Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Setelah banyak kontroversi yang disiarkan tentang Maverick Vinales dan pasukan factory Yamaha dalam MotoGP, kini kita sudah mengetahui bagaimana kedudukan pelumba dari Sepanyol ini tahun hadapan. Beliau akan berlumba bersama Aleix Espargaro dalam pasukan Aprilia Racing.

    Pengambilan Vinales oleh Aprilia ini menunjukkan kemahuan mereka untuk meningkatkan kemampuan dalam MotoGP dan merupakan salah satu strategi pembangunan dan pertumbuhan mereka. Kontrak yang ditandatangani oleh Vinales adalah untuk tempoh satu tahun dan beliau diberikan pilihan untuk sambung selepas tamat.

    “Kami sangat gembira dapat mengambil Maverick Vinales, seorang penunggang bertaraf tinggi dan antara bakat yang paling tulen dalam kategori premier. Projek kami sekarang telah diperkayakan lagi dengan nilai yang dibawa oleh Maverick – juara dunia yang telah mengesahkan bakat beliau sebagai pelumba paling hebat dalam MotoGP – pada waktu perubahan yang besar, selepas membawa motosikal yang diubah banyak ke litar,” kata CEO Aprilia Racing, Massimo Rivola.

    Maverick Vinales berlumba untuk Aprilia tahun depan

    Dilahirkan pada tahun 1995, Vinales membuat penampilan pertama dalam Kejuaraan Dunia pada tahun 2011 dalam kategori 125 cc bersama pasukan Aprilia dan berjaya mendapat empat kemenangan serta lima podium. Beliau kemudiannya berjaya mendapat kedudukan juara dalam Moto3 pada tahun 2013, dan kemudiannya beralih ke kategori Moto2 pada tahun seterusnya. Hasil daripada prestasi yang baik, beliau kemudiannya masuk berlumba dalam kategori MotoGP pada tahun 2015 bersama Suzuki, sebelum berpindah pula ke Yamaha pada tahun 2017.

    Dengan pemindahan Vinales ke pasukan Aprilia ini, terdapat satu tempat kosong dalam pasukan factory Yamaha. Ada desas-desus yang mengatakan tempat ini disimpan untuk Franco Morbidelli, sementara khidmat Fabio Quartararo masih lagi dikekalkan.

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia Julai 2021 naik 269%

    Data jualan kenderaan di M’sia Julai 2021 naik 269%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Julai 2021 yang menunjukkan sebanyak 7,086 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 5,165 unit berbanding sekitar 1,921 unit yang terjual pada Jun, mewakili kenaikan sebanyak 269%.

    Walaui bagaimana pun, jumlah jualan keseluruhan yang dicatatkan bulan lalu adalah kurang sebanyak 51,792 unit (atau 88%) berbanding tempoh yang sama pada 2020 dengan sejumlah 58,878 unit. Manakala jumlah bagi tahunan-sehingga-ke-tarikh-berkenaan untuk tahun 2021 masih mendahului catatan pada tahun lalu, dengan sebanyak 256,215 unit terjual untuk tujuh bulan pertama tahun ini, iaitu lebih 23,792 unit (atau 10.2%) berbanding 232,423 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Jika tiada sebarang aktiviti di bilik pameran di seluruh negara pada bulan Jun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, pastinya angka yang mampu dicapai adalah melebihi jumlah tersebut. Sementara bilik pameran di Semenanjung kekal ditutup pada bulan lalu, namun operasi di Sabah dan Sarawak dibenarkan kerana ia berada di bawah fasa dua bagi Pelan Pemulihan Nasional (PPN), dan ini menunjukkan faktor peningkatan jualan berbanding Jun lalu. MAA turut menambah jualan secara dalam talian pula agak minimum.

    Malah turut berkata angka jualan bagi bulan ini akan lebih tinggi berbanding Julai disebabkan beberapa sektor ekonomi sudah boleh dibuka termasuk bilik pameran, biarpun beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur masih di bawah fasa satu PPN. Namun kapasiti operasinya dihadkan untuk individu yang sudah lengkap dengan dua dos vaksin yang dibenarkan untuk berkunjung ke bilik pameran.

    Justeru, anda yang sudah lengkap dengan dua dos vaksin dan mahu mencari kereta baharu untuk dimiliki, boleh mengambil peluang dengan harga pengecualian cukai jualan (SST) yang masih berlangsung sehingga 31 Disember ini.

    Namun perlu diingat di sini, biar pun anda sudah lengkap dengan dua dos vaksin, ini bukan bermakna anda ‘kebal’ daripada serangan virus Covid-19. Pastikan anda kekal patuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM termasuk sentiasa memakai facemask, memeriksa suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftar masuk menerusi MySejahtera dan juga menjaga penjarakkan sosial.

     
     
  • Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengadakan satu program penghargaan khas untuk petugas barisan hadapan di Malaysia. Ia melibatkan rebat istimewa, baucar barangan runcit serta pelbagai lagi hadiah lain yang keseluruhannya bernilai RM7,900, apabila mereka membeli kenderaan Hyundai. Selain petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang, HSDM juga memasukkan sekali ahli bomba serta guru sekolah awam.

    “Setiap hari, petugas barisan hadapan sektor kesihatan dan awam telah menunjukkan keberanian dan ketahanan mereka dalam memerangi pandemik ini. Kami sangat berterima kasih kepada mereka atas kerja berterusan ini, yang mana adalah sangat penting untuk memerangi virus ini. Kami berpadu sama dengan hero ini dan percaya kita boleh melakukannya bersama. Semangat mereka dalam waktu sukar ini adalah satu inspirasi bagi kita semua. Mereka layak diangkat dan dihargai,” kata pengarah urusan HSDM, Low Yuan Lung.

    “Kami harap program ini akan dapat memberikan sedikit kelegaan. Selain menjadikan kenderaan Hyundai lebih mampu milik bagi mereka, kami juga akan memberikan baucar barangan runcit sebagai tanda penghargaan untuk semua kerja keras, dedikasi serta pengorbanan mereka,” tambah beliau.

    Hyundai-Sime Darby Motors raikan petugas barisan hadapan Covid-19 – rebat RM7,900, hadiah percuma

    Sama seperti pemilik Hyundai baru yang lain, mereka yang menyertai program ini juga akan mendapat kad kesetiaan Hyundai, yang melayakkan pemegangnya menikmati pulangan balik pada alat ganti tertentu dan bayaran upah, serta promosi bulanan eksklusif.

