Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Teaser Subaru WRX STI Type RA didedah, bakal buat penampilan sulung bersama BRZ STI minggu hadapan

    Teaser Subaru WRX STI Type RA didedah, bakal buat penampilan sulung bersama BRZ STI minggu hadapan

    Subaru telah mendedahkan imej teaser untuk versi terbaharu model berprestasi tinggi WRX STI yang dikhabarkan bakal diperkenalkan sekali dengan BRZ STI pada 8 Jun ini. WRX STI versi lebih hardcore berkenaan bakal diberikan lencana Type RA – sememangnya telah digunakan sejak dari era GC8 Impreza WRX STI Version I lagi.

    Imej teaser tersebut hanya menayangkan bahagian bumbung yang menggunakan material gentian karbon. Subaru turut menyatakan, Type RA turut akan dipadankan dengan GT-Wing juga dari material karbon dengan saiz yang besar.

    Subaru masih lagi belum mendedahkan perincian sebenar jentera baharu ini, tetapi mereka mengesahkan, selain dari dua ciri yang didedahkan ini, ia turut akan diberikan penyerap hentak baharu dari Bilstein, tempat duduk Recaro serta peningkatan diberikan pada sistem transmisi dan juga enjin.

    Selain itu, ia turut bakal tampil dengan imej ketika era kegemilangan Subaru dalam kancah Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu warna badan biru, serta rim aloi dari BBS berwarna emas berdiameter 19-inci.

    Mengikut tradisi model-model Type RA sebelum ini, sedan turbo pacuan semua roda empat-pintu (Type R untuk model dua-pintu) berkenaan tampil lebih ringan dari model standard dengan penyisihan pelbagai aksesori seperti sistem pendingin hawa automatik dan juga sistem brek ABS. Ia juga diberikan liang udara pada bumbung, kotak gear dengan nisbah lebih rapat berserta talaan enjin yang lebih responsif – pasangkan roll cage dan ubahsuai pada suspensi, ia cukup bersedia untuk menyertai mana-mana perlumbaan rali FIA dalam kategori Group N.

     
     
  • Hyundai Kona – SUV segmen-B baharu didedahkan

    Hyundai Kona – SUV segmen-B baharu didedahkan

    Klik untuk besarkan

    Hyundai Kona telah pun didedahkan secara rasmi menerusi sebaran dua imej luarannya ini. Ini merupakan pertama kali foto SUV segmen-B baharu ini didedahkan sepenuhnya, sebelum ini hanya video teaser dan foto-foto spyshot seperti mana yang pernah kami paparkan.

    Foto bahagian hadapan dan belakang SUV kompak ini memang menggambarkan ia mempertaruhkan imej yang funky. Bahagian hadapannya mengingatkan kita pada model Citroen C4 Cactus, di mana lampu utama SUV ini diletakkan pada bahagian bawah, manakala lampu tirus di bahagian atas hanya berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu isyarat membelok – direka dengan konsep yang sama seperti Citroen C3 dan Nissan Juke. Lampu berkenaan mengapit gril “cascading” seperti i30 baharu.

    Hyundai Kona – SUV segmen-B baharu didedahkan

    Klik untuk besarkan

    Bahagian sisi Kona pula menampilkan susuk badan yang agak berotot dengan panel-panel roda yang diberi gelembung, bersama kemasan-kemasan pelindung yang kelihatan lasak. Kemasan pelindung berkenaan turut bersambung dengan lampu hadapan, begitu juga bahagian belakang yang bersambung dengan lampu isyarat belakang.

    Walau bagaimana pun Hyundai masih belum bersedia mendedahkan bahagian dalaman SUV ini. Namun menerusi spyshot yang pernah diterima sebelum ini, ia menampilkan rekaan papan pemuka dengan aspek melintang, roda stereng tiga-jejari, dua meter analog utama, liang pendingin hawa melintang, bersama skrin sesentuh bagi sistem infotaimen yang diletakkan pada kedudukan agak tinggi.


    Klik untuk besarkan

    Hyundai turut berkata, Kona bakal menampilkan paparan utama baharu yang pertama dari syarikat tersebut di mana ia memaparkan informasi pemanduan secara terus ke penglihatan setara pemandu. Imej projektor lapan-inci dengan pencahayaan sehingga 10,000 kandela meter per segi ini mampu emberikan penglihatan yang lebih baik pada siang hari sekaligus mempromosikan pemanduan yang lebih selamat.

    Kona, nama yang diambil dari sebuah daerah di Hawaii, digambarkan oleh Hyundai mampu memacu jenama kenderaan Asia di Eropah menjelang 2021. Ia bakal diperkenalkan secara rasmi pada musim panas tidak lama lagi. Malah dikatakan mampu menjadi pencabar terdekat bagi Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota C-HR.

     
     
  • Lebuhraya DUKE dari Gombak dan Ampang hala ke PLUS-Damansara ditutup sementara hingga 9 Jun

    Lebuhraya DUKE dari Gombak dan Ampang hala ke PLUS-Damansara ditutup sementara hingga 9 Jun

    Konsortium Lebuhraya Utara – Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan, mulai hari ini sehingga 9 Jun depan, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) dari arah Gombak dan Ampang menghala ke Lebuhraya Utara Selatan – Damansara ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelancaran rasuk bagi projek Duke 2.

