Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Hyundai i30 Fastback lima-pintu kini didedahkan

    Hyundai i30 Fastback lima-pintu kini didedahkan

    Jika anda tidak gemarkan i30 dalam bentuk hatchback yang tidak begitu praktikal atau wagon Tourer yang terlalu besar, Hyundai memberikan satu lagi pilihan bentuk badan yang menggabungkan pratikaliti dan rupa bentuk sporty iaitu Hyundai i30 Fastback lima-pintu. Model yang baharu sahaja didedahkan ini akan mula masuk kepasaran bermula awal tahun hadapan.

    Perubahan terbesar pada model ini tentulah pada bahagian belakang yang kelihatan lebih lonjong berbanding versi hatchback standard, dan turut diberikan lampu belakang baharu untuk disesuaikan. Walau bagaimanapun, Hyundai turut memberikan sentuhan semula pada muka Fastback ini bagi membezakannya dengan versi lain. Ia diberikan liang kemasukan udara lebih besar pada bampar hadapan, bersama liang tirus pada bahagian gril Cascading utama.

    Dengan rekabentuk badan baharu, i30 Fastback diukur 115 mm lebih panjang dan 30 mm lebih rendah berbanding versi Hatchback – ukuran penuh dicatatkan dengan 4,455 mm panjang dan 1,425 mm tinggi. Bumbung pada model ini sendiri sebenarnya 25 mm lebih rendah bagi menghasilkan kesan aerodinamik lebih baik serta memberikan rupa yang lebih dinamik. 5 mm lagi adalah disebabkan oleh suspensinya yang lebih pendek, serta 15% lebih keras bagi memberikan ketangkasan yang lebih baik.

    Hyundai i30 Fastback lima-pintu kini didedahkan

    Namun, kabin Fastback ini masih lagi seiras dengan i30 Hatchback, menampilkan skrin infotaimen utama yang kelihatan seperti terapung pado konsol tengah papan pemuka. Hyundai turut menawarkan pilihan sistem infotainmen standard dengan skrin monokrom lima-inci bersama sokongan Bluetooth, atau sistem dengan skrin sesentuh berwarna bersama fungsi kamera undur.

    Sistem tertinggi ditawarkan dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama sistem navigasi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta langganan servis LIVE secara percuma selama tujuh tahun; yang memberikan informasi masa sebenar terhadap cuaca, trafik, informasi kamera perangkap laju serta carian tempat menarik secara atas talian. Pengecas telefon bimbit tanpa wayar Qi turut diberikan.

    Sama seperti barisan i30 lain, versi Fastback ini turut diberikan sistem bantuan pemanduan Hyundai SmartSense meliputi sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) bersama opsyen pengesan pejalan kaki, Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Sistem Bantuan Kekal Laluan (LKAS), Pengesan Titik Buta (BSD), Fungsi Informasi Had Laju (SLIF) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA).

    Hyundai i30 Fastback lima-pintu kini didedahkan

    Model ini turut hadir dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Untuk model petrol, dua enjin turbo suntikan bahan api terus T-GDI ditawarkan iaitu 1.0 liter tiga silinder berkuasa 120 PS dan juga 1.4 liter empat silinder berkuasa 140 PS. Enjin 1.0 liter diberikan pilihan transmisi enam-kelajuan manual manakala untuk 1.4 liter diberikan pilihan sama ada manual atau tujuh-kelajuan klac-berkembar (DCT) automatik.

    Bagi pilihan enjin diesel pula, ia hadir dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder dengan dua pilihan talaan iaitu 110 PS dan 136 PS. Kedua-dua pilihan ini diberikan pilihan padanan transmisi sama ada enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan DCT automatik.

    Minggu lalu, Hyundai telah mendedahkan i30 Hatchback versi lebih liar yang dibina divisi perlumbaan jenama Korea berkenaan -Hyundai N- digelar i30 N berkuasa 275 PS/353 Nm. Menurut laporan Autocar, Hyundai dikhabarkan turut bakal membina model Fastback yang diberikan lencana N, dijana enjin lebih berkuasa iaitu sekitar 300 PS, membolehkan ia berpeluang untuk mencabar Honda Civic Type-R dan juga Renault Megane RS generasi baharu.

     
     
  • MRT Laluan SBK telah dilancarkan hari ini – diskaun tambang sebanyak 50% sehingga 31 Ogos 2017

    MRT Laluan SBK telah dilancarkan hari ini – diskaun tambang sebanyak 50% sehingga 31 Ogos 2017

    Fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) telah pun dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi. MRT Laluan SBK mempunyai 31 stesen dengan 19 stesen baharu bagi fasa kedua, di mana tujuh daripadanya merupakan stesen bawah tanah.

    Perkhidmatan yang akan beroperasi mengikut kekerapan setiap 3.5 minit ini, mempunyai empat gerabak dapat memuatkan seramai 1,200 penumpang bagi satu perjalanan. Dianggarkan sebanyak 400,000 penumpang sehari akan menggunakan pengangkutan moden ini. Projek mega infra rakyat itu yang menelan belanja RM21 bilion bakal merubah corak hidup bagi kira-kira 1.2 juta penduduk yang tinggal di sepanjang 51 km laluan tersebut.

    Malah ketika majlis pelancaran berlangsung, Perdana Menteri turut mengumumkan pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT Rapid KL sedia ada dan puluhan ribu pengguna baharu dijangka menikmati diskaun 50% ke atas tambang perjalanan mereka mulai esok sehingga 31 Ogos 2017

    MRT Laluan SBK telah dilancarkan hari ini – diskaun tambang sebanyak 50% sehingga 31 Ogos 2017

    Mengulas pengumuman Perdana Menteri tersebut, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan MRT SBK berkata pihaknya sedang bersiap sedia untuk menyelaraskan sistem tambang kesemua perkhidmatan terlibat untuk kemudahan semua pengguna.

    Selaras dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK kepada orang ramai mulai 4 petang ini, Zohari turut menyeru orang ramai untuk mengambil kesempatan menggunakan secara percuma perkhidmatan MRT fasa dua dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara sehingga tamat waktu perkhidmatan hari ini (17 Julai 2017) dengan tren terakhir berlepas dari Stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam ini.

    “Perkhidmatan fasa kedua MRT SBK akan beroperasi secara percuma di antara Stesen MRT Kajang dan Stesen MRT Muzium Negara, yang dihubungkan ke Stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah, pada hari ini sebelum ia dihubungkan dengan sepenuhnya dengan MRT fasa satu dari Stesen MRT Sungai Buloh dan stesen-stesen LRT dan KTM di dalam jaringan rel bersepadu Lembah Kelang mulai 6 pagi esok,” kata Zohari.

    MRT Laluan SBK telah dilancarkan hari ini – diskaun tambang sebanyak 50% sehingga 31 Ogos 2017

    Dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK, Zohari berkata lebih 1,200 anggota Rapid Rail yang ditugaskan untuk mengendalikan perkhidmatan MRT SBK turut bersedia menyambut bilangan pengguna baharu perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.

    Berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengguna baharu tersebut, terutamanya di stesen-stesen sambungan dan bersepadu, Rapid Rail telah dan sedang mengubahsuai beberapa stesen utama, antaranya Stesen LRT KL Sentral.

    “Anjung Timur (East Wing) Stesen LRT KL Sentral telah siap diubahsuai dan dibuka sepenuhnya mulai hari ini sebagai pintu masuk kedua Stesen LRT KL Sentral.

    “Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral dilengkapi Pejabat Khidmat Pelanggan; 17 pintu penghadang otomatik; empat eskalator, kamera litar tertutup, 11 mesin penjualan token, kemudahan menambah nilai Touch ‘n Go, dan kemudahan untuk penukaran kad MyRapid yang biasa,” kata Zohari sambil mengingatkan pemegang kad MyRapid untuk menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go yang baharu untuk memastikan perjalanan yang lancar di antara sistem LRT dan sistem MRT yang baharu tersebut,” ujarnya lagi.

    Tambah Zohari lagi, para pemegang kad MyRapid yang biasa (kad berwarna hitam) boleh menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go secara percuma di kebanyakan stesen LRT, BRT, dan monorel sehingga 31 Julai ini. Ia boleh dilakukan di Stesen LRT Subang Jaya, Stesen LRT Awan Besar, dan Stesen LRT Sri Rampai dari 7 pagi sehingga 7 petang, setiap hari, selain Pusat Kad Konsesi MyRapid di Hentian Akhir Bandar Pasar Seni.

     
     
  • Renault Megane RS baharu – lukisan paten tersiar

    Renault Megane RS baharu – lukisan paten tersiar

    Majlis pelancaran rasmi Renault Megane RS baru sememangnya ditunggu sekian lama, dan ia sebelum ini sudah pernah dipertonton semasa hari perlumbaan F1 di Monaco dan teaser juga sudah dikeluarkan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ia hanya akan tampil secara rasmi di Frankfurt Motor Show bulan September ini.

