Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Operasi penguatkuasaan Aidilfitri mulai 18 Jun ini, kamera AES dipasang di tujuh lagi lokasi baharu- JPJ

    Operasi penguatkuasaan Aidilfitri mulai 18 Jun ini, kamera AES dipasang di tujuh lagi lokasi baharu- JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan operasi penguatkuasaan sempena Aidilfitri akan dilaksanakan bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini. Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nadzri Siron, operasi tersebut akan dijalankan secara serentak di seluruh negara, laporan Berita Harian.

    “Walau bagaimana pun, maklumat lengkap mengenai tindakan, program atau aktiviti penguatkuasaan serta kempen keselamatan yang bakal dijalankan hanya akan diumumkan pada 17 Jun ini. Manakala kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri pula akan dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 15 Jun ini,” katanya kepada pihak media malam tadi,

    Tambahnya lagi, pemeriksaan kenderaan turut dijalankan di terminal dan depoh, selain secara rawak di jalan raya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan, kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di tujuh kawasan panas baharu yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan.

     
     
  • Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma sempena Aidilfitri mulai 13 hingga 23 Jun ini

    Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma sempena Aidilfitri mulai 13 hingga 23 Jun ini

    Sempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba ini, Puspakom akan akan melancarkan kempen #drivesafenoregrets dengan menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Persendirian Sukarela atau Voluntary Vehicle Inspection (VVI) secara percuma mulai 13 Jun 2017 sehingga 23 Jun 2017 di pusat pemeriksaan kenderaannya.

    Kempen #drivesafenoregrets ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemanduan berhemah, dan juga menggalakkan pemilik kenderaan menjalankan pemeriksaan VVI di Puspakom bagi memastikan kenderaan mereka berada di dalam keadaan yang selamat sebelum balik ke kampung dimusim perayaan nanti.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail, “Pemeriksaan VVI ini merangkumi 25 peringkat ujian secara menyeluruh termasuk ujian Pengeluaran Asap, Gelincir Sisi, Suspensi, Ketelusan Cahaya Cermin, Brek serta Lampu. Laporan VVI akan dikeluarkan sejurus selepas pemeriksaan kenderaan dijalankan dan laporan ini boleh digunakan oleh pemilik untuk mengetahui keadaan kenderaan mereka dan mengesan sebarang kerosakan. Pemilik kenderaan seterusnya seterusnya boleh melakukan pembaikan dan penyelenggaraan yang sewajarnya.”

    Puspakom tawar pemeriksaan kenderaan percuma sempena Aidilfitri mulai 13 hingga 23 Jun ini

    Pemeriksaan VVI percuma ini akan dijalankan di semua pusat pemeriksaan Puspakom, kecuali di Shah Alam, Taman Bukit Maluri, Mak Mandin dan Kota Bharu, yang dikhaskan untuk pemeriksaan kenderaan perdagangan sahaja.

    “Pada musim perayaan yang sama pada tahun lepas, pihak kami telah memeriksa sejumlah 3,000 buah kenderaan. Melalui kempen #drivesafenoregrets ini, kami mensasarkan peningkatan sebanyak 10% jumlah pemeriksaan kenderaan pada tahun ini. Kami berharap lebih ramai pemandu mengambil inisiatif menghantar kenderaan mereka untuk pemeriksaan VVI secara percuma ini bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan terbaik pada musim perayaan ini,” sambung Shukor.

    Kempen VVI secara percuma ini akan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari (tertakluk kepada waktu operasi setiap cawangan di negeri berlainan). Pelanggan VVI akan diberi keutamaan di mana pelanggan boleh terus mengunjungi cawangan Puspakom tanpa perlu membuat sebarang temujanji.

    Sempena kempen ini, Puspakom juga menganjurkan Pertandingan #drivesafenoregrets ‘Write Caption & Win’, di mana para pelanggan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan. Para pelanggan hanya perlu hadir menjalani pemeriksaan VVI dengan menghantar kapsyen gambar melalui “private message” di Facebook Puspakom. Pemenang hadiah Super Grand Prize akan ditentukan berdasarkan jumlah ‘Like’ tertinggi dan juga komen kapsyen yang paling kreatif.

    Sebelum ini, kami telah pun diberi peluang untuk menjadi salah seorang Pemeriksa Kenderaan di Puspakom bagi memberikan gambaran sebenar bagaimana pusat pemeriksaan kenderaan ini beroperasi. Anda boleh baca laporan berkenaan pada pautan ini.

     
     
  • Perkhidmatan perkongsian kenderaan perlu sediakan butang SOS pada aplikasi mobiliti – SPAD

    Perkhidmatan perkongsian kenderaan perlu sediakan butang SOS pada aplikasi mobiliti – SPAD

    Semua pengusaha perkhidmatan e-hailing atau perkongsian kenderaan perlu menyediakan butang SOS pada aplikasi mobiliti masing-masing bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin, ujar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Menurut CEO SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, butang SOS ini membolehkan penumpang memaklumkan kepada pihak berkuasa serta-merta sekiranya mereka merasakan sedang berhadapan dengan situasi yang berbahaya, The Sun.

    “Ini merupakan perkara baru dan yang sedia ada bagi penyedia perkhidmatan sebegini, yang perlu dilakukan secepat mungkin sebelum undang-undang yang membenarkan kami mengawal selia mereka sepenuhnya dilaksanakan,” ujar Azharuddin kepada pihak media selepas menemui wakil Uber Malaysia ekoran kejadian yang melibatkan pemandu Uber baru-baru ini.

    Perkhidmatan perkongsian kenderaan perlu sediakan butang SOS pada aplikasi mobiliti – SPAD

    Azharuddin turut berkata implementasi bagi tindakan proaktif ini adalah untuk memastikan pematuhan dipenuhi. Beliau turut menjelaskan apabila undang-undang telah dilaksanakan kelak, pengusaha perkhidmatan ini mempunyai tanggungjawab sebagai operator pengangkutan awam, di mana pemandu mereka perlu menjalani pemeriksaan berkenaan latarbelakang, jenayah, perubatan dan yang berkaitan.

    “Penguatkuasaan undang-undang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja dan jika ada operator perkhidmatan ini yang tidak mengikut undang-undang, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan, termasuk perkhidmatan mereka bakal digantung atau dikenakan saman sewajarnya,” ujarnya lagi.

    Beliau turut berkata, pihaknya akan bekerjasama lebih erat lagi dengan semua pengusaha perkhidmatan tersebut bagi memastikan semua pematuhan dipatuhi dan untuk kepentingan orang awam terutamanya soal keselamatan yang menjadi keutamaan SPAD.

     
     
  • Tiada transmisi manual untuk Toyota Supra baharu?

    Tiada transmisi manual untuk Toyota Supra baharu?

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Pengumuman bahawa Toyota Supra akan kembali ke pasaran mungkin antara berita gembira untuk peminat-peminat JDM Legend era 90’an, namun perkembangan terbaharu berkenaan pembinaan kereta sport flagship Toyota ini mungkin sedikit merencatkan kegembiraan tersebut. Menurut laporan dari Autocar, Toyota Supra generasi baharu bakal hadir dengan hanya transmisi automatik, tanpa pilihan kotak gear manual.

    Sumber yang boleh dipercayai memberitahu penerbitan berkenaan, Supra bakal menampilkan unit janakuasa hibrid – menggabungkan enjin petrol BMW, motor elektrik dan juga kapasitor super yang disadur dari jentera perlumbaan prototaip Toyota TS030 Le Mans, dan teknologi ini hanya menawarkan transmisi automatik sahaja.

    Kotak gear tersebut dijangka merupakan unit yang sama digunakan pada kembar Supra iaitu BMW Z5, berkemungkinan transmisi lapan-kelajuan dari ZF. Walau bagaimanapun, kotak gear untuk Supra ini bakal menerima talaan nisbah berbeza. Sistem hibrid berkenaan turut bakal menawarkan sistem pacuan semua roda.

    Tiada transmisi manual untuk Toyota Supra baharu?

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Autocar turut menyebut, Toyota Supra berkenaan turut akan menerima sistem elektronik dari BMW, termasuk sistem infotaimen iDrive yang menampilkan suis kawalan putaran, skrin paparan tengah, kawalan pendingin hawa serta tuil penukar gear unik sistem tersebut.