    Menurut Pengarah Projek Kesturi, Zakaria Shaffie, jalan tersebut akan ditutup bermula pukul 12 malam hingga pukul 5 pagi dan sebagai laluan alternatif, pengguna dari arah tersebut dan selayang yang menghala ke Jalan Duta boleh menggunakan susur keluar ke Jalan Kuching menghala ke Jalan Tunku Abdul Halim.

    Manakala bagi pengguna dari arah Jalan Ipoh dan Jalan Duta yang ingin menghala ke Gombak, Ampang dan Jalan Kuching boleh menggunakan lencongan jalan yang disediakan sebelum ke Jalan Kuching dan Selayang.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati para pengguna lebuhraya terbabit agar memandu lebih berhati-hati serta mematuhi arahan papan tanda di sepanjang kawasan kerja-kerja pembinaan.

     
     
  • MPPJ digesa tangani isu mesin meter parkir rosak

    MPPJ digesa tangani isu mesin meter parkir rosak

    Anda berlegar-legar mencari petak parkir kosong sampai terpaksa berpusing-pusing di kawasan yang sama berulang kali. Penuh. Mungkin kerana ia waktu pejabat dan pastinya ramai yang mempunyai urusan masing-masing. Setelah 15 minit menanti, kelihatan ada satu ruang parkir kosong dan anda bergegas mendapatkannya. Kemudian, anda mencari mesin membayar parkir. Dah jumpa satu yang terhampir, malangnya ia rosak. Anda berjalan mencari mesin yang lain, juga rosak. Mesin ketiga yang anda jumpa pun mengalami nasib yang sama.

    “Arghh..tak payah bayar parkir lah,” getus hati anda. Tamat saja urusan dan sekembalinya ke kereta, anda mendapati ada kompaun saman yang diselit di bilah pengelap kereta anda. Sebal! Ya, itulah yang pernah penulis hadapi beberapa hari lepas. Dan pastinya ramai di antara kita turut pernah mengalami masalah yang sama.

    Laporan yang disediakan oleh The Sun menyebut pemandu kenderaan menggesa agar pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) supaya meletakkan notis pemberitahuan di mesin meter parkir yang rosak.

    Ini selepas ramai pemandu yang sukar untuk mencari meter parkir yang berfungsi selepas mereka memparkir kenderaan masing-masing atau pun terpaksa ke ibu pejabat MPPJ untuk menyelesaikan isu saman parkir ini.

    Ada pemandu yang berpendapat, adalah tidak cukup sekiranya pegawai penguatkuasa hanya mempunyai senarai mesin parkir yang rosak namun tidak menampal notis memaklumkan mesin yang terbabit rosak sehingga mendatangkan kesulitan di kalangan pengguna.

    Malahan ada yang menyarankan agar pihak terbabit meletakkan kain rentang yang memaklumkan mana-mana lokasi yang tidak perlu pengguna membayar parkir kerana isu mesin parkir yang tidak berfungsi ini. Selain itu, ada juga yang memberikan cadangan agar pihak MPPJ melaksanakan sistem parkir berkupon atau membayar parkir menerusi aplikasi telefon bimbit kerana ia lebih memudahkan para pengguna.

    Akhbar harian ini pernah melaporkan ada lebih 700 mesin parkir di sekitar Petaling Jaya untuk 21,000 petak parkir namun lebih separuh daripada jumlah mesin tersebut didapati tidak berfungsi. Ini termasuklah di kawasan komersil yang sibuk seperti di SS2, PJ Old Town, Seksyen 52, Damansara Uptown dan Pusat Komersil Sunwaymas.

     
     
  • GALERI: Volkswagen Arteon – elegan dan bergaya

    GALERI: Volkswagen Arteon – elegan dan bergaya

    Mula diperkenalkan ketika Pameran Permotoran Geneva awal tahun ini, Volkswagen Arteon mewarisi reka bentuk coupe empat-pintu mirip model CC. Dan kini, syarikat itu mengeluarkan lebih banyak gambar terperinci model berkenaan.

    Dibangun menggunakan platform MQB (Modular Transverse Matrix), Arteon memiliki binaan 4,862 mm panjang, 2,841 mm jarak antara roda, 1,817 mm lebar dan 1,427 mm tinggi dan ditawarkan dengan barisan enjin petrol empat-silinder dan diesel syarikat itu.

    Ini termasuk enjin 1.5 liter TSI dengan janaan 148 hp, enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 187 hp, dan enjin 2.0 TDI turbodiesel dalam versi janaan 148 hp, 187 hp dan 236 hp. Bagi pilihan transmisi, model asas datang dengan kotak gear enam-kelajuan manual, sementara yang lain dengan transmisi DSG automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

    Terdapat tiga tahap kemasan yang ditawarkan – Arteon, Arteon Elegance dan Arteon R-Line. Versi Elegance antaranya dilengkapi cermin sisi warna krom, lampu belakang LED, benang dengan kontras pada pembalut kerusi kulit Alcantara dengan penghaba, serta rim 18-inci aloi Muscat.

