Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Boon Siew Honda pamer CRF250 Rally dan CRF250L, akan dilancar Ogos ini, harga sekitar RM27k, RM23k

    Boon Siew Honda pamer CRF250 Rally dan CRF250L, akan dilancar Ogos ini, harga sekitar RM27k, RM23k

    Pengedar rasmi motosikal jenama Honda di Malaysia iaitu Boon Siew Honda mempertontonkan beberapa buah model istimewa dalam satu acara khas yang diadakan untuk wakil media di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. Antara yang menarik adalah model pebagai guna CRF 250L dan CRF 250 Rally.

    Dua model ini menggunakan enjin yang sama iaitu unit satu silinder 250 cc, berkuasa 24.4 hp, namun mempunyai gaya badan yang berbeza, di mana CRF 250L lebih ringkas, manakala CRF 250 Rally mempunyai panel badan seperti motosikal perlumbaan rali Dakar, dengan penghadang angin yang tinggi, penutup bahagian enjin dan radiator, serta penghadang lumpur. Lampu utama dan penunjuk arah pula menggunakan unit LED.

    CRF 250 Rally mempunyai fork hadapan Showa yang lebih panjang, iaitu 43 mm, dengan rim 21 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan tangki minyak 10.1 liter. Menurut Honda, dengan kapasiti tangki sebegitu, ia dikatakan boleh bergerak sehingga jarak 321 km.

    Secara keseluruhannya, CRF 250 Rally mempunyai berat 157 kg dan ia disediakan dengan brek ABS, namun istimewanya, ia boleh ditutup sekiranya mahu menggunakan satu suis khas. Bagi menjadikan motosikal ini lebih lasak, bahagian bawah enjin dilindungi dengan plet manakala tuil brek dan klac boleh terlipat ke atas sekiranya motosikal jatuh.

    Kedua-dua CRF 250 L dan CRF 250 Rally dijangka dilancarkan pada bulan Ogos dengan harga jangkaan masing-masing RM23,000 dan RM27,000. Turut akan dilancarkan pada masa itu adalah sebuah lagi motosikal iaitu Rebel 500.

    GALERI: Honda CRF250 Rally 2017

    GALERI: Honda CRF250L 2017

     
     
  • Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

    Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

    Pada 19 Mei lalu, Proton Iriz 2017 telah pun membuat penampilan pertama di khalayak ramai di acara DRB-Hicom Autofest 2017. Lima hari selepas itu, pihak media permotoran tempatan berpeluang melihat secara lebih dekat dan memandu uji model facelift dari segmen-B ini apabila Proton bersedia mendedahkan spesifikasi dan perincian lengkapnya.

    Seperti mana yang kami nyatakan sebelum ini, Proton telah mengurangkan varian Iriz untuk kali ini dari lapan varian kepada empat varian sahaja – 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan 1.6 Premium CVT – menyaksikan transmisi manual kini hanya diberikan pada varian standard sahaja.

    Menurut Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, CEO Proton, Iriz facelift ini telah diberikan penambahbaikan yang lebih signifikan termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik. Malahan turut ditambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta penghalusan pada penentukuran ECU yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan yang lebih baik.

    Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

    Iriz kini menerima rombakan mekanikal yang sama seperti Persona di mana empat cagak enjin sebelum ini dikurangkan hanya kepada tiga (bagi mengurangkan resonan getaran dari enjin ke badan kereta), dan juga tebatan-tebatan lain bagi membolehkan kabinnya senyap termasuk menghilangkan bunyi berdengung yang datang dari transmisi CVTnya – sama seperti Persona.

    Enjin 1.3 liter VVT (94 hp/120 Nm) dan juga 1.6 liter VVT (107 hp/150 Nm) digandingkan dengan transmisi CVT masih lagi kekal, namun talaan untuk kotak komputer enjin dan juga transmisi telah diperhalusi bagi memberikan respon yang jauh lebih baik ketika pecutan diperlukan seperti pada model sedia ada.

    Bukan itu sahaja, Iriz juga kini tampil dengan dua warna baharu iaitu Ruby Red (dari Perdana) dan juga Carnelian Brown (dari Persona), manakala warna Citrus Green dan Fire Red kini digugurkan.

    Malah varian tertinggi turut menerima tema warna badan dua-tona (varian lebih rendah kekal dengan warna tunggal) berwarna hitam kilat pada bahagian atas gril, cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang (lebih besar dari varian lain). Ia turut diberikan dengan logo Proton 3D baharu pada bahagian hadapan dan belakang. Selain dari itu, rupa bentuk ciri lain masih lagi sama, termasuk kit badan yang diwarnakan dengan warna badan.

    Pada bahagian dalaman pula, kebanyakkan ciri masih lagi sama dengan model sedia ada. Tetapi varian Premium model baharu ini diberikan skrin sesentuh Smart Link pada bahagian tengah papan pemuka bagi membolehkan fungsi hubungan screen-mirroring terhadap telefon pintar. Keseluruhan tema dalaman Iriz juga masih kekal berwarna hitam untuk membezakannya dengan versi sedan iaitu Persona, namun hatchback ini kini diberikan kemasan berkilat pada panel meter dan juga di sekeliling skrin infotainmen.

    Iriz turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan fabrik, bersama serlahan jahitan benang berwarna merah. Apa yang menarik, tempat duduknya kini menerima jalur biru-merah ala-livery perlumbaan Martini. Jalur tersebut turut diberikan pada varian lain yang lebih rendah tetapi dengan material fabrik sepenuhnya. Kesemua varian juga menerima alas kaki baru dengan ciri anti-gelincir, manakala varian Premium diberi serlahan merah di sekelilingnya.

    Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

    Walau bagaimanapun, Iriz kini berkongsi tombol gear dan juga paparan instrumen (diberikan lampu Eco Assist) yang sama seperti Persona. Varian 1.3 Executive kini telah diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya pada varian Premium

    Bagi varian asas 1.3 Standard, ciri yang diberikan masih lagi kekal dengan lampu projektor hadapan, lampu belakang LED, rim 14-inci, upholsteri fabrik, penderia parkir dan juga pemain audio utama 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, USB, dan AUX dihubungkan kepada empat pembesar suara.

    “Walaupun terdapat penambahbaikan dan penghalusan dilakukan, ciri-ciri keselamatan standard dikekalkan pada Iriz di mana model ini sememangnya dikenali dengan ciri-ciri keselamatan yang hebat dan struktur Hot Press Forming (HPF).

