Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW 4 Series Coupe LCI kini rasmi di pasaran M’sia – 420i Sport, 430i M Sport dan M4, RM339k-RM761k

    BMW 4 Series Coupe LCI kini rasmi di pasaran M’sia – 420i Sport, 430i M Sport dan M4, RM339k-RM761k

    Baharu sahaja diberikan petunjuk semalam, BMW 4 Series LCI ((Life Cycle Impulse) facelift kini rasmi berada dalam pasaran Malaysia. Buat masa sekarang, 4 Series berkenaan hanya hadir dalam bentuk badan coupe dua-pintu, ditawarkan dengan tiga varian iaitu 420i Sport, 430i M Sport, serta model berpretasi tinggi sebenar M4.

    Menerusi barisan model-model baharu ini, varian 420i kini telah digugurkan, manakala model 420i Sport dijual pada harga RM338,800 – RM21,000 lebih mahal dari model standard. Untuk 430i M Sport pula dijual pada harga RM408,800 (RM22,000 lebih mahal). Model M4 juga kini RM12,000 lebih tinggi, dijual pada harga RM760,800. Kesemua harga yang dinyatakan ialah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk perlindungan waranti selama lima tahun, servis penyelenggaran percuma juga selama lima tahun, serta waranti tayar selama dua tahun.

    Seperti yang dinyatakan diatas, kesemua model ini dijual dengan harga yang lebih tinggi dari sebelum ini, dan sudah tentu ia turut diberikan kelengkapan yang lebih banyak. Kesemua model kini diberikan lampu hadapan dan belakang LED secara standard, manakala bagi M4 pula, ia diberikan lampu hadapan LED adaptif bersama lampu nyalaan siang “corona ring” baharu berbentuk heksagon.

    BMW 4 Series Coupe LCI kini rasmi di pasaran M’sia – 420i Sport, 430i M Sport dan M4, RM339k-RM761k

    Untuk model 420i Sport pula, ia turut menerima kemasan liang kemasukan udara hadapan baharu dan juga bampar belakang yang menerima sentuhan semula. Ia juga kini menerima pilihan warna baharu – Snapper Rocks Blue.

    Pada bahagian dalaman, 4 Series kini diberikan kemasan saduran elektrik dan krom pada berberapa bahagian, kemasan hitam berkilat pada sekeliling panel kawalan audio dan pendingin hawa, penutup pemegang cawan boleh lipat, balutan kulit berkualiti tinggi pada roda stereng standard, dan juga jahitan berganda pada bahagian atas papan pemuka. Sistem iDrive pada model kemaskini ini juga menampilkan paparan yang sama seperti 5 Series G30 (NBT Evo ID6).

    Varian 420i menerima peningkatan dari model standard sebelum ini. Ia kini diberikan rim style 407 dengan jejari berbentuk-bintang kemasan dua-tona berdiameter 19-inci (18-inci sebelum ini), serta turut diberikan kamera undur. Kit standard sedia ada masih dikekalkan yang terdiri dari pendingin hawa dua-zon, tempat duduk sport hadapan bantuan elektrik bersama memori pada bahagian pemandu, penderia parkir hadapan dan belakang, dan juga sistem Hifi loudspeaker 205-watt dengan sembilan pembesar suara.

    Untuk 430i M Sport pula, ia turut diberikan rim lebih besar – M style 407 jejari berkembar 19-inci. Selain itu, model ini turut menerima sistem kunci pintar Comfort Access, pelindung cahaya elektrik untuk cermin belakang, suspensi adaptif M Sport, dan juga sistem navigasi Profesional bersama skrin paparan 8.8-inci. Berbanding model 420i, 430i turut menerima pakej BMW Concierge Service.

    Bagi model M4 pula, kelengkapan yang diberikan masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk rim M style 437 jejari berkembar 19-inci, paparan head-up, sistem audio surround 600-watt Harman Kardon dengan 16-pembesar suara, dan juga bantuan lampu tinggi.

    Pada bahagian mekanikal pula, 4 Series kini diberikan talaan suspensi lebih keras yang disasarkan untuk memberikan pemanduan lebih sporty tanpa mengorbankan keselesaan. Dinamik melintang dan menegak juga telah ditingkatkan pada suspensi standard serta adaptif, tanpa mengira beban. Kesemua model juga kini menampilkan kestabilan laluan lurus yang lebih baik serta stereng yang lebih komunikatif.

    Barisan enjin masih lagi sama seperti sebelum ini, sama seperti enjin-enjin yang diperkenalkan pada 3 Series LCI tahun lalu. Enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo pada model 420i menghasilkan kuasa 184 hp/270 Nm, manakala enjin yang sama untuk varian 430i pula menjana 252 hp/350 Nm. Kedua-dua enjin diberikan transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF (versi Sport untuk 430i), mengalirkan kuasa ke gandar belakang.

    Model paling berkuasa, M4, masih lagi mengekalkan enjin sebelum ini – 3.0 liter petrol enam silinder sebaris turbo berkembar menjana 431 hp/550 Nm. Enjin berkenaan digandingkan bersama tranmisi klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan automatik M, manakala gandar belakangnya turut diberikan LSD aktif M. Pemandu turut dibantu dengan mod pemanduan M Dynamic, stereng elektronik-mekanikal M Servotronic, suspensi adaptif M dan juga kompaun brek M.

    GALERI: BMW 420i Sport Coupé LCI

    GALERI: BMW 430i M Sport Coupé LCI

    GALERI: BMW M4 Coupé LCI

     
     
  • Pusingan keempat MSF di Litar Sepang 4 Julai ini

    Pusingan keempat MSF di Litar Sepang 4 Julai ini

    Ahad ini, 9 Julai, akan berlangsungnya pusingan keempat perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menjanjikan saingan hebat lebih 150 buah kenderaan dalam pelbagai kategori. Istimewanya pusingan kali ini adalah terdapat saingan Enduro yang berlangsung 35 minit lebih lama, dengan pertukaran pemandu dan juga mata bonus.

