Sejujurnya, wujud perasaan bercampur baur ketika Proton Iriz diperkenalkan pada tahun 2014. Saya amat gembira memandu Iriz versi 1.3L manual kerana pengendaliannya yang begitu dinamik benar-benar dapat dirasai, namun keseronokan berkenaan terbantut ketika memandu versi yang diberikan transmisi CVT, tidak kira 1.3L, mahupun 1.6L yang lebih berkuasa.
Selain dari bunyi berdengung seperti pesawat mahu berlepas, kotak gear CVT itu juga memberikan satu perasaan yang tidak kena – lambat memberikan respon ketika pendikit ditekan, dan memberikan nisbah yang membuatkan enjin meraung tidak tentu hala. Saya percaya, bukan saya sahaja yang tidak puas hati dengan karekter hatchback segmen-B tersebut – tentunya ia menerima perasaan negatif dikalangan pemilik Iriz sendiri.
Setelah tiga tahun dalam pasaran, sememangnya sudah patut Proton memperkenalkan Iriz versi yang lebih matang. Jadi, disamping berita panas berkenaan rakan strategik asing yang kini telah pun sah dipilih semalam, Proton masih sempat untuk memperkenalkan Iriz facelift 2017 serta memberikan kami peluang untuk menguji hatchback kecil ini di litar ujian mereka.
Sebelum tiba kepada kepada keputusan untuk memilih Geely sebagai rakan strategik asing (FSP), terdapat banyak peringkat penilaian terhadap kertas cadangan dan bidaan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang berminat.
Sejak perkara ini diumumkan susulan pemberian pinjaman mudah oleh kerajaan kepada Proton pada Mei 2016 – satu daripada syarat pinjaman itu adalah Proton perlu mencari FSP baru dengan segera – sebanyak 23 pihak yang difikirkan berpotensi, termasuk dalam senarai panjang.
Kemudian, dalam tempoh Julai-Ogos 2016, sebanyak 15 calon telah dikenal pasti – semua pihak ini diberikan Request For Proposal (RFP), supaya mereka menghantar kertas cadangan untuk dipertimbangkan. Bagi tempoh dari September 2016, lapan pihak dikenal pasti selepas meneliti kertas cadangan yang dirasakan berkongsi aspirasi yang sama dengan apa yang diperlukan oleh Proton.
Selepas itu, lima pihak disenarai pendek untuk Proton melakukan proses seterusnya; iaitu lawatan ke tapak untuk penilaian lanjut, meninjau teknologi dalaman yang dimiliki, termasuk penilaian relatif lain. Ini termasuk kesesuaian dari aspek strategik, gerak kerja operasi, budaya kerja serta kedudukan kewangan mereka.
Kemudian, pada November 2016, keputusan awal mula dibuat ke atas lima calon berkenaan, menyaksikan pemilihan hanya tiga daripadanya untuk ke tahap seterusnya. Pada tahap ini, penilaian dibuat ke atas beberapa aspek; ini termasuk komitmen teknikal, kesediaan mereka terhadap mengekalkan penjenamaan Proton, modal untuk disuntik bagi memulihkan Proton serta kemampuan untuk memperluaskan pasarannya.
Hanya pada Februari-Mei 2017 barulah tawaran pembidaan dibuka kepada tiga pihak dalam senarai pendek akhir berkenaan. Dalam tempoh berkenaan juga, proses penilaian ketat dibuat, termasuk sesi rundingan menyeluruh terhadap tawaran dan bidaan yang ada.
Hanya selepas semua ini dilakukan, barulah satu FSP yang dirasakan mampu memenuhi semua kriteria ini dipilih. Dan, seperti yang diumumkan semalam, kita tahu bahawa Geely dari China yang terpilih untuk meneruskan usaha pemulihan Proton selepas ini.
Peugeot secara rasminya telah menjadi penaja pengangkutan utama untuk Sukan SEA dan Sukan Para 2017, dengan memberikan 298 buah kenderaan, dan ini terdiri daripada model 508, 408 dan MPV Traveller, yang masih belum dilancarkan secara rasmi di Malaysia.
Oleh itu, semasa majlis penyerahan kunci di pusat pameran Peugeot di Glenmarie, kami berpeluang untuk melihat depan mata, beberapa buah Traveller, yang telah disiapkan dengan pelekat untuk kegunaan dua sukan berprestij itu.
Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia iaitu Nasim Sdn Bhd tidak mahu mendedahkan sebarang perincian berkenaan Traveller yang sudah tiba ini, tetapi melalui risalah spesifikasi yang berada di sebelah kenderaan tersebut, ia adalah unit yang dikuasakan oleh enjin empat silinder turbodiesel 1,997 cc dan padanan kotak gear EAT6 Quickshift dengan pedal penukar gear di stereng.
Selain itu, turut dinyatakan di situ bahawa ia adalah yang berukuran 4,956 mm panjang, sekaligus menunjukkan bahawa ia adalah model Standard. Selain daripada model ini, di negara luar, terdapat Traveller yang berukuran 4,606 mm (Compact) dan 5,309 mm (Long). Jarak roda model Standard adalah 3,275 mm.
Traveller juga di negara luar datang dengan pelbagai susun atur tempat duduk, tetapi bagi model yang akan digunakan untuk Sukan SEA dan Sukan Para ini, ia adalah yang mempunyai tiga baris tempat duduk, dan di belakang boleh menempatkan enam orang, menjadikan keseluruhannya lapan orang.
