Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Faktor risiko akan diambil kira bagi menentukan harga insurans kenderaan – tiada lagi senarai harga tetap

    Faktor risiko akan diambil kira bagi menentukan harga insurans kenderaan – tiada lagi senarai harga tetap

    Berikutan pelaksanaan kadar atau tarif baru hasil dariada liberalisasi insuran kenderaan pada 1 Julai nanti, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sekali lagi memaklumkan pengguna bahawa akan terdapat banyak faktor yang akan diambil kira dalam menentukan premium insurans dan harga di antara penanggung insurans juga akan berbeza.

    Bercakap kepada The Sun, Pengurus Komunikasi Korperat PIAM, Kuan Shook Quan berkata, seperti yang digariskan boleh Bank Negara Malaysia (BNM), harga akan ditentukan oleh syarikat penanggung insurans dan operator Takaful secara berasingan menggunakan sistem penilaian berasaskan risiko.

    Untuk itu, berapa harga yang dibayar oleh pengguna tidak lagi akan ditentukan melalui senarai harga tetap, tetapi melalui profil risiko pengguna itu sendiri. Dalam maksud lain, tidak akan ada dua penanggung insurans yang akan memberikan harga yang sama bagi polisi insurans kenderaan komprehensif.

    Kuan menjelaskan, kadar premium yang akan dikenakan adalah bergantung kepada profil risiko pengguna itu sendiri, sebagai tambahan kepada kaedah sedia ada yang mengambil kira usia, model serta kapasiti enjin kenderaan.

    Seperti yang dinyatakan, kadar premium akan ditentukan berdasarkan banyak faktor. Ini boleh termasuk ciri-ciri keselamatan yang ada pada kenderaan, tempoh sesebuah kenderaan itu berada di atas jalan bagi sesetengan kawasan (misalnya, kawasan dengan kadar kecurian yang tinggi) dan juga rekod kesalahan trafik oleh pemilik.

    Faktor risiko akan diambil kira bagi menentukan harga insurans kenderaan – tiada lagi senarai harga tetap

    “Tiada lagi sistem pengiraan tetap, tetapi beberapa faktor risiko akan dipertimbangkan oleh syarikat penanggung insurans. Sikap memandu, pengalaman dan rekod tuntutan dijangka akan turut menjadi faktor yang akan dipertimbangkan dalam profil risiko seseorang pemilik itu dalam menentukan premiumnya,” tambahnya.

    Ini juga bermaksud, bagi pemandu yang berhemah dan dengan rekod bersih, jumlah premium yang perlu dibayar juga akan menjadi lebih rendah, kerana profil risiko mereka juga rendah. Sementara itu, bagi pemilik yang kerap melakukan kesalahan trafik, kadarnya akan menjadi lebih tinggi. Bagaimanapun, ini boleh ditimbal-balik melalui faktor pengurangan risiko yang diambil oleh pemegang polisi.

    Beliau juga menambah, penanggung insurans yang berlainan akan mempunyai cara tersendiri untuk menentukan kumpulan berisiko tinggi ini. Untuk itu, harga insurans dari satu syarikat ke syarikat lain akan berbeza.

    “Selepas ini, pengguna perlu membuat penelitian terlebih dahulu ke atas insurans yang ingin mereka ambil, agar ia menepati keperluan dan harga yang berpatutan untuk mereka. Apa pun, pengguna perlu berhati-hati; harga yang rendah tidak bermaksud produk insuransnya bagus. Penilaian menyeluruh perlu dilakukan oleh mereka sendiri,” ujarnya.

     
     
  • Subaru XV 2018 terima penarafan keselamatan lima-bintang bagi ujian pelanggaran dari ANCAP

    Subaru XV 2018 terima penarafan keselamatan lima-bintang bagi ujian pelanggaran dari ANCAP

    Subaru XV 2018 telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP). Penarafan ini diaplikasikan bagi semua varian SUV ini, berdasarkan ujian pelanggaran yang dilakukan terhadap Impreza, yang didedahkan pada Disember 2016.

    Bagi ujian pelanggaran hadapan, XV menerima sebanyak 14.80 markah dari 16 markah penuh, walhal ia menerima 16 markah penuh bagi ujian impak sisi. Manakala bagi ujian pelindungan pejalan kaki dan sentakan (whiplash), SUV ini digambarkan sebagai “Bagus”.

    Bagi pasaran Australia, XV dilengkapi dengan elemen standard termasuk tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu). Ia juga dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Subaru EyeSight bagi semua varian kecuali model asas XV, termasuk dengan brek kecemasan sendiri (AEB) dan amaran ketibaan lorong. Varian tertinggi pula turut dilengkapi dengan fungsi yang lebih meluas bagi sistem tersebut.

    XV terkini buat pertama kalinya didedahkan di Geneva Motor Show tahun ini dan menggunakan Subaru Global Platform yang baharu. Binaan ini turut digunakan pada Impreza baharu, dengan menawarkan ketegaran yang dipertingkatkan dan pusat graviti yang lebih rendah.

    Terdapat laporan sebelum ini yang menyebut XV mungkin akan diperkenalkan di Malaysia pada suku keempat tahun ini, dengan pemasangan secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong Motor Assemblies di Segambut. Buat masa ini, fasiliti terbabit memproduksi XV generasi sebelumnya dan Forester facelift.

    GALERI: Subaru XV 2018

     
     
  • Ford kemas kini model 2016 dilengkapi SYNC 3 – ditambah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto

    Ford kemas kini model 2016 dilengkapi SYNC 3 – ditambah sokongan Apple CarPlay dan Android Auto

    Ia dilihat telah tertangguh dari hujung tahun 2016, namun belum terlewat untuk berbuat demikian, Ford akhirnya telah mengemas kini model kenderaan buatan 2016 di Amerika Syarikat dengan sistem infotainmen SYNC 3. Versi baharu 2.2 ini turut menampilkan sokongan bagi Apple CarPlay dan Android Auto, yang telah diperkenalkan untuk model kenderaan buatan 2017 yang diperkenalkan tahun lalu.