    Dalam kategori Race Car Open, Keifli Othman daripada pasukan Mayhem-Fast Autoworks MaxxOil mendahului senarai kedudukan dengan 840 mata setelah memenangi tiga perlumbaan berturut-turut, diikuti Ahmad Akid daripada pasukan SITTY-DNT dengan 635 mata.

    Melihat kepada kategori Proton 1800 NA pula, Eelan daripada pasukan VAG Racing berjaya mengambil kesempatan atas kemalangan yang berlaku terhadap Lau Seng Kiat daripada pasukan Ngah Motorsport semasa pusingan sebelum ini, seperti juga Nicholas Au daripada SPV Automotive. Lau masih lagi mendahului dengan 605 mata, tetapi Eelan dan Nicholas berjaya merapatkan kedudukan dengan masing-masing mengutip 575 dan 525 mata keseluruhan.

    Seterusnya adalah kategori Saga Cup yang cukup popular, di mana Tommy Lee berjaya memenangi pusingan ketiga kelas Expert. Tetapi, kedudukan pendahulu keseluruhan dimiliki Jay Choong daripada pasukan SMRT yang kini mencatat 695 mata, diikuti Boy Wong daripada pasukan ST Wangan dengan 630 mata. Perlumbaan dalam kelas Novice juga agak sengit, menyaksikan Syed Rizal daripada pasukan SMRT mendahului dengan 550 mata diikuti Ahmad Faizry daripada Loco Racing dengan 545 mata.

    Kategori perlumbaan lain yang akan berlangsung semasa MSF antaranya adalah Special Kei, Street Tuned dan Street Tuned 1,600, Super Street, Super 1500 NA dan 1,600 serta 1,800 Race Car. Tiket kawasan paddock dijual pada harga RM20 sebelum 11 pagi 9 Julai dan selepas itu, ia berharga RM35. Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web rasmi atau Facebook MSF Racing.

     
     
  • Geely beli syarikat pembuat kereta terbang, Terrafugia

    Geely beli syarikat pembuat kereta terbang, Terrafugia

    Jenama automotif dari China – Geely – yang baru-baru ini telah memperolehi 49.9% kepentingan dalam Proton, dikhabarkan pula telah membeli syarikat pembuat kereta terbang, Terrafugia, menurut laporan The Detroit Bureau.

    Terrafugia diasaskan oleh sekumpulan lepasan MIT dan model rekaan mereka digelar Transition telah menerima pengiktirafan dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat tahun lalu. Syarikat berkenaan dilaporkan mahu melanjutkan lagi pembangunan terhadap kereta terbang berkenaan.

    “Jangan fikir ia sebuah kereta yang boleh terbang. Fikir ia kapal terbang yang boleh dipandu,” kata Carl Dietrich semasa pelancaran Transition pada 2012. Kereta berkenaan dianggarkan bernilai US$279,000 untuk harga asas.

    Buat masa ini, Transition dijana oleh enjin omboh Rotax, dan didakwa turut dilengkapi sistem hibrid di mana ia boleh terbang menggunakan motor elektrik. Menurut Terrafugia lagi, Transition mampu terbang dengan kelajuan konsisten sekitar 160km/j, pada ketinggian maksima 10,000 kaki, dalam jarak maksima sekitar 640 km.

    Geely beli syarikat pembuat kereta terbang, Terrafugia

    Baru-baru ini, syarikat berkenaan telah mendedahkan pula rekaan baharu mereka, digelar TF-X. Model baharu berkenaan mampu berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter, dan ia direka lebih mirip kepada kereta. TF-X juga didakwa diberikan sepasang motor elektrik berkuasa sekurang-kurangnya 1 megawatt (1,341 hp), bersama enjin petrol berkuasa 300 hp. Gabungan berkenaan dijangka mampu menggerakkan TF-X pada kelajuan konsisten 322 km/j.

    Terrafugia sebenarnya tidak bersendirian dalam industri kereta terbang ini. Airbus dan Uber sebelum ini telah dilaporkan akan menembusi industri berkenaan dengan teknologi penerbangan tanpa juruterbang, manakala Aeromobil pula telah membina kereta terbang yang mampu mencatatkan kelajuan 160 km/j dengan jarak perjalanan 695 km di atas jalan.

    Pengasas bersama Google, Larry Page juga dikhabarkan berminat terhadap teknologi kereta terbang ini, dan telah melaburkan lebih US$100 juta untuk dua syarikat bagi tujuan berkenaan. Jenama automotif dari Jepun – Toyota – juga sebelum ini dilihat sudah mempatenkan rekaan kereta terbangnya.

     
     
  • Harga MV Agusta di Malaysia bermula RM87,331

    Harga MV Agusta di Malaysia bermula RM87,331

    Disember tahun lalu, pengeluar motosikal dari Itali iaitu MV Agusta melancarkan kembali jenama itu di Malaysia, dengan perlantikan pengedar rasmi baru iaitu Moto Varese Asiatic. Kini, syarikat itu mengeluarkan senarai harga model motosikal yang dijual buat masa ini, bermula dengan RM87,331 untuk Brutale 800, RM93,691 untuk Brutale 1090 dan RM94,751 untuk Turismo Veloce 800. Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos lain.

    Brutale 800 adalah model permulaan bagi motosikal naked MV Agusta, dan ia dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 798 cc dengan sistem suntikan bahan api, pendikit ride-by-wire dan pelbagai sistem elektronik lain. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh motosikal ini adalah 110 hp pada 11,500 rpm manakala tork maksimum pula adalah 83 Nm pada 7,600 rpm.

    Brutale 1090 juga adalah sebuah motosikal naked, tetapi dipacu oleh enjin lebih berkuasa, iaitu unit empat silinder sebaris 1,078 cc, dengan sistem penyejukan cecair, 16 injap. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 144 hp pada 10,500 rpm dan 112 Nm pada 8,100 rpm. Walaupun bukan adalah model terbaru, ia masih dilengkapi dengan Traction Control dan ABS, dan boleh mencecah kelajuan 265 km/j.

