Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • DBKL saran beli pas bulanan parkir elak kompaun

    DBKL saran beli pas bulanan parkir elak kompaun

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyarankan agar pemilik kenderaan termasuk penghuni kediaman yang tidak mempunyai kemudahan parkir khas di ibukota supaya membeli pas bulanan parkir bagi mengelak kenderaan mereka dikenakan kompaun kerana melebihi masa parkir, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, DBKL mengeluarkan pas parkir bulanan itu sebagai pilihan kepada bayaran parkir harian mengikut jumlah jam.

    “Pas bulanan ini dapat mengelak pemilik kenderaan daripada dikenakan kompaun bagi kesalahan tidak membayar parkir mengikut tempoh jam seperti yang sering berlaku,” katanya kepada pemberita bagi mengulas mengenai keluhan warga kota tentang kenderaan mereka yang sering dikompaun oleh DBKL meskipun diletakkan di kawasan perumahan di sekitar ibu kota.

    DBKL mengadakan sistem pembayaran pas bulanan bagi pengguna parkir di ibu kota dengan kadar bayaran RM300 sebulan di kawasan pusat bandar dan RM150 sebulan untuk kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar.

    Bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

     
     
  • Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Tidak dinafikan, menunggang motosikal dan skuter ada bahayanya. Untuk itu, pengeluar pula sentiasa menjadi jalan terbaik untuk memastikan faktor keselamatan penunggang dan pembonceng. Honda baru-baru ini mempamerkan teknologi beg udara untuk motosikal yang direka khas untuk skuter.

    Melibatkan kerjasama dengan Autoliv, sebuah syarikat pembekal sistem keselamatan, Honda membangunkan beg udara untuk melindungi kepala penunggang dalam keadaan perlanggaran yang spesifik, terutamanya dari impak sisi dengan pertembungan dari depan dengan kenderaan yang memasuki laluan motosikal secara mengejut. Honda berhasrat untuk memperkenalkan teknologi ini ke dalam pasaran secepat mungkin.

    Sistem berkenaan berfungsi dalam cara yang sama dengan beg udara kereta. Sensor pecutan terletak di bahagian fairing depan, dan sekiranya mengesan perlanggaran, beg udara akan terbuka dalam masa 0.4 hingga 0.5 saat. Dalam ujian dengan kelajuan 50 km/j, beg udara ini didapati mampu mengurangkan kesan kecederaan pada kepala patung ujian yang digunakan, seperti dilaporkan Nikkei Technology.

    Honda pamer teknologi beg udara keselamatan skuter

    Bagaimanapun, keberkesanan perlindungan yang diberikan akan berkurangan sekiranya ia melibatkan perlanggaran pada sisi skuter, atau sekiranya skuter itu terbalik. “Dalam kebanyakan kemalangan motosikal moden, ia akan bertembung ke bahagian sisi kenderaan lain. Jadi, beg udara memang berhasil untuk mengurangkan kecederaan dalam keadaan itu,” jelas Honda.

    Syarikat itu sebelum ini sudah pernah menunjukkan teknologi sama pada model teratas yang dikeluarkan, Golwing GL1800. Selain beg udara pada motosikal, teknologi beg udara yang dipasangkan pada pakaian atau tubuh penunggang juga sudah mula ditawarkan, seperti yang ada pada Dainese D-Air atau Alpinestars Tech-Air System.

     
     
  • Toyota beli saham kecil Mazda; kerjasama baharu bina kilang $1.6b di US untuk Corolla, SUV – laporan

    Toyota beli saham kecil Mazda; kerjasama baharu bina kilang $1.6b di US untuk Corolla, SUV – laporan

    Toyota dan pesaingnya Mazda telah mengumumkan rancangan untuk membina kilang bernilai $1.6 bilion di Amerika Syarikat (US) sebagai kerjasama baharu, menurut laporan Reuters yang memetik sumber tanpa nama.

    Laporan tersebut menambah kilang ini bakal mengeluarkan kapasiti 300,000 kenderaan setahun, terbahagi antara dua jenama Jepun itu. Ia juga akan mengambil 4,000 pekerja apabila dibuka pada tahun 2021, sumber tersebut mendedahkan, dan menambah lokasi kilang terbabit bakal didedahkan kelak. Ia dijangka akan memproduksi Toyota Corolla dan SUV Mazda.

    Semalam, Nikkei melaporkan Toyota akan membeli 5% pegangan saham dalam Mazda untuk membangunkan tekonologi kenderaan elektrik dan bekerjasama dalam membina kilang di US. Sumber yang memberitahu Reuters mengesahkan kedua pemain industri automotif terkemuka Jepun ini akan bekerjasama dalam pembangunan EV.

    Toyota berkata dalam kenyataannya bahawa kedua-dua syarikat telah mula mengekplorasi beberapa kerjasama di bawah perjanjian Mei 2015. “Kami berhasrat untuk mengemukakan satu cadangan kepada lembaga pengarah kami hari ini mengenai perkongsian dengan Mazda, bagaimana pun, kami tidak akan mengulas lanjut mengenainya buat masa ini,” menurut kenyataan terbabit.

