Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Jaguar XE, XF dan F-Pace dapat enjin Ingenium 300 PS

    Jaguar XE, XF dan F-Pace dapat enjin Ingenium 300 PS

    Beberapa bulan lalu, Jaguar telah mengumumkan beberapa peningkatan untuk model 2018 bagi XE, XF dan F-Pace, termasuk bakal menggunakan barisan enjin petrol Ingenium dan diesel. Terkini, jenama ini telah mengesahkan barisan enjin tersebut bakal dipadankan pada model XE, XF dan F-Pace 2018.

    Difahamkan penjana kuasa Ingenium ini merupakan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 300 PS dan tork 400 Nm, yang dipadankan bersama kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan. Bagi XE dan XF, pelanggan boleh memilih sama ada pacuan roda-belakang atau semua-roda, sementara F-Pace hanya menerima semua-roda.

    Bagi XE, enjin (dengan AWD) mampu memacu dari kosong hingga 100 km/j dalam hanya 5.5 saat, iaitu 0.7 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya bersama enjin petrol Ingenium 250 PS/365 Nm. Jaguar mendakwa penggunaan bahan apinya pula sekitar 6.9 liter per 100 km dan emisi CO2 pula 157 g/km bagi model ini.

    Manakala bagi XF dengan kuasa 300 PS dan AWD pula, ia boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.8 saar, iaitu 0.8 saat lebih pantas dari adiknya 250 PS AWD. Bagi penggunaan bahan api pula, varian XF 300 PS AWD dianggar menggunakan sekitar 7.2 L/100 km, dengan emisi CO2 163 g/km.

    Bagi F-Pace pula, model yang menerima gelaran Kereta Tahunan Dunia 2017 ini, dikatakan mampu mencapai pacuan 0-100 km/j dalam hanya enam saat (berbanding 6.8 saat bagi versi 250 PS). Jaguar berkata F-Pace 300 PS ini menggunakan bahan api sekitar 7.7 L/100 km dan emisi CO2 174 g/km.

    “Kami akan terus memperluaskan barisan enjin Ingenium, memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan berbanding sebelum ini. Enjin petrol 300 PS kami ini memberikan prestasi yang sinonim dengan Jaguar, malah turut memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, hasil teknologi ekzos dan rekaan injap yang dipertingkatkan,” ujar Nick Rogers, pengarah eksekutif bagi kejuruteraan produk Jaguar-Land Rover.

     
     
  • Projek bas bertingkat China dibatalkan secara rasmi

    Projek bas bertingkat China dibatalkan secara rasmi

    Anda pernah terbaca tentang projek bas bertingkat di China yang dikenali dengan nama Transit Elevated Bus (TEB)? Ideanya adalah untuk membolehkan bas berkenaan bergerak di atas kenderaan lain di jalan raya dan membantu mengurangkan kesesakan trafik seperti yang diumumkan untuk bandar Qinhuangdao.

    Namun, projek itu kini telah dibatalkan. Menurut laporan Hong Kong Economic Journal, pihak berkuasa di sana telah mengarahkan supaya trek laluan TEB sepanjang 300 meter yang menurut penduduk sekitar telah menyebabkan lebih banyak masalah trafik.

    TEB mempunyai dimensi 22 meter panjang, 7.8 meter lebar, 4.8 meter tinggi dan boleh melepasi mana-mana kenderaan di bawahnya yang berketinggian 2.1 meter. Ia mampu membawa 300 penumpang dalam satu-satu masa, dan dikuasakan oleh tenaga elektrik dan solar serta mampu bergerak selaju 60 km/j.

    Projek berkenaan diselubungi banyak kontroversi, antaranya ramai yang mendakwa ia adalah sebuah penipuan untuk tujuan meraih dana daripada pelabur semata-mata. Ia didanai melalui pinjaman peer-to-peer (P2P), di mana sebuah syarikat atas talian akan memadankan pelabur yang berpotensi dengan peminjam, menjanjikan pulangan tinggi.

    Platform P2P beroperasi tanpa diselia peraturan yang jelas dan berada dalam grey area di China, dengan penipuan berlaku agak kerap dalam sektor berkenaan.

     
     
  • Lebuhraya Malaysia bertaraf dunia – laporan

    Lebuhraya Malaysia bertaraf dunia – laporan

    Untungnya rakyat Malaysia apabila dilaporkan kualiti lebuhraya di negara ini menepati piawaian dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain, sekaligus menolak dakwaan yang menyatakan kekurangan yang ada menjadi punca peningkatan kemalangan jalan raya.

    Menurut Ketua Pusta Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof.Madya Dr.Law Teik Hua, kerajaan telah menjalankan kajian mengenai struktur lebuhraya terbaik seperti di Itali, Amerika Syarikat dan Jepun sebelum membuat keputusan mengguna pakai struktur tersebut bagi membina lebuhraya di negara ini, laporan Kosmo.

    Katanya, walau ada sesetengah jalan raya di negara kita yang mempunyai lubang dan permukaan rata yang tidak raya, namun ia adalah berpunca daripada faktor cuaca seperti hujan dan panas serta kenderaan berat yang menggunakan jalan raya.

    Lebuhraya Malaysia bertaraf dunia – laporan

    “Lebuh raya di negara ini berkelas dunia apabila menyediakan kemudahan seperti Rehat dan Rawat (R&R) bagi setiap 60 kilometer serta kawasan letak kereta di setiap persempangan bertingkat,” ujarnya kepada akhbar terbabit

    Selain itu, pengendali lebuhraya juga memastikan terdapat telefon kecemasan di setiap 2 kilometer dan perkhidmatan peronda lebuhraya bagi memberikan bantuan kecemasan kepada pengguna sekiranya mereka menghadapi masalah kerosakan kereta.

    “Setiap lebuhraya juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi termasuk penggunaan Sistem Maklumat Trafik Bersepadu (ITIS) selain pemantauan aliran trafik berpusat menggunakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Malah had laju juga telah ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jika pengguna mengikut peraturan itu, kemalangan di lebuhraya dapat dielakkan,” katanya lagi.

    Teik Hua turut berkata sikap pengguna lebuhraya yang tidak menghiraukan keselamatan diri dan orang lain merupakan punca kadar kemalangan di negara ini kian meningkat.

