Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kajian demografik pembacaan paultan.org: jemputan untuk para pembaca – beritahu kami tentang anda

    Kajian demografik pembacaan paultan.org: jemputan untuk para pembaca – beritahu kami tentang anda

    Di sebalik kejayaan nama atau jenama, pastinya ada sokongan yang utuh dalam keberhasilannya sehingga ke tahap yang dicapai. Dalam lapangan penerbitan, pastinya golongan pembaca yang menghargai kualiti pengisian editorial sedikit sebanyak turut membantu memacu kejayaan tersebut. Tanpa sokongan itu, pastinya sesebuah penerbitan sukar untuk berdiri teguh, apatah lagi berupaya untuk melakar kegemilangan.

    Sejujurnya, kami amat menghargai sokongan anda, kerana membantu meletakkan kami sebagai penerbitan automotif No.1 di Malaysia. Malah ramai di antara anda begitu dekat mengenali penerbitan kami, dan kini tibalah masanya untuk kami pula mengenali anda, yang mengikuti hasil kerja kami.

    Untuk itu, kami berbesar hati mengundang anda untuk mengambil bahagian bagi kajian demografik pembacaan yang kami kendalikan ini. Ia hanya mengambil sedikit sahaja masa anda, namun ia membantu kami mengenali serba sedikit tentang siapa anda, dan juga membantu kami dalam merencana pembangunan masa hadapan bagi penerbitan ini. Kami di paultan.org mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan kesudian anda.

     
     
  • Toyota Camry 2018 terima kit gaya TRD, Modellista

    Toyota baru saja memperkenalkan Camry 2018 untuk pasaran domestik (Jepun), dan seperti C-HR sebelum ini, kit penggayaan daripada TRD dan Modellista turut akan ditawarkan untuk sedan segmen-D ini.

    Bermula dengan pilihan TRD, bahagian hadapan Camry ditampilkan dengan gril atas hitam, sementara bampar bawahnya pula lebih menonjol berbanding biasa, dan turut didatangkan dengan pencahayaan LED tambahan. Komponen lain dalam pakej ini termasuklah roda, skirt sisi baharu dan bahagian belakang yang telah dimodifikasi.

    Sebagai pembandingan, kit Modellista pula lebih sedikit kurang agresif, dengan perubahan terbesar melibatkan apron bawah yang dimodifikasi dengan kekemasan krom yang lebih besar di bahagian tengah, skirt sisi, roda dan bampar belakang baharu.

    Toyota masih belum mendedahkan kuasa di bawah hud Camry untuk pasaran Jepun ini, tetapi ia mungkin akan mengetengahkan juga penjana kuasa hibrid seperti pasaran US dengan menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force, bersama suntikan terus dan VVT-iE (bagi Elektrik) untuk janaan lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan minyak – termasuk dengan motor elektrik dan CVT. Manakala penjana kuasa bukan hibrid pula ialah enjin 2.5 liter dan 3.5 liter V6 turut ditawarkan bagi Camry pasaran US, bersama transmisi automatik lapan-kelajuan.

    GALERI: Toyota Camry 2018 (pasaran Jepun)

     
     
  • Nissan beri penghargaan kepada warga emas yang bakal ditarik lesen untuk memandu Nissan GT-R

    Di Brazil, warga emas yang berusia lebih 65 tahun perlu menjalani ujian fizikal setiap tiga tahun bagi membolehkan mereka terus memegang lesen sah untuk memandu. Bagi sesetengah orang, ini adalah satu yang cukup memberi kesan, kerana apabila gagal, mereka tidak boleh lagi memandu. Ada yang sudah memandu berpuluh-puluh tahun sebelum ini dan apabila gagal, ia cukup menyedihkan bagi mereka.

    Untuk itu, Nissan cuba menggembirakan mereka dengan melakukan kejutan istimewa – mereka diberi peluang untuk menaiki antara kereta terpantas di dunia iaitu Nissan GT-R di dalam litar bersama pemandu profesional dan pada penghujung sesi, dibenarkan untuk memandu sendiri kereta sports yang menggunakan enjin 3.8 liter V6 twin-turbo berkuasa 565 hp tersebut.

    Walaubagaimanapun, terdetik dalam fikiran kami benarkah ia dapat memberi keterujaan kepada warga emas ini ataupun membuatkan mereka lebih takut kerana semasa mereka memandu, keadaan sekeliling dijadikan begitu ekstrem dengan adanya motosikal motocross yang melompat di atas mereka dan pelbagai lagi elemen lain. Di penghujungnya, mereka diberikan hadiah khas berupa lesen bergambar mereka semasa memandu GT-R tersebut dan diletakkan di dalam bingkai gambar.

    GALERI: Nissan GT-R 2017

     
     
  • Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Selepas beberapa minggu dilihat atas treler di Malaysia, dan beberapa bulan selepas Naza Kia mengumumkan akan membawanya ke Malaysia, akhirnya Kia Optima GT sudah tiba di pusat pameran Red Cube syarikat itu yang terletak di Petaling Jaya.

    Terus ke bahagian paling penting iaitu enjinnya, Optima GT dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbocharge T-GDI dan mampu menghasilkan 242 hp dan 353 Nm tork. Jumlah ini adalah lebih banyak berbanding model yang ditawarkan oleh jenama Jepun dalam segmen sama iaitu Toyota Camry 2.5L Hybrid 202 hp, Mazda 6 2.5L 185 hp/ 250 Nm dan Honda Accord 173 hp/ 225 Nm.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghantar kuasa kepada dua roda hadapan, dan disertakan sekali dengan penukar gear di stereng. Menurut Kia, Optima GT boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat, sebelum mencapai laju maksimum 240 km/j.

    Pada bahagian luar, Optima GT boleh dilihat datang dengan lampu utama, lampu siang dan lampu belakang LED, diffuser belakang, muncung ekzos berbentuk lonjong dan rim aloi 18 inci yang dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport 3 (235/45).

    Pada bahagian dalam, terdapat skrin sesentuh lapan inci, sistem pengawal suhu dua zon dengan ioniser Clean Air, tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanasan dan penyejukan, roda stereng pelbagai fungsi serta tempat duduk yang dibalut dengan kulit dan boleh dilaras secara elektrik bagi dua di hadapan (penyokong belakang dan fungsi memori bagi bahagian pemandu).

