Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

    Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

    TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal untuk kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV Renault Koleos kini telah hadir dengan pilihan sistem pacuan 4WD.

    Ditawarkan dengan harga anggaran RM201,800 (berbanding RM182,800 bagi varian 2WD), SUV ini menampilkan teknologi ALL-MODE 4×4-i yang memantau tahap cengkaman secara berterusan untuk prestasi yang lebih dinamik, stabil dan selamat. Satu lagi ciri baharu pada versi 4WD ini ialah pintu belakang bebas tangan iaitu dengan adanya Renault Smart Keycard yang diletakkan di dalam poket atau beg tangan, but boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang.

    Selain itu, Koleos 4WD ini juga akan hadir dengan warna baharu iaitu Maroon Red, selain mengekalkan warna Universal White, Grey Metallic, Black Metallic dan Meissen Blue.

    “Renault Koleos mendapat sambutan memberangsangkan sejak varian 2WD dilancarkan tahun lalu. Kami yakin dengan penambahbaikan dan reka bentuk Koleos yang mantap ini, versi 4WD akan menarik minat lebih ramai pembeli SUV di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn Bhd, Kuan Kim Luen.

    Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

    Menurut Renault, ALL-MODE 4×4-i pada varian Koleos 4WD ialah teknologi yang sudah terbukti dan digunakan ke atas jutaan kenderaan Pakatan Renault-Nissan di seluruh dunia. Sistem itu terdiri daripada suis kawalan yang mudah digunakan. Ia membolehkan pemandu untuk memilih tiga mode – 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock. Setiap mode ini mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada kondisi pemanduan.

    Dalam mode 2WD, Koleos bergerak dengan pacuan roda hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api. Ideal untuk kondisi pemanduan yang normal. Manakala dalam mode 4WD Auto pula, teknologi ALL-MODE 4×4-i akan sentiasa memantau pecutan longitudinal dan lateral, selain kadar yaw dan sudut stereng. Berdasarkan kepada maklumat ini, sistem akan mengira agihan kuasa tork hadapan/belakang yang ideal (daripada 100/0 kepada 50/50) untuk menawarkan cengkaman paling efisien bagi mengelakkan berlakunya masalah understeer dan oversteer.

    Apabila mengharung laluan off-road atau dalam kondisi di mana cengkaman amat diperlukan, seperti di atas lumpur dan pasir, mode 4WD Lock membolehkan pemandu menggunakan pacuan empat roda pada kelajuan kurang 40 km/j untuk mengagihkan kuasa tork yang sama kepada gandar hadapan dan belakang (50/50) bagi kestabilan maksimum.

    Seperti mana varian Koleos 2WD yang dilancarkan pada tahun lalu, Koleos 4WD ini juga menawarkan ruang kabin luar biasa, dengan memiliki tapak roda berukuran 2,705 mm dan panjang keseluruhan kenderaan sehingga 4,672 mm yang disifatkan sebagai yang terpanjang dalam kelasnya. Ini membolehkan Renault Koleos menawarkan ruang kabin paling luas.

    Tempat duduk hadapan Renault Koleos ialah antara yang paling selesa dengan dimensi terbesar dalam kelasnya. Penumpang belakang pula disediakan dengan ruang lutut seluas 289 mm yang jelas mengalahkan model-model pesaingnya. Tidak ketinggalan ruang kepala, bahu dan siku yang luas. Ruang but seluas 542 liter menampilkan lantai yang boleh dialih dan diposisikan sama tinggi dengan but, seterusnya membentuk lantai yang rata. Sistem Easy Break dengan hendal dipasang pada bahagian but membolehkan tempat duduk belakang dilipat pada kongurasi 60/40 dengan mudah, sekali gus dapat menawarkan kapasiti ruang sehingga 1,690 liter.

    Selain itu, bahagian kabinnya juga dilengkapi dengan material premium termasuk krom kemasan satin yang bergaya pada stereng, tuil gear dan corong pendingin hawa. Konsol tengah juga dibalut dengan lapisan filem perlindungan yang keras dan sedap disentuh. Material lembut pada papan pemuka dan panel pintu juga menyumbang kepada ambien kabin yang menenangkan. Manakala upholsteri kulit berwarna hitam dan perehat tangan dengan kemasan kulit diberikan jahitan benang yang kontras untuk melengkapkan rasa serta penampilan yang premium.

    Keselesaan ketika berjalan ditingkatkan lagi dengan lampu kabin LED yang boleh diubah suai, bersama satu palet warna daripada hijau, biru, kuning, merah atau ungu, bergantung kepada mood pemandu dan penumpangnya.

    Renault Koleos juga dilengkapi lampu LED penuh pada bahagian hadapan dan belakang. Di hadapan, lampu utama Pure Vision LED berbentuk-C dengan lampu nyalaan siang (DRL) memberikan penampilan yang unik dan garang. Manakala lampu kabus menawarkan fungsi membelok untuk keselamatan tambahan. Di bahagian belakang, lampu LED itu menampilkan teknologi Edge Light yang mampu menghasilkan kesan 3D yang jelas dan terang.

    Untuk aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD serta BA, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Tarikan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Pengesan Titik Buta serta enam beg udara. Selain itu Koleos turut dilengkapi dengan brek parkir elektronik, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

    Bagi penjana kuasanya pula, enjin 2.5 liter dipadankan dengan transmisi automatik X-Tronic CVT untuk prestasi lebih baik, pemanduan menyeronokkan dan penggunaan bahan api yang optimum. Enjin yang efisien ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 171 PS dan tork puncak 226 Nm. Ia sangat responsif pada putaran enjin rendah dan sederhana, dengan 200Nm tork boleh diperoleh pada serendah 1,800rpm.

    Tidak seperti transmisi CVT sebelum ini, prestasi kotak gear X-Tronic Koleos lebih kepada transmisi automatik multi-nisbah, terutama ketika pemandu mahu memecut dengan pantas. Pada masa yang sama, transmisi ini memastikan rev dan beban enjin sentiasa dioptimumkan untuk menawarkan penggunaan bahan api lebih baik, pemanduan yang selesa dan senyap ketika memandu dalam kelajuan selari.

    Sama seperti semua kenderaan Renault, Koleos didatangkan dengan jaminan pengilang selama lima tahun tanpa had perbatuan. Jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault dan bukan oleh mana-mana syarikat insurans. Ini bermakna, terma dan syarat, serta alat ganti adalah konsisten mulai tahun pertama pemilikan sehinggalah tempoh jaminan tamat.

    Untuk perincian lanjut mengenai Renault Koleos ini, sila layari CarBase.my.

     
     
  • Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

    Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

    Berita bahawa Mercedes-Benz sedang membangunkan sebuah trak pikap telah diberitahu sejak tahun 2015 lagi, dan sejak dari itu, ramai yang tertunggu-tunggu bagaimana ia akan kelihatan. Selepas dua model konsep ditunjuk, akhirnya kini trak pikap premium tersebut membuat kemunculan rasmi dan akan mula dijual di Eropah pada bulan November.

