Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Malaysia lancar servis hantar ke rumah

    Volkswagen Malaysia lancar servis hantar ke rumah

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) yang giat melancarkan program membeli-belah menerusi dalam talian turut melancarkan Servis Penghantaran Ke Rumah Seluruh Negara. Telah pun bermula, ini membuka peluang kepada para pelanggan untuk memilih penghantaran terus ke rumah selepas selesai menguruskan pembelian mana-mana model baharu Volkswagen. Perkhidmatan ini diberikan oleh semua wakil pengedar VW di seluruh negara.

    Menurut VPCM, penghantaran adalah percuma jika lokasi pelanggan dalam lingkungan 20 km radius daripada wakil pengedar. Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, “Dengan pengenalan perkhidmatan sebegini, ia memudahkan para pelanggan untuk membeli model Volkswagen dengan lebih selesa dan selamat berhampiran rumah mereka.”

    Beliau turut menambah, “Malah ia semudah memilih model yang diinginkan menerusi eShowroom, melakukan proses jualan dan kereta baharu akan terus dihantar ke rumah masing-masing.”

    Semua kereta baharu akan dihantar dengan trak single flatbed yang ditutup dengan kanvas. Malahan ini merupakan sebahagian daripada kempen VPCM Safe Hand, iaitu prosedur tanpa sentuhan untuk aktiviti jualan dan selepas jualan yang telah diimplementasikan. Perkhidmatan penghantaran ini juga mematuhi langkah keselamatan yang ketat, termasuk trak tersebut akan dinyahkuman sebelum dan selepas setiap kali melakukan penghantaran.

     
     
  • Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Walau pun negara sedang berperang melawan penularan COVID-19, sehingga banyak sektor ekonomi turut terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ini tidak menghalang Perodua untuk mencatatkan prestasi jualannya. Sepanjang Mei 2020, Perodua mencatat jualan 7,886 kenderaan pada Mei 2020, membawa jumlah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit. Berdasarkan jumlah keseluruhan industri YTD yang dianggarkan 129,401 unit, Perodua menguasai 41% bahagian pasaran YTD.

    Jualan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza. Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan dalam bulan Mac sebelum PKP berkuatkuasa pada 18 Mac.

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang dihargai atas kesetiaan dan sokongan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan serta kehendak permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera. Kami yakin dapat memenuhi permintaan anda dalam masa yang terdekat,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua daftar 7,886 kereta sepanjang Mei 2020

    Sambungnya lagi, ““Dalam era penjarakkan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting. Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah. Pemandu e-hailing juga telah bermula menggunakan kenderaan mereka untuk menghantar barang di samping mengangkut penumpang.

    “Kenderaan Perodua amatlah sesuai untuk tujuan-tujuan tersebut, kerana kompak, mampu milik, cekap bahan api, boleh dipercayai, luas dan mudah dipandu.”

    Sepanjang Jun 2020, Perodua telah menawarkan kempen ‘Sambutan Bermakna Perodua’ dengan penebusan tunai khas sehingga RM1,300 untuk Aruz dan varian Myvi terpilih. Sementara pembeli model lain akan mendapat e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    Ini sebuah lagi model yang baru saja diperkenalkan oleh Mercedes-Benz untuk pasaran Malaysia, Mercedes-AMG A35 4Matic hatchback sebagai tambahan kepada model sedannya yang sudah pun masuk ke pasaran sini tahun lalu.

    Untuk Malaysia, A35 ini ditawarkan dalam versi Edition 1, dilengkapi dengan pakej AMG Aerodynamics, AMG Night Package serta rim AMG 19 inci. Harga jualan Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 ini adalah RM379,888 tidak termasuk insurans.

    Enjin yang digunakan pada model hatchback ini adalah sama dengan versi sedan, iaitu unit petrol empat-silinder turbo 2.0 liter M260, yang mampu menghasilkan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm.

    GALERI: Mercedes-AMG A 35 4Matic W177 di Malaysia

    Transmisi pula adalah unit AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan yang digabungkan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic yang mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal. Dengan fungsi Race Start, A 35 hatchback boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat (0.1 saat lebih pantas daripada versi sedan).

    Berikut merupakan galeri terperinci model ini. Untuk perincian lanjut tentang spesifikasi dan penawaran lainnya, boleh rujuk laporan pelancarannya.

