Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Scrambler Ducati Mach 2.0 dan Full Throttle 2017

    Scrambler Ducati Mach 2.0 dan Full Throttle 2017

    Ducati menggunakan acara Wheels and Waves di Biarritz, Perancis untuk memperkenalkan dua versi baru kepada Scrambler Ducati iaitu mach 2.0 dan grafik baru bagi Full Throttle. Grafik bagi dua motosikal ini dihasilkan oleh pereka motosikal kustom terkenal Amerika Syarikat iaitu Roland Sands. Dia juga sebelum ini pernah terlibar dalam penghasilan versi kustom bagi Ducati Panigale 1299 S dan X Diavel.

    Scrambler Mach 2.0 mendapat namanya daripada model Ducati Mach 1 250 tahun 1965, dan ia juga adalah sebuah Scrambler berkapasiti 250. Scrambler Mach 2.0 datang dengan pemegang aluminium yang rendah, tempat duduk Flat Track Pro, ekzos dan penutup head hitam, serta sirip penyejuk gaya cafe racer.

    Scrambler Ducati Mach 2.0 dan Full Throttle 2017

    Bagi Full Throttle pula, grafik tahun 2017 ini menampilkan warna “Shining Black” pada tangki dan mudguard hadapannya. Ia kemudiannya digabungkan dengan panel tepi tangki baru yang menggunakan rekaan chequerboard hitam dan jalur kuning.

    Kedua-dua motosikal ini tiba di Biarritz selepas meninggalkan ibu pejabat Ducati di Borgo Panigale, Itali pada 12 Jun, dan mengembara bersama Volkswagen Califonia Ocean dan Volkswagen Amarok. Amarok tersebut diubah suai untuk menjadi stesen radio bergerak yang menyiarkan podcast Radio Ducati Scrambler secara langsung.

    Di Malaysia, barisan Ducati Scrambler bermula dengan versi Scrambler Sixty2 400 cc yang dijual pada harga RM49,999. Model lebih besar yang menggunakan enjin 803 cc V-Twin yang terdiri daripada Urban Enduro, Classic, Full Throttle dan Icon pula dipasarkan bermula RM52,499.



     
     
  • Chevrolet S10 Trailboss dibawa ke Buenos Aires

    Chevrolet S10 Trailboss dibawa ke Buenos Aires

    Untuk acara Buenos Aires Motor Show tahun ini, Chevrolet telah memperkenalkan S10 Trailboss, iaitu sebuah model konsep yang diasaskan daripada trak pikap S10 (juga dikenali sebagai Colorado di pasaran lain). Seperti yang boleh dilihat pada namanya, trak konsep ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan untuk menguasai jalan offroad.

    Antara bahagian yang baru pada trak ini adalah bampar, skid plate, pemijak tepi, lengkuk roda yang gemuk, bull bar hadapan, palang besi belakang, kotak membawa barangan di belakang dan rak bumbung. Selain daripada itu, terdapat juga rim 18 inci dengan tayar offroad, lampu LED hadapan dan salur udara yang tinggi untuk menyampaikan udara kepada enin Duramax 2.8 liter berkuasa 193 hp dan 500 Nm yang digunakan.

    Walaupun nampak ganas di luar, trak ini masih mengekalkan keselesaan di dalam, di mana ia dilengkapi dengan tempat duduk kulit, pendingin hawa automatik, sistem hiburan MyLink (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), skrin sesentuh lapan inci dan sistem bunyi JBL.

     
     
  • Polis Kelantan pantau 6 lokasi berbahaya di negeri berkenaan bagi kurangkan kemalangan jalan raya

    Polis Kelantan pantau 6 lokasi berbahaya di negeri berkenaan bagi kurangkan kemalangan jalan raya

    Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan Aidilfitri ini, Polis Kelantan telah mengumumkan bakal membuat pemantaua di enam lokasi berbahaya di tiga jalan utama di negeri berkenaan.

    Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan, lokasi itu membabitkan Kilometer (KM) 311.1 dan 318.5 Jalan Kuala Krai – Gua Musang, KM 732 Jalan Rantau Panjang – Pasir Mas dekat Lubok Jong.

    Selain itu, di KM 290.2 Jalan Tanah Merah-Pasir Puteh hadapan JKR Machang, KM 37 Jalan Kota Bharu-Terengganu, KM 16.2 dan 16.8 Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah, laporan Bernama.

    “Kesemua lokasi itu akan dipantau anggota polis peronda supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat yang bermula semalam (18 Jun) hingga 2 Julai depan.

     
     
  • Perkhidmatan basikal sewa disediakan di KTM Subang

    Perkhidmatan basikal sewa disediakan di KTM Subang

    KTM Berhad kini memperkenalkan perkhidmatan basikal sewa di stesen KTM Subang Jaya. Ini membolehkan penumpang memanfaatkannya sebagai satu daripada pilihan untuk memudahkan pergerakan mereka di kawasan sekitar, lapor Bernama.

    Pengenalan perkhidmatan oBike, yang berdasarkan konsepn ‘perkhidmatan perkongsian basikal tanpa stesen’, akan memberikan kemudahan kepada pengguna bagi pergerakan jarak dekat mereka dari dan menuju stesen berkenaan. Keseluruhannya, 15 basikal akan disediakan kepada orang awam dan penumpang perkhidmatan komuter.

    “Matlamat kami menyediakan perkhidmatan ini adalah untuk memperkembangkan lagi rangkaian pengangkutan di antara destinasi. Kami juga yakin dengan langkah ini, KTMB dapat mempertingkatkan kemudahan bagi rangkaian pengangkutan di sekitar stesen kami,” ujar Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Khair Johari Ishak.

    “Pada masa yang sama, perkhidmatan seperti ini juga dapat mempromosi idea berkaitan hidup sihat dan pengangkutan mesra alam melalui kayuhan,” tambah beliau. KTM juga sudah mengenal pasti beberapa lagi stesen yang sesuai untuk diperkenalkan dengan perkhidmatan yang sama.

    Perkhidmatan basikal sewa disediakan di KTM Subang

    Menurut ketua oBike, Ng Yong Ching, penerimaan orang awam terhadap perkhidmatan ini sangat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan dua bulan lalu di Bandar Sunway. Untuk menggunakannya, anda hanya perlu memuat turun aplikasi oBike, yang membolehkan pengguna menempah atau mengetahui lokasi terdekat yang menyediakan perkhidmatan itu.

