Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

    DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

    DS akhirnya melancarkan model perdana DS 5 baharu, iaitu eksklusif dengan jenamanya yang tersendiri. Sebelum ini, ia dilancarkan atas jenama Citroen, kali ini, DS 5 mahu berdikari dan membuktikan kepada pasaran bahawa ia boleh dikenali dengan jenamanya sendiri. Hadir dengan penggayaan yang lebih eksklusif, kekemasan yang lebih terperinci dan diperkemaskinikan bersama teknologi yang lebih canggih.

    DS 5 hadir dengan bingkai gril heksogan krom baharu dengan logo DS di tengahnya. Masih mengekalkan elemen yang berciri aerodinamik dan tebal, bahagian hadapan DS 5 turut diserikan dengan karakter yang lebih berprestij termasuk dengan adanya DS Wings yang merentasi bahagian lampu utama xenon dengan lampu LED baharu serta lampu nyalaan siang LED.

    Penggayaan avant-garde baharu turut menjadi pilihan imej terkini bagi DS 5 ini, dari bahagian hadapan hingga ke belakang dengan lampu LED yang menyerlah, spoiler belakang, paip ekzos berkembar serta rim aloi 18-inci.

    Bahagian kabinnya telah mempertaruhkan elemen rekaan umpama aerospace dengan inspirasi kokpit jentera penerbangan. Kawalan utama diletakkan pada dua konsol tengah dengan rekaan butang dan suis khas. Bukan itu sahaja, ia turut diserikan dengan pencahayaan ambien yang lebih mempesonakan.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan paparan antara muka sentuhan berwarna baharu termasuk sistem terkini yang memudahkan akses untuk semua fungsi di dalam kenderaan termasuk dari navigasi hingga ke hiburan. Malah ia turut menampilkan skrin generasi terkini termasuk bagi teknologi New Mirror Screen di mana fungsi ini membolehkan pengguna memadankan kandungan dalam telefon pintar ke skrin berwarna secara terus.

    Bukan itu sahaja, DS 5 turut didatangkan dengan sistem audio Denon Hi-Fi dengan enam-pembesar suara dan subwoofer yang terpasang di bahagian belakang. Malah turut menampilkan sambungan Bluetooth dan USB/IPOD, sistem pendingin hawa dwi-zon automatik, butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci. Bentangan bahagian kabin didatangkan dengan dua pilihan tona kulit premium upholstery iaitu Basalt Black dan Sand Beige.

    DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

    Hatchback ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya untuk kitaran kombinasi telah dipertingkatkan, kini 5.9 km bagi setiap liter dan pelepasan karbon dioksida pula sekitar 135 g/km.

    Aspek keselamatan yang ditawarkan untuk DS 5 termasuklah enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP), ABS dengan EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).

    Ditawarkan pada harga atas jalan RM198,888 (bersama insurans), ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 120,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu), bersama perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan 24-jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge by Naza di Lapangan Terbang Subang. ia turut hadir dengan dengan pilihan warna Artense Grey, Noir Perla Nera, Bleu Encre, Pearl White dan Whisper Purple.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar RS200 – adakah ia cukup sporty dan boleh menentang motosikal 250 cc?

    TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar RS200 – adakah ia cukup sporty dan boleh menentang motosikal 250 cc?

    Sengaja saya ingin terus mengajak anda mengimbas kembali keadaan Modenas pada tahun lepas. Boleh dikatakan pada waktu itu, pengeluar motosikal negara ini agak senyap dengan tiada model baru setelah sekian lama, dan di dalam pasaran, model yang terjual dengan mudah adalah MR1 kerana harganya yang mampu milik (MR2 dilancarkan April 2017) dan Dinamik, kerana menjadi kegilaan penggemar enjin dua lejang.

    Dalam masa sama, ramai yang tertunggu model cafe racer yang kononnya dikata akan dilancarkan, namun setakat ini masih belum ada berita pengenalan rasminya. Bila tiba penghujung tahun, Modenas membuat kejutan dengan pelancaran tiga buah skuter yang dipasarkan dengan kerjasama pengeluar motosikal dari Taiwan iaitu Kymco (Karisma 125, Elegan 250 dan Downtown 250i)

    Memang ramai yang menunjukkan reaksi kepada model ini, tetapi kami mendapati, langkah pengenalan hampir sama yang diambil oleh Modenas baru-baru ini lebih memberi impak – pelancaran tiga buah model yang dipasang di Malaysia, dengan kerjasama Bajaj Auto dari India iaitu Pulsar RS200, NS200 dan V15. Antara penyebabnya, selain Modenas itu sendiri dekat di hati warga tempatan adalah model yang menarik dan harga yang berpatutan.

    Harga yang ditetapkan untuk RS200 adalah RM11,342 manakala NS200 pula adalah RM9,222, termasuk GST. Apa yang membuatkan harga dua model ini berbeza ada dinyatakan dalam video di bawah, tetapi cuba bayangkan pula jika anda sedang berkira-kira untuk membeli motosikal yang berada dalam lingkungan harga dan prestasi yang sama.

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Senai-Desaru (SDE) berhadapan risiko muflis

    Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Senai-Desaru (SDE) berhadapan risiko muflis

    Pemegang konsesi lebuhraya yang mengendalikan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dilaporkan berhadapan risiko muflis berikutan kekurangan trafik. Syarikat terbabit iaitu MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd adalah syarikat konsesi tol bagi EDL manakala Senai-Desaru Expressway Bhd bagi SDE dikatakan mengalami kerugian besar kesan daripada keputusan yang dibuat kerajaan.

    Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kerajaan sedang meneliti laporan kerugian kedua-dua syarikat konsesi itu, dan sekiranya laporan itu benar, beberapa mekanisme mengatasi masalah itu akan diambil, antaranya pengambilalihan oleh kerajaan atau syarikat lain atau mencari kaedah mengurangkan kerugian mereka, laporan Berita Harian.

    “Contohnya, ketika kerajaan mula memperkenalkan tol di EDL, ia dikecualikan pada rakyat Johor dan bayaran hanya dikenakan pada kenderaan yang menghala dan datang dari Singapura. Bagaimanapun, Singapura bertindak balas dengan keputusan itu. Kemudian kita perkenalkan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), Singapura juga bertindak balas.

