Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Jazz 2017 versi petrol terima 1,300 unit tempahan dalam tempoh 2 minggu sejak dilancarkan

    Honda Jazz 2017 versi petrol terima 1,300 unit tempahan dalam tempoh 2 minggu sejak dilancarkan

    Seperti yang dijangka, kehadiran Honda Jazz 2017 sememangnya dinanti-nantikan oleh peminatnya di Malaysia. Sejak dilancarkan pada 6 Jun lalu, Jazz versi petrol dilaporkan telah menerima lebih 1,300 unit tempahan, melewati sasaran jualan bulanan iaitu 1,200 unit.

    Menurut Honda Malaysia, tempahan yang paling tinggi melibatkan varian E iaitu merangkumi 40% daripada jumlah keseluruhan tersebut, sementara varian V pula sebanyak 32% dan diikuti varian S pula 28%.

    Manakala pecahan tempahan mengikut kawasan pula menunjukkan Lembah Klang meliputi 42% daripada jumlah keseluruhan, manakala bahagian Selatan pula sebanyak 21%, 18% di Utara dan kedua-dua bahagian Pantai Timur dan Timur Malaysia pula masing-masing mencatatkan 13% dan 6%.

    Honda Jazz 2017 versi petrol terima 1,300 unit tempahan dalam tempoh 2 minggu sejak dilancarkan

    Honda Malaysia turut memaklumkan, Modern Steel Metallic menjadi pilihan warna yang paling mendapat permintaan yang tinggi, diikuti dengan Lunar Silver Metallic.

    Untuk versi petrol ini, Jazz facelift dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

    Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bagi Jazz 2017 ini adalah RM74,800 untuk model asas 1.5 S, RM81,000 untuk model pertengahan 1.5 E, manakala bagi model spesifikasi tertinggi 1.5 V pula RM88,400

    Selain versi petrol, Jazz 2017 turut menawarkan varian hibrid, 1.5 Sport Hybrid i-DCD, yang turut menerima sambutan yang memberangsangkan. Dengan harga RM87,500, ia dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra).

    Ia turut dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan, bukan lagi kotak gear CVT seperti teknologi IMA pada Jazz Hybrid sebelum ini. Menurut Honda, gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter.

    Bagi yang menempah versi hibrid ini, para pelanggan bakal menerimanya mulai hujung Julai 2017. Malahan Honda Malaysia menjanjikan bahagian produksi mampu mencapai garis masa yang ditetapkan bagi kesemua varian iaitu antara satu bulan masa menunggu tanpa berkompromosi soal kualiti.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian mengenai Jazz 2017, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 V

    GALERI: Honda Jazz 1.5 E

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Mugen

     
     
  • ANIH tawar diskaun tol 10%, keluarkan TTA sempena Aidilfitri bagi pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1

    ANIH tawar diskaun tol 10%, keluarkan TTA sempena Aidilfitri bagi pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1

    Sempena Aidilfitri tahun ini, ANIH Berhad, syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menawarkan diskaun tol sebanyak 10% pada 25 Jun ini bermula jam 12 tengahmalam sehingga 11.59 malam bagi pengguna yang menggunakan kad Touch ‘n Go atau Smart Tag.

    Malah ANIH menjangkakan kira-kira 2.2 juta kenderaan akan menggunakan KLK sempena Aidilfitri ini dan daripada jumlah berkenaan, 850,000 kenderaan akan tertumpu di LPT 1. Ia adalah anggaran kenderaan menggunakan KLK dan LPT1 untuk tempoh 15 hari Op Selamat bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini.

    Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata purata harian kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT1 pada waktu puncak dijangka meningkat 73.8% kepada 245,000 berbanding 141,000 pada hari biasa.

    ANIH tawar diskaun tol 10%, keluarkan TTA sempena Aidilfitri bagi pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1

    Dijangkakan waktu puncak musim perayaan pada 22 hingga 24 Jun (kenderaan menghala Pantai Timur) dan 27 hingga 28 Jun dan 1 hingga 2 Julai (kenderaan menghala Kuala Lumpur). Bagi menghadapi situasi ini, syarikat konsesi kepada KLK dan LPT1 ini telah mengatur pelbagai strategi dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan untuk membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

    Nik Fauzi berkata, antara langkah diambil ialah menambah bilangan jurutol sebanyak 17% kepada 272 orang berbanding 233 orang sebelum ini bagi membantu mempercepatkan transaksi pembayaran tol secara elektronik dan tunai di semua plaza tol.

    “Seramai 121 anggota pasukan bahagian trafik yang merangkumi LPT-Ronda, Pusat Kawalan Trafik (TCC), pengendali jentera berat dan trak penunda akan bertugas selama 24 jam di lokasi strategik bagi menyalur sokongan bantuan kecemasan tambahan kepada pengguna. Kita juga menempatkan 176 anggota RELA di semua plaza tol dan kawasan rehat,” katanya.

    Bagi memudahkan pengguna, ANIH turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur pada musim perayaan ini.

    ANIH tawar diskaun tol 10%, keluarkan TTA sempena Aidilfitri bagi pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1

     
     
  • Enjin PureTech 1.2 liter turbo tiga-silinder PSA dinobat ‘Engine of the Year 2017’ – raih kemenangan ‘hat trick’

    Enjin PureTech 1.2 liter turbo tiga-silinder PSA dinobat ‘Engine of the Year 2017’ – raih kemenangan ‘hat trick’

    Groupe PSA menerima khabar gembira pada majlis anugerah Engine of the Year yang ke-19, yang berlangsung di Stuttgart, Jerman. Enjin terkini yang digunakan pada kenderaan keluaran syarikat itu , PureTech 1.2 liter turbo tiga-silinder petrol dinobat sebagai enjin terbaik bagi kategori 1L hingga 1.4L tahun ini

    Ini menjadi tahun ketiga berturut-turut enjin PureTech diberi anugerah enjin terbaik – kemenangan hat trick untuk kumpulan syarikat itu. Datang dalam konfigurasi PureTech 110 S&S (110 hp) dan PureTech 130 S&S (130 hp), sejumlah 850,000 unit enjin berkenaan telah dikeluarkan sejak pelancarannya pada 2014.

