Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Perodua Bezza tembusi pasaran Sri Lanka – RM103k

    Perodua Bezza tembusi pasaran Sri Lanka – RM103k

    Selepas memasuki pasaran Mauritius, Perodua Bezza 1.0 liter varian automatik telah dieksport ke Sri Langka pula. Majlis pelancarannya telah berlangsung semalam oleh pengedar rasmi Perodua di negara berkenaan iaitu Unimo Enterprises Ltd.

    Sri Lanka merupakan pasaran eksport terbesar bagi Perodua dengan menyaksikan sejumlah 14,000 unit telah terjual antara tahun 1997 dan 2017 (sehingga bulan Mei). Buat masa ini, Unimo turut membawa masuk model Axia yang telah terjual sebanyak 1,400 unit pada tahun lalu.

    “Kami melihat potensi yang besar di pasaran Sri Lanka sana biar pun (jenama) kami masih kecil di sana. Malah bermula tahun ini, kami serius mencari peluang yang lebih luas untuk mengembangkan pasaran eksport kami dan sedang belajar benda baharu bagi membolehkan visi kami menjadi pemain industri serantau tercapai,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Turut hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Persuruhanjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka, Wan Zaidi Wan Abdullah.

    Perodua Bezza tembusi pasaran Sri Lanka – RM103k

    “Kami percaya Bezza akan menerima sambutan yang menggalakkan di Sri Lanka memandangkan model ini dilengkapi dengan pelbagai elemen, termasuk ruang yang luas, rekaan yang menarik, penjimatan bahan api dan bersifat versatil,” ujar Chanaka Yatawara, Kumpulan CEO dan Pengarah Eksekutif Unimo Group.

    Perodua Bezza untuk pasaran Sri Lanka ditawarkan pada harga Sri Lankan Rupee $3.69 juta (RM103,162.29).

    Sejak tahun 1997, Perodua telah mengeksport lima modelnya ke Sri Lanka, iaitu Perodua Kancil, Kenari, Kelisa, Viva serta Axia. Secara keseluruhannya, Perodua telah mengeksport 1,600 unit pada tahun ini (dari Januari hingga Mei 2017) ke enam buah negara termasuk Indonesia iaitu bagi model Daihatsu Sirion.

    “Sejak kami memulakan program eksport ini, kami telah mengeksport 75,000 unit kenderaan di 21 buah negara,” ujar Aminar lagi.

     
     
  • Spesifikasi dan harga Hyundai Elantra 2017 untuk pasaran M’sia didedahkan – 3 varian, bermula RM120k

    Spesifikasi dan harga Hyundai Elantra 2017 untuk pasaran M’sia didedahkan – 3 varian, bermula RM120k

    Klik untuk besarkan

    Sebelum pelancaran rasminya di Malaysia pada hujung minggu ini, pengedar-pengedar Hyundai kini telah mula mengedarkan brosur dengan spesifikasi lengkap untuk Hyundai Elantra 2017. Sedan segmen-C ini nampaknya bakal dipasarkan di Malaysia dalam tiga varian iaitu 2.0 Executive, 2.0 Dynamic, dan juga versi paling sporty 1.6 Turbo.

    Disamping spesifikasi lengkap berkenaan, harga tentatif untuk Elantra generasi baharu ini turut didedahkan di mana model asas 2.0 Executive dijual pada harga RM119,899, RM124,237 untuk varian pertengahan 2.0 Dynamic, manakala varian tertinggi 1.6 Turbo dijual pada harga RM135,404. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran.

    Untuk model 2.0 liter, ia dijana enjin Nu MPI empat silinder menghasilkan kuasa 152 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan bersama transmisi automatik enam-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Bagi model suapan pengecas turbo pula, ia diberikan enjin 1.6 liter Gamma T-GDI empat silinder menjana 204 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm bermula pada 1,500 hingga 4,500 rpm. Enjin berkenaan juga diberikan transmisi lebih sporty iaitu kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik.

    Kedua-dua versi janakuasa ini juga hadir dengan sistem suspensi berlainan dimana model 2.0 liter NA diberikan sistem torsion beam pada bahagian belakang, manakala untuk versi 1.6 Turbo pula diberikan suspensi belakang lebih jitu dari jenis multilink.

    Varian Executive dan Dynamic 2.0 liter menampilkan ciri-ciri yang hampir sama – hanya kit badan dan lampu nyalaan siang LED bina dalam untuk membezakan varian asas dan pertengahan berkenaan. Ciri lain yang diberikan standard untuk kedua-dua varian ini termasuk lampu hadapan halogen projektor automatik, lampu kedudukan LED, lampu kabus hadapan (hanya untuk Executive) dan juga rim aloi 17-inci.

    Spesifikasi dan harga Hyundai Elantra 2017 untuk pasaran M’sia didedahkan – 3 varian, bermula RM120k

    Model-model 2.0 liter ini juga diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, upholsteri sued dan kulit, cermin pandang belakang anti-silau automatik, pendingin hawa manual, penderia parkir depan dan belakang, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama Apple Carplay dan Android Auto, kamera undur, dan juga bukaan penutup but belakang tanpa sentuhan tangan.

    Untuk model Turbo pula, ia diberikan penampilan lebih agresif dengan rekaan berlainan pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi lebih labuh dan juga tip ekzos berkembar. Pada bahagian dalaman, ia diberikan roda stereng rata di bawah yang sama seperti Ioniq (tetapi dengan jalur merah di bahagian bawah), kemasan-kemasan gentian karbon palsu pada papan pemuka, serta upholsteri hitam-merah pada panel pintu dan juga tempat duduk.

    Selain itu, varian tertinggi ini turut diberikan lampu hadapan xenon, lampu nyalaan siang LED, pengelap cermin automatik, pendingin hawa automatik dua-zon dan juga pedal penukar gear pada roda stereng.

    Walau bagaimanapun, kesemua tiga varian menerima ciri keselamatan yang sama terdiri dari enam beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan stabiliti elektronik, bantuan mula mendaki dan juga sistem pemantau tekanan angin tayar. Untuk model tertinggi, ia turut ditambah dengan sistem pemantau titik buta dan juga amaran lintasan trafik belakang.

     
     
  • Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Bulan lalu, Peugeot telah menunjukkan model 308 facelift baru, tetapi hanya satu gambar sahaja yang dikeluarkan. Ia kemudiannya disusuli pula dengan satu lagi gambar model 308 GTi. Kini, syarikat pengeluar dari Perancis itu menyiarkan semua gambar kenderaan ini, menampakkan rupanya dari setiap sudut.

    Jika dibandingkan dengan model 2014 sebelum ini, 308 facelift menggunakan bonet baru, bagi menjadikan ia serasi dengan gril mendatar baru, bersama logo singa di tengah dan nama Peugeot. Bahagian bampar dibentukkan semula menjadi lebih agresif dan ia turut mempunyai lampu utama projector baru. Bagi model GT Line, GT dan GTi, ia menggunakan lampu utama LED.

    Di bawah sedikit, terdapat bukaan udara yang lebih besar, dan bagi varian GT Line, GT dan GTi, ia akan menerima bampar yang lebih sporty, seperti 308 sedan China. Pergi ke belakang, tempat mengisi minyak kereta ini dijadikan lebih petak untuk menempatkan lubang pengisi AdBlue manakala light guide LED lampu belakangnya menyala sepanjang masa. Pilihan rim juga adalah baru.

