Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MINI EV bakal diproduksi berdasarkan model hatch tiga-pintu, akan mula dijual pada tahun 2019

    MINI EV bakal diproduksi berdasarkan model hatch tiga-pintu, akan mula dijual pada tahun 2019

    BMW Group telah mengumumkan kenderaan MINI yang bakal dijanakan dengan bateri elektrik sepenuhnya akan diproduksi berdasarkan model hatchback tiga-pintu standard.

    Dijangka akan memulakan pasaran pada 2019, model baharu ini akan menampilkan penjana kuasa elektrik yang dibangunkan di kilang BMW di Dingolfing dan Landshut, sebelum dihantar ke fasiliti MINI di Oxford untuk dipasang pada kenderaan berkenaan. Sekaligus menambah variasi barisan sendiri ada iaitu model petrol, diesel dan plug-in hybrid.

    Ini bukanlah suatu kejutan, memandangkan pada tahun 2008, syarikat ini telah menghasilkan MINI E, satu lagi hatch tiga-pintu janaan elektrik. Ia menggunakan motor elektrik berkuasa 208 hp/220 Nm dan bateri 35 kWh, memberikan pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8.5 saat, dengan kelajuan maksimum 152 km/j dan mampu mencapai sehingga jarak 240 km.

    MINI EV bakal diproduksi berdasarkan model hatch tiga-pintu, akan mula dijual pada tahun 2019

    Terbaru, BMW Group juga telah memperkenalkan Cooper S E Countryman All4 plug-in hybrid, yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo 136 hp/220 Nm serta dipadankan bersama motor elektrik 88 hp/165 Nm, bateri lithium-ion 7.6 kWh dan transmisi automatik enam-kelajuan. Dengan pacuan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 6.9 saat, dan ia juga mampu dipacu sehingga 40 km dalam pemanduan elektrik sepenuhnya, dengan kelajuan maksimum sehingga 125 km/j.

    Malah turut mengumumkan langkah ke hadapan, dengan semua siri model di bawah jenama BMW, MINI, Roll-Royce, mempunyai potensi untuk dipadankan dengan komponen pacuan elektrik, dengan penjana kuasa elektrik sepenuhnya atau plug-in hybrid sebagai pilihan tambahan bagi enjin petrol atau diesel. Malahan jenama Volvo juga telah mengesahkan bakal mengelektrifikasikan semua keretanya menjelang 2019.

    BMW Group juga telah mengesahkan, bakal tampil dengan iNEXT iaitu model akan datang bagi barisan BMW i, bakal memasuki produksi pada tahun 2021. Bukan itu sahaja, model i8 Roadster juga akan diperkenalkan tahun hadapan dan X3 elektrik sepenuhnya pula pada 2020. Syarikat ini juga menjangka kenderaan elektrik mampu menyumbang antara 15 hingga 25% bagi keseluruhan jualannya menjelang tahun 2025.

     
     
  • Lexus LC 500 dilancarkan di M’sia – berharga RM940k

    Lexus LC 500 dilancarkan di M’sia – berharga RM940k

    Lexus LC 500 (Luxury Coupe) mungkin saja menjadi antara model flagship paling menarik yang pernah diperkenalkan oleh sayap kenderaan premium jenama Jepun itu setakat ini. Dan, untuk pasaran Malaysia, setelah ia dibuka untuk tempahan pada Jun lalu serta kelibatnya sudah kelihatan sebelum ini, akhirnya penantian berakhir – Lexus Malaysia hari ini melancarkan model berkenaan secara rasmi.

    Sebagai permulaan, hanya varian LC 500 diperkenalkan, dengan harga bermula RM940,000 tidak termasuk insurans. Diperingkat global, sejak ia mula diperkenalkan awal tahun ini, permintaan terhadapnya terus tinggi. Di Jepun sahaja, sasaran tahunan 600 unit telah melonjak sebanyak tiga kali ganda.

    Model ini dilengkapi dengan enjin 2UR-625 V8 5.0 liter, dengan kemampuan 471 hp dan 540 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear automatik Direct Shift 10-kelajuan. Melalui padanan ini, LC 500 boleh memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j di bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 270 km/j.

    Selain itu, ia juga dibina menggunakan kerangka Lexus Global Architecture – Luxury (GA-L). Platform yang digunakan dibina daripada gabungan bahan seperti besi berkekuatan tinggi, aluminium serta gentian karbon. Rangka badan pula dibina kebanyakannya dengan besi high-tensile yang lebih kukuh berbanding struktur karbon pada model supercar Lexus LFA.

    Estetika rekaan menjadi antara elemen paling menawan model ini. Ia menampilkan sentuhan mewah yang sekali gus sporty, seperti yang dapat dilihat dengan jelas dari bentuk luarannya. Rekaan gril spindle unik Lexus dalam warna krom menghiasi wajah utama LC 500 ini, yang memberikannya penampilan yang meyakinkan. Selain itu, sistem lampunya juga menggunakan jenis LED.

    Pendekatan rekaan pada bumbung juga menampak ia seolah-olah terapung; bahagian C-pillar berwarna hitam menyumbang kepada perkara ini. Bahagian belakang juga melengkapi imej sporty yang ingin ditonjolkan, dengan penggunaan garis-garis tajam pada bahagian lampu dan sudut rekaan bamparnya.

    Selain itu, semua pendekatan rekaan ini ada fungsi tersendiri – untuk memberikan kesan aerodinamik yang terbaik bagi LC 500. Antaranya ialah bahagian diffuser di belakang, serta spoiler aktif yang boleh dinaikkan pada kelajuan sehingga 80 km/j turut ditawarkan sebagai ciri pilihan. Bagi rim pula, pemilik boleh memilih antara rim 20 inci atau 21 inci.

    Di bahagian dalam model coupe ini, konfigurasi tempat duduk yang disediakan ialah 2+2, dengan kemasan yang mewah dan elegan. Ia juga lebih rendah; kedudukan pinggang pemandu berada serendah mungkin kepada titik tengah graviti kenderaan. Walaupun begitu, penglihatan pemandu tidak akan terganggu dengan kedudukan seperti itu – rekaan hud depan dan panel meter turun rendah sama serta bahagian A-pillar yang lebih nipis membolehkan pemandu memerhati keadaan di luar dengan mudah dan berkesan.