    “Kesannya jumlah kenderaan melalui lebuh raya itu berkurang dengan mendadak, menyebabkan unjuran trafik di dalam perjanjian gagal dicapai dan (pemegang konsesi) kerugian. SDE juga berdepan masalah sama kerana jumlah trafik berkurangan, namun ia akan berubah apabila projek di Pengerang, Johor siap,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dua syarikat konsesi tol yang dikatakan berisiko muflis dan memohon agar proses pengambilalihan dilakukan oleh kerajaan serta penstrukturan semula.

    Mengulas lanjut mengenai isu ini, Fadillah berkata, beberapa mekanisme penyelesaian itu adalah antara langkah yang dipertimbangkan, namun belum ada sebarang keputusan mengenainya.

    “Memandangkan ini adalah membabitkan kerjasama awam dan swasta, maka perlu ada situasi menang-menang pada kedua-dua pihak,” katanya.

     
     
  • Jejantas khas untuk motosikal di Lebuhraya Persekutuan dijangka siap pada April 2018

    Jejantas khas untuk motosikal di Lebuhraya Persekutuan dijangka siap pada April 2018

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengesahkan projek pembinaan dua jejantas khas untuk penunggang motosikal serta kerja menaik taraf lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dijangka siap sepenuhnya pada April 2018.

    Beliau berkata kerja-kerja membaik pulih peringkat awal itu bermula tahun lepas dengan peruntukan awal sebanyak RM500,000, dan kerja berkenaan giat dijalankan selepas peruntukan RM29 juta yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2017 tahun lepas, diterima kementerian, laporan Bernama

    Katanya lagi, ini termasuklah membesarkan lorong yang kecil sekurang-kurangnya tiga meter lebar, dan semua jalan laluan keluar masuk dari laluan motosikal ke jalan utama juga akan ditambah baik.

    Turut dijalankan adalah menambah baik reka bentuk geometrik mengikut standard piawaian Jabatan Kerja Raya, menambah baik sistem perparitan dan pembetungan, serta menambah baik jalan susur keluar masuk motosikal ke laluan utama.

    “Kita harapkan syarikat yang dilantik dapat percepatkan kerja-kerja ini. Kalau dapat siap tahun ini, saya kira lebih baik,” katanya kepada pemberita.

    Selain itu, kerja-kerja menambah baik rumah pam dan menaik taraf sistem pencahayaan di dalam terowong sebelum dan selepas terowong dengan menggunakan sehingga 400 biji lampu juga dilakukan.

     
     
  • Bas mesra alam dan cekap tenaga Hino Hybrid akan mula diuji di Bandar Medini, Johor bermula Julai ini

    Bas mesra alam dan cekap tenaga Hino Hybrid akan mula diuji di Bandar Medini, Johor bermula Julai ini

    Bandar Medini, Iskandar Malaysia, Johor bakal menjadi bandar pertama di Malaysia yang menggunakan bas dengan teknologi hibird setelah Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Mitsui, Medini Iskandar Malaysia (MIM), Hino Motors Sales Malaysia dan juga pengendali perkhidmatan bas awam Handal Indah.

    Perkara ini dapat direalisasikan setelah Mitsui dan MIM menjemput Hino bagi mengendalikan ujian terhadap bas hibrid berkenaan, yang bakal berlangsung selama lima bulan bermula Julai 2017. Secara keseluruhan, bas-bas tersebut bakal meliputi enam laluan, termasuk laluan Iskandar Puteri yang membolehkan orang ramai menggunakannya untuk bergerak dari Terminal Feri Puteri Harbour ke Larkin Sentral melalui Bandar Medini.

    Pengenalan bas hibrid ini bakal menjadi peneraju kepada sistem pengangkutan awam yang lebih ekonomi dan bersih, selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia, yang mensasarkan pengurangan pengeluaran karbon sebanyak 58% di bandar berkenaan menjelang tahun 2025.

    Bas Hino Hybrid yang digunakan menampilkan enjin diesel Euro 3 dan juga sistem kenderaan hibrid baharu, yang dikatakan bakal menawarkan penjimatan bahan api lebih baik serta mengurangkan pencemaran CO2 berbanding bas bandar berkuasa diesel konvensional. Ia mampu membawa seramai 75 penumpang pada satu-satu masa, dan turut diberikan suspensi udara serta casis yang menampilkan rekaan lantai-rendah bagi memastikan keselesaan penggunanya.

    “Sebahagian besar langkah yang diambil oleh Iskandar Malaysia bagi menuju kearah Metropolis Kuat dan Mampan Bertaraf Antarabangsa adalah fokus terhadap persekitaran hijau dan juga kehidupan di bandar raya pintar. Kami berpegang kepada idea-idea dan inisiatif yang menyumbang ke arah kedua-dua agenda berkenaan. Oleh itu, kemungkinan untuk mendapatkan bas-bas hibrid bagi menggerakkan penduduk sekitar merupakan sesuatu yang mengujakan dan memberi inspirasi,” kata Datuk Ismail Ibrahim, ketua eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

    “Aspek unik kenderaan komersial adalah termasuk saiznya yang agak besar serta kapasiti muatan, perjalanan dalam jarak yang jauh, serta kegunaan yang luas dan tempat di mana ia digunakan. Mengambil kesemua aspek-aspek ini, Hino Motors mengambil kira jenis teknologi mesra alam yang sesuai. Dengan menyediakan kenderaan yang diberikan kelengkapan optimal kepada pengguna, kami percaya bas Hino Hybrid mempunyai kelebihan dalam menyediakan kenderaan dengan kecekapan bahan api lebih baik serta sifar karbon,” kata Ken Iwamoto, pengarah urusan Hino Motors Sales Malaysia.

     
     
  • Yamaha YZ450F 2018 – talaan enjin boleh diubah menerusi aplikasi dalam telefon pintar

    Yamaha YZ450F 2018 – talaan enjin boleh diubah menerusi aplikasi dalam telefon pintar

    2018 YZ450F

    Untuk musim perlumbaan motocross akan datang, Yamaha bakal memperkenalkan jentera perlumbaan Yamaha YZ450F MX-GP 2018. Model baharu berkenaan bakal menampilkan ciri khas terkini di mana talaan enjinnya boleh dibuat menerusi aplikasi di dalam telefon pintar.

