Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Audi A8 2018 – sistem hibrid ringkas datang standard

    Audi A8 2018 – sistem hibrid ringkas datang standard

    Selepas sekian banyak teaser dikeluarkan, Audi A8 2018 akhirnya dipertonton secara rasmi, menampilkan pelbagai peningkatan teknologi luar dan dalam, dan ada di antaranya pertama kali digunakan di dunia.

    Model baru ini adalah generasi keempat D5 dan ia berukuran 5,172 mm panjang, 1,495 mm lebar dan 1,473 mm tinggi, yang jika dibandingkan dengan model D4 sebelum ini, adalah 37 mm lebih panjang dan 13 mm lebih lebar. Sedan ini juga mempunyai jarak roda 6 mm lebih panjang (2,998 mm) dan sedikit rendah. Seperti biasa, terdapat juga versi A8 L yang jarak rodanya 130 mm lebih panjang (3,128 mm) dan 12 mm lebih tinggi (1,485 mm).

    A8 baru ini adalah model pertama yang dibangunkan di bawah arahan ketua rekaan baru Audi iaitu Marc Lichte, tetapi masih mengekalkan karekter asal modelnya. Selain rekaan yang lebih segar, pengguna juga ditawarkan dengan pilihan lampu Matrix HD LED yang boleh dilihat dengan adanya tanda cahaya biru pada lampu tersebut. Lampu ini menggunakan 32 diode tinggi pada setiap penjuru dan dapat mengelakkan penggunaan lain daripada silau.

    Terdapat juga lampu kuasa laser yang beroperasi pada kelajuan melebihi 70 km/j dan lampu membelok dinamik serta lampu persimpangan yang menggunakan data navigasi untuk diaktifkan, sebelum stereng dipusing atau sebelum tiba di persimpangan. Secara keseluruhan, termasuk lampu penunjuk arah sequential, sistem lampu ini mempunyai 138 LED dan satu laser prestasi tinggi di setiap bahagian.

    Audi A8 2018 – sistem hibrid ringkas datang standard

    Pada bahagian belakang pula terdapat lampu OLED, dengan empat panel rata dan jalur LED di bawahnya yang boleh mengawal lampu lain supaya lebih malap apabila lampu brek menyala. Lampu belakang ini juga menggunakan diode, dan mempunyai lebih daripada 135 LED di setiap bahagian.

    Badan yang lebih besar ini sudah tentu akhirnya dapat menghasilkan ruang dalam yang lebih luas. Menurut Audi, A8 dan A8 L kedua-duanya 37 mm lebih panjang berbanding sebelum ini, dan bagi A8 L, terdapat ruang kepala, bahu dan kaki yang lebih luas. Ruang simpanan belakang pula berkapasiti 505 liter.

    Tempat duduk kenderaan ini telah direka semula, dengan terdapat bonjolan tepi boleh laras dan bentuk yang dapat memegang pengguna supaya lebih selesa, fungsi pemanas dan pengudaraan tiga tahap, serta fungsi mengurut dengan tujuh program dan tiga tahap kekuatan.

    Pada bahagian belakang, pembeli A8 L boleh menukar aturan tiga tempat duduk kepada dua tempat duduk individu, dengan konsol tengah berserta perehat tangan dan ruang simpanan. Terdapat juga pilihan tempat duduk santai yang mempunyai perehat kaki boleh lipat secara elektrik dan boleh memberikan fungsi memanas dan mengurut.

    Tidak banyak butang kawalan yang boleh dilihat pada bahagian dalam kenderaan ini, dan di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin 10.1 inci. Bawah sedikit, di konsol tengah, terdapat satu lagi skrin 8.6 inci. Sementara skrin atas tadi mengawal fungsi navigasi, media dan ciri kenderaan, skrin yang dibawah adalah lebih penting.

    Selain mengawal suhu dan ciri keselesaan lain, skrin di bawah ini juga boleh menyimpan tetapan kegemaran seperti destinasi, stesen radio, nombor telefon, fungsi kenderaan serta menulis teks – sama ada menggunakan papan kekunci atau tulisan tangan. Pengguna juga menggunakan arahan suara.

    Satu lagi skrin 12.3 inci yang terletak di hadapan pemandu melengkapkan kokpit virtual Audi A8 ini. Head-up display yang disediakan sebagai pilihan kini berukuran 8.5 inci kali 3.3 inci dan ia boleh memaparkan kelajuan, navigasi dan beberapa maklumat penting lain. Bagi penumpang belakang, Audi juga menyediakan pilihan tablet Android 10.1 inci yang boleh diletakkan pada penyandar tempat duduk belakang dan boleh dicabut untuk dibawa keluar.

    Audi A8 2018 – sistem hibrid ringkas datang standard

    Cockpit

    Dua enjin akan ditawarkan semasa pelancaran Audi A8 iaitu V6 3.0 liter 340 hp/ 500 Nm TFSi petrol dan 286 hp/ 600 Nm TDI turbodiesel. Memasuki tahun hadapan, A8 akan ditawarkan pula dengan tambahan enjin V8 4.0 liter twin- turbo dengan kuasa 435 hp bagi versi diesel dan 460 hp untuk versi petrol.

    Audi A8 L pula ditawarkan dengan enjin 6.0 liter biturbo petrol, yang mempunyai fungsi nyahaktif silinder dan kuasa sebanyak 585 hp dan 800 Nm tork. Semua enjin ini akan datang dengan sistem hibrid ringkas yang terdiri daripada sistem elektrikal 48 volt. Ia menggunakan belt alternator starter (BAS) yang disambung kepada crankshaft, menangkap semula tenaga kinetik dan menghantarnya kepada bateri lithium ion.

    Sistem ini membolehkan A8 meluncur dengan enjin dimatikan pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j selama 40 saat, sebelum BAS tadi akan menaikkan pusingan enjin untuk menghidupkannya kembali secara lancar. Sistem start/stop juga beroperasi di bawah kelajuan 22 km/j. Secara keseluruhannya, sistem hibrid ringkas ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.7 l/100 km.

    Pada waktu yang berikutnya, Audi juga akan menawarkan A8 L dengan sistem plug-in hybrid e-tron quattro, yang menggunakan enjin V6 3.0 liter dan motor elektrik yang disepadukan di dalam transmisi. Secara keseluruhannya sistem ini mampu menghasilkan 449 hp dan 700 Nm tork, seterusnya dapat memacu kereta ini dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Bateri 14.1 kWh yang digunakan juga boleh memberi jarak pergerakan elektrik 50 km.

    Audi A8 2018 – sistem hibrid ringkas datang standard

    Semua enjin pada A8 baru ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan rev-adaptive torsional damper dan centrifugal force pendulum untuk mengurangkan getaran pada enjin, serta pam minyak elektrik yang aktif apabila kenderaan meluncur dengan enjin ditutup. Ia juga boleh mengesan situasi gerak dan henti, dan mengoptimumkan keselesaan dengan mengelak sebarang pertukaran gear yang tidak diingini.

    Sistem pacuan semua roda quattro pada A8 adalah lebih kepada bahagian belakang, dengan 60% tork disampaikan kepada tayar belakang semasa pemanduan biasa, dan apabila terdapat gelinciran, ia boleh menghantar sehingga 70% ke hadapan atau 85% tork ke belakang. Terdapat juga sistem brake-activated torque vectoring dan pilihan differential sport yang lebih ringan, pantas dan tepat.

    Sementara kerangka di bawah panel badan kenderaan ini menggunakan bahan Audi Space Frame (ASF) yang dapat meningkatkan ketegaran sebanyak 24%, bahagian kabin pula dibuat daripada besi hot-pressed, manakala panel belakang pula daripada gentian karbon. Strut bar pula dibuat daripada magnesium. Suspensi yang digunakan adalah jenis five-link dan penyerap udara adaptif secara standard.

    Turut disediakan adalah pilihan suspensi aktif Audi AI, yang menggunakan motor elektrik pada setiap penjuru untuk melaras beban pada setiap roda dan mengawal secara aktif pergerakan badan. Ia juga boleh meninggikan satu bahagian badan kenderaan sahaja sehingga 80 mm sekiranya terdapat perlanggaran sisi untuk mengurangkan kesan impak.