    Di dalam, perubahannya lebih ringkas, dengan penukaran barang seperti tombol gear elektronik pada model automatik, skrin sesentuh kapasitif baru dan dua pilihan kemasan dalam iaitu fabrik Meco Mistral untuk model Active dan fabrik Oxford pada model Allure yang menggunakan tempat duduk sports. Turut ditambah adalah sistem navigasi Tom Tom Traffic dan ciri Mirror Screen dengan MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto.

    Daripada aspek keselamatan, terdapat sistem Active Safety Brake dengan Distance Alert yang kini boleh mengesan kenderaan dan orang, dan boleh berfungsi pada kelajuan antara 5 km/j dan 140 km/j untuk kenderaan dan bawah 60 km/j untuk pejalan kaki. Penambahan baru lain adalah Active Lane Departure Warning, Driver Attention Warning, lampu tinggi automatik, pengesan had kelajuan dan fungsi berhenti untuk Adaptive Cruise Control.

    Peugeot turut mengambil peluang untuk memperkenalkan enjin baru pada 308 facelift. Paling bawah adalah enjin 1.5 liter BlueHDi 130 hp baru, dengan rekaan ruang pembakaran tersendiri untuk meningkatkan kecekapan pembakaran, serta selective catalytic reduction (SCR) yang dipasang sehampir yang boleh kepada enjin untuk tugas pemulihan yang paling cepat. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

    Peugeot 308 facelift didedahkan dengan enjin baharu

    Sementara itu, bagi enjin 2.0 liter BlueHDi 180 hp yang dibawa daripada model sebelum ini pada 308 GT kini dipadankan dengan transmisi automatik Aisin lapan kelajuan baru yang lebih kompak dan sehingga 2 kg lebih ringan berbanding transmisi enam kelajuan sebelum ini. Penggunaan bahan api berjaya dikurangkan sehingga 7% hasil daripada fungsi henti/mula enjin automatik yang kini boleh beroperasi sehingga kelajuan 20 km/j.

    Enjin petrol tiga silinder 1.2 liter PureTech 130 hp pula telah dinaik taraf, pengawal emisi di ekzos untuk penggunaan bahan api lebih baik dan pengurangan pencemaran. Meningkatkan pembakaran adalah pengawal suntikan berketepatan tinggi, manakala gas ekzos melalui catalytic converter seterusnya penapis partikel gasolin. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual.

    Paling tinggi adalah model GTi yang berkuasa 270 hp, hasil daripada penggunaan enjin empat silinder turbo THP 1.6 liter yang dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan sama seperti sebelum ini. Turut dilengkapkan pada model ini adalah limited-slip differential Torsen, brek cakera hadapan 380 mm, dan rim ‘Carbone’ 19 inci dengan tayar Michelin Super Sport bersaiz 235/35.

     
     
  • Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    Sekali lagi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed, menyentuh perihal Proton-Geely menerusi blog peribadinya chedet.cc, dan mengesahkan pernah melawat kilang Geely di China. Selain pernah melawat kilang Volvo di Sweden, Jaguar di Britain, Nissan dan Toyota di Jepun serta Volkswagen di Jerman.

    “Saya melawat banyak syarikat automotif di dunia untuk menjual Syarikat Proton. Tetapi saya gagal. Ternampak orang lain lebih berjaya, Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada mereka.

    “Mungkin saya gagal kerana bercakap berkenaan pembelian enjin dari Geely. Geely memiliki Volvo dan saya dapati rekaan enjin Volvo cukup baik. Proton tidak ada enjin yang boleh diterima oleh Eropah. Jika dipasang enjin Geely/Volvo, mungkin kita akan menepati spec Euro 6. Dahulu pasaran luar yang terbesar bagi Proton ialah Britain. Sekarang kita tak dapat jual barang sebiji pun kereta Proton di Britain dan di Eropah kerana tidak menepati Euro 5,” ujar Tun Mahathir dalam catatannya yang bertajuk “Melawat Geely.”

    Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    Beliau turut mengakui pernah cuba untuk menaiktaraf enjin Proton namun syarikat automotif tersebut menolaknya. Bahkan Tun Mahathir juga pernah membuat trak pikap. Mungkin ini senada dengan laporan yang disiarkan pada Mei 2016 di mana sebuah syarikat dari Indonesia, Esemka, dikatakan akan membangunkan trak pikap, dengan bekerjasama Proton.

    Bahkan pada pertengahan Julai lepas, Tun Mahathir pernah dilihat memandu sebuah Proton Preve versi trak pikap di ibu pejabat Bufori, Kepong, Walau bagaimana pun, berita yang dilaporkan selepas Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya sebagai pengerusi Proton, hingga kini masih menjadi tanda tanya.

    Namun menurut blog beliau, katanya, Proton bukan sahaja telah menolak untuk membangunkan trak pikap, tetapi juga tidak bersetuju menjual 1,000 Proton Preve, malah Tun Mahathir turut mendakwa ramai pembeli sanggup beralih dari sedan kepada pikap.

    Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    Selain itu, Tun Mahathir turut menyentuh mengenai isu Honda yang tidak membenarkan Perdana yang menggunakan enjin Accord dieksport.

    “Usaha dibuat untuk pasang enjin Campro Proton 1600cc dengan turbo charger yang mempunyai kuasa sama dengan Perdana 2000cc. Kereta ini didapati sama kuat dengan Perdana 2000cc dan mampu naik Genting Highlands tanpa sedikit pun masalah. Lagipun kos enjin Proton Campro RM8,000 lebih murah. Upgrade kepada 2400cc pun boleh. Tetapi Proton tolak,” ujarnya lagi.

    Mantan Perdana Menteri ini juga mendedahkan, untuk aliran tunai, Proton perlu menjual lebih 8,000 unit kenderaan setiap bulan, namun ternyata ia tidak berjaya, sekaligus menyebabkan bayaran untuk vendor dan overhead terjejas.

    “Oleh itu, para vendor tidak dapat membekalkan komponen kerana tidak dibayar. Kereta tidak dapat dipasang kerana tak cukup komponen. Keluaran rendah dari permintaan. Penjualan tidak dapat ditingkatkan. Demand ada. Bekalan kurang. Proton rugi,” dedahnya lagi sambil mengakui selepas meninggalkan syarikat automotif tersebut, pegawai dan kakitangan Proton tidak dibenarkan bercakap dengannya, termasuk mengatur sebarang pertemuan.

    Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    Sambungnya lagi, “Ramai pembekal berjumpa saya untuk saya tolong dapat duit yang dihutang oleh Proton. Tetapi saya tidak boleh buat apa-apa.”

    Tun Mahathir turut mengakui, kereta buatan proton sebenarnya lebih kurang setanding dengan kereta import yang sama harga dengannya. Malah masalah seperti tingkap berkuasa juga telah diatasi sejak 10 tahun lalu walau pun ia masih menjadi isu yang sering dibangkitkan.

    “Ramai yang membeli kereta Proton puas hati. Yang tidak puas hati tidak mengguna Proton, tidak tahu kualiti Proton. Mereka masih percaya cermin tingkap tidak naik.