    Aplikasi tersebut digelar Yamaha Power Tuner dan ia disediakan untuk pengguna Android dan juga iOS. Ia membolehkan penunggang mahupun mekanik YZ450F membuat talaan semula dengan pantas dan mudah terhadap pemetaan bahan api dan juga pencucuhan bagi disesuaikan dengan gaya tunggangan, kondisi litar dan juga perubahan cuaca.

    Tiada sebarang kabel diperlukan untuk menghubungkan telefon pintar dan juga kotak komputer enjin, di mana ia menggunakan komunikasi menerusi Wi-Fi onboard pada motosikal berkenaan. Selain itu, aplikasi berkenaan juga mampu untuk merekod lokasi dan kondisi tunggangan, tetapan motosikal dan juga informasi-informasi lain yang berkaitan.

    Maklumat-maklumat yang dipantau secara onboard seperti tetapan perlumbaan, penyelenggaraan dan diagnostik sistem, tempoh operasi enjin dan lain-lain turut dapat diakses menerusi aplikasi berkenaan.

    Maklumat-maklumat pada apilkasi ini bukan sahaja dapat digunakan untuk membuat talaan semula terhadap enjin, malah ia turut boleh disalurkan kepada rakan sepasukan, mekanik dan juga rakan-rakan, membolehkan kerja berpasukan dilakukan secara lebih mudah.

    Selain dari sistem elektronik baharu ini, YZF450F 2018 turut menerima tingkat taraf pada kepala silinder enjin, omboh, profil aci sesondol, geometri silinder dan sebagainya – semua ini dihasilkan bagi mengekstrak lebih kuasa serta membolehkan kawalan dilakukan dengan lebih baik.

    Kerangka rasuk dua hala alumimium baharu telah mengoptimakan kekuatan cagak enjin bagi memperbaiki keseimbangan motosikal ini, dan ia juga didakwa memberikan perasaan yang lebih baik ketika mengambil selekoh serta meningkatkan tahap ketegaran secara keseluruhan.

    Silinder enjin YZ450F yang direka condong ke belakang menampilkan ekzos yang menghadap kebelakang serta sistem kemasukan udara downdraf yang diletakkan pada bahagian hadapan. Profil aci sesondol dan aci engkol baharu, omboh mampatan-tinggi “box bridge” dengan pin salutan DLC (Diamond-like-Carbon) serta throttle body Mikuni berdiameter 44 mm juga merupakan ciri baharu untuk model 2018 ini.

    Jentera perlumbaan ini menerima motor penghidup elektrik yang dijana oleh bateri Li-ion ringan bagi membolehkan penunggang menghidupkan semula enjin ketika berlumba – mudah dan jimat masa tanpa perlu menolak bagi meneruskan perlumbaan. Ia juga diberikan sistem Launch Control (LCS) yang membolehkan ia berlepas lebih pantas dan lancar.

    Yamaha YZ450F 2018 – talaan enjin boleh diubah menerusi aplikasi dalam telefon pintar

    YZ450F

    Sistem penyejukkan YZ450F juga lebih baik menerusi pemadanan unit radiator lebih besar dan diletakkan lebih terus kepada aliran angin. Paip ekzos motosikal ini juga direka lebih kehadapan berbanding model generasi sebelum ini, memberikan kelebihan untuk menjana lebih kuasa.

    Yamaha YZ450F 2018 dijangka akan mula boleh ditempah menerusi pengedar Yamaha seluruh dunia bermula Ogos ini. Barisan aksesori untuk YZ450F serta jentera motocross siri-YZ lain yang dibangunkan oleh Genuine Yamaha Technology Racing (GYTR) turut bakal ditawarkan pada masa yang sama.

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Hatchback pasaran Indonesia

    Honda Civic Hatchback secara rasminya telah mendarat di pasaran Indonesia minggu lalu. Sehubungan dengan itu, Honda Indonesia telah pun menyiarkan video produk memaparkan ciri-ciri yang ada pada Civic versi badan lebih sporty tersebut.

    Berbanding versi sedannya yang hanya ditawarkan dengan varian tunggal di republik berkenaan, versi hatchback diberikan dua pilihan varian iaitu versi asas S dijual pada harga Rp399,000,000 (RM128,003), manakala varian E pula berharga Rp438,000,000 (RM140,529).

    Namun kedua-dua varian hanya dikuasakan dengan enjin empat silinder 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 225 Nm bermula 1,750 rpm hingga 5,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT automatik Earth Dreams, memacu roda hadapan. Sama dengan Civic Hatchback versi Thailand, tiada transmisi manual enam-kelajuan seperti versi Amerika Syarikat dan Eropah untuk model pasaran Indonesia ini.

    VIDEO: Honda Civic Hatchback pasaran Indonesia

    Ciri lain, Civic Hatchback Indonesia diberikan skrin sesentuh tujuh-inci dengan hubungan screen mirroring terhadap telefon pintar tanpa wayar untuk Android dan iOS bagi varian E, manakal varian S diberikan sokongan HDMI. Kedua-dua varian diberikan roda stereng pelbagai fungsi dengan kawalan audio dan telefon, cruise control, serta sistem kunci pintar yang boleh menghidupkan enjin dan kawalan pendingin hawa menggunakan kawalan jauh.

    Untuk keselamatan pula, Civic lima pintu ini dilengkapi dengan Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Kestabilan Kenderaan dan juga brek dengan sistem ABS, EBD dan BA. Varian E menerima enam beg-udara, manakala untuk varian S hanya diberikan dua-beg udara pada bahagian hadapan.

    Setelah dilancarkan di dua negara ASEAN, adakah Civic Hatchback 1.5 liter Turbo ini akan ke Malaysia pula? Tahun lalu Honda Malaysia telah mengumumkan mereka belum lagi merancang untuk membawa masuk model ini ke pasaran tempatan, tetapi ia tidak mustahil sekiranya terdapat permintaan yang tinggi dari orang ramai.

    VIDEO: Honda Civic Hatchback pasaran Indonesia

    Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuo Hayashi, pasaran di Indonesia berbeza dengan di Malaysia, kerana model hatchback adalah lebih popular berbanding sedan dan hatchback juga dijual lebih murah daripada model sedan berikutan skema percukaian yang ditetapkan di republik berkenaan.

    Walau bagaimanapun, Malaysia berkemungkinan besar bakal menerima Civic Hatchback versi jauh lebih liar iaitu Civic Type-R. Ketika majlis pelancaran Honda Jazz facelift 2017 tempoh hari, Hayashi memberi bayangan bahawa ada kemungkinan syarikat itu akan memperkenalkan dua model baru sebagai tambahan kepada empat model yang diumumkan sebelum ini.