     
     
  • Toyota Hilux facelift dilapor akan terima 205 PS/500 Nm dari enjin 2.8 liter turbodiesel, muncul 4 Jun ini

    Semalam, Toyota UK telah menyiarkan video teaser untuk Hilux facelift 2020 yang diuji oleh bekas pemandu Formula 1 yang kini berlumba dalam Rali Dakar dengan pasukan Toyota Gazoo Racing, serta menyatakan bahawa enjin 2.8 liter pada trak pikap tersebut akan menjana lebih kuasa.

    Persoalannya, berapa besar tambahan kuasa yang akan diberikan tersebut? Menurut laporan portal dari Thailand, Headlightmag, model 2.8 liter berkenaan masih akan dijana oleh enjin turbodiesel 1GD-FTV. Namun dengan sentuhan semula yang diberikan, ia mampu menjana kuasa 205 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Ini bermaksud, tingkat taraf yang diberikan membolehkan enjin berkenaan mengekstrak 27 PS dan 50 Nm lebih dari jumlah sebelum ini dengan hanya 177 PS/450 Nm, dan Hilux bakal mempunyai tenaga yang sama seperti trak pikap berprestsi tinggi Ford Ranger Raptor.

    Toyota Hilux facelift  dilapor akan terima 205 PS/500 Nm dari enjin 2.8 liter turbodiesel, muncul 4 Jun ini

    Laporan portal berkenaan turut menyebut bahawa model ini akan didedahkan pada 4 Jun ini, bersama-sama SUV Toyota Fortuner, juga dijana enjin yang sama. Walau bagaimanapun, versi dengan enjin 2.4 liter turbodiesel masih dijana oleh enjin sama menghasilkan 150 PS dengan tork 343 Nm untuk versi kotak gear manual dan 400 Nm untuk model yang diberikan kotak gear automatik.

    Menurut Toyota Eropah, unit Hilux prototaip yang diuji Fernando Alonso berkenaan bukan sahaja dijana oleh enjin lebih berkuasa, malah turut hadir dengan geometri suspensi baharu.

    “Enjin 2.8 liter baharu ini memberikan respon yang sangat baik dan suspensi baharu dirasakan sangat bagus. Walaupun anda pandu Hilux ini pada tahap maksimum, ia masih lagi selesa. Saya rasa Hilux baharu ini akan sukar untuk dikalahkan,” kata Alonso.

    Dalam pendedahan sebelum ini, dapat dilihat rupa Hilux facelift ini juga menerima rombakan yang besar, menampilkan lampu hadapan Bi-beam LED, lampu kombinasi belakang dengan grafik LED berbentuk-B, rim aloi 18-inci baharu, serta dilengkapi Toyota Safety Sense, dan berberapa warna badan baharu.

     
     
  • Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Sejak semalam, 1 Jun 2020, suasana automotif di Malaysia nampak meriah betul. Maklumlah selepas PKP yang ketat sebelum ini, kini banyak perniagaan sudah memulakan operasi. Lebih penting, sejak semalam juga, banyak model-model baru diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, walaupun bukan lagi dalam cara yang biasa ia diadakan.

    Jika anda terlepas pandang, Mercedes-Benz sahaja melancarkan tiga model kompak AMG yang menawan — Mercedes-AMG A45 S 4Matic+, CLA45 S 4Matic+ dan A 35 4Matic. Selain itu, semalam juga Subaru Malaysia perkenalkan Forester GT Edition 2020. Dan, hari ini, Honda Malaysia pula memperkenalkan secara rasmi model BR-V facelift 2020.

    Tentulah, akan banyak lagi model baru yang menyusul. Diam-diam, antara yang paling menarik perhatian sebenarnya adalah dari Toyota. Melalui laman web rasmi, walaupun sedikit agak tersorok iklan teasernya, model RAV4 mula ditunjukkan dengan pesan “Coming Soon”. Tak ada pautan atau maklumat lanjut tentang itu, tetapi ia seolah-oleh mengesahkan bahawa SUV berkenaan akan tiba di Malaysia secara rasmi dalam masa terdekat.

    Toyota RAV4 akan tiba di Malaysia tak lama lagi?

    Toyota RAV4 baru ini diletakkan atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA). Dengan itu, ia dapat menggunakan suspensi multi-link di belakang, yang menurut Toyota, dapat memberikan pengendalian, kawalan serta NVH yang lebih baik.

