Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen dan teknologi komunikasi antara kereta

    Volkswagen dan teknologi komunikasi antara kereta

    Volkswagen merangcang untuk melengkapkan kenderaan keluaran syarikat itu dengan sambungan tanpa wayar pWLAN (IEEE 802.11p) menjelang 2019. Sistem berkenaan digunakan dalam indsutri automotif untuk tujuan komunikasi dalam kenderaan serta antara kenderaan dan prasarana pengangkutan akan dipasang pada sebahagian model keluarannya sebagai ciri standard, sebagai tambahan kepada sambungan telefon mudah alih.

    “Kami ingin meningkatkan tahap keselamatan dengan bantuan rangkaian antara kenderaan. Cara paling berkesan untuk mencapai tujuan ini adalah dengan memperkenalkan banyak model kenderaan menggunakan teknologi yang sama itu. Apa yang penting ialah agar teknologi berkenaan digunakan secara berterusan, dan oleh seberapa banyak pengeluar,” jelas Ketua Pembangunan Badan Kenderaan Volkswagen, Johannes Neft.

    Dijadualkan masuk pasaran pada 2019, teknologi ini disasarkan untuk mengesan kemalangan lebih awal, misalnya yang melibatkan kenderaan berdekatan yang membrek mengejut. Maklumat ini boleh dikongsi segera dengan kenderaan yang ada dipersekitaran dan menghantar isyarat, membolehkan pengguna jalan yang lain mengambil tindakan awal.

    Ini turut melibatkan pihak berkuasa dan perkhidmatan kecemasan, seperti polis tempatan dan petugas medik. Dilengkapi dengan teknologi pWLAN, pengguna jalan raya disekitar kenderaan responder yang pertama akan menerima maklumat dalam jarak tertentu sebelum menghampiri kenderaan terbabit – semua ini berlaku dalam jarak selamat dan komunikasi yang boleh mempersedia pengguna jalan yang lain untuk bertindak.

     
     
  • Proton Iriz R5 sertai Goodwood Festival of Speed

    Proton Iriz R5 sertai Goodwood Festival of Speed

    Seperti mana yang pernah didedahkan foto rasmi jentera rali Proton Iriz R5, Mellors Elliot Motorsport (MEM) telah menyebarkan lebih banyak imej jentera ini yang bakal menyertai Goodwood Festival of Speed esok.

    Proton Iriz R5 ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar

    Proton Iriz R5 ini akan menyertai jentera-jentera rali lagenda dari era Group B yang terdiri daripada Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan juga MG Metro 8R4 yang dijana enjin V8 4.6-liter.

    GALERI: Proton Iriz R5

     
     
  • Honda Jazz facelift dilancar di Jepun – dari RM55k

    Honda Jazz facelift dilancar di Jepun – dari RM55k

    Selepas beberapa waktu dilancarkan untuk pasaran tempatan di sini, Honda Jazz facelift 2017 hari ini diperkenalkan pula untuk pasaran domestik di Jepun – dengan nama Honda Fit. Ditawarkan dalam versi petrol dan hibrid seperti sebelumnya, ia juga menampilkan pembaharuan reka bentuk serta pertambahan teknologi yang melengkapinya.

    Sama seperti model Jazz di Malaysia, unit untuk pasaran di sana juga menempatkan pembaharuan bagi wajah depannya; gril dengan rekaan baru dengan kemasan krom, serta bampar yang turut diberi sentuhan baru. Begitu juga dengan bampar belakang yang turut menerima sedikit perbezaan reka bentuk.

    Rim juga menerapkan rekaan baru, walaupun masih di dalam saiz yang sama bagi rim 15 inci yang ada sebagai pilihan. Rim 16 inci pula hadir dengan kemasan dwi-tona hitam berkilat dan krom.

    Bagi varian S dan RS, penampilannya lebih garang. Rekaan bampar yang agresif, kit sisi badan serta spoiler belakang yang lebih besar antara ciri yang membezakannya. Penggunaan lampu LED sepenuhnya juga dapat dilihat pada model Fit ini – dari bahagian depan hinggalah ke lampu belakang.

    Beberapa warna baru turut diperkenalkan; ini termasuk Rouge Amethyst Metallic, Sky Ride Blue Metallic, Premium Yellow Pearl II, Lunar Silver Metallic dan Shining Grey Metallic.

    Honda Jazz facelift dilancar di Jepun – dari RM55k

    Bahagian dalam memperlihatkan beberapa perbezaan. Hanya model hibrid yang menerima skim warna dalaman Premium Brown pada tempat duduk, stereng dan panel pintu. Turut melengkapi model ini ialah sistem tunjuk arah InterNavi dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

    Seperti sebelumnya, dua jenis enjin petrol dan satu model hibrid ditawarkan. Model asas dilengkapi dengan enjin 1.3 liter kitaran Atkinson DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 100 PS pada 6,000 rpm dan 119 Nm pada 5,000 rpm. Unit ini mampu memberikan bacaan penggunaan minyak 24.6 km bagi setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun.