    Menyertai dua model ini dalam barisan produk di Malaysia adalah Turismo Veloce 800, yang merupakan sebuah motosikal jenis sports-touring dan boleh dipasang dengan kotak simpanan khas dari kilang. Model ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 800 cc yang mampu menghasilkan sebanyak 110 hp pada 10,150 rpm dan 80 Nm pada 7,100 rpm.

    Semua model yang dibawa untuk pasaran Malaysia ini sudah sedia dijual dan ia boleh dilihat lebih dekat di pusat pameran dan gaya hidup MV Agusta yang terletak di Batu Caves, Selangor bermula penghujung Julai ini. Motosikal MV Agusta di Malaysia didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had batuan.

    GALERI: MV Agusta Brutale 800

    GALERI: MV Agusta Brutale 1090

    GALERI: MV Agusta Turismo Veloce 800

     
     
  • Mercedes-Benz X-Class akan buat penampilan 18 Julai

    Trak pikap pertama daripada pengeluar kenderaan mewah Mercedes-Benz akan membuat penampilannya yang pertama 18 Julai ini, dan syarikat itu telah mengeluarkan sebuah video teaser pendek berkenaannya, bertajuk “First of a new kind“.

    Di dalam video ini dapat dilihat X-Class bukan sahaja menelusuri jalan di bandar, malah juga permukaan kasar, seterusnya memberi gambaran ia mempunyai kemampuan untuk kedua-dua keadaan. Ini boleh diterima, kerana pada zaman sekarang, trak pikap bukan sekadar digunakan untuk tugas berat, malah juga untuk membawa keluarga.

    Daripada kenderaan yang digunakan dalam video ini, X-Class dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri, dengan gril serta lampu belakang LED beridentiti Mercedes-Benz. Walaubagaimanapun, ia masih mempunyai bentuk berpetak biasa trak pikap dan tidak terlalu radikal. Bahagian tepinya lebih rata berbanding Nissan Navara NP300 yang digunakan sebagai asasnya.

    Mercedes sebelum ini telah mendedahkan bahawa varian paling tinggi X-Class akan dikuasakan oleh enjin V6 turbodiesel, berkemungkinan unit 3.0 liter dengan 258 hp dan 620 Nm tork. Varian lain pula boleh mendapat enjin 2.3 liter twin-turbo diesel seperti pada Navara, dengan 188 hp dan 450 Nm tork.

    Sistem pacuan empat roda yang digunakan pada trak ini akan menggabungkan sistem cengkaman elektronik, transfer case dua kelajuan dan differential lock pada syaf tengah dan gandar belakang. Keseluruhan sistem mengagihkan kuasa kepada gandar untuk cengkaman terbaik, dan kedua-dua differential boleh dikunci untuk pemanduan offroad ekstrem. Kotak gear yang digunakan boleh menjadi sama ada automatik 7G-Tronic atau 9G-Tronic sembilan kelajuan.

    Mercedes juga memberitahu bahawa X-Class boleh menampung beban lebih 1.1 tan, dan menarik kapasiti sehingga 3.5 tan. Ia juga akan menerima manfaat daripada suspensi belakang jenis five-link seperti Navara, demi memastikan keselesaan sepanjang pemanduan.

     
     
  • Ford F-150 Raptor inspirasi daripada jet F-22 Raptor

    Ford F-150 Raptor inspirasi daripada jet F-22 Raptor

    Setiap tahun, Ford akan membina sebuah kenderaan yang menyerap inspirasi aeroangkasa untuk dibawa ke acara Experimental Aircraft Association (EAA) AirVenture Oshkosh dan kemudiannya dilelong. Hasilnya akan disumbangkan kepada program pendidikan persatuan tersebut.

    Tahun ini, Ford menggunakan trak F-150 Raptor sebagai asas dan ia diterapkan dengan konsep inspirasi daripada kapal terbang tempur Lockheed F-22 Raptor. Dari luar boleh dilihat trak ini lebih tegap dengan kit suspensi lebih tinggi, lampu di atas bumbung, serta gril, bampar dan grafik khas supaya bersesuaian dengan konsepnya. Turut dipasang adalah kemasan lengkuk roda gentian karbon.

    Enjin 3.5 liter EcoBoost V6 pada F-150 Raptor turut dipertingkat dengan intercooler Whipple, seterusnya dapat menghasilkan kuasa sebanyak 545 hp. Sesuai dengan peningkatan prestasi ini, tayar, rim dan brek juga dinaik taraf. Cakera brek yang digunakan mempunyai liang udara manakala angkupnya pula lebih besar sehingga memenuhi ruang rim, depan dan belakang.

     
     
  • Kemalangan dan kematian meningkat di KL raya ini

    Kemalangan dan kematian meningkat di KL raya ini

    Seperti tahun-tahun sudah, Polis Di Raja Malaysia bahagian trafik terus setia melakukan operasi setiap kali musim perayaan berlangsung. Untuk Ops Selamat tahun ini, timbalan ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim menyatakan bahawa kemalangan serta kehilangan jiwa di bandaraya berkenaan dilaporkan meningkat.

    Perkara ini dilaporkan oleh The Star dan menurut Datuk Mazlan, jumlah kemalangan yang direkodkan tahun ini adalah 252 kes lebih banyak dari tahun lalu. Ini berkemungkinan kerana meningkatnya aliran trafik di dalam bandar pada tempoh berkenaan, dan ia dilihat berkadar songsang dengan statistik keseluruhan dalam negara untuk tempoh 11 hari pertama, yang mencatatkan penurunan kadar kematian.