Ciri lain yang boleh dilihat pada Traveller ini adalah tempat duduk kulit, butang pemula enjin, pedal penukar gear di stereng, head up display, pemilih gear jenis tombol berpusing, soket pengecas 12V di setiap baris tempat duduk, bumbung panoramik berpisah, pengawal pendingin hawa belakang, meja kecil untuk penumpang belakang yang berada pada bahagian belakang tempat duduk hadapan, pintu gelungsur automatik dan pelbagai lagi.
Peugeot Malaysia dijangka akan melancarkan MPV ini pada suku ketiga 2017, dan ia akan dipasang di sini (CKD), iaitu di fasiliti Naza Automotive Manufacturing, Gurun, Kedah (Malaysia merupakan hab pemasangan Peugeot untuk rantau ini) dan turut mungkin akan dieksport jika terdapat permintaan.
Pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd menjadi penyedia pengangkutan utama bagi Sukan Kuala Lumpur 2017, dengan penajaan 298 buah kenderaan yang terdiri daripada model Traveller, 408 dan 508. Sukan Kuala Lumpur 2017 (KL2017) terdiri daripada dua iaitu Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ke-9.
Satu majlis penyerahan kunci diadakan di pusat pameran Peugeot di Glenmarie, Shah Alam pagi ini, dan replika kunci kenderaan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Adalah satu penghargaan bagi Naza untuk menjadi sebahagian daripada acara besar ini, dan diharapkan 298 buah kenderaan ini dapat memberikan pemanduan yang berprestij serta pengalaman yang terbaik bagi penumpang di KL2017,” tambah Nasarudin.
Selain daripada 298 kenderaan ini, Peugeot juga melancarkan dua buah 208 khas, yang akan digunakan untuk menunjukkan sokongan kepada atlet Malaysia yang akan bertanding dalam dua sukan ini. Kereta ini akan dibawa ke pameran jelajah seluruh Malaysia, dan orang ramai boleh menurunkan ucapan semangat di atas badan kenderaan ini. Pada majlis sama, Khairy diberi penghargaan untuk menjadi yang pertama menurunkan tanda tangan di atas kereta tersebut.
Bagi orang ramai, mereka juga berpeluang memenangi 100 tiket percuma (untuk 50 orang) untuk menyaksikan majlis pembukaan KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan apa yang mereka perlu lakukan hanyalah mengambil gambar bersama kereta 208 khas ini dan memuat naik ia ke media sosial bersama tanda hashtag #peugeotmalaysia, #drivingchampions dan #nazacorp.
Dengan persetujuan yang baru saja dimeterai untuk menjalin kerjasama dengan Geely dari China, Proton berdepan dengan satu persoalan lagi; apa akan jadi dengan persefahaman dan kontrak usahasama yang mana syarikat kenderaan nasional itu sudah pun memberi komitmennya, bersama pengeluar-pengeluar kenderaan lain sebelum ini?
Dengan Geely akan bertindak selaku penggerak utama bagi aspek pengeluaran kenderaan dan Proton akan memberi fokus kepada rangkaian pengedaran untuk pasaran tempatan, apa nasib usahasama yang sudah dipersetujui lebih awal itu?
Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan di sini ialah, sebelum Geely, mengambil kira tempoh masa terdekat ini, Proton juga mempunyai kontrak kerjasama misalnya dengan Honda, bagi pengeluaran model Perdana terkini yang mengambil asasnya daripada model Accord generasi kelapan.
Begitu juga dengan Suzuki; Proton hujung tahun lalu memperkenalkan MPV Ertiga, yang menggunakan model keluaran Suzuki dengan nama sama. Begitu juga dengan penyerapan operasi Suzuki di Malaysia, yang merangkumi hal-hal rangkaian jualan dan khidmat lepas jualan. Kerjasama berkenaan dimeterai ketika Tun Dr Mahathir masih lagi bertindak sebagai Penasihat Proton.
Begitu juga pada tahun 2015. Proton dan Lotus Group ketika itu dilaporkan akan menjalinkan kerjasama dengan Goldstar Heavy Industrial, yang ketika itu ingin mengembangkan lagi barisan kenderaan penumpang di bawah jenama Lotus untuk pasaran China. Ini termasuk untuk mengeluarkan kenderaan serta enjin di sana.
Dengan Geely kini menjadi sebahagian daripada naratif kerjasama ini, apa hala tuju usahasama yang terdahulu? Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar, oleh kerana semua perjanjian dan kerjasama itu berlaku sebelum keputusan untuk melantik Geely sebagai rakan strategik (FSP) bagi Proton, semua kontrak terdahulu akan dihormati dan dipatuhi.
“Buat masa ini, semua kontrak dan perjanjian yang sudah disepakati sebelum ini akan tetapi dipatuhi, dan diteruskan seperti yang dipersetujui,” jelas beliau. Apa pula kesudahan bagi sebuah model SUV antara Proton dan Suzuki, seperti yang diura-urakan sebelum ini?
Seperti yang dimaklumkan, selain GLA 45 4Matic, hari ini Mercedes-Benz Malaysia turut melancarkan lagi dua model facelift iaitu GLA 200 dan GLA 250 4Matic. Kedua-dua model ini turut pertama kali diperkenalkan di pasaran tempatan pada November 2014. Bagi model facelift ini, GLA 200 tampil dengan Urban Line, dan AMG pula bagi GLA 250 4Matic termasuk untuk bahagian luaran dan dalamannya.
Menambahkan lagi karakteristiknya yang lebih sporty, ada sedikit peningkatan bagi bahagian hadapannya iaitu bagi gril dan bamparnya yang telah direka semula. Bahkan untuk GLA 200 pula, lampu utama HID pada model terdahulu telah dipertingkatkan ke lampu utama LED High Performance. Pada bahagian belakangnya juga, ditampilkan dengan rekaan grafik baharu bagi lampu dan bampar serta diffuser.
