Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Cadangan pembinaan LRT di Sarawak – Ketua Menteri

    Cadangan pembinaan LRT di Sarawak – Ketua Menteri

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah menjelaskan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkaitan rancangan untuk membangunkan pembinaan perkhidmatan Light Rail Transit (LRT) di negeri itu.

    Nancy selaku menteri yang turut bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (CVLB) bagi Sarawak dan Sabah berkata, huraian projek berkenaan antara perkara yang telah dibincangkan dalam sebuah mesyuarat yang berlangsung selama sejam, lapor Bernama.

    “Kami mendengar penjelasan Ketua Menteri Sarawak berkaitan projek LRT di negeri itu, dan saya perlu tahu apakah matlamatnya, dan bagaimana caranya saya boleh membantu sebagai seorang menteri persekutuan,” jelas Nancy.

    Mac lalu, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan merencana perancangan jangka waktu panjang yang mana turut melibatkan pengenalan perkhidmatan LRT yang akan menghubungkan Kuching, Samarahan dan Serian, dan menambah bahawa perjalanan itu hanya akan mengambil masa 30 minit.

    Nancy, yang juga ahli parlimen Batang Sadong berkata, beliau telah berbincang perkara yang melibatkan kawasannya seperti perumahan, program masyarakat dan lesen perniagaan bersama Abang Johari dan menerima maklum balas positif.

     
     
  • VIDEO: Bagaimana untuk memilih kerusi keselamatan yang sesuai, serta cara memasangnya dengan betul

    Di dalam siri video pertama berkaitan kerusi keselamatan kanak-kanak, yang dibawakan oleh Proton, kami telah menunjukkan mengapa penggunaa kerusi khas berkenaan sangat penting – ia bahkan bukan lagi sebagai satu pilihan, tetapi adalah kewajipan atas nama keselamatan.

    Kini kami persembahkan pula video dari siri kedua berkaitan hal yang sama, dengan tumpuan diberikan kepada bagaimana untuk memilih kerusi kanak-kanak yang sesuai untuk anak anda serta bagaimanapula cara yang betul untuk memasangnya.

    Mungkin ada yang sudah sedia maklum, kerusi keselamatan kanak-kanak biasanya terdiri daripada dua jenis; sama ada yang menggunakan tapak Isofix seperti lazimnya kenderaan baru masa kini, dan kedua adalah dari jenis yang menggunakan tali pinggang keledar sahaja.

    Adalah penting untuk mengetahui maklumat ini. Jika kereta anda dilengkapi tapak Isofix, maka inilah pilihan yang terbaik, kerana ia mudah untuk dipasangkan. Bagaimanapun, jangan risau sekiranya kereta anda hanya menggunakan tali pinggang keledar untuk memegang kerusi keselamatan ini. Apa yang penting, ia perlu dipasang dengan betul dan ketat; kedua-duanya sama sahaja selamat untuk digunakan.

    Berat dan tinggi kanak-kanak juga penting untuk membuat pilihan. Kerusi untuk bayi tentunya tidak sesuai untuk kegunaan kanak-kanak berusia tiga tahun, dan sebaliknya. Oleh kerana semua ini memerlukan anda untuk melaburkan sejumlah wang, tonton video ini untuk mendapat maklumat lanjut sebelum membuat pembelian. Adakah semua kerusi keselamatan kanak-kanak untuk kenderaan mahal harganya? Kami huraikan dalam video ini.

    Proton ada menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak yang bernilai RM1,000 pada harga RM299 dengan setiap pembelian kenderaan baru keluara syarikat itu.

     
     
  • Senarai harga motosikal Demak 2017 dikeluarkan

    Senarai harga motosikal Demak 2017 dikeluarkan

    Minggu lalu, Demak, iaitu jenama motosikal keluaran DNC Asiatic Holdings dari Sarawak telah melancarkan lapan model motosikal baru, bersama tiga model kenderaan komersial. Pada masa itu, harganya masih belum disiarkan, tetapi kini, harga untuk tujuh daripadanya sudah pun ada.

    Bagi model skuter, Ezio 100 dijual pada harga RM3,349.60, diikuti RM4,515.60 untuk Xplor 150 dan RM4,939.60 untuk Xplorer 150. Bagi model kapcai bergear pula, Kobra 110 dijual pada harga RM3,349.60, manakala fun bike Sprinter 125 ditetapkan pada RM5,469.60.

    Dalam barisan model yang dilancarkan untuk tahun 2017 ini, terdapat dua model klasik, iaitu DJ90 dan D7 150, walaubagaimanapun, hanya harga bagi DJ90 yang menggunakan enjin 90 cc sahaja yang baru disiarkan, iaitu RM3,190.60. Bagi model motard Ace 200, ia ditetapkan pada harga RM5,575.60. Semua harga yang ditetapkan oleh Demak ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans.

    Demak Ezio 100

    Demak Xplor 150

    Demak Explorer 150

    Demak Kobra 110

    Demak Sprinter 125

    Demak Ace 200

    Demak DJ90

     
     
  • The Boring Company milik Elon Musk dedah bas elektrik yang akan digunakan dalam terowongnya

    The Boring Company milik Elon Musk dedah bas elektrik yang akan digunakan dalam terowongnya

    Bulan lalu, Elon Musk mendedahkan idea terbaru beliau untuk menghasilkan terowong bawah tanah sebagai penyelesaian kepada pengangkutan di bahagian atas. Syarikat miliknya yang terlibat dalam kerja pembangunan infrastruktur terowong ini, iaitu The Boring Company turut mendedahkan video bagaimana konsep itu boleh diterima pakai.

