Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKP 3.0: Polis Selangor sudah keluarkan 71 kompaun kepada individu yang cuba rentas negeri dan daerah

    PKP 3.0: Polis Selangor sudah keluarkan 71 kompaun kepada individu yang cuba rentas negeri dan daerah

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mendedahkan bahawa pihaknya telahpun mengeluarkan 71 kompaun kepada individu yang cuba merentas negeri dan daerah untuk pulang beraya di kampung setakat 8 Mei lalu.

    Menurutnya Polis Selangor tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan kesalahan yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya individu yang tetap berdegil gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan dikenakan kompaun serta-merta.

    “Kebanyakan mereka ini cuba pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri. Oleh demikian, kita mengambil tindakan dan tidak berkompromi dengan mana-mana individu yang tetap berdegil.

    “Bagaimanapun, untuk hari ini (9 Mei) cubaan untuk merentas daerah atau negeri agak berkurangan berbanding semalam (8 Mei),” katanya yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia semalam.

    Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan pihaknya mempertingkat jumlah sekatan jalan raya di setiap daerah di negeri ini.

    PKP 3.0: Polis Selangor sudah keluarkan 71 kompaun kepada individu yang cuba rentas negeri dan daerah

    “Sekatan jalan raya yang dilakukan mempunyai dua kategori iaitu kekal dan secara bergerak (mobile).

    “Lokasi sekatan jalan raya secara bergerak sentiasa berubah-ubah dan tidak tetap. Pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan,” ujarnya.

    Pada 4 Mei lalu kerajaan telah mengumumkan bahawa enam daerah di Selangor akan dikenakan PKP mulai 6 hingga 17 Mei 2021. Daerah terbabit ialah Gombak, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Petaling dan Sepang. Manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Kemudian pada 8 Mei, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa larangan pergerakan rentas daerah juga dikenakan di seluruh negara berkuat kuasa 10 Mei hingga 6 Jun. Beliau turut menambah sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

     
     
  • Porsche perkenal kotak bumbung yang kekal stabil pada kelajuan 200 km/j, dengan kapasiti 480 liter

    Porsche perkenal kotak bumbung yang kekal stabil pada kelajuan 200 km/j, dengan kapasiti 480 liter

    Kotak bumbung (roof box) adalah salah satu peralatan yang popular untuk mereka yang mahukan ruang kargo tambahan. Namun aksesori ini akan menyebabkan berberapa kesan sampingan dan salah satunya ia akan menjadikan kereta anda kurang stabil kerana ia secara tidak langsung menjadikan bumbung kereta anda seakan lebih tinggi.

    Oleh itu, Porsche menerusi divisi Porsche Tequiment kini telah pun memperkenalkan kotak bumbung yang dikenali sebagai Performance Roof Box, dan seperti namanya, ia mampu mengekalkan kestabilan kereta Porsche anda sehingga kelajuan mencecah 200 km/j!

    Kotak bumbung ini telah direka dengan kerjasama Studio F.A Porsche, dan ia akan mula dijual secara rasmi di fasiliti-fasiliti Porsche Center bermula Mei 2021.

    Tidak seperti kotak bumbung biasa, Performance Roof Box ini direka dengan prinsip rekaan ‘fungsi mengikut bentuk’. Rekaan yang aerodinamik ditampil pada kotak bumbung ini direalisasikan dalam bentuk model tanah liat 1:1 terlebih dahulu, kemudian diuji menggunakan terowong udara bagi memperhalusi lagi tahap aerodinamiknya.

    “Program ujian untuk kotak bumbung ini adalah sangat cerewet. Dalam menjadikannya sebuah produk yang matang, ia telah dibawa pandu pada litar ujian untuk berberapa ribu kilometer sebagai sebahagian dari keseluruhan ujian kenderaan,” kata pengarah Porsche Tequipment, Jochen Schmid. Ujian tersebut turut merangkumi ujian karekteristik aerodinamik dan pengendalian.

    Ujian dinamik pemanduan telah dibuat di Weissach, dan ia difokuskan terhadap kebolehkawalan kenderaan yang telah dipasangkan dengan kotak bumbung tersebut dan dipandu pada kelajuan tinggi. Kotak tersebut haruslah mampu bertahan dalam situasi yang mencabar dalam litar yang lasak. Aspek aerodinamik dan bunyi juga dibangunkan di terowong angin di Weissach.

    Menurut Porsche, Performance Roof Box ini boleh dipadankan dengan mudah menerusi sistem pemasangan cepat. Ia mempunyai kapasiti menyimpan 480 liter dan boleh dibuka menerusi kedua-dua sisi, membolehkan anda meletak/mengambil semula barang dengan mudah.