    Walaupun sudah jelas trak ini mempunyai kaitan dengan model Nissan Navara NP300 yang diambil sebagai asas, ia masih mempunyai rekaan yang unik untuk menjadikannya sebuah Mercedes-Benz. Bahagian hadapan memang membawa gaya Mercedes-Benz dengan lampu berbentuk C, serta gril dan logo yang cukup besar.

    Rekaan gril berkembar dengan lubang berbentuk petak pada trak ini pertama kali dilihat diguna pada GLA facelift dan di bawahnya terdapat pelindung bampar dan dua lampu kabus di setiap bucu. Di bahagian tepi, lengkuk rodanya lebih berpetak berbanding Navara yang lebih membulat, dan ini menghasilkan penampilan yang lebih tegap. Bahagian belakang pula lebih ringkas.

    Rekaan dalam juga sekali pandang sudah jelas ia adalah sebuah Mercedes-Benz, dengan adanya corong pendingin hawa bulat, serta banyak elemen lain seperti roda stereng, panel meter, sistem informasi dan hiburan COMAND serta suis lampu yang diambil daripada model C-Class. Walaupun begitu, beberapa suis lain seperti pengawal suhu, tingkap dan sistem pacuan digunakan terus daripada Navara dan tombol gear juga diletakkan di lantai.

    Sesuai dengan jenama yang dibawa, X-Class ditawarkan dengan pelbagai kelengkapan mewah termasuk kulit hiasan Artico pada papan pemuka dan tempat duduk larasan elektrik dengan penyokong belakang yang dibalut dengan gentian mikro Artico dan Dynamica. Juga ditawarkan adalah naik taraf sistem navigasi COMAND Online dengan skrin 8.4 inci menggantikan skrin standard 5.4 inci.

    Semasa pelancaran, X-Class didedahkan dengan varian X 220 d dan X 250 d. Tidak seperti model diesel Mercedes-Benz lain yang menggunakan enjin 2.2 liter sendiri jenama itu, X-Class menggunakan enjin 2.3 liter empat silinder daripada Renault dan digunakan pada Navara. Bagi model X 220 d enjinnya dilengkapi dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan 163 hp manakala pada X 250 d, ia menggunakan dua turbo sequential, berkemampuan 190 hp.

    Terdapat juga model berenjin petrol 165 hp untuk pasaran seperti Dubai dan Morocco, berkemungkinan menggunakan enjin QR25 NA 2.5 liter daripada model Nissan Teana. Semua model datang dengan pacuan roda belakang dan kotak gear manual enam kelajuan, tetapi model diesel mempunyai pilihan untuk pacuan empat roda. Transmisi automatik tujuh kelajuan ditawarkan sebagai pilihan untuk model X 250 d.

    Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

    Model yang lebih berkuasa, iaitu X 350 d yang menggunakan enjin 3.0 liter turbodiesel V6 Mercedes-Benz, dengan kuasa sebanyak 258 hp dan 550 Nm akan ditawarkan bermula pertengahan tahun 2018. Model paling tinggi ini akan datang secara standard dengan kotak gear automatik 7G-Tronic Plus tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Turut disediakan pada model ini adalah mod pemanduan Comfort, Eco, Sport, Manual dan Offroad.

    Daripada aspek keselamatan, X-Class datang terus dengan tujuh beg udara, Active Brake Assist, Lane Keeping Assist dan Traffic Sign Assist. Turut ditawarkan adalah Trailer Stability Assist, sistem pemerhatian tekanan angin tayar, sistem panggilan kecemasan, cruise control, lampu LED dan kamera 360 darjah.

    Selepas Eropah, X-Class akan ditawarkan pula di Afrika Selatan, Australia dan New Zealand pada awal tahun hadapan, dan Argentina dan Brazil pada tahun 2019. X-Class ini akan dikeluarkan sama ada di kilang Mercedes-Benz di Barcelona, ataupun Argentina. Harganya bermula €37,294 (RM184,400) di Jerman.






    GALERI: Mercedes-Benz X-Class Power Line


    GALERI: Mercedes-Benz X-Class Progressive Line

    GALERI: Mercedes-Benz X-Class Pure Line

    GALERI: Aksesori Mercedes-Benz X-Class

     
     
  • Ford Focus kini ditawarkan rebat tunai sebanyak RM15k atau bayaran serendah RM668 sebulan

    Ford Focus kini ditawarkan rebat tunai sebanyak RM15k atau bayaran serendah RM668 sebulan

    Sime Darby Auto Connexion pengedar jenama Ford di Malaysia telah mengumumkan tawaran bayaran bulanan serendah RM668 (tertakluk pada terma & syarat) atau rebat tunai sebanyak RM15,000 bagi setiap pembelian model Focus 1.5L EcoBoost.

    “Kenderaan ini merupakan sebuah kereta dinamik yang harus dipertimbangkan untuk dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia, terutamanya apabila lebih banyak pengguna memilih kereta yang jimat minyak hari ini. Walaupun aspek keseronokan memandu merupakan perkara paling penting, kami amat menitikberatkan aspek keselamatan dalam setiap kereta yang dijual,” kata Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan, Sime Darby Auto Connexion.

    Focus ini dijanakan oleh enjin petrol EcoBoost 1.5 liter empat-silinder. Ia juga menggunakan teknologi utama EcoBoost iaitu pengecas turbo, pancitan bahan api terus bertekanan tinggi dan pemasaan injap boleh ubah bebas berkembar (Twin-independent Variable Cam Timing) demi menawarkan prestasi yang optimum.

    Dengan enjin ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 PS dan tork 240 Nm. Penghantaran kuasa ini dibantu oleh transmisi automatik enam-kelajuan SelectShift baharu yang ringan dan efisien. Sementara pedal penukar gear yang diletakkan di bahagian belakang stereng memberikan pemanduan sporty yang sebenar.

    Ford Focus kini ditawarkan rebat tunai sebanyak RM15k atau bayaran serendah RM668 sebulan

    Bagi aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan enam beg udara selain pelbagai teknologi bantuan pemandu seperti Enhanced Transitional Stability. Teknologi itu mampu menjangkakan gelinciran dan bertindak lebih awal untuk mengelak daripada kemungkinan berlakunya masalah hilang kawalan dan meningkatkan ciri Active City Stop. Malah ia juga menampilkan sistem Active Park Assist yang telah dipertingkatkan, Hill Launch Assist dan Blind Spot Information System (BLIS) dengan Cross Traffic Alert serta Ford MyKey.

    Ia juga menawarkan kesenyapan kabin yang luar biasa dengan bahan-bahan nyah bunyi – termasuk cermin kaca penebat bunyi, kaca tingkap sisi yang lebih tebal, karpet yang tebal, peningkatan penebat dalam trim pintu, dan penebat enjin yang lebih baik.