    Enjin 1.5 liter petrol yang lebih besar pula menghasilkan 132 PS pada 6,000 rpm dan 155 Nm pada 4,600 rpm – mampu memberikan bacaan 22.2 km bagi setiap liter. Bagi varian hibrid pula, ia menggunakan enjin 1.5 liter petrol (110 PS/134 Nm) yang digandingkan dengan bateri lithium-ion dan motor elektrik disepadukan operasinya bersama sistem transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Keseluruhannya, ia menjana 137 PS dan 170 Nm. Penggunaan petrol pula pada tahap 37.2 km bagi setiap liter – lebih tinggi daripada 36.4 km bagi setiap liter yang dicapai sebelumnya. Bagi model hibrid, unit yang dijual untuk pasaran Malaysia dan Jepun berkongsi unit kuasa dan talaan yang sama.

    Dari segi keselamatan, Fit kini hadir dengan pakej keselamatan Honda Sensing. Ini termasuk di dalamnya ciri-ciri seperti berikut; Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Warning (RDW) dan Road Departure Mitigation (RDM)

    Bagi harga pula, ia bermula dari 1,428,840 yen (RM54,800) bagi varian 13G F dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT hingga 1,653,480 yen (RM63,400) bagi varian 13G L dengan Honda Sensing dan CVT. Varian 13G S pula dijual pada harga 1,790,640 yen (RM68,700).

    Sementara itu, varian 15 XL dijual pada harga 1,853,280 yen (RM71,100), manakala varian 15 RS pula pada harga 2,015,280 yen (RM77,300), bergantung kepada transmisi manual atau CVT. Bagi versi hibrid, ia berharga 1,699,920 yen (RM65,200), dengan harga bagi varian F sedikit lebih tinggi; 1,815,480 yen (RM69,700).

    Hybrid L dengan Honda Sensing pula dijual pada harga 2,079,000 yen (RM79,800), manakala spesifikasi paling tinggi, Hybrid S pada harga 2,205,360 yen (RM84,600). Sistem pacuan semua roda ditawarkan dengan tambahan sebanyak 194,400 yen (RM7,500).

     
     
  • VIDEO: BMW X3 G01 dengan Driving Assistant Plus

    Model generasi ketiga BMW X3 G01 membuat penampilannya dengan rekabentuk baru sepenuhnya, dengan pilihan enjin terkini dan teknologi maju berbanding model terdahulu. Kenderaan Sports Activity Vehicle (SAV) itu kini turut dilengkapi dengan ciri Driving Assistant Plus, yang turut merangkumi keupayaan pemanduan semi-autonomous.

    Ia termasuk ciri bantuan kawalan stereng dan laluan BMW, yang membolehkan X3 kekal berada di tengah lorong sepanjang masa. Bantuan stereng elektrik pula membolehkan pemandu untuk terus selesa sepanjang perjalanan, terutama di lebuhraya.

    Sebagai keupayaan untuk mengelak kemalangan, ciri bantuan Evasion Aid akan diaktifkan – mengekalkan pergerakan stereng yang sederhana dan tidak mengejut. Dengan gandingan sistem suspensi pada kadar yang sesuai, ia bertindak memberikan kestabilan pada kenderaan dalam keadaan kecemasan.

    Ciri Driving Assistance Plus turut membantu kenderaan ketika menghampiri persimpangan, dengan ciri Crossroad Warning. Dalam situasi ada kenderaan melintas di laluan X3, ciri berkenaan akan mengenakan brek yang kuat, serta memberikan amaran kepada pemandu.

    Bahagian luaran, BMW X3 G01 dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya di depan dan di belakang. Di dalam pula, varian X3 M40i menerima roda stereng M Sport rekaan baru. Infotainmen pada model ini dikendalikan oleh iDrive, dengan skrin sentuh 10.2 inci. Input boleh dimasukkan melalui skrin sentuh, kawalan gerak-geri, arahan suara atau kawalan iDrive fizikal.

    Ia juga menampilkan ciri kemudahan penyimpanan barang seperti sensor gerakan kaki untuk membuka pintu ruang barangan di belakang, serta boleh menurunkan tempat duduk belakang sepenuhnya dari jauh bagi mendapatkan kapasiti ruang barangan maksimum 1,600 liter. Turut tersedia ialah ruang tambahan di bawah lantai ruang barangan berkenaan.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perincian yang ditawarkan oleh BMW X3 G01 2017 ini, tonton video yang disertakan. Ikuti juga artikel berkaitan varian M40i yang turut ditawarkan oleh pengeluar Jerman ini.

    BMW X3 M40i

     
     
  • Laluan pejalan kaki KL Sentral dan MRT Muzium Negara siap sepenuhnya, bakal dibuka 17 Julai ini

    Laluan pejalan kaki KL Sentral dan MRT Muzium Negara siap sepenuhnya, bakal dibuka 17 Julai ini

    Bagi menambahkan kemudahan buat para pengguna, laluan pejalan kaki (linkway) menghubungkan KL Sentral dan Ste­sen Transit Aliran Massa (MRT) Muzium Negara akan dibuka kepada orang ramai bermula 17 Julai ini iaitu serentak dengan bermulanya operasi bagi Fasa 2 yang melibatkan laluan MRT Semantan-Kajang.

    Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dengan diiringi Pengarang Urusan Kumpulan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, yang meninjau laluan pejalan kaki tersebut berkata, projek yang hanya menelan belanja RM50 juta itu dan membabitkan pembinaan laluan sepanjang 240 meter berjaya disiapkan enam bulan lebih awal berbanding pe­rancangan awal iaitu 18 bulan, laporan Bernama.