    Kelengkapan lain yang ada pada Optima GT adalah corong pendingin hawa belakang, soket kuasa dan pengecas di belakang, bumbung suria, penghadang sinar matahari untuk cermin tepi belakang, fungsi navigasi pada sistem hiburan dan informasi, dan skrin TFT-LCD 4.3 inci pada panel instrumen.

    Kia Optima GT tiba di Malaysia – 2.0L T-GDI berkuasa 242 hp dan 353 Nm, sudah dibuka untuk tempahan

    Untuk aspek keselamatan, model pasaran Malaysia seperti tidak dilengkapi dengan sistem pengesan titik buta dan lane-departure warning, melihat kepada ketiadaan pengawal sistem ini di bahagian kanan pemandu. Barangan seperti enam beg udara, automatic brake hold, pengesan jarak depan dan belakang, serta kamera undur dilihat datang secara standard.

    Bagi yang berminat, Optima GT kini sudah dibuka untuk tempahan, dan telah mendedahkan harganya menerusi laman Facebook rasmi mereka iaitu RM179,888 (berserta insurans). Nantikan laporan kami yang selanjutnya nanti.

     
     
  • Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Berdasarkan kaji selidik terbaru yang dijalankan, pengguna di Malaysia mahukan harga yang kompetitif, jaminan kelulusan tuntutan dan kelulusan dalam tempoh segera bagi tuntutan berikutan pengenalan liberalisasi insurans kenderaan bermula 1 Julai ini.

    Kaji selidik berkenaan, sebuah kerjasama antara AIG Malaysia dan paultan.org, menerima sebanyak 4,400 maklum balas individu yang berusia 18 tahun ke atas. Keputusan menunjukkan, 89% daripada mereka mahukan harga yang kompetitif bagi insurans yang dibeli.

    Selain itu, 70% daripada maklum balas itu mahukan jaminan kelulusan tuntutan dalam tempoh tiga hari bekerja bagi tuntutan kenderaan bernilai RM5,000 ke bawah. Sekitar 60% lagi juga inginkan pembayaran tuntutan boleh dilakukan dalam tempoh 60 hari bagi kenderaan yang tidak dapat diselamatkan lagi.

    Sebagai tambahan, 64% daripada maklum balas yang diterima juga mahukan potongan harga dan hadiah sebagai pelanggan setia, sementara 55% memilih untuk menyesuaikan pelan insurans kenderaan yang diambil.

    Sebelum membuat pembelian insurans kenderaan, 86% menyatakan mereka akan melakukan penyelidikan terlebih dahulu terhadap apa yang ditawarkan oleh insurans terbabit, sementera 16% akan memilih insurans yang mempunyai inovasi dan lebih maju. Sejumlah 69% akan memilih insurans yang memberikan ganjaran terhadap sikap pemanduan yang baik, manakala 39% akan memilih syarikat insurans yang mempunyai reputasi yang baik.

    Kaji selidik berkenaan juga mendapati 42% maklum balas yang diberi menyedari bahawa insurans kenderaan di Malaysia dikenakan dengan tarif, sementara 83% merasakan liberalisasi insurans kenderaan akan memberikan kesan kepada pembaharuan insurans mereka selepas ini.

    Kaji selidik mendapati 89% pengguna di Malaysia akan memilih insurans dengan harga dan nilai terbaik

    Mengenai kaedah pembelian, 24% akan membeli insurans mereka secara onlone, sementara 6% akan menggunakan saluran tradisional, termasuk berurusan dengan agen atau mengunjungi cawangan syarikat insurans.

    Menurut CEO AIG Malaysia, Anthony Lee, yang juga bertindak selaku Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kaji selidik berkenaan memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap jangkaan dan pengetahuan pelanggan berkaitan insurans kenderaan.

    “Pelaksanaan liberalisasi insurans kenderaan akan membawa peluang dan cabaran baru. Ia akan menjadi sangat terbuka dan berdaya saing, di mana pelanggan boleh menilai terlebih dahulu tawaran yang mana lebih baik, serta pelidungan yang bagaimana yang mereka inginkan untuk kenderaan. Syarikat insurans perlu memberi penekanan terhadap kekuatan produk mereka untuk menarik perhatian pelanggan,” tambahnya.

    Pada 1 Julai nanti, fasa kedua liberalisasi insurans kenderaan oleh Bank Negara Malaysia dijangka akan dimulakan, dan kadar premium bagi insurans kenderaan komprehensif akan ditentukan oleh penanggung insurans sendiri dan operator Takaful berdasarkan sistem penilaian risiko.

     
     
  • VIDEO: Evolusi Porsche 911 dari 1963 hingga sekarang

    Porsche telah menghasilkan model tertinggi dalam barisan modelnya iaitu 911 pada tahun 1963 untuk menggantikan model 356 ketika itu. Sehingga kini, model lagenda tersebut kini telahpun dibina sehingga ke generasi ketujuh dan unit ke 1-juta telah pun dihasilkan dan diumumkan minggu lalu.

    Selain dari video penghasilan unit ke-sejuta berkenaan, Porsche turut menyiarkan satu lagi video bagi memaparkan evolusi kereta sport berenjin belakang tersebut. Menurut Porsche, “Kesinambungan rekabentuk 911 adalah unik dalam sejarah automotif – dari generasi pertama hingga yang terkini.”

    Walaupun dalam era SUV ini menyaksikan jualan Macan dan Cayenne mengatasi jumlah jualan 911, kereta sport berkenaan masih lagi kekal sebagai “model paling penting secara strategik dalam barisan produk,” menurut Porsche dan ia “memainkan peranan penting bagi Porsche kekal sebagai salah sebuah pengeluar kenderaan paling untung di dunia.”

    Lebih dari 70% Porsche 911 yang dijual sejak tahun 1964 masih lagi dalam keadaan baik dan masih lagi dipandu sehingga sekarang. Ini bermaksud, lebih dari 700,000 unit 911 diseluruh dunia masih lagi berkhidmat di atas jalan raya – membuktikan kualiti yang diberikan secara konsisten pada setiap model.

     
     
  • MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    Sebelum ini, MPV mampu milik Mitsubishi yang dihasilkan susulan model konsep XM telah pun ditemui sedang diuji di Indonesia. Disebabkan tiada maklumat berkenaan namanya, jadi kami menggelarnya dengan nama Mitsubishi XM. Namun, menurut laporan dari KompasOtomotif, versi produksi MPV berkenaan bakal digelar Mitsubishi Expander, dan ia bakal didedahkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 yang bakal berlangsung pada Ogos ini.

