Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz EaseProtect Financing — pelan khas pembiayaan dengan manfaat dan perlindungan penuh

    Mercedes-Benz EaseProtect Financing — pelan khas pembiayaan dengan manfaat dan perlindungan penuh

    Jika anda selalu terbayang untuk memiliki sebuah kereta Mercedes-Benz baru, membiayai impian itu kini jadi lebih menarik berbanding dahulu dengan pengenalan EaseProtect Financing, sebuah program baru yang menyeluruh khusus ditawarkan oleh Mercedes-Benz Financial untuk menawarkan nilai terbaik, manfaat penuh serta ketenangan fikiran.

    Tidak seperti pelan pembiayaan biasa yang lain, EaseProtect Financing mempunyai skop yang lebih luas, dan menawarkan lebih banyak perkara berbanding Agility Financing yang sudah sedia mengkagumkan sebelum ini, dengan tambahan hanya sedikit kos bagi setiap bulan.

    Seperti Agility Financing, pelan pembiayaan baru ini menawarkan ansuran bulanan yang lebih rendah berbanding kadar pinjaman sewa-beli konvensional serta pilihan di hujung perjanjian yang lebih fleksibel dengan nilai semasa kenderaan yang dijamin. Ini bermaksud, nilai kenderaan akan kekal pada jumlah yang dipersetujui ketika di awal perjanjian dibuat.

    Mercedes-Benz EaseProtect Financing — pelan khas pembiayaan dengan manfaat dan perlindungan penuh

    EaseProtect Financing menjadi tambahan kepada apa yang telah ditawarkan oleh Agility Financing dengan kelebihan lain dari sudut keselamatan dan perlindungan. Dengan EaseProtect Financing, anda akan menerima insurans kenderaan komprehensif serta servis gantian tayar dan rim bagi tahun pertama pemilikan.

    Penggantian tayar dan rim terbabit menyediakan perlindungan terhadap kerosakan tidak sengaja kepada tayar dan juga rim yang disebabkan oleh serpihan di permukaan jalan atau tembok pembahagi, yang melepaskan anda daripada terpaksa membayar sendiri barangan yang menelan kos tinggi ini sekiranya ada keperluan.

    Turut termasuk di dalam EaseProtect Financing ialah pelan StarProtect Plus, yang memberi perlindungan sekiranya ada keperluan untuk membaiki Mercedes-Benz anda disebabkan perkara-perkara tidak dijangka. Manfaatnya termasuk pengeluaran segera bagi polisi dan kelulusan tuntutan yang pantas, dengan jumlah tuntutan sehingga RM30,000 akan diluluskan secara dalam talian untuk membolehkan baik pulih dilakukan segera.

    Mercedes-Benz EaseProtect Financing — pelan khas pembiayaan dengan manfaat dan perlindungan penuh

    Kelebihan lain termasuk pemansuhan caj excess/betterment, gantian nir tunai bagi tuntutan cermin depan serta penggunaan alat ganti tulen untuk untuk menjadikan kenderaan sama seperti baru. Servis menunda dan kerosakan turut termasuk dalam perlindungan.

    Tidak lupa juga adanya MobilityPlus, yang menjamin penggantian kereta sekiranya Mercedes-Benz anda perlu berada di bengkel sah melebihi 48 jam atau lebih berkaitan servis dan penyelenggaraan, tuntutan jaminan atau baik pulih kemalangan.

    Mercedes-Benz EaseProtect Financing — pelan khas pembiayaan dengan manfaat dan perlindungan penuh

    Program berkenaan menawarkan jaminan penggantian kenderaan Mercedes-Benz untuk kegunaan anda tanpa sebarang pertanyaan sepanjang tempoh kereta anda di baik pulih atau diservis. MobilityPlus menawarkan perlindungan seluruh negara dan membolehkan penggunaan kenderaan ganti tersebut untuk tempoh 20 hari dalam setahun.

    Jika ini kedengaran seperti sebuah tawaran yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, memang betul. Ia merupakan pelan pembiayaan yang patut anda ambil untuk kereta Mercedes-Benz yang diimpikan. Daftar minat anda di sini. Selain itu, anda boleh juga menghubungi talian Mercedes-Benz Customer Care di 1-800-88-1133 atau bercakap dengan eksekutif kewangan dan insurans kami di Mercedes-Benz Autohaus berdekatan anda.

     
     
  • Toyota Vios facelift 2020 – teaser disiarkan di Filipina

    Toyota Vios facelift 2020 – teaser disiarkan di Filipina

    Toyota Vios yang berada dalam pasaran sekarang pertama kali diperkenalkan kepada pasaran tiga tahun lepas, iaitu di Thailand sebagai Yaris Ativ. Kini, masa untuk penyegaran semula sudah tiba dan nampaknya pengedar Toyota di Filipina telah mendedahkan teaser model facelift yang akan dilancarkan pada 25 Julai ini.

    Gambar yang menunjukkan bahagian depan ini mengesahkan bahawa bampar model sekarang yang agak berserabut di tengah tidak akan digunakan lagi. Ia akan diganti dengan rekaan baru lebih kemas yang menggunakan warna sama seperti gril di atas dan seakan bersambung terus. Di hujung bampar pula terdapat bukaan udara menegak (berkemungkinan sekadar hiasan).