    Honda Malaysia pernah membawa masuk Civic Type-R FD2R sebelum ini, yang mana Malaysia merupakan satu-satunya pasaran luar Jepun yang menerima model eksklusif JDM tersebut. Dengan status kereta global pada Civic Type-R FK8 generasi terkini yang bakal di bawa secara rasmi ke Amerika Syarikat serta Australia, dan kini telah mula dijual di UK, Malaysia mempunyai harapan cerah untuk turut menerima hatchback berprestasi tinggi berkenaan.

     
     
  • PDRM bakal gunakan iCOPS dalam Ops Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri demi keberkesanan operasi

    PDRM bakal gunakan iCOPS dalam Ops Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri demi keberkesanan operasi

    Bagi Ops Selamat 11/2017 yang bermula pada 18 Jun hingga 2 Julai ini iaitu sempena Hari Raya Aidilfitri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan kamera Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) bagi memantapkan keberkesanan operasi.

    Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, kamera berkenaan mampu mengesan kehadiran kenderaan melalui pengimbasan nombor pendaftaran yang dikehendaki dalam senarai ‘Hotlist’, laporan BERNAMA.

    “Kamera ini dilengkapi gelung maya dan penataan infra merah yang membolehkan nombor pendaftaran dilihat lebih jelas. Ia sangat efektif dan berjaya meningkatkan kutipan saman semasa operasi saman tertunggak warga asing serta beberapa siri tangkapan kes-kes pendaftaran palsu, kenderaan klon dan cukai jalan palsu,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 malam tadi.

    Khalid berkata polis turut menubuhkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancaran operasi sepanjang Ops Selamat.

    PDRM bakal gunakan iCOPS dalam Ops Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri demi keberkesanan operasi

    Katanya, empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.

    “Ops Perangkap Had Laju juga dilaksanakan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan antara kesalahan utama pemandu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit,” kata Khalid.

    Beliau berkata orang ramai diminta mengisi Borang Cuti Balik Kampung yang boleh dimuat naik di portal rasmi PDRM bagi membendung kegiatan jenayah.

    “Orang awam juga boleh mendapatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di App Store dan Google Playstore untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada polis secara tepat menggunakan telefon pintar,” katanya.

     
     
  • GrabCar perlu wujudkan butang panik selewat-lewatnya 31 Julai demi keselamatan penumpang

    GrabCar perlu wujudkan butang panik selewat-lewatnya 31 Julai demi keselamatan penumpang

    Hasil mesyuarat khas bersama Grab Malaysia semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri menggesa penyedia perkhidmatan e-hailing itu agar menguatkuasakan butang panik pada aplikasi perkhidmatannya untuk keselamatan penumpang selewat-lewatnya 31 Julai ini.

    “Dalam mesyuarat berkenaan turut membincangkan kaedah yang diguna pakai untuk melantik pemandu GrabCar serta langkah pencegahan insiden buruk kepada penumpang. Mereka menyatakan komitmen dan kesediaan untuk melaksanakan butang panik tersebut dengan segera untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya menurut laporan Bernama.

    Nancy berkata butang panik pada aplikasi itu mempunyai Sistem Kedudukan Global (GPS) yang akan dihubungkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau keselamatan pengguna.

    Jelasnya, pengusaha GrabCar juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPAD bagi menangani sebarang kejadian yang tidak diingini atau masalah kepada penumpang pada masa akan datang.

    Semalam, SPAD mewajibkan semua penyedia perkhidmatan e-hailing mengemukakan rekod pemandu mereka kepada SPAD mulai 16 Jun ini.

     
     
  • Harga bahan api 15-21 Jun – semua turun lagi

    Harga bahan api 15-21 Jun – semua turun lagi

    Untuk minggu ketiga bulan Jun 2017 iaitu bertarikh 15 hingga 21 Jun, sekali lagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan penurunan harga buat RON 95, RON 97 dan diesel. Di mana harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 7 sen, kini menjadi RM1.98 seliter. Manakala RON 97 juga melibatkan penurunan sebanyak 7 sen, menjadi RM2.24 seliter.

    Bagi diesel pula turun sebanyak 6 sen, kini menjadi RM1.88 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 pula RM1.98 seliter.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 21 Jun hadapan.

    Minggu sebelum ini iaitu 8 hingga 14 Jun, harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 5 sen menjadi RM2.05 seliter. Manakala RON 97 pula melibatkan penurunan sebanyak 7 sen, menjadi RM2.31 seliter. Bagi diesel pula turun sebanyak 8 sen, menjadi RM1.94 seliter bagi Euro 2 dan Euro 5 pula RM2.04 seliter.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

    TUNGGANG UJI: Modenas Pulsar NS200 – pilihan terbaik untuk peralihan dari kapcai ke motosikal besar

    Walaupun ramai yang ternanti-nanti pengenalan model motosikal yang menggunakan enjin 150 cc yang dibangunkan sendiri oleh Modenas, yang khabarnya sudah menelan belanja besar untuk tujuan R&D, sehingga kini ia bagaimana pun masih belum menjadi kenyataan lagi.

    Tak kurang juga mereka yang sinis dengan perkembangan itu, dengan menyatakan Modenas tidak mampu untuk melakukannya serta menghadapi banyak masalah dari segi pembangunan enjin dan model terbabit. Dan, jika anda mengikuti perkembangan ini secara dekat, tidak begitu lama sebelum ini bertiup pula khabar angin bahawa model dan enjin berkenaan tidak jadi diperkenalkan di atas sebab-sebab tertentu.

    Namun, kali terakhir kami bertanyakan tentang hal ini kepada CEO Modenas, Amirudin Abd Kadir sendiri ketika majlis pelancaran model Modenas Kriss MR2 110, jawapan yang diberikan sangat jauh daripada khabar angin yang bertiup. “Dengan pelaburan wang dan masa yang telah dikeluarkan untuk tujuan itu (pembangunan model dan enjin 150 cc), tak masuk akal untuk Modenas terus mengabaikannya,” ujar beliau.