    Ford Focus yang mendapat penarafan maksimum lima-bintang Euro NCAP kini ditawarkan pada harga atas jalan (tanpa insurans) dengan RM118,888 bagi varian Trend (lima-pintu), RM139,888 masing-masing untuk Sport+ (lima-pintu) dan Titanium+ (empat-pintu).

    Menurut Ford Malaysia, tawaran ini hanya sah untuk kenderaan yang didaftarkan dari sekarang sehingga 31 September 2017. Kunjungi mana-mana bilik pameran terdekat Ford untuk pandu uji dan mengetahui lebih lanjut mengenainya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Vespa GTS Super 300 versi 2017 pemasangan di Vietnam – tiba di Malaysia tahun ini?

    Minggu lalu, kami berkesempatan berkunjung ke kilang pemasangan Piaggio di Hanoi, Vietnam bagi mengikuti sesi taklimat dan tunggang uji ringkas skuter terbaru keluaran Vespa – model GTS yang kini sudah mula dipasang di Vietnam untuk pasaran Asia Tenggara.

    Menariknya bagi versi terbaru tahun 2017 ini, terdapat tiga varian yang dipasang di sana; GTS 125, GTS 150 dan GTS 300. Bagi dua varian 125 dan 150 ini, ia dilengkapi dengan sistem enjin serba baru, yang dibangunkan di Vietnam dengan mengambil kira maklum balas dan penggunaan dari rantau Asia – ia dikenali sebagai enjin i-Get.

    Bagi versi GTS 300 pula, ia menggunakan enjin Quasar 300 yang dibawa dari Itali, sebelum dipasang di Vietnam. Di Malaysia, model GTS 300 versi yang sebelum ini pernah dibawa masuk – ketika itu diimport terus dari Itali – dan dijual dengan harga yang agak mahal, sekitar RM36,000.

    Namun, dengan perkembangan terbaru ini, pengedar jenama ini di Malaysia, Naza Premira menjangkakan harga bagi GTS 300 versi terbaru ini akan menyaksikan penurunan yang banyak juga – terima kasih kepada pengurangan cukai di bawah ASEAN Free Trade Area (AFTA).

    Bagaimanapun, model ini akan terlebih dahulu dilancarkan di Vietnam esok, sebelum diperkenalkan pula untuk pasaran Thailand selepas itu. Menurut pihak pengurusan Vespa di Hanoi tentang bila pasaran Malaysia akan mula menerima model ini, mereka menjelaskan hal itu bergantung kepada permintaan dari Vietnam dan Thailand – kilang pengeluaran di sana akan memenuhi permintaan dua pasaran itu terlebih dahulu. Jika kita bernasib baik, model ini mungkin akan tiba seawal September nanti.

    Varian yang mana akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia? Sudah tentu GTS 300, kali ini dengan kelebihan tanda harga yang dijangka akan memberikan nilai kepada peminatnya di sini berbanding versi yang terdahulu. Bagi GTS 150 pula – versi semasanya juga ada dijual di sini sekarang – kami menjangkakan ia turut akan ditawarkan sebagai pilihan enjin yang lebih rendah. Bagaimanapun, kami difahamkan GTS 125 tidak akan dibawa masuk.

    Jadi, sementara kami menyiapkan laporan lengkap pengalaman tunggang uji model ini, tonton dahulu video ringkas yang disediakan ini, berserta galeri gambar yang ada.

    Vespa GTS Super 300 di Vietnam


     
     
  • Honda CR-V 2017 capai sasaran jualan 2 bulan dalam hanya seminggu dilancarkan – 1400 unit tempahan

    Honda CR-V 2017 capai sasaran jualan 2 bulan dalam hanya seminggu dilancarkan – 1400 unit tempahan

    Graf jualan kenderaan Honda di pasaran Malaysia kian melonjak termasuk didorong dengan pelancaran model CR-V generasi ke-lima pada 12 Julai lalu. Malah dalam masa seminggu dilancarkan sahaja, Honda Malaysia telah menerima sebanyak 1,400 unit tempahan, yang pada mulanya mensasarkan sebanyak 700 unit untuk sebulan.

    Varian yang paling popular ialah 1.5L Turbo Premium 2WD iaitu model spesifikasi tertinggi bagi barisan CR-V 2017 ini iaitu merangkumi sebanyak 40% daripada keseluruhan tempahan. Diikuti dengan varian 1.5L Turbo 2WD sebanyak 20% dan 1.5L Turbo 4WD pula mencapai 9%.

    Manakala varian 2.0L i-VTEC 2WD pula mencecah 20% daripada keseluruhan tempahan. Ini menunjukkan ramai rakyat Malaysia semakin menerima enjin pengecas turbo, sama seperti dengan Civic 2016 yang lebih banyak menerima tempahan bagi enjin tersebut berbanding penjana kuasa konversional.

    Manakala warna yang paling digemari ialah Lunar Silver Metallic dengan lebih daripada 30% pelanggan yang menempah CR-V serba baharu ini memilihnya. Diikuti dengan warna baharu White Orchid Pearl iaitu sebanyak 27%.

    Honda CR-V 2017 capai sasaran jualan 2 bulan dalam hanya seminggu dilancarkan – 1400 unit tempahan

    CR-V yang turut dilancarkan serentak di Kuala Lumpur dan Sarawak turut membolehkan Honda Malaysia memperluaskan perkongsian pasaran di Timur Malaysia. Malah varian 1.5 Turbo Premium 2WD turut diterima baik di bahagian sana dengan jualan mencecah 38%. Antara faktor penerimaan yang sangat memberangsangkan ini adalah penambahbaikan penjana kuasanya, sistem 4WD dan juga elemen tambahan yang ditampilkan.

    Pelancaran di Kuching merupakan kali kedua bagi Honda Malaysia yang sebelum ini pernah melancarkan model BR-V di sana pada Januari lalu. Malah ia turut memacu jualan di negara ini sebanyak 10% bagi separuh pertama 2017 (1H2017). Setakat ini, jualan di Sabah dan Sarawak telah mencecah lebih daripada 3,500 unit, iaitu merangkumi 6.6% bagi jualan keseluruhan untuk 1H2017. Manakala perkembangan tahun ke tahun pula telah melonjak sehingga 48% bagi tempoh yang sama tahun lalu.

    Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter suntikan terus pengecas turbo dengan lonjakan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Ia sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic varian turbo namun lonjakan kuasa bagi CR-V dipertingkatkan sebanyak 20 PS/23 Nm.

    Manakala model asas masih mengekalkan enjin NA 2.0 liter dengan hamburan kuasa 153 PS dan 189 Nm. Kedua-dua model dipadankan bersama transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri iaitu menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.

