Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tarif insurans kenderaan baharu beri kelebihan kepada pengguna, galak urus risiko lebih baik – Johari

    Tarif insurans kenderaan baharu beri kelebihan kepada pengguna, galak urus risiko lebih baik – Johari

    Pelaksanaan liberalisasi tarif insurans kenderaan yang berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu masih mendapat pelbagai maklumbalas daripada orang ramai dan juga pihak kerajaan sendiri. Jika orang ramai masih samar-samar dengan implementasi tarif insurans kenderaan baharu ini, kerajaan pula berpendapat ia adalah bersifat adil kepada semua pihak, bahkan turut memberikan kelebihan kepada pengguna.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, liberalisasi ini adalah memberi kelebihan kepada pengguna yang mempunyai profil risiko yang rendah seperti tidak pernah terbabit dalam kemalangan, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, sistem sebelum ini, setiap RM1 insurans premium yang dibayar pengguna, syarikat insurans secara keseluruhannya membayar hampir RM1.02 bagi tuntutan. Di mana jumlah itu menunjukkan nisbah tuntutan adalah melebihi 100% dan akhirnya apabila syarikat insurans rugi berikutan nisbah tuntutan yang tinggi, mereka terpaksa meningkatkan premium.

    “Jika sebelum ini, kita mengamalkan premium mengikut tarif yang sudah ditetapkan, maka pengguna yang tidak pernah terbabit kemalangan selama lima tahun sepatutnya mendapat premium yang rendah tetapi itu tidak berlaku kerana mereka terpaksa menanggung bersama pengguna yang berisiko tinggi.

    Tarif insurans kenderaan baharu beri kelebihan kepada pengguna, galak urus risiko lebih baik – Johari

    “Akibatnya, kadar premium yang perlu dibayar semakin meningkat setiap tahun kerana nisbah tuntutan sentiasa naik. Ini yang kita mahu elakkan. Bagi jangka panjang, ia akan memanfaatkan pengguna yang berprofil risiko rendah,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin mengetahui kesan dasar liberalisasi tarif insurans kenderaan kepada pengguna di Dewan Rakyat hari ini.

    Tambahnya lagi, banyak manfaat akan diperoleh daripada liberalisasi itu antaranya penentuan kadar premium yang lebih adil dapat dilaksanakan berdasarkan perlindungan yang diperlukan pengguna. Malah ia juga dapat menyelaraskan subsidi bersilang yang ketara pada masa ini apabila sesetengah pemegang polisi membayar premium lebih mahal daripada sepatutnya untuk menyokong pemandu dan kenderaan berisiko tinggi.

    “Ia juga menggalakkan pengurusan risiko lebih baik dalam kalangan pengeluar kenderaan dan pengguna termasuk memupuk kesedaran yang lebih mendalam mengenai keselamatan jalan raya. Hasil daripada perubahan tingkah laku ini dapat menyumbang kepada pengurangan kemalangan dan kecurian secara keseluruhan.

    “Malah dapat menyediakan perkhidmatan lebih baik dan menawarkan produk kenderaan lebih inovatif kepada pengguna akibat persaingan syarikat insurans serta pengguna berpeluang membeli produk baharu yang tidak ditawarkan di bawah tarif insurans baharu ini,” katanya.

     
     
  • Isuzu sumbang trak bagi kerja amal kepada PBSM

    Isuzu sumbang trak bagi kerja amal kepada PBSM

    Dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap masyarakat di negara ini, Isuzu Malaysia berbesar hati menyumbangkan sebuah trak Isuzu N-Series 5,000kg untuk kegunaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) baru-baru ini. Ia adalah kegunaan pada waktu yang diperlukan, apatah lagi ketika musim tengkujuh yang akan melanda pada hujung tahun, termasuk banjir dan bencana alam yang lain.

    Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka telah menyerahkan kunci trak Isuzu kepada Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Dato’ Sayed A. Rahman Sayed Mohd dan berharap sumbangan itu dapat meningkatkan lagi kecekapan persatuan tersebut untuk membantu mereka yang memerlukannya.

    “Persediaan yang mantap boleh memberi kesan besar ketika berdepan dengan bencana alam. Dengan menyumbang sebuah trak yang efisien dan antara yang paling boleh dipercayai di pasaran sekarang kepada PBSM, kami dari Isuzu berharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada persatuan sukarela dalam memberi initiatif terbaik untuk membantu mangsa bencana alam,” kata Matsuoka.

    Trak lori Isuzu N-Series 5,000kg daripada Isuzu Malaysia itu dilengkapi badan kotak beraluminium yang disumbangkan oleh Sri Hoong Huat Auto Trading Sdn Bhd (LEW’s), iaitu salah sebuah syarikat pembina badan trak utama di Malaysia.

    Dengan adanya trak tersebut, pasukan sukarelawan dari persatuan berkenaan boleh menggunakannya untuk operasi menyelamat, memindahkan barang, mengagihkan barang-barang keperluan dan bekalan lain di mana perlu dilakukan secara sistematik dan pantas.

     
     
  • MAA: Jumlah jualan kenderaan bulan Jun menurun

    MAA: Jumlah jualan kenderaan bulan Jun menurun

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jumlah kenderaan yang didaftarkan pada bulan Jun 2017, dan secara keseluruhannya, 50,275 buah kenderaan telah didaftar, dengan 45,339 daripadanya adalah kenderaan penumpang dan 4,936 adalah kenderaan komersial. Jika dibandingkan dengan bulan Mei 2017, jumlah keseluruhan ini hanya kurang 325 unit ataupun 0.6%.

    Menurut MAA, antara penyebab kepada perkara ini adalah tempoh bekerja yang pendek kerana cuti musim perayaan, dan bagi bulan hadapan, catatan hampir sama mungkin akan berlaku tetapi kerana kelambatan dalam proses pendaftaran kenderaan akibat daripada liberalisasi insurans kenderaan bermotor.