    Operasi ini juga merekodkan tujuh kehilangan nyawa, meningkat dari tahun lalu yang hanya mencatatkan enam kematian. Polis Kuala Lumpur juga mencatatkan sebanyak 2,536 kemalangan, yang kebanyakkannya berlaku sepanjang Jalan Kepong, Jalan Cheras, dan juga lebuhraya MRR2. Kawasan-kawasan tersebut sebelum ini sudahpun dikenalpasti sebagai hotspot berlakunya kemalangan.

    “Dari kesemua mangsa, tiga daripadanya adalah penunggang motosikal, tiga pejalan kaki dan seorang penumpang kereta,” katanya. Dalam tempoh berkenaan yang berakhir 2 Julai lalu, sebanyak 22,239 saman telah dikeluarkan hanya di Kuala Lumpur.

     
     
  • Harga bahan api 6-12 Julai – semua naik!

    Harga bahan api 6-12 Julai – semua naik!

    Setelah lima minggu rakyat Malaysia menikmati penurunan harga bahan api, minggu kedua bulan Julai ini nampaknya sudah tiba masa harga keperluan utama berkenaan naik semula. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan harga petrol RON 95 dan RON 97 naik sedikit bermula tengah malam ini.

    Harga siling bagi bahan api RON 95 naik 4 sen minggu ini, kini menjadi RM1.93 seliter, manakala RON 97 juga naik 4 sen menjadi RM2.19 seliter. Diesel pula yang turun minggu lalu, turut naik sebanyak 7 sen bagi Euro 2 menjadi 1.91 sen seliter dan RM2.01 seliter untuk Euro 5 M.

    Semua harga yang diumumkan ini akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 12 Julai hadapan. Minggu sebelum ini iaitu 29 Jun hingga 5 Julai, harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 2 sen menjadi RM1.89 seliter, manakala RON 97 juga turun sebanyak 2 sen, menjadi RM2.15 seliter. Bagi diesel pula ia turun sebanyak 4 sen seliter untuk Euro 2 dan Euro 5.

     
     
  • BMW 4 Series LCI bakal tiba di pasaran Malaysia?

    BMW Malaysia telah pun menyiarkan video teaser baharu model facelift bagi BMW 4 Series (Life Cycle Impulse, atau LCI) menerusi Facebook, sekaligus memberikan gambaran ia bakal tiba ke pasaran negara kita tidak lama lagi.

    Diperkenalkan di peringkat dunia awal tahun ini, model terkini 4 Series ini menerima peningkatan yang minimal termasuk rekaan semula bagi bampar hadapan dan belakang, empat rekaan baharu bagi roda aloi 18- dan 19-inci dan warna pilihan baharu Sunset Orange dan Snapper Rocks Blue.

    Ia turut menerima lampu utama dan lampu belakang LED sebagai standard, serta pilihan lampu utama adaptif dengan lampu nyalaan siang “corono ring” yang lebih tebal. Walau bagaimana pun untuk model pasaran Malaysia, belum dipastikan jenis lampu utama yang akan dipadankan.

    BMW 4 Series LCI bakal tiba di pasaran Malaysia?

    Di dalamnya, penambahbaikan yang diberi tidak begitu ketara, dan boleh dikatakan menyerupai seperti apa yang dilakukan pada 3 Series. Terdapat kemasan krom dan electroplated pada beberapa bahagian, hitam berkilat di keliling butang kawalan pendingin hawa dan audio, pemegang cawan boleh lungsur dan balutan kulit berkualiti tinggi pada roda stereng sport standard, serta jahitan di atas papan pemuka.

    Lain-lain perubahan termasuk Paparan Instrumen Pelbagai-Fungsi digital sepenuhnya, dan sistem navigasi profesional yang dinaik taraf dengan beberapa fungsi, seperti pada G30 5 Series serta pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar dan WiFi hotspot.

    Di bawah badan ini, versi Coupé dan Gran Coupé kini menggunakan tetapan suspensi lebih tegap yang disasarkan untuk memberi pemanduan lebih sporty, tanpa menjejaskan keselesaan. Dinamik untuk versi standard, M Sport turut diperbaik. Semua model 4 Series LCI kini mempunyai kestabilan di jalan lurus lebih baik serta stereng yang lebih komunikatif, manakala pilihan tayar prestasi disediakan untuk model 430i dan 430d ke atas

    Pilihan enjin masih lagi sama seperti tahun lepas, sewaktu 4 Series menerima peningkatan enjin daripada 3 Series LCI. Ini termasuk unit B48 2.0 liter turbo empat-silinder berkuasa 184 hp untuk 420i dan 252 hp untuk 430i, B58 3.0 liter turbo enam silinder berkuasa 326 hp pada 440i, dan B47 2.0 liter turbodiesel 190 hp untuk 420d dan 224 hp untuk 425d.

    Sementara itu, 430d berkuasa 258 hp dan 435d berkuasa 313 hp dijana oleh enjin N57 3.0 liter turbo diesel enam silinder yang sama, seperti sebelum ini. Bagi transmisi, terdapat pilihan kotak gear manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan ZF. Kotak gear automatik ini datang terus pada model 430i xDrive, 430d, 435d dan 440i Convertible dan Gran Coupé. Sistem pacuan semua roda xDrive datang secara terus pada model 435d dan boleh dipilih untuk dilengkapkan pada kebanyakan model yang ditawarkan.

    Harga mungkin akan lebih atau kurang berbanding model sepasa, di mana bermula RM297,800 untuk 420i Coupé, meningkat sehingga RM317,800 untuk model Sport Line, RM356,800 bagi 430i Coupé Sport, RM386,800 untuk 430i Coupé M Sport dan RM416,800 untuk 430i Gran Coupé M Sport.

     
     
  • Lexus LC 500 tiba di M’sia – semakin hampir dilancar?

    Lexus LC 500 tiba di M’sia – semakin hampir dilancar?

    Pada bulan Jun 2017, Lexus Malaysia telah membuka tempahan awal untuk Lexus LC 500, dengan harga RM940,000 (atas jalan, tanpa insurans). Kini, model coupe mewah tersebut telah dijumpai di Malaysia buat pertama kali, namun berada di atas trak.

