Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sistem integrasi tiket bakal dilaksana mulai bulan depan, satu tiket untuk semua rel – Liow

    Sistem integrasi tiket bakal dilaksana mulai bulan depan, satu tiket untuk semua rel – Liow

    Beberapa hari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam kenyataannya berkata, kerajaan sedang mencari kaedah yang boleh digunakan untuk melaksanakan sistem integrasi tiket yang menggunakan satu tiket bagi perkhidmatan rel di negara ini.

    Ia melibatkan semua perkhidmatan rel termasuk KTM Komuter, sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

    Walau bagaimana pun, terkini, Liow sekali lagi membuat kenyataan dan memaklumkan sistem integrasi tiket menggunakan satu tiket bagi semua perkhidmatan rel di negara ini, akan mula beroperasi bulan depan dengan permulaan di 20 stesen komuter sekitar Lembah Klang dengan jumlah yang akan ditambah pada tahun hadapan.

    Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan akan dilakukan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, laporan Berita Harian

    Sistem integrasi tiket bakal dilaksana mulai bulan depan, satu tiket untuk semua rel – Liow

    “Kerajaan kini sedang bekerja keras menambah baik sistem pengangkutan awam supaya ia dapat memberi keselesaan dan perkhidmatan lebih cekap kepada pengguna. Saya juga mengarahkan pengendali KTMB supaya bekerjasama dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bagi menzahirkan kemudahan berkenaan,” ujarnya kepada pihak pemberita hari ini.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengulas mengenai sistem pengangkutan awam yang sesuai untuk digunakan di Putrajaya.

    Katanya, buat masa ini kerajaan masih belum memutuskan perkara itu, sama ada kemudahan tram atau monorel.

    “Kita sudah ada MRT dan beberapa kemudahan perkhidmatan rel yang melalui Putrajaya, namun ia hanya setakat di hentian (Putrajaya Sentral) sahaja. Namun, perkhidmatan rel bagi kegunaan di dalam Putrajaya untuk melalui bangunan kerajaan masih belum dimuktamadkan.

    “Kami akui Putrajaya memerlukan sistem pengangkutan awam moden kerana jika dilihat kini kesesakan lalu lintas di Putrajaya semakin meningkat dan kerajaan tiada pilihan melainkan memperkasakan sistem perkhidmatan awam di Putrajaya kerana ia adalah nadi pentadbiran negara,” katanya.

     
     
  • BMW iPerformance plug-in hybrid diterima baik di Malaysia – catat jualan menggalakkan bagi 1H2017

    BMW iPerformance plug-in hybrid diterima baik di Malaysia – catat jualan menggalakkan bagi 1H2017

    Barisan BMW iPerformance plug-in hybrid telah berjaya mencatatkan jualan yang memberangsangkan di Malaysia bagi segmen premium. Bagi separuh pertama 2017 (1H2017), BMW Group Malaysia telah menghantar lebih 2,300 unit BMW 330e, BMW X5 xDrive40e dan BMW 740Le untuk pelanggan yang membuat tempahan.

    Sejak memperkenalkan model pertama BMW PHEV di negara ini iaitu X5 xDrive40e pada Jun 2016, setakat ini BMW Malaysia telah menghantar lebih 3,200 unit bagi model jenis ini. Secara tak langsung telah menyumbang lebih 40% bagi keseluruhan jumlah jualan di Malaysia, tertinggi di dunia.

    “Malaysia telah mendahului jualan. Malah peningkatan permintaan terhadap kenderaan BMW iPerformace ini membuktikan rakyat Malaysia sudah bersedia dengan teknologi terkini dalam industri automotif dan kenderaan hibrid BMW dengan teknologi eDrive turut menawarkan pilihan terbaik bagi para pelanggan, bukan setakat rekaan menarik dan dinamik, bahkan ia juga memberikan penjimatan bahan api dan CO2,” ujar Han Sang Yun, MD dan CEO BMW Group Malaysia.

    BMW iPerformance plug-in hybrid diterima baik di Malaysia – catat jualan menggalakkan bagi 1H2017

    BMW 330e yang dilancarkan pada Ogos 2016, juga menerima sambutan menggalamman. Buat masa ini, sebanyak 60% bagi F30 telah dihantar di seluruh Malaysia termasuklah 330e, dan lebih 40% bagi pembeli 7 Series pula memilih 740Le xDrive.

    Melihat perubahan infrastruktur yang penting ini, Han menambah, “Kami melihat keperluan infrastrutur ini sebagai menyokong teknologi baharu. Ia juga meningkatkan keyakinan pengguna mengenai kenderaan plug-in hybrid dan elektrik pada masa hadapan.”

    Susulan dengan kerjasama antara BMW dan GreenTech Malaysia bagi perkhidmatan pengecasan mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargeEV, Han berkata, “Setakat ini, terdapat lebih 200 stesen CharEV di seluruh negara dan jumlahnya akan bertambah sehingga 25,000 unit menjelang 2020.

    BMW iPerformance plug-in hybrid diterima baik di Malaysia – catat jualan menggalakkan bagi 1H2017

    “Malahan lebih 600 pemilik kenderaan BMW plug-in hybrid telah mendaftar di bawah program BMW ChargeNow bagi platform ChargEV. Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap teknologi terkini dan Malaysia juga telah melangkah ke arah positif terhadap mobiliti-elektro,” tambahnya lagi.

    BMW Malaysia turut memperluaskan akses bagi stesen pengecasan ini menerusi rangkaian pengedar. Baru-baru ini, Seoung Hoe Premium Motors, wakil pengedar BMW di Melaka, telah memasang BMWi Wallboc di Holiday Ini dengan beberapa projek seumpamanya di Hotel Equatorial bulan hadapan. Di Malaysia Timur pula, pengedar Regan Premium Auto Sarawak juga telah memasang dua unit BMWi Wallbaox di CityONE Megamall di Kuching, iaitu pengecas awam pertama di negeri berkenaan.

    Perkhidmatan BMW ChargeNow kini adalah sebahagian daripada program BMW 360° Electric pagi pemilik model BMW i8, 330e, X5 xDrive40e dan 740Le xDrive. Malah kad ChargeNow turut diberikan bagi akses kepada pengecas berkenaan.

     
     
  • Litar komprehensif Honda Prachinburi Proving Ground dibuka secara rasmi – hab ujian lengkap serantau

    Litar komprehensif Honda Prachinburi Proving Ground dibuka secara rasmi – hab ujian lengkap serantau

    Unit penyelidikan dan pembangunan Honda untuk rantau ini – Honda R&D Asia Pasific – telah membuka litar ujian komprehensifnya di Prachinburi, Thailand. Pusat yang digelar Prachinburi Proving Ground berkenaan dibina pada tapak seluas 800,000 meter persegi dan melibatkan pelaburan sebanyak 1.7 bilion baht. Ia merupakan litar ketiga seumpannya milik Honda selepas Jepun dan Amerika Syarikat.