    Mazda pula berkata “tiada apa yang diputuskan buat masa ini” dan syarikat ini juga mengesahkan “akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah mengenainya hari ini, namun tiada ulasan buat masa ini,” kenyataan itu turut menyebut.

    Pembangunan ini nampak gayanya akan memberikan satu kemajuan buat presiden US Donald Trump, yang pernah meluahkan kemarahannya kepada pengeluar kenderaan yang mendirikan fasiliti di negara-negara jiran. Toyota juga pernah menerima ‘teguran’ menerusi Tweeter Trump apabila berhasrat untuk membangunkan Corolla bagi pasaran US di Mexico. Model kompak mereka buat masa ini dibangunkan di Kanada dan Mississippi, US.

    Tiada “cukai sempadan besar” seperti mana yang diancam oleh Trump, tetapi kilang US baharu ini adalah berdasarkan permintaan terhadap kereta penumpang yang agak ‘jatuh’ berbanding SUV. Jualan Corolla di US juga hampir jatuh sebanyak 9% pada tahun ini.

     
     
  • JPJ Perlis kutip RM7.2j menerusi siri pendaftaran ‘RR’

    Siri pendaftaran nombor kenderaan terbaru bagi negeri Perlis, ‘RR’ nampak gayanya telah mengatasi ‘RM’ apabila Jabatan Pendaftaran Jalan (JPJ) berjaya memperoleh sebanyak RM7.2 juta iaitu lebih RM100,000 berbanding ‘RM’. ‘RR’ yang nampak cukup sesuai digandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi dan kereta mewah, menjadi pilihan ramai termasuk golongan VVIP untuk membidanya.

    Perkara ini telah didedahkan oleh jurucakap JPJ Perlis Mohd Tarmizi Ghazali yang berkata pihaknya telah menerima sebanyak 7,960 bidaan untuk siri pendaftaran tersebut. Di mana bidaan tertinggi bagi ‘RR’ turut mengatasi rekod bidaan tertinggi bagi JPJ Perlis sendiri, menerusi ‘R8’ pada tahun 2015 iaitu berjumlah RM297,000.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berjaya membida ‘RR6’ dan ‘RR9’, dengan kos masing-masing RM459,000 dan RM396,800. Manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula berjaya membida ‘RR11’ dengan harga RM268,400. Semak senarai di bawah untuk melihat individu yang menerima ‘RR’ dengan bidaan masing-masing. Namun persoalannya, milik siapakah ‘RR1’?

     
     
  • Pemandu Uber, Grab diwajibkan ambil insurans untuk penumpang selepas e-hailing dikuatkuasakan – Nancy

    Pemandu Uber, Grab diwajibkan ambil insurans untuk penumpang selepas e-hailing dikuatkuasakan – Nancy

    Sebaik sahaja undang-undang perkhidmatan e-hailing dikuatkuasakan dalam tempoh setahun ini, semua pemandu Uber dan GrabCar diwajibkan mengambil insurans untuk penumpang.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, ia antara syarat lain bagi perkhidmatan itu seperti syarat minimum usia kenderaan, perlu menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan ujian pemeriksaan kesihatan pemandu, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan sedang memperhalusi syarat yang akan dikenakan kepada pemandu Uber dan GrabCar apabila undang-undang dilaksanakan nanti boleh dipatuhi. Setakat ini, sudah banyak syarat yang dibincangkan bersama dipersetujui pemandu Uber dan Grabcar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD),” katanya pada pemberita hari ini.

    Dalam masa yang sama, Nancy berkata pihaknya prihatin dengan masalah dan cabaran dihadapi pemandu sebelum perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi secara sah.

    Katanya, pihaknya telah mengadakan pertemuan untuk memperhalusi syarat itu dengan SPAD dan pemandu Uber dan GrabCar semalam.

    “Ada pemandu minta supaya kenderaan berusia lebih tujuh tahun menjalani pemeriksaan PUSPAKOM dan pembiayaan bayaran pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Kerajaan sedang mempertimbangkan keputusan untuk perkara itu. Apa yang penting, keselamatan pemandu dan penumpang menjadi keutamaan,” katanya.

    Pada 27 Julai lalu, perkhidmatan Uber dan GrabCar telah dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Grab dan Uber.

     
     
  • Laluan kedua MRT Sg.Buloh-Serdang-Putrajaya sedang dilaksana – dijangka beroperasi Julai 2022

    Laluan kedua MRT Sg.Buloh-Serdang-Putrajaya sedang dilaksana – dijangka beroperasi Julai 2022

    Melalui catatan terbaharu dalam laman blog rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut beliau, kerajaan sedang berusaha menyempurnakan laluan kedua Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).

    “Fokus kita sekarang adalah untuk ‘deliver’ laluan kedua kepada rakyat iaitu MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang bakal memanfaatkan lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Sungai Besi, Seri Kembangan dan Cyberjaya.

    “Mengikut kajian, laluan sepanjang 52.2km dengan 37 buah stesen ini bakal mencatat 529,000 penumpang sehari apabila siap beroperasi pada suku kedua 2022 kelak,” ujarnya.