    R-Line merupakan penampilan model ini yang paling sporty. Menggunakan antaranya bukaan kemasukan udara hitam berkilat, stereng sport dalam balutan kulit, tempat duduk balutan kulit Alcantara, rim 18-inci Sebring, bampar R-Line dan hujung ekzos dengan kemasan krom.

    Datang standard bagi model Arteon ialah lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, Keyless Go, sistem audio dengan lapan pembesar suara, kawalan pendingin secara elektronik, Progressive Steering dan lain-lain. Papan pemuka di ruang dalaman mewarisi rekaan yang hampir sama dengan yang ada pada Passat.

    Dari segi keselamatan, Arteon dilengkapi dengan barisan teknologi yang menyeluruh; Adaptive Cruise Control (ACC), Emergency Assist generasi kedua, Lane Assist, lampu adatif di selekoh, PreCrash, Side Assist dan Sign Assist.

     
     
  • BMW Art Car #18 – gabungan seni digital artis China

    BMW Art Car #18 – gabungan seni digital artis China

    BMW Art Car adalah satu inisiatif yang dilakukan oleh BMW bermula pada tahun 1975, dengan kereta pertamanya adalah sebuah BMW 3.0 CSL yang dihias oleh Alexander Calder. Memasuki tahun 2017 ini, BMW bekerjasama dengan seorang artis dari China, iaitu Cao Fei untuk penghasilan Art Car ke 18. Beliau juga adalah artis pertama dari China yang terlibat dalam projek ini dan merupakan yang paling muda, pada usia 39 tahun.

    Berbeza dengan Art Car sebelum ini yang hasilnya boleh dilihat secara terus, BMW Art Car Cao Fei terdiri daripada tiga komponen berbeza. Pertama, sudah tentu adalah kereta itu sendiri, dan ia adalah sebuah BMW M6 GT3 yang berwarna hitam karbon. Kedua adalah sebuah video yang fokus kepada seorang pengamal kerohanian yang boleh merentas masa, dan ketiga adalah paparan lampu neon augmented reality.

    BMW Art Car #18 – gabungan seni digital artis China

    Untuk melihat dengan lebih lengkap hasil seni Cao Fei ini, orang ramai perlu memuat turun aplikasi khas di dalam peranti, dan apabila aplikasi tersebut dibuka, dan gajet dihalakan kepada kereta tersebut, hasil seni Cao Fei dapat dilihat secara lengkap.

    “Bagi saya, cahaya menggambarkan pemikiran. Memandangkan kelajuan pemikiran tidak dapat diukur, kereta Art Car #18 ini menimbulkan pertanyaan berkenaan kewujudan sempadan dalam pemikiran manusia. Kita sekarang sedang masuk ke era baru, di mana minda mengawal objek secara terus dan buah fikiran boleh dipindah, seperti dengan penggunaan operasi tanpa manusia dan artificial intelligence (A.I). Jadi, perlakuan dan tabiat seperti manakah yang memegang kunci kepada laluan era baru ini?” kata Cao Fei.

     
     
  • Toyota Camatte Petta Roadster untuk kanak-kanak belajar memandu di Tokyo Toy Show tahun ini

    Toyota Camatte Petta Roadster untuk kanak-kanak belajar memandu di Tokyo Toy Show tahun ini

    Toyota bakal tampil ke Tokyo Toy Show tahun ini dengan menampilkan roadster konsep untuk kanak-kanak yang digelar Camatte Petta. Kereta dengan panjang lebih tiga meter dan dikuasakan dengan motor elektrik ini diberikan tiga tempat duduk termasuk pemandu.

    Camatte Petta direka bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pendedahan awal bagaimana untuk menggunakan roda stereng dan juga pedal brek serta pendikit. Tempat duduk untuk orang dewasa turut direka pada Camette Petta ini bagi membolehkan kanak-kanak berkenaan dipantau ketika memandu, serta diberikan tunjuk ajar bagi meningkatkan lagi kemahiran memandu mereka.

    Toyota bukan sahaja menampilkan roadster ini pada acara berkenaan, malah turut membawa keseluruhan ‘sekolah memandu’ bagi pemandu muda merasai sendiri pengalaman bagaimana untuk belajar memandu dan seterusnya memperolehi ‘lesen memandu’ setelah lulus ujian yang disediakan.

    Selain dari memandu, kanak-kanak yang mengambil bahagian turut diberikan peluang bagi menentukan rekaan sendiri untuk kereta mereka menggunakan pelekat dan panel badan magnetik pada roadster ini.

    Bagi peserta yang tidak cukup tinggi untuk memandu Cametta Petta berkenaan, mereka masih lagi boleh cuba untuk mendapatkan ‘lesen memandu’ tersebut menggunakan simulator Camatte 57s yang turut disediakan.

     
     
  • Purata 3,000 kenderaan guna DUKE 2 dalam sehari

    Purata 3,000 kenderaan guna DUKE 2 dalam sehari

    Sejak 23 Mei lalu, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan Karak mula dibuka untuk pengguna jalan raya.

