Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda CBR250RR 2020 tiba di Jepun dan Indonesia – kuasa bertambah menjadi 41 PS, siap quickshifter

    Honda CBR250RR 2020 tiba di Jepun dan Indonesia – kuasa bertambah menjadi 41 PS, siap quickshifter

    Honda CBR250RR mula didedahkan di Indonesia pada tahun 2016 dan sejak itu, ia bagaikan menjadi tanda aras baru untuk model prestasi 250 cc. Kini, ia telah dipertingkat bagi model keluaran tahun 2020, dan dikeluarkan di negara asalnya, Jepun diikuti Indonesia sehari selepas itu.

    Bagi pasaran Jepun, bahagian pertama yang diubah sudah tentu adalah penampilan, untuk menjadikannya lebih segar, dan ia kini boleh didapati dalam empat warna iaitu Matt Gun Powder Black Metallic, Pearl Glare White, Grand Prix Red (dengan jalur biru) dan Grand Prix Red. Bentuk panel-panel badan masih lagi sama. Pasaran Indonesia pula menerima model 2020 ini sebagai model SP dengan grafik unik Garuda X Samurai.

    Satu lagi peningkatan yang pastinya menggembirakan ramai adalah pada bahagian enjin. Nisbah mampatan enjin 249 cc dua silinder ini telah ditingkat dengan menukar bentuk piston, balancer shaft lebih kecil serta connecting rod yang lebih kuat, sekaligus menjadikan kuasanya meningkat menjadi 41 PS dan 25 Nm tork.

    CBR250RR diangkat satu tahap lagi tinggi berbanding model 250 cc biasa kerana ia dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti pendikit ride by wire, tiga mod tunggangan, lampu LED depan dan belakang, meter LCD siap dengan lap timer, lengan ayun aluminium, klac slip n assist serta fork depan USD. Model tahun 2020 juga datang terus dengan quickshifter.

    Walaubagaimanapun sekarang, telah muncul satu lagi model 250 cc prestasi iaitu Ninja ZX-25R daripada Kawasaki. Model ini mempunyai kelebihan enjin empat silinder dan boleh menghasilkan kuasa mencecah 51 PS dan 22.9 Nm tork.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2020 naik 94.7%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Jun 2020 naik 94.7%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Jun 2020, dan ternyata ia meneruskan peningkatan jualan yang positif seperti mana bulan Mei selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) makin diberi kelonggaran. Berbanding dengan data jualan pada April yang begitu mendukacitakan susulan pelaksanaan PKP.

    Untuk Jun 2020, dicatatkan sebanyak 44,695 unit, iaitu meningkat sebanyak 21,735 unit atau 94.7% berbanding 22,960 unit yang direkodkan pada Mei. Malahan jualan kenderaan pada Jun 2020 juga 5% lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada tahun 2019 dengan 42,586 unit.

    Bagi angka tahun hingga ke tarikh berkenaan, sebanyak 174,675 unit telah terjual pada separuh pertama 2020, walau bagaimana pun ia masih kurang sebanyak 121,642 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu yang berjaya mencatatkan angka jualan sebanyak 296,317 unit.

    MAA berkata peningkatan jualan pada Jun banyak dipengaruhi oleh ‘cuti cukai jualan’ yang diumumkan oleh kerajaan menerusi pelan rangsangan ekonomi PENJANA, di mana model pemasangan tempatan (CKD) menerima 100% pelepasan cukai jualan (SST) dan potongan 50% bagi cukai yang sama bagi model import sepenuhnya (CBU), yang bermula sejak 15 Jun lalu sehingga 31 Disember ini.

    Jumlah jualan kenderaan pada Julai juga dijangka lebih tinggi berbanding Jun, dengan ‘cuti cukai jualan’ serta waktu bekerja yang lebih panjang yang dilihat mampu menyumbang qngka prestasi yang lebih tinggi.

     
     
  • Honda City 2020 – pelancaran di M’sia makin hampir?

    Honda City 2020 – pelancaran di M’sia makin hampir?

    Ramai yang menunggu ketibaan Honda City generasi kelima? Nampaknya penantian anda akan berakhir tidak lama lagi kerana Honda Malaysia sudah mula mengeluarkan teaser untuk model tersebut. Sedan segmen B terbaru ini muncul kali pertama di Thailand November tahun lepas dan baru-baru ini turut dilancar di India.