    Litar ujian baharu ini bukan sahaja akan digunakan untuk produk-produk automobil dan motosikal Honda semasa dalam peringkat R&D, malah ia juga turut mempunyai padang rumput bagi menguji produk-produk mesin rumput Honda. Lapan litar berbeza dibina dalam kawasan ujian berkenaan yang memberikan simulasi pemanduan sebenar diatas jalan raya dengan panjang keseluruhan diukur pada jarak sekitar lapan kilometer.

    Litar utama pada fasiliti ini ialah litar bujur dengan jarak 2.18 km yang digunakan untuk menguji prestasi kenderaan serta perkara-perkara lain berkaitan pada kelajuan tinggi termasuk kadar bunyi di dalam kabin. Litar ini turut diberikan kawasan ujian dinamik kenderaan untuk digunakan menguji kestabilan pada kelajuan tinggi serta keberkesanan brek semasa selekoh tajam.

    Litar dengan laluan jalan berliku turut diberikan pada jarak 1.38 km yang mempunyai 17 selekoh serta titik buta – dibina bagi menguji prestasi am termasuk keberkesanan brek serta kestabilan kenderaan. Honda turut membina litar basah di sini yang bukan sahaja dapat menguji kenderaan ketika situasi basah (pengawalan dan brek), malah tahap air dapat dinaikkan pada ketinggian 1,000 mm untuk membuat simulasi keadaan banjir yang sering melanda kebanyakkan kawasan di Asia.

    Untuk menguji kesan kenderaan terhadap permukaan-permukaan jalan yang ‘unik’ di Asia, Honda turut membina litar Ride Road yang memberikan simulasi terhadap lapan permukaan jalan yang berbeza. Permukaan berkenaan termasuk lebuh raya konkrit (seperti yang terdapat pada sebahagian lebuhraya di Malaysia), aspal dengan permukaan yang sudah rosak dan juga jalan yang mempunyai halangan bersudut dan mempunyai kamber.

    Selain itu, Honda turut membina litar permukaan istimewa – menghasilkan permukaan kasar menggunakan teknologi 3D yang turut mempunyai lapan keadaan berbeza termasuk garisan speed breaker dan jalan konkrit kasar. Litar ini digunakan bagi menguji bahagian bawah badan kenderaan.

    Dua litar terakhir adalah litar jalan bercerun untuk menguji kekuatan enjin dan prestasi brek, dan juga litar jalan lurus dengan jarak 1.2 km bagi menguji penggunaan bahan api serta pecutan.

    “Thailand telah menjadi pusat pengeluaran dan eksport kami di rantau Asia dan Oceania serta merupakan pengkalan penting untuk operasi R&D kami. Prachinburi Proving Ground akan memperkasakan barisan produk kami dengan menghasilkan model yang lebih kompetitif dan menarik mengatasi apa yang pelanggan di Thailand dan rantau ini jangkakan,” kata ketua pegawai operasi serantau (Asia dan Oceania) Honda Motor Co., Ltd., dan Presiden serta CEO Asian Honda Motor Co., Ltd., Encik Shinji Aoyama.

     
     
  • Lotus Evora GT430 – 430 hp, ringan dan terhad 60 unit

    Lotus Evora GT430 –  430 hp, ringan dan terhad 60 unit

    Ramai yang merasakan bahawa Lotus Evora Sport 410 merupakan semua model yang sudah cukup sempurna dari segi prestasi. Tetapi, Lotus pula merasakan masih ada perkara yang boleh dipertingkatkan; maka dengan itu lahirkan Evora GT430.

    Apa pertambahan yang diberikan kepada model baru ini? Pertama, enjin 3.5 liter supercas V6 yang digunakan kini menjana 430 hp pada 7,000 rpm dan 440 Nm pada 4,500 rpm. Kuasa daripada enjin ini disalurkan menggunakan transmisi manual enam-kelajuan (dengan limited slip differential jenis Torsen).

    Jika dibandingkan dengan Evora Sport 410, GT430 ini mampu memecut dari pegun ke 96 km/j dalam masa hanya 3.7 saat (versi 410 dalam masa 3.9 saat). Kelajuan maksimum bagi model edisi terhad ini ialah 305 km/j, sama dengan model Evora 410.

    Penambah baikan lainnya termasuk penggunaan ekzos titanium yang diperkemas untuk memberikan penampilan yang lebih menawan, serta penggunaan pakej bodykit untuk lebih aerodinamik. Ini termasuk bahagian intake depan yang lebih luas, splitter gentian karbon baru, lengkungan tayar dengan bilah udara baru, diffuser belakang yang lebih besar serta sayap belakang daripada gentian karbon yang lebih menonjol.

    Menurut Lotus, kereta ini akan menghasilkan sebanyak 250 kg downforce jika bergerak dalam kelajuan maksimumnya. Ia juga menggunakan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang 10 mm lebih lebar, dengan saiz 245/35 di depan dan 295/30 di belakang.

    Walaupun banyak kelengkapan ditambah, Lotus masih tidak lupa tentang berat kereta ini. Walaupun dengan tambahan sayap belakang (+4 kg) dan roda yang lebih lebar (+5 kg), berat keseluruhan kereta ini masih berjaya dikurangkan sebanyak 26 kg, menjadi 1,258 kg. Berbanding dengan Evora 410 yang hadir dengan berat 1,270 kg, model baru ini menjadi Evora yang paling ringan.

    Bagaimana Lotus mencapai perkara ini? Pengurangan berat dilakukan terhadap komponen-komponen seperti berikut: ekzos titanium standard (-10 kg), panel badan karbon (-4.7 kg), komponen dalaman ringan (-2.5 kg), penyerap hentak dan spring Ohlins dan Eibach (-10 kg), cakera brek belakang (-2 kg), pelapik aluminium bawah badan (-1.5 kg), penggunaan braket aluminium (-1.3 kg), kaca polikarbonat ringan (-0.5 kg) dan sistem bendalir yang direka semula (-2.5 kg). Adakah model ini kelihatan cukup menarik untuk anda?

     
     
  • Ulangtahun ke-70 Ferrari dilancar di M’sia – LaFerrari Aperta tampil perdana buat pertama kali di sini

    Ulangtahun ke-70 Ferrari dilancar di M’sia – LaFerrari Aperta tampil perdana buat pertama kali di sini

    Tarikh 12 Mac 1947 memahatkan sejarah Ferrari yang tersendiri, apabila pengasasnya memulakan kereta pertama dengan memberi namanya sendiri dan tahun ini, ia menyambut ulangtahun yang ke-70.