    Menerusi laporan Bernama, DUKE 2 yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan Karak melalui Tun Razak Link (TR Link) mampu menjimatkan masa perjalanan hingga 15 minit untuk ke Plaza Tol Batu atau Plaza Tol Sentul Pasar.

    Ia melibatkan laluan sejauh sembilan kilometer yang menghubungkan Jalan Tun Razak iaitu berhampiran Hospital Kuala Lumpur ke persimpangan Sentul Pasar di Jalan Gombak yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Pahang khusus di Bulatan Pahang yang merupakan antara kawasan sesak pada waktu puncak.

    Menurut pihak pengurusan DUKE, sejak dibuka kepada lalu lintas, purata 3,000 kenderaan menggunakan laluan TR Link sehari.

    Sebahagian besar Fasa 2 DUKE yang sejauh 16.4 kilometer dan menelan belanja RM1.18 bilion melibatkan pembinaan jalan bertingkat. Ia juga merangkumi TR Link dan Sri Damansara Link yang dihubungkan dengan Duke Fasa 1.

    Projek Fasa 2 yang dijangka siap sepenuhnya antara Ogos atau September ini dikendalikan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd dengan kerjasama Ekovest.

     
     
  • Lotus Elise Cup 250 – 243 hp, berat cuma 884 kg

    Lotus Elise Cup 250 – 243 hp, berat cuma 884 kg

    Ideologi Lotus yang sentiasa cuba menjadikan kereta mereka lebih ringan, untuk mendapatkan kelajuan diteruskan dengan pengeluaran model baru Lotus Elise Cup 250. Seperti biasa, dengan penggunaan bahan serba ringan seperti gentian karbon, titanium dan aluminium, berat kenderaan ini cuma 884 kg (boleh jadi 860 kg dengan semua barangan pilihan lain).

    Rupa Elise Cup 250 ini masih sama seperti Elise Sport dan Elise Sprint, tetapi diberikan sedikit perubahan dengan penambahan clam panel hadapan baru yang lebih ringan, bukaan radiator lebih luas, gril bercorak mesh dan panel luas baru dengan dua lampu, berbanding empat.

    Enjin yang menggerakkan Elise Cup 250 adalah unit empat silinder 1.8 liter supercharge, dengan kuasa 243 hp pada 7,200 rpm dan 250 Nm tork pada antara 3,500 hingga 5,500 rpm. Dari kedudukan pegun, kereta ini boleh memecut ke kelajuan 96 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja dan kelajuan maksimumnya adalah 247 km/j.

    Menurut Lotus, berat Elise Cup 250 adalah 14 kg lebih ringan berbanding model sebelum ini, dan ini turut dibantu dengan penggunaan bateri lithium ion, tempat duduk lumba gentian karbon, rim aloi forged serba ringan dan cermin belakang polycarbonate.

    Pemilik juga boleh menjadikan kereta ini lebih ringan dengan memilih barangan tambahan lain – pakej carbon aero yang termasuk splitter hadapan, sayap belakang dan panel tepi gentian karbon dapat mengurangkan 3.7 kg. Barang gentian karbon lain yang boleh dipilih adalah bumbung 3 kg lebih ringan, ekzos titanium 7 kg lebih ringan dan pelbagai lagi.

    Sistem suspensi kenderaan ini terdiri daripada jenis double wishbone di depan dan belakang, dengan terdapat anti-roll bar di hadapan, gelung spring coaxial Eibach dan penyerap Bilstein. Bagi penyerap itu, kadar mampatannya ditingkatkan berbanding Elise Sport dan Elise Sprint sebanyak 12% di depan dan 9% di belakang, manakala untuk lantunan, ditingkatkan 20% di hadapan dan 30% di belakang.

    Lotus Elise Cup 250 – 243 hp, berat cuma 884 kg

    Untuk brek, terdapat angkup dua piston AP Racing di hadapan manakala bahagian belakang menggunakan angkup piston tunggal Brembo. Kedua-dua bahagian menggunakan cakera berliang udara 288 mm. Untuk unit yang lebih ringan, Lotus turut menawarkan set brek yang 4 kg lebih ringan. Rim aloi ringan 16 inci di hadapan dan 17 inci di belakang kereta ini dipadankan bersama tayar Yokohama Advan A048 LTS saiz 195/50 di depan dan 225/45 di belakang.

    Pilihan tambahan lain yang disediakan oleh Lotus untuk kereta ini adalah pakej kemasan kulit, audio dengan Bluetooth, pendingin hawa, stereng dibalut Alcantara, karpet lantai dan pakej kemasan tartan. Lotus Elise Cup 250 dijual pada harga bermula £47,400 (RM261,800) termasuk VAT di United Kingdom.

     
     
  • Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

    Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

    Jika semalam brosur berkenaan Honda CR-V 2017 telah bocor di internet, hari ini Honda Malaysia (HM) secara rasmi mengumumkan tempahan untuk SUV segmen-C generasi baharu berkenaan sudah pun dibuka. Bersama pengumuman berkenaan, HM turut mendedahkan berberapa perincian yang bakal ditawarkan untuk pembeli CR-V serba baharu ini di Malaysia.