    Tun Mahathir akui pernah kemuka cadangan agar Proton beli enjin dari Geely tetapi ia ditolak

    “Saya masih ingat zaman kereta Jepun dijadi objek ketawa kerana kononnya jika cat dikikis akan terlihat label Milo. Industri automotif Jepun dan Korea berjaya kerana Kerajaan mereka tidak benar kereta asing diimport sehinggalah kualiti kereta mereka sudah boleh bersaing dengan kereta import. Sehingga kini pun tak banyak kereta buatan asing di negara mereka,” ujarnya lagi.

    Walau bagaimana pun, katanya, Malaysia mengamalkan sikap terbuka di mana negara luar boleh menjual kenderaan mereka di sini. Tetapi kereta buatan Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara mereka atas pelbagai alasan dan kita terpaksa akur.

    Akhir kata darinya, “Tak usahlah pertahan bahawa kita masih ada kereta nasional. Kereta milik orang lain, dikeluar dan dijayakan oleh orang lain, tidak boleh diiktiraf sebagai nasional. Apakah dengan pegangan melebihi 0.1% maka pihak yang memiliki 49.9% tidak punyai apa-apa kuasa langsung. Ya. Memang terdapat kos yang tinggi mempertahan maruah. Lebih mudah jual sahajalah maruah.”

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Honda Jazz 2017 – perbezaan spesifikasi di antara empat varian yang ditawarkan

    Semalam, Honda Malaysia telah melancarkan model Jazz 2017 facelift secara rasmi untuk pasaran tempatan. Terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dari yang paling asas – S, E, Sport Hybrid dan V. Harganya pula ialah di antara RM74,800 hingga RM88,400.

    Tiga versi enjin petrol tampil dengan perubahan minimum dari sudut kosmetik, dengan menerapkan rekaan bampar baru yang menjadikan penampilan bahagian depannya sedikit berbeza dari unit yang terdahulu. Enjin bagaimanapun masih sama; 1.5 liter SOHC dengan janaan kasa 120 PS dan 145 Nm.

    Tambahan varian terbaru dalam kelurga Jazz 2017 ini tentulah Jazz Sport Hybrid i-DCD. Walaupun dari rekaan luaran tidak kelihatan perbezaan ketara dari versi petrol, namun enjin dan transmisinya adalah serba baru, tidak sama dengan janaan hibrid terdahulu yang digunakan pada kenderaan Honda.

    Ia hadir dengan enjin 1.5 liter DOHC kitaran Atkinson yang mampu menghasilkan 110 PS kuasa dan 134 Nm tork. Janaan kuasa gabungan yang dihasilkan oleh enjin ini dengan bantuan motor elektrik ialah 137 PS dan 170 Nm; ini menurut Honda menyamai kuasa yang dihasilkan oleh enjin 1.8L.

    Selain itu, transmisi yang digunakan juga adalah dari jenis klac berkembar kering. Honda Malaysia menyatakan sistem berkenaan telah diuji selama dua tahun di sini, termasuk laluan naik-turut Genting Hingland dan jalan sesak, dan mengesahkan ia tidak akan memberi masalah kepada pengguna.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut perbezaan penawaran bagi Honda Jazz 2017 ini, tonton video tinjauan awal terhadapnya yang kami sediakan ini.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 V

    GALERI: Honda Jazz 1.5 E

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

     
     
  • Jualan Toyota C-HR di Eropah memberangsangkan

    Jualan Toyota C-HR di Eropah memberangsangkan

    2017 Toyota C-HR Koba

    SUV segmen-B Toyota C-HR menunjukkan prestasi jualan yang sangat memberangsangkan di Eropah. Sejak diperkenalkan di benua berkenaan pada awal tahun ini, C-HR kini merupakan model ketiga paling laris Toyota pada pasaran tersebut, lapor Automotive News.

    Menurut data jualan yang disiarkan oleh JATO Dynamics sebelum ini, yang turut mendedahkan 30 kereta paling di dunia untuk suku pertama 2017, C-HR telah dijual sebanyak 31,888 unit di Eropah untuk suku pertama tahun ini dan menjadikannya sebagai model paling cepat berkembang dalam segmen SUV/crossover kompak. Nissan Qashqai merupakan peneraju segmen berkenaan dengan jumlah jualan sebanyak 75,114 unit.

    Menurut Toyota, mereka mensasarkan untuk menjual sebanyak 100,000 unit C-HR setahun di Eropah. Tetapi jika dilihat pada situasi sekarang, jenama berkenaan yakin ia dapat dijual lebih daripada itu – dianggarkan sebanyak 110,000 unit. Ini kerana pada penghujung April, 80,000 tempahan telah diterima, dan sekitar 80% pembeli di Eropah memilih C-HR dalam varian hibrid.

    Jualan Toyota C-HR di Eropah memberangsangkan

    2017 Toyota C-HR Koba with optional black roof

    Permintaan yang tinggi ini telah memaksa kilang Toyota di Sakarya, Turkey untuk beroperasi dengan lebih produktif dan setakat ini tempoh menunggu untuk pelanggan adalah sekitar dua bulan. Toyota menyatakan mereka kini sedang merombak semula bekalan bagi mengelakkan rasa tidak puas hati pelanggan atau tempoh menunggu yang tidak patut.

    Selain dari Eropah, C-HR kini turut telah menembusi pasaran Jepun dan Australia. Untuk pasaran ASEAN, ia telah membuat kemunculan sulung di Singapura pada Januari lalu dan kemudian telah dilihat diuji di atas jalan raya Thailand seminggu selepas itu. Menurut maklumat awal, ia akan mula diproduksi di negara Gajah Putih berkenaan pada tahun 2018.

    Selain Singapura dan Thailand, Indonesia turut telah mengesahkan spesifikasi unit janakuasa yang bakal diberikan pada C-HR pasaran mereka iaitu enjin petrol empat-silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE, sama seperti yang terdapat pada Sienta dan juga Vios facelift. Warih Andang Tjahjono, timbalan presiden bagi Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) berkata, syarikatnya bersedia untuk memproduksi model berkenaan secara pemasangan tempatan di sana.

    Jualan Toyota C-HR di Eropah memberangsangkan

    2017 Toyota C-HR Koba

    C-HR turut telah membuat penampilan sulungnya di Malaysia bulan lalu dan kemudian dilihat di sekitar kawasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) – berkemungkinan sedang dinilai dan menjalani ujian untuk vehicle type approval (VTA) oleh pihak berkuasa berkenaan. Walau bagaimanapun, UMW Toyota masih lagi belum membuat keputusan varian mana yang akan dibawa masuk ke pasaran tempatan.

    Kebarangkalian yang sangat besar untuk kita menerima Toyota C-HR yang dikuasakan oleh enjin 2.0L yang kapasitinya lebih besar dengan janaan kuasa 150/193 Nm (berbanding 114 hp/185 Nm pada versi 1.2 liter turbo) dipadankan bersama transmisi CVT. Persoalan tentang bila model ini akan dilancarkan di Malaysia juga masih menjadi teka-teki; dari apa yang fahami, anggarannya ialah paling awal hujung tahun ini, atau mungkin juga awal tahun depan.