    Jika ini boleh dikira sebagai satu petunjuk, maka khalayak di Malaysia masih berpeluang menerima model berkenaan kelak. Agaknya, Modenas memerlukan lebih masa untuk memperkemas motosikal berkenaan, yang khabarnya sudah dalam proses ujian sebelum ini. Semoga yang terbaik dapat dihasilkan daripada perkembangan itu untuk manfaat khalayak pengguna.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

    PANDU UJI: Ford Everest 3.2L Titanium kurang popular, tapi tetap berkaliber, tahan lasak dan praktikal

    Genap setahun SUV tujuh-tempat duduk Ford Everest memasuki pasaran Malaysia. Walau bagaimana pun, kelibatnya tidak begitu banyak kelihatan di jalan raya. Entahkan mengapa, mungkin orang ramai masih kurang menyedari kehadirannya di Malaysia, tidak seperti model pesaingnya termasuk Toyota Fortuner dan Mitsubishi Outlander.

    Namun hakikatnya, Everest menawarkan kemudahan yang lebih kurang sama dengan model pesaingnya, bahkan juga sesuai untuk mereka yang mahukan pengangkutan terdiri daripada SUV bersaiz besar.

    Berpeluang memandu uji Fortuner dan Outlander sebelum ini, jadi bagai tidak adil kami tidak mencuba Everest pula. Lantas Ford Malaysia memberikan peluang kepada kami untuk menguji Everest varian tertinggi iaitu Titanium selama beberapa hari.

    Menggunakan enjin yang lebih padu dan berkuasa berbanding varian paling asas, Trend (enjin 2.2 liter, 158 hp/385 Nm) iaitu 3.2 liter empat-silinder Duratorq dengan output 197 hp pada 3,000 rpm dan tork 470 Nm antara 1,750 hingga 2,500 rpm. Sama seperti varian Trend, ia juga dipadankan dengan kotak gear automatik SelectShift enam-kelajuan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

    BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

    Siri kenderaan Gran Turismo oleh BMW dihasilkan untuk memberi gaya sebuah coupe, ruang kaki sebuah limosin, praktikaliti sebuah estate dan posisi pemanduan tinggi sebuah SUV, pada sebuah kenderaan. Terbaru diperkenalkan adalah model 6 Series Gran Turismo G32, yang kini menggantikan 5 Series Gran Turismo dan 21 mm lebih rendah berbanding 5 GT.

    Walaupun begitu, ia masih adalah sebuah kenderaan yang besar, dengan ukuran 5,091 mm panjang, 1,902 mm lebar dan 1,538 mm tinggi, sekaligus menjadikan 6 GT 155 mm lebih panjang, 34 mm lebih lebar dan 59 mm lebih tinggi berbanding kereta asasnya iaitu 5 Series G30.

    Muka hadapan kenderaan ini menyerupai 5 Series, tetapi lampunya mempunyai ‘kening’ yang menaik ke bahagian tepi. Lampu utama jenis LED penuh diberikan terus secara standard, tetapi pemilik juga diberikan peluang untuk menaik taraf kepada unit adaptif dengan light guide ‘corona ring’, pembahagian cahaya boleh ubah dan lampu tinggi anti silau Selective Beam.

    Pada bahagian tepi pula boleh dilihat salur udara yang ada disepadukan dengan lebih kemas, manakala A-pillar yang lebih condong bersambung dengan bumbung yang 64 mm lebih rendah. Pergi ke belakang, terdapat pula lampu tiga dimensi, bersama spoiler bersepadu yang boleh naik secara automatik pada kelajuan lebih 120 km/j dan ciri Air Curtains dan Air Breather. Kecekapan rintangan angin kenderaan ini juga bertambah baik menjadi 0.25, daripada 0.29 Cd.

    Seperti kenderaan BMW yang lain, model 6 GT ini ditawarkan dalam varian standard, Sport Line (kemasan hitam berkilat), Luxury Line (kemasan krom) dan M Sport (kit badan lebih sporty). Rim pula terdiri bermula daripada saiz 17 inci, hingga 20 inci manakala 21 inci pula turut tersedia di dalam katalog aksesori.

    Bahagian dalam kenderaan ini diambil secara terus daripada 5 Series, menampakkan papan pemuka yang rendah, skrin iDrive di tengah, konsol tengah yang tinggi dan panel meter digital yang boleh dinaik taraf kepada paparan widescreen penuh. Perincian unik yang diberi termasuk lencana GT berwarna krom mutiara di belakang serta pilihan penghadang cahaya untuk tingkap belakang.

    Pada bahagian belakang terdapat tiga tempat duduk, dan dua daripadanya disiapkan dengan cagak Isofix. Turut dipertingkat adalah ciri kedapan bunyi dengan penambahan bahan serapan di bumbung, pintu dan penyandar kepala tempat duduk belakang.

    Jika sebelum ini pintu but belakang terdiri daripada dua unit, kini, ia digantikan dengan satu sahaja dan ia boleh dibuka dengan bantuan penolak berkuasa elektrik. Pemilik juga boleh mendapatkan ciri membuka tanpa sentuhan dalam pakej Comfort Access. Di bahagian ini, terdapat ruang simpanan 610 liter – 110 liter lebih luas berbanding sebelum ini. Apabila tempat duduk belakang dilipat secara 40:20:40 pula, anda akan mendapat 1,800 liter ruang, iaitu 100 liter lebih berbanding 5 GT.

    BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

    Pilihan enjin untuk 6 GT hampir sama seperti 5 Series, iaitu paling asas adalah unit empat silinder 2.0 liter turbo petrol pada 630i yang mampu menghasilkan 258 hp dan 400 Nm tork. Untuk enjin diesel pula, terdapat unit enam silinder 3.0 liter turbo yang diletakkan pada 630d, dengan kuasa 265 hp dan 620 Nm tork. Paling tinggi semasa dilancarkan adalah varian 640i, dengan enjin enam silinder 3.0 liter turbo petrol yang berkuasa 340 hp dan 450 Nm tork.

    Di bawah panel badan kenderaan ini, terdapat penggunaan aluminium serta besi berkekuatan tinggi yang lebih meluas, sekaligus menjadikan ia 150 kg lebih ringan. Suspensi yang digunakan pula adalah daripada jenis double wishbone di hadapan, five-link di belakang dan penyerap udara yang boleh rata secara sendiri sebagai standard.

    Kelengkapan lain yang diberikan sebagai pilihan adalah suspensi udara penuh dengan penyerap adaptif, Executive Drive dengan active roll stabilisation dan rear-wheel steering. Pilihan dua ciri awal tadi juga akan memberikan tambahan mod pemanduan Adaptive, yang menggunakan data navigasi untuk melaras kenderaan sambil bergerak, dan satu lagi tetapan tambahan iaitu Comfort+.

