Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • AXA FlexiDrive dilancarkan: amalkanlah pemanduan selamat untuk premium insurans yang lebih rendah

    AXA FlexiDrive dilancarkan: amalkanlah pemanduan selamat untuk premium insurans yang lebih rendah

    Hari ini, AXA Affin General Insurance (AAGI) telah melancarkan AXA FlexiDrive, insurans motor baharu yang menggunakan telematik untuk membolehkan pengguna menjimatkan kos perbelanjaan bagi premium insurans mereka, serta menyediakan pelbagai perkhidmatan kecemasan dan baikpulih kenderaan.

    Nadi perkhidmatan ini adalah satu peranti bersaiz kecil yang dipasang pada bateri kenderaan, yang mengesan sesetengah parameter termasuk kelajuan, pecutan dan brek mendadak serta tabiat pemanduan pemandu. Pemanduan selamat membolehkan pelanggan mengumpul diskaun sehingga 20% bagi premium mereka, yang akan dapat dinikmati pada pembaharuan insurans yang seterusnya.

    Sebagai tambahan, peranti ini juga boleh mengesan kemalangan dan impak, apabila ia disahkan, bantuan kecemasan perubatan akan segera dihantar ke lokasi nahas secara tepat. Pemilik juga akan dimaklumkan sekiranya terdapat sabotaj atau kerosakan yang dikesan, dan dalam kes kecurian, AXA akan bekerjasama dengan pihak polis sebaik sahaja laporan polis diterima.

    Aplikasi AXA FlexiDrive juga boleh didapati, membolehkan pengguna menyemak Diskaun Pemanduan Selamat, menerima panduan pemanduan dan memeriksa status bateri kenderaan mereka menerusi telefon pintar. Tiada sebarang kos tambahan dikenakan untuk perkhidmatan ini – premium insurans motor komprehensif standard dan satu deposit bayar balik sebanyak RM70 bagi peranti dan pelanggan tidak akan dikenakan denda sekiranya memandu secara agresif.

    Peranti yang dihasilkan oleh CSE, menampilkan GPS, kad sim dan accelerometer, dan apabila pengguna boleh mengesan lokasi kenderaan mereka pada bila-bila masa menggunakan aplikasi ini, AXA hanya akan menerima telematik untuk menjejaki cara pemanduan. Semua data yang dikumpulkan akan digunakan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan akan dikendalikan secara rahsia.

    “Kami sangat komited untuk memberikan nilai dan pengalaman yang lebih baik buat pelanggan insurans motor kami, selain menyumbangkan perkhidmatan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di Malaysia. Menurut statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), satu kemalangan berlaku bagi setiap minit dan
    satu kenderaan dicuri setiap 24 minit di Malaysia.

    “Saya sangat berkeyakinan AXA FlexiDrive ini mampu membantu kita meningkatkan lagi tahap keselamatan kenderaan dan jalan raya di Malaysia,” ujar CEO AAGI Emmanuel Nivet.

     
     
  • Mercedes-Benz Services Malaysia perkenal skim pemilikan alternatif rendah komitmen – Lease2Go

    Mercedes-Benz Services Malaysia perkenal skim pemilikan alternatif rendah komitmen – Lease2Go

    ????????????????????????????????????

    Bagi mereka yang berminat untuk membeli Mercedes-Benz baharu, anda kini mempunyai pilihan sistem pembiayaan sewa dari jenama berkenaan jika tidak berminat dengan skim pembiayaan tradisional. Mercedes-Benz Services Malaysia (MBMS) kini memperkenalkan skim pembiayaan sewa baharu tanpa bayaran pendahuluan dikenali sebagai ‘Lease2Go’.

    Satu lagi ciri menarik pada skim pembiayaan baharu ini adalah ia direka bagi memudahkan pembeli untuk menukar model Mercedes-Benz yang lebih terkini pada masa hadapan. Pelanggan boleh membuat sendiri pakej pembiayaan mereka dengan memilih tempoh pembiayaan (satu hingga empat tahun) dan anggaran perjalanan perbatuan (20,000, 25,000, atau 30,000 km) setahun.

    Selain itu, pakej Lease2Go ini juga turut membiayai sekali premium insuran dan cukai jalan menerusi bayaran bulanan pelanggan. Perlindungan insuran untuk tayar dan rim juga diberikan, bersama bantuan kerosakan tepi jalan 24/7 bagi memberikan ketenangan kepada pelanggan yang memilih skim ini.

    Mercedes-Benz Services Malaysia perkenal skim pemilikan alternatif rendah komitmen – Lease2Go

    Untuk mereka yang memilih skim ini untuk pemilikan Mercedes-benz baharu mereka, deposit keselamatan (akan dipulangkan semula) bernilai dua-bulan bayaran ansuran perlu disediakan pada peringkat permulaan. Selepas itu, mereka hanya perlu membayar bayaran ansuran sewa bulanan untuk tempoh masa kenderaan tersebut digunakan, seperti yang telah dipersetujui pada perjanjian sewaan. Pada tempoh akhir sewaan berkenaan, kereta tersebut akan dipulangkan dan pelanggan mempunyai pilihan untuk memilih Mercedes-Benz lain yang lebih terkini.

    “Mercedes-Benz Services Malaysia secara berterusan membina cara baharu bagi menyediakan apa yang diperlukan oleh pelanggan kami dengan penyelesaian pembiayaan yang relevan dan inovatif. Lease2Go merupakan satu lagi contoh sempurna penyelesaian inovatif dan fleksibel yang kami tawarkan untuk pelanggan di Malaysia. Bila anda fikirkan Lease2Go, fikirkan keringkasan. Kami singkirkan semua komitmen pemilikan yang tidak diperlukan untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan kami, dan buatkan ia mudah untuk memandu dan menaiktaraf kereta Mercedes-Benz mereka tidak seperti sebelum ini,” kata Mike Ponnaz, pengarah urusan MBSM.

