Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tesla Model 3 – versi produksi model paling murah

    Tesla Model 3 – versi produksi model paling murah

    Sudah lebih satu tahun sejak prototaip Tesla Model 3 – model paling murah jenama itu – ditunjukkan kepada orang ramai, dan kini, kereta produksi akhirnya didedahkan. Unit pertama sedan elektrik baru itu telah disampaikan kepada pelanggannya dalam satu acara di kilang Tesla di Fremont, California.

    Kereta yang lebih kecil daripada Model S ini masih mengekalkan reka bentuk luar yang sama, termasuk bahagian lampu hadapan, tiada gril dan lampu belakang LED yang berbentuk L. Dua pilihan rim ditawarkan iaitu yang mempunyai rekaan Aero bersaiz 18 inci secara standard, ataupun versi Sport 19 inci yang dijual pada harga lebih US$1,500 (RM6,400).

    Untuk pertama kalinya, Tesla telah menunjukkan juga bahagian dalam Model 3 ini, yang mana menampilkan rekaan papan pemuka ringkas, dengan hampir tiada sebarang butang kawalan. Panel meter juga tiada, kerana semua informasi termasuk kadar kelajuan dan tahap bateri akan dipaparkan pada skrin 15 inci yang terdapat di tengah papan pemuka. Cermin belakang juga besar, sehingga ke atas kepala penumpang belakang.

    Model 3 tidak mempunyai kunci seperti Model S dan Model X – mengunci dan menghidupkan kenderaan dilakukan hanya menggunakan aplikasi di dalam telefon. Pembeli juga boleh memilih pakej Premium Upgrades Pack bernilai US$5,000 (RM21,300) yang akan memberikan mereka tempat duduk dengan ciri pemanas dan larasan elektrik, sistem bunyi premium dan bumbung kaca.

    Tesla Model 3 – versi produksi model paling murah

    Model 3 datang dengan lapan kamera, radar hadapan dan 12 pengesan ultrasonik yang memberikan bantuan kepada pemandunya dengan ciri seperti penghindar kemalangan dan brek kecemasan automatik. Jika pelanggan memilih pakej Enhanced Autopilot yang berharga US$5,000 (RM21,300), mereka akan mendapat ciri pemanduan automatik seperti adaptive cruise control, lane keeping, lane changing dan auto parking, manakala tambahan US$3,000 (RM12,800) lagi akan memberikan kemampuan pemanduan automatik penuh, bergantung kepada peraturan.

    Seperti yang dijanjikan, harga bermula dari US$35,000 (RM149,800), dan pembeli akan mendapat sebuah kereta elektrik yang boleh bergerak 354 km, dan memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j. Tambah US$9,000 (RM38,500) lagi, anda akan diberi pek bateri yang boleh bertahan untuk perjalanan sehingga 499 km, memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat dan kelajuan maksimum 225 km/j.

    Satu lagi perkara, pada harga itu juga, pembeli harus membayar untuk mengecas kereta melalui rangkaian Supercharger Tesla, sementara bagi Model S dan Model X, servis ini datang percuma untuk 400 kWh pertama setiap tahun. Walaupun penghantaran sudah bermula, pengeluaran masih lagi di tahap yang perlahan, dengan peningkatan akan dilakukan secara progresif.

     
     
  • Penambahbaikan pelaksanaan penetapan harga petrol, diesel masih dalam perbincangan – Hamzah

    Penambahbaikan pelaksanaan penetapan harga petrol, diesel masih dalam perbincangan – Hamzah

    Berhubung dengan penambahbaikan bagi pelaksanaan harga petrol dan diesel, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) masih lagi berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai perkara tersebut.

    Menurut Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin, perbincangan itu dilakukan setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk bersama syarikat pengeluar minyak pada 20 Jun dan para pengusaha stesen petrol pada 6 Julai lepas, laporan Bernama.

    Katanya, KPDNKK masih berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil kira segala faktor sebelum dapat melaksanakan strategi baharu ini.

    Dalam maklumbalas bagi soalan yang dikemukakan oleh Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) yang ingin tahu masalah yang timbul berikutan pelaksanaan harga petrol dan diesel secara terapung setiap minggu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, pelaksanaan strategi baharu penetapan harga itu juga akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kemampuan pengguna untuk membayar harga tersebut.

    Mengenai aduan pengusaha stesen minyak bahawa mereka mengalami kerugian berikutan pelaksanaan penetapan harga secara mingguan sekarang, beliau berkata kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memastikan bahawa kerugian yang dialami masih boleh diterima.

    Antaranya termasuk menggalakkan pengusaha menyediakan kemudahan kedai runcit di stesen minyak untuk membantu menjana pendapatan tambahan serta menjalankan program-program promosi di stesen minyak bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedai runcit tersebut.

    Hamzah berkata trend kenaikan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini diharap dapat membantu mengurangkan kerugian yang dialami para pengusaha stesen minyak sehingga strategi baharu diumumkan kelak.

     
     
  • Volvo XC40 muncul dalam laman web rantau Eropah

    Volvo XC40 muncul dalam laman web rantau Eropah

    Selepas gambar teaser bocor diinternet, Volvo XC40 serba baru kini ditampilkan pula – walaupun dengan gambarnya yang ditutup kain – di dalam laman web serantau bagi pasaran Jerman dan Belanda, sebelum pelancaran rasminya. Namun, tidak banyak maklumat yang didedahkan sekali.

    XC40 dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) oleh Volvo sendiri, yang menjadi model pertama bagi siri 40 keluaran syarikat itu. Ia sebelum ini dipertontonkan sebagai sebuah model 40.1 konsep tahun lalu, XC40 ini nanti akan menampilkan penggunaan dengan teknologi Drive-E dan diesel, begitu juga dengan kebarangkalian ia akan menerima enjin T5 Twin Engine hibrid.

    Dari sudut rekaan, SUV kompak ini akan mewarisi beberapa sentuhan yang terdapat pada model-model yang lebih besar, seperti ciri lampu Thor’s Hammer LED. Pendekatan yang sama dijangka akan diterapkan pada bahagian dalamannya.