    Di mana pelanggan boleh mengemas kiniperisian ini sama ada dengan berkunjung ke pengedar Ford atau pun menerusi pemacu USB yang boleh dimuat turun menerusi laman web pemilik Ford sendiri. Secara alternatifnya, sistem ini turut dilengkapi dengan WiFi yang boleh dimuat turun secara automatik dan perisian ini akan segera dipasangkan di dalam sistem, dan ini merupakan kali pertama Ford berbuat demikian menerusi WiFi.

    “Platform perisian SYNC 3 ini direka bagi memudahkan peningkatan jadi pelanggan kami dapat menerima elemen terkini dan terhebat, serta kemas kini fungsi dan keselamatan,” ujar pengarah eksekutif Ford Connected Vehicle and Services Don Butler. “Dengan kemas kini yang cukup mudah ini, kami dapat menghantar elemen baharu kepada para pelanggan apabila mereka terus menggunakan kenderaan tersebut.”

    Buat masa ini, tidak dipastikan bila, atau bagaimana, bilakah kemas kini ini akan ditawarkan di luar Amerika Utara. Di Malaysia, hanya Ranger sahaja yang didatangkan dengan SYNC 3, iaitu bagi varian tertinggi 3.2 Wildtrak.

     
     
  • Ford pecat CEO Mark Fields berkuatkuasa serta merta, Jim Hacket telah diumumkan sebagai pengganti

    Ford pecat CEO Mark Fields berkuatkuasa serta merta, Jim Hacket telah diumumkan sebagai pengganti

    Dari kiri ke kanan: Alan Mulally, Bill Ford dan Mark Fields

    Menurut laporan oleh Forbes dan New York Times, ahli lembaga pengarah Ford Motor Company telah sepakat untuk memecat CEO mereka, Mark Fields, dan pengumuman rasminya telah dibuat hari ini.

    Laporan tersebut turut menambah, Jim Hacket, 62, ketua divisi “mobiliti pintar” syarikat terbabit, bekas CEO Steelcase dan kegemaran Pengerusi Eksekutif Ford Bill Ford jr, diumumkan akan menggantikan tempat Fields. Ia merupakan perberhentian secara tiba-tiba bagi Fields, 56, yang telah memegang jawatan tersebut sejak tiga tahun lalu bagi menggantikan Alan Mulally.

    Malahan laporan tersebut turut mendakwa keputusan ini dibuat bagi penyusunan semula yang drastik selepas ahli lembaga pengarah semakin tidak boleh tahan sabar dengan harga saham FoMoCo yang tidak memberangsangkan. Minggu lalu, terdapat pengumuman bahawa syarikat pengeluar kereta ini bakal menamatkan perkhidmatan 1,400 tenaga kerja di seluruh dunia bagi mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan. Walau bagaimana pun, ia masih gagal untuk melonjakkan semula sahamnya. Dalam tempoh Fields memegang jawatan terbabit, saham Ford telah menjunam sebanyak 40%, dan beliau teruk dihentam sewaktu mesyuarat tahunan bersama pemegang saham baru-baru ini.

    Malahan rombakan semula akan turut melibatkan pengurusan atasan. Menurut NYT, Joseph R. Hinrichs, ketua bagi divisi kritikal Ford, akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Presiden Eksekutif bagi operasi global. Manakala James D. Farley Jr, ketua unit Ford Eropah pula akan mengendalikan jabatan pemasaran dan jualan seluruh dunia. Ketua Pegawai Teknikal Ford, Marcy Klevorn, pula akan mengambil alih tugas Hacket sebagai ketua inisiatif mobiliti.

    Berita mengenai pemecatan dan penukaran jawatan di kalangan pihak pengurusan tertinggi Ford telah bersebaran menerusi media di USA, namun syarikat ini masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya. Sebaliknya hanya berkata, “Kami hanya memfokuskan perancangan untuk mewujudkan nilai dan pertumbuhan yang menguntungkan” dan “kami tiada komen untuk spekulasi ini.”

     
     
  • Demak perkenalkan lapan model motosikal baru bagi 2017, serta tambahan tiga model kenderaan komersial

    Demak perkenalkan lapan model motosikal baru bagi 2017, serta tambahan tiga model kenderaan komersial

    Bagi tahun 2017, jenama motosikal Demak yang diwakili oleh DNC Asiatic Holdings dari Sarawak, telah melancarkan lapan model motosikal peringkat kemasukan bagi pasaran tempatan. Enam daripadanya merupakan model serba baru manakala dua lagi model sedia ada yang dipertingkatkan.

    Model-model terkini yang dimaksudkan ialah Ezio 100, Kobra 110, Explorer 150, Xplor 150, Sprinter 125 dan Ace 200. Manakala dua model sedia ada yang diberi peningkatan pula ialah DJ90 dan D7 150.

    Selain itu, Demak turut memperkenalkan tiga lagi model kenderaan untuk kegunaan komersial yang terdiri daripada Demak 4 Runner, sebuah kenderaan pelbagai guna untuk sektor pertanian, Demak Eco 3, sebuah jentera hijau dengan pacuan petrol dan elektrik direka sebagai kenderaan penghantar makanan dan Demak eTrois, sebuah kenderaan pelbagai guna.

    Ketika majlis berkenaan, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pengarah eksekutif DNC Asiatic, Hu Ying berkata semua motosikal baru berkenaan, berserta kenderaan komersial dan indsutrial keluaran Demak ini akan dilancarkan sebelum hujung tahun ini, bergantung kepada bekalan komponen. “Kami kini dalam perbincangan bersama pembekal sebelum mengikat apa-apa persetujuan,” tambahnya.

    Dipasang di kilang DNC di Olak Lempit, Banting, Selangor, barisan motosikal Demak sebelum ini terdiri daripada kapcai untuk pelanggan yang mahukan motosikal pada harga rendah. Pengenalan motosikal yang seperti Sprinter 125 dan Ace 200 memberi isyarat syarikat itu sedang mengalihkan perhatiannya dalam pasaran.

