Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

    Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

    Pada tahun 2018, Aston Martin telah mengumumkan satu program penghasilan semula kereta ikonik James Bond DB5 dipanggil sebagai DB5 Goldfinger Continuation, untuk 25 unit dan setiap satunya dijual pada harga 2.75 juta pound (RM14.8 juta). Kini, kereta pertama “Job 1” sudah pun keluar dari kilang dan menjadi DB5 pertama yang dihasilkan selepas 55 tahun.

    Harga yang sangat tinggi ini adalah disebabkan kualiti pengeluaran yang diambil penting, dengan setiap satunya mengambil masa 4,500 jam untuk dihasilkan. Kesemua 25 unit kereta keluaran khas ini akan dibuat di kilang asal DB5 iaitu Aston Martin Works di Newport Pagnell.

    Untuk menghasilkan semula DB5 Goldfinger ini, Aston Martin bekerja rapat dengan EON Productions, iaitu syarikat yang mengeluarkan filem James Bond, demi memastikan setiap perincian kereta James Bond pada tahun 1964 tersebut dapat dihasilkan semula secara sama.

    Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

    Menurut Aston Martin, setiap 25 buah kereta baru ini adalah “kereta keluaran semula asli terperinci sama seperti DB5 yang dilihat dalam filem.” Ia juga akan datang dengan “modifikasi serta peningkatan khas untuk memastikan kualiti serta ketahanan tahap tertinggi,” jadi pelanggan akan mendapat kereta yang lebih berkualiti berbanding unit pada tahun 60-an.

    Struktur casis besi asli DB5 masih digunakan pada kereta ini manakala panel badannya pula menggunakan aluminium dan digerakkan oleh enjin enam silinder NA 4.0 liter. Enjin ini datang dengan tiga karburetor SU serta penyejuk minyak, dan mampu menghasilkan 290 hp untuk dihantar ke roda belakang melalui transmisi manual lima kelajuan ZF dan LSD mekanikal.

    Pada bahagian kawalan, tetapan rack and pinion tanpa bantuan kuasa digunakan untuk stereng manakala brek pula menggunakan cakera Girling-type. Suspensi terdiri daripada spring coilover, penyerap dan anti-roll bar di hadapan, serta gandar hidup dengan lengan radius dan penyambung Watt di belakang.

    Lebih istimewa pada kereta ini adalah alat pengintip yang dipasang padanya, termasuk sistem pengeluaran asap dan minyak di belakang, nombor plet yang boleh ditukar (tiga pasang), senapang mesingan palsu berkembar di hadapan, penghadang peluru di belakang, pemukul di hadapan dan belakang, pengguris tayar palsu serta panel bumbung bahagian penumpang yang boleh dicabut (pilihan tambahan).

    Perincian pada kereta ini diambil kira sehingga ke dalam, di mana ia dilengkapi dengan skrin peta pengesan radar, telefon di pintu pemandu, butang penggerak di tombol gear, suis di perehat tangan dan konsol tengah, ruang menyimpan senjata tersembunyi di bawah tempat duduk serta alat kawalan jauh untuk aksesori tersebut.

    Penghantaran untuk kereta istimewa ini akan bermula pada separuh tahun kedua 2020 dan Aston Martin menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak sah untuk dipandu atas jalan biasa dan pemasangan aksesori yang disebutkan adalah bergantung kepada peraturan di negara pelanggan yang membelinya.

     
     
  • TOM’s umum projek restorasi jentera lumba Castrol TOM’s Supra GT500 1998, mohon dana dari peminat

    Era 90’an merupakan era kegemilangan jentera-jentera sport pasaran domestik Jepun (JDM). Dan sudah tentu, dengan kebanyakkan model-model berkenaan bertanding dalam perlumbaan All-Japan GT Championship (JGTC) atau dikenali sebagai Super GT sekarang, kejohanan berkenaan turut dikenang sebagai sesuatu yang ikonik.

    JGTC juga secara tidak langsung telah mempopularkan pelbagai jentera lumba Jepun, antaranya seperti Mugen Castrol NSX dan Takata Dome NSX dari pasukan Mugen X Dome Project, Calsonic Skyline dari pasukan Impul, dan juga Castrol TOM’S Supra dari pasukan TOM’S. Kenangan untuk jentera-jentera ini bukan hanya pada litar lumba, malah untuk generasi Sony PlayStation dan Playstation 2, kereta-kereta lumba ini turut boleh dipilih dalam permainan video Gran Turismo 1 dan 2.

    Lebih 20 tahun sudah berlalu, apa sudah jadi dengan jentera-jentera ini? Terbaharu, pasukan TOM’S telah mengumumkan bahawa mereka telah terjumpa kembali jentera Supra mereka yang digunakan pada tahun 1998 dalam satu gudang lama di Chugoku, dan mengambil keputusan untuk merestorasi semula kereta lumba berkenaan.