    Jumlah paling banyak dicatat oleh Perodua, dengan 17,821 buah kenderaan berjaya dijual dan ia kemudiannya diikuti oleh Honda 8,808 unit, Proton 7,225 unit, Toyota 3,707 unit dan Nissan 2,128 unit. Kedudukan seterusnya diperoleh oleh kenderaan mewah Mercedes-Benz dengan 1,211 buah kenderaan dan seterusnya BMW pada 925 unit.

    Bagi kenderaan komersial, paling banyak didaftar pada bulan Jun adalah jenama Toyota, dengan catatan 1,623 buah, dan jumlah besar daripadanya datang daripada trak pikap, diikuti oleh Isuzu dengan 904 buah, Nissan 610 buah dan Ford 526.

    Bagi jumlah keseluruhan kenderaan yang didaftarkan bagi tahun 2017, enam bulan pertama ini telah mencatat 255,749 buah kenderaan penumpang, manakala bagi kenderaan komersial, jumlahnya adalah 28,712 unit. Apabila dicampur, ia menjadi 284,461, dan jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun 2016, jumlah ini adalah 1.03% lebih tinggi.

     
     
  • JPJ pasang lagi 50 kamera AES sebelum 2017 berakhir

    JPJ pasang lagi 50 kamera AES sebelum 2017 berakhir

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan sebanyak 50 lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Di mana kamera terbabit akan dipasang di lokasi strategik yang telah dikenal pasti dalam usaha jabatan itu menurunkan kadar kemalangan maut, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron, setakat ini sebanyak 21 kamera telah dipasang.

    “Dalam masa yang sama, JPJ akan turut memberikan penekanan terhadap kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat yang semakin meningkat kebelakangan ini berikutan terdapatnya aduan menerusi media sosial,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

    Katanya pengguna motosikal dikesan paling tinggi mencatatkan kesalahan tersebut yang merupakan tujuh kesalahan utama yang mengundang kemalangan maut.

    “Operasi memang kita adakan setiap masa namun kali ini kita tekankan kepada Ops Lampu merah yang dilaksanakan sejak 12 Julai lalu ekoran kegagalan pengguna mematuhi peraturan tersebut. Saman akan terus dikenakan kepada pesalah trafik yang gagal mematuhinya dan kompaun maksimum RM300 boleh dikenakan,” tambahnya lagi.

    Beliau berkata setakat bulan ini sahaja 300 penunggang motosikal maut manakala 299 lagi cedera kerana tidak mematuhi lampu isyarat. Di mana sepanjang Ops Lampu Merah dijalankan dari 12 hingga 20 Julai lalu, sebanyak 1,492 saman dan 223 temu siasat menerusi penyamaran bergambar dikeluarkan.

    “Sebanyak 1,504 tindakan diambil ke atas penunggang motosikal, kereta (420), bas (9), kenderaan perdagangan (99) dan lain-lain (701),” katanya.

     
     
  • GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD di Malaysia – 137 PS/170 Nm, pasaran pertama di dunia selain Jepun

    GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD di Malaysia – 137 PS/170 Nm, pasaran pertama di dunia selain Jepun

    Honda Malaysia mengumumkan Honda City Sport Hybrid i-DCD dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia minggu lalu, dan hari ini pada majlis sambutan Hari Raya bersama media, model tersebut diprebiu buat pertama kali. Seperti yang disebutkan sebelum ini, sama seperti Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD, Malaysia merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid ini selain Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM).

    Model ini dijual pada harga RM89,200 dan diberikan kelengkapan setara dengan City versi petrol varian pertengahan iaitu gred E. Ini meletakkan versi hibrid tersebut dijual pada harga RM4,600 lebih mahal dari City E (RM84,600) tetapi RM2,800 lebih murah berbanding varian tertinggi City V (RM92,000).

    City Hybrid ini dikuasakan unit janakuasa yang sama dengan Jazz Hybrid iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

    GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD di Malaysia – 137 PS/170 Nm, pasaran pertama di dunia selain Jepun

    Sistem berkenaan juga menggabungkan transmisi automatik klac-berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya beroperasi dalam keadaan elektrik sepenuhnya, tanpa menghidupkan enjin petrol (mengikut mod yang sesuai).

    Sebagai model yang diletakkan pada kedudukan pertengahan dalam barisan, City Hybrid diberikan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, sistem infotainmen dengan skrin Display Audio 6.8-inci, serta upholsteri fabrik. Walau bagaimanapun, City Hybrid ini diberikan cermin pandang sisi boleh lipat automatik dan juga pedal penukar gear pada stereng (kedua-dua ciri ini tiada pada Jazz Hybrid), antenna radio sirip yu dan juga pemegang pintu bersalut krom, tetapi ia tidak diberikan lampu kabus seperti pada Jazz Hybrid.

    Ia juga diberikan tombol penukar gear yang seiras dengan Jazz Hybrid – berbentuk empat segi, berbeza dengan tombol gear konvensional versi petrol. Dengan bateri hibrid diletakkan pada but belakang, ruang kargo sedan segmen-B ini kekal seperti versi petrol sepenuhnya dengan muatan 536 liter, tetapi tidak berikan tayar ganti (diganti dengan kit baikpulih sementera tayar, sama seperti Jazz Hybrid).

    Tiga warna boleh dipilih untuk versi hibrid ini iaitu Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl. Ia datang dengan jaminan tanpa had batuan selama lima tahun dan jarak servis berkala 10,000 km, sama seperti City biasa. Untuk bateri lithium-ion yang digunakan pula, ia diberi jaminan tambahan lapan tahun.

    Kedua-dua City dan Jazz Hybrid dipasang di Melaka, dan bagi City Hybrid, pengeluarannya sudah pun bermula tetapi orang ramai hanya boleh memandu uji model ini di pengedar rasmi Honda Malaysia bermula pertengahan bulan Ogos. Manakala untuk Jazz Hybrid, ia akan berada di pusat pameran bermula hujung minggu ini.