    Masih belum ada sebarang tanda harga diumumkan bagi barisan motosikal Demak 2017 setakat ini; kerana masih menunggu kelulusan kerajaan yang dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat. DNC Asiatic mempunyai dua kilang di Malaysia – Demak Laut di Kuching, Sarawak dan Olak Lempit – dengan pengeluarannya untuk pasaran tempatan dan juga Sri Lanka.

    Demak Ace 200

    Demak Sprinter 125

    Demak Xplor 150

    Demak Explorer 150

    Demak Kobra 110

    Demak Ezio 100

    Demak D7 150

    Demak DJ90

    Demak 4 Runner, Eco 3 & eTROIS

     
     
  • Toyota, BMW, Mazda dan Subaru setuju bayar US$533 juta sebagai penyelesaian tuntutan beg udara Takata

    Toyota, BMW, Mazda dan Subaru setuju bayar US$533 juta sebagai penyelesaian tuntutan beg udara Takata

    Empat pengeluar kenderaan di Amerika Syarikat bersetuju untuk membayar sebanyak US$533 juta sebagai penyelesaian tuntutan akibat beg udara Takata yang terjejas. Jumlah bayaran tersebut meliputi hampir 16 juta pemilik kenderaan yang terbabit di negara tersebut.

    Daripada jumlah tersebut, Toyota direkodkan sebagai pembayar ganti rugi terbesar iaitu melibatkan USD278.5 juta, diikuti oleh BMW (USD131 juta), Mazda (USD76 juta) dan Subaru (USD68 juta). Lain-lain pengeluar kenderaan seperti Honda, Ford dan Nissan, tiada tuntutan mahkamah terhadap mereka.

    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, pengeluar kenderaan berkenaan mengesahkan, “Memandangkan perkara ini agak serius dan penarikan beg udara terbabit begitu meluas, maka pengeluar kenderaan ini menjadi yang pertama bersetuju untuk melaksanakan struktur penyelesaian ini.” Tuntutan ini melibatkan beberapa aktiviti termasuk program untuk menghubungi pelanggan terlibat, pampasan akibat kerugian, program meminjamkan kereta sewa dan program sokongan pelanggan bagi hal baik pulih dan pelarasan termasuk waranti lanjutan.

    Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News, pengeluar kenderaan terbabit akan menggunakan USD500 juta daripada USD553 juta untuk menyediakan kereta sewa bagi pelanggan yang terlibat. Mereka juga akan membayar balik tuntutan lain termasuk kos pengangkutan dan penjagaan anak serta yang berkaitan.

    Pada Januari lalu, Takata didapati bersalah atas dakwaan jenayah yang dilakukan dan bersetuju membayar USD1 bilion atas kos siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat disebabkan isu pengepam beg udara ini. Sebahagian daripada penjanjian tersebut, Takata juga perlu membayar saman sebanyak USD25 juta bersama dua lagi tuntutan yang berkaitan iaitu pampasan kepada mangsa bernilai USD125 juta, dan USD850 juta bagi ganti rugi kepada pengeluar kenderaan yang terlibat yang turut terpaksa menanggung kos panggilan balik secara besar-besaran.

     
     
  • Honda CBR500R dan CB500F 2017 – warna baharu, dua varian ditawarkan, harga bermula RM31,363

    Honda CBR500R dan CB500F 2017 – warna baharu, dua varian ditawarkan, harga bermula RM31,363

    16YM CBR500R

    Boon Siew Honda kini memperkenalkan barisan motosikal siri 500 keluarannya, CBR500R dan CB500F 2017 dengan pengenalan warna baru dikenali dengan nama Yellow Lemon Ice untuk membezakannya daripada versi 2016. Ia boleh didapati di bilik pameran Honda Impian bermula esok, 23 Mei dengan dua lagi pilihan warna; Millenium Red dan Matt Gunpowder Black.

    Harga jualannya adalah seperti berikut; CBR500R Standard (RM31,681), CBR500R ABS (RM35,179), CB500F Standard (RM31,363) dan CB500F ABS (RM34,861).

    Kedua-dua motosikal ini menggunakan enjin selari berkembar 471cc DOHC sejukan cecair. Gerek dan lejang model baru ini bersaiz 67 mm x 66.8 mm dan telah dipertingkatkan lagi bagi menyalurkan kuasa 37 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum mencapai 44 Nm pada 7,000 rpm. Kapasiti tangki petrol ialah 16.7 liter. Kedua-duanya menggunakan kotak gear enam-kelajuan dengan klac wet multiplate.

    Honda CBR500R dan CB500F 2017 – warna baharu, dua varian ditawarkan, harga bermula RM31,363

    16YM CB500F

    CBR500R dan CB500F dilengkapi dengan pengunaan LED pada kedua-dua lampu hadapan dan lampu belakang, termasuk sentuhan reka bentuk baru yang lebih bergaya. Ciri keselamatan bagi model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem “wave key”. Siri Honda 500 2017 ini juga tampil lebih agresif dengan ciri-ciri lain seperti penyerap hentakan depan boleh laras, brek hadapan boleh laras dengan 5 titik penyelarasan, serta peredam ekzos sporty.

    Siri Honda 500 dibangunkan dengan rekaan inovasi yang menawarkan aspek prestasi terbaik dan ketahanan yang boleh dipercayai. Motosikal mid range ini dilengkapi khas dengan ciri-ciri unik pada harga yang berpatutan. CBR500R hadir dengan berat 192 kg manakala CB500F sedikit lebih ringan dengan 188 kg.

     
     
  • Kamera AES rakam 185,000 imej kesalahan trafik sejak Januari, namun hanya 43,312 saman telah dikeluarkan

    Kamera AES rakam 185,000 imej kesalahan trafik sejak Januari, namun hanya 43,312 saman telah dikeluarkan

    Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) setakat ini telah merakam 185,000 imej pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mei, tetapi hanya 43,312 saman dikeluarkan, lapor Malay Mail Online.