    Buat masa ini, perincian spesifikasi model yang akan dibawa ke Malaysia masih lagi tidak diketahui dan begitu juga dengan tarikh pelancarannya. Apa yang disiarkan bersama gambar teaser itu cuma sepotong ayat yang membawa maksud “permainan tidak akan menjadi sama lagi”.

    Melihat kepada pasaran lain yang sudah menerima City baru ini, Thailand contohnya mendapat model yang dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder turbo 1.0 liter, berkemampuan 122 PS dan 173 Nm tork. Jumlah ini bersamaan 2 PS dan 28 Nm tork lebih tinggi berbanding kuasa yang dihasilkan enjin empat silinder 1.5 liter NA SOHC i-VTEC pada model City generasi keempat sekarang. Kedua-duanya masih menggunakan transmisi CVT.

    Di India pula keadaannya lain kerana mereka mendapat dua pilihan enjin. Satu adalah enjin petrol i-VTEC yang dipertingkat dengan DOHC (sebelum ini SOHC), berkuasa 121 PS dan 145 Nm, manakala satu lagi adalah enjin diesel turbo i-DTEC berkuasa 100 PS dan 200 Nm. Kedua-dua enjin ini berkapasiti 1.5 liter dan boleh didapati dengan transmisi manual enam kelajuan, tetapi transmisi CVT hanya disediakan untuk enjin petrol.

    Pada aspek kelengkapan pula, model yang dijual di India mempunyai lebih banyak barang berbanding model Thailand kerana ia dilengkapi dengan LaneWatch. Sistem ini sudah ditawarkan di negara kita melalui model yang lebih besar seperti Civic dan Accord, di mana pada cermin sisi sebelah penumpang terdapat kamera yang boleh memaparkan pandangan bahagian itu di skrin tengah untuk membantu pemandu.

    Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk skrin sesentuh lapan inci Display Audio yang boleh disambung dengan pelbagai media seperti Android Auto dan Apple CarPlay, dan mempunyai empat pembesar suara. Pasaran India juga mendapat satu lagi ciri tambahan iaitu kawalan jauh Alexa. Tiada fungsi Autonomous Emergency Braking pada City baru ini, dalam mana-mana pasaran pun.

    GALERI: Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

    GALERI: Honda City 2020 pasaran India

     
     
  • KTM Malaysia sedia tawaran istimewa untuk pekerja barisan hadapan – beli Duke 250 dapat rebat RM1.5k

    KTM Malaysia sedia tawaran istimewa untuk pekerja barisan hadapan – beli Duke 250 dapat rebat RM1.5k

    Pengedar motosikal KTM di Malaysia kini sedang melakukan tawaran istimewa bagi menghargai khidmat pekerja barisan hadapan waktu pandemik Covid-19. Sesiapa di antara mereka yang membeli model Duke 250 akan diberikan dengan baucar rebat sebanyak RM1,500.

    Apa yang perlu dilakukan cuma mengisi borang melalui laman Facebook rasmi KTM Malaysia dan selepas itu wakil pengedar mereka akan menghubungi pelanggan. Dalam borang itu, antara yang termasuk dalam kategori adalah
    polis, kakitangan kesihatan, Rela, bomba, penghantar makanan, kakitangan kedai runcit, kakitangan farmasi, anggota sementara, pekerja bahagian makanan dan minuman, imigresen, kastam dan lain-lain.

    Tawaran ini hanya boleh digunakan untuk satu penama berdaftar dan model Duke 250 tahun 2017 (baru) sahaja. Semasa dilancarkan dulu, Duke 250 ini dijual pada harga RM21,730 dan ia digerakkan oleh enjin satu silinder 248.8 cc dengan kuasa sebanyak 30 hp pada 9,000 rpm dan tork 24 Nm pada 7,250 rpm.

    GALERI: KTM Duke 250 2017

     
     
  • Lebuhraya di M’sia akan diberi ranking ikut indeks kematian rendah, persekitaran, operasi trafik – MIROS

    Lebuhraya di M’sia akan diberi ranking ikut indeks kematian rendah, persekitaran, operasi trafik – MIROS

    Lebuhraya di negara ini akan diberikan ranking oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berdasarkan indeks kematian rendah serta reka bentuk persekitaran dan operasi trafik yang optimum dari aspek keselamatan jalan raya.