    Enjin berkenaan digunakan pada sekitar 90 kenderaan keluaran PSA dan anak syarikatnya – Citroen, DS Automobiles, Opel dan Peugeot. Ini termasuk model-model seperti Peugeot 3008 (European Car of the Year 2017) dan Citroen C3 terbaru.

    Untuk pasaran tempatan, enjin tiga-silinder ini boleh turut dilengkapi pada model Peugeot 208 dan 2008, kedua-duanya dilancarkan awal tahun lalu. Ia merupakan enjin yang lebih cekap berbanding enjin 1.6 liter empat-silinder terdahulu, dan menerima padanan transmisi automatik Aisin enam-kelajuan (yang lama menggunakan automatik empat-kelajuan).

    Enjin PureTech 1.2 liter turbo tiga-silinder PSA dinobat ‘Engine of the Year 2017’ – raih kemenangan ‘hat trick’

    Antara kelebihan prestasinya ialah pecutan 0-100 km/j dalam masa lebih singkat, serta penggunaan minyak lebih rendah. Pada 208, bacaan yang didakwa mampu dicapai ialah 4.5 liter bagi setiap 100 km (berbanding 6.7 liter per 100 km dahulu) dan bagi 2008 pula, 4.8 liter bagi setiap 100 km (dulunya 6.5 liter per 100 km).

    PSA juga merancang untuk meningkatkan pengeluaran bagi enjin berkenaan, yang akan melepasi angka satu juta unit pada 2019. Dalam tempoh itu, beberapa penambah baikan juga akan dilakukan terhadapnya – sebahagian daripada pembaharuan itu akan dilakukan menjelang hujung 2017.

    Ini termasuk menyertakan particulate filter yang baru untuk mengurangkan pembebasan sisa sehingga 75% untuk menepati standard pencemaran yang lebih ketat di Eropah dan China pada 2020, mengoptimumkan kitaran pembakaran enjin dan tekanan suntikan, mengurangakan pergeseran mekanikal dan memperkenal pengcas turbo baru serta menjadikan enjin berkenaan lebih kompak.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Peugeot 208 dan 2008 1.2L Puretech

    Versi facelift untuk hatchback Peugeot 208 dan pasangan crossover 2008 telah pun dilancarkan pada pasaran Malaysia awal tahun ini. Kedua-dua model 2017 bukan sahaja diberikan penyegaran dari segi rupa, malah turut diberikan enjin 1.2L turbo tiga-silinder dan transmisi automatik enam-kelajuan baharu, menggantikan enjin VTI 1.6 liter bersama kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini.

    Untuk 208 1.2 Puretech, ia dijual pada harga RM90k, memberikan tentangan terus kepada Honda Jazz varian tertinggi iaitu 1.5 V. Abangnya, SUV 2008 1.2 Puretech pula dijual pada harga RM110k, meletakkan ia untuk bersaing dengan Honda HR-V varian pertengahan iaitu 1.8 E. Jadi, untuk mereka yang mencari kelainan untuk memilih model selain dari keluaran Jepun berkenaan, adakah jenama Perancis ini boleh dijadikan alternatif?

    Adakah enjin 1.2L turbo baharu yang menjana 112 PS/205 Nm ini memberikan lebih sensasi pemanduan kepada pasangan hatchback dan SUV segmen-B ini? Untuk jawapan, tonton video ulasan pandu uji kami terhadap kedua-dua model baharu Peugeot ini.

    Untuk perincian dan spesifikasi lengkap Peugeot 208 dan 2008 2017 ini, sila rujuk laman Carbase.my kami.

    GALERI: Peugeot 208 1.2L PureTech 2017

    GALERI: Peugeot 2008 1.2L PureTech 2017

     
     
  • FIA umum kejohanan Drift Intercontinental pertama di dunia – pusingan awal bermula di Jepun Sept ini

    Sukan drift dalam arena perlumbaan kereta bermula sebagai ‘sukan haram’ yang dijalankan secara tidak sah di jalan-jalan bukit (touge) sekitar Jepun pada era 80’an. Namun dengan usaha yang dipelopori ‘The Drift King’ Keiichi Tsuchiya, drift mula dibawa ke pentas profesional dan kemudian ke peringkat antarabangsa.

    Terkini, badan yang bertindak sebagai ibu sukan permotoran dunia – Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) – yang menganjurkan acara berprestij seperti Formula 1 dan WRC, mengumumkan kejohanan drift anjurannya digelar FIA Intercontinental Drifting Cup 2017, sekaligus mengiktiraf drift sebagai sukan sah peringkat antarabangsa.

    “Ini merupakan permulaan untuk kategori yang sangat penting untuk FIA. Seiring dengan usaha kami untuk terus membangunkan sukan permotoran di seluruh dunia, drifting mempunyai pendekatan yang dekat kepada golongan muda dan mempunyai teras yang kukuh berdasarkan minat yang akan hanya menjadi semakin besar,” kata presiden FIA, Jean Todt.

    “Dengan mewujudkan FIA Intercontinental Drifting Cup, kami membina struktur untuk format standard yang akan membantu sukan ini agar terus berkembang bermula dari peringkat akar umbi kepada pertandingan yang lebih profesional di peringkat global. Kami akan menetapkan standard yang saya pasti akan menjadi bentuk sukan permotoran yang benar-benar berjaya,” tambah Toad lagi.

    FIA umum kejohanan Drift Intercontinental pertama di dunia – pusingan awal bermula di Jepun Sept ini

    FIA sebenarnya telah membuka tender untuk mencari promotor untuk piala ini pada Julai 2016. Berdasarkan komitmen, pengurusan pertandingan dan pembangunan masa hadapan sukan drift, SUNPROS iaitu penganjur kepada siri kejohanan drift professional D1 GP yang telah dianjurkan sejak tahun 2001 telah dipilih untuk menyandang tugas berkenaan.