    Daripada 184,791 imej yang dirakam, 160,489 daripadanya adalah pengguna yang memandu sehingga 40 km/j lebih laju daripada had yang dibenarkan, sementara 8,061 imej lagi adalah mereka yang memandu melebihi 40 km/j dari had laju yang dibenarkan. Ketika mendedahkan statistik berkenaan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata sebanyak 38,929 saman atas kesalahan memandu melebihi had laju telah dikeluarkan.

    Selain itu, sistem berkenaan juga telah merakam 16,241 imej yang menunjukkan pengguna melanggar lampu merah – saman berkaitan juga sudah dikeluarkan. Beliau turut menunjukkan beberapa perbezaan pada gambar yang dirakam, dan menjelaskan bahawa nombor plat yang tidak mengikut piawaian menjadi antara sebab pihak penguatkuasa sukar mengesan pemilik kenderaan. Beliau turut menyentuh, penggunaan nombor plat tidak mengikut piawaian ini akan ditangani dalam masa terdekat melalui operasi JPJ ke atas kenderaan yang menggunakannya.

    Kamera AES rakam 185,000 imej kesalahan trafik sejak Januari, namun hanya 43,312 saman telah dikeluarkan

    “Saman akan dikeluarkan secara berperingkat, tetapi ada beberapa kes di mana nombor platnya tidak dapat dilihat. Ini disebabkan nombor yang digunakan tidak mengikut piawaian dan spesifikasi JPJ. Jadi, gambar-gambar yang ada perlu diteliti dahulu. Sebab itulah untuk keluarkan saman ini akan ambil masa,” jelasnya.

    Beliau juga menambah, tujuh lagi kamera AES akan dipasang tahun ini sebagai tambahan kepada 14 kamera yang ada sekarang ini. Antara lokasi baru kamera berkenaan ialah di Johor dan Kelantan. Buat masa ini, kamera AES hanya akan digunakan terhadap kesalahan memecut melebihi had laju dan melanggar lampu merah. Sistem ini juga sudah disepadukan bersama mata demerit Kejara di bawah Automated Awareness Safety System (AWAS) sejak 1 April.

     
     
  • Permintaan syarikat insurans naikkan kadar premium insurans kenderaan tidak akan dilayan – Johari

    Permintaan syarikat insurans naikkan kadar premium insurans kenderaan tidak akan dilayan – Johari

    Terdapat ura-ura yang menyatakan syarikat insurans ingin menaikkan kadar premium kenderaan berdasarkan profil risiko pemegang polisi yang akan berkuat kuasa Julai depan. Namun buat masa ini, ia ditolak oleh kerajaan.

    Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerajaan tidak akan melayan mana-mana syarikat insurans yang ingin menaikkan kadar premium kenderaan tanpa mengemukakan justifikasi kenaikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), laporan Berita Harian.

    Katanya lagi, kenaikan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa penilaian dan kelulusan pihak BNM.

    “Tiada alasan kenaikan ini dibuat terhadap pemilik kenderaan yang tidak merekodkan sebarang kemalangan. Lagipun, antara justifikasi BNM adalah syarikat insurans yang diberi lesen tidak boleh menaikkan kadar premium insurans jika keuntungan melebihi tuntutan insurans.

    “BNM ada formula sendiri menerusi langkah ini dan ia sebenarnya bermanfaat untuk jangka masa panjang. Mengikut tarif sedia ada, kadar premium akan bertambah murah bagi pemilik dan pemandu kenderaan yang berhemah,” katanya sewaktu mengulas isu ini.

     
     
  • Insentif EV dan hibrid di Thailand tarik minat Honda

    Insentif EV dan hibrid di Thailand tarik minat Honda

    Insentif yang diumumkan oleh kerajaan Thailand pada Mac bagi mempromosi kenderaan elektrik telah mendapat perhatian Honda. Syarikat itu menyifatkan pakej berkenaan sangat menarik, dan sangat berminat dengan keistimewaan terhadap pengeluaran EV di sana, lapor The Bangkok Post.

    Disasarkan bagi pengeluar kenderaan utama bagi menggalakkan mereka mengilangkan kenderaan EV di negara itu, dan menjadikan Thailand sebagai hab pengeluaran EV, pakej berkenaan terbuka tidak hanya pada kenderaan elektrik hibrid (HEV), tetapi juga untuk kenderaan elektrik plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik bateri (BEV).

    “Kami pada awalnya mencadangkan kepada kerajaan agar mereka menawarkan kelebihan promosi terhadap HEV dan PHEV terlebih dahulu sebelum melihat kepada BEV. Insentif yang diumumkan itu ternyata menepati cadangan awal kami,” jelas COO Honda Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

    Insentif EV dan hibrid di Thailand tarik minat Honda

    Pada Mac lalu, Lembaga Pelaburan negara itu meluluskan set keistimewaan promosi bagi EV, dengan tumpuan kepada pengeluaran tempatan bagi HEV, PHEV dan BEV. Skim berkenaan meliputi kenderaan penumpang, trak pikap dan bas, dengan kadar yang berbeza bergantung kepada teknologi pengeluaran. Turut diberikan ialah pelepasan cukai.

    Menurut laporan berkenaan, pelaburan terhadap pengeluaran BEV akan melayakkan syarikat untuk mendapat pengecualian cukai korporat selama lima hingga lapan tahun, dan pelabur BEV yang mengilangkan lebih daripada satu komponen utama EV akan layak menerima satu lagi pengecualian cukai pendapatan korporat bagi setiap satu yang dihasilkan. Bagaimanapun, terhadap had jangka masa untuk ini; pengecualian cukai gabungan ini tidak boleh melebihi tempoh 10 tahun.

