Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Corvette berenjin tengah sedang diuji

    SPYSHOT: Corvette berenjin tengah sedang diuji

    Gambar yang anda lihat ini adalah sebuah model Corvette enjin tengah yang sering diperkatakan dan akan tiba selepas model generasi C7 sekarang tamat kitaran hayatnya. Sebelum ini, Corvette terbaru yang dapat dilihat dalam imej spyshot adalah ZR-1 akan datang, yang dikata akan menggunakan pengecas turbo, dan bukannya supercharger seperti Z06.

    Enjin betul untuk model ini masih belum disahkan, tetapi khabar angin yang tersebar mengatakan kereta berenjin tengah ini akan datang dengan tiga pilihan enjin – dua enjin petrol biasa, dan satu hibrid. Dari aspek binaan, Corvette model baru ini akan menggunakan genitan karbon serta lapisan komposit yang diacu, iaitu satu bentuk gentian kaca polyester yang diperkuat (GRP).

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh Corvette berenjin tengah ini masih belum diketahui, tetapi Z06 mampu menghasilkan sehingga 650 hp dan 861 Nm tork, manakala ZR1 pula berkemampuan 700 hp.

    SPYSHOT: Corvette berenjin tengah sedang diuji

    Corvette berenjin tengah ini dijangka masuk fasa produksi pada Januari 2019 di kilang syarikat itu di Bowling Green, Kentucky, Amerika Syarikat, dengan semua varian berenjin tengah lain ditentukan untuk pertengahan tahun 2021. Model Corvette enjin depan yang ada sekarang dijangka diteruskan untuk produksi sehingga waktu yang sama.

    Apabila masuk ke pasaran nanti, selain Ford GT, Corvette enjin tengah ini juga akan menyertai beberapa lagi supercar Amerika lain yang berenjin tengah.

     
     
  • Mazda CX-8 – risalah SUV tiga baris kerusi bocor

    Mazda CX-8 – risalah SUV tiga baris kerusi bocor

    Beberapa hari selepas Mazda menyiarkan gambar luaran rasmi CX-8 akan datang, risalah jualannya pula tersebar dalam internet. Model SUV tiga baris tempat duduk khas untuk Jepun ini dapat dilihat penuh, termasuk apa yang ada pada bahagian dalamnya.

    Dari depan, SUV ini jelas mendapat identiti daripada CX-5 terbaru, dengan konsep rekaan sama seperti lampu hadapan yang nipis, dan terdapat jurang antara kemasan krom dan bonet. Grilnya pula menampilkan garisan melintang, hampir sama seperti yang terdapat pada CX-9.

    Bahagian belakang CX-8 juga dilihat mendapat inspirasi daripada model CX-9, dengan jarak bampar dan tayar yang hampir sama – lebih panjang daripada CX-5. Persamaan lain adalah termasuk lampu belakang yang juga mempunyai kemasan krom yang menyambungkan bahagian kiri dan kanan.

    Mazda CX-8 – risalah SUV tiga baris kerusi bocor

    Sebelum ini telah diketahui CX-8 menawarkan tempat duduk untuk sehingga tujuh orang dan dibahagikan di antara tiga baris tempat duduk. Dalam risalah yang bocor ini, tempat duduk baris kedua dilihat boleh didapati dengan tiga konfigurasi – dua kerusi kapten, bangku penuh atau dua tempat duduk individu dengan konsol tengah.

    Pada bahagian lain, CX-8 kelihatan menggunakan barangan CX-5 seperti papan pemuka, butang kawalan dan konsol tengah, tetapi perinciannya agak sukar dilihat. Tombol kawalan utama dan butang untuk sistem MZD Connect pula sudah biasa dilihat pada model Mazda yang lain.

    Kuasa untuk CX-8 akan datang daripada enjin diesel turbo SkyActiv-D 2.2 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive. Kuasanya masih belum diberitahu, tetapi boleh dijangka menghasilkan 172 PS dan 420 Nm berdasarkan enjin sama yang digunakan pada CX-5.

     
     
  • Tata Motors tarik diri dari Geneva 2018, batal projek kereta sport – tiada Tamo Racemo versi produksi

    Tata Motors tarik diri dari Geneva 2018, batal projek kereta sport – tiada Tamo Racemo versi produksi

    Tahun lalu, Tata Motors menampilkan Racemo – kereta sport konsep dua-pintu – di Geneva Motor Show yang dibina sub-jenamanya iaitu Tamo. Kereta berkenaan turut diperkenalkan di dalam permainan video Forza Horizon 3 bagi membolehkan orang ramai memandu ujinya dalam bentuk maya.

    Namun menerusi laporan terbaharu oleh Autocar India, Tata telah mengambil keputusan untuk membekukan dahulu jenama Tamo berkenaan, menyebabkan projek Racemo turut terkubur sekali. Langkah berkenaan diambil kerana dana yang digunakan oleh Tamo diperlukan untuk projek lain yang lebih penting, melibatkan produk yang lebih mesra pengguna.