     
     
  • Peugeot Pick Up – jentera lasak untuk pasaran Afrika

    Peugeot Pick Up – jentera lasak untuk pasaran Afrika

    Trak pikap jenama Peugeot? Mengapa tidak. Apa pula nama modelnya? Peugeot Pick Up (ya, ini memang nama sebenar) menjadi model yang akan membawa pengeluar kenderaan asal Perancis itu kembali ke dalam pasaran trak pikap di rantau Afrika – ia juga sebagai satu lagi langkah untuk meluaskan capaian jenama itu diperingkat global.

    Tetapi, kenapa ia tidak kelihatan mewarisi arah tuju reka bentuk yang seiras dengan model-model Peugeot yang lain? Ini kerana ia adalah sebuah model rebadge dari trak pikap Dongfeng dari China.

    Dari satu sisi, Peugeot Pick Up ini menjadi kesinambungan kepada model-model seperti Peugeot 403 Camionnette-Bâchée pada 1956, Peugeot 404 Camionnette-Bâchée pada tahun 1967, dan kemudiannya Peugeot 504 Pick-up yang kekal dikeluarkan sehingga tahun 2005 untuk pasaran Nigeria.

    Di sini, Peugeot lebih dikenali kerena sentuhan reka bentuknya yang menarik berbanding sebagai pengeluar kenderaan tahan lasak. Bagaimanapun, Peugeot Pick Up ini disifatkan mampu memenuhi permintaan dipasaran yang disasarkan itu – tahan lasak dan tahan lama, dengan sistem pacuan empat roda.

    Peugeot Pick Up – jentera lasak untuk pasaran Afrika

    “Ia disasarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah jentera untuk menjalankan tugas, tentunya yang boleh diharap dalam setiap keadaan, mudah diselenggara dan praktikal untuk kegunaan apa pun,” jelas sebuah kenyataan dari syarikat itu.

    Trak pikap ini hadir dalam reka bentuk yang tradisional seperti biasa yang dilihat pada trak-trak pikap yang lain. Ia mempunyai kelegaan tanah dari 210 mm hingga 215 mm, dengan ruang truck bed di belakang berdimensi 1.40 meter panjang dan 1.39 meter lebar. Jenama Peugeot juga jelas kelihatan.

    Ia dikuasakan oleh enjin 2.5 liter turbodiesel commonrail yang menghasilkan 115 bhp dan 280 Nm tork, serta dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan manual. Versi 4×4 dan 4×2 turut ditawarkan.

    Akan mula dijual pada September nanti, trak ini turut dilengkapi ciri ABS dan EBD, sensor parkir dan dua beg udara. Versi 4×4 akan dipasang dengan sports bar, palang pada bumbung dan pemijak untuk penampilan yang sedikit berbeza.

     
     
  • Pembinaan fasa kedua Pan Borneo melibatkan jajaran Limbang-Lawas bermula hujung tahun – Fadillah

    Pembinaan fasa kedua Pan Borneo melibatkan jajaran Limbang-Lawas bermula hujung tahun – Fadillah

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang memasuki fasa kedua dengan melibatkan jajaran Limbang-Lawas dijangka bermula hujung tahun ini. Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, kertas cadangan mengenai pembinaan tersebut yang menawarkan beberapa pilihan termasuk sama ada jajaran akan melalui Brunei atau laluan alternatif lain, telah diserahkan kepada jawatankuasa teknikal tertinggi kerajaan.

    Mengenai fasa pertama lebuh raya, Fadillah berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perjalanan projek yang kebanyakannya lebih awal daripada dijadualkan. Ada satu atau dua di belakang jadual disebabkan permasalahan dari segi tanah yang perlu diselesaikan, tetapi secara keseluruhan projek berjaya dilaksanakan dalam tahap memuaskan, laporan Bernama.

     
     
  • Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

    Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

    Hari ini secara rasmi lengkapnya perjanjian usaha sama antara Proton dan Geely selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad (definitive agreement) pagi tadi di Kuala Lumpur (dan kini hanya tertakluk kepada regulatory approval sahaja). Tulisan ini akan menyorot kembali latar belakang perkara yang telah mendorong ke arah situasi semasa yang didepani Proton kini – seperti yang dijelaskan oleh taklimat daripada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar kepada pihak media.

    Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini – termasuk sebelum DRB-Hicom mengambil alihnya – Proton sudah tidak berada di dalam situasi “sihat” seperti yang pernah dikecapinya dahulu. Sesuatu perlu dilakukan; ketika kerajaan bersetuju untuk memberikan pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion kepada Proton tahun lalu, kerajaan meletakkan syarat – Proton perlu mencari rakan strategik asing untuk membantunya berdiri dan berdaya saing semula – selepas ini tanpa bantuan kerajaan lagi.

    Selepas beberapa lama terlibat dalam proses penilaian pihak-pihak yang berminat ke atas Proton, akhirnya seperti yang kita ketahui kini, Zhejiang Geely Holdings (ZGH) dipilih sebagai rakan strategik yang bertujuan untuk memulihkan semula situasi Proton. Ia bagaimanapun bukanlah merupakan pelepasan kepentingan secara sepenuhnya; DRB-Hicom masih memegang 50.1% kepentingan di dalam Proton.

    Geely masuk ke dalam “gambaran” ini hanya bagi perkara-perkara dan urusan yang berkaitan automotif yang dijalankan oleh Proton sahaja. Syarikat China ini tidak berminat dengan hal-hal tidak berkaitan automotif di bawah Proton. Dengan itu, sektor yang menerima kesan terus daripada usaha sama ini ialah pengeluaran, operasi, pengilangan dan jualan.

    Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

    Setakat ini, sebagai permulaan, sebahagian daripada perjanjiannya ialah Geely akan menyuntik sejumlah RM170.3 juta tunai untuk Proton. Selain itu, perkongsian platform dan model SUV Geely Boyue, yang akan menjadi model pertama diperkenalkan hasil kerja sama ini nanti, bernilai sebanyak RM290 juta (dinilai oleh KPMG). Ini menjadikan jumlah transaksi keseluruhan yang terlibat ialah RM460.3 juta antara kedua-dua syarikat.

    Selain transaksi berkenaan, perkara-perkara lain yang termasuk di dalam perjanjian ini, yang juga merupakan perancangan Geely untuk memulihkan Proton, ialah berkaitan model-model akan datang yang akan dikeluarkan serta program pembangunan teknologi dan R&D – Geely akan menyediakan kepakaran pengurusan dari rangkaian operasi globalnya untuk dimanfaatkan oleh Proton.