    Seperti juga kedudukan asalnya, Supra bakal mengetuai “tiga beradik” kereta sport Toyota yang dituruti oleh ‘Abang Ngah’ Toyota MR2 yang sedang dirancang pembinaannya, dan juga ‘Adik Bongsu’ Toyota 86. Supra dijangka bakal dijual dengan harga jauh lebih tinggi dari 86 kerana dilengkapi dengan unit janakuasa hibrid serta binaan-binaan terkini lain.

     
     
  • Honda Accord 2018 – bakal diperkenal tahun ini di US

    Honda Accord 2018 – bakal diperkenal tahun ini di US

    Telah disahkan bahawa Honda Accord 2018 akan melakukan penampilan perdana tahun ini. Sedan generasi akan datang ini akan diperkenalkan di Amerika Syarikat (US), di mana ia merupakan pasaran terbesar buat Accord. Ini diumumkan sendiri oleh presiden dan CEO Honda Takahiro Hachigo dalam mesyuarat Honda 2017 di Jepun.

    Menurut Hachigo, model serba baharu Accord ini akan melonjakkan “rekaan terkini dan pengalaman pemanduan”. Malah bos besar syaraikat automotif terkemuka dunia ini turut berkata “kami akan melancarkan hala tuju rekaan baharu di pertunjukan auto pada musim luruh ini,” di mana kemungkinan besar Accord baharu tersebut akan mendahului imej terkini dalam keluarha Honda. Kami telah pun memaparkan beberapa foto spyshot sebelum ini, namun tiada satu pun yang benar-benar membongkarkannya.

    Honda Accord 2018 – bakal diperkenal tahun ini di US

    Sepertimana Civic, Accord generasi ke-10 ini mungkin menggunakan enjin yang sama dengan CR-V di pasaran US, termasuk 2.4 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC pancitan-terus empat-silinder dengan kuasa 184 hp pada 6,400 rpm dan tork 244 Nm pada 3,900 rpm. Honda turut mengesahkan enjin 1.5 liter DOHC VTC turbo, pada CR-V yang mampu menghamburkan kuasa pada 190 hp pada 5,600 rpm dan tork 243 Nm dari takat 2,000 hingga 5,000 rpm, dan mungkinkan ia bakal dipadankan dengan Accord akan datang?

    Honda juga telah mempunyai model transmisi automatik 10-kelajuan yang dipasarkan di USA (bagi model Odyssey), dan unit torque converter ini juga mungkin akan digunakan pada Accord juga. Persoalan lain, adakah Honda bakal memadankan transmisi manual enam-kelajuan bagi model asas? Mungkin Accord manual agak pelik bagi kita di Asia, tetapi ia agak digemari di US. Mungkin perkara ini tidak mustahil kan?

     
     
  • VIDEO: Honda Civic Type-R 2017 dengan tiga mod pemanduan istimewa – Comfort, Sport dan +R

    Tempahan untuk Honda Civic Type-R bagi pasaran UK telah pun diumumkan dibuka baru-baru ini, dan pelanggan dijangka bakal menerima kereta mereka bermula bulan hadapan. Sehubungan dengan itu, Honda telah menyiarkan video dan juga galeri imej tambahan untuk Civic Type-R pasaran Eropah.

    Siri video baharu ini terdiri dari dua klip yang memperkenalkan tiga mod pemanduan pada hatchback berprestasi tinggi ini yang boleh merubah karekternya untuk disesuaikan pada situasi pemanduan tertentu. Jika dilihat pada model-model Type-R semasa era 90’an dahulu, Civic Type-R EK9 misalnya, ia direka sebagai jentera litar sebenar yang dibina tanpa mengambil kira pratikaliti kegunaan seharian.

    EK9 dihasilkan dari Civic EK tiga pintu versi biasa tetapi telah dikurangkan penebat-penebat bunyi, tiada pengelap cermin belakang, tiada beg udara, tiada radio, tiada brek ABS, malah pendingin hawa juga ditawarkan hanya sebagai ciri opsyenal – semata-mata bagi mengurangkan beratnya. Berbeza dengan model Type-R FK8 yang lebih moden ini, ia dilengkapi dengan segala-galanya.

    Pemandu juga tidak perlu berkorban dengan terpaksa memandu dengan keadaan ‘terhenjut-henjut’ sepanjang masa kerana mod Comfort memberikan talaan suspensi adaptif yang lebih lembut serta stereng yang lebih lancar dan selesa. Mod Sport pula direka dengan mengadunkan talaan seimbang antara keselesaan dan dinamik.

    Manakala ketika di litar atau pemandu mahukan keseluruhan prestasi Civic Type-R diserlahkan, mod +R perlu diaktifkan, memberikan talaan suspensi paling keras serta respon stereng paling pantas. Mod ini juga menjadikan enjin berada pada keadaan paling agresif, dengan tork sepenuhnya dibebaskan bermula pada takat rpm rendah. Fungsi auto-blip (membolehkan teknik heel & toe dilakukan secara automatik) juga berfungsi pada tahap paling optimum pada mod ini.

    Honda Civic Type-R 2017 dijana enjin K20C 2.0 liter i-VTEC Turbo dengan suntikan bahan api terus menghasilkan 320 PS (10 PS lebih dari FK2R) pada takat 6,500 rpm serta tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan nisbah rapat, memacu roda hadapan membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.7 saat.

    Selain diikiraf sebagai kereta dengan pecutan paling pantas dalam kelasnya, Civic Type-R generasi baharu turut dinobatkan sebagai kereta pacuan roda hadapan paling laju di litar Nurburgring dengan catatan lap terpantas 7 minit 43.8 saat – 6.83 saat lebih pantas dari Civic Type-R FK2R generasi terdahulu dan 3.39 lebih laju dari VW Golf GTI Clubsport S.

    Kemunculan Civic Type-R FK8 pada tahun ini juga sebagai meraikan ulangtahun ke-25 legasi Type-R yang bermula dengan Honda NSX Type-R yang diperkenalkan pada tahun 1992.

     
     
  • Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Awal minggu ini, Honda Malaysia telah melancarkan versi facelift untuk Honda Jazz generasi ketiga. Pengenalan model yang disegarkan ini turut menyaksikan Jazz versi hibrid telah dibawa semula ke pasaran tempatan, dan lebih istimewa, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menerima Jazz dengan teknologi Sports Hybrid I-DCD ini selain dari Jepun.

    Untuk pengetahuan anda juga, Honda merupakan pengeluar pertama yang menawarkan teknologi hibrid kepada rakyat Malaysia menerusi Civic Hybrid 2004 (FD). Selepas itu, syarikat berkenaan dilihat menggunakan sepenuhnya insentif yang ditawarkan oleh kerajaan dalam bentuk pengecualian cukai untuk kereta-kereta hibrid CBU dengan memperkenalkan model Insight, CR-Z, Civic Hybrid (FB) dan Juga Jazz Hybrid generasi sebelum ini.

    Honda Malaysia terus mengambil langkah progresif dalam teknologi hibrid ini dengan menjadi pengeluar pertama di Malaysia yang memproduksi kereta hibrid secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi model Jazz Hybrid pada tahun 2012. Usaha berkenaan turut diiktiraf sebagai pemasangan tempatan model hibrid pertama Honda di luar Jepun dan juga Amerika Syarikat.

    Dengan pengenalan Jazz Hybrid generasi baharu ini, Honda mensasarkan untuk kembali menjadi peneraju dalam pasaran kereta hibrid di Malaysia. Berbanding Jazz Hybrid CKD yang dijual pada harga RM89,900 pada tahun 2012 dahulu, model baharu ini nampaknya lebih kompetitif – dijual pada harga atas jalan dengan insuran RM87,500. Ini turut menjadikannya kereta hibrid paling mampu milik buat masa sekarang, mengambil alih gelaran dari Hyundai Ioniq yang dijual pada harga bermula RM100k.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Sasaran yang ditetapkan oleh Honda tersebut dilihat tidak mustahil kerana jenama-jenama yang kini dilihat mengambil kesempatan ke atas insentif EEV kerajaan yang turut menetapkan kereta hibrid juga perlu dihasilkan secara CKD adalah terdiri dari pemain-pemain kelas premium seperti Volvo, Mercedes-Benz dan BMW; menawarkan teknologi PHEV dengan harga dalam kategori bukan mampu milik.

    Saingan terdekat Honda yang sebelum ini yang turut mengambil kesempatan ketika era hibrid CBU iaitu Toyota juga dilihat mula memperlahankan rentak setelah insentif EEV CKD diperkenalkan. Buat masa sekarang, Toyota hanya menawarkan Camry Hybrid di bilik-bilik pamerannya, dijual pada harga bermula RM165k.