    Walau bagaimanapun, laporan tersebut turut menyebut, sumber dalaman yang rapat dengan perkara ini menyatakan Tata tetap akan menghasilkan Racemo sebenar sebelum Tamo ditutup sepenuhnya, tetapi bukan sebagai model produksi besar-besaran. Sehingga kini, kenyataan rasmi dari Tata sendiri masih lagi belum dikeluarkan.

    Tata Motors tarik diri dari Geneva 2018, batal projek kereta sport – tiada Tamo Racemo versi produksi

    Tamo Racemo dibina berasaskan struktur yang digelar MOFlex Multi-Material Sandwich (MMS), dengan menampilkan suspensi double wishbone pada keempat-empat sudut. Direka di studio Tata Motors Design terletak di Turin, Itali, Racemo dijana enjin petrol 1.2 liter turbo berkuasa 190 PS/210 Nm digandingkan bersama transmisi manual automated.

    Selain dari pembatalan projek ini, Tata juga menarik diri dari Geneva Motor Show 2018, sebagai langkah untuk menjimatkan lagi 30 kror rupee (sekitar RM20 juta) menerusi kos penyertaan dan juga pembangunan konsep yang dibatalkan. Jika tidak menarik diri, 2018 menjadi tahun ke-20 berturut-turut Tata menyertai acara pertunjukkan permotoran terbesar dunia berkenaan.

    GALERI: Tamo Racemo+

    GALERI: Tamo Racemo

     
     
  • Yamaha V-ixion R (FZ150) diperkenalkan di Indonesia – guna enjin 155 cc VVA sama seperti R15, harga RM9.3k

    Yamaha V-ixion R (FZ150) diperkenalkan di Indonesia – guna enjin 155 cc VVA sama seperti R15, harga RM9.3k

    Pada bulan April yang lalu, Yamaha Indonesia telah memperkenalkan model V-ixion (juga dikenali sebagai FZ150i di negara kita) yang diperbaharui. Bagi model V-ixion biasa, walaupun dipertingkat dengan antaranya klac jenis assist & slipper dan lampu LED, ia masih mengekalkan enjin 149.8 cc berkuasa 16.36 hp dan 14.5 Nm yang sama. Satu lagi model yang diperkenalkan pada waktu yang sama, iaitu V-ixion R adalah lebih istimewa.

    Ini kerana ia menggunakan enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api 155.1 cc dengan teknologi VVA dan ini adalah enjin yang sama dengan model R15. Ia mampu menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm, seterusnya adalah lebih sporty. Transmisi enam kelajuan yang digunakan juga mempunyai klac assist & slipper yang baru.

    Bukan setakat enjin, beberapa bahagian lain juga diambil daripada R15 termasuk kerangka, roda dan lengan ayun. Jika dibandingkan dengan V-ixion biasa, V-ixion R ini mempunyai jarak roda lebih panjang 25 mm, 1 kg lebih ringan dan mempunyai tayar belakang lebih lebar (130/70). Bahagian lain masih sama iaitu terdapat brek cakera di depan dan belakang, suspensi fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

    Untuk penampilan, V-ixion R ini mengenakan rekaan yang lebih sporty dan turut mendapat lampu jenis LED di depan dan belakang untuk pencahayaan yang lebih terang dan meter jenis digital. Selain panel tepi tangki baru, ia juga mempunyai panel tambahan di bawah enjin. Dibandingkan lagi dengan V-ixion biasa, V-ixion R ini mempunyai kapasiti tangki minyak kurang 1 liter.

    Walaupun sudah dipertonton beberapa bulan yang lalu, Yamaha Indonesia baru sahaja mengeluarkan harga jualan untuk V-ixion R, iaitu Rp28,800,000 (RM9,255). Model V-ixion biasa pula dijual pada harga lebih rendah iaitu Rp26,000,000 (RM8,355). Model sport R15 pula dijual pada harga Rp34,500,000 (RM11,087).


     
     
  • Mazda CX-5 baharu ditemui atas jalan di Malaysia

    Mazda CX-5 baharu ditemui atas jalan di Malaysia

    Mazda CX-5 generasi kedua telah ditemui di Malaysia, dan ia hanya dijangkan akan dilancar pada bulan September ini. Walaupun begitu, model ini telah diperkenalkan di negara jiran termasuk Filipina dan Singapura, manakala di Malaysia, ketibaannya telah pun diumumkan.

    Melalui gambar yang dihantar oleh pembaca paultan.org, Alan Ong ini, kita dapat melihat sebuah CX-5 yang menggunakan warna Meteor Grey dan rim aloi 19 inci. Agak sukar untuk menentukan varian sebenarnya, tetapi berdasarkan lencana yang ada di bahagian kiri belakangnya, ia boleh jadi adalah model pacuan roda hadapan. Lencana sebelah kanan adalah untuk tulisan SkyActiv.

    Mazda CX-5 mengekalkan pilihan enjin sama seperti model sebelumnya iaitu enjin 2.0 dan 2.5 liter SkyActiv-G, serta enjin 2.2 liter SkyActiv-D diesel, dan pilihan ini mungkin juga akan ditawarkan untuk model spesfikasi Malaysia nanti.