    Menurut Ketua Pengarah MIROS, Ir Dr Khairil Anwar Abu Kassim, lebuh raya yang berada di kedudukan teratas dinamakan lebuh raya berprestasi baik, mempunyai potensi lebih tinggi untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah. Dengan memberikan kedudukan ini kepada lebuh raya, pengguna lebuh raya akan lebih peka terhadap risiko keselamatan mereka ketika melalui lebuh raya, laporan Berita Harian.

    “Selain itu, ketetapan kedudukan ini diharap dapat mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan konsesi lebuh raya untuk memperbaiki mutu jalan raya di bawah seliaan mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

    Analisa MIROS selama ini mendapati, masalah utama keselamatan di lebuh raya adalah pemanduan melebihi had laju, dengan risiko kemalangan maut dan kecederaan parah bertambah tinggi apabila terdapat objek berbahaya di kawasan tepi lebuh raya yang tidak dilindungi penghadang jalan.

    Lebuhraya di M’sia akan diberi ranking ikut indeks kematian rendah, persekitaran, operasi trafik – MIROS

    Dalam pada itu, MIROS menjelaskan, bagi menyenaraikan lebuh raya mengikut kedudukan terbaik, mata kedudukan akan dijumlahkan untuk setiap lebuh raya berdasarkan pemberat sebanyak 70% untuk indeks kematian dan 30% untuk peratusan segmen jalan yang bertaraf tiga bintang dan ke atas.

    “Kedudukan lebuh raya kemudian ditentukan mengikut jumlah mata kedudukan yang paling rendah,” katanya lagi.

    Lebuh raya menduduki lima tempat teratas bagi kategori lebuh raya jenis sistem tol tertutup adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) serta Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE).

    Bagi kategori lebuh raya jenis sistem tol terbuka pula, berada dalam senarai ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) (LITRAK), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) serta Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

    Lebuhraya di M’sia akan diberi ranking ikut indeks kematian rendah, persekitaran, operasi trafik – MIROS

    Sementara itu, MIROS menjelaskan, penentuan lebuh raya berprestasi baik juga mengambil kira faktor kebarangkalian berlakunya kemalangan maut dan kecederaan parah jenis terbabas akibat pemanduan melebihi had laju.

    Berikutan statistik kemalangan dan keadaan sedia ada persekitaran jalan akan berubah dari semasa ke semasa, penetapan kedudukan lebuh raya berprestasi baik ini akan dilakukan secara berkala bagi memantau perubahan risiko mengikut keadaan semasa.

    “Kedudukan lebuh raya juga boleh ditambahbaik sekiranya konsesi lebuh raya dapat meningkatkan penarafan bintang di lebuh raya mereka dan MIROS sentiasa bersedia untuk membantu pihak konsesi untuk melaksanakan proses penarafan bintang di lebuh raya mereka,” katanya.

     
     
  • Penutupan lorong di KM26.6-KM26.46 Lebuhraya ELITE di laluan Gamuda Cove-Putrajaya 22-25 Julai

    Penutupan lorong di KM26.6-KM26.46 Lebuhraya ELITE di laluan Gamuda Cove-Putrajaya 22-25 Julai

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan lorong kiri dan lorong kecemasan di KM26.6 hingga KM26.46 (Arah Utara) di antara Persimpangan Bertingkat Gamuda Cove-Putrajaya di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) ditutup kepada semua kenderaan mulai jam 10 malam pada 22 Julai hingga 25 Julai 2020.

    Ini adalah sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaran turapan jalan dapat dilaksanakan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.

    Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku kesesakan di laluan tersebut, trafik arah ke utara akan dilencongkan ke Plaza Tol Gamuda Cove. Orang ramai boleh memasuki semula ke lebuh raya selepas membuat pusingan-U di Plaza Tol Gamuda Cove untuk meneruskan perjalanan ke utara dengan lebih lancar.

    Justeru, pengguna lebuh raya yang menggunakan laluan tersebut dinasihati supaya merancang perjalanan serta mematuhi semua papan tanda lalu lintas dan arahan yang disediakan oleh pihak PLUS.