    Berbalik kepada kepada Jazz Hybrid, teknologi yang ditawarkan pada generasi terdahulu jelas sekali berbeza dengan teknologi pada model generasi baharu ini. Jika Jazz Hybrid sebelum ini diberikan teknologi Integrated Motor Assist (IMA), model baharu ini telah beralih menggunakan sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang lebih berkuasa serta lebih efisien.

    Untuk lebih memahami perbezaan antara kedua-dua sistem ini, kita lihat dahulu bagaimana sistem IMA pada model generasi sebelum ini berfungsi. Jazz Hybrid IMA 2012 diberikan enjin petrol 1.3 liter digabungkan dengan kotak gear CVT.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Motor elektrik IMA yang berkenaan diletakkan di bahagian tengah antara enjin petrol dan juga kotak gear, yang memberikan bantuan kuasa ketika pedal pendikit dikerah. Motor tersebut menerima suapan kuasa dari bateri logam-nikel hidrat (selepas itu dipertingkat kepada penggunaan bateri Li-ion seperti pada CR-Z facelift dan Civic Hybrid FB).

    Motor IMA juga bertugas sebagai dinamo untuk mengecas semula bateri hibrid ketika kereta nyah-pecut tanpa input pendikit dan juga membrek, serta sebagai motor penghidup enjin khususnya pada situasi auto start-stop. Sistem ringkas ini sebenarnya tidak membolehkan Jazz Hybrid generasi sebelum ini bergerak tanpa enjin petrol dihidupkan mahupun menggunakan mod elektrik sepenuhnya.

    Untuk Jazz yang diberikan sistem i-DCD pula, ia diberikan enjin petrol 1.5 liter bersama kotak gear klac berkembar (DCT) jenis kering tujuh-kelajuan yang digabungkan bersama motor elektrik. Teknologi baharu ini disuap oleh bateri lithium-ion Blue Energy, yang dihasilkan dari kerjasama Honda dan pakar bateri, GS Yuasa (Toyota bersama Panasonic untuk pembangunan baterinya). Sistem ini juga turut diberikan servo brek elektrik bagi memberikan pengecasan semula tenaga elektrik yang lebih baik, serta turut dipadankan dengan pemampat (compressor) pendingin hawa janaan elektrik.

    Berbeza dengan Jazz petrol yang diberikan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, Jazz Hybrid ini diberikan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson berkuasa 110 PS dan tork maksima 134 Nm. Motor elektrik yang dibekalkan pula mampu menjana 30 PS (22 kW)/160 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 137 PS dan tork puncak 170 Nm.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Sebagai perbandingan, model petrol biasa hanya menghasilkan kuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm. Atas kertas, model hibrid jelas lebih berkuasa – menghasilkan 17 PS/25 Nm kuasa tambahan. Tork segera dari motor elektrik juga memberikan respon yang lebih baik pada model hibrid ini berbanding model petrol konvensional.

    Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD pada Jazz ini menghasilkan kuasa yang setara dengan enjin 1.8 tanpa induksi paksaan (Civic 1.8 menjana 141 PS/174 Nm; hanya 4 PS/4 Nm lebih berkuasa) dalam masa yang sama mampu mencapai penggunaan petrol hanya 4.0 liter untuk perjalanan 100 km. Ia bersamaan dengan 25 km/l berbanding 17.2 km/l yang dicapai oleh Jazz Hybrid generasi sebelum ini.

    Pakej sistem Sport Hybrid i-DCD ini juga menghasilkan kuasa dua kali lebih besar dan juga tork 1.8 kali lebih tinggi dari apa yang ditawarkan oleh sistem IMA dengan enjin petrol 1.3 liter. Selain dari kecekapan kuasa dan bahan api, sistem baharu ini juga menampilkan pakej yang lebih kecil dan ringan.

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, motor elektrik pada sistem hibrid i-DCD Honda kini menggunakan magnet neodymium yang dihasilkan dengan proses pemanasan tanpa sebarang material nadir bumi. Walaupun tanpa bahan tersebut, magnet yang dibina bersama Daido Steel ini masih lagi dapat mengekalkan sifat kalis suhu panas dan prestasi medan magnet yang tinggi yang diperlukan oleh sebuah motor elektrik hibrid. Magnet mesra alam tanpa sebarang nadir bumi ini telah digunakan buat pertama kali pada Freed Hybrid pasaran Jepun tahun lalu dan kini turut digunakan pada Jazz.

    Magnet neodymium merupakan magnet yang mempunyai daya magnetik yang paling kuat antara semua magnet, dan digunakan dalam motor pacuan untuk kenderaan EV dan hibrid. Magnet ini perlu mempunyai sifat kalis suhu tinggi yang mana campuran bahan nadir bumi berat (disprosium dan/atau terbium) diperlukan untuk mendapatkan sifat tersebut dalam proses penghasilan secara konvensional.

    Walau bagaimanapun, elemen nadir bumi ini terdapat secara tidak tetap di seluruh dunia – China merupakan sumber utama nadir bumi ini buat masa sekarang. Penggunaannya mempunyai risiko dari segi memperolehinya secara tetap dan kos bahan, oleh itu, teknologi baharu ini merupakan kejayaan besar buat Honda.

    Untuk magnet baharu ini, Daido mengevolusikan teknologi ubahbentuk pemanasan mereka dan Honda menggunakan pengalaman mereka dalam pembangunan motor pacuan serta mereka semula bentuk magnet berkenaan.

    Honda turut merekabentuk motor baharu yang akan menggunakan magnet baharu ini, dengan mengubah semula bentuk rotor pada motor berkenaan untuk mengoptimakan aliran fluks magnetik. Menurut Honda, tork, kuasa dan prestasi kalis suhu adalah sama dengan motor yang menggunakan magnet jenis konvensional.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Perubahan besar lain pada sistem i-DCD ini berbanding sistem IMA adalah sistem transmisinya di mana kotak gear CVT kini digantikan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan (tetapi, varian hibrid tidak diberikan mod manual sama ada pada tuil gear atau pedal pada stereng). Selain dari respon yang lebih seronok pada transmisi DCT ini, apa lagi yang membuatkannya dipilih menggantikan transmisi CVT?

    Seperti yang dinyatakan tadi, motor elektrik pada sistem ini dibina sekali di dalam kotak gear DCT berkenaan. Ini bermaksud sistem hibrid baharu ini boleh beroperasi dengan mod elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol berbanding sistem IMA yang hanya bertindak sebagai motor sokongan ketika kereta sedang memecut dan enjin petrol sentiasa dalam keadaan hidup ketika ia sedang bergerak.

    Walau bagaimanapun, anda tidak boleh memilih sendiri agar sistem ini berfungsi dengan mod elektrik sepenuhnya dengan menggunakan suis atau sebagainya, sebaliknya sistem berkenaan dikawal oleh komputer yang akan membuat keputusan bila mod elektrik sepenuhnya ini boleh digunakan – ketika cruising dalam kelajuan rendah misalnya. Kereta ini juga sentiasa akan bermula dalam mod elektrik (bermaksud anda enjin petrol tidak akan terus dihidupkan sebaik sahaja anda menekan butang penghidup enjin) dan enjin petrol hanya akan dihidupkan secara automatik apabila ia diperlukan.

    Menurut Honda, mod elektrik sepenuhnya ini dapat digunakan sehingga kelajuan 80 km/j. Jika anda memandunya secara konsisten dengan kelajuan purata sekitar 40-50 km/j, ia mampu bergerak pada jarak satu hingga dua kilometer tanpa menghidupkan enjin petrol. Walaupun jarak tersebut tidaklah begitu jauh, namun ia tetap lebih baik dari sistem IMA yang memerlukan enjin sentiasa beroperasi.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Ketika pedal pendikit dikerah untuk memecut, enjin petrol dan motor elektrik beroperasi bersama-sama untuk memutarkan roda hadapan. Enjin petrol akan berfungsi secara sendirian ketika cruising pada kelajuan tinggi, dan hanya dibantu oleh motor elektrik sekiranya tujahan diberikan pada pendikit; misalnya untuk memotong.

    Butang mod ‘S’ (untuk Sport) turut diberikan, diletakkan berhampiran dengan tuil penukar gear yang direka khas untuk varian hibrid ini. Setelah mod ‘S’ ini dipilih, sekali lagi enjin petrol dan motor elektrik akan berfungsi bersama bagi memberikan kuasa keseluruhan, disertakan sekali dengan corak penukaran gear yang lebih sporty.

