Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • RapidKL sediakan talian khas untuk pengguna respon berkenaan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel

    RapidKL sediakan talian khas untuk pengguna respon berkenaan perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel

    Bagi memberikan peluang kepada para pengguna menyampaikan maklum balas mengenai perkhidmatan LRT, MRT dna Monorel, Rapid telah mewujudkan nombor talian khas iaitu 0107664472, bagi tujuan tersebut. Selain daripada itu, pengguna juga boleh memaklumkan kepada pihak Rapid mengenai salah laku atau musnah laku yang dialami semasa menggunakan pengangkutan berkenaan.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman, talian khas berkenaan adalah dikendalikan oleh Pusat Hubungan Rapid KL. Di mana pengguna boleh mengambil gambar dan berkongsi maklum balas dengan menghantar mesej WhatsApp kepada nombor tersebut.

    “Maklum balas ini sama ada baik atau tidak baik akan dikongsi pula dengan pihak berkaitan untuk tindalan lanjut. Ini merupakan satu kempen baharu Rapid,” katanya dalam satu kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman rasmi Facebook mereka.

    Zohari berkata ia dilakukan susulan sungutan orang ramai mengenai vandalisme dan salah laku sesetengah pengguna ke atas aset MRT laluan Sungai Buloh-Kajang yang perkhidmatannya baru dilancarkan pada 17 Julai lalu.

    “Walau pun kami memiliki ratusan anggota keselamatan yang bertugas dan ribuan kamera litar tertutup (CCTV), namun kami masih memerlukan kerjasama orang awam,” katanya.

    Sementara itu Ketua Jabatan Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun berkata kempen tersebut akan turut dipanjangkan untuk perkhidmatan bas Rapid KL sekiranya saluran maklum balas baharu itu mendapat sambutan orang ramai.

    Beliau juga berkata maklum balas segera mengenai status perkhidmatan rel dan bas Rapid KL boleh diperoleh melalui Twitter @AskRapidKL atau mesej di Facebook MyRapid.

     
     
  • SPAD mempertimbangkan aplikasi ‘Meter On’ untuk pengguna akses butiran pemandu ‘e-hailing’

    SPAD mempertimbangkan aplikasi ‘Meter On’ untuk pengguna akses butiran pemandu ‘e-hailing’

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mempertimbangkan untuk memasukkan latar belakang pemandu ‘e-hailing’ dalam aplikasi ‘meter-on’ bagi membolehkan pengguna mengakses butiran pemandu sebagai langkah keselamatan.

    Menurut CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah, buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya menyediakan data pemandu teksi. Sejak 16 Jun lalu, SPAD mula menyemak latar belakang para pemandu perkhidmatan ini bagi memastikan mereka mempunyai rekod yang baik, laporan Bernama.

    Beliau turut berkata SPAD juga akan terus mengguna pakai butang panik atau butang kecemasan (SOS) dalam perkhidmatan e-hailing bagi menjamin keselamatan pengguna dan pemandu itu sendiri.

    Dalam masa yang sama, Azharuddin turut berkata, Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dijangka diwartakan pada Oktober ini.

    Beliau berkata pindaan akta berkenaan, yang bertujuan mengesahkan perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai lepas.

    Selain pemandu, operator dan industri teksi, beliau berkata orang awam khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya pada perkhidmatan itu akan mendapat manfaat daripada pindaan akta itu.

    “Antaranya, pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ hanya perlu membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom setahun sekali berbanding dua kali setahun sebelum ini iaitu selepas tempoh tiga tahun pendaftaran di JPJ,” katanya pada sidang media semalam.

    Pindaan itu juga mampu meningkatkan pendapatan pemandu melalui penggunaan harga tambang dinamik apabila menggunakan aplikasi ‘e-hailing’ atau kadar tambang teksi bermeter semasa mengambil penumpang di bahu jalan.

    Buat masa ini, SPAD telah meluluskan 1,722 lesen individu daripada 3,474 permohonan sejak September 2016 hingga Julai lalu melalui inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) selain mengagihkan geran tunai kerajaan sebanyak RM2.15 juta kepada 431 pemandu.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Civic Type R FK8 2017 – revolusi 25 tahun peralihan falsafah pembinaan jentera Type R

    PANDU UJI: Honda Civic Type R FK8 2017 – revolusi 25 tahun peralihan falsafah pembinaan jentera Type R

    Zaman 90’an merupakan era emas bagi dunia kereta berprestasi tinggi dari Jepun. Negara matahari terbit berkenaan mula membina kereta sport bermula penghujung era 50’an lagi, dan selepas itu ia mula berevolusi dari masa ke masa, sehinggalah mencapai bentuk paling sempurna sekitar era 90’an di mana budaya modifikasi JDM mula dijadikan satu ‘mazhab’ untuk diikuti oleh ‘abang-abang kereta’ di seluruh dunia.

    Era berkenaan menyaksikan Nissan Skyline GT-R menerusi model R32, R33, dan R34 mula digeruni oleh kereta-kereta sport dari benua Eropah dan Amerika, diikuti oleh model-model heavyweight lain dari Jepun seperti Toyota Supra dan Honda NSX. Dalam pentas kejohanan Rali Dunia pula, pertarungan sengit antara Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX menyebabkan pengeluar-pengeluar lain kelihatan seakan tidak tahu bagaimana untuk menghasilkan kereta-kereta 2.0 liter turbo 4WD yang pantas.

    Manakala untuk kelas enjin bawah dua liter tanpa induksi paksaan, Honda hadir dengan teknologi Variable Valve Lift and Electronic Control atau lebih dikenali sebagai VTEC – enjin yang berperangai seperti enjin biasa pada rpm rendah, dan tiba-tiba menjadi liar dan meraung seperti enjin perlumbaan sebenar pada rpm tinggi.