    Sebelum ini, Pengarah projek MRT SSP, Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, projek sepanjang 52.2 km yang meliputi 26 laluan bertingkat dan 11 laluan bawah tanah, akan mula beroperasi pada Julai 2022. “Dengan perkembangan terkini, fasa MRT jajaran SSP dari Kwasa Damansara ke stesen MRT Kampung Batu akan mula beroperasi pada Julai 2021,” ujarnya.

     
     
  • Daihatsu Move di pasaran Jepun terima kemaskini

    Daihatsu Move di pasaran Jepun terima kemaskini

    Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, MPV yang dikelaskan sebagai Kei-Car di Jepun – Daihatsu Move generasi keenam, kini menerima kemaskini untuk spesifikasi 2018. Selain dari rupa yang disegarkan, model ini juga diberikan berberapa peningkatan pada kelengkapannya.

    Untuk bahagian luaran, Move menerima bampar hadapan yang direka semula bersama gril baharu, grafik baharu pada lampu belakang, manakala untuk varian lebih tinggi ia dibekalkan dengan lampu belakang LED. Varian lebih sporty digelar Move Custom turut menerima kit badan serta rim aloi dengan rekabentuk baharu.

    Walau bagaimanapun, bahagian dalaman model ini masih kekal tanpa perubahan. Bergantung pada varian yang dipilih, ia hadir dengan pelbagai tema warna pada tempat duduk, papan pemuka dan juga panel-panel kemasan lain. Untuk Move Custom, bahagian bawah papan pemuka diberikan kemasan berwarna hitam, berbanding Move standard yang menerima warna lebih cerah pada kawasan berkenaan.

    Bagi mengekalkan status kei-car model ini, ia dijana oleh enjin 660 cc yang menghasilkan kuasa dengan dua talaan berbeza – 64 PS/92 Nm, dan juga 53 PS/60 Nm bergantung pada varian. Kesemua enjin hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi pelanggan boleh memilih sama ada untuk menggunakan pacuan hadapan ataupun dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda.

    Walaupun kereta ini bersaiz kecil, Move dilengkapi pelbagai sistem keselamatan premium termasuk sistem bantuan keselamatan pemanduan Smart Assist II – memberi fungsi seperti brek kecemasan automatik kelajuan rendah bersama pengesan pejalan kaki, sistem kamera undur dengan sudut lebar, sistem amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, VSC dan juga traction control.


     
     
  • Toyota akan pertahan enjin tanpa turbo menerusi teknologi Dynamic Force – V6, V8 turut dirancang

    Toyota akan pertahan enjin tanpa turbo menerusi teknologi Dynamic Force – V6, V8 turut dirancang

    Tidak semua pengeluar kenderaan bersetuju – untuk menghasilkan enjin yang benar-benar efisien dalam pasaran, kapasiti perlu diturunkan dan perlu disuap dengan sistem induksi paksaan sama ada pengecas turbo atau superchager. Mazda antara pengeluar yang mempertahankan enjin NA dengan kapasiti besar, termasuk enjin SkyActiv-G generasi kedua yang kini sedang dalam pembangunan.

    Terbaharu, Toyota juga tampil dengan pendiriannya untuk terus membangunkan enjin NA yang efisien dalam barisan enjin mereka, dan tidak hanya bergantung pada enjin turbo berkapasiti kecil. Menurut laporan Automotive News, syarikat berkenaan sedang membangunkan barisan enjin yang digelar Dynamic Force yang akan membuat penampilan pada Toyota Camry 2018 dengan kapasiti 2.5 liter, berkuasa 205 hp dengan penggunaan bahan api dari EPA dicatatkan pada 5.7 l/100 km.

    Pengurus eksekutif program janakuasa Toyota Motor Amerika Utara Ben Schlimme berkata, kesemua enjin Toyota akan menerima teknologi yang sama. Faktor utama yang diambil untuk memperbaiki kecekapan enjin ini adalah pengurangan geseran, aliran ekzos, sistem penyejukkan dan kemasukan udara – kesemua ini membolehkan enjin Dynamic Force 2.5 liter mampu mencatatkan kecekapan haba setinggi 40%.

    Toyota akan pertahan enjin tanpa turbo menerusi teknologi Dynamic Force – V6, V8 turut dirancang

    Menurut Schlimme lagi, sistem kemasukan udara antara yang paling penting antara semua. Bentuk putaran dan bergolek pada aliran udara memberikan campuran bahan api dan udara yang lebih baik, menghasilkan pembakaran yang lebih cekap seterusnya memberikan kuasa yang lebih tinggi serta kadar emisi lebih rendah.

    Bentuk berkenaan terhasil dengan perubahan yang dilakukan pada sudut injap kemasukan – yang dilebarkan jaraknya dari injap ekzos, bersama valve seat disalut laser serta bentuk omboh yang telah dirombak semula.

    “Dynamic Force bukan hanya disasarkan untuk enjin 2.5 liter. Kami sedang berusaha untuk membawanya ke segmen lain,” ujar Schlimme dan menambah strategi teknlogi Dynamic Force untuk enjin V6 dan V8 kini sudahpun berapa dalam bentuk konsep.