    GALERI: Prebiu Toyota C-HR di Malaysia

     
     
  • M’sia bakal jadi negara pertama guna getah beku buat jalan – lokasi pertama sejauh 10 km bermula Ogos ini

    M’sia bakal jadi negara pertama guna getah beku buat jalan – lokasi pertama sejauh 10 km bermula Ogos ini

    Langkah Malaysia untuk menggunakan getah beku dalam teknologi penurapan jalan raya melalui kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA) bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Malah jika ia berjaya dilaksanakan, secara langsung akan meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang menggunakan kaedah tersebut.

    Kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak dua tahun lepas mencapai fasa baharu dalam teknologi campuran getah dalam campuran asfalt selepas diperkenalkan lebih 60 tahun lepas. Jalan Persekutuan FT 001 dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai bakal melakar sejarah apabila terpilih sebagai lokasi pertama projek penggunaan CMA sejauh 10 kilometer yang dijangka dimulakan Ogos ini, laporan Bernama.

    Dijangkakan sebanyak 4.2 tan getah beku digunakan untuk membina satu kilometer jalan.

    Menurut kajian yang dijalankan, penggunaan getah beku mempunyai potensi yang lebih baik untuk mengatasi masalah teknikal jalan. Di mana campuran aspalt meningkatkan kelikatan bitumen yang dapat memberi rintangan terhadap suhu yang tinggi.

    M’sia bakal jadi negara pertama guna getah beku buat jalan – lokasi pertama sejauh 10 km bermula Ogos ini

    Pada waktu panas terutama tengah hari, suhu jalan boleh mencapai sehingga 60 darjah celcius dan kebiasaannya ketika itu bitumen yang bercampur getah (CMB) akan mencapai suhu titik lembut yang lebih tinggi daripada bitumen konvensional. Keadaan ini akan membantu masalah jalan berlekuk terutama yang dilalui kenderaan berat.

    Campuran yang terhasil mempunyai kelikatan tinggi dan ia membantu balutan bitumen yang lebih baik ke atas batu untuk menambahkan daya tahan selain menjadi lebih elastik yang akan memberi rintangan yang tinggi pada kenderaan.

    Projek perintis dari Kampung Desa Bertemu Jodoh hingga ke Kampung Kwong Sai melibatkan jarak sejauh 40 kilometer dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM92.3 juta yang akan mengambil masa kira-kira dua tahun. Hanya 10 kilometer yang akan menggunakan kaedah CMA manakala selebihnya akan menggunakan turapan konvensional.

    Dijangka kaedah CMA memberi prestasi pembinaan jalan yang lebih baik walaupun kosnya lebih tinggi berbanding penggunaan aspalt konvensional. Anggaran kos pembinaan CMA sekitar RM53.60 semeter berbanding kaedah aspalt konvensional RM29.90 semeter.

    Bagaimanapun untuk jangka panjang pembinaan menggunakan CMA lebih ekonomik memandangkan kos kitaran hayat jalan berkenaan yang lebih panjang dengan kos penyelenggaraan yang lebih menjimatkan, katanya.

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Honda CR-V 2017 pasaran Malaysia

    Honda CR-V 2017 generasi ke-lima membuat penampilan sulung di Malaysia. Ia dipamerkan di Gurney Paragon, Pulau Pinang pada Ahad lalu. Kami mendekati model ini untuk mengetahui serba sedikit pembaharuan yang dilakukan. Hanya bahagian luaran didedahkan, manakala ruang kabin masih belum boleh dimasuki.

    Versi yang ditampilkan dalam video ringkas ini ialah varian 2.0L. Bagaimanapun, varian yang ditunggu-tunggu tentunya yang dilengkapi enjin 1.5L Turbo VTEC, yang akan ditawarkan dengan spesifikasi paling tinggi. Perbezaan antara keduanya ialah penggunaan ekzos tunggal pada varian ini, manakala dua hujung ekzos krom bagi varian 1.5L Turbo.

    Honda Malaysia menyatakan, enjin 1.5L Turbo berkenaan menghasilkan 193 PS dan 243 Nm tork – melebihi janaan kuasa enjin sama yang ada pada Civic 1.5L Turbo dan CR-V 2.4L sebelum ini. Model asas dengan enjin 2.0L pula mampu menjana 155 PS/190 Nm tork. Kedua-duanya akan digandingkan dengan transmisi CVT Honda Earth Dreams.

    Perincian dan pecahan varian juga masih belum didedahkan. Namun, dijangka antara yang akan ditawarkan ialah varian 2.0L 2WD model asas, 2.0L 4WD untuk pertengahan dan varian 1.5L VTEC Turbo 4WD. Malaysia tidak akan menerima enjin turbodiesel yang dipasarkan di Thailand. Begitu juga hanya akan menerima versi lima-tempat duduk sahaja – versi tujuh tempat duduk tidak akan dibawa masuk.

    Buat pertama kali, model ini akan dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing. Ia akan ditawarkan pada varian paling tinggi. Ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Model ini telah dibuka untuk tempahan di Malaysia.

     
     
  • VIDEO: Teaser Volkswagen Polo 2017 disiar sekali lagi

    Sebelum ini Volkswagen telah pun menyiarkan video teaser bagi model Polo generasi baharu, menampilkan hatchback segmen-B berkenaan beraksi dengan pelekat penyamaran. Menjelang pengenalan rasminya pada musim panas ini, pengeluar kenderaan dari Jerman berkenaan sekali lagi menyiarkan siri teaser baharu yang terdiri dari tiga video.

    Video pertama yang bertajuk What defines it? memaparkan berberapa karekter Polo yang menjadikannya antara model paling laris di dunia. Manakala untuk video kedua yang bertajuk Top class, ia membincangkan kebangkitan Polo dari kereta kecil buatan Volkswagen, sehingga diiktiraf sebagai “yang terbaik dalam kelasnya.”

    Video ketiga pula bertajuk Pure Fun, di mana Volkswagen sendiri menjanjikan keseronokan pemanduan pada model baharu ini, meneruskan apa yang ditawarkan pada model-model generasi sebelumnyan.

    Kedua-dua video berkenaan turut menampilkan kesemua lima generasi Polo terawal bermula dari Mk1 pada 1975, hingga ke Mk3 pada 1994, terus ke model Mk5 sedia ada yang mula diperkenalkan pada 2009. Garis badan Polo Mk6 turut dipaparkan pada akhir kedua-dua video ini.

    Polo generasi baharu ini dibina menggunakan platform MQB A0, iaitu asas yang sama dengan Seat Ibiza generasi baharu yang telah membuat penampilannya pada Februari lalu. Jadi boleh dijangka enjin TSI dan TDI dari Ibiza turut akan ditawarkan pada Polo generasi keenam ini.

    Dengan panjang keseluruhan 4,053 mm dan lebar 1,751 mm, Polo 2017 berkenaan 81 mm lebih panjang dan 69 mm lebih lebar dari sebelum ini. Oleh itu, ruang dalamannya juga dapat direka lebih luas dengan jarak roda yang kini 94 mm lebih panjang, meningkat dari 2,470 mm kepada 2,564. Polo baharu ini juga direka lebih rendah 97 mm kepada 1,446 mm, menjadikan rupanya lebih sporty.