    Media dari Indonesia tersebut turut menyatakan bahawa “Mitsubishi Expander” bukan sahaja akan di jual di Indonesia, malah MPV tujuh-tempat duduk itu turut akan dieksport ke Eropah. Namun, Mitsubishi enggan mengulas berkenaan spekulasi nama “Expander” berkenaan. KompasOtomotif juga turut melaporkan MPV ini bakal ditawarkan sekurang-kurangnya dalam sembilan varian.

    MPV mampu milik di Indonesia merupakan pasaran yang agak rancak dengan saingan model-model yang agak kuat sedia ada seperti kembar Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, Honda Mobilio dan BR-V, serta Suzuki Ertiga. Namun, ini tidak menghalang untuk Mitsubishi membuat sasaran tinggi sehingga kepada 20% bahagian pasaran dalam segmen tersebut memandangkan MPV baharu ini merupakan antara model yang paling ditunggu-tunggu.

    Tidak hairan mengapa MPV ini sangat ditunggu, kerana sememangnya Mitsubishi bakal menghidangkan sesuatu yang berbeza pada penggayaan “Expander” ini.

    Model konsep XM sebelum ini menampilkan muka signatur Dynamic Shield Mitsubishi, dengan lampu hadapan tirus, gril besar dengan elemen-X berwarna hitam, serta bampar hadapan yang agak agresif. Setiap ruang roda diberikan elemen flare bagi menampakkan imej gagah seakan sebuah SUV. Bahagian berwarna hitam dibelakang pula direka menyamai eX Concept yang muncul di Tokyo 2015.

    MPV ala-SUV dari model konsep Mitsubishi XM bakal digelar Expander, dieksport ke Eropah – laporan

    Walau bagaimanapun, imej versi prototaip yang sedang diuji di Indonesia sebelum ini dilihat tidak begitu dramatik seperti model konsepnya, namun, masih mengekalkan banyak ciri-ciri yang sama. Mukanya masih lagi diberikan lampu hadapan tirus dan juga bampar bersegi, serta rekaan pada fender hadapan masih kelihatan bersama garisan signturnya.

    Percaturan Mitsubishi kali ini dilihat agak bijak dengan mengambil konsep seperti yang dilakukan oleh Honda terhadap BR-V – menghasilkan MPV mampu milik tujuh tempat duduk dengan rekaan ala-SUV yang garang, menenggelamkan imej bosan MPV dalam segmennya. Jika model ini mendarat di Malaysia, adakah ia akan sepanas BR-V?

    GALERI: Mitsubishi XM di Concept IIMS 2017

    GALERI: Foto rasmi Mitsubishi XM Concept

     
     
  • Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) diam-diam telah memberi peningkatan pada model Vento sedan 2017 – versi spesifikasi paling tinggunya, 1.2 TSI Highline kini menerima lampu utama LED tanpa kos tambahan.

    Lampu baru berkenaan, yang tampil dengan lampu rendah dan tinggi LED serta lampu nyalaan siang dengan ciri berkenaan adalah yang sama diperkenalkan pada Polo di pasaran lain. Dengan ini, Vento menyertai Mazda 2 dan Honda City facelift dalam menawarkan penggunaan lampu LED bagi kenderaan sedan segmen B.

    Selain itu, sistem infotainmen RCD 330G – dengan skrin sentuh lima inci, ciri Mirrorlink untuk antara muka telefon pintar, sambungan Bluetooth, USB dan port AUX serta slot kad SD – turut ditambah ke dalam senarai kelengkapan, yang turut diterima oleh varian 1.6 Comfortline.

    Volkswagen Vento Highline kini dengan lampu LED

    Selebihnya, kelengkapan pada varian Highline kekal sama, termasuk rim aloi Syenit 16-inci, upholstery fabrik Cable, pendingin hawa automatik Climatronic dengan corong di belakang, tingkap automatik untuk semua, kawalan kruise, empat pembesar suara, empat beg udara dan kawalan kestabilan.

    Dari segi mekannikal juga tiada perubahan. Enjin 1.2L TSI Turbo dengan janaan 105 PS/175 Nm dengan padanan transmisi DSG tujuh-kelajuan. Seperti dimaklumkan awal tadi, harganya masih kekal pada RM94,461 atas jalan tanpa insurans.

    Volkswagen Vento 2016

     
     
  • Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Pagi ini, Grab selaku penyedia perkhidmatan tempahan kereta dan platform pelbagai perkhidmatan lain telah memeterai perjanjian sebagai penaja emas bagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 yang turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) yang bakal berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

    Tajaan bernilai lebih RM6 juta yang merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan serta sokongan promosi melalui platform digital dan saluran dalaman syarikat telah memberikan gelaran Penaja Pemanggil Kenderaan Pengangkutan Rasmi kepada Grab. Ini merupakan penajaan buat kali pertama bagi sebuah syarikat penyedia perkhidmatan tempahan kereta yang menaja temasya sukan terbesar di Asia Tenggara.

    Majlis yang berlangsung di ibu pejabat Grab di Petaling Jaya ini turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Gen. Khairy Jamaluddin, CEO Kumpulan Grab Anthony Tan, CEO MASOC Dato’ Seri Zolkples Embong dan Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Ng Keng Chuan.

    Grab penaja pemanggil pengangkutan rasmi KL2017

    Ketua Pengurus Grab Malaysia Sean Goh telah mewakili Grab bagi menandatangani memorandum persefahaman penajaan ini, manakala Kementerian Belia dan Sukan diwakili oleh Ketua Setiausahanya Datul Lokman Hakim Ali.

    “Kami berasa amat teruja kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada acara ini. Malahan kami turut mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memastikan semua atlet, penyokong serta para pelancong mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang selamat, mudah dan selesa,” ujar Goh.

    YB Brid. Gen Khairy Jamaluddin selaku pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) untuk KL2017 turut mengalu-alukan penglibatan Grab dan menganggap syarikat berkenaan sebagai rakan yang ideal bagi KL2017.