    Enjin-enjin VTEC ini juga memegang rekod-rekod terbaik untuk enjin NA. Enjin F20C yang menjana roadster S2000 misalnya, ia merupakan enjin NA produksi yang menghasilkan kuasa kuda paling besar untuk setiap liter pada tahun 1999 hingga 2010, sebelum dipintas oleh enjin Ferrari pada model 458. Enjin-enjin terdahulu dari siri B juga tidak kurang hebatnya di mana unit 1.6 liter B16B pada Honda Civic Type R EK9 mampu menghasilkan 185 hp pada tahap 8,200 rpm dalam keadaan standard.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Perodua Axia yang dipandu jururawat terbabas kerana kucing, bukan masalah stereng terkunci – polis

    Perodua Axia yang dipandu jururawat terbabas kerana kucing, bukan masalah stereng terkunci – polis

    Ahad lalu kecoh di laman media sosial apabila tularnya berita mengenai seorang jururawat yang mengalami kemalangan di daerah Kota Tinggi, Johor, selepas Perodua Axia yang dipandunya terbabas. Pada mulanya kemalangan ini didakwa oleh netizen, berpunca akibat stereng terkunci, namun ternyata ia adalah tidak benar sama sekali.

    Kejadian yang menimpa Saidatul Atikah Shabandi, yang dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Semenchu dari FELCRA Sungai Layau, telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kota Superintendan Ashmon Bajah, laporan Harian Metro.

    Menurut siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati kejadian kira-kira jam 4.30 petang yang menimpa jururawat berkenaan tidak ada kaitan dengan kegagalan stereng kenderaan dipandunya. Sebaliknya berpunca apabila pemandu berkenaan mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dari kiri jalan.

    “Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan jalan dan menjunam beberapa meter di pekarangan sebuah rumah penduduk,” katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan dan mengesahkan tiada penghuni rumah yang mengalami kecederaan dalam insiden itu.

    Tuduhan netizen yang mendakwa kereta buatan Perodua semakin kurang berkualiti hingga menyebabkan stereng boleh terkunci secara tiba-tiba ketika memandu adalah tidak berasas sama sekali. Malah kejadian yang pernah berlaku sebelum ini yang juga melibatkan kemalangan jalan raya juga didakwa berpunca daripada stereng model yang sama terkunci. Namun ia disangkal sama sekali oleh Perodua selepas menjalankan siasatan rapi mengenainya.

    Malah salah satu kejadian yang berlaku pada pertengahan November lalu yang turut didakwa berpunca daripada kegagalan stereng berfungsi dengan sempurna, hasil siasatan Perodua mendapati keempat-empat tayar pada kereta yang terbabit dengan kemalangan tersebut botak, dengan tiga daripadanya hanya tingga 1 mm kedalaman bunga.

    Jadi diharap rakyat Malaysia khususnya netizen dan jaguh papan kekunci (keyboard warrior) tidak cepat melatah dan membuat andaian yang bukan-bukan. Sebaliknya, biarlah pihak yang berwajib termasuk pengeluar kenderaan (waima apa jua model kenderaan sekali pun) yang melakukan siasatan sewajarnya. Bukannya membuat tuduhan melulu yang akhirnya tersalah penghitungan.

     
     
  • Range Rover Velar dari penggayaan Urban Automotive

    Range Rover Velar dari penggayaan Urban Automotive

    Sebelum ini, Luma Design telah memperlihatkan penawaran ubah suai mereka dengan badan yang lebih lebar bagi Range Rover Velar. Kini ada satu lagi pendekatan baru bagi reka luaran model sama ditunjukkan; Urban Automotive pula memberikan sentuhan versi mereka sendiri.

    Perubahan yang dilakukan antaranya ialah mengantikan bampar depan dan belakang dengan penggunaan gentian karbon. Bampar belakang juga hadir dengan bahagian splitter yang terdedah dengan penyudah dalam warna lutsinar. Bahagian masukan udara di depan juga ditampilkan, manakala masukan di bahagian sisi pula datang dengan lampu nyalaan siang.

    Diffuser di belakang turut menempatkan hujung ekzos aluminium serta penutup bahagian injap ekzos dengan penyudah hitam satin. Semua ini tambahan daripada kit yang disediakan oleh Urban Automotive. Bahagian bumbung Velar ini juga diberikan dua kemasan penyudah; dalam warna hitam satin dan hitam berkilat.

    Ia dilengkapi pula dengan rim 23-inci aloi. Menurut Urban Automotive, versi Range Rover Velar yang diperkemas ini akan ditawarkan bermula November nanti, dengan serahan kepada pelanggan dijangka dilakukan pada bulan berikutnya.

    Buat masa sekarang, Urban Automotive akan mengenakan perubahan visual bagi varian petrol; dilaporkan syarikat itu telah membeli 14 unit Velar untuk tujuan berkenaan. Tiada harga dinyatakan, dan versi petrol yang dimaksudkan itu akan menggunakan enjin 2.0 liter Ingenium empat-silinder dengan kuasa 250 PS, atau enjin 3.0 liter Supercharged V6 dengan kuasa 380 PS.

     
     
  • MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Malaysia telah pun mengumumkan kehadiran MINI Clubman Sterling Edition baharu di pasaran Malaysia. Dibina khas dengan nilai estetik yang tiada tandingan dan cukup elegan, MINI edisi terhad baharu itu merupakan ekspresi sebenar kereta lelaki budiman yang moden. Didatangkan dengan 20 unit terhad sahaja, ia hanya dibuka untuk tempahan secara dalam talian di www.mini.my/sterlingedition, pertama seumpamanya dalam industri automotif Malaysia mulai 15 hingga 26 Ogos ini.

    Menawarkan nilai estetik dan elegan yang tiada tandingannya, MINI Clubman Sterling Edition baharu direka dengan penuh emosi bersama gabungan warna sofistikated dan material diadun bagi mencipta karekteristik untuk lelaki moden yang budiman, sofistikated dan yakin.

    Ia dihiasi dengan warna badan perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain. Ditambah pula dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci didatangkan dalam warna hitam.

    Malahan karakteristiknya juga cukup terserlah dengan garisan yang lebih jelas dan kontras. Malahan bahagian dalaman MINI Clubman Sterling Edition juga diserlahkan dengan kombinasi warna biru (Indigo Blue) dan merah bata (Pure Burgundy). Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.

    Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.

    Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana union jack yang menjadi signaturnya.

    MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888

    MINI Clubman Sterling Edition baharu ini turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5-inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya. Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.