    LC 500 adalah sebuah kereta prestasi yang dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter, dengan kemampuan 471 hp dan 540 Nm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear automatik Direct Shift 10 kelajuan. Melalui padanan ini, LC 500 boleh memecut dari pegun ke 100 km/j di bawah 4.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 270 km/j.

    Di bawah panel badan kereta ini, terdapat kerangka Lexus Global Architecture – Luxury (GA-L), dan platform yang digunakan dibina daripada gabungan bahan antaranya besi berkekuatan tinggi, aluminium dan gentian karbon. Rangka badannya pula dibina kebanyakannya dengan besi high-tensile yang lebih tegar berbanding struktur karbon LFA.

    Pada bahagian dalam, LC 500 juga mempunyai persamaan dengan supercar LFA yang dikuasakan oleh enjin V10, iaitu antaranya tombol pengawal pada bahagian tepi panel meter. Pada bahagian lain, kebanyakannya dibalut dengan kulit dan bahan premium.

    GALERI: Lexus LC 500

     
     
  • Setiap kereta Volvo baharu yang dilancar pada tahun 2019 akan diberikan teknologi motor elektrik

    Volvo mengulangi komitmennya untuk menghasilkan model-model dengan teknologi janakuasa elektrik dengan mengumumkan bahawa bermula tahun 2019, kesemua model baharu yang dilancarkan akan diberikan motor elektrik. Keputusan ini dibuat kerana jenama automotif dari Sweden berkenaan fokus untuk mengurangkan pencemaran karbon pada produk-produk serta operasi mereka, dengan mensasarkan operasi pengeluaran iklim neutral menjelang 2025.

    “Ini adalah kerana pelanggan. Permintaan terhadap kereta dengan teknologi elektrik oleh orang ramai meningkat dan kami mahu memberikan respon terhadap keperluan pelanggan kami buat masa sekarang dan juga masa hadapan. Anda kini boleh memilih mana-mana Volvo dengan teknologi elektrik yang anda mahukan,” kata presiden dan ketua eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

    Bersama pengumuman ini, Volvo akan memperkenalkan portfolio kereta dengan teknologi elektrik untuk setiap barisan model, termasuk elektrik sepenuhnya, plug-in hybrid dan juga hibrid. Untuk kereta elektrik sepenuhnya, lima model akan dilancarkan antara 2019 dan 2021 – tiga daripadanya adalah dengan jenama Volvo, manakala dua lagi merupakan model elektrik sepenuhnya berprestasi tinggi dari divisi perlumbaannya iaitu Polestar.

    Setiap kereta Volvo baharu yang dilancar pada tahun 2019 akan diberikan teknologi motor elektrik

    Volvo juga akan memperkenalkan barisan model plug-in hybrid untuk petrol dan diesel, serta pilihan hibrid 48 volt untuk semua model. Dengan langkah ini, kesemua model Volvo yang hanya menggunakan enjin pembakaran dalaman semata-mata akan digantikan dengan model-model yang digabungkan bersama motor elektrik atau elektrik sepenuhnya.

    “Pengumuman ini menandakan berakhirnya kereta-kereta yang hanya dijana enjin pembakaran dalaman. Volvo Cars telah menyatakan rancangan untuk menjual sejumlah 1 juta kereta dengan teknologi elektrik menjelang 2025. Jika kami nyatakan, kami benar-benar maksudkannya. Ini yang akan kami lakukan,” kata Samuelsson.

     
     
  • Audi tayang teaser model sedan A8 2018 sekali lagi

    Audi tayang teaser model sedan A8 2018 sekali lagi

    Persidangan Audi di Barcelona telah menyebarkan satu imej teaser terkini bagi Audi A8 2018 baharu, yang dijangka akan diperkenalkan secara rasmi 11 Julai ini.

    Melihat sedikit gambaran menerusi imej ini, sedan mewah ini kelihatan banyak mengambil inspirasi dari model konsep 2014, dengan benjolan yang ketara pada bahagian gerbang roda hadapan dan belakang – yang mengambarkan sistem pacuan semua-roda quattro – yang ditekankan untuk rekaan bagi model kali ini.

    Selain itu, kelihatan satu sudut lipatan di sepanjang rusuk yang menghubungkan antara lampu utama dan lampu belakang, ditambah pula dengan lampu nyalaan siang LED serya kekemasan biru dengan kehadiran teknologi laser yang pertama kali ditampilkan pada R8. Lampu belakang juga berbentuk-L, dengan satu bar kecil merentasi sehingga hujung belakangnya.

    Audi turut mendedahkan sedikit informasi mengenai model akan datang ini, di mana penjana kuasa hibrid sederhana 48-voltan juga akan didatangkan secara standard bagi setiap A8. Malahan belt alternator starter (BAS) akan memulihkan tenaga kinetik dan menyimpannya di dalam bateri lithium-ion 10 Ah, di mana ia akan memberikan kuasa pada sistem elekrikal utama kereta.

    Sistem ini juga membolehkan kereta bergerak pada kelajuan antara 55 dan 160 km/j sehingga 40 saarm dan sistem mula/henti hanya akan bermula di bawah 22 km/j. Untuk menghidupkan kembali enjin, BAS akan berputar mengikut kelajuan ideal, sebelum penjana kuasa dihidupkan semula. Secara keseluruhan, Audi berkata sistem ini membantu mengurangkan penggunaan bahan api pada model petrol V6 turbo sebanyak 0.7 km per liter.

    Selain itu, A8 baharu ini juga menggunakan material campuran Audi Space Frame (ASF) yang mengandungi aluminium, keluli, magnesium dan gentian karbon yang memberikan ketegaran dan keutuhan yang lebih optimum. Ia juga menggunakan sistem suspensi elektromekanikal yang melaraskan setiap belokan mengikut keadaan jalan, termasuk berpandukan kamera hadapan untuk mengesan bonggol.