    Selain Stesen MRT Muzium Negara dengan KL Sentral, laluan pejalan kaki berhawa dingin itu turut menghubungkan beberapa lokasi lain termasuk Menara CIMB, Hotel Le Meridien, Hotel Hilton serta Platinum Sentral.

    Ali yang juga Pengerusi MRT Corporation Sdn. Bhd. berkata, laluan pejalan kaki berhawa di­ngin berkenaan yang sebahagiannya merupakan laluan bawah tanah hanya memerlukan kira-kira empat minit berjalan kaki dari KL Sentral ke Stesen MRT Muzium Negara.

    Dalam pada itu, Ali berkata, kerajaan akan mengkaji kaedah bagi menambah baik KL Sentral yang kini dilihat terlalu padat dengan pengguna.

    “Kalau lihat pada kapasitinya adalah untuk 100,000, sekarang dah capai 200,000. Banyak penambahbaikan perlu dibuat.

    “Kerajaan akan bincang dengan pihak yang terlibat untuk cari jalan macam mana untuk besarkan lagi stesen atau tambah baik kemudahan yang ada,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Renault Megane RS dipandu Nico Hulkenberg

    Antara kereta yang dinanti-nantikan pelancarannya tahun ini ialah Renault Megane RS. Telah pula meraih banyak perhatian setakat ini, syarikat itu tampil dengan satu lagi pendekatan – meletakkan pemandu F1, Nico Hulkenberg di kerusi pemandu dan “membelasah” kereta berkenaan, seperti yang dapat dilihat dalam video yang disertakan.

    Memberi pandangannya selepas panju uji itu, Nico memuji transmisi Efficient Dual Clutch (EDC), menyatakan ia lebih responsif berbanding transmisi pada Megane biasa. Dia turut menjelaskan perbezaan antara casis Sport standard dan casis Cup – yang kedua disifatkan lebih menarik dengan prestasi terbaik di dalam trek, tetapi mungkin sedikit keras untuk kegunaan di jalan raya. Disebabkan inilah kedua-duanya ditawarkan sebagai pilihan.

    Nico turut memberikan komen tentang sistem stereng pacuan empat roda 4Control; dia dapat merasakan sistem berkenaan berfungsi ketika mengambil selekoh panjang. Sistem berkenaan menggunakan penentu elektromagnetik (electromagnetic actuator) yang dipasang pada gandar belakang untuk memberikan lebih ketangkasan, prestasi membelok dan ketepatan stereng.

    Renault bagaimanapun masih belum mendedahkan unit janaan kuasa yang digunakan. Khabar angin mengatakan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa 300 hp pacuan depan akan melengkapi model ini. Selain daripada EDC, Renault juga akan menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai pilihan.

     
     
  • Op Selamat 11 – Kemalangan jalan raya meningkat 10%, kematian pula menurun sebanyak 17%

    Op Selamat 11 – Kemalangan jalan raya meningkat 10%, kematian pula menurun sebanyak 17%

    11 hari pertama pelaksanaan Op Selamat 11/2017 yang bermula sejak 18 Jun lalu telah mencatatkan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya di seluruh negara sebanyak 1,620 kes atau 10% iaitu keseluruhannya 17,147 kes, berbanding 15,527 kes bagi tempoh sama tahun lepas, laporan Bernama.

    Walau bagaimanapun jumlah kemalangan maut menurun sebanyak 36 kes atau 17% pada 172 kes berbanding 208 kes tahun lalu, menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman SAC Sharul Othman Mansor.

    Beliau berkata, pertambahan kenderaan adalah antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes kemalangan itu dengan kira-kira 27 juta kenderaan berdaftar berada di atas jalan raya di seluruh negara setakat ini.

    “Jalan yang kerap berlaku kemalangan sehingga mencatakan peningkatan ini ialah di jalan persekutuan. Dalam Op Selamat ini kita mendapati tempoh paling ketara kemalangan banyak berlaku ialah dua hari sebelum hari raya,” katanya.

    Sharul Othman berkata motosikal merupakan kenderaan paling banyak terlibat kemalangan dengan penunggang dan pembonceng mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 122 kes sepanjang 11 hari Op Selamat 11/2017.

    “Namun jumlah tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 22 kes atau 15% berbanding 144 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

     
     
  • Honda Malaysia lancar pusat 2S dan BP baharu

    Honda Malaysia lancar pusat 2S dan BP baharu

    Dalam usaha untuk menambahbaik perkhidmatan selepas jualan, Honda Malaysia (HM) telah melancarkan pusat 2S (servis dan alat ganti) baharu di Melaka (Kah Motor), serta pusat mengetuk dan mengecat badan kenderaan (BP) di Pulau Pinang (JM Motor Services).

    Pembukaan kedua-dua pusat berkenaan adalah bagi memenuhi pertambahan perkhidmatan yang diperlukan, di mana sehingg Mei 2017, HM telah menyelenggara lebih 100,000 unit kenderaan setiap bulan di seluruh negara.