    “Dengan mewujudkan penyelesaian pembiayaan yang difokuskan kepada penggunaan, kami telah mencipta cara lain yang lebih mudah untuk pelanggan kami bagi melengkapkan diri mereka di dalam pengalaman bersama Mercedes-Benz. Komitmen sifar dalam ciri pemilikan juga merupakan kelebihan , khususnya untuk syarikat, kerana ia akan diterjemahkan dalam senarai kunci kira-kira. Pelanggan juga dilindungi daripada risiko aset yang susut nilai dan kesukaran untuk melupuskan kenderaan mereka,” jelas Ponnaz lagi.

    Untuk maklumat terperinci, anda boleh klik pada pautan ini untuk terus ke laman Lease2Go. Atau lihat di sini untuk contoh kira-kira kos pembiayaan kenderaan melalui program ini.

     
     
  • Toyota 86 Kuhl Racing – versi lebih rendah dan garang

    Toyota 86 Kuhl Racing – versi lebih rendah dan garang

    Jika sebelum ini mereka pernah menampilkan modifikasi pada model Toyota C-HR, jenama talaan kenderaan Kuhl Racing kini menambah sebuah lagi model yang diberikan sentuhan modifikasi menarik, kali ini melibatkan model Toyota 86. Seperti yang dapat dilihat di sini, kereta ini menerima kit badan lebar 01R-GT yang dihasilkan oleh mereka sendiri, dipadankan dengan roda 20 inci dengan tayar Falken FK453.

    Ekzos pula menggunakan unit muffler yang dibangunkan oleh Kuhl Racing. Paling ketara ialah kedudukan kereta ini yang lebih rendah dengan penggunaan tayar yang lebih lebar, dengan talaan camber yang menjadikannya lebih agresif terutama di belakang.

    Kelengkapan brek bersaiz besar turut melengkapinya untuk memberikan daya henti yang lebih kuat. Selain itu, turut tersenarai di dalam sentuhan yang diberikan ialah sayap GT yang digunakan; ia memberi penampilan visual yang lebih garang, tambahan pula dengan penggunaan warna khas Rohan.

    Bahagian belakang juga nampak serasi dengan pertambahan yang diberikan pada kereta ini; bampar belakang Kuhl Racing yang lebih lebar dengan ruang untuk menempatkan ekzos yang lebih menonjol serta kedudukan lampu yang ada. Apa pandangan anda tentang modifikasi rekaan yang dilakukan ini?

     
     
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup mulai hari ini sehingga 14 Julai untuk kerja penyelenggaraan

    Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup mulai hari ini sehingga 14 Julai untuk kerja penyelenggaraan

    Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) yang mengendalikan laluan di Jabatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang, telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan jambatan tersebut kepada semua kenderaan dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang mulai hari ini, 10 Julai 2017, selama lima hari.

    Penutupan tersebut bagi kerja-kerja pemasangan alat pengesan di menawa kawat elektrik arah timur yang melibatkan dari laluan KM16.4 hingga KM18.6.

    Menurut kenyataan terbabit pengesan tersebut adalah sebahagian daripada elemen bagi Sistem Pemantauan Keadaan Struktur di bawah modul Sistem Pengurusan Aset Integrasi (IAMS) yang dibangunkan oleh JKSB bagi penyelenggaran jambatan tersebut.

    Jangkaan masa proses pemasangan akan mengambil masa selama lima hari waktu bekerja bergantung pada keadaan cuaca.

    Sehubungan itu, laluan kontra dari/ke bahagian Pulau akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan itu dan gangguan trafik minimal dijangka berlaku.

    Justeru, pihak JKSB menasihati para pengguna jambatan tersebut supaya mematuhi arahan dan tanda jalan di laluan yang terlibat dan mengikut kadar kelajuan yang ditetapkan demi keselamatan semua.

    Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi JKSB di talian 1-300-30-2828 atau e-mel [email protected] atau mengikuti perkembangannya menerusi akaun rasmi Facebook syarikat ini di www.facebook.com/jsahmoffical; dan twitter @jashmsofficial.

     
     
  • BMW Group Malaysia lancarkan program Roadside Assistance dan Accident Hotline yang dipertingkatkan

    BMW Group Malaysia lancarkan program Roadside Assistance dan Accident Hotline yang dipertingkatkan

    BMW Group Malaysia kini memperkenalkan program bantuan Roadside Assistance dan Accident Hotline. Perkhidmatan ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan sepanjang masa bagi pemilik kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad.

    Program berkenaan menawarkan bantuan telefon sepanjang hayat, serta perkhidmatan tunda dan pergerakan tanpa sebarang kos tambahan bagi pemilik yang berada dalam situasi kecemasan atau kerosakan. Pelanggan hanya perlu menelefon talian 1800-88-8808 untuk mendapatkan bantuan.

    Bermula dari 1 Julai 2017, pemilik BMW dan MINI dengan kenderaan yang didaftarkan dari 1 Januari 2017 akan menerima pelindungan Roadside Assistance (RSA) untuk tempoh lima tahun tanpa sebarang kos – tempoh dua tahun bagi pemilik BMW Motorrad.