    R&D Proton pula akan menjadi tambahan terbaru bagi Geely Centre of Execellence yang kini melibatkan beberapa pusat rekaan lagi diseluruh dunia. Bagi kilang di Tanjung Malim pula, semua operasi pemasangan akan dipindahan ke sana. Ia akan menjadi hab pengeluaran bagi kenderaan pemanduan sebelah kanan Geely untuk rantau ASEAN. Selain itu, sekiranya kapasiti pengeluaran di sana masih berbaki, kenderaan Volvo juga dirancang akan dipasang di kilang itu.

    Selain itu, vendor sedia ada Proton juga akan berpeluang tersenarai di dalam rangakaian pembekal global Geely, untuk membekalkan peralatan kepada syarikat automotif di bawah Geely lainnya, seperti Volvo – sekiranya mereka mampu menepati standard yang ditetapkan. Ini adalah kelebihan yang akan diberi kepada Proton, dalam usaha untuk mengoptimumkan pengeluaran kenderaan di Tanjung Malim.

    Memahami latar belakang perjanjian rakan strategik Proton – peranan kerajaan, DRB-Hicom dan Geely

    Bagi pihak DRB-Hicom pula, disebabkan Geely hanya ingin memberi tumpuan terhadap aset berkaitan automotif yang dimiliki Proton sahaja, syarikat akan memindahkan semua aset yang bukan automotif Proton kepada DDRB-Hicom – bernilai RM1.2 bilion semuanya. Ini termasuk aset hartanah dan Yayasan Proton serta anak syarikat yang bukan berkaitan automotif yang dimilik Proton.

    DRB-Hicom juga akan menanggung sebarang isu-isu peninggalan sebelumnya, jaminan serta jumlah yang tidak dipenuhi sebelumnya yang ditanggung Proton sebelum ini, berjumlah RM331 juta. Disebabkan operasi Proton akan dipindahkan sepenuhnya ke Tanjung Malim, dan premis di Shah Alam (yang turut memiliki litar ujian sendiri) akan dipindah milik kepada DRB-Hicom, syarikat itu akan membina litar baru untuk tujuan sama di Tanjung Malim yang bernilai RM180 juta.

    Selain itu, syarikat ini juga akan membayar semula pendahuluan pemegang sahamnya yang bernilai RM567 juta. Semua ini adalah bertujuan untuk tidak membebankan Geely dengan tanggungan yang berlangsung sebelum usaha sama ini dipersetujui, serta membolehkan kerjasama Geely ini dimulakan dengan dari “sifar”.

    Kerajaan Malaysia pula memainkan peranan di dalam naratif ini selaku pihak yang ingin melihat Proton mampu berdiri semula dan melangkah lebih jauh – tanpa bantuan kerajaan seperti sebelum-sebelumnya. Baki daripada RM1.5 bilion yang dijanjikan itu, yang bernilai RM250 juta, dijangka akan diserahkan kepada Proton hari ini, sebaik perjanjian muktamad ini ditandatangani.

    Selain itu, tuntutan semula berjumlah RM1.1 bilion bagi kerja-kerja R&D yang dilakukan Proton termasuk sebelum diambil alih oleh DRB-Hicom juga akan diserahkan. Pada 2010, Proton memohon tuntutan keseluruhan berjumlah RM3.7 bilion untuk R&D yang telah dilakukan, namun hanya RM1.1 bilion diluluskan.

    Oleh kerana RM1.5 bilion yang diberika itu merupakan pinjaman mudah, maka aset bukan automotif yang dinyatakan tadi, berjumlah RM1.2 bilion yang dipindah milik daripada Proton kepada DRB-Hicom, adalah sebagai cagaran jaminan kepada kerajaan Malaysia – sebagai jaminan risiko terhadap pinjaman mudah itu.

    Selain itu, DRB-Hicom juga sudah membayar semula RM350 juta yang dipinjam itu kepada kerajaan (walaupun tempoh matang bayaran balik ialah pada 2023). Ini bertujuan untuk membolehkan penyusunan semula operasi pengeluar kenderaan nasional itu seperti yang sedang berlangsung kini.

    Dengan perkembangan terbaru ini juga, kerajaan telah memansuhkan perpindahan hak milik (conversion rights) terhadap Proton, dengan cagaran jaminan RM1.2 bilion yang dinyatakan serta berhasilnya pencarian rakan strategik asing – hak milik itu dipindahkan kepada DRB-Hicom sepenuhnya.

     
     
  • Perodua perjelas isu ‘gandar tercabut’ yang tersebar

    Jika anda banyak melayari media sosial sejak baru-baru ini, pasti anda ada terperasan gambar kenderaan Perodua (Myvi dan Alza) dengan dakwaan kononnya gandar belakang tercabut dan menyebabkan kemalangan tersebar luas. Gambar-gambar tersebut dimuat naik dengan pelbagai ‘andaian’, dan tidak dirujuk terlebih dahulu kepada Perodua untuk kesahihannya. Setelah sekian lama ia memberi kesan, kini Perodua tampil memberi kenyataan.

    Memetik terus ayat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Perodua, “Kami telah mengeluarkan lebih daripada 1 juta Myvi dan beratus-ratus ribu Alza dan setakat ini, kami belum menerima apa-apa laporan mengenai permasalahan yang sama. Sudah pasti terdapat kes-kes kemalangan di mana gandar belakang terpisah daripada badan akibat perlanggaran tinggi. Namun bagi kes-kes ini, kami akan segera menghubungi pemilik kenderaan untuk mengesahkan bahawa ia disebabkan oleh kemalangan.”

    Perodua juga mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pelanggan sama ada melalui pusat perhubungan pelanggan atau dengan melawat mana-mana cawangan jualan dan servis di seluruh negara.

    Perodua perjelas isu ‘gandar tercabut’ yang tersebar

     
     
  • Selepas termeterai perjanjian, apa rancangan Geely untuk mengembalikan semula kegemilangan Proton?

    Selepas termeterai perjanjian, apa rancangan Geely untuk mengembalikan semula kegemilangan Proton?

    Tahun 2010, pemilikan terhadap Volvo telah berpindah tangan dari Ford ke pengeluar automotif dari China, Geely. Sejak dari itu, Volvo mengecapi pelbagai kejayaan dan menghasilkan pelbagai inovasi seperti enjin empat-silinder Drive-E, unit janakuasa hibrid T8 Twin Engine, serta penghasilan model-model hebat seperti SUV XC90 generasi baharu dan juga pasangan sedan S90 dan wagon V90.

    Hari ini, perjanjian persefahaman untuk melantik Geely sebagai rakan strategik asing untuk Proton secara rasminya telah ditandatangani. Jadi, apa perancangan Geely untuk Proton selepas ini? Perkara ini telah diberitahu oleh Geely pada sesi sidang akhbar setelah selesai majlis menandatangani MoU berkenaan pagi tadi.