Seperti GLA 45 4Matic, kedua-dua model GLA 200 dan GLA 250 4Matic turut ditawarkan dengan lampu utama LED High Performance, Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi larasan elektronik, rel bumbung aluminium hitam berkilat dan Night Package. Bagi GLA 200, ia turut didatangkan dengan roda aloi-ringan lima-jejari 19-inci hitam pekat. Manakala GLA 250 4Matic pula lebih rugged dengan roda aloi-ringan lima-jejari AMG 19-inci.
Menjengah bahagian dalamnya pula, ia menampilkan dial yang baharu dan kluster instrumen yang diperkemaskinikan. Malah kekemasan krom untuk kawalan tempat duduk dan konsol tengah turut ditampilkan. Selain itu, kekemasan kulit Artico menjadi pilihan dan tempat duduk bagi GLA 200 dilengkapi dengan fabrik Maringa hitam, manakala upholstery gentian mikro DINAMICA juga rona hitam buat GLA 250 4Matic.
Peningkatan bagi bahagian kabin secara standard bagi kedua-dua model ialah didatangkan dengan COMAND Online dan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon Logic 7, Keyless-GO dan pintu belakang Easy Pack, sistem Tirefit, kawalan suhu automatik Thermotronic, bumbung matahari gelangsar panoramik, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta skrin paparan lapan-inci. Bagi GLA 250 4Matic, ada elemen tambahan baharu untuknya iaitu turut didatangkan dengan sistem navigasi Garmin Map Pilot,fungsi paparan off-road, alas lantai dan panel ambang pintu AMG.
Kedua-dua model ini masih mengekalkan penjana kuasa yang sama seperti model sebelumnya, iaitu bagi GLA 200 yang dipadankan dengan enjin 1.6 liter pengecas turbo empat-liter sebaris (156 hp/250 Nm), manakala GLA 250 4Matic pula dengan enjin 2.0 liter DOHC pengecas turbo empat-silinder sebaris (211 hp/350 Nm). Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 7G-DCT dwi-klac tujuh-kelajuan.
Dynamic Select turut menawarkan mod pemanduan termasuk Comfort, Sport, Eco, Individual dan tambahan bagi GLA 250 4Matic dengan menampilkan Off-Road.
GLA 200 dan GLA 250 4Matic bagi pasaran Malaysia ini turut ditawarkan dengan suspensi off-road dengan menawarkan ketinggian 30 mm serta menambah baik gandar kenderaan dan keupayaan off-road.
Warna baharu, Canyon Beige, turut dimasukkan dalam barisan pilihan kedua-dua model ini. Harga atas jalan (tanpa insurans) bagi GLA 200 Urban Line ialah RM239,888 dan GLA 250 4Matic AMG pula ialah RM269,888.
Bagi model GLA generasi baharu ini, Mercedes-Benz Financial (MBF) turut menawarkan dua pakej kewangan menarik, iaitu pakej Hire Purchase Classic bermuka 1.88% hingga 2.28% dengan tempoh pinjaman antara tiga hingga tujuh tahun. Selain itu, MBF turut menawarkan pakej Agility Financing yang fleksibel. Di mana dengan pakej lima tahun pinjaman adalah berdasarkan perbatuan 20,000 km setahun, deposit 10% bagi GLA 200 Urban Line, iaitu RM3,235 sebulan. Antara faedahnya, selepas perjanjian tamat, pelanggan ditawarkan dengan pilihan sama ada ingin melanjutkan kontrak pinjaman atau memulangkan semula kenderaan mereka untuk ditukarkan ke model baharu.
Ikuti spesifikasi dan perincian penuh model GLA 200 dan GLA 250 4Matic ini menerusi CarBase.my.
Genap dua minggu selepas pelancaran barisan enam model AMG 43, pagi ini Mercedes-Benz Malaysia melancarkan pula model facelift bagi Mercedes-AMG GLA 45 4Matic, di samping varian GLA 200 dan GLA 250. Ketiga-tiga varian facelift tersebut adalah bagi menggantikan model asal GLA yang diperkenalkan di Malaysia pada November 2014.
Hadir dengan suntikan yang lebih segar, sudut hadapannya telah diperkemaskinikan termasuk memberikan penggayaan semula buat bahagian apron, di samping menampilkan gril corong udara dan front splitter baharu dengan kekemasan krom perak.
Bukan setakat itu sahaja, bahagian belakang juga diberikan sedikit gaya yang lebih elegan termasuk padanan diffuser dan spoiler lip bumbung baharu. Penggayaan semula bagi model ini bukan setakat menyerlahkan lagi penampilannya, sebaliknya turut menambahbaik aerodinamik, rintangan angin dan kestabilan pemanduannya.
Kini ia juga dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance secara standard bagi ketiga-tiga varian. Malahan GLA 45 spesifikasi Malaysia juga didatangkan dengan pakej aerodinamik AMG dan AMG Night. Selain itu, rel bumbung aluminium berwarna hitam berkilat dan roda aloi pelbagai-jejari AMG 20-inci turut dipadankan.
Menjengah bahagian kabinnya, tentu sahaja penggayaan penuh elegan daripada luaran senada dengan dalamannya. Melihat pada papan pemuka yang ditutupi kulit buatan tangan Artico secara standard, kekemasan baharu dan rekaan skrin untuk kluster instrumen yang juga baharu memang menyerlahkan lagi sisi elegannya. Ia juga dihadirkan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, sistem kamera pandangan sekeliling 360-sudut dan skrin paparan lapan-inci.