    Ini membolehkan posisi duduk pemandu menghampiri keadaan seperti di dalam kereta lumba, dengan kaki perlu diluncur ke dalam, di bawah kedudukan papan pemuka. Rekaan tempat duduknya juga memberikan sokongan kepada badan pemandu dengan lebih berkesan.

    Semua butang berkaitan pemanduan seperti paddle shifter, suis pemilih mod pemanduan dan butang pemula diletakkan berhampiran dengan stereng. Sementara itu, paparan maklumat pemanduan pula diletakkan pada kedudukan yang mudah dilihat melalui meter dari jenis TFT LCD seperti yang ada pada model supercar Lexus, LFA.

    Merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari kilang pemasangan Lexus di Motomachi, Jepun, Lexus LC 500 turut dilengkapi ciri keselamatan standard, termasuk Lexus Safety System+ serba lengkap, Sistem Pra-perlanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Brek Pra-Pelanggaran, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik Semua-Kelajuan, Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng dan Lampu Tinggi Pintar.

    Model Lexus LC 500h bagaimanapun masih belum diperkenalkan di sini. Lexus Malaysia mensasarkan untuk menjual 10 unit LC 500 untuk tahun ini di Malaysia. Tempoh jaminan bagi model ini ialah lima tahun atau 100,000 km, dengan servis percuma juga selama lima tahun.

    GALERI: Lexus LC 500 di Malaysia

     
     
  • Mercedes-AMG GT4 – kereta lumba tahap permulaan

    Mercedes-AMG GT4 – kereta lumba tahap permulaan

    Mercedes-AMG GT3 telah pun terlibat dalam pelbagai perlumbaan di seluruh dunia, dan kini, syarikat itu mengeluarkan pula sebuah lagi model lumba permulaan yang akan terletak di bawahnya, digelar sebagai GT4.

    Menggunakan asas daripada kereta sport GT R, kereta lumba ini mempunyai enjin V8 4.0 liter twin turbo sama seperti kereta versi jalanan, dan tidak seperti GT3 yang menggunakan enjin 6.2 liter NA. Disebabkan oleh peraturan, kuasa daripada enjin V8 4.0 liter ini dihadkan kepada 510 hp dan 600 Nm, rendah sedikit daripada kuasa yang dihasilkan oleh GT R iaitu 585 hp dan 700 Nm, dan sama seperti GT S.

    Kuasa dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan sequential yang diletakkan di belakang sebagai sebuah transaxle seperti kereta jalanan, dan mempunyai limited-slip differential boleh laras. Kerangka aluminium yang diguna adalah sama seperti GT R, sementara gentian karbon turut diguna pada bahagian tertentu di casis dan badannya. Bahan komposit ringan pula digunakan pada bonet, bampar hadapan dan splitter.

    GT4 menampilkan beberapa kelengkapan tambahan yang membezakannya dengan GT R – selain splitter hadapan yang diberitahu tadi, terdapat juga panel aerodinamik lain dan saya belakang boleh laras. Rimnya lebih kecil berbanding GT R, iaitu 18 inci dan di sebaliknya terdapat brek tahap perlumbaan dengan ABS boleh laras, serta suspensi double wishbone di semua sudut, dan penyerap boleh laras.

    Di dalam terdapat roll-cage yang dibuat daripada besi berkekuatan tinggi, ditambah dengan sel pelindung pemandu berkelulusan FIA dengan penyandar kepala, selak bumbung untuk keluar dalam waktu kecemasan dan sistem pemadam kebakaran. Turut diberi adalah lampu pada butang kawalan di stereng serta pendingin hawa, ECU perlumbaan, pengawal tork dan kawalan cengkaman AMG yang dioptimakan dengan 11 tahap.

     
     
  • JPJ mempertimbangkan lebih banyak kes kesalahan trafik terus didakwa di mahkamah – laporan

    JPJ mempertimbangkan lebih banyak kes kesalahan trafik terus didakwa di mahkamah – laporan

    Bagi mengurangkan jumlah kesalahan trafik yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalan raya yang makin membimbangkan,

    Mengurangkan kesalahan-kesalahan jumlah trafik yang berkembang dan kemalangan yang agak tinggi kadar, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempertimbangkan untuk membawa lebih banyak kes kesalahan trafik untuk terus didakwa di mahkamah.

    Buat masa ini, hanya pengguna jalan raya yang menggunakan lorong kecemasan sahaja yang terus didakwa di mahkamah.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nazri Siron, selain pesalah yang menggunakan lorong kecemasan, jabatan tersebut juga sedang mempertimbangkan kesalahan lain termasuk menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, melanggar lampu isyarat merah, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan kenderaan komersil yang menggunakan lorong laju, laporan The Sun.

    JPJ mempertimbangkan lebih banyak kes kesalahan trafik terus didakwa di mahkamah – laporan

    Nazri berkata pihaknya sedang menantikan maklumbalas daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan polis untuk meneruskan cadangan tersebut.

    Tambahnya lagi, JPJ memerlukan masa untuk mengkaji cadangan tersebut bagi mengelakkan penalti dikenakan dua kali apabila enam kesalahan dicadangkan untuk tindakan mahkamah ini turut mengumpul markah di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS)

    “Di bawah AWAS, pesalah berhadapan dengan penalti termasuk saman dan lesen memandu digantung, malah mereka juga akan disaman sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah. Jadi kita perlu mencari kaedah yang tepat dan menyelesaikan masalah ini (dikenakan dua kali penalti),” ujarnya.

    Menurut laporan sebelum ini, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 77,242 saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar lampu isyarat merah dan kesalahan had laju dalam temph dua bulan selepas AWAS dilaksanakan sejak 1 April lalu. Di mana 68,830 saman dikenakan kepada pemandu yang tidak mematuhi had laju manakala 8,412 lagi saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat merah

     
     
  • Givi bakal keluarkan dua helmet edisi terhad replika pasukan perlumbaan – LCR Honda dan Yuzy Racing

    Semasa majlis sesi pengenalan kotak barangan Monolock B32 Bold, wakil media yang hadir turut diberi peluang untuk menyaksikan di depan mata dua helmet baru edisi terhad yang akan dikeluarkan oleh Givi Asia Sdn Bhd sebelum pusingan perlumbaan MotoGP di Malaysia iaitu pada bulan Oktober.