    BMW Group Malaysia lancarkan program Roadside Assistance dan Accident Hotline yang dipertingkatkan

    Program ini merupakan penambahbaikan terhadap versi sebelumnya, yang mana hanya sah bagi tempoh dua tahun. Selain itu, bagi kenderaan yang didaftarkan antara 1 Julai 2015 hingga 31 Disember 2016, RSA terdahulu masih lagi sah bagi tempoh 24 bulan sejak tarikh pertama kali kenderaan itu didaftarkan.

    Pelanggan di bawah program ini akan menikmatipelbagai perkhidmatan, antaranya bantuan telefon sepanjang hayat dan talian kecemasan kemalangan. Bagi situasi kecemasan, BMW RSA akan menghubungi perkhidmatan kecemasan di lokasi berkenaan, serta memaklumkan pengedar bagi mengatur perkhidmatan menunda jika perlu.

    Ini termasuk penghantaran balik bagi jarak perjalanan sejauh 200 km, serta kenderaan ganti juga akan disediakan sepanjang tempoh baik pulih yang terlibat. Dalam keadaan kerosakan yang berlaku dalam jarak 200 km atau lebih dari kediaman pelanggan, BMW RSA juga boleh mengaturkan tempat bermalam, jika perlu.

     
     
  • iRoll Auto – pusat 3S baharu Volvo di Pulau Pinang

    iRoll Auto – pusat 3S baharu Volvo di Pulau Pinang

    Bagi memberikan jaringan pengedar yang lebih luas untuk pelanggan yang berada di utara tanah air, Volvo Cars Malaysia secara rasmi telah membuka premis 3S baharunya di Pulau Pinang yang dimiliki oleh iRoll Auto.

    Pusat jualan, servis dan alat ganti berkenaan terletak di Juru Auto-City, dan mengimplementasikan konsep Volvo Retail Experience (VRE) terbaharu, menampilkan rekaan seperti ‘ruang tamu’ yang dilengkapi perabut-perabut scandinavian design bersama pencahayaan cerah.

    Selain dari bilik pameran, premis baharu Volvo Juru ini turut menempatkan pusat servis selepas jualan yang dilengkapi dengan dua ruang bekerja.

    “Beroperasi di tanah besar Pulau Pinang merupakan langkah yang sangat penting untuk mewujudkan akses yang lebih baik bagi produk Volvo kepada pelanggan kami di kawasan utara di mana pasaran berkenaan menjanjikan perkembangan yang pesat,” kata Lennart Stegland, pengarah urusan Volvo Cars Malaysia.

    “Disamping dari terus memperkenalkan produk yang direka dengan baik, mewah dan selamat, kami juga berusaha untuk memberikan perasaan yang sama sejak dari saat mereka mula masuk ke persekitaran premis kami,” tambahnya.

    “Kombinasi akses yang mudah dan reputasi Juru Auto-City yang sememangnya dikenali sebagai hab automotif membuatkan lokasi ini sangat menarik,” kata Ang Hock Guan, pengarah urusan iRoll Auto.

     
     
  • Tesla Model 3 – pengeluaran sudah bermula, gambar pertama kereta untuk pasaran dikeluarkan Elon Musk

    Tesla Model 3 – pengeluaran sudah bermula, gambar pertama kereta untuk pasaran dikeluarkan Elon Musk

    Apa yang anda lihat ini adalah gambar pertama unit produksi Tesla Model 3, yang dikongsikan sendiri oleh pemilik pertama iaitu Elon Musk sendiri. Ketua pegawai eksekutif Tesla tersebut mendedahkan gambar ini dalam Tweeter dan menyatakan unit pertama sedang melalui pemeriksaan terakhir.

    Turut tersebar adalah video kereta pertama tersebut, dan ia menampakkan bumbung kaca Model 3 ini serta sebahagian daripada papan pemukanya termasuk skrin yang lebar, roda stereng dan corong pendingin hawa.

    Memang bukan sesuatu yang pelik bahawa kenderaan pertama pergi kepada Musk kerana beliau adalah ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut, tetapi sebenarnya, orang pertama yang meletakkan deposit untuk Model 3 ini adalah salah seorang ahli lembaga syarikat, iaitu Ira Ehrenpreis. Beliau walaubagaimanapun memberikan hak kereta pertama ini kepada Musk sebagai hadiah hari kelahirannya yang ke 46.

    Minggu lepas Musk memberitahu bahawa Model telah melepasi segala keperluan undang-undang untuk pengeluaran dua minggu lebih awal daripada perancangan, dan majlis penyerahan kepada 30 pelanggan awal akan dilakukan hujung bulan ini. Tesla merancang untuk mengeluarkan 100 unit Model 3 pada bulan Ogos, 1,500 pada bulan September dan 20,000 pada bulan Disember.

    Tesla Model 3 – pengeluaran sudah bermula, gambar pertama kereta untuk pasaran dikeluarkan Elon Musk

    Tempahan untuk Model 3 telah dibuka lebih satu tahun yang lalu, dan jumlahnya pasti sudah bertambah sehingga kini. Hanya sehari selepas Tesla membuka tempahan, 300,000 orang telah mengeluarkan deposit USD1,000 untuk meletakkan nama mereka dalam senarai.

    Tesla tidak mendedahkan jumlah sebenar tempahan yang diterima sehingga kini, tetapi bulan lepas Musk memberitahu bahawa deposit bertambah dari minggu ke minggu. Namun semasa perjumpaan pemegang saham tahunan Jun lalu, Musk memberitahu bahawa sesiapa yang telah meletakkan pesanan lambat berkemungkinan tidak akan mendapat kereta mereka sebelum hujung tahun 2018.