    Semua model Hyundai datang dengan servis percuma tiga tahun atau 50,000 km, dan jaminan lima tahun atau 300,000 km. Bergantung kepada pakej pembiayaan, bayaran bulanannya boleh menjadi serendah RM958 dan anda juga boleh meminta keterangan berkenaan subsidi bayaran pendahuluan.

     
     
  • Toyota dan Lego bina replika GR Supra saiz sebenar – boleh dipandu, capai kelajuan maksima 28 km/j!

    Toyota dan Lego bina replika GR Supra saiz sebenar – boleh dipandu, capai kelajuan maksima 28 km/j!

    Menghasilkan sebuah replika kereta dalam saiz sebenar dengan bongkah Lego bukanlah sesuatu yang baharu. Namun untuk replika Lego Toyota GR Supra yang anda lihat ini bukan sesuatu yang biasa, kerana ia benar-benar boleh dipandu!

    Replika ini akan dipamerkan di Legoland Jepun sehingga 11 Oktober nanti, sebelum ia di bawa ke beberapa pusingan perlumbaan Super GT juga untuk dipamerkan. Replika ini dihasilkan oleh Toyota dan Lego adalah untuk meraikan ulangtahun ke-35 nama Supra itu sendiri.

    Ia didedahkan berberapa hari selepas model sebenar GR Supra edisi terhad juga dihasilkan sempena ulangtahun tersebut diperkenalkan untuk pasaran Jepun. Selain dari projek ini, Toyota turut bekerjasama dengan Lego untuk menghasilkan GR Supra dalam set Speed Champions untuk dijual dalam pasaran.

    Replika GR Supra ini dihasilkan dari 477,303 bongkah Lego, dan mengambil masa selama 2,400 jam untuk disiapkan. Jika diletakkan sebelah menyebelah dengan GR Supra sebenar, ia kelihatan hampir serupa, cuma tampil seperti dengan piksel dalam permainan video Gran Turismo 2 untuk pelantar Sony PS1.

    Dari segi saiz, replika Lego ini dibina dengan dimensi 435 cm panjang, 204 cm lebar dan 129 cm tinggi, atau 17.5 cm lebih lebar dan 3 cm lebih pendek dari GR Supra sebenar. Ia juga sebenarnya lebih berat iaitu 1,885 kg, berbanding hanya 1,640 kg untuk GR Supra produksi.

    Toyota GR Supra yang diperbuat dari Lego ini juga ia dipadankan dengan motor elektrik yang membolehkan ia dipandu dan mencapai kelajuan maksima 28 km/j.

    Malah, ia turut menerima beberapa komponen yang diambil terus dari GR Supra sebenar seperti tempat duduk pemandu, roda stereng serta rim aloi bersama tayar – bayangkan jika komponen-komponen ini semua turut diperbuat dari bongkah Lego, agaknya macam mana nak pandu? Terpijak Lego pun kita menjerit, inikan pula pandu kereta duduk atas tempat duduk Lego.

     
     
  • Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton baru sahaja melancarkan kembar dan hatchback segmen-B mereka iaitu Persona dan Iriz dalam versi facelift untuk kali kedua pada awal bulan ini. Facelift kali ini menampilkan perubahan rupa dan juga pelbagai kit kelengkapan baharu yang agak besar berbanding model sebelumnya, termasuk Iriz yang diberikan varian Active baharu yang nampak seperti SUV, tetapi masih mengekalkan enjin, transmisi serta sistem mekanikal lain dari model 2019.

    Atas faktor tersebut sepatutnya kos selenggara kedua-dua model ini sudah tentu tidak berubah. Namun setelah kami perhatikan jadual servis yang dikeluarkan oleh Proton untuk Persona dan Iriz 2022 ini, nampaknya kos untuk menyelenggara model baharu berkenaan adalah sedikit tinggi berbanding model 2019. Jadi, apa yang berubah? Kami kupas perkara tersebut menerusi artikel ini.

    Untuk perbandingan kali ini, kami hanya akan membandingkan kos selenggara untuk model yang dijana oleh enjin 1.6 liter VVT DOHC bersama kotak gear CVT sahaja. Bagi yang belum mengetahui, model Persona dan Iriz facelift 2022 ini tidak lagi ditawarkan dengan kotak gear manual bagi mana-mana varian. Perbandingan yang kami buat juga adalah meliputi tempoh lima tahun atau 100,000 km sahaja.

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Bagi model 2019, kos untuk menyelenggara bagi kedua-dua model Iriz dan Persona adalah sama iaitu RM3,051.80 dalam tempoh berkenaan. Manakala untuk Iriz dan Persona 2022 pula kos penyelenggaraan bagi tempoh tersebut adalah RM3,583.17, atau sekitar RM500 lebih mahal.

    Perkara pertama yang kami perhatikan menyebabkan peningkatan kos selenggara ini adalah penapis udara kabin. Proton telahpun memperkenalkan penapis udara kabin jenis N95 untuk model 2019, tetapi ia tidak diwajibkan untuk ditukar dalam mana-mana sesi servis. Manakala bagi model 2022, penapis berkenaan perlu ditukar setiap 20,000 km. Jadi sepanjang 100,000 km, penukaran berkenaan perlu dilakukan sebanyak lima kali dengan kos keseluruhan RM295 tidak termasuk kos upah.

    Satu lagi perkara yang menyebabkan peningkatan kos tersebut adalah penukaran cecair penyejuk radiator. Bagi model 2019, cecair penyejuk berkenaan hanya perlu ditukar ketika servis pada 90,000 km. Tetapi untuk model 2022, cecair tersebut perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 30,000 km.

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Proton Persona & Iriz facelift 2022 – kos selenggara naik berbanding model 2019, apa yang berubah?

    Jadual servis selenggara Proton Persona/Iriz 2022 (atas) dan Persona/Iriz 2019 (bawah). Klik untuk besarkan

    Selain dari dua perkara ini, item-item servis yang lain adalah masih sama. Jika kita jumlahkan secara ‘lump sum‘, jumlah tersebut mungkin dilihat besar. Tetapi jika ia dibahagikan selama lima tahun, kadar kenaikan berkenaan adalah hanya RM106 setahun.