    Masih kekal sebagai SUV lima-tempat duduk untuk pasaran Malaysia (turut menawarkan kapasiti tujuh-tempat duduk untuk pasaran negara lain termasuk Indonesia), bahagian luaran CR-V 2017 ini dihiasi bar krom yang lebih besar pada gril atas bersama lampu utama projektor dinamik LED (1.5 TC-P menerima Advanced LED sepenuhnya).

    Malah teknologi LED turut menjadi pilihan bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek CR-V kali ini. Ia juga dilengkapi dengan pengesan untuk mengunci pintu dengan hanya sentuhan mudah.

    Walau bagaimana pun, varian turbo dilengkapi dengan rim baharu 18-inci (17-inci bagi 2.0 N/A) serta dua corong tip ekzos krom seperti Civic Turbo (ekzos tunggal bagi 2.0 N/A). Bahagian belakang juga agak berbeza dengan model sebelum ini, di mana CR-V 2017 dipadankan dengan lampu belakang LED yang direka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate (tailgate larasan kuasa untuk 1.5 TC-P, butang kawalan operasi bagi lain-lain varian).

    Honda CR-V 2017 capai sasaran jualan 2 bulan dalam hanya seminggu dilancarkan – 1400 unit tempahan

    Menjengah bahagian dalamannya, perubahan besar turut ditampilkan termasuk panel papan pemukanya dibentangi material kulit sentuhan lembut berwarna hitam serta ada kekemasan kayuan (tona perak untuk varian 2.0L 2WD) di bahagian tersebut bersama konsol tengah. Elemen seperti panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan auto brake hold, pendingin hawa auto dwi-zon (dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang), kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara adalah standard bagi semua varian.

    Bagi aspek keselamatan, semua varian CR-V 2017 dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handling Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), ABS dengan EBD serta kamera undur pelbagai-sudut sebagai ciri standard.

    Bagi varian tertinggi iaitu 1.5 TC-P yang dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Untuk 1.5TC-P, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM167,700, RM161,600 bagi 1.5TC 4WD dan 1.5TC 2WD pula RM155,700. Bagi varian 2.0L 2WD pula berharga RM142,400. Kesemua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km (tertakluk pada terma & syarat) di mana-mana 91 pengedar Honda sah di seluruh negara.

    GALERI: Honda CR-V 1.5TC-P 2WD

    GALERI: Honda CR-V 1.5TC 2WD

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD bersama pakej aksesori Modulo

     
     
  • Prasarana akan tambah kekerapan tren, pasang WiFi di MRT Laluan SBK – 100k penumpang dalam 27 jam

    Prasarana akan tambah kekerapan tren, pasang WiFi di MRT Laluan SBK – 100k penumpang dalam 27 jam

    Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah merekodkan sejumlah 100,000 pengguna selepas 27 jam beroperasi iaitu bermula jam 4 petang 17 Julai lalu. Melihat akan sambutan yang begitu menggalakkan ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat kajian mengenai apa yang pengguna suka.

    Menerusi kajian tersebut, rata-rata pengguna mahukan penambahan kekerapan perjalanan tren terutamanya di kawasan yang ada permintaan tinggi. Selain itu, pengguna juga mahukan WiFi di dalam tren, laporan Berita Harian

    Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, tindakan ini antara maklum balas yang diterima daripada pengguna MRT-SBK Fasa 1 dan MRT-SBK Fasa 2, yang dibuka kepada orang ramai bermula kelmarin.

    “Kita akan lihat sambutan yang ada. Insya-Allah kita akan sediakan,” katanya.

    MRT-SBK dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu, mempunyai 19 stesen baharu dengan kekerapan perjalanan setiap tujuh minit. Di mana tujuh daripada stesen jajaran sepanjang 51 kilometer itu terletak di bawah tanah.

    Setiap tren bagi laluan SBK mempunyai empat gerabak dan mampu membawa 1,200 penumpang pada setiap perjalanan, dengan anggaran 400,000 penumpang sehari.

     
     
  • Pelumba siri perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge bagi Festival Toyota Gazoo Racing kini bersedia

    Pelumba siri perlumbaan ‘one-make’ Vios Challenge bagi Festival Toyota Gazoo Racing kini bersedia

    Siri kejuaraan ‘one make’ Vios Challenge sempena Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) Malaysia bakal bermula bulan hadapan, dan kesemua pelumba yang akan mengambil bahagian sudah pun bersedia untuk menghadapi cabaran.

    Hari ini, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), seramai 24 orang pemandu perlumbaan kini telah tamat pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge dan menerima sijil kelayakan dari Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun, disampaikan oleh Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy.

    Kesemua mereka menamatkan pengajian pada sekolah perlumbaan berkenaan setelah mempelajari perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik yang betul untuk mengendalikan kenderaan serta cara terbaik untuk mengekalkan garisan lumba. Lapan daripada pelumba tersebut merupakan selebriti tempatan yang terdiri dari pelakon Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya dan Janna Nick, penyanyi Geraldine Gan dan Danny Koo, penulis blog Venice Min serta beatboxer Shawn Lee.

    Turut menerima sijil yang sama ialah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang akan menyertai para selebriti di dalam Kategori Promosi dalam perlumbaan Vios Challenge ini, dengan pusingan pertama bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang 12 hingga 13 Ogos ini.

    Vios Challenge bakal dilangsungkan dengan dibahagikan dalam tiga kategori berbeza iaitu Kategori Super Sporting, Kategori Sporting, dan Kategori Promosi. 10 pelumba akan bersaing di dalam Kategori Super Sporting manakala 17 pelumba lagi akan bersaing di dalam Kategori Sporting. Baki 10 orang pelumba yang lain pula akan menyertai Kategori Promosi. Setiap kategori akan mempunyai dua pusingan, dengan mata akan diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan.

    Selain dari selebriti-selebriti yang disebutkan tadi, Vios Challenge turut bakal disertai bintang-bintang dari siri Malaysia Super Series (MSS) dan Malaysia Speed Festival (MSF) antaranya, ‘Prince of Drift’ Tengku Djan Ley, Boy Wong, Syafiq Ali, James Verrapan dan ramai lagi.

    Untuk pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Batu Kawan nanti, litar sepanjang 1.65km direka dalam reka bentuk stereng perlumbaan dan mengikut arah pusingan jam. Ia akan menampilkan sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang merangkumi jarak 156 meter, memastikan laluan yang tersedia mampu memberikan cabaran perlumbaan yang sebenar.

    Manakala untuk jentera yang digunakan pula, kesemua pasukan bakal menggunakan kereta yang sama sepenuhnya – Toyota Vios 1.5 J manual yang dibina oleh Wing Hin Motorsport. Kesemua jentera tersebut masih menggunakan enjin asal 2NR-FE bersama ubahsuai diberikan hanyalah dengan sistem ekzos lengkap TRD dan sistem pengurusan enjin dari Motec – mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal .

    Transmisi dan klac juga masih standard, tetapi unit karbeda asal telah ditukar kepada LSD dari TRD. Ubahsuai lain yang turut diberikan termasuk penyerap hentak boleh laras sepenuhnya TRD, pad brek TRD dan juga rim Enkei RPF-1 asli bersaiz 15-inci dibaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15.

    Bahagian dalaman ‘Vios Lumba’ ini diberikan rollcage lengkap asli dari TRD untuk Vios generasi ketiga, ‘kill switch‘ dan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan tempat duduk hadapan bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

    Perlumbaan Vios Challenge akan menjadi acara utama ketika Festival Toyota GAZOO Racing (TGR). Festival berkenaan turut dibuka kepada umum secara percuma dan akan disertai dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertunjukan drift, persembahan selebriti, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model terbaru akan datang, Toyota C-HR.

     
     
  • Yamaha Y125ZR edisi terhad Movistar MotoGP dilancar untuk pasaran Malaysia – RM8,846 termasuk GST

    Yamaha Y125ZR edisi terhad Movistar MotoGP  dilancar untuk pasaran Malaysia – RM8,846 termasuk GST

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd hari ini memperkenalkan versi edisi terhad Y125ZR MotoGP Edition, yang menggunakan warna biru berserta pelekat tema seperti motosikal lumba MotoGP dengan penaja Movistar, dengan harga cadangan RM8,846.76 termasuk GST. Rim pula adalah unit 17 inci berwarna hitam.

    Selain penampilan tersebut, motosikal ini juga didatangkan dengan lencana nombor keluaran, dan HLYM akan memberi set istimewa yang terdiri daripada sijil yang tertulis nombor casis dan enjin, sarung lengan panjang serta gambar istimewa model Y125ZR ini.

    Untuk enjin, Y125ZR edisi terhad MotoGP Edition ini masih lagi menggunakan enjin dua lejang satu silinder 124.3 cc dan transmisi enam kelajuan, berkemampuan menghasilkan sehingga 17 hp pada 8,000 rpm dan 16.1 Nm tork pada 7,500 rpm. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 106 kg.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz Sprinter 2018 – van yang akan diperkenal dengan varian janaan kuasa elektrik

    SPYSHOT: Mercedes-Benz Sprinter 2018 – van yang akan diperkenal dengan varian janaan kuasa elektrik

    Musim panas di Eropah melihatkan banyak kenderaan diuji dan ini termasuk kenderaan pengangkut besar seperti Mercedes-Benz Sprinter yang ditemui oleh jurugambar risikan kami ini di selatan Sepanyol.

    Direncana untuk pengenalan pada tahun 2018, Sprinter ini akan menggantikan model semasa yang sebenarnya adalah kembar kepada Volkswagen Crafter – kedua-duanya dibina di kilang Mercedes-Benz di Ludwigsfelde dan Düsseldorf. Walaupun begitu, apabila Sprinter 2018 masuk ke fasa pengeluaran nanti, ia akan hanya menjadi produk Mercedes-Benz.

    Apabila diperkenalkan juga nanti, Sprinter dijangka menggunakan pelbagai enjin yang mendapat tambahan kuasa elektrik termasuk plug-in hybrid dan elektrik penuh. Menurut laman Inside EV, pengeluar Jerman ini juga sudah berjaya mendapatkan pembeli jumlah besar untuk versi elektrik Vito dan Sprinter iaitu syarikat penghantar barang Hermes, yang menyatakan hasrat membeli sebanyak 1,500 unit Vito dan Sprinter EV menjelang tahun 2020.

    “Sumber kuasa elektrik adalah teknologi utama untuk pengangkutan urban – terutamanya untuk kegunaan komersial. Penghantaran jarak pendek perlu menjadi lebih cekap dan pada keadaan tertentu, bebas daripada sebarang emisi. Kami berbangga kerana sudah dapat memberitahu bahawa Hermes akan menjadi pelanggan pertama kami, dengan jumlah yang besar,” kata ketua Mercedes-Benz Vans, Volker Mornhinweg.

     
     
  • Sistem integrasi tiket perkhidmatan rel bakal dilaksanakan menjelang akhir tahun ini – Liow

    Pihak kerajaan sedang mencari kaedah yang boleh digunakan untuk melaksanakan sistem integrasi tiket yang menggunakan satu tiket bagi perkhidmatan rel di negara ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, sistem integrasi tiket tersebut melibatkan semua perkhidmatan rel termasuk KTM Komuter, sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

    Katanya, dua pengendali terbesar perkhidmatan rel Keretapi Tanah Melayu Berjad (KTMB), yang mengendalikan perkhidmatan Komuter dan pengendali LRT, Prasarana Malaysia berhad (Prasarana) sudah mengadakan perbincangan ke arah mewujudkan sistem tersebut, laporan Bernama.

    Bagaimanapun, beliau berkata, ada beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu berikutan kedua-dua pengendali tersebut mempunyai sistem tiket yang berlainan.

    “Sistem in saling lengkap antara perkhidmatan rel dan mudah untuk penumpang melakukan perjalanan dengan menggunakan hanya satu tiket,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sistem tersebut merupakan inisiatif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai salah satu transformasi kerajaan memperbaiki kecekapan pengangkutan awam darat, sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna.

     
     
  • Honda Jazz 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat

    Honda Jazz 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat

    Bulan lalu, kita sudah melihat Honda Fit, atau dikenali di negara kita sebagai Honda Jazz diberikan facelift untuk pasaran Jepun. Kini, peningkatan hampir sama dilakukan pada kereta kompak tersebut untuk pasaran Amerika Syarikat, dan dikenali sebagai model tahun 2018.

    Daripada aspek penampilan, Honda Fit Sport pasaran Amerika Syarikat ini dinaik taraf dengan spoiler hadapan, diffuser belakang, jalur oren, rim aloi 16 inci, kemasan muncung ekzos krom dan kemasan di bahagian tepi. Pada bahagian dalam pula, Fit Sport ini menggunakan banyak kemasan berwarna hitam dan jahitan benang oren.

    Walaupun begitu, bagi model biasa untuk pasaran Amerika Syarikat ini, ia dilihat mempunyai penampilan lebih matang berbanding Fit pasaran Jepun. Bampar dan grilnya kurang agresif dan lebih banyak menggunakan kemasan krom. Turut ditambah adalah dua pilihan warna baru iaitu Helios Yellow dan Orange Fury.

    Namun yang lebih penting adalah ciri keselamatan Fit Amerika Syarikat ini turut ditambah baik dengan kini mempunyai pakej Honda Sensing yang termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Brake Braking System (CMBS), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), dan Road Departure Mitigation (RDM) dengan Lane Departure Warning (LDW). Turut dipertingkat adalah sistem hiburan yang kini boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Honda Fit 2018 Amerika Syarikat dilengkapi dengan enjin empat silinder 1.5L DOHC i-VTEC dengan teknologi VTC dan ia mampu menghasilkan 130 hp dan 155 Nm tork. Dinamik pemanduannya turut dipertingkat dengan suspensi yang ditala semula, stereng yang lebih tegar dan tambahan penguat badan.