    Buat pertama kalinya, pasaran Malaysia bakal menerima pakej bantuan pemanduan Honda Sensing menerusi Honda CR-V generasi kelima ini. Pakej berkenaan terdiri tujuh sistem bantuan pemanduan iaitu Cruise Control adaptif, sistem mengekor kelajuan rendah (Low-Speed Follow atau LSF), sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System atau FCW), sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System atau CMBS), bantuan kekal lorong (Lane Keeping Assist System atau LKAS), sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System atau RDM) dan juga amaran keluar lorong (Lane Departure Warning atau LDW).

    Sistem ACC dan LSF akan berfungsi untuk memudahkan pemandu untuk memandu secara cruising. Kedua-dua sistem ini membolehkan CR-V 2017 membrek dan memecut kembali pada kelajuan yang telah ditetapkan pada sistem Cruise Control secara automatik dan ia boleh berfungsi bermula dari keadaan trafik berhenti dan bergerak, sehingga pada kelajuan 180 km/j.

    Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

    Untuk sistem FCW dan CMBS pula, ia akan membantu pemandu mengelakkan kemalangan yang akan berlaku pada bahagian hadapan. Sistem FCW akan mengeluarkan amaran sekiranya kenderaan dikesan ada potensi berlakunya pertembungan kerana jarak dengan kereta depan yang semakin hampir, manakala CMBS pula akan bertindak membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas sepatutnya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

    Selain dari bahagian hadapan, pakej Honda Sensing juga turut memberikan perhatian terhadap keselamatan bahagian sisi kenderaan. Oleh itu sistem LKAS, RDM dan LDW dipadankan bagi meminimakan risiko kemalangan yang akan berlaku pada bahagian sisi. Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan pada kedua-dua sisi kenderaan, dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara memberikan amaran visual serta getaran pada stereng sekiranya kenderaan dikesan melewati garis jalan tanpa memberikan lampu isyarat membelok terlebih dahulu.

    Untuk sistem LKAS pula, ia akan melaras semula arah stereng (menerusi sistem stereng kuasa bantuan elektrik) untuk memastikan kenderaan kekal pada lorongnya. Sistem ini menggunakan kamera yang diletakkan pada sisi kenderaan bagi mengesan tanda-tanda pada permukaan jalan raya sebagai penderia untuk mengesahkan kedudukannya.

    Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

    Sistem RDM pula beroperasi ketika kenderaan dipandu pada kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. Ia akan diaktifkan sekiranya kenderaan menghampiri sisi jalan; roda stereng akan bergetar untuk untuk memberikan amaran kepada pemandu agar mengekalkan kedudukan kenderaan pada lorong. Sekiranya pemandu tidak membuat sebarang tindakan dan kereta mula keluar dari lorong, sistem VSA akan diaktifkan untuk mengembalikan kenderaan pada kedudukannya.

    HM masih lagi belum memperincikan varian-varian yang ditawarkan, namun mereka telah mengesahkan CR-V baharu ini bakal hadir dalam versi 2WD dan 4WD, serta enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 193 PS/243 Nm bakal ditawarkan dalam barisan model. HM turut menyatakan bahawa ciri-ciri seperti enam-beg udara, kamera undur, VSA, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin adalah standard untuk kesemua varian.

    Honda Malaysia turut mengumumkan CR-V generasi baharu ini akan dipamerkan pada siri jelajahnya yang berlangsung dari 4 hingga 18 Jun ini pada lokasi-lokasi berikut:

    Tempahan Honda CR-V 2017 untuk pasaran M’sia dibuka – 1.5 Turbo, pakej Honda Sensing diperincikan

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2017 bagi pasaran Indonesia

     
     
  • Laluan susur masuk baru di Persimpangan Bertingkat Seremban bakal dibuka Januari 2018 – KP LLM

    Laluan susur masuk baru di Persimpangan Bertingkat Seremban bakal dibuka Januari 2018 – KP LLM

    Menerusi laman Facebook Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM) Datuk Ir. Hj. Ismail Bin Md. Salleh, mengumumkan projek pembinaan laluan susur masuk baru Seremban (arah utara) di Persimpangan Bertingkat Seremban (Exit 218) Lebuhraya Utara-Selatan sedang dibina.

    Projek ini terletak di Plaza Tol Seremban sedia ada dan menjadi laluan masuk baru ke Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Utara) dari Jalan Sungai Ujong dengan jarak laluan susur sepanjang 1.4km. Ia dikendalikan oleh Syarikat Konsesi Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS). Beliau turut berkata, satu plaza tol baru akan dibina dan menggunakan Sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC).

    Tujuan pembinaan laluan susur masuk baru ini adalah bagi mewujudkan akses yang lebih baik serta mudah untuk ke kawasan pembangunan Seremban 2 dan kawasan sekitarnya. Pembinaan projek ini dijangka dibuka kepada lalu lintas pada bulan Januari 2018.

     
     
  • Suzuki Swift terima penarafan 4-bintang Euro NCAP

    Suzuki Swift serba baharu yang didedahkan buat pertama kali hujung 2016 lalu, kini telah menerima penarafan keselamatan empat-bintang dari Euro NCAP. Walau bagaimana pun, penarafan ini hanya untuk varian yang dilengkapi pek sokongan brek radar, dan jika tanpa elemen tersebut, ia hanya menerima tiga-bintang sahaja.