    Namun ingin kami jelaskan sekali lagi, kos ini hanyalah melibatkan penyelengaraan berkala berdasarkan jadual yang rasmi yang dikeluarkan oleh Proton. Ada pelbagai komponen haus dan lusuh lain yang perlu ditukar berdasarkan penggunaan pemilik sendiri seperti pad brek, penyerap hentak, bateri dan sebagainya.

    Malah anda juga perlu ingat Persona dan juga Iriz 1.6 kini dipadankan dengan rim 16-inci berbanding 15-inci pada model 2019, sudah tentu kos untuk menukar tayar juga akan meningkat.

    GALERI:Proton Persona 1.6 Premium 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Active 2022

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Executive 2022

     
     
  • JPJ Kelantan buka kaunter pandu lalu bagi urusan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan

    JPJ Kelantan buka kaunter pandu lalu bagi urusan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan membuka kaunter secara pandu lalu bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu atau pelbagai urusan lain melibatkan jabatan itu bermula Isnin lalu. Kaunter pandu lalu ini akan beroperasi sehingga 30 September 2021 iaitu tarikh akhir bagi memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh sewaktu cawangan JPJ ditutup sepanjang Fasa Satu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf, kaunter pandu lalu di pejabat JPJ di Panji merupakan yang pertama di negeri tersebut dan ia dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, manakala pada Jumaat dan Sabtu pula sehingga jam 1 tengah hari.

    Hanif berkata, pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM300,000 bagi pembayaran cukai jalan dan memperbaharui lesen memandu menerusi kaedah pandu lalu. Setakat dilancarkan kelmarin, sebanyak RM10,000 sudah diperoleh menerusi pembayaran kaunter pandu lalu yang diletakkan di pekarangan JPJ di Panji itu, laporan Berita Harian.

    “Kita khuatir orang ramai akan berpusu-pusu ke JPJ kerana moratorium akan tamat pada 30 September ini. Justeru, kita perkenalkan pembayaran secara pandu lalu, untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.

    “Semalam, seramai 150 pengguna jalan raya sudah membuat pembayaran menerusi kaedah ini dan kita lihat jumlahnya menyamai bilangan pengunjung yang datang ke kaunter.Kaedah ini disifatkan sangat mudah dan cepat malah masa yang diambil adalah sekitar lima minit sahaja,” katanya.

    Tambahnya,urusan pembayaran juga boleh dibuat di empat kaunter cawangan JPJ lain termasuk Gua Musang, Machang dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    “Kita harapkan dengan kaedah ini dapat mempercepatkan urusan pembayaran, sekali gus mengelakkan daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan. Jika ada yang masih ingkar, mereka bakal berdepan saman serta kompaun dan boleh dituduh bawah Seksyen 26(1) dan 23(1) mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

    Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata, selain bayaran tunai, kaunter pandu lalu JPJ turut menerima bayaran secara kad debit dan perkhidmatan tersebut amat memuaskan apabila ia menyamai prestasi kaunter biasa di pejabat JPJ.

    Awal bulan ini, JPJ telah mengumumkan tempoh lanjutan pembaharuan bagi lesen memandu dan cukai jalan tidak akan disambung selepas tarikh tersebut. Malahan JPJ turut memaklumkan pihaknya dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan membuat pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan mulai 1 Oktober 2021.

     
     
  • CFMoto 700CL-X tiba di M’sia November ini – RM29k

    CFMoto 700CL-X tiba di M’sia November ini – RM29k

    Pengedar rasmi motosikal jenama CFMoto di Malaysia, KTNS Holdings Sdn Bhd telah membuat pengumuman bahawa model 700CL-X akan tiba di Malaysia November ini, dan akan dijual pada harga RM28,800 tidak termasuk insurans serta cukai jalan.

    Rekaan 700CL-X banyak dipengaruhi oleh motosikal segmen “power cruiser“, dan nampak hampir seperti Ducati Diavel. Walaubagaimanapun, ia cuma digerakkan oleh enjin dua silinder 693 cc yang berkemampuan 73 hp pada 8,500 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Ini adalah enjin dengan sistem suntikan bahan api daripada Bosch, dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan, klac jenis slipper dan sistem rantai. Suspensi bahagian hadapan menggunakan fork USD Kayaba boleh laras sepenuhnya manakala di belakang terdapat monoshock Kayaba.

    Bagi sistem brek pula, kedua-dua bahagian hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera tunggal dengan angkup daripada J Juan, dan ia datang terus bersama sistem ABS. Kelengkapan lain adalah termasuk rim 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tangki bahan api 13 liter, tinggi tempat duduk 800 mm dan berat keseluruhan 196 kg.

    Paparan informasi penting ditunjukkan kepada penunggang melalui panel LCD monochrome, sementara semua lampu pada motosikal ini menggunakan sistem LED. Kemudahan lain yang disediakan adalah seperti pengecas USB, cruise control serta pilihan warna sama ada biru atau kelabu.

     
     
  • Toyota Corolla lepasi angka jualan 50 juta unit – masih model paling popular di dunia, terjual setiap 28 saat!

    Toyota Corolla lepasi angka jualan 50 juta unit – masih model paling popular di dunia, terjual setiap 28 saat!

    Presiden Toyota, Akio Toyoda bersama Corolla 1600GT TE71 sedan peribadi miliknya

    Toyota mengumumkan bahawa mereka telahpun menjual lebih dari 50 juta unit Corolla, sekaligus memperkukuhkan lagi gelaran sebagai kereta paling popular di dunia – takhta yang telah menjadi miliknya sejak tahun 1997. Tahun lalu sebanyak 1.1 juta unit Corolla telah terjual di 150 negara atau secara purata sebuah Corolla terjual dalam masa 28 saat, dengan pengeluarannya dibuat pada tidak kurang dari 12 kilang di seluruh dunia.

    Toyota Corolla generasi pertama telah dilancarkan di Jepun pada November 1966, iaitu hampir 55 tahun yang lalu. Model berkenaan dibangunkan oleh pasukan jurutera yang diketuai oleh seorang bekas pereka pesawat udara, Tatsuo Hasegawa. Ia direka dengan sasaran bagi menghasilkan sebuah kereta yang selesa, senyap, mampu milik, selamat dalam masa yang sama masa masih memberikan estetika yang sporty.