    Volvo menyatakan XC40 merupakan pengalaman baru juga untuk syarikat itu, dengan membenarkan pereka memiliki kebebasan sepenuhnya terhadap rekaannya; sarat dengan garapan peribadi – sisi yang mereka dakwa tidak terdapat pada segmen SUV kompak dalam pasaran ketika ini.

     
     
  • India bakal keluarkan larangan penggunaan kereta tanpa pemandu di jalan raya bagi lindungi pekerjaan

    India bakal keluarkan larangan penggunaan kereta tanpa pemandu di jalan raya bagi lindungi pekerjaan

    Walau pun kereta tanpa pemandu bakal muncul pada masa hadapan, namun India telah menyuarakan bantahan bagi penggunaan kenderaan seumpama ini di jalan raya negara mereka. Menurut laporan dari The Times of India dan Hindustan Times, menteri pengangkutan Nitin Gadkari berkata pihak kerajaan telah sebulat suara menguatkuasakan larangan penggunaan kenderaan tanpa pemandu di seluruh jalan di India.

    “Kami tidak akan membenarkan kereta tanpa pemandu di India. Kami tidak akan benarkan sebarang teknologi untuk mengambil alih pekerjaan. Di sebuah negara yang memiliki kadar pengangguran, anda tidak memerlukan teknologi yang mengambil alih pekerjaan manusia,” ujarnya sambil menambah kereta tanpa pemandu adalah penghalang kerajaan yang sedang fokus untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

    Tambahan pula, Gadkari telah memaklumkan kepada semua pengeluar kenderaan elektrik dari luar bahawa kementeriannya tidak akan memberikan sebarang pelepasan cukai dari duti import untuk jenis kenderaan sebegitu yang memasuki India. “Saya telah memaklumkan kepada semua pengeluar bahawa mereka boleh datang dan melakukan pemasangan di sini. Tiada isu mengenai pelepasan cukai,” jelasnya lagi.

    Topik mengenai kereta tanpa pemandu ini banyak menerima respon daripada pengkritik dan penyokong, bukan setakat ada yang berpendapat ia bakal memberikan kesan terhadap peluang pekerjaan, bahkan ada yang menganggap penggunaannya juga lebih selamat. Malah ada juga yang beranggapan dengan adanya teknologi ini, ia dapat mengatasi kemampuan manusia yang biasa.

     
     
  • Renault-Nissan atasi jualan kenderaan kumpulan VW

    Renault-Nissan atasi jualan kenderaan kumpulan VW

    Pakatan Renault-Nissan mencatatkan jualan kenderaan bagi 1H tahun ini dengan 5,268,079 unit, gabungan dari jenama-jenama seperti Renault, Nissan, Mitsubishi dan Dacia. Ini meletakkan kumpulan syarikat ini mengatasi jualan kumpulan Volkswagen bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. Kumpulan automotif dari Jerman itu mencatatkan jualan 5,115,900 unit bagi tempoh sama.

    Peningkatan jualan datang dari beberapa model Renault seperti Clio, Megane, Captur serta model-model Dacia seperti Sandero dan Duster. Jenama Perancis itu merekodkan jualan sebanyak 1,879,288 kenderaan baru bagi separuh pertama tahun ini — pasaran terbesarnya di Perancis, Russia dan Itali.

    Selain itu, jumlah jualan positif itu turut disumbang oleh model Nissan seperti X-Trail/Rogue, Sentra/Sylphy, Qashqai, dan Altima/Teana. Jenama Nissan menyumbang sebanyak 2,894,488 unit kenderaan untuk ini — dengan pasaran terbesarnya adalah di Amerika Syarikat, China dan Jepun.

    Renault-Nissan atasi jualan kenderaan kumpulan VW

    Mitsubishi pula merekodkan jualan sebanyak 495,000 unit bagi tempoh sama, dengan permintaan besar terhadap model Outlander dan bagi rantau ASEAN, model Pajero Sport yang tertinggi. Pakatan itu juga mencatatkan jumlah jualan kenderaan elektrik yang menggalakkan; sebanyak 481,151 unit yang terdiri daripada Nissan Leaf, Renault Zoe, Mitsubishi i-MiEV dan Mitsubishi Outlander PHEV.

    “Kami akan terus memanfaatkan skala ekonomi yang luas serta kehadiran kami di pasaran global untuk memberikan nilai terbaik dari semua jenama di bawah pengurusan kami tahun ini, dan dalam masa yang sama menawarkan barisan teknologi terkini kepada pelanggan, terutamanya model-model elektrik,” ujar ketua Pakatan Renault-Nissan, Carlos Ghosn.

     
     
  • VIDEO: Tom Ingram pandu jentera lagenda BTCC Toyota AE86, rai ulangtahun kemenangan ke-30

    Tahun ini, genap 30-tahun Toyota meraikan kemenangan bergaya mereka pada perlumbaan British Touring Car Championship (BTCC) musim 1987. Ketika itu, pasukan Toyota mempertaruhkan Corolla GT-Coupe AE86 dipandu oleh Chris Hodgetts, yang juga merupakan juara untuk musim sebelumnya, memandu jentera yang sama.

    Apa yang membuatkan Chris Hodgetts dan AE86 menjadi lagenda dalam kejohanan BTCC? Tidak seperti BTCC yang dilangsungkan sekarang, perlumbaan pada era 80’an dibahagikan kepada kelas-kelas tertentu. Dengan enjin 4A-GE berkapasiti 1587cc, AE86 diletakkan dalam kategori kelas C untuk musim 1986 dan kelas D untuk musim 1987 – mewakili kelas dengan enjin di bawah 1.6 liter.

    Apa yang mengejutkan, untuk musim 1986 dan 1987, Chris Hodgetts dan AE86 bukan sekadar menjadi juara untuk kelasnya, malah menjadi juara keseluruhan dengan menewaskan jentera-jentera dari kelas B dan kategori tertinggi kelas A yang dijana enjin dengan kapasiti lebih 2.5 liter seperti Ford Sierra Cosworth dan Rover Vitesse – seolah-olah seorang peninju lightweight yang menewaskan peninju-peninju middleweight dan heavyweight!