    TOM’s umum projek restorasi jentera lumba Castrol TOM’s Supra GT500 1998, mohon dana dari peminat

    Menurut TOM’S, kereta dengan nombor perlumbaan 36 yang dipandu oleh pasangan Masanori Sekiya dan Norbert Fontana tersebut ditemui masih dalam livery asal Castrol serta kerosakan dan ‘battle scars’ perlumbaan terakhirnya masih terdapat pada badan.

    Enjin 3S-GTE 2.0 liter empat silinder turbo (Supra GT500 yang menggunakan enjin asal 2JZ-GTE hanyalah dua buah Supra pasukan persendirian, salah satunya pasukan Blitz pada tahun 1994) kereta lumba ini turut ditemui bersamanya, tetapi ia telah dikeluarkan dari ruang enjin berkenaan.

    TOM’S turut memberitahu mereka memerlukan bantuan dana dari peminat bagi membolehkan TOM’S Castrol Supra ini dipandu semula dalam litar, dengan sasaran kutipan sebanyak 50,000,000 yen atau sekitar RM2 juta. Untuk itu, satu laman sesawang untuk crowfunding ini diwujudkan yang boleh anda lihat pada PAUTAN INI, dan setakat artikel ini ditulis sebanyak 1% dari jumlah keseluruhan berkenaan telah dikutip dari 68 individu.

    Apa yang anda akan dapat jika menyumbang untuk projek ini? Jika anda menyumbang sebanyak 5,000 yen (sekitar RM200), nama anda akan dilarik pada satu bahagian istimewa dalam kereta berkenaan. Dan sekiranya anda menyumbang sebanyak 3 juta yen (sekitar RM200,000) nama anda akan diletakkan pada satu plak istimewa yang akan ditempatkan pada kerusi pemandu.

    Bukan itu sahaja, penyumbang dengan jumlah 3 juta yen berkenaan turut akan menerima pas istimewa untuk menonton keseluruhan musim perlumbaan Super GT 2021 (kini pasukan TOM’S kembali berlumba dengan GR Supra bernombor 36 dan 37) dan akses terus ke suit hospitaliti TOM’S Racing, serta berpeluang untuk memandu kereta-kereta lumba dari garaj TOM’S untuk satu hari sesi Track Day.

    Boleh tahan juga ganjaran sumbangan ini kan? Macam mana? Berminat untuk memahatkan nama anda dalam salah satu sejarah dunia automotif JDM ini?

     
     
  • Aston Martin Vantage AMR Malaysia Edition – dapat ubah suai khas inspirasi daripada Vantage AMR

    Aston Martin Vantage AMR Malaysia Edition – dapat ubah suai khas inspirasi daripada Vantage AMR

    Aston Martin Kuala Lumpur telah memperkenalkan Aston Martin Vantage AMR Malaysia Edition, dan ia kini sudah berada di pusat pameran di KL. Model ini sebenarnya bukanlah Vantage AMR yang sebenar, tetapi adalah Vantage V8 yang dipasang kit khas inspirasi daripada Vantage AMR. Syarikat itu memberitahu model ini disediakan dalam unit yang terhad dan hanya ada satu di Malaysia.

    Antara contoh yang boleh dilihat menyatakan ini bukan Vantage AMR yang sebenarnya adalah tiada jalur pelekat hijau terang di bahagian tengah kenderaan sementara di dalam pula tombol gearnya jelas menunjukkan ia adalah model automatik dan bukannya manual. Angkup brek juga berlainan.

    Walaupun begitu, ubah suai inspirasi daripada Vantage AMR yang digunakan adalah seperti bahagian bawah gril serta diffuser yang dicat warna Lime Essence, memberi kontras kepada warna badan Arden Green. Model ini juga dipasang dengan pakej kemasan luar gentian karbon, gril dan muncung ekzos hitam matte, serta bumbung dan cermin sisi hitam berkilat.

    Aston Martin Vantage AMR Malaysia Edition – dapat ubah suai khas inspirasi daripada Vantage AMR

    Pada bahagian dalam, warna utama untuk kemasan adalah perak satin, tetapi ada beberapa bahagian seperti konsol tengah dan panel pintu yang menggunakan warna Lime Essence seperti luar. Benang jahitan pada tempat duduk Sports Plus serta papan pemuka juga menggunakan warna sama.

    Kelengkapan lain yang dipasang pada model ini adalah rim 20 inci, roda stereng Sports+ yang rata di bawah, sistem audio Aston Martin Premium Audio skrin paparan tengah LCD lapan inci, tempat duduk berliang udara dan kamera 360 darjah.

    Vantage V8 dikuasakan oleh enjin V8 twin turbo 4.0 liter M177 Mercedes-AMG yang mampu menghasilkan 510 PS pada 6,000 rpm dan 685 Nm tork antara 2,000 hingga 5,000 rpm, dihantarkan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.6 saat sementara laju maksimum pula adalah 314 km/j.

    Untuk kelengkapan elektronik, antara yang datang terus adalah sistem penyerap adaptif Skyhook yang menyediakan mod Sport, Sport Plus serta Track, DSC, Positive Torque Control serta differential belakang dengan pengunci elektrik (E-Diff) yang boleh bekerjasama dengan sistem kawalan stabiliti kenderaan.