    Menurut Geely, segala yang dirancang untuk Proton adalah berlandaskan untuk mendapatkan keuntungan, serta bagi mengembangkan jenama berkenaan ke rantau ini. Walau bagaimanapun, buat masa ini masih lagi belum ada keputusan muktamad untuk perancangan tersebut, tetapi ia dijanjikan sebagai satu perancangan yang bagus.

    Geely juga percaya, mereka tidak akan mengambil masa yang terlalu lama bagi mengembalikan semula keuntungan kepada Proton dan percaya jenama nasional rakyat Malaysia tersebut mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam pasaran tempatan.

    Dinyatakan, sebanyak RM170.3 juta (termasuk platform SUV Boyue yang dinilai pada RM290 juta) akan dibelanjakan oleh kedua-dua pihak. Proton dan Geely akan berbincang dengan lebih lanjut untuk membuat pelan perniagaan. Perbelanjaan yang dikeluarkan nanti berdasarkan masa hadapan Proton di mana perancangan produk jangka masa panjang akan dibuat.

    Geely percaya dengan kebolehan Proton kerana jenama berkenaan telah berada selama 30 tahun dalam pasaran. Sasaran utama Geely adalah untuk menghentikan kerugian Proton dan mula untuk membuat keuntungan secepat mungkin. Dan langkah pertama untuk untuk mencapai sasaran berkenaan adalah menguatkan semula Proton pada pasaran Malaysia.

    Apabila Proton sudah mula kuat pada skala tertentu di pasaran tempatan kelak, pakatan berkenaan akan membuat pembangunan lanjutan dan akan mula mengeksport kenderaan ke negara lain, tanpa apa-apa had yang ditetapkan.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Geely tidak menjual kereta dengan namanya pada pasaran Asia Tenggara, dan semua kenderaan yang dipasarkan di rantau berkenaan akan dijual dibawah jenama Proton kerana Proton lebih relevan di ASEAN – menggunakan konsep yang lebih kurang sama digunakan oleh Volkswagen terhadap Skoda.

    Geely juga akan berkerjasama dengan Proton untuk membangunkan kereta-kereta pemanduan sebelah kanannya (RHD) dan bakal menjadikan Malaysia dan Proton sebagai hab pengeluaran kereta-kereta versi RHD tersebut.

     
     
  • 954 notis saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dalam operasi khas Aidilfitri – JPJ

    954 notis saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dalam operasi khas Aidilfitri – JPJ

    Dalam Operasi Khas sempena Aidilfitri yang bermula malam tadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 954 notis saman terhadap 563 penunggang motosikal di seluruh negara.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron, notis saman berkenaan dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan, laporan Bernama.

    “Kesalahan paling banyak direkodkan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) sebanyak 416 kes diikuti CDL tamat tempoh (73 kes) dan lesen memandu percubaan (PDL) tamat tempoh (12 kes). Saya khuatir dengan statistik ini di mana penunggang motosikal tidak ada lesen, sekiranya berlaku musibah dan kemalangan mereka tidak dapat apa-apa tuntutan dan ganti rugi. Saya harap operasi sebegini dapat memberi kesedaran,” katanya pada pihak pemberita.

    Menurutnya, sebanyak 1,954 motosikal telah diperiksa dalam operasi selama dua hari ini yang melibatkan sebanyak 1,523 anggota dan pegawai JPJ di seluruh negara.

    Dalam pada itu, Nadzri menyeru orang ramai supaya melaporkan kesalahan lalu lintas secara terus kepada talian WhatsApp khas JPJ yang bernombor 01151115252.

    Katanya, kerjasama ini dapat memudahkan JPJ mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya yang melanggar undang-undang yang ditetapkan seperti memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit dan gagal mematuhi lampu isyarat merah.

     
     
  • JPJ tidak berkompromi bagi kesalahan trafik yang serius pada Aidilfitri ini – 231 lokasi panas dikenalpasti

    JPJ tidak berkompromi bagi kesalahan trafik yang serius pada Aidilfitri ini – 231 lokasi panas dikenalpasti

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan tidak akan bertolak ansur kepada pengguna yang melakukan kesalahan seperti langgar lampu merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang keledar.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, pada musim perayaan ini tindakan maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan jika dikesan melakukan kesalahan tersebut manakala RM150 dikenakan pada luar musim perayaan, laporan Bernama.

    “Kita telah memberi amaran awal dengan meletakkan tanda amaran awal bagi memberikan kesedaran kepada pengguna supaya mereka lebih berhati-hati khususnya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.. jika mereka masih gagal mematuhi had laju yang ditetapkan mereka yang sengaja mencari masalah,”katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata sebanyak 231 lokasi panas telah dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim perayaan ini. Daripada jumlah itu, negeri Johor merekodkan kawasan panas paling tinggi iaitu 36 lokasi panas dan Batu Pahat mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi.

    Manakala di Terengganu sebanyak 21 lokasi berisiko telah dikenal pasti antaranya di KM6- KM11 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kuala Terengganu), KM98-KM114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Besut) dan KM247-KM260 LPT 2 (Kemaman).

     
     
  • Proton akan fokus kepada pasaran tempatan dan ASEAN, tiada pertindihan kepentingan dengan Geely

    Proton akan fokus kepada pasaran tempatan dan ASEAN, tiada pertindihan kepentingan dengan Geely

    Jika dilihat dari sudut positif, kerjasama di antara Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) dan Proton disasarkan untuk mampu mengembalikan jenama kereta nasional sebagai salah satu pemain industri yang berkaliber dan dipercayai – bukan setakat di pasaran temptan, bahkan di peringkat ASEAN mahupun dunia.

    Namun, ada keresahan lain yang mungkin muncul; kehadiran model-model keluaran Proton dan Geely dalam pasaran tertentu mungkin akan mengakibatkan pertindihan kepentingan antara kedua-dua jenama itu.

    Bagaimanapun, Pengerusi ZGH, Li Shufu berkata daripada segi posisi jenama, Proton disasarkan untuk ASEAN, sedangkan Geely tiada perancangan untuk menembusi pasaran ini menerusi jenama mereka sendiri – ia akan kekal di pasaran Asia lain seperti di China.