    Dalam video tersebut, ditunjukkan bahawa terdapat satu platform di atas jalan raya, yang mana kereta boleh naik di atasnya, kemudian platform tersebut turun ke bawah terowong. Dalam terowong itu, kereta masih akan terletak atas platform tersebut, dan ia akan bergerak mengikut rel yang ada. Ia dikatakan boleh mencecah kelajuan sehingga 200 km/j.

    Terbaru, The Boring Company mendedahkan pula kenderaan yang boleh dikongsi, juga untuk kegunaan dalam terowong tersebut. Berbeza dengan platform yang boleh mengangkat kereta biasa yang dikatakan sebelum ini, kenderaan untuk orang ramai ini pula dilihat mempunyai tayar, seterusnya membawa kemungkinan bahawa ia juga boleh bergerak di atas jalan biasa untuk mengangkut penumpang.

    Pasti ada yang tertanya, kenapa konsep terowong ini tidak digunakan daripada dulu lagi? Dalam laman web The Boring Company, dinyatakan bahawa sebelum ini, kos pembangunan sistem terowong adalah sangat mahal, tetapi kini, beliau berjaya mencari cara untuk mengurangkan kos. Antaranya adalah dengan mengurangkan diameter terowong itu sendiri, dan ia boleh dicapai dengan penggunaan rel tersebut, yang memegang kereta dengan lebih selamat.

     
     
  • Uber dan SPAD bincang hal keselamatan pengguna

    Uber dan SPAD bincang hal keselamatan pengguna

    Berikutan kes rompakan oleh pemandu Uber terhadap seorang penumpang wanita di Puchong tempoh hari, syarikat pengendali aplikasi e-hailing berkenaan dilaporkan bertemu dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini bagi membincangkan kaedah terbaik memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan itu.

    Menurut laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan pihaknya mengambil maklum kes tersebut biarpun kejadian itu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Kami tidak lepas tangan, pihak SPAD sudah bertindak, hari ini mereka (SPAD) ada perbincangan dengan Uber dan saya sendiri akan berjumpa dengan pihak Uber petang esok untuk berbincang apa lagi yang boleh dilakukan.” Menurutnya lagi, Uber belum dilesen atau belum dikawal selia buat masa sekarang menyebabkan pihaknya tidak dapat mengambil tindakan undang-undang. “Tindakan hanya boleh diambil oleh polis kerana itu kes jenayah (dan) kerana kita dengan Uber buat masa ini belum ada pertalian,” katanya.

    Nancy turut menjelaskan, apabila peraturan e-hailing diluluskan oleh Parlimen (dijangka pada sesi persidangan akan datang), pengendali perkhidmatan e-hailing akan bertanggungjawab untuk mengamalkan standard keselamatan dan mutu perkhidmatan tertinggi. Kerajaan akan memperhalusi apa yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna yang menggunakan perkhidmatan sedemikian.

    “Seperti kes rompakan yang berlaku itu biarpun pemandu itu ada rekod (dengan Uber) pun boleh berlaku jadi ini kita nak ambil kira supaya bila rang undang-undang pindaan diluluskan apakah ciri-ciri keselamatan yang perlu kita ketatkan dengan pengendali perkhidmatan,” katanya.

     
     
  • VIDEO: Bayi terbunuh dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS – pemasangan kerusi keselamatan tidak betul?

    Semalam, sebuah kemalangan tragis berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan yang meragut nyawa seorang bayi. Bernama melaporkan, seorang bayi berusia tiga bulan terbunuh selepas sebuah kereta terbabas ke tepi selepas dirempuh di KM433.8 arah Utara berdekatan Kuala Kubu Baru.

    Bayi berkenaan, Aril Rizqin Redza Shahril disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh. Ketika kemalangan, kereta itu dipandu oleh bapanya, Shahril Salleh. Bapa, ibu dan dua abangnya – berusia 4 dan 11 tahun – hanya cedera ringan.

    Video di atas adalah dari dashcam Kugan Kathegesen, yang kebetulan berada di belakang kenderaan mangsa ketika kejadian. Ia menunjukkan kereta hatchback warna putih berkenaan berada di lorong paling kiri dan tidak mengganggu pengguna lain sebelum sebuah kereta sedan hitam tersasar dari laluan tengah menghala ke laluan sebelah kiri dan melanggarnya.

    Ia kemudiannya merempuh kereta putih berkenaan, menyebabkan kereta itu terbabas ke bahu jalan dan masuk ke dalam parit. Sedan hitam itu, yang menurut polis Hulu Selangor dipandu oleh S. Nishanty, berpusing dan melanggar pembahagi jalan.

    Kugan yang menyaksikan kejadian itu berhenti untuk membantu mengeluarkan bayi yang terperangkap dalam kenderaan. Bayi berkenaan dikeluarkan dari kenderaan itu dalam keadaan berdarah dan tidak bergerak, menurut beliau. Peronda PLUS menghubungi ambulans, yang tiba ditempat kejadian 30 minit kemudian.