    Pertama adalah model M30.3 D-Visor yang menggunakan rekaan konsep pasukan lumba MotoGP LCR Honda. Warna utama helmet ini adalah putih, tetapi ia mempunyai jalur merah, hitam dan emas seperti motosikal yang digunakan dalam perlumbaan. Helmet itu sendiri, selain mempunyai bentuk open face, juga mempunyai cermin pelindung cahaya matahari bersepadu. Sebelum ini, Givi juga pernah mengeluarkan helmet dan kotak barangan edisi LCR Honda, tetapi mempunyai rekaan yang berlainan.

    Seterusnya, lebih dekat kepada penggemar sukan perlumbaan motosikal tempatan adalah helmet M30.1 Cielo Yuzy Racing. Ia direka dengan kerjasama pasukan lumba Yuzy Racing dan menggunakan konsep rekaan pasukan itu. Selain itu, ia juga turut menggunakan warna Jalur Gemilang seperti kuning, biru, dan merah. Helmet ini juga adalah jenis open face.

    Menurut wakil Givi, kedua-dua helmet ini masih lagi dalam proses penyediaan sebelum masuk fasa pengeluaran, dan kerja-kerja akhir sedang dijalankan. Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, ia hanya akan dikeluarkan dalam unit terhad 2,000 unit setiap satu.

    Harga jangkaan bagi M30.3 D-Visor LCR Honda adalah sekitar RM350 manakala M30.1 Cielo Yuzy Racing pula adalah sekitar RM200. Bagi pembeli helmet M30.1 Cielo Yuzy Racing, Givi sedang merancang untuk mengadakan cabutan bertuah yang akan memberikan peluang kepada mereka untuk memenangi sebuah motosikal Honda RS150R. Nantikan perasmiannya tidak lama lagi.

    Givi M30.1 Cielo Yuzy Racing 2017


    Givi M30.3 D-Visor LCR 2017

     
     
  • Enam lagi kamera AES akan dipasang di LPT2

    Enam lagi kamera AES akan dipasang di LPT2

    Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Ir Rosli Othman memaklumkan sebanyak enam lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bakal dipasang di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Gemuruh, Kuala Terengganu hingga Kemaman, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, pemasangan kamera AES terbabit dapat mempertingkatkan tahap keselamatan pengguna lebuh raya terutama di sepanjang jajaran LPT2.

    “Penambahan kamera baharu juga bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut yang kerap berlaku di sepanjang lebuh raya terbabit, selain menjadi amaran kepada pengguna supaya memandu mengikut kelajuan ditetapkan. Enam kamera baharu itu dijangka dipasang pada Januari tahun depan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan,” katanya pada pemberita, semalam.

    Beliau turut memaklumkan, setakat ini, tiga kamera AES telah dipasang di kawasan Kemaman iaitu di Perasing, Cheneh dan Kijal.

     
     
  • Givi lancar kotak barangan baharu 32 liter – RM222

    Givi lancar kotak barangan baharu 32 liter – RM222

    Givi Asia Sdn Bhd baru sahaja melancarkan kotak barangan berkapasiti 32 liter dinamakan sebagai Monolock B32 Bold untuk pasaran Malaysia. Ia adalah satu produk yang direka di Itali dan dibuat di kilang Givi Asia Sdn Bhd di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

    Kotak barangan jenis terletak di atas ini menggunakan rekaan serba baru, dengan antara ciri istimewanya adalah sistem kunci baru yang dikatakan lebih selamat dan mudah diguna. Untuk membukanya, pengguna hanya perlu memusing kunci, menekan satu butang dan penutupnya akan terbuka. Untuk menutup pula, anda hanya perlu menutup kembali bahagian atasnya dan pusingkan kunci. Ia juga boleh dilakukan dengan kunci dicabut dari kotak tersebut.

    Monolock B32 Bold boleh dipasang pada pelbagai jenis motosikal, dari yang berkapasiti kecil hingga 600 cc, selagi ia mempunyai kerangka sokongan Givi yang dilekatkan pada motosikal. Kerangka ini boleh didapati bermula pada harga RM45 untuk model MV dan RM138 untuk model Heavy Duty, manakala kotak barangan Monolock B32 Bold pula dijual berasingan pada harga RM222.60 termasuk GST, bersama tapak Monolock.

    Bentuk Monolock B32 Bold adalah lebih kepada berpetak, dengan kebanyakannya berwarna hitam dan terdapat kemasan kelabu di belakangnya. Bahagian atasnya rata dan terdapat pemegang untuk memudahkan pengguna sekiranya mereka mahu membuka keseluruhan kotak ini dan menjinjingnya. Paling penting, ia adalah kalis air.

    Kami telah menggunakan kotak ini dalam satu perjalanan khas wakil media, dengan hujan selebat-lebatnya dari kawasan rehat Seremban ke susur keluar Port Dickson, dan didapati tiada setitis air pun yang masuk ke dalamnya. Antara motosikal yang turut serta dan menggunakan kotak barangan baru ini adalah seperti Yamaha LC135, Honda RS150R, Honda Future, Honda Wave, Demak DVS 110, Modenas Ace 115, Vespa LX150, Piaggio Liberty, Yamaha NMax, Honda PCX, Yamaha FZ150i, Kawasaki KLX150, BMW R1200 GS, Kawasaki ER6-f, Kymco Downtown.

    Anda boleh mula mendapatkan kotak barangan Monolock B32 Bold di semua wakil pengedar barangan motosikal Givi sah seluruh Malaysia bermula awal bulan Ogos ini, bersama jaminan selama dua tahun.

     
     
  • ZF Sales and Service rai 15 tahun operasi di Malaysia

    ZF Sales and Service rai 15 tahun operasi di Malaysia

    ZF merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia penghasilan unit kotak gear. Jenama berkenaan menghasilkan pelbagai jenis transmisi bagi dibekalkan kepada pelbagai pengeluar terkemuka seperti Ford, Chevrolet, BMW, Porsche dan sebagainya. Namun tahukah anda ZF mempunyai operasinya sendiri di Malaysia serta memayungi pelbagai jenama alat ganti OEM pada pasaran tempatan?

    ZF Sales and Service Malaysia (ZFSSM) mula bertapak di negara kita pada tahun 2005, dan meraikan ulangtahun ke-15 tahun ini. Sebelum itu jenama tersebut sebenarnya sudahpun memulakan operasi di Malaysia pada tahun 1999, dikenali sebagai ZF Service (M) Sdn. Bhd. Di Malaysia, ZFSSM bertindak sebagai pembekal transmisi untuk kenderaan berat seperti bas dan trak, serta membekalkan alat ganti di bawah jenama Sachs dan Boge (untuk suspensi) serta Lemforder dan TRW (untuk komponen lain seperti sistem stereng dan brek).

