Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Proton Saga, Persona dan Preve dengan kit naik taraf oleh TuneD – tiga pakej, bermula RM5,000

    VIDEO: Proton Saga, Persona dan Preve dengan kit naik taraf oleh TuneD – tiga pakej, bermula RM5,000

    Sebelum ini, kami pernah menyiarkan hasil kerja TuneD, syarikat yang mengeluarkan jenama aksesori kenderaan tempatan, yang mengolah imej luaran dan dalaman tiga model Proton iaitu Preve, Saga dan Persona. Kit badan dan aksesori dalaman bagi ketiga-tiga model berkenaan telah pun berada di pasaran dengan harga bermula RM5,000.

    Bagi memberikan visual yang lebih jelas, TuneD telah memaparkan ketiga-tiga model yang telah ditingkatkan bahagian luaran dan dalamannya menerusi video di bawah.

    Mula mempertontonkan kit badan keluaran mereka menerusi Preve di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2013, TuneD menyediakan tiga pakej bagi setiap model kereta tersebut iaitu Standard, Executive dan Premium. Jika inginkan kit badan yang standard atau asas sahaja, elemen yang ditampilkan termasuklah bampar hadapan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, gril, skirt sisi, antena ‘shark fin’ dan cat warna merah khas TuneD yang diberi nama Fierce Red.

    Bagi pakej Executive pula, selain barangan pada pakej Standard tadi, ia turut ditambah dengan lampu LED hiasan, tempat duduk kulit depan dan belakang, trim pintu dan lapik di dalam bahagian but untuk semua model, tetapi bagi Saga, ia ditambah dengan lapik penyerap bunyi di bahagian hud depan.

    Melalui pakej Premium pula, pembeli akan menerima rim TuneD 16-inci untuk Saga dan Persona, dan 17-inci bagi Preve, bersama tayar, dan untuk Saga, ia ditambah lagi dengan sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin.

    Dicipta oleh warga tempatan sendiri ini sebenarnya dihasilkan dari awal, bermula dari rekaan asal tersendiri sehinggalah ke produk akhir dan melalui pelbagai proses pembangunan termasuk ujian aerodinamik. Walaubagaimanapun ujian ini dilakukan secara virtual dan bukannya di dalam terowong angin.

    VIDEO: Proton Saga, Persona dan Preve dengan kit naik taraf oleh TuneD – tiga pakej, bermula RM5,000

    Malahan TuneD memberi jaminan bahawa produk mereka ini dipasang secara kemas, bermaksud semua tapak skru dan klip asal masih boleh digunakan, tiada jurang pada setiap penjuru dan ia tidak akan mengganggu prestasi kenderaan.

    Selain itu, kit naik taraf TuneD ini bukan sekadar datang sebagai satu produk, tetapi juga siap dengan servis pemasangan bagi memastikan ekslusivitinya. Mereka juga tidak akan menjualnya bagitu sahaja untuk dibawa pulang dan dipasang sendiri. Apabila pemilik sah membelinya, wakil TuneD akan datang mengambil kereta anda, dan ia akan dipasang sendiri oleh pekerja TuneD sehingga siap, dan ini dijangka mengambil masa sekitar dua minggu termasuk cat keseluruhan badan.

    Bagi memastikan produk mereka sentiasa segar dalam pasaran, bagi setiap satu edisi hanya akan dikeluarkan sebanyak 500 unit sahaja. Apabila semua produk berkenaan habis di pasaran, TuneD akan memperkenalkan rekaan baharu pula. Telah beroperasi lebih 10 tahun, TuneD memiliki 150 jurutera pelbagai bidang, dan kebanyakan mereka mendapat latihan terus di Jepun untuk penghasilan kit kenderaan seperti ini dengan betul.

    Bukan itu sahaja, TuneD juga menggunakan khidmat penasihat pakar dalam bidang ini, termasuk salah seorang daripadanya adalah bekas presiden Nismo, yang sudah bekerja dengan Nissan lebih 35 tahun iaitu Yuichi Sanada dan pakar NVH (noise, vibration and harshness) juga bekas pekerja Nissan iaitu Koichi Osumi.

    Untuk fasa pertama ini, TuneD ingin fokus kepada produk kenderaan Proton terlebih dahulu, diikuti dengan Perodua, dan kemudiannya mungkinlah baru menghasilkan produk untuk kenderaan jenama lain. Selain kit badan dan dalaman, TuneD juga sedang membangunkan pelbagai lagi barangan naik taraf kenderaan termasuk peralatan elektronik seperti meter digital dan sistem hiburan, enjin serta pengendalian.

    GALERI: Proton Persona TuneD

    GALERI: Proton Saga TuneD

    GALERI: Proton Preve TuneD

     
     
  • Ford Focus RS edisi terhad 2018 didedahkan – hasil daripada maklum balas pelanggan, hanya 1,500 unit

    Ford Focus RS edisi terhad 2018 didedahkan – hasil daripada maklum balas pelanggan, hanya 1,500 unit

    Ford telah mendedahkan model edisi terhad baru bagi Ford Focus RS yang dinamakan sebagai model 2018. Ia adalah hasil daripada pemerhatian Ford terhadap perbincangan pemilik kenderaan ini di laman sosial, dan apa lagi yang diharapkan daripada sebuah model standard Focus RS. Bagi menjadikannya lebih bermakna, beberapa pemilik bertuah dibawa ke ibu pejabat Hoonigan Racing di Utah, Amerika Syarikat untuk menjadi yang pertama melihat kereta ini.

    Ditawarkan dalam dua warna iaitu Race Red dan Nitrous Blue, Focus RS Limited Edition 2018 ini turut diberi peningkatan di bahagian luar yang termasuk bumbung, cermin sisi dan sayap belakang berwarna hitam berkilat, rim aloi forged 19 inci dengan penutup tengah berlogo RS dan cermin sisi dengan ciri pemanas supaya ia tidak berwap.