    Ciri keselamatan masih lagi kekal sama di mana varian asas Standard diberikan dua-beg udara, sistem brek ABS dan EBD bersama bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang.

    Untuk varian tertinggi Premium, ia turut diberikan beg udara sisi dan tirai (menjadikannya enam-beg udara keseluruhan) serta amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk kesemua tempat duduk. Malah Iriz 2017 juga telah menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP bagi semua varian.

    Sudah pun mula berada di semua cawangan Proton Edar, harga atas jalan (tanpa insurans) bagi Iriz baharu ini adalah RM43,800 bagi varian 1.3 Standard MT, RM46,800 untuk 1.3 Standard CVT, manakala 1.3 Executive CVT pula berharga RM50,800 dan RM58,800 bagi 1.6 Premium CVT. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian mengenai Iriz 2017, sila layari CarBase.my.

    Sila baca ulasan pandu uji awal Proton Iriz 2017 DI SINI.

     
     
  • Fiat Argo dilancarkan di Brazil – menawarkan 8 varian

    Fiat Argo dilancarkan di Brazil – menawarkan 8 varian

    Fiat Argo baharu telah pun dilancarkan di Brazil, dan ia merupakan pengganti bagi Punto, Bravo dan Palio di negara Amerika Selatan itu.

    Banyak meminjam ciri daripada Tipo, Argo tampil dengan gaya luaran yang lebih mantap, termasuk menampilkan bahagian hadapan yang cukup sporty, lampu utama yang besar dan bonet yang lebih tegap.

    Menjengah ruang dalamannya, ia sedikit mirip dengan gaya Mercedes-Benz A-Class, dengan papan pemukanya menampilkan tiga corong pendingin hawa berbentuk bulat yang diletakkan kekemasan berwarna di sepanjang bahagian tersebut. Malahan ia juga menampilkan skrin paparan terapung (dengan skrin sesentuh tujuh-inci bagi varian paling atas) yang disambungkan dengan sistem infotainmen Uconnect.

    Fiat Argo dilancarkan di Brazil – menawarkan 8 varian

    Menurut Fiat, Argo turut memiliki kabin terbesar dalam segmennya, menawarkan 2,806 liter bagi ruang. Sementara, 300 liter bagi ruang bonet, iaitu lebih 24 liter berbanding model hatchback Ford Fiesta.

    Untuk pasaran Brazil, sebanyak lapan varian ditawarkan iaitu Drive 1.0, Drive 1.3, Drive 1.3 GSR, Precision 1.8, Precision 1.8 AT6, HGT 1.8, HGT 1.8 AT6 dan edisi terhad HGT Opening Edition Mopar.

    Bagi model edisi terhad, hanya 1,000 unit sahaja ditawarkan dengan aksesori tambahah Mopar termasuk roda aluminium 16-inci, pelindung ambang pintu, alas getah, sistem pembesar suara 60-watt dan logo spesifik model. Pembeli hanya mempunyai satu pilihan warna iaitu Portofino Blue, yang dipadankan dengan spoiler belakang serta perumah cermin sisi dan bumbung berwarna hitam.

    Fiat Argo dilancarkan di Brazil – menawarkan 8 varian

    Kit elemen bagi varian lain Argo termasuklah pendingin hawa automatik, roda aloi 16-inci, kawalan kelajuan, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem keselamatan tambahan dan kulit upholstery;

    Bagi varian paling rendah Drive 1.0, ia dijanakan oleh enjin Firefly 1.0 liter tiga-silinder dengan kuasa 78 hp, sementara varian 1.3 pula bersama enjin Firefly 1.3 liter empat-silinder dengan output 109 hp. Enjin yang paling berkuasa pula ialah E.torQ 1.8 liter Evo VIS dengan kuasa 139 hp.

    Pelanggan juga boleh memilih tiga pilihan bagi transmisi termasuk standard manual lima-kelajuan, automatik lima-kelajuan GSR dan automatik enam-kelajuan.

    Fiat Argo Drive 1.0

    Fiat Argo Drive 1.3

    Fiat Argo Drive 1.3 GSR

    Fiat Argo Precision 1.8

    Fiat Argo HGT Opening Edition Mopar

     
     
  • Volvo XC90 2017 – perincian aksesori dan pakej terkini

    Volvo XC90 2017 – perincian aksesori dan pakej terkini

    Dalam keadaan standardnya, terutama sekali varian T8 Twin Engine, Volvo XC90 sememangnya adalah sebuah kenderaan yang menarik. Namun, bagi sesetengah orang, mereka mungkin mahukan perincian yang tersendiri. Oleh itu, Volvo Car Malaysia telah menawarkan pelbagai pakej aksesori untuk SUV yang berkuasa 407 hp/ 640 Nm, dijual pada harga bermula RM403,888 ini.

    XC90 yang boleh anda lihat dalam gambar ini mendapat Oden Package, berharga RM20,888 dan ia termasuk sepasang rim 22 inci dan tayar Pirelli. Versi Silver Alloy bagi rekaan rim yang sama dijual pada harga RM26,078. Turut ditawarkan adalah rel bumbung pada harga RM1,455, pelindung bampar berharga RM663, perisian navigasi Sensus pada RM7,072, pemain media dengan skrin tujuh inci pada RM5,315 dan plet tepi pintu berlampu pada RM2,605.

    Terdapat juga pakej lain yang ditawarkan untuk Volvo XC90 ini. Kit penggayaan luar Hermod boleh didapati dalam dua kombinasi yang dinamakan sebagai Package 1 dan Package 2, manakala harga pula masing-masing adalah RM19,799 dan RM33,179.

    Dalam Package 1 Hermod, barangan yang diberi adalah termasuk skid plate untuk bampar belakang, hiasan muncung ekzos, perisian alat bantu letak kenderaan, pengesan pergerakan kaki untuk membuka pintu but belakang, hiasan pada rangka dan running board siap dengan lampu. Dalam Package 2 Hermod pula, selain barang yang disebutkan dalam Package 1 tadi, pembeli juga akan menerima rim 22 inci Oden Pack berwarna Tech Black matte.

    Pakej seterusnya yang ditawarkan adalah Thor Package, pada harga RM25,999, yang seperti juga Hermod Package, terdiri daripada hiasan pada rangka depan, running board dengan lampu, skid plate pada bampar belakang, perisian alat bantu letak kenderaan dan pengesan pergerakan kaki untuk membuka pintu but belakang. Walaubagaimanapun, pakej ini mempunyai penggayaan yang unik, hasil barangan seperti spoiler bawah sama warna dengan badan, siap dengan skid plate stainless steel, serta gril bawah berwarna hitam.