    Jentera tersebut menghasilkan hanya 180 hp dan tork maksima 190 Nm. Namun dengan berat badan hanya 800 kg dan teknik mengkagumkan Chris Hodgetts mengekalkan momentum kereta dengan membrek selambat mungkin pada setiap selekoh serta kadang kala melanggar tebing selekoh sehingga menyebabkan Corolla berkenaan meredah selekoh dengan hanya dua roda, jentera tersebut mampu menewaskan kereta-kereta yang jauh lebih berkuasa.

    Untuk meraikan ulangtahun ke-30 kejayaan berkenaan, Toyota UK menjemput pemandu pasukan Speedworks Motorsport yang berlumba dengan Toyota Avensis dalam BTCC musim ini, Tom Ingram untuk memandu jentera lagenda berkenaan. Walau bagaimanapun, kereta yang digunakan pada kali ini merupakan replika jentera juara 1986/1987 tersebut, tetapi dibina dengan spesifikasi hampir sama (kuasa sedikit kurang iaitu sekitar 170 hp).

    Menurut Toyota UK, mereka sememangnya mahukan kereta asal yang digunakan dahulu, tetapi mereka gagal mengesannya dan dipercayai jentera yang dibina oleh Chris Hodgetts Motor Sport (CHMS) tersebut telahpun dibawa keluar dari UK untuk berlumba.

    Avensis yang dipandu Ingram dijana enjin 2.0 liter turbo dengan suntikan bahan api terus menghasilkan kuasa 350 hp digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan sequential – menurut Ingram, tidak banyak komponen dari versi produksi sebenar dibawa ke jentera perlumbaan ini.

    Ia amat berbeza dengan AE86 BTCC berkenaan kerana jentera tersebut masih berkongsi banyak perlatan dengan versi jalanan dan masih menggunakan kotak gear jenis H-pattern.

    “Tiada stereng berkuasa, kotak gear manual H-pattern, ia merupakan pengalaman yang semula jadi,” kata Ingram. “Kerana tidak mempunyai stereng berkuasa, ia memberikan perasaan dan tindak balas yang baik pada roda stereng. Anda dapat rasa setiap pergerakan kereta ini.”

    “Saya rasa apa yang membuatkan Corolla ini sebuah jentera yang hebat adalah ia memberikan perasaan yang baik dan keyakinan kepada pemandu.” “Anda tahu anda boleh meredah selekoh jauh lebih laju dari pemandu lain, anda boleh bergantung pada bahagian hadapan – dan ini membuatkan kereta ini benar-benar pantas,” jelas Ingram.

     
     
  • Op Tutup catat 391 saman motosikal – Polis KL

    Op Tutup catat 391 saman motosikal – Polis KL

    Malam tadi Polis Trafik Kuala Lumpur telah mengadakan Ops Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail. Dalam operasi bermula 9.30 malam itu, polis menghalang beberapa jalan utama menyebabkan kumpulan bermotosikal berkenaan seperti terkepung dan tiada jalan keluar.

    Menurut Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, menerusi operasi itu, 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, laporan Bernama.

    “Daripada jumlah itu, cukai jalan telah tamat tempoh dikesan menjadi kesalahan tertinggi dengan 66 saman dikeluarkan diikuti kesalahan tiada lesen memandu dengan 58 saman. Kesalahan lain yang dikenakan saman adalah lesen tamat tempoh (42 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan ‘fancy’ (tidak jelas) (76 saman), tiada nombor pendaftaran (55 saman), tiada cermin sisi (26 saman), tidak menampal pelekat ‘P’ (44 saman) dan tidak menampal pelekat ‘L’ (24 saman),” ujarnya.

    Tambahnya lagi, operasi yang disertai 64 pegawai dan anggota itu turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam satu kes curi motosikal yang dilaporkan di Sentul.

     
     
  • Khidmat e-hailing kemajuan penting buat rakyat – Liow

    Khidmat e-hailing kemajuan penting buat rakyat – Liow

    Perkhidmatan e-hailing termasuk Uber dan Grabcar yang telah disahkan baru-baru ini dianggap sebagai kemajuan penting untuk penduduk awam Malaysia.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia menunjukkan pengangkutan awam Malaysia sedang menuju era digital. “Kita yakin ia akan menjadi perkhidmatan yang lebih cekap. Saya percaya ini perkembangan penting untuk rakyat Malaysia,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Liow turut berkata pengesahan perkhidmatan itu akan juga membantu negara mencapai 40% sasaran saham modal pengangkutan awam menjelang 2030.

    “Menjelang 2027, projek Transit Aliran Massa (MRT) akan siap dan ketika itu semua hubungan dalam bandaraya akan benar-benar lengkap, semua ini akan meningkatkan lagi pengangkutan awam di Malaysia, bagi mencapai sasaran 40%,” katanya.

     
     
  • Honda Rebel 500 dilancarkan di Malaysia – RM31,798

    Honda Rebel 500 dilancarkan di Malaysia – RM31,798

    Bersempena dengan acara Art Of Speed yang berlangsung hujung minggu lalu, Boon Siew Honda telah mengambil kesempatan untuk melancarkan cruiser terbaru mereka iaitu Rebel 500 2017. Model ini disasarkan untuk mereka yang mencari motosikal yang mudah ditunggang dan turut menjadi platform ubah suai pelbagai gaya.

    Honda Rebel 500 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari suntikan bahan api DOHC yang diambil daripada barisan model CB500 Honda dan ia mampu menjana 45 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 6,000 rpm. Kotak gear yang dipadankan mempunyai enam kelajuan.

    Dengan tayar hadapan gemuk bersaiz 130/90 R16 dan warna gabungan hitam dan kelabu, Rebel 500 tampil seperti sebuah bobber dan tangki minyaknya mempunyai kapasiti 11.2 liter. Berat motosikal ini adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya hanyalah 27.2 inci. Untuk paparan informasi, pengguna boleh melihatnya pada panel meter LCD ringkas dan berbentuk klasik.