    Seperti juga 5 Series, pemilik boleh menambah pelbagai lagi barangan pada 6 GT termasuk kunci dengan skrin sesentuh, bumbung panoramik, tempat duduk dengan ciri mengurut, pewangi udara, lampu suasana pelbagai warna dan sistem bunyi 16 pembesar suara, 1,400 watt Bowers & Wilkins.

    BMW 6 Series Gran Turismo G32 kini diperkenalkan

    Sistem iDrive pada 6 GT telah dinaik taraf, dan ia menggunakan skrin sesentuh 10.25 inci secara standard, bersama kawalan suara yang diperbaiki dan boleh bertindak balas terhadap pelbagai arahan. Anda juga boleh memilih kawalan tangan, skrin definisi tinggi yang 70% lebih besar dan sambungan Apple CarPlay.

    Ciri dalam aspek keselamatan juga agak banyak dengan antaranya adalah Collision and Pedestrian Warning dengan City Collision Mitigation secara standard, Active Cruise Control dengan Stop & Go, bantuan kawalan stereng dan penukaran lorong, Lane Departure Warning, Lane Change Warning serta Side Collision Warning dengan ciri mengelak dan amaran.

    Pembeli juga boleh menambah sistem pemerhati tiga dimensi dengan sambungan kepada telefon pintar, night vision, pembantu letak kenderaan penuh dan Remote Control Parking yang boleh mengeluar dan memasukkan kenderaan anda ke dalam petak letak kereta dengan menggunakan Display Key sahaja.

     
     
  • Teaser baharu Renault Megane RS – diuji di salji

    Teaser baharu Renault Megane RS – diuji di salji

    Walaupun sudah membuat kemunculan sulungnya hujung bulan lalu pada F1 GP Monaco 2017 (masih dengan pelekat penyamaran di seluruh badan), teaser untuk Renault Megane RS sekali lagi disiarkan sebelum pendedahan sepenuhnya yang dijadualkan pada Frankfurt Motor Show September ini.

    Imej teaser baharu ini memaparkan Megane RS generasi baharu tersebut diuji dalam cuaca sejuk, serta mengenakan pelekat penyamaran yang agak berbeza dari unit yang muncul di Monaco tempoh hari.

    Ciri lain, nampaknya ia masih sama seperti apa yang dilihat sebelum ini termasuk lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, lampu kabus LED dengan motif chequered flag Renault Sport serta tip ekzos berkembar diletakkan pada bahagian tengah.

    Teaser baharu Renault Megane RS – diuji di salji

    Walau bagaimanapun Renault masih lagi belum mendedahkan apa-apa berkenaan bahagian dalaman hatchback berprestasi tinggi generasi baharu ini, dijangka hanya akan diketahui pada September nanti.

    Sehingga kini, Renault masih lagi belum mengumumkan berkenaan enjin dan juga angka kuasa yang bakal dibekalkan pada Megane RS baharu berkenaan. Tetapi boleh dijangka ia bakal diberikan enjin petrol 2.0 liter turbo dengan kuasa melebihi 300 hp, dan pastinya jentera ini turut mensasarkan untuk memadam rekod 7 minit 43.80 saat oleh kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar Nurburgring buat masa sekarang iaitu Honda Civic Type-R.

    Walau bagaimanapun, Renault sudahpun mengesahkan Megane RS bakal diberikan transmisi klac berkembar EDC (seperti pada Clio RS) buat pertama kali, namun pilihan kotak gear manual enam-kelajuan masih lagi dikekalkan.

     
     
  • SMART tawar diskaun tol 10% hujung minggu ini

    SMART tawar diskaun tol 10% hujung minggu ini

    Mulai 6 pagi Sabtu ini (17 Jun) hingga 6 pagi keesokannya (18 Jun), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) menawarkan diskaun 10 peratus kepada pengguna laluan itu. Ia bertujuan menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan Lebuhraya SMART untuk ke pusat bandar raya terutamanya yang ingin membeli-belah di ibu negara sempena Aidilfitri.

    “Kami berharap dengan diskaun awal ini dapat menggalakkan orang ramai menggunakan Lebuhraya SMART bagi tujuan menyediakan persiapan akhir Aidilfitri yang bakal tiba,” ujar Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman.

    Kadar tol selepas diskaun yang dikenakan ialah RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 bagi setiap hala.

     
     
  • MV Agusta RVS #1 guna konsep scrambler jahat

    MV Agusta RVS #1 guna konsep scrambler jahat

    Bulan lalu, pembuat motosikal dari Itali, MV Agusta telah mengeluarkan satu teaser motosikal terbaru mereka yang dihasilkan oleh cabang bahagian modifikasi yang digelar sebagai Reparto Veicoli Speciali (RVS). Kini, motosikal tersebut sudah pun ditunjukkan secara penuh, dan seperti yang dijangka, ia memang menggunakan asas daripada model Dragster 800 yang sedia ada.

    Keistimewaan paling jelas pada motosikal yang dinamakan sebagai RVS #1 ini adalah ia menerapkan gaya scrambler, dengan menggunakan tayar berbunga kasar dan dilengkapi dengan pelindung bahagian enjin dan radiator. Lampu hadapannya pula menggunakan unit LED, bersama pelbagai lagi aksesori lain seperti cermin sisi di tepi pemegang, pelindung tepi enjin, lampu belakang LED dengan cermin putih dan ekzos SC Project. Ia kemudiannya disudahkan dengan warna serba hitam dan sedikit hiasan berwarna merah.

    Bahagian asas motosikal ini walaubagaimanapun masih adalah sama iaitu daripada Dragster 800, bermakna ia dikuasakan oleh enjin tiga silinder 798 cc yang berkemampuan 125 hp dan 81 Nm tork. Antara kelengkapan lain yang ada pada motosikal ini adalah termasuk brek Brembo, tetapan lengan ayun belakang tunggal dan rim jenis jejari.

    Walaupun masih bukan sebuah model serba baru, RVS #1 tetap mengujakan dan ia sekaligus menjadi harapan syarikat itu untuk kembali menarik peminat motosikal. Harga dan kemasukan motosikal ini ke pasaran walaubagaimanapun masih belum diberitahu.