GLA 45 untuk pasaran Malaysia juga dilengkapi dengan pakej dalaman AMG Exclusive dan tempat duduk hadapan AMG Performance, bersama kulit upholstery hitam dengan jahitan kontras merah. Ia juga menampilkan tali pinggang keledar red designo dan roof liner hitam.
Di samping itu alas lantai dan kekemasan gentian karbon pada roda stereng AMG Performance balutan kulit Nappa dan panel ambang dengan perkataan iluminasi AMG turut ditampilkan.
Elemen standard bagi semua varian adalah termasuk COMAND Online dan sistem bunyi sekeliling Harman Kardon Logic 7, Keyless-GO dan pintu belakang Easy Pack, sistem Tirefit, kawalan suhu automatik Thermotronic dan bumbung matahari gelangsar panoramik.
Model facelift ini juga ditampilkan dengan kuasa yang telah dipertingkatkan seperti mana yang diperkenalkan pada tahun 2015, pada model Mercedes-AMG 45 dan CLA 45. Enjin M133 2.0 liter empat-silinder sebaris ini kini menawarkan kuasa sehingga 375 hp dan tork 475 Nm, iaitu lebih 20 hp dan 25 Nm berbanding model tempatan pre-facelift.
Ia turut digandingkan bersama transmisi sport AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan, dengan pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic yang menyalurkan kuasa pada semua roda. Membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam catatan masa 4.4 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 250 km/j.
Selain itu, ia turut menampilkan sistem ekzos AMG Performance dan suspensi sport AMG Ride Control dengan peredam boleh laras adaptif dua-bahagian dan juga mod transmisi tambahan Race.
Mercedes-AMG GLA 45 4Matic ditawarkan pada harga atas jalan RM408,888 (tanpa insurans) iaitu lebih RM30k berbanding model sebelumnya. Ia turut hadir dengan waranti
Bagi model GLA generasi baharu ini, Mercedes-Benz Financial (MBF) turut menawarkan dua pakej kewangan menarik, iaitu pakej Hire Purchase Classic bermuka 1.88% hingga 2.28% dengan tempoh pinjaman antara tiga hingga tujuh tahun. Selain itu, MBF turut menawarkan pakej Agility Financing yang fleksibel. Di mana dengan pakej lima tahun pinjaman adalah berdasarkan perbatuan 20,000 km setahun, deposit 10% bagi GLA 200 Urban Line, iaitu RM3,235 sebulan. Antara faedahnya, selepas perjanjian tamat, pelanggan ditawarkan dengan pilihan sama ada ingin melanjutkan kontrak pinjaman atau memulangkan semula kenderaan mereka untuk ditukarkan ke model baharu.
Ikuti spesifikasi dan perincian penuh model GLA 45 4Matic facelift menerusi CarBase.my.
Pada sesi soal jawab selepas perjanjian persefahaman Proton-Geely semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan akan membayar kembali (reimburse) sebanyak RM1.1 bilion bagi perbelanjaan yang terlah dikeluarkan oleh Proton untuk melakukan R&D bagi kenderaan baru sebelum ini.
Jumlah itu akan diberikan selepas perjanjian muktamad ditandatangani, yang dijangka akan berlaku pada Julai nanti. Johari juga menyentuh, Proton sebelum ini telah membelanjakan sebanyak RM3.5 bilion sebelum ini untuk tujuan R&D bagi model baru. Khabar angin yang mengatakan Proton akan menerima tambahan RM1.7 bilion dari kerajaan juga turut dinafikan.
Berkaitan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion yang diterima tahun lalu pula, adalah difahamkan bahawa Geely akan membayar semula jumlah itu sepenuhnya. Pinjaman mudah berkenaan diluluskan oleh kerajaan pada April 2016, dengan Proton bersetuju ke atas beberapa syarat, termasuk untuk mencari rakan strategik asing (FSP).
Dalam laporan terdahulu pada Julai 2014, Pengerusi Proton ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta kerajaan untuk membayar semula sebahagian daripada perbelanjaan yang Proton laburkan untuk R&D. Menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa di dalam satu laporan pada 2015, Proton ketika itu sudah membelanjakan RM18 bilion untuk tujuan R&D sejak 1983.
Antara perkara yang turut disentuh ketika taklimat kerjasama antara Proton-Geely semalam ialah berkaitan jenama Volvo. Seperti yang kita sudah sedia maklum, Volvo sejak enam tahun lepas sudah bertukar tangan dan menjadi milik penuh Geely – syarikat China itu membeli Volvo dari Ford pada 2010.
Sejak itu, beberapa model termaju dan canggih telah diperkenalkan; antara barisan kenderaan berkenaan yang juga sudah dipasarkan di Malaysia ialah XC90 dan S90/V90. Sebahagian kenderaan Volvo di sini hadir sebagai unit pemasangan tempatan, yang dibuat di kilang pemasangan Swedish Motor Assemblies di Shah Alam.
Dengan kerjasama Proton-Geely ini, ada persoalan lain yang timbul – adakah pemasangan kenderaan Volvo ini nanti turut akan dipindahkan ke Tanjung Malim, memandangkan Geely adalah pemilik Volvo dan kini menjalin kerjasama dengan Proton?
DRB-Hicom tidak mendedahkan secara terperinci sama ada itu akan berlaku atau sebaliknya. “Kami akan maklumkan selepas perjanjian muktamad ditandatangani nanti,” jelas Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar. Perjanjian muktamad itu dijangka ditandatangani Julai nanti.
Namun, beliau ada memberi bayangan bahawa ada kemungkinan perkara itu berlaku. Memandangkan Geely juga ingin memperluas pasaran Volvo di Malaysia, tidak mustahil pengeluaran kenderaan Volvo juga akan dibuat di Tanjung Malim dan membayar untuk perkhidmatan itu kepada Proton.