    Tentang pertindihan kepentingan, Li menjadikan situasi Kumpulan Volkswagen sebagai contoh mudah.”Geely bolehlah diibaratkan sebagai Volkswagen dalam konteks hubungannya dengan Skoda, yang boleh dirujuk sebagai situasi yang sama untuk Proton kini. Kedua-duanya mengeluarkan kenderaan dengan jenama sendiri. Walaupun ada diantaranya berada dalam posisi penjenamaan yang sama, namun pasarannya adalah berbeza. Jadi, tiada masalah tentang pertindihan kepentingan,” ujarnya.

    Proton akan fokus kepada pasaran tempatan dan ASEAN, tiada pertindihan kepentingan dengan Geely

    Katanya lagi, Geely mahu Proton bangkit dan mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama ulung di Asia Tenggara. Ini akan menjadi fokus utama dan tanggungjawab mereka untuk dilaksanakan terlebih dahulu selepas ini.

    Selain itu, beliau turut mengesahkan kilang Proton di Tanjung Malim juga akan menjadi hab produksi bagi model kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi Geely yang disasarkan untuk pasaran ASEAN. Keupayaan R&D Proton juga akan diangkat sebagai pusat kecemerlangan global Geely yang kelima di dunia.

    “Proton memang relevan untuk pasaran Malaysia dan ASEAN. Matlamat pertama kami adalah menghentikan kerugian (yang dialami oleh Proton sebelum ini) dan melakukan perubahan bagi melonjakkan kembali jenama ini agar ia lebih menguntungkan. Selepas itu barulah pertimbangan lain akan diperhalusi untuk mengembangkannya lagi,” tambahnya lagi.

     
     
  • Proton-Geely tandatangani perjanjian muktamad – berpegang konsep ‘situasi menang-menang’

    Proton-Geely tandatangani perjanjian muktamad – berpegang konsep ‘situasi menang-menang’

    Pagi ini Proton menerusi DRB-Hicom telah menandatangani perjanjian muktamad dengan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) sebagai rakan kongsi strategik asing. Perjanjian ini termeterai selepas sebulan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian dasar di Putrajaya. Di mana Geely sah memegang ekuiti sebanyak 49.9% di dalam Proton dan 51% bagi Lotus.

    Majlis menandatangani perjanjian ini disempurnakan oleh Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Sri Syed Faisal Albar dan Presiden ZGH An Conghui, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Duta China ke Malaysia Huang Huikang, Pengerusi DRB-Hicom Brig. Gen (K) Tan Sri Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan, Utusan Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting dan Pengerusi ZGH Li Shufu.

    Menurut Syed Faisal, perjanjian ini merupakan satu detik bersejarah buat Proton yang menyasarkan pasaran automotif ASEAN termasuk China yang lebih besar.

    “ZGH yang turut memiliki Volvo Carsm London Taxi Company, LYNK & Co dan Geely Auto merupakan rakan kongsi yang paling tepat buat Proton. Kejayaan mereka di dalam Volvo dan London Taxi Company khususnya, membuktikan keupayaan mereka sebagai pengeluar kenderaan dan sebagai rakan kongsi. Dengan ZGH, Proton turut berpeluang menerokai pasaran ASEAN yang lebih meluas selepas ini,” ujarnya.

    Proton-Geely tandatangani perjanjian muktamad – berpegang konsep ‘situasi menang-menang’

    Selain itu, Proton juga akan mempunyai akses bagi produk, platform dan teknologi Geely termasuk berupaya menjadi pengeluar kenderaan pemanduan sebelah kanan bagi model-model Geely yang disasarkan untuk pasaran ASEAN.

    Sebelum ini, Proton telah mendedahkan bahawa antara model terawal yang akan dipasarkan hasil kerjasama ini di Malaysia adalah menggunakan asas daripada SUV Geely Boyue yang juga adalah model paling laris Geely. Malah dalam majlis ini juga, SUV berkenaan turut dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia.

    Menurut Syed Faisal, SUV berkenaan turut mempunyai pelbagai elemen menarik termasuklah slot kad SIM dan WiFi, fungsi pengesan suara dan juga aplikasi Skype dan YouTube.

    Bukan itu sahaja, kemudahan R&D Proton juga akan diangkat sebagai pusat kecemerlangan global Geely yang kelima di dunia. Malah pembekal tempatan yang membekalkan komponen untuk Proton juga berpeluang terlibat dengan rangkaian global Geely sekiranya menepati standard yang ditetapkan. Proton juga berupaya memasang kenderaan Volvo jika ia melebihi kapasiti di fasiliti sedia ada.

    Proton-Geely tandatangani perjanjian muktamad – berpegang konsep ‘situasi menang-menang’

    “Satus Proton sebagai kereta nasional kini lebih terjamin kerana DRB-Hicom masih merupakan pemegang saham majoriti. Kini Proton akan menumpukan usaha untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam negara serta menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pasaran dari segi reka bentuk dan kualiti,” sambungnya lagi.

    Datuk Seri Najib Tun Razak pula dalam ucapannya menyebut, “Kini tibalah masa bagi Proton untuk bergerak lebih ke hadapan serta menghasilkan lebih banyak model kenderaan yang berkualiti. Bukan itu sahaja, kini Proton juga berpeluang menembusi pasaran luar secara lebih meluas dan ini merupakan antara ujian berkenaan dengan keupayaan Proton untuk tujuan tersebut termasuk menambah jumlah kapasiti pengeluaran, dengan adanya Geely sebagai rakan kongsi.”

    Pengerusi ZGH Li Shufu pula berkata,”Sebagai jenama nasional ikonik, Proton adalah mewakili semangat Malaysia. Peranan kami sebagai rakan kongsi adalah membantu Proton menjadi peneraju industri di Malaysia dan juga jenama ketiga teratas di pasaran ASEAN. Malah bagi Lotus pula, kami akan memperkukuhkan dan memperluaskan lagi portfolio produk dan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memantapkan lagi jenama ini.

    “Dengan kepakaran dalam teknologi dan inovasi, ini membuka peluang kepada ZGH untuk menjadi pemain utama dalam pasaran ASEAN dan ia mampu membantu kami mencapai sasaran jualan sebanyak tiga juta unit menjelang 2020.”

     
     
  • Geely Boyue muncul buat pertama kali di Malaysia

    Geely Boyue muncul buat pertama kali di Malaysia

    Bulan lalu, Proton telah mengesahkan bahawa Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd diterima sebagai rakan strategik asing (FSP) dan pada hari perjanjian tersebut ditandatangani, Geely terus mengumumkan bahawa antara model terawal yang akan digunakan sebagai asas untuk model yang akan dipasarkan di Malaysia adalah Boyue.