    Selepas itu, aplikasi berkenaan akan memaklumkan jarak dan masa yang diperlukan untuk pengguna berjalan ke lokasi basikal yang dipilih. Untuk membuka kuncinya, pengguna perlu mengimbas kod QR pada basikal menggunakan aplikasi sama.

    Selepas tiba di destinasi mereka, pengguna boleh meletakkan basikal di mana-mana ruang awam khusus untuk basikal dan pasukan bergerak oBike akan mengesan dan mengambil basikal itu melalui petunjuk GPS. Bayaran yang dikenakan ialah RM1 bagi setiap 15 minit. Jumlah itu akan dipotong daripada nilai yang pengguna ada dan tambah di dalam aplikasi berkenaan melalui kad debit atau kredit.

     
     
  • JPJ umum tujuh lokasi baharu bagi kamera AES

    JPJ umum tujuh lokasi baharu bagi kamera AES

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan tujuh lagi lokasi kamera Sistem Penguatkuasaan Automotik (AES) yang dipasang di kawasan panas baharu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

    Tujuh lokasi baharu terbabit adalah di KM 151.4 Lebuhraya PLUS-Pagoh, KM 299.9 Lebuhraya PLUS-Kampar, KM 17 Gua Musang-Kuala Krai, KM 96.3 Lebuhraya PLUS-Kuala Muda, KM 256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan KM 146.8 Lebuhraya PLUS-Pagoh.

    Selain itu, empat lagi kamera AES turut dipasang di persimpangan lampu isyarat, iaitu di KM 26 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar (Persimpangan Kg.Kerdah), Jalan Pasir Putih-Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian, Sentul) dan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu).

    Selain itu, lokasi yang turut tersedia dengan kamera AES sebelum ini termasuklah di KM 375.9 Lebuhraya PLUS-Slim River (arah Utara), KM 7 Jalan Maharajalela-Teluk Intan (arah ke Bagan Datoh), KM 91 Jalan Ipoh-Butterworth (arah ke Selatan), KM 85.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah Selatan), KM 204.6 Lebuhraya PLUS-Taiping (arah Utara), KM 6.6 SKVE (Puchong Ke Kajang), Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju PICC), Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC ke Kajang), KM D7.9 Sungai Besi, Kuala Lumpur (arah ke Selatan) dan KM 301.6 Lebuhraya PLUS-Kajang (arah ke Utara).

    Klik untuk besarkan

    Bagi pemahaman yang lebih jelas, JPJ turut menyebarkan garis panduan berhubung dengan Sistem Mata Demerit di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang dilaksanakan mulai 14 April lalu (sila rujuk carta di bawah).

    Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan lesen memandu seseorang boleh digantung apabila pemandu gagal mematuhi peraturan jalan raya dan memandu kenderaan bermotor secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

    Mahkamah juga boleh mengambil tindakan di bawah subseksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM20,000.

    Selain itu, individu yang disabit dengan kesalahan itu juga akan hilang kelayakan (digantung) daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dari tarikh sabitan dan hilang kelayakan (digantung) selama tempoh 10 tahun dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya.

    Klik untuk besarkan

     
     
  • Volkswagen Virtus – imej render model gantian Vento

    Volkswagen Virtus – imej render model gantian Vento

    Ketika mesyuarat tahunan Volkswagen yang berlangsung pada Mei lalu, syarikat itu mendedahkan garis masa bagi model baru yang dirancang akan diperkenalkan tahun ini. Antara yang terlibat ialah model Virtus, yang akan menggantikan Vento sebagai versi generasi seterusnya bagi Polo Sedan, dan dijangka akan masuk pasaran pada November nanti.

    Imej render digital ini boleh dijadikan bayangan bagaimana Virtus akan kelihatan nanti. Antara perkara yang dapat dilihat ialah beberapa bahagian yang mewarisi sentuhan dari model sedia ada – lampu belakang dari Jetta serta penampilan bahagian belakang yang mirip Passat, dan disesuaikan pada rekaan asal badan Polo Mk6 hatchback.

    Volkswagen Virtus – imej render model gantian Vento

    Virtus mungkin akan dimenggunakan platform MQB A0 yang turut digunakan pada Polo dan Seat Ibiza, dengan jarak antara roda yang lebih panjang daripada sebelum ini (2,564 mm pada Polo Mk6). Pilihan enjin pula mungkin akan melibatkan unit TSI petrol dan TDI diesel, dengan transmisi lima-kelajuan atau enam-kelajuan manual dan DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Jika Polo terbaru itu menjadi petunjukkan, Virtus juga akan dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Active Info Display generasi kedua oleh VW sendiri, sistem infotainmen dengan format skrin lebar, Adaptive Cruise Control, autonomous emergency braking (AEB), sistem tinjauan titik buta dan Park Assist.

    GALERI: Volkswagen Polo R-Line

     
     
  • Kamera AES tidak dipasang di Miri – Liow

    Kamera AES tidak dipasang di Miri – Liow

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, telah menafikan dakwaan sebuah akhbar berbahasa Cina yang melaporkan tiga kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah dipasang di tiga lokasi berbeza di Miri, Sarawak, tahun ini.

    Menurut laporan Bernama, Liow berkata, hanya tujuh lokasi baharu telah dipilih sebagai lokasi bagi AES.

    “Laporan terbabit menyatakan sebanyak 831 unit kamera telah dipasang di seluruh negara, termasuk 18 unit di Sarawak, namun itu adalah tidak benar,” ujarnya sambil menambah tiada angka yang spesifik untuk kamera itu akan dipasang.

    Menteri tersebut turut menafikan laporan akhbar berkenaan yang menyatakan AWAS mengambil alih seluruh penguatkuasaan kesalahan trafik dari polis. Sebaliknya berkata, kedua-dua sistem Kejara dan AWAS diletakkan di bawah penyeliaan polis.

     
     
  • MEX tawar tol percuma sempena Aidilfitri ini

    MEX tawar tol percuma sempena Aidilfitri ini

    Maju Expresway Sdn Bhd (MEX) telah mengumumkan pemberian tol secara percuma kepada semua pengguna Lebuhraya MEX sempena Aidilfitri ini.

    Menurut MEX, tol percuma itu bakal dinikmati oleh lebih 86,000 kenderaan semua kelas bermula bermula 12 pagi sehingga 11.59 malam pada 25 Jun ini.

    Untuk maklumat lanjut mengenai tol percuma dan laporan trafik, orang ramai boleh mendapatkannya menerusi twitter di @MEXTraffic, Facebook – MEX Traffic atau di Hotline MEX di 03-83159111.

