247,800 unit pada 2022, naik 30.2%

    Bagi tahun 2022, Perodua meletakkan sasaran jualan 247,800 unit kenderaan daripada sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dijangkakan sebanyak 610,000 unit. Ini dilakukan sebagai usaha untuk menaikkan semula perkongsian pasaran jenama itu kepada 40.6% berbanding 37.4% yang dicapai pada 2021 dengan 190,300 unit.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad menjelaskan, anggaran TIV 610,000 tersebut merupakan ramalan dalaman Perodua memandangkan syarikat itu percaya pasaran mampu melepasi angka 600,000 TIV yang disasarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Ini juga akan didorong oleh jaminan kerajaan bahawa tiada lagi perintah kawalan pergerakan yang akan dikenakan selepas ini.

    “Tahun ini kami jangka akan mengeluarkan 265,900 unit kenderaan, iaitu 37.5% lebih tinggi berbanding 193,400 unit yang dikeluarkan pada 2021. Peningkatan pengeluaran ini pula akan memberi kesan peningkatan peraihan alatan automotif tempatan sebanyak 41.5% kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021.

    Selain itu, Perodua juga meletakkan sasaran 2.45 juta unit kenderaan bagi tujuan servis, naik 22% berbanding 2.01 juta unit pada 2021.

     
     
  • BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    BMW telah memberikan facelift kepada keseluruhan model 8 Series – Coupe (G15), Convertible (G14), Gran Coupe (G16) – dan kesemuanya akan mula dijual di Eropah Mac ini. Selain daripada beberapa perubahan kecil di bahagian luar, 8 Series facelift ini juga menerima peningkatan kelengkapan sementara enjin pula masih kekal sama.

    Untuk bahagian luar, semua varian kini datang dengan pakej M Sport secara standard, bermakna ia mendapat panel tambahan di bahagian bawah bampar hadapan dan belakang. Bahagian baru yang lain adalah kemasan bukaan udara pada bampar hadapan, diffuser dengan warna Dark Shadow Metallic di belakang serta brek M Sport dengan angkup berwarna biru.

    Varian M850i xDrive pula datang dengan cermin sisi M yang sebelum ini hanya diberikan pada M8. Turut diberikan terus pada M850i xDrive adalah spoiler lip hadapan, brek lebih berkuasa dan spoiler belakang untuk model coupe – barang-barang ini juga ada ditawarkan kepada varian lain melalui pilihan tambahan M Sports Package Pro.

    Satu lagi pakej yang disediakan untuk M850i xDrive adalah M Performance Package, yang memberikan kit M High Gloss Shadow Line untuk angkup brek berwarna hitam, lampu M Shadow Line dengan bahagian dalam berwarna gelap serta spoiler belakang warna hitam (coupe sahaja). Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 BMW M, semua model 8 Series ini juga boleh dipilih dengan logo BMW Motorsport pada bonet, but dan rim, menggantikan logo BMW biasa.

    Cara paling senang untuk mengenali model 8 Series facelift ini adalah melalui grilnya, di mana ia sekarang mempunyai kidney bar dengan kemasan U yang unik. Selain daripada itu, gril ini juga adalah unit Iconic Glow, di mana ia boleh menyala seperti beberapa model BMW terbaru yang lain. Lampu hadapan menggunakan unit LED adaptif, dan ia boleh dinaik taraf kepada sistem LaserLight.

    Bagi warna, empat pilihan baru disediakan iaitu Skyscraper Grey, San Remo Green, M Portimao Blue dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue (kesemuanya adalah metalik) manakala pilihan rim juga dikemas kini.

    BMW 8 Series facelift didedah – dapat gril Iconic Glow boleh menyala, skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci

    Di dalam, kebanyakan bahagiannya tidak diubah, kecuali sistem Live Cockpit Professional yang datang dengan skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci di tengah (sebelum ini 10.25 inci), dan dipadankan bersama panel instrumen 12.3 inci sama seperti sebelum ini.