    Tiada harga yang disiarkan untuk Vantage AMR Malaysia Edition ini, tetapi jika melihat kepada Vantage V8, harganya adalah RM1.6 juta termasuk duti semasa ia dilancarkan pada bulan Ogos 2018.

     
     
  • VIDEO: Penampilan Mercedes-AMG GT Black Series

    VIDEO: Penampilan Mercedes-AMG GT Black Series

    Selepas imejnya bocor awal di internet sebelum ini, Mercedes-AMG GT Black Series akhirnya ditunjukkan dalam penampilan rasmi pertama secara penuh di dalam sebuah video. Bagaimanapun, video berkenaan tidak menyatakan tarikh model berkenaan akan diperkenalkan secara rasmi.

    GT Black Series tampil agak berbeza berbanding model-model GT lain, dengan lebih penekanan diberikan terhadap aspek aerodinamiknya. Ini menjurus kepada peralihan ketara terhadap rekaan luarannya, bermula dari spoiler yang besar di belakang dengan wing kedua, sementara bonet khas turut menempatkan bukaan udara untuk penyejukan.

    Fender dengan bukaan udara juga dilebarkan lagi untuk menampung kit badan yang juga dilanjutkan. Rekaan bampar juga baru dengan yang di bahagian depannya lebih kurus, menempatkan juga bukaan udara di sisi serta gril Panamericana yang lebih besar.

    Di belakang pula terletak sebuah diffuser yang diapit oleh dua ekzos serta bukaan udara. Bahagian dalam bagaimanapun tidak ditunjukkan secara terperinci, melainkan jahitan logo AMG pada tempat duduk serta roll cage di bahagian belakang kabin.

    Video ini juga tidak menyatakan tentang sistem janaan kuasa yang melengkapinya. Ada khabar yang menyatakan ia akan mewarisi enjin 4.0 liter turbo berkembar V8 dari model GT biasa, yang menghasilkan 720 hp dan 850 Nm. Ini dikatakan dapat memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan kelajuan maksimum 320 km/j.

     
     
  • Peugeot 108 2020 – kereta mini dinaiktaraf, dari RM69k

    Peugeot 108 2020 – kereta mini dinaiktaraf, dari RM69k

    Peugeot telah menaiktaraf kereta bandar mini, model 108, biar pun melibatkan sedikit peningkatan. Kali terakhir 108 menerima peningkatan yang agak besar ketika dilancarkan di Geneva Motor Show pada tahun 2014.

    Bagi model baharu tahun 2020, ia diberikan warna luaran yang lebih segar seperti Smooth Green, Diamond White, Zircon Grey, Raven Black, dan Antelope Red. Smooth Green adalah bagi menggantikan pilihan warna lama Green Fizz, dan kini pelanggan juga boleh memilih warna luaran yang sama untuk bahagian kabin.

    Palet warna tersebut juga boleh didapati pada model Top!, dengan bumbung fabrik boleh ditarik yang kini dengan kemasan rona Gentle Green berbanding Green Fizz. Peugeot juga memperkenalkan dua tema kustom baharu iaitu Green Vector dan Grey Vector, yang kedua-duanya ditambah dengan grafik yang lebih bergaya pada lampu utama dan tiang pintu.

    Peugeot 108 2020 – kereta mini dinaiktaraf, dari RM69k

    Di dalamnya, kabin 108 ini menampilkan kemasan baharu White Line Jusa dan Green Line Jusa, menggantikan warna lama. Model mini ini dijanakan oleh pilihan enjin termasuk 1.0 liter VTi 72 hp dan 1.2 liter PureTech VTi 82 hp (manual lima-kelajuan), kedua-duanya dengan unit tiga-silinder petrol. Beratnya pula bermula 840 kg.

    Tempahannya telah pun mula dibuka di beberapa pasaran terpilih, di UK, ia dijual pada harga bermula £12,785 (RM69k) untuk versi 1.0L Active tiga-pintu, sementara Top! pula bermula £15,540 (RM84k) bagi varian Allure.

     
     
  • Godzilla 2.0 – Nissan GT-R R35 2010 untuk off-road

    Godzilla 2.0 – Nissan GT-R R35 2010 untuk <em>off-road</em>

    Nissan GT-R R35 dengan sistem pacuan semua roda Attesa-ETS Pro lazimnya cukup digeruni dalam litar, dan tak kurang juga di lebuh raya. Namun sanggupkah anda untuk merubah kereta sport ini kepada jentera off-road? Tetapi itulah yang dihasilkan oleh Classic Youngtimers Consultancy terhadap GT-R mereka.

    Jentera yang digelar Godzilla 2.0 ini dihasilkan dari Nissan GT-R R35 versi 2010. Ia diberikan sistem suspensi istimewa yang membolehkan badannya dinaikkan dengan kelegaan tanah 12 cm lebih tinggi dari asal. Ia kemudiannya diberikan tayar Toyo Proxes ST III yang dihasilkan untuk SUV dan 4×4, membaluti rim asal 20-inci GT-R R35.