    Sebagai tambahan, maklumat standard seperti penggunaan bahan api semasa, jarak minyak sekarang dan lokasi terakhir boleh dilihat menerusi aplikasi telefon MINI Connected.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi dan kemudahan Bantuan Parkir untuk memudahkan pemandu meletakkan kenderaan ke dalam ruang parkir selari secara automatik. Fungsi kawalan jarak parkir mengukur ruang kosong di antara dua buah kereta ketika kereta dipandu. Sebaik sahaja ruang parkir yang sesuai ditemui, MINI akan mengarahkan pemandu untuk berhenti. Kelajuan boleh dikawal melalui panduan yang dipaparkan pada skrin menggunakan stereng automatik. Mengundur masuk atau keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah kerana kamera undur memberikan paparan jelas tentang apa yang ada di belakang pemandu.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.

    Ditawarkan pada harga anggaran atas jalan RM268,888 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran peribadi, MINI Clubman Sterling Edition baharu didatangkan dengan waranti empat Tahun tanpa perbatuan terhad dan Servis Berjadual Percuma.

    Selain itu, seperti mana model MINI baharu yang lain, ia turut dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan selama lima-tahun yang terbaharu daripada MINI Malaysia. Iaitu disertakan dengan senarai perkhidmatan yang komprehensif seperti talian On the Spot Hotline, Help on the Phone dan bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun, Perkhidmatan Tunda Percuma dan apabila diperlukan (lebih 200 km dari kediaman), Kenderaan Gantian, Tempat Tinggal, Penyelesaian Servis Mobiliti serta servis Penghantaran Pulang.

     
     
  • Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    J.D. Power telah mengeluarkan kajian Indeks Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan 2017 di Malaysia (Customer Service Index; CSI), yang membentangkan keseluruhan kepuasan perkhidmatan di kalangan para pengguna. Bagi kajian edisi 2017 ini adalah berdasarkan respon dari 2,705 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Februari 2015 dan Mei 2016, dan menghantarnya ke pusat servis bertauliah di antara Ogos 2016 dan Mei 2017.

    “Dengan permintaan dan gaya hidup yang moden, pemilik kenderaan di Malaysia kini tidak mahu masa mereka terbuang begitu sahaja ketika menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara. Jadi ia merupakan tanggungjawab para pengedar untuk menyediakan penasihat perkhidmatan profesional sebagai memastikan perkhidmatan mereka menepati kehendak pada pelanggan,” ujar Muhammad Asyraf Bin Mustafar, ketua J.D. Power bagi Malaysia.

    Kepuasan pemilik kenderaan baharu dengan pengalaman penyelenggaraan ditentukan dengan meneliti prestasi pengedaran dalam lima faktor (yang paling penting) iaitu kualiti penyelenggaraan (32%), penerimaan penyelenggaraan (22%), pengambilan kenderaan (18%), penasihat penyelenggaraan (15%) dan fasiliti penyelenggaraan (13%).

    Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power

    Bagi kajian tahun ini menyaksikan kepuasan pelanggan telah ditambah baik, dengan kedua-dua jenama Malaysia dan luar yang mencapai mata tertinggi (pada skala 1,000 mata) berbanding tahun lalu. Jenama Malaysia merangkumi 756 mata (+9 mata), manakala jenama luar pula mencapai 766 mata (+11 mata).

    Sekali lagi, Toyota menduduki tangga teratas dengan kutipan mata sebanyak 780 mata, meningkat 17 mata berbanding tahun sebelum ini. Manakala tempat kedua pula diduduki oleh Mitsubishi dengan markah 778, bersaing rapat dengan Mazda (776 mata), diikuti pula dengan Nissan (768 mata), Volkswagen (765 mata) dan Isuzu (764 mata).

    Manakala pengeluar kenderaan pasaran massa yang menerima markah di bawah 761 termasuklah Ford (759 mata), Perodua (757 mata), Proton (755 mata) dan Honda (753 mata). Menurut J.D Power, Kia dan Hyundai yang turut berada dalam kajian, namun terkeluar daripada senarai memandangkan skala mereka yang agak kecil atau berkurangan.

    Klik untuk besarkan

    Kajian terbabit turut mendedahkan para pelanggan sangat menghargai penasihat perkhidmatan yang memberikan penjelasan yang terperinci sebelum penyelenggaraan dimulakan, dengan kepuasan meningkat sebanyak 49 mata menjadi 768 mata, berbanding ketika penjelasan tidak diberikan (719 mata). Manakala penjelasan selepas penyelenggaraan selesai juga menerima kepuasan tinggi (763 mata berbanding 711 mata).

    Tahun ini juga menyaksikan peningkatan proses penyerahan dalam kurang daripada 15 minit kepada 62% berbanding 58% pada 2016. Sebagai tambahan, peratusan bagi bayaran perkhidmatan yang dijelaskan juga telah bertambah menjadi 91% berbanding 88% tahun lalu.

    Selain itu, kajian juga mendapati rakyat Malaysia lebih berpuas hati apabila mereka dimaklumkan mengenai status kenderaan masing-masing dan sekiranya pusat servis dilengkapi dengan fasiliti yang diperlukan. Secara keseluruhannya, kepuasan pelanggan juga memberikan kesan terhadap kesetiaan dan sokongan, jadi apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi, pasti mereka akan menyarankan pengedar perkhidmatan tersebut kepada kenalan dan keluarga.

     
     
  • Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    Mulai tahun hadapan, piawaian filem penghadang haba akan diselaraskan menerusi satu mekanisme baharu bagi memastikan filem penghadang haba berkenaan mematuhi Standard Malaysia MS2669.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, satu mekanisme akan dilaksanakan iaitu Penyelarasan Piawaian Filem Penghadang Haba Kenderaan Bermotor yang dilihat mampu menyelesaikan isu penguatkuasaan terhadap kenderaan awam berikutan penggunaan peralatan ujian yang berbeza oleh syarikat aksesori kenderaan dan pihak berkuasa, laporan Bernama.

    Katanya lagi, mekanisme itu juga dapat memastikan filem yang dipasang oleh kedai aksesori kenderaan mematuhi standard ditetapkan sekali gus mengelakkan pengguna tertipu dengan produk tiruan.

    “Saya yakin pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lanjut seperti meminda mana-mana peraturan atau kaedah yang berkenaan bagi memastikan pelaksanakan penggunaan filem yang menepati piawaian MS2669 dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita sewaktu melancarkan mekanisme tersebut semalam.