    Walaubagaimanapun, terbaru, gambar penuhnya tersebar dan ini adalah gambar paten yang dihantar kepada World Intellectual Property Organization. Sebagai sebuah model paling tinggi, model Megane Renault Sport adalah lebih agresif berbanding Megane GT.

    Paling jelas boleh dilihat di hadapan adalah lampu kabus LED dengan rekaan chequered flag, dan ia terletak di bahagian tepi bampar yang agresif dengan salur udara yang besar, dan terdapat lencana RS di bawah logo Renault. Lengkuk tayar hadapan pada kenderaan ini turut menempatkan salur udara.

    Pada bahagian belakang, Megane RS ini mendapat bampar yang mempunyai sirip menegak, diffuser yang besar dan muncung ekzos berkembar berbentuk trapezoid. Di kedua bucunya terdapat lampu LED nipis dan panjang, yang unik untuk model baru ini.

    Tiada informasi rasmi berkenaan enjin model ini, tetapi desas-desus mengatakan ia akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo dengan kuasa lebih 300 hp. Ia juga akan didatangkan dengan dua pilihan transmisi iaitu sama ada automatik klac berkembar EDC atau manual enam kelajuan.

     
     
  • Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 catat 8.3% peningkatan saman untuk pelbagai kesalahan lalu lintas – JPJ

    Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 catat 8.3% peningkatan saman untuk pelbagai kesalahan lalu lintas – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan penuh bagi Ops Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA 2017) pada 18 Jun 2017 dan berakhir pada 02 Julai 2017 yang lepas. Kejayaan Ops kali ini adalah hasil kerjasama secara National Blue Ocean Strategy atau NBOS dengan lapan agensi iaitu PLUS, LLM, AADK, PDRM, SPAD, JAS, JIM, MIROS dan JKJR.

    Ops HRA kali ini melibatkan anggota seramai 3128 pegawai dan anggota serta 815 aset penguatkuasa dengan beberapa pendekatan baharu telah digunakan oleh JPJ dalam usaha untuk mengurangkan kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Di antaranya, pemeriksaan bas di depoh sebelum tempoh ops iaitu (10-17 Jun), pemeriksaan bas dan pemandu di terminal (18 Jun-2 Julai), penguatkuasaan Khas Motosikal serentak seluruh Malaysia (22 & 23 Julai dan 1 & 2 Jun), penyamaran anggota sebagai penumpang bas. dan penambahan pemasangan tujuh kamera AwAS di tujuh lokasi kerap kemalangan.

    Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan secara rondaan di lebuhraya dan 102 kawasan kerap kemalangan di jalan persekutuan seluruh Malaysia turut dilakukan.

    Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 catat 8.3% peningkatan saman untuk pelbagai kesalahan lalu lintas – JPJ

    Tujuh lokasi yang kerap berlaku kemalangan

    Menurut JPJ lagi, bilangan kenderaan yang telah diperiksa adalah sebanyak 105,817 buah pada OPS HRA 2017 berbanding 90,568 buah pada OPS HRA 2016 dengan peningkatan sebanyak 16.8%.

    Manakala bilangan kenderaan yang diambil tindakan sebanyak 21,889 unit dengan pecahan kenderaan iaitu kereta sebanyak 7,536 unit, motosikal (7,050 unit), lori (6,827 unit) dan bas (476 unit).

    Malah sepanjang operasi ini, JPJ telah mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas tujuh kesalahan utama dengan mendakwa semua kes-kes ini di mahkamah. Kaedah ini menunjukkan kesan yang positif dalam mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan dan pemerhatian yang dijalankan terdapat segelintir sahaja pemandu yang melakukan kesalahan khasnya memandu menggunakan lorong kecemasan.

    Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 catat 8.3% peningkatan saman untuk pelbagai kesalahan lalu lintas – JPJ

    Di mana, sebanyak 422 kes melibatkan tidak memakai tali pinggang keledar, gagal patuhi lampu isyarat merah (364), memandu di lorong kecemasan (211), menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu (256), memandu di lorong kanan secara berterusan (75), memotong di garisan berkembar (217) dan memotong di sebelah kiri (235), menjadikan kesemua saman yang dikeluarkan adalah sebanyak 1,780 yang telah pun dikenakan tindakan mahkamah.

    JPJ turut melakukan penyamaran dalam 884 buah bas di seluruh Malaysia dan telah mengeluarkan saman sebanyak 612 notis saman terhadap pemandu dan pengusaha bas. Hasil ops kali ini mendapati sebanyak 168 kes kesalahan berhubung dengan ketiadaan pemandu kedua. Sebanyak 12,025 bas telah diperiksa di depoh dan terminal dan 12 orang pemandu gagal daripada 7,067 pemandu yang menjalani pemeriksaan saringan urin yang dilakukan oleh AADK.

    Manakala sebanyak 35,367 motosikal telah pun diperiksa dan sebanyak 3,585 buah motosikal telah di ambil tindakan manakala jumlah motosikal yang telah disita sebanyak 55 buah.

    Ops Hari Raya Aidilfitri 2017 catat 8.3% peningkatan saman untuk pelbagai kesalahan lalu lintas – JPJ

    Sepanjang tempoh Ops tersebut itu juga, di 21 lokasi pemasangan kamera AwAS sebanyak 13,806 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

    Manakala sepertimana yang telah dimaklumkan oleh pihak PDRM jumlah kemalangan meningkat sebanyak 7% iaitu 20,982 kes kemalangan pada tahun 2016 kepada 22,402 kes kemalangan pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, kematian akibat kemalangan telah menurun sebanyak 12% iaitu daripada 273 orang pada tahun 2016 kepada 239 orang pada tahun 2017.

    Penunggang dan pembonceng motosikal adalah merupakan penyumbang utama kepada kematian akibat kemalangan jalan raya iaitu sebanyak 170 kes pada tahun 2017 berbanding 186 kes pada tahun 2016 iaitu penurunan sebanyak 8.6%.

     
     
  • Porsche Panamera Turbo baharu kini di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 550 hp/770 Nm, RM1.55 juta

    Porsche Panamera Turbo baharu kini di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 550 hp/770 Nm, RM1.55 juta

    Setelah varian asas dan 4S masuk ke pasaran Malaysia April lalu, kini giliran varian paling berkuasa Panamera Turbo generasi kedua tiba ke bilik pameran tempatan. Model generasi baharu ini menerima pengecas turbo untuk kesemua varian bermula dari varian asas, jadi untuk versi tertinggi ini, abjad ‘T’ pada perkataan turbo tersebut diberikan huruf besar bagi membezakannya dari yang lain.

    Model ini dijana enjin petrol 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo, mengekstrak kuasa maksima 550 hp bermula 5,750 rpm hingga 6,000 rpm, dan tork puncak 770 Nm bermula 1,960 rpm hingga 4,600 rpm.

    Kuasa berkenaan adalah 30 hp/70 Nm lebih besar dari model Panamera Turbo generasi pertama, yang membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat dan 0-200 km/j dalam masa 12.7 saat dengan pakej opsyen Sport Chrono (model tanpa Sport Chrono 0.2 saat lebih perlahan dalam pecutan 0-100 km/j, dan 0.3 saat lebih perlahan untuk 0-200 km/j). Kelajuan maksima pula dicatatkan pada 306 km/j.

    Porsche Panamera Turbo baharu kini di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 550 hp/770 Nm, RM1.55 juta

    Enjin V8 dengan turbo berkembar tersebut juga menampilkan ciri nyah-aktif silinder, yang mampu mengubah operasi lapan silinder kepada hanya empat silinder ketika dalam kelajuan enjin 950 rpm hingga 3,500 rpm, dan tork dihadkan hanya pada 250 Nm ketika itu.

    Kuasa dari enjin dihantar ke kesemua roda menerusi sistem AWD dan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan. Manakala untuk pengendalian pula, kerangka badan Panamera Turbo ini disokong oleh sistem suspensi udara dengan teknologi tiga chamber, dikawal oleh Porsche Dynamic Chassis Control Sport, Porsche Torque Vectoring Plus dan penstabil daya oleng aktif.

    Stereng untuk gandar belakang turut ditawarkan sebagai ciri opsyen, bagi membantu ketangkasan pada kelajuan rendah serta kestabilan pada kelajuan tinggi.

    Porsche Panamera Turbo baharu kini di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 550 hp/770 Nm, RM1.55 juta

    Kabin versi Turbo ini masih menampilkan rekaan sama seperti Panamera generasi baharu lain – diberikan takometer analog tradisional yang dipadankan dengan sepasang paparan digital. Untuk infotaimen pula, konsol tengah papan pemuka kereta ini diberikan skrin sesentuh 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan juga kawalan menggunakan suara. Pada bahagian luaran, versi Turbo ini diberikan spoiler belakang yang bukan hanya boleh disorok, malah sayapnya turut boleh dipanjangkan.