     
     
  • Proton Saga Anniversary Edition habis dijual dalam masa 5 hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai lalu

    Proton Saga Anniversary Edition habis dijual dalam masa 5 hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai lalu

    Proton hari ini mengumumkan bahawa model edisi terhad Saga Anniversary Edition yang dilancarkan dua minggu lalu sudah pun rasmi habis dijual. Menurut jenama automotif nasional berkenaan, model yang dihasilkan hanya 1,100 unit ini sebenarnya habis dijual kesemuanya hanya selepas lima hari ia dilancarkan.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Anniversary Edition ini adalah model yang dihasilkan sempena 35-tahun Saga diperkenalkan selepas unit pertama model generasi pertamanya keluar dari barisan produksi di kilang Proton Shah Alam pada 9 Julai 1985 – pelancarannya tempoh hari juga dibuat pada tarikh sama iaitu 9 Julai 2020.

    Model istimewa ini diasaskan dari versi tertinggi 1.3L Premium AT dan diberikan berberapa perincian istimewa yang berbeza. Ia dijual pada harga atas jalan dengan pengecualian SST RM39,300 – sama seperti harga Saga Premium AT biasa walaupun diberi berberapa perincian eksklusif.

    Saga istimewa ini diberikan berberapa perincian berbeza dari versi biasa. Pertama sekali, ia hanya hadir dalam warna Quartz Black, iaitu warna yang sama pada bumbung Proton X70 Merdeka Edition yang diperkenalkan tahun lalu.

    Proton Saga Anniversary Edition habis dijual dalam masa 5 hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai lalu

    Kemudian ia diberikan serlahan-serlahan kuning pada bahagian bawah gril penutup cermin sisi dan juga jalur pada kemasan diffuser bampar belakang. Warna kuning yang diberikan ini sebenarnya adalah simbolik kepada sayap perlumbaan Proton iaitu R3, di mana Saga adalah salah satu jentera lumba mereka yang berentap di Sepang 1000KM dan juga Malaysia Championship Series (MCS).

    Bagi melengkapkan rupa luaran Saga Anniversary Edition ini, ia diberikan rim aloi 15-inci rekaan sama dengan Saga Premium AT, tetapi diberikan kemasan warna kelabu matte. Namun tiada sebarang lencana mahupun pelekat istimewa pada badan Saga ini yang memberitahu ini adalah model untuk sambutan ulangtahunnya yang ke-35.

    Manakala pada bahagian dalaman, serlahan kuning yang sama diberikan pada pelaras arah liang pendingin hawa bahagian tengah, kemasan sekeliling ruang storan konsol tengah dan juga gegelang pada dua meter utama dalam panel instrumen. Saga Anniversary Edition ini juga telah dilengkapi dengan penuras udara kabin dengan standard N95 seperti yang dipadankan pada X70.

    Proton Saga Anniversary Edition habis dijual dalam masa 5 hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai lalu

    Untuk ciri lain, kelengkapan model Anniversary Edition ini masih sama seperti model Premium AT. Ia termasuk lampu nyalaan siang LED, upholsteri dalaman fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh ‘terapung’ bersaiz tujuh-inci berasaskan android, paparan pelbagai info dengan skrin tanpa warna, kamera undur dan pelbagai lagi.

    Sistem mekanikal juga tidak menampilkan sebarang perubahan, di mana Saga ini masih dijana oleh enjin VVT 1.3L empat-silinder menghasilkan 95 PS pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 120 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga hanya hadir dengan kotak gear automatik empat kelajuan konvensional, tanpa pilihan transmisi manual.

    Pembeli turut boleh memilih pakej aksesori ulangtahun dengan harga promosi RM2,035 (RM2,350 selepas tamat promosi). Pakej ini terdiri dari spoiler bampar hadapan dan skirt sisi berwarna Quartz Black serta serlahan-serlahan kuning, visor pintu, penebat bunyi tambahan pada penutup bonet enjin dan juga but belakang serta tray untuk ruang kargo.

    GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020

    GALERI: Proton Saga Anniversary Edition 2020 dengan pakej aksesori

    GALERI: Imej rasmi Proton Saga Anniversary Edition 2020

     
     
  • BMW M340i xDrive Touring G21 First Edition – edisi terhad 340 unit, enjin 3.0L turbo 369 hp, 500 Nm tork

    BMW M340i xDrive Touring G21 First Edition – edisi terhad 340 unit, enjin 3.0L turbo 369 hp, 500 Nm tork

    BMW M340i xDrive telah pun didedahkan hujung tahun lepas buat pertama kali, tetapi sekarang BMW menyambut pelancarannya untuk pasaran dengan pengenalan versi First Edition yang ditawarkan untuk kedua-dua bentuk badan sedan G20 dan juga wagon G21. Kedua-duanya juga akan dihasilkan cuma sebanyak 340 unit.

    Model M340i xDrive First Edition ini disiapkan oleh BMW Individual, dengan menggunakan warna luar Frozen Dark Grey dan dipasang dengan pakej Shadow Line yang memberikan kemasan keliling tingkap, gril, pelindung cermin sisi dan beberapa lagi kemasan di belakang yang berwarna hitam.

    Barang lain yang diberi adalah termasuk rim M 19 inci (style 792 M) dua tona, diffuser belakang gentian karbon dan brek M Performance yang mempunyai angkup warna merah. Unit di dalam gambar yang disiarkan oleh BMW Sepanyol ini juga datang dengan teknologi lampu BMW Laserlight – satu tingkat taraf berbanding unit LED standard.

    Pada bahagian dalam, model edisi terhad ini menggunakan balutan kulit BMW Individual yang menggabungkan warna biru terang serta hitam, dengan jahitan berwarna kuning. Selain tempat duduk dan panel pintu, kemasan kulit ini turut digunakan pada papan pemuka, dan dijadikan lengkap dengan jalur M pada tali pinggang serta lencana nombor keluaran di atas kemasan gentian karbon pada bahagian penumpang.

    Senarai kelengkapan standard lain pada model ini juga agak banyak, termasuk Live Cockpit Professional, Comfort Access, Parking Assistant, Connected Package Professional, pengecas telefon tanpa wayar, radio digital DAB+, sistem pembesar suara Hi-Fi dan suspensi adaptif M (10 mm lebih rendah).

    Di bawah bonetnya terdapat enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan untuk menghasilkan kuasa 374 PS (369 hp) dari 5,500 rpm hingga 6,500 rpm dan 500 Nm tork antara 1,850 rpm hingga 5,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada semua roda melalui sistem pacuan xDrive dan differential M Sport.

     
     
  • Barangan rasmi Honda Malaysia kini di Shopee

    Barangan rasmi Honda Malaysia kini di Shopee

    Koleksi barangan-barangan rasmi keluaran Honda Malaysia yang baru sahaja dilancarkan Mac lalu kini sudah pun boleh anda beli secara atas talian menggunakan aplikasi Shopee. Barisan barangan dengan nama ‘TEI’ (akronim dari Trust, Equality dan Individuality) yang terdiri dari 21 item berkenaan dihasilkan dalam empat koleksi berbeza iaitu korporat, gaya hidup, pakaian aktif, dan juga kelengkapan perjalanan.

    “Siri TEI ini telah diterima baik oleh penggemar dan peminat Honda di Malaysia kerana ia seiring dengan trend, rekaan yang menarik serta sangat berkualiti. Jualan siri TEI ini menyaksikan peningkatan sebanyak 18% pada bulan pertama pengenalannya berbanding bulan pertama jualan siri ‘Challenging Spirit’ sebelumnya. Koleksi gaya hidup menyumbang sehingga 46% dari keseluruhan jualan barangan,” kata CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia Toichi Ishiyama.

    Sempena pelancaran barangan rasmi TEI ini di Shopee, Honda Malaysia mengumumkan mereka akan mengadakan “tawaran menarik lima-penjuru” yang hanya dilangsungkan selama sehari iaitu pada Sabtu ini, 25 Julai 2020. Menerusi tawaran berkenaan, pelanggan akan menerima baucer RM10, baucer Shopee Coins Cashback, diskaun 10% untuk shocking sales, diskaun 10% untuk mall sales dan potongan RM7 untuk barangan terpilih. Tertakluk pada terma dan syarat.

    Potongan RM7 adalah untuk barangan seperti beg Crossbody, Payung (30-inci), gegelang kunci dan juga set Key Pouch, topi, beg kasut, botol air boleh renyuk dan Hoodie (saiz M, unisex). Kuantiti barangan adalah terhad, dan ia ditawarkan secara ‘siapa cepat dia dapat’.