    Juga berbeza dengan sistem IMA, klac pada transmisi DCT sistem i-DCD ini dapat memutuskan hubungan antara enjin dan kotak gear pada masa-masa tertentu. Ketika kedua-duanya beroperasi bersama sewaktu memecut, klac tentunya digunakan untuk menghubungkan enjin dan kotak gear.

    Tetapi dalam mod elektrik sepenuhnya ketika kereta mula beroperasi dan juga ketika cruising pada kelajuan rendah hingga sederhana, klac memutuskan terus transmisi dan enjin bagi mengurang kehilangan tenaga. Hubungan antara kotak gear dan enjin turut diputuskan oleh klac ketika kereta dalam keadaan nyah pecut, membolehkan pengecasan semula oleh motor elektrik terhadap bateri dapat dilakukan secara lebih efisien.

    Perbezaan lain antara sistem Jazz Hybrid baharu dan lama ialah pada sistem pendingin hawanya. Unit pemampat (compressor) pada sistem sebelum ini masih digerakkan oleh enjin petrol secara konvensional menerusi tali sawat. Manakala untuk pemampat pada Jazz Hybrid baharu ini, ia menggunakan sistem yang hampir sama dengan Civic FB Hybrid – digerakkan motor elektrik dengan bekalan kuasa dari bateri Li-ion.

    Ini membolehkan sistem pendingin hawa berkenaan sentiasa berfungsi sepenuhnya walaupun semasa enjin petrol dimatikan, berbeza dengan sistem IMA pada Jazz Hybrid, CR-Z atau Insight sebelum ini yang pendingin hawanya turut tidak beroperasi sekiranya enjin petrol dimatikan secara automatik semasa auto start-stop berfungsi ketika kelajuan enjin melahu (idling).

    Menurut Honda lagi, suhu dalam kabin boleh meningkat empat darjah selsius sekiranya sistem pendingin hawa berhenti beroperasi selama 60 saat pada sistem terdahulu. Oleh itu, penambahbaikkan pada sistem terbaharu ini pastinya amat ditagih oleh pengguna di Malaysia.

    Selain itu, komponen yang menyepadukan bateri Li-ion dan converter dikenali sebagai Intelligent Power Unit (IPU) juga kini 23% lebih kecil dan juga 5.6% lebih ringan dari sebelum ini, disamping mampu menghasilkan kuasa lebih besar (10 kW untuk IMA dan 22 kW untuk i-DCD). Ia diletakkan pada lantai but belakang – bermaksud Jazz Hybrid masih lagi tidak diberikan tayar ganti, sebaliknya dibekalkan dengan kit baik pulih sementara yang diletakkan pada bahagian sisi but.

    Kapasiti but versi hibrid ini juga 49 liter lebih kecil berbanding versi petrol, memberikan ruang keseluruhan 314 liter. Tempat duduk belakang masih lagi boleh dilipat bagi memberikan ruang tambahan dengan kapasiti 835 liter (881 liter untuk versi petrol), serta konfigurasi Ultra Seat signatur Jazz masih lagi boleh digunakan sepenuhnya.

    Jadi, mengapa Malaysia dipilih untuk menerima varian hibrid ini dan ia tidak ditawarkan pada mana-mana pasaran lain selain Jepun? Menurut Honda Malaysia, selain dari insentif EEV yang menarik dari kerajaan, mereka turut yakin dengan penerimaan kereta hibrid oleh masyarakat Malaysia.

    Walau bagaimanapun, persepsi berkenaan ketahanan sistem hibrid dan kegusaran kerosakan terhadap baterinya masih lagi menebal, tambahan pula sistem i-DCD ini menggunakan kotak gear DCT yang sememangnya sudah menjadi masalah utama kepada pengeluar-pengeluar Eropah pada pasaran Malaysia.

    Sistem transmisi DCT i-DCD ini juga sebenarnya telah menimbulkan masalah di Jepun setelah dilancarkan pada tahun 2014 dahulu sehinggakan notis panggilan semula dikeluarkan. Setelah itu, Honda telah berjaya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ketahanan transmisi DCT mereka. Mereka juga turut menjalankan ujian di Malaysia bagi mendapatkan input untuk mempertingkatkan lagi sistem Sport Hybrid i-DCD ini.

    Honda sangat yakin bahawa Jazz Hybrid mampu untuk bertahan dengan penggunaan rakyat Malaysia yang sememangnya agak lasak dan mencabar. Situasi pemanduan di sini bukan setakat faktor panas dan lembap serta keadaan permukaan jalan raya, pemandu-pemandu Malaysia juga mempamerkan corak pemanduan yang agak agresif.

    Keyakinan Honda hadir setelah mereka menguji sendiri Jazz Hybrid i-DCD ini pada jalan raya sebenar Malaysia selama dua tahun. Menurut pembantu ketua projek Yoshihiro Akiyama dan ketua projek Takahiro Noguchi yang tiba di Malaysia sempena pelancaran model baharu ini, dalam ujian yang dinyatakan tadi, Jazz Hybrid telah mengharungi pelbagai situasi unik Malaysia termasuk kesesakan jalan raya dengan aliran trafik berhenti-mula yang konstan (pasukan ujian turut ‘menyibukkan’ diri mereka dalam kesesakan balik kampung semasa Hari Raya) serta mengujinya untuk ‘memanjat’ Genting Highland.

    Menurut mereka lagi, perjalanan untuk ke puncak Genting juga adalah bersifat tersendiri kerana gradien ketika mendaki serta ruang dan peluang untuk memotong pada laluan berkenaan agak unik. Secara keseluruhan, ujian dua tahun berkenaan meliputi perjalanan sejauh 7,000 km – ia mungkin tidak jauh sekiranya ujian dijalankan untuk komponen yang baharu di bina, tetapi ia sudah lebih dari cukup untuk ujian terhadap produk sedia ada dan dijalankan untuk mempertingkatkan ketahanannya.

    Hasilnya, kotak gear berkenaan kini telah mengadaptasi corak penggunaan di Malaysia. Hasil ujian ini bukan sahaja memberi faedah untuk pasaran Malaysia, malah komponen-komponen akhir yang lebih tahan berkenaan turut digunakan untuk pasaran Jepun. Jazz Hybrid pasaran Jepun dan Malaysia kini berkongsi komponen dan juga talaan. Video diatas menunjukkan situasi sebenar ketika pasukan R&D Jepun melakukan ujian mereka di Malaysia.

    Honda Jazz Hybrid 2017 – bagaimana sistem hibrid I-DCD berfungsi dan apa perbezaannya dengan IMA?

    Apa yang tidak dijelaskan dalam video tersebut adalah berkenaan nisbah gear yang telah diubah oleh Honda menerusi penemuan hasil ujian berkenaan. Gear dua, tiga, empat dan enam kini telah diberikan nisbah lebih rapat dan membolehkan pemetaan corak penukaran bervariasi yang mana talaannya bergantung pada kecederungan dan kecerunan permukaan jalan. Jurutera-jurutera berkenaan turut menjelaskan bahawa nisbah lebih rapat ini bukan sahaja lebih seronok untuk dipandu, tetapi ia juga dapat mengurangkan gelinciran dan mempertingkatkan ketahanannya.

    Honda Malaysia memasarkan Jazz Hybrid sebagai varian yang sporty dalam barisan model, dan kuasa lebih besar dihasilkan menerusi unit janakuasa Sport Hybrid i-DCD berbanding enjin petrol 1.5 liter SOHC i-VTEC sudah tentu dapat menampung tambahan berat sebanyak 67 kg (1,158 kg untuk Hybrid vs. 1,091 kg untuk Jazz E).

    Pengendalian versi Hybrid ini turut lebih dinamik dari versi petrol di mana Honda telah memandankan “rod berprestasi tinggi” bagi meningkatkan kekerasannya, kadar spring dan penyerap hentak yang tersendiri serta nisbah stereng yang lebih pantas dari Jazz standard (14.7 vs 16.7).

    Untuk servo brek elektrik pula, kelebihan utamanya adalah untuk mempertingkatkan pengecasan semula tenaga. Namun, komponen ini juga didakwa mampu memberikan perasaan lebih semulajadi pada pedal brek serta prestasi brek yang lebih linear. Model hibrid juga diberikan penebat tambahan pada firewall, di belakang papan pemuka.