    Porsche Panamera Turbo telah mencatatkan rekod sepusingan 7 minit 38 saat di litar Nürburgring Nordschleife , menjadikan ia antara kereta empat pintu terpantas dilitar berkenaan. Sehingga kini, rekod untuk kategori itu di Nürburgring dipegang oleh Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio, dengan catatan masa 7 minit 32 saat.

    Sebagai model tertinggi, Panamera Turbo dijual pada harga RM1.55 juta, berbanding model Panamera 4S dijual pada harga RM1.1 juta dan varian Panamera paling asas dijual dengan harga bermula RM890k. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah termasuk cukai terlibat, tetapi tanpa pendaftaran, cukai jalan serta insuran.

    Setiap pembelian Porsche Panamera Turbo dilindungi waranti empat-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma juga selama empat-tahun yang merangkumi servis, alat ganti dan upah kerja percuma.

    Gambar rasmi Porsche Panamera Turbo 2017

    Galeri: Porsche Panamera 4S 2017

    Galeri: Porsche Panamera 2017

     
     
  • Mitsubishi Indonesia keluarkan teaser MPV kecil yang akan membuat penampilan global di GIIAS 2017

    Mitsubishi Indonesia keluarkan teaser MPV kecil yang akan membuat penampilan global di GIIAS 2017

    Mitsubishi Indonesia, melalui laman webnya telah mengeluarkan satu gambar teaser yang diberitahu sebagai sebuah ‘small MPV‘ yang akan membuat penampilan global semasa acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 Ogos ini. Jika merujuk kembali kepada laporan sebelum ini, MPV yang dimaksudkan berkemungkinan besar adalah model Expander yang pernah dilihat diuji di negara tersebut dan mendapat inspirasi daripada model konsep XM.

    Menurut laman KompasOtomotif, media di Indonesia sebenarnya sudah mencuba MPV ini tetapi tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang perincian berkenaannya kerana mahu dibiarkan rahsia sehinggalah muncul secara rasmi nanti. Apatah lagi, saingan dalam segmen model ini adalah cukup kompetitif.

    Bersama gambar ini, Mitsubishi Indonesia turut memberitahu bahawa MPV ini akan dikeluarkan di kilang syarikat tersebut di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia dan menggabungkan keselesaan, fleksibiliti, prestasi serta kekuatan yang dibawa oleh SUV jenama itu yang terdahulu.

    MPV ini juga akan memiliki ukuran yang lebih lebar dan lebih besar dari MPV di kelasnya, dengan variasi bahagian dalam yang optimal, seterusnya bakal menetapkan tahap yang baru di dalam kelasnya. Bahagian hadapannya menerapkan rekaan ‘Dynamic Shield’ baru, manakala fender depan dan belakangnya adalah lebar untuk menjadikan ia nampak tegap.

    Sumber KompasOtomotif juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa MPV ini bukan setakat akan dijual di Indonesia, malah juga akan dieksport ke negara lain termasuk Eropah. Apabila dilancarkan nanti ia akan memberi saingan kepada antaranya Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Honda Mobilio, Honda BR-V dan Suzuki Ertiga.

    GALERI: Mitsubishi XM di Concept IIMS 2017

     
     
  • Digi iFleet sediakan platform UBI kepada penanggung insurans, penyesuaian kadar premium lebih mudah

    Digi iFleet sediakan platform UBI kepada penanggung insurans, penyesuaian kadar premium lebih mudah

    Susulan kepada liberalisasi dan pelaksanaan nyah-tarif insurans am di Malaysia yang diumumkan oleh Bank Negara dan sudah berlangsung kini, Digi melalui platfrom iFleet yang dibangunkannya mempelawa semua penanggung insurans yang berminat untuk menyertai Insurance Panel Programme yang menyediakan sebuah platform dikenali sebagai Usage-Based Insurance (UBI).

    Platform berkenaan membolehkan penanggung insurans untuk membangunkan dan menawarkan perlindungan insurans yang disesuaikan sepenuhnya berdasarkan lebih daripada 200 data pemandu masa nyata yang telah sedia ada. Platform ini terbuka kepada semua pemain di dalam industri insurans kenderaan yang mencari kelebihan untuk menawarkan produk yang boleh disesuaikan (customiseable) mengikut keperluan pelanggan mereka dalam menentukan kadar premium insurans selepas pelaksanaan pendekatan nyah-tarif insurans sejak 1 Julai lalu.

    Diuji sejak 2016, platform berkenaan telah melalui fasa ujian yang menyeluruh menggunakan fleet Digi sendiri, dengan melibatkan beberapa penanggung insurans seperti Tune Protect, Pacific Insurance serta beberapa lagi pihak yang menjadi pengguna terawalnya.

    Platform UBI iFleet ini merakam dan meninjau sehingga lebih daripada 200 poin data seperti jarak perjalanan, kelajuan, pecutan, brek mengejut, mengambil selekoh yang agresif dan banyak lagi. Ini dapat membantu dan memudahkan penanggung insurans merangka model risiko mereka.

    Digi iFleet sediakan platform UBI kepada penanggung insurans, penyesuaian kadar premium lebih mudah

    Data UBI yang tersedia ini telah membantu penanggung insurans terawal yang menggunakannya untuk mendapatkan kadar premium insurans bersesuaian yang lebih tepat berdasarkan prestasi kenderaan fleet mahupun pemilik kenderaan individu.

    Manfaat yang dapat dilihat pula ialah perubahan pada sikap pemandu. Digi mendapati hampir 50% pemanbah baikan dengan pemandu mengubah tabiat memandu kepada yang lebih baik serta jumlah kemalangan yang semakin berkurangan setelah menggunakan iFleet bagi 150 kenderaan lapangan yang berada di dalam penggunaan syarikat itu sendiri.

    Tahun lalu, premium insurans kenderaan yang dicatatkan berjumlah RM8.17 bilion, dengan kadar 66.9% tuntutan dilakukan bagi segmen ini. Digi berharap dengan pengenalan UBI ini, ia akan menggalakkan pemanduan yang lebih selamat serta dapat mengurangkan nisbah tuntutan insurans kepada penanggung insurans.

    Penyelesaian yang ditawarkan oleh iFleet UBI kini ditawarkan kepada penanggung insurans yang ingin mencari penawaran paling kompetetitf untuk produk mereka. Pihak yang berminat untuk menguji sistem ini atau menyertai program panel insurans boleh mendaftarkan minat mereka di sini.

    Digi iFleet sediakan platform UBI kepada penanggung insurans, penyesuaian kadar premium lebih mudah

    Selain itu, Digi turut akan melancarkan penyelesaian kenderaan yang berkaitan dengan iFleet UBI ini untuk kegunaan pemilik persendirian kenderaan di Malaysia pula, dengan telematik yang sama pada penghujung 2017 nanti.

    Ini bermaksud, peranti khas akan dipasang pada kenderaan pengguna untuk mengumpulkan data cara pemanduan serta data lain dari kenderaan, dan menjadikannya boleh dicapai oleh panel penanggung insurans sekiranya pengguna ingin memperbaharui insurans.

    Ini memberikan kemudahan dan kebebasan kepada pemilik kenderaan persendirian untuk menentukan premium terbaik yang ada untuk kenderaan anda, daripada panel penanggung insurans yang kompetitif yang menjadi sebahagian daripada panel program iFleet ini.

    Digi juga bekerjasama dengan penanggung insurans lain yang telah melancarkan produk insurans kenderaan mereka sendiri berasaskan telematik untuk menyediakan sambukan ke internet. Ini termasuk AXA Affin General Insurance (AAGI) yang memperkenalkan AXA FlexiDrive baru-baru ini.

     
     
  • Honda Civic Type-R versi perlumbaan TCR oleh JAS Motorsport – bakal buat penampilan untuk musim 2018

    Honda Civic Type-R versi perlumbaan TCR oleh JAS Motorsport – bakal buat penampilan untuk musim 2018

    Pembina Honda Civic Type-R untuk kejohanan global Touring Car Racing (TCR) – JAS Motorsport, hadir dengan pendedahan rupa jentera baharu mereka yang diasaskan dari Civic-R FK8 generasi baharu untuk menggantikan jentera FK2 Type-R sedia ada.

    Jentera perlumbaan versi baharu berkenaan menampilkan ruang roda lebih besar untuk memuatkan tayar dan rim lebih lebar bagi menghasilkan trek-roda yang lebih lebar. Ia juga diberikan kit aero lain yang lebih signifikat bersama sayap GT bersaiz besar pada bahagian belakang.

