Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Volvo S90 T6 R-Design – ingin raih semula penghormatan bagi kenderaan mewah dari Sweden

    PANDU UJI: Volvo S90 T6 R-Design – ingin raih semula penghormatan bagi kenderaan mewah dari Sweden

    Sewaktu pertama kali melihat model Volvo S90 serta versi wagon V90 pada majlis pelancarannya dahulu – terutama dari varian T6 R-Design yang paling tinggi yang anda lihat ini – ia tak henti-henti bermain dalam fikiran. Banyak perkara yang boleh diperkatakan tentangnya.

    Namun, hal pertama yang akan menangkap imajinasi siapa pun yang pernah memandangnya, apatah lagi di depan mata, ialah estetika dan pendekatan reka bentuk yang ditampilkan. Tambahan pula yang ditampilkan dalam warna biru seperti yang dapat dilihat di sini – warna khusus untuk versi T6 R-Design.

    Jika Volvo S80 dahulu berada dalam posisi segmen yang agak “tergantung” di dalam pasaran kenderaan premium (mengambil kira harganya serta spesifikasi yang ditawarkan), kehadiran S90 mengubah hal itu; ia kini diposisikan sebagai penawaran balas daripada Volvo terhadap model-model pesaing oleh pengeluar kenderaan Jerman seperti BMW 5 Series dan Mercedes-Benz E-Class. Volvo kini mempunyai lawan yang setara di dalam segmen premium berkenaan.

    Melalui varian T6 R-Design pula, ia adalah sebagai jawapan Volvo terhadap model yang hadir dengan lambang BMW M Sport dan Mercedes-Benz AMG-Line. Dalam maksud lain, Volvo menyedari hala tuju baru yang ingin diambil, dan barisan model yang ditawarkan sejak beberapa tahun ini juga lebih berdaya saing, serta ingin mendahului di depan dari aspek teknologi yang digunakan.

    Adalah penting juga untuk memahami perkembangan ini; model-model Siri 90 yang dikeluarkan oleh Volvo untuk pasaran global sejak beberapa tahun ini juga menandakan fasa baru yang sedang dilalui oleh syarikat pengeluar kenderaan Sweden itu.

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

    PANDU UJI: Mercedes-Benz C350e plug-in hybrid tawar prestasi dan pengendalian yang berbaloi

    Penerimaan masyarakat di Malaysia bagi penggunaan kenderaan hibrid semakin terbuka. Ini didorong oleh penggunaan bahan api yang lebih efisien, dan harganya juga mampu milik terutamanya bagi golongan kelas pertengahan. Malah di pasaran, terdapat pelbagai variasi bagi kenderaan hibrid, paling popular sudah tentu Honda Jazz hibrid dan Nissan Serena hibrid.

    Walau bagaimana enjin kacukan konvensional dan motor elektrik atau plug-in hybrid masih belum diterima secara meluas. Antara faktornya, rata-rata jenama pengeluar kenderaan yang membawa masuk model ke pasaran Malaysia adalah dari jenama premium dan mewah, ini termasuklah Mercedes-Benz. BMW, Volvo dan Tesla. Bukan itu sahaja, fasiliti pengecasan bagi motor elektrik di tempat awam di Malaysia masih sangat terhad. Namun pemiliknya mempunyai pilihan untuk mengecas kenderaan ini di rumah.

    Cuma yang menjadi faktor kekangan untuk memiliki kenderaan sebegini adalah soal harganya. Bila melibatkan jenama premium dan mewah, pastinya harganya bukanlah yang mampu milik kecuali bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan golongan ‘ada-ada’.

    Ok, ketepikan soal itu, sebaliknya sila terus membawa artikel ini yang lebih menjurus kepada ulasan pandu uji Mercedes-Benz C 350 e. Mungkin ini boleh dijadikan panduan untuk anda yang berminat membeli jentera plug-in hybrid sebegini, atau sekadar bahan bacaan menambahkan pengetahuan.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Honda M’sia tawar pemeriksaan percuma untuk semua jenis kereta, termasuk dari jenama lain di Borneo

    Honda M’sia tawar pemeriksaan percuma untuk semua jenis kereta, termasuk dari jenama lain di Borneo

    Honda Malaysia (HM) kini sedang menjalankan kempen keselamatan jalan rayanya di kawasan Malaysia Timur sepanjang hujung minggu ini. Pada booth yang bakal dibuka di beberapa kawasan di Kota Kinabalu dan Kuching, HM bakal menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma bukan sahaja untuk kenderaan jenamanya, tetapi turut dibuka untuk kereta dari jenama-jenama lain.

    Menerusi kempen berkenaan, juruteknik yang bertugas akan memeriksa 32-bahagian kenderaan anda secara percuma yang merangkumi bahagian seperti kesemua lampu, komponen-komponen sistem penyejukkan, pengelap cermin, cermin sisi, penghawa dingin, penggera keselamatan, paparan meter, tali-tali sawat, tali pinggang keledar, hon dan pelbagai lagi.

    Honda M’sia tawar pemeriksaan percuma untuk semua jenis kereta, termasuk dari jenama lain di Borneo

    Mereka juga akan melakukan pemeriksaan terhadap cecair-cecair dan bendalir pada sistem hidraulik kenderaan, minyak enjin, tahap kuasa bateri, dan juga keadaan tayar.

    Untuk di Kota Kinabalu, Sabah, booth ini akan dibuka di Petron Ulam South Jalan Lintas dan juga Petron KM25 Jalan Tuaran. Manakala di Kuching pula, ia akan dibuka di E-Mart Matang dan juga Giant Stutong. Ia akan berlangsung bermula hari ini (26 Mei) sehingga 28 Mei 2017 dan akan mula dibuka bermula 8 pagi sehingga 6 petang.

     
     
  • Honda lancar laman LoveCubSnap untuk penggemar motosikal Cub – kumpul gambar peminat sedunia

    Honda lancar laman LoveCubSnap untuk penggemar motosikal Cub – kumpul gambar peminat sedunia

    Sejak dilancarkan pada tahun 1958, model motosikal Honda Super Cub diterima baik seluruh dunia, hinggakan ia telah mencatat penjualan mencecah 100 juta unit. Dari awal kewujudannya, sehingga kini, Super Cub didatangkan dalam pelbagai variasi enjin termasuk C100, C50, C70, C90, C100EX dan C70 Passport.