    Katanya, “Sesungguhnya kerjasama dengan Grab adalah tepat memandangkan KL2017 mensasarkan untuk menjadi salah satu acara Sukan Hijau yang mempromosikan kesedaran tentang alam sekitar dan amalan kelestarian di kalangan orang ramai dan peminat sukan. Saya menggalakkan semua orang menggunakan pengangkutan awam di sepanjang acara sukan ini berlangsung bagi membantu mengurangkan pengeluaran karbon.”

     
     
  • Ford buka pusat pameran 3S baharu yang dinaik taraf di Taiping – pengalaman lebih selesa bagi pelanggan

    Ford buka pusat pameran 3S baharu yang dinaik taraf di Taiping – pengalaman lebih selesa bagi pelanggan

    Pengedar kenderaan Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) mengumumkan pembukaan pusat pameran baru yang dinaik taraf di Taiping Perak. Menurut SDAC, pusat pameran yang diuruskan oleh Acecourt Auto ini dibina dengan standard global pada setiap aspek, daripada kelengkapan yang diguna hinggalah pekerja yang dilatih bertaraf dunia. Selain dilengkapi peralatan berteknologi, pelanggan juga boleh menikmati hidangan ringan dan WiFi percuma.

    “Kualiti pemilikan kenderaan yang kami sediakan adalah sama penting seperti kualiti kenderaan Ford kami yang bertaraf dunia. Kami mahukan semua pelanggan mengetahui bahawa membeli kenderaan Ford baru adalah permulaan kepada pengalaman pemilikan dan kami akan menyokong mereka pada setiap langkah. Bahagian servis yang dinaik taraf pada pusat pameran ini adalah sangat penting dalam menunjukkan komitmen kami untuk menawarkan servis terbaik kepada pelanggan,” kata pengarah urusan pasaran membangun Asia Pasifik Ford, Bagus Susanto.

    Acecourt Auto terletak di Lot 18992, Batu 2.5, Jalan Simpang dan ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk hari Isnin hingga Sabtu, manakala pada hari Ahad, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Bagi bahagian servis, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi hari Isnin hingga Jumaat, dan bagi hari Sabtu, ia dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang. Nombor yang boleh dihubungi adalah 012-5190001.

     
     
  • Mercedes-Benz Services Malaysia tawar insuran lebih menarik – skim RTI serta perlindungan rim dan tayar

    Mercedes-Benz Services Malaysia tawar insuran lebih menarik – skim RTI serta perlindungan rim dan tayar

    Usage for Mercedes-Benz Financial Services communications only.

    Penyedia pembiayaaan dan insuran untuk kenderaan Mercedes-Benz – Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM) – telah mengumumkan program perlindungan insuran lebih menarik untuk pelanggannya. Jika pihak lain hanya menawarkan perlindungan tambahan biasa seperti perlindungan untuk cermin hadapan, skim baharu dari MBSM turut memberikan pilihan insuran Return To Invoice (RTI) dan juga insuran untuk Tayar dan Rim untuk pelanggan, disamping insuran kenderaan bermotor komprehensif standard.

    Menurut MBSM, strategi baharu ini direka lebih fleksibel bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan berbanding skim perlindungan insuran tradisional.

    Bagi skim insuran RTI, ia direka bagi membolehkan pelanggan mengekalkan nilai kereta mereka. Ia menawarkan perlindungan tanpa kejatuhan nilai dengan membayar semula perbezaan harga antara harga asal ketika kereta itu dibeli dan harga yang dilindungi oleh Insuran Kenderaan Bermotor Komprehensif ketika membuat tuntutan. Skim berkenaan akan mengurangkan beban kewangan pemegang polisi sekiranya terjadi tuntutan ‘total lost’ atau kecurian dan kebakaran, di mana mereka sememangnya memerlukan sebuah kereta baharu.

    Mercedes-Benz Services Malaysia tawar insuran lebih menarik – skim RTI serta perlindungan rim dan tayar

    Dengan perlindungan RTI ini, pelanggan akan mendapat wang dengan nilai yang sama bagi tujuan pembelian kenderaan Mercedes-Benz baharu. Walau bagaimanapun, perlindungan ini hanya akan diberikan kepada kenderaan yang bernilai di bawah RM1 juta, manakala bayaran perbezaan maksimum adalah RM500,000.

    Untuk insuran Tayar dan Rim pula, ia akan melindungi kerosakan pada kedua-dua komponen berkenaan yang disebabkan oleh kemalangan. Contohnya, sekiranya pemegang polisi membuat kesilpan semasa memarkir (terlanggar pembahagi jalan misalnya) yang menyebabkan kerosakan pada rim dan juga kebocoran pada tayar, mereka hanya perlu ke pusat servis bertauliah Mercedes-Benz bagi membuat tuntutan dan pembaikan. Insuran ini memberikan perlindungan dan membolehkan penukaran keempat-empat tayar dan rim bagi setiap polisi setahun.

    “Pengenalan penyelesaian insuran-insuran ini adalah tepat pada masanya memandangkan permintaan untuk solusi insuran lengkap dan ketenangan minda kini semakin tinggi dengan pasaran Malaysia kini lebih sedar dan mengetahui kepentingan terhadap insuran. Insuran RTI menawarkan perlindungan dan pampasan lebih tinggi berbanding produk yang sama ditawarkan dalam pasaran. Kami merupakan yang pertama dalam menawarkan insuran Rim dan Tayar, dan ia merupakan yang pertama seumpamanya untuk pelanggan Mercedes-Bnez di Malaysia. Dengan insuran ini, pelanggan tidak perlu menanggung apa-apa perbelanjaan tambahan untuk penukaran tayar dan rim,” jelas pengarah urusan MBSM, Mike Ponnaz.

    Kedua-dua pilihan insuran ini ditawarkan pada semua model Mercedes-Benz (kecuali RTI yang hanya untuk kenderaan dengan nilai maksimum RM1 juta), sama ada dibeli secara individu, ataupun pembelian berkumpulan. Ia juga bersifat fleksibel di mana pembeli boleh memilih hanya satu opsyen atau kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, pembeli boleh memilih pembiayaan kereta baharu Mercedes-Benz mereka dengan skim Agility Financing bersama insuran komprehensif kenderaan bermotor serta menambah insuran RTI.

    Pelanggan MBSM sedia ada yang masih lagi dalam tempoh perlindungan waranti pengeluar juga layak untuk membeli insuran Tayar dan Rim terus dari jaringan pengedar bertauliah Mercedes-Benz. Bagi pelanggan yang memiliki kenderaan Mercedes-Benz yang telah didaftarkan kurang dari setahun, mereka masih lagi layak untuk membeli insuran RTI.