    Model terbabit, Ferrari 125 S, menampilkan enjin V12, dan selepas itu, ia masih berkongsi kehebatan penjana kuasa yang sama dengan lain-lain modelnya walau pun dekad berganti dekad. 250 GT, 575M Maranello, F50, F12berlinetta, Enzo dan 812 Superfast baharu antara tang terlintas di fikiran.

    Menyambung tradisi ini, Ferrari memperkenalkan pula LaFerrari Aperta pada Julai 2016. Ia dibangunkan sebagai hypercar yang snagat eksklusif berbanding model coupe Ferrari yang lain, dan hanya 209 unit sahaja dihasilkan.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 200 unit telah pun sampai kepada pembelinya. Ini bermakna berbaki sembilan unit lagi yang tinggal, dan satu daripadanya telah ditampilkan buat pertama kalinya di Malaysia semalam.

    Ferrari Malaysia telah memperkenalkan LaFerrari Aperta sewaktu melancarkan sambutan ulang tahun Ferrari ke-70 yang juga akan di sambut di negara ini. Jentera berprestasi tinggi ini dipadankan oleh enjin V12, dengan empat kali ganda kuasa yang lebih besar (6.3 liter) dan tujuh kali ganda lebih berprestasi (789 hp/700 Nm). Ia turut mengimplementasikan teknologi terkini, termasuk padanan Hybrid Kinetic Energy Recovery System (HY-KERS) untuk tambahan kuasa sebanyak 161 hp hasil dari janaan motor elektriknya.

    Ini menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 950 hp dan lebih 900 Nm bagi tork. Bagi prestasinya, hybrid hypercar ini mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j, dengan 100 km/j pertama mampu dicapai sekurang-kurangnya dalam tiga saat.

    Bagi penggayaannya pula, ia dilaksanakan oleh Centro Stile Ferrari di bawah Flavio Manzoni, yang menampilkan pelbagai ciri yang dipadankan dengan pengalaman pemanduan yang lebih optimum.

    Ulangtahun ke-70 Ferrari dilancar di M’sia – LaFerrari Aperta tampil perdana buat pertama kali di sini

    “Kami sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun Ferrari di peringkat global, dan berpeluang meraikannya dengan semua pemilik Ferrari di rantau ini, ujar Datuk Wira Hj. SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, Pengerusi Eksekutif Naza World Group.

    Sambutan ulangtahynnya akan bermula dengan konvoi Ferrari dari Kuala Lumpur ke Tapak Sejarah Dunia UNESCO di Pulau Pinang. Ia akan disertai oleh pemilik Ferrari sendiri dengan perarakan terbesar bakal berlangsung di sepanjang Jalan Padang Kota Lama.

    Sambutan ulangtahun Ferrari ini juga berlangsung di lebih 60 buah negara di dunia dengan tema “Driven by Emotion,”. Ia berlangsung mulai 12 Mac tahun ini dan bakal berakhir di negara kelahiran Ferrari, Maranello, pada 9 dan 10 September ini.

     
     
  • Honda City Hybrid dilancarkan di M’sia – RM89,200

    Honda City Hybrid dilancarkan di M’sia – RM89,200

    Honda Malaysia baru sahaja menambah satu lagi variasi dalam barisan model City iaitu City Hybrid, dengan harga atas jalan tanpa insurans RM89,200. Seperti yang dijangka sebelum ini, harga ini meletakkan model hibrid ini di antara varian E pertengahan yang berharga RM84,600 dan varian tertinggi V yang berharga RM92,000.

    Perletakan model City Hybrid ini adalah langkah sama seperti yang dilakukan pada Jazz Hybrid – juga bukan model paling tinggi di dalam pilihan variannya. Selain itu, penawaran City Hybrid di Malaysia juga menjadikan negara ini satu-satunya negara yang menerimanya selain Jepun – sama seperti Jazz Hybrid.

    Seperti yang didedahkan, model City Hybrid ini – juga dikenali sebagai Grace Hybrid di Jepun (model facelift) – berkongsi enjin hibrid sama dengan Jazz Hybrid. Maknanya, ia adalah sistem Sport Hybrid i-DCD yang menggabungkan enjin 1.5 liter dengan ciri idle stop, kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan dengan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan compressor elektrik.

    Enjin yang digunakan pada model hibrid ini tidak sama dengan enjin City facelift, dan ia adalah unit DOHC i-VTEC kitaran Atkinson yang berkemampuan 110 PS dan 134 Nm tork pada tahap 5,000 rpm. Digabungkan dengan motor elektrik 30 PS (22 kW)/ 160 Nm, keseluruhan sistem ini mampu menjana 137 PS dan 170 Nm tork, sama seperti Jazz Hybrid.

    Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini dapat menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 berkemampuan 4 PS/ 4 Nm lebih), dan menggunakan kurang bahan api. Jumlah yang disiarkan adalah 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

    Untuk mengetahui bagaimana sistem Sport Hybrid i-DCD ini berbeza jika dibandingkan dengan Integrated Motor Assist (IMA) sebelum ini, anda boleh melihat di sini.

    Kapasiti ruang simpanan but belakang City Hybrid ini adalah sama dengan City biasa iaitu 536 liter, menggunakan rim 16 inci dengan tayar 185/55 (Jazz menggunakan rim 15 inci dan tayar 175/65), dan mempunyai radius pusingan 5.7 meter (5.26 m pada Jazz).

    Pada aspek kelengkapan, City Hybrid mempunyai lebih banyak kelengkapan berbanding Jazz Hybrid yang berharga lebih murah (RM87,500). Sedan ini mendapat antena bentuk sirip, pemegang pintu krom, cermin sisi boleh lipat automatik, corong pendingin hawa belakang, pedal penukar gear di stereng dan perehat tangan dengan tempat meletak cawan. Semua ini tiada pada Jazz Hybrid, bersama pembuka but jarak jauh dan soket pengecas USB.

    Honda City Hybrid dilancarkan di M’sia – RM89,200

    Sebagai sebuah varian yang terletak di bawah City varian V, City Hybrid tidak mempunyai lampu utama dan lampu kabus LED, tempat duduk, stereng dan tombol gear yang dibalut kulit, dan beg udara bidai. Walaupun begitu, beberapa ciri adalah khas untuk model hibrid iaitu panel instrumen dan tombol gear.