    GALERI: Toyota Camry XSE pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Nissan perkenal sistem Rear Door Alert – bantu pemilik pelupa untuk mengambil barang di belakang

    Nissan telah memperkenalkan fungsi baharu yang bakal dipadankan pada kereta-kereta mereka buat masa akan datang digelar Rear Door Alert (RDA atau amaran pintu belakang), bagi membantu memberikan peringatan kepada pemilik kenderaan yang selalu terlupa untuk mengambil barang yang diletakkan pada bahagian belakang kenderaan.

    Menurut Nissan, sistem ini amat penting kerana suhu kabin kenderaan akan meningkat kepada tahap yang mampu membunuh sekiranya kereta berhenti tanpa membuka sebarang tingkap dan penghawa dingin tidak dihidupkan. Ini tentunya bakal merosakkan barang yang ditinggalkan tersebut, dan lebih teruk sekiranya pemilik terlupa untuk membawa keluar kanak-kanak dari kereta.

    “Kami bersaing antara satu sama lain dan kami tahu kami melakukan perkara yang betul apabila pada suatu malam apabila pulang ke rumah, Marlene menyedari dia telah terlupa untuk membawa keluar sepinggan lasagna di tempat duduk belakang setelah seharian di pejabat,” kata Elsa Foley, salah seorang ahli pasukan Pusat Teknikal Nissan Amerika Utara (NTCNA).

    “Perkara yang lebih teruk terjadi adalah kereta tersebut berbau untuk berberapa hari, tetapi ia telah membuatkan saya bertanya pada diri sendiri, ‘apa yang terjadi sekiranya benda lain di belakang sana?'”tambahnya. Ini menyebabkan tercetusnya idea untuk menghasilkan RDA, yang akan diperkenalkan buat pertama kali pada SUV Pathfinder 2018 September nanti.

    Sistem ini agak mudah di mana ia akan memberikan peringatan kepada pemandu untuk memeriksa semula tempat duduk belakang dengan menggunakan bunyi hon tersendiri setelah mereka beredar dari kereta. Ia akan mengesan sama ada tempat duduk belakang dibuka atau tidak sepanjang perjalanan, dan sama ada pintu belakang tersebut dibuka semula setelah kereta berhenti sepenuhnya dan pemandu telah keluar dari kenderaan.

    “Ideanya jika anda membuka pintu belakang, sama ada untuk meletakkan kanak-kanak atau bungkusan pada tempat duduk belakang, kenderaan akan membantu untuk mengingatkan anda apabila anda sampai ke destinasi dan mungkin anda perlu memeriksa tempat duduk belakang. Kami menghasilkannya supaya ia cukup masa untuk anda dan anda tidak perlu tergesa-gesa, tetapi jika anda tidak membuka pintu belakang sekali lagi apabila anda keluar dari kenderaan, kami mahu anda ingat kembali seketika apa yang telah anda letakkan pada tempat duduk belakang,” jelas Marlene Mendoza, seorang lagi anggota NTCNA.

     
     
  • Shell Malaysia kini turut jual produk menerusi Lazada

    Shell Malaysia kini turut jual produk menerusi Lazada

    Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah melancarkan gedung rasmi dalam taliannya yang pertama menerusi Lazada Malaysia, platform e-dagang yang terkemuka di negara ini.

    Shell Malaysia Official Online Store ini bertujuan akan memudahkan lagi pemilik kereta di seluruh Malaysia untuk mendapatkan minyak motor Shell Helix yang tulen. Selain daripada memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna kerana membeli produk Shell Helix dari sumber rasmi yang terjamin kualitinya, pembelian di gedung dalam talian ini adalah begitu menyenangkan kerana harganya adalah termasuk penghantaran ke serata Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

    Para pemilik kereta yang meyakini Shell Helix untuk memenuhi keperluan pelinciran enjin kereta mereka juga pastinya berasa senang bila mengetahui bahawa Shell Malaysia Official Online Store menawarkan nilai yang hebat bagi pakej-pakej servis minyak enjin di bengkel-bengkel berdaftar yang terpilih di Lembah Klang dan Johor.

    Pakej lengkap tersebut dari harga serendah RM103, merangkumi minyak motor Shell Helix pilihan, penapis minyak, caj perkhidmatan dan pemeriksaan 15-titik percuma. Sempena pelancaran ini, pembeli di Shell Malaysia Official Online Store akan mendapat e-baucar daripada Lazada Malaysia bernilai sehingga RM30 bagi setiap pembelian minyak motor Shell atau pakej servis minyak enjin dari 3 hingga 10 Ogos 2017.

    Pemilik kereta yang mendapatkan pakej servis minyak enjin dari Shell Malaysia Official Online Store akan dihubungi oleh pengedar rasmi Shell untuk mengatur tempat servis, tarikh dan slot masa pilihan mereka, diikuti oleh pengesahan melalui SMS.

    Shell Malaysia Official Online Store turut menyediakan sokongan teknikal produk bagi mereka yang ingin mendapatkan panduan mengenai minyak motor Shell Helix yang paling sesuai untuk kereta mereka.

    Shell Malaysia kini turut jual produk menerusi Lazada

    Menurut Pengarah Eksekutif Shell Lubricants – Asia Tenggara & Oceania, Troy Chapman, Malaysia merupakan pasaran yang pertama di Asia Tenggara yang menyediakan pembelian produk tulen dan pakej servis Shell Helix secara dalam talian menerusi sebuah saluran rasmi.