    Ford Focus RS edisi terhad 2018 didedahkan – hasil daripada maklum balas pelanggan, hanya 1,500 unit

    Pada bahagian dalam pula, kelengkapan yang sebelum ini diberikan hanya di dalam pakej Focus RS2 diberikan terus kepada kereta ini, termasuk navigasi kawalan suara SYNC 3, stereng dengan ciri pemanas dan tempat duduk Recaro kulit yang turut mempunyai ciri pemanas dan boleh dilaras secara elektrik. Menambahkan lagi ciri sport, kereta ini turut mempunyai kemasan gentian karbon pada pemegang pintu dalam, penarik brek tangan dan berhampiran meter boost.

    Enjin yang digunakan pada model ini masih adalah unit 2.3 liter Ecoboost, tetapi ia diberi peningkatan mekanikal lain, iaitu sistem limited slip differential Qualfe untuk roda hadapan. Ia dikatakan dapat membantu menjadikan kereta ini lebih mencengkam di selekoh dan boleh keluar lebih laju daripada selekoh.

    Hanya 1500 unit Ford Focus RS akan dikeluarkan dengan 1,000 daripadanya adalah untuk Amerika Syarikat, manakala 500 lagi adalah untuk Kanada. Penghantaran kepada pelanggan juga dijangka dapat dilakukan dalam tahun ini.

     
     
  • Perodua, Grab jalin kerjasama – Bezza, Myvi dan Alza ditawar dengan pakej harga istimewa untuk pemandu

    Perodua, Grab jalin kerjasama – Bezza, Myvi dan Alza ditawar dengan pakej harga istimewa untuk pemandu

    Perodua dan Grab Malaysia semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk memberikan perkhidmatan dengan nilai tambah seperti pakej harga istimewa hinggalah kepada kadar kompetetif sewa-beli bagi pemandu GrabCar.

    “Langkah ini antaranya merupakan cara baru untuk Perodua kerana melaluinya kami dapat mengetengahkan barisan produk yang ada dalam skala yang lebih meluas melalui Grab,” jelas Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

    “Antara perkara yang terkandung di dalam MoU ini ialah pakej harga istimewa melalui Bahagian Jualan Korperat dan Kerajaan, yang membolehkan pendaftaran kenderaan bagi pemandu Grab dilakukan dalam tempoh singkat, pusat sehenti bagi servis dan alat ganti serta pembaharuan insurans dan cukai jalan,” tambah beliau.

    Perodua, Grab jalin kerjasama – Bezza, Myvi dan Alza ditawar dengan pakej harga istimewa untuk pemandu

    “Sebagai peneraju platform perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian di Asia Tenggara, kami akan memberikan tumpuan secara berterusan terhadap bagaimana untuk memberdayakan 620 juta orang di rantau ini agar mereka boleh menikmati pengangkutan yang selamat, cekap dan berpatutan,” jelas Ketua Grab Malaysia, Sean Goh.

    Model-model yang ditawarkan oleh Perodua untuk tujuan ini adalah Bezza, Myvi dan Alza. Majlis ini berlangsung di bilik pameran Perodua Petaling Jaya, dan turut disaksikan oleh Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh bersama Pengarah Grab Inc., Nick Tan.

     
     
  • PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

    PANDU UJI: Renault Koleos 2016 – pilihan dengan ciri yang lebih premium dalam saingan SUV segmen-C

    Di Malaysia, jika berbicara tentang SUV, pasaran yang boleh dikatakan paling meriah tentulah dalam segmen-C. Namun, pasaran ini seolah-olah didominasi oleh jenama-jenama keluaran Jepun, yang mana dengan mudah anda akan berselisih dengan Honda CR-V, Nissan X-trail dan juga Mazda CX-5 pada bila-bila masa.

    Selain dari tiga saingan utama ini, SUV-SUV segmen-C dari Korea seperti Hyundai Tucson dan Kia Sportage juga nampaknya kini makin menyerlah, begitu juga dengan sebuah lagi saingan dari Jerman iaitu Volkswagen Tiguan yang kini menampilkan harga yang lebih murah dari generasi sebelumnya bagi membolehkan ia bersaing lebih kompetitif.

    Tetapi, jika diilihat secara keseluruhan, SUV segmen-C mempunyai hadnya tersendiri iaitu ia tidak direka terlalu premium bagi membolehkan julat harganya boleh bersaing antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih, sebenarnya terdapat lagi satu pilihan pada pasaran Malaysia dalam segmen ini iaitu Renault Koleos 2016.

    Koleos generasi terkini ini muncul buat pertama kali pada April 2016 di Beijing Motor Show dan ia tiba di Malaysia hanya lima bulan selepas itu, dilancarkan secara rasmi dalam pasaran tempatan pada September tahun lalu. Model generasi kedua ini dibina berasaskan platform Common Module Family-CD (CMF-CD) iaitu platform yang sama dengan Nissan X-trail T32.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Subaru keluarkan teaser BRZ STI, bakal muncul 8 Jun

    Subaru keluarkan teaser BRZ STI, bakal muncul 8 Jun

    Versi STI bagi Subaru BRZ sepatutnya sudah lama keluar, tapi cuma sekarang barulah Subaru seperti sudah bersedia apabila Subaru Amerika mengeluarkan satu gambar di laman Instagram mereka, bersama tarikh 8 Jun. Walaupun hanya adalah gambar sayap belakang, diketahui kemungkinan besar ia adalah model BRZ STI dan 8 Jun itu adalah tarikh pelancarannya.

    Dikatakan sebegitu kerana sayap belakang gentian karbon dengan logo STI ini dilihat sama seperti di dalam gambar spyshot BRZ STI yang pernah dijumpai sebelum ini. Selain daripada itu, Subaru tidak mendedahkan sebarang informasi lain.

    Daripada gambar spyshot itu, BRZ STI dilihat mempunyai bampar, skirting serta rim baru, bersama lencana STI dan muncung ekzos yang lebih besar. Sedikit peningkatan prestasi daripada enjin boxer empat silinder 2.0 liter D-4S direct injection kereta ini juga boleh dijangka. Bagi model sekarang, versi manual mampu menghasilkan 205 hp manakala versi automatik 200 hp.