    “Sebagai tambahan dari kebolehannya bertahan dalam kelajuan yang telah ditetapkan, pilihan individualisasi pada kotak bumbung ini juga unik. Seperti kotak, bilah sisinya ditawarkan dalam High-Gloss Black dan tiga lagi pilihan warna popular dari barisan model kami: Dolomite Silver Metallic, Carrara White Metallic dan Volcano Grey Metallic.” kata naib presiden Porsche untuk indidualisasi dan klasik, Alexander Fabig.

    Porsche turut menyatakan bahawa bilah sisi berkenaan juga boleh ditempah dengan hanya lapisan cat asas, atau dengan cat dalam warna individu setiap kereta.

     
     
  • PKP 3.0: Polis Johor terima permohonan rentas negeri lebih tinggi, ada yang bagi alasan tak munasabah

    PKP 3.0: Polis Johor terima permohonan rentas negeri lebih tinggi, ada yang bagi alasan tak munasabah

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan pihaknya telah menerima permohonan untuk merentas negeri lebih tinggi dari biasa menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini.

    Menurutnya dalam laporan Berita Harian yang disiarkan semalam, Polis Johor menerima 19,090 permohonan merentas negeri dan daerah antara 2 hingga 9 Mei, naik mendadak berbanding hanya 14,281 permohonan antara 25 April hingga 1 Mei lalu.

    “Daripada 19,090 permohonan yang diterima antara Ahad lalu (2 Mei) hingga semalam (9 Mei), sebanyak 286 ditolak manakala daripada 14,281 permohonan antara 25 April hingga 1 Mei lalu, kita menolak 179 permohonan.

    “Antara faktor utama permohonan ditolak adalah alasan tidak munasabah seperti mahu pulang beraya dan rindukan keluarga sedangkan mereka tahu kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19.

    “Mulai esok (hari ini), kita tidak beri nasihat jika ada yang ditahan kerana merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran.

    “Mereka akan terus dikompaun, maka jangan marah polis dan kata kami tidak bertimbang rasa kerana sudah banyak nasihat diberikan,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya Seelong semalam.

    Datuk Ayob Khan turut memberitahu bahawa cuti pegawai dan anggota polis di daerah Johor Bahru dibekukan pada Aidilfitri kali ini – seramai 1,212 pegawai dan anggota diarah bertugas pada Aidilfitri ini dengan 840 anggota menjaga sekatan jalan raya, 269 anggota bagi pasukan pemantauan manakala 171 membabitkan pasukan peninjau kenderaan pelbagai guna (MPV).

     
     
  • PKP 3.0:Polis arah 1,060 kenderaan yang nak masuk Kelantan tanpa kebenaran di tiga SJR berpatah balik

    PKP 3.0:Polis arah 1,060 kenderaan yang nak masuk Kelantan tanpa kebenaran di tiga SJR berpatah balik

    Polis Kelantan mendedahkan bahawa pihaknya telah mengarahkan sejumlah 1,060 kenderaan (dalam tempoh 24 jam bermula pada 8 Mei sehingga pukul 8 pagi semalam) yang cuba masuk ke negeri berkenaan tanpa kebenaran rentas negeri berpatah balik .

    Menurut laporan Berita Harian, kesemua kenderaan berkenaan dikesan di tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri itu setelah cuba masuk tanpa mempunyai surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain ada yang mengemukakan pelbagai alasan tanpa bukti.

    Menerusi apa yang diberitahu oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, kebanyakkan mereka yang mencuba nasib untuk pulang berhari raya di kampung halaman berkenaan sanggup memandu dari jauh termasuk Johor dan Lembah Klang.

    “Mungkin mereka lepas di SJR lain, namun selepas pemeriksaan terperinci dilakukan di tiga SJR sempadan negeri iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang, kita dapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran yang sah.

    “Ada juga yang menggunakan alasan pulang ke kampung kerana kes kecemasan, namun apabila ditanya lebih terperinci, mereka gagal menjawabnya. Sehubungan itu, kita terpaksa mengarahkan mereka berpatah semula,” katanya pada satu sidang media semalam.

    Sehubungan itu Shafien mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba memasuki Kelantan tanpa sebarang surat kebenaran kerana pihaknya akan memeriksa secara teliti surat yang dikemukakan.

    “Nasihat saya, sambutlah raya di kawasan masing-masing, jangan cuba rentas daerah, negeri,” katanya.

     
     
  • Perodua Aruz 2021 rasmi dilancarkan — RM69k-RM73k

    Perodua Aruz 2021 rasmi dilancarkan — RM69k-RM73k

    Perodua dengan rasminya telah memperkenalkan model Aruz 2021. Seperti dijangkakan, semua harga kekal sama bagi SUV yang dikemaskini ini, dengan varian paling bawah, X dijual pada harga RM68,526 sementara untuk varian AV yang paling tinggi pada harga RM73,226. Harga ini termasuk pengecualian cukai SST hingga 30 Jun — jadi ia lebih murah sekitar RM4,374 hingga RM4,674. Jaminan lima-tahun atau 150,000 km adalah standard.