    Menurut syarikat terbabit, daerah Selatan mencatatkan sejumlah 104,832 penyelenggaran pada bulan Mei, sementara di daerah Utara pula membabitkan 95,605 penyelenggaraan. Masing-masing mewakili peningkatan antara 19% dan 11%, berbanding tempoh yang sama pada 2016.

    Tahun lalu, jumlah keseluruhan bagi HM mencatatkan peningkatan sebanyak 14% berbanding pada tahun 2015, di mana syarikat ini telah menyumbang perkembangan dan peningkatan dalam keseluruhan jualan di seluruh negara.

    “Dengan adanya dua pusat 2S dan BP ini di Melaka dan Pulau Pinang membolehkan para pelanggan kami menerima perkhidmatan yang lebih memuaskan. Malah langkah membuka pusat 2S dan BP ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menambahbaik perkhidmatan kami kepada para pelanggan,” ujar Katsuto Hayashi, pengarah urusan dan CEO HM.

     
     
  • London Taxi Company TX5 EV tampil di Goodwood

    London Taxi Company TX5 EV tampil di Goodwood

    Selepas menjalani proses ujian rapi termasuk dalam musim sejuk, model elektrik sepenuhnya London Taxi Company terbaru akan membuat penampilan sulung di acara Goodwood Festival of Speed.

    Model berkenaan, yang mampu mencapai jarak perjalanan yang lebih jauh, akan dipandu oleh Katie Milner berusia 17 tahun, yang akan bersaing di dalam kejuaraan one-make race Ginetta. Katie akan menjadi pemandu perempuan termuda acara itu – ia juga merupakan penampilan sulung kenderaan EV dalam acara berkenaan.

    London Taxi Company TX5 EV tampil di Goodwood

    Selain terlibat dala perlumbaan, model TX5 ini juga turut akan dipamerkan bersama-sama dengan kenderaan eksotik lainya ketika acara itu berlangsung. Ia dijangka akan menampilkan beberapa ciri unik, seperti mesra kerusi roda, tempat duduk bertentangan untuk enam orang serta sebuah bulatan berpusing yang kecil.

    Model berkenaan memanfaatkan enjin petrol tiga silinder Volvo yang beroperasi selaku mesin penjana untuk pek bateri yang ada padanya. Dikhabarkan, ia mempunyai jarak perjalanan elektrik sepenuhnya sejauh 112 km – ini melebihi peraturan yang akan dilaksanakan di London bermula 1 Januari 2018, yang memerlukan teksi di kota itu mempunyai jarak perjalanan elektrik sepenuhnya paling kurang 48 km.

     
     
  • Range Rover Velar sah ditawarkan dengan pilihan enjin Ingenium 2.0L turbo – jana kuasa 300 PS/400 Nm

    Range Rover Velar sah ditawarkan dengan pilihan enjin Ingenium 2.0L turbo – jana kuasa 300 PS/400 Nm

    Range Rover Velar kini telah sah bakal dipadankan dengan enjin petrol Ingenium 2.0 liter empat-silinder, sama seperti Jaguar F-Type, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 300 PS dan tork 400 Nm. Ia bakal menyerta barisan dua varian enjin diesel Ingenium iaitu dengan kuasa 180 PS dan 240 PS, serta enjin petrol Ingenium 2.0 liter versi 250 PS.

    Seperti mana unit 2.0 liter pada F-Type, petrol Ingenium 300 PS untuk Velar ini juga dipadankan dengan pengecas turbo twin-scroll bersama ceramic ball bearing, dan menurut Land Rover, ia membantu menyalurkan lebih 26% aliran udara untuk meningkatkan lagi prestasinya. Varian petrol ini akan diletakkan di tengah bagi barisan petrol Velar, dengan versi 3.0 liter supercharged V6 380 PS sebagai model spesifikasi tertinggi.

    Seperti varian enjin Velar yang lain, penjana kuasa petrol empat-silinder 300 PS ini juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Elemen pilihan termasuk sistem Terrain Response 2 dan All Terrain Progress Control yang menguruskan pacuan semua-roda. Enjin petrol Ingenium 300 PS ini turut berkeupayaan memacu Vela dari 0-96 km/j dalam hanya 5.7 saat. Barisan Range Rover Velar bakal diproduksikan di kilang syarikat tersebut di Solihull, UK, mulai bulan hadapan.

    GALERI: Range Rover Velar

     
     
  • Peugeot 3008 DKR Maxi didedahkan – kini lebih lebar

    Peugeot 3008 DKR Maxi didedahkan – kini lebih lebar

    Selepas mengungguli cabaran ketika Rali Dakar bagi dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017, Peugeot giat mempersiapkan jentera untuk mencatat kejayaan hat trick tahun ini – pasukan itu kini memperkenalkan jentera lumba terbaru yang dibangunkan, dikenali dengan nama Peugeot 3008 DKR Maxi.

    Sepadan dengan namanya, jentera ini lebih besar – dengan pertambahan kelebaran sebanyak 200 mm disebabkan oleh penggunaan wishbone atas dan bawah, serta untuk menempatkan hujung rod dan driveshaft baru. Peugeot menjangkakan kenderaan lumba terbaru ini akan menampilkan sisi kestabilan dan kendalian yang lebih baik, serta peningkatan dari segi prestasi.