    Untuk transmisi, ZFSSM membekalkan terus transmisi automatik enam-kelajuan berprestasi tinggi ZF Ecolife (menggantikan ZF Ecomat generasi sebelumnya) kepada Mass Rapid Transit (MRT) Corporation Sdn Bhd, bagi dipadankan pada bas-bas Scania K250, Man A69 dan juga Volvo B7RLE milik syarikat berkenaan yang kini dianggarkan berjumlah 900 unit, termasuk 300 unit untuk projek MRT fasa satu (Sungai Buloh ke Semantan) dan fasa dua (Semantan ke Kajang) .

    Kotak gear ZF Ecolife ini dihasilkan dalam tujuh versi secara keseluruhan, dengan ketahanan kadar tork divariasikan dalam lingkungan 1,000 Nm hingga 2,300 Nm. Ia direka bagi memastikan kuasa dapat dialirkan dari enjin ke roda dengan efisien pada bas-bas yang mempunyai berat kasar sehingga 32 tan.

    Operasi transmisi berkenaan diuruskan oleh perisian TopoDyn Life, yang akan melaras semula pemetaan tukaran gear bergantung kepada kondisi pemanduan. Teknologi adaptif berkenaan menghasilkan penggunaan bahan api yang lebih efisien dan juga penghasilan karbon lebih rendah. Kotak gear Ecolife ini juga diberikan fungsi retarder bina dalam, bagi memberikan kesan ‘engine braking’ untuk membantu memperlahankan kenderaan dan mengurangkan beban pada sistem brek utama.

    Bukan sekadar membekalkan, ZF turut memberikan sokongan teknikal dan juga proses retrofit jika diperlukan. Fasiliti ZFSSM yang terletak di Kota Damansara ini juga turut berfungsi sebagai pusat servis selepas jualan yang menjalankan kerja-kerja merombak rawat transmisi lengkap dengan ujian simulasi bagi memastikan setiap unit transmisi berfungsi sepenuhnya sebelum dipadankan semula pada kenderaan.

    Untuk masa hadapan, ZF kini sedang berkerjasama rapat dengan Sync R&D Sdn Bhd bagi menghasilkan bas berkuasa elektrik sepenuhnya sepanjang 12 meter menggunakan gandar ZF AVE 130 – menyokong dasar automotif negara yang mensasarkan untuk menjadi hab EEV di rantau ini. Gandar yang hadir dengan sistem suspensi dan brek berkenaan diberikan motor elektrik pada setiap hab roda, menggantikan sistem motor elektrik tunggal pada gandar generasi sebelum ini bagi menghasilkan bas yang boleh menampung penumpang lebih ramai serta mencapai kelajuan yang lebih tinggi.

    ZF juga kini sedang berkerjasama dengan RapidKL untuk memperkenalkan sistem telemetiknya yang dikenali sebagai Openmatics. Sistem telematik berkenaan bukan sahaja dapat merekod operasi sistem dalam sesebuah kenderaan, malah ia juga mampu membekalkan maklumat diagnosis, kedudukan kenderaan, memantau tahap tumpuan pemandu dan juga dapat diselarikan dengan sistem tiket bas dan juga memberikan anggaran masa sampai ke satu-satu destinasi.

    Sistem Openmatics ini juga boleh digunakan untuk operasi sistem logistik dengan penambahan modul tag elektronik yang turut boleh memantau keadaan barang yang dibawa termasuk suhu dan juga pengesan cahaya yang dapat mengesan sekiranya kotak penghantaran tersebut dibuka oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    “Pusat bandar moden kini memerlukan kenderaan komersial yang boleh diharap, selamat dan paling penting berkesan dari segi kos dan juga produktif. Urbanisasi yang mampan akan menjadi cabaran di mana industri automotif memerlukan kenderaan yang mempunyai kos operasi rendah tetapi dengan penggunaan yang kerap tanpa mengorbankan keselamatan serta kelajuan.

    “ZFSSM berhasrat untuk mengubah jaringan pengangkutan di Malaysia dengan memberikan kepakaran kami terhadap pengangkutan urban yang telah dimodenkan berasaskan produk dan teknologi inovatif dari ZF Group,” kata pengurus besar untuk khidmat unit perniagaan ZFSSM, Encik Siew Chee Kok pada acara sambutan ulangtahun ke-15 syarikat berkenaan yang diadakan pagi tadi.

     
     
  • C238 Mercedes-Benz E-Class Coupe giat dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada 27 Julai ini

    C238 Mercedes-Benz E-Class Coupe giat dikhabarkan bakal dilancarkan di Malaysia pada 27 Julai ini

    C238 Mercedes-Benz E-Class Coupe bakal dilancarkan di Malaysia pada Khamis ini, 27 Julai, berdasarkan imej teaser yang didedahkan oleh Mercedes-Benz Malaysia. Model saiz sederhana dua-pintu ini memasuki pasaran tempatan setahun selepas model empat-pintu W213 sedan dilancarkan.

    Barisan model yang ditawarkan pastinya imbasan kepada model sedan E 200 dan E 250, termasuk varian tertinggi E 300 dan akan datang E 350 e plug-in hybrid. Ketiga-tiganya dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petro; dengan kuasa 184 hp/300 Nm (E 200), 211 hp/350 Nm (E 250) dan 245 hp/370 Nm (E 300), dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Model coupe juga akan menerima kit yang sama, termasuk Widescreen Cockpit yang menampilkan paparan definisi tinggi berkembar 12.3-inci untuk infotainmen dan instrumen. Selain itu, ia mungkin menampilikan lampu utama Multibeam LED, Keyless-Go, kulit upholstery Nappa dan sistem bunyi Burmester untuk varian yang lebih tinggi.

    Harganya pula dijangka antara RM46,000 dan RM81,000 lebih tinggi berbanding model sedan. Untuk perincian lebih lanjut, nantikan laporan kami pada hari pelancarannya tidak lama lagi.

     
     
  • Benelli Patagonian Eagle 250 cc 2017 – cruiser yang sedang diuji di Malaysia, dilancarkan tak lama lagi?

    Benelli Patagonian Eagle 250 cc 2017 – cruiser yang sedang diuji di Malaysia, dilancarkan tak lama lagi?