     
     
  • BMW 7 Series 40 Jahre – hanya 200 unit akan dijual

    BMW 7 Series 40 Jahre – hanya 200 unit akan dijual

    Tahun ini adalah ulang tahun ke 40 BMW 7 Series, dan bagi menyambutya, pengeluar dari Jerman itu telah menyediakan sebuah model edisi terhad yang setakat ini dipanggil sebagai BMW 7 Series 40 Jahre. Ia akan membuat penampilan semasa Frankfurt Motor Show 2017 September ini.

    Hanya 200 unit model istimewa ini akan dibuat, dan ia boleh didapati sama ada dalam bentuk standard ataupun jarak roda panjang dan pilihan asas daripada 740i/740d enjin enam silinder, 750i/750d enjin lapan silinder, M760Li 12 silinder ataupun 740e plug-in hybrid. Anda juga boleh mendapatkannya dengan sistem pacuan semua roda xDrive.

    BMW 7 Series 40 Jahre – hanya 200 unit akan dijualBMW 7 Series 40 Jahre – hanya 200 unit akan dijual

    Beza di antara 7 Series 40 Jahre ini dengan model standard adalah dua pilihan warna baru – Frozen Silver Matte dan Petrol Mika Metalik. M Aerodynamics Package juga datang secara standard, bersama kemasan hitam berkilat Shadow Line di luar, rim aloi 20 inci Individual dan lencana khas.

    Di dalam, semua model 7 Series 40 Jahre datang terus dengan Comfort Seat, dan dibalut dengan kulit Individual Merino warna Smoke White, dengan kombinasi sama warna Cohiba Brown dan hitam. Bergantung kepada warna tempat duduk ini, panel hiasan akan datang dengan sama ada hitam berkilat atau kayu warna Smoke Brown Eucalyptus. Turut diberi adalah penyandar kepala Alcantara warna Smoke White, serta Comfort Cushion (disulam dengan logo edisi istimewa ini) dan karpet Smoke White.

     
     
  • Toyota 86 facelift kini di Malaysia – RM258k ke RM264k

    Toyota 86 facelift kini di Malaysia – RM258k ke RM264k

    Dalam diam-diam sahaja Toyota 86 facelift telah pun mula berada di bilik pameran di Petaling Jaya, siap didedahkan spesifikasi penuh dan senarai harganya sekali.

    Bagi yang mungkin berimpian mahu memilikinya, ia ditawarkan dengan versi manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Harganya pula bermula RM257,502 untuk manual hingga RM264,309 bagi automatik, harga atas jalan tanpa insurans, dan turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

    Perubahan yang dilakukan bagi model 86 facelift ini ialah bampar hadapan yang disemak semula dengan gril yang lebih lebar dan bingkai lampu kabus baharu. Lampu utamanya juga kini LED berbanding xenon, dan turut ditampilkan dengan indikator LED, serta lampu kabus LED.

    Toyota 86 facelift kini di Malaysia – RM258k ke RM264k

    Di sisinya, corong dapra (fender) palsu turut direka semula, dengan logo 86 baharu yang diposisikan sedikit rendah di bawah dapra. Ia juga ditampilkan dengan rim aloi 17-inci baharu, lampu belakang LED baharu dan bampar belakang yang disemak semula dengan peresap yang lebih lebar. Malah spoiler belakang jenis-sayap baharu turut ditampilkan secara standard.

    Di dalamnya pula, ia menerima roda stereng tiga-jejari pelbafai fungsi bagaru, kluster instrumen yang dipertingkatkan dengan skrin pelbagai-info TFT LCD 4.2-inci yang memaparkan informasi termasuk G-Force, kuasa/tork, dan stopwatch. Rev counter juga telah dikonfigurasi semula dengan tahap tertinggi dikatakan mampu mencecah 7,000 rpm di mana enjin boleh menghasilkan kuasa pada semaksimum yang mungkin.

    Toyota 86 facelift kini di Malaysia – RM258k ke RM264k

    Kit standard yang turut ditawarkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dwi-zon, kulit dan upholsteri Alcantara dan pemain CD/radio 2-DIN dengan Bluetooth serta enam pembesar suara. Untuk aspek keselamatan pula dilengkapi tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan mod Track baharu.

    Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 2.0 liter FA20 D-4S suntikan terus empat-silinder dengan sistem pengambilan dan ekzos yang dipertingkatkan, mampu menghasilkan kuasa maksimum 200 PS pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm antara 6,400 dan 6,800 rpm.

    Untuk mempertingkatkan ketegarannya, tiang belakangnya juga telah dikimpal dengan jumlah yang lebih banyak, selari dengan gegelung dan peredamnya bagi memberikan pengendalian yang lebih selesa dan penguasaan stereng lebih tepat.

     
     
  • Audi keluarkan panggilan semula sukarela untuk 850k kenderaan berenjin diesel – jadikan emisi lebih baik

    Audi keluarkan panggilan semula sukarela untuk 850k kenderaan berenjin diesel – jadikan emisi lebih baik

    Audi telah mengumumkan panggilan balik sukarela untuk sekitar 850,000 kenderaan di seluruh dunia yang menggunakan enjin diesel enam dan lapan silinder (V6/V8 TDI, Euro 5/Euro 6), demi “memperbaiki emisi kenderaan dalam keadaan pemanduan sebenar, melebihi keperluan peraturan yang ada sekarang.”

    Langkah pencegahan awal ini melibatkan naik taraf perisian kenderaan tersebut, dan akan dijalankan dengan rundingan bersama Jabatan Pengangkutan Motor Negara (KBA) Jerman. Menurut Audi, mereka berhasrat mengurangkan emisi secara menyeluruh, terutamanya di kawasan bandar. Servis panggilan semula ini juga melibatkan kenderaan Porsche dan Volkswagen yang menggunakan enjin sama, tanpa sebarang kos.