    Peugeot 3008 DKR Maxi didedahkan – kini lebih lebar

    Dari segi mekanikal lainnya, ia kekal sama seperti unit yang sebelumnya, termasuk penggunaan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel yang menghasilkan 330 hp, dengan pacuan roda belakang. Unit Maxi ini masih lagi dalam pembangunan, dan akan membuat penampilan rasmi sulung pada acara Silk Way Rally – dengan laluan dari Rusia ke China – dari 7 hingga 22 Julai.

    Bakal mengendalikan kenderaan ini ialah juara rali dunia sebanyak sembilan kali, Sebastien Loeb, yang menduduki tempat kedua rali Dakar tahun ini. Beliau akan menilai perubahan terbaru yang dilakukan terhadap jentera ini, dan menentukan arah pembangunan yang sepatutnya. Beliau akan disertai oleh rakan pasukan Peugeot Sprot, Stephane Peterhansel dan pemenang Silk Way Rally, Cyril Despres – kedua-duanya bagaimanapun akan memandu jentera 3008 DKR sedia ada.

     
     
  • Audi A8 2018 dengan pelekat penyamaran muncul di tayangan perdana Spiderman: Homecoming

    Audi A8 2018 dengan pelekat penyamaran muncul di tayangan perdana Spiderman: Homecoming

    Audi A8 2018 yang dibaluti pelekat penyamaran/Spiderman telah melakukan penampilan khas dalam majlis tayangan perdana filem terbaharu Spiderman: Homecoming baru-baru ini.

    Malahan pengeluar automotif Jerman ini turut memberikan sedikit perincian mengenai Audi A8 baharu ini iaitu dengan menampilkan sistem suspensi aktif, sistem pemanduan sendiri Audi AI, sistem elektrikal utama 48-voltan dan Audi Space Frame pelbagai-material.

    Dalam majlis tayangan perdana tersebut, A8 ‘membawakan’ watak utama dalam filem itu, Tom Holland (Peter Parker/Spiderman), sementara watak pembantu Robert Downey Jr. (Tony Stark/Iron Man) menaiki R8 Spyder.

    Walau pun dibaluti penyamaran, namun kelihatan beberapa elemen pada kereta ini termasuklah gril bingkai tunggal dan lampu utama Matrix LED. Selain itu, kelihatan beberapa pengesan yang menyokong sistem Audi AI.

    Walau bagaimana pun, Audi belum bersedia mendedahkan enjin yang dipadankan dengan A8 ini, namun pastinya ia turut digandingkan bersama sistem pacuan empat-roda ‘quattro’. Audi dijangka akan mendedahkan sepenuhnya A8 terbaharu ini di Persidangan Audi yang bakal berlangsung pada 11 Julai ini di Barcelona.

     
     
  • Toyota Camry 2018 mula diproduksi di Kentucky, USA

    Toyota Camry 2018 mula diproduksi di Kentucky, USA

    Toyota telah memulakan produksi Camry 2018 di kilang Toyota Motor Manufacturing, Kentucky (TMMK), Amerika Syarikat. Model generasi kelapan ini telah didedahkan buat pertama kalinya di North American International Auto Show (NAIAS), Detroit tahun ini.

    Menurut Toyota, Camry baharu ini merupakan kenderaan pertama di Amerika Utara yang direka dan dibangunkan dengan Toyota New Global Architecture (TNGA). Platform tersebut turut digunakan buat model terkini Prius dan C-HR, menawarkan prestasi yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih efisien, menambah baik pengendalian dan memberikan keselesaan lebih optimum.

    Rekaan yang lebih bergaya ini membuatkan Camry baharu nampak lebih berpenampilan menarik. Pada bahagian kabin pula, ditampilkan dengan banyak elemen premium dan material sentuhan lembut membuatkannya lebih elegan.

    Toyota Camry 2018 mula diproduksi di Kentucky, USA

    “Pelancaran Camry generasi baharu ini penting bagi Toyota di Amerika, malah ia meluaskan lagi langkah syarikat ini, sekaligus komitmen pada kilang di Kentucky. Kali berbangga menjadi yang pertama di Amerika Utara untuk memproduksi kenderaan ini dengan TNGA,” ujar Wil James, presiden TMMK.

    TMMK meningkatkan tenaga kerja kepada lebih 700 orang untuk memproduksi sedan, dan turut melabur sebanyak US$1.33 bilion di TMMK bagi tujuan menambahbaik TNGA dan beberapa perubahan besar untuk proses produksi. Sejak beroperasi, TMMK (kilang terbesar Toyota di dunia) telah menghasilkan lebih 11 juta kenderaan dalam tempoh 31 tahun, di mana lapan juta daripadanya adalah Camry.


    GALERI: Toyota Camry LE 2018


    GALERI: Toyota Camry SE 2018

    GALERI: Toyota Camry XLE 2018

    GALERI: Toyota Camry XSE 2018

    GALERI: Toyota Camry Hybrid 2018

     
     
  • MRT Semantan-Kajang siap 99%, dilancarkan 17.07 ini

    MRT Semantan-Kajang siap 99%, dilancarkan 17.07 ini

    Dijangka bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai ini, pembinaan Fasa 2 perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Semantan-Kajang kini telah 99% siap.