    Perodua juga mengesahkan yang pemijak sisi bersepadu, lengkap dengan lencana Aruz di bawah pintu belkaang, adalah standard untuk varian X dan AV. Fungsi auto-lock juga adalah standard dan akan diaktifkan pada kelajuan di atas 20 km/j dengan pintu akan dibuka kuncinya secara automatik sekiranya berlaku kemalangan.

    Bagi pilihan warna yang ada, Passion Red metalik akan menggantikan warna utama sebelum ini, Amazon Green, dan ia hanya khusus untuk varian 1.5 AV sahaja. Empat warna lain termasuklah Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White.

    Perodua Aruz 2021 rasmi dilancarkan — RM69k-RM73k

    Itu sahaja kemaskini yang diberikan untuk Aruz 2021. Enjin kekal sama menggunakan unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

    Presiden dan CEO Perodua, Dato Zainal Abidin Ahmad berkata: “Perodua berterima kasih kepada semua pelanggan yang dihargai. Dengan maklum balas mereka, beberapa perkara telah dilakukan terhadap Aruz untuk memenuhi keperluan mereka,”

    “Dengan lebih 60,000 unit Aruz sudah terjual sejak pengenalannya pada 2019, Perodua Aruz muncul SUV paling laris untuk pasaran tempatan pada 2019 dan 2020. Bagaimanapun, dengan semangat kaizen, kami percaya sentiasa ada ruang untuk penambah-baikan,” tambahn beliau.

     
     
  • PKP 3.0:Kenderaan masuk Terengganu naik 25%, 8 individu dikompaun rentas negeri tanpa kebenaran

    PKP 3.0:Kenderaan masuk Terengganu naik 25%, 8 individu dikompaun rentas negeri tanpa kebenaran

    Polis Terengganu mendedahkan bahawa kenderaan yang masuk ke negeri berkenaan telah meningkat 25 peratus kepada 18,771 berbanding 15,000 pada hari biasa, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri Khamis ini, menurut laporan Berita Harian.

    Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik, berkata pertambahan lebih 3,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dikesan dua, tiga hari lalu dari Pantai Barat, antaranya Selangor, Kuala Lumpur serta Pantai Timur Pahang dan Kelantan.

    Beliau turut memberitahu antara alasan popular untuk merentas sempadan ialah atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur serta kematian, dan sehingga kini lapan individu telah dikompaun sebanyak RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

    “Antara kesalahan sering dilakukan ketika merentas sempadan Terengganu-Kelantan ialah mengemukakan surat kebenaran lama yang sudah luput tarikh,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan, semalam.

    Menurutnya lagi, kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di semua 26 laluan tikus di sempadan Besut, Terengganu-Pasir Putih, Kelantan.Pasukan pemantau juga telah ditambah kepada 150 berbanding 135 pasukan sebelum ini, membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

     
     
  • Perodua Aruz 2021 — dikemaskini dengan warna baru Passion Red, pemijak sisi dan fungsi auto-lock

    Perodua Aruz 2021 — dikemaskini dengan warna baru Passion Red, pemijak sisi dan fungsi auto-lock

    Menjelang Raya, ada berita baru dari Perodua. Perodua Aruz 2021 akan menemui pelanggan seperti yang dapat dilihat melalui risalah yang mula tersebar di Facebook dan mendedahkan spesifikasi penuhnya. Apa yang dapat dilihat, varian X dan AV akan terus ditawarkan, melibatkan sedikit peningkatan kelengkapan.

    Pertama, kalau dulu ada warna Amazon Green sebagai warna utama, ia kini digantikan pula oleh warna Passion Red (metalik), dan akan ditawarkan eksklusif bagi varian 1.5 AV sahaja. Ini bukanlah warna yang sama dengan Pearl Delima Red yang diberikan untuk Ativa.

    Kedua-dua varian X dan AV baru ini turut akan disepadukan dengan pemijak sisi untuk lebih memudahkan urusan keluar masuk kenderaan. Lencana Arux yang dilekat di bawah pintu penumpang belakang juga baru dan nampak kemas.

    Fungsi auto-lock baru juga kini standard untuk semua varian Aruz, akan mengunci pintu kenderaan secara automatik sebaik sahaja kereta bergerak. Bagaimanapun, sistem Advanced Safety Assist 2.0 akan terus ditawarkan hanya pada varian AV.