    Jazz Hybrid 2017 ditawarkan dengan ciri kelengkapan yang sama dengan varian pertengahan Jazz E (selain dari ciri khas untuk hibrid seperti paparan meter berlainan, tombol gear dan juga cruise control). Ini bermaksud, Jazz Hybrid bukanlah varian yang menerima kelengkapan tertinggi, dan ia juga bukanlah versi paling murah. Dengan harga RM87,500, varian hibrid ini menawarkan unit janakuasa yang dengan nilai yang agak baik.

    Selain dari perlindungan waranti lima tahun yang diberikan, bateri untuk sistem hibrid berkenaan turut menerima perlindungan selama lapan-tahun tanpa had perbatuan, sama seperti yang ditawarkan pada model-model IMA terdahulu. Ini mungkin serba sedikit memberikan keyakinan kepada pembeli kereta hibrid terpakai yang berusia sekitar dua hingga tiga tahun. Dan jika sesuatu diluar jangkaan berlaku menyebabkan bateri berkenaan terpaksa ditukar tanpa perlindungan waranti, bateri Li-ion kini dijual pada harga RM5,500.

    Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual sekitar 1,200 Jazz facelift sebulan, dan 120 unit daripadanya disasarkan dari varian Hybrid. Untuk mereka yang sudahpun menempah kereta ini, penghantaran kepada pembeli pertama dijangka bakal bermula pada penghujung Julai 2017.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Mugen

     
     
  • MRT laluan Semantan-Kajang dilancarkan 17 Julai ini

    MRT laluan Semantan-Kajang dilancarkan 17 Julai ini

    Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua dari Semantan ke Kajang dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Julai ini.

    “Saya telah memilih tarikh yang istimewa untuk pelancarannya iaitu pada 17 Julai, atau 17.7.17,” ujar Najib seperti mana yang disiarkan oleh The Star.

    Beliau turut berkata perkhidmatan MRT ini akan memberikan manfaat kepada lebih 500,000 pengguna setiap hari, sekaligus membantu meningkatkan perkembangan dan produktiviti nasional.

    “Ia adalah satu keperluan bagi melaksanakan sistem pengangkutan awam yang cekap yang akan menghubungkan bandar raya dengan pekan dan kawasan luar bandar,” ujarnya lagi.

    MRT fasa kedua ini melibatkan laluan sejauh 30 kilometer dan mempunyai 19 buah stesen. Ia melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas pengangkutan awam.

    Bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar, laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa Kedua ini bakal mempunyai enam stesen pertukaran yang menyambungkan rangkaian MRT dengan rangkaian perkhidmatan tren yang lain seperti LRT, KTM, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

    Stesen MRT Fasa Kedua ini berlokasi di Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Maluri dan Kajang. Kemudahan Park N’ Ride turut disediakan di stesen MRT terpilih di bawah Fasa Kedua ini seperti Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong, Sungai Jernih dan Kajang.

     
     
  • Bridgestone lancarkan Ecopia EP300 – dari RM180

    Bridgestone lancarkan Ecopia EP300 – dari RM180

    Bridgestone baru sahaja memerkenalkan tayar kenderaan penumpan mesra alam baru untuk pasaran Malaysia dikenali sebagai Ecopia EP300. Walaupun dinamakan sebagai tayar mesra alam, EP300 ini dikata turut menawarkan tiga kelebihan lain iaitu kecekapan bahan api, cengkaman baik di atas permukaan basah dan tahan lama.

    Kecekapan penggunaan bahan api yang disediakan oleh tayar EP300 ini terbukti, apabila dibandingkan dalam ujian dengan EP200, ia dapat memberikan tambahan 11.2 km untuk setiap isian penuh tangki. Dalam ujian perbandingan jarak membrek di atas jalan basah, EP300 ini juga boleh berhenti dalam jarak 1.27 meter lebih pendek.

    Bridgestone lancarkan Ecopia EP300 – dari RM180

    EP300 juga dibangunkan dengan teknologi NanoPro Tech, dengan polimer baru yang dapat meningkatkan cengkaman di permukaan basah. Selain itu, rekaan bunga baru juga menyumbang kepada prestasi lebih baik menentang hydroplanning, kawalan lebih baik dan bunyi yang kurang. Bahagian tepi tayar pula dijadikan lebih tahan lama.

    Bridgestone Ecopia EP300 ditawarkan dalam 13 saiz berbeza, bermula dengan saiz 195/50 hingga 215/65 untuk rim saiz 15 inci, 185/55, 205/55 dan 215/60 untuk rim 16 inci dan 215/55 untuk rim 17 inci. Harganya pula terletak di antara RM180 hingga RM450, tidak termasuk GST. Bridgestone tidak mempunyai kilang di Malaysia, jadi, tayar ini datang dari sama ada Thailand, Vietnam dan Indonesia.


     
     
  • Subaru XV 2017 dilancarkan di Taiwan – bakal tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini

    Subaru XV 2017 dilancarkan di Taiwan – bakal tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini

    Subaru XV serba baharu telah pun dilancarkan bagi pasaran serantau di Taiwan, hanya beberapa bulan selepas kali pertama SUV ini didedahkan di Geneva Motor Show tahun ini.

    Bagi penggayaannya, kelihatan XV ini diolah daripada imej yang diperagakan oleh Impreza hatchback, malah turut ditampilkan dengan pelbagai elemen yang cukup rugged. Malah pada bahagian luarannya, kekemasan plastik berwarna hitam kusam menjadi pilihan, termasuk ditampilkan dengan gril hadapan dan rel bumbung yang lebih tebal serta lampu utama yang lebih tajam. Malahan XV ini kelihatan lebih sporty apabila jarak kelegaan tanahnya mencecah 220 mm berbanding 130 mm pada Impreza.

    Bahagian hadapan XV 2018 ini menampilkan imej baharu dengan padanan gril haksogan dengan lapisan hitam pada bampar menampakkan sifat bergaya SUV ini. Gril tersebut turut disambungkan pada lampu utama ‘mata-helang’. Garisan berkarakter terserlah dari gerbang roda hadapan bersambung ke bahagian belakang, secara tidak langsung mewujudkan profil sisi yang lebih dinamik.

    Ia juga digandingkan dengan rekaan baharu bagi rim aloi yang nampak lebih sporty dan kasual. Lampu belakang kombinasi bersama spoiler bumbung berwarna hitam dengan bampar belakang disalut lapisan hitam kusam turut menampakkan sifat rugged XV serba baharu ini.

    Bahagian kabinnya juga dipertingkatkan termasuk menampilkan rekaan tempat duduk yang direka semula dan kekemasan kelabu telah menjadi pilihan bagi menyerlahkan lagi karakter XV ini. Selain itu, ia turut menampilkan papan pemuka serba baharu termasuk panel instrumen di bahagian tengah dengan paparan skrin sesentuh 8.0-inci untuk sistem infotainmen, bersama sambungan telefon pintar. Perincian jahitan berwarna jingga turut menghiasi panel instrumen sebagai pelengkap gaya bahagian kabin XV 2018 ini.

    Brek parkir elektronik juga telah ditampilkan bagi menggantikan unit brek tangan pada model XV sebelumnya. Malahan saiz roda stereng juga dikurangkan bagi memberikan keselesaan yang lebih jitu, serta menambahkan nisbah pengendalian stereng (dari 14:1 ke 13:1).

    Subaru XV 2017 dilancarkan di Taiwan – bakal tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini

    Untuk pasaran Taiwan, XV akan ditawarkan dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-S, kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol baharu 2.0 liter naturally-aspirated suntikan-terus empat-silinder (dengan sistem idle stop). Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 154 hp (156 PS) pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan bersama Lineartronic CVT, yang dikatakan 7.8 kg lebih ringan berbanding model XV yang terdahulu.

    XV baharu ini turut menawarkan Penvektoran Tork Aktif bagi menambahkan pemanduan dinamik, bersama sistem Symmetrical AWD. Malahan kini ia juga dilengkapi dengan X-Mode untuk kawalan yang lebih baik terutamanya ketika merentasi permukaan jalan yang kurang rata.

    Ia juga dibina dengan menggunakan senibina Subaru Global Platform (sama seperti Impreza baharu) yang telah diperbaharui sepenuhnya yang dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. XV serba baharu ini juga telah dipertingkatkan ketegarannya dengan pusat graviti yang direndahkan sebanyak 70%.