    Satu perkara yang menjadi perhatian pada A8 baru ini adalah pengemudi dalam kesesakan trafik Audi AI. Ia memberikan fungsi pemanduan autonomous Level 3 yang pertama di dunia, dan kenderaan boleh bergerak sendiri di atas lebuh raya dalam kelajuan bawah 60 km/j dan pemandu boleh melepaskan tangan dan melakukan perkara lain.

    Sistem ini akan mengeluarkan amaran sekiranya pemandu tertidur, atau situasi menjadi di luar kawalan sistem tersebut. Ciri ini hanya akan ditawarkan secara berperingkat bermula tahun 2018 dan ia bergantung kepada peraturan berkenaan pemanduan autonomous di setiap negara.

    Turut boleh didapati pada A8 adalah sistem letak kenderaan automatik yang mendapat input daripada 12 pengesan ultrasonik sekeliling kenderaan, empat kamera 360 darjah, kamera hadapan, empat radar jarak sederhana, satu radar jarak panjang, satu kamera inframerah untuk penglihatan malam dan pengimbas laser.

    Audi A8 dikeluarkan di kilang Audi di Neckarsulm dan akan mula dijual di Jerman pada musim luruh dengan harga bermula €90,600 (RM446,500) untuk model standard dan €94,100 (RM463,750) untuk A8 L.

    GALERI: Audi A8 2018


    GALERI: Audi A8 L 2018

     
     
  • 10 kereta tambahan untuk perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge – turut disertai Tengku Djan Ley

    10 kereta tambahan untuk perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge – turut disertai Tengku Djan Ley

    April lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan siri perlumbaan ‘one-make’ Toyota Gazoo Racing Vios Challenge yang akan disertai oleh 30 kereta, dikemudi oleh pelumba-pelumba tempatan termasuk berberapa selebriti antaranya Shukri Yahaya, Fatah Amin, Janna Nick dan Diana Danielle.

    Atas penyertaan yang menggalakan, syarikat berkenaan bersetuju untuk membuka penyertaan terhadap 10 kereta lagi, menjadi 40 kereta secara keseluruhan yang akan bermula di petak permulaan perlumbaan pertama, dijadualkan akan berlangsung pada bulan hadapan di Pulau Pinang.

    “Tarikan terhadap Vios Challenge agak menggembirakan. Kami mendapat banyak permintaan dari pelumba yang mahu membeli kereta tersebut dan berlumba dalam Vios Challenge tetapi mengambil kira keselamatan dan logistik, kami hadkan hanya kepada maksimun 40 kereta untuk musim ini,” kata presiden UMWT Ravindran Kurusamy.

    Tambahan kepada 10 kereta berkenaan turut menyaksikan banyak nama-nama besar dalam dunia perlumbaan tempatan antaranya, “Prince of Drift” Tengku Djan Ley dan seteru utamanya dalam Malaysia Speed Festival (MSF) Boy Wong, serta bekas juara Malaysia Super Series (MSS) James Verrappan.

    Apa yang menarik lagi, naib pengerusi UMWT, Akio Takeyama turut akan berlumba dalam siri ini dan beliau tidak sabar untuk memulakannya. “Saya sangat teruja untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan pertama saya dalam Vios Challenge. Saya telah bekerja keras semasa dalam sesi sekolah perlumbaan dan saya telah banyak belajar dari pengajar saya. Saya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan,” katanya.

    “Saya harap peminat sukan permotoran di Malaysia akan hadir ke TGR Racing Festival dan berseronok dengan apa yang telah kami rancangkan. Dengan persaingan sengit dilitar, persekitaran seperti karnival, persembahan selebriti dan semua aktiviti yang menyeronokkan, saya percaya TGR Racing Festival akan menjadi acara yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” tambah Takeyama lagi.

    Kesemua Vios yang digunakan untuk perlumbaan ini diambil dari model asas J 1.5 liter manual, disediakan oleh Wing Hin Motorsport di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun. Ia merupakan model produksi sebenar yang dihasilkan di kilang UMW Toyota Shah Alam dan masih menggunakan enjin asal 1.5 liter 2NR-FE dengan kesemua bahagian dalamannya tidak langsung disentuh. Dipadankan dengan sistem ekzos lengkap keluli tahan karat dari TRD bermula dari bahagian header hingga hujung muffler dan unit pengurusan enjin asal ditukar kepada sistem komputer dari Motec, ia mampu mengekstrak 10% lebih kuasa dari jumlah asal.

    Enjin tersebut dipadankan kotak gear lima-kelajuan manual asal, tetapi unit karbeda standard telah ditukar kepada LSD dari TRD. Kesemua Vios ini juga menerima kit lengkap ‘plug and play‘ suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari TRD untuk Vios yang dipadankan terus pada casis, serta tiada langsung perubahan geometeri dibuat pada sistem torsion beam suspensi belakang.

    Keseluruhan sistem brek jentera perlumbaan ini juga masih kekal sama dengan versi jalan raya, termasuk brek dram pada bahagian belakang, tetapi pad pada angkup standard hadapan diberikan pad berprestasi tinggi TRD.

    Bahagian luaran, Vios untuk perlumbaan ini diberikan kit badan dari TRD, bersama spoiler belakang lebih besar dari versi jalan raya. Ia turut diberikan livery perlumbaan merah-putih TGR bersama pelekat-pelekat penaja. Khas untuk siri perlumbaan ini, kesemua Vios diberikan rim Enkei RPF-1 berdiameter 15-inci tajaan Enkei Malaysia, disaluti tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50R15 tajaan Toyo Tyres.

    Pada bahagian kabin pula, papan pemuka asal (dengan sistem penghawa dingin masih berfungsi) dan juga panel-panel pintu asal Vios lengkap dengan tingkap berkuasa masih lagi dikekalkan. Tetapi karpet, alas bumbung (headliner) serta tempat duduk belakang telah dibuang. Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk bucket perlumbaan sepenuhnya, lengkap dengan tali pinggang serta stereng perlumbaan tiga jejari – kesemuanya dari OMP.

    Unit pemain audio utama juga telah ditanggalkan dan bahagian berkenaan ditempatkan ‘kill switch‘ untuk memutuskan kuasa elektrik secara keseluruhan sekiranya dalam situasi kecemasan. Sebagai melengkapkan ruang dalaman jentera perlumbaan ini, ia turut dibekalkan dengan paparan informasi perlumbaan Motec yang memberikan pelbagai bacaan seperti rpm, speedo meter, suhu enjin dan pelincir, masa lap, serta pelbagai lagi. Ia turut diberikan rollcage penuh TRD yang dibina khas untuk Vios generasi ketiga ini.

     
     
  • Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Adakah ini model terakhir yang Honda Malaysia lancarkan buat tahun ini? Antara ya atau mungkin juga tidak! Selepas Jazz 2017 dilancarkan pada Jun lalu, kini tiba pula giliran CR-V generasi kelima yang dinanti-nantikan oleh penggemar SUV.

    Jika sebelum ini, varian enjin bagi CR-V hanya 2.0 liter dan 2.4 liter, namun seperti mana yang diketahui ramai, kali ini Honda Malaysia turut membawa varian 1.5 liter VTEC Turbo serta hanya mengekalkan unit 2.0 liter natural-aspirated.

    Menariknya, bagi pasaran Malaysia, CR-V 2017 ini menawarkan tiga varian turbo dengan model spesifikasi tertinggi 1.5TC-P 2WD yang dilengkapi teknologi terkini Honda Sensing Lanewatch. Walau bagaimana pun, dua lagi varian iaitu spesifikasi pertengahan 1.5TC 4WD dan model asas 1.5TC 2WD tidak dilengkapi kedua-dua teknologi berkenaan.

    Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Manakala varian paling asas dalam barisan CR-V 2017 ialah 2.0 i-VTEC 2WD. Ketika ditanya kepada Honda Malaysia, mengapa varian 1.5L Turbo 2WD ‘diangkat’ sebagai model spesifikasi tertinggi dalam barisan CR-V kali ini dan bukannya 1.5L Turbo AWD, Akkbar Daniel selaku Timbalan Presiden syarikat berkenaan menjawab, pihaknya menyasarkan pembeli lebih banyak membuat pilihan bagi varian 2WD kerana SUV ini dilihat lebih sesuai untuk kegunaan urban, walau pun boleh digunakan untuk pemanduan lasak (terutamanya yang dilengkapi sistem AWD).