    Hari ini, SUV yang juga adalah model paling laris Geely itu membuat penampilan pertama di Malaysia, dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur. Di China sendiri, orang ramai mempunyai pilihan dua enjin untuk Boyue iaitu 2.0 liter NA dan 1.8L turbo, tetapi semasa pembentangan di majlis menandatangani perjanjian bersama Proton, SUV tersebut ditunjukkan dengan pilihan enjin 1.8 L turbo berkuasa 163 hp/ 250 Nm, dan 2.4L N/A 162 hp/ 210 Nm.

    Boyue adalah antara hasil rekaan daripada bekas pereka Volvo iaitu Peter Horbury yang kini mengetuai studio rekaan Geely di Gothenburg, Shanghai, Barcelona dan Los Angeles (ditambah dengan Tanjung Malim selepas ini).

    Selain rekaan yang moden, SUV ini juga mempunyai kelengkapan yang berteknologi canggih termasuk skrin 8 inci, sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan pakej keselamatan yang termasuk Lane Departure Warning dan Adaptive Cruise Control (ACC). Dalam majlis yang diadakan hari ini, pengarah urusan kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar menyatakan bahawa Boyue mempunyai ciri sambungan internet dan pengecaman suara (tetapi setakat ini hanya Bahasa Mandarin).

    Jika Boyue ini diambil sebagai asas, dan luarannya diubah mengikut identiti Proton, kami telah mengeluarkan imej render bagaimana ia mungkin akan kelihatan di sini. Selain itu, MIMOS juga ada menghasilkan satu lukisan sebuah model Proton yang menggunakan platform Boyue, tetapi dinamakan sebagai Bayu.

    Apabila ditanya berkenaan harga dan bila SUV Proton berasaskan Boyue ini akan berada di pasaran, wakil Proton dan Geely menyatakan, sudah tentu mereka mahu ia berlaku secepat mungkin. Walaubagaimanapun, banyak perkara masih perlu diambil kira termasuk sama ada untuk membawa unit import (CBU) terlebih dahulu atau berapa banyak alat ganti keluaran tempatan yang akan diguna.


    GALERI: Geely Boyue pasaran China

     
     
  • GALERI: Proton Exora 2017 dalam versi dikemaskini

    GALERI: Proton Exora 2017 dalam versi dikemaskini

    Disamping kemunculan sulung SUV Geely Boyue pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Proton dan Zhejiang Geely hari ini, Proton turut mempamerkan MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora versi kemaskini untuk tahun 2017.

    Seperti yang anda boleh lihat, Exora disegarkan ini menerima berberapa sentuhan perincian baharu seperti yang diterima oleh Iriz facelift 2017 sebelum ini. Antara perubahan berkenaan termasuk kemasan hitam yang diberikan pada kit badan iaitu lip spoiler hadapan dan belakang serta skirt sisi.

    Warna hitam turut diberikan pada gril hadapan (menggantikan bar krom sebelum ini), penutup cermin sisi, bumbung, spoiler bumbung serta kemasan pada pintu tailgate belakang.

    Kemasan pelindung pintu yang telah ditiadakan pada versi tingkat taraf sebelum ini nampaknya dikembalikan untuk model 2017, juga diberikan warna hitam. Logo-logo 3D baharu Proton juga kini menggantikan logo-logo lama yang terdapat pada Exora sedia ada.

    Bagi melengkapkan rupa keseluruhannya, Exora kini menerima rim-rim aloi bersaiz 16-inci yang diambil dari Proton Inspira tetapi diberi kemasan dua-ton – aloi digilap bersama rona hitam.

    Sedikit perubahan perincian dapat dilihat pada bahagian dalaman antaranya kemasan seperti elemen aloi pada konsol tengah dan sekeliling tuil penukar gear serta roda sterengnya kini diberikan unit yang sama diambil dari sedan Preve. Ia turut diberikan satu slot USB yang diletakkan pada ruang storan berhampiran tuil brek tangan.

    Tiada sebarang perincian rasmi dikeluarkan oleh Proton setakat ini, dan menerusi apa yang kami nampak, Exora masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.6 liter CFE Turbo digandingkan bersama kotak gear CVT. Apa yang boleh dijangkakan, Exora 2017 mungkin diperhalusi pada talaan enjin dan transmisi CVT, serta pelbagai kerja yang dilakukan untuk menambah baik aspek NVH – kemaskini yang sama diberikan terhadap Proton Iriz 2017.

    Selain itu, Proton juga masih lagi belum mengumumkan tarikh sebenar Exora ini akan dilancarkan, serta harga jualannya nanti. Jadi, teruskan bersama kami untuk sebarang maklumat baharu.

     
     
  • Had laju Jalan Persekutuan diturunkan kepada 80 km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai ini – Fadillah

    Had laju Jalan Persekutuan diturunkan kepada 80 km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai ini – Fadillah

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengumumkan had laju jalan Persekutuan diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai sempena Aidilfitri ini.

    Katanya, bagi jalan negeri, kementerian meminta kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menurunkan had laju daripada 80km/j kepada 70km/j, laporan Bernama.

    “Selain itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan bagi jalan Persekutuan dan jalan Negeri serta lebuh raya akan dihentikan mulai 18 Jun hingga 2 Julai semasa musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik. Namun, kerja-kerja kecemasan dan kritikal adalah dikecualikan,” katanya.

    Fadillah berkata JKR dan LLM juga menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan sebarang kerosakan jalan selain memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera tanpa gangguan lalu lintas di jalan-jalan Persekutuan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, sebanyak 15 kawasan persimpangan di seluruh negara dikenal pasti untuk ditambah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

    Had laju Jalan Persekutuan diturunkan kepada 80 km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai ini – Fadillah

    “Pada masa sama, kementerian dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Dasar Pembinaan Jalan Raya dan Lebuh Raya bagi mencapai objektif peningkatan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

    Lima belas persimpangan itu ialah satu masing-masing di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Labuan serta dua masing-masing di Kedah dan Sabah selain tiga di Sarawak.

    Beliau berkata sebanyak 21 projek jalan melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada diluluskan untuk dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM4.896 bilion

    Fadillah turut menitipkan nasihat agar semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

     
     
  • Perodua Myvi Active muncul sebagai lakaran imaginasi – diilhamkan mengikut Toyota Prius c

    Perodua Myvi Active muncul sebagai lakaran imaginasi – diilhamkan mengikut Toyota Prius c

    Cuba bayangkan apa yang terjadi sekiranya Perodua Myvi mengambil sedikit ilham penggayaan daripada model facelift terkini Toyota Prius c? Kini lakaran imagiasi digitalnya telah pun disebarkan.