     
     
  • ULASAN VIDEO: Ford Ranger FX4 – penampilan lebih garang dengan aksesori tambahan dari Wildtrak

    Jika anda belum tahu, Ford Ranger FX4 ini merupakan penawaran tertinggi bagi varian 2.2L model berkenaan. Kiranya sama seperti versi Wildtrak pada varian 3.2L. Ia diperkenalkan pada April lalu pada harga RM121,888 dan hadir dengan aksesori yang diwarisi dari Wildtrak – dalam imej yang lebih ringkas dan ranggi. Harganya adalah sekitar RM7,000 lebih tinggi berbanding varian 2.2 XLT.

    Harga berkenaan bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding versi Wildtrak 3.2L (RM140k), yang tentunya dilengkapi dengan lebih banyak ciri-ciri tambahan. Untuk mudah faham, versi FX4 ini bolehlah dianggap sebagai varian dengan aksesori Wildtrak bagi model 2.2L.

    Jadi, di dalam video ini, kami memberi tumpuan kepada perbezaan antara FX4 dengan varian 2.2L XLT. Antaranya, FX4 hadir dalam aksesori dan kemasan dengan tema hitam, baik dari luaran dan juga dalamannya. Ia hanya ditawarkan dalam dua warna, kelabu yang anda lihat ini (Meteor Grey) dan satu lagi warna yang lebih cerah (Aluminium Metallic).

    Enjin masih menggunakan unit yang sama seperti sebelum ini, 2.2 liter empat-silinder turbodiesel yang menghasilkan 158 hp dan 385 Nm tork. Ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan. Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan Ford Ranger FX4 ini, tonton video yang kami sediakan.

    Untuk perincian spesifikasi lanjut berkaitan Ford Ranger dan perbezaan penawaran dari pesaingnya yang lain, anda boleh juga merujuk laman CarBase.my. Ford jua mengumumkan kenaikan harga terbaru bagi model Ranger pada Mac lalu.

     
     
  • Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

    Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

    SUV segmen-B Hyundai Kona yang bakal memberikan saingan kepada Honda HR-V, Toyota C-HR, dan Mazda CX-3 kini secara rasmi telah membuat kemunculan sulungnya, setelah pelbagai imej dan video teaser didedahkan. Kona – yang namanya diambil dari sebuah tempat di Hawaii – diletakkan di bawah barisan SUV Hyundai lain iaitu Tucson dan Santa Fe (nama-nama SUV dari Hyundai sememangnya diambil dari tempat-tempat di Amerika Syarikat).

    Kona menampilkan rekaan yang agak funky dengan lampu nyalaan siang tirus diletakkan pada bahagian atas, manakala lampu utamanya terletak pada bahagian bampar – rekaan unik dengan konsep seperti ditampilkan pada Citroen C4 Cactus. Ia turut menampilkan gril signatur “cascading” seperti yang terdapat pada model i30.

    Susunan yang sama turut boleh dilihat pada bahagian belakang dengan menampilkan lampu tirus pada bahagian atas, dan juga lampu kombinasi lain pada bahagian bawah. Menurut Hyundai, karekter unik pada Kona ini adalah hasil gabungan rekaan lampu-lampu yang digelar “lampu komposit”, gril “cascading” dan juga rekaan badan yang seolah-olah diberikan perisai. Kona turut diberikan tema warna dua-tona yang membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung.

    Bagi dimensi, saiz Kona diukur dengan 4,165 mm panjang, 1,800 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Berbanding Honda HR-V, SUV Korea ini 129 mm lebih pendek tetapi 28 mm lebih lebar dan 55 mm lebih rendah – memberikan stance yang lebih menarik. Untuk jarak roda pula, Kona diukur 10 mm lebih pendek berbanding HR-V.

    Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

    Menurut Hyundai, Kona dibina berasaskan platform SUV kompak baharu, dioptimakan bagi membolehkan ia disesuaikan dengan kelegaan tanah SUV serta pilihan sistem 4WD, sambil mengekalkan ruang pada kabin.

    Bahagian dalaman, Kona diberikan imej yang lebih relaks dan tidak agresif seperti bahagian luarannya. Ia bakal diberikan elemen warna mengikut warna badan keseluruhan SUV ini. Hyundai turut menampilkan paparan head-up buat pertama kali menerusi Kona.

    Sistem infotaimen dengan skrin lapan-inci dan turut berfungsi sebagai sistem navigasi dan turut menyokong Apple Carplay dan Android Auto ditawarkan sebagai opsyen. Ia turut hadir dengan langganan percuma tujuh-tahun untuk servis LIVE – memberikan informasi masa sebenar untuk cuaca, keadaan trafik dan juga info kamera perangkap had laju serta POI.

    Untuk sistem bunyi, Kona diberikan sistem dari Krell Audio menampilkan lapan pembesar suara yang terdiri dari dua tweeter 20 mm, empat pembesar suara woofer 160 mm, sebuah pembesar suara tengah 100 mm dan juga subwoofer 200 mm. Amplifier lapan-saluran turut diberikan yang memberikan 45 watt untuk setiap saluran. Hyundai turut menawarkan pad pengecas induktif tanpa wayar Qi sebagai ciri pilihan pada Kona.

    Hyundai Kona – spesifikasi, imej penuh didedahkan

    Kona diberikan pelbagai pilihan enjin dan transmisi bergantung pada pasaran. Antaranya enjin 2.0 liter MPI Atkinson berkuasa 149 PS/179 Nm (dipadankan dengan transmisi auto enam-kelajuan, 0-100 km/j dalam 10 saat dan kelajuan maksima 194 km/j) dan juga enjin petrol turbo Gamma 1.6 T-GDI berkuasa 177 PS/265 Nm dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan automatik (0-100 km/j hanya 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 210 km/j).

    Pasaran Eropah turut akan menerima enjin turbo lebih kecil iaitu 1.0 liter T-GDI tiga silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin berkenaan mampu menjana 120 PS/172 Nm dan pecutan 0-100 km/j dapat dicapai dalam masa 12 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 181 km/j.

    Versi 2WD dan 4WD bakal menerima suspensi belakang berbeza bagi memberikan keselesaan dan juga “pengendalian lebih sporty“. Untuk model 2WD, ia diberikan suspensi jenis torsion beam “berketegaran tinggi” menerusi subframe yang dipadankan struktur bushing baharu. Manakala untuk model 4WD pula, ia diberikan suspensi lebih jitu menerusi sistem multi-link lengan berkembar.