    GALERI: Spyshot Subaru BRZ STI

     
     
  • VIDEO: Siri video pendek BMW M tidak terlalu serius

    VIDEO: Siri video pendek BMW M tidak terlalu serius

    Bermula bulan lalu, cabang prestasi kenderaan BMW iaitu M mengeluarkan siri video pendek di laman Youtube mereka. Kita sering tahu, kenderaan yang membawa nama M adalah jentera serius, namun konsep video ini adalah sebaliknya. Malah, ia mungkin boleh membuat anda tersenyum dan rasa berkait dengan situasi yang ditunjukkan.

    Sebagai contoh, dalam siri yang paling baru, seorang ayah datang mengambil anaknya menggunakan BMW M3 Competition Package, yang mempunyai kuasa mencecah 450 PS, tetapi bila anaknya mahu membuka pintu, kereta digerakkan sedikit ke hadapan, dan kemudiannya ke belakang.

    Selain itu, siri video pendek ini juga mempunyai satu persamaan, iaitu anda tidak kisah, walaupun kereta anda keterlaluan. Contohnya, kereta anda terlalu rendah, tetapi anda masih tidak kisah. Seterusnya, kereta anda adalah sensitif, dan menyukarkan orang lain, tetapi anda masih menggemarinya. Semua video pendek BMW M ini sekaligus meningatkan kita kembali bahawa memandu sepatutnya dijadikan sesuatu yang menyeronokkan.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Vios akan datang diuji di Thai?

    SPYSHOT: Toyota Vios akan datang diuji di Thai?

    Adakah ini Toyota Vios generasi akan datang, yang dikesan sedang diuji di Thailand? Foto oleh forum komuniti Headlight Magazine ini menunjukkan beberapa sudut bagi model sedan dan hatchback segmen-B ini.

    Apa yang dijangka akan menjadi Yaris sedan untuk pasaran Thai ini dilihat ada mengambil sedikit ciri Corolla Altis termasuk lampu utama dan lampu belakang. Manakala antena sirip jerung pada bumbung kedua-dua model sedan dan hatch yang sedang diuji ini adalah bagi menggantikan unit antena yang lama.

    Tingkap pada C-pillar bagi kedua-dua sedan dan hatch ini juga kelihatan sedikit condong. Bagi model sedan ini, ia menerima penutup tangki minyak berbentuk segi empat tepat berbanding bulat pada model semasa. Sementara hatchback pula mengekalkan penutup tangki minyak bulat, dan kini turut nenerima susunan lampu belakang yang terpisah.

    Menurut apa yang dibicara menerusi forum berkenaan, Yaris sedan akan datang ini dijangka bakal diperkenalkan di pasaran Thai pada suku kedua 2017, manakala model hatchback pula pada suku ketiga atau keempat tahun ini juga.

    Di bawah hudnya, Yaris sedan/Vios pasaran Thai ini dijangka akan dipadankan dengan enjin petrol 3NR-FE 2.0 liter empat-silinder sebaris (bagi mendapatkan cukai insentif kereta Eco Thailand), dengan Dual VVT-i, yang mampu menghasilkan kuasa 86 hp pada 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,000 rpm, dengan kuasa disalurkan ke gandar hadapan menerusi transmisi CVT.

    Enjin ini nampaknya tidak akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia kerana masih mengekalkan penjana kuasa semasa iaitu 1.5 liter dengan unit Dual VVT-i baharu tahun lalu.

    GALERI: Toyota Vios 1.5 GX 2016

     
     
  • Honda CR-V dilancar di Australia Julai ini, dari RM98k

    Honda CR-V dilancar di Australia Julai ini, dari RM98k

    Bakal mendarat di pasaran Australia pada pertengahan Julai ini, spesifikasi dan harga bagi Honda CR-V baharu di sana telah pun didedahkan. Ia juga akan ditawarkan dengan empat gred dan lima varian, dengan hanya satu jenis penjana kuasa, iaitu 1.5 liter VTEC turbo dengan output 188 hp pada 5,600 rpm dan tork 240 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm, lebih kurang sama dengan pasaran Indonesia. Penjana kuasa tersebut dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams Technology.

    Hujung tahun lepas, dilaporkan Australia akan menerima CR-V yang diproduksikan di Thailand iaitu bagi penjana kuasa 2.4 liter N/A dan 1.5 liter turbo. Namun nampak gayanya versi 2.4 liter telah pun digugurkan bagi pasaran sana.

    Harga akan bermula dari AU$30,690 (RM97,800) untuk model asas VTi sehinggalah AU$44,290 (RM141,200) bagi varian tertinggi VTi-LX. Daripada lima varian yang ditawarkan, tiga daripadanya adalah pacuan roda-hadapan dan dua lagi pacuan semua-roda, serta empat daripadanya adalah versi lima-tempat duduk.

    Honda CR-V dilancar di Australia Julai ini, dari RM98k

    Model asas VTi menawarkan pacuan roda-hadapan dan dipadankan bersama aloi 17-inci, manakala gred lain dengan unit 18-inci. Elemen standard bagi semua gred ialah kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kawalan suhu dwi-zon, lampu utama projektor halogen dengan lampu nyalaan siang LED, tempat duduk fabrik dan kamera undur.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu kabus hadapan, rel bumbung dan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sesentuh berwarna 7.0-inci bersama lapan-pembesar suara serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi aspek keselamatan, CR-V spesifikasi Australia ini dilengkapi dengan enam beg udara (di hadapan, sisi dan tirai), bantuan mula mendaki, VSA, bantuan kestabilan treler dan pemantauan kepekaan pemandu.

    Model VTi-S adalah varian lima-tempat duduk, yang boleh didapati dengan pacuan roda-hadapan dan konfigurasi AWD. Elemen yang ditambah ialah electric tailgate (dengan larasan ketinggian), navigasi satelit, pengesan parkir hadapan dan belakang, roda stereng balutan kulit dan sistem kamera Honda LaneWatch.

    Ini diikuti dengan VTi-L, yang menawarkan bentangan tujuh-tempat duduk bersama pacuan roda-hadapan. Elemennya lebih kurang sama dengan VTi-S, tetapi ada pertambahan termasuklah bumbung matahari panoramik, bilah pengelap cermin pengesan-hujan auto, corong pendingin hawa di siling bagi barisan tempat duduk ketiga, tempat duduk hadapan berkuasa dengan fungsi haba (bersama larasan lapan-arah bagi pemandu dengan sokongan belakang dan memori, dan empat bagi penumpang hadapan) dan separa kulit upholstery.