    Elemen lain yang turut ditampilkan bagi varian 2.0i termasuklah sistem audio 6.5-inci, akses kod PIN, tempat duduk hadapan larasan manual dan kamera pandang belakang.

    Sementara itu, bagi varian 2.0i-S pastinya menerima elemen yang lebih berbanding 2.0i, termasuklah lampu utama LED dengan respon stereng, sistem audio 8-inci, pendingin hawa automatik dwi-zon, paparan pelbagai-ingo gred-tinggi, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dan rim aloi 18-inci yang dibaluti tayar 225/55.

    Subaru XV 2017 dilancarkan di Taiwan – bakal tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini

    Bagi aspek keselamatannya, kedua-dua varian dilengkapi dengan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ABS, bantuan brek dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

    Walau bagaimana pun, varian 2.0i-S menerima kit keselamatan yang lebih komprehensif, yang tidak ditampilkan pada model semasa XV yang dijual di Malaysia. Ini termasuklah kepekaan lintasan-trafik belakang, pengesan titik buta, bantuan lampu tinggi, dan bantuan tukar lorong.

    Subaru XV serba baharu ini dijangka akan tiba ke pasaran Malaysia pada suku ke-empat tahun ini dan seperti mana model XV semasa, ia juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

    Subaru XV 2.0i 2017

    Subaru XV 2.0i-S 2017

     
     
  • KPDNKK bakal memperkenalkan langkah khas bagi meringankan beban pengusaha stesen minyak

    KPDNKK bakal memperkenalkan langkah khas bagi meringankan beban pengusaha stesen minyak

    Bagi meringankan beban para pengusana stesen minyak yang menghadapi trend penurunan harga bahan api petrol dan diesel, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memperkenalkan langkah khas dan yang sesuai untuk isu ini.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pengumuman berhubung usaha kementerian itu akan dilakukan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan syarikat minyak minggu depan, laporan Bernama.

    “Rakyat sangat gembira kerana harga bahan api turun hampir setiap minggu, tiada rungutan daripada mereka tetapi sebaliknya, pengusaha minyak telah mengalami kerugian,” katanya kepada pihak media.

    Sambungnya lagi, “Apabila harga minyak turun, apa jua stok yang mereka ada, pengusaha terpaksa jual walaupun harga itu berdasarkan harga minggu lepas. Jadi kami terpaksa membuat perkiraan, jadi saya akan mengadakan perbincangan dengan syarikat minyak minggu depan.”

    Hamzah berkata masalah itu turut dibangkitkan kepada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan beberapa strategi akan dilaksanakan untuk membantu pengusaha minyak.

     
     
  • Op Selamat 11 sempena Aidilfitri bermula 14 Jun ini

    Op Selamat 11 sempena Aidilfitri bermula 14 Jun ini

    Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, Ops Selamat 11 akan dilaksanakan bermula 14 Jun ini. MenurutTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, operasi trafik berkenaan diteruskan dengan bertujuan mendidik pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya semasa musim perayaan.

    “Selain penguatkuasaan, kesedaran orang ramai juga penting untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di musim perayaan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan sebanyak 1.4 juta daripada 5.3 juta jumlah saman masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik bagi tempoh tahun lepas.

    Beliau juga menasihati pengguna jalan raya agar berhati-hati dalam pemanduan. “Jika anda tidak melakukan sebarang kesalahan, jangan risau soal saman, dan angka kemalangan juga boleh dikurangkan,” ujarnya.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia melancarkan Hap Seng Kuching Autohaus – sediakan fasiliti 3S

    Mercedes-Benz Malaysia melancarkan Hap Seng Kuching Autohaus – sediakan fasiliti 3S

    Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya telah melancarkan Hap Seng Kuching Autohaus, pusat sehenti pertama seumpamanya di Malaysia Timur. Fasiliti dengan kos perlaburan sebanyak RM53 juta yang terletak di Kuching, Sarawak ini berkeluasan 18,383 kaki persegi dan turut menyediakan kemudahan 3S sepenuhnya (jualan, penyelenggaran dan alat ganti) bagi kereta penumpang dan kenderaan komersil Mercedes-Benz.

    Autohaus ini memiliki 40 orang kakitangan terlatih bagi bahagian jualan, perkhidmatan teknikal dan alat ganti. Pusat servis ini mempunyai kapasiti untuk menyelenggara sehingga 510 buah kenderaan sebulan dengan adanya 16 petak penyelenggaran termasuk kemudahan mengecat badan kenderaan. Fasiliti ini juga menyediakan kemudahan penyelenggaran bagi kenderaan komersil FUSO.

    “Pelancaran Mercedes-Benz Hap Seng Kuching Autohaus ini membuktikan komitmen kami untuk memperkuatkan kehadiran kami di Malaysia Timur. Sasaran kami adalah memberikan para pelanggan menerima pengalaman yang memuaskan bagi perkhidmatan disediakan,” ujar Dr. Claus Weidner, presiden dan CEO Mercedes-Benz Malaysia.

    “Lebih 40 tahun kami menumpukan usaha untuk memberikan satu pengalaman premium dan eksklusif yang sinonim dengan jenama Mercedes-Benz. Buat masa ini, Hap Seng Star memiliki lapan pengedar kenderaan penumpang dan Hap Seng Commercial Vehicle pula mempunyai tujuh cawangan di seluruh negara,” ujar Harald Behrend, CEO Hap Seng Star dan COO kumpulan Hap Seng Consolidated.

    Hap Seng Kuching Autohaus menyertai Miri dan Kota Kinabalu bagi kemudahan yang disediakan di bahagian Malaysia Timur. Terdapat 11 Mercedes Autohaus di Semenanjung Malaysia termasuk Bukit Tinggi, Balakong, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh, Kinrara, Klang, Ipoh, dan Kuantan.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Modenas Pulsar RS200 dan NS200

    Bulan lepas, Modenas telah memperkenalkan tiga buah motosikal yang dipasang di kilangnya di Gurun, Kedah untuk pasaran Malaysia, dengan kerjasama Bajaj Auto dari India iaitu V15, RS200 dan NS200.

    Sementara V15 adalah sebuah model retro dengan enjin 150 cc, RS200 dan NS200 pula adalah dua motosikal yang hampir sama, dengan perbezaan hanya pada bentuk badan dan beberapa aksesori lain.

    Kedua-dua motosikal ini menggunakan enjin satu silinder SOHC empat injap dengan penyejukan cecair, dan uniknya, ia mempunyai sistem Triple Spark Technology yang memberi makna ia mempunyai tiga palam pencucuh. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh dua motosikal ini adalah 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.3 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Pulsar RS200 dijual pada harga RM11,342 termasuk GST dan ia mempunyai fairing penuh seperti sebuah sports bike, dengan terdapat lampu utama jenis projector, lampu siang LED, brek cakera hadapan 300 mm, cakera 230 mm di belakang, angkup brek Bybre dan sistem brek ABS.

    Pulsar NS200 pula direka dengan gaya sebuah motosikal naked, dijual pada harga RM9,222, termasuk GST dan ia dilengkapi brek cakera hadapan 280 mm, cakera 230 mm di belakang, penghadang enjin, tongkat tengah, dan kedudukan lebih tinggi. Model ini juga tidak mempunyai sistem brek ABS.

    Masih terdapat beberapa lagi perbezaan di antara kedua motosikal ini, dan anda boleh mengtahuinya dengan menonton video di atas, dan ia turut disertai dengan pendapat kami berkenaannya.

    GALERI: Modenas Pulsar RS200

    GALERI: Modenas Pulsar NS200

     
     
  • Hyundai Tucson Turbo 1.6 T-GDI kini rasmi di pasaran Malaysia – 175 hp/ 265 Nm, dijual pada harga RM146k

    Hyundai Tucson Turbo 1.6 T-GDI kini rasmi di pasaran Malaysia – 175 hp/ 265 Nm, dijual pada harga RM146k

    Baharu sahaja didedahkan spesifikasi serta harga jangkaannya pagi tadi, berita baharu yang kami terima mengesahkan bahawa Hyundai Tucson yang dijana enjin turbo 1.6 T-GDI kini rasmi menerjah masuk pasaran Malaysia. Perkara ini diumumkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors, dan SUV ini sah dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM145,588 – sama seperti harga yang disebut sebelum ini.