    Mazda CX-5 baharu ditemui atas jalan di Malaysia

    Pada bulan April, semasa pelancaran model yang dilengkapi G-Vectoring Control, ketua pegawai eksekutif Bermaz, Datuk Seri Ben Yeoh telah menyatakan bahawa CX-5 baru akan dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, iaitu tempat sama yang memasang CX-5 generasi pertama.

    Apabila tiba dalam pasaran nanti, pesaing utama CX-5 adalah Honda CR-V, yang datang dengan ciri keselamatan lengkap bagi model spesifikasi tinggi. Antara dua model ini, mana satu yang menarik bagi anda? Ataupun anda lebih suka model yang lain?

    GALERI: Mazda CX-5 generasi kedua

     
     
  • Mazda umum khidmat produksi semula alat ganti dan restorasi Roadster MX-5 generasi pertama di Jepun

    Mazda umum khidmat produksi semula alat ganti dan restorasi Roadster MX-5 generasi pertama di Jepun

    Generasi pertama roadster Mazda MX-5 (dikenali dengan kod casis NA) kini telah pun berusia 28 tahun, namun kereta berkenaan kebanyakkan masih lagi dipandu dan disayangi pemilik-pemiliknya. Oleh itu, Mazda telah mengumumkan khidmat restorasi model berkenaan di Jepun bagi membolehkan pemilik-pemilik roadster asli berkenaan menyegarkan kembali kereta mereka dan boleh dipandu lebih lama lagi.

    Menurut Mazda, khidmat berkenaan melibatkan dua servis iaitu proses restorasi dan juga pembekalan semula komponen alat ganti, disasarkan untuk membolehkan pelanggan mereka memandu MX-5 NA dalam tempoh masa lebih lama.

    Untuk restorasi, Mazda akan mengembalikan kereta-kereta pelanggan hampir kepada keadaan asalnya seperti baharu dahulu. Syarikat berkenaan akan mula menerima kemasukan bermula tahun ini dan akan memulakan servis tersebut pada 2018. Mazda akan berjumpa terus dengan pelanggan dan akan menjalankan servis mengikut status dan keperluan sesebuah kereta tersebut.

    Semua kerja-kerja berkenaan akan dijalankan di fasiliti Mazda sendiri, dan jenama berkenaan merancang untuk mewujudkan garaj kereta klasik yang diiktiraf dengan sijil dari TÜV Rheinland Japan Co., Ltd. bagi membolehkan mereka menghasilkan kerja restorasi berkualiti tinggi untuk pelanggan.

    Untuk pembekalan semula komponen alat ganti pula, Mazda bakal memproduksi semula alat-alat ganti asli Roadster tersebut dan jualannya akan bermula pada tahun 2018. Antara komponen yang akan dihasilkan semula tersebut termasuk tayar Bridgestone SF325 dengan saiz asal 185/60R14, tombol gear dan juga stereng kayu dari Nardi dan juga bumbung soft top dengan rekaan fabrik vinil sama seperti rekaan asal model tersebut.

    Mazda berharap dengan segala usaha yang mereka jalankan ini, ia akan menggembirakan pemilik-pemilik Roaster MX-5 NA serta mewujudkan hubungan istimewa antara jenama berkenaan dan pelanggannya.

     
     
  • SUV elektrik berasaskan Nissan Leaf generasi baharu mungkin dipanggil Terra, paten nama didaftar di M’sia

    SUV elektrik berasaskan Nissan Leaf generasi baharu mungkin dipanggil Terra, paten nama didaftar di M’sia

    Nissan Leaf generasi berikutnya akan membuat penampilan bulan hadapan, dan nampaknya, beberapa model kereta elektrik lain akan dihasilkan berasaskan kereta tersebut. Menurut laporan Autocar, salah satu daripadanya adalah SUV, yang mungkin akan dipanggil sebagai Nissan Terra.

    Ini adalah kerana paten untuk nama Nissan Terra tersebut telah didaftar di Malaysia awal bulan ini. Kenapa Malaysia? Menurut majalah dari United Kingdom tersebut, langkah mendaftar paten di tempat yang kurang menjadi tumpuan adalah demi menyembunyikan pergerakan mereka daripada perhatian ramai.

    Nama Terra sebelum ini digunakan pada SUV elektrik konsep yang pernah ditunjukkan pada tahun 2012 di Paris Motor Show dan ia menggunakan sumber kuasa elektrik sama seperti Leaf untuk memusingkan tayar hadapannya, dan ditambah dengan dua motor hydrogen fuel-cell untuk kuasa pada roda belakang.

    SUV elektrik berasaskan Nissan Leaf generasi baharu mungkin dipanggil Terra, paten nama didaftar di M’sia

    Nissan Terra versi produksi untuk masa hadapan akan menggunakan sumber kuasa lebih maju daripada Leaf generasi kedua, yang dijangka dapat memberi jarak pergerakan sehingga 550 km, dan sekiranya benar, adalah satu kali ganda lebih berbanding Leaf yang ada sekarang. Leaf baru ini juga akan dilengkapi dengan bentuk lebih aerodinamik, ciri pemanduan satu pedal dan teknologi bantuan pemandu ProPilot.