    Honda CR-V dilancar di Australia Julai ini, dari RM98k

    Bagi model spesifikasi tertinggi pula, VTi-LX, adalah kapasiti lima-tempat duduk dengan pacuan semua-roda. Ia mendapat semua elemen yang dinyatakan di atas, termasuk beberapa elemen tambahan. Ia adalah Honda Sensing, bagi teknologi bantuan pemantu termasuk kawalan kelajuan adaptif (ACC) dengan kelajuan rendah (LSF) dan amaran pelanggaran hadapan (FCW).

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem brek pengurangan pelanggaran (CMBS), amaran penukaran lorong (LDW), sistem pengurangan ketibaan jalan (RDMS) dan bantuan kekal lorong (LKAS).

    Lampu utamanya juga dipertingkat iaitu dari halogen ke unit LED sepenuhnya, dengan lampu selekoh aktif dan sokongan lampu tinggi dan lampu kabus LED. Elemen tambahan lain termasuklah cermin pandang belakang anti silau, privacy glass, radio digital (DAB+), dan tombol gear balutan kulit.

     
     
  • Honda MSX125 2017 dalam pilihan empat warna baharu – akan turut ditawarkan dengan aksesori H2C

    Honda MSX125 2017 dalam pilihan empat warna baharu – akan turut ditawarkan dengan aksesori H2C

    Boon Siew Honda kini memperkenalkan model “fun-bike” MSX125 dengan pilihan empat warna baru dengan rekaan grafik lebih segar bagi tahun ini. Warna-warna yang dimaksudkan ialah Candy Caribbean Blue Sea, Candy Ultimate Pink, Pearl Valentine Red dan Lemon Ice Yellow.

    Honda MSX125 baru ini turut dilengkapi dengan lampu utama LED. Rekaan rim aloi 12-inci yang digunakan juga diberi rekaan baru dalam bentuk “Y” yang lebih ringan. Paparan LCD digital yang digunakan juga jelas dan memudahkan penunggang untuk melihat dan mengendalikan fungsi paparan yang ada di dalamnya.

    Motosikal ini menggunakan suspensi Teleskopik dengan jarak pergerakan 31 mm, memberikan kemampuan serapan hentakan yang lebih baik. Bagi suspensi belakang, MSX125 menggunakan jenis monoshock.

    Motosikal kecil ini menggunakan enjin 125 cc silinder tunggal, empat lejang dengan sejukan udara. Ia menjana sebanyak 7.2 kW pada 7,000 rpm dan 11 Nm pada 5,250 rpm. Ia juga dilengkapi dengan sistem suntikan minyak PGM-Fi dan dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

    Beratnya ialah 104 kg, dan kapasiti tangki minyak yang digunakan ialah 5.7 liter. Untuk memeriahkan lagi penawaran terbarunya ini, Boon Siew Honda turut membawa masuk aksesori H2C yang menerima sambutan hangat di Thailand.

    MSX125 terbaru ini dalam versi yang ditambah dengan aksesori yang dimaksudkan dijangka tampil dalam pasaran Malaysia Julai nanti. Motosikal ini dijual pada harga bermula RM11,128.94 termasuk GST (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Jaminan dua tahun atau 20,000 km turut diberikan.

     
     
  • Renault Scenic tampil pula dalam versi Initiale Paris

    Renault Scenic tampil pula dalam versi Initiale Paris

    Mengikut jejak penawaran terhadap model seperti Clio, Espace, Captur dan Koleos sebelum ini, Renault kini menampilkan pula model Scenic dan Grand Scenic dalam versi Initiale Paris. Di asaskan dari varian Intens, kedua-dua model terbabit menerima beberapa peningkatan dari aspek penggayaan untuk disesuaikan dengan penjenamaan Initiale Paris itu sendiri.

    Antaranya, penggunaan warna luaran baru, Amethyst Black metalik serta rim 20-inci. Selanjutnya, ia dipasangkan dengan gril corak bintang, penjenamaan “Initiale Paris” di bawah logo Renault serta lampu kabus LED yang turut fungsi di selekoh.

    Di ruang dalaman pula, lapik bahagian bawah kerangka bukaan pintu hadir dalam kemasan krom dengan logo “Initiale Paris” serta warna khas pada bahagian konsol tengah. Pemilik boleh memilih antara corak warna hitam atau kelabu dan upholstery kulit Nappa yang turut digunakan pada tombol gear dan stereng.

    Senarai kelengkapannya turut termasuk kerusi larasan elektrik dengan fungsi urut dan pemanas, serta sistem audio Bose, paparan heads-up berwarna dan Easy Park Assist.

    Pilihan enjin pula termasuk 1.2 liter Energy TCe 130 empat-silinder dengan janaan 130 PS (128 hp) dan 205 Nm atau dua enjin 1.6 liter diesel – Energy dCi 130 (130 PS/128 hp dan 320 Nm) serta Energy dCi 160 (160 PS/158 hp dan 360 Nm).

    Hanya enjin diesel yang paling berkuasa dipadankan dengan transmisi klac berkembar enam-kelajuan manual. Di Perancis, harganya bermula dari 33,200 Euro (RM158,627) hingga 39,400 Euro (RM188,250).

     
     
  • Renault Megane RS 2018 – bahagian sisi pula didedah

    Renault Megane RS 2018 – bahagian sisi pula didedah

    Pastinya para peminatnya tidak sabar untuk melihat imej luaran dan dalaman Megane RS 2018. Begitu juga dengan perician bagi spefikasinya terutamanya enjin yang bakal menjanakan hot hatch ini.

    Terkini, laman Facebook Megane Rs Online telah mendedahkan imej sisi, selepas gambar belakangnya terlebih dahulu didedahkan.

    Menerusi foto profil sisi yang disebarkan ini, kelihatan ada corong antara gerbang roda hadapan dengan pintu hadapan. Malah kelihatan juga gerbang roda hadapan dan belakang yang lebih besar.