    10 komponen utama EV yang akan menikmati pengecualian cukai pendapatan korporat selama lapan tahun turut diumumkan. Antaranya bagi bateri, motor cengkaman, khidmat pengurusan bateri, sistem pengecasan pintar EV, penukar DC/DC, pengecas mudah alih EV dan beberapa lagi.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bulan April 2017 turun 20%

    MAA: Jualan kenderaan bulan April 2017 turun 20%

    Jualan kenderaan di Malaysia umpama roller coaster, ada turun naiknya. Dua bulan pertama 2017 iaitu Januari dan Februari mencatatkan penyusutan, masing-masing 31% dan 5%, namun pada bulan Mac pula ia menunjukkan peningkatan iaitu mencecah 26.5%.

    Namun demikian, April 2017 pula turut menyaksikan penyusutan sebanyak 20% berbanding bulan sebelumnya, mengikut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Sejumlah 42,746 unit kenderaan telah didaftarkan pada April, namun ia dilihat menurun sebanyak 10,971 unit atau 20.4% berbanding pada Mac 2017 (53,717 unit). Walau bagaimana pun, ia mendahului rekod pada tempoh yang sama pada Mac 2016, sebanyak 544 unit. Pun begitu, jualan tahunan sehingga ke tarikh tersebut menunjukkan angka jualan mencecah 183,586 unit untuk 2017, mendahului sebanyak 10,122 unit, atau hampir 6% lebih tinggi bagi empat bulan pertama yang sama pada tahun lalu.

    MAA dalam kenyataannya berkata, jualan yang agak perlahan ini disumbangkan oleh beberapa faktor. Ini termasuklah penghantaran dalam keadaan tergesa-gesa oleh syarikat pengeluar kenderaan yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Mac, dan juga perubahan struktur cukai eksais bagi SUV/4X4, yang kemudiannya dikembalikan ke kadar biasa. Bukan itu sahaja, kelulusan pembiayaan pinjaman yang agak ketat oleh pihak bank turut menjadi faktor penyumbang.

    Bagi jualan bulan Mei 2017 pula, MAA menjangkakan ia akan lebih kurang sama dengan bulan sebelumnya, di mana pelanggan akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman bagi membeli kenderaan baharu.

     
     
  • Perodua Myvi bakal hampiri satu juta unit produksi

    Perodua Myvi bakal hampiri satu juta unit produksi

    Perodua Myvi merupakan antara model yang meledak di pasaran tempatan sejak ia diperkenalkan pada Mei 2005. Kelahirannya bagai mencetus satu fenomena luar biasa, apabila ia berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia. Bukan setakat menjadi pilihan golongan muda terutamanya yang baru pertama kali memiliki kenderaan sendiri, bahkan ada yang memilihnya sebagai kenderaan kedua kerana harganya yang mampu milik.

    Malah Myvi pernah menjadi model kereta pilihan pertama di Malaysia sejak ia diperkenalkan sehinggalah pada akhir tahun 2014. Lebih 12 tahun kelahirannya dan telah melalui tempoh kematangan, Perodua telah mengumumkan Myvi bakal menghampiri satu juta unit produksi tidak lama lagi. Sekaligus mencatat sejarah sebagai kereta buatan Malaysia yang paling banyak diproduksikan di negara ini.

    Perkara ini diumumkan oleh Perodua sendiri ketika menganjurkan aktiviti ‘Media Fun Drive 2017’ di Pulau Redang, Terengganu, baru-baru ini. Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua berkata, “Setakat ini, kami memproduksi hampir sejuta Myvi sejak 2005 dan pencapaian ini bakal direalisasikan tidak lama lagi, dijangka pada bulan ini juga.”

    Katanya lagi, sejak tahun 2006, Myvi telah dijual di tujuh buah negara termasuk Sri Lanka, Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama Perodua.

    Perodua Myvi bakal hampiri satu juta unit produksi

    Malah Indonesia pula merupakan pasaran eksport terbesar bagi Myvi tetapi di bawah jenama Daihatsu Sirion, mencapai hampir 31,000 unit jualan sejak tahun 2007. Secara keseluruhan, Perodua telah mengeksport 35,400 unit Myvi/Sirion sejak 2006 di beberapa pasaran yang disebut.

    “Kami gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap jenama kami dan kami akan terus menawarkan yang terbaik dalam soal nilai dan perkhidmatan kepada semua rakyat Malaysia,” ujar Aminar.

    Beliau turut berkata, Perodua akan meneruskan pasaran Myvi memandangkan permintaannya masih utuh di pasaran, bersama dengan model lain di bawah Perodua termasuk Axia, Bezza dan Alza.

    Menurut sumber dalaman yang diperoleh, Perodua bakal memperkenalkan Myvi serba baharu sebelum 2017 berakhir. Namun sehingga kini, pihak Perodua sendiri masih belum bersedia berkongsi maklumat lanjut mengenainya. Memandangkan Myvi masih kekal relevan di pasaran, sudah pasti kehadiran model serba baharu ini dinanti-nantikan terutamanya oleh penggemarnya. Kami akan membawakan perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa.

     
     
  • Perodua umum pemeriksaan kenderaan percuma bagi 500 pelanggan pertama yang memberikan maklumbalas untuk kempen “Muhibah di Jalan Raya”

    Perodua umum pemeriksaan kenderaan percuma bagi 500 pelanggan pertama yang memberikan maklumbalas untuk kempen “Muhibah di Jalan Raya”

    Perodua telah mengumumkan bakal memberikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan percuma bagi 500 pelanggan pertama yang memberikan maklum balas untuk kempen keselamatan jalan raya, “Muhibah di Jalan Raya”.

    “Muhibah di Jalan Raya” ini merupakan kempen keselamatan jalan raya jangka masa panjang yang mempromosikan penggunaan jalan raya yang mesra dan selamat, di samping menggalakkan pengguna untuk lebih komitmen di dalam soal keselamatan jalan raya.

    “Kami percaya penyumbang utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan sikap pemandu itu sendiri. Justeru kami ingin mempengaruhi para pengguna dengan mempromosikan komuniti bagi pengguna secara dalam talian akan perluanya menukar sikap yang lebih positif ketika berada di jalan raya,” ujar Presiden dan CEO Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Perodua umum pemeriksaan kenderaan percuma bagi 500 pelanggan pertama yang memberikan maklumbalas untuk kempen “Muhibah di Jalan Raya”

    Kempen ini mengalu-alukan pengguna jalan raya bagi memuat naik gambar atau video mereka sendiri dengan isyarat “OK”, menerusi Instagram atau/dan Facebook dengan hashtag #muhibahdijalanraya.