    Pilihan warna yang disediakan untuk City Hybrid adalah Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl. Ia datang dengan jaminan tanpa had batuan selama lima tahun dan jarak servis berkala 10,000 km, sama seperti City biasa. Untuk bateri lithium-ion yang digunakan pula, ia diberi jaminan tambahan lapan tahun.

    Kedua-dua City dan Jazz Hybrid dipasang di Melaka, dan bagi City Hybrid, pengeluarannya sudah pun bermula dan boleh mula dipandu uji oleh orang ramai di pengedar rasmi Honda Malaysia bermula pertengahan bulan Ogos. Jazz Hybrid akan berada di pusat pameran bermula hujung minggu ini.

    Anda juga boleh membandingkan City Hybrid ini dengan varian lain seperti S, E dan V, ataupun kenderaan lain melalui laman CarBase.my.

     
     
  • Volkswagen Passat Trendline Plus dan Comfortline Plus – lebih nilai, harga hingga RM15,000 lebih murah

    Volkswagen Passat Trendline Plus dan Comfortline Plus – lebih nilai, harga hingga RM15,000 lebih murah

    Volkswagen Passat varian asas dan pertengahan kini diberikan versi istimewa dengan ciri baharu yang lebih sporty digelar Passat Trendline Plus dan Comfortline Plus.

    Untuk Passat Trendline Plus, ia menerima tempat duduk balutan kulit dan juga filem penapis haba. Rim ‘Aragon’ bersaiz 16-inci pada Trendline sebelum ini digantikan dengan unit yang lebih besar iaitu ‘Istanbul’ bersaiz 17-inci. Kesemua aksesori tambahan ini dinilai pada harga RM8,000.

    Bagi varian Comfortline Plus pula, ia turut diberikan tempat duduk dengan balutan kulit serta filem penapis haba manakala rim asal ‘Istanbul’ bersaiz 17-inci pula kini digantikan dengan rim ‘Monterey’ bersaiz 18-inci. Nilai untuk kesemua aksesori ini adalah RM12,000.

    Ciri lain, Trendline dan Comfortline masih lagi mengekalkan kelengkapan lain yang sama seperti sebelum ini. Varian Trendline hadir dengan ciri standard seperti lampu kabus hadapan dan belakang bersama lampu belakang LED, skrin sesentuh warna ‘Composition’ lima-inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang penghidup enjin, cermin sisi boleh lipat, pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang, pengesan kecergasan Driver Alert System, lampu/pengelap cermin automatik serta pendingin hawa Climatronic tiga-zon.

    Manakala untuk varian pertengahan Comfortline pula, ia ditambah dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED sepenuhnya, sistem kunci pintar ‘KESSY’, tempat duduk hadapan larasan berkuasa 12-hala dengan sistem memori dan urut, skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur. Tiada perubahan unit janakuasa diberikan di mana kedua-dua varian berkenaan masih digerakkan dengan 1.8 TSI turbo berkuasa 180 PS/250 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik klac-berkembar DSG tujuh-kelajuan.

    Walaupun diberikan berberapa penambahan, kedua-dua Passat ini dijual pada harga lebih rendah berbanding ketika dilancarkan sebelum ini, di mana Trendline Plus berharga RM144,990 (RM159,990 sebelum ini), manakala Comfortline Plus dijual pada harga RM169,980 (RM179,990 sebelum ini). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Setiap pembelian Passat akan dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Istimewa untuk pelanggan yang membeli dan mendaftar Passat mereka sebelum 30 September ini, mereka diberikan servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun atau 75,000 km, dan juga kadar faedah serendah 0.88% untuk skim pembiayaan dalam tempoh lima hingga sembilan tahun.

    GALERI: Volkswagen Passat Trendline Plus

     
     
  • TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

    TUNGGANG UJI: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan Vietnam – beri prestasi dan nilai tambah

    Siri model Vespa GTS, menurut Pengerusi & Pengarah Piaggio Vietnam, Gianluca Fiume merupakan “queen of the queen” bagi barisan produk jenama Vespa. Ia berada di belakang model kemuncak utama yang pernah dihasilkan Vespa 946. Untuk itu, sejak jenama Vespa menemui peminatnya bermula tahun 1946 dahulu, GTS adalah sebuah model yang selalu ingin dibanggakan pengeluarnya.

    Sedikit maklumat tentang Kumpulan Piaggio. Jika anda belum tahu, kumpulan Piaggio kini menjadi penaung kepada beberapa lagi jenama pengeluar motosikal berasal dari Itali. Selain jenama Piaggio sendiri, ia turut menaungi jenama-jenama seperti Vespa, Aprilia, Moto Guzzi, Gilera, Derbi dan Scarabeo. Semua jenama ini berada di bawah satu bumbung, dengan tradisi dan kebanggaan pengeluaran jentera dua roda dari Itali.

    Walaupun berasal dari Eropah, kumpulan Piaggio kini menghalakan perhatiannya ke rantau Asia, sebuah pasaran yang menurut Gianluca masih muda dan sangat bertenaga. Sebab itulah, sejak tahun 2007, syarikat ini memulakan kerja-kerja untuk membuka kilang pemasangan di pinggir Hanoi, Vietnam.

    Setakat tahun 2016, sebanyak 740,000 unit motosikal pelbagai model syarikat ini sudah dikeluarkan dari Vietnam untuk pasaran Asia Pasifik di 15 buah negara. Ini termasuk Malaysia, Australia, New Zealand, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan banyak lagi. Selebihnya adalah sejarah.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Kia Sorento UM facelift 2018 untuk Korea Selatan

    Kia Sorento UM facelift 2018 untuk Korea Selatan

    Kia Sorento telah diberikan facelift untuk pasaran Korea Selatan. Ini adalah pembaharuan bagi Sorento UM generasi ketiga yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2014. SUV besar ini sudah sedia menarik dan pembaharuan ini tidak pergi terlalu jauh daripada rekaan asalnya, namun kelengkapan terkini telah diberi.

    Pada bahagian hadapan, perubahan paling ketara adalah pada lampu utamanya, yang kini adalah unit LED penuh dalam rekaan berbentuk bulat bagi model spesifikasi tertinggi. Kedudukan asal lampu siang (DRL) kenderaan ini juga telah diubah ke bahagian bawah lampu utama.

    Rekaan “diamond stud” pada gril Sorento sebelum facelift ini telah ditukar kepada rekaan bersisik yang kelihatan lebih berkilat, manakala lampu kabus pula mempunyai rekaan berpetak kecil. Memandangkan lampu kabus ini sekarang adalah LED, saiznya juga adalah lebih kecil.