    Penarafan keselamatan bagi kategori ujian Bantuan Keselamatan, ia melibatkan teknologi bantuan pemanduan termasulkan brek kecemasan sendiri (AEB). Bagi model Swift tanpa sistem AEB, sebanyak 25% markah diberi, manakala model yang dilengkapi sistem tersebut menerima 44% markah.

    Selain itu, Swift juga cemerlang dalam ujian Penumpang Dewasa, dengan model yang dilengkapi AEB, ia menerima 88% markah (model tanpa AEB hanya 83%). Malahan Swift juga menerima 75% markah bagi ujian Penumpang Kanak-kanak dan 69% untuk ujian Pejalan Kaki.

    “Euro NCAP mula memberi ganjaran bagi sistem pejalan kaki AEB pada tahun lepas dan kami melihat ia satu perkembangan baik bagi teknologi yang dilaksanakan. Kami berharap sistem AEB ini dapat dipertingkatkan bagi mengesan penunggang basikal apabila ujian bagi sistem tersebut dilakukan tahun hadapan,” ujar setiausaha agong Euro NCAP Michiel van Ratingen.

     
     
  • MIMOS hasilkan lakaran awal SUV dikenali dengan nama Proton Bayu, diasaskan daripada Geely Boyue

    MIMOS hasilkan lakaran awal SUV dikenali dengan nama Proton Bayu, diasaskan daripada Geely Boyue

    Selepas menghasilkan rekaan digital bagi dua rekaan model Proton sebelum ini – Suparima X dan Suprima R, Saharuddin Busri dari Pusat Rekaan MIMOS tampil pula dalam imej terbaru – lakaran awal rekaan sebuah SUV untuk Proton, yang diberi nama Proton Bayu.

    Ia tentunya diambil berasaskan model Geely Boyue, yang diumumkan akan menjadi antara model terawal yang akan dipasang dan ditawarkan hasil kerjasama Proton dan Geely.

    Dari imej ini, memang jelas rekaan umum yang digunakan adalah dari model Geely Boyue yang pernah kami tampilkan sebelum ini. Namun, terdapat beberapa perubahan reka bentuk yang dilakukan untuk membezakan antara dua model terbabit.

    MIMOS hasilkan lakaran awal SUV dikenali dengan nama Proton Bayu, diasaskan daripada Geely Boyue

    Paling ketara ialah kemasan krom dalam bentuk L dari C-Pillar ke bahagian hadapan, sekaligus melengkapi rekaan yang sapa pada bahagian bumbung dan juga bawah pintu. Ia diteruskan juga pada bahagian spoiler belakang.

    Rekaan lampu belakang two-piece juga ada kelainan, dengan bahagian bawah bampar belakang turut menampilkan sentuhan yang lebih ringkas dengan hujung ekzos hadir bersama kemasan krom juga. Ruang logo juga sudah digantikan dengan lingkar luaran logo Proton.

    Rekaan-rekaan ini serta yang sebelumnya ditunjukkan kepada umum adalah untuk memperlihat kemampuan MIMOS dalam menghasilkan rekaan bagi sektor automotif, dan ingin menawarkan kepakaran itu kepada industri. Pusat rekaan itu juga pernah menerima anugerah berprestij, Red Dot Design Award dan menerima pengiktirafan diperingkat global.

    Apa pandangan anda tentang rekaan SUV ini? Jika berjaya menjadi kenyataan kelak, ia mungkin SUV pertama Proton yang akan masuk pasaran. Sebelum ini, sebuah lagi imej render SUV Proton dari Geely Boyue turut pernah kami tampilkan.

    GALERI: Geely Boyue

     
     
  • Masa kutipan bayaran parkir di Penang diselaraskan

    Masa kutipan bayaran parkir di Penang diselaraskan

    Ekoran kekeliruan yang timbul berhubung dengan masa kutipan bayaran parkir di Pulau Pinang, ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Joseph Ng berkata, perkara ini akan selesai tidak lama lagi.

    Menurut Ng, mulai 1 Julai ini, masa kutipan bayaran parkir di kawasan seliaan MBPP akan diselaraskan. Di mana orang ramai perlu membayar parkir dari Isnin hingga Sabtu, manakala percuma pada hari Ahad, laporan The Sun.

    Katanya lagi, masa kutipan akan bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

    “Orang ramai juga perlu membayar parkir pada cuti umum kecuali ia jatuh pada hari Ahad,” ujarnya sambil menambah pihak MBPP telah mengadakan kaji selidik selama dua bulan bagi perkara ini dan ia mendapat maklum balas yang positif.

    Buat masa ini, terdapat tiga masa kutipan bayaran parkir yang berbeza di pulau tersebut; iaitu bagi zon merah, bayaran parkir adalah setiap hari. Manakala bagi zon hijau, bayaran parkir hanya dikenakan pada setiap Isnin hingga Jumaat dan percuma pada Ahad dan cuti umum. Bagi zon biru pula, orang ramai perlu membayar parkir dari Isnin hingga Sabtu dan percuma pada Ahad dan cuti umum.