    “Kami merupakan jenama minyak motor pertama yang menawarkan Waranti Enjin Shell Helix atau S.H.E.W pada tahun lalu. Hari ini, kami berbangga kerana menjadi syarikat minyak dan gas yang pertama di Malaysia yang mempunyai kehadiran rasmi di platform e-dagang yang ternama seperti Lazada Malaysia. Inisiatif ini akan membantu mengembangkan pasaran dan meluaskan jangkauan kami serta melengkapi jaringan perniagaan sedia ada di negara ini, yang telah terbina sejak 125 tahun lalu,” katanya.

    “Kerjasama ini adalah sesuatu yang amat baik untuk Lazada dan Shell kerana ia mengutamakan pelanggan di mana mereka kini mempunyai akses yang tiada bandingannya kepada pelbagai rangkaian produk rasmi Shell Helix menerusi platform kami. Jenama seperti Shell memperakui kepentingan strategik e-dagang di Asia Tenggara dan kami ingin bekerjasama dengan Shell dalam mengembangkan kehadirannya dalam talian bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh rantau ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Hans-Peter Ressel pula.

     
     
  • Suzuki Swift Sport baharu – lagi gambar rasmi didedah

    Suzuki Swift Sport baharu – lagi gambar rasmi didedah

    Suzuki telah menyiarkan beberapa lagi gambar Swift Sport baru, yang akan membuat penampilan pertamanya semasa Frankfurt Motor Show tahun ini. Gambar ini adalah sama seperti gambar yang terdapat dalam risalah jualan yang bocor dalam internet sebelum ini.

    Pada bahagian luar, Swift Sport mendapat rekaan yang tersendiri untuk membezakannya dengan Swift biasa – paling jelas adalah ‘muka’ baru (bampar, gril dan lampu kabus). Hatchback ini juga menggunakan dua muncung ekzos pada bahagian belakang untuk menunjukkan ciri sport padanya.

    Bahagian dalam Swift Sport juga menampilkan beberapa perubahan, bermula dengan kemasan merah pada papan pemuka. Warna merah ini juga digunakan sebagai gabungan kepada warna hitam dan terdapat pada tempat lain seperti panel meter, butang pemula enjin dan tempat duduk khas untuk model Swift Sport ini.

    Suzuki Swift Sport baharu – lagi gambar rasmi didedah

    Untuk kawalan kenderaan, terdapat roda stereng yang rata pada bahagian bawah seperti juga Swift standard, tetapi ia mempunyai kemasan hitam berkilat dan kulit yang berbeza. Sedikit ke kiri terdapat penukar gear untuk transmisi manual enam kelajuan, seterusnya mengesahkan salah satu ciri teknikalnya.

    Apa yang masih belum diketahui adalah enjin yang akan diguakan untuk memacu Swift Sport ini. Berdasarkan dengan melihat terdapat meter tekanan angin (boost) pada panel meternya, enjin turbo boleh dijangka tetapi kapasitinya masih belum diketahui secara tepat. Khabar angin mengatakan ia akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.4 liter Boosterjet daripada model Vitara S yang mampu menghasilkan 150 PS dan 245 Nm tork.


    GALERI: Risalah jualan Suzuki Swift Sport

    GALERI: Suzuki Swift generasi keempat

     
     
  • Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

    Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

    Hot-hatch berprestasi tinggi sebenar dari sayap perlumbaan Hyundai N – i30 N – baharu sahaja didedahkan sepenuhnya bulan lalu, tetapi belum lagi diumumkan untuk masuk kepasaran. Namun, Hyundai telah menghasilkan versi edisi terhad sempena kemunculannya digelar First Edition, yang hanya dihasilkan 100 unit dan dijual di pasaran Jerman sahaja.

    Apa yang mengejutkan, edisi istimewa tersebut habis dijual dalam masa dua hari sahaja. Tidak seperti model-model Hyundai lain yang lazimnya akan dijual di Korea dahulu, i30 N First Edition ini diperkenalkan lebih awal di Jerman kerana pembinaan, ujian dan talaan jentera berprestasi tinggi yang dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada Volkswagen Golf GTI ini kebanyakkannya dilakukan di litar Nürburgring.

    Tambahan pula, abjad ‘N’ pada nama Hyundai N berkenaan sememangnya bermaksud Nürburgring (dan juga Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea) dan Hyundai Motor Europe Technical Center GmbH pula terletak di Rüsselsheim, Jerman. Secara tidak langsung juga ia telah membayangkan model berprestasi tinggi baharu ini diberikan ‘perisa’ Eropah atau lebih spesifik Jerman pada karekteristiknya.

    Hyundai i30 N First Edition – versi keluaran terhad hanya di Jerman, habis dijual dalam masa dua hari

    100 orang pelanggan yang berjaya mendapatkan kereta berkenaan dengan cara ‘siapa cepat dia dapat’ tersebut perlu membayar deposit sebanyak €1,000 menerusi PayPal dan sebagai pulangannya, memreka bakal menikmati makan malam di Nürburgring dan akan menerima “fan package”.