    Pusingan pertama FIA Intercontinental Drifting Cup 2017 akan diadakan di Odaiba, Tokyo, Jepun pada 30 September hingga 1 Oktober ini. Pertandingan berkenaan turut akan menggunakan format yang telah diperkenal oleh D1 GP iaitu dengan solo run pada peringkat pertama, kemudian dilanjutkan kepada pertandingan kalah-mati tandem/tsuiso battle untuk menentukan juara.

    “Kami berbangga kerana mampu untuk mengadakan pertandingan dunia di Jepun bagi sukan permotoran yang yang berasal dari sini. Pada masa yang sama, saya mahu untuk menyumbangkan kepada pengembangan sukan drift ke seluruh dunia – ini merupakan masa yang mengujakan untuk disiplin ini,” kata Isao Saita, presiden SUNPROS dan pengasas D1 GP.

     
     
  • Persimpangan Bandar Tasik Puteri di LATAR, dibuka kepada lalu lintas – tiada tol tambahan dikenakan

    Persimpangan Bandar Tasik Puteri di LATAR, dibuka kepada lalu lintas – tiada tol tambahan dikenakan

    Persimpangan Bandar Tasik Puteri di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) telah pun dibuka sejak semalam kepada lalu lintas.

    Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa menerusi kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob dalam majlis pelancaran tersebut, persimpangan ini akan memberi manfaat kepada hampir 60,000 penduduk sekitar, laporan Bernama.

    Beliau berkata pembinaan laluan masuk sepanjang 500 meter dengan kos RM71.4 juta itu bakal menjadi laluan alternatif kepada penduduk kawasan berkenaan. Malah ia telah siap enam bulan awal daripada tarikh jangkaan.

    Persimpangan Bandar Tasik Puteri di LATAR, dibuka kepada lalu lintas – tiada tol tambahan dikenakan

    Menurutnya lagi, tiada caj tol tambahan dikenakan kepada pengguna laluan ini,” katanya dalam teks ucapan yag dibacakan pada majlis perasmian persimpangan bertingkat itu dekat sini hari ini.

    Ali berkata persimpangan itu juga dijangka mengurangkan kesesakan trafik di Bandar Baru Kundang dan Jalan Rawang-Batu Arang.

    Menurutnya, projek itu merupakan antara yang mendapat kelulusan di bawah inisiatif kerajaan persekutuan menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta bagi melaksanakan projek infrastruktur yang memberi manfaat serta kemudahan kepada rakyat

     
     
  • 638 kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tiga hari pelaksanaan Op Selamat 11/2017 di KL

    638 kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang tiga hari pelaksanaan Op Selamat 11/2017 di KL

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim memaklumkan sejak tiga hari pelaksanaan Op Selamat 11/2017, sebanyak 638 kemalangan termasuk satu kematian telah direkodkan di ibu kota.

    Walau bagaimana pun, katanya jumlah kemalangan itu mencatatkan penurunan berbanding 664 kes bagi tempoh sama tahun lepas, laporan Bernama.

    “Walaupun operasi ini baru tiga hari dilaksanakan, tetapi ia telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan pengurangan sebanyak 26 kes berbanding tahun lepas?harap jumlah kes sepanjang ia (operasi) dijalankan mencatatkan penurunan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Op Selamat 11 peringkat Kuala Lumpur semalam.

    Mazlan berkata pihaknya telah menempatkan 772 anggota dan pegawai bagi memastikan kelancaran operasi.

    “Daripada jumlah itu, 320 anggota trafik dikerahkan bagi menjaga lalu lintas, manakala selebihnya ditugaskan bagi meronda kawasan perumahan di sekitar Lembah Klang. Kita juga menggerakkan 129 kereta peronda dan 176 motosikal Unit Ronda Bermotosikal (URB) sepanjang Op Selamat ini berlangsung,” katanya.

     
     
  • Puspakom tutup operasi selama 4 hari sempena Raya

    Puspakom tutup operasi selama 4 hari sempena Raya

    Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada 25 Jun 2017 (Ahad ini), Pusat Pemeriksaan Puspakom telah mengumumkan penutupan operasi di semua cawangannya di seluruh negara selama empat hari.

    Di mana pada tarikh 24 hingga 27 Jun, ia melibatkan penutupan semua cawangan di seluruh Malaysia. Manakala pada 23 hingga 26 Jun, cawangan di negeri Kedah, Johor, Terengganu, dan Kelantan juga akan ditutup.

    Semua Pusat Pemeriksaan Puspakom akan beroperasi semula seperti biasa pada 28 Jun 2017 (Rabu) manakala bagi negeri Kelantan,Terengganu, Kedah dan Johor adalah pada 27 Jun 2017 (Selasa).

    Puspakom turut menasihati para pelanggan yang mempunyai tarikh luput pemeriksaan yang jatuh pada tarikh tersebut adalah agar membuat perancangan awal dengan mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan mereka.

    Malah Puspakom telah mengambil inisiatif dengan melanjutkan waktu operasi pada hari Sabtu yang lalu bagi memenuhi permintaan pemeriksaan yang tinggi menjelang musim perayaan Hari Raya.

    Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung penutupan operasi ini, para pelanggan boleh menghubungi Pengurus Cawangan atau talian bebas tol PUSPAKOM 1-800-88-6927 atau layari laman sesawang PUSPAKOM di www.puspakom.com.my.

     
     
  • Harga bahan api 22-28 Jun – petrol turun lagi

    Harga bahan api 22-28 Jun – petrol turun lagi

    Trend penurunan harga bahan api nampaknya masih lagi berlarutan hingga ke minggu keempat bulan ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan penurunan harga buat petrol RON 95 dan RON 97, manakala harga diesel kekal tidak berubah.