    Toyota Vios facelift 2020 – teaser disiarkan di Filipina

    Model facelift ini juga menyaksikan Vios bakal menerima lampu utama reflector LED yang menggantikan unit projector halogen sebelum ini. Lampu siang pula menggunakan bentuk L yang duduk di dalam unit utama, dan tiada lagi satu jalur berasingan untuk DRL. Seperti biasa bagi model facelift, bahagian belakang dan kemasan dalam juga mungkin diubah sedikit.

    Enjin pula dijangka masih lagi sama seperti sekarang. Dalam pasaran kita, Vios dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE yang digabungkan bersama transmisi CVT dan mampu menghasilkan kuasa 107 PS dan 140 Nm tork.

     
     
  • Jaguar Land Rover bangunkan skrin sesentuh ‘tanpa sentuhan’ – elak penularan virus, mudahkan pengguna

    Jaguar Land Rover bangunkan skrin sesentuh ‘tanpa sentuhan’ – elak penularan virus, mudahkan pengguna

    Dari sudut negatif, pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelbagai industri di seluruh seluruh dunia terjejas termasuk industri automotif. Namun ada juga sudut positif dari pandemik ini khususnya dari segi inovasi – jika Geely menghasilkan penapis udara kabin dengan standard turasan N95 (Proton juga telah menggunakannya), Jaguar Land Rover (JLR) pula kini tampil dengan teknologi skrin sesentuh yang boleh beroperasi tanpa sentuhan.

    JLR membangunkan teknologi ini bersama Universiti Cambridge, dan telah dipatenkan dengan nama “Predictive Touch,” dihasilkan dengan tujuan bagi mengelakkan penyebaran bakteria dan virus menerusi permukaan skrin tersebut. Teknologi ini dihasilkan berasaskan kecerdasan buatan (A.I), serta menggunakan penderia bagi meramal apa yang mahu dipilih oleh pengguna pada skrin berkenaan.

    Ini membolehkan pengguna mengoperasikan semua fungsi pada skrin sesentuh tersebut seperti sistem navigasi, penghawa dingin dan juga larasan sistem hiburan tanpa sebarang sentuhan fizikal. Lebih spesifik, sistem ini sebenarnya menggunakan A.I bagi mengenalpasti pilihan yang mahu dibuat oleh pengguna lebih awal sebelum jari tiba berdekatan dengan skrin.

    A.I juga akan menggunakan maklumat dari pengesan gestur yang berfungsi berasaskan penderia visi atau frekuensi radio, informasi konteks yang digabungkan seperti profil pengguna, rekaan antaramuka dan keadaan sekeliling bersama data yang diterima dari penderia lain seperti pengesan pandangan mata, bagi membantu ketepatan dalam masa sebenar.

    Selain dari mengelakkan penularan wabak, sistem ini sebenarnya turut dapat memudahkan interaksi pemandu terhadap skrin dan menjimatkan masa sebanyak 50%. Ia juga akan memudahkan pengguna menggunakan skrin sesentuh ini pada laluan yang tidak rata.

    Teknologi Predictive Touch ini merupakan salah satu visi dalam Destination Zero JLR, iaitu visi bagi menghasilkan kenderaan lebih selamat dan juga persekitaran yang lebih bersih dan sihat. Visi ini turut menyenaraikan teknologi lagi dalam JLR seperti Pemantau Keadaan Pemandu, mengurangkan bunyi enjin dan juga ionisasi udara kabin dengan turasan PM2.5.

    “Seiring dengan kebanyakkan negara dalam dunia sedang keluar dari kawalan pergerakan, kami sedar berapa banyak transaksi yang dibuat oleh konsumer menggunakan skrin sesentuh: tiket tren dan panggung wayang, mesim ATM, daftar masuk lapangan terbang dan juga daftar keluar layan diri di pasaraya, serta aplikasi perindustrian dan pembuatan,” kata pakar teknikal antaramuka mesin manusia di JLR, Lee Skrypchuk.

    “Teknologi Predictive Touch ini akan menyisihkan keperluan untuk menyentuh paparan interaktif dan akan mengurangkan risiko penularan bakteria atau virus pada permukaan. Teknologi ini juga menawarkan kami peluang untuk menjadikan kenderaan lebih selamat dengan mengurangkan beban kognitif pada pemandu dan meningkatkan jumlah masa mereka bagi menumpukan pada pemanduan, Ini merupakan perkara utama dalam perjalanan Destination Zero kami,” tambahnya lagi.

    “Skrin sesentuh dan paparan interaktif lain merupakan sesuatu yang kebanyakkan orang menggunakannya banyak kali setiap hari, tetapi ia akan menjadi sukar untuk digunakan ketika bergerak, sama ada sedang memandu atau menukar lagu pada telefon pintar anda ketika berlari. Kami juga tahu patogen tertentu boleh merebak melalui permukaan, jadi teknologi ini boleh membantu mengurangkan risiko untuk penularan jenis tersebut,” kata Simon Godsill dari Jabatan Kejuruteraan Universiti Cambridge.

     
     
  • Kerajaan sedang susun semula pelan tindakan bagi pelaksanaan Dasar Automotif Nasional 2020 – Azmin

    Kerajaan sedang susun semula pelan tindakan bagi pelaksanaan Dasar Automotif Nasional 2020 – Azmin

    Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan kerajaan sedang menyusun semula pelan tindakan dalam melaksanakan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

    Menurut beliau, langkah itu bertujuan menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju, laporan Berita Harian.