    Malah untuk barisan CR-V 2017 di Malaysia hanya ditawarkan dengan versi lima-tempat duduk, dan bukannya tujuh-tempat duduk seperti mana yang ada pada pasaran Indonesia dan Thailand. Menurut Honda Malaysia, berdasarkan kajian yang dilakukan di kalangan pelanggan mereka, memang kini trend menukar kenderaan dari sedan ke SUV mula menular, namun rata-ratanya lebih memilih kapasiti lima-tempat duduk kerana mahukan ruang yang lebih luas dan selesa, bukannnya tempat duduk ekstra yang diutamakan.

    Walau bagaimana pun, Honda Malaysia tidak menolak sebarang kemungkinan akan membawa masuk CR-V versi tujuh-tempat duduk ke pasaran tempatan, cuma belum dapat ditentukan bilakah masanya.

    Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter suntikan terus pengecas turbo dengan lonjakan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Ia sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic varian turbo namun lonjakan kuasa bagi CR-V dipertingkatkan sebanyak 20 PS/23 Nm. Manakala model asas masih mengekalkan enjin NA 2.0 liter dengan hamburan kuasa 153 PS dan 189 Nm. Kedua-dua model dipadankan bersama transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri iaitu menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.

    Bagi dimensinya, ada perubahan yang turut dilakukan bagi CR-V ini, di mana lebarnya ditambah sebanyak 35 mm berbanding model sebelum ini, kini 1,855 mm. Begitu juga dengan ketinggiannya, kini 1,689 mm (+4 mm) dan jarak roda pula 2,660 mm (+40 mm). Namun panjangnya telah dikurangkan sebanyak 6 mm berbanding model sebelumnya, kini 4,584 mm.

    Dengan perubahan dimensi ini turut memberikan kelebihan pada ruang kaki yang kini 90 mm lebih luas. Manakala bahagian kargonya berkapasiti 522 liter dan mampu mencecah sehingga 1,084 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua dilipat rata, iaitu 250 mm lebih luas berbanding model terdahulu.

    Manakala jarak kelegaan tanahnya kini mencecah 198 mm (2WD) dan 208 mm (4WD) berbanding model terdahulu yang hanya 170 mm.

    Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Sememangnya Honda telah membuat transformasi yang besar bagi CR-V generasi baharu ini. Bukan setakat bahagian mekanikalnya yang dipertingkatkan serta dimensinya yang berubah, namun imejnya juga lebih menawan dan meninggalkan terus imej ‘golongan senior’ seperti yang digambarkan pada generasi-generasi sebelum ini. Ternyata pembaharuan gaya dan imej pada CR-V generasi kelima ini lebih sporty dan mampu memikat penggemar SUV termasuk golongan muda untuk memilikinya.

    Pada bahagian luarannya, ia dihiasi bar krom yang lebih besar pada gril atas bersama lampu utama projektor dinamik LED (1.5 TC-P menerima Advanced LED sepenuhnya). Malah teknologi LED turut menjadi pilihan bagi lampu nyalaan siang, lampu isyarat membelok, lampu belakang dan lampu brek CR-V kali ini. Ia juga dilengkapi dengan pengesan untuk mengunci pintu dengan hanya sentuhan mudah.

    Walau bagaimana pun, varian turbo dilengkapi dengan rim baharu 18-inci (17-inci bagi 2.0 N/A) serta dua corong tip ekzos krom seperti Civic Turbo (ekzos tunggal bagi 2.0 N/A). Bahagian belakang juga agak berbeza dengan model sebelum ini, di mana CR-V 2017 dipadankan dengan lampu belakang LED yang ddireka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate (tailgate larasan kuasa untuk 1.5 TC-P, butang kawalan operasi bagi lain-lain varian).

    Bagi varian turbo turut menerima ciri baharu termasuk Walk Away Auto Lock dan lapan alat pengesan untuk meningkatkan lagi keseronokan pemilikan SUV ini. Manakala hanya varian tertinggi 1.5TC-P sahaja menerima Honda LaneWatch Camera, Auto High Beam dan Active Cornering Light.

    Pratikaliti pada model baharu ini juga dilihat dipertingkatkan di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka, membawa sekali ruang nombor pendaftaran dan kamera undur ke posisi lebih rendah.

    Menjengah bahagian dalamannya, perubahan besar turut ditampilkan termasuk panel papan pemukanya dibentangi material kulit sentuhan lembut berwarna hitam serta ada kekemasan kayuan (tona perak untuk varian 2.0L 2WD) di bahagian tersebut bersama konsol tengah. Elemen seperti panel instrumen LED, brek parkir elektronik dan auto brake hold, pendingin hawa auto dwi-zon (dengan corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang), kemasukan tanpa kunci, butang Push Start dan skrin sesentuh audio tujuh-inci bersama Apple CarPlay dan Android Auto serta lapan-pembesar suara adalah standard bagi semua varian.

    Honda CR-V 2017 dilancar di M’sia – 3 varian 1.5L turbo dan 1 varian 2.0L N/A, harga RM142k-RM168k

    Kesemua varian menerima tempat duduk separa kulit bersama lapan-talaan kuasa untuk pemandu dan empat-talaan bagi penumpang hadapan yang merupakan elemen terbaharu bagi CR-V kali ini. Paling menarik, kabin CR-V 2017 kini dilengkapi dengan konsol pelbagai-guna yang versatil dengan tiga mod pelarasan termasuk mampu memuatkan beg tangan sederhana besar atau komputer riba bersaiz 13-inci di dalamnya.

    Bagi aspek keselamatan, semua varian CR-V 2017 dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handling Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), ABS dengan EBD serta kamera undur pelbagai-sudut sebagai ciri standard.

    Bagi varian tertinggi iaitu 1.5 TC-P yang dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing, ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Barisan CR-V 2017 ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic, White Orchid Pear (dengan kos tambahan sebanyak RM400), Obsidian Blue Pearl dan warna baharu Dark Olive Metallic.

    Untuk 1.5TC-P, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM167,700, RM161,600 bagi 1.5TC 4WD dan 1.5TC 2WD pula RM155,700. Bagi varian 2.0L 2WD pula berharga RM142,400. Kesemua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km (tertakluk pada terma & syarat) di mana-mana 91 pengedar Honda sah di seluruh negara.

    Untuk spesifikasi dan perincian lanjut mengenai barisan CR-V 2017 ini, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Honda CR-V 1.5TC-P 2WD

    GALERI: Honda CR-V 1.5TC 2WD

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD bersama pakej aksesori Modulo

     
     
  • VIDEO: Trak Volvo VNL – rekod ‘buka kotak’ paling besar di dunia oleh kanak-kanak berumur tiga tahun

    Yang pasti, setiap daripada kita pernah merasai zaman kanak-kanak bukan? Antara saat yang paling mengujakan, mendebarkan dan menyoronokkan ketika dalam tempoh berkenaan tentunya semasa membuka kotak mainan. Keseronokkan tersebut sebenarnya berlarutan sehingga dewasa, di mana sejak kebelakangan ini sudah seakan menjadi trend pemilik akaun YouTube untuk memuatnaik video mereka ‘membuka kotak’ permainan mahupun peralatan lain kegemaran mereka ke laman perkongsian berkenaan.

    Mengambil konsep tersebut, Volvo Truck North America telah membuat gimik baharu untuk memperkenalkan trak terkini khas untuk pasaran negara berkenaan iaitu Volvo VNL, sambil mencatatkan rekod dunia Guinness. Seorang budak lelaki berumur tiga tahun, Joel Jovine diberikan ‘penghormatan’ untuk mencatatkan rekod ini atas minatnya yang begitu tinggi terhadap trak.

    Jovine membuka kotak sebenar seperti kotak permainan yang diperbuat dari kadbod dan selofan, tetapi dengan saiz gergasi dengan dimensi 80’x14’x18’ tersebut tanpa sebarang peralatan. Kanak-kanak itu kemudiannya masuk ke kabin trak berkenaan untuk meninjau ciri-ciri menarik padanya termasuk tempat tidur bersaiz 70-inci, TV dan juga peti sejuk.

    VIDEO: Trak Volvo VNL – rekod ‘buka kotak’ paling besar di dunia oleh kanak-kanak berumur tiga tahun

    Pemandu professional kemudiannya tiba ke trak berkenaan untuk membawa Jovine bersiar-siar dengannya. Bagi melengkapkan proses catatan rekod ini, trak Volvo VNL tersebut perlu dipandu keluar dari kotak tanpa merosakkan kotak berkenaan, sama seperti proses ‘membuka kotak’ permainan bersaiz biasa.