    Menjalankan tugas menyerap hentakan pada motosikal ini adalah fork hadapan 41 mm manakala di belakang pula terdapat dua penyerap hentak Showa Pro-Link. Untuk membrek pula, ia dilakukan oleh unit cakera berserta angkup Nissin di hadapan dan belakang. Sistem brek ini turut dilengkapi dengan ABS.

    Honda Rebel 500 dipasarkan pada harga RM31,798 termasuk GST di Malaysia dan tiga pilihan warna diberi – Graphite Black, Millennium Red dan Matte Armoured Silver Metallic. Turut disediakan adalah pelbagai aksesori tambahan yang boleh dipilih daripada katalog rasmi Honda. Anda boleh melihat Honda Rebel ini di pusat pameran Honda Impian bermula hujung Ogos ini.

     
     
  • Suzuki perkenal skuter Burgman 400 ABS untuk pasaran Malaysia – 400 cc, 33 hp dan bermula RM45k

    Suzuki perkenal skuter Burgman 400 ABS untuk pasaran Malaysia – 400 cc, 33 hp dan bermula RM45k

    Suzuki Assemblers Malaysia hari ini secara rasminya memperkenalkan model skuter Burgman 400 ABS untuk pasaran Malaysia. Model ini menggunakan enjin 400 cc silinder tunggal, DOHC, empat-lejang sejukan cecair dengan sistem suntikan minyak.

    Tiada maklumat janaan kuasa didedahkan oleh pengedarnya di Malaysia, tetapi memandangkan ini merupakan unit CBU yang dibawa masuk dari Jepun dengan spesifikasi yang sama, ia mampu menjana sebanyak 33 hp pada 7,300 rpm dan 36.3 Nm pada 5,800 rpm – dengan piawaian Euro 4.

    Ia dipadankan dengan sistem transmisi CVT, dengan pacuan kuasa disampaikan oleh V-Belt. Saiz fizikal model ini bersaiz 2,235 mm panjang, 765 mm lebar dengan ketinggian 1,350 mm. Jarak antara roda pula ialah 1,580 mm.

    Model yang dipasarkan di Malaysia ini juga turut dilengkapi dengan ciri Anti-Lock Braking System (ABS) dan Suzuki Advanced Immobilizer System (SAIS); sebuah sistem immobilizer yang dibangunkan oleh syarikat ini sendiri. Tangki minyak yang disediakan ialah 13.5 liter, manakala ruang barangan di bawah tempat duduk pula menyediakan keluasan 42 liter; ia mampu menyimpan dua helmet dalam satu masa.

    Sebagai tambahan, bahagian depan di bawah pemegang juga mempunyai ruang simpanan berkapasiti 2.8 liter (berat maksimum 0.5 kg) bagi sebelah kiri manakala sebelah kanan berkapasiti 3.5 liter (berat maksimum 1.5 kg). Sebuah soket 12V DC juga tersedia untuk kemudahan mengecas peranti elektronik.

    Selain ciri SAIS sebagai ciri keselamatan tambahan kepada model ini, ia turut dilengkapi dengan brek tangan untuk roda belakang untuk digunakan dalam ketika meletak motosikal untuk parkir. Untuk pasaran tempatan, Suzuki Burgman 400 ABS akan dijual pada harga RM45,000 tidak termasuk GST. Model ini akan mula berada di bilik pameran bermula Ogos nanti.

    Suzuki perkenal skuter Burgman 400 ABS untuk pasaran Malaysia – 400 cc, 33 hp dan bermula RM45k

    Selain Burgman 400, Suzuki turut memperkenalkan sebuah lagi model supersport dengan prestasi tinggi, GSX-R 1000R. Model ini dilengkapi enjin 999.8 cc, empat-silinder, DOHC empat-lejang yang menjana kuasa sebanyak 199.3 hp dan 117.6 Nm.

    Untuk pasaran Malaysia, model ini dijual pada harga RM99,000 tidak termasuk GST. Ia akan mula berada di bilik pameran bermula bulan September nanti. Dua model ini merupakan tambahan terkini bagi barisan motosikal berkuasa besar Suzuki di Malaysia.

    Suzuki Malaysia mula memberikan tumpuan terhadap barisan motosikal CBU berkuasa besar untuk pasaran Malaysia pada 2014, dengan barisan model terkini yang ditawarkan antaranya GSX-S1000, V-Strom 650, SV650, GSX-S750 dan GSX-R1000A. Semua model ini diimport sepenuhnya sebagai unit CBU dari Jepun, dan diberikan tempoh jaminan pengilang selama dua tahun atau 200,000 km.

     
     
  • Toyota C-HR akan dipamer di lokasi terpilih Ogos ini

    Toyota C-HR akan dipamer di lokasi terpilih Ogos ini

    Berita baik kepada mereka yang berminat untuk mendekati dan melihat sendiri model SUV kompak Toyota C-HR; UMW Toyota Motor akan mempamerkan model yang belum dilancarkan ini di beberapa bilik pameran terpilih seluruh negara bermula Ogos ini.

    Model yang bakal diperkenalkan di Malaysia nanti akan dilengkapi dengan enjin 1.8 liter Dual VVT-i dan dipadankan dengan transmisi CVT. Ia juga hadir dengan ciri keselamatan lengkap, termasuk amaran lintasan di belakang (RCTA).

    Bagi yang di Pulau Pinang pula, model ini juga akan dipertontonkan ketika acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang bakal berlangsung pada 12 dan 13 Ogos nanti di Stadium Batu Kawan. Selepas acara itu, model berkenaan akan membuat penampilan di bilik pameran Toyota Subang Jaya (16 – 22 Ogos), Mid Valley Megamall (23 – 27 Ogos), Sunway Pyramid (4 – 10 September) dan lokasi lain di Semenanjung.

     
     
  • Grab memperkenalkan tiga ciri keselamatan tambahan terbaharu – termasuk butang kecemasan dan dashcam

    Grab memperkenalkan tiga ciri keselamatan tambahan terbaharu – termasuk butang kecemasan dan dashcam

    Setelah Dewan Rakyat meluluskan pindaan undang-undang untuk membolehkan Grab dan Uber beroperasi secara sah di Malaysia, ini ada satu lagi perkembangan yang dilakukan oleh Grab untuk meningkatkan faktor keselamatan dan pengalaman pengguna; beberapa ciri keselamatan baru telah pun diperkenalkan pada aplikasi serta kenderaannya.