    Menurut Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, laluan sepanjang 31 km itu kini dalam proses pelbagai ujian dan fasa kedua itu akan melengkapkan operasi laluan MRT Sungai-Buloh-Kajang sepanjang 51 km, Bernama.

    Katanya, ujian ini perlu dijalankan bagi memastikan pergerakan tren tidak mengalami kecacatan selepas perkhidmatan dilancarkan.

    Mengenai projek Rel Transit Ringan (LRT) Line 3 (LRT3) dari Bandar Utama di sini ke Johan Setia, Klang, Azmi berkata tender utama akan diberikan bulan depan dan projek bernilai RM9 bilion itu dijadual siap pada Ogos 2020.

     
     
  • Nissan Leaf 2018 – generasi kedua, teknologi terkini

    Nissan kini telah mula memberi petunjuk bagi ketibaan model elektrik Leaf 2018, yang akan turut dilengkapi dengan teknologi bantuan pemanduan ProPILOT Assist yang dibangunkan oleh syarikat itu. Ditunjukkan dalam artikel ini ialah demonstrasi tentang bagaimana sistem berkenaan berfungsi, disertakan dengan paparan meter kenderaan itu ketika sistem ProPILOT Assist sedang aktif.

    Sistem berkenaan akan memberi bantuan sekiranya pemandu terlibat di dalam kesesakan jalan raya; ia akan mengawal stereng kenderaan, pedal dan input pendikit serta brek ketika pemanduan dalam laluan tunggal. Nissan memaklumkan sistem itu akan sampai ke tahap mampu mengendalikan kenderaan pada persimpangan dalam bandar – yang menjadi satu daripada matlamat rancangan Nissan Intelligent Mobility.

    Nissan Leaf 2018 – generasi kedua, teknologi terkini

    Dari segi rekaan, Leaf terbaru ini tampil dengan rupa yang lebih agresif dan sporty, diinspirasikan oleh model Micra, dengan rekaan lampu utama yang lebih tajam. Versi prototaip yang kelihatan sebelum ini mengesahkan arah reka bentuk itu, dengan sebahagian daripadanya diambil dari IDS Concept.

    Nissan bagaimanapun masih belum mendedahkan apa-apa maklumat berkaitan sistem janakuasa elektrik sepenuhnya model ini. Khabar angin mengatakan ia bakal menawarkan jarak perjalanan yang lebih panjang berbanding model terdahulu kerana penggunaan pek bateri yang lebih besar. Bagi model sedia ada Leaf, ia menggunakan bateri lithium-ion 30 kW.

    SPYSHOT: Nissan Leaf 2018

     
     
  • 100 AES lagi akan dipasang tahun hadapan – Aziz

    100 AES lagi akan dipasang tahun hadapan – Aziz

    Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diperluaskan lagi di kebanyakan lokasi khususnya di laluan yang berisiko tinggi. Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, sebanyak 100 unit AES lagi akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan itu dapat membantu pengguna jalan raya mematuhi peraturan memandangkan ia merupakan sistem penguatkuasaan sepanjang masa selama 24 jam.

    “AES ini akan ditambah kerana kita (Malaysia) mempunyai matlamat untuk mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang tahun 2020 seperti yang telah dipersetujui di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita semalam.

    Anggota Parlimen Sri Gading itu berkata ketika ini, kira-kira 50 AES sudah dipasang di seluruh negara, laporan Bernama.

    Katanya lagi, saranan mengurangkan 50% kadar kemalangan menjelang tahun 2020 merupakan satu cabaran kepada negara kerana Malaysia merupakan satu daripada negara yang mencatatkan kadar kemalangan tinggi.

    “Kita (kerajaan) juga tidak mahu negara kerugian modal insan akibat kemalangan jadi, penguatkuasaan secara automasi (AES) merupakan kaedah terbaik memandangkan sistem ini tidak ada pilih kasih kerana kamera tidak mengenali orang dan akan rakam semua kenderaan yang lalu,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati para pengguna jalan raya yang akan pulang semula ke kota selepas sambutan hari raya supaya mengambil iktibar dengan memandu secara berhemah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

    Beliau yakin kemalangan dapat dielakkan sekiranya para pengguna jalan raya memandu dengan cermat dan mengikut peraturan ditetapkan.

     
     
  • Aston Martin RapidE – model pertama EV jenama ini, diproduksi dengan jumlah terhad mulai 2019

    Aston Martin RapidE – model pertama EV jenama ini, diproduksi dengan jumlah terhad mulai 2019

    Akhirnya Aston Martin mengesahkan produksi bagi RapidE, kenderaan elektrik-sepenuhnya atau EV, bakal bermula pada 2019 ini. Ia direalisasikan kurang dari dua tahun selepas model konsepnya diperkenalkan buat pertama kalinya pada Oktober 2015.

    Ia berasaskan Rapide AMR, jenama terbabit berkata, “RapidE bakal dizahirkan dengan imej kereta sport empat-pintu dan dinamik bagi Rapide S dikuasakan oleh penjana kuasa elektrik sepenuhnya menggantikan enjin 6.0 liter V12.”

    Walau bagaimana pun Aston Martin belum bersedia untuk mendedahkan lebit lanjut mengenai penjana kuasa RapidE ini, namun mendakwa “RapidE bakal menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih unik yang tidak pernah dirasai dari model Aston Martin sebelum ini,” yang dikatakan dihasilkan oleh motor elektrik motor terbabit.