    Hujung tahun lalu, model ini dipilih sebagai pemenang bagi anugerah Kereta Tahunan Jepun 2019. RAV4 layak kerana “ia memenuhi semua keperluan di peringkat tinggi”, dan juga ditawarkan dengan tiga jenis sistem pacuan semua-roda. Lain-lain daya penariknya termasuklah pengendaliannya yang selesa, harganya, ruang penyimpanan barang dan modul komunikasi data eksklusif di Jepun.

    Untuk versi pasaran Malaysia, belum ada perincian lanjut yang didedahkan. Untuk itu, terus bertenang dan perhatikan ruang ini untuk kemaskini berkaitannya nanti.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Semalam, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan tiga model A-Class generasi baharu talaan AMG iaitu model hatchback A45 S, versi lebih rendah A35 dan juga coupe empat-pintu CLA45 S. Namun disebabkan negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelancaran tersebut hanya dilakukan secara digital dan set gambar yang kami dapat adalah dari rasmi dari MBM sendiri.

    Hari ini jurugambar profesional kami, Shermen Sim telahpun diberi kesempatan untuk merakamkan dengan lebih terperinci tiga model berkenaan. Jadi, ini adalah galeri lengkap Mercedes-AMG CLA45 S, manakala A 45 S pula anda boleh lihat pada PAUTAN INI.

    Tidak seperti model generasi sebelumnya, AMG 45 kini hadir dalam dua versi iaitu model standard juga versi paling berkuasa dengan lencana S. Pasaran Malaysia tidak ditawarkan dengan model standard, sebaliknya hanya menerima model paling liar Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM448,888.

    CLA45 S generasi C118 ini dijana oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo M139 baharu, menjana 421 PS dan tork maksima 500 Nm. Untuk model standard yang tidak ditawarkan di sini, ia masih diberikan enjin sama tetapi dengan talaan kuasa hanya sedikit tinggi dari model generasi sebelumnya iaitu 387 hp/480 Nm.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift 8G, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic+. Ini membolehkan CLA45 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

    Dengan kuasa yang lebih besar serta sistem pacuan semua roda 4Matic+ yang lebih dinamik, CLA45 generasi baharu ini hadir dengan ‘Drift Mode’ membolehkan ia menggelangsar seakan kereta rali. Mod berkenaan dapat dihasilkan menerusi teknologi yang digelar AMG Torque Control. Menerusi teknologi ini, CLA45 dibekalkan dengan gandar belakang baharu yang dilengkapi klac pelbagai cakera. Lebih informasi berkenaan teknikal jentera ini boleh anda baca pada artikel utama pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Walaupun diasaskan dari kerangka yang sama, CLA45 AMG tampil dengan rupa yang jauh lebih liar dari CLA biasa. Bahagian muka, seperti model-model tertinggi AMG lain, ia menerima gril Panamericana diapit oleh lampu hadapan Multibeam LED. Bampar hadapan juga hadir dengan liang kemasukan udara yang besar bersama apron yang kelihatan seperti sayap jet.

    Dengan trek roda yang lebih lebar, fender hadapan CLA 45 ini juga direka lebih gemuk dari CLA standard. Di belakang, bamparnya diberikan elemen diffuser dengan perumah untuk menempatkan sepasang tip ekzos bulat bersaiz besar. Lencana ‘S’ turut diberikan pada bahagian belakang bagi memberikan amaran ia adalah dari versi paling ganas, serta hadir dengan rim berdiameter 19-inci.

    Pada bahagian dalaman, rekaan asas kabin A-Class masih jelas kelihatan, dengan skrin sistem infotaimen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) sebagai bintang utama. Seperti biasa, model AMG sebenar ini akan diberikan sentuhan perlumbaan dengan tempat duduk Sport bersama upholsteri kulit buatan Artico hitam dan gentian mikro Dinamica.

    GALERI: Mercedes-AMG CLA45 S 4Matic+ di Malaysia – RM448,888, 2.0L turbo 421 PS/500 Nm dan Drift Mode

    Kabin CLA 45 yang muncul ketika dilancarkan ini menerima serlahan-serlahan merah pada bahagian tertentu seperti tali pinggang keledar, dan liang penghawa dingin. Ia turut dipadankan dengan roda stereng AMG Performance, bersama paparan instrumen AMG di belakangnya, yang hadir dengan tema Classis, Sport dan Supersport.