    Perbezaan zon dengan waktu yang tertentu ini diperkenalkan pada tahun 2014, namun ia telah menerima kritikan hebat di kalangan orang ramai ekoran kekeliruan yang timbul.

    Apabila pelaksanaan masa kutipan bayaran parkir ini diselaraskan sepenuhnya kelak, semua zon akan ditukarkan ke zon kuning.

     
     
  • Volvo mula eksport sedan premium S90 yang diproduksi di China ke Eropah guna keretapi

    Volvo mula eksport sedan premium S90 yang diproduksi di China ke Eropah guna keretapi

    Volvo Daqing train

    Volvo telah mula menghantar sedan S90 yang diproduksi di kilang mereka di China ke Eropah menggunakan keretapi di bawah inisiatif perdagangan ‘One Belt, One Road’ oleh kerajaan China. Usaha ini menjadikan Volvo sebagai pengeluar automotif pertama menggunakan inisiatif berkenaan dan menghantar kereta mereka melalui jalan darat menerusi laluan keretapi.

    Kumpulan pertama sedan premium S90 yang dibina di kilang Volvo Daqing, China ini akan tiba di pusat agihan Zeebrugge, Belgium, minggu ini menerusi jaringan laluan keretapi China-Eropah yang telah dibuka baru-baru ini.

    Menurut Volvo, laluan darat ini telah memendekkan masa penghantaran kereta mereka ke Eropah sehingga dua pertiga lebih cepat berbanding menggunakan jalan laut. Selain dari memendekkan masa menunggu pelanggan mereka, penghantaran menggunakan kereta api ini juga merupakan pilihan yang lebih baik dari sudut kesan terhadap alam sekitar di mana pencemaran CO2 yang terhasil hanya satu pertiga dari menggunakan kapal.

    Setiap keretapi khas Volvo yang bergerak dari Daqing ke Zeebrugge ini membawa sekitar 120-unit kereta Volvo, yang diletakkan di dalam kontena rekaan khas. Sebuah kontena mampu membawa tiga-buah kereta yang diletakkan pada sudut berlainan antara satu sama lain bagi memaksimakan penggunaan ruang di dalamnya. Kereta-kereta berkenaan diikat dengan teknik khas bagi memastikan ia tidak bergerak ketika di dalam perjalanan.

    Buat permulaan, keretapi ini akan bertolak dari Daqing seminggu sekali, tetapi menurut Volvo frekuensi ini akan diperbanyakkan pada masa hadapan, seiring dengan jumlah penghasilan kenderaan yang juga bakal meningkat.

    Pada November tahun lalu, Volvo mula memproduksi sedan premium S90 varian tertinggi di Daqing bagi tujuan eksport global, dan selepas ini mereka akan turut membina semua varian S90 di kilang berkenaan untuk dieksport ke seluruh dunia.

     
     
  • Honda CR-V 2017 akan dibuka untuk tempahan esok – 1.5L VTEC Turbo, dilengkapi teknologi Honda Sensing

    Honda CR-V 2017 akan dibuka untuk tempahan esok – 1.5L VTEC Turbo, dilengkapi teknologi Honda Sensing

    Pendahulu bagi segmen SUV yang sangat popular di Malaysia kembali dengan membawakan pembaharuan; Honda CR-V 2017 bakal dibuka untuk tempahan bagi pelanggan tempatan mulai 1 Jun 2017 iaitu esok.

    Seperti mana pasaran Indonesia, Honda Malaysia turut menawarkan CR-V dengan varian enjin 1.5 liter VTEC turbocaj, dengan janaan kuasa 190 PS (187 hp) dan 240 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT. Menerusi risalah spesifikasi yang kami terima, CR-V 2017 bagi pasaran Malaysia ini juga turut dilengkapi Advanced Honda Sensing Technology.

    Ini merangkumi beberapa ciri keselamatan termaju yang dibangunkan oleh Honda. Antaranya ialah sistem amaran perlanggaran hadapan (Forward Collision Warning System), yang akan mengeluarkan amaran sekiranya kenderaan merasakan ada potensi berlakunya pertembungan kerana jarak dengan kereta depan yang semakin hampir.

    Honda CR-V 2017 akan dibuka untuk tempahan esok – 1.5L VTEC Turbo, dilengkapi teknologi Honda Sensing

    In diikuti dengan sistem brek menghindari perlanggaran (Collision Mitigation Braking System) yang akan bertindak membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas sepatutnya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

    Ketiga ialah sistem amaran pertukaran lorong (Road Depature Mitigation System). Dalam keadaan pemandu ingin menukar lorong atau laluan secara mengejut dan tanpa memberi isyarat, stereng akan bergegar sebagai makluman kepada pemandu. Brek juga akan dilakukan oleh sistem ini bagi mengelakkan kenderaan tersasar dari laluan sepatutnya.

    Turut ditawarkan sebagai standard bagi semua varian ialah ciri Smart Entry dengan butang Push Start, enam beg udara dan Vehicle Stability Assist (VSA). Kelengkapan luaran yang tersedia adalah termasuk penggunaan lampu utama dan lampu belakang LED, dengan rekaan baharu yang lebih menarik.