    “Langkah ini akan dapat membantu menyegerakan pemulihan sektor automotif negara melalui galakan pelaburan dalam segmen kenderaan berteknologi tinggi dan mesra alam sekitar.

    “Ia turut merangkumi pembangunan tenaga mahir tempatan, peningkatan aktiviti pembuatan bernilai tinggi, terutama bagi produk pasaran lepas jualan dan mengaplikasikan teknologi termaju dalam rantaian bekalan automotif,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

    Beliau menjawab soalan Ong Kian Ming (PH-Bangi) mengenai anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk sektor automotif pada tahun ini, selain langkah yang akan diambil kerajaan untuk memberikan bantuan dan insentif bersasar kepada industri.

    Azmin turut berkata, menerusi perangkaan dikeluarkan Persatuan Pemasangan dan Pengedaran Skuter, Motosikal Malaysia (MASAAM), tiada sebarang transaksi jualan motosikal direkodkan pada April lalu. Bagaimanapun, penjualan motosikal kembali mencatatkan transaksi, masing-masing sebanyak 19,507 unit pada Mei dan 42,190 unit pada bulan lalu.

     
     
  • Mazda kembali beroperasi seperti biasa mulai Ogos

    Mazda kembali beroperasi seperti biasa mulai Ogos

    Mazda telah membuat keputusan untuk kembali beroperasi seperti biasa pada Ogos ini. Menurut pengeluar kereta ini, kilang pengeluaran yang terlibat termasuk di Jepun, Mexico dan Thailand akan memulakan operasi seperti biasa, dan “semua penyesuaian tata kerja yang diimplementasikan susulan pandemik COVID-19 akan ditamatkan pada akhir Julai 2020,” ujar kenyataan yang dihantar.

    Untuk operasi di Jepun, kerja lebih masa (overtime) dan kerja pada waktu cuti juga akan dikembalikan. Malah kilang di Ujina, Hiroshima dan kilang Hofu di Yamaguchi juga akan beroperasi sekali ganda untuk waktu bekerja, dengan tiada penggantungan operasi di kesemua empat kilang yang ada. “Hampir kesemua” wakil pengedar di seluruh dunia, termasuk di Eropah, telah pun kembali beroperasi semula, ujar Mazda.

    Mazda telah kembali beroperasi seperti biasa sejak Jun lalu, dengan kilang pengeluaran Ujina dan Hofu yang beroperasi pada waktu siang sahaja. Wabak pandemik COVID-19 telah memberikan impak yang teruk terhadap kebanyakan syarikat pengeluar, malah Mazda sendiri memerlukan 300 bilion yen (RM12.1 bilion) bagi bantuan kewangan dari tiga bank besar di Jepun.

    Pengeluar kereta yang berpusat di Hiroshima ini mengalami penyusutan jualan sebanyak 14% pada Februari dan 33% pada Mac, di mana jenama ini telah berhadapan dengan saat yang sukar sebelum pandemik ini makin hebat menular. Pada November lalu, keuntungan operasi untuk tahun kewangan berakhir pada Mac adalah sekitar 60 bilion yen (RM2.4 bilion), menyusut sebanyak 27% berbanding tahun sebelum ini.

    Bukan setakat Mazda, kebanyakan pengeluar kereta lain juga berhadapan dengan masalah yang sama, malah turut memohon bantuan kewangan untuk terus bertahan dalam industri automotif global. Antaranya, Toyota yang memohon bantuan kewangan sebanyak 1 trilion yen, atau RM40.4 bilion, begitu juga dengan Nissan (500 bilion yen, atau RM20.2 bilion), General Motors (US$16 bilion, atau RM69.4 bilion) dan Ford (US$15.4 bilion, atau RM66.8 bilion).

     
     
  • Tidak memakai facemask boleh dipenjara atau denda RM1,000 jika dikuatkuasakan – Dr Noor Hisham

    Tidak memakai <em>facemask</em> boleh dipenjara atau denda RM1,000 jika dikuatkuasakan – Dr Noor Hisham

    Beberapa hari ini statistik kes positif COVID-19 dilihat menunjukkan peningkatan. Setakat 22 Julai 2020, sejumlah 16 kes baharu positif COVID-19 direkodkan (termasuk 8 kes tempatan dan dua lagi kluster baharu), menjadikan jumlah kumulatif kini mencecah 8831 kes.

    Dan pastinya peningkatan kes ini telah mengundang kebimbangan, malah dalam perutusan terbaharunya pada Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyuarakan kerisauan beliau apabila dilihat semakin ramai rakyat Malaysia kurang mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian pandemik ini. Ini termasuklah semakin ramai yang berani berada di tempat awam tanpa memakai pelitup separuh muka atau facemask.

    Perdana Menteri berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian facemask di tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir, serta perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

    Susulan kenyataan tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata, kerajaan masih melihat kepada tindakan denda atau penjara sekiranya orang ramai tidak memakai facemask. Walau bagaimana pun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengesyorkan pemakaian, kerana ia dapat memutuskan rantaian jangkitan sehingga 65%.