    Bagi 500 pengguna pertama yang berbuat demikian, Perodua akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma di mana-mana 182 pusat servisnya di seluruh negara.

    Selain itu, bagi 10 entri yang paling kreatif pada setiap bulan, turut akan menerima hadiah istimewa daripada Perodua.

    Kempen Perodua Muhibah telah pun dilancarkan bersama kakitangannya di ibu pejabat Perodua sempena dengan musim ‘balik kampung’ menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.

    Perodua umum pemeriksaan kenderaan percuma bagi 500 pelanggan pertama yang memberikan maklumbalas untuk kempen “Muhibah di Jalan Raya”

    Bagi tambahan pada kempen keselamatan jalan raya ini, Perodua juga akan menganjurkan program Perodua Tweckbot iaitu 50-mata ganjaran pemeriksaan kenderaan Perodua dengan di Giant Hypermarket Seksyen 13, Shah Alam mulai 19 hingga 21 Mei ini.

    Pemeriksaan keselamatan kenderaan ini melibatkan bahagian enjin termasuk transmisi, tahap sistem penyejukan (termasuk tahap cecair penyejuk, kipas dan suhu), brek (termasuk cecair brek dan pad brek), stereng berkuasa, tayar, klac, suspensi, sistem elektrikal (termasuk air, lampu dan bateri) dan diagnosis enjin.

    Sebagai tambahan bagi 50-mata ganjaran pemeriksaan percuma ini, Perodua turut menawarkan 20% diskaun bagi alat ganti dan aksesori kepada para pelanggan yang mengambil bahagian di dalam program ini. Tertakluk pada terma dan syarat.

    Sejak 2011, Perodua telah memeriksa lebih 4,300 unit kenderaan di seluruh negara di bawah program Perodua Tweckbot.

     
     
  • Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Belum lagi bermula bulan Ramadhan, Volkswagen sudah pun mula membuat tawaran promosi untuk model-modelnya sempena Hari Raya tahun ini di DRB-Hicom Autofest 2017. Selain dari diskaun untuk kereta-kereta baharu, promosi ini turut menawarkan harga istimewa bagi kereta demo dan juga kereta gantian ihsan mereka.

    Untuk pembeli Passat 1.8 TSI Comfortline, mereka akan diberikan rebat RM25,500 untuk model 2016, menjadikan harganya RM154,490 dari RM179,990. Untuk Golf 1.4 TSI Highline, ia diberikan rebat sehingga RM27,000, menjadikan harganya RRM132,888 dari RM159,888. Bagi Golf GTI dengan Tech Pack pula, ia diberikan diskaun RM15,000, menjadikan harganya RM220,888 dari RM235,888.

    Tawaran Hari Raya Volkswagen – Polo bermula RM38k

    Tawaran lebih hebat diberikan untuk unit demo Polo Sedan 2013 – dijual pada harga RM38,000, potongan RM61,888 dari harga asal. Golf 1.4 TSI Highline 2016 yang telah dipra-daftar juga ditawarkan dengan rebat RM28,000, dijual pada harga RM131,888, manakala unit demo Vento Trendline 1.6 dijual pada harga RM60,000, RM19,888 lebih murah dari harga asal.

    Tiga unit demo Vento 1.2 TSI Highline turut ditawarkan, dijual pada harga RM75,000 iaitu RM18,888 lebih murah dari harga asal. Dua lagi unit demo Polo hatchback 1.6 pula dijual pada harga RM59,000, jimat RM17,888 dari harga asal.

     
     
  • Perodua lakukan peningkatan, model serba baharu apabila perlu – pendapat pengguna diambil kira

    Perodua lakukan peningkatan, model serba baharu apabila perlu – pendapat pengguna diambil kira

    Tidak sampai setahun dilancarkan di pasaran, Perodua telah memperkenalkan sedan pertamanya Bezza yang ditampilkan dengan sedikit suntikan luaran dan dalaman pada pertengahan April lalu. Ini bukanlah suatu perkara biasa yang diamalkan oleh Perodua iaitu mempertingkatkan model yang baru dilancarkan tidak sampai genap setahun usianya. Namun bagi Perodua, kini ia bukan lagi suatu perkara yang luar biasa.

    Mengambil kira pendapat dan komen daripada penggunanya yang disifatkan sebagai keutamaan yang diamalkan sejak tertubuhnya syarikat pengeluar kenderaan kedua negara ini, itulah alasan Perodua ketika ditanya mengapa terlalu pantas memperkenalkan model yang dipertingkatkan bagi Bezza.

    Dalam sidang media yang dianjurkan oleh Perodua sempena dengan ‘Media Fun Drive’ di Pulau Redang, Terengganu, pagi ini, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua berkata, “Untuk produk lama, memang ada kitaran hidupnya iaitu sekitar enam tahun untuk terhasilnya model serba baharu. Dahulu, kami hanya melakukan peningkatan selepas model terbabit setahun diperkenalkan.

    “Kini Perodua mengambil langkah memperkenalkan model peningkatan atau facelift sekiranya perlu dan berupaya melakukannya, apatah sekiranya menerima banyak maklumbalas mengenainya. Malah kami melakukannya (memperkenalkan model facelift) lebih pantas daripada cara yang diamalkan sebelum ini,” ujar Aminar.

    Katanya lagi, sejak Perodua merupakan syarikat pengeluar kenderaan yang sentiasa mendengar maklumbalas daripada orang ramai. “Seperti Bezza, selepas dua bulan ia dilancarkan, kami membuat keputusan untuk melakukan sedikit perubahan terutamanya pada bahagian belakangnya yang dahulu dikatakan ‘agak tonggek’ (mengikut komen orang ramai).