    Kereta elektrik yang dijangka dijual pada harga bermula USD35,000 ini sudah ditemui sewaktu sedang diuji dan spesifikasinya juga sudah terdedah, dengan jarak pergerakan 346 km berbanding 400 hingga 539 km untuk Model S. Pecutan 0-96 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 5.6 saat berbanding 2.3 saat untuk Model S. Ruang simpanan Model 3 juga lebih kecil (396 berbanding 850 liter).

     
     
  • Yamaha Y15ZR 2017 diperkenalkan dalam warna baharu untuk pasaran Malaysia, harga kekal RM8,361

    Yamaha Y15ZR 2017 diperkenalkan dalam warna baharu untuk pasaran Malaysia, harga kekal RM8,361

    Model motosikal 150 cc yang terlaris, Yamaha Y15ZR 2017 kini menerima warna serta rekaan grafik baru, sementara harga yang ditawarkan pula masih kekal pada RM8,361 termasuk GST. Pertambahan terkini melibatkan warna biru, merah dan hitam – rekaan grafiknya juga memberikan penampilan yang berbeza daripada versi sebelumnya.

    Yamaha Y15ZR dilengkapi enjin 150 cc empat lejang, silinder tunggal dengan empat injap serta sistem EFI. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 15.1 hp pada 8,500 rpm dan tork sebanyak 13.8 Nm pada 7,000 rpm. Kotak gear yang menyalurkan kuasa pula hadir dengan lima-kelajuan.

    Sistem brek pula menggunakan cekera tunggal dari jenis hidraulik bagi kedua-dua bahagian depan dan belakang, dengan kaliper piston tunggal. Selebihnya, ia turut dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.2 liter. Ketinggian tempat duduknya pula ialah 670 mm.

    Motosikal supercub ini mempunyai berat 115 kg. Bagi sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik standard untuk bahagian hadapan manakala di belakang menggunakan jenis monoshock. Paparan meter terdiri daripada speedometer analog di sebelah kiri, sementara skrin LCD dengan maklumat lain seperti odometer dan takat minyak terletak di sebelah kanan.

    Yamaha Y15ZR 2017 ini kini sudah boleh didapati dari pengedar sah Hong Leong Yamaha seluruh Malaysia. Barisan warna baru ini akan menggantikan pilihan warna terdahulu. Yamaha FZ150i dan Lagenda 115Z turut menerima warna baru untuk pasaran Malaysia seperti yang diperkenalkan sebelum ini.

     
     
  • Toyota C-HR – SUV terlaris di Jepun bagi 1H 2017

    Toyota C-HR – SUV terlaris di Jepun bagi 1H 2017

    Toyota C-HR berjaya mencipta kejayaan di Jepun, dengan jualan mencecah 79,303 unit sejak dilancarkan pada Disember yang lalu. Ia cukup menempatkan C-HR sebagai SUV baharu terlaris dalam pasaran bagi separuh pertama (1H) 2017.

    Malahan Toyota juga telah mengesahkan, SUV kompak ini turut menjadi kenderaan terlaris di negara matahari terbit itu bagi bulan April lalu, dengan jualan mencecah 13,168 unit. Di negara itu, C-HR ditawarkan dengan dua varian enjin iaitu 1.2 liter pengecas turbo dan 1.8 liter hibrid.

    Untuk Malaysia, tarikh pelancarannya masih samar-samar namun beberapa minggu lalu, C-HR telah dikesan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

    Di mana ia adalah model yang sama yang pertama kali dipertontonkan di Malaysia pada Mei lalu. Ia dijanakan oleh enjin 1.2 liter turbo, dengan spesifikasi yang lebih kurang sama dengan model pasaran Australia – roda 17-inci dan lampu utama halogen.

    Apabila dilancarkan di sini, pastinya C-HR bakal memberikan saingan sengit bagi Honda HR-V dan Mazda CX-3.

    GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Jepun

     
     
  • VIDEO: Teaser hot-hatch Hyundai i30 N tanpa pelekat penyamaran sebelum kemunculan sulung minggu ini

    Kita telah disajikan pelbagai video prebiu Hyundai i30 N yang sedang diuji dan ditala dari jalan raya sehingga ke litar – Bathurst dan Nürburgring. Sebelum kemunculan sulungnya yang pada 13 Julai ini, satu lagi teaser disiarkan oleh Hyundai – video pendek i30 N tanpa pelekat penyamaran seperti penampilan-penampilan sebelum ini.

    Walau bagaimanapun, imej yang muncul pada teaser berkenaan adalah kabur dan Hyundai hanya memberikan gambar jelas pada berberapa perincian. i30 N pada video ini tampil dengan warna biru lembut, bersama kemasan-kemasan hitam serta sedikit serlahan merah pada bampar hadapan, diffuser belakang dan juga angkup brek disebalik rim-rim bersaiz besar.

    Selain itu, logo N turut diberikan pada gril “cascading” hadapan, bersama jaring dengan elemen “air terjun”. Video ini juga turut menyerlahkan bunyi enjin hatchback berprestasi tinggi sebenar ini, yang menampilkan letupan ekzos seperti Volkswagen Golf GTI.

    Hyundai i30 N merupakan versi liar hatchback i30 standard yang dibina oleh divisi perlumbaan Hyundai yang digelar Hyundai N. Divisi serius berkenaan kini diterajui oleh ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai, Albert Biermann, yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.

    N pada nama Hyundai N itu sendiri bermaksud Nürburgring dan juga Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea. Biermann sebelum ini pernah menyatakan bahawa i30 ini ditala bagi membolehkan ia bersifat nakal di selekoh. Setelah ia dipasarkan nanti, i30 N dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada hot-hatch berprestasi tinggi Eropah yang lain seperti Ford Focus ST dan VW Golf GTI.