    Dengan adanya pilihan pek bateri baru, Nissan dapat menjual kenderaan elektrik generasi berikutnya dalam pelbagai spesifikasi – bateri paling besar dijangka dapat memberi kuasa satu kali ganda lebih berbanding bateri lithium-ion 30 kWh yang ada pada Leaf sekarang. Varian lebih murah dengan bateri yang kurang berkuasa juga akan ditawarkan.

    Penghasilan lebih banyak model daripada platfrom Leaf baru akan membantu Nissan mengurangkan kos pembangunan, dan ia juga adalah langkah sama seperti yang diambil oleh Tesla dengan penghasilan SUV Model Y, berasaskan Model 3.

    GALERI: Nissan Terra Concept 2012

     
     
  • Rapid Rail benarkan penumpang bawa basikal dalam tren LRT setiap Ahad minggu pertama dan ketiga

    Rapid Rail benarkan penumpang bawa basikal dalam tren LRT setiap Ahad minggu pertama dan ketiga

    Mulai semalam, Rapid Rail Sdn Bhd membenarkan orang ramai membawa bersama basikal bersaiz penuh ke dalam tren semasa menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, Ampang dan Sri Petaling, iaitu pada setiap Ahad minggu pertama dan ketiga.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman berkata orang ramai dibenarkan membawa basikal itu bermula 6 pagi hingga 10 pagi sebagai menyokong program ‘KL Car Free Morning’, laporan Bernama.

    Sebelum ini, orang ramai hanya dibenarkan membawa basikal lipat ke dalam tren-tren LRT, monorel, dan MRT di luar waktu puncak, pada hari Isnin hingga Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti am.

    “Langkah ini akan memudahkan peserta ‘KL Car Free Morning’. Sekarang mereka tidak perlu membawa kereta ke dalam bandar bagi memelihara alam sekitar dan mengurangkan penghasilan karbon di udara,” katanya selepas pelancaran ‘Bike and Ride’ semalam.

    Rapid Rail benarkan penumpang bawa basikal dalam tren LRT setiap Ahad minggu pertama dan ketiga

    Katanya, menurut kajian yang dibuat melalui laman Twitter MyRapidKL menunjukkan 80% maklum balas bersetuju dan menyokong langkah membenarkan basikal berukuran penuh itu menaiki LRT manakala 20 peratus lagi berkecuali.

    “Sekiranya peringkat percubaan ini berjaya dan pengguna mematuhi segala syarat yang ditetapkan, kami akan mempertimbangkan untuk panjangkan program ini kepada hari lain dan tempoh waktu yang panjang sebelum ia turut dilaksanakan dalam perkhidmatan lain,” katanya.

    Tambahnya lagi, beberapa siri ‘riding simulation’ dengan kerjasama Prasarana Cycling Club dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah diadakan bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi tren adalah terjamin.

    “Mereka perlu memastikan langkah membawa basikal itu tidak memberikan sebarang risiko bahaya atau ketidakselesaan kepada para penumpang lain, pastikan basikal bersih dan ia dibawa dengan selamat tanpa merosakkan aset Rapid KL,” katanya.

    Dalam masa yang sama, inisiatif itu dilihat mampu meluaskan segmen sasaran dengan menarik golongan penggiat basikal, sekali gus meningkatkan bilangan penumpang selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran 40% rakyat menggunakan perkhidmatan awam menjelang 2030.

     
     
  • PLUS memperjelaskan fungsi CCTV di lorong tol

    PLUS memperjelaskan fungsi CCTV di lorong tol

    Merujuk kepada rakaman audio tentang fungsi kemera CCTV di lorong tol yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatApp pada ketika ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan bahawa setiap lorong tol dilengkapi dengan kamera CCTV untuk membantu operasi transaksi tol di lorong tol.

    Selain itu, ia turut memudahkan kakitangan tol memberi bantuan ketika pengguna menghadapi masalah di lorong-lorong tersebut.

    Pada ketika ini terdapat kira-kira 2,000 kamera CCTV dipasang di lorong tol di semua lebuh raya PLUS. Walau bagaimana pun, kamera-kamera CCTV tersebut tidak digunakan untuk mengesan kesalahan trafik.

    Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya berhati-hati dan mematuhi semua peraturan di jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.

     
     
  • Geely bakal lantik pengerusi baharu Proton – laporan

    Geely bakal lantik pengerusi baharu Proton – laporan

    Berita dari China melaporkan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) sedang mencari calon yang sesuai untuk dilantik sebagai pengerusi baharu Proton. Dan ada perkhabaran menyatakan Li Chungrong iaitu Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekusif Dongfeng Honda Engine bakal menyertai Geely Group sebagai pengerusi Proton.

    Laporan portal automotif Gasgoo memetik, “Geely sedang mencari dan memilih pengerusi Proton di seluruh dunia, dan Li Chunrong telah menyatakan hasrat untuk menyertainya. Namun buat masa ini jawatan berkenaan masih kosong,” ujar Timbalan Presiden Geely Group, Yang Xueliang.

    Li Chungrong menyertai Dongfeng Auto pada tahun 1987, dan telah mengendalikan pembangunan bagi kenderaan penumpang Dongfeng selama 10 tahun. Beliau baru saja dilantik sebagai Pengarah dan Timbalan Pengurus Besar Eksekusif Dongfeng Honda Engine pada akhir bulan lalu.