    Pada bahagian belakang, bentuk pencahayaan LED lampunya telah diubah dan dijadikan lebih berlekuk, manakala lampu brek pula kini adalah jalur LED menegak. Terdapat juga rekaan lampu dengan tiga jalur melintang bagi varian yang lebih bawah. Profail bampar Sorento facelift ini telah diubah, dan muncung ekzosnya kini keluar sedikit dari bampar dengan bentuk petak berwarna krom (sebelum ini muncungnya turun ke bawah).

    Di dalam, misi Kia adalah untuk meningkatkan lagi rasa mewah pada SUV ini. Rekaan roda stereng dengan fungsi pemanas adalah baru, dan unit sistem hiburannya adalah yang paling terkini daripada Hyundai/Kia, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Tombol gear juga adalah baru.

    Ciri baru lain pada bahagian dalam adalah termasuk tempat duduk kulit dengan liang udara, tempat duduk hadapan dengan sambungan yang boleh dilaras secara elektrik dan pengecas tanpa wayar Qi. Turut diberi adalah penutup but belakang yang boleh dibuka secara elektrik.

    Pada aspek keselamatan, ciri seperti lane keeping assist, smart cruise control dengan forward collision assist, blind spot warning, dynamic bending lights, sistem pemerhatian tekanan angin tayar dan amaran untuk pemandu kini boleh didapati pada Sorento.

    Sorento facelift ini boleh didapati sama ada dalam pilihan lima tempat duduk atau tujuh tempat duduk, dan tiga enjin disediakan sebagai pilihan di Korea – 2.0 liter diesel (186 PS/402 Nm), 2.2 liter diesel (202 PS/441 Nm) dan 2.0 T-GDI petrol 240 PS/353 Nm. Pembeli juga boleh memilih pacuan 2WD atau 4WD dan harganya bermula 27,850,000 won (RM106,084) di sana.

     
     
  • Treeletrik T-90 – dijual pada harga bermula RM10,494

    Treeletrik T-90 – dijual pada harga bermula RM10,494

    Satu majlis menandatangani perjanjian antara Treeletrik Sdn Bhd iaitu pengeluar kenderaan elektrik tempatan dan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd telah berlangsung hari ini. Melalui perjanjian ini, MyAngkasa dilantik sebagai pengedar utama kenderaan elektrik Treeletrik. Turut dinamakan pada majlis ini adalah pengedar lain untuk seluruh negara.

    Produk pertama Treeletrik yang sedia dijual adalah T-90 iaitu sebuah skuter yang menggunakan motor elektrik brushless pada bahagian habnya. Motosikal ini didatangkan dengan dua jenis bateri iaitu lead-acid pada harga RM10,494 dan lithium pada harga RM15,264. Harga ini adalah termasuk GST.

    Bagi bateri lithium, ia adalah pek 84 volt yang mampu menghasilkan kuasa antara 50 hingga 55 AH, dengan berat 40 kg, manakala bagi bateri lead-acid, ia juga adalah pek 84 volt, tetapi mempunyai kuasa 40 hingga 45 AH. Berat bateri lead-acid ini pula adalah 98 kg.

    Untuk masa mengecas pula, motosikal yang didatangkan bersama pengecas soket rumah ini mengambil masa antara lima ke enam jam untuk penuh bagi bateri lithium, manakala bagi bateri lead-acid, ia mengambil masa antara enam hingga tujuh jam. Dengan cas penuh, model bateri lithium boleh bergerak sehingga 100 km, manakala yang menggunakan bateri lead-acid boleh bergerak sehingga 85 km.

    Hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), JPJ, SIRIM, MIDA dan MOSTI, Treletrik T-90 boleh digunakan atas jalan dengan pendaftaran, cukai jalan dan insurans seperti motosikal biasa.

    Pada masa hadapan, selain memperkenalkan lebih banyak model, Treeletrik juga bercadang untuk mengeksport kenderaan elektrik mereka ke negara ASEAN lain seperti Thailand, Kemboja, Indonesia dan Filipina. Syarikat ini juga akan bekerjasama dengan persatuan pelajar untuk menggunakan motosikal elektrik ini di dalam kawasan kampus.

     
     
  • Brosur Honda City i-DCD Sport Hybrid pasaran Malaysia terdedah – bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Brosur Honda City i-DCD Sport Hybrid pasaran Malaysia terdedah – bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Awal tahun ini Honda Malaysia mendedahkan mereka akan melancarkan lagi dua model baharu selain empat model yang telah pun dilancarkan secara rasmi iaitu SUV segmen-B Honda BR-V, Honda City facelift 2017, Honda Jazz facelift dan Jazz i-DCD Sport Hybrid, serta SUV segmen-C Honda CR-V generasi baharu.

    Antara dua model yang dijangkakan tersebut, Honda Civic Type-R yang sudah hampir pasti bakal mendarat ke pasaran Malaysia, manakala sebuah lagi model yang kami jangkakan merupakan model hibrid kini telah terdedah setelah pembaca Kerol Najor menghantar brosur Honda City i-DCD Sport Hybrid ini kepada kami.

    Ini bermakna, sama seperti Jazz, Malaysia juga satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid selain dari Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM). Berdasarkan brosur tersebut, City Hybrid ini banyak mengambil ciri sama dari kembar hatchbacknya iaitu Jazz i-DCD Sport Hybrid. Ia diberikan kelengkapan seperti City petrol varian pertengahan iaitu gred E – diberikan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, sistem infotainmen dengan skrin Display Audio 6.8-inci, serta upholsteri fabrik.

    Walau bagaimanapun, City Hybrid ini diberikan cermin pandang sisi boleh lipat automatik dan juga pedal penukar gear pada stereng (kedua-dua ciri ini tiada pada Jazz Hybrid), antenna radio sirip yu dan juga pemegang pintu bersalut krom, tetapi ia tidak diberikan lampu kabus seperti pada Jazz Hybrid.

    City versi lebih mesra alam ini digerakkan oleh janakuasa yang sama iaitu sistem i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) Sport Hybrid yang mengabungkan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Sistem berkenaan juga menggabungkan transmisi automatik klac-berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya beroperasi dalam keadaan elektrik sepenuhnya, tanpa menghidupkan enjin petrol (mengikut mod yang sesuai).

    Sama juga seperti Jazz Sports Hybrid, City ini bakal menerima talaan casis lebih sporty melibatkan pelarasan semula pada kadar spring, penyerap hentak serta rak stereng lebih laju.

    Dengan bateri hibrid diletakkan pada but belakang, ruang kargo sedan segmen-B ini kekal seperti versi petrol sepenuhnya dengan muatan 536 liter, tetapi tidak berikan tayar ganti (diganti dengan kit baikpulih sementera tayar, sama seperti Jazz Hybrid).