    Bukan itu sahaja, A8 juga didatangkan dengan teknologi Audi AI yang memberikan penguasaan pemanduan sendiri Tahap 3, membenarkan kereta dipandu sendiri dengan kelajuan sehingga 60 km/j, dan membolehkan pemandu memfokuskan urusan lain termasuk membaca. Selagi mereka bersedia untuk kembali mengawal pemanduan termasuk dalam keadaan trafik yang memerlukan penguasaan manusia, di mana tanda isyarat akan diberikan antara lapan hingga 10 saat sebelum mengambil alih semula pemanduan.

    Lain-lain fungsi baharu termasuklah kawalan parkir sendiri, tempat duduk belakang dengan fungsi urut kaki. Audi A8 baharu ini juga telah tampil eksklusif dalam balutan penyamaran ketika majlis tayangan perdana filem Spiderman: Homecoming baru-baru ini di USA.

     
     
  • Jaguar E-Pace – diuji di empat benua, 120,000 jam

    Sebelum Jaguar E-Pace diperkenalkan secara rasmi, pengeluar kenderaan dari United Kingdom ini ingin memberitahu orang ramai berkenaan proses pembangunan dan ujian yang dijalankan bagi model SUV yang akan diletakkan di bawah F-Pace dan I-Pace ini, melalui sebuah video pendek.

    Menurut Jaguar, E-Pace telah melalui program ujian getir selama 25 bulan, yang melibatkan 150 buah prototaip. Tapak ujian pula berlaku di empat benua, bagi memastikan E-Pace bukan sahaja tahan lasak, malah juga mempunyai kemampuan untuk mengharungi cuaca paling mencabar. Keseluruhannya, 120,000 jam waktu ujian dijalankan dan melibatkan 500 jurutera.

    Dari padang pasir Timur Tengah ke kawasan salji Arctic Circle, prototaip E-Pace diuji untuk melalui suhu daripada -40 darjah Celsius ke 48 darjah Celsius. SUV ini juga dibawa ke kawasan beraltitud tinggi (5,000 kaki dari paras laut) dan merentasi sungai di kawasan terpencil di China.

    Tidak kiralah apa keadaannya, Jaguar berazam untuk memastikan E-Pace dapat memberikan prestasi terbaik, sama ada di atas jalan biasa ataupun offroad. Turut diuji adalah prestasi SUV ini di dalam litar Nurburgring lebih 400 kali.

    Sebagai sebahagian daripada ujian offroad, E-pace turut dibawa merentasi takungan air sedalam 0.5 meter di tapak ujian Jaguar Land Rover dan waktu di dalam air tersebut, enjinnya ditutup, semua pintu dibuka, dibiar selama satu jam, dan kemudiannya dihidupkan kembali untuk dipandu keluar.

     
     
  • Sarawak sasar 2030 untuk siapkan rangkaian jalanraya

    Sarawak sasar 2030 untuk siapkan rangkaian jalanraya

    Sarawak menetapkan sasaran untuk untuk menyiapkan pembinaan rangkaian jalan raya menjelang 2030 agar negeri ini mempunyai ketersambungan sepenuhnya melalui projek Lebuhraya Pan Borneo bagi merangsang pembangunan baharu di sepanjang lebuh raya itu.

    Menurut Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, hubungan melalui jalan raya yang sangat penting itu akan menarik lebih banyak pelabur mengambil bahagian dalam pelbagai projek pembangunan serta membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di negeri ini, laporan Bernama.

    Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan terhadap beberapa rancangan penting, termasuk pembinaan sebuah landasan Transit Aliran Ringan (LRT) serta pelaksanaan dan pentauliahan lebih banyak loji tenaga, empangan, pembesaran pelabuhan, dan projek di bawah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score).

    Lebuhraya Pan Borneo bagi Sarawak melibatkan 11 pakej jajaran yang keseluruhannya sepanjang 1,089 km ini. Dengan nilai RM12.5 bilion, pakej-pakej tersebut ialah Sematan ke Jambatan Sungai Moyan sepanjang 95km, persimpangan Pantu ke Batang Skrang (89km), Batang Skrang ke Jambatan Sungai Awik (68km) dan Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor (64km).

    Malah ia turut melibatkan Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 64km, Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu (65km), Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap (77 km) dan Persimpangan Sungai Tangap ke Pujut Link Road (80km).

    Ia merupakan fasa pertama pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membabitkan berjumlah keseluruhan RM16.5 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun iaitu pada 2021.

     
     
  • Pusingan kelayakan BMW GS Trophy 2018 dibuka

    Pusingan kelayakan BMW GS Trophy 2018 dibuka

    BMW Motorrad International GS Trophy adalah satu pertandingan menunggang motosikal lasak antarabangsa selama beberapa hari dan melibatkan pelbagai cabaran ekstrem. Untuk tahun 2018, ia akan berlangsung di Mongolia, dan bagi pemilik motosikal BMW GS yang berminat, mereka terlebih dahulu boleh menyertai pusingan kelayakan yang akan diadakan di Sepang 12 dan 13 Ogos ini.

    Dalam pusingan kelayakan ini, pelbagai cabaran disediakan, dan setelah berakhir, seorang pemenang dari Malaysia akan dipilih untuk menjadi salah seorang ahli bagi pasukan Asia Tenggara, untuk bersaing dalam BMW Motorrad International GS Trophy menentang wakil daripada seluruh dunia.

    Maklumat lanjut berkenaan pusingan kelayakan serta pendaftaran pusingan kelayakan ini boleh didapati melalui laman web BMW Motorrad Malaysia dan penyertaan dibuka kepada semua pemilik motosikal BMW GS.