    Seperti model konsep yang pernah dipertontonkan sebelum ini, Aston Martun akan meneruskan kolaborasi dengan Williams Advanced Engineering untuk membangunkan model tersebyt, menggunakan pengalaman kenderaan elektrik dan bateri ektensif syarikat terbabit.

    Projek ini adalah sebahagian daripada strategi kenderaan rendah- dan kosong-emisi yang dibentangkan oleh presiden dan CEO syarikat, Andy Palmer, dalam Pelan Abad Kedua syarikat terbabit. Hanya 155 unit RapidE bakal diproduksi dan ia ‘tunggu dan lihat’ adakah ia bakal diproduksi lagi pada masa akan datang.

    “Model konsep RapidE diperkenalkan pada Oktober 2015, kami telah meletakkan model semua-elektrik pertama ini dalam pengeluaran. RapidE mewakili satu masa hadapan yang mampan dengan gaya yang mempersona dan prestasi tertinggi, serta dengan penjana kuasa bersama kosong-emisi baharu,” ujar Palmer.

    “Enjin pembakaran dalaman telah menjadi nadi Aston Martin sejak lebih seabad, dan akan terus digunakan untuk tahun akan datang. RapidE menunjukkan visi, dan keupayaan Aston Martin, untuk melakukan perubahan radikal, di samping menghasilkan nafas baharu dalam memberikan kepuasan di hati para pelanggan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Harga bahan api 29 Jun hingga 5 Julai – petrol RON 95 dan RON 97 turun 2 sen, diesel pula turun 4 sen

    Harga bahan api 29 Jun hingga 5 Julai – petrol RON 95 dan RON 97 turun 2 sen, diesel pula turun 4 sen

    Corak penurunan harga bahan api nampaknya masih lagi berterusan hingga ke minggu pertama Julai 2017. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan penurunan harga bagi semua jenis bahan api bagi tempoh 29 Jun hingga 5 Julai.

    Harga runcit bagi bahan api petrol RON 95 turun lagi dua sen minggu ini, menjadikan harganya RM1.89 seliter. Sementara itu, harga bagi petrol RON 97 pula turut menyaksikan penurunan yang sama sebanyak dua sen; ini menjadikan harga runcitnya minggu ini ialah RM2.15 seliter.

    Bagi bahan api diesel pula, selepas tidak beranjak harganya minggu lalu, menyaksikan penurunan yang lebih besar, iaitu sebanyak empat sen. Ini menjadikan harga jualannya ialah RM1.84 sen seliter bagi diesel Euro 2, dan RM1.94 seliter bagi diesel Euro 4.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 5 Julai nanti.

    Minggu lalu, kedua-dua petrol RON 95 dan RON 97 turun sebanyak tujuh sen manakala diesel pula tidak berubah berbanding minggu sebelumnya.

     
     
  • Harga SUV Proton di bawah RM100k – Ong Ka Chuan

    Harga SUV Proton di bawah RM100k – Ong Ka Chuan

    Selepas dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia Jumaat lalu, minat orang ramai terhadap Geely Boyue yang disahkan akan menjadi model pertama akan diperkenalkan hasil kerjasama Proton-Geely. Pelbagai perkara yang bermain dalam fikiran orang ramai, begitu juga banyak pertanyaan yang belum terjawab berkaitan hal itu.

    Antara soalan yang paling kerap ditanyakan ialah berapa harga model itu nanti akan dijual, serta bila ia akan menjengah pasaran tempatan. Dalam sidang media Proton-Geely minggu lalu, belum ada kata putus yang diberikan. Jawapan yang diberi ialah “semua itu masih dalam peringkat perbincangan dan perlu diperhalusi lagi”.

    Bagaimanapun, Menteri MITI Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan di dalam satu laporan oleh China Press menyatakan, SUV Proton daripada model Boyue itu akan dijual di bawah harga RM100,000, dan dijangka akan masuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.

    Harga SUV Proton di bawah RM100k – Ong Ka Chuan

    Dalam laporan yang sama, Ong menyatakan kerajaan Malaysia akan menjadikan struktur cukai yang lebih terbuka (liberalise) untuk menggalakkan pelaburan luar masuk ke dalam negara. Ia juga sebagai menepati perjanjian WTO dan ASEAN Free Trade Area (AFTA) yang antaranya bertujuan untuk menurunkan kadar duti eksais terhadap kenderaan.

    Geely Boyue di China dijual pada harga 110,000 yuan (RM69,537), dan kemungkinan harga itu akan meningkat sekitar 10-20% daripada jumlah itu untuk pasaran Malaysia nanti – antaranya disebabkan GST dan cukai lain yang ada kini. Bagaimanapun, masih belum disahkan sama ada model itu nanti akan dibawa masuk terus dari China (CBU) atau pemasangan tempatan (CKD).

    Ketika sidang media khas minggu lalu, Proton menyatakan akan memperkenalkan model SUV berkenaan secepat mungkin, namun perincian tentang sama ada untuk memasarkan unit CBU dengan sebahagian peratusan penggunaan komponen tempatan turut akan dipertimbangkan.