    Ketika majlis pengenalan model SM Sport 110R 2017 di Pulau Pinang hujung minggu lalu, sebuah motosikal cruiser 250 cc turut kelihatan dipamerkan; model Benelli Patagonian Eagle 250 tahun 2017. Walaupun dari sudut luarannya seperti menyerupai model Keeway Dorado 250, jentera berkenaan sebenarnya menggunakan enjin dari jenis Parallel Twin dan bukannya jenis V-Twin seperti pada unit oleh Keeway – walaupun lambangnya tetap ada dibahagian sisi.

    Unit yang dipamerkan itu sebenarnya merupakan sebuah prototaip yang sedang menjadi ujian penggunaannya di Malaysia, dan dipasangkan kaburetor berkembar. Bagaimanapun, kami difahamkan oleh MForce Holding selaku pemasang dan pengedar jenama Benelli, Keeway, SYM dan SM Force, versi akhir untuk dijual dipasaran tempatan nanti akan dilengkapi ciri EFI.

    Direncanakan untuk mula dijual di sini sebelum hujung tahun nanti, Patagonian Eagle menggunakan enjin 249 cc yang mengasilkan 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 16.5 Nm pada 6,000 rpm. Ini akan digandingkan pula dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Ia kelihatan dilengkapi rim 18 inci dengan cakera brek berdiameter 260 mm untuk bahagian depan. Suspensinya pula konvensional, menggunakan fork teleskopik dengan jarak pergerakan 120 mm di depan manakala penyerap hentak berkembar untuk bagaian belakang.

    Ketinggian tempat duduknya ialah 695 mm – kebiasaan bagi motosikal cruiser – lebih rendah untuk memudahkan penunggang. Berat keringnya pula ialah 145 kg. Dua warna dijangka akan ditawarkan nanti; hitam kesat atau merah kesat. Berapa harga yang sesuai untuk model ini nanti?

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Honda City i-DCD Hybrid di Malaysia

    Minggu lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan pengenalan model Honda City i-DCD Hybrid versi facelift 2017 untuk pasaran Malaysia. Dengan itu, melalui video kali ini, kami membawa anda mendekati model berkenaan dengan lebih dekat.

    Malaysia menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima dan melancarkan model City hibrid facelift ini. Dan, harga jualannya pula ialah pada RM89,200. Ini menjadikan harganya hampir sama dengan harga City petrol dari varian V yang dijual kini. Namun, dari segi spesifikasinya pula, ia menghampiri penawaran pada varian E.

    City Hybrid ini menggunakan unit janakuasa yang sama dengan Jazz Hybrid iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm.

    Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

    Untuk mengetahui dan melihat dengan lebih dekat model sedan dari segmen B ini, tonton video ringkas yang kami sediakan ini. Dan, jangan lupa untuk nyatakan pandangan anda berkaitan penawaran terbaru Honda Malaysia ini.

     
     
  • GALERI: Renault Koleos versi 4WD dipasaran Malaysia

    GALERI: Renault Koleos versi 4WD dipasaran Malaysia

    Kalau anda belum tahu, TC Euro Cars (TCEC) selaku pemegang francais tunggal bagi kenderaan Renault di Malaysia minggu lalu telah mengumumkan SUV Renault Koleos kini hadir dengan pilihan sistem pacuan 4WD. Ini adalah galeri lengkap untuk membolehkan anda melihat perincian pada SUV ini.

    Ditawarkan pada harga RM201,800 (berbanding RM182,800 bagi varian 2WD), SUV ini menampilkan teknologi ALL-MODE 4×4-i yang memantau tahap cengkaman secara berterusan untuk prestasi yang lebih dinamik, stabil dan selamat. Satu lagi ciri baru yang ditampilkan pada model 4WD ini ialah kendalian pintu belakang automatik menggunakan Renault Smart Keycard yang diletakkan di dalam poket atau beg tangan. Pintu berkenaan boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang.

    Selain itu, Koleos 4WD ini juga akan hadir dengan warna baru Maroon Red, selain mengekalkan warna Universal White, Grey Metallic, Black Metallic dan Meissen Blue.

    ALL-MODE 4×4-i pada varian Koleos 4WD ialah teknologi yang sudah terbukti dan digunakan ke atas jutaan kenderaan di bawah pakatan Renault-Nissan di seluruh dunia. Sistem itu terdiri daripada suis kawalan yang mudah digunakan. Ia membolehkan pemandu untuk memilih tiga mode – 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock. Setiap mode ini mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada kondisi pemanduan.

    Dalam mode 2WD, Koleos bergerak dengan pacuan roda hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api dan ideal untuk kondisi pemanduan yang normal. Manakala dalam mode 4WD Auto pula, teknologi ALL-MODE 4×4-i akan sentiasa memantau pecutan longitudinal dan lateral, selain kadar yaw dan sudut stereng. Berdasarkan kepada maklumat ini, sistem akan mengira agihan kuasa tork hadapan/belakang yang ideal (daripada 100/0 kepada 50/50) untuk menawarkan cengkaman paling cekap bagi mengelakkan berlakunya masalah understeer dan oversteer.

    Di laluan off-road atau dalam keadaan di mana cengkaman amat diperlukan, seperti di atas lumpur dan pasir, mode 4WD Lock membolehkan pemandu menggunakan pacuan empat roda pada kelajuan kurang 40 km/j untuk mengagihkan kuasa tork yang sama kepada gandar hadapan dan belakang (50/50) bagi kestabilan maksimum.

     
     
  • Mazda CX-8 SUV – foto luaran rasmi pertama didedah

    Mazda CX-8 SUV – foto luaran rasmi pertama didedah

    Mazda telah mendedahkan foto luaran rasmi pertama bagi model SUV tiga-barisan tempat duduk akan datang, CX-8. Dijangka bakal dijual di Jepun sahaja sebelum penghujung tahun ini.

    Menerusi imej yang disebarkan, SUV ini kelihatan agak mirip dengan CX-5 terutamanya pada bahagian hadapannya. Walau bagaimana pun, CX-8 ini lebih tinggi dan bahagian belakangnya pula sedikit sama dengan CX-9 termasuk rekaan roda aloinya.

    Foto dalaman yang terlebih dahulu didedahkan sebelum ini dengan imej bahagian kabin dan tiga-barisan tempat duduk. Tidak seperti CX-9, CX-8 ini akan menawarkan konfigurasi enam-tempat duduk, dengan konsol tengah pada barisan-kedua tempah duduk bagi perumah perehat tangan dan tempat letak cawan. Malah pilihan tujuh-tempat duduk juga akan ditawarkan.