    Paparan istimewa tersebut juga boleh memaparkan informasi-informasi lebih istimewa seperti jumlah G-Force ketika mengambil selekoh dan jam randik. Manakala sistem MBUX pada hot-hatch ini hadir dengan fungsi tambahan AMG Track Pace, iaitu sistem yang mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau.

     
     
  • GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    Mercedes-AMG A45S 4Matic+ dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan semalam bersama dua lagi model kompak prestasi lain, iaitu CLA45 S 4Matic+ dan juga A35S 4Matic. Harga jualannya ialah RM459,888.

    Ia dilengkapi enjin M139 2.0 liter yang baru dibangunkan, menjadi antara enjin empat-silinder turbocas paling berkuasa pernah dihasilkan dengan janaan 421 PS – ini mecatatkan peningkatan sebanyak 40 PS. Jumlah tork juga diberi pertambahan; daripada 475 Nm kepada 500 Nm bagi model terbaru ini. Enjin berkenaan digandingkan pula dengan sistem transmisi AMG Speedshift DCT-8G klac berkembar baru dengan lapan-kelajuan.

    GALERI: Mercedes-AMG A45S 4Matic+ W177 di M’sia

    Unit berkenaan membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 270 km/h. Unit enjin baru ini dikilang menggunakan prinsip atau mendekatan “One Man, One Engine” di Affalterbach.

    Untuk pasaran Malaysia, A 35 4Matic dan A 45 S 4Matic+ di datangkan dengan pakej terhad Edition 1. Ini memberikan penampilan yang lebih agresif bagi A 45 S 4Matic+; apron depan yang khusus, gril AMG dengan perincian perak serta bonet dengan rekaan “kubah” khas, rim aloi 19-inci AMG lima-jejari dalam hitam kesat dan kaliper brek merah serta ekzos berkembar yang membezakannya daripada A 35 4Matic. A 45 S ditawarkan dalam dua warna — designo mountain grey magno dengan perincian kuning matahari dan satu lagi, sebaliknya.

     
     
  • Toyota Corolla 2020 dapat Paparan Audio 9-inci baharu – sokongan Android Auto, Apple CarPlay; lebih RM3k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah memberikan sedikit kemas kini untuk model Toyota Corolla 2020 yang hadir dengan unit utama Paparan Audio untuk varian tertinggi 1.8G. Dengan semakan ini, 1.8G kini dijual pada harga 139,888 atas jalan tanpa insurans, di mana ia lebih RM3,000 berbanding sebelum ini.

    Unit utama ini lebih kurang sama seperti yang ditampilkan pada Fortuner dan Innova, dengan skrin sesentuh sembilan-inci yang turut menerima sokongan Android Auto, Apple CarPlay dan Miracast. Walau bagaimana pun, tiada perubahan untuk varian asas 1.8E, yang masih dikekalkan dengan sistem 6.8-inci yang sama.

    Malah harga untuk 1.8E juga kekal pada paras 128,888 dan tidak didatangkan dengan pilihan untuk memasang sistem Paparan Audio dengan kos tambahan. Senarai aksesori tambahan juga masih kekal sama, termasuk paparan pandangan panoramik 3D (RM2,700), perakam video digital hadapan dan belakang (RM1,100) dan Sistem Telematik Kenderaan (VTS berharga RM1,450.

    Toyota Corolla 2020 dapat Paparan Audio 9-inci baharu – sokongan Android Auto, Apple CarPlay; lebih RM3k

    Lain-lain spesifikasi untuk kedua-dua varian masih kekal sama seperti sebelum ini, termasuklah enjin 2ZR-FE 1.8 liter empat-silinder petrol dengan 139 PS (137 hp) dan tork 173 Nm. Ia dipadankan dengan Shiftmatic CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, bersama dua mod pemanduan (Sport dan Eco).

    1.8E menerima lampu utama halogen larasan manual, roda aloi 16-inci (dengan tayar siri 205/55) lampu belakang LED, kamera undur serta penderia parkir hadapan dan belakang serta lampu kabus untuk ciri standard.

    Lain-lain ciri termasuklah kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, paparan kluster instrumen TFT LCD 6.8-inci, kawalan suhu automatik zon-tunggal dengan corong di belakang, unit utama skrin sesentuh 6.8-inci dengan enam-pembesar suara, balutan upholstery kulit rona hitam dan tempat duduk pemandu dengan larasan berkuasa lapan-hala.