    Memikirkan motosikal ini mempunyai peminat dan masih diguna ramai orang di seluruh dunia, Honda cuba mengumpulkan mereka dalam satu laman web projek fotografi yang dinamakan sebagai LoveCubSnap. Di situ, orang ramai boleh memuat naik gambar Super Cub bersama pemiliknya, dan ia akan muncul sebagai satu galeri bersama individu lain yang juga menghantar gambar.

    Walaubagaimanapun, anda perlu mengikut cara tertentu untuk memuat naik gambar di laman tersebut, bagi memastikan ia nampak sekata iaitu antaranya, sudut gambar perlu dari tepi, dan tayar haruslah lurus. Bagi memudahkan muat naik oleh orang ramai, cara serta turutan yang perlu dilakukan disediakan di dalam web tersebut.

    Tidak dinyatakan secara terperinci model mana yang boleh dimuat naik, tetapi pastinya, Honda akan menilai terlebih dahulu gambar anda sebelum ia muncul di laman web tersebut. Bagi masa kini, interpretasi moden Honda Super Cub adalah model EX5, yang juga cukup popular di Malaysia, dan model terbarunya yang menggunakan enjin suntikan bahan api dijual pada harga bermula RM4,715.94.

     
     
  • Proton R3 henti operasi bermula 1 Jun ini – 22 staf dalaman yang terlibat akan diserap ke bahagian lain

    Proton R3 henti operasi bermula 1 Jun ini – 22 staf dalaman yang terlibat akan diserap ke bahagian lain

    Di dalam keriuhan perkembangan berkaitan rakan strategik asing (FSP) beberapa hari ini, ada satu lagi sayap di dalam Proton yang dinanti-nantikan perkembangannya; iaitu bahagian Race, Rally, Reaserch atau singkatannya R3. Ia turut menjadi bahagian penting dari aspek penjenamaan Proton selama ini.

    Namun, dari sumber-sumber yang dipercayai, kami dimaklumkan bahawa sayap R3 akan memberhentikan operasinya bermula 1 Jun nanti. Dan, keputusan berkenaan bukanlah datang secara mengejut kesan daripada perjanjian FSP Proton-Geely yang diumumkan minggu ini.

    Keputusan berkenaan sudah dijangka jauh sebelum itu lagi; kedudukan kewangan Proton yang goyah sejak beberapa tahun ini menjadi antara sebab utama. Sebagai sebuah sayap operasi yang bukan bertujuan untuk meraih pendapatan utama, dan sebaliknya memerlukan dana besar untuk operasinya, sayap R3 sentiasa terdedah kepada langkah penutupan ini – dalam situasi kewangan tak menentu Proton.

    Proton R3 henti operasi bermula 1 Jun ini – 22 staf dalaman yang terlibat akan diserap ke bahagian lain

    Model produksi Proton R3 yang terakhir dikeluarkan ialah bagi Satria Neo R3 yang diperkenalkan pada 2012 dulu. Sebelum itu, tentunya kita belum lupa, adalah pengenalan model Satria Neo R3 Lotus Racing pada 2010.

    Bagaimanapun, operasi R3 tidaklah sekadar itu sahaja. Dari lapangan perlumbaan rali, mereka sempat membangunkan beberapa model, termasuk unit Proton Iriz R3 – termasuk juga unit R3 bagi Preve dan Suprima S. Bahkan, sehingga tahun ini, R3 masih menjalankan Program Perlumbaan Pelanggan yang diperkenalkan pada Mac 2016.

    Apa jadi dengan staf R3 selepas ini? Kami difahamkan, semua 22 orang individu yang bertugas di sayap berkenaan akan diserap masuk ke bahagian operasi Proton yang lain. Pengesahan lanjut berkaitan perkara ini akan kami bawakan sekiranya ada kenyataan rasmi dari Proton nanti.

     
     
  • Jaguar XE SV Project 8 – kereta jalanan paling berkuasa jenama itu, guna enjin V8 600 hp, 300 unit

    Jaguar XE SV Project 8 – kereta jalanan paling berkuasa jenama itu, guna enjin V8 600 hp, 300 unit

    Bahagian operasi kenderaan khas (SVO) Jaguar Land Rover telah mengumumkan pengeluaran apa yang dipanggil sebagai kereta jalanan Jaguar paling berkuasa, lincah dan ekstrem, iaitu Jaguar XE SV Project 8. Kereta ini dikatakan mampu memberi prestasi pemanduan seperti sebuah kereta supercar tetapi dinamik seperti sebuah sedan.

    XE SV Project 8 akan menjadi kenderaan edisi pengumpul yang kedua oleh SVO, selepas Jaguar F-Pace Type Project 7 yang dikeluarkan pada tahun 2014. Sebagai sebuah model istimewa, hanya 300 unit XE SV Project 8 akan ditawarkan dan kesemuanya akan dipasang dengan tangan di pusat teknikal SVO do Coventry, England untuk pasaran sedunia.

    Di bawah hud kenderaan ini terdapat enjin V8 5.0 liter supercharge yang ditala setinggi mungkin dan ia mampu menghasilkan sehingga 600 PS. Spesifikasi penuh hanya akan didedahkan apabila kenderaan ini membuat kemunculan pertama di khalayak ramai di Goodwood Festival of Speed 30 Jun ini. Ia juga telah dibangunkan dengan pengalaman di Nurburgring, seperti yang ditunjukkan dalam gambar dan video di bawah.

    Jaguar XE SV Project 8 – kereta jalanan paling berkuasa jenama itu, guna enjin V8 600 hp, 300 unit

    Untuk masa ini, Autocar memberitahu bahawa sedan berkuasa tinggi ini akan dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda,dan menggunakan kotak gear automatik ZF lapan kelajuan. Ini juga menunjukkan bahawa XE SV Project 8 boleh memecut lebih pantas berbanding F-Type SVR, dengan jangkaan 0-100 km/j dalam masa bawah 3.5 saat dan laju maksimum 320 km/j.