     
     
  • Nissan X-Trail facelift 2017 didedahkan di Eropah

    Nissan X-Trail facelift 2017 didedahkan di Eropah

    September tahun lalu, Nissan telah mendedahkan versi facelift SUV Rogue iaitu X-Trail versi pasaran Amerika Syarikat, dan kini jenama dari Jepun berkenaan mendedahkan pula SUV dengan lencana X-Trail sebenar yang juga telah diberikan facelift versi pasaran Eropah. X-Trail dengan rupa lebih segar berkenaan bakal menembusi pasaran bermula Ogos ini.

    X-Trail facelift menampilkan rekaan gril V-motion yang lebih lebar dan garang digandingkan dengan bampar baharu. Lampu hadapan turut direka semula dan diberikan lampu nyalaan siang LED boomerang baharu. lampu LED penuh untuk X-Trail kini diberikan sistem lampu hadapan adaptif (AFS) buat pertama kali. Lampu kabus pula kini menampilkan bentuk bersegi, berbanding bulat sebelum ini.

    Pada bahagian bampar pula, ia kini diberikan kemasan krom baharu. Lampu belakang juga kini diberikan sistem LED sepenuhnya. Model varian tertinggi kini diberikan kemasan krom pada bahagian bawah pintu depan dan belakang.

    X-Trail facelift hadir dengan rim aloi rekaan baharu untuk versi diameter 17-inci dan 18-inci. Empat pilihan warna baharu turut ditampilkan meliputi warna Orange Pearl, Red Pearl, Blue Pearl Metallic dan Dark Brown Pearl.

    Nissan X-Trail facelift 2017 didedahkan di Eropah

    Model dipertingkat ini turut diberikan penyegaran pada bahagian dalaman. Roda stereng kini diberikan unit baharu dengan rekaan rata di bahagian bawah bagi memudahkan pemandu keluar dan masuk serta memperbaiki sudut pandang ke paparan instrumen. Roda stereng berkenaan turut diberikan suis-suis kawalan yang membolehkan pemandu lebih menumpukan pandangan pada cermin hadapan serta diberikan sistem pemanas bina dalam buat pertama kali.

    Nissan mendakwa bahagian dalaman X-Trail 2017 diberikan komponen kabin yang diperbuat dari material lebih berkualiti tinggi, seperti kemasan hitam berkilat pada liang pendingin hawa. Pemanas tempat duduk turut diberikan pada bahagian hadapan dan belakang buat pertama kali, manakala upholsteri kulit baharu berwarna tan/hitam ditawarkan sebagai ciri opsyen.

    Varian tertinggi Tekna kini diberikan sistem audio Bose Premium bersama paparan navigasi yang telah dikemaskini. Ia juga turut diberikan antena sirip yu yang mempunyai kualiti penerimaan lebih baik serta rupa yang lebih menarik.

    Dengan rombakan semula pada bahagian dalaman, ruang but X-Trail juga kini mempunyai kapasiti lebih besar, meningkat dari 550 liter kepada 565 liter pada versi lima tempat duduk. Jumlah kapasiti berkenaan dapat ditingkatkan lagi pada 1,996 liter setelah tempat duduk belakang dilipat.

    Nissan X-Trail facelift 2017 didedahkan di Eropah

    Semua varian X-Trail juga diberikan pilihan ‘tendang untuk buka’ pada pintu tailgate serta kesemua varian diberikan Luggage Board System dari Nissan, yang membolehkan para disusun dan dilaras dengan sembilan formasi. Ruang tersembunyi untuk barang berharga turut diberikan.

    SUV Nissan X-Trail terbaharu ini turut dilengkapi dengan teknologi pemanduan sendiri ProPilot pada 2018 nanti. Sistem berkenaan akan mengawal stereng, pecutan dan juga brek pada satu lorong lebuhraya sama ada pada situasi trafik sesak mahupun cruising pada kelajuan tinggi.

    Selain itu, X-Trail baharu ini turut diberikan sistem brek kecemasan automatik pintar dan juga sistem pengenalpastian pejalan kaki serta amaran lintasan trafik belakang.

    Walau bagaimanapun, X-Trail pasaran Eropah masih kekal dengan tiga pilihan enjin iaitu diesel 2.0 liter berkuasa 177 PS, diesel 1.6 liter berkuasa 130 PS, dan juga 1.6 liter petrol turbo berkuasa 163 PS. Kesemua enjin tersebut hadir dengan pilihan transmisi automatik CVT dan juga manual enam-kelajuan. Pelanggan juga boleh memilih sama ada mahukan versi 2WD atau 4WD, dan juga lima atau tujuh tempat duduk.

     
     
  • Toyota jual semua baki pegangan saham dalam Tesla

    Toyota jual semua baki pegangan saham dalam Tesla

    Disebabkan kekurangan pembangunan baru, Toyota mengesahkan syarikat itu telah menjual semua baki sahamnya dalam Tesla. Syarikat Jepun itu sebelum ini memiliki 3% kepentingan dalam Tesla, dengan nilai sekitar US $50 juta pada 2010.

    “Kerjasama pembangunan antara kami dan Tesla berakhir tidak lama dulu. Memandangkan tiada pembangunan baru yang akan menyusul, kami mengambil keputusan bahawa telah sampai masa untuk menjual semua baki pegangan saham yang terlibat,” jelas jurucakap Toyota, Ryo Sakai.

    Baki saham itu dijual pada penghujung 2016, sebagai sebahagian amalan biasa penialaian semua berkala terhadap pelaburan yang dilakukan, selepas syarikat itu menjual sebahagian sahamnya pada 2014 dengan jumlah US $700 juta.

    Kedua-dua syarikat itu memperoleh manfaat daripada kerjasama yang pernah dijalinkan – Toyota menerima kepakaran untuk membantunya dalam pembangunan model RAV4 EV, sementara Tesla pula berhasil keluar dari kemungkinan bankrap.

    Toyota selepas itu meneruskan pembangunan teknologi hydrogen fuel-cell, membawa kepada pengenalan model Mirai. Pendekatan dalaman EV Business Planning Department yang diketuai oleh presiden Toyota, Akio Toyoda mengurangkan lagi keperluan ke atas kerjasama dengan Tesla.

     
     
  • SPYSHOT: VW Touareg 2018 terdedah sepenuhnya

    SPYSHOT: VW Touareg 2018 terdedah sepenuhnya

    SUV Volkswagen Touareg generasi seterusnya dikesan sedang diuji di atas jalan raya sebenar di Jerman tanpa sebarang penyamaran, kecuali pada lampu yang dilindungi sedikit bagi menyorokkan perinciannya.