    Geely telah membeli 49.9% pegangan saham di Proton dan 51% saham di Lotus Group pada Jun lalu, menjadikannya sebagai rakan strategik asing Proton.

     
     
  • GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    Model SUV kompak Toyota C-HR mungkin menjadi antara model yang paling hangat dinantikan untuk tiba di Malaysia secara oleh peminat-peminat jenama itu, mahupun bagi mereka yang ingin tahu lebih banyak tentang penawarannya dan perbandingan dengan segmen yang sama.

    Memang bukan lagi rahsia, cuma UMW Toyota belum lagi memberikan apa-apa maklumat rasmi yang komprehensif tentang model berkenaan, tetapi telah beberapa kali mempamerkannya untuk tatapan umum. Kali pertama pada Mei lalu, dan bermula bulan ini, beberapa lokasi terpilih akan menjadi “pentas” terbaru dan terbuka bagi khalayak umum yang berminat untuk datang dan mendekati model berkenaan.

    Jika sebelum ini hanya bahagian luaran yang ditunjukkan, di dalam galeri terbaru ini kami sertakan pula koleksi gambar yang lebih menyeluruh, termasuk untuk ruang dalaman model berkenaan. Bagaimanapun, ia masih lagi unit yang sama seperti yang pernah dipertontonkan sebelum ini; unit dari pasaran dan spesifikasi Australia. Ia menggunakan enjin 1.2 liter turbo.

    GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

    Bagaimanapun, senarai spesifikasi bagi model yang akan dipasarkan di Malaysia nanti hampir sama dengan unit contoh ini, cuma penggunaan enjin adalah dari enjin 1.8L. Dijangka, untuk pasaran tempatan, C-HR nanti akan dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif lengkap termasuk , sistem masukan tanpa kunci serta hadir dengan tempat duduk kulit.

    Dari segi ciri-ciri keselamatan, unit yang dipamerkan ini turut lengkap dengan sistem seperti Pre-Collision Safety, Active Cruise Control, Lane Departure Alert, Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning dan Automatic High Beam.

    Kelengkapan lain termasuk paparan maklumat 4.2 inci pada kluster instrumen, lampu utama halogen dengan DRL LED, sistem pendingin hawa dwi-zon, rim aloi 17 inci dan kerusi fabrik. Apapun, spesifikasi pada unit yang dipamerkan ini bukanlah cerminan kepada kelengkapan spesifikasi bagi versi yang akan dijual di sini nanti.

    Namun, semua ini hanyalah maklumat awal dan bukannya dari sumber rasmi daripada UMW Toyota. Sementara kita menunggu ketibaan model ini tiba untuk pasaran Malaysia, tinjau dahulu perincian yang terakam oleh lensa kamera kami ini.

     
     
  • GALERI: Toyota Vios Sports Edition – suspensi boleh laras, kit badan, pelekat jalur perlumbaan, RM85,300

    GALERI: Toyota Vios Sports Edition – suspensi boleh laras, kit badan, pelekat jalur perlumbaan, RM85,300

    Model Vios istimewa yang dihasilkan sempena perlumbaan ‘one make’ Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge kini telah pun mula dipamerkan di bilik-bilik pameran Toyota. Model yang digelar Toyota Vios Sports Edition tersebut hanya ditawarkan dengan satu varian dan dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran RM85,300.

    Seperti namanya, model ini dibina mengambil inspirasi daripada jentera-jentera lumba yang menyertai siri perlumbaan berkenaan. Diasaskan dari model Vios 1.5J, ia diberikan kit badan yang terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, lips belakang dan juga spoiler belakang ‘tiang gol’ yang lebih besar dari versi standard.

    Ia juga menerima pelekat badan dengan jalur merah-hitam, sempena tema warna jentera-jentera perlumbaan sebenar Vios Challenge. Bagi melengkapkan rupa luarannya, rim 15-inci pelbagai jejari yang diambil dari varian 1.5G dipadankan tetapi diberikan kemasan berwarna hitam. Ia juga diberikan suspensi boleh laras tinggi-rendah, yang bukan sahaja menjadikan ia lebih cantik (dengan talaan asas 27 mm lebih rendah dari standard) malah turut membantu mendapatkan pengendalian lebih baik.

    Masuk ke bahagian kabin, model Sport Edition ini menerima tempat duduk lebih sporty dan juga aksesori-aksesori istimewa lain termasuk karpet kaki, tombol gear dan juga scuff plate bernyala. Lampu kaki pada dinding hadapan yang berwarna biru untuk Vios standard ditukar ke warna merah untuk versi istimewa ini.

    Walau bagaimanapun, Sport Edition tidak menerima sebarang peningkatan pada enjin dan ia masih dijana enjin 2NR-FE 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT (versi perlumbaan sebenar menggunakan kotak gear lima-kelajuan manual).