    Bagi keselamatan pula, Kona diberikan kit keselamatan aktif seperti Bantuan Amaran Pelanggaran Hadapan, yang menggunakan kamera dan radar bagi memberikan fungsi brek kecemasan automatik. Tiga sistem lain yang turut menggunakan kamera berkenaan adalah Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Lampu Tinggi (high beam) dan juga Amaran Perhatian Pemandu yang mengesan fokus/kepenatan pemandu. Radar yang dibekalkan pula turut memberikan input kepada sistem Amaran Pelanggaran Titik Buta, dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang.

    Hyundai turut mengumumkan Kona bakal tampil dengan model khas Kona Iron Man Special Edition yang 40 mm lebih lebar serta diberikan LED istimewa pada lampu hadapan, diletakkan pada kemasan kelabu matte bersama elemen merah-emas Iron Man. Model tersebut turut akan menampilkan rim 19-inci bersama penutup tengah Iron Man, dan dibaluti tayar off-road.

    Walau bagaimanapun, imej model edisi khas tersebut masih lagi belum didedahkan. Kona akan mula di jual di Korea bermula bulan ini, dan kemudian bakal diikuti pasaran Amerika Utara dan Eropah.

     
     
  • Boon Siew Honda perkenalkan skuter maxi NSS300 pada harga RM30,727; PCX 2017 terima warna baru

    Boon Siew Honda perkenalkan skuter maxi NSS300 pada harga RM30,727; PCX 2017 terima warna baru

    Selain baru saja mempamerkan barisan model terkini yang akan dilancarkan Ogos nanti, Boon Siew Honda kini memperkenalkan sebuah skuter maxi bersesaran tinggi, NSS300 dalam penampilannya yang terkini untuk pasaran Malaysia. NSS300 ini dijual pada harga RM30,727 termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan ditawarkan dalam tiga warna – termasuk satu warna baru, Candy Caribbean Blue Sea.

    Skuter ini menggunakan enjin 279 cc silinder tunggal, empat lejang dan sejukan cecair yang menghasilkan sebanyak 19 kW pada 7,500 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 26 Nm pada 5,000 rpm. Bagi transmisi, ia menggunakan jenis V-Matic Continuosly Variable dengan klac centrifugal automatik dengan penyampaian akhir melalui V-Belt.

    Selain itu, model ini juga turut ditawarkan dengan ciri brek ABS. Dengan berat 194 kg, ia juga dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 11.6 liter. Dimensi binaannya pula ialah 2,166 mm panjang, 753 mm lebar dan 1,189 mm tinggi. Jarak antara rodanya pula ialah 1,546 mm, dengan ketinggian tempat duduk 716 mm. Kelegaan dari tanah pula ialah 140 mm.

    Sementara itu, skuter PCX pula turut menerima pilihan warna baru Candy Caribbean Blue Sea. Ia akan dijual pada harga bermula RM11,658 termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

    Model ini masih dilengkapi enjin yang sama; 149 cc, silinder tunggal SOHC, empat lejang dengan sejukan cecair serta dilengkapi dengan sistem suntikan minyak PGM-Fi.

    Enjin ini menghasilkan kuasa sebanyak 9.35 kW pada 8,500 rpm dan 13 Nm pada 5,500 rpm tork. Dari segi dimensi, ia melibatkan 1,931 mm panjang, 737 mm lebar dan 1,103 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 1,315 mm, dengan ketinggian tempat duduk 761 mm dan kelegaan tanah 138 mm. Beratnya pula ialah 131 kg.

    Honda NSS300 2017

    Honda PCX 2017

     
     
  • SPAD wajibkan penyedia perkhidmatan e-hailing kemuka rekod pemandu secara bulanan

    SPAD wajibkan penyedia perkhidmatan e-hailing kemuka rekod pemandu secara bulanan

    Susulan beberapa kes jenayah yang melibatkan pemandu Uber dan GrabCar, antaranya kes samun dan rogol, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mewajibkan penyedia perkhidmatan ‘e-hailing’ (e-panggilan) tersebut mengemukakan rekod pemandu mereka kepada SPAD mulai 16 Jun ini.

    Menerusi kenyataan yang diedarkan oleh suruhanjaya terbabit, tujuan penyerahan rekod pemandu ini adalah bagi membolehkan SPAD menjalankan saringan latar belakang pemandu dengan lebih ketat menerusi kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Bernama.

    Selain mewajibkan penyerahan rekod pemandu, demi keselamatan penumpang, SPAD turut melaksanakan beberapa langkah lain ke atas perkhidmatan e-hailing sebelum pembacaan kedua bagi pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) yang dijadual berlangsung Julai ini di Parlimen.

    Malahan SPAD juga telah mengarahkan pengendali e-hailing untuk mempercepatkan pelaksanaan butang panik atau “S.O.S”” pada aplikasi mereka dengan segera. Butang panik itu akan menyediakan satu ciri keselamatan kepada penumpang iaitu menyampaikan maklumat kepada polis sekiranya berlaku kecemasan.

    Di mana, SPAD telah menggesa pengendali e-hailing untuk menggunakan proses yang lebih menyeluruh bagi mengenal pasti profil pemandu. Ia akan membolehkan mereka mengenal pasti dan menghalang pemandu yang berisiko tinggi.

    Selain itu, pengendali e-hailing juga diwajibkan menyerahkan data secara bulanan mengenai pemandu yang dikenal pasti telah melakukan kesalahan trafik, masalah tingkah laku dan perkhidmatan. Ia membolehkan SPAD menyenarai hitam pemandu terbabit dan menghalang mereka daripada berpindah kerja ke perkhidmatan e-hailing lain.

    Pengendali e-hailing juga dihendaki menyerahkan data bulanan penarafan (rating) pemandu kepada SPAD untuk menyelesaikan secara proaktif isu-isu membabitkan pemandu perkhidmatan itu dan setelah peraturan kawal seliaan e-hailing diluluskan oleh Parlimen kelak. Malah pengendali e-hailing diwajibkan mengamalkan tahap keselamatan dan perkhidmatan yang terbaik, kata kenyataan itu.

    SPAD turut memberikan amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengendali dan pemandu e-hailing yang didapati melanggar undang-undang termasuk menyita kenderaan pemandu e-hailing yang terlibat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026