    Mercedes-Benz Insurance Services merupakan jenama di bawah MBSM, walau bagaimanapun, syarikat tersebut bukanlah syarikat insuran. MBSM merupakan syarikat ejen insuran yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan untuk insuran yang ditawarkan oleh Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad dan AXA Affin General Insurance Berhad.

     
     
  • Renault Megane RS 2018 akan muncul di F1 Monaco

    Renault Megane RS 2018 akan muncul di F1 Monaco

    Renault mengumumkan bahawa model terbaru Megane RS mereka akan membuat penampilan umum pertama semasa pusingan perlumbaan F1 di Monaco tahun ini. Perincian berkenaan hot hatch ini masih belum diberikan, tetapi kami diberitahu bahawa kereta tersebut akan menggunakan corak lumba hitam dan kuning sebagai menandakan warna Renault Sport.

    Ini berkemungkinan besar sama seperti kereta tanpa pelekat yang kita pernah lihat pada Mei lalu, yang mempunyai pelbagai konsep rekaan yang tidak dapat dilihat pada Megane biasa. Ini termasuk badan yang lebih lebar, dua muncung ekzos tengah yang besar dan bampar belakang dengan diffuser.

    Gambar teaser Megane RS terbaru yang dikeluarkan oleh Renault menunjukkan satu lagi tanda spesifik bagi model RS – lampu LED pada bampar hadapan rekaan barunya, yang diletakkan mengikut motif Renault Sport yang dipanggil sebagai ‘R.S Vision’. Lampu siang LED berbentuk C yang sudah menjadi tanda unik model ini masih boleh dilihat digunakan.

    Megane RS sebelum ini dilaporkan akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbocharged, dan mampu menghasilkan sehingga lebih daripada 300 hp. Enjin ini akan datang bersama kotak gear manual enam kelajuan ataupun automatik klac berkembar EDC (pertama kali bagi Megane RS), dengan kuasa disampaikan kepada roda hadapan.

    GALERI: Unit ujian Renault Megane RS 2018 yang menggunakan badan Megane GT

     
     
  • Mengapa ada caj tambahan Touch ‘n Go untuk parkir?

    Mengapa ada caj tambahan Touch ‘n Go untuk parkir?

    Jika anda pernah masuk ke ruang parkir berbayar menggunakan kaedah bayaran dengan kad Touch ‘n Go (TnG), anda mungkin perasan kadar yang dikenakan adalah lebih daripada kadar parkir yang ditetapkan. Mengapa lebihan caj itu – atau surcaj – dikenakan? Perkara ini adalah seperti yang dibincangkan di dalam NST.

    “10% bukanlah satu jumlah yang kecil. Bahkan bank membayar 3-4% untuk simpanan tetap. TnG tidak sepatutnya membenarkan pemilik bangunan untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna seperti ini,” jelas satu kenyataan dari Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

    “Penyedia perkhidmatan kredit kad juga tidak membenarkan operator mengenakan caj tambahan. Sebagai contoh, syarikat seperti American Express tidak akan membenarkan caj tambahan oleh peruncit, dan sekiranya ada, tindakan akan diambil,” tambahnya.

    Ketua Jualan Korperat, Pemasaran dan Komunikasi TnG, Aina Abdullah menjelaskan, kadar surcaj 10% (atau 20 sen) adalah kadar standard yang dikenakan, hasil persetujuan antara TnG, pengusaha tempat parkir dan pemilik bangunan.

    Mengapa ada caj tambahan Touch ‘n Go untuk parkir?

    “TnG hanya memperoleh sebahagian daripadanya sebagai yuran memproses. Caj tambahan itu adalah sebagai bayaran perkhidmatan untuk keselesaan yang ditawarkan sekiranya anda membayar menggunakan TnG, merangkumi untuk tujuan penyelenggaraan dan naik taraf sistem,” tambah Aina.

    Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pengguna Persekutuan Malaysia, Datuk Marimuthu Nadasan mahukan TnG memperbaiki tahap perkhidmatan yang diberikan, termasuk memperkenal perkhidmatan yang ada nilai tambah.

    Beliau menegaskan, badan pemantau sepatutnya ditubuhan untuk meninjau TnG yang kini beroperasi secara monopoli. “Kini, semua orang ke arah transaksi tanpa tunai. Jika setiap orang meletakkan RM200 pada satu-satu masa, TnG akan mempunyai RM200 juta. Wang ini diberi terlebih dahulu sebelum apa-apa perkhidmatan diperoleh,” ujarnya.

    “Wang berkenaan, jika diletakkan di dalam bank, anda akan mendapat kadar faedah. Untuk itu, TnG perlu memperbaiki perkhidmatannya disemua lokasi. Mereka kini memonopoli, tiada saingan. Mereka perlu memberikan perkhidmatan kepada khalayak awam,” tambahnya. Apa pula pandangan anda tentang hal ini?

     
     
  • Lagenda MotoGP, Nicky Hayden meninggal dunia selepas dilanggar semasa berbasikal di Riviera, Itali

    Lagenda MotoGP, Nicky Hayden meninggal dunia selepas dilanggar semasa berbasikal di Riviera, Itali

    Rabu lalu, dunia dikejutkan apabila pelumba lagenda, Nicky Hayden terlibat dalam kemalangan semasa beliau sedang berbasikal di Riviera di Rimini, Itali. Beliau cedera parah dan kemudiannya dibawa ke hospital Bufalini di Cesena, tapi selepas beberapa hari cuba diselamatkan sedaya upaya, beliau akhirnya meninggal dunia, semalam.

    Hayden pergi pada usia 35 tahun, dan pada umur itu, beliau sudah mencapai pelbagai kejayaan dalam dunia lumba motosikal. Pada usia kecil lagi, beliau sudah mula berlumba, dan bermula di petak belakang kerana memerlukan bapanya untuk memegang motosikal.

    Nama beliau semakin naik sejak memenangi perlumbaan AMA Supersport Championship pada tahun 1999, dan kemudiannya masuk ke kategori perlumbaan Superbike pada tahun 2001. Tahun seterusnya, Hayden memenangi pula perlumbaan lagenda Daytona 200, seterusnya menjadi pemenang paling muda dalam AMA Superbike Championship.