    Mekanisme itu dibangunkan oleh Pertubuhan Penjual Auto Audio, Aksesori dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) dengan kerjasama JPJ, Jabatan Standard Malaysia, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persatuan Automotif Malaysia.

    Selaras dengan penggunaan mekanisme itu, Liow berkata pengusaha industri sama ada pembekal atau peruncit akan menggunakan label keselamatan kod QR pada filem penghadang haba yang dipasang pada setiap cermin kenderaan.

    Melalui sistem itu, pengguna, pengusaha kedai aksesori dan pihak berkuasa boleh mengimbas kod QR bagi memeriksa sama ada filem yang dipasang memenuhi standard ditetapkan.

    Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow

    “Kadang kala bukan pengguna sahaja tertipu, tetapi kedai aksesori juga ditipu oleh pembekal. Dengan sistem ini, semua peringkat boleh memeriksa filem itu asli atau tiruan,” katanya.

    Menurut Presiden AAA Cherrie Lim Bee Choo pula, kod QR tersebut boleh diimbas melalui aplikasi telefon mudah alih “TinTrac” yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.

    “Kod QR itu akan digunakan bermula pertengahan November ini secara berperingkat-peringkat di semua kedai aksesori yang menjadi ahli AAA, iaitu lebih 90 peratus daripada keseluruhan kedai aksesori kenderaan di negara ini. Hanya kedai aksesori ahli AAA yang akan mempunyai kod QR itu dan dengan mengimbas kod tersebut, semua maklumat seperti jenama filem dan material yang digunakan boleh diperolehi,” kata Lim.

    Di mana mekanisme itu mampu memantau dan mengesan filem penghadang haba bermula dari peringkat pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengendalian kepuasan pengguna sehingga ke peringkat penguatkuasaan.

    Mekanisme itu dibentuk susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ berhubung operasi bersepadu secara besar-besaran yang dirancang dilancarkan pada 16 Jun 2014 terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan filem penghadang haba tidak menepati piawaian penembusan cahaya.

    Pengumuman itu menimbulkan pertikaian kerana peralatan ujian yang digunakan oleh pihak berkuasa berbeza dengan alat yang digunakan pengusaha kedai aksesori kenderaan.

     
     
  • Honda Civic Type R – aksesori tambahan mula dijual di Jepun, libatkan pelbagai kemasan luaran dan dalaman

    Honda Civic Type R – aksesori tambahan mula dijual di Jepun, libatkan pelbagai kemasan luaran dan dalaman

    Dengan Honda Civic Type R yang akan mula dipasarkan di Jepun pada 29 September nanti, beberapa pilihan aksesori model berkenaan sudah mula ditawarkan di sana, untuk memberi pilihan kepada bakal pemilik untuk memberi kelainan kepada unit mereka nanti.

    Ini termasuk beberapa pertambahan dan aksesori bagi luaran dan juga dalaman model berkenaan, seperti gril merah berkilat yang dilanjutkan sehingga lampu utama. Pelindung cermin sisi juga dihadirkan dalam pilihan warna hitam atau merah, begitu juga dengan lampu kabus LED dengan tint kuning, visor pada pintu dan rim aloi 20-inci Modulo dalam warna Champion White, dengan kos 270,000 yen (RM10,500).

    Turut disediakan ialah sayap belakang daripada gentian karbon dengan perincian halus warna merah, yang 1 kg lebih ringan berbanding versi standard. Material yang sama juga turut disediakan bagi peralatan pada bahagian papan pemuka, tuil gear serta kemasan panel pintu.

    Honda juga akan menjual tombol gear dalam material kulit berwarna merah dan hitam yang didakwa memberikan permukaan lebih kesat untuk dipegang berbanding tombol aluminium sedia ada. Karpet dan pelapik pintu hitam dan merah Type R melengkapi katalog berkenaan.

    Honda Civic Type R akan dijual pada harga 4,500,360 yen (RM174,300) di Jepun. Untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia belum mengesahkan sama ada model ini akan dibawa masuk. Tetapi, kami telah di bawa ke Dresden, Jerman untuk sesi pandu uji model ini bulan lalu. Nantikan ulasannya.

     
     
  • Azlan Shah naik podium diperlumbaan Suzuka 8 Hours

    Azlan Shah naik podium diperlumbaan Suzuka 8 Hours

    Pelumba motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman, yang menunggang untuk Kawasaki Green Team bersama dengan rakan sepasukan Kazuma Watanabe dan Leon Haslam, berjaya menduduki tempat kedua ketika perlumbaan Coca-Cola Suzuka 8 hours Endurance Race (Suzuka 8 Hours).

    Mereka berada di belakang pasukan Yamaha Factory Racing yang diwakili oleh Alex Lowes, Michael van der Mark dan Katsuyuki Nakasuga, yang menunggang jentera lumba Yamaha TZF-R1 dan muncul juara buat kali ketiga berturut-turut. Mengisi tempat ketiga ialah pasukan F.C.C. TSR Honda.

    Selepas mengharungi saingan sengit daripada penunggang F.C.C. TSR Honda yang dikendali oleh Dominique Aegerter, Randy de Puniet dan Josh Hook dengan jentera Honda CBR1000RR SP2, pasukan Kawasaki yang mempertaruhkan penunggan mereka dengan jentera Kawasaki ZX-10RR berjaya juga merampas kedudukan kedua.

    Azlan Shah naik podium diperlumbaan Suzuka 8 Hours

    Sementara itu, sebuah lagi pasukan yang diterajui oleh warga Malaysia, Zulhelmi Ahmad, Satu Hati Honda Team Asia dan diwakili pelumba tempatan Zaqhwan Zaidi, Dimas Ekky Pratama dari Indonesia dan Ratthapong Wilairot dari Thailand menamatkan perlumbaan ditempat ke-lapan. Pasukan ini turut disertai oleh Muhammad Zarul Sirat sebagai ketua mekanik dan Mohamad Redzuan Kamis selaku jurutera data.

    Pasukan teratas menamatkan perlumbaan endurans yang melibatkan 216 pusingan dalam masa 8.00’32.959, manakala pasukan Kawasaki berada 2’09.052 di belakang. Kelajuan purata perlumbaan ialah 156.99 km/j.