    Ciri tambahan untuk varian 1.8G termasuklah lampu utama projektor LED, roda aloi 17-inc (dengan tayar 225/45), paparan instrumen Optitron tujuh-inci, kawalan suhu dwi-zon, balutan upholstery kulit rona itam, brek parkir elektronik (dengan penahan auto), pedal penukar gear, tirai tingkap sisi belakang, pengecas tanpa wayar Qi, paparan pandangan panoramik 3D, VTS dan perakam video digital.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian 1.8E dan 1.8G didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, tirai sisi dan lutut pemandu), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC), ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak Isofix.

    1.8G turut ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Toyota Safety Sense. Ini termasuklah Sistem Pra-Pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng dan Bantuan Kesan Lorong (LTA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC), Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan Pemantauan Titik Buta (BSM).

     
     
  • Honda BR-V facelift 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Honda BR-V <em>facelift</em> 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Honda Malaysia dengan rasminya memperkenalkan Honda BR-V 2020, tiga bulan selepas model MPV tujuh-tempat duduk ini dibuka untuk tempahan. Sama seperti sebelum ini, hanya dua varian ditawarkan, bermula dengan BR-V E berharga RM89,900 dan varian paling tinggi, V pada harga RM96,900.

    Kedua-dua harga ini lebih tinggi daripada penawaran terdahulu. BR-V E dikenakan harga RM8,911 (+11%) lebih tinggi daripada yang lama, sementara varian V pula RM9,199 (+10.5%) lebih tinggi. Ini berikutan kenaikan harga yang diumumkan oleh Honda Malaysia pada Februari lalu, yang menyaksikan harga bagi Jazz, City dan CR-V juga naik.

    Bagaimanapun, kelengkapan pada BR-V baru ini diberi peningkatan selari dengan kenaikan harga itu. Dari luaran, perbezaan yang terlihat tidak terlalu ketara. Antara yang baru ialah gril baru, bampar dikemaskini dengan perincian tambahan di bawah (hanya varian V datang dengan lampu kabus), rim aloi 16-inci baru dengan tayar 195/60, antena “shark fin” serta bampar belakang baru dengan pemantul cahaya menegak.

    Honda BR-V <em>facelift</em> 2020 kini di Malaysia, dari RM90k

    Di dalam, kelengkapan seperti tweeter, pencahayaan kabin, penapis kabin, pendingin hawa automatik, sistem tanpa kunci dan butang Push Start adalah standard. Sementara bagi varian V, ia menerima sistem paparan audio tujuh-inci baru, kerusi kulit dengan perincian merah, paddle shifter serta tombol gear kemasan merah. Ciri sedia ada seperti lipatan kerusi 60:40 sekali sentuh dan tumble function bagi kerusi barisan kedua dan tiga masih dikekalkan.

    Enjin masih sama, menggunakan unit 1.5 liter empat-silinder SOHC i-VTEC yang menghasilkan 120 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm pada 4,600 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT. Kelengkapan keselamatan juga kekal sama; dua beg udara depan, ABS dengan EBD, dua Isofix di barisan kedua serta tujuh tali keledar tiga-poin.

     
     
  • Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Kes kemalangan maut yang disebabkan pemandu mabuk bukan isu retorik politik seperti yang dianggap sesetengah pihak. Perkara ini benar-benar sedang parah dan pemandu mabuk seakan torpedo yang ditembak membabi buta yang akan mengorbankan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah, tidak mengira siapapun anda.

    Mengikut rekod dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sendiri, dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja (walaupun sekitar dua bulan rakyat Malaysia ‘dikurung’ tidak boleh keluar malam kerana Perintah Kawalan Pergerakan), sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk ini telah dilaporkan.

    Justeru, kerajaan perlu segera menangani perbuatan mereka yang langsung tidak bertanggungjawab ini. Pihak yang kita harapkan iaitu Kementerian Pengangkutan (MoT) nampak sudah memulakan langkah mereka – selepas menjalankan kaji selidik untuk mengumpul pendapat dari orang awam bulan lalu, semalam satu mensyuarat khas bersama agensi-agensi di bawah MoT telah pun berlangsung.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong, mensyuarat pada 1 Jun berkenaan adalah untuk membincangkan secara terperinci mengenai cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya mengenai pemanduan di bawah pengaruh alkohol/dadah/merbahaya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    “Pindaan kepada Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333 ini dalam proses untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya dapat dibawa ke Parlimen untuk kelulusan. Ini adalah semata-mata demi kepentingan serta kebaikan rakyat dan negara secara menyeluruh.