    Honda Civic Type-R versi perlumbaan sebenar ini bakal dijana oleh enjin 2.0 liter VTEC turbo asal, tetapi diberikan pengubahsuaian bagi memberikan kuasa akhir 334 PS/420 Nm berbanding kuasa sebenar 320 PS/400 Nm. JAS Motorsport menawarkan pilihan transmisi untuk bakal pembeli yang akan menggunakan jentera ini untuk perlumbaan TCR berkenaan – sama ada manual konvensional atau jenis sequential.

    Honda Civic Type-R TCR ini bakal membuat kemunculan sulungnya pada perlumbaan tersebut untuk musim 2018. Siri perlumbaan TCR ini diperkenalkan pada tahun 2015, sebagai alternatif lebih murah kepada perlumbaan peringkat tertinggi World Touring Car Championship (WTCC). Antara jentera jenama lain yang turut akan bertanding termasuk VW Golf GTI, Opel Astra, Kia Cee’d dan lain-lain.

     
     
  • Indian Scout Bobber 2018 diperkenalkan di pasaran AS

    Indian Scout Bobber 2018 diperkenalkan di pasaran AS

    Setelah menghentikan pengeluaran motosikal jenama Victory, syarikat induk jenama itu iaitu Polaris Corporation ingin memberi tumpuan kepada jenama Indian, dan terbaru, model Scout Bobber 2018 diperkenal. Ia masih lagi menggunakan enjin dua silinder V berkapasiti 1,133 cc dan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp dan 97.7 Nm seperti Scout sebelum ini, tetapi penampilannya adalah berbeza.

    Bagi menawarkan pengguna dengan sebuah motosikal jenis bobber terus dari kilang, model Indian Scout khas ini dilengkapkan dengan rim aloi 16 inci dan dibalut dengan tayar gemuk bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Selain daripada itu, pemegang jenis tracker juga adalah lebih lebar dan tempat meletak kaki dianjak 38 mm ke belakang.

    Bagi memberikan profail lebih rendah, motosikal ini menggunakan penyerap hentak belakang yang 25 mm lebih rendah manakala bahagian hadapan pula menggunakan fork teleskopik jenis kartrij dengan jarak pergerakan 120 mm. Jarak roda Scout Bobber adalah 1,562 mm dan beratnya adalah 254 kg. Dengan segala perubahan ini, Scout Bobber memberikan rasa dan tenaga menunggang yang berlainan.

    Melengkapkan gaya sebuah bobber yang garang, Scout Bobber didatangkan dengan pelindung enjin dan ekzos yang minimal, latar belakang meter serba gelap, penghadang lumpur yang pendek dan kemasan tempat duduk dua tona warna. Pada tangkinya yang berkapasiti 12.5 liter terdapat lencana Indian yang baru.

    Walaupun dinamakan sebagai model tahun 2018, Indian Scout Bobber akan dilancarkan pada hujung tahun ini di Amerika Syarikat dalam pilihan lima warna iaitu Indian Motorcycle Red, Thunder Black, Thunder Black Smoke, Star Silver Smoke dan Bronze Smoke, namun harganya masih belum didedahkan.

     
     
  • Petronas lanjutkan tajaan untuk pasukan Mercedes F1

    Petronas lanjutkan tajaan untuk pasukan Mercedes F1

    Dalam perlumbaan Formula 1, pasukan Mercedes antara yang paling menonjol dan konsisten kini, antaranya telah memenangi tiga kejuaraan sebelum ini. Dan, untuk itu, tidaklah terlalu susah untuk memahami logik ini, yang menyaksikan Petronas kini melanjutkan tajaannya ke atas pasukan berkenaan, juga dalam usaha mengukuhkan jenama tempatan itu di mata dunia.

    Walaupun sebelum ini tersebar khabar angin yang menyatakan bahawa Petronas tidak akan lagi meneruskan program penajaan syarikat itu bersama pasukan Mercedes F1, serta ura-ura bahawa pasukan itu juga akan menarik diri daripada F1, semua ini kini semakin jelas – yang berlaku adalah sebaliknya.

    Kini, Petronas telahpun menandatangani perjanjian untuk melanjutkan tajaan bagi tempoh beberapa tahun lagi sebagai penaja utama bagi pasukan juara F1 itu. Perkara ini didedahkan ketika British GP berlangsung dan menyaksikan pemandu British, Lewis Hamilton sekali lagi muncul juara. Difahamkan, perjanjian itu sudah pun ditandatangani pada penghujung 2016 tetapi tidak dihebahkan oleh kedua-dua pihak terlibat.

    “Perlumbaan tahun ini akan melibatkan tahap tenaga yang berbeza. Dengan peraturan baru, serta banyak lagi kelainan yang dapat disaksikan oleh peminatnya, sukan permotoran ini semakin mencatatkan jumlah penonton yang ramai dan itu satu perkembangan yang baik.

    “Dan, bagi kami di Petronas, sumbangan teknikal kami akan menjadi lebih penting dan kritikal tahun ini disebabkan oleh saingan yang begitu sengit,” jelas Presiden dan CEO Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    Petronas menjadi rakan penaja bagi Mercedes sejak pengeluar kenderaan dari Jerman itu kembali ke dalam F1 pada 2010, dan turut menyumbang kepada kejayaan pasukan berkenaan dari sudut teknikal. Semoga usaha sama ini terus berlangsung dengan sihat dan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

     
     
  • Polestar bakal bina kereta sport jenamanya sendiri?

    Polestar bakal bina kereta sport jenamanya sendiri?

    Setelah dibeli sepenuhnya oleh Volvo pada tahun 2015, Polestar dikenali sebagai penala rasmi dan divisi perlumbaan jenama dari Sweden berkenaan – sama seperti Mercedes-AMG dan BMW M. Namun, jenama tersebut telah dilancarkan semula baru-baru ini bagi menjadikan ia sebagai jenama bebas, bukan hanya sebagai penala kereta-kereta Volvo sedia ada.

    Oleh itu, Polestar dikhabarkan akan menghasilkan sebuah model sports coupe dengan logonya sendiri (tanpa jenama Volvo), yang bakal menggunakan banyak komponen gentian karbon bersama enjin berkuasa sekitar 600 hp, lapor Autocar.

    Menurut portal berkenaan lagi, model tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada Frankfurt Motor Show tahun ini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah dibina dari mula oleh Polestar, sebaliknya ia akan menggunakan platform Volvo sedia ada dan diberikan ubahsuai berat dan diberikan elemen-elemen tersendiri.

    Polestar bakal bina kereta sport jenamanya sendiri?

    Polestar exterior static dark shots

    “Polestar bakal menikmati teknologi spesifik dan sinergi kejuruteraan bersama Volvo Cars dan mendapat faedah dari skala ekonomi yang signifikant kerana hubungannya dengan Volvo. Sinergi ini membolehkan ia untuk merekabentuk, membangunkan dan membina kereta berprestasi tinggi dengan teknologi elektrik berkelas dunia,” kata petikan rasmi syarikat berkenaan.

    Jadi, boleh dijangkakan, model berprestasi tinggi ini akan dijana oleh janakuasa hibrid gabungan enjin petrol dan motor elektrik yang bakal ditala untuk prestasi pemanduan, dan bukan untuk penjimatan bahan api. Setakat ini, Volvo mempunyai unit janakuasa T8 Twin Engine berkuasa 407 hp/640 Nm yang dipadankan pada SUV XC90 dan XC60 – calon terbaik untuk digunakan pada sports coupe yang diandaikan bakal dibina berdasarkan platform Volvo S60 sedia ada.

    Unit janakuasa tersebut juga sebenarnya telah mendapat sentuhan Polestar sebelum ini menerusi pakej Polestar Optimisation yang ditawarkan untuk pemilik-pemilik XC90 yang mahukan lebih kuasa – menghasilkan kuasa akhir 421 hp/680 Nm.

     
     
  • KTM RC390 2017 diperkenal dengan pelbagai naik taraf

    KTM RC390 2017 diperkenal dengan pelbagai naik taraf

    Pengeluar motosikal dari Austria, iaitu KTM telah memperkenalkan RC390 2017, dengan pelbagai pembaharuan. Antara yang utama adalah motosikal sports tersebut kini dilengkapi dengan sistem pendikit ride-by-wire, untuk menghantar input penunggang kepada enjin satu silinder 373.2 cc yang digunakan.

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, klac slipper assist baru dan ekzos yang kini keluar ke atas pada bahagian kanan motosikal, dan kesemua pembaharuan ini dikata dapat menghasilkan kuasa yang lebih lancar dan menepati tahap emisi Euro 4. Sebelum ini, RC390 menggunakan ekzos pendek yang berakhir di bahagian bawah motosikal.