    “Ia adalah masa yang tepat untuk SVO mengeluarkan kereta jalanan berprestasi paling ekstrem dalam sejarah kenderaan Jaguar. Pasukan SVO seperti dirasuk oleh semangat prestasi dan komited untuk menghasilkan pengalaman memandu yang paling mengujakan,” kata pengarah urusan cabang prestasi Jaguar Land Rover, John Edwards.

    “Pelanggan kami sebelum ini sudah teruja dengan penawaran F-Type Project 7. XE SV Project 8 baru ini pula membawa kejuruteraan prestasi dan aerodinamik ke tahap lebih tinggi, dan ia boleh difahami oleh peminat serta pengumpulnya,” tambah beliau.

     
     
  • Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

    Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

    Menjelang acara tahunan Goodwood Festival of Speed (FOS) yang akan bermula 29 Jun ini, laman sesawang rasmi acara berkenaan telah mengumumkan secara rasmi bahawa jentera rali Proton Iriz R5 bakal membuat penampilan pertamanya di Forest Rally Stage bersama jentera-jentera rali lagenda dari era Group B.

    Pengumuman ini seiring dengan kenyataan dari pembina Iriz R5 iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM) sebelum ini yang menyatakan jentera berkenaan bakal membuat penampilan awam pertamanya pada Goodwood FOS tahun ini.

    Proton Iriz R5 ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Bahagian luaran, ia menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Proton Iriz R5 bakal tampil pada Goodwood Festival of Speed bersama jentera-jentera lagenda rali Group B

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

    Antara jentera Group B yang turut akan membuat kemunculan adalah barisan jentera Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan juga MG Metro 8R4 yang dijana enjin V8 4.6-liter.

    WRC Group B sangat popular era 80’an dahulu. Namun, akibat kereta yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

    Selain itu, Forest Rally Stage pada FOS tahun ini turut akan meraikan undang-undang kelas ‘World Rally Car’ yang kini sudahpun mencapai 20 tahun. Undang-undang berkenaan yang menggantikan undang-undang Group A pada tahun 1997 telah merubah lanskap Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang memansuhkan homologasi produksi dan membolehkan jentera-jentera prototaip yang lebih berkuasa untuk berlumba dalam kejuaraan tersebut. Era berkenaan juga menyaksikan pertarungan sengit antara jaguh-jaguh lagenda seperti Marcus Grönholm, Richard Burns dan Tommi Mäkinen.

    GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5 dari Chicane Media

     
     
  • Valentino Rossi di hospital, kemalangan motocross

    Valentino Rossi di hospital, kemalangan motocross

    Yamaha Racing mengeluarkan kenyataan bahawa pelumba MotoGP pasukan Movistar Yamaha, Valentino Rossi kini berada di hospital akibat daripada kemalangan semasa menjalani latihan menggunakan motosikal lasak (motocross). Kejadian berlaku di Cross Club Cavallara, Mondavio (Pesaro Urbino, Italy) semalam, 25 Mei 2017.

    Walaubagaimanapun, pelumba berusia 38 tahun dan pemegang gelaran juara dunia sembilan kali tersebut dikatakan tidak mengalami sebaran retak atau patah tulang, tetapi cedera di bahagian belakang dan depan badan (thoracic dan abdominal). Informasi terkini keadaan Rossi akan disiarkan sebentar lagi oleh Yamaha Racing.

    Berlatih menggunakan motocross adalah kebiasaan bagi semua pelumba motosikal kerana ia dikatakan dapat meningkatkan tindak balas kawalan seseorang penunggang, dan bagi Rossi, dalam masa terdekat sebelum ini, beliau lebih banyak meluangkan masa berlatih di atas jalan pasir rata (flat track) di VR46 Moto Ranch miliknya.

     
     
  • VIDEO: Volvo S60 Polestar pecah rekod litar Nurburgring untuk kereta empat-pintu secara rahsia

    Tanpa sebarang pengumuman, tanpa sebarang sebaran, divisi perlumbaan dan talaan Volvo iaitu Polestar sebenarnya telah ke litar Nurburgring, Jerman tahun lalu untuk menala S60 Polestar versi jalan rayanya. Menerusi ujian berkenaan juga, S60 tersebut sebenarnya telah mencatatkan rekod kereta empat pintu yang sah digunakan atas jalan raya paling pantas pada litar ‘The Green Hell’ berkenaan dengan catatan masa 7 minit 51.110 saat.

    Menurut Polestar, rekod yang dicatatkan di Nurburgring berkenaan bukanlah untuk dicanang kepada semua orang. Tujuan mereka kesana adalah untuk mendapatkan talaan terbaik pada S60 Polestar pada litar sejauh 20 km dengan keseluruhan lebih dari 150 selekoh – disifatkan litar terbaik di dunia untuk mendapatkan talaan paling bagus bagi pemanduan litar dan juga jalan raya.

    Pengumuman rekod berkenaan hanya dibuat setahun selepas itu, iaitu sehari sebelum bermulanya Kejuaraan Touring Car Dunia (WTCC) pusingan Jerman 2017 yang diadakan di litar Nurburgring. Menurut Polestar Cyan Racing, perkara yang mereka pelajari pada ujian yang dijalankan tahun lalu bukan sahaja bakal digunakan pada kereta-kereta jalan raya mereka pada masa hadapan, ia turut akan digunakan dalam jentera perlumbaan sebenar.

    VIDEO: Volvo S60 Polestar pecah rekod litar Nurburgring untuk kereta empat-pintu secara rahsia

    Foto: Patrik Lindgren

    Walau bagaimanapun, rekod yang dicatatkan ini telah pun dipecahkan oleh pelbagai kereta empat pintu lain sebelum ini, antaranya Alfa Romeo Giulia Quadrifoglio, Volkswagen Golf GTI Clubsport S, dan yang terbaharu Honda Civic Type-R 2017 dengan catatan masa 7 minit 43.8 saat.

    Volvo S60 Polestar versi produksi dijana oleh enjin petrol Drive-E 2.0 liter dengan suapan turbo dan juga supercharger menghasilkan kuasa maksima 367 hp dan tork puncak 420 Nm. Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan kemudiannya mengalirkan kuasa ke kesemua roda menerusi sistem AWD, membolehkan sedan empat pintu ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat. Ia turut diberikan spring lebih keras, penyerap hentak dari Ohlins serta cakera brek slotted dengan diameter lebih besar.