    “Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa isu ini amat serius bagi Kementerian Pengangkutan. Apa yang saya boleh katakan buat masa sekarang, hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta 333,” jelasnya dalam satu hantaran pada laman facebook rasmi beliau.

    Dr. Wee turut memberitahu, sebagai langkah untuk mencegah perkara ini bukan sahaja hukuman lebih berat akan diberikan kepada mereka yang telah ditangkap selepas terlibat dalam kemalangan, malah MoT turut menfokuskan kepada pindaan akta dari segi mengenakan hukuman yang lebih berat dan mengetatkan paras nilai ambang pengaruh alkohol dalam darah/pernafasan/air kencing, serta terhadap kependidikan iaitu memberi kesedaran awam mengenai betapa pentingnya menjadi pemandu yang bertanggungjawab.

    Beliau menegaskan bahawa usaha ini memerlukan peranan semua pihak agar masyarakat kita dapat dididik sedari usia kecil mengenai keselamatan jalan raya.

    “Saya ingin ingatkan kepada pengguna jalan raya supaya jadilah pemandu bertanggungjawab dengan tidak memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol atau dadah atau memandu secara merbahaya. Janganlah menggadaikan keselamatan serta nyawa diri sendiri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya.

    Pindaan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sudah dibentang kepada Menteri Pengangkutan

    Menerusi kenyataan yang dibuat minggu lalu, menteri berkenaan mengatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan bulan ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan minggu lalu, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

    Beliau juga berkata, sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari turut senada dengan perkara berkenaan dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan akta berkenaan secepat yang mungkin.

     
     
  • Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Pengenalan Porsche 911 Targa 4S untuk model generasi baharu 992 pada bulan lalu sebenarnya sudah cukup untuk mengimbau rekaan ikonik pengeluar kereta sport dari Jerman ini. Namun tidak cukup dengan itu, Porsche kini memperkenalkan pula model edisi terhad yang digelar 911 Targa 4 Heritage Design Edition bagi memperingati lagi rekaan-rekaan warisan jenama berkenaan.

    Model istimewa ini hanya dihasilkan sebanyak 992 unit di seluruh dunia. Dihasilkan oleh Porsche Exclusive Manufaktur, ia tampil dengan rekaan bersejarah Porsche pada bahagian luaran dan dalaman dengan mengambil inspirasi dari model-model ikonik dari era 1950’an dan awal 1960’an.

    Rekaan ‘Targa Top’ – iaitu rekaan bumbung boleh buka tetapi masih mengekalkan tiang-B keras – yang begitu sinonim dengan Porsche 911 dikekalkan pada versi ini. Lima warna badan ditawarkan dan warna Cherry Metallic tampil sebagai warna hero.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Kemudian ia diberikan princian-perincian untuk memperingati model-model klasik Porsche seperti emblem dan logo berwarna emas seperti model-model era 50’an, serta rim 20/21-inci Carrera Exclusive Design yang diilhamkan dari rim Fuchs Porsche Turbo klasik.

    Model istimewa ini juga diberikan grafik badan seperti livery perlumbaan Porsche ketika zaman awal mereka berlumba, serta lencana Porsche Heritage pada ruang kargo seperti lencana yang dianugerahkan kepada model klasik Porsche 356 apabila ia mencecah perbatuan 100,000 km.

    Dalam kabin pula model istimewa ini hadir dengan warna dua tona sama ada dengan kulit Bordeaux Red atau hitam digandingkan dengan kulit OLEA club berwarna Atacama Beige. Fabrik Corduroy turut digunakan pada tempat duduk dan kemasan pintu yang bukan sahaja memberikan suasana era 50’an, tetapi juga sebagai ‘meniru’ material yang digunakan pada Porsche 356.

    Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition didedah – model edisi terhad dengan bumbung & ciri ikonik

    Walaupun panel instrumen kekal moden dengan penggunaan teknologi digital sepenuhnya, ia tetap diberikan perisa klasik pada rekaan grafiknya, dibantu dengan jam randik yang menyala dengan cahaya hijau. Nombor unik berlainan untuk setiap unik diletakkan pada kemasan papan pemuka model ini.