     
     
  • Mercedes-Benz S-Class W222 facelift dapat tambahan pilihan enjin – 6 silinder petrol + elektrik, V12 biturbo

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift  dapat tambahan pilihan enjin – 6 silinder petrol + elektrik, V12 biturbo

    Semasa pelancaran globalnya, Mercedes-Benz S-Class W222 facelift didedahkan dengan hanya beberapa konfigurasi, tetapi kini ia telah ditambah, menjadikan keseluruhannya terdapat 24 varian.

    Varian yang ada sebelum ini adalah S 350 d 4Matic (286 hp/600 Nm) dan S 400 d 4Matic (340 hp/700 Nm) yang menggunakan enjin diesel enam silinder sebaris 3.0 liter turbodiesel, dan untuk yang berenjin petrol pula adalah S 560 4Matic dan S 63 4Matic+ yang menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter dengan kuasa masing-masing 469 hp/ 700 Nm dan 612 hp/ 900 Nm.

    Ini kemudiannya diikuti model S 65 paling berkuasa, menggunakan enjin petrol V12 6.0 liter biturbo yang berkemampuan 630 hp dan 1,000 Nm tork dan S 560 4Matic, yang menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter seperti varian S 560 4Matic bukan Maybach yang disebut di atas.

    Kini, tiga lagi varian berenjin petrol ditambah kepada barisan sedan S-Class baru ini. Untuk S-Class biasa, tambahan baru ini terdiri daripada S 450 4Matic dan S 500, yang menggunakan enjin enam silinder sebaris petrol 3.0 liter M256. Enjin baru ini turut datang bersama starter/alternator dalaman 49 volt yang boleh memberikan tambahan 16 kW (21 hp) dan 250 Nm tork sekiranya perlu.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin kenderaan ini masing-masing adalah 362 hp dan 500 Nm untuk S 450, dan 429 hp dan 520 Nm untuk S 500. Menurut Mercedes-Benz, enjin baru ini juga menghasilkan pengeluaran karbon yang 2% lebih rendah berbanding enjin V8 4.7 liter biturbo pada S 500 sebelum ini.

    Varian paling tinggi bagi S-Class biasa adalah S 600, yang mendapat kuasa sebanyak 523 hp dan 830 Nm daripada enjin V12 6.0 liter biturbo. Tambahan terakhir adalah Mercedes-Maybach S 650, yang juga menggunakan enjin V12 sama seperti S 600, tetapi mempunyai kuasa sebanyak 621 hp dan 1,000 Nm tork.

    Model yang mempunyai ‘4Matic’ pada namanya dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda jenama itu, manakala yang lain dilengkapi dengan sistem pacuan dua roda belakang. Selain daripada itu, bagi versi Mercedes-Maybach, pelanggan boleh memilih jarak roda lebih ‘ekstra panjang’ (X222), dan model Mercedes-AMG hanya boleh didapati dalam versi jarak roda panjang, bersama S 600.

    Bagi varian S-Class yang lain (S 350 d 4Matic, S 400 d 4Matic, S 450 Matic, S 500, S 560 4Matic), pelanggan boleh memilih sama jarak roda pendek (W222) ataupun jarak roda panjang (V222). Selain penambahan ini, Mercedes-Benz turut mendedahkan bahawa Mercedes-Maybach S 650 dan Mercedes-AMG S 65 akan datang secara standard dengan sistem suspensi Magic Body Control. Sistem suspensi aktif ini juga ditawarkan sebagai pilihan pada S 560 dan Mercedes-Maybach S 560.

    Mercedes-AMG S 63 4Matic+ 2018

    Mercedes-AMG S 65 2018

    Mercedes-Maybach S 560 4Matic 2018

    Mercedes-Benz S-Class 2018

     
     
  • Toyota masih takluk pasaran 49 negara, berbanding Volkswagen di tempat kedua dengan hanya 14 negara

    Toyota masih takluk pasaran 49 negara, berbanding Volkswagen di tempat kedua dengan hanya 14 negara

    Tahun lalu, Volkswagen Group dilaporkan berjaya mengatasi jumlah jualan Toyota pada peringkat global, mendahului dengan jumlah sekitar 100,000 unit. Namun, jika jumlah tersebut dipecahkan mengikut dominasi negara, Toyota jelas masih lagi menakluk sejumlah besar pasaran-pasaran di dunia.

    Infografik di atas memaparkan analisis jumlah jualan untuk mendedahkan jenama paling laris pada setiap negara di dunia untuk tahun 2016 yang disediakan oleh Regtranfers. Menurut data berkenaan, Toyota merupakan pengeluar yang menjadi jenama paling laris dalam 49 negara, berbanding Volkswagen di tempat kedua dengan hanya 14 negara.

    Toyota jelas mendominasi pasaran-pasaran di Amerika Latin, Asia dan Afrika, manakala Volkswagen pula menumpukan pasaran mereka negara-negara Eropah seperti Switzerland, Belgium, Belanda, Sweden, Croatia, Belarus dan negara asalnya Jerman.

    Untuk Ford pula, mereka diihat menguasai pasaran di Amerika Syarikat, Kanada dan New Zealand. Renault dan Skoda nampaknya masing-masing mengungguli enam negara, manakala Fiat dan Dacia pula menguasai lima negara.

    Jika anda dapat lihat, bagi pasaran Malaysia ia diwakili logo Axia dan bukan Perodua, manakala pada bahagian atas logo tersebut ditulis sebagai milik jenama “Perodua Axia”, mungkin pihak Regtranfers tidak tahu Axia sebenarnya model keluaran jenama Perodua?

     
     
  • Volkswagen Vento dan Passat B8 ditawarkan dengan kadar faedah serendah 0.28% dan 0.88% setahun

    Volkswagen Vento dan Passat B8 ditawarkan dengan kadar faedah serendah 0.28% dan 0.88% setahun

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia kini sedang mengadakan promosi istimewa untuk model Vento dan Passat, di mana kedua-dua model itu ditawarkan dengan kadar faedah masing-masing bermula daripada 0.28% dan 0.88% setahun, sehingga 30 September ini.

    Promosi menarik ini diberikan kepada pelanggan yang memilih cara pemilikan sewa-beli biasa dengan tempoh pinjaman antara lima, tujuh atau sembilan tahun; bagi Vento ia sah untuk varian Trendline, Comfortline dan Allstar, manakala bagi Passat ia diberikan kepada varian Trendline dan Comfortline. Menjadikannya lebih menarik, pemilik juga dapat menikmati penyelenggaraan percuma selama lima tahun untuk kereta mereka.