Perkara lain yang dijangka kemungkinan akan berlaku juga adalah Geely akan menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim sebagai hab pengeluaran kenderaan pemanduan sebelah kanan, mungkin bagi model SUV Lynk & Co 01. Geely dikhabarkan sedang melihat peluang untuk menembusi pasaran UK dan Australia melalui jenama yang bernaung di bawahnya itu.
Semalam, DRB-Hicom mendedahkan, sebahagian daripada perkara yang telah dibincangkan berkaitan usaha sama Proton-Geely adalah untuk membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu menggunakan platform SUV dari model Geely Boyue. Ini akan menjadi pembangunan SUV pertama Proton, walaupun perincian tentangnya masih belum diumumkan.
Jika anda ingin tahu bagaimana rupa SUV berkenaan, di sini kami paparkan imej render bagi SUV berkenaan untuk tatapan anda. Ia menggunakan bentuk fizikal Geely Boyue, dengan wajah depan yang disesuaikan dengan penampilan dari model-model Proton semasa.
Bahagian grilnya diambil dari rekaan pada Proton Perdana, tentunya dengan sedikit perubahan, bagi menggantikan rekaan gril Geely. Bahagian bawahnya pula menempatkan ruang masukan udara yang lebih besar, serta bahagian lampu kabus yang baru. Rim aloi 17 inci dari Suprima S digunakan dalam imej ini.
Di bahagian belakang, perubahan yang dilakukan tidak begitu ketara. Skid plate juga tidak terlalu menonjol berbanding pada Boyue. Lampu belakang juga menerima rekaan baru, tidak lagi mengikut bentuk C seperti yang ada pada model Geely berkenaan. Selain itu, lambang Proton turut digunakan, menggantikan logo Geely.
Walaupun sekadar gambara bebas terhadap sebuah SUV hasil usaha sama Proton-Geely, ia kelihatan sangat meyakinkan juga. Sekurang-kurangnya daripada aspek reka bentuk luaran. Apa pandangan anda?
Kami telah mendedahkan perincian dan spesifikasi Proton Iriz 2017 yang telah diperhalusi sebelum ini. Kini, kami tampilkan pula video berkenaan hatchback segmen-B berkenaan dan apa pula tanggapan awal kami setelah memandunya buat pertama kali.
Proton Iriz 2017 menampilkan perubahan yang sangat minimal berbanding model sedia ada. Untuk varian 1.6 Premium, ia diberikan imej lebih garang dengan tema warna dua-tona dan lebih elemen hitam berkilat diberikan pada spoiler belakang, bumbung, penutup cermin sisi, dan kemasan di atas gril hadapan.
Bahagian dalaman, ia kini menerima paparan instrumen dan tombol gear dari Persona serta karpet kaki baharu. Varian Premium pula kini dilengkapi skrin infotainmen baharu yang membolehkan hubungan mirror-link kepada telefon pintar berfungsi.
Namun, Proton sebenarnya lebih menumpukan terhadap memperhalusi Iriz 2017 ini. Cagak enjin telah dikurangkan dari empat kepada hanya tiga bagi mengurangkan getaran enjin ke badan, dan juga diberikan pakej tebatan bunyi baharu. Talaan pada kotak komputer enjin dan transmisi juga telah dirombak bagi memberikan respon yang lebih baik serta kuasa yang lebih linear.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bertindak menyaman pemandu yang memandu kenderaan persendirian yang menggunakan lorong khas bas dan teksi. Sebanyak 18,535 notis kesalahan telah dikeluarkan bermula Januari hingga April lepas.
Pelbagai alasan yang digunakan oleh pemandu terbabit termasuklah ‘kesuntukan masa’, ‘tidak tahu’ dan ‘tidak sengaja’, bahkan ada yang menyalahkan pemandu lain kerana tidak memberi laluan, kurang peka, kesesakan jalan dan ada yang menafikan melakukan kesalahan itu hingga sanggup bertikam lidah dengan pegawai penguat kuasa bertugas, laporan Bernama.
Semalam sekali lagi DBKL menjalankan operasi ini yang melibatkan Jalan Ampang, dan sebanyak lebih 40 notis dikeluarkan dalam tempoh sejam.
“Walaupun maklumat ditayangkan di VMS (Variable Messaging Signs) dan ada tanda ‘Bas, Teksi Sahaja’ dicat dengan jelas di permukaan jalan raya, masih ramai yang melanggar peraturan, malah ada yang meletakkan kenderaan di bahu jalan di lorong khas itu menjadikan jalan raya sesak,” ujar Ketua Cawangan Penguatkuasaan Trafik DBKL Mohd Hisham Izhar kepada pemberita semalam.
Menurutnya lorong khas bas bertujuan memastikan pergerakan bas lebih lancar dan mengikut jadual ditetapkan walaupun ketika jalan raya sesak bagi memastikan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota tercapai.
Beliau berkata bagi memantapkan penguatkuasaan, DBKL akan menjalankan operasi secara lebih kerap selain bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menyenarai hitam pemandu yang ingkar.
Terdapat 13 lorong bas yang digazetkan DBKL antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi.
Mula beroperasi sebulan lebih awal daripada jangkaaannya, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan Karak mula dibuka untuk pengguna jalan raya pada 23 Mei lalu.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pembukaan laluan fasa kedua itu akan membantu menyelesaikan kesesakan yang berlaku di Bulatan Pahang, laporan Bernama.