    Walau bagaimanapun, brosur ini masih lagi belum mendedahkan harga yang bakal ditawarkan oleh Honda Malaysia bagi sedan segmen-B hibrid ini. Tetapi, jika ia dijual pada harga lebih kurang dengan harga Jazz Sports Hybrid (RM87,500), model ini mungkin sedikit sebanyak akan memberikan tekanan kepada sebuah lagi model hibrid mampu milik iaitu Hyundai Ioniq, yang kini dijual pada harga bermula RM100k.

     
     
  • Kia Rio 1.4 MPI 2017 dilancarkan di Malaysia – RM80k

    Kia Rio 1.4 MPI 2017 dilancarkan di Malaysia – RM80k

    Selepas MPV Kia Grand Carnival dan sedan Optima GT yang dilancarkan pada tahun ini, Kia Malaysia memperkenalkan pula hatchback lima-pintu Rio 2017 untuk pasaran tempatan.

    Hanya didatangkan dalam satu varian sahaja, Kia Rio 2017 ini masih mengekalkan penggunaan enjin seperti model terdahulu, iaitu 1.4 liter MPI empat-silinder DOHC D-CVVT dengan kuasa 100 PS pada 6,000 rpm dan tork 133 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan.

    Jika tiada penambah baikan dari aspek mekanikalnya, lantas apakah perubahan atau peningkatan yang dilakukan bagi Rio 2017 ini? Menurut Kia, perbezaan paling ketara ialah binaan saiznya. Jika meneliti dimensi bagi Rio versi sebelum ini, ia berukuran 4,045 mm bagi panjang, selebar 1,720 mm, setinggi 1,455 mm dan jarak rodanya pula 2,570 mm.

    Namun, bagi Kia Rio 2017 ini, panjangnya kini bertambah 20 mm (menjadi 4,065 mm), 5 mm lebih panjang (1,725 mm) tetapi tingginya dikurangkan sebanyak 5 mm (kini 1,450 mm), manakala jarak rodanya pula lebih 10 mm (dengan 2,580 mm).

    Kia Rio 1.4 MPI 2017 dilancarkan di Malaysia – RM80k

    Ini sekali gus memberikan lebihan ruang untuk bahagian kabin dan meningkatkan kapasiti ruang untuk but belakang; ia kini menyediakan 325 liter dalam keadaan tempat duduk belakang normal (berbanding 288 liter bagi model sebelum ini). Sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan, ia boleh mencecah sehingga 980 liter.

    Selain itu, penambahan ruang dalaman tidak hanya disebabkan oleh pertambahan jarak rodanya. Faktor itu turut dipengaruhi oleh rekaan kemasan pada pintu, penggunaan material dan bentuk papan pemukanya yang baharu. Saiz bagi tiang-C (C-pillar) juga dikurangkan sebanyak 87 mm, sementara cermin pintu telah dipindahkan ke tiang-A (A-pillar) untuk mempertingkatkan tahap penglihatan.

    Bagi Rio 2017 generasi ke-empat yang dikeluarkan dari kilang pemasangan Kia di Sohari, Korea Selatan ini, ia turut menyaksikan peningkatan aspek binaan kerangka dengan kandungan 51% dengan penggunaan keluli berketahanan tinggi, berbanding hanya 33% pada model sebelumnya.

    Ini bukan sahaja memberikan keselamatan yang lebih terjamin terutamanya jika terlibat dengan kemalangan, bahkan penggunaan keluli berketahanan tinggi pada tiang-B dan A termasuk pada struktur bumbung dapat memberikan keseimbangan yang lebih jitu pada casis.

    Tidak lengkap rasanya jika bahagian luaran tidak mendapat sentuhan yang lebih segar. Rio 2017 ini mengadaptasi evolusi terbaharu dari Kia dengan gril ‘hidung-harimau’ ‘Schreyer’ dan rekaan gril telah dipertingkatkan dengan penutup gril berwarna hitam berkilat yang menyerlahkan lagi imej hadapannya.

    Ia juga ditampilkan dengan lampu utama jenis projektor halogen, lampu nyalaan siang LED berbentuk-U, lampu belakang LED, cermin sisi larasan elektrik, rim aloi bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 205/45 R17, spoiler belakang serta bumbung matahari.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, ia kelihatan ringkas tetapi bersesuaian dengan imej yang dibawa oleh Rio 2017 ini. Bentangan papan pemukanya diperkemas, dan rekaan kabin yang lebih ergonomik, bersama garisan melintang yang menampakkan keluasan dalaman. Konsol tengah dihadapkan kepada pemandu dan skrin sentuh lima-inci untuk sistem informasi dan hiburan dijadikan kelihatan seperti terapung.

    Turut ditampilkan tempat duduk balutan fabrik, roda stereng dengan kawalan audio dan Bluetooth, Supervision Cluster 3.5-inci TFT-LCD, kawalan suhu automatik dengan Cluster Ionizer, pedal sport aloi, butang penghidup enjin, kemasukan tanpa kunci dengan kunci pintar, enam-pembesar suara, kamera undur, dua punca kuasa bagi 12 volt, dua port pengecas USB dan glovebox dengan iluminasi.

    Bahagian kabinnya juga agak luas dengan pertambahan dimensi bagi ruang kepala sebanyak 4 mm untuk penumpang di belakang, lebih 8 mm untuk ruang kaki bagi penumpang hadapan dan 4 mm bagi penumpang di belakang.

    Juga, model baharu ini memberikan lebih 25 mm untuk ruang bahu antara penumpang hadapan, dan 31 mm untuk penumpang di belakang. Peningkatan ruang juga melibatkan tailgate yang lebih luas sebanyak 71 mm dan lebih rendah ke lantai sebanyak 26 mm.

    Manakala aspek keselamatannya menghimpunkan enam beg udara, ABS bersama EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), pengesan parkir belakang dan cagak ISOFIX. Empat pilihan warna ditawarkan untuk Rio 2017 ini iaitu Signal Red, Clear White, Silky Silver dan Smoke Blue.

    Kia Rio 2017 ini ditawarkan pada harga atas jalan RM79,888 (tanpa insurans) dan turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Kia Malaysia turut mengumumkan untuk 50 pembeli terawal bakal menerima tiga kali servis penyelenggaran percuma. Layari maklumat spesifikasi dan kelengkapan penuh Kia Rio 2017 serta ketahui tawaran terbaik bagi kenderaan baharu di laman CarBase.my.