    Audi sentiasa memberi tumpuan kepada enjin diesel untuk penggunaan di masa hadapan, dan syarikat itu menyatakan bahawa penggunaan bahan api yang rendah oleh kenderaan mereka dapat membantu sasaran emisi yang ditetapkan oleh Eropah. Oleh itu, program panggilan balik ini akan membantu menepis sebarang larangan terhadap kenderaan diesel mereka.

     
     
  • Subaru XV 2.0i-P dipertaruh di Mediacorp Subaru Car Challenge 2017 – bakal disertai 10 peserta dari M’sia

    Subaru XV 2.0i-P dipertaruh di Mediacorp Subaru Car Challenge 2017 – bakal disertai 10 peserta dari M’sia

    Motor Imaga Malaysia, selaku pengedar eksklusif Subaru di negara ini, telah mengumumkan seramai 10 peserta bakal mewakili Malaysia di dalam pertandingan MediaCorp Subaru Car Challenge 2017 – The Asian Face-Off di Singapura pada 28 hingga 31 Oktober ini.

    10 individu yang terpilih itu adalah antara peserta yang menyertai Subaru Palm Challenge 2017 yang berlangsung kelmarin di The Curve, Mutiara Damansara. Di mana mereka berjaya berentap antara satu sama lain selama lapan jam sembilan minit iaitu yang bertahan paling lama meletakkan tangan pada Subaru XV yang disediakan. Mereka hanya dibenarkan berehat selama lima minit bagi setiap enam jam untuk makan atau pun ke tandas.

    Mereka yang bakal mewakili negara ialah Mohd Khairul Quayum Bin Mohamad Yusoff, Yeong Shoa Yei, Tan Hong Sheng, Mohd Faizal Bin Mohd Nor, Mohammad Jazmi Bin Azman, Tan Chuan Kok, Lai Zhu Chuan, Sim Chong Yie, Kartigesu A/L Suppiah dan Chang Wei Khang. Mereka ini akan berentap dengan 390 peserta lain dari negara Kemboja, China, Hong Kong, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam tidak lama lagi. Mereka berpeluang memenangi hadiah utama iaitu Subaru XV 2.0i-P baharu.

    Selain itu, bagi kategori Pemenang Negara iaitu peserta yang mewakili setiap negara turut akan berentap sesama sendiri dan akan membawa pulang wang tunai sebagai hadiah. Manakala Pemenang Asia pula juga bakal membawa pulang wang tunai di mana pemenang akan ditentukan dengan cara yang sama, iaitu siapa yang paling lama dapat bertahan, terbuka untuk semua negara kecuali Singapura. Bagi Pasukan Negara pula akan ditentukan berdasarkan pasukan yang mewakili negara masing-masing dengan cara yang sama dan markah ditentukan dengan pengiraan masa bagi semua peserta.

     
     
  • Parkir bertingkat di SS 15 Subang Jaya dibuka hari ini

    Parkir bertingkat di SS 15 Subang Jaya dibuka hari ini

    Masyarakat di sekitar Subang Jaya kini mungkin tiada lagi terpaksa berhadapan dengan masalah parkir di SS 15 apabila bangunan parkir bertingkat kelolaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mula dibuka untuk orang awam hari ini, 24 Julai 2017. Bangunan parkir bertingkat ini terletak sebaris dengan pasar dan Asia Cafe.

    Fasiliti yang mempunyai 630 petak parkir, termasuk 25 petak di luar, serta turut mempunyai 14 petak parkir yang dikhas untuk golongan orang kurang upaya dan 12 petak lagi untuk pemandu wanita.

    Diharap dengan fasiliti baharu ini dapat mengatasi masalah parkir yang sering kali dihadapi oleh penduduk setempat dan orang yang berkunjung ke kawasan ini. Malah difahamkan, penggunaan parkir tersebut ditawarkan secara percuma sehingga 3 September ini, walau bagaimana pun kadar bayaran parkir yang bakal ditetapkan masih belum dimaklumkan.

     
     
  • SM Sport 110R dilancarkan di M’sia – kapcai jenama baharu yang menggunakan enjin 109 cc, harga RM4k

    SM Sport 110R dilancarkan di M’sia – kapcai jenama baharu yang menggunakan enjin 109 cc, harga RM4k

    Sebuah syarikat pengedar motosikal yang berpusat di Pulau Pinang, Mforce Bike Holdings melancarkan satu jenama motosikal baru iaitu SM Sport, dan kini, model pertama jenama itu sudah sedia dijual di pasaran Malaysia iaitu SM Sport 110R.

    Ia menggunakan enjin satu silinder empat strok 109 cc SOHC, dengan sistem bahan api karburetor dan dibangunkan hasil kerjasama dengan Qian Jiang Motorcycle (juga adalah pemilik jenama Benelli) dari China. Kebanyakan bahagian motosikal ini adalah diimport namun 30 peratus daripadanya adalah dari Malaysia sendiri. Pada masa hadapan, Mforce akan meningkatkan lagi penggunaan bahan tempatan untuk menjadi sehingga 60 peratus.

    Padanan transmisi yang digunakan adalah jenis empat kelajuan, tanpa klac tangan dan ia mampu menghasilkan 6.4 hp pada 7,500 rpm dan 7.0 Nm tork pada 7,000 rpm. Pada bahagian hadapan terdapat fork teleskopik dan tayar 70/90 R17, manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak, dan tayar 80/90 R17. Tugas membrek pula dilaksanakan sistem cakera 220 mm di hadapan dan dram di belakang.

    Selain cuba mengetengahkan gaya menarik dengan penggunaan kelengkapan seperti lampu siang (DRL), lampu penunjuk arah LED dan grafik yang sporty, SM Sport 110R juga menyediakan kemudahan untuk pengguna seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 10 liter, tayar tanpa tiub, sistem anti kecurian, soket pengecas 5V dan suis penjimatan bahan api. Secara keseluruhannya, motosikal ini mempunyai berat kering 105 kg dan menyediakan kapasiti tangki minyak 4 liter.