“Kadar kesesakan yang akan dikurangkan apabila siap keseluruhan kelak adalah lebih kurang 40 peratus,” katanya selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya DUKE Fasa 2.
Fadillah berkata DUKE Fasa 2 melibatkan kos sebanyak RM1.2 bilion terdiri daripada dua sambungan lebuh raya iaitu Tun Razak Link sepanjang sembilan kilometer dan Sri Damansara Link (tujuh kilometer).
“Secara keseluruhan kami jangka siap sepenuhnya antara Ogos atau September ini. Ia kini 97% siap,” katanya.
Projek DUKE Fasa 2 dikendalikan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd dengan kerjasama Ekovest.
Jika dulu, bagi seseorang penunggang motosikal yang ingin mengembara, mereka akan mengambil motosikal yang ada, dan kemudiannya berdasarkan pengetahuan yang ada, mengubah suai motosikal tersebut mengikut apa yang dirasakan perlu supaya ia dapat bertahan dengan cabaran yang akan dilalui.
Tapi kini, sudah semakin banyak motosikal yang datang terus dengan keupayaan serba lasak, sehinggakan apabila keluar sahaja dari pusat pameran, ia sudah boleh dibawa untuk pengembaraan – dalam keadaan standard.
Bagi tahun ini, pengeluar motosikal dari Austria, KTM Motorcycles telah memperbaharui barisan model Adventure mereka, dengan satu daripadanya sudahpun dilancarkan di Malaysia iaitu Super Adventure S. Walaupun juga adalah model kembara, ia lebih tertumpu kepada penggunaan di atas jalan biasa, seperti yang boleh dilihat, rim dan tayarnya adalah daripada jenis sport.
Saya pasti, setakat ingin meredah jalan tanah merah seperti di ladang sawit, ia tidak akan bermasalah, tetapi pastinya ada orang yang mahu lebih lagi – keupayaan meredah jalan-jalan kasar tanpa sebarang kerisauan, apabila perlu dalam pengembaraan mereka. Perkara ini dijawab dengan penawaran satu lagi model iaitu Super Adventure R.
Zhejiang Geely Holding Group adalah sebuah syarikat yang besar, dengan pada tahun 2016, ia mencatat pendapatan sebanyak 30.4 bilion USD (RM130 bilion), dan mempunyai empat pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama iaitu di Hangzhou dan Hangzhou Bay, China, Gothenburg, Sweden dan Coventry, England.
Setelah menandatangani perjanjian sebagai rakan strategik asing (FSR) Proton, Geely juga menyatakan bahawa akan menjadikan pusat R&D Proton (yang akan dipindahkan dari Shah Alam ke Tanjung Malim) sebagai satu lagi pusat kecemerlangan global syarikat itu.
Empat pusat R&D Geely sekarang dikatakan menggunakan khidmat 7,000 pekerja, dan selain daripada itu, ia juga mempunyai empat studio rekaan – di Shanghai, Gothenburg, Barcelona dan California. Bagi empat studio rekaan ini, ia menggunakan khidmat lebih 500 pereka secara keseluruhan. Turut dinyatakan, bagi pasukan pembangunan enjin, terdapat 2,000 pekerja penyelidikan.
Ternyata, rangkaian kemudahan Geely ini cukup kuat, dan Proton juga sepatutnya boleh mendapat manfaat daripada transformasi kemudahan mereka menjadi sebuah pusat kecemerlangan berstatus global. Walaupun begitu, tugas yang akan dipikul oleh Proton dengan status ini masih belum dijelaskan.
Ini bukan lagi rahsia; sejak beberapa hari lalu, banyak maklumat tentang pengenalan Kia Optima GT didedahkan dan telah dibuka untuk tempahan, akhirnya model berkenaan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, lewat petang ini. Ia juga merupakan ketibaan Optima generasi ke-empat (JF) di Malaysia, menggantikan model generasi ketiga (TF).
Terdapat banyak maklumat penting untuk diperkatakan tentang model ini; kita mulakan dengan harganya. Harga atas jalan, tanpa insurans Kia Optima GT ialah RM179,888. Ini termasuk jaminan lima tahun tanpa had jarak perbatuan. Pembeli boleh memilih dari tiga pilihan warna yang ditawarkan – Gravity Blue yang merupakan warna baharu, di samping Aurora Black dan Snow White Pearl.
Kia Optima GT ini menggunakan enjin empat-silinder Theta II 2.0 liter turbocas, yang menghasilkan 242 hp pada 6,000 rpm dan 350 Nm dari 1,400 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan.
Sebagai bandingan, enjin T-GDI ini menghasilkan lebih banyak kuasa daripada Toyota Camry 2.5L Hybrid (202 hp keseluruhannya), Mazda 6 2.5L (185 hp/250 Nm) dan Honda Accord 2.4L (173 hp/225 Nm). Bagi jenama Eropah pula, Volkswagen Passat 2.0 TSI dengan 217 hp/350 Nm, sementara Ford Mondeo 2.0 liter EcoBoost menghasilkan 237 hp dan 345 Nm.
Dari sudut prestasi, Kia Optima GT mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Penggunaan minyak pula didakwa pada kadar 8.5 liter bagi setiap 100 km menggunakan kitaran gabungan. Tiga mod pemanduan juga tersedia sebagai pilihan kepada pemandu – Sport, Normal dan Eco – yang boleh dikawal menggunakan butang pada konsol tengah; ia juga akan mengubah maklum balas pendikit serta berat stereng.
Apabila mod Sport digunakan, secara automatiknyta, enjin akan mengeluarkan deruman yang lebih mengasyikan menerusi Electronic Sound Generator, sekaligus meledakkan lagi adrenalin pemandu.