    Itu sahaja kemaskini yang diberikan untuk Aruz 2021. Enjin kekal sama menggunakan unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

    Tiada harga yang diumumkan setakat ini, tetapi boleh dijangkakan ia kekal sama seperti sebelum ini. Turut disertakan sekali ialah pakej jaminan lima-tahun/150,000 km. Perincian lanjut akan didedahkan nanti sebaik ada maklumat rasmi daripada pengeluarnya. Oke ke warna merah baru ni untuk Aruz?

     
     
  • PKP 3.0: Rentas negeri dan daerah dilarang di seluruh negara bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini – Ismail Sabri

    PKP 3.0: Rentas negeri dan daerah dilarang di seluruh negara bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini – Ismail Sabri

    Nampaknya tak kira anda berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), pergerakan rentas daerah adalah dilarang sama sekali ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dalam kenyataannya yang dilaporkan oleh Berita Harian mengumumkan bahawa semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin ini (10 Mei) hingga 6 Jun nanti.

    Beliau turut menambah sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

    “Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta.

    “Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Apa lagi prosedur operasi standard (SOP) yang perlu anda ketahui untuk menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini? Rujuk artikel yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI.

     
     
  • GALERI: BMW 740Le G12 xDrive M Sport di Malaysia — dijual bermula RM566,803 dengan jaminan 2 tahun

    GALERI: BMW 740Le G12 xDrive M Sport di Malaysia — dijual bermula RM566,803 dengan jaminan 2 tahun

    BMW Malaysia hari ini turut memperkenalkan model 740Le G12 xDrive M Sport untuk pasaran Malaysia. Model ini adalah versi pemasangan tempatan (CKD). Pakej M Sport padanya merangkumi kelengkapan bernilai RM25,000 bagi plug-in hybrid.

    Di luar, ia mengenakan pakej aerodinamik M Sport, termasuk bamper rekaan baru yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar serta gril “kidney” spesifik M. Turut ada ialah lencana M pada panel yang lebih menonjol di fender depan serta paip ekzos spesifik M dalam penyudah krom. Kereta ini juga menggunakan sistem brek M Sport dengan angkup biru dan rim 19-inci berbeza daripada rekaan yang ada pada versi Pure Ecellence sebelum ini — Stryle 647 dwi-warna dengan tayar runflat.

    Di dalam, unik kepada varian ini ialah stereng M, kunci yang spesifik M serta kemasan kayu halus dalam Fineline Black dengan kesan logam berkilat. Lapik bahagian bumbung menggunakan Alcantara Anthracite dan alas pintu M menyerlahkan lagi kelainannya.

    GALERI: BMW 740Le G12 xDrive M Sport di Malaysia — dijual bermula RM566,803 dengan jaminan 2 tahun

    Selebihnya, senarai kelengkapan yang ada sama seperti yang ada pada varian terdahulu. Kerusi balutan kulit Nappa, kawalan pendingin empat-zon, bumbung panoramik Sky Lounge, lampu suasana, penghadang matahari larasan elektrik, sistem audio Harman Kardon 460-watt dengan 16 pembesar suara, skrin monitor tempat duduk belakang 10-inci dan pintu ruang barangan Comfort Access. Tidak ketinggalan head-up display dan Live Cockpit Professional, bersekali dengan kawalan gerak-geri, BMW Connected Package Professional dan BMW Navigation.

    Enjin kekal dengan unit B58B30 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris yang menghasilkan 286 PS (282 hp) dari 5000-6,000 rpm dan 450 Nm tork dari 1,500-3,500 rpm serta dibantu oleh motor elektrik yang menjana 113 PS pada 3,170 rpm dan 265 Nm dari 0-2,700 rpm. Output keseluruhan sistemnya ialah 394 PS dan 600 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan 250 km/j had laju maksimum.

    Aspek keselamatan pula menyaksikan kereta ini dilengkapi dengan enam beg udara dan pakej Driving Assistant Professional, yang terangkum di dalamnya fungsi seperti kawalan melayar aktif dengan Stop/Go, amaran penukaran lorong, bantuan menukar lorong, amaran perlanggaran depan dengan AEB serta bantuan mengekalkan lorong dengan perlindungan hentaman sisi aktif. Selain itu, ciri Bantuan Parkir dengan Bantuan Undur yang sebelum ini telah dinaiktaraf kepada Parking Assistant Plus dalam 740Le xDrive Design Pure Excellence turut dikekalkan.

    Empat warna badan ditawarkan — Mineral White, Bernina Grey dengan kesan Amber, Donington Grey dan Carbon Black Metallic. Bagi skim warna dalaman, dua tema disediakan iaitu hitam dan Cognac bagi kulit Nappa.