    Anda boleh lihat semua barangan ini di Shopee menerusi akaun rasmi Honda Malaysia (hondamalaysia.os), dan sekali lagi diingatkan bahawa jualan promosi satu hari yang disebutkan tadi akan berlangsung pada Sabtu ini.

     
     
  • Pemakaian topeng pelitup muka wajib di tempat dan dalam pengangkutan awam bermula 1 Ogos – Menteri

    Pemakaian topeng pelitup muka wajib di tempat dan dalam pengangkutan awam bermula 1 Ogos – Menteri

    Lanjutan dari pertimbangan kerajaan untuk mewajibkan pemakaian topeng muka seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hujung minggu lalu kerana kes Covid-19 yang meningkat semula, nampaknya kata akhir untuk keputusan tersebut telah di buat – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan perkara tersebut akan mula diwajibkan bermula 1 Ogos ini.

    Bercakap dalam sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi seperti yang dilaporkan Astro Awani, pemakaian topeng muka berkenaan akan diwajibkan di kawasan sesak seperti pengangkutan awam serta tempat-tempat awam. Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat melihat kepada kadar peningkatan kes yang mula kembali meningkat selain pematuhan rakyat terhadap SOP semakin berkurangan.

    “Kadar pematuhan SOP di kalangan orang ramai semakin menurun termasuk di dalam pengangkutan awam termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial dilihat tidak dipatuhi.

    “SOP di tempat-tempat awam yang bersesak tidak diendahkan oleh segelintir pihak jadi kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos di kawasan awam yang sesak,” katanya.

    Pemakaian topeng pelitup muka wajib di tempat dan dalam pengangkutan awam bermula 1 Ogos – Menteri

    Dalam perkembangan sama, Ismail turut memberi amaran kepada di premis-premis makanan yang dilihat semakin lalai dalam melaksanakan SOP untuk mencegah jangkitan Covid-19 ini.

    “Terdapat premis makanan yang tidak endahkan pematuhan SOP seperti penjarakan meja meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran.

    “Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas terhadap premis termasuk pengunjung yang gagal mematuhi SOP sama ada kompaun, tindakan mahkamah, atau penutupan kedai,” jelasnya lagi dan menambah kesemua keputusan tersebut mengambil kira keadaan perkembangan Covid-19 di negara dengan terdapat pertambahan kluster-kluster baharu termasuk dan juga peningkatan kes serta nasihat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Walau bagaimanapun, Ismail tidak menjelaskan bentuk hukuman bagi mereka yang melanggar arahan kewajipan untuk memakai topeng muka ini. Namun menurut apa yang disebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tempoh hari, jika ia diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang gagal memakainya boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara.

     
     
  • BMW 1 Series F40 bakal dilancar untuk Malaysia esok

    BMW 1 Series F40 bakal dilancar untuk Malaysia esok

    BMW Malaysia telah mula mengeluarkan teaser model 1 Series F40, yang bakal dilancarkan secara rasmi esok, 24 Julai. Model 1 Series generasi ketiga ini diperkenalkan secara global Mei tahun lalu dan membawa perubahan besar di mana ia sekarang menggunakan platform pacuan roda hadapan buat pertama kali.

    Menurut BMW, tetapan baru ini memberikan beberapa manfaat, antaranya ruang lebih luas, iaitu +33 mm di kaki, +19 mm di kepala, +42 mm untuk bahu di hadapan dan +13 mm untuk bahu di belakang. Bagi dimensi, 1 Series baru ini 5.0 mm lebih pendek berbanding F20 yang mencatat 4,319 mm. Lebar pula bertambah 34 mm (1,799 mm), tinggi bertambah 13 mm (1,434 mm) manakala jarak roda lebih pendek 20 mm menjadi 2,670 mm. Ia juga sekarang 30 kg lebih ringan tetapi lebih tegar.

    Anda tidak akan tersilap membezakan model baru ini dengan yang lama kerana tetapan enjin melintang menjadikan bonetnya lebih pendek. Untuk lebih pasti apa lagi yang baru dengan 1 Series ini, BMW sendiri telah mengeluarkan video perbandingan yang menyaksikan lampu hadapan, lampu belakang, gril serta bahagian dalamnya juga berubah.