     
     
  • 5,000 bas ekspres diluluskan beroperasi sempena Aidilfitri ini, penguatkuasaan intensif bermula – SPAD

    5,000 bas ekspres diluluskan beroperasi sempena Aidilfitri ini, penguatkuasaan intensif bermula – SPAD

    Bagi yang ingin pulang ke kampung dengan menaiki bas ekspres, mungkin tidak perlu risau (andai masih ada lagi tiket bas) kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah meluluskan kira-kira 5,000 bas ekspres beroperasi untuk musim perayaan Aidilfitri ini.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah, ini termasuklah 93 bas tambahan, laporan Bernama.

    Katanya lagi, kesemua bas ekspres itu sudah melalui pemeriksaan terperinci sebelum dibenarkan beroperasi, termasuk rekod pemandu bas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

    “Sebelum meluluskan pengoperasian bas ekspres tersebut, kami sudah mengadakan taklimat kepada pemandu-pemandu bas ekspres dan mereka memberi jaminan untuk memandu secara berhemah ketika berada di jalan raya. Ia bagi memastikan kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan bas ekspres dikurangkan terutamanya ketika musim perayaan,” katanya kepada pemberita semalam.

    Mohd Azharuddin berkata sebagai langkah proaktif, pihaknya telah memulakan penguatkuasaan secara intensif selama 21 hari bersama PDRM, JPJ, JKJR dan pihak penguat kuasa lebuh raya yang bermula 12 Jun lalu hingga 2 Julai.

    5,000 bas ekspres diluluskan beroperasi sempena Aidilfitri ini, penguatkuasaan intensif bermula – SPAD

    “Antara operasi yang dilaksanakan ialah audit penguatkuasaan terhadap rekod sistem pengesan global kenderaan, operasi penyamaran, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan kamera litar tertutup di Pusat Operasi Lebuh raya.

    “Seramai 384 pegawai penguat kuasa SPAD turun padang menjalankan operasi itu termasuk pemeriksaan di kaunter-kaunter tiket dan dokumen di 40 terminal bas seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata SPAD tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang terhadap pengendali bas ekspres yang didapati cuai dalam pengurusan operasi.

    “Kami akan memberi lebih penekanan terhadap syarikat-syarikat bas ekspres yang pernah mempunyai rekod gantung terutamanya dari segi sikap para pemandu dan keadaan bas ekspres. Bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan, lesen pengendali syarikat bas boleh digantung atau dibatalkan,” katanya.

    Mohd Azharuddin berkata tindakan bersepadu sedemikian berjaya menurunkan aduan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang lalu daripada 70 tahun lepas kepada 41.

    “Pada Tahun Baharu Cina 2017 juga hanya 127 kesalahan direkodkan berbanding 248 bagi tahun 2016,” katanya.

     
     
  • Formula baru untuk menentukan harga runcit bahan api akan dibincang dan diumumkan minggu depan

    Formula baru untuk menentukan harga runcit bahan api akan dibincang dan diumumkan minggu depan

    Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa formula baru bagi menentukan harga runcit bahan api akan diumumkan minggu depan. Bernama melaporkan, beliau berkata langkah itu diambil untuk memastikan kestabilan industri minyak domestik.

    Kementerian berkekenaan akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak terlibat dalam indsutri minggu depan untuk membincangkan formula yang dapat memanfaatkan semua. “Kita bersimpati dengan pengusaha stesen minyak yang mengalami kerugian ketika harga minyak jatuh.

    “Mereka (pengusaha stesen minyak) merasakan bahawa mereka menjadi mangsa (jika harga minyak turun),” jelasnya. Beliau turut akan mengajukan cadangan agar kerajaan membantu pengusaha stesen minyak memandangkan mereka menjadi kelompok yang paling terkesan dengan situasi harga minyak yang tidak menentu.

    Beberapa minggu ini, harga minyak semakin menurun. Rabu lalu, harga bahan api rata-ratanya menurun sebanyak tujuh sen. Sejak 1 April lalu, harga runcit bahan api petrol RON 95, RON 97 dan diesel ditentukan secara mingguan.

     
     
  • Volkswagen Polo Mk6 2017 – dapat platform MQB, Paparan Info Aktif, AEB dan Kawalan Kelajuan Aktif

    Volkswagen Polo Mk6 2017 – dapat platform MQB, Paparan Info Aktif, AEB dan Kawalan Kelajuan Aktif

    Volkswagen Polo Mk6 telah pun diperkenalkan di peringkat dunia secara rasminya. Kehadiran Polo serba baharu dari generasi ke-enam ini dikatakan lebih besar, lebih baik dan lebih maju berbanding model sebelumnya. Daripada segi imej luaran, dalaman, praktikaliti hinggalah ke sistem keselamatan aktif, Polo MK6 ini diberi peningkatan yang lebih signifikan, sesuai dengan aliran zaman.

    Bermula dengan imejnya, Polo ini kelihatan lebih segar dan berbeza daripada rekaan tipikal Volkswagen. Pada bahagian hadapannya, gril dan lampu utama (kini dengan pilihan unit LED) telah ditempatkan bawah sedikit, di mana Volkswagen berkata ia adalah rekaan baharu yang tersendiri bagi Polo.

    Selain itu, bahagian belakangnya diserlahkan pula dengan lampu LED yang dipanjangkan, membentuk imej tiga-dimensi. Kini Polo hanya boleh didapati dengan kerangka lima-pintu sahaja, berbanding pilihan tiga-pintu seperti sebelum ini.

    Volkswagen Polo Mk6 2017 – dapat platform MQB, Paparan Info Aktif, AEB dan Kawalan Kelajuan Aktif

    Varian Trendline, Comfortline dan Highline kini turut ditambah dengan Beats iaitu model edisi istimewa (dengan logo unik dan sistem audio yang dipertingkatkan), model yang lebih sporty bagi R-Line, sebenarnya lebih sporty berbanding varian Polo GTI sendiri.

    Langkah menggunakan platform MQB sepenuhnya merupakan perubahan terbesar yang dilakukan, dengan jarak roda yang kini dipertingkatkan sebanyak 94 mm. Manakala panjang juga telah ditambah melebihi empat meter (4,053 meter) buat pertama kami, Volkswagen telah membandingkannya dengan Golf Mk4. Rujuk jadual di bawah untuk melihat perbandingan antara Golf 1997 dan Polo Mk5

    Malah secara tidak langsung turut memberikan lebihan ruang yang luas dan kapasiti but yang lebih besar – kini 25% lebih besar menjadi 351 liter, daripada 280 liter. Jarak roda yang lebih panjang ini juga menyumbangkan keselesaan pemanduan yang dipertingkatkan, menurut Volkswagen.