    Tucson versi kemaskini ini dijana oleh enjin petrol turbo 1.6 liter dengan suapan sistem suntikan bahan api terus T-GDI, menghasilkan kuasa 175 hp pada takat 5,500 rpm dan juga tork maksima 265 Nm bermula 1,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Pada bahagian luar, model ini dipertingkat dengan adanya adanya lampu utama projektor LED dengan nyalaan lampu siang serta lampu penjuru LED, dan juga cat yang lebih gelap pada rim 17 incinya. Rim 19 inci lima jejari pula disediakan sebagai pilihan tambahan, dan disertakan dengan tayar 245,45R19, berbanding 225/45R17 untuk rim 17 inci.

    Hyundai Tucson Turbo 1.6 T-GDI kini rasmi di pasaran Malaysia – 175 hp/ 265 Nm, dijual pada harga RM146k

    Ciri baharu lain yang turut ditawarkan termasuk kamera hadapan, fungsi auto-hold pada brek parkir elektronik, dan juga sistem bukaan pintu tailgate belakang yang boleh dioperasikan tanpa sentuhan tangan.

    Selain daripada itu, kit standard versi turbo ini adalah sama seperti model paling tinggi yang dijual sekarang, iaitu 2.0 Executive. Ini termasuk lampu kabus depan dan belakang, lampu puddle, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi, kemasan kulit, tempat duduk pemandu larasan elektrik, kawalan tiga mod Drive Mode Control (Normal, Sports dan Eco) dan skrin informasi TFT LCD Supervision 4.2 inci.

    Kelengkapan lain yang akan disertakan pada kereta ini termasuk brek kecemasan elektronik, cermin pandang belakang anti-silau automatik dengan kompas, liang pendingin hawa di belakang, sistem informasi dan hiburan berasaskan Android dengan skrin lapan inci serta cruise control. Ciri keselamatan yang ada pula terdiri daripada enam-beg udara, ABS, EBD, BA, bantuan mula mendaki, kawalan menurun curam dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Hyundai turut menawarkan aksesori opsyenal untuk Tucson turbo ini yang terdiri dari dua pakej upholsteri (RM1,288 untuk merah dan RM1,988 untuk putih), kit badan (RM2,000) serta rim 19-inci lengkap dengan tayar (RM5,500). Setiap pembelian Hyundai Tucson 1.6 T-GDI akan dilindungi waranti lima tahun atau 300,000 km (yang mana sampai dulu) dan juga pakej servis percuma 50,000 km atau tiga tahun.

    Untuk spesifikasi lengkap Hyundai Tucson 1.6 T-GDI, sila layari laman Carbase.my.

     
     
  • Harga bahan api 8-14 Jun – semua turun antara 5-8 sen

    Harga bahan api 8-14 Jun – semua turun antara 5-8 sen

    Bagi minggu kedua bulan Jun 2017 iaitu dari 8 hingga 14 Jun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan penurunan harga buat RON 95, RON 97 dan diesel. Di mana harga siling bagi bahan api RON 95 turun sebanyak 5 sen menjadi RM2.05 seliter. Manakala RON 97 pula melibatkan penurunan sebanyak 7 sen, menjadi RM2.31 seliter.

    Bagi diesel Euro 2 pula turun sebanyak 8 sen, kini menjadi RM1.94 seliter dan Euro 5 pula RM2.04 seliter.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 14 Jun hadapan.

    Minggu sebelum ini iaitu 1 hingga 7 Jun 2017, ketiga-tiga harga bahan api utama diumumkan turun iaitu RM2.10 seliter bagi RON 95, dan RON 97 pula berharga RM2.38 seliter, masing-masing turun sebanyak 2 sen. Manakala diesel Euro 2 pula turun sebanyak 1 sen, menjadi RM2.02 seliter dan Euro 5 pula RM2.12 seliter.

    Penurunan harga bahan api utama ini memang dijangka kerana harga bahan api sedunia dilaporkan menyusut ekoran krisis diplomatik yang melibatkan Arab Saudi dan Qatar.

     
     
  • Lexus LC 500 serba baharu dibuka tempahan untuk M’sia – enjin 5.0L V8 dengan 471 hp/540 Nm, RM940k

    Lexus LC 500 serba baharu dibuka tempahan untuk M’sia – enjin 5.0L V8 dengan 471 hp/540 Nm, RM940k

    Seperti mana yang pernah dikhabarkan setahun yang lalu yang ia bakal tiba ke pasaran Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini telah mengumumkan Lexus LC 500 serba baharu mula dibuka tempahan. Sejak ditampilkan kali pertama di peringkat dunia di North American International Auto Show 2016, LC antara model Lexus yang paling mendapat permintaan yang tinggi.

    Bagi pasaran Malaysia, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM940,000 (tanpa insurans) bersama waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Malah pemiliknya juga bakal menikmati penyelenggaran berjadual percuma di mana-mana pusat servis Lexus bertauliah bagi lima tahun pertama.

    LC 500 dikuasakan oleh enjin 2UR-625 5.0 liter V8 N/A yang diambil daripada model GS F dan RC F. Walau bagaimana pun ia bukanlah 100% enjin Atkinson-cycle, sebaliknya boleh ditukarkan ke mod antara Atkinson dan Otto-cycle apabila diperlukan. Namun demikian, enjin ini turut mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium.

    Untuk menyampaikan angin dengan lebih baik kepada enjin, terdapat dua saluran udara, manakala penyerap juga digunakan untuk mengurangkan bunyi dan gegaran. Penjana kuasa ini boleh menghasilkan 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ini seterusnya membolehkan LC 500 memecut 0-100 km/j di bawah 5.4 saat dan kuasa tersebut disampaikan oleh kotak gear automatik 10-kelajuan.

    Lexus LC 500 serba baharu dibuka tempahan untuk M’sia – enjin 5.0L V8 dengan 471 hp/540 Nm, RM940k

    Bagi rekaannya, nilai estetika menjadi taruhan, di samping dibaluti elemen penuh mewah, elegan dan sofistikated. Bahagian hadapannya ditampilkan dengan gril spindle unik Lexus menggunakan warna krom, dan mempunyai rekaan tautan baru – kepadatan rekaan tersebut semakin berkurangan apabila ia semakin meregang di sepanjang bahagian tengah kenderaan. Lampu siang LED berasingan menambah gaya unik yang dihasilkan oleh lampu utama tiga LED.

    Garis bumbung serta penggunaan kaca menimbulkan sesuatu yang dipanggil oleh Lexus sebagai bayangan unik, dengan c-pillar berwarna hitam yang menimbulkan visual bumbung tersebut seperti terapung. Hiasan krom pada bumbung tersebut menimbulkan rasa elegan, dengan penjuru belakangnya dihasilkan untuk kelihatan seperti pedang tradisional Jepun.

    Pada bahagian belakang, garis luar gril tadi dibawa juga ke belakang, tetapi pada garisan keliling lampu belakang, sebelum ditarik ke luar untuk mengikuti tempat letak no plat dan hujung luar ekzos. Lampu belakang itu sendiri mempunyai cermin yang menghasilkan pantulan tiga dimensi siri grafik berbentuk-L. Pembeli boleh memilih sama ada rim 20- atau 21 inci.

    Aerodinamik juga antara perkara penting yang diambil kira pada kenderaan ini. Selain salur udara dan pembelah angin yang boleh dilihat di hadapan dan sisi, bahagian bawah kenderaan juga direka dengan barang-barang yang selari dengan laluan udara dan boleh keluar dengan lancar ke bahagian diffuser belakang. Spoiler aktif yang boleh naik pada kelajuan 80 km/j disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Lexus LC 500 serba baharu dibuka tempahan untuk M’sia – enjin 5.0L V8 dengan 471 hp/540 Nm, RM940k

    Tempat duduk yang disediakan adalah jenis 2+2 dan kokpitnya bertumpu kepada pemandu, dengan terdapat pembahagi tengah di antara pemandu dan penumpang. Tahap pinggang pemandu diletakkan serendah mungkin kepada titik tengah graviti kenderaan, dan Lexus memberitahu bahawa hud dan panel meter yang rendah serta A-pillar yang nipis membantu penglihatan ke bahagian luar kenderaan, walaupun duduk rendah.

    Kedudukan di dalam LC seperti kereta lumba, dengan kaki melunjur masuk ke ruang yang luas di bawah papan pemuka. Tempat duduknya, menampilkan binaan dua bahagian berasingan untuk keselesaan dan boleh memegang dengan baik, sementara tempat duduk sports yang disediakan sebagai pilihan pula didatangkan dengan lebih sokongan.