    Di Malaysia, kita tidak menerima model penuh talaan Polestar ini. Tetapi Volvo Cars Malaysia telah membawa masuk pakej Polestar Optimisation bagi meningkatkan prestasi untuk model S60 T6, XC60 T5, XC60 T6, dan juga V40 T5. Kami juga sebelum ini telah diberi peluang untuk memandu uji V40 T5 Drive-E yang diberikan pakej lengkap talaan Polestar berkenaan – ulasannya boleh anda baca DI SINI.

     
     
  • BMW M4 GT4 – kereta lumba yang sudah mula dijual, akan diuji dalam perlumbaan 24 jam di Nurburgring

    BMW M4 GT4 – kereta lumba yang sudah mula dijual, akan diuji dalam perlumbaan 24 jam di Nurburgring

    Kereta lumba BMW M4 GT4 telah pun mula dijual setelah melengkapkan ujian jalan 20,000 km, ujian terowong angin, serta pelbagai keadaan lain termasuk di dalam litar untuk suasana lumba sebenar. Ia dilancarkan dalam satu acara eksklusif untuk pelanggan di Litar Nurburgring, dengan harga 169,000 Euro termasuk VAT (RM809,753).

    “Kami tidak sabar untuk melihat kejayaan kereta ini, yang digunakan oleh pasukan lumba pelanggan kami. Kami menawarkan sebuah kereta GT4 yang serba canggih dan tahan, dan digabungkan dengan kepakaran BMW Motorsport, serta asas kuat yang disediakan oleh BMW M4 Coupe. Pembangunan BMW M4 GT4 ini turut mengambil kira jarak pergerakannya, kecekapan kos dan mudah diselenggara,” kata pengarah BMW Motorsport, Jens Marquardt.

    BMW menggunakan teknologi pengeluaran serta pembangunan inovatif yang terbukti, daripada kereta lumba untuk pelanggannya yang paling tinggi iaitu M6 GT3. Enjin, transmisi dan elektronik kereta ini diambil daripada M4 Coupe jalanan, manakala bonet gentian karbon datang daripada model edisi terhad M4 GTS. M4 GT4 ini turut ditambah dengan pintu gentian karbon, pembelah angin dan sayap belakang khas, serta sistem ekzos perlumbaan. Tempat duduk, brek dan pedal semuanya diambil daripada M6 GT3.

    Satu perkara baru pada M4 GT4 adalah perisian kawalan enjinnya. Ia adalah kereta BMW Motorsport pertama yang dipasang dengan power stick, yang boleh diprogramkan untuk beberapa tahap prestasi enjin yang berbeza. Terima kasih kepada sistem ini, pelanggan boleh menukar karekter kereta dengan cepat, apabila berhadapan dengan keadaan litar yang berbeza.

    Dalam waktu yang terdekat sebelum ini, BMW M4 GT4 telah diuji oleh ramai pemandu BMW sendiri serta pelanggan mereka yang berlumba di pelbagai litar, dengan menggunakan tayar serta keadaan yang berbeza. Tujuannya adalah untuk menyesuaikan kereta tersebut dengan semua aplikasi teknikal seperti untuk sistem stabiliti DSC dan ABS, dan memenuhi keperluan dalam perlumbaan secara paling terperinci.

    Hujung minggu ini, BMW M4 GT4 akan digunakan dalam perlumbaan 24 jam Nurburgring, sebagai satu lagi platform ujiannya, dan ia akan dipandu oleh Junior Ricky Collard dan Jörg Weidinger, untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang kereta tersebut.

    GALERI: BMW M4 CS

    GALERI: BMW M4 GTS

     
     
  • Bosch bangunkan sistem komunikasi motosikal ke kereta – boleh beri amaran secara automatik

    Bosch bangunkan sistem komunikasi motosikal ke kereta – boleh beri amaran secara automatik

    Bosch sememangnya sudah terlibat lama dalam menghasilkan sistem keselamatan untuk kenderaan dengan antaranya penghasilan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (Traction Control). Terbaru, syarikat teknologi itu sedang membangunkan sistem komunikasi antara kereta dan motosikal yang diharap dapat membantu mengelakkan kemalangan tertentu.

    Sistem ini dibangunkan bersama Autotalks, Cohda Wireless dan Ducati, dan ia melakukan penukaran data di antara kenderaan menggunakan WLAN, dan ia boleh menghantar dan menerima isyarat secara automatik dalam masa beberapa milisaat di antara kenderaan.

    Ini cara ia berfungsi: Kenderaan dalam radius beberapa ratus meter bertukar informasi berkenaan laju, jenis, kedudukan dan arah pergerakan sehingga 10 kali setiap saat. Bermaksud, sebelum sesebuah motosikal tiba dalam penglihatan pemandu lain, mereka sudah boleh mengetahuinya. Dan apabila semakin hampir, amaran akan dikeluarkan.

    Ini sekaligus dapat memberi amaran awal kepada setiap pemandu, dan mereka boleh bersedia untuk bertindak. Ia dianggap berguna terutama sekali apabila berada di titik buta atau bertukar lorong untuk memotong. Bagi kereta, informasi ini akan muncul di skrin hiburan dan informasi mereka, bersama suara yang dikeluarkan seperti sistem navigasi manakala bagi motosikal, perkara sama juga dilakukan, cuma mereka perlu mempunyai sistem pendengaran yang disambung untuk mendengar amaran.

     
     
  • Teaser SUV Hyundai Kona kini dalam siri video

    Jika sebelum ini teaser untuk SUV segmen-B baharu Hyundai Kona hadir dalam bentuk imej menampilkan lampu nyalaan siang dan juga keseluruhan mukanya, kini pengeluar kenderaan dari Korea tersebut menayangkan pula siri video teaser yang memberi gambaran bayangan badannya dari sisi, konsep rekaan, dan juga mengapa nama Kona berkenaan di pilih.

    Menerusi siri video berkenaan, dapat dilihat Kona menampilkan rupa bentuk yang agak sporty dengan badan yang agak tirus dan rendah. Sebenarnya sudah lagi tidak menjadi rahsia bagaimana rupa sebenar Kona ini kerana imej penuhnya tanpa sebarang penyamaran telah terdedah sebelum ini ketika ia sedang menjalani penggambaran iklan.