    Volkswagen Polo Mk6 2017 – dapat platform MQB, Paparan Info Aktif, AEB dan Kawalan Kelajuan Aktif

    Di bahagian dalamnya, juga kelihatan suntikan kosmetik yang lebih besar. bentangan papan pemuka menegak digantikan dengan binaan melintang yang lebih segar. Malah ia juga digandingkan dengan 13 pad pemuka berwarna dan 11 pilihan balutan tempat duduk.

    Lain-lain elemen baharu yang dipertaruhkan termasuklah Paparan Info Aktif generasi kedua, yang diperkenalkan pada Polo ini. Selain itu. panel instrumen digital turut menampilkan lebih banyak informasi, struktur logika dan paparan yang lebih jelas. Pengguna juga boleh ‘menarik’ fungsi pada sistem infotainmen tengah ke skrin Paparan Info Aktif. Turut didatangkan pengecas tanpa wayar untuk kegunaan telefon bimbit pintar.

    Bagi keselamatan dan teknologi pula, Polo baharu ini merima Bantuan Hadapan bagi sistem pemantauan dengan Brek Kecemasan Bandar dan Pemantauan Pejalan kaki – standard untuk semua model Eropah. Manakala sistem Kawalan Kelajuan Adaptif ditawarkan sebagai pilihan, dengan fungsi Stop & Go. Selain itu, Pengesan Titik Buta dan Kepekaan Trafik Belakang, juga Bantuan Parkir dan fungsi pengendalian brek turut ditampilkan.

    Bagi pasaran Eropah, enam pilihan enjin ditawarkan, iaitu 1.0 TGI dengan 90 PS (dengan gas asli), 1.0 MPI dengan 65 PS atau 75 PS, 1.0 TSI (95 PS atau 115 PS), 1.5 TSI Evo (150 PS), 2.0 TSI (200 PS – bagi Polo GTI), 1.6 TDI diesel (80 PS atau 95 PS), berserta pilihan kotak gear manual lima/enam-kelajuan dan DSG dwi-klac tujuh-kelajuan.

    Di Jerman, model asas Volkswagen Polo Mk6 dijual pada harga bermula 12,975 euro (RM62k), di mana Volkswagen mendakwa ia adalah harga yang lebih signifikan berbanding model terdahulu dengan larasan pilihan standard.

    GALERI: Volkswagen Polo R-Line

    GALERI: Volkswagen Polo Beats

    GALERI: Lakaran Volkswagen Polo Mk6

     
     
  • Volkswagen Polo GTI Mk6 – 2.0 TSI berkuasa 200 PS

    Volkswagen Polo GTI Mk6 – 2.0 TSI berkuasa 200 PS

    Serentak dengan pengenalan rasmi Volkswagen Polo Mk6, pengeluar kenderaan dari Jerman tersebut turut memperkenalkan sekali varian paling berkuasa hatchback segmen-B tersebut – Polo GTI Mk6. Berbeza dengan generasi sebelum, GTI Mk6 hanya tampil dengan bentuk badan lima-pintu dan tiada lagi model tiga-pintu.

    Jika kebanyakkan pengeluar masih lagi meneruskan trend pengecilan kapasiti enjin – saingan terdekat Polo GTI iaitu Ford Fiesta ST misalnya yang kini dijana enjin tiga silinder 1.5 liter turbo berbanding enjin empat silinder 1.6 liter turbo sebelum itu – Volkswagen melakukan perkara sebaliknya untuk Polo GTI generasi baharu ini.

    Enjin 1.8 liter turbo berkuasa 192 PS pada model terdahulu tidak lagi digunakan, tetapi digantikan dengan enjin 2.0 liter TSI menjana 200 PS. Untuk pasaran Eropah, enjin tersebut diberikan dua pilihan transmisi, sama ada manual enam-kelajuan atau klac berkembar DSG automatik tujuh-kelajuan. Walau bagaimanapun, angka-angka prestasi rasmi model ini masih belum diumumkan VW.

    Polo Mk6 dibina berasaskan platform modular MQB yang telah dipendekkan. Dengan dimensi yang lebih panjang dari Mk5, model generasi baharu ini menampilkan bentuk badan yang lebih rendah dan sporty. Selain itu, ia turut dibina lebih lebar, manakala jarak rodanya kini 94 mm lebih panjang dari sebelum ini. Buat pertama kali, Polo GTI diberikan pilihan penyerap hentak aktif Sport Select.

    Untuk penampilan, model baharu ini masih diberikan ‘baju seragam’ tradisional GTI yang terdiri dari bampar hadapan rekaan tersendiri dengan gril ‘sarang lebah’, jalur merah pada gril yang bersambung pada jalur di dalam lampu hadapan LED, spoiler belakang lebih besar, tip ekzos berkembar serta lencana-lencana GTI turut dipadankan pada tempat-tempat yang sepatutnya.

    Selain itu, Polo GTI Mk6 turut diberikan rim aloi baharu dengan diameter lebih besar dari sebelum ini (kini 18-inci). Manakala angkup-angkup brek disebalik rim-rim berkenaan pula diberikan kemasan berwarna merah untuk menyerlahkan imej prestasinya.

    Begitu juga pada bahagian dalaman, model generasi baharu ini masih menampilkan fabrik dengan elemen tartan Clark yang ikonik terhadap lencana GTI VW. Kabin hatchback ini turut diberikan roda stereng sport dengan serlahan jahitan berwarna merah, kemasan bumbung berwarna hitam serta tombol gear GTI.

    Ciri lain yang turut diberikan termasuk paparan instrumen digital Active Info Display generasi kedua dan juga sistem pemantau bahagian hadapan Front Assist yang bersepadu dengan brek kecemasan automatik serta Cruise Control aktif. Perincian lanjut berkenaan hot-hatch kompak ini akan diumumkan kemudian oleh pihak VW dari masa ke masa.

     
     
  • Honda CR-V 2017 – bagaimana ciri keselamatan Honda Sensing berfungsi dan dapat membantu pemanduan

    Honda CR-V 2017 – bagaimana ciri keselamatan Honda Sensing berfungsi dan dapat membantu pemanduan

    Setakat ini, telah banyak juga maklumat dan perincian berkaitan Honda CR-V 2017 yang sudah kita ketahui. Walaupun masih belum dilancarkan secara rasmi di sini (jangka dilakukan dalam masa terdekat, mungkin selepas Hari Raya nanti), SUV paling popular keluaran Honda ini sudah pun dibuka untuk tempahan sejak 1 Jun lalu.