    Bagi yang belum mengetahui, nama “Corolla” berkenaan bukanlah bermaksud mahkota, sebaliknya ia merujuk kepada bahagian yang paling cantik pada sesebuah bunga iaitu kelopak yang membentuk gegelang disekelilingnya. Nama tersebut dipilih bagi membangkitkan imej sebuah kereta kompat yang direka cantik, menarik perhatian, berkualiti tinggi, dan dianggap beraspirasi pada sebahagian pasaran.

    Toyota mengeksport Corolla ini keluar dari Jepun sejurus sahaja ia dilancarkan di negara tersebut. Sebanyak 15 unit Corolla generasi pertama (dengan kod casis KE10) dalam versi dua pintu dijana enjin siri-K 1.1 liter dieksport ke Australia (pasaran eksport pertama Toyota). Kurang dari dua tahun kemudian, Toyota telah memulakan operasi kilangnya di negara berkenaan pada 1968, yang juga kilang pertamanya di luar Jepun. Kini, lebih 1.5 juta Corolla telah terjual di Australia.

    Pada tahun yang sama juga Corolla KE10 tersebut turut mula dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia menerusi kilang Champion Motors yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam. Kilang yang dimiliki oleh Inchcape Group tersebut kemudian ditukar namanya kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) – turut juga memasang beberapa kenderaan jenama lain sebagai kontraktor.

    Dalam tahun-tahun awalnya, ASSB mempunyai kadar pengeluaran tertinggi di Malaysia dan dengan sambutan menggalakkan terhadap Corolla ketika diperkenalkan pada 1968, ia mula menjadi model utama yang dikeluarkan dari ASSB. Model Toyota lain ditambah dari tahun ke tahun, meningkatkan lagi populariti Toyota dalam masyarakat di Malaysia dan berjaya meletakkannya sebagai jenama No. 1 menjelang 1970 an, dengan Corolla menjadi model paling laris.

    Pada tahun 1970 juga Corolla telah menjadi kereta import kedua paling laris di Amerika Syarikat, manakala pada Mei tahun yang sama model generasi kedua Corolla telah dilancarkan. Model dengan kod casis E20 tersebut menampilkan jarak roda lebih jauh iaitu 2,335 mm berbanding model E10. Ia juga tampil dengan enjin siri-T baharu dalam kapasiti 1.4 liter dan 1.6 liter. Empat tahun selepas diperkenalkan, Corolla E20 sudahpun menjadi kereta kedua paling laris di dunia.

    Model generasi ketiga Corolla (dikenali dengan kod casis E30, E40, E50 dan E60) diperkenalkan pada tahun 1974, ketika itu pasaran automotif global sedang memulih selepas terjejas akibat krisis minyak dunia pada tahun 1973. Ketika ini juga jualan model-model domestik di AS dengan enjin V8 gergasi mula jatuh kerana menggunakan bahan api yang jauh lebih banyak. Oleh itu, Corolla generasi ketiga ini menerima permintaan yang sangat tinggi kerana menampilkan enjin dengan kapasiti yang jauh lebih kecil.

    Toyota Corolla lepasi angka jualan 50 juta unit – masih model paling popular di dunia, terjual setiap 28 saat!

    Toyota Corolla KE10 milik UMW Toyota yang telah direstorasi

    Model dengan bentuk badan lebih berkotak, Toyota Corolla generasi keempat dengan casis E70 muncul pada tahun 1979. Di Malaysia kita mungkin kenal model ini dengan nama KE70 kerana kebanyakkannya dijana oleh enjin pushrod 1.3 liter 4K. Namun di Jepun, model ini diberikan pelbagai unit rangkaian kuasa termasuk dengan enjin 2T-G 1.6 liter DOHC 8 injap yang dikenali sebagai Corolla 1600GT TE71.

    E70 juga muncul dalam pelbagai versi bentuk badan, bukan sahaja dalam versi sedan empat pintu dan wagon lima-pintu, ia juga dihasilkan dalam versi sedan dua-pintu, wagon tiga-pintu, coupe tiga-pintu, hatchback tiga-pintu dan juga liftback tiga pintu, bersama pelbagai pilihan enjin dari siri-K, siri-A dan siri-T.

    Model generasi kelima muncul pada tahun 1983, dikenali dengan kod casis E80. Buat pertama kalinya, Corolla kini tampil dalam kerangka enjin hadapan pacuan hadapan (FF), berbanding enjin hadapan pacuan belakang (FR) pada model-model generasi terdahulu. Tahun yang sama juga menyaksikan angka jualan Corolla sudahpun mencapai 10 juta unit.

    Namun untuk versi lebih sporty iaitu adik-beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’ atau Corolla Levin dan Sprinter Trueno, ia masih menampilkan kerangka FR yang banyak persamaan dengan kerangka Corolla E70, walaupun pada kerangkanya tertulis kod casis AE85 dan AE86. Nak tahu lebih terperinci berkenaan susur galur Levin dan Trueno? Kami dah tulis satu artikel panjang berkenaannya pada PAUTAN INI.

    Toyota Corolla generasi keenam dengan kod casis E90 pula muncul pada 1987. Kali ini, Corolla tidak lagi menerapkan rekaan berkotak, tetapi tampil dengan rupa lebih kontemporari. Juga, kali ini tiada lagi model dengan kerangka pacuan roda belakang di mana versi Levin dan Sprinter Trueno turut hadir sebagai model pacuan hadapan buat pertama kali.

    Ia kemudiannya digantikan dengan model generasi ketujuh Corolla E100 pada tahun 1991, serta model generasi ke lapan E110 pada tahun 1995. Pada kedua-dua generasi ini, Corolla menerima enjin 4A 1.6 liter Twin-Cam untuk versi biasa, namun hanya diberikan kepala silinder jenis ‘F’ (4A-FE), iaitu versi dengan sudut injap lebih kecil bagi yang memberikan penggunaan bahan api lebih baik berbanding kepala silinder Twin-Cam jenis ‘G’ (4A-GE) pada versi-versi prestasi seperti model Levin dan Trueno.

    Model generasi kesembilan iaitu Corolla E120 diperkenalkan pada tahun 2000. Menerusi model ini, UMW Toyota mula memasang semula Corolla di kilang mereka yang terletak di Shah Alam selepas hanya menerima stok dari Thailand untuk berberapa generasi sebelumnya. Ia dikenali di Malaysia dan berberapa pasaran lain khususnya di Asia Tenggara dengan nama Corolla Altis, dijana dengan enjin 1ZZ-FE 1.8 liter VVT-i berkuasa 134 hp. Corolla kemudiannya mencatatkan satu lagi peristiwa bersejarah apabila unit ke-30 juta keluar dari kilang pada tahun 2005.