    Antara pertambahan baru yang dimaksudkan ialah butang Emergency Call yang diletakkan pada bahagian atas sebelah kanan ketika pengguna berada di dalam aplikasi berkenaan. Butang khas ini akan menyambungkan terus pengguna kepada talian 999 sekiranya berlaku apa-apa kejadian kecemasan. Grab juga akan dapat membuat semakan semula situasi semasa pengguna dengan kerjasama pihak berkuasa.

    Selain itu, Grab juga akan menyediakan sebanyak 3,500 unit dashcam Eagle-i CVR kepada pemandu wanita mereka yang menunjukkan prestasi kerja yang baik, serta kepada pemandu platinum seluruh negara. Kamera berkenaan berupaya untuk merakan audio dan visual sehingga 90 minit, dan hanya boleh dipasang dan dibuka, termasuk untuk mengeluarkan kad memori, oleh panel Grab yang sah sahaja dan bukan pemandu sendiri.

    Dan yang terakhir, Grab juga akan memperkenalkan Program Telematics untuk mempertingkan pengalaman pemanduan serta pengalaman pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini. Ia merupakan gabungan pembelajaran oleh mesin serta analitik ramalan untuk membaca tabiat pemanduan di jalan raya. Pemandu akan menerima laporan mingguan untuk rujukan serta boleh berusaha untuk memperbaiki cara pemanduan masing-masing.

    Pelaksanaannya di Singapura menyaksikan penambahbaikan yang signifikan terhadap pemandu, dengan penurunan mereka yang memandu dengan lagi sebanyak 15% serta 11% berjaya memperbaiki kaedah membrek secara mengejut.

     
     
  • Honda catat rekod produksi baharu bagi H1 2017

    Honda catat rekod produksi baharu bagi H1 2017

    Honda Motor Company telah mengeluarkan keputusan rekod produksi sedunia bagi bulan Jun 2017 dan separuh pertama tahun ini (H1 2017).

    Di mana Honda telah mencatatkan rekod tertinggi bagi Jun 2017 dengan memproduksi sebanyak 446,376 unit seluruh dunia, meningkat 5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Berdasarkan angka itu, 375,282 unit adalag dari luar Jepun (+4.8% dari Jun 2016), sementara 71,094 unit diproduksi di Jepun (+5.9% dari Jun 2016).

    Mengenai produksi di luar Jepun, Asia telah menyumbangkan sebahagian besar daripada keseluruhan jumlah tersebut iaitu dengan 182,499 unit, meningkat sebanyak 14% berbanding Jun 2016. Ini diikuti dengan Amerika Utara (164,326 unit/-6.8%), China (127,848 unit/+34.7%), USA (109,580 unit/-4.9%), Eropah (13,238 unit/+23.5%) dan lain-lain dengan 15,219 unit (+37.8%).

    Honda catat rekod produksi baharu bagi H1 2017

    Honda juga telah mencatatkan lagi satu rekod berhubung prestasi bagi separuh pertama tahun ini, secara puratanya, sebanyak 2,586,855 unit kenderaan telah diproduksi di seluruh dunia bagiHI 2017, meningkat sebanyak 4.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Bagi produksi di Jepun, telah mencatatkan sebanyak 401,684 unit (+2.4%), sementara 2,185,171 unit pula di luar Jepun (+4.5%). Di mana Asia turut menjadi penyumbang terbesar bagi keseluruhan jumlah itu dengan 1,050,783 unit diproduksikan bagi H1 2017 diikuti Amerika Utara, China, USA, lain-lain dan Eropah.

    Dengan angka rekod produksi tersebut, eksport dari Jepun ke pasaran luar mencatatkan penurunan sebanyak 44.8% dengan hanya 8.805 unit. H1 2017 juga mencatatkan penurunan sebanyak 41.3%, dengan 39,552 unit bagi jangkamasa Januari hingga Jun 2017.

    Honda catat rekod produksi baharu bagi H1 2017

    Akhir sekali, prestasi jualan Honda bagi pasaran domestik juga tidak menunjukkan perubahan yang besar antara Jun 2017 dan Jun 2016, dengan penurunan margin sebanyak 0.1% ke 61,090 unit. Walau bagaimana pun, prestasi jualan bagi H1 2017 dari H1 2016 dengan 376,616 pendaftaran (+1.7%).

    N-Box direkodkan sebagai model terlaris dalam industri bagi kategori kenderaan mini dengan enam bulan pertama 2017 mencatatkan jualan sebanyak 106,234 unit. Sementara itu, Freed pula menjadi kenderaan kelima paling laris dalam semua kenderaan baharu yang didaftarkanm dan Fit (Jazz) pula menduduki tempat ke-sembilan dalam tempoh yang sama.

     
     
  • Imej Volkswagen Arteon dirakam jurugambar buta

    Sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan model baharu Volkswagen Arteon, jenama dari Jerman berkenaan bekerjasama dengan jurugambar buta dari Amerika, Pete Eckert untuk menghasilkan karya seni berdasarkan rupa mendebarkan sedan sporty berkenaan.

    Pete Eckert yang telah pun menerima pelbagai anugerah menerusi pelbagai imej fotografinya sebelum ini, menghasilkan karya pertama dengan tema automobil menerusi projek terbaharu bersama Volkswagen tersebut.

    Sebelum mengambil gambar, Eckert terlebih dahulu mendapatkan perincian berkenaan ciri istimewa dan juga karekterisktik Arteon. Ketika di set penggambaran pula, Eckert menyentuh segenap sudut kereta tersebut bagi mendapatkan gambaran tepat kereta berkenaan.

    Dengan bantuan pembantu, Eckert menghasilkan karya fotografinya yang dikenali sebagai “lukisan cahaya”. Beliau menggunakan kamera jenis analog pada persekitaran yang sangat gelap, menggunakan tempoh pendedahan yang sangat panjang dan juga pendedahan berganda. Menerusi teknik berkenaan, beliau menghasilkan efek yang dinamik dengan menggerakkan pelbagai sumber cahaya.