    Semalam, wakil media tempatan berkesempatan mengikuti satu sesi pandu uji ringkas menjelang pelancaran model berkenaan. Dan, di dalam sesi ini, lebih banyak maklumat didedahkan secara rasmi, antaranya tentang perbezaan tingkat penawaran, perkara yang membezakan enjin 1.5L Turbo antara CR-V ini dan Civic serta yang paling utama, pengenalan ciri keselamatan Honda Sensing yang pertama kali ditawarkan oleh mana-mana model Honda di Malaysia.

    Selain itu, kami turut berpeluang untuk memandu uji CR-V versi lama untuk mengetahui perbezaan – jika ada – bagi aspek pengendalian serta prestasi pemanduan yang ditawarkan di antara keduanya. Adakah terdapat banyak perbezaan yang ketara? Semua ini merupakan perkara yang akan dihuraikan sebaik mungkin di dalam artikel ini.

    Seperti yang kita sedia maklum, selain daripada varian dengan enjin 2.0L, Honda CR-V 2017 turut akan diperkenalkan dengan pilihan enjin 1.5L Turbo VTEC bagi varian yang lebih tinggi. Ini bukan kali pertama enjin turbo berkenaan ditawarkan di sini; model Civic yang dijual sekarang turut menggunakan enjin sama.

    Honda CR-V 2017 – bagaimana ciri keselamatan Honda Sensing berfungsi dan dapat membantu pemanduan

    Namun, menurut Honda, walaupun unit enjinnya sama, terdapat perubahan yang dilakukan terhadapnya untuk disesuaikan dengan kegunaan CR-V. Yang dimaksudkan ialah unit pengecas turbo yang digunakan adalah berbeza, dengan kadar desakan atau boost yang lebih tinggi.

    Ia memboleh Honda CR-V 2017 menghasilkan sebanyak 193 PS kuasa, dengan 243 Nm tork maksimum. Manakala angka janaan yang dihasilkan pada model Civic adalah sedikit lebih rendah, iaitu 173 PS dan 220 Nm bagi janaan maksimum yang mampu diberikan.

    Dengan enjin berkenaan, prestasi Honda CR-V 2017 generasi kelima ini bahkan lebih baik berbanding prestasi model CR-V 2.4L yang ada sebelum ini. CR-V 2.4L generasi ke-empat menjana sebanyak 190 PS kuasa dan 222 Nm tork. Walaupun angka berkenaan tidak banyak beza, tetapi hanya dengan menggunakan enjin 1.5L bagi mendapatkan apa yang sebelumnya dicapai dengan enjin 2.4L itu sahaja sudah sangat bermakna sebenarnya, apa lagi ia diguna untuk “menarik” sebuah SUV lima-tempat duduk.

    Adakah ini bermaksud prestasi pemanduan Honda CR-V 2017 dengan 1.5L Turbo VTEC lebih baik daripada model 2.4L yang sebelumnya. Ketika memandu kedua-duanya semalam, apa yang dapat disimpulkan ialah memang terdapat berbezaan dari segi penyampaian kuasa dan kendalian di antara keduanya.

    Honda CR-V 2017 – bagaimana ciri keselamatan Honda Sensing berfungsi dan dapat membantu pemanduan

    Ada tiga perkara yang diuji; daya pecutan, keberkesanan membrek dan ketiga laluan slalom untuk merasakan ketangkasan kendalian stereng pada model ini. Dari pemerhatian ringkas yang sempat kami nilai, versi terbaru CR-V 2017 dengan enjin 1.5L Turbo ini memiliki banyak kelebihan.

    Dari segi pecutan, ia tidak terasa terbeban ketika pedal ditekan habis dari keadaan pegun. Penyampaian kuasanya juga lebih lancar dan cepat. Breknya juga mencengkam dengan kadar dan kecepatan yang meyakinkan. Dalam keadaan brek kecemasan, hazard light turut akan menyala beberapa saat selepas kenderaan berhenti.

    Kawalan stereng pada CR-V 2017 ini juga lebih ringan berbanding model sebelumnya. Disebabkan itu, ia lebih mudah dikawal, dengan input stereng yang terperinci serta tepat, hanya sedikit pergerakan dan dorongan pada tangan sudah memadai untuk mengemudi kereta ini, termasuk ketika melalui halangan laluan slalom.

    Bukan sahaja faktor pemanduan yang menjadi lebih baik; varian tertinggi 1.5L Turbo Premium juga buat pertama kalinya akan dilengkapi dengan kelengkapan dan teknologi keselamatan termaju yang dikenali sebagai Honda Sensing. Dari aspek ini, Honda menjadi pelopor untuk memperkenalkan ciri-ciri seperti ini pada kenderaan penumpang yang lebih menyeluruh. Sebelum ini, ciri seperti ini hanya dilengkapi pada model-model premium sahaja, misalnya yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz dan Volvo.

    Apa sebenarnya Honda Sensing ini? Sistem keselamatan ini terdiri daripada tiga bahagian utama; ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan. Ini dikendalikan menggunakan dua peranti; kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan, di bawah logo pada gril.

    Bagi bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna. Ia terdiri daripada dua ciri lain, dikenali dengan nama Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low Speed Follow (LSF). Kedua-dua ciri ini sempat kami cuba sendiri. ACC berfungsi untuk mengekalkan jarak serta kelajuan selamat dengan kenderaan di depan, dalam julat kelajuan 30 km/j hingga 180 km/j.

    Bagi LSF pula, sekiranya dalam keadaan lalu lintas sesak dengan pergerakan Start/Stop yang kerap, sistem ini membolehkan CR-V mengikut kenderaan di hadapan juga dengan jarak yang selamat. Sekiranya kereta di depan bergerak, CR-V ini juga akan bergerak. Dan, sekiranya kereta depan berhenti sepenuhnya selepas itu, CR-V turut akan mengikut secara automatik. Ini memberi ruang kepada pemandu untuk berehat sedikit dalam keadaan trafik sesak.

    Bagi penghindaran perlanggaran sisi, ia terdiri daripada tiga sistem; Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist (LKAS). Semua ini pula berfungsi di atas faktor keselamatan. LDW akan memberi amaran sekiranya kenderaan anda didapati semakin menghampiri garisan jalan.