    SM Sport 110R dijual pada harga RM4,015.28 termasuk GST, tanpa insurans dan datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Piihan warna yang diberi pula ada tiga iaitu kuning, biru dan merah.

    Selain pasaran Malaysia, Mforce yang juga adalah pengedar rasmi motosikal Benelli di sini mempunyai perancangan untuk memasarkan SM Sport 110R dan model lain yang akan dilancarkan nanti ke negara Asia seperti Indonesia, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan pelbagai lagi.

     
     
  • Mazda CX-5 serba baharu bakal dilancar di M’sia?

    Pada April lalu, Bermaz telah mendedahkan kebarangkalian bakal melancarkan CX-5 generasi kedua di pasaran Malaysia pada September atau Oktober tahun ini. Nampak gayanya, pengedar tempatan seakan tidak sabar menantikan model ini dan telah memuat naik entri “akan datang” di laman Facebook mereka.

    Walau bagaimana pun tidak ada informasi mengenai model pasaran tempatan dan gambar yang dilampirkan diambil dari Facebook rasmi Mazda Singapura.

    Difahamkan model CX-5 baharu ini menggunakan barisan enjin yang sama iaitu 2.0 dan 2.5 liter SkyActive-G petrol dan juga 2.2 liter SkyActiv-D, yang kesemuanya ditawarkan untuk model generasi pertama yang masih dijual sekarang. Dan kemungkinan juga enjin yang sama akan ditawarkan untuk model generasi kedua yang bakal dilancarkan tidak lama.

    Mazda CX-5 serba baharu bakal dilancar di M’sia?

    Model baharu ini berukuran 4,550 mm panjang (-5 mm tanpa pemegang nombor plat), 1,840 mm bagi lebar (tidak berubah) dan 1,690 mm bagi ketinggian (+20 mm), dengan jarak roda 2,700 mm (tidak berubah).

    Bagi penggayaannya, ia banyak dipengaruhi oleh CX-3 dan CX-9, dengan gril baharu, lampu utama yang lebih langsing dan tiang-A telah diposisikan sedikit ke belakang. CX-5 baharu turut menerima warna badan luaran baharu yang dipanggil Soul Red Crystal.

    Di bahagian dalamanya, kabin CX-5 baharu agak berbeza berbanding persaingnya dengan papan pemuka diberi rekaan semula. Kini ia juga ditampilkan dengan skrin sesentuh ‘free-standing’ untuk sistem infotainmen dan juga corong pendingin hawa yang lebih berketerampilan.

    Mazda CX-5 serba baharu bakal dilancar di M’sia?

    Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng dari CX-9, dengan beberapa elemen lain termasuk suis pendingin hawa, Commander Control, pemilih gear, butang start/stop penghidup, Active Driving Display berwarna sepenuhnya, sistem bunyi Bose 10-pembesar suara dan paparan sluster instrumen TFT LCD 4.6-inci, yang segelintirnya ada pada model semasa Mazda.

    Lain-lain perubahan berbanding model sebelum ini termasuklah prestasi NVH yang lebih bagus, dan turut menampilkan SkyActiv-Vehicle Dynamic, dengan sistem G-Vectoring Control (GVC).

    Kami turut dimaklumkan, CX-5 generasi kedua ini akan dipasang di Kulim iaitu di kilang milik Inokom. Malah fasiliti di sana turut ditingkatkan, membolehkan semua model CKD boleh dicat dengan warna premium jenama ini termasuk Soul Red Metallic (dan mungkin Soul Red Crystal ?) dan Machine Gray.

    GALERI: Mazda CX-5 generasi kedua

     
     
  • Mitsubishi beri bonus tunai RM10k bagi bulan Merdeka

    Mitsubishi beri bonus tunai RM10k bagi bulan Merdeka

    Sempena bulan Merdeka yang bakal menjelang, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memberikan tawaran istimewa bagi beberapa model kenderaannya yang terpilih – bonus tunai sehingga RM10,000. Bermula hari ini hingga 31 Ogos nanti, pelanggan yang membuat tempahan bagi SUV Mitsubishi Outlander, trak pikap Triton dan SUV kompak ASX layak untuk menikmati tawaran ini.

    Mitsubishi Outlander, sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang dijual pada harga bermula RM171,000, Mitsubishi Triton MIVEC yang dijual pada harga bermula RM93,920 dan Mitsubishi ASX yang dijual pada harga bermula RM119,100 semuanya layak untuk tawaran bonus tunai sehingga RM10,000 ini.

    Sebagai tambahan kepada promosi berkenaan, pelanggan yang membelanjakan minimum RM350 bagi servis, termasuk pembelian penyegar udara serta bahan aditif lain dari pusat servis sah Mitsubishi turut berpeluang menerima payung Ralliart atau kit penjagaan kenderaan sebagai cenderahati. Promosi ini sah dari 1 Ogos hingga 30 September 2017, atau selagi stok masih ada.

     
     
  • MRT beri kadar harga istimewa jika penumpang guna kad Touch ‘N Go yang sama untuk parkir dan tren

    MRT beri kadar harga istimewa jika penumpang guna kad Touch ‘N Go yang sama untuk parkir dan tren

    Berhubung dengan isu segelintir pengguna perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang mendakwa fasiliti Park and Ride di beberapa buah stesen Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang tidak setara di mana ada di antara mereka dikenakan bayaran sebanyak RM4.30 bagi setiap kemasukan dan ada juga yang terpaksa membayar lebih daripada kadar berkenaan.

    Memberi maklumbalas mengenai isu tersebut, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, pengguna boleh menikmati kadar RM4.30 bagi setiap kemasukan sekiranya mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.