    Harga siling bagi bahan api RON 95 turun lagi 7 sen minggu ini, kini menjadi RM1.91 seliter, manakala RON 97 pula turun sebanyak 7 sen menjadi RM2.17 seliter. Diesel pula masih lagi kekal dengan harga sedia ada iaitu RM1.88 seliter bagi Euro 2 dan RM1.98 seliter untuk Euro 5 M.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 28 Jun hadapan.

    Minggu sebelum ini iaitu 15 hingga 21 Jun, harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 7 sen menjadi RM1.98 seliter, manakala RON 97 juga turun sebanyak 7 sen, menjadi RM2.24 seliter. Bagi diesel pula turun sebanyak 6 sen seliter untuk Euro 2 dan Euro 5.

     
     
  • Polestar akan bangunkan kereta berprestasi tinggi dengan bantuan tenaga elektrik, punya jenama sendiri

    Polestar akan bangunkan kereta berprestasi tinggi dengan bantuan tenaga elektrik, punya jenama sendiri

    Volvo Cars telah mengesahkan bahawa anak syarikatnya, Polestar akan melancarkan barisan kenderaan prestasi yang kuasanya turut mendapat bantuan daripada elektrik. Menurut syarikat itu, langkah ini adalah untuk mewujudkan sebuah syarikat berasingan dalam tahap terkini proses transformasi Volvo. Syarikat ini bercadang untuk memberi saingan kepada Tesla Motors dan cabang kenderaan i BMW.

    Setakat ini masih belum ada sebarang perincian serta tarikh pelancaran yang diberitahu berkenaan kenderaan elektrik Polestar yang pertama ini. Walaupun begitu, berita ini dikeluarkan bersama dengan satu gambar, yang mungkin adalah logo baru kenderaan prestasi tersebut.

    Turut didedah adalah individu yang terlibat di dalam cabang baru ini. Antaranya adalah Thomas Ingenlath, yang kini adalah timbalan presiden kanan bahagian rekaan Volvo, dan akan mengambil kedudukan sebagai ketua pegawai eksekutif di Polestar, menggantikan Nick Connor. “Pengambilan Thomas sebagai ketua di Polestar menunjukkan komitmen kami untuk membina sebuah jenama yang boleh berdiri sendiri dalam kumpulan syarikat Volvo,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

    Polestar akan bangunkan kereta berprestasi tinggi dengan bantuan tenaga elektrik, punya jenama sendiri

    Ingenlath akan disertai oleh Jonathan Goodman, yang akan memegang jawatan sebagai ketua pegawai operasi Polestar. Sebelum ini, beliau adalah timbalan presiden kanan bahagian komunikasi korporat Volvo Cars.

    Volvo juga memberitahu bahawa Polestar “akan dapat menikmati sinergi kejuruteraan dan teknologi spesifik dengan Volvo Cars dan mengambil manfaat daripada skala ekonomi yang signifikan,” seterusnya membolehkan ia membangunkan dan menghasilkan “kereta prestasi tinggi berkuasa elektrik bertaraf dunia.”

    Polestar telah menjadi cabang sukan permotoran Volvo sejak tahun 1996, dan diambil alih sepenuhnya oleh Volvo Cars pada bulan Julai 2015. Dengan pengumuman ini, Polestar akan menawarkan kereta mereka dengan menggunakan logo sendiri, serta pakej naik taraf yang lain untuk kenderaan Volvo.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Focus 2018, imej kabin terdedah

    Ford Focus generasi baharu telah dilihat sedang diuji di atas jalan raya biasa, dan kali ini jurugambar pengintip kami turut berjaya mendapatkan gambaran awal bahagian dalaman model 2018 berkenaan.

    Menerusi imej ini juga, dapat disaksikan Ford Focus generasi keempat ini nampaknya menampilkan peningkatan pada panjang keseluruhan, jarak roda dan juga lebar. Ia juga kelihatan lebih rendah dari sebelum ini seterusnya memberikan imej lebih sporty dan juga kedudukan pemanduan yang lebih baik.

    Bahagian dalaman, dapat dilihat ia diberikan papan pemuka dengan rekaan agak konvensional dan turut menampilkan skrin infotaimen bersaiz besar pada bahagian atas-tengah, serta suis-suis kawalan penghawa dingin yang lebih ringkas seperti Fiesta generasi baharu. Liang penghawa dingin juga kini direka melintang dan diletakkan pada bahagian bawah skrin, berbanding menegak pada model sedia ada.

    SPYSHOT: Ford Focus 2018, imej kabin terdedah

    Focus generasi seterusnya ini dijangka bakal menampilkan siri enjin turbo, di mana pada generasi sedia ada model pasaran Amerika Syarikat masih dijana enjin NA 2.0 liter empat-silinder Duratec Ti-VCT. Varian asas Focus berkemungkinan akan diberikan enjin petrol turbo 1.0 liter tiga-silinder EcoBoost, dan juga varian pertengahan bakal diberikan enjin empat-silinder 1.5 liter turbo EcoBoost, seperti pada Focus sedia ada pasaran Malaysia.

    Untuk model berprestasi tinggi Focus ST, ia kekal dengan enjin 2.0 liter turbo EcoBoost tetapi dijangka bakal mengekstrak kuasa lebih besar iaitu sekitar 280 hp. Model diesel juga dijangka diteruskan termasuk versi yang dijana enjin 2.0 liter TDCi yang menjana model ST diesel sedia ada, berkuasa 185 hp/400 Nm.

    Masih lagi belum diketahui bila model ini akan dilancarkan, tetapi boleh dijangka generasi baharu Ford Focus ini akan membuat penampilan sulungnya pada hujung tahun ini. Manakala produksinya pula berkemungkinan akan bermula pada awal 2018.

     
     
  • Kia Stonic – pencabar baharu segmen SUV kompak

    Kia Stonic – pencabar baharu segmen SUV kompak

    Hyundai baru sahaja menunjukkan SUV kompak mereka bernama Kona, dan ini pula adalah seteru daripada Kia iaitu Kia Stonic. Ia akan menyertai SUV segmen B, iaitu antara segmen yang paling pantas berkembang, dan menurut Kia, segmen tersebut buat masa ini mengambil jualan sebanyak 1.1 juta di Eropah setiap tahun.