    Mazda CX-8 SUV – foto luaran rasmi pertama didedah

    SUV ini memiliki ukuran 4,900 mm panjang, 1,840 mm lebar dan 1,730 mm tinggi, CX-8 ini lebih kurang sama saiz dengan CX-9 berbanding CX-5. Berbanding dengan CX-9, ia hanya 175 mm lebih rendah, 125 mm lebih kecil dan 12 mm lebih rendah, tetapi sama jarak rodanya iaitu 2,930 mm. Sebagai perbandingan, CX-5 berukuran 350 mm lebih pendek dan 40 mm lebih rendah, serta 230 mm jarak roda yang lebih pendek berbanding CX-8.

    Kuasanya dijanakan dari enjin 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Hamburan kuasanya masih belum didedahkan, namun dijangka antara 172 PS dan 420 NM iaitu sama dengan yang dihasilkan oleh enjin CX-5.

     
     
  • Cadangan guna peranti panggilan kecemasan pada kenderaan baru bermula 2019 – MAA gesa tangguhkan

    Cadangan guna peranti panggilan kecemasan pada kenderaan baru bermula 2019 – MAA gesa tangguhkan

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan yang mewajibkan kenderaan baru dilengkapi dengan peranti panggilan kecemasan sehingga industri benar-benar bersedia. Rancangan itu dicadangkan awalnya untuk dilaksanakan pada semua kenderaan yang baru didaftarkan bermula Januari 2019.

    Perincian tentang peralatan panggilan kecemasan dalam kenderaan itu masih samar-samar, melainkan ia dikhabarkan akan diedarkan oleh hanya satu pembekal di Malaysia, yang menurut Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Ini kerana, kemungkinan akan berlaku kerumitan lain sekiranya ada apa-apa masalah yang timbul dan melibatkan pembekal tunggal berkenaan.

    Ini juga dijangka akan membawa kepada kenaikan harga kenderaan sekiranya peranti panggilan kecemasan ini dilaksanakan, serta kurangnya perincian peraturan dan spesifikasi peranti berkenaan, tambah beliau. Pemasangan peranti itu ke dalam kenderaan baru boleh menelan kos yang tinggi, jelas MAA. Ini disebabkan kenaikan duti eksais, cukai import dan GST yang akan menyumbang pula kepada kenaikan kos keseluruhan kenderaan serta harga atas jalan kenderaan, jelas MAA.

    Cadangan guna peranti panggilan kecemasan pada kenderaan baru bermula 2019 – MAA gesa tangguhkan

    Persatuan itu juga menambah, perkembangan ini juga adalah bertentangan hasrat kerajaan untuk menurunkan harga kenderaan seperi yang dinyatakan sebelum ini. Cadangan pelaksanaan pada Januari 2019 juga sangat singkat untuk membolehkan industri bersedia untuk itu, manakala keberkesanan sistem berkenaan hanya dapat dimanfaatkan sekiranya jaringan prasarana lain yang diperlukan turut bergerak seiringan.

    Kajian yang menyeluruh dan holistik perlu dilakukan untuk mengesahkan bahawa langkah itu adalah perlu di Malaysia. Kajian ini perlu melibatkan analisis kemalangan jalan raya di Malaysia, serta makluman kekurangan pasukan penyelamat dan kecemasan sedia ada untuk menyokong cadangan pelaksanaan itu.

    Setakat hari ini, Russia menjadi satu-satunya negara yang melaksanakan sistem berkenaan. Jika cadangan ini diterima dan dilaksanakan, Malaysia akan jadi negara kedua di dunia yang mewajibkan peranti panggilan kecemasan dipasang dalam kenderaan penumpang persendirian di jalan raya. MAA turut mencadangkan agar peranti itu tidak diwajibkan ke atas kenderaan baru yang ingin didaftarkan di Malaysia.

     
     
  • Jaguar XJR575 2018 – 575 PS, 700 Nm, 4.4s bagi 0-100

    Jaguar XJR575 2018 – 575 PS, 700 Nm, 4.4s bagi 0-100

    Jaguar telah pun memperkenalkan Jaguar XJ bagi model 2018, sedan mewah yang pernah dipertontonkan di Goodwood Festival of Speed lalu iaitu Jaguar XJ575. dengan enjin 5.0 liter supercharged V8, kini ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 575 PS dan tork 700 Nm, iaitu lebih 25 PS berbanding XJR. Malah dari 0-100 km/j pula mampu dicecah dalam tempoh 4.4 saat dan kelajuan maksimum pula 300 km/j.

    Perincian luaran termasuklah spoiler belakang, ambang sisi, bampar hada[an dan corong pengambilan udara yang lebih rendah dengan kekemasan hitam berkilat di sekelilingnya. Malah lambang luaran XJ575 telah dipertingkatkan dan ia turut menamoilkan roda Farallon hitam berkilat bersaiz 20-inci dengan kaliper brek berwarna merah.

    Di dalamnya, XJR575 turut menampilkan plat kaki, 575 intaglio dan kekemasan ala berlian dengan pilihan warna Jet/Jet dan Ivory/Jet berserta logo 575.

    Jaguar XJR575 2018 – 575 PS, 700 Nm, 4.4s bagi 0-100

    Ditawarkan dengan kerangka jarak roda standard, pembelo XJR575 turut boleh membuat pilihan sama ada warna luaran dua tona dengan kekemasan yang direka oleh JLR Special Vehicle Operation iaitu Velocity Blue dan Satin Corris Grey.

    Untuk 2018, barisan XJ turut menampilkan elemen teknologi yang dipertingkatkan. Antaranya capaian WiFi 4G dengan lapan peranti, skrin sesentuh Touch Pro yang lebih besar bersaiz 10-inci pada konsol tengah (dengan fungsi membesarkan imej), Pengesan Trafik Hadapan, Bantuan Tukar Lorong dan Brek Kecemasan Sendiri dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Pemantuan Keadaan Pemandu.

     
     
  • Jalan Persiaran KLCC ditutup sehingga 11 Okt 2017

    Jalan Persiaran KLCC ditutup sehingga 11 Okt 2017

    Bagi anda yang sering kali atau pun bakal melalui jalan di sepanjang Persiaran KLCC (hala utara ke arah Jalan Binjai), ini ada satu notis pemberitahuan untuk semua. Bermula semalam iaitu 24 Julai, jalan terbabit iaitu dari kawasan pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bersebelahan Binjai di Kondominium Park sehingga persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda akan ditutup kepada lalu lintas. Penutupan jalan tersebut dijangka berlangsung sehingga 11 Oktober 2017.