    “Mencatatkan Rekod Dunia Guinness merupakan perkara yang benar-benar luar biasa, tetapi apa yang lebih bernilai untuk saya adalah melihat Joel menjadi sangat teruja melihat Volvo VNL 760 baharu didedahkan apabila dia membuka kotak tersebut,” kata Magnus Koeck, naib presiden untuk pemasaran dan pengurusan jenama Volvo Truck North America.

    Volvo Truck sememangnya agak bijak dalam membuat gimik seperti ini. Sebelum ini, syarikat berkenaan hadir dengan video-video menarik bagi mendemonstrasikan trak mereka, seperti aksi Jean-Claude Van Damme melakukan aksi split antara dua trak yang bergerak dan hamster yang mengawal stereng trak pada laluan yang mencabar.

     
     
  • Yamaha NVX 155 dilancarkan di Malaysia – RM10,500

    Yamaha NVX 155 dilancarkan di Malaysia – RM10,500

    Model skuter yang ditunggu ramai iaitu Yamaha NVX 155 akhirnya kini dilancarkan secara rasmi oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia dengan harga RM10,500 termasuk GST, tetapi tanpa insurans. Motosikal ini pertama kali membuat penampilan di Malaysia Oktober tahun lalu sewaktu pusingan perlumbaan MotoGP di Sepang.

    Bagi pasaran Malaysia, hanya satu varian yang ditawarkan, iaitu varian tertinggi S-Version seperti yang dijual di Indonesia. Ini bermakna, NVX 155 yang dijual di Malaysia dilengkapi dengan sistem brek ABS pada tayar hadapannya. Pilihan warna yang diberi pula ada tiga iaitu biru, hitam dan merah matte.

    Yamaha NVX 155 dikuasakan oleh enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, dan ia adalah unit sama seperti yang terdapat pada model NMax, berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork. Namun sesuatu yang menarik ada pada NVX 155 adalah sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna memulakan enjin tanpa perlu memasukkan kunci pada motosikal (tetapi berada berdekatan). Enjin ini juga mempunyai sistem Start/Stop automatik.

    Selain penampilan yang lebih sporty, NVX 155 juga mempunyai kelengkapan berteknologi seperti yang boleh dilihat pada bahagian meternya, yang menggunakan skrin LCD digital 5.8 inci. Di bahagian bawah pemegang motosikal ini terdapat satu ruang simpanan kecil bersama soket pengecas USB untuk peranti elektronik.

    Ciri lain yang ada pada NVX 155 adalah termasuk brek cakera di hadapan, dram di belakang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, tayar tanpa tiub 110/80 di hadapan, 140/70 di belakang, tangki bahan api 4.6 liter, berat 118 kg (18 kg lebih ringan berbanding NMax 155) dan transmisi automatik tali sawat.

    Semasa majlis pelancaran NVX 155 ini, HLYM turut mengumumkan bahawa satu siri perlumbaan NVX 155 akan diadakan bersama pusingan perlumbaan Cub Prix, bermula dari pusingan keenam sehingga pusingan kesepuluh. Pelumbanya terdiri daripada pelumba baru yang dilihat berbakat dan sebanyak sehingga 20 buah NVX 155 diubahsuai untuk kegunaan perlumbaan ini.



     
     
  • Daihatsu Altis baharu sebenarnya adalah Toyota Camry Hybrid – hanya lencana ditukar, enjin juga sama

    Daihatsu Altis baharu sebenarnya adalah Toyota Camry Hybrid – hanya lencana ditukar, enjin juga sama

    Mungkin ada di antara anda yang tertanya mengapa Daihatsu menjual sebuah model yang sama dengan Toyota Camry di Jepun, tapi menggunakan nama Altis, yang merupakan salah satu model dalam keluarga Corolla. Sebenarnya, ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana Daihatsu telah melakukannya sejak beberapa tahun dulu, bermula dengan Camry generasi keempat XV20 .

    Seperti yang boleh dilihat, penampilan Daihatsu Altis ini tiada beza dengan Camry, kecuali lencana Daihatsu menggantikan logo Toyota. Rekaan bampar dengan bukaan udara luas di hadapan, serta bahagian dalam yang fokus kepada pemandu juga diambil daripada model Camry.

    Enjin hibrid Daihatsu Altis juga adalah sama dengan Toyota Camry, bermula dengan unit empat silinder 2.5 liter D-4S direct-injection (sebahagian daripada keluarga enjin Dynamic Force) yang mampu menghasilkan 178 PS dan 221 Nm tork, dan digabungkan dengan motor elektrik 120 PS/ 202 Nm. Kuasa keseluruhan Daihatsu Altis adalah 211 PS.

    Satu perkara yang pelik adalah Daihatsu menyatakan bahawa penggunaan bahan api Altis adalah 28.4 km/l, dan ini adalah jauh lebih rendah berbanding 33.4 km/l yang dicatat untuk Camry. Altis hanya ditawarkan dalam spesifikasi G pertengahan pada harga yang sama dengan Camry G iaitu 3,499,200 yen (RM131,600).

    Barangan standard yang diberikan pada Altis adalah lampu utama, lampu kabus dan lampu belakang LED, rim aloi 17 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula, skrin paparan informasi tujuh inci, kemasan dalam fabrik, tempat duduk larasan elektrik, pengawal suhu automatik dual-zone dengan ionizer dan enam pembesar suara.

    Daihatsu Altis baru ini juga didatangkan dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense P, yang termasuk brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, active cruise control, lane departure warning dengan kawalan stereng, rear cross traffic alert, intelligent clearance sonar dan rear cross traffic auto brake. Blind spot monitoring pula disediakan sebagai pilihan tambahan.


    GALERI: Toyota Camry Hybrid pasaran Jepun

     
     
  • VIDEO: Daihatsu Mira Gino dengan enjin Mazda 1.8L

    Di Malaysia, antara ubah suai yang cukup popular bagi pemilik Perodua Kelisa yang mempunyai cita rasa JDM adalah untuk mendapatkan bahagian badan daripada Daihatsu Mira Gino dan dipasang kepada kenderaan mereka. Tapi bagaimana pula dengan keadaan di Jepun, yang industri automotifnya cukup luas dan orangnya cukup kreatif untuk menghasilkan sesuatu yang unik?

    Daihatsu Mira Gino hasil ubah suai sendiri pemiliknya, Yamamoto San ini adalah antara contohnya. Beliau memiliki bengkel sendiri dan mahukan sesuatu yang unik sebagai projek. Akhirnya Gino ini dipilih, dengan konsep ‘shakotan‘ dan duduk rendah, begitu hampir dengan lantai.

    Apa yang tinggal daripada Gino tersebut hanyalah panel badannya, kerana Yamamoto telah membina rangka baru, manakala suspensi dan enjinnya pula adalah daripada model Mazda Roadster (1.8L). Bahagian dalam kenderaan ini adalah kosong seperti sebuah kereta lumba dan pada kebanyakan bahagian, ia dipenuhi dengan palang besi (roll cage) untuk menguatkan rangkanya.

    Jelas, kereta unik Yamamoto ini tidak boleh dibawa di atas jalan biasa dan di dalam video ini ia dilihat dibawa di atas trak ke kawasan yang tertutup. Namun, ia menunjukkan tekad yang tinggi dan kemampuan hebat seorang anak muda dalam mengubah suai kenderaan mereka. Ada yang ingin mencuba ubah suai seperti ini di Malaysia?

     
     
  • VIDEO: Kia Rio 2017 – pelancaran rasmi makin hampir

    Nampaknya Naza Kia kini sudah bersiap sedia untuk memperkenalkan Kia Rio terbaru untuk pasaran Malaysia. Pernah dilihat sedang diuji di sini, kinisebuah video teaser telah dipertontonkan melalui laman Facebook rasmi mereka, sekali gus memberi petanda bahawa model berkenaan sudah semakin hampir dengan tarikh pengenalannya di sini.

    Kini lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah berbanding model sebelumnya, Kia Rio menampilkan penggayaan yang lebih matang, serta rekaan ruang dalaman yang lebih kemas dan ergonomik. Keluasan ruang dalamannya juga kini bertambah hasil daripada badan kenderaan yang lebih besar.