    BMW 740Le G12 xDrive M Sport dijual pada harga RM566,803 atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST hingga 30 Jun nanti. Ini termasuk pek M Sport serta jaminan dua tahun standard. Dengan pakej lanjutan jaminan (lima-tahun, tanpa had perbatuan) dan servis (lima-tahun/100,000 km), harganya ialah RM591,503.

    Selepas 30 Jun, model ini akan dijual pada harga asas RM574,100, dan jika ditambah pek M Sport akan menjadi RM599,100. Dengan pakej lanjutan jaminan dan servis pula, ia akan dijual pada harga RM598,800. Jika ditambah dengan pek M Sport tersebut, harga akhirnya akan menjadi RM623,800.

     
     
  • VIDEO: Petronas siar animasi raya 2021 dalam norma baharu – Syukur Raya papar semangat kejiranan

    Petronas memang tidak pernah ketinggalan dalam menghasilkan video sempena dengan sambutan perayaan, malah hasilnya jarang mengecewakan. Terkini, bagi sambutan Hari raya Aidilfitri yang bakal disambut pada minggu hadapan, Petronas muncul dengan video animasi bertajuk ‘Syukur Raya’.

    Penceritaan Syukur Raya dilaksanakan oleh seekor merpati bernama Syuk-kur, gabungan perkataan ‘syukur’ dan ‘tekukur'(nama lain bagi merpati). Syuk-kur menjadi saksi apa yang berlaku dalam kawasan kejiranan Taman Bawang.

    Ia mengisahkan Poji, pemuda yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman disebabkan komitmen kerja. Dia tinggal berjiran dengan Mak Jah, yang dianggap wanita garang dan tidak mudah mesra dengan anak muda seperti Poji.

    Walau bagaimana pun, Poji sering membayangkan Mak Jah seperti ibunya sendiri, walau pun menyedari wanita tersebut tidak ‘melayannya’. Namun di akhir penceritaan, Mak Jah berkongsi rendang masakannya dengan Poji dan rakan-rakan serta jiran tetangga yang lain,

    Syukur Raya memberikan inspirasi terhadap pentingnya semangat kejiranan, apatah lagi kita yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Walau pun kita jauh dari keluarga di kampung, namun jiran-jiran juga boleh dianggap umpama keluarga sendiri, asalkan kita saling bersatu hati dan hormat-menghormati.

    Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, filem animasi ini menumpukan perbezaan untuk saling memberi dan memaafkan dalam menyambut lebaran.

    “Walau menghadapi cabaran semasa, jika kita membuka hati dan minda, orang di sekeliling kita boleh membawa kegembiraan pada Aidilfitri ini, yang akhirnya menggambarkan semangat kebersamaan dan kemurahan hati dalam perayaan ini,” tambahnya.

    Video animasi Syukur Raya ini boleh ditontonkan menerusi saluran YouTube rasmi Petronas dan juga laman media sosial Facebook. ‘Raya Joy Pack’ yang terdiri daripada pelekat ‘Syukur Raya’ dan pemandangan latarbelakangnya juga boleh dimuat turun menerusi Facebook Petronas dan digunakan untuk WhatsApp dan media sosial lain.

     
     
  • Brabus 800 didedah – Mercedes-AMG E63S 4Matic+ yang dipertingkat sehingga dapat hasilkan 800 PS

    Brabus 800 didedah – Mercedes-AMG E63S 4Matic+ yang dipertingkat sehingga dapat hasilkan 800 PS

    Mercedes-AMG E 63 4Matic+ facelift telah diperkenalkan tahun lalu, jadi anda tahu kita hanya menunggu masa sahaja sebelum Brabus mengubah suai model ini. Sekarang, ia sudah siap dan diperkenalkan kepada dunia sebagai Brabus 800. Namanya memang ringkas, tapi ini bukan calang-calang kereta.

    Perubahan paling besar yang dibuat oleh Brabus adalah pada bahagian enjin, di mana unit V8 twin turbo 4.0 liter yang asalnya boleh menghasilkan kuasa 612 PS (603 hp) dan 850 Nm dipertingkat lagi sehingga boleh mengeluarkan 800 PS (788 hp) dan 1,000 Nm. Transmisi masih lagi unit AMG Speedshift MCT 9G sembilan kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+.

    Untuk mendapatkan kuasa ini, antara bahagian yang ditukar adalah pengecas turbo, yang kini menggunakan unit lebih besar bersama bearing axial dan boleh menghasilkan boost maksimum sehingga 1.6 bar. Kemudiannya, sistem pengurusan elektronik enjin disambungkan kepada modul Brabus PowerXtra dengan pemetaan khas dan saluran udara buatan gentian karbon disepadukan kepada bahagian gril untuk pengudaraan yang lebih cekap. Melengkapkan pakej prestasi ini adalah sistem ekzos stainless steel dengan muncung gentian karbon.