    Harga SUV Proton di bawah RM100k – Ong Ka Chuan

    Di China, Boyue ditawarkan dengan dua pilihan enjin, 2.4 liter empat-silinder (162 hp/210 Nm) dan 1.8 liter turbo (163 hp/250 Nm). Pilihan kotak gear pula ialah manual enam-kelajuan atau automatik klac berkembar, bergantung kepada pilihan enjin.

    SUV lima-tempat duduk ini berukuran 4.5 meter panjang (Honda CR-V 4,584 mm), dan direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury yang kini mengetuai studio rekaan Geely. Apa pandangan anda sekiranya harga SUV Proton itu nanti benar-benar di bawah RM100,000? Adakah ia berbaloi?

     
     
  • BMW X3 G01 didedahkan – barisan enjin dan teknologi baharu yang ditawarkan, serta model prestasi M40i

    BMW X3 G01 didedahkan – barisan enjin dan teknologi baharu yang ditawarkan, serta model prestasi M40i

    Selepas beberapa hari imejnya bocor diinternet, BMW X3 G01 akhirnya didedahkan secara rasmi – gambar serta spesifikasinya. Model crossover kompak BMW ini diberikan reka bentuk baru, barisan enjin baru serta mewarisi teknologi yang ada pada model-model yang lebih besar dan maju dalam barisan kenderaan pengeluarnya.

    Reka bentuk luaran mungkin kelihatan tidak banyak perubahan, namun pemerhatian lebih teliti terhadapnya akan menyingkap perbezaan ketara yang diberikan. Lengkung bonet depan kini lebih tirus ke depan, menjadikan kedudukan kidney grill berada lebih rendah. Gril itu juga tidak lagi bersambung pada bahagian lampu utama – lampu dari unit LED pula menggunakan gelung DRL yang sama ada pada 5 Series G30.

    Rekaan bampar juga diberikan sentuhan baru agar ia nampak lebih menonjol. Lampu kabus kini menggunakan LED dalam rekaan yang lebih nipis dan disekalikan pada bahagian dalam bukaan ruang Air Curtain. Di belakang, lampu bentuk L tiga dimensi yang sama seperti pada model 6 Series Gran Turismo digunakan – termasuk penggunaan dua hujung ekzos untuk pertama kali.

    BMW X3 G01 ini ditawarkan dalam kemasan xLine standard dan M Sport yang lebih menawan. Tambahan terbaru pula melibatkan Luxury Line dengan perincian krom dan panel pelindung bampar dwi-tona. Sementara itu, versi M Sport menerima sistem brek sports dengan kaliper biru. Pilihan saiz rim yang ditawarkan ialah 18 inci dan 21 inci.

    BMW X3 G01 didedahkan – barisan enjin dan teknologi baharu yang ditawarkan, serta model prestasi M40i

    Ruang dalaman juga banyak meminjam perincian dari model 5 Series. Papan pemuka dengan profil lebih rendah, paparan tengah bersendiri, stereng dengan ciri multi-fungsi serta pilihan paparan meter 12.3 inci melengkapinya.

    Dengan jarak antara roda 5 cm lebih panjang, ruang yang ada juga bertambah, terutama untuk penumpang di belakang. Ruang but untuk barangan kini 550 liter, dan boleh ditambah sehingga 1,600 liter dengan nisbah lipatan tempat duduk belakang 40:20:40. Ruang simpanan turut tersedia di bawah lantai but.

    Sistem iDrive dengan antaramuka baru yang ada padanya diambil dari model 5 Series. Bagi sistem tunjuk arah Profesional pula, ia datang dengan skrin sentuh 10.2 inci dengan kawalan gerak-geri. Lagi pilihan terbaru ialah kawalan suhu tiga zon, tempat duduk dengan aliran udara, BMW Display Key, lampu ambient, Ambient Air Fragrance, bumbung panoramic yang luas serta cermin depan dengan ciri akustik standard.

    Pilihan enjin yang ada pula ialah tiga enjin petrol dan tiga enjin diesel – dengan semuanya digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ini termasuk xDrive20i (turut ada varian pacuan roda belakang sDrive20i untuk pasaran luar Eropah), dengan janaan kuasa 184 hp/290 Nm dari enjin 2.0 liter empat-silinder petrol.

    Enjin sama digunakan untuk varian xDrive30i, tetapi menghasilkan 252 hp dan 350 Nm tork. Selain itu, varian xDrive20d, dengan enjin 2.0 liter turbo juga ada – menghasilkan 190 hp dan 400 Nm. Enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris juga boleh didapati pada varian xDrive30d, menjana sebanyak 265 hp dan 620 Nm tork.

    Buat pertama kali, X3 menerima varian M Performance seperti yang ditawarkan pada model X4 semasa. Dikenali dengan nama M40i, ia menggunakan enjin 3.0 liter turbo petrol enam-silinder sebaris yang menghasilkan 360 hp dan 500 Nm. Ini membolehkannya mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Semua varian X3 baru ini menerima sistem suspensi MacPherson strut untuk bahagian hadapan, serta suspensi five-link di belakang. Ia juga 55 kg lebih ringan – hasil dari penggunaan bearing aluminum dan anti-roll bars yang lebih ringan serta bahagian yang diperbuat daripada bahan komposit plastik.

    BMW X3 M40i

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026