    Godzilla 2.0 – Nissan GT-R R35 2010 untuk <em>off-road</em>

    Bagi melengkapkan rupanya, Godzilla 2.0 ini diberikan overfender dengan gaya lazim kenderaan 4×4, rel bumbung custom bersama tayar gantian bersaiz penuh, bar lampu LED off-road untuk bumbung, sepasang lampu off-road LED pada bampar hadapan dan juga rekaan grafik celoreng pada keseluruhan badan.

    Godzilla 2.0 masih dijana oleh enjin asal GT-R R35 2010 iaitu enjin VR38DETT 3.8 liter V6 dengan dua pengecas turbo. Namun enjin berkenaan telah diolah semula membolehkan kuasa asal 485 hp melonjak kepada lebih dari 600 hp. Jika anda berminat dengan jentera yang berada di Belanda, ia sememangnya untuk dijual dan harganya diletakkan ialah 95,000 euro atau sekitar RM458k.

     
     
  • Pengecas pantas EV di Ayer Keroh – AC 43 kW dengan Type 2, DC 50 kW menerusi Type 2 CCS, CHAdeMO

    Pengecas pantas EV di Ayer Keroh – AC 43 kW dengan Type 2, DC 50 kW menerusi Type 2 CCS, CHAdeMO

    Untuk pengguna kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini memiliki satu lagi pilihan fasiliti untuk mengecas bateri kenderaan masing-masing. Terutamanya yang menuju ke bahagian selatan, terdapat satu fasiliti pengecas pantas untuk EV telah disediakan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh (arah Selatan) Lebuhraya Utara Selatan iaitu di stesen minyak Caltex. Fasiliti terbabit dikesan oleh Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC).

    Unit pengecas pantas yang dilihat di fasiliti terbabit adalah pengecas pantas ABB Terra CJG AC dan DC, dengan kadar pengecasan pada 43 kW pada dan 50 kW untuk DC. Pengecas AC dengan 43 kW ini ditawarkan dengan menggunakan sambungan Type 2, yang boleh mengecas Renault Zoe 2014 untuk pengecasan sehingga 80% dalam masa 15 minit, menurut entri Facebook terbabit. Manakala bagi pengecas DC 50 KW pula menggunakan sambungan Type 2 CCS atau CHAdeMo.

    Penulis bagi entri tersebut juga percaya pengecas pantas baharu ini akan disambungkan dengan aplikasi mobil JomCharge, dan pengguna boleh mengecas secara pembayaran mengikut penggunaan. Berhampiran lokasi yang menempatkan pengecas pantas berkenaan, terdapat juga fasiliti pengecasan ChargeEV 22 kW AC di stesen minyak Petronas yang juga berada di kawasan R&R berkenaan.

    Setakat ini, tarikh pelancaran bagi pengecas pantas tersebut tidak diketahui, ini kerana persiapan fasiliti terbabit tergendala akibat pandemik COVID-19, menurut MyEVOC. Kelab terbabit juga mengharapkan agar fasiliti pengecasan pantas DC diperluaskan lagi di seluruh negara memandangkan permintaan terhadap EV kian meningkat. Ini termasuklah dengan Tesla Model 3 yang dijangka akan dibawa masuk oleh pengedar import ke pasaran tempatan, selain EV lain yang dipasarkan oleh pengeluar kereta termasuk BMW i3s dan Nissan Leaf. Malah pada masa akan datang, terdapat beberapa model EV juga akan dibawa masuk, antaranya MINI Cooper SE dan MG ZS EV.

     
     
  • Bridgestone bangunkan sistem pemantau kerosakan tayar bersama Microsoft – tiada peralatan tambahan

    Bridgestone bangunkan sistem pemantau kerosakan tayar bersama Microsoft – tiada peralatan tambahan

    Bridgestone bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan sistem tinjauan kerosakan tayar dalam masa nyata. Menurut syarikat pengeluar tayar itu, ia merupakan teknologi pertama seumpamanya di dunia. Ini merupakan perkara yang perlu diambil serius memandangkan 30% daripada kemalangan adalah disebabkan oleh kegagalan tayar.

    Terdapat empat masalah utama yang kerap menyumbang kepada keadaan itu. Ini termasuk tekanan tayar yang tidak mencukupi, tayar lama, kehausan luar biasa serta kerosakan akibat melanggar pembahagi jalan, lubang atau objek asing ketika di jalan raya. Kenderaan moden kini banyak yang sudah dilengkapi sistem peninjau tekanan tayar (TPMS) untuk memberi makluman kepada pemandu. Bagaimanapun, kerosakan tayar lebih sukar untuk dikesan tanpa penelitian secara manual.

    Sistem Tinjauan Kerosakan Tayar oleh Bridgestone ini membolehkan pengesanan kerosakan tayar dilakukan secara masa nyata menggunakan kerangka cloud menerusi Microsoft Connected Vehicle Platform (MVCP), serta penggunaan sensor sedia ada untuk mengesan situasi yang mungkin boleh merosakkan keadaan tayar. Pemandu kemudiannya akan dimaklumkan segera.