    Model edisi terhad ini juga diberikan emblem ‘Porsche Crest’ klasik yang diperkenalkan pada tahun 1963. Ia boleh ditemui ditekap pada perehat kepala tempat duduk dan sarung kunci, serta pada bonet, penutup tengah rim, roda stereng dan juga pada kunci.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana model Heritage Design Edition ini kekal digerakkan penjana sama dengan Targa 4S, iaitu enjin boxer enam-silinder 3.0 liter berkuasa 450 PS dan tork maksima 530 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik PDK lapan-kelajuan, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda. Dengan sistem launch control, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 3.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 304 km/j.

    Porsche turut memperkenalkan jam tangan 911 Targa 4S Heritage Design Edition Chronograph yang dihasilkan khas untuk pemilik-pemilik Targa 4S Heritage Design Edition ini.

    Di Amerika Syarikat, Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dijual pada harga bermula US$180,600 (RM776,724), dan ia dijangka akan mula dihantar kepada pelanggan pada lewat tahun ini. Nak sekali dengan jam? Anda perlu menambah lagi bayaran sebanyak US$14,000 (RM60,211) untuk mendapatkannya.

     
     
  • PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    Bagi pekerja yang berulang alik di antara Kedah dan Pulau Pinang, tidak perlu risau untuk mendapatkan surat kebenaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor telah mengesahkan pekerja terbabit hanya perlu menunjukkan pas kerja dan surat majikan jika diperiksa polis di sekatan jalan raya yang terdapat di sempadan negeri.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas ada mesej tular di media sosial yang mendakwa pekerja berulang alik antara Kedah dan Pulau Pinang perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

    PKPB: Pekerja yang berulang-alik antara Pulau Pinang-Kedah tidak perlu permit rentas negeri

    “Sejak semalam, tular isu perlu dapatkan surat kebenaran daripada PDRM jika mahu melakukan rentas negeri bagi kategori bekerja malah ada pengguna laman sosial mendakwa mereka telah diarah patah balik oleh polis di sekatan jalan raya kerana tiada surat kebenaran.

    “Jadi, saya nak jelaskan tidak perlu surat kebenaran daripada PDRM untuk rentas negeri, memadai mereka hanya tunjuk pas pekerja dan surat majikan. Cuma bagi rentas negeri untuk pulang ke kampung atau kes kecemasan atau kematian perlu dapatkan surat kebenaran dari ketua balai polis terdekat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah, ketika ini terdapat tiga sekatan jalan raya di sempadan Pulau Pinang dan Kedah iaitu di Kampung Jambatan Merdeka, Pinang Tunggal dan Permatang Bendahari.

    “Menerusi mesej yang tular itu, mereka turut mendakwa diarah berpatah balik oleh polis di sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, sedangkan tiada sekatan jalan raya di situ,” katanya.

     
     
  • Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS 2021 generasi keempat bakal muncul 9 Jun

    Lexus IS generasi ketiga yang ada ketika ini – masih tampil menarik dengan rekaan tajam – sebenarnya sudah berada dalam pasaran sejak 2013 lagi, dengan sekali facelift pada 2016. Kini, selepas tujuh tahun, generasi terbaru model akhirnya akan diperkenalkan tak lama lagi.

    Walaupun pengenalannya agak terlewat berbanding pesaing-pesaing lain, calon daripada pengeluar Jepun ini telahpun menunjukkan teaser bagi Lexus IS 2021, yang bakal menjadi model generasi keempatnya. Lexus memaklumkan, IS terbaru ini akan diperkenalkan dalam talian pada 6 Jun ini di Amerika Syarikat dan 10 Jun untuk pasaran Jepun.

    “Bagi merancakkan lagi segmen pasaran bagi kereta mewah kompak, Lexus akan memperkenalkan sedan sport IS 2021 minggu depan,” baris ayat seperti yang tertera pada hantaran media Lexus Amerika. Agak menarik juga model ini sebenarnya, kerana hingga sekarang, masih belum pernah terdedah penampilan keseluruhannya – termasuk dari imej-imej spyshot. Lexus menyimpan rahsia IS 2021 RWD ini dengan sangat baik dan cermat.

    Setakat ini, tak banyak yang boleh dilihat melainkan rekaan lampu belakang dengan LED khusus yang ada padanya, yang sekaligus memberikan penampilan yang khas untuknya.

     
     
  • PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Sejak Januari hingga Mei 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jika dibandingkan dengan tahun lalu, PDRM merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari hingga Disember.