     
     
  • Honda patenkan rekabentuk kereta sport berenjin tengah ‘Baby NSX’ – tiada S2000 generasi baharu?

    Honda patenkan rekabentuk kereta sport berenjin tengah ‘Baby NSX’ – tiada S2000 generasi baharu?

    Sebelum ini, Honda telah dilaporkan akan membina sebuah kereta sport untuk mengisi ruang kosong antara kereta sport Kei 660 cc Honda S660 dan juga supercar hibrid Honda NSX generasi kedua. Kereta sport berkenaan dikatakan akan membawa DNA Honda S2000 – kereta sport Honda berenjin hadapan pacuan belakang (FR) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1998, sebagai model gantian kepada kereta sport klasik Honda S500.

    Laporan terbaharu dari Autocar menyebut jenama dari Jepun berkenaan telah memfailkan paten terhadap rekabentuk kereta sport terkini mereka ke Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah. Namun, kereta berkenaan nampaknya tidak dibina dengan konfigurasi FR seperti S2000, sebaliknya sebuah jentera berenjin tengah pacuan belakang (MR) kecil, seolah-olah ‘Baby NSX’, yang bakal memberikan saingan terus kepada Mazda MX-5.

    Honda patenkan rekabentuk kereta sport berenjin tengah ‘Baby NSX’ – tiada S2000 generasi baharu?

    Imej paten berkenaan mendedahkan, kereta sport baharu ini mempunyai muncung hadapan yang pendek (tiada enjin pada bahagian tersebut), manakala bahagian belakang kabin direka lebar, serta pada setiap sisi dibelakang pintu diberikan liang untuk mengalirkan udara ke ruang enjin. Ia juga tampil dengan rekaan tanpa bumbung.

    Autocar turut menyebut kereta sport ini dijangka bakal dijana oleh enjin pembakaran dalam sepenuhnya tanpa bantuan motor elektrik seperti sistem hibrid pada NSX. Antara enjin yang dicalonkan untuk jentera ini adalah unit 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic dan CR-V generasi baharu, atau enjin 2.0 liter VTEC Turbo dari Honda Civic Type-R yang dikurangkan kuasanya.

     
     
  • Yamaha MT-09 Tracer CKD dikeluarkan – RM52,000

    Yamaha MT-09 Tracer CKD dikeluarkan – RM52,000

    Setelah hampir satu tahun MT-09 Tracer dilancarkan di pasaran Malaysia, pengedar rasmi Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd melancarkan pula versi pemasangan tempatan (CKD) motosikal yang menggunakan asas daripada MT-09, tetapi mempunyai gaya jelajah ini.

    MT-09 Tracer dilengkapi dengan enjin 849 cc empat lejang tiga silinder DOHC 12-injap sejukan cecair sama seperti MT-09 dan mampu menjana 115 hp pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Bagi sistem transmisi, ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dan dilengkapi dengan ciri ABS serta kawalan cengkaman sebagai ciri standard.

    Yamaha MT-09 Tracer CKD dikeluarkan – RM52,000

    Berat kering MT-09 Tracer adalah 190 kg manakala tangki minyaknya pula mampu menampung 18 liter petrol. Pada bahagian belakang badan motosikal ini sudah terdapat rangka untuk memasang beg barangan dan pemilik boleh menambahnya jika mahu. Bagi motosikal berkapasiti tinggi, MT-09 Tracer ini melengkapi model MT-09 dan MT-07.

    Pada masa ini, Yamaha MT-09 dijual di pasaran pada harga RM44,653, manakala MT-07 pula dijual pada harga RM36,795. Bagi MT-09 Tracer CKD ini pula, harganya ditetapkan pada RM52,000, dan semua harga yang disebutkan tadi adalah termasuk GST, tanpa insurans dan pendaftaran. Warna yang ditawarkan baginya ada dua – hitam dan biru. Sebelum ini, MT-09 Tracer CBU dijual pada harga RM59,900.

     
     
  • Harga bahan api 20-26 Julai – Tiada perubahan

    Harga bahan api 20-26 Julai – Tiada perubahan

    Seperti biasa, hari Rabu adalah hari pengumuman perubahan harga minyak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), dan kali ini, untuk 20 hingga 26 Julai 2017, harganya diumumkan kekal seperti mana harga bagi minggu sebelum ini.

    Harga siling bagi bahan api RON 95 kekal pada kadar RM1.97 seliter, manakala RON 97 pula RM2.22 seliter. Diesel juga kekal pada harga 1.96 sen seliter bagi Euro 2 dan RM2.06 seliter untuk Euro 5 M.

    Pada minggu sebelum itu, bertarikh 13 hingga 19 Julai, harga ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dilaporkan naik. harga siling bagi bahan api RON 95 diumumkan naik 4 sen menjadi RM1.97 seliter, manakala RON 97 juga naik 3 sen menjadi RM2.22 seliter. Diesel pula turut naik sebanyak 4 sen bagi Euro 2 menjadi 1.96 sen seliter dan RM2.06 seliter untuk Euro 5 M.

    Ia berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 26 Julai 2017 iaitu sehingga harga baharunya diumumkan kelak.

     
     
  • Sistem Pembayaran Cukai Jalan Fleksibel dikaji – Liow

    Sistem Pembayaran Cukai Jalan Fleksibel dikaji – Liow

    Pelaksanaan sistem Pembayaran Cukai Jalan Fleksibel di negara ini akan dikaji oleh pihak kerajaan, malah ia juga sejajar dengan langkah liberalisasi insurans kenderaan bermotor di negara ini yang memberikan manfaat mengikut keadaan kenderaan, jangka masa atas jalan dan merit kesalahan lalu lintas.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Sri Liow Tiong Lai, sistem ini dilihat mampu memberikan manfaat yang besar kepada pemandu kenderaan yang berhemah dan ini mendorong kerajaan untuk memberikan insentif kepada golongan ini untuk mendapatkan pengurangan cukai jalan, laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, dengan adanya sistem dan teknologi terkini, tempoh seseorang individu memandu kenderaan di jalan raya dapat dikesan termasuk mengikut perbatuan.

    “Sekiranya pemandu tersebut memandu dengan perbatuan yang rendah, maka lebih rendahlah cukai jalan yang dikenakan. Kita boleh laksanakan sehingga peringkat itu, dan maksud saya pembayaran cukai jalan fleksibel ini boleh dikaji untuk masa depan bukannya masa terdekat, ” katanya pada pihak pemberita sebentar tadi.