    Bridgestone bangunkan sistem pemantau kerosakan tayar bersama Microsoft – tiada peralatan tambahan

    Menurut Bridgestone, setakat ini belum ada lagi sistem yang menyamai apa yang sedang mereka bangunkan. Alternatif lain pula memerlukan pemasangan alatan tambahan lain. Sistem ini juga akan mengetahui lokasi berlakunya kerosakan tayar serta bila kerosakan itu berlaku.

    Ini secara tidak langsung turut memberikan maklumat berkaitan keadaan jalan serta infrastruktur yang ada, yang kemudiannya boleh digunakan untuk dimaklumkan kepada agensi tempatan yang berkaitan. Kenderaan generasi akan datang dengan teknologi autonomous juga berpeluang untuk memanfaatkan sistem ini.

    Ketika ini, sistem peninjau kerosakan tayar ini tersedia untuk semua kenderaan armada serta pengeluar kelengkapan tulen (OEM) yang menggunakan MVCP. Selain daripada tinjauan tayar, ia turut menyediakan sambungan cloud untuk kegunaan infotainmen dalam kenderaan, sistem tunjuk arah canggih, pemanduan autonomous, telematik dan serta kemaskini sistem cara over-the-air (OTA).

    “Bridgestone ada peluang untuk membawakan sistem ini kepada jutaan pemandu melalui kerjasama Microsoft, menjadikan keselamatan dan ketenangan pengguna jalan raya sebagai keutamaan,” ujar CEO dan Presiden Bridgestone EMIA, Laurent Dartoux.

     
     
  • Kit Perodua Myvi Edisi S di Brunei bukan versi rasmi

    Kit Perodua Myvi Edisi S di Brunei bukan versi rasmi

    Berkaitan pengenalan Perodua Myvi Edisi S di Brunei pada 4 Julai lalu, model berkenaan merupakan varian Myvi 1.3L G. Perodua dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa varian itu – dan Edisi S yang diperkenalkan – adalah versi Perodua Brunei sendiri dan bukannya versi rasmi dari kilang pengeluar.

    Bagaimanapun, kit badan yang digunakan itu diperolehi sendiri dari pengedar sah Perodua, GHK Motors. Susulan daripada itu, Perodua telahpun berinteraksi dengan GHK Motors untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai varian berkenaan dan untuk memastikan penambahan yang dilakukan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

    Berdasarkan maklum balas daripada GHK Motors, pengenalan Myvi Edisi S ini adalah percubaan mereka untuk memperkenalkan varian yang lebih bersesuaian dan memenuhi kehendak pasaran di sana. Perodua juga sedar bahawa pengenalan Myvi Edisi S tersebut telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan setia jenama itu dan berharap agar kenyataan ini dapat memperjelas perkara tersebut.

     
     
  • Honda Civic Type R Limited Edition pecahkan rekod lap Renault Megane RS Trophy-R di litar Suzuka!

    Honda Civic Type R FK8 paling hardcore setakat ini iaitu versi Limited Edition diumumkan sudah berjaya dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di Litar Suzuka, Jepun setelah mencatatkan rekod lap 2 minit 23.993 saat.

    Ini bermakna rekod lap 2 minit 25.454 saat yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R pada tahun lalu telah berjaya dileburkan oleh Type R Limited ini. Model ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm yang sama seperti model biasa, namun ia kini menerapkan falsafah asal untuk model-model Type R NA seperti Civic Type R EK9 sebelumnya iaitu dihasilkan seringan yang boleh.

    Untuk itu, pelbagai perincian telah dicabut dari Type R FK8 Limited Edition antaranya termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

    Honda Civic Type R Limited Edition pecahkan rekod lap Renault Megane RS Trophy-R di litar Suzuka!

    Honda Civic Type R Limited Edition Suzuka Circuit

    Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas dari BBS yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Secara keseluruhan, model edisi terhad ini tampil 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa.

    Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

    Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

    Honda Civic Type R Limited Edition pecahkan rekod lap Renault Megane RS Trophy-R di litar Suzuka!

    Honda Civic Type R Limited Edition Suzuka Circuit

    Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik – model ini hanya dihasilkan sebanyak 600 unit untuk pasaran Amerika dan 100 unit untuk pasaran Eropah.

    Unit yang digunakan untuk memecahkan rekod di Suzuka ini adalah prototaip terakhir sebelum ia dijelmakan sebagai model produksi yang digunakan untuk penilaian prestasi terakhir pada Februari 2020, dan ia menampilkan spesifikasi dan juga talaan yang sama sepenuhnya dengan model produksi sebenar.

    “Untuk model kemaskini ini, kelajuannya diperolehi dengan kerjasama Honda Racing Development (HRD) Sakura, yang memamainkan peranan utama dalam pembangunan sukan permotoran Honda. Kerjasama ini menghasilkan Type R dengan rekod lap terpantas di Litar Suzuka, yang selalu disifatkan sebagai ‘salah satu litar perlumbaan paling hebat di dunia'”, kata Ketua Projek Civic Type R, Hideki Kakinuma.