    Rekaan Touareg 2018 ini turut menggunakan elemen yang seakan sama dengan barisan SUV VW lain yang lebih kecil seperti Tiguan serta Atlas dan ia mensasarkan pasaran Amerika Syarikat. Model genarasi baharu ini kelihatan seperti sebuah Tiguan tetapi dengan saiz yang lebih besar, menampilkan rekaan lebih tajam serta lampu hadapan yang lebih tirus.

    Model flagship berkenaan bakal bersaing dalam kelas SUV bersaiz besar seperti Volvo XC90, dan laporan turut menyebut ia bakal diberikan bahagian dalaman yang lebih premium serta skrin infotaimen lebih besar.

    SPYSHOT: VW Touareg 2018 terdedah sepenuhnya

    Sebelum ini, laporan Autocar menyatakan Touareg generasi baharu ini bakal diberikan varian plug-in hybrid yang mempunyai kaitan dengan unit janakuasa pada model konsep T-Prime GTE yang dipertontonkan pada Beijing Auto Show tahun lalu.

    Model konsep tersebut diberikan enjin TSI 2.0 liter berkuasa 248 hp/370 Nm digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 134 hp/350 Nm. Ia mangalirkan kuasa ke transmisi lapan-kelajuan automatik, yang turut diberikan LSD bina dalam. Secara keseluruhan, sistem berkenaan membekalkan kuasa 375 hp dan tork 700 Nm, serta mampu bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada jarak 50 km.

    Selain dari versi PHEV berkenaan, Touareg 2018 masih lagi ditawarkan dalam varian enjin TSI dan TDI, serta sistem pacuan semua roda 4Motion bakal diberikan standard untuk semua model. Model baharu ini dijangka bakal didedahkan sepenuhnya pada akhir tahun ini, manakala pelanggan pula bakal menerima kereta mereka pada awal 2018.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Rio hatch 2017 dikesan di Malaysia

    SPYSHOT: Kia Rio hatch 2017 dikesan di Malaysia

    Baru-baru ini, Kia Rio 2017 telah dikesan di Putrajaya. Foto bahagian belakang model hatchback generasi keempat ini dihantar oleh seorang pembaca, Amirul – ia memperlihatkan lampu belakang LED dengan rekaan triple boomerang dengan penggayaan yang lebih mantap.

    Senada dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Kia Malaysia, hatchback segmen-B dijangka akan diperkenalkan di pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini, namun jangka masa ini sudah semakin berakhir, mungkinkah ia ditangguhkan ke suku seterusnya?

    Walau bagaimanapun, difahamkan pasaran di sini akan menerima model 1.4 liter N/A dengan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Ia adalah pakej yang sama seperti mana ditawarkan di pasaran Australia (yang turut mempunyai pilihan transmisi manual enam-kelajuan), tidak seperti yang diterima di pasaran Eropah dengan enjin petrol 1.0 liter turbo dan 1.4 liter turbodiesel.

    Rio baharu ini telah pun dilancarkan di Indonesia ketika penganjuran IIMS 2017 pada akhir April lalu. Ia ditawarkan dengan enjin 1.4 liter NA berkuasa 100 PS dan tork maksima 133 Nm. Enjin Dual CVVT tersebut dipadankan dengan pilihan transmisi empat kelajuan automatik atau enam-kelajuan manual.

    Kia Rio baharu dijual pada harga bermula 250 juta rupiah (RM80,332) untuk pasaran Indonesia dan dibawa secara CBU dari Korea Selatan.

    Ikuti ulasan pandu uji kami bagi Rio baharu spesifikasi Australia DI SINI.

    GALERI: Kia Rio 1.4 MT, spesifikasi Indonesia

     
     
  • Proton dijangka mengalami kerugian sehingga RM1 bilion tahun ini jika tidak distruktur semula – PM

    Proton dijangka mengalami kerugian sehingga RM1 bilion tahun ini jika tidak distruktur semula – PM

    Isu Proton masih hangat diperkatakan, malah ada pihak yang menuduh keputusan kerajaan untuk mencarikan rakan kongsi strategik asing (FSP) bagi syarikat automotif nasional itu sebagai ‘menjual aset negara’. Keputusan memilih Zhejiang Geely, sebagai FSP Proton, telah pun dibuat setelah syarikat automotif terkemuka dari China itu memenangi bidaan.

    Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jika tidak distruktur semula, Proton dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion pada tahun ini, laporan Bernama.

    Perdana Menteri berkata pada tahun lepas misalnya, kerugian syarikat itu telah mencecah RM500 juta berikutan prestasi jualan yang tidak memberangsangkan iaitu sekitar 72,000 unit setahun dan 6,000 unit sebulan.

    “Pada tahun lepas kerajaan bantu dengan memberi pinjaman mudah RM1.5 bilion. Tahun ini minta lagi (daripada kerajaan untuk) R&D pula RM1.1 bilion. Ini duit rakyat yang kita gunakan untuk selamatkan Proton kerana 60,000 orang bergantung rezeki dengan Proton, jadi berapa lama lagi kita perlu beri,” kata Najib.

    Proton dijangka mengalami kerugian sehingga RM1 bilion tahun ini jika tidak distruktur semula – PM

    Malah beliau menegaskan, penstrukturan semula Proton bukan keputusan yang berlandaskan emosi sebaliknya dilakukan atas dasar ‘hidup dan mati’ syarikat itu.

    “Kita tak mahu perniagaan yang mati, perniagaan yang lumpuh, tetapi perniagaan yang untung. Kita tak boleh bangga dengan kereta nasional tetapi rugi berbilion-bilion. Kita lebih bangga dengan kereta nasional yang memberi untung serta faedah kepada kita. Apa yang penting adalah mesti menguruskan perniagaan sehingga membawa kepada keuntungan,” kata Najib.

    Jelas Perdana Menteri, keputusan itu juga bukanlah berkisar kepada soal untuk mempertahankan 100% pegangan, sebaliknya adalah lebih baik untuk memiliki 51% kepentingan dengan turut meraih keuntungan.

    Tambahnya lagi, dalam soal ini terdapat dua pilihan iaitu memiliki pegangan 100% tetapi rugi beratus-ratus juta atau pegangannya berkurangan namun mencatat keuntungan mencecah ratusan juta.