    Penampilan kereta ini juga sudah tentu dinaik taraf. Pelbagai komponen gentian karbon dipasang, termasuk pada gril, lip hadapan, spoiler belakang serta diffuser, dan ia boleh dipilih dalam kemasan sama ada yang berkilat ataupun matte.

    Pilihan rim oleh Brabus juga ada pelbagai, sehingga saiz 21 inci dan ia boleh dipadankan dengan Brabus Sports Unit bagi suspensi udara standard. Dengannya, kedudukan kenderaan boleh menjadi lebih rendah antara 10 hingga 20 mm, bergantung kepada mod pemanduan ketika itu.

    Bagi bahagian dalam, anda boleh mendapatkan plet tepi pintu stainless steel dengan logo yang menyala, pedal aluminium, serta pelbagai pilihan balutan kulit, Alcantara dan kemasan sama ada jenis kayu atau gentian karbon. Semuanya bergantung kepada kemahuan pemilik.

     
     
  • paultan.org buka kedai rasmi di Shopee – barangan eksklusif mula dijual, promosi untuk tempoh terhad

    <em>paultan.org</em> buka kedai rasmi di Shopee – barangan eksklusif mula dijual, promosi untuk tempoh terhad

    Ya, kami juga sekarang sudah ada kedai rasmi di Shopee. Barangan eksklusif yang sebelum ini menjadi rebutan ramai sudah boleh dibeli dengan lebih mudah melalui kedai rasmi paultan.org di Shopee ini. Apa tunggu lagi?

    Dua baju sudah mula dijual, bermula dengan yang berwarna hitam, tertulis “Drive It Like You Stole It”. Ini adalah antara rekaan sendiri kami yang terawal dan dicetak atas kain 210 gsm premium (baju biasa selalunya menggunakan kain 180 gsm), sekaligus memberikan lebih keselesaan.

    Kami juga ada menawarkan baju putih “Work Hard Drive Harder” edisi terhad untuk dijual. Ia hanya dikeluarkan sebanyak 200 helai dan merupakan salah satu daripada siri terhad OneIn200 yang dibuat menggunakan rekaan sendiri serba baru. Apabila habis, kami tidak akan mengeluarkannya lagi.

    Berkenaan dengan cetakan, baju keluaran kami dibuat menggunakan cara silk screen dan bagi versi keluaran terhad itu, ia mendapat tambahan label paultan.org pada bahagian lengan, label OneIn200 di hadapan dan tulisan yang dicetak menggunakan rubber dye high density khas.

    Bersempena dengan pelancaran kedai rasmi di Shopee ini, kami akan mengadakan promosi istimewa 5.5 untuk pengguna baru Shopee. Letakkan sahaja kod PAULTAN888 semasa mendaftar keluar dan anda akan mendapat potongan RM8 (pembelian minimum RM50) – sah sehingga 17 Mei sahaja.

    Baju-baju ini menggunakan hasil daripada pereka berbakat dalam pasukan kami, dan jika anda rasa mahu memeliharanya lebih lama, ingat, jangan seterika atas bahagian yang terdapat cetakan. Cepat, dapatkan baju ini di kedai Shopee kami.

     
     
  • BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

    BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

    Tiga bulan selepas BMW Group Malaysia mempertontonkan model BMW X7 G07 pemasangan tempatan (CKD), ia akhirnya mula dijual secara rasmi hari ini. Sama seperti versi CBU, SUV flagship tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dalam varian tunggal xDrive40i Design Pure Excellence, dengan sedikit perubahan spesifikasi.

    Harga juga jadi lebih rendah berbanding harga yang dianggarkan sebelum ini iaitu pada RM708,800. Harga rasmi versi CKD ini ialah RM673,324 atas jalan tidak termasuk insurans atau SST. Ini bersekali dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan serta lima tahun servis percuma; dengan jaminan standard selama dua-tahun, X7 dijual pada harga RM648,934.

    Berbanding model CBU, yang sebelum ini yang masing-masing dijual pada harga RM861,847 dan RM837,457, versi CKD ini melibatkan penjimatan sehingga RM188,523 — melibatkan juga senarai kelengkapan yang ada, tentunya. Harga ini sah sehingga 30 Jun 2021. Selepas itu, harganya akan naik kepada RM674,410 dengan SST, atau RM698,800 dengan pakej waranti dan servis yang dinyatakan.

    BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

    Secara visual, secara umumnya X7 kekal sama. Tingkat kemasan Design Pure Excellence libatkan pertambahan kemasan krom di depan, pada tingkap, grafik sisi “kayu hoki” dan bampar belakang, termasuk skid plate depan dan belakang warna perak, body cladding warna badan serta landasan bumbung aluminium satin. Turut hadir ialah lampu utama BMW Laserlight dan juga rim aloi dua-tona jejari Y 21-inci.