    Buat masa ini, spesifikasi penuh dan harganya masih belum diumumkan secara rasmi. Kami akan bawakan perkembangan selanjutnya sebaik saja ia diperoleh nanti.

    *Kemaskini: Honda Malaysia telahpun membuat pengumuman rasmi berkenaan tempahan serta perincian lanjut mengenai ciri-ciri yang bakal dipadankan pada CR-V 2017 DISINI.

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2017 bagi pasaran Indonesia

     
     
  • Harga bahan api 1-7 Jun – semua turun antara 1-2 sen

    Harga bahan api 1-7 Jun – semua turun antara 1-2 sen

    Setelah dua minggu berturut-turut, harga siling bahan api utama naik, petang ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan penurunan harga buat RON 95, RON 97 dan diesel.

    Di mana petrol dilaporkan turun harga sebanyak 2 sen, kini menjadi RM2.10 seliter bagi RON 95, dan RON 97 pula berharga RM2.38 seliter. Manakala diesel Euro 2 pula turun sebanyak 1 sen, kini menjadi RM2.02 seliter dan Euro 5 pula RM2.12 seliter.

    Semua harga yang diumumkan ini akan mula berkuatkuasa pada tengah malam ini, dan seperti biasa, ia akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 7 Jun hadapan.

    Minggu sebelum ini iaitu 25 hingga 31 Mei, harga bagi RON 95 ialah RM2.12 seliter, manakala RON 97 pula RM2.40 seliter dan diesel Euro 2 pula RM2.03 seliter dan diesel Euro 5 RM2.13 seliter, iaitu semuanya naik sebanyak 4 sen berbanding minggu sebelum itu.

     
     
  • VIDEO: Ulangtahun ke-50 enjin Wankel Rotary Mazda

    Pada 30 Mei 1967, Mazda Cosmo Sport (dikenali juga sebagai 110S untuk pasaran eksport) dilancarkan di Jepun secara rasmi. Model berkenaan bukan sahaja kereta sport pertama dari Mazda, malah ia juga merupakan model pertama yang diberikan enjin Wankel Rotary.

    Mazda membawa teknologi berkenaan ke peringkat produksi setelah menandatangani perjanjian bersama NSU, pembuat kereta dan motosikal dari Jerman yang membangunkan enjin rotary rekaan juruteranya – Dr Felix Wankel – dan setelah Mazda sendiri berjaya menyelesaikan masalah mampatan pada kebuk pembakaran dengan menghasilkan ‘apex seal‘ baharu pada setiap sudut rotor.

    Semalam, genap 50 tahun enjin rotary wankel Mazda berada dalam pasaran. Dengan ciri unik yang diberikan enjin tersebut – saiz yang sangat kompak, respon yang begitu pantas, bunyi yang mengujakan dan mampu mencapai rpm yang tinggi dengan hanya pengubahsuaian mudah – ia jelas menjadi salah satu keseronokan dalam dunia automotif pada kelasnya yang tersendiri.

    Cosmo Sport menjadi pencetus kepada model-model sport rotary Mazda yang lain selepas itu dengan Mazda R100 dan diikuti siri RX selepasnya iaitu Capella RX-2, RX-3, RX-4, SA22 RX-7, FC3S RX-7, FD3S RX-7, dan yang terakhir, RX-8 – dihentikan pengeluarannya setelah enjin rotary tidak lagi mampu memenuhi piawaian emisi di Eropah.

    VIDEO: Ulangtahun ke-50 enjin Wankel Rotary Mazda

    Mazda turut membuktikan kehebatan enjin rotary ini di litar perlumbaan seluruh dunia. Mazda RX-7 SA22 misalnya, ia telah mendominasi perlumbaan IMSA Amerika Syarikat dalam kelasnya pada era 80’an. Kejayaan terbesar Mazda hadir menerusi jentera 787B dalam perlumbaan Le Mans 24 Jam pada tahun 1991.

    Jentera perlumbaan yang diberikan enjin rotary empat-rotor 2.6 liter berkuasa 710 hp tersebut telah menjadi juara perlumbaan endurance terulung berkenaan, seterusnya mencatatkan rekod sebagai enjin tanpa omboh pertama serta jenama dari Asia pertama dinobatkan sebagai juara.

    Mazda mendakwa semangat mereka dalam meneroka sesuatu yang berlainan ini telah mendorong mereka mempelopori pula barisan teknologi-teknologi Skyactiv (terdiri dari teknologi badan kerangka ringan, unit janakuasa, dan juga platform) yang terdapat pada model-model terbaharu mereka.

    Walau bagaimanapun, sebelum ini Mazda mengesahkan bahawa model konsep siri kereta sport rotary generasi baharu mereka iaitu RX-Vision tidak akan dijelmakan dalam bentuk produksi (walaupun mereka telah mempatenkan enjin rotary turbo baharu yang mungkin dijenamakan sebagai Skyactiv-R), sebaliknya teknologi rotary ini akan diteruskan pada kenderaan hibrid dan bertindak sebagai enjin penambah jarak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026