    Difahamkan, Renault telah mengesahkan hot hatch ini bakal dipadankan dengan rekaan hadapan yang menampilkan lampu kabus gaya-chequered flag, yang juga kelihatan pada foto spyshot yang kami siarkan sebelum ini.

    Baru-baru ini, Megane RS telah muncul di litar Monaco dipandu oleh pelumba pasukan F1 Renault, Nico Hulkenberg. Penampilan model baharu berkenaan turut diiringi dua buah jentera lagenda F1 Renault dari era 1.5 liter V6 Turbo iaitu Renault RS01 dipandu Jean-Pierre Jabouille, dan juga Renault RE40 dipandu oleh Alain Prost.

    Penampilan sulung Megane RS yang masih lagi mengenakan pelekat penyamaran di seluruh badan berkenaan walau bagaimanapun telah mendedahkan rupa bentuk bahagian belakangnya sekaligus mengesahkan imej tanpa sebarang pelekat sebelum ini yang turut mendedahkan rekaan diffuser pada bampar belakang yang berbeza dari Megane standard.

    Setakat ini, Renault masih belum mendedahkan perincian lanjut mengenai hot hatch ini, namun ada khabar angin yang menyatakan ia akan dijana oleh enjin petrol turbo empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa lebih daripada 300 hp, serta dipacu hanya pada roda hadapan. Walau bagaimana pun, Renault telah mengesahkan, Megane RS ini bakal dipadankan dengan transmisi manual atau dwi-klac.

    Model baharu ini dijangka bakal didedahkan sepenuhnya pada Frankfurt Motor Show 2017 yang akan berlangsung pada September ini.

    GALERI: Foto spyshot Renault Megane RS 2018

     
     
  • PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

    PANDU UJI: Kia Grand Carnival – dibangunkan secara teliti untuk kemudahan penggunaan setiap penumpang

    Mac tahun ini, Naza Kia Malaysia telah melancarkan model Grand Carnival untuk pasaran Malaysia. Ini adalah model generasi ketiga dan ia bukanlah sebuah model yang asing bagi negara kita, kerana model generasi pertama juga pernah dijual dengan menggunakan nama Naza Ria.

    Pada masa itu, ia dilihat mudah diterima ramai kerana tidak banyak pesaing yang betul-betul dapat menandinginya. Walaupun begitu, model generasi kedua tidak sampai ke negara kita, dan kekosongan yang ada diisi oleh model-model jenama lain. Tapi kini, Naza Kia ingin menawan kembali segmen MPV besar ini.

    Nama yang kerap disebut sebagai perbandingan untuk Grand Carnival adalah Hyundai Starex, kerana ia juga adalah sebuah MPV besar, dan menggunakan enjin diesel. Walaupun begitu, Starex mempunyai empat baris tempat duduk, dengan keseluruhannya boleh membawa 11 orang, manakala Grand Carnival pula untuk lapan orang, dengan hanya tiga baris tempat duduk.

    Walaupun dengan perbezaan jumlah tempat duduk itu, saiz dua MPV ini tidak banyak berbeza, iaitu Starex cuma lebih panjang 10 mm dan lebih tinggi 195 mm, namun Grand Carnival lebih lebar 60 mm. Daripada jumlah ini sahaja, sudah diketahui, pastinya bahagian dalam Grand Carnival adalah lebih luas. Daripada aspek harga, Grand Carnival dijual bermula RM153,888 manakala Starex pula bermula RM164,018.

    Baca laporan selanjutnya di sini

     
     
  • GALERI: BMW M4 CS – tempahan Eropah kini dibuka

    GALERI: BMW M4 CS – tempahan Eropah kini dibuka

    BMW telah mendedahkan galeri gambar terkini model M4 CS, yang pertama kali dipersembahkan ketika Auto Shanghai 2017 bulan lalu. Syarikat itu turut mengumumkan, tempahan bagi model berkenaan kini telah dibuka; harganya di Eropah ialah €116,900 (RM557,500) – meletakkannya di antara model M4 dan M4 GTS.

    Varian ini dikuasakan oleh enjin 3.0 liter turbo berkembar, enam-silinder sebaris yang turut digunakan oleh M4 standard, tetapi dengan janaan yang dipertingkat – 460 hp pada 6,250 rpm dan 600 Nm pada 4,000-5,380 rpm. Ini bagaimanapun 40 hp lebih rendah daripada varian M4 GTS.

    Bagi kotak gear, ia menggunakan M Double Clutch Transmission (M DCT) dengan Drivelogic, menghantarkan kuasa ke roda belakang. Bacaan 0-100 km/j dalam 3.9 saat manakala kelajuan maksimumnya dihadkan secara elektronik pada takat 280 km/j.

    Pendekatan rekaan yang khusus bagi model ini adalah seperti bahagian splitter depan yang diperbuat daripada gentian karbon yang terdedah, serta bahagian Gurney spoiler di belakang; kereta ini meminjam diffuser belakang daripada M4 GTS.

    Komponen pengendalian M4 SC ini dipinjam daripada veri M4 dalam pakej Competition, termasuk suspensi Adaptive M, sistem kestabilan DSC (dengan M Dynamic Mode), Active M Differential dan brek dengan material fade-resistant M (kaliper empat-piston di depan dan kaliper dua-piston di belakang).

    Di ruang dalaman, kemasan jalur khas serta pada dasar kerangka pintu (door sill) membezakan identitinya. Selain itu, ia juga menerima dua warna luaran baru eksklusif – San Marino Blue Metallic dan Lime Rock Grey Metallic. Khabarnya, pengeluaran model ini hanya terhad kepada 3,000 unit sahaja, untuk menjadikannya istimewa. Ini bagaimanapun melebihi jumlah M4 GTS yang dikeluarkan, hanya dalam 700 unit.

     
     
  • Polis, JPJ akan buat saringan pemandu Uber dan Grab

    Polis, JPJ akan buat saringan pemandu Uber dan Grab

    Bertolak dari kejadian terbaru di mana seorang berusia 26 tahun yang wanita hamil yang kemudiannya keguguran kandungan akibat dirompak menggunakan pisau oleh seorang pemandu Uber, pihak berkuasa akan mengetatkan proses pengambilan pemandu bagi pengusaha perkhidmatan yang terlibat.