     
     
  • GALERI: Art Of Speed 2017 – meraikan budaya kustom

    GALERI: Art Of Speed 2017 – meraikan budaya kustom

    Bagi peminat kenderaan binaan khas, atau sebutan mudahnya custom, hujung minggu lalu mungkin menjadi saat yang ditunggu-tunggu; acara Art Of Speed 2017 (AOS 2017) berlangsung dengan sangat meriah untuk meraikan kepelbagaian penggiat-penggiat tempatan dan juga antarabangsa.

    Memasuki penganjuran bagi tahun ke-enam, acara yang berlangsung di MAEPS, Serdang ini berjaya menarik minat begitu ramai pengunjung untuk turut serta sepanjang dua hari ia berlangsung. Banyak kenderaan-kenderaan menarik, pengenalan model baru serta jualan aksesori serta persembahan muzik rancak menghiasi jadual acara.

    Antara model motosikal baru yang diperkenalkan secara rasmi kepada umum ialah Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled, yang kini sudah mula dijual untuk pasaran tempatan pada harga bermula RM69,000 termasuk GST. Anda boleh juga mengikuti laporan tunggang uji dari Almiera, Sepanyol bagi model Desert Sled yang sempat kami lalukan.

    Selain itu, banyak model-model motosikal (temasuk Yamaha RX-Z dua enjin ini) dan kereta binaan khas yang turut dipamer. Antara yang menarik untuk dinyatakan antaranya seperti sebuah Volvo 121 yang menggunakan enjin 1UZ V8, sehinggalah kepada sebuah Mini Cooper dengan enjin Honda K2. Tidak ketinggalan, Datsun Bluebird 510 dalam tema Hot Wheels turut kelihatan.

    Dua dewan yang tersedia menampilkan banyak hasil kerja tangan penggiat-penggiat yang mempunyai daya kreativiti dan kerja-kerja yang terperinci. Dari satu sisi, modifikasi dan sentuhan custom yang diberikan, terutama oleh anak-anak tempatan yang turut dipamerkan, menunjukkan bakat yang tidak kalah hebatnya.

    Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang acara ini, dan tak ada cara lain yang lebih baik untuk itu selain membiarkan gambar-gambar ini berbicara sendiri. Jika anda tidak sempat bertandang hujung minggu lalu, galeri besar ini kami sediakan untuk anda merasakan betapa rencamnya idea-idea dan kepelbagaian kreativiti yang bagi kelompok peminat dan penggiat kenderaan binaan khas di Malaysia.

     
     
  • Subaru BRZ facelift kini di M’sia – ditawarkan dengan manual 6-kelajuan, harga antara RM224k-RM231k

    Subaru BRZ facelift kini di M’sia – ditawarkan dengan manual 6-kelajuan, harga antara RM224k-RM231k

    Selepas kehadiran Toyota 86 facelift secara senyap-senyap di Malaysia, Motor Image juga membawa langkah yang sama dengan memperkenalkan Subaru BRZ facelift. Lebih menarik, jentera sport pacuan roda-belakang ini turut ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan, menyertai kotak gear auto enam-kelajuan sedia ada.

    Dengan harga dari RM224,389 bagi varian manual, harga atas jalan tanpa insurans, manakala varian auto pula RM10,000 lebih murah berbanding sebelum ini, menjadikannya RM230,749. Kedua-dua varian juga sebenarnya sedikit murah berbanding yang ditawarkan oleh Toyota, sekitar RM33,000.

    Antara peningkatan yang diperkenalkan termasuklah imej yang lebih agresif dengan kehadiran bahagian hadapan bersama spoiler bersudut berbentuk-U, juga dengan lampu utama LED penuh baharu yang disambungkan bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C dan indikator LED.

    Subaru BRZ facelift kini di M’sia – ditawarkan dengan manual 6-kelajuan, harga antara RM224k-RM231k

    Selain itu, lampu kabus juga kini dengan unit LED, serta corong dapra tiruan yang telah direka semula diletakkan selepas gerbang roda hadapan. Untuk bahagian belakangnya pula, lampunya juga dengan unit LED, seperti mana yang boleh dilihat pada 86 facelift. Turut menyerlahkan lagi gayanya, dengan padanan roda aloi 10-jejari 17-inci baharu, juga berkongsi rekaan dengan 86.

    Bagi bahagian kabin pula, perubahan yang dilakukan termasuk ditampilkan dengan roda stereng pelbagai fungsi baharu, juga dari 86, kluster instrumen yang direka semula dan paparan pelbagai fungsi berwarna 4.2-inci baharu (kini dengan data prestasi kenderaan dan lap timer) serta butang kawalan bagi kawalan suhu automatik dwi-zon yang dipertingkatkan. Malah turut dihadirkan dengan jahitan merah baharu pada bahagian kabin dan sulaman logo BRZ baharu pada tempat duduk.

    Subaru BRZ facelift kini di M’sia – ditawarkan dengan manual 6-kelajuan, harga antara RM224k-RM231k

    Kit standard yang ditampilkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, kawalan suhu auto dwi-zon, upholstery Alcantara dan kulit dan pemain radio/CD 2-DIN dengan enam pembesar suara. Bagi aspek keselamatan, ia ditampilkan dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Mula Mendaki baharu dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang dipertingkatkan dengan tambahan mod Track.

    Masih dikekalkan dengan enjin 2.0 liter D-45 suntikan-terus, N/A empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 200 PS dan 205 Nm. Walau bagaimana pun, untuk varian manual, nisbah pemanduan terakhirnya dikurangkan dari 4.1 kepada 4.3:1, untuk menambahkan lagi kuasa pendikitan.

    Sistem suspensinya juga telah dipertingkatkan bagi gegelung dan peredam serta turut didatangkan dengan palang anti-olengan belakang yang lebih besar bagi mempertingkatkan responsif, kestabilan dan keselesaan. Bukan itu sahaja, pendakap menara topang, plat crossmember transmisi dan perumah roda belakang juga telah diperteguhkan bagi mempertingkatkan ketegarannya.