    Sudah tentu, bagi memberi penampilan yang lebih segar dalam pasaran, RC390 diberi grafik dan fairing baru, namun ia tidak berhenti setakat di situ kerana prestasinya juga ditambah baik dengan adanya cakera brek lebih besar (+20 mm menjadi 320 mm) dan tuil klac serta brek yang boleh dilaras. Angkup brek pula masih adalah unit daripada Bybre.

    KTM RC390 2017 diperkenal dengan pelbagai naik taraf

    Tempat duduk RC390 adalah unik kerana ia kelihatan seperti hanya memiliki satu tempat duduk, tetapi sebenarnya bahagian belakang tersebut adalah span yang masih boleh digunakan untuk membawa penumpang. Bagi model tahun 2017 ini, tempat duduk belakang tersebut dijadikan lebih selesa, tapi masih mempunyai bentuk sama. Cermin sisi juga dijadikan lebih lebar.

    Setakat ini masih belum ada berita bila model RC390 2017 ini akan tiba di Malaysia, tetapi bagi model sebelum ini, yang mempunyai kuasa 40 hp dan 32.9 Nm tork, ia dijual pada harga RM27,200 termasuk GST, tanpa insurans dan pendaftaran.

     
     
  • MRT jadi penanda aras kepada semua perancangan pengangkutan awam untuk masa depan – SPAD

    MRT jadi penanda aras kepada semua perancangan pengangkutan awam untuk masa depan – SPAD

    Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah menyatakan, sistem Mass Rapid Transit (MRT) adalah sebuah penanda aras bagi semua perancangan dan pembangunan pengangkutan awam untuk masa hadapan, mengambil kira keperluan perhubungan serta meningkatkan kualiti kehidupan warga kota, lapor Bernama.

    Jelas beliau lagi, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan bagi tempoh enam tahun untuk mengubah kaedah penggunaan pengangkutan awam, yang telah menyumbang kepada peningkatan kepada 1.1 juta pengguna ketika ini.

    Hari ini, laluan penuh MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa dua akan dilancarkan secara rasmi, melibatkan laluan dari stesen Semantan hingga ke stesen Kajang. Ia mampu menampung kapasiti pengguna harian seramai 400,000 orang. Dengan jarak perjalanan 51 km keseluruhannya dari stesen terakhir laluan berkenaan, tempoh yang diperlukan dari satu hujung ke satu hujung yang lain ialah 84 minit – dengan kekerapan tran dalam masa 3.5 minit pada waktu puncak.

    MRT fasa baru ini melibatkan 14 stesen yang dilengkapi dengan tempat letak kereta serta 300 bas perantara yang beroperasi dalam jarak 5 hingga 7 km dari stesen yang ada.

    Beliau juga menegaskan, pembangunan MRT Jajaran 2 dari Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan MRT Jajaran 3 dari Bandar Utama-Johan Setia turut dijangka akan membuka lebih banyak peluang pembangunan berorientasikan transit (TOD).

     
     
  • MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman baharu yang merupakan model MINI paling berkuasa serta eksklusif pernah dibina oleh jenama premium Britain itu. Model tersebut dilancarkan pada acara MINI Track Days 2017 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.

    MINI John Cooper Works Clubman baharu merupakan gabungan prestasi yang versatil dan reka bentuk sofistikated. Bersaiz besar dan pintu yang terpisah pada bahagian belakang membuatkannya begitu fleksibel untuk apa jua keadaan. Manakala MINI John Cooper Works Countryman baharu pula dibina untuk mereka yang gemarkan cabaran. Kuasa dan saiznya yang mengagumkan itu mampu membawa anda ke mana sahaja termasuk pemanduan di laluan biasa mahupun off-road.

    Model-model John Cooper Works dibina untuk memberi keterujaan, biarpun ketika anda masih belum masuk ke dalam kabinnya. Penampilannya yang garang dan mengambil inspirasi perlumbaan itu digabungkan dengan material berkualiti terbaik. Manakala pelbagai penambahbaikan dari segi visual nyata meletakkan John Cooper Works dalam liganya yang tersendiri.

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    Gayaan yang menyerlah pada bahagian luaran MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman baharu meliputi Bodykit Aerodinamik John Cooper Works. Selain rim John Cooper Works Course Spoke bersaiz 19-inci berwarna hitam (Burnish Black), gril John Cooper Works, bumbung dan perumah cermin sisi berwarna merah (Chili Red), pelekat badan merah, spoiler belakang, paip ekzos besi tahan karat, ketutup sisi (Side Scuttles) serta Sil Pintu John Cooper Works.

    Model-model baharu MINI John Cooper Works menampilkam pancaran Logo MINI Yours. Logo MINI akan dipancarkan ke tanah dari cermin sisi bahagian pemandu setiap kali kereta dikunci atau dibuka. Eksklusif untuk MINI John Cooper Works Countryman, satu kerusi piknik yang boleh dilipat keluar dari but menawarkan tempat duduk yang selesa di atas ruang penyimpanan barang.

    Jentera ini juga menawarkan akses mudah yang membolehkan urusan membuka pintu, but dan menghidupkan enjin tanpa perlu menggunakan kunci. Aspek kemudahan ditingkatkan lagi dengan Pintu Belakang Automatik yang mudah dibuka. Alat pengesan yang diaktifkan menerusi pergerakan kaki berfungsi membuka dan menutup pintu tanpa perlu menekan sebarang butang. Fungsi ini sangat mudah terutama katika tangan anda penuh dengan barang.

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    Beralih ke ruang dalamannya, varian baharu John Cooper Works meneruskan semangat sukan bermotor. Tempat duduk sport John Cooper Works bersama upholsteri kulit Dinamica berwarna hitam (Carbon Black) dan jalur merah direka untuk membolehkan pemandu mengawal kuasa luar biasa sepenuhnya. Tempat duduk itu juga menawarkan sokongan lateral tambahan apabila pemandu mengambil selekoh dengan pengendalian MINI yang seperti sebuah go-kart sebenar. Jentera ini dikendalikan menerusi stereng John Cooper Works yang dibalut kulit dan dikawal oleh pedal besi tahan karat.

    Reka bentuk yang diinspirasikan oleh sukan bermotor juga boleh dilihat pada kluster instrumen dan kemasan paparan tengah John Cooper Works. Pada waktu malam, pengalaman memandu diserlahkan lagi menerusi ciri kemasan permukaan kokpit yang diiluminasi (MINI Yours Illuminated Cockpit Surface) dalam warna hitam berkilat (Piano Black) pada MINI Countryman. MINI Clubman pula menggunakan kemasan gentian aloi untuk gayaan dalaman beriluminasinya (MINI Yours Illuminated Interior Style).

    Model-model baharu MINI John Cooper Works dipasang dengan Paparan Head-Up berkonstras tinggi. Ia memaparkan semua maklumat penting yang diperlukan oleh pemandu – kelajuan, kedudukan gear, masa terbaik untuk menukar gear dan paparan rev.

    Navigasi 3D boleh dioperasi menerusi skrin bersaiz 8.8-inci, di mana fungsi pisahan skrin membolehkan dua paparan peta dibuat masa yang sama. Buat pertama kalinya, skrin ini boleh dioperasi menggunakan teknologi skrin sentuh menerusi MINI Tounch Controller pada konsol tengah. Beberapa ciri lain yang turut ditawarkan ialah MINI Connected, Ketersambungan Bluetooth, storan 20GB untuk muzik dan gegelung LED pada instrumen tengah.

    Satu lagi fungsi baru pada model-model MINI John Cooper Works ialah MINI Find Mate yang boleh membantu memantau apa sahaja yang dimahukan oleh pemandu. Ia hadir dengan dua tag Bluetooh yang boleh diletakkan pada beg atau kunci. Ciri ini membolehkan barangan yang telah ditag ini berada di dalam kenderaan atau tidak. Jika tidak, satu isyarat bunyi akan diberi dan lokasi barangan tersebut dihantar ke telefon pintar pemandu. Jika barangan tersebut berada dalam jarak yang jauh, kereta akan memberi navigasi kepada pemandu untuk pergi ke lokasi terakhir ia berada.

    Dari segi hiburan, sistem bunyi Harman Kardon telah direka dan dipasang agar sesuai dengan ruang kabin kereta. Dengan kuasa 410-watt, sistem bunyi itu menjanjikan pengalaman mendengar muzik yang luar biasa. Sistem bunyi tersebut terdiri daripada empat unit pembesar suara julat sederhana pada pintu hadapan dan belakang. Selain dua unit bass tengah yang disimpan kemas di bawah tempat duduk hadapan.