    Menurut Suruhanjaya Pegangkutan Awam Darat (SPAD), dalam masa terdekat, pihak berkuasa akan membuat saringan terhadap permohonan pemandu bagi perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian yang terlibat. Ketika ini, saringan terhadap pemandu-pemandu dilakukan oleh Uber dan Grab sendiri.

    Namun, selepas ini, perkara itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis, menurut kenyataan pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar seperti dilaporkan The Star.

    Polis, JPJ akan buat saringan pemandu Uber dan Grab

    “Tindakan ini sangat perlu dilakukan dengan segera kerana kami sudah menerima laporan berkenaan beberapa kejadian serupa. Kami sangat prihatin dengan perkara ini, dan mahukan undang-undang berkaitannya segera diluluskan di Parlimen secepat mungkin,” tambah beliau.

    “Mereka (Uber dan Grab) berkata mereka mempunyai sistem saringan yang baik dengan memeriksa latar belakang pemandu dilakukan dengan kerjasama polis dan JPJ. Kini sangat jelas, langkah itu tidak diikuti dengan cermat,” katanya beliau lagi yang sangat terganggu dengan kejadian seperti itu.

    SPAD memaklumkan, di bawah pindaan yang dicadangkan ke atas Akta Pengangkitan Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, suruhanjaya itu berhak ke atas pangkalan data pemandu Uber dan Grab.

    “Kami akan melakukan pemeriksaan silang bagi latar belakang pemandu bersama-sama dengan JPJ dan polis sebelum mereka dilantik sebagai pemandu. Mungkin akan berlaku sedikit kelewatan dalam proses ini akibat birokrasi, tetapi ia merupakan langkah yang wajib diambil untuk memastikan keselamatan penumpang,” tambahnya.

     
     
  • AD: Dapatkan cukai jalan dan insurans percuma, TV 40-inci dan hamper raya dari Medan Quantum!

    AD: Dapatkan cukai jalan dan insurans percuma, TV 40-inci dan hamper raya dari Medan Quantum!

    Jika anda ingin membeli kereta baharu sempena Hari Raya ini, bolehlah berkunjung ke Medan Quantum untuk mendapatkan tawaran yang mengagumkan. Sebagai sebahagian daripada promosi raya, Medan Quantum menawarkan cukai jalan dan insurans percuma untuk semua kereta, serta barangan ihsan yang berupa TV LCD 40-inci bagi model terpilih, serta hamper raya untuk pelanggan bertuah.

    Kenderaan ditawarkan termasuk kereta-kereta premium seperti Mercedes-Benz, Bentley Bentayga, Range Rover dan Audi, juga MPV mesra-keluarga seperti Toyota Vellfire, Alphard, Estima dan Wish. Tempoh promosi sah sehingga 15 Jun 2017.

    AD: Dapatkan cukai jalan dan insurans percuma, TV 40-inci dan hamper raya dari Medan Quantum!

    Medan Quantum mengimport kereta-kereta recon dari United Kingdom dan Jepun, dan akan membantu bagi setiap pembelian dan pemasangan aksesori termasuk spoiler, bodykit dan banyak lagi bagi setiap penghantaran kereta. Tempahan dan penghantaran kereta boleh dilakukan ke mana jua destinasi di dalam Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

    Selain itu, Medan Quantum juga menerima tukar-beli, serta boleh membantu menguruskan soal pembiayaan kewangan dengan kadar yang terbaik untuk para pelanggan. Bukan itu sahaja, syarikat ini juga akan membantu pelanggan yang ingin memperbaharui cukai jalan dan insurans, serta penyelenggaran kenderaan berdasarkan permintaan.

    Medan Quantum memberi jaminan harga yang kompetitif. Dengan lebih 300 unit kenderaan dalam simpanan (dengan pelbagai tahap spesifikasi), malah menjamin ia menawarkan antara harga yang termurah di Lembah Klang. Rujuk senarai di bawah untuk beberapa kenderaan bagi tawaran ini:

  • Audi: Harga bermula dari RM170,000 untuk model A4 ke atas sehingga RM245,000 untuk S5
  • Bentley Bentayga 2016: Hanya satu unit dengan harga RM1.59 juta
  • BMW 640i GranCoupe: Hanya satu unit dengan harga RM299,000
  • Ford Mustang: Hanya satu unit dengan harga RM455,000
  • Honda Fit: Hanya satu unit dengan harga RM110,000
  • Honda Civic GT: Hanya satu unit dengan harga RM240,000
  • Lexus GS250: Harga bermula dari RM228,000
  • Lexus RX270: Harga bermula dari RM236,000
  • Mercedes-Benz C180: Harga bermula dari RM139,000
  • Mercedes-Benz C200: Harga bermula dari RM148,000
  • Mercedes-Benz C50: Harga bermula dari RM165,000
  • Mercedes-Benz E250: Harga bermula dari RM185,000
  • Mecedes-Benz S400L Hybrid: Hanya satu unit dengan harga RM455,000
  • Nissan GT-R 3.8 Pure Edition: Hanya satu unit dengan harga RM438,000
  • Range Rover Autobiography: Harga bermula dari RM568,000
  • Range Rover Sport SVR: Hanya satu unit dengan harga RM850,000
  • Toyota Alphard: Harga bermula dari RM149,000
  • Toyota Estima: Harga bermula dari RM163,000 untuk model Aeras hingga RM176,000 bagi edisi Premium
  • Toyota Harrier: Harga bermula dari RM184,000
  • Toyota Vellfire: Harga bermula dari RM165,000 hingga RM436,000 untuk model EL spesifikasi penuh
  • Toyota Wish: Harga bermula dari RM94,000
  • Sila rujuk Facebook Medan Quantum atau laman web rasmi untuk promosi raya atau perincian bagi spesifikasi model. Anda juga boleh menghubungi cawangan di bawah:

    Medan Quantum Sdn Bhd (Ibu Pejabat)
    Lot 532, Jalan Jelatek,
    54200 Kuala Lumpur, Malaysia
    Hubungi: Rashid – 017-278 7776, Bazreen – 019-226 3215

    Medan Quantum Sdn Bhd (Cawangan Damansara)
    No. 436, Lot 13690,
    Tempat Kg. Sungai Kayu Ara, Daerah Petaling,
    47400 Petaling Jaya
    Selangor Darul Ehsan, Malaysia
    Hubungi: Abu Garcia – 017-328 3839, Chong – 012-217 6688

     
     
  • GALERI: G30 BMW 530i M Sport – tinjauan dari dekat

    GALERI: G30 BMW 530i M Sport – tinjauan dari dekat

    BMW G30 5 Series dilancarkan di Malaysia sekitar dua bulan lalu, dengan penawaran satu varian sahaja – 530i M Sport pemasangan CBU sepenuhnya. Ia dijual pada harga RM398,800, menjadikan saingan dalam kelas kenderaan begitu sengit kini. Ini antara lain dengan kehadiran Mercedes-Benz E-Class W213 (RM349k-RM459k), Volvo S90/V90 (RM389k-RM459k) dan Audi A6 (RM328k-RM488k).

    Model ini dijana oleh enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo dengan valvetronic dan double-VANOS, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dari ZF, dan mampu mencatatkan 6.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

    Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.8 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 132 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

    Ia dibina menggunakan platform modular baru yang dipanggil Cluster Architecture (CLAR), asas yang sama untuk pembinaan 7 Series G12. Dengan dimensi 4,936 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,479 mm tinggi, G30 ini ternyata lebih besar dari model sebelumnya dengan ukuran 37 mm lebih panjang, 8 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi berbanding 5 Series F10.

    Berikut merupakan galeri penuh bagi model ini untuk tatapan anda. Sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut tentang penawaran spesifikasi penuh BMW 530i M Sport, atau ingin mengetahui perbezaan perincian lain berkenaan pesaing-pesaing yang ada, anda boleh berbuat demikian dengan merujuk laman CarBase.my.

    G30 BMW 530i M Sport

     
     
  • Isu pengadang jalan di LPT2 berbahaya atau tidak selamat disangkal – material lain dalam percubaan

    Isu pengadang jalan di LPT2 berbahaya atau tidak selamat disangkal – material lain dalam percubaan

    Sebelum ini ada pihak yang mendakwa, pengadang jalan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) adalah berbahaya dan tidak selamat, namun sehingga kini tiada laporan rasmi dibuat berhubung perkara ini.

    Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata isu ini tidak berbangkit, malahan pengadang jalan tersebut adalah mengikut standard lebuh raya di negara ini, iaitu ‘guardrail’ yang diperbuat daripada material ‘mild steel’.

    “Setakat ini tiada lagi laporan dibuat berdasarkan dakwaan itu. Memang ada berlaku kemalangan akibat rempuhan pengadang tapi ia terlalu kecil. Jika katakan material yang digunakan tidak selamat, ia diguna pakai di seluruh negara. Pemasangan pengadang ini amat penting, terutamanya bagi mengelakkan mangsa terpelanting keluar jika berlaku kemalangan atau kejadian tidak diingini,” ujarnya kepada Sinar Harian.

    Walau bagaimana pun, jelasnya lagi, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan keselamatan di LPT2 termasuk mempromosikan kempen keselamatan jalanraya. Malahan sekarang ini, ada pihak industri yang sedang mencuba pengadang menggunakan material lain, namun ia masih di peringkat percubaan.

    Isu pengadang jalan di LPT2 berbahaya atau tidak selamat disangkal – material lain dalam percubaan

    Tidak seperti mana ‘guardrail’ yang diguna pakai sekarang ini, ‘guardrail’ yang dalam percubaan itu boleh respons dan anjal serta tidak ‘rigid’ sebagaimana sekarang ini.

    “Apa yang kita lihat, antara faktor kemalangan berlaku adalah akibat memandu laju dan mereka terburu-buru, selain keletihan atau mengantuk. Lagi-lagi apabila musim cuti sekolah dan perayaan, ramai yang menggunakan LPT2. Jadi, kita nak galakkan mereka berhenti rehat. Kalau dari Gambang misalnya, mereka boleh berhenti di Perasing, Kemaman atau Paka, Dungun supaya mereka tidak keletihan,” katanya.

    Menurut Rosli lagi, pihaknya juga telah membuat perjumpaan dengan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PLUS serta pengusaha di R&R. Menerusi perjumpaan itu, beberapa cadangan penambahbaikan telah dibuat.

    Antaranya ialah menggalakkan bas ekspres dan lori berhenti di R&R Perasing, Kemaman kerana lokasinya yang menarik, di samping menyediakan pelbagai kemudahan.

    Jelasnya lagi, LPT2 diiktiraf antara yang terbaik kerana radius dan selekohnya yang besar, membolehkan pengguna memandu dengan lebih baik dan selesa. Walau bagaimana pun, beliau turut menasihati agar pengguna jalan raya supaya menitikberatkan langkah keselamatan, selain memastikan pemandu sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk memandu, terutamanya bagi perjalanan jauh.

     
     
  • Mercedes-AMG GT3 Edition 50 khas untuk pengumpul

    Mercedes-AMG GT3 Edition 50 khas untuk pengumpul

    Mercedes-AMG mengumumkan pengeluaran AMG GT3 Edition 50, sebagai penawaran terhad yang disasarkan kepada pengumpul kereta yang meminati sukan perlumbaan. Diasaskan kepada jentera lumba GT3, versi ini diberikan sentuhan penyudah dalam warna berbeza, serta kit badan – hanya untuk lima unit sahaja.

    Ia menggunakan warna hitam kesat (matte) pada bahagian luaran, yang menurut pengeluarnya menjadi kali pertama digunakan pada kenderaan AMG. Ia juga terdiri daripada banyak bahagian yang diperbuat gentian karbon – diffuser depan dan belakang, aerofoil belakang, bukaan ruang masukan udara, gril radiator serta kit badan sisi – semuanya menggunakan bahan berkenaan, dengan penyudah matte.