    Digambarkan sebagai ‘Myvi Active’ oleh perekanya, model “edisi istimewa” bagi Myvi generasi kedua ini banyak menampilkan elemen yang mirip dengan Prius C varian Crossover. Ini termasuklah lampu utama, bampar, skirt sisi, gerbang roda dan rel bumbung baharu.

    Perodua Myvi Active muncul sebagai lakaran imaginasi – diilhamkan mengikut Toyota Prius c

    Walau bagaimana pun gril atas sedikit kecil berbanding original, dengan kepingan melintang menggantikan gril bawah. Selain itu, lampu kabus telah ditiadakan dan lapisan plastik pada bahagian sisi memberikan gaya yang lebih ranggi untuk Myvi ini.

    Myvi diperkenalkan buat pertama kalinya pada Mei 2005, dan baru-baru ini telah mencecah satu juta unit produksi. Buat masa kini, belum ada sebarang pengumuman rasmi bilakan ada model pengganti bagi Myvi akan diperkenalkan, atau pun ia akan meneruskan legasinya mengikut model Daihatsu Boon/Toyota Passo.

    GALERI: Toyota Prius c 2017

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Hyundai Elantra 2017 tiba di M’sia

    Hyundai Elantra 2017 baru sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia awal bulan ini. Ia ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan tiga varian iaitu GLS 2.0 Executive, GLS 2.0 Dynamic dan Sport 1.6 Turbo, dengan harga masing-masing adalah RM116,388, RM120,588 dan RM131,488.

    Untuk yang menggunakan enjin 2.0 liter NA, ia diberikan enjin empat silinder Nu MPI menjana 152 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm, dan dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan. Sistem gantungan yang digunakan pada bahagian belakang adalah daripada jenis torsion beam.

    Sementara itu bagi model 1.6 Turbo pula, ia diberikan enjin Gamma T-GDI, yang berkuasa 204 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan automatik dan suspensi belakang pula menggunakan sistem multilink lebih jitu.

    Terdapat juga beberapa perbezaan lain di antara semua varian ini, dan anda boleh melihatnya sama ada melalui video yang kami rekodkan semasa bertemu dengan antara dua model Elantra baru yang dipamerkan dalam satu acara di Kuala Lumpur, atau mengikuti berita pelancarannya di sini.

    GALERI: Hyundai Elantra 2017 GLS 2.0 Executive

    GALERI: Hyundai Elantra 2017 1.6 Sport

     
     
  • Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

    Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

    Toyota Camry 2018 telah diperkenalkan semasa pameran permotoran di Detroit, dan kini ia bersedia untuk masuk ke pusat pameran di Amerika Syarikat, dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula pada pengujung musim panas ini. Camry 2018 ini adalah generasi yang kelapan.

    Antara matlamat utama yang mahu dicapai pada rekaan Camry 2018 adalah keunikan, titik graviti rendah yang menghasilkan kedudukan tegap dan lebar, profail kabin yang bergaya, praktikal dan penuh emosi, serta imej mewah luar dan dalam. Gabungan harmoni semua aspek ini cuba dihasilkan.

    Hasilnya adalah profail yang lebih licin. Titik bahagian pinggang penumpang dalam Camry 2018 direndahkan sehingga hampir 1.0 inci di hadapan, dan 1.2 inci di belakang, seterusnya merendahkan kedudukan keseluruhan mereka. Dengan ini juga, Toyota dapat merendahkan keseluruhan kenderaan, sebanyak sekitar satu inci berbanding model sebelum ini dan menggunakan bumbung yang lebih rendah, tanpa mengorbankan ruang kabin.

    Camry 2018 mempunyai dua muka utama yang berbeza iaitu yang menggunakan bukaan lebar pada bahagian tengah bampar pada LE/XLE, dan satu lagi yang nampak tajam di hadapan bersama bampar yang agresif pada SE/SXE. Semasa dibangunkan, satu rekaan ini dihasilkan untuk menjadi lebih sporty manakala yang satu lagi lebih mewah.

    Walaupun begitu, kedua-dua muka baru Camry ini masih menggunakan hud aluminium yang 1.6 inci lebih rendah dan gril yang terpecah dua. Lencana Toyota pada model hibrid diwarnakan biru. Pada bahagian belakang pula, terdapat lencana Toyota baru yang diletakkan supaya serasi dengan rekaan radikal baru ini.

    Walaupun banyak konsep rekaan yang menimbulkan imej lebih lebar pada kenderaan ini, ia sebenarnya memang betul-betul lebar dengan ukuran 4,859 mm panjang (+10 mm), 1,834 mm lebar (+13 mm) dan 1,440 mm tinggi (-30 mm), dengan jarak roda pula adalah 2,824 mm (+48 mm).

    Perubahan di dalam juga agak banyak. Konsep sporty sekali lagi digunakan dan pemandu duduk di dalam kokpit dengan kebanuakan tolok informasi yang ada dihalakan kepada mereka. Elemen visual utama pada papan pemuka ini adalah garisan yang bersambung daripada meter turun ke konsol tengah seperti aliran air terjun.

    Menurut Toyota, rekaan dalam Camry 2018 turut mendapat inspirasi daripada perabot rumah, dengan terdapat gabungan tona warna, manakala permukaan yang ada menggunakan bahan premium lembut, bergred tinggi. Tempat duduk depan juga adalah baru, dan kini mampu memberikan keselesaan dengan mudah.

    Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

    Camry 2018 menampilkan teknologi hubungan manusia dan mesin (HMI) yang terkini oleh Toyota, dengan terdapat skrin yang berhubungan – paparan head-up display berwarna 10 inci, MID tujuh inci pada panel meter dan skrin audio dan navigasi lapan inci di konsol tengah.

    Tiga pilihan enjin baru akan ditawarkan untuk Camry 2018 – 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan D-4S, 2.5 liter “Dynamic Force” empat silinder dengan transmisi automatik lapan kelajuan baru dan hibrid THS II generasi seterusnya.

    Model yang menggunakan enjin Dynamic Force dijangka menjadi pilihan paling popular, dan ia mempunyai kuasa sebanyak 206 hp pada 6,600 rpm dan 253 Nm tork pada 5,000 rpm (176 hp/ 222 Nm untuk versi hibrid). Enjin ini menampilkan sistem VVT-iE pada bahagian kemasukan sementara pada bahagian ekzos, masih menggunakan VVT-i. Ia ditetapkan pada tahap mampatan yang tinggi iaitu 13:1 (strok lebih panjang) untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan suhu. Sistem pemasaan injap boleh ubah pula menggunakan motor elektrik berbanding tekanan minyak untuk mengawal pemasaan.