     
     
  • Proton-Geely Boyue bakal masuki pasaran akhir 2018

    Proton-Geely Boyue bakal masuki pasaran akhir 2018

    Model pertama Proton dengan kerjasama strategik bersama Geely, iaitu yang berasaskan SUV Boyue akan memasuki pasaran pada akhir 2018 tau awal 2019.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, buat masa ini, Proton dan Geely menumpukan kepada penubuhan kilang di Tanjung Malim, Perak, yang dijangka menjadi kilang automotif yang utama dan perintis di negara ini untuk melaksanakan teknologi pembuatan baharu di bawah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), laporan Bernama.

    “Melalui pakatan strategik ini, Geely akan membantu Proton dari segi teknologi dan pada masa sama memasang model pacuan empat rodanya, kereta pintar dan membangunkan teknologi pemanduan sebelah kanan (RHD) di Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mengulas lebih lanjut mengenai pengenalan model baharu itu, Ong berkata ia akan mengambil masa kurang daripada lima tahun, tempoh masa untuk menyiapkan kilang di Tanjung Malim.

    Di bawah perjanjian antara syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd dan pengeluar kereta dari China, Zhejiang Geely Holding Group, Proton diberi lesen untuk mengeluarkan, menjual, memasarkan dan mengedar kenderaan platform Geely yang dikenal pasti di bawah jenama ‘Proton’ di Malaysia untuk tempoh lima tahun. Sekaligus membuka pintu kepada Geely untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

    Malah menerusi pakatan strategik ini juga, kerajaan Malaysia optimis menyasarkan pengeluaran sebanyak 280,000 unit kereta bagi pasaran Asia Tenggara dan China.

     
     
  • Suzuki Swift Sport baharu – risalah jualan tersebar

    Suzuki Swift Sport baharu – risalah jualan tersebar

    Sebelum ini, apa yang diketahui tentang reka bentuk Suzuki Swift Sport baru cumalah pandangan dari hadapan yang dikeluarkan sendiri oleh Suzuki. Sekarang, hasil daripada Indian Autos Blog, risalah kenderaan ini tersebar, menampakkan selain bahagian luar, juga adalah bahagian dalam dan belakangnya.

    Pada bahagian belakang, boleh dilihat ia mempunyai dua muncung ekzos, dan mengambil elemen lain daripada Swift Sport yang ada sekarang seperti bahagian bawah berwarna hitam, lampu kabus yang terletak di tengah dan panel bawah yang mempunyai permukaan bercorak.

    Risalah yang bocor ini juga menampakkan bahagian dalam hatchback yang berorientasikan sport ini – terdapat kemasan merah untuk menandakan ia adalah versi Sport pada sepanjang papan pemuka, kemasan keliling tombol gear, meter rpm dan lingkaran merah pada meter kelajuan.

    Stereng pelbagai fungsi yang mempunyai bentuk rata di bahagian bawahnya kelihatan seperti rekaan Volkswagen atau Audi, manakala tempat duduknya dilihat seperti bersepadu dengan penyandar kepala sebagai satu unit seperti tempat duduk bucket.

    Laman web tersebut juga memetik kata daripada sumber Jepun mereka bahawa Suzuki Swift Sport baru ini akan dikuasakan oleh enjin petrol turbo 1.4 liter dengan kemampuan 150 PS pada 5,500 rpm dan 245 Nm tork di antara 1,500 hingga 4,000 rpm. Ia dijangka dipadankan bersama kotak gear sama ada manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

    Model Swift Sport sekarang menggunakan enjin 1.6 liter NA, dengan kuasa sebanyak 136 PS pada 6,900 rpm dan 160 Nm tork pada 4,400 rpm. Memandangkan model baru ini dijangka 200 kg lebih ringan pada 870 kg, prestasi yang lebih baik juga dapat dijangka.


    GALERI: Suzuki Swift generasi keempat

     
     
  • VIDEO: Porsche 911 bernadikan enjin Honda K20A2

    Tidak dinafikan, enjin Honda dengan sistem injap VTEC cukup popular dan mempunyai ramai peminatnya. Sehinggakan walaupun tidak mempunyai kereta Honda, ia dijadikan pilihan untuk modifikasi memacu pelbagai model kenderaan. Ini antara yang baru kami temui di dalam internet – Porsche 911 930 yang di bahagian belakangnya terdapat enjin K20A2.

    Asalnya, Porsche 911 930 ini dikuasakan oleh enjin enam silinder turbo, tetapi pemiliknya mahukan satu projek yang berbeza, dan enjin K20A2 (berkemungkinan daripada model Acura RSX Type S Amerika Syarikat) dipilih sebagai ‘naik taraf’. Enjin ini juga ditambah dengan sistem pengecas turbo.

    Bagi peminat enjin ini, modifikasi tersebut mungkin dipersetujui, tetapi bagi penggemar Porsche klasik, ia boleh jadi ‘menyakitkan’ melihat kereta tersebut kini dipacu pula oleh enjin daripada pengeluar Jepun, berbanding Jerman tempat asalnya.

    Saksikan sendiri kereta ini dalam video di atas, termasuk bagaimana bunyi semasa ia memecut. Bagi yang sudah biasa, dari bunyinya sahaja sudah boleh diketahui ia bukan daripada enjin enam silinder, tetapi adalah empat silinder.

     
     
  • Perkhidmatan RTS Link Singapura-JB dijangka beroperasi menjelang akhir Disember 2024 – laporan

    Perkhidmatan RTS Link Singapura-JB dijangka beroperasi menjelang akhir Disember 2024 – laporan

    Sistem aliran transit massa (MRT) melepasi sempadan yang menghubungkan antara Singapura dan Johor Bahru bakal memulakan perkhidmatannya menjelang akhir Disember 2014.

    Perjanjian dua hala bagi Sistem Transit Aliran (RTS) Singapura-Johor Bahru bakal ditandatangani pada Disember tahun ini, perkara ini diumumkan selepas mesyuarat kali-13 Jawatankuasa Menteri Bersama Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Kementerian Penyelarasan Singapura bagi Menteri Pengangkutan dan Insfrastruktur Khaw Boon Wan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan, menurut laporan Channels News Asia.