    Tidak memakai <em>facemask</em> boleh dipenjara atau denda RM1,000 jika dikuatkuasakan – Dr Noor Hisham

    Katanya, pemakaian facemask belum diwajibkan kerana jika ia diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang gagal memakainya boleh dikenakan denda atau penjara.

    “Sekarang ialah isu kalau mewajibkan (pemakaian) apakah kita akan mengenakan denda RM1,000 kepada mereka yang tidak pakai di tempat awam ataupun penjara. Itu sedang diteliti sebelum kita laksanakan mewajibkan pemakaian facemask,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Dr Noor Hisham berkata dua kaedah dapat mencegah penularan COVID-19 iaitu pemakaian facemask dan jarakan sosial yang dapat memutuskan rantaian sehingga 70%.

    “Sekarang ialah isu kalau mewajibkan (pemakaian) apakah kita akan mengenakan denda RM1,000 kepada mereka yang tidak pakai di tempat awam ataupun penjara. Itu sedang diteliti sebelum kita laksanakan mewajibkan pemakaian facemask,” katanya sambil mengulangi gesaan supaya orang ramai memakai pelitup separuh muka dengan cara yang betul.

    Tidak memakai <em>facemask</em> boleh dipenjara atau denda RM1,000 jika dikuatkuasakan – Dr Noor Hisham

    Beliau berkata pemakaian facemask merupakan satu kaedah pencegahan yang penting bagi mengelak penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

    “Ia boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti, atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain,” tegasnya.

    Tambahnya, facemask perlu menutupi ruang hidung sehingga dagu manakala pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ia tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian daripada hidung dan mulut, adalah tidak bertepatan dan sebaliknya membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

    “Orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai latar belakang penyakit-penyakit kronik, terutama di kawasan jangkitan COVID-19 berlaku serta jarakan sosial sukar diamalkan perlu menggunakan surgical 3-ply mask,” katanya.

    Menurut beliau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesyorkan non-medical masks jenis fabrik dengan tiga lapisan iaitu lapisan dalam bersifat menyerap air (hidrofilik) dan lapisan luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik) yang boleh mengehadkan pencemaran dari luar daripada menembus masuk ke hidung dan mulut pemakai.

    “Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair. Kementerian Kesihatan turut mengingatkan bahawa facemask bukan perubatan, bukanlah satu alat perubatan mahupun alat pelindung diri,” katanya.

    Selain itu, beliau menegaskan facemask bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, bagi mereka yang sukar bernafas, dan individu yang tidak sedarkan diri, tidak atau kurang berupaya, dan mereka yang tidak dapat menanggalkan pelitup separuh muka tanpa bantuan.

    Dr Noor Hisham berkata KKM sangat menggalakkan pemakaian pelitup separuh muka terutamanya di kawasan awam dan berisiko tinggi jika jarakan sosial sukar diamalkan.

     
     
  • Jalan Klang-Banting mendap akibat hujan lebat dan projek LRT3, perlu masa seminggu untuk diperbaiki

    Jalan Klang-Banting mendap akibat hujan lebat dan projek LRT3, perlu masa seminggu untuk diperbaiki

    Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengumumkan kerosakan yang berlaku di Jalan Klang-Banting berdekatan Johan Setia bakal mengambil masa sekitar seminggu untuk diperbaiki semula, menurut laporan Bernama.

    Beliau menjelaskan, antara punca berlakunya kejadian itu adalah berikutan hujan lebat yang kerap dalam tempoh satu hingga dua minggu lepas selain tekanan daripada mesin-mesin projek LRT3 menyebabkan tanah tersebut menjadi lembut dan akhirnya mendap.

    “Mendapan tanah juga dilihat agak serius dan memberi kesan kepada lalu lintas. Kejadian tanah mendap ini juga menyebabkan paip (dalam tanah) pecah dan menjejaskan penyaluran bekalan air terhadap kira-kira 14,000 pengguna di sekitar kawasan ini,” katanya.

    Jalan Klang-Banting mendap akibat hujan lebat dan projek LRT3, perlu masa seminggu untuk diperbaiki

    Menurutnya lagi, beliau mewakili Prasarana turut memohon maaf kepada penduduk setempat atas kejadian berkenaan dan menjelaskan segala kos membaik pulih jalan raya serta paip air akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut.

    Prasarana melalui kontraktor projek LRT3, MRCB George Kent Sdn Bhd akan melaksanakan kajian terhadap tanah terutama di kawasan berdekatan Jalan Klang-Banting bagi memastikan pembinaan kemudahan awam itu dapat diteruskan dengan selamat.

    Dalam perkembangan sama, Air Selangor mengeluarkan kenyataan bahawa kerja-kerja pembaikan paip air di kawasan tersebut akan siap pada pukul 6 petang ini, manakala bekalan air akan pulih sepenuhnya pada pukul 6 pagi esok.

     
     
  • Toyota Corolla Sedan GR Sport – model lebih sporty untuk pasaran Eropah, tanpa sebarang talaan prestasi

    Toyota Corolla Sedan GR Sport – model lebih sporty untuk pasaran Eropah, tanpa sebarang talaan prestasi

    Selepas Thailand dan Taiwan menerima Corolla Altis GR Sport – masing-masing dengan rekaan tersendiri -, kini pasaran Eropah pula menerima Corolla Sedan versi GR Sport. Seperti ditawarkan pada versi hatchback yang mula diperkenalkan di Geneva tahun lalu, Corolla Sedan GR Sport ini tampil dengan rupa lebih sporty, tanpa sebarang peningkatan prestasi.