    Siri video ini juga turut memperlihatkan bagaimana Kona direka berlainan dari SUV tradisional. Seperti juga model-model SUV Hyundai lain, nama model baharu ini diambil dari nama tempat di Amerika – Kona merupakan satu daerah di Kepulauan Hawaii, dan ia menggambarkan imej energetik serta gaya hidup yang unik.

    Hyundai Kona merupakan SUV segmen-B yang bakal memberikan saingan kepada Honda HR-V, Toyota C-HR dan sebagainya. Ia dipercayai dibina berdasarkan platform yang sama dengan Hyundai Creta dan juga i20, dan dijangka dijana barisan enjin diesel dan petrol yang sama.






     
     
  • BMW 8 Series Concept muncul – produksi pada 2018

    BMW 8 Series Concept muncul – produksi pada 2018

    Selepas bertahun-tahun asyik disebut, dijumpai sedang diuji dan semalam imej awal bocor, akhirnya kereta coupe mewah daripada BMW muncul membuat penampilan rasmi. Ia kembali menggunakan nama yang sudah lama tidak diguna, iaitu sejak E31 terakhir keluar daripada baris produksi pada tahun 1999.

    Menariknya, model ini bukan sekadar akan dibiarkan sebagai kereta konsep, malah akan dikeluarkan untuk pasaran awam menjelang tahun hadapan. Melihat kepada rekaannya, ia boleh dikatakan lebih ekspresif berbanding kenderaan BMW sekarang, dan garisan yang ada bercampur, antara yang beralun dan bersegi. Bonet hadapan menjunam ke bawah, menuju ke gril ‘kidney‘ yang besar, dan salur udara di bawah juga nampak besar kerana lampu utamanya nipis.

    Melihat bahagian tepinya pula, terdapat tempat untuk udara keluar berhampiran lengkuk tayar hadapan, manakala lengkuk tayar belakang pula dijadikan lebar, untuk kedudukan yang lebih tegap. Tidak seperti kebanyakan kenderaan konsep sekarang, BMW 8 Series ini masih mempunyai cermin sisi.

    Di bahagian belakang, cerminnya menjunam menghala ke penutup but belakang, tetapi kemudiannya naik balik pada bahagian yang kelihatan sperti spoiler bersepadu. Di setiap penjuru terdapat lampu LED yang menggunakan pencahayaan unik berbentuk L. Salur udara yang anda nampak di bahagian hadapan tadi, dijadikan sama juga untuk belakang dan dimasukkan sekali dengan muncung ekzos berkembar. Rim 21 inci dan warna Barcelona Grey Liquid melengkapkan penampilannya.

    Biasa bagi BMW, bahagian kokpit dijadikan fokus kepada pemandu dan dibalut dengan kulit berwarna coklat gelap dan putih, bersama konsol tengah yang tinggi. Dengan adanya juga panel tengah yang membahagikan tempat duduk kiri dan kanan, pemandu akan tenggelam dalam kokpit ini. Tempat duduknya menggunakan gentian karbon manakala stereng gaya lumba pula mempunyai kemasan aluminium berkilat.

    BMW 8 Series Concept muncul – produksi pada 2018

    Tiada perincian teknikal yang didedahkan setakat ini, tetapi versi produksi 8 Series ini dijangka dibangunkan menggunakan platform modular Cluster Architecture (CLAR), yang menggunakan bahan serba ringan seperti aluminium, magnesium dan gentian karbon untuk mengurangkan berat.

    Barisan 8 Series dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin seperti 7 Series, termasuk enam silinder sebaris, V8 dan V12 turbocharge. Akan terdapat juga mode prestasi tinggi M8, yang masih dikuasakan oleh enjin sama seperti M5 F90 akan datang – V8 4.4 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan lebih 600 hp, dan kuasa disampaikan kepada semua roda melalui sistem xDrive BMW yang lebih maju. Transmisi yang dijangka digunakan adalah automatik lapan kelajuan, berbanding klac berkembar M DCT.

     
     
  • Shell Helix dan aplikasi navigasi Waze lancar sistem mesej amaran kawasan kemalangan pertama di Asia

    Shell Helix dan aplikasi navigasi Waze lancar sistem mesej amaran kawasan kemalangan pertama di Asia

    Waze telah terbukti sebagai aplikasi navigasi paling digemari oleh rakyat negara ini setelah Malaysia diiktiraf sebagai pengguna Waze paling ramai di rantau Asia Tenggara. Menerusi Indeks Kepuasan Pemandu dalam aplikasi navigasi tersebut juga, Malaysia turut diiktiraf sebagai tempat yang terbaik untuk memandu di dalam rantau ASEAN.

    Justeru, menerusi usaha terbaharu untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, Waze dan juga Shell Helix telah bekerjasama menghasilkan fungsi baharu dalam aplikasi berkenaan yang dibina untuk memberikan amaran terhadap kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan kepada pemandu.

    “Menggunakan data bersumberkan kekerapan yang dilaporkan oleh pengguna Waze, kami telah mengenalpasti lokasi paling kerap berlakunya kemalangan yang menggambarkan situasi sebenar pada jalan raya Malaysia. Kami berbesar hati untuk bekerja dengan Shell Helix untuk melancarkan inisiatif yang mengingatkan pemandu agar lebih berhati-hati. Dengan mengurangkan kemalangan, kami turut mengurangkan kesesakan trafik dan ini akan memberikan faedah untuk semua orang,” kata Edward Ling, pengurus perniagaan Waze Malaysia.

    Menurut pengurus pemasaran Shell Lubricant Malaysia dan Singapura, Alex Lim, Shell sememangnya bersungguh-sungguh untuk meningkatkan keselamatan jalan raya untuk pemandu dan perjalanan yang lebih tenang, menerusi kerjasama dengan aplikasi navigasi mudah alih berasaskan trafik komuniti ini. Disebabkan fungsi amaran tersebut muncul secara pop-up di dalam aplikasi berkenaan, ia akan muncul di mana-mana peranti yang bersesuaian untuk aplikasi Waze.