    RTS mula diumumkan buat pertama kalinya pada tahun 2010. Singapura telah mengesahkan perhentian akhir RTS bakal terletak di stesen Woodlands Utara, sepanjang laluan MRT Thomson-Pantai Timur, sementara Malaysia pula memilih Bukit Chagar sebagai terminal utama RTS. Laluan akan dihubungkan dengan jambatan, RTS mampu membawa 10,000 penumpang bagi setiap arah dalam setiap jam, menurut kenyataan tersebut. Apabila perkhidmatan ini telah bermula, perkhidmatan KTMB Tebrau akan menamatkan operasinya.

    Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua pihak kerajaan bersetuju bagi perjanjian komersil utama bagi RTS. Setiap kerajaan akan melantik syarikat insfrastruktur bagi dana, pembinaan, penyelenggaran dan penambahbaikan bagi stesen dan infrastruktur di negara masing-masing.

    Menurut laporan terbabit, Prasarana dan SMRT buat masa ini sedang mengkaji formasi bagi kerjasama untuk menjadi syarikat operasi RTS ini. Sementara itu, buat masa ini perkhidmatan KTMB Tebrau telah menambah perjalanan harian sebanyak 26 kali pada Jun lalu berbanding hanya 14 pada tahun 2016 bagi memenuhi permintaan. Malah kedua-dua negara juga telah bekerjasama bagi menambah jumlah perkhidmatan tren.

     
     
  • Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

    Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

    Berasal daripada bengkel membaiki kenderaan di New York, Amerika Syarikat, Bollinger Motors yang sudah wujud sejak tahun 2014 kini mengeluarkan gambar trak B1 yang mereka dakwa sebagai trak utiliti sport elektrik pertama di dunia. Ia sudah dibuka untuk tempahan oleh orang awam dan dijangka dapat dihantar kepada pelanggan awal tahun 2018. Walaupun begitu, harganya sekadar diberitahu sebagai “sama tahap seperti sebuah SUV dengan kelengkapan yang menarik.”

    Trak ini menggunakan bentuk petak seperti kenderaan lasak klasik, namun di sebaliknya terdapat casis maju yang dibuat daripada aluminium berkekuatan tinggi supaya dapat tahan lasak, tetapi masih ringan. Jarak di antara roda depan dan belakangnya adalah 2,667 mm, panjang 3,810 mm, lebar 1,943 mm dan tinggi 1,866 mm. Berat keseluruhannya adalah 1,769 kg.

    Memacu trak ini adalah tetapan dua motor elektrik (satu di setiap gandar) yang mampu menghasilkan sehingga 270 kW (360 hp) dan 640 Nm tork. Pembeli juga diberikan pilihan sama ada mahu mendapatkan bateri 60kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan 193 km ataupun bateri 100 kWh dengan jarak pergerakan 321 km.

    Bollinger Motors B1 – trak utiliti sport elektrik pertama

    Bagi menjadikan ia sebagai sebuah trak offroad sebenar, B1 mempunyai sistem pacuan empat roda sepanjang masa, manakala suspensi hydro-pneumatic tyang digunakan pula menyediakan jarak pergerakan 10 inci. Rim adalah jenis aluminium offset lebar dan dibalut tayar Mud Terrain LT285/70/R17.

    Bahagian dalam B1 adalah ringkas, dan menyediakan lima tempat duduk. Jika mahukan ruang lebih untuk mengangkut sesuatu, tempat duduk belakang boleh dilipat ke atas dan lantainya rata. Panel instrumen pula menggunakan banyak tolok berbentuk bulat, tetapi lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kadar bateri, tahap kelajuan, lampu amaran dan pelbagai lagi.

     
     
  • Panasonic lanjut teknologi kesan pemandu mengantuk

    Panasonic lanjut teknologi kesan pemandu mengantuk

    Pengesanan pemandu mengantuk telah pun melengkapi sebahagian daripada kenderaan yang sudah dikeluarkan setakat ini. Misalnya pada Volkswagen Passat dan Mercedes-Benz S-Class. Sebagai lanjutan kepada hal itu, syarikat elektronik Jepun, Panasonic mengumumkan sedang membangunkan teknologi untuk mengesan pemandu yang mengantuk ketika memandu dengan keupayaan untuk menentukan tahap mengantuk itu sendiri.

    Teknologi yang dibangunkan ini didakwa lebih halus dan terperinci, mengesan rasa mengantuk walau yang paling sedikit yang mungkin tak disedari pemandu. Ini dilakukan melalui perkiraan gerakan tanpa sentuhan yang menilai corak kerdipan mata dan ekspresi muka, sebagai contoh. Ia juga mematuhi data dalam kenderaan untuk menjangkakan peralihan pada tahap mengantuk yang ditunjukkan pemandu.

    Panasonic lanjut teknologi kesan pemandu mengantuk

    Isyarat biologikal yang diperlukan itu dikumpul dan dianalisa ketika kerjasama dengan Ohara Memorial Institute for Science of Labour di Jepun. Ia juga melibatkan kerjasama dengan Universiti Chiba mendedahkan akan berlakunya pelepasan haba dari tubuh manusia ketika mereka mula mengantuk.

    Disebabkan ini, kehilangan haba dari tubuh manusia boleh dikesan dan diukur dengan sensor intrared Panasonic, Grid-Eye. Lampu suasana (ambient light) turut menjadi elemen yang dinilai. Mereka juga telah mengenal pasti kesan dalam rentang waktu dan kecerahan persekitaran terhadap tahap mengantuk yang dirasai.

    Penyelesaiannya adalah dengan cuba mengekalkan suhu selesa bagi pemandu, serta memanipulasi lampu suasana untuk persekitaran pemandu bagi melawan rasa mengantuk. Sekiranya pemandu dikesan mengantuk pada tahap yang tinggi, amaran bunyi akan dikeluarkan untuk memaklumkan pemandu.

     
     
  • Tenaga Nasional mulakan program perintis kadar puncak/bukan puncak – kelebihan untuk EV, PHEV?

    Tenaga Nasional mulakan program perintis kadar puncak/bukan puncak – kelebihan untuk EV, PHEV?