    Berita ini kami terima dengan perasaan yang sangat hiba. Melihat bagaimana ia berlaku juga tambah menyedihkan – keluarga yang tidak bersalah kini kehilangan anak mereka. Ibu bapa mangsa ada menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan terbabit, namun seperti kelihatan dalam gambar lain, ia ditemui di luar kenderaan. Jika kerusi itu dipasang dengan betul, ia mungkin dapat menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

    Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, jangan lupa untuk menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak dari jenis yang bersesuaian dengan anak anda. Pemasangannya juga perlu dilakukan dengan betul untuk memastikannya mampu memainkan peranan sepatutnya. Antara kesilapan umum yang selalu dilakukan ialah seperti berikut:

  • Kerusi tidak dipasang dengan betul atau terlalu longgar
  • Kerusi tidak bersesuaian dengan usia, berat dan ketinggian kanak-kanak – sebagai contoh, kanak-kanak tiga tahun di dalam kerusi untuk bayi, atau menggunakan booster seat
  • Kerusi dipasang, tetapi bayi atau kanak-kanak tidak direhatkan padanya dengan kemas, ketat dan selamat
  • Kanak-kanak diletakkan dengan ketat dan rapi, tetapi kerusi tidak dipasang – ibu bapa merasakan cukup sekiranya anak mereka duduk pada kerusi berkenaan dengan selamat
  • Slot tali keselamatan salah – sesetengah kerusi khas memerlukan slot tali keselamatannya diubah selari dengan pembesaran kanak-kanak
  • Menggunakan kerusi kanak-kanak yang telah rosak
  • Jangan ambil mudah senarai yang dinyatakan ini, walaupun hanya untuk perjalanan jarak dekat. Pastikan kanak-kanak serta kerusi khas mereka dipasangkan dengan betul dan rapi. Video di bawah ini boleh dijadikan panduan untuk anda.

     
     
  • Mercedes bakal pertontonkan model konsep kedua EQ di Frankfurt – pencabar terdekat bagi BMW i3

    Mercedes bakal pertontonkan model konsep kedua EQ di Frankfurt – pencabar terdekat bagi BMW i3

    Pada Paris Motor Show 2016, Mercedes telah memperkenalkan model konsep “EQ”, crossover janaan elektrik dengan rekaan yang futuristik. Menurut laporan Autocar, tahun ini syarikat pengeluar kenderaan mewah ini turut akan memperkenalkan model konsep kedua EQ dengan memilih Franfurt Motor Show sebagai pentas peragaannya. Sekali lagi, model konsep ini juga adalah janaan semua-elektrik dan tidak akan mempunyai enjin pembakaran biasa.

    Namun kali ini, dengarnya Mercedes mahu menjadikan EQ sebagai pencabar terdekat bagi model produksi BMW i3 dan juga konsep Volkswagen I.D. Semua model kosong-emisi ini akan menggunakan platform modular yang baru dibangunkan iaitu “MEA” dan dipasang di kilang pemasangan Bremen dan Sinderlfinger di Jerman, walau pun ada juga yang menyatakan ia bakal dipasang di Rastatt.

    Mercedes bakal pertontonkan model konsep kedua EQ di Frankfurt – pencabar terdekat bagi BMW i3

    Tidak banyak perubahannya berbanding model konsep asal, model konsep kedua EQ ini akan mengetengahkan gril hadapan hitam dan dijangka akan diproduksi pada tahun 2020, dengan bentangan pemanduan roda-hadapan bersama motor elektrik tunggal. Model yang bersifat lebih masukulin pula akan dipadankan dengan larasan dua motor elektrik dan AWD, yang direncana bakal diproduksi selepas peralihan kitaran hidup EQ.

    BMW i3 pula bakal menerima peningkatan kitaran hidup pertengahan tidak lama lagi iaitu dengan versi i3S, lantas ini membuatkan Mercedes tidak mahu kalah dan ingin segera menjadikan EQ sebagai realiti.

    GALERI: Model konsep EQ generasi pertama

     
     
  • Rolls-Royce Sweptail – binaan khas untuk realisasi impian seorang pelanggan istimewa, RM55 juta

    Rolls-Royce Sweptail – binaan khas untuk realisasi impian seorang pelanggan istimewa, RM55 juta

    Rolls-Royce sememangnya sudah diketahui adalah pengeluar kenderaan mewah, namun model yang dinamakan Sweptail ini adalah lebih istimewa, kerana hanya ada satu yang dihasilkan dan ia adalah khas untuk seorang pelanggan istimewa. Malah, segala-galanya pada kenderaan ini, bermula daripada rekaan hinggalah kemasan akhir adalah daripada apa yang dimahukan oleh pelanggan itu sendiri.

    Pelanggan yang tidak dinamakan ini datang ke Rolls-Royce dengan idea tersendiri – untuk memasukkan kembali konsep rekaan Rolls-Royce pada tahun 1920-an kepada kereta moden mewahnya. Beliau juga adalah seorang pengumpul tegar kenderaan Rolls-Royce, kapal mewah dan jet. Kemahuan beliau juga banyak datang daripada rekaan pengangkutan mewah tersebut.

    Kini, selepas hampir empat tahun, akhirnya projek itu lengkap, dan ia ditampilkan semasa Concorso d’Eleganza di Villa d’Este, Itali untuk tatapan para media dan tetamu khas. Sekali pandang, ia masih mengekalkan tanda unik sebuah Rolls-Royce, namun binaan khasnya masih boleh dilihat dengan jelas. Di hadapan, terdapat gril Pantheon besar yang dihasilkan daripada aluminium, dan dikilatkan menggunakan tangan sehingga tampil seperti cermin.