    Shell Helix dan aplikasi navigasi Waze lancar sistem mesej amaran kawasan kemalangan pertama di Asia

    “Shell Malaysia sememangnya sinonim dengan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya sepanjang kewujudan kami selama 125-tahun di Malaysia. Kerjasama dengan Waze ini menggambarkan kesungguhan kami untuk mengangkat komitmen kami terhadap keselamatan jalan raya ke tahap seterusnya dengan hubungan bersama pemandu pada masa sebenar,” kata Lim.

    Kolobrasi untuk amaran kawasan kemalangan ini akan bermula dari 16 Mei sehingga 15 Julai 2017 untuk musim cuti sambutan Hari Raya, dan akan berfungsi sebagai pop-up dengan jenama Shell Helix pada aplikasi Waze. Paparan berkenaan akan muncul apabila pengguna Waze menghampiri mana-mana 50-kawasan yang telah dikenalpasti kerap berlaku kemalangan di Semenanjung Malaysia berdasarkan data sejarah yang dihantar oleh pengguna Waze sendiri.

    Shell Helix turut akan menjalankan promosi penukaran minyak enjin untuk pengguna Waze dengan mesej pop-up yang muncul ketika mereka menghampiri kawasan-kawasan kemalangan tersebut; ini hanya untuk ketika waktu pra-puncak sahaja, iaitu seminggu sebelum Hari Raya. Untuk tujuan keselamatan, pop-up tersebut hanya akan muncul ketika pengguna Waze berkenaan dikesan tidak lagi bergerak di jalan raya.

    Dengan menunjukkan kod promo yang muncul pada mesej pop-up tersebut, pengguna akan menerima diskaun sebanyak RM30 untuk penukaran minyak enjin pada mana-mana bengkel dengan jenama Shell Helix yang mengambil bahagian, dan juga pada stesen minyak Shell yang mempunyai kemudahan servis menukar minyak.

     
     
  • Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

    Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

    The new Volvo XC60

    Sekitar 2010, Geely menandatangani perjanjian untuk membeli jenama Volvo yang ketika itu milik Ford. Nilai yang dipersetujui waktu itu ialah $1.8 bilion – ia menjadi transaksi pembelian terbesar dalam industri automotif bagi pasaran seberang laut syarikat dari China itu.

    Walaupun begitu, nilai berkenaan jauh lebih rendah berbanding ketika Ford mengambil alih Volvo pada 1999; pengeluar kenderaan dari Amerika tersebut membelanjakan sebanyak USD $6.5 bilion untuk tujuan itu.

    Geely, sebuah syarikat yang lebih kecil ketika itu, tentunya sangat bersyukur dengan krisis ekonomi yang melanda dunia, yang sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat kecil sepertinya untuk memanfaatkan situasi terdesak yang dialami industri automotif ketika itu.

    Pengambil alihan itu juga menandakan permulaan baru serta pembuka jalan bagi Geely dipentas automotif antarabangsa. Kedua-dua syarikat sudah memulakan perbincangan dua tahun sebelumnya, ketika Geely masih belum begitu dikenal di pasaran luar China.

    Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

    Pengasas dan pengerusi Geely, Li Shufu ketika memberi taklimat kepada media sebaik sahaja perjanjian itu dimeterai, berkata; “Hari ini menjadi sebuah penanda aras baru bagi sejarah Geely.” Lebih penting adalah penjelasan susulannya – bahawa Volvo akan kekal ditadbir dan diurus secara berasingan (daripada Geely), dan akan kekal berpusat di Sweden. Ini adalah seperti apa yang dilaporkan oleh Reuters tentang perkembangan terbabit.

    Apa jadi kepada Volvo selepas pengambil alihan itu? Jika merujuk kepada angka jualan, pada tahun 2009 sebelum pengambil alihan itu selesai sepenuhnya, angka jualan yang dicatatkan tahun itu ialah sebanyak 335,000 unit.

    Namun, pada 2016, dengan Geely menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Volvo untuk melangkah lebih maju, angka jualan naik agak ketara kepada 534,000 unit kenderaan. Ini dicapai hanya dalam tempoh enam tahun selepas mengambil alih jenama Sweden berkenaan.

    Apa yang menyumbang kepada perkara ini? Jika diperhatikan dengan cermat, model-model baru yang diperkenalkan oleh Volvo selepas itu semuanya berdaya saing dari aspek rekaan dan teknologi (termasuk elektrik dan hibrid) – semuanya berada ada tahap kematangan serba baru, menepati keperluan pasaran bukan sahaja ketika ini, tetapi juga pasaran masa hadapan.

    Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

    Dua model yang perlu disebutkan dan sudah tidak asing lagi di Malaysia adalah SUV Volvo XC90 serta sedan dan wagon mewah, Volvo S90/V90. Ini adalah contoh kenderaan generasi baru yang dihasilkan Volvo untuk pasaran global – tidak hanya untuk Eropah atau Amerika.

    Tidak lupa juga, selain di Sweden, model plug-in hibrid XC90 turut dipasang di Malaysia. Negara ini menjadi satu-satunya tempat dengan kelengkapan pemasangan kederaan berteknologi tinggi itu di luar Sweden. Dari satu sisi, ini juga mungkin menjadi satu daripada arah tuju Geely untuk melebarkan sayapnya di pasaran ASEAN, melalui Malaysia.

    Begitu juga dengan barisan model terkini dan pernyataan arah tuju untuk masa depan Volvo, yang kerap kami laporkan melalui laman ini sebelumnya. Misalnya, model baru XC60 yang juga menampilkan lanjutan kecemerlangan teknologi keselamatan dari Sweden, serta model XC40 yang lebih kompak, tambahan pula fokus terhadap kenderaan elektrik sepenuhnya yang sedang dibangunkan.

    Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

    Kini dengan Geely tiba untuk mengubah situasi Proton, apa yang boleh kita harapkan? Pertanyaan ini hanya masa yang boleh menjawabnya. Tetapi, jika menurut Geely sendiri, syarikat itu menggariskan beberapa perkara yang akan dilakukannya terhadap Proton.

    Antaranya, ia akan mengekalkan seperti sedia ada, dengan kepakaran dan kelengkapan untuk R&D, rekaan dan pengeluaran di Malaysia. Sebagai tambahan, Geely akan menyediakan sumber, pengetahuan dan pengurusan global untuk dimanfaatkan oleh Proton.