    Begitu juga dengan bahagian but barangan yang bertambah kapasitinya walaupun dengan bahagian overhang belakang yang lebih pendek. Kerangka yang digunakan juga diperkukuh, dengan sistem suspensi yang ditala untuk memberikan kestabilan dan kendalian yang lebih responsif.

    Walaupun menerima membaharuan yang menyeluruh dari segi rekaan, untuk pasaran Malaysia, Rio baru ini akan kekal menggunakan enjin 1.4 liter empat-silinder terdahulu yang menghasilkan 109 PS/137 Nm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan automatik.

    Kia menyatakan transmisi automatik lima-kelajuan turut ada dibangunkan, tetapi masih belum mengesahkan jangka waktu untuk memperkenalkannya lagi – selain menyatakan mungkin akan berlaku kenaikan harga nanti. Ikuti laporan pandu uji Kia Rio 2017 yang sempat kami cuba di Australia awal tahun ini.

    Kia Rio 2017

     
     
  • SPYSHOT: Peugeot 508 generasi baharu – tinjauan pertama rekaan ruang dalaman yang digunakan

    SPYSHOT: Peugeot 508 generasi baharu – tinjauan pertama rekaan ruang dalaman yang digunakan

    Dengan model semasanya yang turut dikenali di Malaysia, Peugeot 508 dari generasi seterusnya kini telah dilihat sedang di uji sekali lagi. Ini bukanlah kali pertama ia dilihat dalam penyamaran. Pemerhatian tingkas terhadapnya memperlihatkan model akan datang 508 itu menampilkan banyak perubahan berbanding model sedia ada.

    Antaranya, ia hanya dilengkapi dengan corong ekzos tunggal, berbanding dua sebelum ini. Rim juga tampil dengan rekaan serba lain. Dalam penampilan versi produksi ini, ia tidak terlalu hampir dengan model konsep Peugeot Exalt.

    Bagaimanapun, Peugeot 508 generasi baru ini kelihatan lebih menonjol dan meyakinkan berbanding model yang akan digantikannya kelak. Ia nampak seperti lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah, dengan garis bumbung yang lebih bergaya. Ia menggunakan platform EMP2 yang dibangunkan oleh PSA.

    Dari kiri: Papan pemuka Peugeot 508 generasi baru dan papan pemuka model 3008.

    Lebih menarik, kelibatnya kali ini turut mendedahkan rekaan bagi bahagian dalaman model terbabit. Seperti yang dijangkakan, ia sangat jauh berbeza berbanding rekaan model sebelumnya, yang telah berada dalam pasaran sejak 2011 lagi.

    Walaupun sebahagian besar papan pemukanya dilindung, ia tetap memperlihatkan banyak perkara terhadap pembaharuan yang akan ditampilkan oleh versi baru model itu nanti. Sebagai contoh, ia meminjam rekaan i-Cockpit yang sama dari model 3008 dan 5008 terkini. Begitu juga dengan stereng dan tuil gear yang diambil dari model SUV berkenaan.

    Pesaing Peugeot 508 terdiri daripada model-model seperti Volkswagen Passat, Ford Mondeo dan Opel/Vauxhaul Insignia dipasaran Eropah, dan turut digugat oleh model dari jenama premium seperti BMW 3 Series serta Mercedes-Benz C-Class.

     
     
  • Ford Mustang 2018 ditawarkan dengan Pony Package

    Ford Mustang 2018 ditawarkan dengan Pony Package

    Sebagai memperingati rekaan lencana pada tahun 1960-an, Ford telah mengeluarkan Pony Package untuk Mustang 2018. Dalam pakej tambahan ini, pembeli akan menerima beberapa perubahan visual pada kenderaan, dan sebelum ini pakej hampir sama pernah diperkenalkan kepada Mustang 50 Years Limited Edition.

    Gaya inspirasi model retro ini melihatkan penggunaan lencana yang berbentuk kuda di dalam sangkar pada bahagian gril dan penambahan lain seperti rim aluminium berkilat 19 inci, garis badan tepi yang lebih terang, kemasan keliling tingkap untuk model fastback, pelekat jalur di bahagian tepi dan lencana kuda di penutup but belakang.

    Di bahagian dalam pula, melalui pakej ini, pembeli akan menerima karpet khas dengan logo kuda Mustang. Pony Package untuk Mustang ini hanya akan ditawarkan apabila model 2018 mula dijual Oktober ini di Amerika Syarikat, untuk model yang menggunakan enjin EcoBoost.

    Model Mustang 2018 akan menampilkan beberapa perubahan di bahagian luar dan dalam, bersama naik taraf mekanikal seperti pada casis dan tetapan suspensi. Pembeli juga kini boleh memilih sistem penyerap hentak MagnaRide.

    Bagi memadankannya dengan enjin yang dipertingkat, Mustang 2018 juga akan menerima kotak gear automatik 19 kelajuan baru. Ford walaubagaimanapun masih belum mendedahkan berapa banyak kuasa untuk enjin 2.3 liter EcoBoost dan 5.0 liter V8 pada model baru ini.

     
     
  • Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled tiba di Malaysia dengan harga pasaran RM69k termasuk GST

    Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled tiba di Malaysia dengan harga pasaran RM69k termasuk GST

    Selepas didatangkan dalam empat variasi iaitu Icon, Classic, Full Throttle dan Sixty2, Ducati tahun ini telah melancarkan dua lagi tambahan variasi bagi model Scrambler iaitu Cafe Racer dan Desert Sled. Kedua-dua motosikal ini sudah tiba di pusat pameran Ducati di Petaling Jaya dan ia dijual pada harga yang sama iaitu RM68,999 termasuk GST tetapi tanpa insurans.

    Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled masih lagi menggunakan enjin dua silinder L 803 cc Desmodromic sama seperti Scrambler Icon, dan kuasanya masih lagi adalah 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Transmisi juga sama, iaitu unit klac basah APTC.

    Walaubagaimanapun, kelengkapan Cafe Racer dan Desert Sled mempunyai perbezaan bagi memenuhi keperluan yang tersendiri – Cafe Racer lebih sporty manakala Desert Sled untuk mereka yang mahukan kelebihan boleh meredah jalan kasar menggunakan Scrambler Ducati ini.

    Jika dibandingkan dengan model Icon, Desert Sled mempunyai suspensi Kayaba boleh laras sepenuhnya lebih tinggi (200 mm jarak gerak di hadapan), rim jenis lidi 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tayar Pirelli Scorpion Rally STR, kerangka Trellis yang diperkuat, lengan ayun (+25 mm) dan jarak roda yang lebih panjang (1,505 mm) serta ergonomik penunggang yang diubah.

    Selain itu, Ducati turut menjadikan tindak balas pendikit Desert Sled lebih lembut, manakala sistem brek masih sama seperti Icon dengan unit cakera 330 mm dan angkup Brembo radial 4 piston di hadapan, dan cakera 245 mm dan angkup satu piston terapung di belakang. Walaubagaimanapun, hos bendalir brek Desert Sled kini menggunakan salutan besi dan laluan baharu supaya lebih tahan.

    Scrambler Desert Sled mempunyai berat keseluruhan, siap dengan bendalir dan minyak 207 kg, dan barangan standard lain yang datang padanya adalah tangki besi, penghadang lumpur roda hadapan tinggi, lampu utama hadapan dengan light guide LED, jeriji pelindung lampu hadapan, panel meter LCD, pelindung bahagian bawah enjin, ruang simpan di bawah tempat duduk dengan soket pengecas USB dan penghadang lumpur belakang lebih panjang.

    Scrambler Cafe Racer pula mempunyai gaya tunggangan lebih agresif, dengan penggunaan pemegang jenis clip-on yang lebih rendah dan ke hadapan, tempat duduk 15 mm lebih tinggi, rim 17 inci, tayar Pirelli Diablo Rosso II, master cylinder brek jenis radial dan suspensi yang lebih keras (spring ditukar).

    Pada aspek penampilan, Scrambler Cafe Racer boleh dilihat mempunyai kelengkapan seperti cermin sisi di hujung pemegang, penutup tempat duduk belakang, pemegang nombor plet di bawah, fender hadapan lebih pendek dan lampu utama yang direndahkan sedikit. Turut diubah adalah logo dan lencana yang terdapat pada tangkinya.