    “Perubahan ini dilakukan sepenuhnya oleh pasukan kami, selepas mendapat persetujuan daripada rakan perniagaan kami, Daihatsu. Berkaitan dengan Bezza, bahagian bampar belakangnya dilabuhkan sebanyak 6 sm serta dicat dengan warna yang sama dengan badan, sekaligus menyingkirkan imej ‘tonggek’ pada model sebelum ini.”

    Bukan setakat bahagian luaran, Perodua turut memberikan sedikit penggayaan berbeza pada kabinnya yang melibatkan varian Premium X dan Advance di mana ia telah ditampilkan dengan kekemasan platinum krom baharu (sebelum ini dengan kekemasan perak) terutamanya pada butang kawalan pendingin hawa.

    Bagi varian tertinggi, Advance, satu lagi elemen yang telah dipertingkatkan iaitu rekaan tempat duduk kulit baharu yang tampil lebih elegan.

    GALERI: Perodua Bezza 2017

     
     
  • Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal jenama Nissan di Malaysia hari ini mengumumkan senarai baru kenderaan keluarannya yang terlibat dengan panggilan semula berhubung isu inflator beg udara Takata.

    Untuk sesi kali ini, dianggarkan sebanyak 52,707 unit kenderaan Nissan terlibat membabitkan trak pikap Frontier CKD (D22) keluaran Julai 2004 hingga Disember 2012 (1,032 unit), sedan Sentra CKD (N16) keluaran Jun 2000 hingga Disember 2004 (48,517 unit) dan juga SUV X-Trail CKD (T30) keluaran Januari 2009 hingga Disember 2012 (3,158 unit).

    Turut dinyatakan, Sentra N16 yang tidak dibekalkan dengan beg udara dan juga X-trail generasi baharu (T32), serta model-model dalam bilik pameran sedia ada tidak terlibat dengan panggilan semula ini.

    Semua pelanggan yang terlibat akan diberitahu menerusi surat daripada Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS). Mereka yang menerima surat itu dinasihatkan supaya menghubungi cawangan TCEAS terdekat untuk mendapatkan temu janji. TCEAS yang terpilih juga telah melanjutkan tempoh operasi mereka dan kini ia dibuka 365 hari memudahkan pelanggan bagi meningkatkan kapasiti aktiviti penggantian.

    Panggilan semula isu inflator beg udara Takata untuk Nissan – senarai baru untuk Frontier, Sentra dan X-trail

    ETCM juga menyediakan perkhidmatan mengganti inflator beg udara Takata semasa Karnival Pandu Uji yang diadakan pada 19 dan 20 Mei 2017 di AEON Mall Kota Bharu, Kelantan bermula jam 10am hingga 10pm. Kos buruh dan alat ganti untuk kempen servis ini adalah percuma.

    Pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838 (tol percuma) untuk maklumat lanjut atau KLIK PAUTAN INI bagi mengetahui sama ada kenderaan Nissan mereka terlibat dalam kempen panggilan semula ini atau sebaliknya.

    ETCM ingin menegaskan bahawa ketenangan minda dan keyakinan pelanggan menjadi keutamaan mereka, selain meminta maaf atas segala kesulitan yang timbul. Mereka juga menyatakan bahawa ETCM dan Nissan komited untuk memastikan keselamatan pelanggan, servis dan kepuasan pelanggan berada di tahap tertinggi.

     
     
  • Modenas V15 dilancarkan; 149.5 cc, berharga RM5,989

    Modenas V15 dilancarkan; 149.5 cc, berharga RM5,989

    Sebagai langkah untuk mengukuh serta mempelbagaikan lagi barisan produk keluarannya, selain dua model sportbike Modenas Pulsar RS200 dan NS200, sebuah lagi motosikal dengan penampilan retro, Modenas V15 turut dilancarkan hari ini. Ketika-tiga model berkenaan dikeluarkan hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India.

    Modenas V15 dilengkapi dengan enjin 150 cc DTS-i Twin Spark baru, sebuah teknologi yang menggunakan palam pencucuh berkembar, dan menghasilkan janaan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan 13 Nm tork pada 5,500 rpm. Bagi kotak gear pula, ia menggunakan transmisi lima-kelajuan.

    Kemampuan membreknya pula menggunakan brek cakera 240 mm di bahagian hadapan, manakala di belakang brek dram 130 mm memikul peranan itu. Penggunaan rim juga berbeza, di depan, rim bersaiz 18 inci digunakan, sementara di belakang pula dipasangkan rim 16 inci.

    Mengawal keselesaan tunggangan pula adalah sistem suspensi teleskopik di bahagian hadapan, manakala di belakang pula menggunakan dua penyerap hentak bersama tabung gas Nitrox.

    Modenas V15 ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Bacaan penggunaan minyaknya didakwa mampu mencapai 53 km/l. Dari congak mudah angka-angka ini, motosikal ini sepatutnya dapat memberikan jarak tunggangan 689 km bagi satu tangki penuh sebelum memerlukan isian semula. Apa pun, semua itu bergantung juga kepada cara tunggangan.

    Selain itu, motosikal ini hadir dengan berat 136 kg. Harga jualannya ialah RM5,989 termasuk GST. Adakah model ini sebenarnya disasarkan untuk mengganti Modenas Jaguh 150 cc dahulu?

    Modenas V15

     
     
  • Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

    Modenas hari ini melancarkan tiga model terbaru hasil kerjasama dengan Bajaj Auto dari India. Selain Modenas V15 yang hadir dengan gaya retro, Modenas Pulsar RS200 dan NS200 pula hadir sebagai penawaran sportbike untuk pasaran tempatan – RS200 dengan kelengkapan fairing, manakala NS200 pula merupakan versi naked model yang sama.

    Dua model ini dilengkapi enjin 199.5 cc silinder tunggal, SOHC, empat injap dengan sejukan cecair serta sistem suntikan minyak. Ia menjana sebanyak 24.5 PS pada 9,750 rpm dan 18.3 Nm tork pada 8,000 rpm. Kedua-dua enjin juga dilengkapi ciri Triple Spark Technology untuk lebih lancar dan cekap. Model ini juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang juga dari jenis LED yang sama.