    Mereka juga bakal dijemput untuk menghadiri bengkel produk bersama ketua pereka i30 N serta bakal menerima latihan memandu di litar dari pemandu profesional. Sesi ini akan dilakukan pada Oktober hadapan apabila pelanggan menerima kereta mereka, yang turut akan diberikan nombor produksi unik tersendiri.

    Model berprestasi tinggi pertama dari Hyundai N ini hadir dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder T-GDI berkuasa 250 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 353 Nm bermula 1,450 hingga 4,000 dalam keadaan standard, manakala model yang diberikan peningkatan Performance Package mendapat lonjakan kuasa 275 PS dengan jumlah tork yang sama.

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual memacu roda hadapan, membolehkan versi standard mencatat 6.4 saat dalam pecutan 0-100 km/j, manakala versi 275 PS pula mampu mencatatkan 6.1 saat dalam jarak pecutan yang sama. Walau bagaimanapun, kedua-dua versi ini mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 250 km/j.

    Selain itu, ia turut diberikan sistem rev-match/auto blip, dan juga penyerap hentak kawalan elektronik. Manakala untuk Performance Package, ia turut diberikan dengan LSD kawalan elektronik (E-LSD), sistem injap pada ekzos bervariasi yang mampu merubah bunyi dari mod biasa kepada liar setelah mod pemanduan N diaktifkan serta rim aloi 19-inci dengan tayar Pirelli P-Zero.

     
     
  • Mercedes-Benz S400h AMG Line di M’sia – RM599k

    Mercedes-Benz S400h AMG Line di M’sia – RM599k

    Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan penawaran varian baharu bagi model S-Class, S 400 h AMG Line, bagi pasaran Malaysia. Ia adalah bagi memenuhi permintaan para pelanggan yang mahukan kereta sedan mewah yang sesuai dengan personaliti dan citarasa tinggi.

    S 400 h AMG Line baharu ini ditawarkan dengan sisi yang sporty dengan bancuhan elemen mewah dan sofistikated. Dengan penggayaan AMG, rim aloi ringan AMG bersaiz 19-inci dan juga dua corong paip ekzos, membuatkan penampilannya cukup dinamik. Ditambah pula dengan gerbang roda yang lebih besar untuk roda AMG menyerlahkan lagi sifat sporty varian ini. Bukan itu sahaja, kehadiran cakera brek berliang turut menambahkan lagi prestasi model ini.

    Elemen lain yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama Projektor LED Adaptif dengan High Beam Assist serta lampu nyalaan siang LED. Malahan di belakangnya juga dipadankan dengan lampu kombinasi LED bersama lampu kabus.

    Mercedes-Benz S400h AMG Line di M’sia – RM599k

    Menjengah bahagian kabinnya pula, sentuhan harmoni dan elegan masih dikekalkan. Namun ia diserlahkan bersama elemen AMG yang cukup bergaya, ini termasuklah roda stereng sport pelbagai fungsi AMG, kekemasan kayuan berwarna hitam berkilat serta pedal sport AMG.

    Walau bagaimana pun, elemen dalaman lain masih dikekalkan, termasuklah tempat duduk balutan kulit dengan 12-cara pelarasan bersama fungsi memori dan haba pemanas, tempat duduk belakang yang turut boleh dilaraskan dan didatangkan dengan fungsi memori dan urut, Ottoman Base untuk tempat duduk kiri, serta kawalan COMAND tanpa wayar.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan butang penghidup enjin, fungsi start/stop, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, pedal penukar gear, kawalan pendingin hawa dwi-zone untuk tempat duduk hadapan dan belakang, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien, map lights, keseluruhan empat soket kuasa dan perehat tangan di tengah untuk tempat duduk belakang.

    Bagi hiburan, ia ditampilkan dengan COMAND Online NGT 5 12.3-inci bersama SPLITVIEW, COMAND Controller, Touchpad, sistem bunyi Burmester dengan 13 pembesar suara, sistem hiburan individu bagi tempat duduk belakang, termasuk dua monitor 10-inci.

    Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan 10 beg udara, ASB dengan EBD, kamera undur, kawalan kestabilan, ISOFIX, sistem brek sendiri, bantuan kekal lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang, amaran perlanggaran dan sistem bantuan titik buta.

    Bahagian mekanikalnya juga tiada perubahan, Mercedes-Benz S 400 h AMG Line ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 enam-silinder dengan padanan transmisi 7G-TRONIC. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 hp pada 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 3,500 hingga 5,250 rpm. Bersama motor elektrik, tork mampu ditambah sebanyak 250 Nm. Model ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum mencapai 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula sekitar 6.3 liter bagi setiap kilometer.

    Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bagi S 400 h AMG Line baharu ini ialah RM598,888. Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua-tahun bersama perbatuan tanpa terhad serta waranti lanjutan juga dua tahun/tanpa perbatuan terhad.

     
     
  • Harga minyak 3-9 Ogos – semua naik 4 hingga 6 sen

    Harga minyak 3-9 Ogos – semua naik 4 hingga 6 sen

    Sama seperti minggu-minggu sebelumnya, Rabu adalah hari untuk kita “meraikan” pengumuman harga minyak di Malaysia. Setelah harga semua bahan api petrol dan diesel naik antara 3 hingga 6 sen minggu lalu, apa pula cerita minggi ini?