    Dikhabarkan, Hyundai i30 N akan ditawarkan dalam dua versi iaitu 250 hp, dan yang paling berkuasa 275 hp diekstrak dari enjin 2.0 liter turbo. Ketika dilancarkan nanti, i30 N akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar jenis basah lapan-kelajuan.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
  • Penumpang diminta berhati-hati ketika menggunakan LRT, dapatkan bantuan petugas jika perlu – Rapid Rail

    Penumpang diminta berhati-hati ketika menggunakan LRT, dapatkan bantuan petugas jika perlu – Rapid Rail

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menasihati para penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) khususnya yang berkerusi roda agar berhati-hati ketika menggunakan tren.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman, penumpang Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda boleh meminta bantuan petugas di stesen LRT semasa memasuki atau keluar daripada tren agar mereka tidak tersangkut pada ruang platform yang ada antara lantai plaform dan tren, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Jika tanpa kehadiran Polis Bantuan kami atau sebarang petugas lain di platform, OKU bolen meminta bantuan penumpang lain,” ujarnya yang mengulas kes yang pernah berlaku sebelum ini di mana kerusi roda seorang OKU tersangkut pada platform di Setesen LRT Pusat Bandar Puchong.

    Zohari berkata pengguna juga perlu memastikan kerusi roda mereka berada dalam keadaan baik.

    Selain itu pengumuman turut dibuat dari semasa ke semasa agar penumpang berhati-hati dengan ruang yang ada, katanya.

    “Bila masuk atau keluar daripada tren, penumpang atas kerusi roda perlu pastikan kerusi roda mereka betul-betul menghadap pintu tren. Jangan masuk atau keluar dari sebelah tepi. Juga jangan tergesa-gesa kerana masa untuk masuk dan keluar adalah mencukupi,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: Lynk & Co 03 sedang diuji atas jalan biasa

    SPYSHOT: Lynk & Co 03 sedang diuji atas jalan biasa

    Selepas penampilan pertamanya, sedan Lynk & Co 03 kini ditemui sedang menjalani ujian jalanan dengan pembekal alat ganti dari Jerman. Walaupun masih menggunakan lampu prototaip, rekaan asas kereta konsep Shanghai ini masih lagi jelas, dengan lampu yang terpisah atas dan bawah.

    Perubahan adalah lebih jelas pada bahagian belakang, dengan muncung ekzosnya kini berbentuk bulat dan bukannya trapezoid, dan telah diletakkan di bucu bawah diffuser belakang. Tetapan ini adalah berbeza berbanding kereta yang dipamerkan sebelum ini.

    Sedan Lynk & Co 03 dijangka menggunakan platform CMA Volvo, yang juga akan digunakan untuk barisan Volvo siri 40. Ini sekaligus juga bermakna bahawa pilihan enjin boleh menjadi sama ada gabungan enjin tiga silinder turbo 1.5 liter petrol dengan motor elektrik seperti model hibrid Volvo T5 atau petrol empat silinder turbo 2.0 liter.


    GALERI: Unit pameran Lynk & Co 03 di Shanghai

     
     
  • BMW 6 Series Gran Turismo ditawarkan dengan aksesori M Performance – penggayaan, brek, ekzos

    BMW 6 Series Gran Turismo ditawarkan dengan aksesori M Performance – penggayaan, brek, ekzos

    BMW 6 Series Gran Turismo baru sahaja dipertonton bulan lalu, dan seperti biasa, pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula aksesori M Performance untuk meningkatkan penampilan sporty kenderaan model tersebut.

    Pada bahagian luar, pilihan yang diberi termasuk gril kidney hitam berkilat, jalur berwarna kelabu serta rim aloi 21 inci dua tona yang dibalut dengan tayar run-flat 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang. Untuk bahagian dalam pula, terdapat pilihan roda stereng sports dengan kemasan kulit Nappa, bahagian cengkaman Alcantara dan penanda tengah, serta karpet M Performance.

    Turut ditawarkan adalah sistem peredam bunyi M Performance untuk model petrol yang mampu memberikan bunyi lebih sporty, tetapi didakwa oleh BMW masih sesuai untuk meluncur di atas lebuh raya. Ekzos ini ditampilkan dengan muncung sama ada bulat atau trapezoid – dengan kemasan sama ada krom atau gentian karbon bergantung kepada enjin. Padanya terdapat ukiran logo M atau M Performance.

    Seterusnya adalah pada bahagian brek, di mana unit M Performance mempunyai liang udara, serta angkup berwarna merah – empat piston di hadapan dan satu piston di belakang. Senarai aksesori ini akan ditawarkan sebaik sahaja 6 Series Gran Turismo dilancarkan November ini.

     
     
  • Purata umur pelanggan Rolls-Royce adalah 45 tahun

    Purata umur pelanggan Rolls-Royce adalah 45 tahun

    Jika anda diberi peluang untuk meneka, berapakah agaknya purata umur pelanggan Rolls-Royce? 60? 70? Jawapannya menurut ketua pegawai eksekutif Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös walaubagaimanapun adalah lebih mengejutkan.

    Semasa memberitahu Bloomberg, Müller-Ötvös berkata, “dalam segmen individu yang sedang menaik, kita sedang melihat purata umurnya semakin menurun. Ia adalah sesuatu yang menakjubkan.” Beliau turut menyatakan bahawa purata umur global bagi pelanggan Rolls-Royce adalah 45 tahun, dan ini menunjukkan penurunan yang banyak berbanding tujuh tahun lepas pada 56 tahun.