    Semua butang yang berkaitan dengan pemanduan seperti pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan, butang pemula dan tombol gear diletakkan berhampiran dengan stereng manakala paparan informasi pula diletakkan pada kedudukan yang mudah dilihat dan pemandu tidak perlu mengalih mata terlalu jauh. Paparan meter dan informasi jenis TFT LCD dengan bulatan tengah yang bergerak adalah unit yang dibangunkan daripada model LFA.

    Model import sepenuhnya (CBU) dari kilang pemasangan Lexus di Motomachi, Jepun, ini turut dilengkapi dengan aspek keselamatan standard bagi semua model LC termasuklah Lexus Safety System+ serba lengkap, termasuk Sistem Pra-perlanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Brek Pra-Pelanggaran, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik Semua-Kelajuan, Kepekaan Ketibaan Lorong dengan Bantuan Stereng dan Lampu Tinggi Pintar.

     
     
  • Teaser SUV kecil Kia Stonic dalam bentuk lakaran

    Teaser SUV kecil Kia Stonic dalam bentuk lakaran

    Jika Hyundai bakal muncul dengan Kona tidak lama lagi, satu lagi jenama dari Korea iaitu Kia juga akan memperkenalkan calonnya untuk bersaing dalam pasaran SUV segmen-B untuk menentang nama-nama seperti Honda HR-V, Toyota C-HR dan juga Mazda CX-3. Muncul dengan teaser berbentuk lakaran, SUV dari Kia ini diberi nama Stonic – yang terhasil dari perkataan “speedy” dan “tonic”.

    Menerusi lakaran tersebut, crossover kompak ini mengenakan banyak signatur rekaan terkini dari Kia termasuk gril “hidung harimau” yang diapit dengan sepasang lampu hadapan berbentuk-trapezoid. Selain itu,ia turut direka dengan garis bahu yang agak menyerlah bersama bahagian ruang roda dengan rekaan yang lebar. Ia turut diberikan panel-panel pelindung di bahagian bawah, serta tip ekzos berkembar.

    Bahagian dalaman Stonic ini tampil agak ringkas. Ia diberikan papan pemuka dengan rekaan mendatar bersama skrin infotainmen yang kelihatan seperti terapung pada konsol tengah – sama seperti Rio dan Picanto generasi baharu. Stonic juga dijangka bakal berkongsi platform serta bahagian mekanikal lain dengan Kona, yang juga berkongsi dengan i20 dan i30 baharu.

    Oleh itu, ia berkemungkinan bakal menggunakan barisan enjin dari i30, termasuk enjin turbo petrol 1.4 liter T-GDI empat silinder dan juga turbo diesel 1.6 liter CRDi, dipadankan dengan pilihan transmisi enam-kelajuan manual atau tujuh-kelajuan klac berkembar automatik.

     
     
  • Lexus LS 350 diperkenal di China dengan 3.5 litre V6

    Lexus LS 350 diperkenal di China dengan 3.5 litre V6

    Lexus LS generasi kelima telah pun didedahkan di Detroit Auto Show pada tahun ini, dengan memperkenalkan varian LS 500, diikuti dengan LS 500h dan LS 500 F Sport. Terkini, Lexus telah memperkenalkan varian LS 350 untuk China ketika penganjuran Shenzen, Hong Kong and Macao International Auto Show 2017.

    Di bawah hudnya, LS 350 dijanakan oleh enjin 3.5 liter naturally-aspirated V6 dengan output 318 hp dan tork 380 Nm. Berbanding dengan enjin turbo-berkembar V6 pada LS 500, varian yang lebih rendah ini kurang 97 hp dan 219 Nm, tetapi turut dipadankan dengan transmisi torque-converter automatik 10-kelajuan.

    Seperti varian LS dan LC Coupe yang lain, LS 350 turut menggunakan platform Lexus Global Architecture – Luxury (GA-L) yang menawarkan kestabilan dan ketegaran yang dipertingkatkan hasil pusat graviti yang direndahkan dan pengagihan berat yang lebih optimum.

    Walau bagaimana pun, tiada imej ruang dalaman diedarkan, namun kemungkinan besar ia lebih kurang sama dengan LS 500 dan LS 500h. Untuk bahagian luarannya pula, seperti yang dapat dilihat, ia juga mirip dengan varian adik-beradiknya.

    Untuk pasaran China, LS 350 dijangka akan dijual pada harga sekitar satu juta yuan (RM628,073), meletakkannya lebih kurang sama dengan pencabar terdekatnya iaitu Mercedes-Benz S 320 L, yang bermula pada 938,000 yuan (RM589,133). Buat setakat ini, tiada pengesahan kemungkinan varian ini akan dijual di pasaran negara lain.

     
     
  • Hyundai Tucson 1.6 T-GDI turbo – harga dan spesifikasi awal didedah, termasuk pilihan aksesori

    Hyundai Tucson 1.6 T-GDI turbo – harga dan spesifikasi awal didedah, termasuk pilihan aksesori

    Nampaknya, selepas pelancaran Elantra hujung minggu ini, ia mungkin akan diikuti pula oleh varian 1.6 T-GDI turbo bagi Hyundai Tucson generasi ketiga. Lembaran spesifikasi dan harga bagi SUV ini – yang pernah dipertonton di Mid Valley Megamall beberapa bulan lalu – seperti memberitahu bahawa pelancarannya semakin hampir.

    Harga awal yang dikeluarkan untuk Tucson 1.6 T-GDI turbo adalah RM145,888, atas jalan dengan insurans. Turut didedahkan adalah harga untuk beberapa aksesori tambahan dan barangan lain yang ditawarkan untuk kenderaan tersebut.

    Dalam senarai tersebut ada empat pilihan. Pertama adalah kit badan, yang dijual pada harga RM2,000. Seterusnya adalah dua pilihan kulit untuk kemasan dalam – RM1,288 untuk yang berwarna merah seperti kenderaan yang pernah dipertonton sebelum ini, manakala untuk yang berwarna putih, harganya adalah RM1,988.

    Hyundai Tucson 1.6 T-GDI turbo – harga dan spesifikasi awal didedah, termasuk pilihan aksesori

    Barangan lain yang boleh didapati dengan bayaran tambahan adalah rim aloi 19 inci yang dibalut dengan tayar 245/45, seperti kenderaan pameran ini, dan ia berharga RM5,500. Secara standard, Hyundai Tucson turbo datang dengan rim 17 inci dan tayar 225/60.

    Tucson 1.6 T-GDI turbo menggunakan enjin empat silinder T-GDI 1.6 liter turbo direct injection yang mampu menghasilkan 177 PS pada l5,500 rpm dan 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm – satu peningkatan yang jelas berbanding 155 PS dan 192 Nm pada model 2.0 liter yang ada sekarang. Ia masih lagi menggunakan pacuan roda hadapan, tetapi kotak gear kini menggunakan unit klac berkembar tujuh kelajuan berbanding automatik enam kelajuan biasa.

    Pada bahagian luar, model ini dipertingkat dengan adanya adanya lampu utama projector LED dengan lampu siang serta lampu penjuru LED, serta cat yang lebih gelap pada rim 17 incinya. Rim 19 inci lima cabang pula disediakan sebagai pilihan tambahan, dan disertakan dengan tayar 245,45R19, berbanding 225/45R17 untuk rim 17 inci.

    Selain daripada itu, kit standard sepatutnya sama sahaja dengan model paling tinggi yang dijual sekarang, iaitu Executive. Ini termasuk lampu kabus depan dan belakang, lampu puddle, operasi tanpa kunci, butang pemula enjin, stereng pelbagai fungsi, kemasan kulit, tempat duduk pemandu larasan elektrik, kawalan tiga mod Drive Mode Control (Normal, Sports dan Eco) dan skrin informasi TFT LCD Supervision 4.2 inci.

    Kelengkapan lain yang akan disertakan pada kereta ini adalah brek kecemasan elektronik, cermin pandang belakang malap automatik dengan kompas, corong pendingin hawa di belakang, sistem informasi dan hiburan berasaskan Android dengan skrin lapan inci dan cruise control. Ciri keselamatan yang ada pula terdiri daripada enam beg udara, ABS, EBD, BA, hill start assist, hill descent control dan cagak ISOFIX.

    GALERI: Hyundai Tucson 1.6 T-GDI turbo di Midvalley

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026