    Corolla mula muncul dalam bentuk generasi ke-10 pada tahun 2006 dengan kod casis E140. Ia dilancarkan di Malaysia pada tahun 2008 dan masih dikenali dengan nama Corolla Altis. Model ini pada mulanya masih dijana oleh enjin 1ZZ 1.8 liter bersama pilihan enjin 1.6 liter, tetapi ia kemudiannya menerima enjin generasi baharu dari siri ZR dengan kapasiti 1.6 liter hingga 2.0 liter ketika diperkenalkan dalam versi facelift.

    Toyota Corolla lepasi angka jualan 50 juta unit – masih model paling popular di dunia, terjual setiap 28 saat!

    Model generasi ke-11 pula muncul dalam dua versi iaitu E160 dan E170 (lebih kurang seperti model generasi ketiga). Model E160 hanya dijual pada pasaran Jepun, Hong Kong, Macau, Bangladesh, Singapura dan Sri Lanka. Manakala pasaran lain menerima Corolla E170 yang dilihat lebih anggun serta ditawarkan dengan enjin 1.8 liter dan 2.0 liter. Jualan Toyota Corolla mencapai angka melebihi 40 juta pada September 2015.

    Sekarang, Corolla sudah pun berada di generasi ke-12. Diperkenalkan pada tahun 2018, ia diasaskan dari platform modular termaju pernah dihasilkan oleh Toyota iaitu TNGA. Ia bukan sahaja menampilkan ruang dalaman lebih luas dan lebih selesa, malah menampilkan pengendalian lebih lincah menerusi titik graviti lebih rendah serta hadir dengan rupa yang jauh lebih sporty.

    Model generasi ini telahpun masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi pada Oktober 2019, dan ia masih digelar Corolla Altis serta menampilkan muka yang agak berbeza dari model pasaran Amerika Syarikat. Sejak ianya mula masuk ke Malaysia pada pada tahun 1968 sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla telah dijual di negara kita, dan turut menjadi sebahagian daripada 50 juta unit yang telah dijual di seluruh dunia.

    Toyota Corolla lepasi angka jualan 50 juta unit – masih model paling popular di dunia, terjual setiap 28 saat!

    Di Malaysia juga Corolla bukan sahaja sentiasa menjadi ikon sebuah kereta ‘ayah-ayah’ yang begitu lasak dan jarang memeningkan kepala pemiliknya, malah tidak kurang juga melihatnya sebagai platform ubahsuai yang begitu berpotensi, khususnya model-model yang mempunyai kembar dari siri Levin dan Trueno di mana pelbagai komponen termasuk enjin bulletproof 4A-GE boleh dipadankan sesama mereka dengan begitu mudah.

    Model-model pacuan belakang seperti E70 dan AE85/AE86 turut menjadi pilihan sebagai jentera drift yang murah, malah pada ketika era 80’an dulu model-model ini pernah menjadi bualan dalam kalangan peminat rali tempatan. Juga, siapa tak kenal dengan AE86 milik Kedai Tauhu Fujiwara dalam manga dan anime Jepun, Initial D kan?

    Jadi dalam banyak-banyak model Corolla ni, mana yang paling anda suka? Atau yang mana mempunyai sejarah manis dalam keluarga? Kongsikannya dengan kami pada ruang komen di bawah atau pada hantaran di media sosial.

    GALERI: Toyota KE10 milik UMW Toyota ketika meraikan 50-tahun operasi pemasangan tempatan (CKD)

    GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 pasaran Malaysia

     
     
  • Indonesia giat majukan usaha EV dalam pandemik

    Indonesia giat majukan usaha EV dalam pandemik

    Walaupun dengan kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19, Indonesia masih meneruskan usaha membangunkan industri kenderaan elektrik (EV), dan itu bukan hanya melibatkan pengeluaran bahan mentah sahaja, jelas Presiden Joko Widodo.

    “Kami mempunyai peluang besar di dalam industri-industri yang sedang berkembang, baik yang utama atau hiliran. Kami perlu membangunkan industri hiliran seperti industri bateri lithium serta pengeluaran kereta elektrik,” ujar beliau seperti dilaporkan oleh Xinhua.

    Jokowi menyatakan hala ke arah ekonomi hijau sangat jelas, dengan pasaran dunia mensasarkan produk mesra alam yang rendah karbon, cekap sumber dan merangkumi secara sosial, dan bahawa negara itu perlu terus fokus dan cekal terhadap visi elektrifikasinya — ini strategi yang ditetapkan secara rasmi sejak Ogos 2019.

    Yang digariskan dalam draf strategi kerajaan adalah insentif untuk merancakkan pelaksanaan dan pengeluaran EV serta untuk pengilangan bateri, memanfaatkan sumber asli nickel laterite ore yang banyak di negara itu yang diperlukan dalam bateri lithium. Pendekatan lain termasuk pengurangan cukai kepada pengeluar dan pembeli EV juga ada.

    Indonesia giat majukan usaha EV dalam pandemik

    Sejak itu, Indonesia bergerak giat untuk merancakkan agenda elektriknya dari pelbagai sudut. Ini telah menjadi teras sebagai rancangan negara itu untuk menjadi pemain utama dalam pengeluaran bateri EV. Mac tahun ini, dilaporkan Indonesia telah membulatkan matlamat berkaitan pengeluaran bateri EV berkenaan, dengan empat syarikat milik negara bersatu untuk membentuk Indonesia Battery Corporation (IBC).

    Pelaburan asing kini sudah mula masuk, dengan Hyundai dan LG telah umumkan persetujuan perjanjian masing-masing dengan kerajaan Indonesia untuk membentuk sebuah usaha sama bagi pengeluaran bateri di negara itu. Pembinaan kemudahan baru dijadualkan akan bermula pada suku keempat 2021 dan dijangka siap pada separuh pertama 2023.

    Selain bateri, negara itu juga merancakkan pengeluaran EV. Awal tahun ini, Indonesia memaklumkan sasarannya untuk mencapai pengeluaran tahunan sebanyak 600,000 unit kereta dengan elektrifikasi menjelang 2030. Begitu juga untuk menjadikan semua kereta yang dijual di negara itu semuanya EV menjelang tahun 2050.