    Lebih menarik adalah garis bumbung sweptail yang digunakan – ia menjunam ke bawah, dari depan hingga ke belakang, tanpa ada bahagian yang rata pada penutup but belakangnya. Jika dilihat dari atas pula, bumbung ini dapat dilihat dibina daripada kaca.

    Konsep bahagian dalam pula adalah lebih minimalistik dan ringkas. Hanya ada dua tempat duduk dalam kenderaan ini, dan kualiti serta perincian bahan yang digunakan lebih diberi perhatian. Contohnya, kemasan kayu yang digunakan pada bahagian belakang, serta mekanisme khas yang dapat mengeluarkan champagne kegemaran pemilik kenderaan ini, pada sudut yang direka rapi.

    Rolls-Royce tidak mendedahkan berapa harga kenderaan ini, namun menurut khabar angin yang tersebar, ia dikatakan dijual pada harga USD13 juta bersamaan RM55.5 juta. Boleh jadi, ini adalah Rolls-Royce paling mahal yang pernah dijual kepada pelanggannya.

     
     
  • Hypercar Mercedes-AMG Project One – gabung enjin F1 sebenar dan empat motor elektrik, 1000 hp, AWD

    Hypercar Mercedes-AMG Project One – gabung enjin F1 sebenar dan empat motor elektrik, 1000 hp, AWD

    Mercedes-AMG mendedahkan sedikit lagi perincian berkenaan hypercar mereka – setakat ini dikenali sebagai Project One – yang bakal di pertontonkan di Frankfurt Motor Show tahun ini, ketika berlangsungnya perlumbaan Nurburgring 24 Jam hujung minggu lalu.

    Bercakap kepada CarAdvice, jurucakap Mercedes-Benz Australia berkata, kereta hiper berkenaan bakal diberikan enjin dari jentera pasukan F1 sebenar Mercedes-Benz iaitu enjin 1.6 liter turbo, kemudian digabungkan bersama empat motor elektrik dan dijangka bakal menjana sekitar 1000 hp.

    Boss AMG Tobias Moers pula menyatakan, Project One bukan dibina disasarkan untuk menjadi kereta produksi terpantas di dunia, sebaliknya ia bakal menjadi penanda aras bagi kereta berprestasi dengan kecekapan tenaga yang tinggi.

    Enjin sebenar Mercedes F1 yang bakal menjana jentera berkenaan walau bagaimanapun dihadkan putarannya hanya pada 11,000 rpm, 2,500 rpm lebih rendah dari kereta lumba F1 sebenar. Tetapi enjin tersebut masih mampu menjana sekitar 750 hp. Kuasa selebihnya pula akan disumbangkan dari empat motor elektrik yang mendapat suapan tenaga dari bateri lithium ion.

    Dua dari motor elektrik berkenaan diletakkan pada roda hadapan, membolehkannya dipacu sebagai jentera AWD yang lengkap dengan sistem “torque vectoring yang agresif”. Mercedes-AMG turut mendakwa Project One boleh bergerak menggunakan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 25 km.

    Dua lagi motor elektrik tidak dipadankan terus pada roda belakang, sebaliknya diletakkan pada enjin, memberikan kuasa terus pada aci engkol bagi membantu melenyapkan turbo-lag.

    Pendedahan sebelum ini turut menyatakan hanya 275 unit Project One bakal diproduksi, manakala rupa sebenar serta perincian lengkap berkenaan hypercar ini hanya akan diketahui di Frankfurt nanti.

     
     
  • BMW Motorrad Concept Link – skuter elektrik urban

    BMW Motorrad Concept Link – skuter elektrik urban

    Semasa acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este 2017 di Cernobbio, Itali, BMW Motorrad telah mempersembahkan sebuah skuter elektrik dinamakan sebagai Concept Link. Rekaan skuter ini menggabungkan konsep sambungan digital dengan permintaan untuk kenderaan urban dua roda.

    Ia bukan sekadar satu model konsep masa hadapan, malah direka untuk memenuhi keperluan penunggang masa kini, dalam suasana urban yang penuh dengan pelbagai rangkaian sambungan. Pek bateri yang digunakan unutk menggerakkan hab belakang skuter ini terletak pada lantainya, dan ini menjadikan ia rendah, panjang dan mudah untuk dinaiki, dari kedua-dua sisi.

    Panjang tempat duduknya pula boleh dilaras, untuk dipadankan dengan saiz pengguna yang berbeza, dan ia juga boleh dijadikan hanya satu sahaja. Di bawah tempat duduk ini, terdapat ruang simpanan yang boleh diakses melalui penutup jenis gelungsur. Tiada panel instrumen yang digunakan pada motosikal ini, malah informasi kelajuan, navigasi dan bateri dipaparkan ke bahagian dalam penghadang angin, terus ke pandangan penunggang.

    Informasi sekunder pula dipaparkan pada panel yang lebih besar, terletak di bawah bahagian pemegang. Selain sebagai paparan, panel sesentuh ini juga boleh mengawal sistem hiburan, sambungan dan informasi jalan. Kalau tidak mahu menyentuh skrin itu, penunggang boleh mengawalnya menggunakan butang di bahagian pemegang.


     
     
  • Volvo Polestar bakal terima talaan pengendalian Lotus

    Volvo Polestar bakal terima talaan pengendalian Lotus

    Umum mengetahui, pembuat kereta Sport dari British – Lotus – yang dimiliki oleh Proton sebelum ini telah beralih tangan ke pembuat kenderaan dari China, Geely (yang juga pemilik jenama Volvo buat masa sekarang), menerusi kerjasama strategik yang telah diumumkan minggu lalu.