    Ciri-ciri lain dari versi standard masih dikekal pada versi jelmaan perlumbaan ini, antaranya termasuk lampu hadapan reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain CD/radio dengan Bluetooth, empat pembesar suara, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

     
     
  • Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperkenalkan pilihan sistem navigasi audio visual (AVN) baru untuk Hyundai Ioniq bagi mereka yang mahukan lebih fungsi pada head unit mereka.

    Model yang dipasang dengan sistem AVN baru ini dikenali sebagai Ioniq Hybrid HEV Plus with AVN System, dan dijual pada harga RM116,488 atas jalan tidak termasuk insurans. Sebagai perbandingan, model Ioniq Hybrid HEV Plus dijual pada harga RM114,008 manakala Ioniq Hybrid HEV RM100,328.

    Melihat kepada spesifikasinya, sistem AVN baru ini datang dengan skrin sesentuh lapan inci – satu inci lebih besar berbanding unit yang digunakan pada Ioniq Hybrid HEV Plus – dan menggunakan sistem operasi Android 5.1.1. Antara aplikasi yang boleh digunakan pada sistem ini adalah seperti Spotify, Google Maps dan Waze.

    Hyundai Ioniq didatangkan dengan pilihan sistem AVN

    Fungsi lain adalah termasuk pilihan pemain kembali muzik (radio, bluetooth, USB, MP3), jam dan cuaca yang dikemas kini melalui WiFi dan My Hyundai App. Aplikasi terakhir tersebut membolehkan pemilik menempah slot servis atau menghubungi talian bantuan tepi jalan 24 jam apabila perlu. Pengguna juga boleh memasukkan kad SIM ke dalam sistem ini atau menyambungkannya kepada talian hotspot untuk data internet.

    Pemilik Hyundai Ioniq sekarang yang mahu menaik taraf kepada sistem AVN baru ini boleh memulangkan kembali head unit asal yang ada sekarang dan menambah beza harga di antara keduanya. Bagi pemilik Ioniq Hybrid HEV Plus, kosnya adalah RM2,283 manakala bagi pemilik Ioniq Hybrid HEV, ia adalah RM3,533. Harga ini termasuk GST, bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 km (yang mana datang dahulu).

    Selain head unit, model Ioniq Hybrid HEV Plus with AVN System mempunyai spesifikasi sama seperti Ioniq Hybrid HEV Plus, bermaksud menggunakan enjin hibrid 141 PS dan 265 Nm tork yang sama. Bagi sistem keselamatan pula, ia mempunyai Vehicle Stability Management (VSM), pengesan titik buta, Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist dan Adaptive Cruise Control (Smart Cruise Control).

    GALERI: Hyundai Ioniq HEV Plus

     
     
  • VIDEO: Nissan Leaf lebih aerodinamik, tambah cekap

    Nissan Leaf asal adalah sebuah kereta yang cukup menarik. Ia adalah peneraju kepada langkah pengenalan kenderaan elektrik, sebelum ia popular seperti sekarang. Walaupun begitu, kereta elektrik pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran untuk pasaran ini mempunyai rekaan yang tidak begitu menarik, pelik dan membonjol.

    Perkara ini akan berubah apabila munculnya Nissan Leaf baru yang akan membuat penampilan rasmi 6 September ini. Selain teknologi yang dipertingkat, kereta elektrik ini akan mempunyai rekaan baru, yang akan membuatkannya kelihatan seperti Nissan March yang lebih besar.

    Dalam video teaser di atas, Nissan memberitahu bahawa Leaf baru akan mempunyai rekaan aerodinamik yang dipertingkat, seterusnya dapat menjadikan ia lebih cekap dan memberikan jarak pergerakan yang lebih jauh. Seperti yang diketahui, rekaan yang mempunyai kurang rintangan angin dan stabiliti yang bagus sememangnya adalah baik untuk apa sahaja kenderaan.

    VIDEO: Nissan Leaf lebih aerodinamik, tambah cekap

    Nissan Leaf baru mempunyai rekaan inspirasi daripada sayap kapal terbang dan ia duduk lebih rendah ke atas jalan berbanding sebelum ini. Nissan telah berjaya mencapai kosong daya angkatan untuk stabiliti yang lebih baik pada kelajuan tinggi. Ciri rekaan baru ini juga membantu stabiliti kenderaan apabila berhadapan dengan angin lintang kuat.

    Sebelum ini, beberapa video teaser lain pernah disiarkan oleh Nissan berkenaan Nissan Leaf baru dan antaranya menyatakan ia akan dilengkapi sistem pemanduan satu pedal, serta fungsi letak kenderaan sendiri.

     
     
  • Yamaha Y135LC dijual dalam grafik baharu untuk 2017

    Motosikal kapcai popular di Malaysia iaitu Yamaha Y135LC kini dijual dengan grafik baru untuk tahun 2017, dalam pilihan warna utama biru, merah, hitam dan kuning. Ia sudah boleh mula didapatkan di wakil pengedar motosikal Yamaha bermula hari ini, pada harga cadangan termasuk GST RM7,167.72.

    Yamaha Y135LC dikuasakan oleh enjin satu silinder 134 cc dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan, mampu menghasilkan 11.98 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem penyampaian bahan api karburetor.