    Dalam perkembangan lain, menteri pengangkutan Republik itu, Budi Karya Sumadi berkata Jumaat lalu bahawa kerja berkaitan peraturan sokongan serta kajian lanjut dan inovasi berkaitan kenderaan elektrik dan menyediakan cetak biru bagi pembangunan industri ini tetap berjalan walaupun dalam waktu pandemik.

     
     
  • Toyota bZ4X — akan dikeluarkan dalam jumlah sedikit

    Toyota bZ4X — akan dikeluarkan dalam jumlah sedikit

    Pengumuman Toyota untuk memperkenalkan beberapa kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025 mungkin mengejutkan banyak pihak. Walaupun pernah menunjukkan bZ4X Concept di Shanghai Auto Show bulan April lalu, syarikat itu masih dilihat agak perlahan untuk mengambil jalan itu secara serius.

    CEO Toyota Eropah, Matthew Harrison memberitahu Automotive News Europe yang bZ4X mungkin menjadi sebuah model dengan jumlah terhad bagi peringkat awal pengenalannya. Ini kerana, RAV4 semasa — dengan janaan enjin biasa dan plug-in hybrid — dilihat sudah boleh membantu syarikat itu untuk memenuhi piawaian emisi EU sehingga 2025.

    Juga, terlalu awal untuk memberikan jangkaan jumlah bagi SUV elektrik itu untuk tahun 2023, menurutnya “kerana kami belum meletakkan harganya dalam pasaran dan belum juga menetapkan jumlah pengedaran. Wajar juga untuk mengandaikan bahawa kami masih menjangkakan RAV4, dalam versi hibrid dan plug-in, untuk menjadi model utama dalam segmen berkenaan hingga 2025,” sehingga peraturan emisi baru dilaksanakan.

    Toyota bZ4X — akan dikeluarkan dalam jumlah sedikit

    RAV4 merupakan sebuah model SUV kompak yang popular di Eropah, dengan 91,014 unit terjual (model ke-5 terlaris) di benua tersebut, menurut firma kajian JATO Dynamics. Ia berada di belakang pendahulu seperti Volkswagen Tiguan dengan jualan sebanyak 136,616 unit, dan Toyota CH-R dengan 101,910 unit terjual.

    Ketika bZ4X mula dijual tahun depan, ia akan menandingin Volkswagen ID.4 dan Tesla Model Y. Toyota juga diramal sedang mempertimbangkan pemasangan kenderaan elektrik sepenuhnya di Eropah. Setakat ini, laporan menyatakan bZ4X untuk Eropah itu akan diimport dari Jepun. Namun, perlu juga diingat bahawa Toyota mempunyai enam kilang pemasangan lain di Eropah, iaitu di Repulbik Czech, Perancis, Portugal, Russia, Turki dan UK.

    Toyota bZ4X — akan dikeluarkan dalam jumlah sedikit

    “Kami mempunyai strategi untuk memasang kenderaan di mana kami menjualnya, dan itu tentulah tertakluk kepada jumlah jualan yang akan menentukan pengeluaran tempatan,” jelas Harrison. “Kami akan menyertakan kenderaan sifar emisi ke dalam barisan model menjelang 2025, tetapi bukan dalam jumlah yang membolehkannya dipasang secara tempatan. Kami menjangkakan perkembangan lebih rancak dari 2025 hingga 2030 — ketika ini barulah kami akan beralih dengan giat untuk elektrifikasi penuh,” tambahnya.

    Model bZ4X merupakan model pertama dalam barisan “beyond Zero” (bZ), sebuah SUV segmen C elektrik sepenuhnya yang dibangunkan bersama Subaru. Ia menggunakan platform modular e-TNGA, dan dikhabarkan bakal memanfaatkan sistem pacuan semua roda simetrikal Subaru. Toyota menjanjikan prestasi AWD terbaik dalam kelasnya dengan kemampuan off-road sebenar melalui model ini.

     
     
  • Pikes Peak Hill Climb putuskan tiada lagi kategori motosikal selepas ini – sudah ragut banyak nyawa

    Pikes Peak Hill Climb putuskan tiada lagi kategori motosikal selepas ini – sudah ragut banyak nyawa

    Sejak dari awal penganjurannya pada tahun 1916 lagi, Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) telah melibatkan kategori motosikal. Walaubagaimanapun, sejak kematian Carlin Dunne pada tahun 2019, penganjurnya telah mula merujuk semula sama ada saingan bagi kategori motosikal patut diteruskan atau tidak.

    Selepas dua tahun membuat kajian dan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak dalam sukan permotoran, ahli lembaga pengarah PPIHC telah mengambil keputusan menghentikan pertandingan bagi jentera jenis ini.

    “Saingan motosikal telah menjadi sebahagian daripada sejarah PPIHC sejak tahun 1916, dan telah menjadi kedua-dua, menarik dan juga tragik bagi peserta dan peminat. Ini telah menjadi satu proses yang panjang dan keputusan yang sukar, tetapi kami percaya ia adalah keputusan yang betul dan menjadi bersesuaian dengan kepentingan pertubuhan buat masa ini,” kata pengerusi sementara lembaga PPIHC, Fred Veitch.

    Pikes Peak Hill Climb putuskan tiada lagi kategori motosikal selepas ini – sudah ragut banyak nyawa

    Sebagai makluman, selain Dunne, terdapat beberapa orang lagi pelumba motosikal yang mengalami kemalangan dan meninggal dunia waktu berlumba dalam PPIHC termasuk Carl Sorenson (2015), Bobby Goodin (2014) dan Bill Gross (1982).

    Turut dikenali sebagai The Race to the Clouds, PPIHC melibatkan perlumbaan sepanjang 19.99 km, 156 selekoh dan garis penamatnya berada pada ketinggian 4,300 meter dari paras laut. Selain daripada jalan yang mencabar, perlumbaan ini juga menguji ketahanan pelumba serta jentera kerana ketumpatan udara yang berbeza sepanjang perlumbaan.

     
     
  • Kerja penyelenggaraan berjadual dilaksanakan di Jambatan P.Pinang sehingga 30 Dis 2021 – PLUS

    Kerja penyelenggaraan berjadual dilaksanakan di Jambatan P.Pinang  sehingga 30 Dis 2021 – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telag mengumumkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan secara berjadual dilaksanakan di Jambatan Pulau Pinang mulai hari ini (16 Ogos) sehingga 30 Disember 2021. Ia adalah
    sebagai salah satu daripada usaha berterusan untuk terus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna di jambatan berkenaan, khususnya bagi penduduk Pulau Pinang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Jambatan Pulau Pinang akan dilaksanakan secara berperingkat di antara KM0.2 hingga KM8.3 melibatkan laluan Perai ke Pulau bagi mengurangkan gangguan trafik terhadap perjalanan pengguna di atas jambatan tersebut.

    Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata, “Semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dijadualkan berlangsung pada sebelah malam sahaja iaitu mulai jam 10 malam hingga 6 pagi sepanjang tempoh tersebut.”

    Kerja penyelenggaraan berjadual dilaksanakan di Jambatan P.Pinang  sehingga 30 Dis 2021 – PLUS

    Semasa kerja penyelenggaraan dijalankan, penutupan lorong akan dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan 2 lorong terus dibuka untuk keselesaan orang ramai pada setiap masa. PLUS juga akan memastikan maklumat trafik serta penutupan lorong di jambatan tersebut dihebahkan kepada orang ramai secara berterusan melalui papantanda elektronik di lokasi yang strategik menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

    “Walau bagaimanapun, sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan di lorong tengah dijalankan, lorong kanan juga akan ditutup untuk tujuan keselamatan. Oleh itu, hanya lorong perlahan sahaja yang boleh dilalui. Sekiranya terdapat keperluan, lorong kanan akan dibuka kepada pelanggan,” tambah beliau.

    Sehubungan itu, para pelanggan juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka atau menggunakan laluan alternatif di sepanjang tempoh tersebut.

     
     
  • MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

    MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

    Apa yang anda lihat ini adalah MINI Strip, satu model konsep yang menggunakan asas daripada Cooper SE, dan diterapkan secara menyeluruh dengan konsep “Ringkas, Telus, Mapan.” Ia adalah hasil daripada kerjasama antara MINI dengan pereka terkenal, iaitu Paul Smith, dan kedua-dua pihak menyumbangkan idea masing-masing untuk sebuah rekaan yang boleh tahan lama.

    “Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang memikirkan semula MINI yang ikonik ini. Saya kenal dan suka kereta sekarang, tetapi dengan memberi penghormatan kepada masa lampau dan melihat ke masa hadapan, kami dapat menghasilkan sesuatu yang istimewa,” kata Smith.

    “Saya rasa sangat dihargai kerana pasukan MINI telah memberikan saya keyakinan dan kebebasan untuk memikirkan pendekatan merekabentuk kereta ini. Bersama-sama, saya rasa, kami telah mencipta sesuatu yang unik, dengan pergi semula kepada asas, mengurangkan barang dan membogelkan kereta ini,” tambah beliau.

    Pada bahagian luar, badan kereta ini dibiarkan tanpa cat berwarna demi menunjukkan bahan asal yang digunakan. Kesan gosokan dari kilang juga dibiarkan pada plet besi galvanised yang digunakan, dan kesan ini dipanggil oleh Smith sebagai “ketidaksempurnaan yang sempurna”.

    MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

    Walaupun tidak mempunyai cat yang berwarna, badan kereta ini disembur dengan cat lutsinar khas demi melindunginya daripada karat, serta beberapa sentuhan istimewa lain. Sebagai contoh, penutup bahagian mengecas diukir dengan gambar palam elektrik rekaan sendiri Smith, dan menampakkan warna hijau neon apabila dibuka.

    Kemudiannya, kemasan plastik yang anda boleh lihat pada bahagian lengkuk roda, skirt serta bawah bampar dibuat menggunakan cetakan 3D daripada bahan plastik kitar semula dan skrunya dibiarkan nampak. Rekaan ini berkait dengan minat Smith terhadap basikal, yang mana barangnya mudah dicabut secara berasingan untuk ditukar atau diubah suai.

    Satu lagi bahan kitar semula yang digunakan pada MINI Strip ini adalah Perspex, iaitu pada bahagian gril, penutup rim dan yang paling besar, pada bahagian bumbung, sekaligus menampakkan bahagian dalam kenderaan dan juga struktur penyokongnya.

    Berkenaan dengan bahagian itu, Smith mahukan kabin berwarna biru, bukan sahaja supaya ia menyerlah, tetapi juga bagi memberikan “semangat” kepada bahagian yang biasanya ditutup. Ini sekaligus memberikan bahagian dalam satu tarikan yang tersendiri.

    Papan pemuka Cooper SE tidak lagi digunakan pada model ini. Ia sebaliknya diganti dengan unit separa lutsinar dengan kemasan kaca yang digelapkan, sementara di bahagian tengah terdapat tempat meletakkan telefon untuk menggantikan sistem infotainmen.

    Telefon itu kemudiannya disambungkan secara automatik kepada kereta dan menjadi pusat pengawal media, manakala butang fizikal diletakkan lebih rendah di bawah, berhampiran suis tingkap dan butang pemula enjin.

    Buka sahaja pintu, anda akan nampak penggunaan jalur unik Paul Smith, yang menggunakan lima warna. Tiada balutan kulit atau kemasan krom di bahagian dalam, dan ia diganti dengan bahan kitar semula termasuk pada fabrik balutan tempat duduk dan getah alas kaki.

    Bahagian atas papan pemuka, atas pintu, penghadang cahaya matahari dan papan belakang semuanya dibuat daripada gabus kitar semula (penutup botol wain), yang mempunyai liang pori seperti fabrik yang dikait.

    MINI Strip model konsep hasil kerjasama dengan Paul Smith – badan nampak besi, dijadikan serba ringkas

    Untuk pemandu, roda stereng dijadikan seringkas yang boleh, dan bahagian kelilingnya dibalut dengan getah seperti yang digunakan pada pemegang basikal. Ia mempunyai tiga cabang aluminium, dengan skru yang terdedah, jalinan plastik khas bagi menutup bahagian beg udara dan disudahi dengan label Paul Smith kecil.

    Jalinan plastik yang sama digunakan pada panel pintu, dan ia boleh memberikan pandangan jelas kepada bahagian dalamnya. Ikatan tali paracord dijadikan sebagai pengganti penarik pintu, dan ia menggunakan warna oren sama seperti tali pinggang. Anda juga boleh saksikan, disebabkan tiada panel plastik yang menutupi rangka kereta ini, gumpalan wayar juga boleh dilihat pada bahagian atas.