    Bagi Vento, dalam promosi ini, kadar faedah yang diberikan adalah 0.28% untuk pinjaman lima tahun, 0.88% untuk tujuh tahun dan 1.28% untuk sembilan tahun. Bagi Passat pula, ia bermula 0.88% untuk tempoh pinjaman lima tahun, 1.28% untuk tujuh tahun dan 1.68% untuk sembilan tahun.

    Volkswagen Vento dan Passat B8 ditawarkan dengan kadar faedah serendah 0.28% dan 0.88% setahun

    Vento Trendline, Comfortline dan Allstar adalah sebuah model sedan empat pintu yang menggunakan gabungan enjin 1.6L dan transmisi automatik enam kelajuan, dengan kuasa maksimum sebanyak 105 PS dan 153 Nm tork. Bagi model Allstar, ia mempunyai tambahan aksesori seperti tempat duduk kulit, pedal sports, spoiler belakang, jalur hitam di tepi pintu dan lencana Allstar pada plet tepi pintu dan alas kakinya.

    Passat Trendline dan Comfortline pula dikuasakan oleh enjin 1.8L TSI yang dipadankan bersama kotak gear DSG tujuh kelajuan, dan ia mampu menghasilkan sehingga 180 PS dan 250 Nm tork. Antara ciri menarik yang ada pada Passat adalah termasuk fungsi start/stop, penjanaan semula kuasa brek, brek parkir elektrik dengan fungsi Hold, kawalan suhu tiga zon, enam beg udara, lampu kabus dan lampu membelok.

    GALERI: Volkswagen Vento 1.6L Allstar

    GALERI: Volkswagen Vento 1.6L Comfortline

    GALERI: Volkswagen Passat 1.8L TSI Comfortline

     
     
  • Prolintas umum laluan kontra di Persiaran Pulau Angsa sehingga 31 Dis 2018 bagi pembinaan DASH

    Prolintas umum laluan kontra di Persiaran Pulau Angsa sehingga 31 Dis 2018 bagi pembinaan DASH

    Klik untuk besarkan

    Bermula 15 Julai lalu, sistem laluan kontra di Persiaran Pulau Angsa, Shah Alam akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2018. Ini adalah bagi memberikan laluan kepada pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

    Menurut Pengurus Besar, Divisyen Komunikasi Korporat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Mohd Ramali Abu Bakar, perubahan laluan itu adalah sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan trafik bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuhraya DASH di kawasan berkenaan.

    Sehubungan itu, orang ramai diminta mematuhi arahan kawalan trafik bagi memastikan perjalanan yang lancar dan selesa. Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi Prolintas di talian hotline 1 300 88 5522 atau Facebook PROLINTAS Highways’ atau Twitter @myDASHofficial

    Projek DASH melibatkan lebuh raya tiga lorong sepanjang 20.1 kilometer bermula dari persimpangan Puncak Perdana hingga persimpangan Penchala dan menghubungkan Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Jalan Sungai Buloh, Institut Penyelidikan Getah, Kota Damansara, Damansara Perdana dan Mutiara Damansara.

     
     
  • MV Agusta buka pusat sehenti di Batu Caves, Selangor

    MV Agusta buka pusat sehenti di Batu Caves, Selangor

    Setelah dilantik sebagai pengedar rasmi baru untuk motosikal jenama MV Agusta di Malaysia, Moto Varese Asiatic telah membuka sebuah pusat servis dan gaya hidup di Batu Caves, Selangor. Turut hadir pada majlis pembukaan tersebut adalah pengarah bahagian kejuruteraan automotif JPJ, Datuk Ir Mohamad Dalib, pengarah bahagian jualan dan pemasaran MV Agusta, Raffaele Giusta dan pengarah eksekutif DNC Asiatic, Hu Ying.

    Selain tiga model yang pernah kami siarkan sebelum iaitu Brutale 800 pada RM87,331, Brutale 1090 pada RM93,691 dan Turismo Veloce 800 pada RM94,751, Moto Varese Asiatic turut mempamerkan model lain termasuk Dragster RR, Turismo Veloce Lusso RC dan F4RR, tetapi harganya masih belum diberitahu. Model edisi khas pula akan dibawa masuk hanya jika terdapat permintaan.

    Selain sebagai pusat jualan dan pameran, pusat sehenti tersebut turut menawarkan khidmat servis lengkap untuk motosikal MV Agusta dengan tenaga kerja yang terlatih dan kelengkapan profesional. Ia dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

     
     
  • Mazda ‘RX-9’ bakal muncul di Tokyo Oktober ini?

    Mazda RX-Vision 14

    Sudah berberapa kali pihak Mazda menafikan mereka akan menghasilkan legasi terbaharu kereta sports berenjin Rotary siri RX, dan menyatakan enjin Rotary generasi baharu mereka hanya akan digunakan sebagai enjin penambah jarak bagi sistem hibrid. Namun berita ‘kemunculan’ semula kereta sport berkenaan terus diperkatakan.

    Terbaharu, tiga portal dari Asia iaitu LeVolant Boost (Jepun), Thairath (Thailand) dan Auto Sina (China) melaporkan kereta sport Rotary generasi baharu Mazda yang akan digelar Mazda RX-9 bakal membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show Oktober ini, dan akan masuk ke pasaran pada 2019 nanti.

    Menurut laporan-laporan berkenaan, RX-9 tersebut bakal menampilkan rekaan yang diambil dari model konsep Mazda RX-Vision yang telahpun membuat kemunculan pada 2015 dahulu. Untuk janakuasa pula, ia akan menggunakan enjin Rotary turbo generasi baharu yang telah dipatenkan sebelum ini, digelar SkyActiv-R.

    Enjin SkyActiv-R tersebut menampilkan kedudukan port yang terbalik berbanding enjin Wankel-Rotary Mazda sedia ada (10A, 12A, 13B, dan 20B), di mana port ekzos diletakkan di bahagian atas dan port kemasukan pula diletakkan di bahagian bawah. Susunan semula kedudukan setiap port tersebut akan menambahbaik prestasi enjin Rotary ini.

    Mazda ‘RX-9’ bakal muncul di Tokyo Oktober ini?

    Posisi port kemasukan yang diletakkan di bahagian bawah membolehkan lebih kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran berikutan unit rotor berkenaan yang bergerak lebih jauh kebawah dan ‘mengaut’ lebih udara sebelum port tersebut ditutup. Mazda menggelar jumlah kemasukan udara secara semula jadi yang lebih banyak ini sebagai “efek induksi paksaan dinamik oleh efek inertia” membolehkan letusan pembakaran yang lebih besar berlaku seterusnya meningkatkan prestasi enjin.

    Kedudukan port ekzos yang telah diubah keatas pula membolehkan manifold ekzos diletakkan di bahagian atas dan membolehkan laluan ekzos menjadi lebih pendek, mengurangkan halangan serta menghasilkan lebih kuasa kuda. Kedudukan tersebut juga membolehkan pengecas turbo diletakkan di bahagian atas enjin, berbanding enjin 13B RX-7 FD-3S sebelum ini yang menyaksikan pengecas turbo terletak dibahagian bawah.