    Pelancaran rasmi dua motosikal ini hanya akan diadakan semasa acara Art Of Speed hujung bulan ini, namun Ducati Malaysia sudah mula membuka tempahan dengan harga seperti yang disebutkan di atas. Anda juga boleh membaca laporan tunggang uji Scrambler Desert Sled kami yang dikeluarkan hasil daripada sesi tunggang uji di Almeria, Spain di sini.

    GALERI: Ducati Scrambler Cafe Racer

    GALERI: Ducati Scrambler Desert Sled

     
     
  • Toyota Camry 2018 kini di pasaran Jepun – 33.4 km/l

    Toyota Camry 2018 kini di pasaran Jepun – 33.4 km/l

    Toyota Camry baharu kini telah pun mula dijual di pasaran Jepun, tampil dengan imej yang lebih menwan dan penjana kuasa hibrid generasi terkini. Kali ini, model yang dijual di sana adalah sama dengan model dalam pasaran Amerika Syarikat, dan tidak lagi dari versi kemasan krom yang dijual di Jepun bagi generasinya yang terdahulu.

    Tidak seperti di Amerika Syarikat, model bagi pasaran Jepun hanya ditawarkan dengan varian hibrid dan menampilkan rekaan “mewah” yang lebih konservatif, berbanding versi sporty yang ditawarkan di USA. Walau bagaimana pun, penampilannya masih dianggap elegan, dengan bahagian hadapan yang dipadankan bersama gril bawah yang lebih lebar, bersama lampu utama bi-LED dan gril atas yang lebih langsing serta logo tiga-dimensi Toyota.

    Sementara itu, bonet, dapra dan beltline yang direndahkan memberikan kesan terhadap pusat graviti yang lebih rendah, serta lekuk sisi yang lebih ketara serta garis bumbung yang juga lebih rendah. Lampu belakang LED pula melengkapkan gaya di bahagian itu.

    Toyota Camry 2018 kini di pasaran Jepun – 33.4 km/l

    Camry versi Jepun menerima lampu kabus tetapi tidak mengekalkan lampu kuning serta lampu tanda merah pada sisi belakangnya. Di bahagian kabinnya, rekaannya dikekalkan, lengkap dengan garisan khas yang membahagikan konsol tengah, navigasi dan kawalan suhu.

    Toyota mendakwa, bonet, cowl dan beltline yang direndahkan turut menambah baik jarak penglihatan ke arah luar dan memberikan kesan yang lebih sporty, serta menambahkan ruang yang luas di dalamnya. Skrin navigasi, paparan utama berwarna dan paparan pelbagai-informasi turut disambungkan untuk memudahkan penggunaan dan penglihatan pemandu.

    Camry baharu ini turut menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama seperti Prius terkini. Platform ini memberikan keseimbangan berat yang lebih optima dan pusat graviti yang lebih rendah, sekaligus memberikan respons pengendalian lebih baik dan kestabilan dalam kelajuan tinggi.

    Toyota Camry 2018 kini di pasaran Jepun – 33.4 km/l

    Kerangkanya pula menggunakan bingkai berbentuk lingkaran dan diletakkan bersama kimpalan skru berteknologi tinggi bersama struktur badan yang dipertingkatkan ketegarannya. Keluli berketahanan tinggi juga digunakan bagi mengurangkan daya bebanan sekiranya kenderaan terlibat dengan kemalangan.

    Tugas suspensi digalas oleh palang MacPherson untuk hadapan dan double wishbone untuk belakang serta roda stereng berkuasa elektrik untuk respons yang lebih baik. Bahagian enjin dilengkapi dengan empat pelekap secara hidraulik, pertama dari Toyota, yang mampu membantu mengurangkan bunyi dan getaran.

    Ia dipadankan dengan enjin 2.5 liter Dynamic Force, suntikan terus dan VVT-iE (bagi Elektrik) untuk janaan lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan minyak. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 178 PS pada 5,700 rpm dan tork 221 Nm dari 3,600 hingga 5,200 rpm. Dipadankan pula dengan motor elektrik dengan kuasa tambahan 120 PS/202 Nm untuk menghasilkan keseluruhan output sejumlah 211 PS. Penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 33.4 km per liter mengikut kitaran Japanese JC08.

    Bukan itu sahaja, semua model ditampilkan dengan Toyota Safety Sense P, ini termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, kawalan kelajuan aktif, amaran penukaran lorong dengan kawalan stereng, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang. Camry juga menjadi model pertama Toyota yang hadir dengan Brek Auto Trafik Lintasan Belakang.

    Dijual pada harga bermula 3,294,000 yen (RM123,900) untuk varian asas X, meningkat sehingga 3,499,200 yen (RM131,600) untuk G. Manakala varian tertinggi bersama Pakej Kulit G yang menampilkan roda aloi 18-inci, paparan utama dan sistem navigasi T-Connect, dijual pada harga 4,195,800 yen (RM157,800).

     
     
  • Toyota Sienta ditawar dengan bodykit pilihan RM2,950

    Toyota Sienta ditawar dengan bodykit pilihan RM2,950

    Jika anda memiliki sebuah Toyota Sienta, dan merancang untuk mengubah sedikit sebanyak penampilannya, UMW Toyota Motor kini memperkenalkan pakej bodykit baru bagi model MPV berkenaan.

    Ditawarkan pada harga RM2,950 termasuk GST, pakej berkenaan menampilkan rekaan spoiler bampar depan baru bagi Sienta, serta termasuk juga kit sisi badannya. Bodykit yang ditawarkan ini sama rekaannya seperti yang ada pada Sienta untuk pasaran Indonesia, bagi varian yang paling tinggi.

    Di Malaysia, Sienta ditawarkan dalam dua varian – 1.5G dan 1.5V – dengan kedua-duanya dipacu oleh enjin yang sama; 1.5 liter empat silinder dengan janaan kuasa 107 PS dan 140 Nm. Ini dipadankan pula bersama kotak gear CVT dengan tujuh nisbah maya.

    Pakej bodykit ini ditawarkan bagi kedua-dua varian berkenaan; tiada nota pengecualian yang dinyatakan berkaitan perkara ini di laman web rasmi Toyota. Dari segi harga, ia bermula dari RM90,200 atas jalan tanpa insurans bagi varian 1.5G.

    Varian 1.5V pula dijual pada harga RM97,000. Selain berkongsi enjin yang sama, MPV tujuh tempat duduk ini juga datang dengan ciri-ciri keselamatan standard, seperti tiga beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Hill-Start Assist (HAC) dan tapak Isofix.

     
     
  • Pakej talaan Polestar Optimisation bakal kerah 421 hp dari janakuasa Volvo XC60 T8 Twin Engine baharu

    Pakej talaan Polestar Optimisation bakal kerah 421 hp dari janakuasa Volvo XC60 T8 Twin Engine baharu

    The new Volvo XC60

    Seperti juga SUV Volvo XC90, adiknya – XC60 baharu – yang diperkenalkan pada Mac lalu turut diberikan varian paling berkuasa T8 Twin Engine yang menggabungkan enjin petrol dua liter suapan turbo dan supercharger serta motor elektrik dan generator penghidup pada aci engkol (CISG). Janakuasa berkenaan mampu menghasilkan kuasa akhir 407 hp/640 Nm, cukup untuk membolehkan SUV tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

    Cukup berkuasa untuk sebuah SUV keluarga bukan? Tetapi, divisi perlumbaan Volvo, Polestar, telah mengumumkan bakal hadir dengan pakej talaannya yang bakal mengekstrak 14 hp lagi pada janakuasa berkenaan, menjadikan 421 hp secara keseluruhan. Angka tersebut bakal menjadikan XC60 itu pada tahap kuasa yang sama dengan model produksi paling berkuasa pernah dihasilkan Volvo iaitu XC90 T8 Polestar.

    Tiada angka tork dinyatakan untuk XC60 berkenaan, tetapi untuk XC90 Polestar tersebut, ia mempunyai tork gergasi 680 Nm. Menurut Polestar, pakej optimisasi ini akan menambahbaik lima perkara pada unit janakuasa berkenaan, dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan waranti pengeluar, tahap emisi terbaik dalam kelasnya, penggunaan bahan api 2.1 liter untuk 100 km serta jarak perjalanan elektrik sepenuhnya 45 km.