    Walaupun rekod yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R di Suzuka ini sudah lebur, hot-hatch dari Perancis tersebut masih lagi memegang takhta sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar “The Green Hell”, Nürburgring Nordschleife.

    Rekod dengan catatan 7 minit 40.1 saat yang dibuat pada Mei tahun lalu itu telah meleburkan rekod 7 minit 43.8 saat yang dibuat oleh Honda Civic Type R FK8 dua tahun sebelumnya. Adakah dengan merampas takhta di Suzuka ini merupakan amaran awal dari Honda untuk mengambil semula gelarannya dari Renault di Nürburgring?

    GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

     
     
  • GALERI: Honda HR-V RS dengan kabin kemasan kulit warna coklat — tiada tambahan kos dikenakan

    GALERI: Honda HR-V RS dengan kabin kemasan kulit warna coklat — tiada tambahan kos dikenakan

    Awal Jun lalu, Honda Malaysia mengumumkan pengenalan warna kemasan baru untuk bahagian dalaman bagi HR-V RS, yang kini ditawarkan dengan upholstery kulit berwarna coklat. Lebih menarik, tiada tambahan harga dikenakan; ia kekal dengan harga tanpa SST sehingga 31 Disember ini RM118,581.81 — tidak termasuk insurans.

    Balutan kulit berkenaan bukan hanya diberikan pada semua tempat duduk sahaja, sebaliknya meliputi kemasan kulit pada konsol tengah, panel papan pemuka dan juga pada panel pintu. Tiada perubahan pilihan untuk warna badan luar – anda masih ditawarkan dengan tiga warna berbeza iaitu Red Pearl, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl (ada kos tambahan untuk warna ini).

    Honda HR-V RS untuk pasaran Malaysia dijana oleh enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC yang menghasilkan 142 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 172 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Selain rupa lebih sporty, model tertinggi RS ini juga menerima sistem stereng dengan nisbah gear bervariasi (VGR) yang tidak ditawarkan pada varian lain.

    GALERI: Honda HR-V RS dengan kabin kemasan kulit warna coklat — tiada tambahan kos dikenakan

    Senarai kelengkapan lain masih kekal sama, termasuk rim aloi 18-inci, pakej penggayaan RS, lampu hadapan dan lampu kabus LED, skrin Audio Display tujuh-inci, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektronik, dan juga tempat duduk pemandu larasan elektrik lapan-hala.

    Untuk keselamatan, Honda HR-V RS ini dibekalkan dengan enam-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSA), bantuan mula mendaki (HSA), isyarat berhenti kecemasan (ESS) dan juga kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch.

     
     
  • Perincian MBUX baru Mercedes-Benz S-Class W223 – head-up display AR, skrin 12.8 inci, baca pergerakan

    Perincian MBUX baru Mercedes-Benz S-Class W223 – head-up display AR, skrin 12.8 inci, baca pergerakan

    Mercedes-Benz S-Class W223 hanya akan diperkenalkan pada bulan September nanti, jadi pengeluar dari Jerman ini mempunyai masa untuk mendedahkan sedikit semi sedikit informasi berkenaannya. Dalam episod terbaru siri video S-Class Digital, mereka membincangkan salah satu bahagian penting bagi model ini iaitu interface Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi kedua yang dipanggil sebagai My MBUX.

    MBUX generasi pertama sudah kita lihat digunakan pada banyak model terbaru Mercedes-Benz, tetapi sistem generasi kedua pada S-Class ini adalah lebih maju daripada aspek fungsi dan kemampuan. Sudah tentu, pesaingnya seperti BMW 7 Series dan Audi A8 juga mempunyai pelbagai teknologi moden.

    Bermula dari tempat duduk pemandu, panel instrumen digital skrin lebar masih sama tetapi ia telah dikemas kini dengan grafik kesan 3D masa sebenar tanpa perlu memakai apa-apa cermin mata. Ia dapat dicapai dengan menggabungkan paparan LCD biasa dengan struktur pixel khas dan bukaan gril LCD yang boleh dikawal.

    Sistem ini berkerjasama dengan sistem kamera stereo dan ia boleh menjejak kedudukan mata pemandu dan berterusan melaras imej supaya menampakkan informasi yang terang. Sama seperti sebelumnya, banyak bahagian pada paparan ini boleh diubah termasuk pilihan mod Classic, Sport, Understated dan Exclusive (khas untuk S-Class). Pada mod tertentu seperti bantuan pemandu atau navigasi, keseluruhan skrin akan digunakan dengan pelbagai informasi.

    Depan sedikit daripada panel paparan digital pemandu adalah head-up display baru yang boleh memaparkan imej Augmented Reality (AR) menggunakan cermin digital keluaran Texas Instruments yang terdiri daripada 1.3 juta kepingan cermin berasingan dan satu sumber cahaya.

    Ini adalah kali pertama S-Class mendapat sistem sebegitu, di mana informasi berkenaan sistem bantuan pemandu serta navigasi dipaparkan secara AR pada head-up display. Ia disediakan untuk mengurangkan gangguan semasa memandu seperti mengalihkan pandangan kepada skrin lain.