    Lagenda MotoGP, Nicky Hayden meninggal dunia selepas dilanggar semasa berbasikal di Riviera, Itali

    Hayden berlumba lebih 10 tahun dalam MotoGP, dengan pada musim keempat beliau berlumba, berjaya menjadi juara keseluruhan, meninggalkan rakan sepasukan, Valentino Rossi di tempat kedua. Walaubagaimanapun, Hayden kemudiannya beralih kembali kepada perlumbaan sportsbike dalam siri WSBK.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web MotoGP, wakil keluarga beliau, Tommy Hayden berterima kasih atas segala ucapan sokongan yang diberikan oleh orang ramai. Mereka senang hati Hayden telah menyentuh kehidupan ramai orang secara positif.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan April 2017 mengikut jenama

    MAA: Jualan kenderaan April 2017 mengikut jenama

    April 2017 nampaknya masih tidak memberi perkembangan positif terhadap angka jualan kenderaan, jika merujuk data statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Ia bahkan menguncup 20.4% berbanding Mac, dari 53,717 unit kepada 42,746 unit (berkurang 10,971 unit).

    Ini bukanlah satu petunjuk yang baik, apalagi mengambil kira jualan bulan lalu hanya 544 unit melebihi angka jualan pada April tahun lalu, dengan suasana pasaran yang lebih perlahan ketika itu. Namun, bagi tempoh sama tahun lalu, angka tahun ini sedikit melegakan; 183,583 unit secara keseluruhannya – 6% lebih tinggi berbanding 2016.

    Walaupun masih berada di tempat teratas, Perodua juga mencatatkan penurunan ketara, iaitu sebanyak 26.1% – dari 19,459 unit pada March kepada 14,378 unit bulan lalu. Ditempat kedua ialah Honda, dengan penguncupan lebih ketara pada kadar 33.8%, dari 10,994 unit kepada 7,283 unit. Semantara itu, ditempat ketiga ialah Toyota dengan penurunan 5.6%, dengan sejumlah 5,818 unit terjual.

    Proton tidak terlepas daripada corak penurunan ini; jualannya menguncup 7.5% kepada 5,616 unit. Ini diikuti Nissan ditangga kelima, dengan jualan yang jattuh 17.7% kepada 2,160 unit sahaja. Bagi jenama mewah, BMW kembali ke tempat teratas dengan peningatan 5.9% kepada 900 unit. Lain pula ceritanya dengan Mercedes-Benz, yang mencatat penurunan sebanyak 37.6% kepada 721 unit.

    Lain-lain jenama utama mencatatkan prestasi seperti berikut; Mazda (+20.8%), Audi (+19.6%), Peugeot (+17.8%), Subaru (+17.4%) dan Lexus (+15.1%), tetapi berbeza ceritanya dengan Mitsubishi (-63%) dan Volvo (-43.8%) yang jualannya merudum.

     
     
  • Hot hatch Hyundai i30 N bakal buat kemunculan sulung Dis ini – bermula dengan transmisi manual

    Jika perincian berkenaan hatchback berprestasi tinggi sebenar Hyundai i30 N sebelum ini didedahkan secara tidak sengaja oleh pengeluar kereta dari Korea itu, kini Hyundai mendedahkan maklumat tersebut secara rasmi kepada CarAdvice.

    Hyundai i30 yang menerima enjin lebih berkuasa serta talaan dari divisi prestasi tinggi Hyundai N ini akan membuat kemunculan sulungnya pada hujung tahun ini dan hanya dilengkapi dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Menurut pengurus senior perancangan produk Hyundai Australia, Andrew Tuitahi, model ini juga bakal diberikan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dengan klac jenis basah tetapi hanya akan diperkenalkan dua tahun selepas itu.

    “Kami telah pun mempunyai kotak gear klac berkembar jenis basah lapan-kelajuan yang dibina oleh kami sendiri seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Tetapi kami masih baru dalam segmen ini, dan jika kami mahu menawarkan hot hatch asli, ia perlu bermula dengan manual terlebih dahulu,” kata Tuitahi.

    “Kami sudahpun mempunyai transmisi klac-berkembar kami sendiri pada Kia Sorento Diesel, dan juga kereta N (RN30 Concept) dengan versi 380 bhp bersama pacuan semua-roda, dan tukarannya laju serta lancar, sebagai sebuah kotak gear automatik,” kata Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai.

    Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M berkata, “Transmisi serba baharu tersebut juga akan digunakan pada semua barisan model Hyundai dan Kia, jadi kami bermotivasi tinggi untuk menyempurnakannya sebelum ia diproduksi secara besar-besaran.”

    Untuk kotak gear manual enam-kelajuan yang digunakan pada model berprestasi ini pula, ia sebenarnya diambil dari i30 standard tetapi telah diberikan talaan semula termasuk corak penukaran gear telah diubah bagi menjadikan ia lebih tepat, dan diberikan klac kerja-berat untuk ketahanan yang lebih baik.

    Hyundai bukan hanya membina sendiri transmisi klac berkembar untuk i30 N ini, malah sistem breknya juga – mereka memilih untuk tidak menggunakan sistem brek berprestasi tinggi yang sudahpun terdapat dalam pasaran sedia ada seperti Brembo.

    “Ia bukan sistem brek yang sofistikted seperti yang anda bayangkan dari sebuah hatchback berprestasi tinggi, sebaliknya, kami menggunakan sistem sedia ada dan mengubahsuainya untuk mendapatkan feel brek, manakala brek pad berlainan pula digunakan untuk memadankan karekter kereta ini,” jelas Biermann dan manambah, “Semuanya adalah seimbang; brek, kotak gear, bagaimana pengendaliannya, unit janakuasa – ia perlu ada harmoni.”

    Tiga video teaser i30 N telah disiarkan sebelum ini iaitu ujian litar memperdengarkan bunyi enjinnya yang begitu mengujakan, ujian musim sejuk yang menampilkan pemandu WRC mereka iaitu Thierry Neuville memandu jentera berkenaan pada permukaan salji, dan terakhir ujian serta talaan yang dilakukan di jalan berliku UK.