    Di dalam, kerusi larasan kuasa (dengan pemanas untuk kerusi depan dan memori untuk sebelah pemandu) dibalut dengan kulit Vernasca, sementara papan pemuka menggunakan kemasan kulit buatan Sensatec dan dirias bersama kayu berkilat Fineline Stripe. X7 ini juga datang dengan bumbung panoramik Sky Lounge, tuil gear warna perak dan butang kawalan kristal.

    Bagi kelengkapan teknologi pula, ia hadir dengan ciri BMW Live Cockpit Professional dengan skrin berkembar 12.3-inci bagi panel instrumen dan infotainment, serta kawalan gerak-geri, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon 464-watt 16-pembesar suara. Juga ada ciri Parking Assistant Plus yang termasuk sistem kamera 360-darjah (dengan mod 3D, boleh dilihat di telefon) serta Reversing Assistant.

    BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

    Kelengkapan standard lain termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, pintu tutup sendiri, kawalan pendingin lima zon, pengilap dan lampu automatik, cermin anti-silau automatik, stereng larasan kuasa, penghadang matahari belakang larasan kuasa serta pintu belakang tanpa kendalian tangan.

    Namun, terdapat juga beberapa perbezaan kelengkapan antara model CBU dan CKD. X7 CKD kini dilengkapi dengan rear-wheel steering, sebagai tambahan kepada suspensi udara, penyerap hentak adaptif dan penstabil olengan aktif Executive Drive Pro yang turut ditawarkan pada model CBU.

    Versi CKD turut dikurangkan dari sudut keselamatan, dengan ketiadaan fungsi Driving Assistant Professional. Sistem Driving Assistant biasa bagaimanapun tetap menampilkan ciri seperti AEB, bantuan mengekalkan lorong dan peninjau titik buta, tetapi menggugurkan ciri bantuan ke tengah lorong, bantuan menukar lorong, penghindaran perlanggaran titik buta dan Crossroads Warning. Kawalan melayar adaptif dengan STOP/GO, satu lagi ciri pada Driving Assistant Professional, disertakan kembali.

    BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

    Mekanikalnya, model xDrive40i kekal dengan enjin 3.0 liter turbocas B58 enam-silinder sebaris, menghasilkan 340 PS daripada 5,500 hingga 6,500 rpm dan 450 Nm tork dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Transmisi pula menggunakan jenis ZF automatik lapan-kelajuan, membolehkan X7 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat hingga laju maksimum 245 km/j. Kadar penggunaan minyak ialah 9.5 liter bagi setiap 100 km.

    BMW X7 CKD datang dalam tujuh warna luaran — Sapphire Black dan Sophisto Grey dengan ruang dalaman balutan kulit Cognac, Phytonic Blue dan Manhattan dengan kulit hitam serta Mineral White dengan kulit Coffee.

     
     
  • SPYSHOT: Geely Haoyue VX11 dilihat diuji di Malaysia – Proton bakal hasilkan SUV ‘X90’ 7-tempat duduk?

    SPYSHOT: Geely Haoyue VX11 dilihat diuji di Malaysia – Proton bakal hasilkan SUV ‘X90’ 7-tempat duduk?

    Pasti ramai yang menunggu Proton untuk menghasilkan MPV berdasarkan Geely Jiaji VF11 bukan? Tapi nampaknya mungkin ada sedikit plot twist nanti – berdasarkan video yang dirakam oleh pembaca Hazim Qa, nampaknya Proton kini sedang menguji SUV Geely Haoyue VX11, atau dikenali sebagai Okavango di Filipina.

    Haoyue dilancarkan di China pada Jun tahun lalu, dan ia kini merupakan SUV paling besar dalam barisan model Geely, ‘Abang Long’ kepada Boyue (X70) dan juga Binyue (X50). Ia dihasilkan dengan panjang 4,835 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,784 mm dan jarak roda sejauh 2,815 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, berbanding Proton X70, Haoyue adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar, 91 mm lebih tinggi dan jarak roda 145 mm lebih jauh.

    Dengan saiz yang besar ini, Haoyue ditawarkan dalam versi lima- dan tujuh-tempat duduk di China. Kesemua tempat duduk belakang boleh dilipat dengan rata, bagi memberikan ruang kargo sebesar 2,370 liter.

    Menurut Geely, tempat duduk kabin belakang berkenaan turut boleh dilipat untuk dijadikan katil dengan saiz double bed. Kesemua tiga baris tempat duduk dalam kabin SUV ini boleh dilaras, manakala tempat duduk baris terakhir dipadankan dengan perehat belakang dengan larasan lapan hala.