    Model pasaran Eropah ini menampilkan satu lagi rupa berbeza dari versi-versi dari GR Sport Altis tadi. Ia diberikan perincian-perincian lebih sporty yang menimalis tanpa sebarang kit aero tambahan. Bagi memberikan rupa lebih garang, kemasan-kemasan krom di bahagian seperti gril atas kemasan lampu kabus berbentuk-C, sekeliling tingkap pintu, skirt sisi dan juga perumah nombor plat belakang telah ditukar kepada hitam.

    Kemudian, penutup cermin sisi bumbung juga diberikan cat hitam. Rupa luaran Corolla GR Sport ini dilengkapkan dengan pemadanan rim 17-inci 10-jejari kemasan hitam-aloi digilap. Pembeli turut ditawarkan dengan opsyen rim bersaiz 18-inci tetapi dengan rekaan yang sama. Model GR Sport ini ditawarkan dalam lapan warna termasuk warna baharu Dynamic Grey, namun hanya tujuh daripadanya (termasuk Dynamic Grey) hadir dengan bumbung berwarna hitam.

    Toyota Corolla Sedan GR Sport – model lebih sporty untuk pasaran Eropah, tanpa sebarang talaan prestasi

    Bahagian Corolla Sedan GR Sport ini juga diberikan perincian yang sederhana, menampilkan pelapik bumbung dan roda stereng balutan kulit berliang dalam kemasan hitam. Tempat duduk hadapan juga telah ditukar dengan unit yang lebih sporty dan keseluruhan upholsteri kerusi menerima balutan kulit sintetik berwarna hitam serta serlahan benang merah-putih, mewakili warna rasmi Toyota Gazoo Racing.

    Selain itu, Corolla ini juga menerima scuff plate dengan logo GR dan turut ditawarkan lampu-lampu LED pada bahagian luar dan suasana dalam kabin sebagai ciri opsyen. Seperti yang disebutkan tadi, tiada sebarang tingkat taraf diberikan sama ada pada janakuasa mahupun pengendalian. Oleh itu tiada sebarang talaan semula dibuat pada enjin, transmisi mahupun suspensi.

    Toyota Corolla Sedan GR Sport pasaran Eropah ini hadir dengan dua pilihan enjin iaitu versi 1.6 liter petrol NA digandingkan dengan kotak gear CVT, dan juga versi hibrid petrol elektrik dengan enjin 1.8 liter menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS. Produksi model ini akan bermula November nanti, dan dijangka akan mula dijual pada Januari 2021.

     
     
  • KTM 450 Rally Replica 2020 – hanya 85 unit, RM127k

    KTM 450 Rally Replica 2020 – hanya 85 unit, RM127k

    Jika anda mahukan sebuah motosikal lasak dengan pengubah suaian yang dilakukan sendiri oleh pengeluarnya, KTM telah menyediakan 450 Rally Replica 2020. Ia hanya akan dihasilkan sebanyak 85 unit untuk seluruh dunia, dan dijual pada harga 25,900 euro (RM127,125).

    Harga ini mungkin dianggap agak tinggi bagi sebuah jentera offroad, tapi anda perlu mengambil kira semua ubah suai serta komponen yang dipasang pada motosikal ini dipilih sendiri oleh pelumba Red Bull KTM Factory Racing dari pelbagai latar belakang termasuk Matthias Walker, Sam Walker dan juara Rali Dakar 2019, Toby Price.

    Enjin pada model edisi terhad ini menggunakan unit satu silinder 450 cc, dan dipasang pada kerangka yang digunakan oleh KTM dalam perlumbaan. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan suspensi hadapan WP XACT Pro dan penghadang angin tinggi seperti jentera perlumbaan enduro.

    KTM 450 Rally Replica 2020 – hanya 85 unit, RM127k

    Kotak gear model ini turut dipertingkat, dengan input daripada pakar gear yang sudah lama bekerja dengan KTM dalam dunia perlumbaan iaitu Pankl. Mekanikal penukaran gear dinaik taraf sementara nisbah gear pula lebih menyamai jentera yang digunakan dalam perlumbaan Rali Dakar.

    Satu lagi tangki bahan api ditambah pada bahagian belakang motosikal ini untuk menjadikan kapasiti keseluruhannya 33 liter (tangki asal 17 liter) manakala ekzos pula dipasang terus dengan unit Akrapovic.

     
     
  • Royal Enfield MJR Roach – Himalayan yang diubah suai dengan inspirasi permainan video, enjin turbo

    Royal Enfield MJR Roach – Himalayan yang diubah suai dengan inspirasi permainan video, enjin turbo

    Royal Enfield sekarang ini kerap mengiktiraf kerja-kerja ubah suai yang dilakukan pada motosikal mereka dan banyak pembina yang menggemari model keluaran syarikat berasal dari UK ini kerana ia ringkas dan memberikan platform permulaan yang bagus.

    Antara yang terbaru didedahkan oleh Royal Enfield adalah MJR Roach ini, yang menggunakan asas daripada model jelajah Himalayan. Istimewanya bagi motosikal kustom ini, ia dihasilkan sendiri oleh pekerja di pusat teknikal Royal Enfield di UK.