    Menurut data oleh Kelley Blue Book, tahap umur ini juga adalah lebih rendah berbanding purata umur pembeli kenderaan secara keseluruhan iaitu 52 tahun dan purata umur pembeli kenderaan mewah (50 tahun). Purata pembeli kenderaan Mercedes-Benz dan BMW pula adalah masing-masing 51 tahun dan 50 tahun.

    Memikat pelanggan yang lebih muda tentunya memberi manfaat kepada pengeluar kenderaan mewah ini, di mana ia bukan sahaja dapat meningkatkan lagi jumlah pelanggan yang berulang, malah juga melenyapkan imej bahawa kenderaan ini hanya untuk mereka yang sudah berumur. Siri kenderaan Black Badge jenama itu adalah antara contoh bagaimana ia cuba menarik pelanggan yang lebih muda.

     
     
  • Hyundai i30 N jalani ujian terakhir di Nurburgring

    Kereta berprestasi tinggi sebenar, dari divisi perlumbaan sebenar, pertama dari Hyundai – i30 N kini selesai fasa terakhir ujian dan talaannya di litar Nürburgring, Jerman.

    Hot-hatch yang bakal mengacau Volkswagen Golf GTI, Ford Focus ST dan sebagainya ini telah menjalani ujian kerap dilitar berkenaan, selain dibawa ke Sweden untuk ujian musim sejuk, ke UK untuk talaan jalan berliku awam, serta di uji di litar lagenda Australia – Mount Panorama, Bathurst. Ia dijadualkan akan membuat kemunculan sulungnya pada 13 Julai ini.

    Seperti yang telah disebutkan oleh Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai (bekas naib presiden kejuruteraan BMW M) sebelum ini, N pada nama Hyundai N itu sendiri bermaksud Nürburgring dan juga Namyang iaitu pusat R&D Hyundai di Korea.

    “Kami melakukan pelbagai usaha untuk menjadikan i30 N ini jentera yang nakal di selekoh,” tegas Biermann. “Kami mensasarkan degupan jantung seminit, jadi BPM, degupan seminit, bagi kami ia lebih penting dari RPM. Perkara utama yang kami akan tawarkan adalah tahap keseronokkan memandu yang sangat tinggi,” tambahnya.

    Menurut Biermann lagi, antara aspek utama kereta-kereta N Hyundai adalah ia boleh dipandu di litar, bukan hanya untuk satu atau dua minit, dan ia sepatutnya memberikan pemanduan yang seronok dilitar. “Ini merupakan cerita utama kami, i30 N adalah berkisar pemanduan yang seronok, dapat dinikmati sama ada di litar atau jalan raya,” tegas Biermann.

    Selain dari bunyi enjin yang begitu mengujakan bersama letusan dari ekzos yang dapat didengari pada video-video sebelum ini, video terakhir berkenaan turut memaparkan serba sedikit bahagian dalaman hatchback berprestasi tinggi tersebut. Papan pemuka, paparan meter serta skrin paparan utama di bahagian tengah di berikan “perisa N” yang membezakannya dari versi ‘jinak’ i30 standard.

    Dikhabarkan, Hyundai i30 N akan ditawarkan dalam dua versi iaitu 250 hp, dan yang paling berkuasa 275 hp diekstrak dari enjin 2.0 liter turbo. Ketika dilancarkan nanti, i30 N akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar jenis basah lapan-kelajuan.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
  • Nissan Leaf 2018 akan dilengkapi fungsi parkir sendiri

    Nissan telah mendedahkan bahawa Nissan Leaf generasi baru akan diperkenalkan kepada umum September ini, siri teaser untuknya sudah mula dikeluarkan. Terbaru, dalam satu video, kenderaan itu ditunjukkan akan mempunyai fungsi letak kenderaan sendiri digelar ProPILOT Park, sebagai sebahagian daripada teknologi bantuan pemandu ProPILOT Assist.

    Fungsi ini bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia automotif, malah telah pun digunakan oleh kenderaan seperti Ford Focus, Volkswagen Golf dan Mercedes-Benz C-Class. Pada Leaf, pemandu perlu menekan butang untuk mengaktifkan sistem ini, dan ia kemudiannya akan mencari tempat yang bersesuaian untuk meletakkan kereta.

    Apabila anda telah memilih tempat tersebut, tekan seketika butang ProPILOT Park dan kereta itu akan masuk sendiri ke dalam petak yang disediakan. Ini boleh memberi bantuan bagi mereka yang mendapati meletakkan kenderaan ke dalam petak adalah sesuatu yang sukar.

    Selain fungsi letak kereta sendiri, pakej ProPILOT Assist turut memberikan fungsi active cruise control, yang juga boleh mengawal stereng, pendikit dan brek sewaktu memandu dalam satu lorong. Selain peningkatan teknologi, Leaf baru ini juga akan mempunyai rekaan luar yang lebih agresif berbanding model sebelumnya.

    GALERI: Spyshot Nissan Leaf 2018

     
     
  • Yamaha RXZ TwinBoss dipacu dua enjin, bakal dibawa pulang oleh pengunjung bertuah Art Of Speed 2017

    Yamaha RXZ TwinBoss dipacu dua enjin, bakal dibawa pulang oleh pengunjung bertuah Art Of Speed 2017

    Dunia modifikasi kustom adalah unik, tiada had untuk anda menunjukkan daya kreativiti dan hasilnya boleh jadi cukup menakjubkan. Di Malaysia, acara Art Of Speed menghargai kerja mereka yang terlibat dalam dunia ini, berserta budaya berkenaannya. Sejak bermula pada tahun 2012, pelbagai hasil seni modifikasi automotif tempatan diketengahkan, dan ikon antarabangsa turut dibawa secara khas sebagai inspirasi.