    Rekaan Stonic adalah antara yang paling menarik pernah dihasilkan oleh syarikat itu, tetapi yang pasti, kurang radikal berbanding Hyundai Kona. Ia terus dapat dilihat adalah sebuah Kia dengan adanya elemen seperti gril “tiger nose” dan lampu belakang yang mirip seperti yang terdapat pada Sportage.

    Kereta ini direka di Eropah dengan kerjasama studio rekaan Kia di Korea, dan ia boleh dilihat menggunakan rekaan bumbung yang dipanggil oleh Kia sebagai “Targa” yang boleh dicat dalam dua tona, dan mendapat inspirasi daripada kereta konsep Kia Provo 2013. Kereta ini akan ditawarkan dengan sehingga 20 warna dua tona di Eropah, bersama pilihan lima warna untuk bahagian bumbung.

    Enjin yang digunakan pula adalah terdiri daripada petrol turbo dan diesel, dengan masing-masing dipadankan bersama transmisi manual. Dalam barisan enjin petrol terdapat pilihan unit 1.0 liter T-GDI 120 PS, 1.25 liter serta 1.4 liter NA, manakala bagi yang menggunakan diesel pula adalah unit 1.6 liter turbo. Kuasa daripada enjin ini disampaikan kepada tayar hadapan.

    Menurut Kia lagi, Stonic menawarkan tetapan stereng dan suspensi talaan Eropah, untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan, tindak balas lebih baik serta pengendalian yang lebih tegap.

    Bahagian kabin Stonic menyerupai Rio hatchback generasi keempat, iaitu kereta yang digunakan sebagai asas untuknya, tetapi mempunyai banyak pilihan warna untuk dipilih oleh pembeli. Sistem informasi dan hiburan kenderaan ini mempunyai skrin sesentuh bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Turut diberi adalah tempat duduk dengan ciri pemanas, cruise control dan sistem kemasukan tanpa kunci. Ruang simpanan yang disediakan di but adalah 352 liter.

    Turut boleh didapati pada Stonic adalah sistem keselamatan aktif lain seperti Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki dan Forward Collision Alert; Blind Spot Detection dengan Rear Cross Traffic Alert; dan Lane Departure Warning.

    Di Eropah, Stonic akan dijual dengan jaminan selama tujuh tahun atau 100,000 batu (160,000 km). Jualan untuk negara lain pula akan bermula dalam suku ketiga tahun 2017.

     
     
  • Pemberhentian perkhidmatan sebilangan stesen minyak Caltex – Chevron beri maklum balas rasmi

    Pemberhentian perkhidmatan sebilangan stesen minyak Caltex – Chevron beri maklum balas rasmi

    Berita tentang sebilangan stesen minyak Caltex di Malaysia akan ditutup hujung bulan ini telah beredar di saluran media sosial. Ia juga telah dilaporkan oleh FMT bahawa beberapa pengusaha stesen minyak Caltex telah diberikan surat berhenti oleh Chevron Malaysia dan diminta untuk menamatkan operasi pada 30 Jun. Ini di dakwa dilakukan tanpa menyatakan sebarang alasan mengapa kontrak mereka dibatalkan.

    Laporan itu juga memberi pembayang bahawa tindakan itu adalah berkait dengan ketidaksefahaman antara kedua-dua pihak terhadap kos-kos penyelenggaraan yang terlibat bagi pemasangan peranti automatik – pengusaha tidak berpuas hati kerana mereka terpaksa menanggung kos berkenaan.

    Berikut merupakan maklum balas rasmi daripada Chevron Malaysia:

    Chevron Malaysia Limited mengesahkan penamatan perkhidmatan terhadap beberapa peruncit dan pengusaha stesen minyak baru-baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang diambil. Ini adalah sebagai maklum balas terhadap komen yang diberikan kepada syarikat yang beredar di laman sosial media. Sebahagian daripadanya ada salah dan tidak tepat.

    Pembatalan perkhidmatan itu merupakan keputusan perniagaan dan syarikat berhak untuk berbuat demikian untuk membatalkan kontrak peruncit pada bila-bila masa. Bagi semua proses pembatalan ini, ia akan dilakukan dengan mematuhi perjanjian sedia ada antara kedua-dua pihak.

    Kami sentiasa mencari pihak yang mampu untuk bekerjasama dan menyokong nilai-nilai yang dibawa oleh Chevron, dan kami akan terus mengekalkan hubungan baik dengan peruncit yang mana mereka bekerja bersama kami untuk menyelesaikan masalah yang mungkin timbul. Malangnya, ada ketika ini bukanlah situasinya dengan segelintir peruncit, walaupun dengan usaha Chevron untuk menyelesaikan masalah dengan cara baik.

    Chevron Malaysia Limited ingin memaklumkan kepada umum bahawa perniagaan berjalan seperti biasa di semua stesen Caltex sedia ada.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Volvo V40 facelift di M’sia – RM181k

    Volvo V40 facelift 2017 telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dalam satu varian sahaja, T5 Inscription, yang turut menampilkan pemaharuan terutama dari aspek kosmetik. Ia dijual pada harga RM180,888 atas jalan tanpa insurans, video ini menggariskan perbezaannya dengan versi yang terdahulu.

    Paling utama ialah penampilan di bahagian depan, dengan wajah baru V40 yang lebih menarik. Antara yang paling ketara ialah penggunaan lampu utama Thor’s Hammer dengan sistem LED sepenihnya – ini diwarisi daripada model-model lebih besar Volvo sebelum ini, seperti XC90 dan S90/V90.

    Selain itu, penggunaan gril Inscription baru dengan jalur menegak dengan logo Volvo Iron Mark baru yang lebih besar dan menonjol menggantikan yang lama. Bahagian cermin pandang belakang pula terletak kamera bagi ciri keselamatan City Safety, yang turut melibatkan ciri Autonomous Emergency Braking (AEB).