    Matlamat Geely adalah untuk menghidupkan semua Proton; menjadikannya jenama kenderaan nombor satu di Malaysia sendiri, begitu juga dipasaran Asia Tenggara. Sama-sama kita lihat dan nantikan perkembangan seterusnya daripada episod baru ini.

     
     
  • Perodua nasihati pelanggannya supaya berhati-hati jika menaiktaraf kereta agar waranti tidak terbatal

    Perodua nasihati pelanggannya supaya berhati-hati jika menaiktaraf kereta agar waranti tidak terbatal

    Mungkin beberapa isu yang dibangkitkan oleh orang ramai sebelum ini mengenai kereta keluaran Perodua yang dikatakan ‘mengalami’ masalah hingga tular di laman media sosial, mendorong Perodua untuk mengeluarkan kenyataan rasmi ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan tersebut, Perodua memahami kehendak para pelanggannya yang mahukan kereta milik mereka bersesuaian dengan citarasa tersendiri. Oleh itu, Perodua menyarankan agar para pelanggannya memilih aksesori yang diperkenalkan oleh jenama itu sendiri termasuk GearUp.

    Malah, menurut Perodua lagi, mereka mempunyai kakitangan terlatih dan berpengalaman untuk menilai sama ada kenderaan para pelanggan sesuai untuk penambahbaikan tersebut termasuklah untuk elemen hiburan atau apa jua komponen elektrikal lain.

    Demi keselamatan, Perodua juga tidak menggalakkan para pelanggan memasang apa jua aksesori yang boleh mengganggu prestasi kenderaan termasuk kit badan, elemen yang berkaitan dengan enjin dan sistem elektrikal.

    “Kami menghormati hak pelanggan sebagai pemilik kenderaan tersebut, walau bagaimana pun, jika anda menggunakan perkhidmatan pihak lain untuk modifikasi atau penukaran apa jua bahagian pada kenderaan anda, kami ingin memaklumkan bahawa ia boleh menyebabkan waranti kenderaan anda terbatal dan tidak sah,” ujar Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin.

    Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, para pelanggan boleh terus rujuk dengan wakil pengedar Perodua berhampiran.

     
     
  • BMW 8 Series Concept – imej coupe bocor lebih awal

    BMW 8 Series Concept – imej coupe bocor lebih awal

    Peminat kereta dua pintu coupe kini mempunyai satu lagi model bersesuaian untuk memuaskan mereka iaitu BMW 8 Series. Kereta ini hanya akan ditampilkan secara rasmi esok di pameran Concorso d’Eleganza Villa d’Este, tetapi imejnya telah tersebar lebih awal.

    BMW sebelum ini hanya mengeluarkan teaser bagi 8 Series Concept, yang menunjukkan bayangan profail garis luar coupe tersebut. Ia menampilkan bahagian hadapan dan bumbung yang rendah, lengkung roda yang membonjol keluar dan bahagian belakang yang beralun.

    Muncung kenderaan ini diapit dengan lampu utama yang nipis, dan bahagian bonetnya cukup tirus. Jika diperhatikan, ia mungkin seperti membawa sedikit gaya daripada Aston Martin, tetapi bahagian belakangnya masih lagi unik, bersama lampu belakang berbentuk L, salur udara besar dan muncung ekzos berkembar.

    BMW 8 Series Concept – imej coupe bocor lebih awal

    Seperti juga model 5 dan 7 Series, 8 Series ini diasaskan daripada platform Cluster Architecture (CLAR), yang menggunakan bahan-bahan serba ringan seperti aluminium, magnesium dan pada 7 Series – gentian karbon untuk mengurangkan berat. Barisan 8 Series dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin seperti 7 Series, termasuk enam silinder sebaris, V8 dan V12 turbocharge.

    Akan terdapat juga mode prestasi tinggi M8, yang masih dikuasakan oleh enjin sama seperti M5 F90 akan datang – V8 4.4 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan lebih 600 hp, dan kuasa disampaikan kepada semua roda melalui sistem xDrive BMW yang lebih maju. Transmisi yang dijangka digunakan adalah automatik lapan kelajuan, berbanding klac berkembar M DCT.

     
     
  • Trend penghasilan enjin kecil berkuasa tinggi bakal berakhir tidak lama lagi – CEO Volkswagen

    Trend penghasilan enjin kecil berkuasa tinggi bakal berakhir tidak lama lagi – CEO Volkswagen

    Seperti yang diketahui, kebanyakkan pengeluar automotif buat masa sekarang berlumba-lumba untuk menghasilkan enjin-enjin kecil dengan induksi paksaan yang berkuasa seperti enjin berkapasiti lebih besar. Walau bagaimanapun, menurut CEO Volkswagen Herbert Diess, trend berkenaan kini sebenarnya sudah sampai ke kemuncaknya.

    “Pengurangan jumlah silinder kini telah mencapai sasarannya. Sama ada ia beralih dari empat silinder kepada tiga atau enam kepada empat, seterusnya kami telah mencapai faedah kecekapan dalam masa yang sama mengekalkan kualiti kebolehan di pandu,” kata Diess.

    “Trend tersebut mendatangkan pelbagai perkara yang mungkin – tetapi ia akan berakhir sekarang. Jika kami terus kearah lebih kecil, kami akan menghadapi masalah emisi dan juga kos,” tambahnya. Diess juga menyatakan, kos untuk membangunkan enjin diesel yang memenuhi undang-undang emisi baharu menelan belanja sekitar 1,000 euro (RM4,809.18) untuk sebuah kereta – ini bermaksud pembeli baru kereta-kereta ini tidak akan boleh menerima kenaikan harga untuk perkara baru yang ditemui.

    Sistem hibrid 48V dilihat bakal menggantikan trend penghasilan enjin diesel sedemikian untuk kegunaan kereta bandar dan kereta mini super kerana ia mampu memberikan kecekapan yang sama pada kadar kos yang lebih rendah, menurut Diess. Volkswagen telah membayangkan mereka akan mula meneroka konsep berkenaan menerusi model konsep yang bakal didedahkan pada perhimpunan tahunan Wörthersee tahun ini, termasuk model konsep Golf GTI dengan pacuan semua roda berkuasa 410 PS.