    GALERI: Imej spyshot Volkswagen Polo 2017

     
     
  • Apple keluarkan ciri Do Not Disturb While Driving dalam iOS 11 – kurangkan gangguan waktu memandu

    Apple keluarkan ciri Do Not Disturb While Driving dalam iOS 11 – kurangkan gangguan waktu memandu

    Dalam sistem operasi mobil terbaru Apple iaitu iOS 11, anda akan dapat melihat terdapat ciri baru yang dinamakan sebagai Do Not Disturb While Driving (DNDWD), yang jelasnya untuk mengurangkan gangguan semasa pemiliknya sedang memandu.

    Apabila diaktifkan, skrin akan jadi kosong dan segala pemberitahuan (notification) tidak akan muncul, dan ini berlaku apabila peranti tersebut dikesan sedang bergerak, menggunakan kesan Doppler melalui bluetooth ataupun WiFi. Selepas sekali digunakan, ia akan mengingatkan penggunanya untuk mengaktifkan DNDWD apabila peranti dikesan sedang bergerak. Sudah tentu, pengguna boleh memintas ciri ini dengan menyatakan bahawa mereka adalah penumpang.

    Dalam mod DNDWD ini juga, mesej teks boleh dijawab secara automatik, dan ia turut menawarkan pengguna untuk memilih orang tertentu dalam senarai hubungan mereka, untuk mempunyai pilihan ‘teks penting’, di mana mesej mereka tetap akan dipaparkan walaupun dalam mod DNDWD. Bagi mereka yang tidak menggunakan iOS, Nissan sebelum ini ada mengeluarkan aplikasi Faraday Cage Concept dengan ciri hampir serupa.

     
     
  • JATO Dynamics umum 30 kereta paling laris di dunia untuk Q1 2017 – Toyota Corolla atasi Honda Civic

    JATO Dynamics umum 30 kereta paling laris di dunia untuk Q1 2017 – Toyota Corolla atasi Honda Civic

    Pembekal maklumat perniagaan dalam industri automotif – JATO Dynamics – telah menyiarkan senarai 30 kereta paling laris di dunia pada suku pertama tahun 2017.

    Menerusi senarai yang dikeluarkan tersebut, trak pikap bersaiz besar Ford F-Series disahkan sebagai model yang paling laris di dunia untuk suku pertama tahun ini dengan jumlah jualan sebanyak 243,978 unit. Ford bukan sahaja memasarkan trak pikap ini pada pasaran Amerika Utara, malah turut menjualnya di pasaran China yang turut mempunyai permintaan yang agak tinggi, seterusnya membolehkan ia mencapai prestasi jualan seperti ini.

    Jika di Malaysia Honda Civic mendominasi secara total saingan sedan segmen-C, hakikatnya pada peringkat global Toyota Corolla dilihat lebih menyerlah, meletakkannya pada tangga kedua keseluruhan berbanding Civic pada tempat kelima. Corolla dijual sebanyak 214,618 unit pada suku pertama tahun ini berbanding Civic yang dijual sebanyak 178,605 unit.

    Kejutan seterusnya ialah pada saingan SUV segmen-C dimana Nissan X-trail/Rogue yang berada ditempat ketiga keseluruhan, meninggalkan Honda CR-V di tangga ke enam. X-Trail dijual sebanyak 212,244 unit, berbanding CR-V sebanyak 177,473 unit.

    Model yang dibina untuk pasaran China sahaja – Wuling Hongguang – turut tersenarai dalam kalangan sepuluh kenderaan paling laris di dunia, membayangkan betapa besarnya pasaran automotif di negara Republik Rakyat berkenaan. Wuling Hongguang merupakan MPV yang dibina berasaskan Chevrolet Enjoy.

    Antara model popular lain yang turut tersenarai dalam carta ini adalah Honda HR-V/XR-V/Vezel (tempat ke-10, 167,051 unit), Volkswagen Polo (tempat ke-14, 148,331 unit), Mercedes-Benz C-Class (tempat ke-21, 127,485 unit), Mazda 3/Axela (tempat ke-27, 108,808 units) dan Volkswagen Passat/Magotan di tempat terakhir (102,067 unit).

     
     
  • Honda Malaysia bakal perkenal tambahan dua model tahun ini – adakah termasuk Honda Accord Hybrid?

    Honda Malaysia bakal perkenal tambahan dua model tahun ini – adakah termasuk Honda Accord Hybrid?

    Ketika majlis bersama media awal tahun ini, Honda Malaysia mengumumkan akan memperkenalkan empat model baru sepanjang 2017. Seperti yang ramai sedia maklum, dua daripada model berkenaan sudah pun memasuki pasaran secara rasmi; Honda BR-V dan juga Honda City facelift 2017.

    Dan, hari ini, sebuah lagi model dalam segmen B, Honda Jazz facelift 2017 pula dilancarkan. Ini termasuk varian hibridnya, Honda Jazz Hybrid i-DCD dengan enjin 1.5 liter serta gandingan motor elektrik. Selain itu, minggu lalu juga, sebuah lagi model telah diumumkan dibuka untuk tempahan serta dipertontonkan buat pertama kali di Pulau Pinang Ahad lalu – iaitu Honda CR-V 2017 generasi kelima.

    Empat model yang diumumkan akan diperkenalkan itu diketahui kini, dengan tiga daripadanya sudah memasuki pasaran secara rasmi. Melihat kepada gerak kerja Honda Malaysia, model SUV Honda CR-V 2017 juga tidak akan menunggu lama sebelum ia dilancarkan nanti.

    Dan, semua ini berlaku dalam tempoh separuh pertama tahun 2017. Jika semua perancangan pengenalan model baru untuk tahun ini “selesai” dalam tempoh enam bulan pertama, apa pula yang akan dilakukan Honda Malaysia pada separuh kedua 2017 bagi pengenalan model baru?

    Honda Malaysia bakal perkenal tambahan dua model tahun ini – adakah termasuk Honda Accord Hybrid?

    Ketika majlis pelancaran Honda Jazz facelift 2017 sebentar tadi, CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Katsuto Hayashi memberi bayangan bahawa ada kemungkinan syarikat itu akan memperkenalkan dua model baru sebagai tambahan bagi tahun ini.

    Model mana yang mungkin menjadi tambahan terbaru untuk diperkenalkan itu? Memandangkan Jazz Sport Hybrid i-DCD telah dilancarkan, dan kilang Honda di Melaka sudah dipersiap untuk pemasangan kenderaan dengan teknologi berkenaan, kami menjangkakan satu daripadanya mungkin model Honda Accord Hybrid, yang sebelum ini telah pun dilancarkan untuk pasaran Thailand – yang hadir lengkap dengan pakej keselamatan Honda Sensing.

    Model keenam pula, menurut jangkaan kami dan bukannya pengesahan rasmi dari Honda Malaysia, ialah Honda Civic Type-R. Ini mengikut langkah sama yang pernah diambil oleh syarikat itu sebelum ini untuk pasaran Malaysia. Sama ada jangkaan ini betul atau sebaliknya, sama-sama kita nantikan.