    Sekiranya masih tiada input dari pemandu RDM akan diaktifkan – stereng akan digegarkan sedikit. Sekiranya masih tiada tindak balas dari pemandu, sistem akan mengawal stereng untuk mengembalikan kenderaan ketengah. Untuk memahami situasi ini, bayangkan pemandu sedang mengantuk atau mungkin tertidur ketika memandu.

    Sistem ini bertujuan untuk menyelamatkan keadaan – di dalam julat kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. LKAS pula hadir sebagai ciri bantuan kepada pemandu. Apa yang dilakukan ialah mengekalkan kenderaan ditengah jalan di antara dua garisan putih.

    Bagi penghindaran perlanggaran berdepan pula, dua sistem tersedia; Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking Sistem (CMBS). FCW akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan berada dalam jarak tidak selamat dengan kereta hadapan.

    Sementara CMBS pula akan membrek kenderaan anda sekiranya ia menjangkakan kemalangan akan berlaku. Walaupun sistem ini mampu untuk membrek sepenuhnya, ia sebetulnya direka untuk mengurangkan impak ketika kemalangan.

    Honda bagaimanapun menegaskan, pakej keselamatan Honda Sensing ini disediakan hanya sebagai ciri bantuan kepada pemanduan, dan pemandu tidak seharusnya bergantung kepada sistem-sistem yang ada ini semata-mata. Pada setiap masa ketika di atas jalan raya, pemandu tetap bertanggungjawap sepenuhnya terhadap pemanduan dan keselamatan sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

    Honda CR-V 2017 1.5L Turbo 2WD

    Honda CR-V 2017 1.5L Turbo Premium

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bulan Mei meningkat 18%

    MAA: Jualan kenderaan bulan Mei meningkat 18%

    Jumlah jualan kenderaan sentiasa ada turun dan naiknya. Bagi tahun ini, dua bulan pertama mencatat penurunan sebanyak masing-masing 31% dan 5% untuk bulan Januari dan Februari, tetapi pada bulan Mac ia menunjukkan peningkatan 26.5%, seterusnya pada bulan April turun kembali 20%. Kini dengan sudah memasuki bulan Jun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan data jumlah jualan bagi bulan Mei, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 18%.

    Peratusan ini ini menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, 44,034 buah kenderaan penumpang dijual pada bulan Mei, dan ini adalah 7,854 lebih tinggi berbanding bulan April 2017. Jika dibandingkan pula dengan bulan sama pada tahun 2016, jumlah ini adalah 13% lebih tinggi. Kenderaan komersial pula mencatat tambahan jualan 334 unit menjadi keseluruhan 3,440 unit untuk bulan Mei.

    Melihat pula kepada jualan pada tahun 2017, sehingga bulan Mei, jumlah yang dicatat adalah 206,859 unit. Ini sebenarnya adalah tidak jauh beza dengan jumlah yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 205,265 unit.

    Peningkatan jumlah jualan ini, menurut MAA adalah dipacu oleh musim perayaan yang semakin dekat dan pelancaran model kenderaan baru. Ia juga dijangka berterusan untuk bulan Jun atas sebab yang sama, ditambah pula jumlah hari bekerja pada bulan Jun lebih pendek kerana sambutan Hari Raya.

     
     
  • Honda Civic Type R AS #01 dijual pada harga US$200k

    Honda Civic Type R AS #01 dijual pada harga US$200k

    Peminat Honda Civic Type R ada di mana-mana sahaja, termasuk di Amerika Syarikat (AS), dan kemasukan model baru ini ke sana menandakan kembalinya Honda Type R ke negara itu, sejak kali terakhir adalah melalui Acura Integra Type R pada tahun 90-an.

    Baru-baru ini, Honda bekerjasama dengan Bring a Tailor untuk melelong Civic Type R spesifikasi AS (#01) pertama negara itu. Kereta tersebut (di dalam gambar) menggunakan warna Aegean Blue Metallic, dengan rim hitam dan selingan garisan serta kemasan merah. Satu perkara yang penting, sudah tentu adalah lencana di bawah tombol gear, yang tertulis “R-00001,” dan plet VIN.

    Sememangnya, unit ini mendapat tarikan ramai. Selepas beberapa hari diletakkan untuk lelongan, pemenangnya disiarkan dan harga yang dibayar adalah US$200,000, bersamaan RM855,690 jika ditukar terus ke Ringgit Malaysia. Jumlah ini adalah hampir tujuh kali ganda daripada harga asalnya iaitu US$33,900 (RM145,041). Jumlah yang didapati daripada lelongan ini turut akan disumbangkan kepada badan amal.

     
     
  • Subaru atasi Audi bagi jualan kenderaan AWD global

    Subaru atasi Audi bagi jualan kenderaan AWD global

    Tahun kewangan antara April 2015 hingga April 2016, Subaru telah menjual sebanyak 965,892 unit kenderaan pacuan semua-roda (AWD), iaitu merangkumi 15.2% bagi keseluruhan pasaran global, sekaligus meletakkan jenama dari Jepun ini mendahului Audi, menurut laporan Autocar. Jaguar Land Rover pula menduduki tangga kelima di pasaran dunia dalam kategori yang sama.

    Subaru Corporation, sebelum ini dikenali sebagai Fuji Heavy Industries memiliki pelbagai cabang perniagaan, termasuklah 94% daripada pendapatannya datang dari bahagian automotif, dan 4.7% pula dari bahagian aero angkasa. Di Amerika Syarikat yang merupakan pasaran paling penting buat Subaru, ia meliputi 60% angka bagi jualan seluruh global.

    Secara domestik, Subaru dikenali dengan pengeluaran kei car, termasuk Subaru 360. Kemudian syarikat ini mengeluarkan kenderaan pacuan semua-rodanya yang pertama iaitu station wagon Subaru Leone, yang kemudiannya menjadi kenderaan pacuan semua-roda terbaik dunia dan diikuti dengan model yang cukup popular iaitu Subaru Legacy sedan dan wagon pada tahun 1989.

    Subaru atasi Audi bagi jualan kenderaan AWD global

    Walau bagaimana pun, jenama ini kurang menyerlah di Eropah dengan hanya 50,000 unit kenderaan setahun, iaitu kurang daripada pencapaian bagi pasaran USA dalam sebulan. Manakala di United Kingdom pula, jualan tahunannya hanya di bawah 4,000 unit sahaja.

    Di pasaran USA, jualannya melonjak pada tahun 2016, dengan sejumlah 615,000 unit. Subaru yang memiliki kilang di Indiana, memproduksikan sejumlah 400,000 unit sehingga hujung tahun ini, dan mensasarkan sebanyak 436,000 unit setahun pada 2019.