    Bagi penggunaan rim pula, walaupun masih mengekalkan saiz yang sama, versi ini menggunakan rekaan yang baru, dengan saiz tayar 225/45. Bahagian dalaman pula kini menggunakan kemasan Milled Aluminium, menggantikan kemasan Shimmer Graphite terdahulu.

    Volvo V40 2017 ini menggunakan enjin Drive-E T5 2.0 liter turbo dengan janaan kuasa 245 hp dan 350 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,800 rpm. Transmisi pula menggunakan jenis automatik lapan-kelajuan dari Aisin. Tonton video ini untuk melihat dengan lebih dekat pembaharuan yang dinyatakan ini. Untuk spesifikasi lanjut, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Pakatan Renault-Nissan bakal dahului jumlah jualan Volkswagen dan Toyota tahun ini – Carlos Ghosn

    Pakatan Renault-Nissan bakal dahului jumlah jualan Volkswagen dan Toyota tahun ini – Carlos Ghosn

    Tahun lalu, Volkswagen Group berjaya dinobatkan sebagai dengan menjual sejumlah 10.3 juta kenderaan, mengatasi Toyota di tempat kedua dengan jualan sebanyak 10.2 juta unit. Kedudukan berkenaan nampaknya masih lagi tidak berubah untuk empat bulan pertama tahun ini setelah data yang dikeluarkan oleh JATO Dynamics mendedahkan VW kini di tempat pertama dengan jualan 3.32 juta unit kenderaan, manakala Toyota berada di tempat kedua dengan jualan 3.06 juta unit.

    Untuk tempat ketiga tahun ini disandang oleh Pakatan Renault-Nissan dengan jualan 3.02 juta – dan angka ini mengundang keyakinan boss pakatan berkenaan, Carlos Ghosn, bahawa syarikatnya bakal mendahului pertandingan tersebut sebelum berakhirnya tahun ini, menurut laporan Automotive News.

    Ghosn menyatakan keyakinannya pada mesyuarat tahunan pemegang saham Renault minggu lalu. “Kami tersenarai sebagai tiga pengeluar kenderaan paling laris sejak Januari, dan kami menjangkakan akan berada di kedudukan paling atas menjelang pertengahan tahun – walaupun ia bukan sasaran kami,” jelas Ghosn.

    Penganalisis dari JATO Global Automotive, Felipe Munoz pula berpendapat, Pakatan-Renault Nissan berkemungkinan bakal mendahului pesaing-pesaing utamanya dari segi percambahan jualan, tetapi ia masih tidak cukup untuk mengangkat pakatan berkenaan ke kedudukan nombor satu.
    “Mereka menguruskan jenama mereka dengan baik. Apabila Renault lemah, Nissan pula kuat, dan sebaliknya,” kata Munoz.

    Pakatan Renault-Nissan bakal dahului jumlah jualan Volkswagen dan Toyota tahun ini – Carlos Ghosn

    Pakatan Renault-Nissan yang kini turut memiliki Mitsubishi, telah meningkatkan jualan mereka sebanyak lapan peratus, berbanding hanya enam peratus bagi Toyota manakala VW pula menyusut sebanyak satu peratus.

    Infiniti merupakan jenama paling cepat bertumbuh dalam kumpulan pakatan berkenaan dengan jualan 24% lebih banyak berbanding tahun lalu, diikuti Renault dengan peningkatan sepuluh peratus. Nissan dan Dacia turut dilihat meningkat dengan tujuh peratus, manakala Lada pula lebih tinggi dengan lapan peratus. Ahli baharu pakatan – Mitsubishi – turut mencatatkan peningkatan dengan jumlah lima peratus.

    Renault-Nissan dilihat memperkasakan barisan SUV mereka sebagai strategi pemasaran kali ini. Berbalik pada senarai 30 kereta paling laris di dunia untuk suku pertama tahun 2017 yang telah disiarkan oleh JATO Dynamics sebelum ini, Nissan X-trail/Rogue facelift kini merupakan SUV paling laku pada peringkat global. SUV berkenaan juga menduduki tangga ketiga sebagai kereta paling laris di dunia setakat ini untuk tahun 2017.

     
     
  • Ducati Multistrada 1200 Enduro Pro 2017 dilancar

    Ducati Multistrada 1200 Enduro Pro 2017 dilancar

    Segmen motosikal kembara kapasiti besar yang didominasi oleh BMW GS kini menerima satu lagi pencabar apabila Ducati Multistrada Enduro Pro 2017 diperkenalkan. Ia adalah satu variasi kepada Multistrada Enduro yang ada sekarang, namun mempunyai kelebihan di atas jalan kasar, seperti GS Rallye 1200.

    Enjin yang digunakan pada model ini adalah unit V-twin 1,198 cc Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing) berstatus Euro 4, dan ia mampu menghasilkan 152 hp pada 9,500 rpm dan 128 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Daripada aspek penampilan, Multistrada Enduro Pro ini dicat dengan warna coklat matte, dengan terdapat tekstur pada bahagian hadapan dan tangki minyak. Tempat duduknya pula dibalut dengan kain dua tona warna, manakala kerangka dan penutup enjin disudahkan dengan warna hitam. Datang secara standard adalah rim aloi 19 x 3 inci di hadapan dan 17 x 4.50 di belakang, bersama tayar Pirelli Scorpion Rally.

    Pada bahagian suspensi, terdapat sistem Skyhook Suspension Evo, yang menggunakan sepasang penyerap semi aktif Sachs di depan dan belakang, dengan jarak pergerakan 200 mm. Roda hadapan dipegang dengan fork USD 48 mm yang boleh dilaras sepenuhnya, dengan mampatan dan lantunan boleh dilaras secara elektronik. Monoshock belakang juga boleh dilaras secara elektronik.