     
     
  • Honda Civic Type-R akan kekal dengan kotak gear enam-kelajuan manual, tanpa pilihan transmisi auto

    Honda Civic Type-R akan kekal dengan kotak gear enam-kelajuan manual, tanpa pilihan transmisi auto

    Honda Civic Type-R generasi baharu mungkin agak berbeza dengan generasi-generasi terawalnya. Selain dari diberikan pengecas turbo pada enjin DOHC VTEC, ia juga diberikan suspensi adaptif yang boleh diubah talaannya dengan hanya satu sentuhan suis – membolehkan FK8 dipandu dengan selesa sebagai kenderaan harian, berbanding EK9 atau FD2 yang diberikan suspensi standard talaan litar yang agak keras dan tidak sesuai digunakan untuk bersiar-siar.

    Namun apa yang kekal, Type-R generasi terkini berkenaan tidak akan diberikan pilihan kotak gear automatik konvensional atau transmisi automatik klac berkembar, menjadikan ia sebuah jentera yang hanya akan dibeli oleh mereka yang benar-benar suka memandu dan bukannya sebagai bahan untuk menunjukkan kemampuan kewangan mahupun berfesyen semata-mata.

    Perkara ini disahkan dalam laporan Car Advice, di mana pembantu ketua projek besar untuk unit janakuasa Civic generasi kesepuluh Honda Jepun, Yuji Matsumochi menyatakan, Civic Type-R 2018 hanya akan ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan kerana mana-mana jenis transmisi automatik akan merosakkan keseimbangan berat jentera tersebut.

    Namun, Matsumochi mengakui bahawa Honda pernah mencari jalan penyelesaian untuk memperluaskan sasaran pelanggannya sama ada untuk menggunakan transmisi automatik konvensional mahupun kotak gear klac berkembar. Tetapi, dengan pemadanan pilihan transmisi automatik berkenaan jelas bakal memberikan kesan buruk yang besar terhadap dinamik Civic Type-R tersebut.

    “Kami hanya menghasilkan transmisi enam-kelajuan manual untuk Type-R, kerana janakuasanya telah mencapai 400 Nm dan 320 atau 310 PS – jadi, ia adalah prestasi yang besar. Type-R memerlukan janakuasa yang ringan kerana ia pacuan roda hadapan, dan memerlukan sistem janakuasa yang ringan. Jadi, enjinnya agak berat, oleh itu transmisinya perlu lebih ringan,” jelas Matsumochi.

    Dengan konfigurasi sedia ada, Civic generasi baharu ini tidak benar-benar seimbang – tipikal sebuah kereta enjin hadapan pacuan hadapan (FF). Agihan beratnya dicatatkan pada kadar 62.5% untuk hadapan dan 37.5% bagi bahagian belakang, yang sebenarnya lebih baik dari generasi sebelum ini yang mencatatkan nisbah agihan berat 65:35. Kadar berkenaan pastinya akan terjejas sekiranya transmisi automatik yang lebih berat dipadankan.

    Matsumochi turut menjelaskan, sistem ‘rev-matching’ (memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan) yang dibekalkan pada Civic Type-R generasi baharu ini adalah untuk membantu mereka yang kurang mahir dengan teknik heel and toe bagi membolehkan mereka berseronok di litar.

    “Selepas itu kami memutuskan untuk memadankan hanya transmisi enam-kelajuan manual – dan transmisi tersebut sangat seronok untuk dipandu. Mudah untuk dipandu, walau bagaimanapun kadang kala agak sukar untuk mengawal pemasaan tukaran gear untuk prestasi yang sporty, jadi kami bekalkan sistem rev-match tersebut. Ia sangat mudah dan sangat lancar – jadi semua orang akan mendapat pengalaman yang istimewa memandu kereta ini,” terang Matsumochi.

    GALERI: Honda Civic Type-R FK8 2017

     
     
  • Renault Espace 2017 – enjin, kelengkapan baharu

    Renault Espace 2017 – enjin, kelengkapan baharu

    Renault telah memperbaharui Espace model 2017 dengan pilihan enjin baru dan tambahan senarai kelengkapan. Bagi enjin, unit Energy TCe 200 EDC sebelum ini digantikan dengan Energy TCe 225 EDC.

    Enjin baru ini berkapasiti 1,800 cc dengan pengecas turbo, dan ia sebelum ini pertama kali digunakan pada model Alpine A110, dengan jumlah kuasa sebanyak 225 hp dan 300 Nm tork. Jumlah ini adalah lebih banyak berbanding kuasa yang mampu dihasilkan unit 1.6 liter turbo sebelum ini iaitu 200 hp dan 260 Nm tork. Transmisi automatik klac berkembar EDC tujuh kelajuan masih lagi digunakan.

    Dengan penambahan jumlah kuasa ini, Espace boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 7.6 saat. iaitu satu saat lebih pantas berbanding model yang menggunakan enjin Energy TCe 200 EDC. Walaubagaimanapun, penggunaan bahan api meningkat sedikit menjadi 6.8 l/100 km berbanding 6.2 liter l/100 km menggunakan enjin Energy TCe 200 EDC.

    Pilihan enjin lain yang diberikan pada Espace adalah termasuk dua yang menggunakan diesel turbo – Energy dCi 130 (130 hp/320 Nm) dengan padanan transmisi manual enam kelajuan dan Energy dCi 160 EDC (160 hp/380 Nm) dengan padanan transmisi dual-speed sama seperti sebelum ini.

    Daripada aspek penggayaan, Titanium Grey ditambah ke dalam pilihan warna badan Espace (lapan metalik dan satu bukan metalik), dan terdapat dua pilihan rim baru – Argonaute 18 inci (menggantikan Lapiaz 18 inci) dan Black Quartz 19 inci (menggantikan Quartz Diamanté 19 inci).

    Bahagian kabin juga menerima naik taraf dengan adanya tempat duduk berliang udara, fabrik baru dan lampu LED yang dipertingkat. Sistem informasi dan hiburan R-Link 2 yang digunakan juga kini mempunyai sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta akses jarak jauh melalui aplikasi MY Renault.