    “Trend ini agak membimbangkan kalau kita lihat daripada segi angka itu, belum lagi kemalangan disebabkan kecuaian.

    “Semua rakyat pasti masih ingat petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) termasuk paling terbaru awal pagi semalam apabila seorang pemandu mabuk melanggar penunggang motosikal dan menyebabkan mangsa mati di lokasi.

    “Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa dibenarkan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    PDRM rekod 9 kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari-Mei 2020

    Tambahnya lagi, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan (APJ) terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Beliau berkata, seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang membenarkan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 50mg/100ml.

    Menurutnya, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pindaan hukuman berkenaan terutama bagi Seksyen 45A dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turut melahirkan kebimbangan terhadap kes pemandu mabuk yang meragut nyawa. Kalau tidak dikawal dengan begitu ketat di masa akan datang ia akan mengorbankan banyak lagi nyawa. Ini tidak memberi ketakutan kepada pemandu mabuk jika undang-undang dan agensi penguatkuasaan tidak dapat mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka.

    “Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

     
     
  • Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Versi terbaru bagi LC 500 kini sudah pun dilancarkan oleh Lexus Malaysia, dengan harga RM1.25 juta, tidak termasuk insurans, bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan. Jika dibandingkan dengan model yang dilancarkan pada tahun 2017, model baru yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini hanya sedikit lebih mahal dari sebelumnya. Pada 2018, harganya pernah dinaikkan menjadi RM1.242 juta – harga terbaru ini melibatkan sedikit lagi kenaikan, dengan pertambahan kelengkapan.

    Peningkatan yang diberikan kepada model terbaru ini telah didedahkan secara global April lalu, dengan kebanyakannya tersembunyi di sebalik badannya. Beratnya juga telah dikurangkan sebanyak 10 kg, hasil penggunaan aluminium pada lengan suspensi, anti-roll bar berdiameter lebih besar, spring berkekuatan tinggi dan rim 21 inci yang lebih ringan.

    Pengendalian kereta mewah ini juga dipertingkatkan dengan penggunaan penyerap prestasi baru di bahagian belakang, serta sistem Adaptive Variable Suspension (AVS) yang dirujuk semula. Kemudiannya, ia dilengkapi dengan fungsi Active Cornering Assist (ASA) – pembahagian tork menggunakan brek – manakala sistem stereng (termasuk Rear-wheel Steering) dipertingkat untuk menjadi lebih responsif.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Di bawah bonet LC 500 2020, enjin petrol V8 NA 5.0 liter 2UR-GSE yang sama masih digunakan, mampu menghasilkan kuasa 470 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm tork pada 4,800 rpm, tetapi transmisi automatik Direct Shift 10 kelajuan yang menyampaikan kuasa kepada roda belakang telah ditala semula untuk ‘menyimpan gear’ lebih lama semasa input minyak dalam “zon aktif” (antara 50 dan 70%) sebelum menukar ke gear lebih tinggi.

    Bahagian luar model ini masih lagi sama, dengan dua lagi pilihan warna ditambah iaitu Blazing Carnelian Contrast Layering and Terrane Khaki Mica Metallic. Untuk bahagian dalam pula, pelanggan boleh memilih kemasan warna merah, hitam atau oren.

    Sistem infotainmen Remote Touch pada LC 500 kini datang dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, dan ia dipaparkan pada skrin 10.3 inci yang lebih besar, dengan resolusi 1280 x 480 piksel. Turut ditambah adalah ciri Power Easy Access, yang membantu pemandu untuk masuk dan keluar dengan melaras tempat duduk serta stereng secara automatik.

    Lexus LC 500 2020 dilancar di Malaysia – RM1.25 juta

    Dalam senarai kelengkapan standard, LC 500 datang dengan lampu utama LED projector dengan lampu DRL LED, pengawal suhu dua zon automatik, sistem bunyi 13 pembesar suara Mark Levinson, panel instrumen digital lapan inci, tempat duduk yang dibalut Alcantara, bumbung gentian karbon, limited-slip differential Torsen serta spoiler belakang aktif.

    Tambahan lain bagi model 2020 ini adalah sistem keselamatan dan bantuan pemandu Lexus Safety System+ (LSS+), yang termasuk Front Pre-Collision System (PCS), Automatic High Beam (AHB), Lane Keeping System dan Dynamic Radar Cruise Control (DRCC). Beg udara kesemuanya ada lapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025