    Susunan ini membolehkan enjin diletakkan dengan kedudukan yang lebih rendah, membolehkan titik pusat graviti keseluruhan kereta tersebut juga menjadi lebih rendah, secara tidak langsung memberikan pengedalian yang lebih bagus. Tidak seperti sebelum ini dimana pengecas turbo yang diletakkan hampir dengan crossmember dan komponen lain di bahagian bawah menyebabkan enjin terpaksa diletakkan di posisi sedikit tinggi.

    Dari laporan tiga portal tersebut lagi, enjin SkyActiv-R baharu ini bakal menghasilkan 400 hp, manakala berat keseluruhan RX-9 tersebut dijangka sekitar 1,300 hingga 1350 kg. Ia turut menyatakan model baharu ini akan dijual lebih murah dari Nissan GT-R atau Honda NSX iaitu dalam anggaran 8 juta Yen hingga 10 juta Yen (RM300k-RM380k). Namun, segala yang dinyatakan ini tidak disertakan sekali dengan sumber yang kuat, membuatkan ia satu lagi khabar angin yang masih diragui.

    Tahun ini juga merupakan ulangtahun ke-50 enjin Wankel-Rotary Mazda setelah Mazda Cosmo Sport diperkenalkan pada tahun 1967 – pengenalan RX-9 ini dijangka sebagai menyambut ulangtahun berkenaan.

    GALERI: Mazda RX-Vision

     
     
  • Isu bekalan disk LKM akan segera diatasi – JPJ

    Isu bekalan disk LKM akan segera diatasi – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan akan menyelesaikan isu kekurangan bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) secepat mungkin. Ini berikutan masalah yang dihadapi oleh para pengguna untuk memperbaharui LKM baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ, gangguan bekalan LKM itu berpunca daripada kegagalan dan kerosakan mesin pencetak untuk mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada disk LKM. Kegagalan mesin pencetak ini berfungsi adalah disebabkan oleh kerosakan terhadap komponen utama mesin yang memerlukan kepakaran daripada pihak luar untuk melakukan kerja-kerja baik pulih. Disebabkan itu, stok LKM baharu tidak dapat dicetak dan menyebabkan syarikat pembekal tidak dapat membekalkan disk LKM kepada stor pusat di ibu pejabat JPJ.

    Untuk mengatasinya, tindakan drastik telah diambil oleh syarikat pembekal untuk membuat cetakan dan pengeluaran disk LKM dalam skala yang besar bagi membolehkan bekalan disk LKM disalurkan kepada cawangan JPJ atau melalui ejen seperti Pos Malaysia dan MyEG.

    Malah ibu pejabat JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM telah mengambil tindakan pantas menghantar bekalan sebanyak 20,000 disk LKM kepada JPJ Selangor sekali gus menyelesaikan masalah putus bekalan buat sementara waktu.

    Selain itu, bekalan stok yang sama turut diagihkan di negeri lain dan ejen pemungut sebanyak 20,000 disk LKM termasuk JPJ Wilayah Kuala Lumpur. Sebanyak 40,000 disk LKM diedarkan kepada Pos Malaysia serta 5,000 kepada MyEG.

    Menurut JPJ, dengan inisiatif dan pelan pemulihan yang diambil oleh syarikat pembekal, dianggarkan bekalan disk LKM sebanyak 50,000 keping sehari akan kembali seperti sedia ada.

     
     
  • LPT1 dan LPT2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos ini

    LPT1 dan LPT2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya mulai 14 Ogos ini

    Kesemua 19 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya mulai 12 tengahari 14 Ogos depan. Ini menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi.

    Menurut Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Noor Azmi Ghazali, pelancaran sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20% yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana transaksi secara Touch ‘n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat, laporan Bernama

    Katanya lagi, 19 plaza tol berkenaan iaitu sembilan terletak di LPT1 dan 10 di LPT2 kini telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan sistem berkenaan pada 14 Ogos nanti.

    “Semua plaza tol di LPT1 dan LPT2 akan memastikan kemudahan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch ‘n Go di lorong beroperasi 24 jam. Syarikat konsesi LPT1 iaitu Anih Berhad dan LPT2 (LPT2 Sdn Bhd) juga sudah pastikan kakitangan akan ditempatkan di lorong bagi membantu pengguna jika mereka menghadapi masalah ketika melaksanakan transaksi pembayaran tol elektronik.

    “LPT1 turut menyediakan kaunter penjualan kad Touch ‘n Go dan khidmat tambah nilai di Pusat Khidmat Pelanggan yang beroperasi 15 jam setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 10 malam,” katanya.

    Selain itu Anih Berhad turut menyediakan kiosk tambah nilai dan pembelian kad Touch ‘n Go menerusi konsep layan diri di R&R Temerloh dan Gambang

     
     
  • Toyota Vios Sports Edition dibuka tempahan – RM85k

    Toyota Vios Sports Edition dibuka tempahan – RM85k

    UMW Toyota Motor memperkenalkan varian istimewa bagi model Vios sempena dengan Toyota Gazoo Racing (TGR) Vios Challenge, malah tempahannya juga telah mula dibuka. Toyota Vios Sports Edition ini diinspirasikan dari jentera lumba yang bakal mengambil bahagian di dalam siri perlumbaan tersebut, dilengkapi dengan aksesori sport. Ditawarkan dengan hanya spesifikasi tunggal, Sports Edition dijual pada harga atas jalan RM85,300 (tidak termasuk insurans).

    Daripada imej yang diperagakan, Sport Edition ini berdasarkan varian asas 1.5J, dengan tambahan bodykit, spoiler belakang yang besar dan roda aloi pelbagai-jejari 15-inci sama seperti varian 1.5G bersama kekemasan hitam berbanding dua-tona. Ia juga dilengkapi dengan jaluran hitam dan merah pada badannya, juga diinspirasi dari jentera lumba.

    Toyota Vios Sports Edition dibuka tempahan – RM85k

    Di bahagian dalamnya, Sports Edition menerima tempat duduk sport, alas lantas dan tombol gear yang unik serta scuff plate iluminasi, serta pencahayaan bahagian kaki berwarna kuning jingga, berbanding biru seperti selalu. Selain itu, elemen standard yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus belakang, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, pemain CD/radio dengan Bluetooth, empat pembesar suara, dua beg udara dan kawalan kestabilan.

    Ia juga masih mengekalkan penjana kuasa 1.5 liter Dual VVT-i empat-silinder yang mampu menghasilkan output sehingga 107 PS pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT berbanding jentera lumba dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Sports Edition turut dilengkapi dengan suspensi sport yang mengurangkan ketinggian pengendaliannya sebanyak 27 mm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026