    Menurut Bachy Soletanche Group (BSG) Construction (Malaysia) Sdn Bhd, ia merupakan fasa pertama kerja penambahbaikan aliran trafik di kawasan itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Keseluruhan kerja penambahbaikan itu melibatkan kerja naik taraf terowong-terowong sedia ada yang terdapat di antara Jalan Tun Razak dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC, dari Julai 2017 sehingga Februari 2020, laporan Bernama

    “Dalam fasa pertama projek ini, laluan pejalan kaki (termasuk jalan logistik menuju ke Taman KLCC) serta lorong kiri jalan itu, kedua-duanya terletak di jalan Persiaran KLCC menghala ke Jalan Binjai,” menurut syarikat terbabit.

    Sambungnya lagi, “Penutupan laluan sepanjang 50 meter itu hanya di antara Binjai on the park condominium dan persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda. Bagaimanapun, laluan pejalan kaki yang baharu akan disediakan untuk orang awam di kawasan itu.”

    BSG berkata penutupan laluan pejalan kaki menghala ke Taman KLCC itu akan menghalang pemandu bas pelancong yang degil daripada berhenti di sepanjang Persiaran KLCC untuk tujuan merakamkan gambar di samping mengurangkan keseskan trafik di kawasan itu.

    Menurutnya, kerja penambahbaikan aliran trafik di kawasan itu juga akan dapat menangani kesesakan trafik sedia ada dan memenuhi jangkaan peningkatan trafik berikutan pembangunan besar-besaran termasuk pembinaan stesen MRT oleh MMC Gamuda di sepanjang Jalan Binjai.

    “Ketika ini pengguna jalan raya yang menggunakan laluan di antara Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC perlu pergi ke persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda terlebih dahulu, penyumbang utama kepada kesesakan pada waktu puncak di kawasan itu.

    “Apabila kerja penambahbaikan aliran trafif di kawasan itu siap, pengguna jalan raya boleh melakukan perjalanan di antara Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan keseluruhan tempat letak kereta bawah tanah KLCC tanpa perlu pergi ke persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda,” jelasnya.

    Menurut kenyataan itu, apabila terowong-terowong berkenaan siap, laluan masuk dan keluar sedia ada di tempat letak kereta bawah tanah KLCC, terletak di sepanjang Persiaran KLCC,Jalan Binjai, tidak lagi dibuka kepada awam.

    “Bagaimanapun, kedua-dua arah di Lorong Kuda (menghala Seremban dan menghala KLCC) akan membolehkan pengguna jalan raya untuk masuk dan keluar dari terowong,? menurutnya.

     
     
  • MRT, Rapid Rail cari jalan untuk tangani vandalisme

    MRT, Rapid Rail cari jalan untuk tangani vandalisme

    Fasa kedua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang baru memulakan operasi sejak 17 Julai lalu juga tidak terlepas daripada ‘tangan-tangan nakal’ yang sengaja melakukan vandalisme atau pun kerosakan pada beberapa fasilitinya.

    Sejak beberapa hari ini, foto-foto kerosakan fasilitinya telah disebarkan menerusi laman media sosial Facebook dan menerima banyak maklumbalas daripada netizen sendiri. Rata-ratanya marah dengan tindakan ‘penggemar vandalisme’ ini kerana beranggapan golongan ini tidak bersyukur dan menghargai kemudahan awam yang disediakan. Namun ada juga netizen yang mengatakan penggunaan material yang kurang berkualiti antara penyebab ada fasiliti yang cepat rosak.

    Walau bagaimana pun, Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) dengan kerjasama pengendali MRT, Rapid Rail, akan segera mencari jalan untuk menangani isu ini, laporan The Sun.

    Pengarah Strategik Komunikasi dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT COrp Dato’ Najmuddin Abdullah menggesa agar rakyat Malaysia lebih meningkatkan kesedaran sivik dan bersama menjaga harta awam ini, kerana katanya pihak syarikat terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memperbaiki segala kerosakan ini.

    “Semua orang patut berasa bangga dengan fasiliti baharu ini dan ia juga adalah peranan kita bersama untuk menjaganya. Gunakannya dengan cermat dan ingat orang lain yang turut akan menggunakannya,” ujarnya sambil menambah pihaknya akan melakukan siasatan untuk mengenalpasti suspek yang terlibat dengan kegiatan vandalisme ini.

    Sebelum ini, beliau telah memuat naik entri menerusi Facebook meluahkan rasa kecewanya berhubung dengan fasiliti yang dirosakkan di stesen Merdeka, Bukit Bintang dan Maluri, “Begitu banyak kesan calar pada bangku dan dinding. Malah ada juga kerosakan di tandas. Malah tandas untuk OKU juga pecah dua hari lalu.”

     
     
  • Suzuki Swift Sport baharu – foto pertama disebarkan

    Suzuki Swift Sport baharu – foto pertama disebarkan

    Suzuki telah menyebarkan foto rasmi pertama bagi Swift Sport serba baharu, yang dijangka akan ditampilkan di Frankfurt Motor Show September ini.

    Bagi visualnya, model baharu ini nampak berbeza berbanding Swift standard, hasil padanan bampar hadapan baharu yang tidak disambung dengan lampu kabus. Malah bahagian hadapannya juga ditampilkan dengan corong pengambil baharu dan gril yang lebih lebar yang lebih menyerlah berbanding rekaan ala sarang lebah.

    Walau bagaimana pun, Suzuki belum mendedahkan lagi bahagian belakangnya, dan terdapat laporan sebelum ini menyebut model baharu Swift ini akan seberat 870 kg, iaitu 200 kg lebih ringan berbanding model Swift Sport yang terdahulu.

    Swift biasa akan ditampilkan dengan enjin sama ada K10C 1.0 liter Boosterjet pengecas turbo tiga-silinder atay K12C 1.2 liter suntikan-berkembar Dualjet NA empat-silinder, sementara Swift Sport pula bakal dipadankan dengan enjin yang lebih berkuasa iaitu 1.4 liter Boosterjet empat-silinder dari Vitara S.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi Swift Sport baharu ini, kena nantikan Frankfurt Motor Show.