    Menurut Pengarah Strategik Komunikasi dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT COrp Dato’ Najmuddin Abdullah, langkah pertama yang perlu pengguna lakukan ialah mestilah menggunakan kad prabayar Touch ‘N Go yang sama ketika memasuki kawasan Park and Ride dan sewaktu membayar tambang dengan cara menyentuh kad terbabit di laluan akses ke bahagian tren di stesen berkenaan.

    “Dengan menggunakan kad yang sama ketika memasuki Park and Ride dan menyentuh kad terbabit di laluan masuk ke bahagian tren untuk pembayaran tambang adalah satu-satunya cara untuk kita pengesan penumpang terbabit memakir kenderaan masing-masing di sini dan kemudian menaiki tren, mahu pun yang tidak,” ujarnya.

    MRT beri kadar harga istimewa jika penumpang guna kad Touch ‘N Go yang sama untuk parkir dan tren

    Najmuddin turut berkata, kegagalan menggunakan kad Touch ‘N Go yang sama akan menyebabkan pengguna berkenaan dikenakan bayaran standard sepenuhnya iaitu mengikut kadar per jam kerana menggunakan kad yang berbeza atau pun dengan menggunakan token.

    “Penumpang yang menggunakan Park and Ride dan dikenakan kadar parkir standard adalah disebabkan perkara ini,” ujarnya lagi.

    Bagi yang menggunakan kad Touch ‘N Go untuk Park and Ride dan menaiki tren, Najmuddin berkata, terdapat beberapa cara yang perlu diikuti.

    Belian berkata, bagi perjalanan pulang, pengguna juga perlu memastikan menggunakan kad Touch ‘N Go yang sama digunakan untuk keluar dari stesen dan kemudian keluar dari kawasan Park and Ride.

    MRT beri kadar harga istimewa jika penumpang guna kad Touch ‘N Go yang sama untuk parkir dan tren

    “Sebagai peringatan, pengguna menggunakan kad tersebut untuk perjalanan pergi dan balik, dengan stesen yang sama di mana di mana stesen MRT berkenaan yang mempunyai Park and Ride. JIka pengguna menaiki tren di stesen yang mempunyai Park and Ride tetapi kembali ke stesen berkenaan dengan menggunakan perkhidmatan bas pengantara, kadar parkir standard mengikut jam akan dikenakan,” jelasnya.

    Sebagai tambahan kepada perkara ini, ia juga mempunyai had masa selama dua jam iaitu antara pengguna menyentuh kad tersebut keluar di stesen MRT dan keluar dari Park and Ride.

    Di mana pengguna perlu sedar sekiranya mereka menggunakan kad Touch ‘N Go yang sama untuk Park and Ride dan menyentuhnya di pintu akses ke bahagian tren, dan kemudian keluar menggunakan pintu akses yang sama di stesen MRT yang sama tanpa keluar di stesen yang berbeza, mereka juga akan dikenakan bayaran tambang standard mengikut jam.

    Dato’ Najmuddin berkata MRT Corp akan meletakkan lebih banyak paparan info di Park and Ride untuk memberikan penjelasan kepada pengguna bagaimana mereka boleh menikmati kadar bayaran istimewa sebanyak RM4.30 untuk setiap kemasukan bagi parkir ini.

    Katanya lagi, kemudahan Park and Ride hanya boleh didapati di stesen Sungai Buloh, Phileo Damansara, Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih. Manakala fasiliti parkir di sepanjang Laluan SBK yang lain iaitu Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Bandar Utama, Pusat Bandar Damansara, dan Kajang adalah di bawah pengurusan pihak ketiga serta pengguna dinasihati menghubungi pihak berkenaan untuk mengetahui kadar bayaran parkir berkenaan.

    MRT beri kadar harga istimewa jika penumpang guna kad Touch ‘N Go yang sama untuk parkir dan tren

     
     
  • Volvo dedah teaser material yang digunakan bagi XC40

    Volvo telah mula mengeluarkan video teaser bagi ketibaan model serba baru XC40 keluarannya, yang akan menjadi tambahan terbaru kepada barisan SUV yang kini turut disertai XC90 dan XC60. Video ini, yang menampilkan pemilihan barang dan material yang digunakan untuk model berkenaan, menjadi pengenalan tidak rasmi yang tidak kalah menarik juga.

    Pelbagai tekstur dan rekaan permukaan dipertontonkan, dengan inspirasi yang diperoleh antaranya dari driftwood, fesyen jalanan, senibina kota, barangan pereka berkualiti tinggi dan budaya popular. Volvo menyifatkan, dengan XC40, ia adalah hala tuju baru yang diambil oleh syarikat itu – dengan kelonggaran diberikan kepada pereka yang terlibat untuk mereka bentuk kenderaan dengan sentuhan yang lebih individual.

    “Kami ingin XC40 menjadi lebih segar, kreatif dan menonjol bagi barisan produk Volvo yang sedia ada. Pemandu XC40 dibayangkan turut menggemari fesyen, rekaan dan budaya popular. Mereka inginkan sebuah kenderaan yang mencerminkan personaliti mereka,” ujar Ketua Pegawai Rekaan Volvo Cars, Thomas Ingenlath.

    Untuk itu, XC40 kelak akan ditawarkan dalam pilihan warna yang lebih bersemangat dan meluas untuk mencerminkan kepelbagaian pemandunya. “Kaji selidik bersama pelanggan kami menunjukkan, bagi segmen XC40 ini, kami perlu menawarkan pilihan warna serta material yang luas berbanding model lain. Tambahan pula, Volvo Cars tidak pernah mereka sebuah kenderaan seperti ini. Kami bermula dari kosong dan memberikannya tenaga yang tersendiri,” tambah Naib Presiden Kanan Volvo Cars, Robin Page.