    “Sebab itulah kita buat pilihan kedua iaitu lebih baik pegangan dikurangkan tetapi perniagaan kita (meraih) untung,” katanya.

    Sehubungan itu, Najib menggesa rakyat untuk memahami rasional di sebalik isu berkenaan.

     
     
  • Triumph sah jadi pembekal enjin Moto2 bermula 2019

    Triumph sah jadi pembekal enjin Moto2 bermula 2019

    Hujung minggu perlumbaan MotoGP di Mugello, Itali bukan sekadar menyaksikan saingan hebat Ducati dan Yamaha, tetapi juga dikejutkan dengan pengumuman rasmi bahawa Triumph akan menjadi pembekal enjin untuk perlumbaan Moto2 bermula pada tahun 2019.

    Melalui perjanjian selama tiga tahun di antara Triumph dan pemegang hak komersial MotoGP iaitu Dorna Sports, pengeluar dari United Kingdom tersebut akan membekalkan enjin lumba khas berkapasiti 765 cc tiga silinder, yang asasnya turut digunakan pada model terbaru Triumph Street Triple 765 2017, untuk menggantikan enjin 600 cc Honda yang digunakan sekarang.

    “Ini adalah waktu yang sangat bermakna bagi Triumph, di mana ia membawa satu lembaran baru yang mengujakan dalam sejarah 110 tahun kami dalam dunia perlumbaan. Kami seronok untuk menjalin kerjasama yang panjang dan mengujakan dengan Dorna, pasukan Moto2, pelumba dan juga peminat,” kata ketua pegawai komersial Triumph Motorcycles, Paul Stroud.

    Triumph sah jadi pembekal enjin Moto2 bermula 2019

    Enjin 765 cc ini juga adalah versi naik taraf daripada enjin 675 cc yang digunakan pada model Daytona 675R, dan telah memacu motosikal tersebut untuk memenangi perlumbaan kategori Supersport dalam Isle of Man TT, Daytona 200 dan Brtish Supersport Championship pada tahun 2014 dan 2015.

    Pada Triumph Street Triple RS, enjin tiga silinder 765 cc ini mampu menghasilkan 121.1 hp pada 11,700 rpm dan 77 Nm tork pada 10,800 rpm, tetapi bagi unit yang akan digunakan dalam perlumbaan Moto2 nanti, kuasanya akan ditingkatkan sehingga 131 hp dan 80 Nm tork.

     
     
  • GALERI : Honda CR-V 2.0L i-VTEC 2017 untuk pasaran Malaysia buat penampilan sulung di Gurney Paragon

    GALERI : Honda CR-V 2.0L i-VTEC 2017 untuk pasaran Malaysia buat penampilan sulung di Gurney Paragon

    Bulan Ramadan tahun ini nampaknya tempoh yang agak sibuk buat Honda Malaysia. Ramadan tahun lalu, syarikat itu melancarkan model Honda Civic FC.

    Ia diteruskan tahun ini dengan pengenalan Honda Jazz facelift yang bakal dilancarkan minggu depan. Bukan itu saja; bermula hari ini, Honda CR-V 2017 juga sedang dibawa menjelajah ke beberapa lokasi seluruh negara, bermula di Pulau Pinang, hari ini.

    Ia merupakan penampilan umum yang pertama bagi Honda CR-V generasi kelima itu. Bagaimanapun, versi yang anda lihat ini bukan dari spesifikasi yang paling lengkap, dengan pilihan enjin 1.5L Turbo VTEC seperti yang dinanti-nantikan ramai orang.

    GALERI : Honda CR-V 2.0L i-VTEC 2017 untuk pasaran Malaysia buat penampilan sulung di Gurney Paragon

    Yang dipamerakn di Gurney Paragon hari ini ialah dari varian yang dilengkapi enjin 2.0L SOHC i-VTEC (jangkaannya ialah varian pertengahan, dengan pacuan AWD) – yang sebelum ini turut ditawarkan bagi pasaran Indonesia – yang mampu menjana kuasa dan tork sebanyak 155 PS/190 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT.

    Antara kelengkapan lain pada varian Honda CR-V 2.0L yang sedang anda tatapi ini adalah penggunaan lampu LED, rim 17-inci serta dibahagian belakang, satu corong ekzos sahaja (varian 1.5L Turbo hadir dengan dua corong ekzos). Teknologi maju Honda Sensing juga tidak disertakan pada varian ini.

    Honda CR-V 2017 memiliki panjang 4,584 mm, 1,855 mm lebar dan 1,679 mm (1,689 bagi 4WD) tinggi. Model baru ini 55 mm panjang, 35 mm lebar dan 6 mm lebih rendah berbanding yang sebelumnya.

    Pasaran di negara jiran bagaimana pun turut menerima pilihan tempat duduk barisan ketiga. Honda Malaysia pula memilih hanya untuk memasarkan CR-V dengan lima tempat duduk sahaja. Kapasiti kargo maksimum dengan kerusi barisan kedua diturunkan sepenuhnya ialah 1,084 liter.

    Jangan risau, pililhan enjin 1.5L Turbo VTEC turut akan ditawarkan di Malaysia – bagi penawaran varian tertinggi SUV ini. Ia menjana sejumlah 193 PS dan 243 Nm tork dari 2,000 rpm hingga 5,000 rpm; 20 PS dan 23 Nm lebih kuasa berbanding enjin sama pada Civic sedan. Ia dipadankan dengan kotak gear CVT, dan pilihan sistem pacuan AWD.

    Begitu juga dengan pakej teknologi Honda Sensing. Ia akan ditawarkan pada varian paling tinggi. Ini termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Semua varian kini dilengkapi dengan enam beg udara. Ciri Vehicle Stability Assist (VSA) juga ditawarkan sebagai ciri standard. Selain itu, masukan tanpa kunci, butang Push Start, kamera undur (dengan sensor parkir depan dan belakang) dan lampu LED turut akan ditawarkan bagi semua varian.

    Selepas Pulau Pinang, siri jelajah Honda CR-V akan berada di Mid Valley Megamall (7-11 Jun), Imago Mall Kota Kinabalu (11 Jun), Aeon Tebrau City JB (16-18 Jun) dan Plaza Merdeka Kuching (Jun 18). Honda CR-V 2017 juga telah dibuka untuk tempahan.

     
     
  • Proton taja pakaian raya untuk balu, anak-anak yatim bekas kakitangannya dalam program Kasih Ramadan

    Menyemarakkan lagi kasih sesama insan di bulan yang mulia ini, Proton juga tidak melupakan jasa bekas kakitangannya yang telah kembali ke pangkuan Ilahi dengan menaja pakaian raya untuk balu dan anak-anak mereka. Menerusi program Kasih Ramadan 2017, Proton telah membawakan 15 buah keluarga membeli-belah pakaian raya di Jakel, Shah Alam, pada pagi ini.