    Bukan setakat itu, motosikal yang menggabungkan inspirasi daripada pelbagai sumber filem dan permainan video seperti Mad Max, Grand Theft Auto dan Fortnite ini turut menggunakan barang-barang lebihan yang berada dalam stor serta studio mereka.

    Ubah suai paling ketara yang boleh dilihat adalah lengan ayun jenis single sided yang lebih panjang dan dipadankan bersama suspensi asal Himalayan yang direndahkan. Kemudiannya di bahagian hadapan, lampu bulat asal diganti dengan empat lampu jenis projector yang menjadikan rupa motosikal ini lebih pelik.

    Jika anda menyangka ubah suai ini hanya melibatkan penampilan, anda sudah tersilap. Lihat di bahagian muncung ekzosnya dan anda boleh melihat satu lagi ubah suai penting – terdapat pengecas turbo di situ. Unit Garrett GT125 ini mampu memberikan tambahan lonjakan kuasa kepada enjin asal Himalayan yang berkapasiti 411 cc.

    Perubahan lain yang dibuat adalah seperti pemegang Renthal Fatbar, fork daripada motocross, tali payung terjun yang digunakan untuk mengikat tangki, tambahan meter boost pada panel instrumen, tayar Continental TKC80, penapis udara K&N serta pam minyak yang dinaik taraf.

     
     
  • MINI Countryman John Cooper Works F60 facelift – gaya dan kelengkapan diperbaharui, kuasa 306 PS

    MINI Countryman John Cooper Works F60 facelift – gaya dan kelengkapan diperbaharui, kuasa 306 PS

    Selepas MINI Countryman F60 facelift diperkenalkan untuk pasaran Mei lalu, syarikat itu kini mendedahkan pula versi prestasi John Cooper Works yang akan mula dijual dalam pasaran tertentu bermula November ini.

    Untuk penggeraknya, Countryman JCW ini masih lagi mengekalkan enjin sama seperti sebelum ini, iaitu unit B48 petrol empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 306 PS (302 hp) dan 450 Nm tork. Ini juga adalah enjin sama seperti yang digunakan pada BMW X2 M35i F39.

    Prestasi model ini juga masih lagi sama, di mana ia mencatat masa 5.1 saat untuk memecut 0-100 km/j dan mampu mencecah laju maksimum 250 km/j. Transmisi yang diberi adalah unit automatik Steptronic lapan kelajuan dengan sistem pacuan semua roda ALL4 dan pengunci differential mekanikal pada gandar hadapan.

    MINI Countryman John Cooper Works F60 facelift – gaya dan kelengkapan diperbaharui, kuasa 306 PS

    Pelanggan masih boleh mendapatkan model ini dengan casis adaptif seperti sebelum ini, di mana casis sport asal dinaik taraf satu lagi tahap – 10 mm lebih rendah berbanding versi bukan JCW. Sistem brek terdiri daripada cakera 360 mm dan angkup empat piston berwarna Chili Red di hadapan, serta cakera 330 mm dan angkup satu piston di belakang.

    Perubahan gaya kebanyakannya diambil sama seperti model Countryman facelift (bukan JCW), termasuk gril hadapan yang direka semula, lampu utama LED biasa (boleh dinaik taraf kepada unit adaptif) dan grafik Union Jack pada lampu belakang LED.

    Bampar hadapan khas untuk model Countryman JCW ini kelihatan masih sama seperti model sebelumnya, tetapi bampar belakang adalah serba baru. Antara bahagian yang diubah adalah seperti pemantul cahaya, yang sekarang lebih dekat kepada bucu, sementara di bahagian tengah, antara dua muncung ekzosnya terdapat jaring heksagon.

    Dua pilihan warna baru disediakan untuk Countryman JCW ini iaitu White Silver dan Sage Green, bersama dengan pakej luaran Piano Black yang memberikan kemasan hitam berkilat pada keliling lampu hadapan, lampu belakang, gril, pemegang pintu serta lencana pada tailgate belakang.

    Bahagian dalam juga diberikan kemasan berwarna terang pada papan pemuka, sementara panel instrumen digital lima inci baru disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut ditawarkan adalah sistem infotainmen Connected Media yang termasuk skrin sesentuh 8.8 inci serta panel kawalan sensitif sentuhan (sebelum ini menggunakan butang biasa).

    Kad SIM yang dipasang pada sistem kenderaan ini memastikan ia boleh sentiasa berada atas talian dan memberikan akses kepada pelbagai servis digital dengan pilihan Navigation Plus, termasuk data trafik masa sebenar, MINI Online Internet Portal, Apple CarPlay dan Amazon Alexa.

     
     
  • Ford Mustang Mach-E 1400 – 1,419 PS dari 7 motor elektrik; boleh drift, drag, gymkhana & lumba litar!

    Ford Mustang Mach-E 1400 – 1,419 PS dari 7 motor elektrik; boleh drift, drag, gymkhana & lumba litar!