    Galeri: Suzuki Swift generasi ke-empat

     
     
  • Jualan kenderaan Jun 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Honda kekal di kedudukan kedua

    Jualan kenderaan Jun 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Honda kekal di kedudukan kedua

    Jumlah jualan kenderaan secara keseluruhannya bagi bulan Jun 2017 berbanding bulan Mei mencatatkan sedikit penurunan, iaitu 0.6% atau 325 unit. Sebanyak 50,275 unit kenderaan dijual pada bulan lalu, merangkumi kenderaan penumpang dan juga kenderaan perdagangan.

    Seperti biasa, walaupun angka keseluruhan yang menurun, pecahan jualan mengikut jenama menyaksikan sebahagiannya masih mampu merekodkan pertumbuhan, walaupun sedikit. Tempat teratas masih diungguli oleh Perodua dengan jumlah jualan sebanyak 17,821 unit; ini juga merupakan pertumbuhan sebanyak 3.5% berbanding Mei.

    Di kedudukan kedua, walaupun Honda masih mengekalkan posisi, syarikat itu bagaimanapun menyaksikan penurunan jualan sebanyak 3.8% dengan jumlah 8,808 unit berbanding bulan sebelumnya dengan 9,153 unit. Bagi Proton pula, syarikat itu kekal ditangga ketiga dengan sedikit peningkatan jumlah jualan; 7,225 unit berbanding 7,176 unit pada Mei.

    Tempat keempat masih milik Toyota walaupun merekodkan penurunan jualan sebanyak 12.2%. Nissan pula mengikut dibelakang dengan peningkatan kepada 2,738 unit berbanding 2,650 unit pada bulan sebelumnya.

    Bagi dua jenama pesaing utama dalam pasaran premium, Mercedes-Benz dan BMW, kedua-duanya mencatatkan peningkatan – 14.5% dan 8.4% masing-masing. Ini juga merapatkan jurang di antara kedudukan dua jenama berkenaan, iaitu ditangga keenam dan BMW di tangga ketujuh.

    Selain itu, beberapa jenama utama lain turut mencatatkan peningkatan, seperti berikut; Volkswagen (+34.7%), Mitsubishi (+26.8%) dan Audi (+42.3%). Berikut pula jenama-jenama utama yang mencatat penurunan jualan pada bulan Jun; Ford (-16.7%), Subaru (-13.0%), Peugeot (-13.1%) dan Lexus (-31.3%).

     
     
  • Mitsubishi Expander didedah sebelum GIIAS 2017 – 1.5 liter, 7-tempat duduk, saingan terus Honda BR-V

    Mitsubishi Expander didedah sebelum GIIAS 2017 – 1.5 liter, 7-tempat duduk, saingan terus Honda BR-V

    Setelah menyiarkan teasernya minggu lalu, hari ini Mitsubishi telah mendedahkan imej penuh MPV mampu milik baharunya yang bakal diperkenalkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 bulan hadapan. Belum lagi diberi nama rasmi, tetapi kami menggelarnya Mitsubishi Expander, menurut laporan spekulasi sebelum ini.

    Ia sebuah kenderaan yang direka dengan bentuk gagah seperti sebuah SUV, tetapi mempunyai praktikaliti seperti sebuah MPV termasuk mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang, dan bakal dijual pada harga kompetitif – ciri-ciri ini sahaja sudah menampakkan ia bakal menyerang terus Honda BR-V dalam pasaran.

    Model produksi ini nampaknya mengekalkan rupa dari model konsepnya, digelar XM Concept yang didedahkan pada GIIAS tahun lalu. Ia masih lagi diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen X, lampu nyalaan tirus bersambung terus dengan gril hadapan, manakala lampu hadapan sebenar serta isyarat diletakkan pada kedua-dua sisi bampar (seperti rekaan pada Hyundai Kona).

    Mitsubishi Expander didedah sebelum GIIAS 2017 – 1.5 liter, 7-tempat duduk, saingan terus Honda BR-V

    Garis-garis sisi badan juga kelihatan hampir seiras dengan model konsep sebelum ini, bersama ‘otot-otot’ yang diberikan pada kesemua ruang roda. Elemen hitam pada tingkap-tingkap sisi SUV ini bersambung dengan kemasan hitam pada tiang-D dan cermin belakang bagi memberikan efek seakan bumbungnya terapung. Namun, model produksi ini tidak diberikan rel bumbung, menampakkan sedikit imej kurang lasak.

    Rekaan dari model konsep terus dibawa ke bahagian belakang di mana imej X jelas terpampang pada pintu tailgate, tetapi ia kurang diserlahkan kerana tidak diberikan warna hitam pada bahagian berkenaan. Bampar pada model produksi ini juga direka dengan rekaan yang lebih masuk akal berbanding dari model konsep.

    Menurut Mitsubishi, MPV ini direka bagi memuaskan hati pemilik-pemilik MPV kecil di Indonesia – yang kini mempunyai permintaan yang sangat tinggi. Ia mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang dalam keadaan selesa bersama ruang kargo yang agak memuaskan, dakwa jenama berkenaan lagi.

    Mitsubishi Expander didedah sebelum GIIAS 2017 – 1.5 liter, 7-tempat duduk, saingan terus Honda BR-V

    Kabin MPV ini juga direka dengan konfigurasi tempat duduk bervariasi bagi memaksimakan penggunaan ruang, serta tempat duduk baris ketiga direka bersama akses yang mudah dan juga ruang kargo yang besar – rekaan yang menerapkan semangat hasil kerja “monozukuri” masyarakat Jepun.

    Mitsubishi hanya menyatakan MPV generasi baharu ini bakal dijana oleh enjin 1.5 liter MIVEC, dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik. Perincian lanjut berkenaan unit janakuasa ini mahupun sistem mekanikal lain masih lagi belum diumumkan. Namun, sebelum orang ramai menanyakan soalan “boleh panjat Genting ke tidak?”, jenama berkenaan terlebih dahulu menegaskan ia sebuah kenderaan yang boleh diharap ketika mendaki bukit walaupun dengan tujuh orang penumpang di dalamnya.

    MPV serba baharu Mitsubishi ini akan dihasilkan di kilang baharu jenama berkenaan yang terletak di Bekasi, Jawa Barat. Ia akan dilancarkan pada pasaran Indonesia sekitar September tahun ini, manakala nama rasminya hanya akan diumumkan pada GIIAS 2017 nanti.

    GALERI: Mitsubishi XM Concept di GIIAS 2017

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026