     
     
  • Ketahui latar belakang FSP Proton, Zhejiang Geely

    Ketahui latar belakang FSP Proton, Zhejiang Geely

    Sementara Geely diterima menjadi rakan strategik asing (FSR) Proton dengan mengambil 49.9% pegangan, rakyat Malaysia masih ramai yang tidak mengenali siapa dan apakah latar belakang syarikat ini. Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd adalah sebuah syarikat automotif global, yang berpusat di Hangzhou, China.

    Dalam portfolio jenama mereka sendiri, Geely mempunyai lebih 30 model kenderaan, namun yang disenaraikan dalam laman web mereka sekarang hanya ada 14 model yang terdiri daripada MPV, SUV, sedan mewah dan kompak. Antara nama modelnya adalah Emgrand, Boyue, MK Cross dan GC7. Pada tahun 2016 sahaja, Geely berjaya menjual 765,851 buah kenderaan, dan sasaran tahun ini diletakkan pada 1 juta unit.

    Bukan setakat jenama mereka sendiri, Geely juga memiliki beberapa jenama automotif lain, termasuk Volvo dan London Taxi Company. Sudah tentu, yang terbaru adalah pegangan dalam Proton dan juga Lotus, yang telah dilepaskan sepenuhnya oleh Proton. Pada tahun 2016, Volvo, melalui kelolaan Geely telah berjaya menjual 534,332 unit kenderaan – iaitu satu jumlah yang paling tinggi sejak jenama itu wujud.

    Selain model kenderaan, Geely juga mempunyai enam enjin mereka sendiri, daripada yang berkapasiti 1.0L, hinggalah 3.5L, dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan DCT.

    Ketahui latar belakang FSP Proton, Zhejiang Geely

    Prestasi cemerlang Geely sebagai sebuah syarikat terbukti apabila ia disenaraikan dalam syarikat Fortune 500, bermula pada tahun 2012, dan bagi tahun 2016, ia dinilaikan mencatat keuntungan sebanyak 30.4 bilion USD (RM130 bilion). Bagi jumlah pekerja pula, Geely menggunakan khidmat 65,000 pekerja di seluruh dunia.

    Anda juga boleh membaca dalam artikel kami sebelum ini, kenapa Geely dipilih sebagai FSR Proton, bagaimana proses pemilihan itu dilakukan, kenderaan Geely yang akan digunakan sebagai platform untuk model yang akan dikeluarkan oleh Proton dan kemudahan Geely di serata dunia, termasuk milik Proton yang akan dijadikan sebagai salah satu daripadanya.

    Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd diterajui oleh pengasas, serta pengerusi lembaganya iaitu Li Shu Fu, dan di bawahnya, terdapat ramai lagi individu terkenal yang berkaliber termasuk Daniel Li Ding Hui sebagai ketua pegawai kewangan dan timbalan presiden Geely, Carl Peter Edmund Moriz Forster, Nathan Yu Ning, Peter Horbury, Ang Cong Hui dan Hakan Samuelsson.

     
     
  • Tun Mahathir kesal Proton pilih rakan kongsi strategik asing untuk terus bertahan dalam industri automotif

    Tun Mahathir kesal Proton pilih rakan kongsi strategik asing untuk terus bertahan dalam industri automotif

    Semua orang tahu bahawa Proton adalah hasil buah fikiran Perdana Menteri ke-empat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed (Tun M). Dari tahun pertama penubuhannya pada 1983 sehinggalah akhir Mac 2016, Tun M sangat mengambil berat tentang Proton. Malah selepas bersara daripada jawatan tertinggi dalam kerajaan, beliau telah dilantik sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional tersebut, sehinggalah meletakkan jawatan pada setahun yang lalu.

    Rasa kecintaan yang ada antara Tun M dengan Proton yang dianggap sebagai ‘brainchild’ beliau sendiri, nampaknya tidak terpadam biar pun kini beliau tidak terkait lagi dengan operasi jenama ini. Malah berita panas yang membanjiri ruang akhbar mahu pun di Internet semalam mengenai syarikat pengeluar kereta terkemuka China, Geely, yang berjaya membida sebagai rakan kongsi strategik Proton, meruntunkan hati Tun M.

    Beliau telah meluahkan rasa kecewa yang penuh sindiran menerusi blog peribadinya chedet.cc.

    Katanya, rasa sedih cukup terasa kerana bagi beliau, Proton kini boleh dianggap bukan lagi kereta nasional. “Rakyat Malaysia sepatutnya gembira kerana ‘menghapuskannya’, saya pasti Proton akan melakukan yang terbaik. Malah mampu memcipta kejayaan komersil. Ia akan dijual di seluruh dunia. Nama Proton akan berada di mana-mana sahaja.

    “Ia akan menjadi seperti Singapura. Jika ia tidak dijual, sudah pasti kita hanya akan membangunkannya seperti Kuala Kedah atau Kuala Perlis sahaja. Dan kita tidak akan berbangga dengan Singapura,” catatnya dalam luahan berbentuk sindiran.

    Sambungnya lagi, rakyat Malaysia kini patut berbangga dengan Proton kerana dengan duit dan teknologi terunggul, boleh membuatkannya bersaing dengan Rolls Royce dan Bentley.

    “Saya tidak boleh berbangga dengan kejayaan ini kerana ia bukanlah milik saya atau negara saya. Mungkin ada rakyat Malaysia yang berasa demikian (bangga) tetapi, bukan saya. Cuba fikirkan, sekiranya negara kita dijual kepada pihak lain, pada orang yang sangat kaya dari negara lain, saya sangat yakin negara kita juga akan membangun sebaiknya – melebihi apa yang dijangka dalam Wawasan 2020,” ujarnya lagi.

    Malah Tun M turut berkata, ini adalah peringkat permulaan menjual Proton (kepada pihak asing) sepenuhnya. “Proses ini tidak dapat disekat kerana tiada cara lain intuk kita membayar hutang kita mencecah bilion (Ringgit), salah satu caranya ialah menjual aset kita (termasuk Proton),” katanya sebelum mengakhiri catatan dengan ayat “Please excuse Me” (yang penuh dengan makna tersirat).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026