     
     
  • Nissan Leaf 2018 akan dilengkapi sistem satu pedal

    Nissan Leaf generasi berikutnya bukan sahaja akan menjadi kenderaan yang lebih pintar berbanding model yang ada sekarang ini, malah juga akan didatangkan dengan “teknologi berevolusi yang mampu mengubah cara kita memandu,” dipanggil sebagai e-Pedal.

    Menurut Nissan, ciri ini membolehkan “pemanduan satu pedal,” tetapi bagaimana ia beroperasi? Seperti yang ditunjukkan dalam video di atas, pemandu pertamanya perlu mengaktifkan suis ciri ini, dan kemudiannya ia akan memasuki mod pemanduan “e-Pedal.”

    Melalui pengaktifan ciri ini, pedal paling kanan boleh digunakan untuk memecut, membrek dan berhenti sepenuhnya sepanjang perjalanan. Tekan pedal tersebut untuk memecut, lepaskan sedikit demi sedikti untuk membrek dan lepas sepenuhnya untuk berhenti.

    Nissan Leaf 2018 akan dilengkapi sistem satu pedal

    Bunyinya mungkin seperti sesuatu yang baru, tetapi cara operasi ini sebenarnya sudah pernah digunakan oleh kenderaan lain seperti Tesla Roadster dan juga BMW i3 (seperti dalam video di bawah). Memandangkan sistem penjanaan semula kuasa brek sudah menjadi kelaziman pada kereta elektrik, kuasa “brek” dapat diperolehi apabila pedal pendikit dilepaskan. Walaupun begitu, pedal brek di tengah masih lagi boleh digunakan jika perlu, terutamanya apabila dalam keadaan kecemasan.

    Kenapa Nissan mahu menggunakan sistem yang luar dari kebiasaan ini? Menurut syarikat itu, dengan ciri tersebut, pemandu boleh mengurangkan banyak tenaga untuk mengangkat kaki dari satu pedal ke pedal yang lain, terutamanya dalam keadaan trafik yang sesak dan perjalanan harian. Leaf generasi seterusnya ini akan diperkenalkan pada 6 September ini.

     
     
  • John Hennessey jemput pemilik-pemilik Dodge Demon untuk berlumba di litar drag Lonestar Motorsports

    John Hennessey jemput pemilik-pemilik Dodge Demon untuk berlumba di litar drag Lonestar Motorsports

    Dodge Challenger SRT Demon diiktiraf sebagai kereta produksi terpantas di dunia – dijana enjin HEMI V8 6.2 liter supercharged berkuasa 840 hp serta tork maksima 1,044 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-97 km/j (0-60 bs/j) dalam masa hanya 2.3 saat dan menghabiskan jarak suku batu (400 m) pada litar drag dari kedudukan pegun hanya 9.65 saat pada kelajuan 225 km/j.

    Disebabkan kuasanya yang begitu menggerunkan ini, United States National Hot Rod Association (NHRA) mengharamkan mana-mana Dodge Demon standard tanpa rollcage dan brek payung terjun untuk berlumba di litar drag ahli-ahlinya. Pengharaman ini jelas menghampakan peminat muscle car Dodge siri Hellcat, serta pemilik-pemilik versi Demon berkenaan.

    Atas kekecewaan ini, John Hennessey, pemilik syarikat penala dari Amerika Syarikat – Hennessey Performance – telah menghantar surat terbuka kepada Tim Kuniskis, ketua divisi jenama kereta penumpang FCA Amerika untuk ‘membebaskan Demon (kereta ini dalam bahasa melayu bermaksud syaitan) dari dibelenggu’.

    Maksud Hennessy, beliau menjemput pemilik-pemilik Dodge Demon ke litar drag milik syarikatnya, Lone Star Motorsport Park untuk berlumba tanpa halangan. Dalam surat berkenaan Hennessey turut menyebut beliau berterima kasih kepada FCA kerana menghasilkan sebuah jentera hebat yang mampu memecut sekitar sembilan saat untuk jarak suku batu dalam keadaan standard dan masih dilindungi waranti pengeluar, dan beliau sendiri bercadang untuk membelinya dalam masa terdekat.

    Namun disebabkan pengharaman yang diwartakan oleh NHRA, Hennessey merupakan antara yang kecewa, justeru menjemput pemilik-pemilik Demon untuk berlumba di litar miliknya, tanpa memerlukan mereka memasang rollcage mahupun brek payung terjun.

    Walau bagaimanapun, beliau menetapkan satu syarat untuk pemilik-pemilik berkenaan iaitu mereka perlu menamatkan kursus perlumbaan drag selama satu hari yang akan mengajar perkara-perkara seperti bagaimana untuk melakukan burnout, melaras tekanan angin tayar dan bagaimana untuk menggunakan kereta mereka dengan selamat ketika perlumbaan drag.

    Walaupun tanpa rollcage dan brek payung terjun, Dodge Demon sebenarnya telahpun dipadankan dengan pelbagai kelengkapan jentera drag sebenar sebagai ciri standard antaranya, tayar drag sebenar Nitto NT05R (diluluskan untuk digunakan pada jalan raya) bersaiz 315/40R18 di belakang, rim drag hadapan yang lebih kurus serta modul pengawal enjin prestasi dengan kalibrasi minyak oktana tinggi yang membolehkan jentera ini menggunakan bahan api perlumbaan sebenar dengan hanya menekan satu suis.

    GALERI:Dodge Challenger SRT Demon

     
     
  • Ford F-150 Police Responder – sedia tegak keadilan

    Ford F-150 Police Responder – sedia tegak keadilan

    Kereta polis perlulah mempunyai penampilan yang tegap, dan model Ford F-150 Police Responder 2018 terbaru ini memang terbukti berjaya melakukannya. Menurut Ford, kenderaan ini adalah trak pikap berkemampuan mengejar pertama dalam industri, dan mempunyai kelengkapan yang dapat memastikan ia mempu menjalankan tugas dalam pelbagai keadaan mencabar seperti kawasan pedalaman ataupun di antara sempadan.