    Bagi minggu pertama, 3 hingga 9 Ogos 2017, harga minyak akan petrol sebanyak 4 sen seliter. Untuk itu, harga petrol RON 95 bagi tempoh seminggu akan datang ialah RM2.07 seliter. Sementara bagi petrol RON 97, harganya akan menjadi RM2.32 seliter.

    Bagi diesel pula, harga runcitnya akan naik sebanyak 6 sen. Ini menjadikan diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.05 seliter, manakala diesel Euro 4 pula dijual pada harga RM2.15 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 9 Ogos.

     
     
  • VIDEO: Ford Mustang 2018 sedia mod ekzos senyap

    Biasa bagi sesebuah kereta sports dengan enjin besar, bunyi ekzosnya juga pasti adalah kuat, seperti contoh Ford Mustang GT 2018 yang menggunakan enjin 5.0 liter V8. Perkara ini sementara dihargai oleh pemiliknya sendiri, mungkin boleh jadi sebaliknya bagi jiran sekitar rumah dan orang lain.

    Ford mengambil kira perkara ini supaya pemilik Ford Mustang GT 2018 dapat mengekalkan hubungan baik dengan jiran, oleh itu, menyediakan mod khas ‘Quiet Exhaust’ dan ‘Quiet Start’ sebagai pilihan tambahan dalam pakej sistem ekzos prestasinya. Mod ini boleh diaktifkan pada waktu anda ingin keluar dari rumah awal pagi, tengah malam ataupun menetapkan waktu tertentu supaya ia boleh aktif secara sendiri.

    “Ekzos prestasi injap aktif ini memberikan pemilik Mustang kelebihan dalam dua dunia – bunyi klasik sebuah Mustang, dan tidak akan membangunkan jiran mereka apabila keluar dari rumah pada awal pagi atau balik pada tengah malam,” kata jurutera pembangunan ekzos Ford, Matt Fills.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

    TUNGGANG UJI: Triumph Street Triple RS765 – punya keseimbangan baik, prestasi terus berkemampuan

    Masih saya ingat semasa pertama kali menguji Street Triple 675 beberapa tahun dulu, saya cukup kagum dengan betapa berbezanya ia berbanding motosikal yang pernah saya uji sebelum ini. Bukan pada satu aspek, tetapi secara keseluruhan.

    Tarikannya cukup kuat sehingga membuatkan saya pergi sendiri ke pusat pameran Triumph tidak lama selepas itu untuk ‘meminangnya’ terus. Malangnya, saya tidak berjaya menjadi seorang pemilik Triumph. Kenapa? Cukuplah saya memberitahu membeli motosikal ini seperti berkahwin dan saya masih belum bersedia. Motosikal itu sendiri tiada apa masalah.

    Pada masa itu juga, agak sukar untuk mencari motosikal lain yang dapat menyaingi Street Triple secara keseluruhan. Bukan saya saja yang berkata sebegini, malah perbandingan yang dibuat oleh media-media antarabangsa juga mengatakan perkara yang sama.

    Tahun ini, Triumph membuat kejutan apabila memperkenalkan model baru, Street Triple 765 yang didatangkan dalam beberapa versi. Seperti yang dilihat pada namanya, 765 itu adalah membawa makna kapasiti enjinnya, yang menggunakan asas daripada enjin 675 cc sebelum ini tetapi telah dibesarkan menjadi 765 cc.

    Ini adalah kapasiti maksimum yang dapat dicapai sambil mengekalkan saiz asalnya, tetapi jika dibandingkan lagi dengan enjin 675 cc tersebut, enjin baru ini hanya berkongsi 10 peratus alat ganti yang sama.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Lebih 140,000 saman dikeluarkan di bawah AWAS

    Lebih 140,000 saman dikeluarkan di bawah AWAS

    Sejak diperkenalkan pada 15 April lalu, setakat ini, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah mencatatkan lebih 140,000 saman terutamanya bagi kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

    “Sejumlah 142,354 saman telah dikeluarkan di bawah AWAS. Daripad ajumlah itu, sebanyak 12,354 saman kesalahan melanggar lampu isyarat merah, dan 129,781 lagi kerana memandu melebihi had laju,” ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tion Lai dalam maklumbalas bertulis bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam Dewan Rakyat.

    Beliau turut menambah seramai 7,258 pengguna jalan raya telah menerima mata di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara), laporan The Star.

    Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan sebanyak 50 lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Di mana kamera terbabit akan dipasang di lokasi strategik yang telah dikenal pasti dalam usaha jabatan itu menurunkan kadar kemalangan maut.

    Buat setakat ini, hanya ada 21 kamera AES yang dipasang iaitu lapan unit di Perak, Kuala Lumpur (3 unit), masing-masing dua unit di Putrajaya, Selangor, Johor dan Terengganu, Manakala masing-masing satu unit di Kedah dan Kelantan.

    Di bawah AWAS, pesalah trafik yang dirakam melakukan kesalahan oleh kamera AES akan dikenakan saman antara RM150 dan RM300.