     
     
  • Perkhidmatan MRT di negeri lain dipertimbang – Aziz

    Perkhidmatan MRT di negeri lain dipertimbang – Aziz

    Kerajaan menimbang pelbagai faktor bagi mewujudkan sistem Transit Aliran Massa (MRT) di negeri lain termasuk keberdayaannya beroperasi di kawasan tersebut.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, pelaksanaannya juga tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana mengikut keperluan, laporan Bernama.

    “Bergantung kepada keperluan dan sekiranya Johor Bahru (sebagai contoh) mempunyai keperluan itu serta berdaya maju, maka memang akan dilaksanakan. Lagipun, masa depan pengangkutan di Malaysia ialah rel dan kita telah membuat transformasi yang begitu drastik ke atasnya dengan memperkenalkan antara lain Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menghubungkan semua bandar di seluruh negara dengan kereta api,” katanya kepada pemberita hari ini ditanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk meluaskan sistem MRT ke negeri lain termasuk Johor Bahru yang sedang pesat membangun.

    Menurut beliau, pembinaan ECRL dan HSR adalah ‘hadiah’ masa depan yang baik kepada masyarakat kerana memungkinkan pergerakan sesuatu barangan dan masyarakat dalam kadar pantas.

     
     
  • BMW M8 GTE – teaser untuk model lumba dikeluarkan

    BMW M8 GTE – teaser untuk model lumba dikeluarkan

    BMW baru-baru ini telah mendedahkan mereka akan bersaing dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours dalam kelas LMGTE bermula tahun 2018 menggunakan M8 GTE, iaitu sebuah model yang diasaskan daripada M8. Walaupun model 8 Series ini masih belum membuat penampilan rasmi – masih lagi sebuah konsep – bahagian permotoran syarikat pengeluar kenderaan dari Jerman itu telah mengeluarkan teaser untuk model lumba tersebut.

    BMW Motorsport, melalui laman Facebook nya telah memuat naik satu gambar dengan meletakkan tajuk: “Perlumbaan FIA WEC 2017 sedang berlangsung dengan rancak, tetapi kami sudah bersedia untuk musim hadapan. Ini sedikit ‘pembuka selera’ untuk BMW M8 GTE terbaru kami. Selebihnya akan datang… BMW M.”

    Tidak banyak perincian yang boleh dilihat daripada gambar ini, tetapi kita dapat menyaksikan profail rendah M8 GTE ini, bersama bayangan serta bahagian belakangnya yang agresif. Corong udara Air Breather yang terdapat pada 8 Series Concept turut digunakan pada kereta ini bersama hud yang panjang dan spoiler belakang yang besar.

    GALERI: BMW 8 Series Concept

     
     
  • Lexus LC 500 akan tampil dalam filem Black Panther

    Lexus LC 500 akan tampil dalam filem Black Panther

    Lexus telah mengumumkan akan bekerjasama dengan Marve untuk menampilkan LC 500 dalam filem Black Panther yang ditayangkan akan ditayangkan awal tahun hadapan. Filem ini menampilkan Chadwick Boseman sebagai T’Challa/Black Panther, iaitu raja kepada negara Afrika fiksyen yang digelar Wakanda.

    “Marvel terus menarik perhatian penonton dengan karekter berkarisma dan cerita yang berinspirasi. Ini dianggap sebagai padanan yang ideal untuk misi Lexus dalam mencipta pengalaman yang menarik dan menakjubkan,” kata pengarah kanan pemasaran Lexus, Brian Bolain.

    “Gaya agresif, prestasi tinggi serta pengendalian lincah LC dianggap sangat bersesuaian dengan karekter Black Panther yang lincah, refleks seperti kucing dan ciri lain manusia luar biasa. Kami teruja untuk melihat aksi gandingan ini,” tambah Bolain.

    Lexus walaubagaimanapun tidak mendedahkan bagaimana LC 500 akan muncul dalam filem ini, dan hanya mengeluarkan satu gambar yang menunjukkan Black Panther di atas bumbung kenderaan tersebut. Selain filem ini, Lexus juga akan bekerjasama dengan Marvel Custom Solutions untuk mengeluarkan satu novel grafik baru dengan cerita yang ditulis oleh Fabian Nicieza dan ilustrasi oleh Scott “Rahzzah” Wilson dan Szymon Kudranski. Kisahnya akan berkisar tentang keseimbangan antara mesin dan manusia.

     
     
  • Rolls-Royce Phantom 2018 – gambar risalah tersebar

    Rolls-Royce Phantom 2018 – gambar risalah tersebar

    Model Rolls-Royce Phantom generasi ketujuh sudah berada dalam pasaran lebih 10 tahun, dan syarikat pengeluar kenderaan mewah itu dikhabarkan bersedia untuk memperkenalkan model generasi kelapan hujung bulan ini. Walaubagaimanapun, gambarnya sudah bocor di internet, datang daripada Autohome dan kelihatan seperti daripada risalah digital.

    Gril yang sudah menjadi tanda unik model itu dikekalkan, namun kelihatan sedikit pendek bagi menempatkan lampu baru yang lebih lebar dan nipis. Turut dikekalkan adalah lambang “Spirit of Ecstasy” di atas bonetnya. Bahagian bawah bampar kenderaan ini nampak lebih dinamik hasil penggunaan bukaan udara lebih lebar.

    Dari tepi, Phantom ini kelihatan seperti adalah versi jarak roda panjang, yang akan mengekalkan profail sama seperti sebelum ini. Pintu belakangnya masih lagi mempunyai engsel di bahagian belakang, dan boleh lagi digelar sebagai ‘suicide door‘.

    Rolls-Royce Phantom 2018 – gambar risalah tersebar

    Melalui gambar ini agak sukar untuk memberitahu perubahan dimensi kereta ini, tetapi Phantom generasi kelapan ini dijangka menggunakan platform CLAR sama seperti yang diguna pada BMW 7 Series G11/12, dengan sedikit perubahan. Seperti model BMW itu juga, penggunaan platform yang banyak menggunakan aluminium ini juga dijangka mengurangkan banyak beratnya.

    Bahagian dalam menerima lebih banyak perubahan, di mana corong pendingin hawa diletakkan lebih rendah, dan kami menjangka, ruang lebihan yang ada tersebut akan digunakan untuk meletakkan skrin sesentuh bagi sistem hiburan dan informasi kenderaan ini. Jam di bahagian tengah juga dianjak sedikit ke kanan.

    Stereng tiga cabang Phantom sebelum ini juga diubah, dan panel meter nampak seperti menggunakan unit digital, berubah daripada analog sebelum ini. Melihat kembali kepada gambar spyshot bahagian dalaman kenderaan ini, perubahan tersebut adalah jelas. Namun, kita tunggu dahulu pelancaran rasminya nanti untuk mengetahui bentuk sebenarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026