    Menerusi laporan dari Drive, Lotus berkemungkinan akan dibawa ke proses pembangunan Volvo sebagai jurutera bagi penghasilan model bermula dari limosin eksekutif hingga ke hatchback mampu milik dan juga model berprestasi tinggi Polestar yang bakal mengangkat mereka ke tahap seperti Mercedes-AMG.

    Lotus sememangnya dikenali sebagai sebuah syarikat yang bukan sahaja mampu membina kereta-kereta sport yang pantas kerana pengendaliannya, malah ia turut terkenal sebagai konsultan kejuruteraan yang membantu pengeluar-pengeluar lain dalam mendapatkan talaan pengendalian yang seimbang dari segi sporty dan selesa. Proton tidak terkecuali menerima sentuhan Lotus satu ketika dahulu dalam penghasilan jentera sport seperti Satria GTI, Satria R3 dan juga Satria Neo Lotus Edition.

    Menurut jurutera prinsipal dinamik kenderaan untuk Volvo XC60 baharu, Roger Wallgren, kepakaran yang bakal ditawarkan Lotus “akan dihargai”.

    “Menagapa tidak? Saya tidak nampak sebarang masalah untuk menggunakan pengetahuan mereka. Saya rasa ia agak sesuai untuk digunakan untuk setiap sudut,” katanya dan menambah mereka perlu adakan dialog dan kedua-dua pihak boleh bertukar-tukar pengetahuan.

    Namun Wallgren mengesahkan bahawa Volvo masih lagi belum memperincikan rancangannya terhadap apa yang boleh dikecapi menggunakan kejuruteraan Lotus dan menegaskan kepakaran Lotus amat dihormati dalam komuniti automotif.

    Wallgreen menyatakan banyak yang perlu dikecapi untuk model-model Volvo akan datang, termasuk pelaburan lebih besar bakal disuntik untuk sayap berprestasi tingginya iaitu Polestar. “Polestar merupakan jenama yang akan digunakan – kami tidak akan membiarkannya duduk diam dan tidak berbuat apa-apa. Cepat atau lambat anda akan menyaksikan sesuatu.” katanya.

     
     
  • Pengkritik yang tidak pernah memiliki kereta Proton dibidas, terima hakikat untuk perubahan – Johari

    Pengkritik yang tidak pernah memiliki kereta Proton dibidas, terima hakikat untuk perubahan – Johari

    “Pengkritik yang sering memberikan pelbagai pendapat negatif mengenai Proton, bukanlah daripada pemilik kereta jenama itu sendiri. Ramai pihak mengadu sa­yangkan Proton, tetapi mereka sendiri tidak pernah membeli kereta Proton. Kalau sayang Proton, mereka perlu beli, “ujar Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

    Kenyataan ini timbul ekoran banyak pihak yang mengkritik pembelian 49.9% kepen­tingan dalam Proton oleh Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) yang dikatakan akan mengikis jenama kereta nasional, laporan Utusan Malaysia.

    Katanya lagi, penjualan itu merupakan satu strategi yang tidak boleh dijadikan sebagai satu nilai sentimental kerana rakyat perlu menerima hakikat bahawa jika tiada perubahan, ia akan mengancam masa depan jenama Proton. “Jadi sebelum orang ramai beli, kita kena pastikan kenderaan itu berkualiti dan bernilai,” katanya.

    Mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir berhubung isu itu, Johari berkata, Proton kini sedang ‘sakit’ dan memerlukan suntikan ubat bagi meneruskan kelangsungan atau berdepan dengan situasi yang lebih teruk pada masa depan.

    “Anak ini kalau sakit, kita kena beri ubat. Dalam dunia perniagaan, jika sesebuah syarikat itu tenat, kita kena susun semula model perniagaan sebaik mungkin,” jelas beliau.

    Sambungnya lagi, “Perkara ini tidak boleh terlalu sentimental. Kita kena juga fikirkan apa akan jadi dengan nasib dan masa depan 10,000 kakitangan Proton termasuk pembekal dan vendor jika pengeluar kereta itu tidak lagi berdaya saing, atau kena tutup.

    “Kita kena terima hakikat, dunia telah berubah. Kita tidak boleh jual kenderaan dengan teknologi 20 atau 30 tahun dahulu. Saya nak tekankan bahawa dalam isu perniagaan seperti ini, ia tidak dikaitkan langsung de­ngan politik.”

     
     
  • Volkswagen Golf GTI First Decade – GTI pertama gunakan kuasa elektrik dihasilkan oleh pelatih

    Volkswagen Golf GTI First Decade – GTI pertama gunakan kuasa elektrik dihasilkan oleh pelatih

    Acara pertemuan peminat Volkswagen di Wörthersee, Austria cukup terkenal dan telah bermula sejak sekitar 30 tahun yang dulu, dan Volkswagen sendiri, sebagai sebuah syarikat sentiasa menyediakan sesuatu yang istimewa untuk dipertonton di sana. Bagi tahun 2017 ini, antaranya adalah Golf GTI Frist Decade – GTI pertama yang menggabungkan penggunaan kuasa elektrik.

    Nama kenderaan ini menunjukkan bahawa ia adalah GTI kesepuluh yang dihasilkan oleh pelatih mereka, dan ia mengambil masa tidak sampai sembilan bulan berdasarkan idea asas yang diberikan oleh pelatih tersebut. Keseluruhannya 13 pelatih terlibat dalam pembangunan kereta ini.