    Melihat kepada varian, berdasarkan video teaser yang disiar, nampaknya kita akan menerima versi paling tinggi iaitu M135i xDrive. Varian ini menggunakan enjin empat silinder paling berkuasa BMW Group, iaitu unit B48 2.0 liter turbo berkemampuan 306 PS (302 hp) dan 450 Nm, digabungkan bersama transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 4.8 saat sementara laju maksimum pula adalah 250 km/j.

    Dalam pasaran lain, 1 Series baru ini turut ditawarkan dengan enjin diesel serta enjin petrol tiga siliner 1.5 liter B38 (118i) yang mampu menghasilkan kuasa 140 PS (138 hp) dan 220 Nm tork. Transmisi boleh didapati dengan unit manual enam kelajuan atau automatik Steptronic lapan kelajuan.

    BMW M135i xDrive F40

     
     
  • Produksi Lamborghini Urus kini cecah 10,000 unit

    Produksi Lamborghini Urus kini cecah 10,000 unit

    Selepas dua tahun diperkenalkan dalam pasaran, ‘Super SUV’ dari Lamborgini iaitu Urus kini sudahpun mencapai angka produksi 10,000 unit. Kereta dengan nombor casis ke-10,000 berkenaan dihasilkan dalam warna Nero Noctis Matt, dilengkapi dengan pakej gentian karbon serta padanan kabin dua tona oren-hitam Ad Personam, dan akan terbang untuk pelanggan di Rusia.

    Pengenalan Urus dalam pasaran ini nyata memberikan impak besar kepada perniagaan Lamborghini. Pada 2019 iaitu tahun penuh pertama Urus dijual, ia telah menyumbangkan angka jualan sebanyak 4,962 unit. SUV ini dihasilkan pada barisan produksi khas yang dinamakan Manifattura Lamborghini dalam kilang di ibu pejabat jenama supercar Itali berkenaan, yang telah dibesarkan dari 80,000 kepada 160,000 meter persegi pada tahun 2017.

    Manifattura Lamborghini turut menampilkan model produksi baharu yang digelar Factory 4.0 Model sebagai penanda aras untuk perincian berdasarkan modulariti, fleksibiliti, dan juga mampu menghasilkan model dengan personalisasi yang maksimum.

    Produksi Lamborghini Urus kini cecah 10,000 unit

    Pada tahun 2019 juga satu fasiliti mengecat khas untuk Urus turut telah diwujudkan. Seperti barisan produksi, fasiliti untuk mengecat ini turut menggunakan konsep Factory Model 4.0, yang menampilkan pelbagai teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (A.I).

    SUV ditawarkan dalam pelbagai warna baharu pada Jun 2020 termasuk cat dua-tona dengan empat lapisan digelar Urus Pearl Capsule, serta warna-warna tradisi Lamborghini yang lain seperti Giallo Inti (kuning), Arancio Borealis (oren), and Verde Mantis (hijau), yang digabungkan dengan kemasan hitam berkilat pada bumbung, diffuser belakang, lip spoiler dan perincian lain.

     
     
  • ECRL dijangka beroperasi mulai Jan 2027 – MoF

    ECRL dijangka beroperasi mulai Jan 2027 – MoF

    Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri mengesahkan perkhidmatan kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mula beroperasi seawal 1 Januari 2027. Malah ia bakal dijadikan pemangkin pertumbuhan ekonomi wilayah itu serta negara bagi tempoh beberapa dekad akan datang.

    Tambahnya lagi, projek ECRL yang dijadualkan siap pada akhir 2026, akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang, laporan Bernama.

    “Projek ini juga dijangka mampu merancakkan perdagangan di antara Malaysia dan China. Adalah diharapkan projek ini yang turut membabitkan negara itu dapat membolehkan eksport komoditi negara, khususnya minyak, gas, kelapa sawit, getah dan produk pengilangan menembusi pasaran China secara lebih meluas,” katanya.

    ECRL dijangka beroperasi mulai Jan 2027 – MoF

    Abdul Rahim turut berkata apa yang menarik adalah ECRL berdasarkan landasan tolok piawaian berbanding rel berkembar sedia ada yang menggunakan tolok tiga meter.