     
     
  • Honda Jazz facelift 2017 – prototaip Mugen dengan kit badan, aksesori pertama kali ditampilkan di Malaysia

    Honda Jazz facelift 2017 – prototaip Mugen dengan kit badan, aksesori pertama kali ditampilkan di Malaysia

    Anda sudah pun melihat Honda Jazz facelift 2017, yang dilancarkan hari ini di KL Convention Centre. Namun mungkin ada yang tertanya mengapa pakej aksesori Mugen tidak dilancarkan dengan model Jazz kali ini, seperti mana yang pernah dilakukan ketika Jazz generasi ketiga pre-facelift dilancarkan pada tahun 2014. Begini, sebenarnya pakej Mugen bagi Jazz kali ini belum bersedia dilancarkan dan sedang dipersiapkan.

    Malah Malaysia berada dijangka masa yang sama dengan Jepun dalam melancarkan Jazz facelift ini dan bukan itu sahaja hanya Malaysia sahaja satu-satunya pasaran di luar negara matahari terbit itu yang menerima Jazz Hybrid. Oleh itu, memandangkan Jazz ini merupakan satu model baharu di Jepun, maka pembikinan aksesorinya mengambil sedikit masa untuk diperkenalkan.

    Semalam, sewaktu sesi temubual dengan barisan jurutera Jazz facelift ini, Honda Malaysia telah mempamerkan prototaip aksesori Mugen pada Jazz ini – pertama kali didedahkan di peringkat global, seperti mana yang kami dimaklumkan mengenainya.

    Honda Jazz facelift 2017 – prototaip Mugen dengan kit badan, aksesori pertama kali ditampilkan di Malaysia

    Jazz Hybrid putih yang dipamerkan ini dipadankan dengan lima elemen kit badan termasuklah sambungan bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan tailgate spoiler. Tidak lupa juga, elemen yang paling penting iaitu logo Mugen pada gril hadapan.

    Turut ditampilkan ialah roda aloi dua-tona Mugen 17-inci (tayar 205/45) dan jaluran pelekat di bawah garisan tingkap, dengan warna terkenal penala tersebut. Malahan paip ekzos berkembar turut melengkapi imej luaran. Menambahkan gaya dengan padanan roda besar dan suspensi yang direndahkan.

    Di dalamnya, model prototaip ini menunjukkan plat ambang sisi dan alas lantai dengan jaluran tepi merah dan logo Mugen. Malah alas lantai pada bahagian pemandu juga ditampil istimewa dengan rona merah pada bahagian perehat kaki. Selain itu, ia turut menampilkan tombol gear ala bola golf gentian karbon Mugen.

    Nampak semuanya cukup menarik pada pandangan mata bukan, namun dimaklumkan lebih awal, tidak semua prototaip aksesori Mugen ini akan ditawarkan oleh Honda Malaysia. Mungkin yang ada seperti kit badan, spoiler dan logo pada gril – seperti mana yang ditawarkan pada model pre-facelift.

    Tidak dipastikan sama ada alas lantai dan kekemasan ambang pintu juga akan ditawarkan. Namun apa yangb dimaklumkan secara rasminya, roda, suspensi sport, sistem ekzos dan tombol gear CF, tidak akan dibawa masuk ke negara ini, melainkan pemilik Jazz berkenaan mengimportnya terus dari Jepun sendiri.

    Honda Malaysia berkata, aksesori Mugen ini hanya boleh didapati mulai Oktober ini dengan harga yang diumumkan ialah RM5,670.

     
     
  • Akta untuk kawal selia Uber, Grab akan dibentang sekali lagi di Dewan Rakyat pada bulan hadapan

    Akta untuk kawal selia Uber, Grab akan dibentang sekali lagi di Dewan Rakyat pada bulan hadapan

    Kerajaan mengesahkan bahawa pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat bagi mengawal selia perkhidmatan Uber dan Grab menggunakan aplikasi e-hailing dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Julai depan, lapor Bernama.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri, pindaan akta itu bertujuan memastikan semua aspek operasi dan prosedur perkhidmatan itu berjalan lancar serta dapat dikawal selia oleh kerajaan.

    “Kita sedang dalam proses menyelaras e-hailing bagi bacaan kali kedua yang akan dibentang dalam sesi Parlimen akan datang pada Julai. Kita telah membuat bacaan kali pertama pada April,” katanya dan menyatakan kerajaan boleh meletak terma dan syarat kepada pengendali aplikasi sedemikian setelah undang-undang berkenaan diwartakan. Buat masa sekarang, kerajaan masih lagi tidak boleh berbuat apa-apa.

    Rang undang-undang mengenai perkhidmatan e-hailing yang bertujuan memastikan pengendali perkhidmatan e-hailing mengamalkan standard keselamatan dan mutu perkhidmatan tertinggi telah dibentangkan oleh Nancy pada April lalu.

    Akta untuk kawal selia Uber, Grab akan dibentang sekali lagi di Dewan Rakyat pada bulan hadapan

    Nancy turut menjelaskan, apabila peraturan e-hailing diluluskan Parlimen kelak, kesemua pemandu e-hailing perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan akan tertakluk kepada pemeriksaan latar belakang yang ketat dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

    Beliau turut menyentuh berkenaan perkhidmatan GrabCar yang dipilih sebagai penyedia pengangkutan rasmi Sukan SEA KL2017, dan menegaskan bahawa peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengendali Grab.

    “Peluang yang diberikan ini akan membolehkan mereka (Grabcar) memberikan perkhidmatan pengangkutan bukan sahaja kepada rakyat negara ini malah ianya turut diberikan kepada pelancong asing. Saya fikir mereka perlu dibenarkan untuk mengambil peluang ini untuk bekerjsama dengan Sukan SEA,” katanya.

    Kerajaan juga memandang serius tentang aspek keselamatan penumpang perkhidmatan e-panggilan bagi mengelak berlakunya kes jenayah seperti rompakan yang berlaku baru-baru ini.

    “Justeru kita akan pastikan pindaan akta ini akan diluluskan. E-hailing nanti perlu beroperasi tertakluk kepada peruntukan dan seliaan undang-undang seperti perkhidmatan sedia ada,” katanya.

     
     
  • Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

    Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

    Honda Malaysia membuka tirai 2017 dengan melancarkan crossover tujuh-tempat duduk BR-V pada Januari lalu, diikuti dengan sedan saiz sederhana City 2017 pada Mac.

    Terus memacu pasaran automotif tempatan dengan menguasai segmen kereta bukan-nasional, Honda Malaysia kian melangkah cemerlang dengan melancarkan model Jazz 2017 pada hari ini pula. Jika negara jiran, Thailand, menerima lima varian termasuk Sport Hybrid, namun bagi pasaran Malaysia, hanya ditawarkan dengan tiga gred iaitu model asas gred 1.5 S, varian pertengahan 1.5 E dan spesifikasi tertinggi 1.5 V serta 1.5 Sports Hybrid i-DCD.

    Bahagian luarannya telah dipertingkatkan dan diberikan suntikan yang lebih segar berbanding model pre-facelift. Ia hadir dengan bampar dan gril rekaan baharu dengan kekemasan hitam, liang kemasukan udara sisi yang direka lebih besar, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus yang lebih bersegi serta mengekalkan lampu utama reflektor halogen.

    Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

    Malah ia turut dipadankan dengan rim lima-jejari 16-inci dengan warna baharu iaitu hitam berkilat bagi 1.5 V dan kelabu untuk 1.5 Sport Hybrid i-DCD, manakala rim rekaan baharu pelbagai-jejari 15-inci untuk varian untuk yang lebih rendah. Untuk bahagian belakangnya pula, tidak banyak perubahan dan masih menampilkan elemen yang sama seperti model sebelum ini.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, Jazz 2017 turut mendapat peningkatan termasuk kamera undur paparan pelbagai sudut dan tempat duduk separa kulit bagi varian tertinggi V (fabrik untuk varian yang lebih rendah) . Bermula model facelift 2017 ini juga, kesemua varian Jazz termasuk varian asas akan diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Selain itu, bagi varian tertinggi V turut dilengkapi dengan kawalan kelajuan (varian hibrid juga mendapat elemen yang sama) dan pedal penukar gear. Malah kamera undur pelbagai-sudut juga ditampilkan termasuk bagi varian 1.5 E dan 1.5 Sport Hybrid i-DCD. Tambahan elemen bagi varian hibrid pula termasuk panel meter unik dengan paparan hibrid (aliran tenaga, meter sport, paparan Eco), pemilihan gear berlainan (dengan butang S hingga ke butang yang lebih sporty, yang boleh menghentikan mod EV).

    Untuk varian 1.5 S pula, ia hanya disertakan dengan unit utama audio standard tanpa skrin-sesentuh, menggantikan unit DIN-tunggal yang lama. Jika varian enjin petrol konversional menerima ruang but seluas 363 liter, tetapi bagi 1.5 Sport Hybrid i-DCD ia hanya 314 liter sahaja dan tidak disertakan dengan tayar simpanan.

    Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Menurut Honda, gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter.

    Jazz Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan, bukan lagi kotak gear CVT seperti teknologi IMA pada Jazz Hybrid sebelum ini. Transmisi berkenaan bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

    Menurut Honda Malaysia, unit janakuasa Sports Hybrid i-DCD ini telah diuji di Malaysia selama dua tahun – diletakkan pada badan Jazz sedia ada bagi tujuan ujian (sebab itu kehadirannya di Malaysia langsung tidak dapat dikesan). Ini bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar sesuai dengan situasi dan keadaan cuaca di negara ini.

    Honda Jazz 2017 dilancarkan di Malaysia – varian 1.5L termasuk Sports Hybrid i-DCD, dari RM74,800

    Klik untuk besarkan

    Bagi sistem mekanikal untuk versi petrol pula, Jazz facelift dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

    Ciri keselamatan standard yang ditawarkan untuk kesemua varian terdiri daripada enam beg udara kawalan kestabilan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) ABS, Bantuan Brek dan ISOFIX.

    Bagi varian utama Jazz 2017 ini, ketiga-tiga varian ditampilkan dengan lima pilihan warna dengan Lunar Silver Metallic sebagai warna baharu, di samping Taffeta White, Carnival Red, Modern Steel Metallic dan Crystal Black Pearl. Manakala 1.5 Sport Hybrid i-DCD pula ditawarkan dengan tiga warna iaitu dua warna baharu – White Orchid Pearl dengan kos tambahan sebanyak RM300 dan Lunar Silver Metallic serta warna sedia ada; Modern Steel Metallic.

    Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bagi Jazz 2017 ini adalah RM74,800 untuk model asas 1.5 S, RM81,000 untuk model pertengahan 1.5 E, manakala bagi model spesifikasi tertinggi 1.5 V pula RM88,400 dan 1.5 Sport Hybrid i-DCD pula berharga RM87,500. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had. Manakala 1.5 Sport Hybrid i-DCD turut menerima waranti tambahan selama lapan-tahun bagi bateri hibrid.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian mengenai Jazz 2017, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 V

    GALERI: Honda Jazz 1.5 E

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Mugen

     
     
  • Yamaha Star Venture motosikal jelajah mewah 1,854 cc

    Yamaha Star Venture motosikal jelajah mewah 1,854 cc

    Yamaha baru sahaja memperkenalkan kepada dunia sebuah motosikal jenis jelajah mewah yang dinamakan sebagai Star Venture 2018 dan kali terakhir pengeluar dari Jepun itu mengeluarkan model seperti ini adalah pada sekitar tahun 2000. Segalanya adalah baru untuk motosikal ini dan ia mempunyai pelbagai kelengkapan moden untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

    Bermula dengan enjin, Star Venture menggunakan unit V-twin 1,854 cc berserta sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api Yamaha Fuel Injection dengan YCC-T dan D-Mode. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, dan mampu menyalurkan sebanyak 171 Nm tork kepada tayar belakang melalui sistem pacuan tali sawat.

    Seperti yang boleh dilihat, motosikal pesaing kepada Honda Gold Wing yang lebih terkenal ini agak besar, dengan berat kering keseluruhan sekitar 434 kg, tetapi Yamaha mendakwa ia masih mudah dikawal hasil daripada pembahagian berat yang sekata dan tinggi tempat duduk hanya 27.4 inci. Selain itu, Yamaha turut melengkapkan motosikal ini dengan motor elektrik untuk membantu penunggang mengundur atau bergerak ke hadapan perlahan-lahan.

    Seperti kebanyakan motosikal moden lain, Star Venture dilengkapi dengan sistem elektronik moden termasuk pendikit ride-by-wire, dua mod kuasa, cruise control, brek ABS, traction control dan sistem pemula tanpa kunci. Untuk sistem hiburan dan informasi, terdapat skrin sesentuh berwarna tujuh inci lengkap dengan sambungan bluetooth dan USB.

    Sebagai sebuah motosikal untuk perjalanan jauh, Star Venture dilengkapi dengan tangki minyak 25 liter, dan ruang simpanan yang besar di bahagian belakang dan sisinya. Selain itu, ia turut mempunyai dua soket pengecas USB, pembesar suara, lampu utama LED, penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik dan pelantar kaki yang luas.

    Antara kelengkapan lain pada Star Venture adalah fork hadapan 46 mm, suspensi belakang boleh laras secara elektronik, tayar 130/70 R16 di hadapan dan 200/55 R16 di belakang, brek cakera 298 mm berkembar di hadapan dan 320 mm di belakang serta penyandar berkusyen untuk penumpang.

    Motosikal ini hanya setakat dipertonton awal di Amerika Syarikat dan akan dilancarkan pada bulan Ogos nanti. Walaupun begitu, tempahannya sudah dibuka dengan harga bermula USD24,999 (RM106,495) bagi model asas.



     
     
  • SPYSHOT: Prototaip Audi A7 2019 terbakar dalam ujian

    SPYSHOT: Prototaip Audi A7 2019 terbakar dalam ujian

    Perkara tidak diingini telah berlaku ketika Audi menjalankan ujiannya di kawasan Pergunungan Alps, Austria setelah unit prototoip A7 2019 telah terbakar semasa di uji, dan imejnya berjaya dirakam oleh jurugambar risikan kami.

    Seperti yang anda boleh lihat pada gambar-gambar ini, unit prototaip berkenaan diuji dengan menarik treler pada bahagian belakangnya, manakala kebakaran pula bermula di bahagian ruang enjin. Kejadian berkenaan memaksa pemandu A7 itu keluar dari kereta dan cuba menyelamatkan keadaan dengan menggunakan alat pemadam api yang dibekalkan.