    Bahagian luar kenderaan ini menggunakan warna biru inspirasi daripada tasik Wörthersee yang digelar Atlantic Blue Metallic, bersama jalur biru Satin Ocean Shimmer biru berkilat. Dapat dilihat digunakan adalah spoiler belakang Clubsport, rim aloi 20 inci oleh mb-Design, nombor 10 di C-pillar dan logo ‘First Decade’ berhampiran lampu belakang.

    Bahagian dalam kenderaan ini pula menggunakan tempat duduk hadapan buatan tangan, yang boleh dilaras menggunakan aplikasi telefon pintar dan boleh mengurut. Konsep warna sama turut digunakan di dalam, namun apa yang lebih menarik adalah bahagian belakangnya tiada tempat duduk, sebaliknya diganti dengan pembesar suara 1,690 watt, daripada 11 pembesar suara dan satu subwoofer. Di bawahnya barulah terletak bateri dan pengawal elektronik untuk sistem pacuan gandar belakang elektriknya.

    GTI First Decade menggabungkan penggunaan enjin petrol 410 PS yang memacu tayar hadapan, dan motor elektrik 48 volt yang memacu roda belakang dengan kuasa maksimum 12 kW. Dua punca kuasa ini boleh digunakan secara berasingan dan juga boleh bergerak serentak, bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih. Kenderaan ini turut dilengkapi dengan sistem penjanaan semula kuasa brek.

     
     
  • Pemilik kenderaan perlu lebih proaktif elak gunakan tayar celup tanpa pengiktirafan SIRIM – Kayveas

    Pemilik kenderaan perlu lebih proaktif elak gunakan tayar celup tanpa pengiktirafan SIRIM – Kayveas

    Penasihat kepada Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas menjelaskan, usaha kerajaan untuk mengetatkan penguatkuasaan terhadap pengharaman tayar celup yang tidak menerima pengiktirafan daripada SIRIM tidak akan berkesan sekiranya pemilik kenderaan sendiri tidak proaktif dalam perkara itu, lapor Bernama.

    “Adalah sukar untuk melaksanakan perkara ini, sekiranya pemilik kenderaan sendiri tidak memainkan peranan mereka,” tambah beliau. Bukan masalah baru, penggunaan tayar celup yang tidak diiktiraf semakin meningkat terutama bagi kenderaan berat seperti lori, bas dan treler di atas satu sebab – kos yang lebih rendah, walaupun sedar ia boleh membahayakan keselamatan di jalan raya.

    Sebagai contoh, sebiji tayar celup kenderaan berat yang diiktiraf oleh SIRIM berharga sekitar RM1,000 manakala bagi tayar baru pula harganya ialah sekitar RM2,000 sebiji. Namun, bagi tayar celup yang tidak menerima pengiktirafan, ia dijual serendah RM400 setiap satu.

    Menyedari penggunaan tayar celup ini menjadi pilihan popular bagi pemilik kenderaan berat, April lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan akan mengkaji semula piawaian terbaru bagi penghasilan tayar celup untuk memastikan faktor keselamatannya terjamin.

    Susulan daripada itu juga, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron mengeluarkan kenyataan bahawa mana-mana tayar celup yang menerima pengiktirafan SIRIM adalah selamat digunakan.

     
     
  • TIP: Memandu ketika mengantuk, keletihan undang risiko kemalangan jalan raya – sila dapatkan rehat yang secukupnya, peka dengan keadaan sekeliling

    TIP: Memandu ketika mengantuk, keletihan undang risiko kemalangan jalan raya – sila dapatkan rehat yang secukupnya, peka dengan keadaan sekeliling

    Memandu dalam keadaan letih atau mengantuk boleh meningkatkan risiko kemalangan, ujar Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatannya dalam Facebook baru-baru ini. Malahan beliau turut berkata, perkara ini turut menjadikan kita kurang menyedari mengenai apa yang berlaku di jalan raya dan menjejaskan keupayaan kita untuk bertindak balas dengan pantas dan selamat jika situasi yang berbahaya timbul.

    Perkara ini sering timbul apabila badan kita berasa lesu dan letih, apatah lagi ketika sedang berpuasa ini. Lalu mata ini rasa berat, dan mungkin boleh terlelap bila-bila masa. Walau pun ketika sedang memandu, ia tetap boleh terjadi. Pernahkah anda berhadapan dengan situasi sebegini?

    Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, Presiden dan pengasas Medical Mythbusters Malaysia, turut berkongsi mengenai situasi yang digelar Microsleep, iaitu badan ‘tidur’ buat seketika. Di mana segala input dari deria penglihatan dan pendengaran tidak dapat diproses otak. Tempoh microsleep adalah antara satu hingga 30 saat. Ia boleh berlaku walaupun mata masih terbuka. Seperti sebuah komputer, otak telah “shut down”.

    Katanya, walau pun ketika sedang memandu dalam kelajuan 70 km/j, microsleep selama tiga saat boleh menyebabkan kenderaan menyusur tanpa kawalan sejauh 200 meter. Dalam jarak 200 meter, nyawa boleh melayang dalam sekelip mata. Bayangkan apa yang boleh berlaku apabila kenderaan dipandu pada kelajuan 100 km/j?