    Ducati Multistrada Enduro Pro datang dengan pelbagai sistem elektronik, termasuk empat mod tunggangan – Enduro, Touring, Sport dan Urban, manakala antara sistem keselamatan yang diberikan pula adalah cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC) serta Vehicle Hold Control (VHC) untuk membantu memulakan pergerakan di atas bukit.

    Model Enduro Pro ini juga mempunyai kelebihan lain berbanding Multistrada Enduro biasa, di mana ia dilengkapi dengan penghadang enjin Touratech, lampu LED tambahan, penghadang angin hadapan lebih rendah supaya tidak mengganggu semasa offroad dan ekzos Termignoni. Turut disediakan adalah cruise control dan Ducati Multimedia System (DMS).

    Masih belum diketahui bila Ducati Multistrada Enduro Pro ini akan memasuki pasaran Malaysia, tetapi bagi model Enduro biasa, ia dijual pada harga antara RM137,999 dan RM157,999, manakala model Multistrada 1200 dijual pada harga RM114,999.

     
     
  • Honda Civic Type R – mengapa ada tiga corong ekzos?

    Honda Civic Type R – mengapa ada tiga corong ekzos?

    Kehadiran Honda Civic Type R 2017 kini bukan lagi rahsia. Ia sudah pun diperkenalkan secara rasmi di pasaran global. Memang, ia sarat dengan kuasa dan dikhabarkan mampu memberikan prestasi yang mengkagumkan. Kelibatnya juga sudah dilihat ketika ujian di litar lagenda utama dunia, seperti di Nurbugring, Jerman.

    Namun, jika anda perhatikan dengan teliti di bahagian belakang, anda akan perasan bahawa kereta ini dilengkapi dengan tiga corong ekzos. Dua daripadanya, yang berada dihujung datang dengan diameter yang sama, sementara yang satu lagi di tengah diameternya kecil sedikit. Kenapa sampai ada tiga corong ekzos?

    Mungkin ada yang merasakan itu hanya untuk gaya dan nampak garang. Tetapi, kenyataannya bukanlah begitu – ia ada fungsi tersendiri dan bukan sekadar ada untuk nampak cantik. Road & Track mendapatkan kepastian daripada wakil Honda sendiri berkaitan hal ini, dan tujuannya adalah untuk mengurangkan kebisingan.

    “Biasanya, dengan sistem ekzos yang besar seperti ini, ketika anda memandu pada kelajuan lebuhraya, akan kedengaran banyak bunyi bising yang tidak menyenangkan. Ya, Honda ingin memberikan bunyian enjin dan ekzos yang agresif kepada pemanduan, tetapi tidak ketika mereka hanya ingin santai memandu terutama di lebuhraya,” jelas Rob Keough, perancang produk kanan Civic generasi ke-10.

    Honda Civic Type R – mengapa ada tiga corong ekzos?

    2017 Honda Civic Type R

    Sebagai penyelesaiannya, ekzos tunggal dipecahkan kepada tiga corong berasingan di bahagian belakang gandar belakang. Dua corong paling luar adalah termasuk muffler lurus yang besar. Manakala corong yang lebih kecil ditengah pula bertindak sebagai resonator, direka dengan bentuk dan saiz untuk memainkan satu peranan khusus.

    Pada kelajuan rendah, dan ketika pemandu menekan pendikit untuk mula bergerak dari kedudukan pegun, aliran pada ekzos akan terarah ke bahagian resonator di tengah. Ini menghasilkan bunyi yang lebih nyaring, kuat dan agresif, yang boleh didengar di luar kereta serta dari dalam kabin.

    Ketika kelajuan bertambah dan kereta meluncur dengan lebih tenang, aliran ekzos di tengah tadi akan mencapai frekuensi resonan. Resonator berkenaan akan dipenuhi udara, dan menghalang aliran – ini akan menyebabkan tekanan ke belakang dan dialihkan kepada dua muffler yang lebih besar di sisinya, sekali gus mengurangkan tahap kebisingan yang boleh didengar dari dalam kabin pada kelajuan meluncur (cruising) lebuhraya.

    Inilah sebabnya penggunaan tiga corong ekzos berkenaan. Jangan khuatir, Honda Civic Type R 2017 ini tetap akan menghasilkan bunyi yang garang dan sporty seperti yang diinginkan, cuma dalam keadaan cruising bunyinya akan dikurangkan untuk lebih keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

     
     
  • Jadilah lebih bertanggungjawab di jalan raya – Lee

    Jadilah lebih bertanggungjawab di jalan raya – Lee

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, menyeru pengguna jalan raya supaya mengamal sikap yang baik dan bertanggungjawab ketika memandu atau menunggang kenderaan bagi membantu usaha kerajaan menurunkan kadar kemalangan yang tinggi ketika musim perayaan, laporan Bernama.

    Katanya lagi, sikap yang baik dan betul ketika berada di jalan raya termasuklah mematuhi undang-undang serta tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu tumpuan mereka atau pengguna jalan raya yang lain.

    “Selain mematuhi undang-undang, pemandu dan penunggang perlu merancang dengan baik perjalanan pulang ke kampung dan juga kembali ke rumah selepas berhari raya. Mereka tidak sepatutnya meneruskan perjalanan jika rasa letih atau mengantuk,” katanya menerusi kenyataan yang dihantar kepada pihak media.

    Lee yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, pengguna jalan raya juga tidak boleh melakukan perkara yang boleh mengganggu tumpuan termasuk menggunakan telefon pintar untuk membaca atau menghantar mesej.

    Jadilah lebih bertanggungjawab di jalan raya – Lee

    “Ramai pengguna jalan raya masih tidak sedar perbuatan mereka bermain dengan telefon bimbit ketika dalam perjalanan boleh mengakibatkan kemalangan,”katanya.

    Beliau berkata rakyat Malaysia perlu berazam untuk sama-sama menurunkan kadar kemalangan jalan raya dan tidak menjadi sebahagian statistik kemalangan sepanjang Op Selamat di musim perayaan ini.