    Walau bagaimanapun, usaha tersebut gagal dan menyebabkan kereta berkenaan musnah secara keseluruhan setelah dijilat api selama 20 minit, dan akhirnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba tempatan.

    SPYSHOT: Prototaip Audi A7 2019 terbakar dalam ujian

    Tiada kecederaan dilaporkan pada insiden tersebut. Kereta yang musnah teruk juga menyebabkan rekaan sebenar A7 ini tidak dapat dilihat. Tetapi rakaman semasa detik awal kejadian menyaksikan rupa model generasi seterusnya ini kelihatan hampir sama dengan model sedia ada, kecuali flare yang ditambah pada kesemua ruang rodanya.

    Namun, dipercayai ‘kulit luar’ unit prototaip itu tidak menggambarkan rupa sebenar versi produksi kerana sebelum ini Audi pernah melakukan perkara yang sama pada unit prototaip lain seperti RS5 yang disembunyikan di sebalik badan S5.

    Audi A7 2019 dibina berasaskan platform MLB Evo. Badan sebenar model berkenaan sebelum ini dilihat sedang diuji bersama sedan A8 D5 baharu. Model baharu tersebut dikhabarkan bakal mengenakan berberapa rekaan diambil dari konsep prolog yang telah dipertontonkan di Los Angeles 2014.

     
     
  • Honda Rebel 500 2017 akan dilancarkan di Malaysia Ogos ini, harga jangkaan asas sekitar RM33,000

    Honda Rebel 500 2017 akan dilancarkan di Malaysia Ogos ini, harga jangkaan asas sekitar RM33,000

    Selain CRF250L dan CRF250 Rally yang dijangka dilancarkan bulan Ogos ini, Boon Siew Honda turut menyatakan bahawa ia akan disertai sebuah lagi model jenis cruiser iaitu Rebel 500. Model ini disasarkan kepada mereka yang mencari sebuah motosikal yang mudah ditunggang, dan di pasaran yang ia sudah dilancarkan, ia menjadi platform bagi dilakukan pengubahsuaian pelbagai gaya.

    Motosikal ini menggunakan enjin dua silinder selari suntikan bahan api DOHC yang diambil daripada barisan model CB500 Honda dan ia mampu menjana 45 hp pada 8,500 rpm dan 44.6 Nm tork pada 6,000 rpm. Ia kemudiannya dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork hadapan 41 mm manakala di belakang menggunakan dua penyerap hentak Showa Pro-Link. Untuk tugas membrek pula, ia dilakukan oleh unit cakera berserta angkup Nissin di hadapan dan belakang. Sistem brek ini turut dilengkapi dengan ABS.

    Dengan tayar hadapan gemuk bersaiz 130/90 R16 dan warna gabungan hitam dan kelabu, Rebel 500 tampil seperti sebuah bobber dan tangki minyaknya mempunyai kapasiti 11.2 liter. Berat motosikal ini adalah 190 kg dan tinggi tempat duduknya hanyalah 27.2 inci. Untuk paparan informasi, pengguna boleh melihatnya pada panel meter LCD ringkas dan berbentuk klasik.

    Apabila dilancarkan pada bulan Ogos nanti, Honda Rebel 500 dijangka dipasarkan pada harga sekitar RM33,000 dan ia akan menjadi pesaing kepada model sedia ada di pasaran Malaysia seperti Yamaha Bolt XV950R yang berharga RM52,500 dan Kawasaki Vulcan S sekitar RM30,000.

     
     
  • Proton Satria pula tampil dalam rekaan dan olahan digital – dibayangkan dari model asal Geely GS

    Proton Satria pula tampil dalam rekaan dan olahan digital – dibayangkan dari model asal Geely GS

    Nampaknya kerjasama antara Proton-Geely menarik minat ramai pereka grafik dan olahan digital untuk membayangkan penawaran masa depan yang akan terhasil daripada usaha berkenaan.

    Walaupun ada yang bersikap sinikal terhadap kerja-kerja sampingan seperti ini – kerana menurut mereka ia hanya sia-sia dan tidak akan menjadi kenyataan – namun di satu sisi lain ia hadir sebagai sebuah harapan dan semacam sokongan positif kepada pengeluar kenderaan nasional itu.

    Sebelum ini kami pernah paparkan rekaan bayangan terhadap SUV pertama Proton yang mengambil inspirasi dari model Geely Boyue yang dihasilkan oleh Theophilus Chin. Ini diikuti juga oleh rekaan dan ilustrasi digital terhadap model SUV yang daripada sentuhan Saharudin Busri dari MIMOS, yang tampil dengan rekaan model yang dipanggil Proton Bayu.

    Kali ini, sebuah lagi rekaan atau imej render secara digital muncul, hasil imajinasi dan kreativiti juga dari Theophilus Chin, yang dikongsikan dengan kami. Lebih menarik, beliau tidak meneruskan imej bayangan bagi model SUV pertama Proton yang diumumkan itu, tetapi mengalihkan perhatian kepada sebuah rekaan kenderaan hatchback.

    Beliau menampilkan Proton Satria yang diberi banyak perubahan dan sentuhan baru. Rekaan ini mengambil model Geely GS sebagai asasnya, tampil dengan sangat ringkas dan tetap kemas. Gril utama dengan “sayap” yang panjang berwarna krom, serta logo baru Proton, ia memberikan daya tarikan tersendiri.

    Proton Satria pula tampil dalam rekaan dan olahan digital – dibayangkan dari model asal Geely GS

    Ini ditambah dengan rekaan ala ruang udara di bahagian tepi bampar, serta bahagian tengah bampar yang sama kelihatan terhampar luas, dengan bukaan luas yang turut menempatkan apa yang kelihatan seperti petak hitam kecil bagi kedudukan sensor.

    Rekaan profil sisi, pendekatan lekuk dan garis badan yang ringkas dan bersih diteruskan lagi. Bahagian “bahu” disisi juga kelihatan agak ketara, turut menempatkan cermin sisi dengan dua tona warna. Ini selari juga dengan penggunaan dua tona warna pada keseluruhan badan kereta ini, dengan bahagian bumbung berwarna hitam, membezakannya dari warna badan.

    Rim dengan rekaan “bilah kipas” juga menyuntik imej sporty bagi model hatchback tiga pintu ini – meneruskan rekaan tradisi model Satria dari dahulu sehinggalah kepada versi Satria Neo. Bahagian belakang menggunakan lampu dalam rekaan C, mungkin LED, dengan rekaan keseluruhan lampu belakang yang sama ringkas – juga menerapkan rekaan two piece.

    Alur pada pintu belakangnya juga tampil satu laku lengkung di bahagian bawahnya, untuk dipadankan dengan rekaan bampar belakang yang nampak padat dan menonjol. Imej dibahagian belakang ini disempurnakan dengan bahagian hitam pada bampar, dengan ruang nombor plat yang tersedia di situ, serta hujungnya dengan tambahan lampu reflektor atau lampu kabus. Tidak lupa juga rekaan spoiler kecil yang menjadikannya kelihatan sporty.

    Apa pandangan anda? Katakanlah rekaan ini akan menjadi kenyataan nanti, adakah ia mampu meneruskan tradisi dan imej hatchback Proton Satria yang merupakan antara model dengan rekaan paling segar untuk muda-mudi yang dihasilkan Proton sejak dulu?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026