    Turut hadir sama dalam majlis ini ialah CEO Proton Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, yang diiringi oleh pihak pengurusan tertinggi Proton termasuk Abdul Rashid Musa selaku CEO Proton Edar Sdn Bhd. Manakala bagi pihak Jakel Shah Alam, pengarahnya Tuan Haji Mohamed Izani Mohamed Jakel turut hadir sama memeriahkan majlis.

    Proton taja pakaian raya untuk balu, anak-anak yatim bekas kakitangannya dalam program Kasih Ramadan

    Kegembiraan terpancar di wajah anak-anak yatim dan balu kepada bekas kakitangan yang pernah berkhidmat dengan Proton ini, memilih pakaian raya masing-masing. Biar pun pasti terselit kesedihan kerana sekali lagi pada tahun ini, tidak dapat berhari raya dengan bapa yang telah kembali ke pangkuan Ilahi, namun pengkongsian rezeki oleh Proton ini ibarat mengubat duka di hati insan yang ditinggalkan orang tersayang.

    Malah apa yang dilakukan oleh Proton ini ternyata usaha yang murni, bukan setakat beramal jariah apatah lagi di bulan yang mulia ini, bahkan sedikit sebanyak meringankan beban keluarga ini dengan cara berkongsi rezeki.

     
     
  • Proton Bayu kini tampil dalam ilustrasi digital lengkap

    Proton Bayu kini tampil dalam ilustrasi digital lengkap

    Tentunya anda masih belum lupa dengan beberapa rekaan dan imej render yang dihasilkan oleh saudara Saharudin Busri dari Pusat Rekaan MIMOS yang pernah kami tampilkan sebelum ini, terhadap model-model Proton yang dibayangkan semula.

    Antaranya, Proton Suprima X dan Suprima R, dua model yang diasaskan oleh Proton Suprima S dan dilanjutkan sebagai model-model yang tersendiri yang menampilkan rekaan menarik – sebuah versi hatchback yang lebih sporty dan sebuah lagi kenderaan crossover.

    Terbaru, beliau tampilkan pula lakaran asas Proton Bayu, sebuah SUV yang dihasilkan dari rekaan asal Geely Boyue. Apa yang diterapkan kepada lakaran itu adalah bagaimana agaknya rekaan SUV pertama Proton dengan usahasama syarikat China itu akan kelihatan kelak.

    Proton Bayu kini tampil dalam ilustrasi digital lengkap

    Dan apa yang anda saksikan ini pula adalah lanjutan daripada proses lakaran awal berkenaan – sebuah imej render SUV berkenaan dalam rupa bentuknya yang lebih nyata. Rekaan Proton Bayu ini ingin ditampilkan dengan imej yang sangat berbeza daripada model asal Geely itu, walaupun sebenarnya hanya melibatkan perubahan yang minimum.

    Mengambil ilham dari bayu (wind), beliau mengolahkan elemen berkenaan dengan logam krom yang meliputi hampir satu badan SUV berkenaan, dengan elemen utamanya disekeliling tingkap dan dibawa hingga ke spoiler belakang.

    Bumbung juga lebih rendah untuk menampakkan sisi sporty yang moden. Selain itu, sentuhan DNA Proton masih dikekalkan, terutamanya pada bahagian gril front wing dan garis krom di belakang. Gril depannya diberikan sentuhan lebih besar dan mengimbangi saiz SUV berkenaan – ia juga merupakan lanjutan kepada rekaan gril pada Suprima X terdahulu.

    Proton Bayu kini tampil dalam ilustrasi digital lengkap

    Menjarakkannya agak kelihatan lari lebih jauh dari versi SUV Geely adalah pilihan warna dua tona yang digunakan, memberikan imej yang lebih elegan kepada rekaan Proton Bayu ini. Rekaan rim juga mengambil kira elemen keseluruhan “bayu” yang sama.

    Mengapa rekaan ini dihasilkan? Menurut Saharudin, ia hanyalah sebagai latihan lakaran digital untuk membiasakan diri menggunakan peranti Microsoft Surface Pro yang baru diterima oleh pereka di MIMOS itu. Jadi, selepas melihat Proton Bayu, apa pandangan anda?

     
     
  • Guna rak basikal belakang kenderaan salah, kenapa?

    Guna rak basikal belakang kenderaan salah, kenapa?

    Memandangkan komuniti berbasikal agak aktif dan giat berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin ramai yang masih belum tahu tentang satu perkara ini – mengangkut basikal menggunakan rak khusus dibahagian belakang kenderaan anda sebenarnya salah di sisi undang-undang.

    Kereta dengan rak basikal seperti yang dimaksudkan ini bukan lagi perkara asing. Hampir setiap hujung minggu, tambahan pula jika ada acara-acara kayuhan seperti KL Car Free Morning anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau di mana-mana saja lokasi yang ada acara demikian, ia sangat biasa kelihatan.

    Sebelum ini, kami sendiri ada mendengar tentang beberapa kes di mana pemandu yang membawa basikal di belakang ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Hampir semua kesalahan yang disabitkan adalah sama; membawa basikal dibahagian belakang kenderaan. Adakah perkara ini betul?

    Ketika berkunjung ke pejabat Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib tak lama dahulu, kami sempat bertanyakan kepada beliau dan meminta penjelasan lanjut tentang perkara ini.

    Guna rak basikal belakang kenderaan salah, kenapa?

    sdr

    Memang pilihan untuk rak atau pengangkut basikal yang ditawarkan terlalu banyak, tetapi pengguna perlu mengetahui beberapa perkara sebelum membeli. “Terutama bagi kereta hatchback, jangan gantung rak berkenaan di belakang,” tegasnya.

    “Ini kerana, sangat jelas akan ada beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang akan dilanggar jika anda menggunakan rak basikal di belakang. Pertama, nombor pendaftaran tidak boleh terlindung. Begitu juga dengan lampu brek ketiga, dan ini termasuklah lampu brek belakang serta lampu isyarat. Ini yang menjadi kesalahan, disebabkan penggunaan rak dibahagian belakang kenderaan,” jelas beliau.