    BMW X5 xDrive 40e Exterior colour: Glacier Silver, Upolstry: Ivory White Nappa Leather, Pure Excellence Exterior Design, max. system output: 230kW/313 hp; average consumption: 3,4-3,3 Liter/100 km 15,4-15,3kWh/100km
    – CO2-emissions: 78 Ð 77 g/km

    Bermula Mei lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah pun memulakan program perintis TNB SmartSaver Time of Use (TOU) iaitu satu program yang mengenakan caj kepada pengguna berdasarkan kadar yang berbeza bagi penggunaan ketika waktu puncak atau bukan puncak – yang pastinya memberikan kelebihan kepada pengguna kereta elektrik sepenuhnya (EV) mahupun plug-in hybrid (PHEV).

    Projek perintis ini bakal berlangsung selama enam bulan – akan berakhir pada bulan Oktober ini. Objektif TNB menerusi program ini adalah untuk mengkaji tingkah laku pelanggan terhadap penggunaan kuasa biasa voltan rendah. Semasa tempoh percubaan ini, pelanggan akan mendapat rebat dalam bil bulanan mereka sekiranya mereka mengurangkan penggunaan elektrik ketika waktu puncak dan mengalihkan penggunaan mereka ke waktu sederhana puncak dan waktu bukan puncak.

    Semasa tempoh percubaan ini juga, pelanggan yang terlibat akan menerima dan membayar bil mereka secara normal. Namun, mereka akan diberikan penyata SmartSaver TOU pada bulan berikutnya bagi memberitahu sekiranya mereka menerima apa-apa rebat – sebarang rebat kemudiannya akan digunakan untuk menolak jumlah bil elektrik bulan berikutnya.

    Tenaga Nasional mulakan program perintis kadar puncak/bukan puncak – kelebihan untuk EV, PHEV?

    SmartSaver TOU memberikan rebat dan juga ganjaran pengurangan penggunaan waktu puncak untuk pelanggan yang layak, dan rebat berkenaan dikira berdasarkan kadar tarif berbeza, pada masa yang berbeza-beza, dengan waktu bukan puncak biasanya lebih rendah dari waktu separa puncak, dan seterusnya.

    Jika kos agregat menunjukkan nilai negatif, pelanggan akan menerima rebat dengan nilai berkenaan. Tetapi sekiranya ia menunjukkan nilai positif, tiada rebat diberikan dan tiada juga jumlah bayaran dikenakan. Untuk ganjaran pengurangan penggunaan waktu puncak, pelanggan akan menerima RM16 sebulan sekiranya mereka berjaya mengurangkan penggunaan sekurang-kurangnya lima peratus atau penggunaan ketika waktu separa puncak juga sekurang-kurangnya lima peratus serta pengekangan dari apa-apa peningkatan berbanding penggunaan sebelum program perintis ini.

    Tempoh puncak diwartakan pada 11 pagi hingga 5 petang pada hari biasa, manakala waktu separa puncak adalah bermula 8 pagi hingga 11 pagi dan 5 petang hingga 10 malam. Waktu bukan puncak untuk hari biasa pula dikira bermula 10 malam hingga 8 pagi setiap hari. Manakala untuk hujung minggu dan cuti kelepasan am, keseluruhan hari berkenaan dikira sebagai waktu bukan puncak.

    Tenaga Nasional mulakan program perintis kadar puncak/bukan puncak – kelebihan untuk EV, PHEV?

    Dengan jadual yang diberikan ini, ia pastinya menawarkan kelebihan kepada pemilik kereta elektrik atau hibrid plug-in kerana kenderaan-kenderaan ini kebiasaannya di cas pada waktu malam dan juga pada hujung minggu. Berapa banyak yang boleh dijimatkan oleh pengguna-pengguna kenderaan seperti ini juga sebenarnya masih belum dapat dipastikan.

    Program perintis kadar waktu puncak/bukan puncak ini diperkenalkan setelah Suruhanjaya Tenaga mengatakan bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia dengan sebarang surcaj yang akan dikenakan, menurut laporan Bernama. Minggu lalu, suruhanjaya tersebut menyatakan orang ramai perlu bersedia untuk perkara yang tidak diingini serta perlu menggunakan elektrik secara berhemah.

     
     
  • Proton-Geely sasar pengeluaran 280,000 unit kereta – termasuk untuk eksport ke China, Asia Tenggara

    Proton-Geely sasar pengeluaran 280,000 unit kereta – termasuk untuk eksport ke China, Asia Tenggara

    Menerusi kerjasama pakatan strategik antara Proton dan Zhejiang Geely Holdings Group yang termeterai pada 23 Jun lalu, kerajaan Malaysia optimis menyasarkan pengeluaran sebanyak 280,000 unit kereta bagi pasaran Asia Tenggara dan China.

    Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan, pasaran kereta di Malaysia agak kecil yang mana tahun lepas jualan kereta pelbagai jenama adalah 580,000 unit berbanding China dengan jualan tahunan mencecah 28 juta unit, laporan Bernama.

    “Pasaran tahunan China 28 juta unit jadi dia (China) nak bantu kita 1% daripada jumlah itu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini,

    Menurutnya lagi, untuk mencapai sasaran itu Proton memerlukan rakan strategik kerana penyelidikan serta reka bentuk bertaraf dunia amat penting untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa.

    Proton-Geely sasar pengeluaran 280,000 unit kereta – termasuk untuk eksport ke China, Asia Tenggara

    “Syarikat ini Geely boleh menyokong dari segi penyelidikan yang canggih kerana kita perlu menghadapi satu perubahan yang besar. Sekarang semua syarikat kereta berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang dipandu sendiri sepenuhnya seperti Volvo dan Mercedes. Jadi Geely bersama-sama Proton perlu membina kilang di sini untuk tempoh lima tahun ini. Apabila kilang siap, kereta akan memasuki pasaran China dan Asia Tenggara kerana Asia Tenggara merupakan satu destinasi yang sangat penting kerana mempunyai kira-kira 600 juta rakyat,” sambungnya lagi.

    Ong turut berkata, kilang pembuatan kereta Proton akan tertumpu di Tanjung Malim yang mana sebahagian besarnya masih di Shah Alam, Selangor.

    “Tanjung Malim juga akan menyaksikan satu perubahan yang besar apabila pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan pada tempoh akan datang susulan limpahan ekonomi di daerah ini. Kita mengambil kesempatan ini dengan merancang untuk membina kilang elektronik di Tanjung Malim kerana kereta menggunakan banyak barang elektronik. Apa yang penting ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda supaya mereka tidak berhijrah ke bandar besar,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026