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    Model-model baharu MINI John Cooper Works juga tampil dengan ciri Parking Assist yang membantu memarkir MINI di ruang selari secara automatik. Manakala urusan untuk masuk dan keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah dengan Kamera Undur, satu ciri standard untuk varian MINI Clubman dan Countryman ALL4 baharu.

    Dijana oleh enjin termaju, kedua-dua varian John Cooper Works baharu ini menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan Teknologi MINI TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 231 hp dan tork 350 Nm. Ia juga menawarkan keseimbangan di antara kuasa dan penjimatan bahan api yang sempurna.

    Enjin berkelajuan tinggi ini juga memberikan pemandu pengalaman pemanduan seperti go-kart yang maksimum. Ini kerana MINI John Cooper Works Clubman berupaya mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat. Sementara MINI John Cooper Works Countryman dapat melakukan perkara sama dalam tempoh cuma 6.5 saat.

    Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapankelajuan Steptronic Sports. Ia membolehkan model-model John Cooper Works menjadi lebih sporty, efisien dan selesa kerana tetapan penukaran gear yang lebih pantas. Kedudukan gear juga boleh ditukar secara manual menerusi paddle shifter. Padanan itu memberikan MINI John Cooper Works Clubman baharu tahap penggunaan minyak sekitar 7.2 liter bagi setiap 100 kilometer. Manakala MINI John Cooper Works Countryman pula menawarkan gabungan penggunaan minyak sekitar 7.4 liter untuk setiap 100 kilometer.

    Untuk talaan kenderaan yang bersifat individu, Mode Pemanduan standard MINI membolehkan kenderaan ditala berdasarkan kepada kondisi jalan rata dan kecederungan pemandu. Dengan memutar suis rotari pada bahagian bawah gear atau tuil pemilih, pemandu boleh mengaktifkan talaan SPORT, MID dan GREEN. Khas untuk MINI John Cooper Works Countryman baharu, talaan Kawalan Peredam Dinamik ada ditawarkan.

    Karekteristik peredam yang dikawal secara elektrik pada MINI John Cooper Works Countryman baharu dipacu untuk corak pemanduan dinamik dalam mode SPORT. Ia juga menyokong gaya pemanduan lebih selesa dalam dua mode lain. Mode GREEN direka untuk pemanduan yang selesa dengan kecekapan optimum. Dalam mode GREEN, rangkaian kuasa digandingkan pada kelajuan di antara 50 hingga 160 km/j, sebaik sahaja pemandu mengalihkan kaki daripada pedal pendikit.

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    Sistem brek yang dibangunkan khas untuk kedua-dua model John Cooper Works ini memastikan ia sepadan dengan prestasi yang ditawarkannya. Direka hasil kerjasama dengan pakar pengeluar brek Brembo, angkup brek cakera dengan empat omboh itu menjanjikan prestasi membrek yang konsisten, biarpun apabila terdedah kepada tekanan melampau di atas trek perlumbaan. Angkup brek diserlahkan lagi dengan warna merah dan logo John Cooper Works.

    Sistem Dynamic Stability Control memastikan cengkaman yang optimum ketika memecut, lincah sewaktu mengambil selekoh dan selamat apabila kenderaan diperlahankan. Fungsi-fungsinya termasuklah Dynamic Traction Control (DTC), Electronic Differential Lock Control (EDLC) – yang bertindak sebagai satu fungsi kunci elektronik pada pembeza gandar hadapan. Ciri Performance Control pula menjanjikan pengendalian lincah apabila mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

    MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu merupakan model generasi terkini yang dilengkapi sistem pacuan semua roda ALL4 sebagai satu ciri standard. Agihan kuasa tork di antara roda hadapan dan belakang yang dikawal secara elektronik menawarkan pecutan mantap dan meningkatkan aspek kelincahannya ketika mengambil selekoh. Bukan itu sahaja, sistem ALL4 memastikan tahap cengkaman terbaik dan kestabilan pemanduan yang optimum dalam apa jua cuaca serta permukaan jalan raya.

    Memandangkan ia disambungkan dengan Dynamic Stability Control DSC, ALL4 memastikan agihan kuasa tork dapat diadaptasi secara pantas dan tepat untuk apa jua situasi pemanduan. Sekali gus menyerlahkan karekter atletik serta versatiliti MINI John Cooper Works Clubman dan Countryman baharu.

    MINI John Cooper Works Clubman, Countryman dilancarkan untuk pasaran Malaysia – dari RM329k

    Versi terkini sistem pacuan semua roda ALL4 terdiri daripada satu gear bevel pada pembeza gandar hadapan yang dikenali sebagai pelancaran kuasa. Di samping satu aci pendorong dua bahagian dan satu pembeza gandar belakang dengan klac hang-on yang dikawal secara elektrohidraulik. Prinsip kejuruteraan ini bukan sahaja menawarkan struktur yang kompak dan ringan, malah perubahan agihan kuasa yang efisien.

    Model-model baharu MINI John Cooper Works didatangkan dalam warna hijau (Rebel Green) dan hitam (Midnight Black). Warna perak putih (White Silver) ditawarkan secara eksklusif untuk MINI John Cooper Works Clubman baharu. Manakala warna putih (Light White) pula khas untuk MINI John Cooper Works Countryman baharu.

    Berkenaan dengan harga atas jalannya (tanpa insurans), MINI John Cooper Works Clubman ditawarkan pada RM328,888, manakala MINI John Cooper Works Countryman RM348,888. Ia juga hadir dengan Jaminan Tanpa Had Perbatuan selama empat tahun dan Servis Berjadual Percuma.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan program Bantuan Tepi Jalan oleh MINI Malaysia selama lima tahun. Sah untuk semua kenderaan MINI baharu, program itu hadir bersama senarai perkhidmatan yang komprehensif termasuklah Bantuan Telefon Kemalangan dan On the Spot Hotline, 24 Jam, 365 hari setahun, Servis Tunda Percuma, Penyelesaian Perkhidmatan Mobiliti dan servis Penghantaran Pulang.

    GALERI: MINI John Cooper Works Clubman

    GALERI: MINI John Cooper Works Countryman

     
     
  • Moto Guzzi kembali ke Malaysia dengan model tahun 2017 – harga bermula RM66,900 untuk V7 III Stone

    Moto Guzzi kembali ke Malaysia dengan model tahun 2017 – harga bermula RM66,900 untuk V7 III Stone

    Motosikal jenama terkenal dari Itali iaitu Moto Guzzi kini kembali ke Malaysia hasil kerjasama antara Piaggio Asia Pacific dan Didi Resources. Sebagai permulaan, syarikat itu memperkenalkan tiga model secara awal kepada wakil media iaitu V7 III Stone, V7 III Racer dan V9 Roamer, pada harga jualan masing-masing RM66,900, RM81,900 dan RM73,900. Harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa cukai jalan dan insurans.

    Sebagai pengedar rasmi baru Moto Guzzi, Didi Resources juga telah melabur dengan pembukaan pusat 3S di Gasket Alley, Petaling Jaya, Selangor dan menurut pengerusinya, tempat ini bukan setakat menyediakan khidmat servis, tetapi juga perkara berkaitan gaya hidup bermotosikal seperti aksesori, tempat makan dan barangan cenderamata.

    Model V7 III menggunakan enjin dua silinder V melintang berkapasiti 744 cc, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan ia mampu menghasilkan sehingga 52 hp pada 6,200 rpm dan 60 Nm tork pada 4,900 rpm. Pada bahagian hadapan ia dilengkapi dengan brek cakera 320 mm dan angkup Brembo manakala di belakang pula terdapat brek cakera 260 mm dan angkup terapung dua piston.

    Sebagai model permulaan Moto Guzzi, V7 III Stone didatangkan dengan tangki minyak 21 liter, rim aloi 18 inci di hadapan, 17 inci di belakang, fork hidraulik 40 mm di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan mencatat berat 209 kg. Pilihan warna pula terdiri daripada Nero Ruvido (hitam), Azzuro Elettrico (biru), Verge Camouflage (hijau) dan Giallo Energico (kuning).

    V7 III Racer pula adalah model keluaran istimewa dengan setiap satunya mempunyai nombor siri, dan spesifikasinya sama seperti V7 III Stone, cuma penyerap hentak belakang ditukar dengan unit daripada Ohlins, rim lidi (spoked) 18 inci di hadapan, 17 inci di belakang dan disudahi dengan warna krom bersama kemasan merah.

    Moto Guzzi kembali ke Malaysia dengan model tahun 2017 – harga bermula RM66,900 untuk V7 III Stone

    Pergi kepada model V9 pula, ia menggunakan enjin dua silinder V melintang 853 cc serba baru, dan mampu menghasilkan sehingga 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm. Ia direka lebih kepada tugas meluncur santai dan datang dengan brek cakera 320 mm tunggal dan angkup empat piston di hadapan dan cakera 320 mm serta angkup dua piston di belakang. Rim yang digunakan pula bersaiz 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Berat V9 adalah Roamer adalah 199 kg manakala tangkinya berkapasiti 15 liter.