    “Ada juga pengguna yang tidak mengikat tayar dan bahagian pemegang basikal dengan ketat. Bila tayar dan rim basikal ini berpusing ketika dibawa, ia boleh mengelirukan penglihatan pengguna jalan raya yang lain. Dan kencenderungan yang membahayakan keselamatan seperti ini yang ingin kita elakkan,” tambah beliau lagi.

    Jika anda didapati melakukan kesalahan ini, dengan membawa rak basikal di belakang dan ia menyebabkan lampu dan nombor pendaftaran terlindung, maka pegawai JPJ berhak mengeluarkan saman serta-merta. Sudahnya, rak basikal yang bagaimana yang dibenarkan?

    Guna rak basikal belakang kenderaan salah, kenapa?

    “Untuk mengangkut basikal tanpa melanggar sebarang undang-undang, pengguna boleh gunakan rak basikal dibahagian bumbung. Gunalah dari jenis yang bagaimana sekali pun, asalkan ia diletakkan di atas bumbung kenderaan, itu tidak akan menjadi masalah dan JPJ tidak akan mengganggu, kerana ia tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang dinyatakan itu,” ujarnya lagi.

    Jika anda ragu-ragu atau pernah mendengar desas-desus tentang perkara ini serta tidak dapat untuk memahami mengapa ia menjadi satu kesalahan di jalan raya, diharap huraian ringkas ini dapat menjawab keraguan yang timbul berkaitannya.

    Ikuti juga siri soal-jawab kami bersama JPJ sebelum ini, antaranya menyentuh isu penggunaan rear wing besar, lampu HID serta penggunaan tayar kangkang.

     
     
  • F60 MINI Countryman terima 5-bintang Euro NCAP

    Bagi ujian terkini yang dijalankan oleh Program Penilaian Kenderaan Baharu Eropah (Euro NCAP), F60 MINI Countryman turut menerima penarafan lima-bintang daripada badan tersebut. Penarafan keselamatan ini adalah untuk semua varian Countryman kecuali versi plug-in hybrid Cooper S E All4.

    Bagi ujian Penumpang Dewasa, Countruman menerima markah sebanyak 90%, dengan bahagian penumpang kekal stabil dalam ujian offset yang hadapan. Sementara bagi Pelindung Penumpang Dewasa, SUV ini menerima markah sebanyak 80%, dan 64% untuk ujian Pejalan Kaki.

    Sistem brek kecemasan sendiri adalah standard bagi Countryman di pasaran Eropah, di mana ia turut diuji kecekapannya mengikut kelajuan di lebuhraya. Ia turut mencapai keputusan sebanyak 51% markah bagi kategori ujian Bantuan Keselamatan.

    F60 MINI Countryman telah pun dilancarkan di Malaysia, dengan menawarkan dua varian iaitu Cooper S dan Cooper, dengan harga atas jalan bermula RM239,888 tanpa insurans.

     
     
  • Toyota TJ Cruiser nama bagi model baharu?

    Toyota TJ Cruiser nama bagi model baharu?

    Toyota telah memfailkan tanda dagang bagi “TJ Cruiser” dengan Jabatan Paten dan Cap Dagang AMerika Syarikat (USPTO), di mana kemungkinan ia adalah bagi nama model baharu yang bakal menyertai barisan SUV dan crossover. Adakah ia juga bakal menggantikan model FJ Cruiser yang ditamatkan pengeluarannya?

    Walau bagaimana pun, Toyota masih belum mengesahkan perkara ini dan memfailkan nama cap dagang ini dilihat sebagai perkara yang normal untuk syarikat melindungi nama bagi model akan datang. Walau bagaimana pun, sekiranya Toyota menggunakan nama TJ Cruiser tersebut, mungkinkan ia bagi versi produksi FT-4X.

    Toyota TJ Cruiser nama bagi model baharu?

    Model konsep tersebut telah dipertontonkan pada New York International Auto Show (NYIAS) yang lalu, menampilkan gaya serba ranggi. Ia kelihatan lebih kecil berbanding C-HR, dan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama.

    Toyota mensasarkan SUV terbabit sebagai kenderaan urban yang serba lasak tetapi bersifat kasual, berbanding dengan yang hardcore seperti mana Baja 500. Malah, kemungkinan juga FT-4X adalah bagi menggantikan FJ Cruiser, dengan sifatnya yang serba lasak. Walau bagaimana gaya rangginya mungkin tidak begitu ketara bagi model versi produksi kelak.

    GALERI: Model konsep Toyota FT-4X

     
     
  • BMW dapat lesen untuk eksport kereta buatan China

    BMW dapat lesen untuk eksport kereta buatan China

    Pihak berkuasa di China telah memberikan lesen kepada BMW yang membenarkan jenama itu mengeksport kenderaan yang diperbuat di negara tembok besar tersebut menerusi usaha sama BMW Brilliance. Sekaligus membuka peluang bagi model BMW buatan China untuk dimiliki oleh pelanggan di pasaran lain termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan oleh Automotive News.

    “Kami memperoleh lesen eksport bagi kerjasama tersebut tetapi setakat ini kami belum membuat sebarang keputusan untuk eksport memandangkan kami perlu memproduksi bagi pasaran tempatan,” ujar Olaf Kastner, ketua BMW di China. Soal kualiti bagi kereta dari China juga dipertimbangkan, namun BMW percaya perkara ini dapat diatasi kerana kereta buatan negara tersebut telah mencapai tahap seperti mana yang diproduksi di Jerman dan USA.

    Tahun lalu, BMW telah memproduksi lebih 300,000 kenderaan menerusi dua fasiliti di China yang terletak di Dadong dan Tiexi, yang melibatkan model seperti 1 Series Sedan,2 Series Active Tourer, 3 Series, 5 Series dan X1 (X3 bakal menyertai pada masa akan datang). Walau pun ia merupakan model paling layak untuk dieksport, namun menurut Kastner, pihaknya masih belum membuat sebarang rancangan kerana “semuanya adalah untuk pasaran tempatan”.

    Pengeluar kenderaan lain yang turut mendapat lesen eksport ialah Volvo, di mana ia merupakan syarikat luar pertama yang mengeksport kereta buatan China ke Eropah dan USA menerusi model S60L dan terbaru, S90. Malahan syarikat terbabit juga mempunyai perancangan untuk memproduksi kereta elektrik sepenuhnya yang pertama di negara berkenaan dan bakal dieksport ke pasaran global.