    Kejayaan Subaru disumbangkan dengan barisan kenderaan bentangan AWD hingga ke normal, termasuk enjin boxer empat-silinder (sesetengah model dengan enam-silinder) dan satu platform untuk semua model dari XV hinggalah ke SUV tujuh-tempat duduk.

    Subaru atasi Audi bagi jualan kenderaan AWD global

    Lapan model Subaru dibangunkan dengan binaan asas yang sama, kini di bawah produksi bagi XV baharu dan Crosstrek, dengan SUV Ascent yang dijangka bakal diperkenalkan tahun hadapan, menurut laporan tersebut. Di mana model sedia ada akan mengadaptasi platform baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

    Autocar juga membuat spekulasi bahawa Subaru bakal membina crossover janaan semua-elektrik dengan saiz yang sama seperti Forester menjelang 2021, menurut piawaian California yang mahukan syarikat ini menghasilkan kenderaan elektrik, iaitu piawaian yang lebih sama dengan beberapa kawasan di USA. Model crossover EV berkenaan dijangka akan menggunakan platform sedia ada.

    Di bawah Pelan Perancangan 2020 Subaru, syarikat ini turut menyasarkan mampu memproduksi lebih daripada 1.2 juta unit kenderaan setahun dalam tempoh dekad ini berakhir, dan juga mahu menjadi “nombor satu dalam kepercayaan pelanggan” serta mendahului keberuntungan syarikat. Dalam tiga bulan terakhir 2016, keuntungan operasi dicatatkan melebihi £1 bilion (RM5.5 bilion), dengan margin keuntungan sebanyak 18.4%.

     
     
  • Peugeot 3008 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi

    The SUV that took the world by storm is coming soon. Stay tuned because you don't want to miss this.

    A post shared by Peugeot Malaysia (@peugeotmalaysia) on

    Peugeot Malaysia telah menyiarkan teaser menerusi akaun Instagram rasmi mereka, mengumumkan model 3008 generasi kedua, yang dipertontonkan di peringkat dunia di Paris tahun lalu, yang sebelum ini dilaporkan akan tiba di Malaysia suka kedua 2017.

    Walau bagaimana pun, setakat ini tiada perincian rasmi diumumkan, namun 3008 baharu ini dijangka akan dilengkapi enjin petrol 1.6L THP 165 S&S dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Berdasarkan spyshot 3008 di Malaysia sebelum ini, varian Allure juga bakal ditawarkan.

    Banyak elemen yang boleh menarik perhatian, antaranya adalah bahagian dalam yang lebih premium, rekaan papan pemuka i-Cockpit yang lebih maju, bahan binaan baru dan kemasan yang boleh mengatasi tahap pada beberapa kenderaan mewah lain.

    Selain itu, ia turut dilengkapi skrin sesentuh lapan-inci di tengah, suis seperti kekunci piano untuk kawalan radio, suhu, navigasi, parameter kenderaan, telefon dan aplikasi mudah alih. Namun begitu, yang paling menyerlah adalah skrin paparan 12.3-inci resolusi tinggi yang melengkapkan panel instrumennya.

    GALERI: Peugeot 3008

     
     
  • Honda CR-V 2017 – 4 varian, 5-tempat duduk sahaja

    Honda CR-V 2017 – 4 varian, 5-tempat duduk sahaja

    Sebelum pelancaran secara rasminya yang dijangka berlangsung pada Julai ini, Honda Malaysia telah pun mendedahkan dua varian utama yang bakal ditawarkan iaitu 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L natural-aspirated bagi SUV CR-V generasi kelima ini, walau bagaimana pun, tidak dinyatakan secara spesifik berapa jumlah varian yang bakal ditawarkan serta perincian lanjut mengenainya.

    Namun difahamkan, Honda CR-V 2017 ini yang sudah dibuka tempahannya, bakal ditawarkan dengan tiga varian turbo, dengan model spesifikasi tertinggi 1.5L VTEC Turbo 2WD yang dilengkapi Lanewatch dan Honda Sensing. Namun kedua-dua teknologi terbabit tidak ditawarkan bagi varian kedua tertinggi iaitu 1.5L Turbo AWD (seperti mana yang didedahkan di Kota Kinabalu hujung minggu lalu).

    Manakala varian ketiga pula, 1.5L Turbo 2WD pula telah didedahkan dalam acara khas yang turut mendedahkan fungsi dan kegunaan Honda Sensing, yang berlangsung semalam. Manakala varian paling asas, 2.0L i-VTEC 2WD, pula telah dipertontonkan di Pulau Pinang dua minggu lalu. Namun demikian, varian 2.0 liter 4WD tidak ada tanda-tanda akan menyertai barisan CR-V 2017 di negara ini. Jika ada, barisan CR-V 2017 ini akan ada lima varian untuk Malaysia.

    Honda CR-V 2017 – 4 varian, 5-tempat duduk sahaja

    Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter direct injection turbocharged, dengan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm, manakala model asas akan mengekalkan enjin NA 2.0 liter sama, dengan kuasa 155 PS dan 190 Nm. Kedua-dua model mendapat transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri, menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.

    Selain itu, Honda Malaysia telah mengesahkan semua barisan CR-V 2017 untuk pasaran Malaysia hanya didatangkan dengan versi lima-tempat duduk.

    Menurut sumber dari Honda Malaysia, versi tujuh-tempat duduk tidak dibawa masuk ke pasaran tempatan, selepas kaji selidik dilakukan. Di mana pembeli dalam pasaran sasaran berpendapat tempat duduk ekstra bukanlah sebab utama yang perlu dipertimbangkan. Ini kerana, ruang yang lebih luas lebih diberi keutamaan, maka sebab itulah pasaran kita hanya menerima model lima-tempat duduk sahaja.

    Honda CR-V 2017 1.5L Turbo Premium

    Honda CR-V 2017 1.5L 2WD

     
     
  • GALERI: Perbandingan Honda CR-V 1.5 VTEC Turbo generasi baharu dan 2.4 DOHC i-VTEC generasi lama

    GALERI: Perbandingan Honda CR-V 1.5 VTEC Turbo generasi baharu dan 2.4 DOHC i-VTEC generasi lama

    Awal bulan ini, Honda Malaysia (HM) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Honda CR-V generasi kelima telah pun dibuka. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi, HM telah menjemput media permotoran tempatan untuk meninjau lebih dekat SUV generasi baharu berkenaan bersama model generasi keempat sedia ada. Mengambil kesempatan tersebut, kami sediakan anda galeri perbandingan antara kedua-dua generasi CR-V ini.