    Modenas Pulsar RS200 menggunakan sistem suspensi telesopik untuk bahagian depan dengan bush anti-geseran, sementara dibahagian belakang ia menggunakan penyerap hentak monoshock Nitrox dengan canister untuk berfungsi dengan lebih berkesan. Ia juga dilengkapi ciri ABS di hadapan, dengan brek cakera bersaiz 300 mm. Bahagian belakang juga menggunakan brek cakera 230 mm.

    Model ini juga dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 13 liter. Dengan berat hanya 164 kg, ia dapat memberikan jumlah jarak perjalanan yang tinggi sebelum memerlukan isian semula. Ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan biru, Modenas Pulsar RS200 dijual pada harga RM11,342, termasuk GST.

    Bagi NS200 pula, walaupun secara asasnya merupakan motosikal yang sama, terdapat beberapa perkara yang membezakannya daripada RS200 selain ketiadaan fairing. Antaranya, output yang dijana sedikit kurang, iaitu 23.5 PS dan 18.6 Nm. NS200 didatangkan dengan sistem brek hidraulik bersama cakera 280 mm di depan dan 230 mm di belakang. Tiada ciri ABS untuk model ini.

    NS200 juga dilengkapi dengan tangki minyak yang kapasitinya lebih kecil, iaitu 12 liter. Beratnya juga berkurangan, dengan hanya 155 kg; ia lebih ringan dan sangat sesuai untuk tunggangan di dalam bandar. Untuk itu, harganya juga sedikit berbeza; Modenas Pulsar NS200 dijual pada harga RM9,222, termasuk GST.

    Modenas Pulsar RS200

    Modenas Pulsar NS200

     
     
  • Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Seperti rekod yang pernah dicapai sebelum ini, Perodua masih mengekalkan posisinya di tangga pertama dalam jualan keseluruhan bagi suku pertama (Q1) tahun ini. Di mana bagi empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual sebanyak 64,700 unit kenderaan, iaitu meningkat sebanyak 4.1% berbanding 62,100 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Dalam sidang media yang dianjurkan oleh Perodua sempena dengan ‘Media Fun Drive’ di Pulau Redang, Terengganu, pagi ini, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, Presiden dan CEO Perodua berkata, “Walau pun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi Perodua untuk Q1 dilihat mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, namun buat masa ini kami tidak merancang untuk mengubah TIV bagi tahun ini iaitu dengan sasaran sebanyak 202,000 unit kenderaan atau pun 34% bagi perkongsian pasaran.”

    Ketika ditanya apakah faktor yang mendorong Perodua mengekalkan sasaran jualan berkenaan, Aminar berkata,”Kami mahu meminimakan produksi buat masa ini bagi mengelakkan peningkatan kos operasi dalam keadaan ekonomi negara yang kurang menentu ini. Selain itu, stok sedia ada juga menjadi faktor pendorong keputusan ini diambil.”

    Perodua kekalkan sasaran jualan 2017 sebanyak 202,000 unit, semua model mendahului segmen

    Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin pula berkata, “Walau bagaimana pun, kami tetap mengambil langkah berhati-hati dan sentiasa memantau perkembangan pasaran biar pun kami masih mengekalkan posisi di tangga pertama dalam pasaran. TIV bagi Q1 ini sebenarnya memberi refleksi pada pasaran, di mana ia akan memberikan gambaran pada pada jumlah keseluruhan tahunan.”

    Beliau turut menambah, faktor kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah pelanggan dalam urusan memohon pinjaman kewangan bagi membeli kenderaan Perodua juga dilihat faktor penyumbang dalam hal berkaitan. “Kebanyakan pelanggan kami adalah daripada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan. Walau bagaimana pun, syarat pinjaman kewangan pembiayaan kenderaan yang agak ketat oleh pihak bank buat masa ini, membuatkan pemohonan pinjaman yang ditolak agak meningkat berbanding dahulu. Sekaligus, hal ini turut menjadi kebimbangan kami,” ujarnya lagi.

    Berhubung dengan Honda BR-V yang berjaya memintas rekod jualan tertinggi Alza pada bulan April seperti mana data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Aminar mengulas, “Ada baiknya persaingan kerana ia akan buat kita berusaha untuk menjadi lebih baik lagi. Walau pun rekod jualan tersebut hanya melibatkan perbezaan tujuh unit sahaja, namun kami masih lepas pandang. Justeru, kami perlu terus berusaha untuk meningkatkan kualiti memandangkan ia boleh dianggap sebagai DNA utama kami, iaitu bagi produksi dan bukan-produksi.”

    Sambungnya lagi, “Walau bagaimana pun, kesemua empat model kami masih mendahului pasaran dalam segmen masing-masing.”

     
     
  • Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    Jika semalam Mellors Elliot Motorsport (MEM) mendedahkan Proton Iriz R5 mereka sudah bersedia untuk mengharungi Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) 2018, hari ini, media rasmi mereka, Chicane Media telah mendedahkan galeri jentera rali berkenaan.

    Proton Iriz R5 menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik serta spoiler bumbung belakang lebih besar.

    Menurut Chris Mellors dari MEM, Iriz ini akan dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Gambar rasmi jentera rali Proton Iriz R5 didedahkan

    “Semuanya pada tempat yang betul: panjang keseluruhan kereta ini kurang dari Satria, tetapi jarak rodanya lebih panjang; cagak atas topang berada pada tempat yang betul; banyak ruang pada bahagian hadapan yang sangat baik untuk penyejukan. Kami mempunyai kereta asas yang baik dan menerusinya kami letakkan segala bahan yang betul,” jelas Mellors.

    MEM juga mengesahkan Iriz R5 tersebut akan didedahkan sepenuhnya pada Goodwood Festival of Speed bulan hadapan. Ini bukan kali pertama MEM membina jentera rali untuk Proton. Sebelum ini, MEM merupakan badan yang bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011.

    Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026