    Pada bahagian roda hadapan, terdapat rim 17 inci, tayar 70/90 dan brek cakera manakala di belakang terdapat rim 17 inci, tayar 80/90 dan brek jenis dram. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala belakang pula adalah jenis monoshock.

     
     
  • Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Kerajaan menggalakkan pemandu teksi supaya mendaftar aplikasi mudah alih telefon pintar atau e-hailing supaya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, buat setakat ini hanya 14,000 pemandu teksi yang telah mendaftar di bawah e-hailing.

    “Antara cabaran mengalakkan pemandu teksi menggunakan teknologi ‘e-hailing’ ialah faktor pemandu yang tidak celik IT kerana faktor usia dan menganggap pemandu teksi menggunakan platfrom berkenaan sebagai saingan, ” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini. Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menggalakkan pemandu teksi menggunakan platform e-hailing dalam memberikan perkhidmatan mereka, laporan Bernama.

    Kerajaan galak pemandu teksi daftar e-hailing untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan – Nancy

    Nancy berkata pemandu teksi seharusnya memanfaatkan penggunaan teknologi itu dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan serta pendapatan, dan bukannya melihat ia sebagai saingan kepada kaedah operasi teksi konvensional.

    Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan e-hailing seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang. Di mana rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat minggu lalu.

    Sementara itu, Nancy berkata pihak kerajaan juga sentiasa melakukan pendekatan dengan pemandu teksi termasuk usaha menerangkan kelebihan teknologi e-hailing berkenaan. Malah kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi menjamin kebajikan dan melancarkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi dan memastikan kebajikan pemandu teksi sentiasa terjamin.

    “Pemberian geran RM5,000 kepada penerima lesen teksi individu adalah antara usaha agar pemandu teksi ini boleh keluar daripada terikat dengan sistem pajak dengan syarikat teksi yang kita dapati kebanyakannya berat sebelah dan tidak menyebelahi pemandu teksi,” katanya.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Toyota bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn untuk sediakan khidmat perkongsian kenderaan

    Toyota bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn untuk sediakan khidmat perkongsian kenderaan

    Toyota Motor Thailand Co., Ltd. (TMT) bekerjasama dengan Universiti Chulalongkorn di Bangkok untuk menyediakan servis perkongsian kenderaan di dalam kampusnya dan ia dijangka mula beroperasi hujung tahun ini. Sistem perkongsian yang akan diguna dinamakan sebagai Ha:Mo dan ia sudah dilaksana di beberapa kawasan di Jepun seperti Tokyo, Okinawa dan Okayama.

    Servis ini akan dimulakan dengan menggunakan 10 unit kenderaan elektrik (EV) ultra-kompak “COMS” yang dikeluarkan oleh Toyota Auto Body Co., Ltd., dan kemudiannya akan ditambah dengan 20 unit lagi kenderaan pada pertengahan tahun hadapan. Tujuannya adalah untuk menyediakan pengangkutan akhir antara pengangkutan awam dan destinasi akhir orang ramai secara mesra alam.

    12 stesen dalam kampus akan dikhaskan untuk servis ini, dan ia akan menyambungkan pengguna kepada stesen bas atau tren yang terdekat. 10 tempat meletak kenderaan EV ini akan mempunyai tempat mengecas. Pengguna sasaran untuk servis ini sudah tentu adalah pelajar serta tenaga pengajar universiti tersebut, dan setelah mendaftar, mereka perlu membayar setiap kali menggunakan kenderaan EV tersebut.

     
     
  • Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Selepas setahun berada dalam pasaran tempatan, Boon Siew Honda kini memperkenalkan model supercub Honda RS150R 2017 yang ditampilkan dengan pilihan warna baru yang lebih sporty.

    Honda RS150R 2017 ini ditawarkan dalam tiga warna baru; Edisi Trico, Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue. Warna ekskulsif sedia ada, Repsol masih dikekalkan. Model ini akan berada di bilik pameran pengedar Honda mulai 8 Ogos 2017. Harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 bagi warna merah dan biru, hingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol). Harga yang dinyatakan termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

    Model ini dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Ini menawarkan janaan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm, manakala daya tork pula 13.5Nm pada 6,500 rpm.

    Boon Siew Honda perkenal RS150R 2017 – tiga pilihan warna baru lebih sporty, harga bermula dari RM8,478

    Berat RS150R adalah 123 kg. Ia dilengkapi tangki minyak dengan kapasiti 4.5 liter. Ia juga menggunakan brek cakera di bahagian hadapan dan belakang. Bentuk badan agresif, wajah depan dan rekaan lampu yang tajam, rangka badan yang berlapis menjadi keunikan RS150R.

    Dengan purata lebih dari 2,000 unit terjual setiap bulan, ia masih lagi menerima permintaan tinggi dari pasaran. Boon Siew Honda telah meningkatkan kapasiti pengeluaran model ini untuk memastikan semua pembeli mampu mendapatkannya secepat mungkin. Model ini juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana dahulu).

     
     
  • Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Tidak sampai tiga tahun dalam pasaran, SUV ladder frame tujuh-tempat duduk Isuzu MU-X kini telah pun diperkenalkan dalam versi facelift. Setelah mendarat di pasaran Thailand Mac lalu, hari ini model facelift 2017 dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.