    Model 2017 berwarna perak yang dipaparkan ini merupakan dari varian 1.5L Turbo Premium 2WD – dijangka model generasi baharu berkenaan bakal dilancarkan dalam lima varian. Manakala CR-V generasi keempat yang berwarna putih pula merupakan varian tertinggi dalam barisan model iaitu 2.4 i-VTEC 4WD.

    Untuk pengetahuan anda, setiap generasi CR-V di bina menggunakan platform yang sama dengan Civic sezamannya. Oleh itu, jika dilihat dari hadapan, CR-V 2017 kelihatan lebih lebar dari model sebelum ini, terutamanya pada bahagian ruang roda. Model generasi baharu berkenaan juga diberikan lampu hadapan LED, bar krom lebih besar pada gril atas dan juga lampu kabus LED baharu.

    Honda CR-V 2017 turut membawa pakej keselamatan Honda Sensing ke pasaran Malaysia buat pertama kali. Jadi dapat dilihat model generasi baharu berkenaan dilengkapi dengan kamera monokular yang diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan bagi mengoperasikan pakej sistem keselamatan berkenaan.

    Kedua-dua SUV ini masih lagi menampilkan bayangan badan yang agak seiras jika dilihat dari bahagian sisi, namum model generasi baharu diberikan cermin sisi bahagian belakang yang lebih besar. CR-V 2017 juga diberikan rim aloi baharu berdiameter 18-inci, bersama kemasan jalur krom yang diletakkan pada panel pelindung sisi badan.

    Namun, kedua-dua model ini direka dengan sangat berlainan pada bahagian belakang. Berbanding model lama yang diberikan lampu belakang menegak, model generasi baharu direka dengan gabungan menegak dan melintang pada bahagian bawah, yang turut bersambung kepada pintu tailgate.

    Pratikaliti pada model baharu ini juga dilihat dipertingkatkan di mana butang pembuka pintu tailgate direndahkan lagi bagi memudahkan ia dibuka, membawa sekali ruang nombor pendaftaran dan kamera undur ke posisi lebih rendah. Seperti juga Civic FC turbo, CR-V turbo baharu ini juga diberikan dua corong tip ekzos.

    Untuk model 1.5L generasi baharu, ia dijana oleh enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 193 PS/243 Nm (20 PS/23 Nm lebih berkuasa dari enjin yang sama pada Civic). Enjin tersebut digandingkan bersama transmisi automatik CVT Earth Dreams. Sebagai perbandingan, enjin NA 2.4 liter DOHC i-VTEC pada model lama hanya menghasilkan 190 PS dan tork maksima 222 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik konvensional lima-kelajuan.

    Menurut Honda Malaysia, CR-V 2017 pasaran Malaysia masih lagi mengekalkan konfigurasi lima-tempat duduk sama seperti generasi sebelum ini (versi Indonesia menerima pilihan tujuh-tempat duduk) berikutan hasil tinjauan pada pasaran tempatan yang lebih suka ruang kargo yang besar berbanding dua tempat duduk tambahan. Walau bagaimanapun, HM masih lagi belum memberi kebenaran untuk menyiarkan bahagian dalaman SUV generasi baharu ini sehingga ia dilancarkan nanti. Jadi, teruskan bersama kami untuk perkembangan selanjutnya.

    Honda CR-V 2017 1.5L 2WD Turbo Premium (generasi kelima)

    Honda CR-V 2.4 4WD i-VTEC (generasi keempat)

     
     
  • Lexus CT 200h 2018 – gaya, teknologi diperbaharui

    Lexus CT 200h 2018 – gaya, teknologi diperbaharui

    Lexus telah mendedahkan model terbaru CT 200h 2018 yang menerima peningkatan pada bahagian luar dan dalam, berserta tambahan pakej keselamatan Lexus Safety System+.

    Untuk model tahun 2018 ini, CT 200h mendapat muka hadapan yang lebih agresif hasil daripada corak mesh baru yang digunakan pada grilnya. Lampu utama juga kini adalah baru, manakala lampu siang LED berbentuk L kini diubah tempatnya ke atas projektor.

    Di bahagian lain, bentuk lampu kabus juga telah diubah, dan kelilingnya kini dicat dengan warna kelabu metalik. Apabila dilihat lebih dekat, anda juga boleh nampak bahawa sebahagian daripada bampar yang sebelum ini wujud di balakang gril, bawah sedikit daripada logo Lexus itu kini sudah tiada.

    Lexus CT 200h 2018 – gaya, teknologi diperbaharui

    Untuk bahagian belakang pula, lampu kombinasi dijadikan lebih lebar, dan terus kekal dengan grafik berbentuk L yang sudah menjadi tanda uniknya. Bampar ini juga mendapat rekaan baru dengan sentuhan warna kelabu metalik dan hitam, manakala hiasan pada pamantul cahaya diwarnakan kelabu metalik supaya sama seperti di depan.

    Rekaan rim daripada 15 hingga 17 inci yang disediakan juga adalah baru, termasuk satu yang berukuran 16 inci dan diwarnakan metalik gelap. Varian F-Sport juga mendapat warna badan dua tona, dengan warna utamanya adalah antara Lava Orange CL (Crystal Sunshine) dan Heat Blue CL (Contrast Layering).

    Di dalam, CT 200h mengekalkan susun atur yang sama, tetapi pilihan warnanya serta kemasan yang digunakan untuk tempat duduk ditambah. Perubahan lain yang boleh dilihat adalah skrin 10.3 inci di atas papan pemuka dan ini adalah 3.3 inci lebih besar berbanding sebelum ini.

    Lexus CT 200h 2018 – gaya, teknologi diperbaharui

    Seperti yang dikatakan tadi, CT200h boleh didapati dalam varian F Sport, dan versi ini didatangkan dengan rekaan gril tersendiri, bampar baru, bumbung berwarna hitam dan hiasan ‘Naguri’.

    Untuk aspek keselamatan, ciri Lexus Safety System+ ditambah pada CT 200h, dan ini menjadikan ia lengkap dengan Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert (LDA) dengan fungsi kawalan stereng, Road Sign Assist (RSA) dan lampu utama Automatic High Beam (AHB).

    CT 200h masih lagi dikuasakan oleh enjin 2ZR-FXE empat silinder Atkinson Cycle 1.8 liter, yang dibantu oleh motor elektrik yang terletak di dalam kotak gear CVT kawalan elektroniknya (eCVT). Lexus bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada sistem tersebut telah berubah berbanding sebelumnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026