    Unit Edition 50 ini turut menerima logo AMG di beberapa bahagian terpencil. Selain itu, logo khas “50 Years of Driving Performance” turut dapat dilihat pada bahagian pintunya. Sistem ekzos Performance terbuka menjadi pelengkapnya – tanpa penghad untuk memberikan lebih prestasi.

    Ruang dalaman meneruskan tema yang sama. Roll cage serta bahagian yang boleh dilihat pada lantainya menggunakan warna dan penyudah sama seperti di luar. Sementara papan pemuka, panel pintu dan kerangka bawahnya, corong udara serta konsol tengah menggunakan material gentian karbon hitam kesat.

    Selain itu, tali pinggang keledar enam-titik warna perak serta stereng lumba memberikan nuansa berbeza terhadap imej “gelap” unit ini. Logo AMG tambahan dan plat Edition 50 dengan nombor menjadi perincian tambahannya.

    Di dalam, logo “50 Tahun” turut kelihatan pada tali keledar. Bahkan lapik pelindung kenderaan yang disertakan sekali juga mempunyai tanda yang sama. Lima pemilik yang akan memperoleh kereta ini turut akan mendapat jam tangan ulang tahun ke-50 Mercedes-AMG Ingenieur Chronograph Sport Edition buatan IWC Schaffhausen, sebuah buatan khas dengan tema yang sama seperti kereta terbabit.

     
     
  • VIDEO: Bagaimana sistem pacuan semua roda M xDrive pada BMW M5 generasi baharu berfungsi

    BMW M5 generasi baharu – F90 – bakal menampilkan sistem pacuan semua roda, sistem pertama seumpamanya dipadankan pada sebuah sedan M. Sistem berkenaan diberikan agar kuasa 600 hp dengan tork maksima 700 Nm dapat diselia dengan baik dan dapat digunakan seluruhnya ke permukaan jalan, tidak kira pada jalan raya biasa atau litar.

    Berbanding model M5 F10 sedia ada yang diberikan transmisi klac-berkembar, enjin V8 turbo berkembar 4.4 liter pada model baharu ini dipadankan dengan kotak gear automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic bagi mengalirkan kuasa ke sistem pacuan semua roda M xDrive berkenaan.

    Menerusi video ini, pemandu rasmi BMW M iaitu Timo Glock mendemonstrasikan bagaimana sistem pacuan semua roda baharu ini berfungsi. Secara asas, M xDrive beroperasi hampir sama seperti sistem pacuan semua roda pesaing terdekatnya iaitu Mercedes-AMG E 63. Tork diagihkan ke kesemua roda dalam jumlah yang bervariasi dan ia lebih kepada memacu roda belakang walaupun dalam mod 4WD standard, bagi memberi prestasi “kawalan optimum dan traction yang hebat”.

    VIDEO: Bagaimana sistem pacuan semua roda M xDrive pada BMW M5 generasi baharu berfungsi

    Ia turut diberikan mod pacuan semua roda yang lebih sporty yang digelar 4WD Sport yang bekerjasama dengan mod M Dynamic – memberikan tork yang lebih pada gandar belakang, membolehkan ia menggelangsar dalam kawalan ketika di selekoh. Dengan sistem DSC yang yang dimatikan terus, pemandu turut boleh menggunakan sistem pacuan belakang sepenuhnya bagi melakukan aksi drift sebenar.

    Agihan tork ini dapat dilakukan menerusi komponen-komponen istimewa rekaan BMW M antaranya unit modulator hidraulik pusat, transfer case di belakang kotak gear, dan juga unit LSD aktif M pada gandar belakang.

     
     
  • SPYSHOT: Audi Q8 dengan tingkap tanpa kerangka

    SPYSHOT: Audi Q8 dengan tingkap tanpa kerangka

    Sebelum ini, kami pernah menyiarkan tentang model Audi Q8 Sport Concept yang menggunakan sistem operasi Android. Penggunaan operasi Android bagi sistem infotainmen dalam kenderaan, turut menampilkan aplikasi Spotify dan Google Play Music dengan Google Assistant yang diperkenalkan pada telefon pintar Pixel – semuanya pada skrin sentuh MMI di tengah. Semua perkhidmatan Google ini turut akan dipaparkan pada kokpit maya Audi, untuk memudahkan pemandu.

    Terbaru, kami menerima kiriman foto spyshot Audi Q8 yang sedang diuji di Nurburgring. Ternyata ia tampil dengan versi yang lebih sporty dan bergaya berbanding Q7. Ia dijangka akan diperkenalkan secara rasminya pada tahun hadapan, selepas Audi telah mendedahkan dua model konsep Q8 pada tahun ini iaiti di Detroit dan Q8 Sport pula di Geneva.

    Model yang dibaluti penyamaran ini tidak banyak mendedahkan elemen yang diperagakan, namun carparazzi kami berjaya merakamkan foto prototaip ini dengan pintu terbuka, menunjukkan tingkapnya tampil tanpa kerangka. Selain itu, foto bahagian ruang dalamannya juga sempat dirakamkan.

    Kini, jika model produksi Q8 bakal ditampilkan dengan papan pemuka yang berbeza daripada Q7, kerana nampaknya ia lebih mirip dengan ruang dalaman SQ7, malah ia begitu terserlah pada panel instrumennya.

    Malah kelihatan beberapa skrin paparan, satu di bahagian atas papan pemuka dan satu lagi di bawah antara corong pendingin hawa. Walau bagaimana pun ia masih dalam ujian, belum tentu model sebenarnya akan mempunyai ciri sebegini – sama ada kurang atau mungkin lebih banyak elemen yang menarik.

    Selain itu, panel bawah juga memaparkan jaluran pada butang panel sentuh, termasuk fungsi bagi pemilihan pemanduan Audi. Turut kelihatan ialah barisan butang fizikal termasuk bagi sistem keselamatan aktif, butang penghidup enjin dan tombol kawalan nada. Difahamkan modul ini belum pernah dilihat pada mana-mana Audi sebelum ini dan bahagian tengah konsep Q8 ini juga kelihatan ditampilkan dengan dua skrin.

    GALERI: Model konsep Audi Q8

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026