    “Bagi saya, MINI Strip ini mempamerkan secara menakjubkan bagaimana MINI dan Paul Smith berkongsi cara pemikiran berani berkenaan inovasi dan rekaan ada masa hadapan – dan bersama, kami mencipta lebih lagi. Paul telah bertanyakan pelbagai soalan penting pada permulaan proses menghasilkan rekaan, seterusnya menghasilkan satu perspektif yang segar,” kata ketua bahagian rekaan MINI, Oliver Heilmer.

     
     
  • PLUS umum kerja penyelenggaraan sistem RFID pada 17-18 Ogos untuk beberapa plaza tol kendaliannya

    PLUS umum kerja penyelenggaraan sistem RFID pada 17-18 Ogos untuk beberapa plaza tol kendaliannya

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sistem RFID yang melibatkan plaza tol terpilih kendaliannya mulai jam 1 pagi hingga 4 pagi pada 17-18 Ogos 2021. Ia adalah sebagai salah satu daripada usaha berterusan untuk meningkatkan tahap keselesaan, keselamatan dan penambahbaikan pengalaman pengguna di sepanjang lebuh rayanya.

    Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut akan melibatkan pengguna RFID di plaza tol di Kedah Darul Aman iaitu di Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Jitra, Sungai Petani Utara dan Sungai Petani Selatan.

    Manakala di Pulau Pinang pula, plaza tol yang terlibat ialah Bertam, Sungai Dua, Plaza Tol BKE-Kubang Semang & Lunas, dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

    Turut terlibat dengan kerja-kerja penyelenggaraan sistem RFID ini ialah Plaza Tol SPDH – Mambau dan Lukut di Negeri Sembilan serta Plaza Tol Kempas, dan Plaza Tol LINKEDUA iaitu di Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang di Johor.

    PLUS umum kerja penyelenggaraan sistem RFID pada 17-18 Ogos untuk beberapa plaza tol kendaliannya

    “Sungguhpun penyelenggaraan dan penambahbaikan ini melibatkan peningkatan kemampuan Bekalan Kuasa Tanpa Gangguan (UPS) di Persada PLUS yang mungkin menjejaskan kebekersanan operasi sistem RFID di plaza tol secara keseluruhannya.

    “Walaubagaimana pun, sistem kad Touch ‘n Go masih berfungsi seperti biasa dan boleh digunakan sebagai alternatif,” menurut Zakaria Ahmad Zabidi, Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS.

    Sehubungan itu, para pengguna juga dinasihati untuk merancang perjalanan mereka dan memastikan baki kad Touch ‘N Go mereka sentiasa mencukupi.

     
     
  • Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Indonesia bakal menggunakan sistem kutipan tol lebuhraya tanpa sebarang palang selewat-lewatnya pada tahun hadapan, dimulakan di Jawa dan Bali dan kemudian akan menggunakan sistem tersebut di seluruh republik berkenaan pada 2023, lapor akhbar Detik.com.

    Negara berkenaan menggunakan sistem yang digelar sebagai Multi Lane Free Flow (MLFF) ini sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Sistem tersebut disediakan oleh syarikat dari Hungary, Roatex Ltd menerusi entiti tempatan, PT Roatex Indonesia Toll System.

    “Secara proses nanti tidak akan ada palang lagi di depan, tidak akan ada gerbang, jadi boleh dikatakan corak pemikiran para pengguna itu akan kita gantikan dengan palang maya,” kata Emil Iskandar, ketua pembangunan perniagaan syarikat tersebut.

    Emil turut menegaskan bahawa syarikatnya turut telah bersedia dengan segala kemungkinan bagi mengatasi individu-individu yang cuba masuk ke lebuhraya secara percuma atau cuba untuk memperdaya sistem tanpa palang berkenaan. Menurutnya, ada dua sistem yang telah disiapkan bagi berhadapan masalah tersebut.

    Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Sistem pertama adalah menggunakan gantri tetap pada pintu masuk lebuhraya. Gantri tersebut akan dilengkapi dengan modul-modul pengawasan termasuk kamerta yang akan mengenalpasti setiap kenderaan atau data kenderaan yang melintas pada jalan masuk berkenaan.

    Manakala sistem kedua pula adalah menggunakan unit kawalan bergerak yang menampilkan pasukan pengawasan. Menurut Emil, unit kawalan bergerak berkenaan akan melakukan tugas yang sama seperti pada gantri tetap dengan mengumpul semua data kenderaan yang masuk ke lebuhraya.

    “Kami akan mengenalpasti setiap data kenderaan yang masuk, sama ada data pengguna yang sudahpun berdaftar atau pun data pengguna yang belum berdaftar. Jadi ada kemungkinan pengguna yang belum mendaftar di aplikasi MLFF itu masuk melintas ke jalan MLFF. Namun semuanya akan kami kesan ke dalam fungsi penguatkuasaan. Kemudian data itu akan kami hantar, masuk ke pemprosesan data dan selepas itu data berkenaan akan disalurkan terus ke data pihak polis bagi diambil tindakan,” jelas Emil.

    Sebelum ini pernah tular video satu ujian di tol Simpang Susun Waru-Bandara Juanda, Surabaya yang menggunakan sistem Radio Frequency Identification (RFID) yang bukan sahaja tidak memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan ketika melalui palang tol, malah turut boleh melepasinya pada kelajuan tinggi.

    Menurut jurucakap syarikat PT Citra Marga Nusaphala Persada (CMNP) yang menguruskan lebuhraya berkenaan, Annisa Indrayanti kepada akhbar Kompas, sistem RFID tersebut adalah sistem Single Lane Free Flow (SLFF) yang secara asasnya sama dengan sistem MLFF, cuma masih menggunakan palang.

    Kita di Malaysia juga mungkin akan turut mengguna pakai sistem MLFF pada masa akan datang. Menurut presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Azman Ismail pada Julai 2019, semua lebuhraya di seluruh negara akan menggunakan sistem MLFF setelah sistem RFID diimplementasikan di semua plaza tol.

    “Saya yakin kami boleh (mencapai dalam masa tiga tahun). Ia bukan sesuatu yang baru sahaja kami mulakan, ia adalah kerja yang sedang berjalan. Jika anda tanya pada berberapa syarikat konsesi, kebanyakkan peralatan sudah pun dipasang di lorong, pada peringkat perintis,” katanya dalam satu laporan Bernama kira-kira dua tahun lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025