    TIP: Memandu ketika mengantuk, keletihan undang risiko kemalangan jalan raya – sila dapatkan rehat yang secukupnya, peka dengan keadaan sekeliling

    Memetik kenyataan dalam catatannya lagi, seringkali pemandu memikirkan dia kebal. “Accident berlaku kepada orang lain. Aku ada skill. Kereta pun elok.” Keinginan untuk bersama keluarga tersayang yang terpisah buat sekian lama dijadikan motivasi untuk gagah memandu walaupun sudah terlalu mengantuk. “Aku dah janji dengan anak – anak nak bawa mereka berjalan. Kesian mereka kalau aku lambat.”

    “Ada juga yang berpendapat jika kenderaan dipandu dengan laju, akan kurang mengantuk akibat kesan ‘adrenaline’ yang meningkatkan upaya ‘fight or flight’. (Fight or flight adalah sitiuasi dimana badan bersedia untuk menghadapi keadaan yang membahayakan diri: lari atau lawan). Manakala jalan yang berbengkang bengkok seperti di Lebuhraya Karak akan menghilangkan rasa mengantuk kerana pemandu lebih fokus dengan cabaran ambil ‘corner’,” ujarnya lagi.

    Di mana terdapat dua fakta di atas hanya mengundang bahaya. Kesan ‘fight or flight’ hanya seketika sahaja. Sistem badan akan ‘burn out’ dan akhirnya boleh menyebabkan microsleep yang lebih lama.

    Jadi, apa yang harus dilakukan?

    BERHENTI.
    LETAK KERETA DI TEMPAT YANG SELAMAT.
    TIDUR.

    TIP: Memandu ketika mengantuk, keletihan undang risiko kemalangan jalan raya – sila dapatkan rehat yang secukupnya, peka dengan keadaan sekeliling

    “Tak perlu tidur lama. Lima minit cukup. Ulang setiap kali anda mula berasa mengantuk. Berhenti berehat setiap dua jam untuk pemanduan jarak jauh,” ujarnya.

    Beliau turut menasihati penumpang hadapan supaya menjadilah seorang co-driver yang baik.

    Sambungnya lagi, “Apabila perjalanan bermula janganlah berdengkur sahaja ataupun sumbat earphone di telinga dan layan filem Korea seorang diri. Cuma ajak bersembang dengan pemandu untuk elakkan rasa mengantuk. Selain itu, perhatikan cara pemanduan. Jika sudah mula membawa tidak mengikut lorong, tegur pemandu. Cadangkan untuk berehat seketika di stesen minyak. Juga sekali sekala lihat paparan dashboard pemandu. Adakah pemanduan terlalu laju? Ada tak lampu – lampu amaran yang menyala? Jika ada, tegur.”

    Sekali lagi, beliau menasihati agar semua pemandu berhati hati di jalan raya.

    “Musim perayaan telah bermula. Jangan jadikan diri dan keluarga anda sebahagian daripada statistik OPS SIKAP,” akhirinya.

     
     
  • SPAD akan sita kenderaan perkhidmatan e-hailing sekiranya melanggar undang-undang – laporan

    SPAD akan sita kenderaan perkhidmatan e-hailing sekiranya melanggar undang-undang – laporan

    Lanjutan dari dakwaan kes rompakan oleh pemandu Uber terhadap seorang penumpang wanita di Puchong minggu lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menegaskan mereka tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan penalti terhadap pengendali perkhidmatan e-hailing atau pemandunya serta menyita kenderaan pemandu jika didapati melanggar undang-undang, menurut laporan Bernama.

    Suruhanjaya berkenaan menyebut bahawa walaupun kejadian itu diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka amat memandang serius perkara tersebut dan menyarankan agar Uber mengkaji semula proses saringan pemandu mereka pada kadar segera.

    “Apabila peraturan e-hailing diluluskan oleh Parlimen (dijangka pada Julai 2017), pengendali perkhidmatan e-hailing akan bertanggungjawab untuk mengamalkan standard keselamatan dan mutu perkhidmatan tertinggi.

    “Di bawah pindaan yang dicadangkan bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, kesemua pemandu e-hailing perlu mendaftar dengan SPAD dan akan tertakluk kepada pemeriksaan latar belakang yang ketat dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia,” menurut kenyataan berkenaan.

    Selain itu, SPAD turut mengucapkan syabas atas tindakan pantas PDRM dalam memberkas pemandu yang berusia 22 tahun berkenaan bagi siasatan lanjut dan pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya apabila diperlukan.

     
     
  • DRB-Hicom terus selia pentadbiran Proton – Mustapa

    DRB-Hicom terus selia pentadbiran Proton – Mustapa

    Berhubung jualan 49.9% kepentingan dan pegangan saham Proton kepada Geely yang dimeterai minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yakin bahawa Proton akan kekal ditadbir dan diselia oleh DRB-Hicom.

    “Berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada saya, DRB-Hicom akan terus menerajui pengurusan Proton,” ujarnya. Beliau juga berpendapat usaha sama itu tidak mempunyai kesan signifikan bagi aspek eksekutif di dalam Proton Holding Sdn Bhd, seperti dilaporkan The Sun.

    “Tetapi, sudah tentu, ia merupakan satu keputusan perniagaan. Apa pun selepas itu, kami serahkan kepada syarikat itu untuk membuat keputusan yang dirasakan terbaik untuk mereka,” tambah beliau.