    All-Electric Mustang Mach-E 1400 Prototype

    Ford Mustang Mach-E mungkin dipandang sinis oleh sebahagian orang yang masih belum boleh menerima sebuah Mustang dalam bentuk SUV tanpa sebarang bunyi dari enjin V8 atau EcoBoost empat-silinder kerana ia digerak dengan motor elektrik sepenuhnya. Namun model prototaip Ford Mustang Mach-E 1400 ini mungkin boleh mengubah persepsi tersebut kerana ia mempunyai bekalan kuasa lebih dari 1,400 PS!

    Versi yang jauh lebih gila ini dibangunkan oleh sayap perlumbaan rasmi Ford iaitu Ford Performance dan juga satu lagi jenama penala Ford yang diasaskan oleh drifter serta juara Formula D, Vaughn Gittin Jr., RTR Vehicles. Ia dihasilkan selama 10,000 jam bagi menunjukkan potensi yang ada Mustang Mach-E berkenaan sebagai sebuah kenderaan yang seronok.

    Ford Mustang Mach-E 1400 ini digerakkan dengan tujuh motor elektrik, atau lima buah lebih banyak dari satu lagi prototaip Mustang elektrik mereka iaitu Mustang Cobra Jet 1400 yang dihasilkan untuk perlumbaan drag. Tiga buah motor elektrik diletakkan pada gandar hadapan, manakala empat lagi untuk gandar belakang, keseluruhannya menghasilkan 1,419 PS!

    Ford Mustang Mach-E 1400 – 1,419 PS dari 7 motor elektrik; boleh drift, drag, gymkhana & lumba litar!

    All-Electric Mustang Mach-E 1400 Prototype

    Motor-motor elektrik tersebut disusun seperti pankek, dan kuasa dialirkan ke unit differential setiap gandar menerusi satu driveshaft tunggal. Ini membolehkan Mustang Mach E 1400 tersebut bergerak dalam konfigurasi pacuan hadapan, pacuan belakang, mahupun pacuan semua roda.

    Jadi, Mach E 1400 boleh dijadikan mesin perlumbaan dalam pelbagai disiplin termasuk pemanduan dalam litar, drag, drift mahupun gymkhana dengan hanya mengubah corak penghantaran tork antara roda hadapan dan belakang, serta kelengkapan suspensi dan stereng pada bahagian hadapan.

    Bagi membekalkan kuasa, Mustang Mach-E 1400 ini dilengkapkan dengan bateri sel kobalt mangan nikel 56.8 kWj bagi memberikan prestasi tinggi dan juga kadar discaj yang tinggi. Bateri tersebut juga diberikan sistem penyejuk ketika di caj, membolehkan proses caj dijalankan dengan cepat dibuat sebelum ia beraksi semula.

    Ford Mustang Mach-E 1400 – 1,419 PS dari 7 motor elektrik; boleh drift, drag, gymkhana & lumba litar!

    All-Electric Mustang Mach-E 1400 Prototype

    Jentera ini juga diberikan booster brek elektronik yang bersepadu bagi membolehkan sistem regenerative braking berfungsi secara berulang kali, dan digabungkan dengan sistem ABS serta kawalan kestabilan bagi mengoptimakan sistem brek secara keseluruhan.

    Ia juga diberikan cakera dan angkup brek dari Brembo sama seperti jentera lumba sebenar Ford Mustang GT4, serta sistem brek tangan hidraulik yang direka untuk aksi drift di mana ia akan mematikan kuasa pada motor elektrik gandar belakang, seolah-olah pemandu menggunakan brek tangan tersebut sambil menekan pedal klac pada kereta drift berkuasa petrol.

    Model prototaip ini juga diberikan kelengkapan aerodinamik yang begitu agresif terdiri dari pelbagai spliter udara, spoiler gergasi dan juga pengalir-pengalir udara untuk penyejukan. Ford Performance mensasarkan lebih 1,000 kg downforce dapat dihasilkan pada kelajuan 257 km/j.

    Ford Mustang Mach-E 1400 ini akan membuat kemunculan sulungnya pada perlumbaan NASCAR tidak lama lagi. Ia juga dihasilkan sebagai platform untuk ujian bagi pelbagai material baharu. Misalnya penutup hud hadapan kereta ini dihasilkan dari gentian komposit organik, iaitu bahan alternatif ringan bagi menggantikan gentian karbon biasa.

     
     
  • Petronas AutoExpert beri diskaun 50% bagi penukaran minyak enjin untuk barisan hadapan Covid-19

    Petronas AutoExpert menganjurkan kempen tawaran menarik bagi servis penukaran minyak enjin kenderaan yang diberikan khas untuk barisan hadapan (frontliner) Covid-19 sebagai tanda penghargaan.

    Pusat servis yang ditubuhkan oleh Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) ini menawarkan diskaun sehingga 50% (mengikut terma dan syarat) untuk pakej penukaran minyak enjin menggunakan Petronas Syntium sintetik penuh, separa sintetik dan minyak mineral. Barisan hadapan ini terdiri daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.

    “Susulan kejayaan program tanggungjawab sosial korporat yang kami laksanakan pada Mei lalu, kami di PLMM bersama dengan rakan perniagaan dari Petronas AutoExpert, meneruskan promosi program CSR untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh para barisan hadapan. Ini merupakan sumbangan kecil kami untuk membalas pengorbanan mereka,” kata Hardeep Singh, CEO PLMM.