    Polestar akan memperbaiki tork pada bahagian rpm pertengahan dan memberikan lebih kuasa pada kawasan tersebut kerana ia kerap digunakan pada pemanduan seharian, contohnya semasa mula masuk ke lebuhraya, memotong atau keluar dari selekoh.

    Pakej talaan Polestar Optimisation bakal kerah 421 hp dari janakuasa Volvo XC60 T8 Twin Engine baharu

    Kotak gear juga bakal memberikan tukaran gear yang lebih pantas dan corak tukaran gear juga telah ditala semula bagi membolehkan bahagian kuasa pertengahan dapat digunakan sepenuhnya, serta membolehkan kereta tersebut kekal berada pada gear yang sama pada selekoh dengan daya-G sisi yang tinggi bagi mengelakkan keseimbangannya berubah.

    “Sasaran kami adalah menghasilkan prestasi yang boleh digunakan pada situasi pemanduan seharian untuk pemilik Volvo yang mahukan pengalaman pemanduan yang dipertingkatkan. XC60 baharu telah memberikan kami asas yang cemerlang untuk berkerja dengan casis dinamik dan janakuasa yang canggih. Dengan Polestar Optimisation, ia akan menjadikan Volvo XC60 sebagai kereta untuk pemandu sebenar,” kata naib presiden R&D Polestar, Henrik Fries.

    Selain dari T8, pakej Polestar Optimisation ini turut bakal ditawarkan pada XC60 T6, T5, D5 dan D4. Masih lagi belum dapat dijangka bila SUV Volvo XC60 generasi baharu ini akan masuk kepasaran tempatan, namun buat masa sekarang Volvo Cars Malaysia telahpun membawa pakej Polestar Optimisation berkenaan untuk model V40, S60, dan juga XC60 generasi sebelum ini. Kami turut telah berpeluang untuk menguji V40 Polestar dan ulasan pandu ujinya boleh anda baca DI SINI.

    GALERI:Volvo XC60 generasi baharu

     
     
  • Honda USA sahkan satu lagi kematian berlaku akibat beg udara Takata meletup ketika diselenggara

    Honda USA sahkan satu lagi kematian berlaku akibat beg udara Takata meletup ketika diselenggara

    Honda Motor Company mengesahkan terdapat satu lagi kematian berlaku akibat masalah inflator pada beg udara buatan Takata. Namun kejadian ini berlaku bukan akibat kemalangan jalan raya, sebaliknya terjadi semasa kenderaan terbabit sedang diselenggarakan.

    Menurut laporan The Detroit News, seorang lelaki yang sedang menyelenggara model Accord 2001 pada tahun lalu apabila beg udara tersebut tiba-tiba meletup. Ketika kejadian, suis pencucuh didapati terpasang dan konsol tengah pada Accord terbabit tiba-tiba pecah, mengakibatkan lelaki terbabit mati akibat terkena satu objek keras yang dipercayai melantun ke arahnya akibat letupan beg udara terbabit.

    Pengeluar kenderaan terbabit turut berkata, bukti bergambar daripada pihak polis menunjukkan terdapat serpihan besi dan inflator di tempat kejadian. Namun Honda berkata “adalah sukar untuk mengesahkan kematian tersebut berpunca daripada serpihan inflator terbabit atau pun disebabkan si mati terkena tukul yang melantun akibat letupan terbabit.”

    Setakat ini, hampir 29 juta unit kenderaan terlibat dengan panggilan balik bagi beg udara Takata, di mana sesetengah jenis inflator yang paling bahaya terdapat pada model Acura dan Honda dari tahun 2000, termasuk Accord dan Civic 2001-2002.

    Berhadapan dengan kerugian bernilai bilion dolar termasuk kes saman di mahkamah, Takata telah diisytihar bangkrap pada bulan lalu. Pembekal di USA, Key Safety System dikatakan akan membeli kesemua aset global syarikat tersebut yang bernilai $1.59 bilion, walau pun ia jauh dari anggaran kasar kerugian yang dialami oleh Takata sendiri.

     
     
  • BMW Motorrad 2018 – penampilan bagi hampir semua model diperbaharui, termasuk versi ubah suai Spezial

    BMW Motorrad 2018 – penampilan bagi hampir semua model diperbaharui, termasuk versi ubah suai Spezial

    BMW Motorrad telah melakukan pembaharuan kepada sebahagian besar model yang ditawarkan, dengan termasuk pengenalan BMW Motorrad Spezial, iaitu servis ubah suai khas untuk beberapa model. Turut diperkenalkan bagi model 2018 ini adalah BMW Motorrad Connectivity, yang disasarkan untuk memberi informasi secara jelas dan kurang gangguan kepada penunggang.

    Bagi model R nineT, yang terdiri daripada Base, Scrambler, Racer, Urban G/S dan Pure, BMW menawarkan program ubah suai Spezial yang merangkumi pilihan gaya, naik taraf prestasi serta pelbagai barangan eksklusif lain. Pembeli boleh memilih barangan khas yang dimahukan semasa membuat tempahan, harganya diletakkan dalam invois dan semuanya dilindungi dengan waranti.

    Untuk pilihan Spezial ini, yang ditawarkan bermula bulan Ogos 2017, ia boleh dilakukan dalam dua cara, iaitu sama ada semasa membuat tempahan dan ia dipasang terus di kilang, atau menempahnya di pengedar rasmi BMW Motorrad dan memasangnya di situ.

    Tidak ketinggalan diberikan pembaharuan sudah tentu adalah model paling terkenal iaitu R 1200 GS – model asas dan Adventure, dengan facelift yang lebih jelas. Sementara kedua-duanya mendapat lampu LED tambahan, serta pilihan Connectivity dan Emergency Call, model Adventure turut mendapat pelbagai lagi barangan lain.

    Ini termasuk tambahan pilihan Dynamic dan Enduro bagi mod tunggangan. Dalam pilihan pakej Touring, pembeli juga akan menerima Dynamic Traction Control, Hill Start Control, dynamic self-levelling serta Keyless Ride, manakala dalam pakej Dynamic terdapat penukar gear Shift Assistant Pro.

    Bagi penampilannya, model GS 2018 datang dengan pilihan warna baru iaitu Racing Red, yang pada bahagian kerangka dan angkup brek menggunakan warna hitam, manakala tangki pula berwarna perak. Bagi pilihan gaya Style Rallye pula, motosikal tersebut akan menggunakan panel badan yang berwarna putih dan biru manakala rangka pula berwarna biru, angkup brek emas, tangki Cordoba Blue, tempat duduk khas Rallye, penghadang angin rendah dan pelindung radiator serta rangka.

    BMW Motorrad 2018 – penampilan bagi hampir semua model diperbaharui, termasuk versi ubah suai Spezial

    Satu lagi pilihan bagi GS adalah Style Exclusive, di mana kebanyakan bahagian berwarna hitam dan kelabu, termasuk rangka, angkup brek emas, tangki gelap serta logo BMW yang besar. Warna Racing Red Matte dan Light White sebelum ini sudah diberhentikan pengeluarannya.

    Untuk motosikal sports BMW Motorrad pula, model R 1200 RT mendapat fungsi ABS Pro dan lampu brek dinamik secara standard, manakala Dynamic Traction Control turut dimasukkan dalam senarai pilihan tambahan bersama mod tunggangan Pro. Pilihan warna untuk R 1200 RT 2018 pula adalah terdiri daripada hitam metalik bagi Style Elegance dan merah metalik untuk Style Sport. Ubah suai khas Spezial disediakan sebagai pilihan.

    R 1200 RT 2018 pula kini ditawarkan dalam warna Iced Chocolate Metallic, manakala R 1200 RS dengan dua pilihan – Frozen Bronze Metallic/Black Storm Metallic dan Black Storm Metallic. Warna Thunder Grey Metallic dan Lupin Blue Metallic bagi kedua-dua model itu kini sudah tiada.

    Jentera berenjin empat silinder BMW turut mendapat sedikit perubahan penampilan, dengan S 1000 XR kini ditawarkan dalam warna Light White/Racing Blue Metallic/Racing Red BMW HP Motorsport dan pakej tambahan yang termasuk tempat duduk Pro yang mempunyai sulaman logo XR. Bagi model S 1000 RR, selain penampilan, sistem ekzos penuh titanium turut dimasukkan dalam senarai kelengkapan tambahan.