    Manakala pesalah trafik yang telah mengumpul maksimum 20 mata di bawah sistem Kejara pula, akan diberi amaran atau lesen memandu mereka bakal digantung atau dibatalkan.

     
     
  • VIDEO: Volkswagen T-Roc – satu teaser dikeluarkan untuk menunjukkan konsep rekaan luar dan dalamnya

    SUV segmen B terbaru Volkswagen yang dikenali sebagai T-Roc hanya akan membuat penampilan rasmi semasa Frankfurt Motor Show tidak lama lagi, tetapi beberapa video teaser sudah dikeluarkan, selain ia juga telah ditemui semasa diuji atas jalan.

    Video pertama menunjukkan T-Roc dipandu atas jalan berpasir, menyerlahkan kemampuannya. Walaupun enjinnya masih belum diketahui, T-Roc diberitahu menggunakan platform MQB, yang membawa makna kemungkinan enjin tiga dan empat silinder akan digunakan, bersama pilihan sistem pacuan empat roda 4Motion.

    Dalam video terbaru ini pula, Volkswagen membawa penonton kepada bagaimana proses pembangunan rekaan T-Roc dilakukan, dari sekadar lukisan atas kertas, memilih idea, lukisan digital, ukiran tanah liat sehinggalah kepada kereta sebenar. Bukan sekadar bahagian luar, rekaan bahagian dalam juga diterangkan.


    GALERI: Spyshot Volkswagen T-Roc

     
     
  • Isu bekalan disk cukai jalan masih berlarutan

    Isu bekalan disk cukai jalan masih berlarutan

    Sejak sebulan yang lalu, banyak rungutan kedengaran berhubung masalah untuk memperbaharui cukai jalan kerana bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berkurangan. Malah pada pertengahan bulan lalu juga, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang berpunca daripada daripada kegagalan dan kerosakan mesin pencetak untuk mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada disk LKM.

    Kegagalan mesin pencetak ini berfungsi adalah disebabkan oleh kerosakan terhadap komponen utama mesin yang memerlukan kepakaran daripada pihak luar untuk melakukan kerja-kerja baik pulih. Disebabkan itu, stok LKM baharu tidak dapat dicetak dan menyebabkan syarikat pembekal tidak dapat membekalkan disk LKM kepada stor pusat di ibu pejabat JPJ.

    Walau bagaimana pun, sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan dan mungkin akan terus berlarutan dalam tempoh beberapa bulan lagi, menurut laporan NST.

    “Kontraktor yang dilantik buat masa ini masih mengalami masalah kekurangan bahan dan sedang menantikan penghantaran bekalan baharu. Sebelum ini, mesin pencetak berkenaan mengalami kerosakan salah satu komponen utama, yang mengakibatkan kegagalan mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada pelekat cukai jalan,” ujar sumber yang mendedahkan kepada akhbar terbabit.

    JPJ memerlukan 50,000 disk cukai jalan setiap hari bagi memenuhi permintaan awam dan kekurangan bekalan ini telah memaksa jabatan berkenaan mendahului pengedaran bagi cawangan, diikuti dengan Pos Malaysia dan MyEG.

     
     
  • Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Mulanya, Mitsubishi Fuso Truck and Bus Corporation (MFTBC) mengeluarkan eCanter – trak kegunaan ringan kuasa elektrik penuh – hanya untuk pasaran Jepun dengan Seven-Eleven Co., Ltd menjadi pelanggan komersial pertama dengan pembelian sebanyak 25 unit.

    Kini, pengeluaran trak tersebut sudah dimulakan di Tramagal, Portugal, untuk pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Menurut MFTBC, kerajaan Portugal sudah menyokong langkah pembangunan eCanter sejak tahun 2010 lagi, dan langkah ini dianggap penting untuk memenuhi permintaan terhadap trak mesra alam di bandar-bandar besar.

    eCanter adalah jawapan Fuso untuk trak tanpa emisi dan tanpa bunyi. Kuasa yang menggerakkannya datang daripada enam pek bateri lithium ion voltan tinggi 420 V, dan setiap satunya mempunyai kuasa 13.8 kWh. Dengan caj penuh, trak ini boleh bergerak sehingga 100 km dan mengangkat berat dua hingga tiga tan, bergantung kepada bentuk badannya.

    Mitsubishi Fuso eCanter mula dikeluarkan di Eropah – trak kegunaan ringan elektrik penuh pertama di dunia

    Ia mendapat manfaat daripada ujian menyeluruh yang diadakan terhadap pelanggan di Portugal dan Jerman, dengan unit pra-produksi yang dikeluarkan antara tahun 2014 dan 2017. Jika dibandingkan dengan trak diesel, ia menawarkan penjimatan kos operasi sehingga 1,000 Euro (RM5,061) bagi setiap 10,000 kilometer.

    Selain trak kuasa elektrik ini, Fuso juga mempunyai trak mesra alam lain yang antaranya dikuasakan oleh enjin hibrid, iaitu pada model Canter Eco Hybrid yang sudah dikeluarkan sejak tahun 2006, manakala generasi keduanya pula dikeluarkan sejak tahun 2012.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026