    “Hyundai N bermaksud Namyang (pusat R&D Hyundai di Korea) dan ia juga bermaksud Nurburgring. Kami sukakan selekoh dan di sini terdapat banyak selekoh yang seronok dan mencabar. Di UK ini kami menguji prototaip i30 N dan kami perlu pastikan pada jalan raya yang mencabar di UK ini prestasi pemanduannya juga cukup selesa untuk kegunaan harian,” kata Biermann yang membayangkan pengendalian saingan VW Golf GTI ini bukan sahaja dapat digunakan sepenuhnya pada jalan berliku sedemikian, malah turut mempamerkan prestasi yang baik pada permukaan jalan yang teruk.

    GALERI: Spyshot Hyundai i30 N

     
     
  • Toyota Camry 2018 bagi pasaran Jepun diperkenalkan

    Toyota Camry 2018 bagi pasaran Jepun diperkenalkan

    Hanya selepas beberapa bulan selepas Toyota Camry 2018 membuat penampilan sulung di Pameran Auto Antarabangsa New York, ia telah pun diperkenalkan untuk pasaran Jepun. Kali ini, model yang dijual di sana adalah sama dengan model dalam pasaran Amerika Syarikat, dan tidak lagi dari versi kemasan krom yang dijual di Jepun bagi generasinya yang terdahulu.

    Tidak seperti di Amerika Syarikat, Camry berkenaan dijangka akan kekal dalam penawaran hibrid sahaja, dan dengan rekaan yang konservatif berbanding versi yang lebih sporty yang turut ditawarkan di AS. Bagaimanapun, Camry 2018 hadir dengan bahagian bawah gril yang lebih lebar, lekuk sisi yang lebih ketara serta garis bumbung yang juga lebih rendah.

    Hanya beberapa perubahan dapat dilihat antara unit di pasaran Amerika berbanding yang dipasarkan di Jepun. Pasaran Jepun menerima lampu kabus dan tidak mengekalkan lampu kuning serta lampu tanda merah pada sisi belakangnya. Di dalam, rekaannya dikekalkan, lengkap dengan garisan khas yang membahagikan konsol tengah.

    Toyota Camry 2018 bagi pasaran Jepun diperkenalkan

    Tiada maklumat teknikal didedahkan setakat ini, namun pasaran Jepun kemungkinan besar mengekalkan penawaran versi hibrid seperti di AS – menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force, dengan suntikan terus dan VVT-iE (bagi Elektrik) untuk janaan lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan minyak – termasuk dengan motor elektrik dan CVT. Toyota menyifatkan penggunaan minyaknya mampu menyamai model Prius, pada kadar 40.8 km seliter.

    Camry baru ini dibangun menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sama digunakan pada Prius. Dengan menambah jarak antara roda sebanyak dua inci, serta merendahkan garis bumbung, Toyota merendahkan puat graviti pada kenderaan ini. Semuanya direndahkan – posisi duduk pemandu, titik tumit bahkan ketinggian papan pemuka.

    Camry dalam rekaan yang dibangunkan oleh Fengchao Fun konsep juga pernah dipertontonkan ketika Auto Shanghai 2017 bulan lalu.

     
     
  • SPYSHOT: Volvo XC40 – ruang dalaman didedahkan

    SPYSHOT: Volvo XC40 – ruang dalaman didedahkan

    Akhirnya dapat juga kita lihat ruang dalaman model Volvo XC40 akan datang, terima kasih pada jurufoto spy kami yang berjaya merakamkan foto kereta ini yang sedang diuji di atas jalan raya.

    Melihat akan penampilannya, ternyata kabin XC40 berkongsi banyak persamaan dengan XC60 baharu, berbanding model yang lebih besar XC90. Terutamanya bentuk corong pendingin hawa, yang selari dengan skrin sesentuh format-potret untuk sistem infotainmen Sensus pada bahagian tengahnya.

    XC40 juga dilengkapi dengan pakej R-Design, di mana rekaan roda sterengnya, jejari bawahnya terpisah dua bahagian. Lain-lain elemen yang turut kelihatan termasuklah switchgear tambahan di bawah skrin sesentuh dan bentuk pelantar kompas.

    Walau bagaimana pun, rekaan konsol tengah XC40 ini adalah berbeza daripada XC60. Seperti yang dapat dilihat, ruang storan terpisah pada dua bahagian, dengan tuil gear berada di tengah antara kedua-duanya.

    Butang penghidup enjin (seperti yang dilihat pada XC60) telah ditempatkan semula, bersama pemilih mod pemanduan. Malah bentuk tuil gear juga kelihatan berbeza. Melihat di belakangnya pula, tempat duduknya kelihatan agak tegak dan juga kelihatan meja kecil boleh lipat pada bahagian belakang tempat duduk hadapan.

    Bagi bahagian luarannya, model ujian ini kelihatan lebih kurang sama dengan prototaip menerusi foto spyshot yang pernah disiarkan sebelum ini, di mana ia banyak persamaan dengan model konsep 40.1 yang dipertontonkan pada Mei 2016. SUV ini akan dibina dengan menggunakan Compact Modular Architecture (CMA) ciptaan Volvo, dan dijangka bakal dipadankan dengan enjin petrol Drive-E dan diesel sedia ada.

    Model T5 Twin Engine plug-in hybrid juga akan menyertai barisan XC40 ini, bersama enjin 1.5 liter tiga-silider. penjana kuasa Drive-E dengan kuasa 180 hp akan dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan, yang dibantu dengan motor elektrik 55 kW. Motor tersebut dikuasakan oleh bateri 9.7 kWh yang ditempatkan di bahagian tengah.

     
     
  • Skoda Karoq diperkenal – Tiguan Czech pengganti Yeti

    Skoda Karoq diperkenal – Tiguan Czech pengganti Yeti

    Jelas sekarang Skoda memberi tumpuan kepada pasaran SUV – selepas lapan bulan Kodiaq dilancarkan, kini jenama dari Republik Czech itu mendedahkan pula Karoq, iaitu sebuah SUV yang lebih kecil diasaskan daripada Volkswagen Tiguan dan masuk ke dalam pasaran untuk menggantikan Yeti.

    Rupa SUV ini tidak lari jauh daripada Kodiaq, dan ia membawa konsep rekaan terkini Skoda, termasuk lampu utama berpisah “crystalline” (unit LED penuh disediakan sebagai pilihan), gril trapezoid tiga dimensi, garis bahu yang tegap dan lampu belakang LED berbentuk C. Lengkung roda berpetak pada kenderaan ini menjadi perumah kepada rim daripada 16 inci hingga 19 inci.