    “Arteon baharu mewakili rekaan ekspresif dan avant-garde. Pete Eckert telah mempersembahkan rekaan ini dengan cara yang unik. Imej ini telah menghasilkan kerja seni asli dan mempunyai atmosfera yang hanya boleh dicipta oleh beliau. Kami menyedari Pete mempunyai personaliti yang memberikan kesan dan kami mahu berterima kasih kepadanya atas kerjasama yang hebat ini,” kata Xavier Chardon, ketua pemasaran untuk jenama Volkswagen.

    Volkswagen Arteon yang dihasilkan sebagai model gantian kepada coupe empat-pintu CC sebelum ini, didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show awal tahun ini. Ia muncul sebagai model konsep Sport Coupe Concept GTE dua tahun lalu dan bakal diletakkan diantara Passat generasi terkini dan juga model eksklusif untuk China iaitu Phideon.

    Arteon petrol akan dibarisi enjin 1.5 liter TSI Evo dan juga 2.0 liter TSI. Enjin 1.5 liter yang digunakan menghasilkan kuasa 150 PS dan enjin 2.0 liter pula ditawarkan dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu 190 PS dan juga 280 PS. Untuk versi diesel pula ia hanya hadir dengan enjin 2.0 liter TDI, tetapi diberikan pilihan tiga talaan kuasa berbeza iaitu 150 PS, 190 PS dan juga 240 PS.

     
     
  • Michelin Pilot Sport 4 S dilancar untuk M’sia, RM1,100

    Michelin Pilot Sport 4 S dilancar untuk M’sia, RM1,100

    Tayar prestasi tinggi ultra (UHP) keluaran Michelin hari ini diperkenalkan ketika acara Michelin Passion Days yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia. Michelin Pilot Sport 4 S, yang berada dikedudukan lebih tinggi berbanding Pilot Sport 4 dalam barisan tayar keluaran jenama itu dan akan menggantikan model Pilot Super Sport, kini turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia dalam saiz 19 inci ke atas.

    “Tayar baru ini adalah hasil daripada pembangunan dari pengetahuan yang diusahakan oleh jurutera kami yang berdedikasi untuk memberi definisi terhadap standard tayar dalam kategori ini,” ujar Pengarah Serantau bagi Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, Pascal Nouvellon.

    “Ia direka untuk kegunaan pemanduan peringkat yang lebih tinggi di jalan raya mahupun di litar; ia menjadi yang terbaik dalam kelasnya,” tambah beliau. Tayar ini dihasilkan untuk kegunaan kereta sport dan sedan mewah, dan didakwa mampu memberikan maklum balas kendalian yang lebih baik, jarak membrek lebih pendek dalam keadaan basah dan lebih tahan lasak.

    Ia dibangun menggunakan bahan yang mengandungi antaranya aramid dan nylon. Teknologi dua asas (bi-compound) turut digunakan, dengan bahan eloster hibrid bagi bahagian paling luar untuk cengkaman ketika cuaca kering. Di bahagian dalam pula, ia menggunakan asas elastomer dan silika untuk mendapatkan cengkaman dalam cuaca basah. Selain itu, corak bunga yang digunakan juga menyumbang kepada peningkatan cengkamannya.

    Ciri lain pada tayar baru ini termasuk dinding sisi dengan penyudah Premium Touch, serta ia turut datang dengan pelindung rim. Tayar prestasi tinggi ini dijual pada harga bermual RM1,100 setiap satu, dan diedarkan di cawangan Tyreplus dan Michelin di seluruh negara.

     
     
  • Audi A6 dan A7 Sportback kini dengan varian 2.0 TFSI quattro – berharga RM407,900 dan RM484,900

    Audi A6 dan A7 Sportback kini dengan varian 2.0 TFSI quattro – berharga RM407,900 dan RM484,900

    Audi Malaysia telah memperkenalkan varian 2.0 TFSI bagi model A6 dan A7 Sportback, memperluaskan lagi pilihan bagi pengguna di sini. A6 2.0 TFSI quattro ditawarkan pada harga RM407,900, sementara A7 Sportback 2.0 TFSI quattro pula berharga RM484,900. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti lima-tahun dan tanpa had perbatuan.

    Enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 252 hp dan 370 Nm untuk kedua-dua model berkenaan, dipadankan bersama transmisi automatik S tronik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda quattro. Sedan ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.5 saat, sedikit pantas berbanding coupe lima-pintu dengan 6.7 saat.

    Bagi A6 2.0 TFSI quattro, varian baharu ini diposisi antara model asas A6 1.8 TFSI (RM327,900) dengan model tertinggi A6 3.0 TFSI quattro (RM487,900). Walau bagaimana pun, varian baharu ini lebih mirip dengan A6 berenjin besar dari segi kelengkapan luaran.

    Ini termasuklah lampu utama projektor LED dengan bantuan lampu tinggi dan lampu belakang LED dengan isyarat membelok dinamik. Perbezaannya hanya A6 2.0 TFSI dengan A6 3.0 TFSI quattro ialah rim aloi rekaan-V 10-jejari 18-inci berbanding unit 15-jejari 19-inci bagi model spesifikasi tertinggi.

    Audi A6 dan A7 Sportback kini dengan varian 2.0 TFSI quattro – berharga RM407,900 dan RM484,900

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan kulit upholstery pada tempat duduk, yang boleh dilaras secara berkuasa dan memiliki sokongan belakang dan fungsi memori bagi tempat duduk pemandu. Varian baharu ini juga menerima navigasi MMI dengan sistem infotainmen MMI Touch seperti A6 3.0 TFSI quattro, termasuk skrin 8-inci dan sistem bunyi Bose 14-pembesar suara.

    Manakala bagi A7 Sportback 2.0 TFSI quattro pula, ia sama seperti luaran A7 Sportback 3.0 liter (RM625,900), dengan lampu utama LED, lampu belakang LED dengan isyarat membelok dinamik dan roda aloi rekaan-V lima-jejari 19-inci.