    Tahun ini adalah tahun keenam Art Of Speed dianjurkan, dan pengasasnya, Asep Ahmad Iskandar menjanjikan pelbagai pameran dan aktiviti yang lebih menarik untuk pengunjung. Paling menarik adalah hadiah cabutan bertuah, yang pada tahun sebelum ini pernah menyaksikan pengunjung bertuah membawa pulang sebuah motosikal Triumph Street Twin yang telah diubah suai.

    Bagi tahun ini, Asep menyediakan sesuatu yang lebih istimewa. Sesuai dengan konsep acara yang mengetengahkan budaya kustom, hadiah cabutan bertuah tahun ini juga adalah sebuah motosikal yang dibina sendiri dari awal hingga siap oleh warga tempatan. Nama yang diberi pada motosikal ini adalah RXZ TwinBoss.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Perancis bakal haramkan kenderaan petrol, diesel menjelang 2040 – fokus jadi negara neutral karbon

    Perancis bakal haramkan kenderaan petrol, diesel menjelang 2040 – fokus jadi negara neutral karbon

    Kerajaan Perancis bakal mengharamkan kenderaan berkuasa petrol dan diesel menjelang tahun 2040, menurut laporan BBC. Langkah berkenaan disifatkan sebagai “revolusi” oleh menteri ekologi negara berkenaan, Nicolas Hulot.

    Hulot yang dilantik oleh presiden baharu Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan rancangan untuk mengharamkan kenderaan dengan bahan api fosil berkenaan merupakan komitmen yang diperbaharui menggantikan perjanjian iklim Paris sebelum ini yang telah dibatalkan oleh Amerika Syarikat setelah diterajui oleh presiden Trump.

    Pencemaran udara kini merupakan masalah besar yang dihadapi oleh bandar-bandar di Perancis termasuk Paris, dan Hulot menegaskan Perancis merancang untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

    Pengharaman ini akan berkuatkuasa sekitar dua dekad dari sekarang, setelah enjin berkuasa bahan api fosil digunakan lebih seratus tahun di negara tersebut. Buat masa sekarang, kereta dengan teknologi hibrid hanya dijual sebanyak 3.5% dalam bahagian pasaran kenderaan di Perancis, manakala kenderaan elektrik sepenuhnya dilihat lebih rendah dengan hanya 1.2%.

    Perancis bakal haramkan kenderaan petrol, diesel menjelang 2040 – fokus jadi negara neutral karbon

    Masih belum jelas bagaimana kerajaan Perancis akan melaksanakan rancangan ini, tetapi menurut Hulot, isi rumah dengan pendapatan rendah akan menerima bantuan kewangan untuk menukar kenderaan lama mereka kepada kereta baharu yang lebih mesra alam.

    Usaha ini secara tidak langsung memaksa jenama tempatan yang mendominasi pasaran negara berkenaan – PSA Peugeot-Citroen dan Renault untuk menghasilkan kenderaan-kenderaan yang sesuai sebelum pengharaman ini dilaksanakan. Walaupun ia dilihat sukar, Hulot percaya mereka akan dapat menyahut cabaran tersebut. Hulot turut memetik pengumumum Volvo minggu ini bahawa mereka akan menghasilkan hanya kenderaan dengan bantuan teknologi elektrik menjelang tahun 2019 nanti.

    Di Eropah, Norway merupakan peneraju penggunaan kereta elektrik dan negara berkenaan mahu kenderaan dengan janakuasa konvensional diharamkan pada 2025, begitu juga dengan Belanda. Jerman juga telah mengumumkan sasaran mereka untuk mengambil langkah sama yang dirancang pada tahun 2030. Tanpa disangka, India turut mengumumkan langkah yang serupa, dan mensasarkan tahun yang sama seperti Jerman.

    Perancis bakal haramkan kenderaan petrol, diesel menjelang 2040 – fokus jadi negara neutral karbon

    Menurut Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA), pencemaran udara telah menyebabkan sebanyak 467,000 kematian pramatang di benua berkenaan setiap tahun. Mereka yang tinggal di bandar terdedah dengan risiko yang lebih tinggi di mana mereka terdedah kepada 85% bahan zarah halus (PM 2.5) – tahap yang disifatkan sebagai merbahaya oleh WHO.

    Zarah yang sangat halus ini (berdiameter kurang dari 0.0025 mm) sangat kecil dan tidak dapat dikesan oleh mata atau hidung manusia, tetapi mampu menyebabkan masalah jantung, asma dan kanser paru-paru.

    Nitrogen Dioksida (NO2) pula boleh menyebabkan atau memburukkan lagi tahap kesihatan, seperti radang kepada paru-paru (yang boleh menyebabkan asma dan bronkitis) serta meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. Enjin diesel merupakan penyumbang terbesar kepada tahap NO2 yang tinggi di Eropah.

     
     
  • Mekanisma penetapan harga bahan api secara harian tidak akan bermula tahun ini – Hamzah Zainuddin

    Mekanisma penetapan harga bahan api secara harian tidak akan bermula tahun ini – Hamzah Zainuddin

    Mengulas lanjut berkenaan kemungkinan penentuan harga bahan api yang akan dilakukan secara harian sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan, mekanisma sedemikian tidak akan dilaksanakan pada tahun ini, lapor NST.