     
     
  • Hyundai Elantra baharu dibuka untuk tempahan – 2.0 MPI bermula sekitar RM120,000, 1.6 Turbo RM135,000

    Hyundai Elantra baharu dibuka untuk tempahan – 2.0 MPI bermula sekitar RM120,000, 1.6 Turbo RM135,000

    Walaupun masih belum dilancarkan, Hyundai Sime Darby Motors telah pun membuka tempahan untuk Elantra serba baru, yang mengikut perancangannya, akan dilancar secara rasmi dalam bulan ini juga. Bagi yang menempah Elantra baharu sekarang, mereka akan mendapatnya sebelum sambutan Hari Raya ini. Tiga varian ditawarkan untuk Elantra baharu ini iaitu 1.6 Turbo Sport, 2.0 MPI Dynamic dan 2.0 MPI Executive, dengan harga masing-masing dijangka sekitar RM135,000, RM125,000 dan RM120,000.

    Hyundai Elantra baharu ini pertama kali dijumpai di Malaysia semasa ia sedang diuji oleh JPJ pada Januari lalu, dan kemudiannya kami menerima pula gambar dua model, satu daripadanya adalah Turbo sewaktu ia dipertonton kepada wakil pengedar. Paling baru, versi Turbo Sport dipamerkan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

    Elantra varian 2.0 MPI (Dynamic dan Executive) dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0L, mampu menghasilkan 152 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm. Bagi varian 1.6 Turbo Sport pula, ia menggunakan enjin empat silinder Gamma 1.6 GDI Turbo yang lebih berkuasa, iaitu sebanyak 204 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

    Seperti yang boleh dilihat pada model Turbo Sport yang dipamerkan di pusat beli-belah Mid Valley awal bulan ini, ia mempunyai rekaan gril unik, berserta perincian krom dan lambang “Turbo” pada satu sisi. Bahagian belakang pula dilengkapi diffuser, dua muncung ekzos dan lambang “Sport”. Melengkapkan penampilannya adalah rim 17-inci.

    Bahagian dalam varian Turbo Sport ini juga lebih sporty, dengan kemasan dua tona warna, merah dan hitam pada tempat duduk, jahitan pada stereng, tombol gear dan juga karpet. Turut boleh dilihat adalah plastik kemasan gaya gentian karbon, pendingin hawa dwi-zon, bumbung suria, sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin.

    Perincian lain Hyundai Elantra ini hanya akan didedahkan semasa pelancarannya nanti, tetapi antara kelebihannya yang dinyatakan, selain rekaan Fluidic 2.0 dan enjin baru yang lebih berkuasa adalah penggunaan besi berkekuatan tinggi, Emergency Fastening Device dan Hands-free Smart Trunk. Kenderaan ini juga telah menerima penarafan lima-bintang dalam penilaian kenderaan baharu Australasian (ANCAP).

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Turbo Sport di Mid Valley

     
     
  • Seat mahu netizen beri nama pada SUV baharunya

    Seat mahu netizen beri nama pada SUV baharunya

    Pengeluar automotif dari Sepanyol dan juga jenama di bawah naungan Volkswagen Group – Seat – bakal memperkenalkan pula SUV tujuh-tempat duduk yang bakal menggunakan platform yang sama dengan SUV Skoda Kodiaq.

    Bagi mendekatkan pengguna dengan syarikat berkenaan, VW Group mengambil keputusan untuk menyerahkan kepada orang awam untuk memberikan nama kepada SUV baharu ini. Mereka yang berminat boleh mencadangkan nama berkenaan di laman sosial masing-masing dengan menggunakan hashtag “#SEATseekingName”.

    Walau bagaimanapun, Seat masih lagi menetapkan syarat untuk nama baharu berkenaan di mana ia perlulah diambil dari terma geografi Sepanyol seperti Ibiza dan Ateca (kedua-duanya nama bandar di Sepanyol), serta ia mestilah seiring dengan “nilai jenama” syarikat berkenaan. Selain itu, nama baharu tersebut perlulah mudah untuk disebut dalam pelbagai bahasa di peringkat global.

    Peringkat pertama pertandingan ini akan bermula sekarang sehingga 22 Jun 2017. Nama-nama yang dirasakan sesuai akan disenarai pendekkan dan akan disemak semula oleh pakar-pakar jenama Seat. Nama-nama finalis kemudiannya akan diumumkan pada 12 September 2017 semasa berlangsungnya Frankfurt Motor Show, dan kemudian ia akan diundi oleh peminat-peminat Seat bermula 12 hingga 25 September bagi menentukan pemenang.

    SUV baharu berkenaan bakal dijadikan sebagai model flagship Seat dan akan dibina di ibu pejabat VW di Wolfsburg, Jerman. Ia juga dijangka bakal menggunakan barisan enjin empat-silinder dan transimisi manual atau DSG sama seperti Kodiaq, serta bakal diberikan versi pacuan hadapan dan juga pacuan semua roda.

     
     
  • Proton Preve kini dipasang di Bangladesh oleh PHP

    Proton Preve kini dipasang di Bangladesh oleh PHP

    Ada satu perkembangan lain tentang Proton selain usahasama dengan Geely yang hangat diperkatakan sebelum ini; model Preve kini dipasang di Bangladesh sejak bulan lalu untuk pasaran tempatan di sana.

    Menurut laporan The Financial Express, ia dilakukan oleh syarikat PHP yang berpusat di bandar pelabuhan Chittagong. Laporan itu turut menyebut bahawa Preve menjadi “kereta pertama yang dikeluarkan di sana”, walaupun sebelum ini Mitsubishi turut menjalankan beberapa aktiviti berkaitan automotif di negara itu.

    Dengan berita ini, Preve akan menjadi tambahan kenderaan terbaru yang akan menelusiri jalan-jalan raya di Bangladesh, dan PHP perlu meyakinkan pasaran berkenaan untuk menerima Preve berbanding model-model recon yang dibawa masuk.

    Ini merupakan masalah yang sama dihadapi oleh Tan Chong di Myanmar, di mana Nissan Sunny (Almera) yang dipasang di sana perlu bersaing dengan model kenderaan recon untuk meraih perhatian pelanggan.

    Proton Preve untuk pemasangan tempatan di Bangladesh ini bukanlah muncul secara tiba-tiba. Ia sudah lama dibincangkan sebelum ini, seawal tahun 2014. Pada Mac 2016, Proton menyatakan pengeluaran tempatan di sana akan bermula pada Jun tahun lalu bagi menggantikan model CBU dari Malaysia.

    Perjanjian asal antara Proton dan PHP adalah untuk syarikat dari Bangladesh itu mengeluarkan 1,200 unit Preve setahun, dengan pengeluaran pada awalnya dijadualkan bermula pada Disember 2015.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026