    Untuk elemen dalamannya pula, Aluminium Ellipse Silver menjadi pilihan bagi menggantikan Aluminium Delta Silver pada varian 3.0 liter. Tempat duduk juga sama, namun dibaluti dengan kombinasi kulit/Alcantara berbanding kulit Valcona. Sistem infotainmen juga sama dengan A6 2.0 TFSI quattro, cuma ditambahkan dengan Audi Smartphone Interface (Apple CarPlay dan Android Auto).

    Kedua-dua varian 2.0 TFSI quattro kini dilengkapi dengan lapan beg udara secara standard, disamping ESC, Kawalan Cengkaman (ASR), EBD, ABS, kawalan menurun bukit dan Electronic Differential Lock (EDL).

     
     
  • Jentera perlumbaan sebenar Acura NSX GT3 mula dijual untuk peringkat global – bermula RM2.6 juta

    Jentera perlumbaan sebenar Acura NSX GT3 mula dijual untuk peringkat global – bermula RM2.6 juta

    Acura NSX GT3 Race Car testing at Gingerman Raceway

    Setelah mengharungi ujian litar sejauh lebih dari 80,000 km dan juga memenangi berberapa perlumbaan dalam kejohanan IMSA WeatherTech SportsCar, Honda NSX GT3 kini mula dijual untuk peringkat global bagi memulakan perlumbaan-perlumbaan diseluruh dunia untuk musim 2018.

    Antara perlumbaan yang layak disertai oleh jentera ini berdasarkan undang-undang FIA adalah Siri Blancpain GT dan Nurburgring 24 Jam di Eropah, Siri Blancpain GT dan GT Asia, Super GT untuk kelas GT300 di Jepun, siri Kejohanan GT Australia dan juga Intercontinental GT Challenge.

    Jentera ini menggunakan enjin yang diasaskan dari versi produksi 3.5 liter V6 turbo berkembar, dan dibina bersama di kilang enjin Honda Anna, Ohio, Amerika Syarikat. Ia masih menggunakan rekaan dan spesifikasi yang sama seperti enjin NSX produksi termasuk blok, kepala silinder, kelengkapan injap, aci engkol, omboh dan juga sistem pelinciran jenis takungan kering.

    Berbanding NSX standard yang diberikan sistem pacuan semua roda yang turut melibatkan motor elektrik hibrid memacu roda hadapan, model perlumbaan sebenar ini hanya memacu roda belakang, dipadankan bersama kotak gear perlumbaan enam-kelajuan sequential. Keseluruhan proses pemasangan lengkap unit janakuasa ini bagaimanapun dilakukan di JAS Motorsport, Itali.

    Bagi casis NSX GT3 ini pula, ia menerima struktur badan pelbagai-material dan juga rollcage jenis chrome-moly yang dikimpal menggunakan kimpalan jenis TIG. Seperti juga enjin, casis ini juga dibina bersama casis NSX produksi, dihasilkan di Performance Manufacturing Center (PMC) milik Honda yang terletak di Marysville, Ohio, Amerika Syarikat. Fasiliti berkenaan turut beroperasi sebagai bengkel pembaikkan NSX GT3 ini.

    Selain dari membekalkan jentera lumba, Honda turut menawarkan sokongan lain kepada pelanggan termasuk komponen alat ganti dan servis, latihan teknikal serta perkhidmatan kejuruteraan. Untuk pelanggan yang berminat mendapatkan jentera-jentera perlumbaan ini, mereka boleh berhubung dengan Honda Performance Development (HPD) di Amerika Utara, JAS Motorsport di Eropah, Timur Tengah dan Asia. Manakala untuk Jepun, NSX GT3 diedarkan secara eksklusif oleh Mugen. Jentera yang dibina dengan badan diperbuat dari gentian karbon ini dijual pada harga bermula €465,000 (RM2.6 juta)

    Untuk perlumbaan-perlumbaan di Amerika, NSX GT3 generasi baharu ini meneruskan legasi kecermelangan NSX generasi pertama di mana jentera berkenaan telah memenangi perlumbaan IMSA Camel Lights untuk tahun 1991, 1992 dan 1993 bagi kategori pengeluar dan pemandu. NSX generasi terdahulu juga telah memenangi gelaran untuk pengeluar, pemandu dan juga pasukan pada siri American LeMans 2009 dalam kategori LMP1 dan LMP2.

     
     
  • Pindaan undang-undang terhadap perkhidmatan ‘e-hailing’ Grab dan Uber telah diluluskan Dewan Rakyat

    Pindaan undang-undang terhadap perkhidmatan ‘e-hailing’ Grab dan Uber telah diluluskan Dewan Rakyat

    Penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber dikehendaki untuk mematuhi syarat-syarat yang sama dikenakan kepada pemandu teksi. Ini berikutan kelulusan pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 di Dewan Rakyat semalam, lapor The Sun.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyedia perkhidmatan e-hailing itu dikehendaki untuk:

  • mendaftar untuk beroperasi sebagai kenderaan perkhidmatan awam
  • wajib melakukan pemeriksaan kesihatan
  • menjalani pemeriksaan kenderaan berjadual
  • memiliki skim insurans sebenar
  • mempamerkan kad pengenalan pemandu
  • Penyedia perkhidmatan ini diberikan tempoh setahun untuk menyesuaikan operasi mereka dengan pindaan terkini undang-undang seperti yang diluluskan ini. Dengan perkembangan terbaru ini, Nancy menjelaskan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian seperti Grab dan Uber.

    Beliau menjelaskan lagi, pindaan itu dilakukan untuk mewujudkan situasi yang sama rata bagi perkhidmatan itu dengan perkhidmatan teksi biasa. “Ini juga diharapkan dapat memastikan industri teksi juga dapat berkembang mengikut peredaran semasa serta kebanjikan pemandu teksi tidak diabaikan.

    Pindaan undang-undang terhadap perkhidmatan ‘e-hailing’ Grab dan Uber telah diluluskan Dewan Rakyat

    “Semua syarat yang ditetap perlu dipatuhi oleh pemandu teksi biasa akan turut dikenakan kepada penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian,” tambah beliau. Dalam masa yang sama, Nancy menafikan bahawa Rancangan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan dahulu sekadar untuk melindungi syarikat penyedia perkhidmatan itu.