    “Projek ECRL menggunakan saiz landasan tolok piawaian yang membolehkan pemasangan gerabak kereta api dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam. Tolok sedemikian boleh menggunakan tren laju sehingga melebihi 300 km sejam mengikut keperluan operator perkhidmatan,” katanya.

    Menurutnya, jarak landasan ECRL 2.0 sejauh 640 km itu telah dipendekkan berbanding laluan asal 688 km dengan jumlah stesen kereta api dikurangkan kepada 20 berbanding 26 sebelum ini. Malahan pengurangan jarak 48 kilometer itu juga dijangka dapat membantu mengurangkan kos sebanyak RM21.5 billion kepada RM44 bilion berbanding kos asal yang mencecah RM65.5 bilion.

     
     
  • Hyundai Kona Night Edition 2021 diperkenal di USA

    Hyundai Kona Night Edition 2021 diperkenal di USA

    Hyundai telah memilih pasaran Amerika Syarikat untuk memasarkan model Kona Night Edition 2021 yang dijangka dijual di negara Uncle Sam itu mulai September ini. Walau bagaimana pun, kereta dengan tema gelap ini hanya ditawarkan dengan unit terhad, tetapi Hyundai tidak mendedahkan jumlah sebenar berapa yang akan dibikinnya.

    Satu lagi perkara yang tidak didedahkan ialah berapa kos yang perlu dibayar oleh pelanggan yang ingin menempahnya – barisan Kona bermula dengan varian SE ditawarkan pada harga USD20,300 (RM86,315) dan meningkat hingga US$27,950 (RM118,843) untuk model spesifikasi tertinggi Ultimate.

    Night Edition ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa hingga 175 hp pada 5,500 rpm dan tork 264 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, dan larasan ini sama digunakan pada Limited dan Ultimate, tetapi tidak dipastkan adakan Night Edition juga akan ditawarkan dengan pacuan semua-roda mahu pun tidak.

    Semakan gaya yang dilakukan termasuklan gril yang dikelilingi tona hitam berbanding krom, malah kemasan krom juga telah disingkirkan dari lower rocker dan tailgate belakang. Tona hitam juga menjadi pilihan untuk perumah cermin sisi dan roda aluminium RAYS 18-inci baharu dengan kemasan separa berkilat.

    Di dalamnya, lebih banyak kemasan hitam jelas kelihatan di kebanyakan bahagian termasuk pemegang pintu dan suis pengunci sentral, sementara set pedal alumnium pula melengkapkan lagi gayanya. Pelanggan yang inginkan kemasan serba hitam bolehlah memilih warna luaran Ultra Black, tetapi pengeluar kereta ini turut menawarkan tona Galactic Grey (seperti dalam foto) dan juga Chalk White sebagai alternatif.

     
     
  • Yamaha MT-15 edisi terhad dilancarkan di Thailand

    Yamaha MT-15 edisi terhad dilancarkan di Thailand

    Bersempena dengan acara Bangkok International Motor Show yang sedang berlangsung sekarang di Thailand, Yamaha telah melancarkan model MT-15 edisi terhad yang dijual pada harga 98,500 baht (RM13,230). Harga ini masih adalah sama seperti MT-15 yang dilancarkan sebelum ini di sana.

    Walaupun dinamakan sebagai sebuah model edisi terhad, Yamaha tidak menyatakan berapa unit yang akan dikeluarkan dan keistimewaannya cuma pada penampilan. MT-15 edisi terhad 2020 ini menggunakan warna hijau terang, dengan rim kuning fluoroscent dan fork warna emas.

    Ciri-ciri lain pada motosikal ini masih tidak berubah, dan ia masih lagi dikuasakan oleh enjin satu silinder SOHC, suntikan bahan api, 155 cc dengan sistem VVA, bersama gabungan transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Pada bahagian depan, MT-15 menggunakan fork jenis USD manakala di belakang pula adalah monoshock. Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala rim pula adalah 17 inci dengan tayar saiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Perincian lain MT-15 adalah termasuk tangki 10 liter, meter digital, berat 133 kg dan lampu depan dan belakang LED.

    Pasaran Malaysia tidak menerima MT-15 ini sementara di Indonesia, harganya adalah 36.93 juta Rupiah (RM10,765), iaitu lebih tinggi sedikit daripada R15 yang dijual pada harga 36.08 juta Rupiah (RM10,517).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025