    Isuzu MU-X dipasarkan dalam dua varian iaitu 2.5L 4×2 automatik dijual pada harga RM176,640.40 dan juga 2.5L 4×4 automatik dijual pada harga RM183,000.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran tetapi termasuk GST. Setiap pembelian MU-X baharu juga diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

    Versi kemaskini ini menerima rupa luaran lebih segar menampilkan bampar hadapan dengan rekaan baharu pada kemasan perumah lampu kabus (kini diberikan lebih banyak elemen krom) serta gril dengan rekabentuk baharu. MU-X baharu ini juga kini diberikan lampu hadapan LED (projektor halogen pada model sebelum ini) yang digandingkan bersama lampu nyalaan siang LED.

    Ia juga diberikan bampar belakang yang dirombak semula. Bentuk perumah lampu belakang masih kekal sama, tetapi grafik bahagian dalam diubah bagi diselarikan dengan rekaan pada bahagian hadapan. Model ini turut diberikan spoiler belakang baharu yang lebih menyerlah dan juga rim aloi 18-inci dengan rekaan baharu.

    Isuzu MU-X facelift kini dilancarkan di M’sia – bermula RM177k, standard 6-beg udara, ciri lain dipertingkat

    Satu ciri untuk membezakan varian 4×2 dan 4×4 adalah pada antena di mana model varian asas diberikan antena biasa, manakala varian tertinggi diberikan antenna sirip yu.

    Pada bahagian dalam, rekaan keseluruhan masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini tetapi diberikan berberapa kemasan lebih premium termasuk penggunaan plastik sentuhan-lembut dan juga trim kayu palsu pada berberapa bahagian kabin. Papan pemuka juga masih lagi menggunakan susunan yang sama seperti sebelum ini dan juga seiras pada unit yang dipadankan pada trak pikap Isuzu D-Max.

    Untuk membezakan antara kedua-dua varian, model 4×2 diberikan skrin sesentuh tujuh-inci manakala model 4×4 diberikan skrin lapan-inci. Kedua-dua unit pemain utama tersebut menyokong fungsi MP3, Bluetooth dan Ipod serta diberikan input AUX dan juga USB, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Varian tertinggi turut diberikan monitor DVD yang diletakkan pada bahagian bumbung.

    Ciri lain yang diberikan secara standard untuk kedua-dua model termasuk paparan informasi e-LUMAX, ‘Passive Entry and Start System’ (PESS – sebelum ini hanya ditawarkan pada varian tertinggi) , tempat duduk (berwarna Beige, elemen rekaan baharu, larasan berkuasa enam-hala untuk pemandu) dan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit serta sistem pendingin hawa automatik bersama motor penghembus dengan kawalan berasingan untuk tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model baharu ini di mana ia masih dijana enjin turbo diesel 2.5 liter 4JK1-TCX VGS berkuasa 136 PS dan tork maksima 320 Nm bermula 1,800 hingga 2,800 rpm, dipadankan bersama kotak gear lima-kelajuan automatik dengan penukar gear manual. Isuzu Malaysia masih lagi belum menawarkan enjin RZ4E-TC 1.9 litre Ddi Blue Power turbodiesel, yang ditawarkan pada D-Max dan MU-X pasaran Thailand.

    Untuk keselamatan, kesemua varian MU-X diberikan sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA) dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Berbanding model terdahulu yang hanya menerima dua beg-udara, versi baharu ini diberikan enam unit beg-udara.

    Untuk anda yang ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi dan pembelian Isuzu MU-X Type-S ini, anda boleh layari laman Carbase.my.

     
     
  • APWorks Light Rider – motosikal elektrik 35 kg keluaran anak syarikat Airbus, dicetak secara 3D

    APWorks Light Rider –  motosikal elektrik 35 kg keluaran anak syarikat Airbus, dicetak secara 3D

    Sementara ia mungkin kelihatan seperti sebuah basikal, Light Rider tidak mempunyai sebarang pedal pengayuh dan dipanggil oleh pengeluarnya, iaitu sebuah anak syarikat Airbus bernama APWorks sebagai sebuah motosikal. Ia juga didakwa sebagai prototaip motosikal elektrik pertama di dunia yang menggunakan kerangka cetakan 3D.

    Untuk kerangka itu sahaja, ia mempunyai berat cuma 5.9 kg, dihasilkan daripada aloi tahan karat yang dipanggil sebagai Scalmalloy dan dikatakan mempunyai kekuatan seperti titanium. Cara cetakan 3D pula memberi kebebasan kepada pengeluarnya untuk menghasilkan bentuk yang kompleks seperti yang boleh dilihat.

    Light Rider dikuasakan oleh motor elektrik 6 kW yang mampu menghasilkan sehingga 130 Nm tork, dan apabila dipadankan dengan berat keseluruhan yang hanya 35 kg, mempunyai nisbah berat dan kuasa yang hampir seperti sebuah supercar. Motor elektrik ini juga boleh memacu Light Rider sehingga kelajuan maksimum 80 km/j, memecut 0-45 km/j dalam masa tiga saat dan baterinya boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 60 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026