    Promosi ini sedang berlangsung sekarang hingga 30 Oktober 2020, atau sementara stok masih ada. Petugas barisan hadapan yang ingin menempah slot masing-masing bolehlah menghubungi cawangan
    Petronas AutoExpert – Shah Alam (018-242 4680), Seri Kembangan (019-272 6262), Sri Manja (016-318 3155), Sri Batu Caves (016-350 4752), Semenyih (017-266 5449), Kajang (014-668 8387), Bandar Bukit Raja (012-904 4584) dan Glenmarie (017-321 5585).

     
     
  • Honda BR-V 2020 – lebih 1,400 tempahan diterima untuk bulan pertama di M’sia; 85% melibatkan varian V

    Honda BR-V 2020 – lebih 1,400 tempahan diterima untuk bulan pertama di M’sia; 85% melibatkan varian V

    Honda BR-V 2020 telah menerima lebih 1,400 tempahan untuk bulan pertama sejak model tujuh-tempat duduk ini dilancarkan awal Jun lalu, ujar Honda Malaysia. Tempahan bagi model segmen-B mula dibuka pada Mac, dan lebih 32,600 unit telah dijual sejak pertama kali model ini diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017.

    Varian tertinggi V menjadi paling popular di antara dua varian yang ditawarkan, dengan merangkumi 85% daripada keseluruhan tempahan sejak model facelift ini diperkenalkan. Permintaan dari bahagian sentral menyumbang sebanyak 42% daripada jumlah keseluruhan bagi BR-V 2020, dan lebih 24% daripada keseluruhan tempahan memilih kemasan warna Modern Steel Metallic.

    Peningkatan luaran untuk BR-V 2020 ini termasuklah gril hadapan baharu, bampar hadapan yang disemak semula dengan kemasan bampar bawah (dengan lampu kabus untuk varian V), roda aloi 16-inci baharu dengan dibaluti tayat 195/60, antena sirip jerung dan bampar belakang baharu. Warna luaran Modern Steel Metallic diberikan pilihan bersama Marine Purple Pearl, Lunar Silver Metallic, Passion Red Pearl dan White Orchid Pearl.

    Honda BR-V 2020 – lebih 1,400 tempahan diterima untuk bulan pertama di M’sia; 85% melibatkan varian V

    Di dalamnya, kit standard termasuklah tweeter speaker, pencahayaan kargo, penapis kabin, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, sementara varian V ditambah dengan sistem audio dengan paparan tujuh-inci baharu, tempat duduk kulit dengan kemasan merah, pedal penukar gear dan tombol gear dengan jahitan merah.

    Kargo berkapasiti 223 liter dengan semua kedudukan tempat duduk normal, atau 539 liter dengan tempat duduk ketiga dibaringkan. Manakala tempat duduk kedua boleh digerakkan ke hadapan dan belakang, dibaringkan dengan 60:40 sekali sentuh dan tumble function bagi kerusi barisan kedua dan tiga masih dikekalkan. Kit keselamatan termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD, sistem kawalan cengkaman, bantuan kestabilan kenderaan dan dua cagak ISOFIX, dan varian V ditambah dengan kamera undur.

    Tiada sebarang perubahan sistem mekanikal diberikan. Honda BR-V facelift 2020 masih kekal dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder SOHC i-VTEC yang menghasilkan 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Harganya bermula RM89,900 untuk varian E hingga RM96,900 bagi V seperti mana yang diumumkan sewaktu pelancarannya pada Jun lalu, dengan pengecualian SST sehingga 31 Disember yang menyaksikan penurunan harga sehingga RM3,507, atau 3.61%, walau bagaimana pun caj tambahan sebanyak RM300 masih dikenakan untuk warna kemasan White Orchid Pearl.

    GALERI: Honda BR-V 2020 varian V

     
     
  • Pembinaan projek RTS akan bermula pada Januari 2021, dijangka mula beroperasi akhir 2026 – menteri

    Pembinaan projek RTS akan bermula pada Januari 2021, dijangka mula beroperasi akhir 2026 – menteri

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengesahkan kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura bermula Januari 2021. Malah perkhidmatan ini dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2026.

    Menurut Dr Wee, perkara itu telah dimuktamadkan melalui rundingan Malaysia dan Singapura baru-baru ini. Majlis bagi memeterai perjanjian antara kedua-dua negara itu juga dijadualkan diadakan pada 30 Julai depan di Tambak Johor dan ia bakal disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, laporan Bernama.

    “Pembinaan RTS ini juga akan berjalan dalam dua fasa, iaitu (fasa pertama) dari awal tahun 2021 hingga hujung tahun 2024, di mana ia akan memberi fokus pada pembinaan dan pembangunan struktur sivil.

    Pembinaan projek RTS akan bermula pada Januari 2021, dijangka mula beroperasi akhir 2026 – menteri

    “Manakala (fasa dua yang bermula) awal 2025 hingga hujung tahun 2026, di mana fasa ini melibatkan pembinaan sistem seperti ‘signalling’, telekomunikasi dan pengujian sistem,” katanya ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

    Beliau menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), yang bertanyakan mengenai status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura berkaitan projek RTS.

    Projek RTS itu merangkumi pembinaan landasan sepanjang empat kilometer, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura, dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang, setiap jam.

    Pembinaan projek RTS sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali. Kos baharu projek berkenaan adalah sebanyak RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025