    Pada bahagian sistem bantuan pemandu dan keselamatan, model 8 Series ini mendapat pakej Driving Assistant dan Parking Assistant secara standard, dan ia boleh dipertingkat lagi dengan pelbagai ciri lain melalui Driving Assist Professional yang dijual sebagai pilihan tambahan.

    Bagi enjin, kesemua 8 Series facelift ini disediakan dengan empat pilihan, bermula dengan unit enam silinder sebaris 3.0 liter turbo B58 yang mampu menghasilkan 333 PS antara 5,500 hingga 6,250 rpm (sebelum ini 340 PS) dan 500 Nm tork antara 1,700 hingga 4,000 rpm, bagi varian 840i. Enjin B58 ini menghantar kuasa ke roda belakang, tetapi ia juga boleh dipilih dengan sistem xDrive untuk memberikan pacuan semua roda.

    Atas daripada itu adalah varian M850i xDrive, yang datang dengan enjin V8 4.4 liter twin turbo N63, berkemampuan 530 PS antara 5,500 hingga 6,000 rpm dan 750 Nm antara 1,800 hingga 4,600 rpm. Kemudiannya, terdapat juga varian 840d xDrive yang menggunakan enjin enam silinder diesel turbo 3.0 liter B57 dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, berkemampuan 340 PS pada 4,400 rpm dan 700 Nm tork antara 1,750 hingga 2,250 rpm.

    Semua enjin dipadankan bersama tranmsisi automatik lapan kelajuan, dengan masa pecutan 0-100 km/j antara 3.9 saat hingga 5.5 saat, bergantung kepada kuasa enjin masing-masing. Semua enjin ini juga dihadkan pada kelajuan maksimum 250 km/j.

    GALERI: BMW M850i xDrive Coupe 2022

    GALERI: BMW M850i xDrive Gran Coupe 2022

    GALERI: BMW M850i xDrive Convertible 2022

     
     
  • myTukar rancang buka 25 pusat khidmat dan pameran kenderaan terpakai di seluruh negara tahun ini

    myTukar rancang buka 25 pusat khidmat dan pameran kenderaan terpakai di seluruh negara tahun ini

    Laman jualan kenderaan atas talian myTukar mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan sasaran membuka hampir 25 pusat khidmat pelanggan serta pusat pameran di seluruh negara tahun ini.

    Selain platform digital, pusat pameran baru ini nanti akan menjadi satu lagi tempat untuk pelanggan membeli dan menjual kenderaan mereka secara lebih mudah. Syarikat ini juga akan membuka tempat yang mereka panggil sebagai pusat pengalaman runcit, seperti yang sudah beroperasi di Puchong South. Konsep pusat sehenti ini menyediakan pelanggan dengan khidmat serba lengkap termasuklah servis dan penyelenggaraan.

    Lokasi yang disasarkan oleh myTukar untuk pembukaan pusat khidmat mereka ini antaranya termasuk Perak, Kedah, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Lembah Kelang, Johor dan Seremban.

    “Melalui pengembangan perniagaan ini, kami harap dapat menjadikan myTukar sebagai satu jenama komuniti, satu platform yang mendorong pembangunan industri kereta terpakai. Dengan adanya pusat khidmat fizikal ini nanti, kami akan dapat melayan pelanggan dengan lebih baik dan memberikan mereka lebih banyak akses kepada kenderaan berkualiti berbanding sebelum ini,” kata CEO myTukar, Derrick Ng.

    “Sasaran kami untuk tahun 2022 adalah untuk mempunyai pusat pengalaman runcit di semua bandar utama di seluruh negara. Jenama ini sekarang bergerak ke arah menjadi jaringan yang fokus kepada pelanggan, memastikan pengguna kami sentiasa dapat berhubung, rasa selamat apabila menggunakannya dan percaya kepada kami. Kami juga mahu menyediakan pelanggan dengan tawaran yang lebih menarik serta pengalaman jual beli yang lebih menyeluruh,” tambah Derrick.

    Semasa acara myTukar AutoFair 2022 yang berlangsung di pusat pengalaman runcit mereka di Puchong South 7-9 Januari lalu, myTukar telah mencatat 443 tempahan kenderaan dengan keseluruhannya berjumlah RM29 juta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025