    Trak ini menggunakan rim aloi 18 inci yang dibalut tayar all-terrain, dan untuk meningkatkan pengendaliannya, ia dipasang dengan stabiliser di hadapan, manakala angkup serta pad breknya turut dinaik taraf untuk prestasi lebih meyakinkan. Bahagian luarnya mempunyai rekaan sinonim dengan kenderaan polis termasuk pelbagai lampu dan siren, besi pelindung di hadapan bampar dan pelindung bawah enjin.

    Trak pikap polis ini sebenarnya menggunakan asas daripada F-150 FX4 dan datang dengan badan SuperCrew untuk praktikaliti terbaik – ruang penumpang, barangan serta kapasiti menarik (sehingga 3,175 kg) paling tinggi.

    Di dalam, penukar gearnya diubah supaya berada di belakang stereng, dan di konsol tengahnya terdapat sistem radio komunikasi polis bersama pengawalnya. Selain itu, tempat duduk hadapannya juga dipasang dengan kain berketahanan tinggi manakala di belakang menggunakan vinyl yang lebih senang dicuci.

    Di bawah hud trak ini terdapat enjin V6 3.5 liter EcoBoost yang berkemampuan 375 hp dan 637 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan SelectShift dan sistem pacuan empat roda, dan boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 161 km/j. Untuk menyokong banyak peralatan elektrik di dalam kenderaan ini, ia dilengkapi dengan alternator 240 amp.

     
     
  • Volvo akan tubuh syarikat usahama dengan Geely untuk berkongsi teknologi dan platform kenderaan

    Volvo akan tubuh syarikat usahama dengan Geely untuk berkongsi teknologi dan platform kenderaan

    Sudah tujuh tahun Volvo dibeli oleh Geely, dan kini kedua-dua syarikat itu akan bekerja denga lebih rapat dalam memindahkan dan berkongsi teknologi masing-masing. Ada rancangan diumumkan, untuk sebuah usaha sama baru dalam sebuah syarikat teknologi, disasar untuk menyediakan skala ekonomi yang membolehkan pembangunan lebih pesat dilakukan terhadap teknologi kenderaan elektrik generasi akan datang.

    Perjanjian persefahaman yang dimeterai itu menyatakan bahawa Volvo, Geely serta Lynk & Co (yang juga milik Geely) akan berkongsi pembangunan kenderaan dan teknologi enjin melalui perjanjian silang-perlesenan yang akan dikendalikan oleh sebuah syarikat baru, dimiliki sama rata 50:50 oleh Geely dan Volvo. Turut dinyatakan ialah kedua-dua jenama itu akan memperbanyakkan kerjasama melalui saluran sumber komponen dan pengurangan kos pemerolehan (procurement cost).

    Volvo akan tubuh syarikat usahama dengan Geely untuk berkongsi teknologi dan platform kenderaan

    Dengan itu, perjanjian perlesenan akan membolehkan Volvo, Geely dan Lynk & Co menggunakan teknologi milik masing-masing, walaupun hak intelektual masik kekal menjadi milik syarikat pertama yang membangunkannya. Syarikat itu sudahpun berkongsi Compact Modular Architecture (CMA), yang akan digunakan bagi model siri 40 Volvo nanti serta model-model Lynk & Co.

    Di masa hadapan, senibina modular kenderaan dan teknologi lain akan dikongsi dan dibangunkan berdasarkan kos yang turut dikongsi, mengurangkan kos pembangunan keseluruhan yang terlibat. Kerjasama ini dijangka akan dilanjutkan untuk melibatkan komponen kenderaan elektrik seperti bateri, motor elektrik dan sistem pengecas. Volvo juga telah mengumumkan syarikat itu akan membeli pegangan minoriti dalam Lynk & Co, sekali gus memberi gambaran positif terhadap perkongsian teknologi antara kedua-dua jenama ini kelak.

     
     
  • TuneD siarkan teaser kit badan baharu untuk Saga

    Mei lalu, kita telah menyaksikan, syarikat talaan kenderaan tempatan, TuneD melancarkan barisan kit badan dan pakej eksklusif untuk tiga model Proton iaitu Persona, Preve dan Saga. Kini, berdasarkan maklum balas yang diterima berkenaan rekaan pertama itu, TuneD mengeluarkan pula kit baru dengan rekaan yang diubah, terutamanya pada bahagian gril hadapan.

    Bagi memberikan pandangan awal kepada orang ramai, syarikat itu telah mengeluarkan satu teaser Saga TuneD 2 0, yang melihatkan selain gril baru, juga bampar yang direka semula. Bahagian belakang juga menerima pembaikan, dengan kini menggunakan spoiler atas but berwarna hitam dan kemasan sekitarnya yang baru.

    Pada bahagian lain pula, boleh dilihat TuneD Saga 2 0 ini menggunakan rim lima cabang baru, yang kelihatan seperti bersaiz 16 inci serta side skirt rekaan baru dengan terdapat sedikit splitter di bahagian belakangnya yang berwarna hitam.

    Warna Fierce Red yang digunakan sebelum ini masih lagi dikekalkan, begitu juga dengan tiang tengah, hadapan dan belakang yang diwarnakan hitam untuk mewujudkan visual bumbung yang terapung. Dalam pakej modifikasi sebelum ini, TuneD turut menawarkan lampu utama LED, lampu siang (DRL), butang pemula enjin dan penebat di bawah hud.

    Bagi pakej baru ini, melalui video yang disiarkan, bahagian dalam tidak ditunjuk, dan dianggap mungkin tidak banyak perubahan yang diberi. Kemasan kulit bercampur telah pun digunakan semasa ia pertama kali dilancarkan untuk pasaran. Melihat kepada video teaser ini juga, Saga TuneD 2 0 ini berkemungkinan menggunakan pakej Premium tertinggi yang ditawarkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026