     
     
  • Liberalisasi insurans untungkan pengguna – Hamzah

    Liberalisasi insurans untungkan pengguna – Hamzah

    Ramai pengguna menyuarakan kebimbangan dengan pelaksanaan liberalisasi tarif insurans kenderaan yang berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu. Ini kerana mereka berpendapat ia akan menaikkan kadar insurans membuatkan peruntukan yang lebih untuk memperbaharui insurans kenderaan masing-masing.

    Walau bagaimana pun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kaedah baharu ini sebenarnya lebih menguntungkan pengguna kerana caj atau bayaran premium berdasarkan profil risiko individu, laporan Bernama.

    Katanya, berbanding kaedah sebelum ini yang menyaksikan harga insurans kenderaan ditentukan berdasarkan Tariff Motor, kini harga produk insurans motor ditentukan berasaskan penilaian risiko individu.

    “Kaedah baharu juga menyaksikan pihak insurans boleh mengenakan caj premium kepada kenderaan yang berisiko untuk terlibat dengan kemalangan,” katanya kepada pemberita.

    Selain itu, katanya lagi, hasil liberalisasi itu kerajaan tidak lagi mengawal caj premium insuran seperti sebelum ini.

    “Kaedah ini telah ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan syarikat insuran, dan pengumuman ini seharusnya diterima baik oleh pengguna kerana ianya memberi keuntungan,” katanya.

    Pada 30 Jun lalu, BNM telah mengeluarkan kenyataan rasmi, di mana fasa pertama liberalisasi telah diperkenalkan pada 1 Julai 2016 dan mulai 1 Julai tahun ini caj premium insurans akan ditentukan oleh faktor risiko. Di mana kadar premium yang akan dikenakan adalah bergantung kepada profil risiko pengguna itu sendiri, sebagai tambahan kepada kaedah sedia ada yang mengambil kira usia, model serta kapasiti enjin kenderaan.

    Selain itu, ciri-ciri keselamatan yang ada pada kenderaan, tempoh sesebuah kenderaan itu berada di atas jalan bagi sesetengan kawasan (misalnya, kawasan dengan kadar kecurian yang tinggi) dan juga rekod kesalahan trafik oleh pemilik akan diambil kira.

     
     
  • Proton Iriz R5 juara Rally Stage di FOS 2017!

    Proton Iriz R5 juara Rally Stage di FOS 2017!

    Goodwood Festival of Speed (FOS) 2017 sudahpun melabuhkan tirainya hari ini, dan menurut posting terbaharu laman facebook Mellors Elliot Motorsport (MEM), jentera rali Proton Iriz spesifikasi R5 binaan mereka telah dinobatkan sebagai juara kategori kereta rali moden di Rally Stage FOS 2017!

    Apa yang lebih membanggakan, kemenangan ini dikecapi ketika Iriz R5 membuat kemunculan sulungnya pada khalayak ramai, serta menewaskan pelbagai jentera rali lain yang jauh lebih berkuasa. Namun, kami masih lagi menunggu keputusan rasmi dari pihak FOS sendiri untuk melihat catatan masa rasmi serta perbezaan masanya berbanding jentera-jentera lain yang bertanding.

    Hatchback segmen-b jenama automobil dari Malaysia berkenaan dipandu sendiri oleh Oliver Mellors di FOS, dan ia bertarung dengan jentera-jentera rali lain untuk mencatatkan masa terpantas di Rally Stage tersebut.

    Iriz yang disuntik steroid ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Berita berkenaan pembinaan jentera rali Proton Iriz R5 telah dihidu oleh kami pada tahun lalu, apabila Mellors Elliot Motorsport (MEM) menerusi media rasminya, Chicane Media menyiarkan imej teaser jentera berkenaan di laman Facebook mereka. Kemudian, kami telah mengesan pula imej penuh kereta rali berkenaan di laman instagram Furancho Racing, tujuh bulan sebelum didedahkan secara rasmi oleh MEM.

    Proton Iriz R5 bukanlah dibina oleh Proton sendiri atau divisi perlumbaannya iaitu Proton R3, sebaliknya ia adalah projek dari MEM setelah sebelum ini berjaya membangunkan Proton Satria Neo S2000. Program yang dijalankan oleh MEM ini adalah saling tak tumpah seperti yang dilakukan oleh M Sport yang membina Ford Fiesta R5 – M Sport tidak ada kaitan terus dengan Ford, dan jentera R5 mereka bukan sahaja untuk kegunaan pasukan sendiri, malah ia turut dijual dan disewakan kepada pasukan-pasukan rali persendirian untuk bertanding pada mana-mana rali kelas R5 yang dipantau oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

    MEM menerusi laporan sebelum ini juga telah mengesahkan Proton Iriz R5 akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018. Dengan kejayaan yang dikecapi Iriz pada hari ini, mungkin petanda awal ia akan memberikan siangan sengit kepada jentera R5 lain seperti Ford Fiesta R5 dan juga Skoda Fabia R5 pada WRC2 musim hadapan.

    GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

    GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

     
     
  • Kerajaan masih kaji kaedah terbaik penetapan harga siling bahan api, mungkin diumumkan secara harian

    Kerajaan masih kaji kaedah terbaik penetapan harga siling bahan api, mungkin diumumkan secara harian

    Pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mendapatkan kaedah baharu berhubung mekanisme penetapan harga bahan api utama di negara ini.

    Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, disebabkan harga bahan api terus menurun dalam beberapa minggu ini, para pengusaha stesen minyak menghadapi tekanan.

    “Justeru, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani serta pengusaha berkenaan. InsyaAllah, menjelang minggu depan, akan terdapat sesuatu untuk setiap pihak,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

    Katanya lagi, kaedah ini akan ditentukan agar ia dapat membantu rakyat dan serentak itu menunjukkan bahawa industri berkenaan boleh diliberalkan dan mungkin pada masa hadapan, penetapan harga secara harian mungkin akan dilaksanakan.

    Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac dan pada setiap Rabu, pengumuman harga baharu minyak dibuat. Harga itu berkuat kuasa selepas tengah malam. Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit yang lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026