    Barisan motosikal Moto Guzzi di Malaysia kemudiannya akan ditambah dengan V9 Bobber yang akan dijual pada harga RM74,900, V7 III Special pada harga RM71,900 dan V7 III Anniversario pada RM80,900. Semua motosikal Moto Guzzi ini dilengkapi dengan brek ABS dan traction control secara standard.


    GALERI: Moto Guzzi V9 Roamer

    GALERI: Moto Guzzi V7 III Stone

    GALERI: Moto Guzzi V7 III Racer

     
     
  • Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Setelah dijanjikan pendedahan yang akan dilakukan sebelum ini, Honda Accord generasi kesepuluh akhirnya diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global. Model 2018 ini secara keseluruhannya menampilkan rekaan baharu sepenuhnya, serta diperkenalkan dengan barisan unit janakuasa baharu serta dilengkapi pelbagai teknologi terkini.

    Rekaan luaran Accord generasi baharu berkenaan menerapkan asas yang hampir serupa dengan adiknya iaitu Civic – dilihat seperti Civic dengan skala yang lebih besar. Mukanya diberikan lampu LED penuh hadapan dengan rekaan tirus, dan dilihat seperti bersatu dengan gril krom solid wing baharu Honda.

    Ia juga menerima bampar hadapan dengan gril bawah yang nampak seperti bersambung dengan gril utama, dan turut diberikan lampu kabus LED.
    Bahagian sisi, Accord diberikan bentuk badan dengan rekaan coupe empat pintu sama seperti Civic. Selain dari garis bumbung yang direka tirus dan landai, quarter window pada tingkap pintu belakang telah dialihkan ke bahagian badan.

    Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Namun untuk bahagian belakang, Accord menampilkan rupa yang berbeza dari Civic dengan menampilkan rekaan lampu yang lebih tirus. Apa yang menarik, lampu tersebut turut bersambung pada penutup but tetapi dengan dua bahagian berasingan – dihubungkan oleh lampu utama pada bahagian badan. Model baharu ini turut diberikan dua tip ekzos.

    Menurut Honda, keberkesanan aerodinamik pada model baharu ini telah dipertingkatkan sebanyak 3% berbanding model sedia ada, dan ia adalah Accord dengan kesan aerodinamik terbaik setakat ini.

    Berbanding Civic generasi kesepuluh yang sememangnya membesar berbanding model generasi kesembilan, Accord baharu ini mempunyai saiz keseluruhan lebih kurang sama dengan model sedia ada. Malah, Accord 2018 ini sebenarnya lebih pendek 10 mm (4,880 mm) dan 15 mm lebih rendah dari model sebelumnya, tetapi ia 10 mm lebih lebar (1,860 mm) dan jarak rodanya juga 55 mm lebih panjang (2,830 mm).

    Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Walaupun dengan saiz lebih kurang sama, perubahan besar pada jarak roda menandakan Honda telah mengatur semula permainan ruang untuk model baharu ini. Kini, tempat duduk belakang dapat ditempatkan lebih jauh kebelakang, memberikan 50 mm lebih ruang kelegaan lutut. Rekaan tempat duduk berkenaan juga dapat menambah baik ruang kelegaan bahu dan juga kepala, manakala untuk ruang but pula ia kini 28 liter lebih besar (473 liter).

    Ruang dalaman yang telah membesar ini turut diberikan komponen-komponen yang diperbuat dari material yang lebih bermutu tinggi bagi memberikan suasana yang lebih premium. Sudut pandangan hadapan juga kini lebih luas dengan bahagian bawah cermin kini lebih rendah manakala tiang-A kini 20% lebih kurus dan ia ‘ditolak’ lebih kebelakang.

    Perehat tangan kini direka lebih besar bersama balutan yang lebih tebal. Tempat duduk juga diberikan sokongan pada bahu yang lebih tinggi, bersama balutan alas yang lebih tepat dengan kekenyalan bervariasi – mempertingkatkan keselesaan serta sokongan badan. Tempat duduk pemandu pula ditawarkan dengan larasan berkuasa 12-hala, manakala kesemua tempat duduk diberikan liang serta sistem pemanas.

    Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Pemandu kini diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin tujuh-inci baharu. Manakala untuk sistem infotaimen Display Audio, skrin sesentuh utama pada konsol tengah diberikan dalam saiz lapan-inci – kini turut diberikan tombol kawalan sebenar untuk suara dan carian siaran setelah kawalan maya pada skrin sebelum ini (pada Jazz, Civic, CR-V dan sebagainya) telah dikritik oleh pengguna. Sistem baharu ini turut menampilkan paparan seperti telefon pintar dengan ikon-ikon shortcut yang boleh diubah susunannya.

    Accord generasi baharu ini turut menampilkan sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar menggunakan Near Field Communication (NFC), serta sistem lain seperti WiFi 4G LTE, kemaskini sistem atas talian, paparan head-up enam-inci, serta sepuluh buah pembesar suara berkuasa 450 watt.

    Sistem generasi seterusnya telematik HondaLink turut dipadankan yang merangkumi bantuan kecemasan, kunci dan penghidup enjin kawalan jarak jauh, pengesan kedudukan sekiranya kereta dicuri, diagnosis jarak jauh, geofencing dan pengesan kelajuan.

    Kesemua model yang dipasarkan di Amerika Syarikat akan diberikan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing secara standard. Pakej tersebut merangkumi sistem yang sama pada Honda CR-V generasi baharu, merangkumi sistem Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

    Sistem Pemantau Titik Buta dan Pemantau Lintasan Trafik Belakang turut diberikan bersama Pemantau Kesedaran Pemandu. Sebagai penambahan pada sistem keselamatan, Accord kini diberikan beg udara pada bahagian lutut untuk pemandu dan penumpang hadapan.

    Tiada lagi model 2.0 liter NA pada Accord baharu ini di mana varian asas diberikan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 192 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,500 hingga 5,000 rpm – sama seperti enjin yang menjana CR-V. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT automatik atau manual enam-kelajuan.

    Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

    Enjin 2.4 liter NA dan 3.5 liter V6 NA juga tiada lagi pada barisan penjana baharu Accord. Ia digantikan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type-R, tetapi diberikan talaan menghasilkan kuasa 252 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 370 Nm bermula 1,500 hingga 4,000 rpm (306 hp/400 Nm pada Civic-R). Untuk versi automatik ia akan diberikan kotak gear 10-kelajuan baharu, manakala versi manual diberikan kotak gear enam-kelajuan.

    Pilihan unit janakuasa hibrid turut ditawarkan – menggunakan enjin petrol baharu 2.0 liter kitaran-Atkinson yang didakwa mempunyai thermal efficiency lebih dari 40%. Enjin tersebut digabungkan bersama dua motor elektrik, menerima suapan tenaga dari bateri kompak yang diletakkan pada lantai belakang (lantai but pada model sebelum ini), memberikan ruang kargo yang lebih besar serta fungsi lipatan dengan nisbah 60:40 pada tempat duduk belakang.

    Kerangka badan Accord 2018 ini dibina lebih tegar dari sebelum ini bagi memperbaiki pengendalian dan juga serapan bunyi. Ia dibina menggunakan logam berketegaran ultra-tinggi dengan peratusan yang lebih banyak (29%), membolehkan beratnya dikurangkan sekitar 50 hingga 80 kg. Pusat graviti sedan ini juga kini 10 mm lebih rendah.

    Ia masih lagi menggunakan sistem Topang McPherson untuk suspensi hadapan dipasangkan pada kerangka aluminium sepenuhnya, manakala sistem
    multi-link pada bahagian belakang dipadankan pada subframe yang lebih tegar. Sistem stereng berkuasa elektrik sedan ini pula kini menerima rak dengan dua-pinan bervariasi.

    Kesemua Accord kini diberikan dua mod pemanduan iaitu Normal dan Sport, manakala sistem penyerap hentak adptif pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

    Bagi memperhalusi kualiti kereta ini lagi, ia turut diberikan penutup sepenuhnya pada bahagian bawah badan, penebat bunyi dipadankan pada fender hadapan dan belakang serta ruang enjin, teknologi resonator pada roda aloi, karpet penyerap bunyi, cermin depan akustik, cermin sisi akustik (opsyen), dan juga sistem Kawalan Bunyi Aktif dengan tiga mikrofon.

     
     
  • Boreas – hypercar Sepanyol dengan 1,000 hp, AWD

    Boreas – hypercar Sepanyol dengan 1,000 hp, AWD

    Sebuah prototaip kereta hypercar diberi nama Boreas telah membuat penampilan pertama semasa acara Le Mans bulan lalu. Ia adalah sebuah kereta yang menggunakan enjin hibrid di tengah dan boleh menghasilkan sehingga 1,000 hp dan menggunakan sistem pacuan semua roda.