    Bagi model lain pula, skuter C 650 Sport dan C 650 GT kini ditawarkan dalam warna masing-masing Austin Yellow Metallic dan Ocean Blue Metallic, manakala K 1600 GT, K 1600 GTL dan K 1600 B mendapat lampu LED tambahan serta pilihan barangan Spezial untuk K 1600 GT dan K 1600 GTL.

    Melengkapkan facelift model 2018 ini, adalah pada model F 700 GS, F 800 GS dan F 800 GS Adventure, yang disudahi dengan warna Racing Blue Metallic dan kerangka Light White. Semua model 2018 ini akan dipasarkan bermula pada bulan Ogos 2017.

    GALERI: BMW Motorrad 2018

    GALERI: BMW Speziale

     
     
  • Toyota Hilux kini hadir dengan aerokit TRD, RM4,800

    Toyota Hilux kini hadir dengan aerokit TRD, RM4,800

    Pada Mei lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) telah pun mempertontonkan model Hilux 2.4G yang dilengkapi dengan aerokit TRD. Walau bagaimana pun, ketika itu, UMWT belum mengesahkan lebih lanjut mengenai aerokit ini, bila dan berapa harga bagi pakej yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

    Terbaru, ia telah pun dipromosikan menerusi laman web rasmi syarikat ini. Dengan harga RM4,800 termasuk GST, pakej ini adalah lebih kurang dengan yang dipadankan pada model Hilux oleh pengedar Win Hin Automobile yang dipertontonkan pada Mei lalu.

    Pakej ini ditawarkan untuk semua varian double cab, dilengkapi gril sarang lebah, pelindung bawah bampar, skid plate berwarna merah dan fender hitam pekat. Pilihan tambahan pula termasuk rim aloi enam-jejari 18-inci (dengan penutup skru TRD), yang hanya ditawarkan bagi varian 2.8G sahaja.

    Hilux ditawarkan pada harga dari RM87,200 hingga RM130,000, dengan dua enjin GD turbodiesel yang ditawarkan – 2.8 liter 1GD-FTV (177 hp/450 Nm) dan 2.4 liter 2GD-FTV (150 hp/400 Nm).

    Bergantung pada pemilihan enjin, pembeli boleh memilih antara transmisi manual atau automatik enam-kelajuan. Pacuan empat-roda adalah standard bagi majoriti varian, kecuali 2.4 liter 2×4 MT.

    GALERI: Toyota Hilux 2.4G dengan aksesori TRD yang dipertontonkan Mei lalu

     
     
  • Tiada cadangan untuk menaikkan kadar tol – Rosnah

    Tiada cadangan untuk menaikkan kadar tol – Rosnah

    Kementerian Kerja Raya menerusi Timbalan Menteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, buat masa ini tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai kenaikan kadar tol.

    Menurutnya lagi, keputusan untuk mengekalkan kadar tol bagi 12 konsesi lebuh raya seperti yang diumumkan pada tahun lepas masih tidak berubah, laporan Bernama.

    “Setakat ini, tidak ada (perbincangan berkaitan kadar tol), tiada keputusan seperti itu,” katanya kepada pemberita hari ini bagi mengulas sebarang kenaikan kadar tol susulan terdapat empat lebuh raya yang berhak menerima kenaikan tol tahun ini.

    Empat lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

     
     
  • Ford Mustang EcoBoost 2018 dengan fungsi line-lock – kini semua orang boleh lakukan aksi ‘burnout’

    Sebelum ini, hanya Ford Mustang dari varian GT – dikuasakan oleh enjin V8 – menerima fungsi line-lock, iaitu ciri yang membolehkan pemandu melakukan aksi ‘burnout’ walaupun tanpa kemahiran. Kini, untuk versi 2018, varian paling rendah dengan enjin empat-silinder turbo 2.3 liter EcoBoost turut menerima fungsi berkenaan.

    Fungsi line-lock ini turut ditawarkan untuk kedua-dua versi transmisi – sama ada manual enam-kelajuan ataupun SelectShift automatik 10-kelajuan. Video demonstrasi yang disiarkan seperti diatas memaparkan duta Mustang yang juga juara Formula D dengan memandu muscle-car ikonik berkenaan – Vaughn Gittin Jr – menawarkan kepada sesiapa sahaja untuk melakukan burnout menggunakan Mustang, menunjukkan betapa mudahnya fungsi tersebut digunakan.

    Fungsi ini dapat diaktifkan dengan menggunakan suis kawalan pada roda stereng dan juga paparan pada papan instrumen. Setelah ia diaktifkan, kuasa hidraulik diberikan pada angkup brek depan untuk memastikan kereta dalam keadaan terkunci dan tidak boleh bergerak. Ia akan bertahan selama 15 saat bagi membolehkan pemandu menekan pedal pendikit dengan keadaan transmisi bersambung dengan enjin, membolehkan aksi burnout dilakukan dengan mudah.

    “Kami perkenalkan line-lock pada Mustang EcoBoost kerana kami tidak mahu pelanggan ketinggalan untuk menggunakan fungsi ini,” kata Mark Schaller, pengurus pemasaran Ford Mustang. “Jumlah pelanggan yang memilih kuasa EcoBoost sedang meningkat di seluruh dunia, dan kami tingkatkan tork dan pelbagai ciri terkini pada Mustang baharu, pelanggan tidak akan terkejut,” tambahnya.

     
     
  • Renault Captur ditawarkan pada RM98k, diskaun sebanyak RM11k – tinggal beberapa unit terhad

    Renault Captur ditawarkan pada RM98k, diskaun sebanyak RM11k –  tinggal beberapa unit terhad

    Terdapat beberapa unit lagi Renault Captur dengan harga pengenalan RM98,000 (atas jalan tanpa insurans), dengan jumlah yang agak terhad, menurut TC Euro Cars.

    Harga istimewa ini diumumkan ketika model pemasangan tempatan (CKD) dilancarkan pada April lalu, dengan harga tetap sekitar RM109k, di mana sebanyak RM11k potongan diskaun telah diberikan. Harga RM109k bagi model kenderaan cekap tenaga (EEV) yang dipasang di Segambut ini adalah RM8,200 lebih rendah berbanding unit CBU.

    “Kami percaya Renault Captur ini digemari ramai kerana memiliki imej yang lebih bergaya, versatil dan menawarkan pakej keselamatan terbaik, kini dengan harga yang lebih menjimatkan iaitu RM98,000,” ujar Kuan Kim Luen, CEO TC Euro Cars.

    Renault Captur ditawarkan pada RM98k, diskaun sebanyak RM11k –  tinggal beberapa unit terhad

    Captur CKD masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu 1.2 liter turbo empat silinder, yang mampu menghasilkan 118 hp pada 4,900 rpm dan 190 Nm tork pada 2,000 rpm. Kuasa ini disalurkan ke roda hadapan melalui kotak gear automatik enam-kelajuan klac berkembar. Penggunaan bahan api sekitar 5.4 liter per 100 km mengikut kitaran kombinasi Eropah.

    Kelengkapan standard bagi Captur CKD adalah termasuk lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan, sistem kemasukan tanpa kunci, kamera undur, pengelap cermin dan lampu utama automatik, pengawal suhu automatik, sistem informasi dan hiburan dengan sambungan Bluetooth, USB dan AUX, serta skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi.

    Renault Captur ditawarkan pada RM98k, diskaun sebanyak RM11k –  tinggal beberapa unit terhad

    Selain itu, tempat duduknya pula boleh ditanggalkan balutan fabriknya (dengan zip, boleh dicuci), ruang but sehingga 377 liter (diluaskan hingga 455 liter apabila tempat duduk belakang dibaring sepenuhnya).

    Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ECS, bantuan mula mendaki dan cagak ISOFIX, di mana ia lebih kurang sama dengan elemen yang ada pada model CBU.

    Empat pilihan warna luaran ditawarkan, termasuk warna Flame Red baharu, dengan bumbung Diamond Black, manakala kombinasi yang lain adalah Pacific Blue/Ivory, Ivory/Diamond Black, dan Arizona Orange/Diamond Black. Fabrik tempat duduk menggunakan warna Charcoal dan kelabu.

    Sama seperti semua model Renault (tanpa RS) yang dijual di Malaysia, Captur turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Renault Captur TCe 120, CKD

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026