    Walaupun begitu, bahagian paling penting adalah skrin sesentuh sebesar 12.8 inci yang menguasai papan pemuka dan bahagian tengahnya. Ia mempunyai resolusi 1,888 x 1,728 pixel dan boleh dipilih dalam jenis LCD atau OLED (menggunakan 30% kurang kuasa). Berdasarkan saiz serta kemampuannya, sistem baru ini menyediakan 50% lebih kuasa memproses berbanding sebelum ini, satu unit pemproses grafik (GPU) khas dengan 691 gigaflop, RAM 16 GB dan solid-state drive (SSD) 320 GB.

    Hampir semua fungsi kenderaan seperti hiburan, kawalan suhu, navigasi dan tetapan kenderaan boleh diakses melalui sistem ini dan ia sekaligus mengurangkan penggunaan 27 butang fizikal berbanding pada papan pemuka S-Class W222 sekarang. Berdasarkan demonstrasi video yang disiarkan, kami lihat ia seperti senang digunakan seperti telefon pintar dan mempunyai paparan yang jelas.

    Seperti yang boleh dijangka, sistem ini datang dengan pelbagai sistem sambungan, termasuk pembantu digital “Hey Mercedes” (boleh memahami 27 bahasa) dan juga boleh dikawal oleh penumpang di belakang. Menurut Mercedes-Benz, pembantu digital ini telah dipertingkat supaya dapat memahami penumpang lebih baik dan sekarang turut dilengkapi dengan data yang boleh menjawab soalan berkenaan pengetahuan am atau bunyi binatang.

    Perincian MBUX baru Mercedes-Benz S-Class W223 – head-up display AR, skrin 12.8 inci, baca pergerakan

    Bukan setakat itu, sistem ini juga membenarkan akses trafik masa sebenar, e-mel, pelayar internet serta pelbagai lagi. Ia turut ditawarkan untuk penumpang di belakang melalui pakej hiburan tempat duduk belakang (diberikan dengan tablet digital) yang disambungkan terus kepada sistem My MBUX.

    Sambungan dua hala ini membenarkan paparan pada skrin dikongsi secara mudah di antara pemandu dan juga penumpang. Sebagai tambahan, anda juga boleh membuat sambungan kepada sehingga tujuh akaun Mercedes Me dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi khas, dan tetapan kegemaran anda akan terus dipasang. Profail ini disimpan atas talian, jadi ia boleh digunakan oleh mana-mana model Mercedes-Benz yang mempunyai My MBUX.

    Sebagai ciri keselamatan, akses kepada akaun Mercedes Me ini bukan sahaja boleh dilakukan melalui nombor PIN, tetapi juga memerlukan tiga pengesahan biometrik yang termasuk cap jari (pada butang Home), muka dan juga pengenalan suara.

    Perincian MBUX baru Mercedes-Benz S-Class W223 – head-up display AR, skrin 12.8 inci, baca pergerakan

    Satu lagi teknologi maju adalah sistem MBUX Interior Assist. Ia menggunakan kamera yang terletak di bahagian atas bumbung (dalam kenderaan) dan boleh menjangka kemahuan dan keinginan penumpang dengan membaca pergerakan kepala, tangan serta bahasa badan. Dengan pergerakan tertentu, fungsi kenderaan tertentu boleh dikawal.

    Sebagai contoh, sekiranya pemandu menoleh ke belakang, sistem ini secara automatik akan membuka penghadang cahaya di cermin belakang. Ataupun, jika pemandu mencari-cari sesuatu di bahagian penumpang hadapan dalam gelap, sistem ini akan membuka lampu secara automatik. Pergerakan tangan juga boleh dibaca dan boleh digunakan untuk membuka bumbung suria tanpa sentuhan.

     
     
  • Tiga stesen MRT Laluan Kajang akan ditutup pada enam hujung minggu mulai 11 Julai hingga 20 Sept ini

    Tiga stesen MRT Laluan Kajang akan ditutup pada enam hujung minggu mulai 11 Julai hingga 20 Sept ini

    Pengendali perkhidmatan MRT – MRT Corp dan Rapid Rail Sdn Bhd – telah memaklumkan, tiga stesen MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) akan ditutup sementara pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dalam bulan Julai, Ogos dan September.

    Penutupan tersebut adalah bagi memberikan laluan kerja-kerja migrasi yang berkaitan dengan kerja pemindahan sebahagian daripada laluan tersebut ke MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

    Tiga stesen yang terlibat adalah Stesen MRT Sungai Buloh, Stesen MRT Kampung Selamat dan Stesen MRT Kwasa Damansara. Walau bagaimana pun, Stesen KTM Sungai Buloh dan juga kemudahan tempat letak kereta bersebelahan dengan stesen tersebut tidak terjejas oleh penutupan ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MRT Corp, penutupan stesen-stesen tersebut akan berlaku pada 11-12 Julai, 25-26 Julai 2020, 8-9 Ogos 2020, 22-23 Ogos, 5-6 September dan 19-20 September 2020.