    Di China, Haoyue dijana oleh enjin 1.8L empat silinder turbo berkuasa 181 PS/300 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Ia hadir dalam versi pacuan hadapan dan juga pacuan semua roda.

    Namun untuk Okavango di Filipina, SUV ‘bagak’ ini dijana oleh enjin 1.5L tiga-silinder turbo bersama sistem hibrid ringkas 48-volt bagi menghasilkan 190 hp/300 Nm. Versi ini turut digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan, tetapi tiada pilihan sistem AWD.

    Lakaran digital bayangan Proton X90 berdasarkan Geely Haoyue oleh Theophilus Chin

    Sebagai model yang diletakkan di hierarki tertinggi, Haoyue menerima sistem pemanduan autonomi Tahap 2 yang menggunakan 24 penderia bagi mengoperasikan 17 ciri pintar. Antara fungsi tersebut termasuk adaptive cruise control dengan sistem stop & go, fungsi pengekal tengah lorong dengan bantuan selekoh (seperti sistem Pilot Assist Volvo) sehingga 150 km/j, serta Parking Assist dengan pemantau 360-darjah.

    Jika Proton benar-benar menghasilkan Haoyue ini dalam versi mereka, mengikut formula alphanumeric sedia ada ia mungkin akan digelar sebagai Proton X90. Ia juga akan menjadi versi pertama Haoyue yang dihasilkan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan kerana Okavango di Filipina adalah sama seperti di China, dengan pemandu berada di sebelah kiri.

    Namun, Proton tidak pernah langsung menyebut atau memberikan apa-apa petunjuk sama ada mereka akan membina SUV yang lebih besar dari X70. Jadi ujian ini mungkin hanya “sekadar satu ujian” yang dibuat oleh Proton untuk mendapatkan data-data tertentu. Anda bagaimana? Berminat dengan SUV besar ini, atau mengharapkan Proton hadir dengan MPV tujuh-tempat duduk baharu yang lebih premium dari Exora?

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace Highline 2021 kini di Malaysia – roda Nizza baharu, port USB-C, harga sama

    Volkswagen Tiguan Allspace Highline 2021 kini di Malaysia – roda Nizza baharu, port USB-C, harga sama

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memberikan sedikit perubahan kecil untuk Tiguan Allspace bagi model tahun 2021, yang melibatkan varian asas Highline. Walau bagaimana pun, dimaklumkan harganya masih kekal iaitu RM165,031 atas jalan tanpa insurans atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST), termasuk waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan dan pake penyelenggaraan tiga-tahun/45,000 km.

    Perubahan yang dilakukan terhadap 1.4 TSI Highline termasuklah menampilkan roda aloi Nizza 18-inci baharu yang menggantikan unit Kingston pada model terdahulu, dan lampu belakang LED kini didatangkan dengan efek 3D lebih kurang sama dengan model spesifikasi tertinggi R-Line. Selain itu, sama seperti varian yang lebih atas, Highline turut menerima port USB-C yang ditempatkan di bawah gear suis kawalan suhu, sama tempat dengan port USB-A sebelum ini.

    Unit utama kekal dengan skrin sesentuh Composition Media lapan-inci yang kini dipertingkatkan dengan kawalan suara dan masih mempunyai ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay – R-Line didatangkan dengan ciri tambahan untuk ketersambungan tanpa wayar bagi kedua-dua fungsi berkenaan.

    Selain perubahan tersebut, Highline masih kekal dengan spesifikasi yang sama seperti sebelum ini, dengan ciri standard termasuk lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED), lampu belakang LED, tempat duduk kulit Vienna, tempat duduk pemandu larasan kuasa 12-hala, kawalan suhu tiga-zon Climatronic, pencahayaan ambien, brek parkir elektronik dengan penahan auto, bilah pengelap/lampu auto, cermin pandang belakang auto kelam, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, kawalan kelajuan dan Digital Cockpit 11.7-inci.

    Begitu juga dengan aspek keselamatan yang masih dikekalkan iaitu enam beg udara, ESC, kawalan menahan bukit, dan pemantauan tekanan tayar. Ia juga diberikan tailgate elektrik dan rel bumbung krom. Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 150 PS (148 hp) dari 5,000-6,000 rpm dan tork 250 Nm dari 1,500-3,500 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear dwi-klac kering DSG enam-kelajuan, dan Highline dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 7.3 liter/100 km.

    Pilihan warna termasuklah Silk Blue, Pure White, Pyrite Silver, Platinum Grey dan Deep Black. Sebagai sebahagian daripada kempen Raya-Raya VPCM, Tiguan Allspace Highline kini ditawarkan dengan rebat duit raya RM1,000 dengan penjimatan eShowroom bernilai RM3,500.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025