Dari aspek luaran, Kia Optima GT dilengkapi lampu utama projektor LED dan lampu nyalaan siang LED, begitu juga dengan lampu belakang LED GT, diffuser, hujung ekzos berkembar, gril depan Dot Array Mesh khas dalam kemasan krom satin, sistem ekzos Dual Muffler dan rim aloi 18-inci yang dipasangkan tayar Michelin Pilot Sport 3 (235/45).
Di bahagian dalam pula, kerusi selarasan elektrik bahagian depan tersedia – dengan 12-kedudukan penyelarasan bagi kerusi pemandu manakala kerusi penumpang dengan 10-kedudukan. Kedua-duanya juga mempunyai liang udara, untuk penyejukan atau pemanasan. Terdapat dua warna pilihan bagi kabin Optima GT iaitu merah yang dikhas untuk Aurora Black dan Snow White Pearl, manakala rona hitam pula bagi Gravity Blue .
Turut melengkapinya ialah butang penghidup enjin, paparan skrin sentuh tujuh-inci, sistem kawalan pendingin dwi-zon dengan Clean Air ioniser, upholstery kulit, stereng dengan kawalan pelbagai fungsi, corong pendingin hawa belakang, pengecas telefon tanpa wayar, sunroof, pelindung matahari pada cermin belakang, sistem tunjuk arah dan paparan maklumat 4.3-inci TFT-LCD pada instrument cluster serta enam-pembesar suara.
Bagi ciri-ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan kestabilan kenderaan (VSM), Bantuan mula mendaki (HAC), ABS serta lampu isyarat kecemasan (ESS). Tidak lupa sensor parkir di depan dan belakang, serta kamera undur merupakan kelengkapan standard.
Layari maklumat spesifikasi dan kelengkapan penuh Kia Optima GT serta ketahui tawaran terbaik bagi kenderaan baharu di laman CarBase.my.
Susulan kepada usaha sama Proton-Geely yang dimeterai, antara perkara yang sudah dikenal pasti adalah untuk memindahkan operasi pengeluarannya. Ketika ini, Proton mempunyai dua kilang pengeluaran, di Shah Alam dan juga Tanjung Malim.
Selepas ini, kilang di Shah Alam tidak lagi akan beroperasi. Semua pengeluaran kenderaan di bawah Proton-Geely akan dipindahkan ke Tanjung Malim. Namun, ini hanya akan berlaku dalam tempoh lima tahun ke hadapan, dan bukannya serta-merta.
Jika ini berlaku, apa jadi kemudahan di Shah Alam? Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar menyatakan tanah seluas 250 ekar itu akan dipindah milik kepada DRB-Hicom dan mungkin akan digunakan untuk pembangunan baru di kawasan itu.
“Proton” merupakan subjek yang agak panas hari ini – halatuju syarikat pengeluar automotif nasional berkenaan kini memasuki satu fasa baharu setelah rakan strategik asingnya telah diumumkan tengah hari tadi di Putrajaya. Selain dari pengumuman penting berkenaan, bertempat di Pusat Kecermerlangan Proton, Shah Alam, Proton turut mendedahkan sepenuhnya model Iriz versi tingkat taraf untuk di perbiu oleh media permotoran tempatan.
Proton telah mengurangkan varian Iriz untuk kali ini dari lapan varian kepada empat varian sahaja – 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan 1.6 Premium CVT – menyaksikan transmisi manual kini hanya diberikan pada varian standard sahaja. Ia juga kini tampil dengan dua warna baharu iaitu Ruby Red (dari Perdana) dan juga Carnelian Brown (dari Persona), manakala warna Citrus Green dan Fire Red kini digugurkan. Seperti yang boleh dilihat pada DRB-Autofest minggu lalu, Iriz 1.6 Premium CVT diberikan penampilan sedikit berbeza .
Hatchback segmen-B varian tertinggi ini menerima tema warna badan dua-tona (varian lebih rendah kekal dengan warna tunggal) berwarna hitam kilat pada bahagian atas gril, cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang (lebih besar dari varian lain). Ia turut diberikan dengan logo Proton 3D baharu pada bahagian hadapan dan belakang. Selain dari itu, rupa bentuk ciri lain masih lagi sama, termasuk kit badan yang diwarnakan dengan warna badan.
Pada bahagian dalaman pula, kebanyakkan ciri masih lagi sama dengan model sedia ada. Tetapi varian Premium model baharu ini diberikan skrin sesentuh Smart Link pada bahagian tengah papan pemuka bagi membolehkan fungsi hubungan screen-mirroring terhadap telefon pintar. Keseluruhan tema dalaman Iriz juga masih kekal berwarna hitam untuk membezakannya dengan versi sedan iaitu Persona, namun hatchback ini kini diberikan kemasan berkilat pada panel meter dan juga di sekeliling skrin infotainmen.
Iriz diberikan upholsteri gabungan kulit dan fabrik, bersama serlahan jahitan benang berwarna merah. Apa yang menarik, tempat duduknya kini menerima jalur biru-merah ala-livery perlumbaan Martini. Jalur tersebut turut diberikan pada varian lain yang lebih rendah tetapi dengan material fabrik sepenuhnya. Kesemua varian juga menerima karpet kaki baru dengan ciri anti-gelincir, manakala varian Premium diberi serlahan merah disekelilingnya
Walau bagaimanapun, Iriz kini berkongsi tombol gear dan juga paparan instrumen (diberikan lampu Eco Assist) yang sama seperti Persona. Varian 1.3 Executive kini telah diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, namun kini semua varian tidak dilengkapi dengan lampu hadapan automatik serta dan juga suis tingkap kuasa dengan kenaikan automatik pada bahagian pemandu.
sebelum ini hanya pada varian Premium.