    “TITP dicadangkan selepas membuat kajian terperinci dan rundingan berterusan dengan semua pihak berkepentingan dalam industri berkenaan agar semua pihak dapat menikmati manfaatnya secara adil,” tambah beliau.

    Antara perkara yang dipinda di dalam akta sedia ada ialah pengenalan istilah “perniagaan perantara” (intermediation business) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Ia merujuk kepada perniagaan yang memudahcara aturan, tempahan dan transaksi bagi perkhidmatan yang erkaitan pengangkutan awam darat.

    Selain itu, pindaan berkenaan juga turut melibatkan seksyen baru untuk mengawal selia perlesenan dan perniagaan perantara termasuk hal-hal permohonan, syarat-syarat, pembaharuan dan pembatalan lesen yang dikeluarkan oleh SPAD. “Dengan pindaan ini, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan perniagaan perantara tanpa lesen serta pemegang lesen juga diwajibkan untuk menyimpan maklumat rekod dan akaun,” tambah Nancy.

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class facelift bakal tiba di M’sia pada 2018 – E350e, E63 4Matic+ dilancarkan tidak lama lagi

    Mercedes-Benz S-Class facelift bakal tiba di M’sia pada 2018 – E350e, E63 4Matic+ dilancarkan tidak lama lagi

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) merencana untuk memperkenalkan lagi dua varian W213 E-Class pada tahun ini iaitu E 350 e plug-in hybrid yang telah diumumkan pada April lalu, namun belum dinyatakan harganya, bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

    Model lain bagi E-Class yang bakal dilancarkan juga ialah E 63 4Matic+. Perkara ini disahkan oleh timbalan presiden pemasaran dan jualan MBM, Mark Raine, sewaktu melancarkan E-Class Coupe semalam. Katanya sedan sport dengan kuasa 563 hp dan 750 Nm akan ditampilkan dalam satu “majlis istimewa”, yang kami jangka mungkin berlangsung pada September ini, sempena dengan 2017 Formula 1 Petronas Malaysia GP.

    Raine turut mengesahkan W222 S-Class facelift hanya akan tiba di Malaysia dijangka pada pertengahan tahun 2018.

    Seperti pra-peningkatan semasa, model ini dijangka akan dijual di sini dalam bentuk plug-in hybrid, namun ia tetap akan bergantung sama ada insentif kenderaan hibrid dilanjutkan sehingga hujung tahun ini mahu pun tidak kerana masih tiada penyelesaian sehingga sekarang.

    Raine turut berkata, MBM menjangka mampu mencapai sasaran sebanyak 12,000 bagi tahun 2018 (dengan rekod 11,779 unit pada tahun 2016). Malahan model yang diperkenalkan pada tahun 2017 juga telah melepasi 2016, iaitu sebanyak 17 model telah dilancarkan setakat ini, dengan 19 model baharu yang dikatakan akan tiba di pasaran Malaysia sewaktu diumumkan oleh pihak syarikat ini dalam pengumuman prestasi jualan bagi separuh pertama 2017 baru-baru ini.

    GALERI: W213 Mercedes-Benz E 350 e plug-in hybrid, pra-tonton kedua

     
     
  • Porsche Cayenne diesel diharamkan di Jerman – dikesan guna perisian untuk menipu ujian emisi

    Porsche Cayenne diesel diharamkan di Jerman – dikesan guna perisian untuk menipu ujian emisi

    Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Jerman (KBA) telah mengharamkan penjualan Porsche Cayenne yang dijana enjin diesel setelah mereka menjumpai perisian yang boleh diklasifikasikan sebagai peranti pengubah untuk memanipulasi ujian emisi, menurut laporan oleh Autocar.

    Laporan tersebut turut mengatakan pengharaman ini telah disahkan oleh menteri pengangkutan Jerman, Alexander Dobrindt pada Khamis lalu, setelah ujian yang dijalankan KBA mendedahkan dua model Porsche dilengkapi dengan perisian yang memanipulasi emisi CO2 dengan cara mengaktifkan mod yang digelar strategi pemanasan apabila ia mengesan ujian sedang dijalankan keatasnya, seterusnya menghasilkan kadar CO2 lebih rendah berbanding operasi normal.

    Porsche Cayenne Diesel dan Macan S Diesel kedua-duanya menggunakan enjin yang dibangunkan oleh Audi iaitu enjin 3.0 liter V6 Turbodiesel, yang turut digunakan oleh model-model Audi seperti A4, A6, A8, Q5 dan Q7. Untuk enjin yang dipadankan pada Cayenne, ia menghasilkan 262 hp dan didakwa menggunakan 6.6L diesel untuk perjalanan 100 km pada gabungan kitaran ujian Eropah serta purata penghasilan emisi CO2 dicatatkan pada 173g/km.

    Serentak dengan pengharaman ini, KBA turut mengarahkan sejumlah 22,000 Porsche Cayenne yang telah dijual pada pasaran Jerman supaya ditarik balik.

    Perkara ini telah menimbulkan perbalahan antara Porsche dan Audi. “Kami rasa telah ditipu oleh Audi. Pihak lembaga penyelia perlu memecat pengurusan,” kata pengerusi gabungan kerja Porsche, Uwe Hueck pada Isnin lalu.

    Porsche juga telah mengeluarkan kenyataan menyebut, “Porsche telah mengesan penyelewengan pada perisian kawalan enjin semasa penyiasatan dalaman dan telah secara aktif melaporkan perkara ini kepada Kraftfahrtbundesamt (KBA), Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Jerman. Penyelewengan tersebut tidak membabitkan perisian kawalan transmisi. Pembetulan pada kemaskini perisian dalam skop panggilan semula telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.”

    “Tanpa mengambilkira panggilan semula, Porsche akan terus melakukan audit dalaman pada kenderaan-kenderaannya dan mendapatkan optimisasi daripada kesemuanya. Tambahan pula, syarikat masih lagi berhubung rapat dengan pihak berkuasa, secara khususnya dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Bermotor Jerman, atas semua perkara berkaitan,” kata kenyataan tersebut lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026