    Dengan penutupan tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral. Sama seperti penutupan sebelum ini yang dijalankan pada tahun 2018 dan 2019, perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh, turut menyediakan perkhidmatan di Stesen MRT Kampung Selamat.

    Walau bagaimana pun, bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersil dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen tersebut. Tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara juga akan ditutup.

    Para pengguna yang biasanya meletakkan kereta di kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Sentral atau di Stesen MRT Sungai Buloh. Namun demikian, perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen MRT Sungai Buloh dan Stesen MRT Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.

    Untuk maklumat lanjut mengenai penutupan stesen-stesen tersebut, pengguna tren boleh menghubungi RapiKL di 03-78852585 ataupun talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868.

     
     
  • Proton umum penuras udara kabin N95 sebagai ciri standard untuk semua model baru bermula hari ini

    Proton umum penuras udara kabin N95 sebagai ciri standard untuk semua model baru bermula hari ini

    Proton Saga Anniversary Edition yang baru sahaja dilancarkan sebentar tadi sempena ulangtahunnya yang ke-35 hadir dengan penuras udara kabin berstandard N95. Namun menerusi ucapan yang dibuat oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong, ciri tersebut juga sebenarnya telah mula dipadankan pada semua model baharu Proton bermula hari ini.

    Ini bermakna penuras udara yang pada mulanya dilengkapkan dalam kabin SUV X70 tersebut turut akan dibekalkan secara standard untuk semua model Proton yang lain termasuk Saga, Persona, Iriz dan Exora yang didaftarkan bermula 9 Julai 2020 tanpa kos tambahan.

    Proton umum penuras udara kabin N95 sebagai ciri standard untuk semua model baru bermula hari ini

    Namun bagi pemilik Proton sedia ada, anda turut boleh membeli penuras udara N95 baharu ini bagi menggantikan unit sebelumnya dengan harga RM59 tidak termasuk kos pemasangan. Istimewa untuk mereka yang membelinya bermula hari ini sehingga 9 Oktober nanti, penuras udara tersebut akan dijual dengan diskaun 15% iaitu pada harga RM50.15.

    Apa istimewanya penuras udara kabin baharu ini? Ia sebenarnya adalah inisiatif dari Geely setelah dunia dilanda pandemik Covid-19. Menurut Proton, Penapis kabin N95 yang baharu ini mampu menyingkirkan 95% partikel bersaiz melebihi 0.3 mikron serta turut menapis 98% debu PM2.5. Oleh itu ia berkesan menghalang kemasukan partikel asap, debu, bakteria dan bahan cemar lain yang akan menghasilkan peredaran udara yang baik dan lebih segar dalam sistem pendingin hawa.

     
     
  • Empat kamera AWAS akan ditambah di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan – KP JPJ

    Empat kamera AWAS akan ditambah di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan – KP JPJ

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid telah memaklumkan sebanyak empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan ditambah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) iaitu sebelum dan selepas Terowong Menora, Jelapang, Ipoh bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.

    Menurut beliau, operasi pemasangan kamera AWAS di kedua-dua arah laluan panas itu telah memperoleh kelulusan Kementerian Pengangkutan dan dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini.

    “Penambahan ini menjadikan keseluruhan 49 kamera AWAS yang terdapat di seluruh negara termasuk 22 di PLUS setakat ini. Kami juga dalam kajian untuk menambah lebih kamera AWAS di kawasan-kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Empat kamera AWAS akan ditambah di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan – KP JPJ

    Tambah beliau lagi, had kelajuan yang ditetapkan kepada kenderaan yang melalui penempatan empat kamera AWAS di Terowong Menora adalah 70 kilometer sejam (km/j) berbanding kamera AWAS lain yang menetapkan had laju 110km/j.

    Shaharuddin berkata aspek teknikal dan spesifikasi pemasangan kamera itu kini berada di peringkat akhir untuk menentukan kesesuaian lokasi yang strategik dengan kerjasama pihak PLUS Malaysia Berhad.

    Katanya, fungsi kamera AWAS di lokasi tersebut akan dipantau oleh UPLR yang mula beroperasi di pusat kawalan Stesen Penguatkuasa UPLR JPJ Jelapang yang mula beroperasi pada 1 Julai lepas.

    Empat kamera AWAS akan ditambah di Terowong Menora, Lebuhraya Utara Selatan – KP JPJ

    “Pengiraan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) kamera AWAS juga masih sama pada pelaksanaannya nanti,” katanya.

    Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz pula berkata pemasangan kamera AWAS di kawasan Terowong Menora diyakini dapat menurunkan kadar kemalangan memandangkan lokasi terbabit merupakan lokasi panas kemalangan terutamanya melibatkan kenderaan berat.

    “Rekod menunjukkan memang ada disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan namun dengan pemasangan kamera ini dan kehadiran pasukan pemantau pasti akan dapat meningkatkan tahap keselamatan di laluan itu.

    “JPJ melaksanakan penguatkuasaannya dan menetapkan isu teknikal serta spesifikasi manakala pihak PLUS menyediakan bekalan kuasa dan peralatan kamera AWAS,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025