    “Mustahil untuk kita mencapai sifar kemalangan jalan raya namun kita boleh menurunkan jumlah kemalangan setiap tahun jika tahap kesedaran dan komitmen pengguna jalan raya dapat ditingkatkan,”katanya.

    Lee berkata Op Selamat 11, yang berlangsung selama 15 hari bermula 18 Jun hingga 2 Julai, perlu menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mempraktikkan sikap yang betul dan selamat di atas jalan raya.

    “Operasi dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya tetapi perlu dilihat secara positif sebagai usaha untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

     
     
  • Jualan kenderaan bulan Mei 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Proton raih kembali tempat ketiga

    Jualan kenderaan bulan Mei 2017 mengikut jenama – Perodua teratas, Proton raih kembali tempat ketiga

    Jualan jualan kenderaan yang bermula agak perlahan pada awal tahun ini mungkin akan memberikan kelegaan sedikit kepada pengeluar berdasarkan angka yang dicatatkan sepanjang Mei. Selepas April yang mencatatkan penurunan, bulan Mei bagaimanapun merekodkan pertumbuhan positif secara keseluruhannya, dengan peningkatan 18% jualan kenderaan berbanding bulan sebelumnya.

    Seperti bulan-bulan sebelum ini, Perodua terus kekal berada ditempat teratas dengan jualan sebanyak 17,211 unit. Ini merupakan peningkatan sebanyak 19.7% berbanding pada bulan April lalu, dengan jualan 14,378 unit. Ditempat kedua pula Honda masih mampu mempertahankan kedudukannya sejak beberapa waktu kebelakangan ini.

    Pengeluar kenderaan Jepun itu mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 9,153 unit, iaitu peningkatan sebanyak 25.7% berbanding pada April, dengan 7,283 unit. Tempat ketiga pula kembali diraih oleh Proton, setelah berada di belakang Toyota pada April lalu.

    Proton mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 27.8% dengan jumlah jualan 7,176 unit pada Mei berbanding 5,616 unit yang direkodkan pada April. Sementara itu, Toyota pula turun ke tempat ke-empat dan mencatatakan peningkatan yang sedikit; 4.4%. Bulan Mei menyaksikan syarikat itu menjual 6,072 unit berbanding 5,818 unit pada bulan sebelumnya.

    Selain itu, banyak lagi jenama-jenama lain yang turut menikmati perningkatan jualan sepanjang Mei. Antaranya ialah Mercedes-Benz yang kini menduduki tanggak ke-enam dengan peningkata 50.3%. Ia mengatasi pencabar terdekatnya, BMW yang berada di kedudukan ke-sembilan dengan penurunan jualan sebanyak 5.2%.

    Ford juga tidak ketinggalan untuk mencatatkan peningkatan sebanyak 73.7%, diikuti Volvo dengan kenaikan 88% dan Renault dengan peningkatan 46%. Sebuah lagi jenama Jepun, Mitsubishi turut menikmati kenaikan jumlah jualan pada kadar 36.2%.

     
     
  • Selepas Nürburgring dan jalan berliku UK, Hyundai i30 N kini diuji dan ditala di litar Bathurst, Australia

    Divisi perlumbaan rasmi Hyundai, digelar Hyundai N, serius untuk menjadikan hot-hatch berprestasi tinggi sebenar pertama mereka -130 N- benar-benar model yang mendapat talaan sempurna. Setelah diuji pada keadaan sejuk di Sweden, serta mendapat talaan pada litar Nürburgring dan juga jalan-jalan awam berliku di UK, jentera berkenaan kini dibawa pula ke Australia bagi ditala dilitar ikonik negara berkenaan, Mount Panorama di Bathurst.

    “Kami telah membuat banyak ujian di Nürburgring Nordschleife, tetapi ada lagi banyak litar yang mencabar diluar sana, dan salah satunya adalah di sini, Bathurst, Australia,” kata Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.

    “Ia merupakan pengalaman yang sangat baik untuk memandu di Mount Panorama dan termasuk data yang kami kumpul untuk talaan kami yang kami akan teruskan di Eropah. Saya rasa pemandu yang tepat pada litar ini tentu sangat berseronok dengan i30 N,” tambah Biermann lagi.

    Untuk ujian di Australia ini, anak jati negara berkenaan, Brendan Reeves yang juga merupakan pemandu ujian WRC Hyundai diberikan tanggungjawab untuk memandu i30 N tersebut.

    Selepas Nürburgring dan jalan berliku UK, Hyundai i30 N kini diuji dan ditala di litar Bathurst, Australia

    Kesempatan juga diambil oleh Hyundai kali ini untuk menggunakan sistem paparan dan pungutan data menggunakan peralatan dari jenama Australia iaitu MoTec, yang juga sebenarnya bertindak sebagai pembekal peralatan untuk memantau catatan masa di litar, informasi prestasi, data logging dan sebagainya untuk pasukan WRC serta Nurburgring 24-jam Hyundai.

    Selain itu, prototaip i30 N ini turut dibawa ke Australia untuk menjalani ujian ketahanan cuaca panas, dan juga penilaian terhadap kualiti serta prestasi. Video yang dipaparkan pada ujian kali ini turut memperdengarkan sekali lagi bunyi enjin i30 yang begitu mengujakan – dengan bunyi letupan dihasilkan pada ekzos seperti pada video teaser pertamanya dahulu.

    Hyundai i30 N bakal didedahkan sepenuhnya September tahun ini di Frankfurt Motor Show. Dikhabarkan ia akan ditawarkan dalam dua versi iaitu 250 hp, dan yang paling berkuasa 275 hp diekstrak dari enjin 2.0 liter turbo. Ketika dilancarkan nanti, i30 N akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar jenis basah lapan-kelajuan.

    Setelah ia mula menerjah pasaran nanti, i30 N dijangka bakal memberikan tentangan sengit terhadap hot-hatch sekelasnya seperti Volkswagen GTi dan Ford Focus ST.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026