Bagi varian asas 1.3 Standard, ciri yang diberikan masih lagi kekal dengan lampu projektor hadapan, lampu belakang LED, rim 14-inci, upholsteri fabrik, penderia parkir dan juga pemain audio utama 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, USB, dan AUX dihubungkan kepada empat pembesar suara.
Tumpuan yang diberikan pada tingkat taraf kali bukanlah dari segi rupa, tetapi Proton sebenarnya lebih menitik beratkan ciri NVH dan juga tindakbalas kotak gear hatchback ini.
Iriz kini menerima rombakan mekanikal yang sama seperti Persona di mana empat cagak enjin sebelum ini dikurangkan hanya kepada tiga (bagi mengurangkan resonan getaran dari enjin ke badan kereta), dan juga tebatan-tebatan lain bagi membolehkan kabinnya senyap termasuk menghilangkan bunyi berdengung yang datang dari transmisi CVTnya – sama seperti Persona.
Enjin 1.3 liter VVT (94 hp/120 Nm) dan juga 1.6 liter VVT (107 hp/150 Nm) digandingkan dengan transmisi CVT masih lagi kekal, namun talaan untuk kotak komputer enjin dan juga transmisi telah diperhalusi bagi memberikan respon yang jauh lebih baik ketika pecutan diperlukan seperti pada model sedia ada.
Ciri keselamatan masih lagi kekal sama di mana varian asas Standard diberikan dua-beg udara, sistem brek ABS dan EBD bersama bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang. Untuk varian tertinggi Premium, ia turut diberikan beg udara sisi dan tirai (menjadikannya enam-beg udara keseluruhan) serta amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk kesemua tempat duduk.
Model baharu ini bukan hanya diprebiu, malah kami turut berpeluang untuk memandu ujinya di litar ujian milik Proton. Ulasan pandu uji berkenaan akan disiarkan tidak lama lagi.
Semasa majlis menandatangani perjanjian mengambil Geely sebagai rakan strategik asing (FSP), Proton turut menjelaskan aspirasi mereka melalui kerjasama ini. Sudah tentu, matlamat utamanya adalah untuk menjadi pengeluar kenderaan pertama di Malaysia melalui perkongsian pasaran paling tinggi. Setakat suku pertama tahun 2017, perkongsian pasaran Proton hanya 13.8%, dan Perodua berada di tempat pertama dengan 35.7%.
Secara kasarnya, dengan perkongsian pasaran yang lebih baik, ia juga akan meningkatkan pendapatan serta keuntungan Proton, dan ini perlu dilakukan secepat mungkin. Bukan sekadar di dalam negara, Proton juga mahu menjadi pengeluar kenderaan utama di ASEAN, dalam jumlah perkongsian pasaran.
Perkara ini dilihat boleh dicapai, kerana dengan kerjasama daripada Geely, Proton akan menjadi satu-satunya pengeluar automotif serba lengkap di Malaysia dan ASEAN, daripada pembangunan produk (RnD), perolehan, pembangunan vendor dan pengilangan, hinggalah khidmat jualan dan servis selepas jualan.
Bagi Geely pula, mereka juga mempunyai visi tersendiri melalui kerjasama dengan Proton ini, iaitu yang pertamanya, mereka menghormati Proton sebagai satu jenama Malaysia yang dibanggakan. Oleh itu, Proton akan dibiarkan menjalankan operasinya sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan yang berkemampuan di Malaysia. Selain itu, Geely juga akan memberikan akses kepada sumber global, pengetahuan serta kebolehan pengurusan mereka kepada Proton.
Di dalam usahama Proton-Geely, kedua-dua syarikat mempunyai kelebihan tersendiri yang mampu melengkapi aspek kekurangan kedua-dua pihak dalam pasaran tempatan mahupun global. Secara ringkasnya, usahasama dengan rakan strategik asing (FSP) ini akan menguntungkan kedua-dua pihak.
Bagi Proton, terdapat beberapa perkara yang dimilikinya yang menjadi semacam penawaran yang dapat dimanfaatkan oleh Geely. Misalnya, pasaran sedia ada bagi segmen kenderaan kereta penumpang mampu milik. Selain itu, ia menyediakan peluang untuk peningkatan pengeluaran yang signifikan.
Keupayaannya dalam R&D juga antara yang ditawarkan. Bagi Lotus, teknologi kejuruteraan lightweight termaju yang dimiliki juga merupakan satu aset. Kelebihan kepada Geely, Malaysia boleh dijadikan hab kepada pasaran ASEAN.
Itu kelebihan bagi pihak Geely. Namun, apa pula kelebihan bagi Proton yang dapat disediakan oleh Geely? Antaranya, peningkatan jumlah pengeluaran kenderaan serta-merta. Dalam usaha itu, tentunya keyakinan terhadap jenama Proton mampu dipertingkat.
Selain itu, Proton juga boleh memanfaatkan rangkaian sedia ada Geely untuk menembusi dan memperluas pasaran antarabangsa. Proton juga boleh memanfaatkn pendekatan serta amalan teknologi yang diamalkan oleh Geely disemua pusat operasinya di seluruh dunia.
Terakhir, Geely dengan skala operasi global yang besar serta kemampuannya mengendalikan beberapa jenama utama dunia automotif dapat berkongsi pengalamannya dari aspek pengedaran dan lepas jualan diperingkat global. Semua ini jika diambil kira, menurut DRB-Hicom, memberikan situasi yang sangat baik kepada Proton serta selari dengan visi baru yang telah ditetapkan.