    Pengeluar kereta ini, DSD Design & Motorsport yang berpusat di Sepanyol akan menghasilkan hanya 12 unit Boreas dan setiap satunya dikatakan “direka secara tersendiri tapi masih berhubung kait”. Tiada perincian lengkap yang dikeluarkan berkenaan enjin, casis atau komponen lain kenderaan ini, tetapi ia dikata mempunyai laju maksimum ‘sasaran’ 378 km/j dan masa pecutan 0-96 km/j bawah tiga saat.

    Apa yang diketahui pada masa ini adalah jumlah kuasa yang dihasilkan akan disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi manual automatik tujuh kelajuan, dan tayar hadapan akan mendapat kuasa tambahan daripada motor elektrik. Jarak pergerakan menggunakan sumber kuasa elektrik sahaja adalah 100 km.

    Melalui gambar ini boleh dilihat Boreas menggunakan banyak panel badan yang dibuat daripada gentian karbon, dengan bahagian depan yang rendah, dan cermin hadapan masuk ke dalam bagi memudahkan penglihatan pemandu. Pada bahagian belakang, terdapat lampu berbentuk bulat dan disambung dengan satu baris LED.

    Pengeluaran Boreas dijangka bermula Disember tahun ini dan hanya akan dikeluarkan dalam versi pacuan sebelah kiri. Apabila dilancarkan nanti ia akan memberi alternatif kepada hypercar lain antaranya dari Itali, Jerman, United Kingdom dan Sweden.

     
     
  • Nombor pendaftaran US (Untuk Seniman) akan dikeluarkan JPJ tidak lama lagi – US 1 hingga US 1000

    Nombor pendaftaran US (Untuk Seniman) akan dikeluarkan JPJ tidak lama lagi – US 1 hingga US 1000

    Pengguna kenderaan di Malaysia bakal ditawarkan dengan nombor pendaftaran istimewa ‘US’ tidak lama lagi, selepas ‘SMS’, ‘RIMAU‘, ‘PERFECT‘, ‘NAAM‘, ‘VIP‘ serta ‘GT‘ untuk tahun 2016, dan ‘PATRIOT’ pada tahun 2015.

    Nombor pendaftaran istimewa terbaharu ini dikeluarkan untuk Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) di mana abjad ‘US’ berkenaan bermaksud Untuk Seniman. Walau bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan nombor pendaftaran ini dalam jumlah terhad iaitu dari US 1 hingga US 1000 sahaja, berbanding nombor lain yang dikeluarkan sehingga 9999.

    Menurut persiden Seniman, Zed Zaidi, hasil penjualan nombor plat istimewa ini akan digunakan sebagai dana bagi membantu artis-artis yang bernaung di bawah persatuan berkenaan. Tambah beliau lagi bidaan terhadap nombor ini akan dibuka kepada orang awam bermula Sabtu ini, dan tender akan ditutup pada 20 Ogos hadapan, manakala mereka yang berjaya membida boleh mendaftar nombor berkenaan seawal 1 Oktober, setelah menerima kelulusan JPJ.

    Nombor pendaftaran US (Untuk Seniman) akan dikeluarkan JPJ tidak lama lagi – US 1 hingga US 1000

    Harga-harga rizab telah diumumkan untuk siri plat baharu ini – US 1 dicatatkan sebagai yang paling mahal dengan harga rizab RM500,000, manakala nombor tunggal lain (dua hingga sembilan) diletakkan pada harga rizab RM250,000 setiap satu. Nombor dua digit (12 hingga 98) pula akan bermula pada harga RM25,000, kecuali US 10 yang diberikan harga rizab RM100,000. Nombor emas (contohnya 22, 55, 77 dan sebagainya) pula akan dibida pada harga bermula RM50,000.

    Untuk nombor tiga digit biasa sehingga 999 pula akan dibida bermula pada harag RM3,000, kecuali nombor tiga digit emas (111, 333, 666 dan sebagainya) diberikan harga rizab RM50,000. Bagi nombor istimewa tiga digit lain (101, 515, 767, 808 dan sebagainya) diletakkan pada harga rizab RM5,000 dan nombor terakhir dalam siri ini – US 1000 – pula bakal dibida dengan harga bermula RM10,000.

     
     
  • Jaguar E-Pace catat rekod dunia semasa pelancaran – Barrel Roll paling jauh oleh kenderaan produksi

    SUV kompak terbaru Jaguar iaitu E-Pace baru sahaja membuat penampilan global, dan selain kereta itu sendiri yang sememangnya ditunggu-tunggu (ia juga adalah kereta Jaguar paling ‘mampu milik’), pengeluar dari United Kingdom ini membuat kejutan bagi wakil media dan jemputan yang hadir di majlis tersebut.

    E-Pace muncul secara dramatik dengan membuat lompatan berpusing ‘Barrel Roll’ dan ia sekaligus diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kereta produksi yang melakukan lompatan tersebut dengan jarak paling jauh iaitu 15.3 meter. Kenderaan itu dipandu oleh pemandu lagak ngeri terkenal, Terry Grant.

    Walaupun terbukti SUV kompak sports ini berkemampuan melakukan perkara seperti ini, ia bukanlah untuk ditiru kerana melibatkan ujian dan analisis selama berbulan-bulan, termasuk tanjakan yang dilukis secara awal dalam perisian CAD dan pelbagai kira-kira lain. Semasa lompatan berpusing 270 darjah itu, Grant melalui daya G-force sebanyak 5.5 G.

     
     
  • Aston Martin Valkyrie – bahagian luar diperbaharui dan 95 peratus siap, dalaman ditunjuk buat pertama kali

    Aston Martin Valkyrie – bahagian luar diperbaharui dan 95 peratus siap, dalaman ditunjuk buat pertama kali

    Hypercar Aston Martin yang dibangunkan bersama Red Bull Advanced Technologies dan AF Racing, iaitu Valkyrie kini telah diberi pembaharuan pada bahagian aerodinamik, penggayaan serta pakej bahagian dalamnya. Kenderaan ini dihasilkan untuk membawa kereta jalanan kepada tahap yang lebih tinggi.

    Bermula dengan bahagian luar, pereka casis terkemuka Formula One, Adrian Newey mendapati bahawa beliau boleh mendapatkan lebih lagi daya tolakan ke bawah (downforce), seterusnya menghasilkan satu bukaan di antara kokpit dan lengkuk roda hadapan.

    lampu utama kenderaan ini turut diperbaharui, dengan inspirasi fungsi daripada lampu kereta lumba F1. Elemen lampu tinggi dan rendah diletakkan pada rangka aluminium, seterusnya memberikan berat yang 30% hingga 40% lebih rendah berbanding lampu utama paling ringan yang pernah digunakan oleh Aston Martin pada kenderaan produksi.

    Pengurangan berat pada Valkyrie begitu penting, sehinggakan lencana berbentuk sayap sebelum ini juga dikatakan terlalu berat, dan kemudiannya diganti dengan lencana aluminium yang mempunyai ketebalan 70 micron, iaitu 30% lebih nipis berbanding rambut manusia dan 99.4% lebih ringan berbanding lencana enamel sebelum ini.

    Pada bahagian belakang terdapat lampu yang direka semula, kini dengan bilah gaya Vulcan dan terdapat tambahan sirip pada bahagian tengah kenderaan tersebut. Di atasnya terletak lampu LED yang bertindak sebagai lampu brek, dan berukuran hanya 5.5 mm lebar dan 9.5 mm tinggi.

    Selain bahagian luar, Aston Martin juga telah mendedahkan buat pertama kalinya bahagian dalam Valkyrie ini. Walaupun nampak begitu padat, syarikat itu memberitahu bahawa ia masih boleh memuatkan dua orang dewasa dan mempunyai kedudukan seperti sebuah kenderaan F1 dan Le Mans.

    Sesuai dengan konsepnya, bahagian dalam kereta ini begitu minimal dengan hanya terdapat paparan informasi digital, serta skrin OLED pada roda stereng seperti kereta F1. Sepasang skrin yang terdapat di kiri dan kanan papan pemuka adalah sebenarnya untuk paparan kamera sisi yang menggantikan cermin sisi.

    Penggerak kenderaan ini masih belum disahkan, tetapi ada yang mengatakan ia mungkin akan dikuasakan oleh enjin V12 6.5 liter, bersama gabungan motor elektrik, untuk menghasilkan sehingga 1,130 hp; dengan jangkaan berat hanya 1,030 kg. Daripada enjin, kuasa akan disampaikan ke atas jalan oleh transmisi rekaan Newey dan Red Bull Advanced Technologies.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026