    Untuk penggunaan bahan api dan penghasilan kuasa lebih baik juga, enjin ini menggunakan kombinasi Direct Injection (DI) bertekanan tinggi dan Port Fuel Injection (PFI) bertekanan rendah, serta injector enam lubang. Penggunaan bahan api bercampur kereta ini adalah 26% lebih baik berbanding Camry sebelum ini.

    Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

    Enjin 3.5 liter V6 yang digunakan pada model paling tinggi pula mempunyai kuasa sebanyak 301 hp dan 363 Nm pada 4,700 rpm, dengan penggunaan bahan api 8% lebih baik berbanding sebelum ini. Kedua-dua enjin petrol ini dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Direct Shift baru. Transmisi baru ini mempunyai tahap penguncian torque converter yang lebih luas, dan mampu memberikan lebih rasa kepada pemanduan dan membantu dalam kecekapan bahan api.

    Untuk versi hibrid, ia menggunakan transmisi CVT, tetapi mempunyai Sport Mode dengan enam nisbah virtual. Mod ini juga dapat meningkatkan pecutan hasil daripada kuasa elektrik tambahan daripada sistem hibrid itu sendiri. Penggunaan bahan api pula 30% lebih baik.

    Camry Hybrid baru dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion pada varian LE manakala varian SE dan XLE pula menggunakan bateri Nickel-Metal Hydride (Ni-MH). Pek bateri ini juga telah diubah tempatnya, daripada di ruang belakang ke bahagian bawah tempat duduk belakang. Kedudukan ini mempunyai titik graviti lebih rendah.

    Toyota Camry 2018 – perincian untuk pasaran Amerika

    Toyota menjanjikan kawalan lebih sporty dan kualiti pemanduan yang dipertingkat pada Camry baru. Antara faktor penyumbangnya adalah ketegaran struktur yang dipertingkat (platform baru, penggunaan lebih banyak besi berkekuatan tinggi), sistem suspensi belakang double-wishbone, dan sistem tapak enjin empat bahagian.

    Untuk aspek keselamatan, pakej Toyota Safety Sense P diberikan secara standard pada semua model dan ini merangkumi Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Automatic High Beams. Ciri Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert pula hanya diberi kepada model tertentu. Semua Camry baru mempunyai 10 beg udara dan kamera undur.

    Harga untuk Camry baru di Amerika Syarikat ditetapkan bermula $23,495 (RM100,710) untuk varian 2.5L hingga $34,950 (RM149,811) untuk XSE V6. Kereta ini akan dikeluarkan di kilang Toyota di Georgetown, Kentucky.


    GALERI: Toyota Camry LE 2018


    GALERI: Toyota Camry SE 2018

    GALERI: Toyota Camry XLE 2018

    GALERI: Toyota Camry XSE 2018

    GALERI: Toyota Camry Hybrid 2018

     
     
  • Perhilitan nasihati pengguna jalan raya berhati-hati memandu di kawasan lintasan hidupan liar

    Perhilitan nasihati pengguna jalan raya berhati-hati memandu di kawasan lintasan hidupan liar

    Pada hujung minggu lalu, seekor anak gajah ditemui mati akibat dilanggar oleh kenderaan di Lebuhraya Gerik-Jeli, 130 kilometer dari Ipoh. Ini bukan kejadian pertama yang melibatkan haiwan liar mati dilanggar kenderaan. Pada tahun lalu, seekor harimau belang dewasa mati selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM321.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Justeru, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menasihati pengguna jalan raya agar memberi perhatian terhadap papan tanda ‘Kawasan Lintasan Hidupan Liar’ semasa memandu, laporan Bernama.

    Menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim, ini bagi mengelak kehilangan nyawa manusia dan juga hidupan liar yang boleh menyumbang kepada kepupusan haiwan itu.

    “Orang awam juga diingatkan agar jangan sesekali cuba mengambil mana-mana bahagian hidupan liar yang dijumpai telah mati kerana tindakan tersebut adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian hidupan liar mati dilanggar diminta menghubungi talian hotline Perhilitan di 1-800-88-5151.

     
     
  • Ford bakal memindahkan pengeluaran model Focus untuk pasaran Amerika Utara dari Mexico ke China

    Ford bakal memindahkan pengeluaran model Focus untuk pasaran Amerika Utara dari Mexico ke China

    Ford telah mengumumkan akan memindahkan pengeluaran model Focus dari Amerika Syarikat bagi model tahun 2019 dan selepas itu. Langkah itu bagaimanapun tidak bermakna akan menyebabkan kehilangan pekerjaan di sana.

    Ford Focus generasi seterusnya untuk pasaran Amerika Utara selepas ini akan didapatkan dari China – dan bukan lagi dari Hermosillo, Mexico – dengan pengeluarannya dijangka bermula pada separuh kedua 2019.

    Pengeluaran bagi Ford Focus sedia ada untuk pasaran America Utara akan diteruskan di kilang pemasangan Michigan sehingga pertengahan 2018. Menurut Ford, kilang itu kemudiannya akan diubah untuk memasang model Ranger pada penghujung 2018 dan model Bronco pada 2020.

    Ford bakal memindahkan pengeluaran model Focus untuk pasaran Amerika Utara dari Mexico ke China

    Selari dengan perpindahan itu, syarikat turut mengumumkan pelaburan berjumlah US$900 juta (RM3.8 bilion) untuk menaiktaraf kilang trak di Kentucky, yang dijangka akan digunakan untuk memasang model Ford Expedition dan Lincoln Navigator. Kedua-dua model berkenaan akan dieksport ke lebih daripada 55 pasaran seluruh dunia, termasuk China bagi model Lincoln Navigator.

    Kilang di Kentucky kini menggajikan sejumlah 7,600 pekerja sepenuh masa, mengikut jam. Ford menyatakan, syarikat itu mempunyai lebih banyak pekerja di Amerika dengan jumlah jam bekerja yang lebih tinggi dan memasang lebih banyak kenderaan di negara itu berbanding pengeluar kenderaan lain.

    Ford juga memaklumkan, langkah perpindahan pengeluaran model Focus itu akan membolehnya syarikat menjimatkan sebanyak US$1 bilion (RM4.29 bilion) kos pelaburan berbanding perancangan terdahulu.

    SPYSHOT Ford Focus 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026