    Rekaan ringkas kenderaan ini dibawa juga ke bahagian dalam, dengan bahagian utama papan pemuka duduk di atas konsol tengah yang bersambung sehingga ke bawah dengan panel pada bonjolan transmisi. Berdepan dengan pemandu terletak panel instrumen digital pertama Skoda – yang disediakan sebagai pilihan – bersama empat paparan berbeza yang boleh dipilih. Pemilik juga boleh memilih 10 warna lampu suasana dan pemanas pada tempat duduk hadapan dan belakang, serta roda stereng.

    Skoda Karoq diperkenal – Tiguan Czech pengganti Yeti

    Pada kedudukan tempat duduk biasa, Karoq menawarkan 521 liter ruang simpanan belakang, dan ini boleh bertambah menjadi 1,630 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Turut ditawarkan adalah tempat duduk VarioFlex, yang boleh menjadikan ruang simpanan belakang ini antara 479 liter, 588 liter, serta 1,810 liter bergantung kepada kedudukannya. Terdapat juga pilihan penutup but kuasa bersama fungsi tanpa sentuhan.

    Karoq datang secara standard dengan sistem hiburan dan informasi Swing, dengan skrin sesentuh kapasitif 6.5 inci dan empat pembesar suara. Sistem pilihan Bolero memberikan skrin kaca 8.0 inci definisi tinggi, Bluetooth dan lapan pembesar suara, bersama Skoda SmartLink+ yang disepadukan dengan Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink.

    Pembeli juga boleh memilih sistem navigasi Amundsen dengan WiFi hotspot, atau sistem Columbus dengan paparan 9.2 inci, memori 64GB, pemacu DVD dan pilihan kawalan gerak tangan. Sambungan LTE, Phonebox dengan pengecas Qi tanpa wayar dan soket kuasa 230 V juga disediakan sebagai pilihan, manakala pakej Skoda Online menambah ciri Infotainment Online, Care Connect Emergency, akses jarak jauh dan fungsi bantuan.

    Skoda Karoq diperkenal – Tiguan Czech pengganti Yeti

    Pada aspek keselamatan, Karoq datang dengan Front Assist, yang termasuk City Emergency Brake dan Predictive Pedestrian Protection secara standard, dan boleh dipilih dengan ciri lain seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Assist, Blind Spot Detect, Traffic Sign Recognition, Driver Alert dan Emergency Assist.

    Karoq mempunyai ukuran 4,382 mm panjang, 1,841 mm lebar dan 1,605 mm tinggi, seterusnya menjadikan ia 160 mm lebih panjang, 48 mm lebih lebar dan 86 mm lebih rendah berbanding model yang digantinya, dan Skoda mengatakan ia memberikan manfaat kepada ruang penumpang. Jarak roda kenderaan ini juga bertambah sebanyak 60 mm, menjadi 2,638 mm, atau 2,630 mm dengan sistem pacuan semua roda.

    Enjin untuk Karoq termasuk dua unit turbo petrol baru – 1.0 liter TSI tiga silinder 115 PS/ 175 Nm dan 1.5 liter TSI empat silinder 150 PS/ 250 Nm – dan unit 1.6 liter TDI empat silinder turbodiesel 115 PS/ 250 Nm. Enjin 2.0 liter TDI 150 PS/ 340 Nm sebelum ini juga masih ditawarkan.

    Skoda Karoq diperkenal – Tiguan Czech pengganti Yeti

    Semua enjin ini boleh didapati sama ada dengan kotak gear manual enam kelajuan, atau klac berkembar tujuh kelajuan DSG, bersama pilihan sistem pacuan semua roda. Varian paling tinggi bagi Karoq adalah yang berenjin 2.0 TDI 190 PS/ 400 Nm, dengan padanan AWD dan kotak gear DSG.

    Sistem suspensi Karoq terdiri daripada penyerap MacPherson di hadapan, gandar belakang four-link, stereng elektro-mekanikal, dan pengunci differential elektronik, bersama penyerap Adaptive Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Select sebagai pilihan. Dalam mod ini terdapat pilihan Normal, Eco, Sport dan Individual.

    Model pacuan semua roda mendapat satu lagi pilihan mod Off-Road, dan pembeli juga boleh memilih pakej Rough Road, yang memberikan skid plate, pelindung kabel, pelindung hos brek, pelindung hos minyak dan tambahan pelindung plastik lain.

     
     
  • Kia Optima GT 2017 bakal dilancar di M’sia 24 Mei ini

    Kia Optima GT 2017 bakal dilancar di M’sia 24 Mei ini

    Pada awal Februari lalu, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah mengesahkan bakal membawa masuk model premium Optima GT ke pasaran tempatan. Kini, ia sah akan dilancarkan di Malaysia pada 24 Mei ini dan pastinya kehadiran model sedan premium ini dinanti-nantikan oleh para penggemarnya di sini.

    Kia Optima generasi keempat ini dipertontonkan buat pertama kali di Frankfurt International Motor Show 2015. Ia dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo T-GDI dengan hamburan kuasa 242 hp dan tork 353 Nm.

    Jika melihat pada kuasanya, ia hampir menyamai ledakan output BMW 330i M Sport (252 hp/350 Nm). Bagi Optima GT, enjinnya dipadankan oleh transmisi automatik enam-kelajuan yang memacukan roda hadapan.

    Kia Optima GT 2017 bakal dilancar di M’sia 24 Mei ini

    Berkenaan dengan prestasi, Optima GT boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat, dengan kelajuan maksimum sehingga 240 km/j. Malah model ini turut menerima pelarasan suspensi yang unik, dengan padanan cakera brek yang besar serta roda stereng elektronik yang ditala semula (Kia menggelarkannya sebagai R-MPDS).

    Bagi imej yang diperagakan, Optima GT hadir dengan bampar yang lebih sporty bersama corong pengambilan udara sisi berbentuk segitiga serta jalur krom yang lebih rendah. Selain itu, sedan ini turut dipadankan dengan peresap belakang bersama dua corong ekzos bulat serta rim aloi 18-inci.

    Akan mula berada di semua bilik pameran Kia pada Jumaat ini, 26 Mei, Kia Optima GT ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Gravity Blue, Aurora Black dan Snow White Pearl. Buat setakat ini, harga atas jalannya masih belum diumumkan. Kena nantikan perkembangan selanjutnya pada hari pelancarannya, termasuklah mengetahui spesifikasi dan perincian penuh mengenainya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026