    Persefahaman itu, yang bakal menyaksikan Geely dan DRB-Hicom menandatangi perjanjian muktamad pada Julai nanti, turut melibatkan pengambil alihan saham majoriti sebanyak 51% ke atas Lotus dari Proton. Sebahagian daripada perkara yang dipersetujui juga adalah untuk mengeluarkan model SUV Proton berdasarkan model Geely Boyue sedia ada, walaupun perincian penuh masih belum didedahkan.

     
     
  • Renault Megane RS generasi baharu bakal hadir dengan pilihan kotak gear manual dan klac berkembar

    Renault Megane RS generasi baharu bakal hadir dengan pilihan kotak gear manual dan klac berkembar

    Semasa penampilan sulung Renault Megane RS generasi baharu pada perlumbaan Formula 1 GP Monaco 2017 hujung minggu lalu, Renault mengesahkan model berkenaan bakal diberikan dua pilihan transmisi – sama ada manual ataupun klac berkembar automatik.

    Namun, kenyataan dari pembuat automotif Perancis berkenaan masih belum memberi perincian berkenaan jumlah gear yang bakal diberikan kepada kedua-dua jenis transmisi berkenaan.

    Penampilan sulung Megane RS yang masih lagi mengenakan pelekat penyamaran di seluruh badan berkenaan walau bagaimanapun telah mendedahkan rupa bentuk bahagian belakangnya – mengesahkan imej tanpa sebarang pelekat sebelum ini yang turut mendedahkan rekaan diffuser pada bampar belakang yang berbeza dari Megane standard.

    Renault juga masih lagi belum mengumumkan enjin yang digunakan pada Megane RS generasi baharu ini, serta masih belum membayangkan sebarang julat kuasa yang bakal diberikan.

    Renault Megane RS generasi baharu bakal hadir dengan pilihan kotak gear manual dan klac berkembar

    Menerusi khabar angin yang tersebar sebelum ini, Megane RS dilaporkan akan dijana oleh enjin petrol turbo empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa lebih daripada 300 hp, serta dipacu hanya pada roda hadapan – meneruskan perseteruannya terhadap Honda Civic Type-R dan juga Volkswagen Golf Clubsport S.

    Model baharu ini dijangka bakal didedahkan sepenuhnya pada Frankfurt Motor Show 2017 yang akan berlangsung pada September ini. Menurut Renault, “kepakaran mereka sekali lagi digunakan untuk menggunakan teknologi F1 bagi menghasilkan pakej keberkesanan aerodinamik, ketahanan, cengkaman jalan dan juga prestasi tinggi yang boleh diterima dalam erti kata sebenar.”

    Renault Megane RS muncul di litar Monaco dipandu oleh pelumba pasukan F1 Renault, Nico Hulkenberg. Penampilan model baharu berkenaan turut diiringi dua buah jentera lagenda F1 Renault dari era 1.5 liter V6 Turbo iaitu Renault RS01 dipandu Jean-Pierre Jabouille, dan juga Renault RE40 dipandu oleh Alain Prost – sebagai salah satu acara meraikan penyertaan mereka ke-40 tahun dalam F1.

     
     
  • Touch ‘n Go menentang implementasi bayaran surcaj

    Touch ‘n Go menentang implementasi bayaran surcaj

    Baru-baru ini timbul isu mengenai kadar lebih dalam pembayaran parkir sekiranya menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) di sesetengah premis parkir berbayar. Berikutan itu, News Strait Times telah membuat laporan susulan mengenai isu ini.

    Pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) telah dihubungi bagi mengulas lebih lanjut mengenai isu yang diperkatakan ini. Menurut ketua jabatan pemasaran dan komunikasi, Aina Abdullah, pihaknya sangat memandang serius akan pendapat orang ramai mengenai kadar surcaj sebanyak 10 sen yang dikenakan sesetengah pengendali parkir awam ini.

    Katanya, TNGSB menyokong ‘tiada bayaran surcaj’ bagi model perniagaan dan telah berunding dengan pengendali parkir, pemilik bangunan dan pihak berkaitan bagi mengetepikan surcaj ini.

    “Usaha ini turut melibatkan hampir 20 tempat parkir yang menawarkan perkhidmatan tanpa tunai yang tidak mengenakan sebarang surcaj. Malahan TNGSB akan terus berusaha untuk menggalakkan rakan kongsi semasa dan akan datang supaya menyediakan perkhidmatan Touch ‘n Go tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan.

    Touch ‘n Go menentang implementasi bayaran surcaj

    “Memandangkan tunai masih menjadi kaedah pembayaran bagi kebanyakan tempat parkir, sesetengah pemilik dan pengendali perlu menerims sistem Touch ‘n Go ini sebagai kaedah pembayaran yang lebih mudah dan selamat bagi pelanggan,” ujarnya.

    Beliau turut berkata, pemasangan sistem Touch ‘n Go di tempat parkir selalunya melibatkan beberapa pihak, ini termasuklah pengendali parkir, pemilik bangunan dan sistem integrasi.

    “Ini menyebabkan kos pemasangan, sistem integrasi dan penyelenggaran menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat. Maka surcaj adalah mekanisme tampungan kos yang dipersetujui oleh pihak berkaitan, namun Touch ‘n Go akan memastikan ada alternatif yang lebih mudah disediakan untuk para pelanggan.

    “Walau bagaimana pun, ia perlu mendapatkan kerjasama daripada semua pihak yang berkaitan untuk melaksanakan sistem bayaran tanpa surcaj ini,” katanya lagi sambil menegaskan pihaknya sentiasa mempromosi model perniagaan ‘tanpa yuran surcaj’.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026