    “Sekarang, kami mengumumkan (harga bahan api) setiap minggu. Kami akan meneruskannya sehingga semua pihak faham tanggungjawab mereka, sama ada syarikat minyak, pengendali stesen atau pengguna,” katanya.

    “Pengguna perlu mendapatkan kumpulan atau permohonan untuk membantu mereka mencari di mana untuk mendapatkan petrol paling murah. Apa bila tiba masanya, kami akan laksanakanya,” tambah beliau. Ini akan membolehkan peruncit bahan api peluang untuk bersaing antara satu sama lain dengan memberikan harga terbaik bagi menarik pelanggan.

    Menteri tersebut turut mengesahkan beliau sendiri akan berjumpa dengan peruncit bahan api minggu hadapan, dan akan membuat pengumuman mekanisma harga bahan api sedemikian secara mingguan.

    Sebelum ini, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) menyatakan kaedah pengumuman secara mingguan ini adalah “tidak sihat” dan bakal mengakibatkan banyak pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar kerana kerugian.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia umum prestasi separuh pertama 2017 – masih peneraju segmen mewah tempatan

    Mercedes-Benz M’sia umum prestasi separuh pertama 2017 – masih peneraju segmen mewah tempatan

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan laporan prestasi mereka untuk separuh pertama 2017, yang menunjukkan mereka masih kekal sebagai peneraju pasaran segmen mewah tempatan. Untuk tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, jenama berkenaan berjaya menjual sebanyak 5,913 kenderaan dan sejumlah 61,850 kenderaan telah di servis jaringan khidmat servis selepas jualannya.

    Walau bagaimanapun jumlah jualan yang ditunjukkan tahun ini sebenarnya sedikit menurun kerana dalam tempoh yang sama tahun lalu MBM berjaya menjual sebanyak 6,017 kenderaan. Namun syarikat berkenaan menjangkakan mereka masih di landasan yang betul untuk mencatatkan satu lagi tahun yang cemerlang bagi 2017 ini.

    Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan prestasinya pada bulan Jun lalu yang dicatatkan sebagai bulan terbaik pernah direkodkan, dibantu oleh jualan E-Class W213 pemasangan tempatan (CKD) yang dilihat begitu memberangsangkan.

    Prestasi jualan MBM bagi separuh pertama tahun ini diterajui oleh model-model salon pemasangan tempatan iaitu Mercedes-Benz C-, E-, dan S-Class, yang dijual sebanyak 3,663 unit sepanjang tempoh berkenaan. Antara model-model tersebut, C-Class W205 dilihat sebagai model paling berpotensi, dijual dalam jumlah 2,075 unit. Ia diikuti oleh E-CLass dengan 1,358 unit, manakala S-Class W222 pula dijual sebanyak 230 unit.

    SUV keluaran Mercedes-Benz dijual sebanyak 1,233 unit dari jumlah keseluruhan jualan kenderaan mereka, manakala kereta-kereta dalam segmen kompak pula dijual sebanyak 739 unit. Bagi barisan model eksotik Mercedes-Benz Dream Cars pula, sebanyak 268 unit berjaya dijual dalam separuh pertama tahun ini.

    Bermula awal hingga separuh tahun ini juga, MBM telah melancarkan lima lagi jaringan pengedarnya, menjadikan angka keseluruhan 31 buah di seluruh negara buat masa sekarang. Premis-premis baharu berkenaan adalah Hap Seng Kuching Autohaus, Cycle & Carriage Bintang Cheras Autohaus, Hap Seng Bukit Tinggi Autohaus serta Mofaz Kota Bahru Autohaus dan Kuala Terengganu Autohaus.

    Selain dari mengumumkan prestasi jualannya, MBM turut memperkenal kaedah terbaharu bagi membolehkan mereka berhubung dengan pelanggan dan menawarkan pengalaman yang lebih bersifat peribadi. Kaedah berkenaan termasuk memperkenalkan OneWeb oleh Mercedes-Benz, yang menyediakan platform laman sesawang berpusat bagi memenuhi semua keperluan pelanggan baharu dan sedia ada.

    Laman berkenaan boleh digunakan seawal peringkat pelanggan mahu membuat tempahan temu janji untuk memandu uji model-model keluaran Mercedes-Benz. Tempahan berkenaan boleh dilakukan secara dalam talian, membolehkan model-model yang mahu dipandu uji disediakan pada masa yang telah ditetapkan oleh pelanggan.

    Setelah pelanggan menerima kenderaan mereka, laman ini masih lagi boleh digunakan bagi memudahkan mereka berurusan dengan pusat servis selepas jualan pula. Sama juga seperti sebelum ini, pelanggan boleh menetapkan temu janji mereka untuk menservis kenderaan di pusat-pusat servis bertauliah MBM dengan mudah secara atas talian.

    MBM turut memperkenalkan Mercedes-Benz Gallery, yang dapat memberikan peluang kepada bakal-bakal pelanggan mereka bagi meneroka sendiri jenama berkenaan dengan bebas menerusi pengalaman realiti maya mudah alih serta maklumat-maklumat secara interaktif digital.

    Selain itu, MBM turut memperkenalkan SalesTouch, iaitu peranti jualan mudah alih yang membolehkan pakar produk dan konsultan jualan memberikan pelanggan dengan informasi masa sebenar. Antara perkara yang dapat dilakukan oleh peranti berkenaan adalah memberikan gambaran maya kepada pelanggan bagaimana rupa sebenar kenderaan Mercedes-Benz dengan pilihan warna, kemasan serta perincian lain yang telah dipilih.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026